Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG GT generasi kedua didedah – lebih besar, pacuan semua roda, enjin V8 4.0L 585 PS

    Mercedes-AMG GT generasi kedua didedah – lebih besar, pacuan semua roda, enjin V8 4.0L 585 PS

    Inilah dia, Mercedes-AMG GT generasi kedua. Direka semula dari awal, GT terbaru ini melihatkan pelbagai perubahan, dengan yang utama adalah penggunaan sistem pacuan semua roda. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu GT55 4Matic+ dan GT63 4Matic+, dengan kedua-duanya menggunakan enjin V8 4.0 liter twin turbo M177.

    Walaupun enjin sama, GT55 ditala untuk menghasilkan kuasa 476 PS (469 hp atau 350 kW) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan tork 700 Nm dari 2,250 hingga 4,500 rpm, sementara GT63 lebih berkuasa dengan 585 PS (577 hp atau 430 kW) dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan tork 800 Nm dari 2,500 hingga 5,000 rpm.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9G, menggantikan unit klac berkembar sebelum ini. Satu lagi yang baru adalah penggunaan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+, yang membawa makna ia sekarang bukan lagi kereta sports pacuan roda belakang sahaja.

    Daripada aspek prestasi, GT55 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 3.9 saat, sebelum mencapai laju maksimum 295 km.j, sementara GT63 boleh melakukan pecutan sama dalam masa 3.2 saat sebelum mencapai laju maksimum 315 km/j.

    GT baru ini datang dengan tetapan suspensi double wishbone di hadapan dan belakang, serta penyerap adaptif pada GT55. GT63 pula diberikan dengan tetapan AMG Active Ride Control yang lebih canggih, dan ditambah dengan anti-roll stabilisation semi aktif hidraulik, yang juga membenarkan gandar hadapan dinaikkan sehingga 30 mm.

    Kelengkapan lain yang berkenaan dengan pemanduan pada model ini adalah termasuk differential belakang boleh kunci (standard), rear-axle steering serta sistem brek AMG yang terdiri daripada cakera 390 mm dengan angkup enam piston di hadapan dan cakera 360 mm dengan angkup satu piston terapung di belakang.

    Mercedes-AMG GT generasi kedua didedah – lebih besar, pacuan semua roda, enjin V8 4.0L 585 PS

    Untuk pengetahuan, GT baru ini menggunakan asas yang sama dengan SL roadster, tetapi ia adalah lebih besar dengan ukuran panjang 4,728 mm dan lebar 1,984 mm, sementara kedudukannya pula lebih rendah dengan catatan tinggi 1,354 mm. Jarak rodanya iaitu 2,700 mm pula adalah 70 mm lebih panjang berbanding SL.

    Meskipun secara kasarnya GT ini masih mengekalkan bentuk seperti sebelum ini, ia diterapkan dengan elemen tersendiri yang membezakannya dengan SL dan model sebelum ini. Ia termasuk lampu utama dengan pencahayaan tiga bintik yang kurang condong serta gril khas AMG yang lebih ke dalam dan lebar. Lampu belakang pula lebih nipis dan menggunakan konsep pencahayaan seperti DRL lampu hadapan.

    Ekzos yang menggunakan empat muncung adalah sesuatu yang sudah biasa bagi GT dan model baru ini masih mengekalkan rekaan tersebut. Walaubagaimanapun, kemasan di atasnya telah direka semula dan pakej aero kereta ini didatangkan dengan diffuser yang lebih rumit, sayap belakang aktif serta panel bawah kereta yang boleh turun sehingga 40 mm pada kelajuan 80 km/j.

    Untuk lebih lagi, pemilik boleh mendapatkan pakej tambahan yang memberikan pelbagai panel aerodinamik pada bampar hadapan, bampar belakang, tepi roda, diffuser lebih besar serta sayap belakang tegar. Semua ini menyumbang kepada daya angkatan yang lebih rendah dan tolakan ke bawah (downforce) lebih kuat.

    Pada bahagian dalam, GT berkongsi rekaan yang sama seperti SL, dengan tarikan utama pada skrin sesentuh 11.9 inci yang menjadi sebahagian daripada sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Sistem infotainmen pada model ini datang dengan panel instrumen digital serta menu seperti AMG Performance dan AMG Track Pace.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat duduk AMG, roda stereng AMG Performance, sistem AMG Dynamics dengan enam mod, mod pemanduan AMG Dynamic Select serta pelbagai sistem bantuan pemandu lain. AMG GT generasi kedua ini juga sekarang boleh didapati dengan tempat 2+2 yang membolehkan dua lagi penumpang duduk di belakang.

     
     
  • Beberapa laluan di Penchala Link ditutup hingga 1 Sept pada waktu malam untuk kerja penurapan

    Beberapa laluan di Penchala Link ditutup hingga 1 Sept pada waktu malam untuk kerja penurapan

    Makluman penting buat pengguna Panchala Link. LITRAK Group telah mengumumkan terdapat penutupan laluan di Penchala Link untuk kerja-kerja penurapan jalan. Ia akan bermula hari ini (21 Ogos) sehingga 1 September 2023, pada setiap jam 11 malam hingga 6 pagi keesokan harinya.

    Kerja-kerja penurapan jalan ini melibatkan dua laluan. Laluan pertama di KM5.0 hingga KM3.0 menghala ke Mont Kiara. Lebih spesifik lagi, melibatkan laluan di stesen Petronas ke Plaza Tol Bukit Kiara. Manakala penutupan laluan kedua pula melibatkan jalan bertentangan iaitu dari KM3.0 (Plaza Tol Bukit Kiara) hingga KM5.0 (susur keluar TTDI), menghala ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

    Justeru, LITRAK turut menasihati para pengguna lebuhraya agar pandu berhati-hati dan ikut arahan papan tanda trafik sementara di lokasi.

     
     
  • Pesawat terhempas di Elmina: MoT minta sesiapa yang ada video, foto, menyaksikan untuk bantu siasatan

    Pesawat terhempas di Elmina: MoT minta sesiapa yang ada video, foto, menyaksikan untuk bantu siasatan

    Kementerian Pengangkutan (MoT) meminta orang awam atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang bentuk rakaman video atau gambar yang relevan mengenai kejadian pesawat peribadi terhempas di Elmina pada 17 Ogos lalu untuk tampil bantu siasatan. Begitu juga dengan sesiapa yang berada berhampiran lokasi nahas dan menyaksikan sendiri pesawat Beechcraft Model 390 terhempas agar segera menghubungi Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

    Menurut MoT, siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13) telah dimulakan oleh pasukan BSKU di bawah kementerian terbabit mulai tarikh kejadian kemalangan udara tersebut. Berdasarkan ICAO Annex 13, laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

    Justeru, bagi sesiapa yang mempunyai rakaman video atau gambar yang relevan mengenai insiden ini, bolehlah menghantarnya kepadanBSKU menerusi e-mel [email protected]. Atau boleh menghubung Lt Kol Juma’in bin Saadon dari TUDM di talian 03-88921235. Bagi yang menyaksikan sendiri insiden berkenana, boleh menghubungi BSKU menerusi e-mel atau panggilan telefon.

    Pada 17 Ogos lalu, pesawat Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV, terbang dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, telah terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam. Insiden menyedihkan ini telah mengorbangkan dua krew pesawat dan kesemua enam penumpangnya. Malahan ia turut mengorbankan seorang pemandu e-hailing dan seorang rider penghantar makanan yang kebetulan sedang melalui jalan terbabit.

     
     
  • Royal Enfield siar teaser model Himalayan 450 baharu

    Royal Enfield siar teaser model Himalayan 450 baharu

    Kewujudan model Himalayan baru memang sudah diketahui dengan Royal Enfield sendiri sudah menyiarkan teaser untuknya sejak tahun lalu lagi dan kelibatnya sudah dilihat membuat ujian atas jalan raya (dan juga kawasan lain) di India.

    Sekarang satu lagi teaser muncul. Ia bagaimanapun tidak didedahkan secara rasmi kepada awam dan kami kira, ia mungkin datang dengan undangan ke majlis pelancaran yang akan berlaku pada bulan November ini dan diberikan kepada wakil media di India.

    Di dalam video teaser pendek yang dimuat naik oleh BikeWale, anda bukan setakat boleh melihat beberapa bahagian motosikal, tetapi juga mendengar sendiri bunyinya. Ia juga memberi gambaran motosikal ini boleh dibawa ke pelbagai jenis suasana dan keadaan jalan.

    Royal Enfield siar teaser model Himalayan 450 baharu

    Melalui maklumat yang kita dapat daripada media di India, Himalayan baru ini akan menggunakan enjin berkapasiti lebih tinggi berbanding 411 cc sekarang, dan boleh dipanggil sebagai Himalayan 450.

    Selain enjin, transmisi lima kelajuannya juga dikatakan bakal dipertingkat dengan unit enam kelajuan, selain beberapa perubahan seperti bentuk panel badan, fork USD, ABS roda belakang yang akan ditutup secara automatik apabila memilih mod Offroad serta lampu hadapan LED seperti yang boleh dilihat dalam video sebelum ini.

     
     
  • Toyota Veloz kini diberikan pilihan kit badan, RM3,300

    Toyota Veloz kini diberikan pilihan kit badan, RM3,300

    Toyota Veloz memang sudah nampak bergaya, dam kelihatan agak berbeza, terutamanya pada bahagian depan dan sisinya, berbanding kembarnya, Perodua Alza. Malahan pada bahagian belakang, Veloz diberikan jaluran lampu LED yang melintang hingga ke logonya.

    Tetapi jika imej sebegitu masih tidak menyerlah bagi anda, jangan risau kerana kini UMW Toyota Motor telah menawarkan pilihan kit badan untuk MPV ini. Menurut senarai rasmi, pakej ‘aerokit’ ini merangkumi spoiler bampar hadapan, spoiler bampar belakang, lapisan pintu sisi dan spoiler bumbung, dan ditawarkan pada harga RM3,300.

    Bila ada padanan spoiler hadapan, ternyata bahagian wajah Veloz ini kelihatan lebih besar. Diserlahkan dengan skirt sisi dalam dua tona, dengan tambahan jalur krom. Begitu juga sambungan bampar belakang, yang kelihatan ‘berlapis’.

    Untuk lebih dramatik, spoiler bumbung pula ditampilkan. Untuk MPV famili seperti ini, tidak pernah ada lagi spoiler belakang standard dari kilang yang menyerlah seperti ini. Ternyata pilihan kit badan berharga RM3,300 untuk Veloz ini menambah sedikit ‘kelainan’ gaya luarannya.

    Dengan hanya satu varian sahaja ditawarkan, Veloz berharga RM95,000 atas jalan tanpa insurans. Kalau termasuk dengan kit badan, ia berharga RM98,300, dan anda juga boleh menambah dashcam belakang dengan harga RM380.

    Sama seperti Alza, Toyota Veloz menggunakan reka bentuk dan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama, serta berkongsi sistem janaan kuasa — enjin 2NR-VE 1.5 liter empat—silinder NA berkuasa 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Transmisi juga sama, D-CVT automatik.

    GALERI: Toyota Veloz 2023

     
     
  • Sistem pembayaran terbuka dalam peringkat ujian kini dilaksanakan di Lebuhraya SPRINT dan LDP – LITRAK

    Sistem pembayaran terbuka dalam peringkat ujian kini dilaksanakan di Lebuhraya SPRINT dan LDP – LITRAK

    Selepas Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), ujian bagi Sistem pembayaran terbuka kini dijalankan di Lebuhraya SPRINT dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pula.

    Perkara ini diumumkan oleh LITRAK selaku pengendali kedua-dua lebuhraya terbabit. Sistem pembayaran terbuka ini membolehkan pengguna lebuhraya menggunakan kad debit atau kredit Visa dan Mastercard sebagai salah satu pilihan mod pembayaran kadar tol, selain masih boleh terus menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch ‘n Go dan Smart Tag.

    Pada Mac lalu, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan sebanyak 12 konsesi lebuhraya bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini mulai September 2023.

    Senarai syarikat konsesi lebuhraya yang bersetuju untuk pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka:

    • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA atau E9)
    • Lebuhraya Pantai Baharu (NPE atau E10)
    • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH atau E12)
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE atau E35)
    • Jambatan Pulau Pinang (E36)
    • Lebuhraya Butterworth-Kulim (E15)
    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP atau E11)
    • Lebuhraya SPRINT (E23)
    • Lebuhraya Shah Alam (E5)
    • Terowong SMART (E38)
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX atau E20)
    • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE atau E33)

    Menurut Alexander, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi Lane Free Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

     
     
  • Modenas ZX-25R SE – harga rasmi didedahkan, RM34k

    Modenas ZX-25R SE – harga rasmi didedahkan, RM34k

    Anak syarikat Modenas, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini akhirnya mendedahkan harga rasmi untuk salah satu versi Ninja ZX-25R yang dibawa ke Malaysia, iaitu SE. Ia dijual pada harga RM33,900 tidak termasuk insurans, dengan pilihan dua warna iaitu Lime Green/Ebony atau Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

    Perbezaan versi SE dengan RR yang akan tiba seterusnya adalah ia cuma menggunakan suspensi yang terdiri daripada fork hadapan SFF-BP 37 mm dan monoshock biasa dengan sekadar larasan pra beban, sementara RR pula dinaik taraf dengan fork Showa SFF-BP 37 mm dengan pelarasan pra beban, monoshock Showa BFRC dengan pelarasan pra beban dan mampatan, serta grafik inspirasi daripada pasukan lumba KRT.

    Kelengkapan lain adalah sama sahaja, bermula dengan enjin iaitu unit empat silinder DOHC 249.8 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 46 hp pada 15,500 rpm dan tork 22 Nm pada 12,500 rpm. Untuk menyesuaikan karekter motosikal dengan tunggangan, pengguna disediakan dengan dua mod kuasa iaitu Full atau Low.

    Modenas ZX-25R SE – harga rasmi didedahkan, RM34k

    Selain daripada itu, model sports ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman KTRC, ABS dual-channel, quickshifter serta panel instrumen TFT berwarna penuh. Brek pula menggunakan tetapan cakera tunggal 310 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Perincian lain ZX-25R SE adalah termasuk lampu hadapan dan belakang LED, tangki bahan api 15 liter, berat 184 kg, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang serta klac jenis slip & assist. Jaminan yang diberikan adalah dua tahun tanpa had batuan.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R ABS SE 2023 pasaran Indonesia

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023 pasaran Indonesia

     
     
  • Persimpangan Elmina di Lebuhraya GCE dibuka semula susulan nahas pesawat peribadi – PROLINTAS

    Persimpangan Elmina di Lebuhraya GCE dibuka semula susulan nahas pesawat peribadi – PROLINTAS

    PROLINTAS telah mengumumkan Persimpangan Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) iaitu
    laluan keluar dan masuk ke Elmina, Seksyen U16, Shah Alam yang ditutup susulan nahas pesawat peribadi semalam telah dibuka semula kepada pengguna mulai3.40 petang tadi.

    Laluan yang dibuka ialah jalan susur masuk dari arah Shah Alam ke Elmina barat. Turut dibuka
    susur masuk dari Rawang ke Elmina timur serta susur keluarnya menuju Shah Alam. Satu daripada dua lorong jalan dari Elmina barat menuju Rawang ditutup bagi membbolehkan kerja-kerja siasatan pihak berkuasa terus dijalankan di lokasi kejadian. Bagaimanapun, pengguna masih boleh melalui laluan berkenaan.

    Pasukan Operasi GCE telah ke lokasi bagi mengenal pasti kerosakan dan menjalankan pembaikan jalan serta-merta. Terdahulu, pembersihan jalan turut dijalankan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pesawat peribadi berkenaan terhempas pada jam 2.51 petang, dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dari Langkawi. Insiden terbabit telah mengorbankan enam penumpang, dua krew penerbangan dan dua pengguna jalan raya.

     
     
  • Zontes 350D dan 350E dilancarkan di Malaysia – enjin satu silinder 349 cc, harga RM23,800 dan RM25,800

    Zontes 350D dan 350E dilancarkan di Malaysia – enjin satu silinder 349 cc, harga RM23,800 dan RM25,800

    Zontes Distribution Sdn Bhd hari ini melancarkan dua buah skuter Zontes 350 Series untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM23,800 untuk 350D dan RM25,800 untuk 350E. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km secara am dan tiga tahun atau 30,000 km untuk bahagian enjin.

    Kedua-dua skuter ini dipacu oleh enjin sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 349 cc dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa 36 hp dan tork 38 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi CVT.

    Beza antara dua skuter ini adalah saiz dan bentuk badannya, dengan 350D yang lebih kecil mencatat berat 190 kg dan datang dengan tangki bahan api 12 liter manakala 350E yang lebih besar mencatat berat 203 kg dan dilengkapi tangki bahan api 16 liter. Satu lagi kelebihan bagi 350E adalah ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah helmet.

    Kelengkapan lain untuk dua buah skuter ini kebanyakannya adalah sama, termasuk hadapan dan belakang LED dengan DRL, sistem tanpa kunci, skrin TFT 6.7 inci berwarna penuh, penghadang angin boleh laras secara elektrik serta pengecas USB.

    Kemudiannya, kedua-duanya juga dilengkapi rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, brek cakera hadapan dan belakang dengan angkup J Juan, ABS dual-channel, kawalan cengkaman yang boleh ditutup serta pemerhati tekanan angin tayar.

    GALERI: Zontes 350D

    GALERI: Zontes 350E

     
     
  • CATL perkenal bateri EV Shenxing Superfast; jarak gerak 400 km dicapai dengan cas hanya 10 minit!

    CATL perkenal bateri EV Shenxing Superfast; jarak gerak 400 km dicapai dengan cas hanya 10 minit!

    Pengeluar bateri EV dari China, CATL telah memperkenalkan produk baharunya yang digelar Shenxing Superfast, yang didakwa bateri cas super pantas 4C LFP (lithium logam fosfat) pertama dalam dunia.

    Menurut CATL, bateri baharu ini dihasilkan dengan mengambilkira aspek kebimbangan cas pantas yang menjadi antara punca utama mengapa pengguna enggan beralih ke kereta elektrik. Bagi membolehkan bateri tersebut dicas dengan sangat pantas, CATL meneruskan pembangunan material, elektrokimia dan juga struktur sistem secara keseluruhannya.

    Bateri Shenxing ini menggunakan teknologi jaringan katod super elektonik dan juga material katod LFP yang dikristalkan secara nano sepenuhnya bagi membentuk jaringan super elektronik, membolehkan ion lithium diekstrak dan juga respon pantas terhadap isyarat mengecas, kata CATL.

    CATL telah membangunkan formula elektrolit pengalir super dengan sasaran bagi mengurangkan kelikatan elektrolit, seterusnya menambahbaik kekonduksian. Filem SEI (antara fasa elektrolit padu) bateri ini dihasilkan dengan sangat nipis bagi mengurangkan rintangan terhadap pergerakan ion-lithium. Manakala pada bahagian pemisah, tahap keliangan yang tinggi dan purata jarak pemindahan yang dipendekkan turut membantu mengurangkan rintangan pemindahan ion-ion lithium.

    Hasilnya, bateri baharu ini didakwa mampu memberikan kadar cas yang membolehkan jarak gerak sejauh 400 km dengan pengecasan dibuat hanya selama 10-minit. Kadar cas dari 0-80% juga dapat dicapai hanya dalam masa 10 minit apabila ia dicas pada suhu bilik dan jarak pemanduan lebih dari 700 km. Namun CATL tidak memperincikan kadar pengecasan dan juga kapasiti bateri untuk dakwaan ini.

    Sementara itu, teknologi kawalan suhu sel pada bateri ini dapat memastikan sel dapat dipanaskan sehingga julat suhu operasi optimumnya dengan cepat, membolehkan pengecasan 0-80% dalam 30 minit pada suhu sekeliling -10 darjah Celsius. CATL juga mendakwa bateri ini memberikan “prestasi pecutan 0-100 km/j tanpa kompromi” pada suhu rendah.

    Dari segi keselamatan, CATL menyatakan bahawa bateri Shenxing ini menggunakan elektrolit dan pemisah yang dinaik taraf untuk perlindungan berganda. Sistem ujian kerosakan masa nyata juga diwujudkan bagi melindungi daripada potensi bahaya yang timbul daripada pengecasan pantas, dengan mengawal selia suhu global dalam sel bateri melalui penggunaan algoritma.

    Menurut CATL, bateri cas super pantas Shenxing ini dijangka akan mula diproduksi secara besar-besaran menjelang akhir tahun ini, manakala kenderaan elektrik yang akan menggunakannya dijangka akan dijual pada suku pertama 2024.

     
     
  • GWM EV Convoy Tour 2023 disertai 11 Ora Good Cat jelajah 15 bandar dan merentasi tiga negara

    GWM EV Convoy Tour 2023 disertai 11 Ora Good Cat jelajah 15 bandar dan merentasi tiga negara

    Great Wall Motor (GWM) baru-baru ini telah menamatkan GWM EV Convoy Tour, yang menyaksikan 11 buah Ora Good Cat dipandu dalam perjalanan dari Bangkok ke Kuala Lumpur dan Singapura, merentasi 15 bandar di tiga buah negara.

    Perjalanan itu mengambil masa selama lapan hari, dari 1-8 Ogos dan dimulakan dari Bangkok dan bergerak ke selatan sambil berhenti di lokasi-lokasi menarik di sepanjang jalan tersebut. Perjalanan ini juga menandakan pelancaran rasmi jenama GWM dan Ora Good Cat serta pembukaan bilik pameran GWM yang pertama di Singapura.

    GWM EV Convoy Tour 2023 disertai 11 Ora Good Cat jelajah 15 bandar dan merentasi tiga negara

    Aktiviti ini juga dilakukan unutk membuktikan kemampuan Ora Good Cat untuk digunakan dalam perjalanan jauh, dan dalam masa sama membolehkan peserta untuk melihat sendiri kemudahan pengecasan EV yang ada di semua negara terbabit. Varian spesifikasi tertinggi Ora Good Cat di Malaysia ialah 500 Ultra, yang datang dengan bateri lithium 63.1 kWh yang boleh memberikan jarak hingga 500 km mengikut kitaran NEDC.

    Ada juga varian 400 Pro dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 47.8 kWh dengan jarak 400 km. Kedua-dua versi ini menggunakan elektrik motor di depan dengan janaan 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan 210 Nm tork, serta barisan sistem bantuan pemandu canggih lainnya, seperti AEB, kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, bantuan ke tengah lorong, amaran perlanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang dengan brek serta peninjau titik buta.

     
     
  • ChargEV tambah pengecas DC 60 kW di Starbucks Indera Mahkota Kuantan — RM1.20 bagi setiap kWh

    ChargEV tambah pengecas DC 60 kW di Starbucks Indera Mahkota Kuantan — RM1.20 bagi setiap kWh

    Penyedia stesen pengecasan kenderaan elektrik, ChargEV telah memaklumkan menerusi laman Facebook yang pihaknya akan menambah lagi pengecas pantas DC dalam rangkaian sedia ada. Kali ini ia akan berada di lokasi cawangan pandu-lalu Starbucks Indera Mahkota, Kuantan.

    Pengecas EV di Starbucks Indera Mahkota ini mempunyai output 60 kW DC, dan dikenakan kadar RM1.20 bagi setiap kWh. Pengecas DC berkenaan akan memenuhi keperluan pengguna EV di kawasan sekitar itu serta bandar Kuantan, terutamanya bagi mereka yang akan memandu EV ke bandar di pantai timur itu.

    Sebagai perbandingan, pengecas EV di Starbucks Port Dickson juga dikenakan kadar RM1.20 bagi setiap kWh, walaupun menawarkan kadar output DC yang sedikit lebih tinggi dengan 80 kW.

    Pengecas DC di Kuantan ini menjadi tambahan terbaru kepada rangkaian pengecas ChargEV, dengan usahasama antara Yinson GreenTech dan Starbucks Malaysia untuk mengembangkan lagi rangkaian stesen pengecas yang dikuasakan oleh ChargEV.

    April lalu, ChargEV memasang sepasang pengecas DC CCS2 Kempower DC di Berjaya Times Square dengan kadar sehingga 225 kW dengan harga penggunaan yang sama RM1.20 per kWh, serta enam lagi pengecas AC dengan kadar pengecasan sehingga 22 kW yang terletak di Basement 1.

     
     
  • Honda CR-V 2023 raih lima-bintang ASEAN NCAP

    Honda CR-V 2023 raih lima-bintang ASEAN NCAP

    Honda CR-V generasi keenam telah menerima penarafan keselamatan lima-bintang bagi ujian New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP). Ini merupakan kali ketiga CR-V dinilai, dengan model terbaru ini dinilai di bawah protokol 2021-2025 yang lebih ketat.

    Menurut laporan rasmi, varian CR-V yang uji ialah EL 4WD dari pasaran Thailand, dan keputusannya sah untuk digunapakai ke atas semua varian lain yang dijual di Thailand dan Indonesia. Kita juga boleh menjangkajan tahap penarafan keselamatan yang sama bagi model untuk pasaran Malaysia ketika ia diperkenalkan kelak.

    Dalam kategori perlindungan penumpang dewasa, CR-V mencapai mata 31.45 daripada 32, sementara dalam kategori perlindungan penumpang kanak-kanak pula ia mengumpul 45.81 daripada of 51 mata. Dengan brek autonomous kecemasan, lampu tinggi automatik dan sistem bantuan pemanduan yang lain sebagai pilihan untuk semua varian, SUV ini turut mencapai 19.50 daripada 21 mata bagi kategori bantuan keselamatan. Bagi kategori penunggang motosikal, CR-V mencatatkan 9.05 daripada 16 mata.

    Mata akhir yang dicapai oleh SUV ini ialah 87.16 mata, mencukupi untuk diberikan penarafan lima-bintang. “ASEAN NCAP berbangga bahawa CR-V sangat konsisten memberikan aspek keselamatan tertinggi untuk pengguna. Ini dikukuhkan lagi dengan adanya ciri keselamatan yang ditawarkan untuk pasaran negara ASEAN sebagai ciri standard atau pilihan,” jelas laporan rasmi ASEAN NCAP.

     
     
  • Puspakom tawar perkhidmatan van bergerak di Kota Samarahan, Kuching, Kota Kinabalu mulai Sept ini

    Puspakom tawar perkhidmatan van bergerak di Kota Samarahan, Kuching, Kota Kinabalu mulai Sept ini

    Puspakom bakal memperluaskan perkhidmatan van bergerak bagi beberapa daerah di Sabah dan Sarawak untuk pelanggannya menikmati perkhidmatan pemeriksaan kenderaan dari pintu ke pintu tanpa perlu pergi ke pusat pemeriksaan. Bermula 4 September 2023, perkhidmatan van bergerak ini ditawarkan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Manakala untuk Kota Samarahan dan Kuching, Sarawak mula bermula 11 September.

    Menurut Puspakom, pekhidmatan dari pintu ke pintu ini lebih menyenangkan dan menjimatkan masa pelanggan untuk urusan pemeriksaan kenderaan kerana ia boleh dilakukan di rumah, pejabat dan mana-mana lokasi pilihan pelanggan.

    Sebagai permulaan, perkhidmatan van bergerak akan menawarkan perkhidmatanya sekitar 50 kilometer radius dari Puspakom Kota Samarahan dan Kota Kinabalu dan akan meluaskan liputan perkhidmatan secara berperingkat.

    “Puspakom komited memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik dari segi kualiti, kepakaran dan kelengkapan peralatan. Kami ingin memastikan perkhidmatan Puspakom yang ditawarkan di kawasan-kawasan tersebut serupa dengan yang terdapat di Semenanjung Malaysia, termasuklah pemeriksaan bergerak.

    Puspakom tawar perkhidmatan van bergerak di Kota Samarahan, Kuching, Kota Kinabalu mulai Sept ini

    “Komitmen kami terhadap pelanggan di Sabah dan Sarawak dapat dilihat dengan wujudnya cawangan baharu Puspakom di Kota Samarahan yang telah mula beroperasi pada 1 Ogos lalu. Cawangan ini mampu menjalankan pemeriksaan berskala besar iaitu sehingga 500 kenderaan sehari berbanding dengan cawangan lama kami di Kuching yang hanya menjalankan 400 kenderaan sahaja sehari,” kata CEO Puspakom Mohammed Shukor Ismail.

    Jelasnya, jenis pemeriksaan yang ditawarkan oleh unit van bergerak Puspakom termasuklah pemeriksaan tukar milik dan pemeriksaan khas untuk pemindahan nombor pendaftaran kenderaan, cukai jalan tamat tempoh, kenderaan import baru atau terpakai untuk pendaftaran kenderaan dan lain-lain lagi.

    Caj perkhidmatan van bergerak ditetapkan sebanyak RM100 untuk jarak sekitar 50 kilometer pertama dan kadar fi pemeriksaan adalah berdasarkan jenis pemeriksaan yang akan dijalankan. Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan van bergerak boleh membuat temu janji di laman web www.mypuspakom.com.my bermula 21 Ogos 2023.

     
     
  • JPJ eBid: SK-E dan MDU bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SK-E, bakal dibuka bidaan mulai 20 Ogos dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 24 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 25 Ogos 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka pula, MDU, bidaannya akan dibuka pada 24 Ogos. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 28 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 Ogos 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025