Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Royal Enfield Interceptor, Continental GT 650 pasaran Malaysia dapat penampilan baru, harga dari RM34k

    Royal Enfield Interceptor, Continental GT 650 pasaran Malaysia dapat penampilan baru, harga dari RM34k

    Dua model 650 Royal Enfield, iaitu Interceptor 650 dan Continental GT 650 menerima pilihan warna baru di Malaysia, dan ia dijual masing-masing bermula dari harga RM33,700 dan RM35,600 tidak termasuk insurans.

    Warna baru yang diperkenalkan untuk Interceptor 650 ada empat, dan ia dibahagikan kepada dua kategori. Bagi kategori solid yang pertama, warna barunya adalah Black Pearl dan Cali Green, sementara kategori blacked out warnanya adalah Black Ray dan Barcelona Blue. Warna baru ini disediakan sebagai pilihan tambahan kepada warna Mark 2, Sunset Strip dan Canyon Red sedia ada.

    Untuk Continental GT 650 pula dua warna blacked out baru diperkenalkan, iaitu Slipstream Blue dan Apex Grey. Ia akan ditawarkan sebagai pilihan bersama warna sedia ada iaitu Mr Clean, Dux Deluxe, British Racing Green dan Rocker Red.

    Royal Enfield Interceptor, Continental GT 650 pasaran Malaysia dapat penampilan baru, harga dari RM34k

    Seperti yang boleh dilihat pada gambar, versi blacked out pada kedua-dua model ini mempunyai penampilan serba gelap, dengan hampir semua bahagian enjin dan ekzos yang sebelum ini berwarna krom telah dihitamkan termasuk penutup tepi. Selain daripada itu, ia juga diberikan dengan rim aluminium tanpa tiub.

    Dua model 650 keluaran Royal Enfield ini digerakkan oleh enjin dua silinder selari SOHC 648 cc suntikan bahan api yang digabungkan dengan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 47 hp pada 7,250 rpm dan 52 Nm tork pada 5,250 rpm.

     
     
  • Honda WR-V 2023 dilancarkan di Malaysia – 1.5L NA, empat varian ditawarkan; harga dari RM89,900

    Honda WR-V 2023 dilancarkan di Malaysia – 1.5L NA, empat varian ditawarkan; harga dari RM89,900

    Hari ini, Honda Malaysia secara rasminya telah melancarkan SUV ‘comel’ dari segmen-B WR-V 2023 untuk pasaran tempatan. Barisan WR-V 2023 (akronim yang diambil dari Winsome Runabout Vehicle) ini menawarkan empat varian iaitu S yang merupakan model paling asas, diikuti dengan E, V dan spesifikasi tertinggi RS. Ia merupakan jumlah varian yang paling banyak dalam pasaran bagi model ini bagi rantau ASEAN, selain Indonesia dan Thailand.

    Bagi model asas 1.5 S, ia dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, manakala 1.5 V pula berharga RM99,900. Model spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula ditawarkan pada harga RM107,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan WR-V 2023 diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan lima kali penyelenggaran dengan kos buruh percuma.

    WR-V 2023 ini memiliki dimensi 4,060 mm panjang, selebar 1,780 mm, berketinggian 1,608 mm (varian S hanya 1,576 mm) dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Berbanding dengan pesaing terdekatnya dalam pasaran tempatan, Perodua Ativa, WR-V adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah serta jarak roda 40 mm lebih dekat. Sebagai rujukan, Ativa berukuran 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tingga dan jarak rodanya pula mencecah 2,525 mm.

    Honda WR-V 2023 dilancarkan di Malaysia – 1.5L NA, empat varian ditawarkan; harga dari RM89,900

    Manakala jarak kelegaan tanah WR-V 2023 ini adalah lebih tinggi dari Ativa iaitu 220 mm berbanding 200 mm sekaligus memberikannya rupa yang lebih lasak. Ruang but SUV kompak Honda ini juga lebih besar dengan kapasiti 380 liter (1,470 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan) berbanding 369 liter bagi Ativa.

    WR-V 2023 ini menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V Grade S iaitu unit L15ZF 1.5 liter naturally-aspirated (NA) DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp dan tork 140 Nm.

    Dengan padanan mekanikal tersebut, kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh WR-V 2023 mencecah 160 km/j. Untuk varian S dan E, pecutan dari 0-100 km.j boleh dicapai dalam 11 saat, manakala 11.1 saat untuk varian V dan RS pula 11.3 saat.

    Kesemua varian dilengkapi dengan suspensi topang MacPherson untuk hadapan dan torsion beam di belakang. Manakala untuk sistem brek pula, ia dilengkapi dengan cakera ventilated di hadapan dan dram di belakang.

    Wajah hadapan WR-V 2023 juga kelihatan sporty walau pun tidak mampu menandingi imej garang abangnya, HR-V. Ia ditampilkan dengan lampu utama yang agak tirus dengan varian S dan E menerima lampu utama halogen bersama lampu isyarat membelok hadapan jenis mentol. Manakala varian V dan RS diberikan lampu utama, lampu nyalaan siang dan lampu kabus dengan unit LED. Tiga varian paling bawah diberikan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 215/60 R16 dan rim aloi dua-tona 17-inci dengan tayar 215/55 R17 untuk RS. Manakala perincian bahagian belakang sekadar ringkas dan menampilkan lampu belakang jenis LED untuk kesemua varian.

    Menjengah bahagian kabinnya, penampilan gayanya juga kelihatan ringkas termasuk bahagian papan pemuka yang tidak sarat dengan kelengkapan. Antara ciri kelengkapan yang diberikan secara standard untuk semua varian termasuklah kemasukan pintar bersama butang push start, paparan tujuh-inci untuk sistem audio yang turut ditampilkan dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dua unit port USB dan sokongan Bluetooth. Tiada brek parkir elektronik diberikan untuk WR-V 2023, ia hanya menerima brek tangan konvensional.

    Untuk kelengkapan keselamatan pula, kesemua varian diberikan ciri standard termasuk cagak Isofix, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan, dua penderia undur, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar dan juga Honda LaneWatch. Model spesifikasi penuh 1.5 RS menerima enam beg udara, manakala empat unit bagi tiga varian di bawahnya.

    Honda WR-V 2023 dilancarkan di Malaysia – 1.5L NA, empat varian ditawarkan; harga dari RM89,900

    Tiga varian tertinggi juga menerima ciri Honda Sensing yang merangkumi sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), kawalan kelajuan adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB)

    WR-V 2023 ini turut menerima penarafan lima-bintang daripada ujian penilaian ASEAN NCAP. Terdapat lima warna luaran ditawarkan iaitu Stellar Diamond Pearl yang merupakan warna terbaharu bagi model Honda di Malaysia, selain Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Meteroid Gray Metallic dan Crystal Black Pearl.

    Setakat semalam, Honda Malaysia telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan untuk WR-V sejak ia dibuka mulai 12 Jun lalu. Dari segi peratusan, RS mendominasi dengan 45% tempahan, diikuti oleh V dengan 38%. Varian E pula menyumbang sekitar 12% dan bakinya adalah untuk varian paling asas S.

    Klik untuk besarkan

    Perincian spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Honda WR-V 1.5 S (RM89,900)
    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter empat-silinder DOHC i-VTEC
    • 121 PS pada 6,600 rpm, tork 145 Nm pada 4,300 rpm
    • Kotak gear automatik CVT
    • Kelajuan maksimum 160 km/j
    • Suspensi topang MacPherson (hadapan)/torsion beam (belakang)
    • Sistem brek cakera ventilated (hadapan)/dram (belakang)

    Luaran

    • Roda aloi 16-inci dengan tayar profil 215/60 R16
    • Lampu utama halogen
    • Lampu isyarat membelok hadapan jenis mentol
    • Lampu belakang LED
    • Antena Micro Pole

    Dalaman

    • Kemasukan pintar dan butang push start
    • Kluster meter analog
    • Panel perak sebagai dekorasi dalaman
    • Pendingin hawa kawalan manual
    • Roda stereng urethane dengan suis kawalan audio
    • Tempat duduk upholstery balutan fabrik
    • Konsol tengah dengan perehat tangan balutan fabrik
    • Unit utama skrin sesentuh tujuh-inci
    • Ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto
    • 2 unit port USB
    • 2 unit pembesar suara
    • Bluetooth

    Keselamatan

    • 4 beg udara
    • Cagak ISOFIX
    • Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
    • ABS dengan EBD
    • Bantuan Mula Mendaki (HSA)
    • Isyarat Berhenti Kecemasan
    • 2 unit penderia undur
    • Honda LaneWatch

    Honda WR-V 1.5 E (RM95,900)
    Ciri tambahan:

    Luaran

    • Lampu utama automatik
    • Antena sirip jerung

    Dalaman

    • Remote Engine Start
    • Walk Away Auto Lock
    • Cruise Control
    • Skrin paparan pelbagai-info TFT 4.2-inci
    • 4 unit pembesar suara

    Keselamatan

    • Kamera undur pelbagai-sudut
    • Honda Sensing
    • Lampu tinggi automatik

    Honda WR-V 1.5 V (RM99,900)
    Ciri tambahan:

    Mekanikal

    • Pecutan 0-100 km/j dalam 11.1 saat

    Luaran

    • Lampu utama LED
    • Lampu nyalaan siang (DRL) LED
    • Lampu kabus hadapan LED
    • Lampu isyarat hadapan LED

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit
    • Tempat duduk upholstery kombinasi balutan kulit dan fabrik dengan jahitan kontras biru
    • Konsol tengah dengan perehat tangan balutan kulit
    • Pendingin hawa kawalan automatik

    Honda WR-V 1.5 RS (RM107,900)
    Ciri tambahan:

    Mekanikal

    • Pecutan 0-100 km/j dalam 11.1 saat

    Luaran

    • Gril hadapan unik bersama emblem RS
    • Kepingan silver pada bahagian bawah bampar
    • Roda aloi dua-tona 17-inci dibaluti tayar profil 215/55 R17
    • Lampu isyarat membelok hadapan LED dengan sequential

    Dalaman

    • Tempat duduk upholstery kombinasi balutan kulit dan fabrik dengan jahitan kontras merah
    • 6 unit pembesar suara
    • Pedal penukar gear
    • Scuff plate keluli tahan karat

    Keselamatan

    • 6 unit beg udara
    • Sistem telematik Honda Connect

    GALERI: Honda WR-V 1.5 RS

    GALERI: Honda WR-V 1.5 V

     
     
  • Audi sedang bincang beli platform EV SAIC Motor untuk bersaing dengan Tesla & jenama EV China

    Audi sedang bincang beli platform EV SAIC Motor untuk bersaing dengan Tesla & jenama EV China

    Audi dilaporkan sedang berbincang dengan SAIC Motor untuk membeli platform kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dari pengeluar automotif dari China berkenaan.

    Menurut laporan Reuters yang memetik sumber rapat berkenaan perkara ini, jenama automotif premium dari Jerman yang bernaung di bawah Volkswagen Group tersebut berminat untuk membeli platform EV dari IM Motors, iaitu syarikat kerjasama antara SAIC Motor dan dua syarikat teknologi China, Zhangjiang Hi-Tech dan Alibaba Group.

    Buat masa sekarang IM Motors mempunyai beberapa model EV yang sedang dijual termasuk SUV LS7 dan juga saingan terus kepada Tesla Model S iaitu sedan L7. Jenama itu turut akan melancarkan beberapa model baharu selepas ini antaranya sedan yang lebih kecil dari L7 diberi nama L5 yang bakal berhadapan dengan Tesla Model 3.

    Namun Audi dan SAIC Motor enggan memberikan sebarang komen berkenaan perkara ini buat waktu ini. Tetapi langkah ini jelas diambil bagi membolehkan Audi lebih berdaya saing dalam segmen EV yang sedang berkembang pesat di pasaran automotif terbesar dunia itu.

    Audi sedang bincang beli platform EV SAIC Motor untuk bersaing dengan Tesla & jenama EV China

    Jualan EV Audi di China sekarang sememangnya ketinggalan berbanding pesaing-pesaingnya. Bekas CEO Audi yang baru melepaskan jawatan itu bulan lalu, Markus Duesmann berkata perkara ini terjadi kerana Audi tidak mempunyai model EV yang memenuhi permintaan pelanggan di China.

    Data dari Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM) menunjukkan Audi hanya menjual sekitar 3,000 unit EV pada suku pertama tahun ini di China, berbanding 21,646 unit yang dijual oleh BMW dan 137,429 unit yang dijual oleh Tesla.

    Model-model EV Audi buat masa sekarang seperti Q4 e-tron dan Q5 e-tron menggunakan platform MEB yang dibangunkan oleh Volkswagen Group. Ia juga kini sedang membangunkan satu lagi platform yang lebih premium digelar Premium Platform Electric (PPE) bersama jenama kereta sport yang juga di bawah payung VW iaitu Porsche.

    Model-model yang dihasilkan dengan platform PPE pula hanya akan diproduksi di China tahun hadapan dengan kerjasama satu lagi syarikat China iaitu First Automobile Works (FAW).

     
     
  • Polis KL keluarkan 26,000 saman dalam 9 hari sepanjang Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya

    Polis KL keluarkan 26,000 saman dalam 9 hari sepanjang Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya

    Polis Kuala Lumpur telah mengeluarkan sejumlah 26,000 saman dalam sembilan hari pertama pelaksanaan Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya, yang bermula 1 Julai lalu.

    Menurut Ketua Polis KL, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, daripada 26,000 saman yang dikeluarkan setakat 9 Julai, sebanyak 18,931 daripadanya kesalahan halangan lalu lintas. Ia termasuklah tempat letak kenderaan haram yang berleluasa di Lembah Klang.

    Shuhaily menambah, selain saman tersebut, seramai 86 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan lalu lintas, serta sebanyak 99 buah kenderaan telah dirampas sepanjang tempoh itu. Malahan warga asing yang memandu tanpa lesen juga antara kebimbangan utama pihak berkuasa, laporan Bernama.

    “Kebimbangan saya ialah mengenai warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen. Walaupun mereka memiliki dokumen yang berkaitan, mereka tidak mempunyai lesen (memandu),” kata beliau sambil menambah bahawa kebanyakan mereka menyewa kenderaan daripada warga tempatan atau menerimanya daripada majikan mereka.

    Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya dikendalikan oleh polis KL dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain seperti JPJ, DBKL dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM KL juga terlibat untuk bertindak terhadap kes berkaitan dadah sepanjang operasi mega itu yang melibatkan kira-kira 1,000 pegawai.

     
     
  • Trak pikap EV Maxus T90 akan dilancar di Singapura suku ke-4 2023; pelancaran di Malaysia juga tahun ini

    Trak pikap EV Maxus T90 akan dilancar di Singapura suku ke-4 2023; pelancaran di Malaysia juga tahun ini

    Trak pikap yang dijana oleh elektrik sepenuhnya, Maxus T90 bakal dilancarkan di Singapura pada suku-4 tahun ini, menurut laporan The Business Times. Walau bagaimanapun model berkenaan sebenarnya sudah pun dijual di negara tersebut menerusi pengimport persendirian.

    Apabila ia dilancarkan oleh pengedar rasminya iaitu Cycle & Carriage kelak, Maxus T90 ini akan menjadi trak pikap EV pertama yang ditawarkan di negara berkenaan menerusi saluran rasmi. Pengumuman ini dibuat ketika syarikat tersebut melancarkan MPV EV Maxus MIFA 9 tempoh hari.

    Untuk pasaran Singapura, Maxus T90 ini akan ditawarkan dalam konfigurasi Double-Cab dengan lima-tempat duduk, serta mampu menanggung beban maksima 1 tan.

    Trak pikap ini sudahpun ditawarkan di Eropah; menerusi laman web rasmi Maxus UK, T90 ini menampilkan dimensi panjang 5,365 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,809 mm dan jarak roda sejauh 3,155 mm. Bed kargo belakang pula direka dengan lebar 1,485 mm, panjang 1,510 mm serta tinggi 530 mm. Walaupun ia dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya, Maxus T90 ini boleh meredah air dengan kedalaman 550 mm.

    Hanya sebuah motor elektrik dibekalkan pada trak pikap ini dan ia diletakkan di belakang untuk model pasaran UK berkenaan. Jadi motor yang berkuasa 204 PS tersebut hanya memacu roda belakang dengan bekalan kuasa diterima dari pek bateri 88.5 kWj.

    Dengan satu cas penuh, Maxus T90 boleh bergerak sejauh 330 km. Ia boleh dicas semula dengan menggunakan pengecas DC 80 kW yang membolehkan cas 20-80% dipenuhkan dalam masa 45 minit.

    Maxus turut telah melancarkan trak pikap EV di Australia iaitu model eT60. Model berkenaan diberikan pek bateri yang sama dan juga menawarkan jarak gerak sejauh 330 km, namun motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 177 PS/310 Nm.

    Maxus T90 juga bakal hadir ke pasaran Malaysia, dikhabarkan turut akan dilancarkan tahun ini. Namun terikh sebenar atau anggaran masa bila ia akan dirasmikan di sini masih belum dimuktamadkan.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Julai – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 13-19 Julai – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 13 hingga 19 Julai 2023, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Ini merupakan minggu ke-enam kesemua harga berkenaan dikekalkan selepas RON 97 mengalami kenaikan harga untuk tempoh minggu pertama Julai 2023.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Sime Darby Motors lantik 14 pengedar baru BYD di Malaysia — 21 cawangan menjelang hujung 2024

    Sime Darby Motors lantik 14 pengedar baru BYD di Malaysia — 21 cawangan menjelang hujung 2024

    Sime Darby Motors telah melantik 14 pengedar baru BYD untuk memperluas rangkaian edaran jenama EV China itu di Malaysia. Bersama cawangan yang diuruskan oleh Sime Darby Beyond Auto, jumlah pengedar BYD di Malaysia kini akan melibatkan 21 cawangan di seluruh Malaysia.

    Pengarah Urusan, Runcit dan Pengedaran Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau Sime Darby Motors, Jeffrey Gan telah menandatangani perjanjian dengan setiap rakan pengedar tersebut dalam satu majlis yang dilakukan di ibupejabat BYD di Shenzen, China. Majlis itu turut disaksikan oleh Pengurus Besar BYD Asia Pacific, Bahagian Jualan Auto, Liu Xueliang, dan juga Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao.

    “Pengumumkan ini menandakan satu lagi pencapaian memandangkan baru enam bulan BYD dilancarkan di Malaysia. Hari ini, kami mempunyai 21 rangkaian pengedar untuk memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat. Ini juga menunjukkan keyakinan kami terhadap perkembangan EV dalam industri automotif Malaysia, dan memastikan kami cukup bersedia untuk melayani permintaan pasaran,” ujar Gan.

    Sime Darby Motors lantik 14 pengedar baru BYD di Malaysia — 21 cawangan menjelang hujung 2024

    “Perjanjian antara Sime Darby Motors dan BYD ini menjadi satu lagi langkah ke depan yang menandakan perubahan dinamik dalam industri. Dengan berkembangnya kerjasama ini, kami jangkakan untuk menyediakan kemajuan teknologi dan pengalaman pelanggan, memacu industri ke arah yang lebih hijau, cekap dan masa depan lebih mapan,” jelas Zhao.

    Ketika ini, terdapat sembilan pengedar BYD yang beroperasi di Kuala Lumpur, P. Pinang, Selangor, Johor dan Kedah, serta 12 lagi akan datang antara tahun 2023 dan 2024 nanti. Semua pengedar itu nanti akan ditempatkan di Melaka, Kedah, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

     
     
  • Honda WR-V 2023 — kutip 2,500 tempahan sebelum pelancaran, sah ada empat varian untuk Malaysia

    Honda WR-V 2023 — kutip 2,500 tempahan sebelum pelancaran, sah ada empat varian untuk Malaysia

    Pelancaran rasmi Honda WR-V 2023 sangat hampir, terutama ketika unit yang tanpa samaran dilihat hari ini ketika berada di atas treler pengangkut. Honda Malaysia juga telah mendedahkan jumlah tempahan yang telah diterima oleh SUV paling kecil jenama itu, sejak ia mula dibuka pada 12 Jun lalu.

    Setakat semalam, syarikat itu telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan untuk WR-V. Maklumat pecahan mengikut varian juga didedahkan, mengesahkan jangkaan awal bahawa WR-V akan mengikut penawaran varian model City hatchback dan sedan.

    Honda WR-V di Malaysia akan ditawarkan dalam empat varian — S yang paling asas, E di pertengahan, diikuti V dan yang paling tinggi, RS. Ini jumlah varian yang paling banyak dalam pasaran bagi model terbabit untuk rantau ASEAN, selain Indonesia dan Thailand.

    Honda WR-V 2023 — kutip 2,500 tempahan sebelum pelancaran, sah ada empat varian untuk Malaysia

    Dari segi peratusan, RS mendominasi dengan 45% tempahan, diikuti oleh V dengan 38%. Varian E pula menyumbang sekitar 12% dan bakinya adalah untuk varian paling asas S.

    Semua varian WR-V akan menampilkan sistem janaan yang sama yang dilihat untuk pasaran Indonesia dan Thailand, iaitu unit L15ZF 1.5 liter NA DOHC i-VTEC yang menjana sebanyak 121 PS dan 145 Nm. Ini digandingkan pula dengan CVT. Ini tetapan yang sama digunakan untuk City dan juga HR-V peringkat paling asas.

    Perincian lanjut tentang Honda WR-V akan muncul dalam masa terdekat, termasuk spesifikasi penuh bagi semua variannya. Ikuti perkembangan ini bersama kami, di sini.

     
     
  • Lebuhraya Kesas aktifkan laluan kontra antara Bandar Puteri dan Jalan Kebun – 13,16 hingga 17 Julai

    Untuk pengguna Lebuhraya Shah Alam atau Kesas, ini ada makluman buat anda. Terdapat pengaktifan lorong kontra antara Bandar Puteri dan persimpangan Jalan Kebun pada 13,16 dan 17 Julai ini. Ia melibatkan laluan dari KM23.0 hingga KM23.5.

    Menerusi gambarajah yang dikongsikan, ia melibatkan penutupan tiga lorong, sebab itulah laluan kontra diaktifkan. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dari jam 10 malam hingga 5 pagi keesokan harinya. Walau pun gambarajah berkenaan menunjukkan lorong yang ditutup di sebelah timur ke Subang/KL, namun menerusi teks yang dipaparkan, ia menyatakan arah barat ke Shah Alam/Klang, apa pun diharap semua pengguna lebuhraya berkenaan lebih berhati-hati sewaktu melalui lokasi terbabit.

    Pengaktifan laluan kontra berkenaan adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Taiping ke Banting, yang akan merentasi Kesas.

    Sekali lagi, sila lebih berhati-hati ketika melalui lokasi berkenaan dan ikuti papan tanda dan arahan petugas yang berada di aliran kontra.

     
     
  • MV Agusta Dragster RR SCS America dilancar – khas untuk pasaran Amerika Syarikat, terhad 300 unit

    MV Agusta Dragster RR SCS America dilancar – khas untuk pasaran Amerika Syarikat, terhad 300 unit

    MV Agusta meneruskan lagi pengeluaran model siri “Amerika” yang dimulakan dengan model 750S pada tahun 1973 dahulu dengan memperkenalkan yang terbaru, MV Agusta Dragster RR SCS America 2023. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 300 unit, dan dijual di Amerika Syarikat sahaja.

    Perbezaan utama model istimewa ini dengan Dragster RR biasa adalah tema warnanya, yang membawa warna putih, biru dan merah seperti bendera AS. Ia kemudiannya diserlahkan lagi dengan tempat duduk khas yang menggunakan balutan warna merah dan hitam, bersama tulisan “America Special Edition” yang dijahit dengan tangan.

    Di bahagian atas triple clamp terdapat ukiran laser nombor keluaran motosikal (001-300) istimewa ini, dan kelengkapan lain yang diberikan bersama adalah termasuk penutup klac lutsinar, kain penutup motosikal dengan grafik khas serta sijil pengesahan daripada MV Agusta.

    Dragster RR SCS dipacu oleh enjin tiga silinder 798 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 140 hp pada 12,300 rpm (boleh dinaikkan sehingga 148 hp apabila dipasang dengan ekzos Akrapovic dan talaan ECU) dan tork 87 Nm pada 10,250 rpm.

    Ia juga dilengkapi dengan fork boleh laras Marzocchi di hadapan, monoshock boleh laras Sachs di belakang, brek Brembo berkembar dengan cakera 320 mm di hadapan dan tunggal dengan cakera 220 mm di belakang, steering damper, Launch Control, Front Lift Control dan pengesan GPS.

     
     
  • Kawasaki Eliminator diperkenal dalam versi 450 di AS

    Kawasaki Eliminator diperkenal dalam versi 450 di AS

    Mac lalu kita sudah menyaksikan Kawasaki Eliminator 400 diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia bermula dengan pasaran Jepun dan kemudiannya tidak lama selepas itu muncul di Bangkok International Motor Show 2023, dengan harga jualan 224,900 baht (RM29,175).

    Sekarang, model cruiser itu sudah mula memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS), tetapi dipanggil sebagai ELiminator 450. Ini kerana enjin dua silinder sama yang diambil daripada model Ninja itu telah dinaikkan kapasitinya menjadi 451 cc melalui stroke yang dipanjangkan, sementara bore masih sama.

    Kuasa maksimum Eliminator 450 tidak didedah, tetapi ia dijangka boleh mencecah 52 hp, manakala tork maksimum yang tertulis adalah 43 Nm. Bagi versi 400, cruiser ini menghasilkan 47 hp pada 10,000 rpm dan tork 37 Nm pada 8,000 rpm.

    Kelengkapan lain pula adalah sama sahaja, termasuk fork 41 mm, dua penyerap hentak di belakang, padanan rim 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, brek cakera hadapan 310 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 13 liter serta panel intrumen digital LCD yang boleh disambung kepada telefon pintar. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 176 kg dan tinggi tempat duduk adalah 735 mm.

    Model pasaran AS ini dijual dalam beberapa versi, bermula dari yang tidak mempunyai sistem ABS, berharga USD6,649 (RM30,934), hinggalah versi ABS SE yang berharga USD7,249 (RM33,725). Selain warna yang lebih menyerlah, versi SE juga didatangkan dengan perumah lampu hadapan, balutan tempat duduk khas, pelindung getah pada fork dan soket pengecas USB.

    GALERI: Kawasaki Eliminator 450

    GALERI: Kawasaki Eliminator SE 450

     
     
  • Volvo Trucks Malaysia lancarkan prime mover tugas berat EV — FH, FM, FMX; 300 km, anggaran RM2 juta

    Volvo Trucks Malaysia lancarkan prime mover tugas berat EV — FH, FM, FMX; 300 km, anggaran RM2 juta

    Volvo Trucks Malaysia telah melancarkan barisan prime mover elektriknya untuk pasaran Malaysia. Ini terdiri daripada model FH, FM dan FMX.

    Pelancaran ini turut menandakan penampilan pertama barisan prime mover EV itu di Asia Tenggara, dan Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang menerima model FH Electric, FM Electric dan FMX Electric. Syarikat penyedia perkhidmatan logistik bersepadu tempatan, Swift Haulage Berhad menjadi yang pertama pelanggan model prime mover elektrik ini.

    Barisan trak ini dikuasakan oleh penjana elektrik yang terdiri daripada dua atau tiga motor, menghasilkan sehingga 490 kW (666 PS) dan 2,400 Nm tork bergantung kepada penggunaannya, dengan kapasiti bateri adalah dari 180 kWh hingga 540 kWh dengan antara dua hingga enam pek bateri.

    Transmisi pula menggunakan kotak gear I-Shift 12-kelajuan — sama seperti trak enjin biasa Volvo yang lain — untuk semua model yang dinyatakan. Aplikasi power take-off (PTO) bagi ketiga-tiga model berkenaan boleh melalui cara mekanikal, elektromekanikal atau elektrik.

    Volvo Truck menyatakan ujian berasingan mendapati FH Electric mampu menggunakan kurang separuh tenaga berbanding model setara FH dengan enjin diesel, dalam keadaan pemanduan yang sama.

    Konfigurasi gandar yang ditawarkan termasuk 4×2, 6×2 dan 6×4. Semua model ini menampilkan tetapan gandar gantungan udara. Model FH Electric, FM Electric dan FMX Electric juga menggunakan rekaan kabin aerodinamik untuk mengurangkan rintangan angin dan sekaligus mengoptimumkan jarak baterinya. Model elektrik ini boleh dibezakan dari model biasa melalui lampu LED bentuk V yang digunakannya.

    Di dalam, prime mover Volvo elektrik ini dilengkapi ciri Dynamic Steering untuk bantuan tambahan aspek kendaliannya, dengan tersedia paparan 12-inci digital dengan bingkai krom dan lampu halo untuk memudahkan lagi penglihatan dan mempertingkat keselamatan.

    Ini disertai juga oleh paparan sisi sembilan-inci yang bertindak sebagai hub maklumat sistem kenderaan, yang boleh dikawal oleh pemandu melalui gabungan butang dan kawalan sentuhan di stereng, membolehkan pemandu tetap menumpukan perhatian terhadap pemanduan dengan selamat dan tetap berinteraksi dengan sistem kenderaan dengan mudah.

    Antara ciri keselamatan yang ada termasuk sokongan penghindaran perlanggaran sisi, seperti juga peninjau titik buta; ini menggunakan radar untuk meninjau kawasan dan persekitaran yang dimaksudkan.

    Untuk harga, tiada harga permulaan yang dinyatakan, memandangkan untuk trak seperti ini, semuanya bergantung kepada ubah suai yang dingin dilakukan oleh pelanggan, menjadikan harganya sukar untuk ditentukan begitu sahaja. Namun, anggaran umum bagi Volvo FM Electric dengan enam pek bateri akan berada di sekitar RM2 juta.

     
     
  • Perkhidmatan tambahan waktu puncak laluan KTM Komuter Jalan Kastam–Subang Jaya, mulai hari ini

    KTM Berhad telah menambah perkhidmatan tambahan bagi KTM Komuter laluan Jalan Kastam-Subang Jaya-Jalan Kasta untuk waktu puncak hari biasa, pagi dan petang. Perkhidmatan tambahan tersebut telah pun bermula hari ini, 12 Julai 2023.

    Sebanyak 12 perkhidmatan tambahan, dengam empat daripadanya dari stesen Jalan Kastam di Perlabuhan Klang ke Subang Jaya untuk waktu puncak pagi, dan empat lagi untuk kembali ke Jalan Kastam. Bagi waktu puncak petang, dua perkhidmatan tambahan diberikan untuk setiap laluan.

    Untuk waktu perjalanan bagi perkhidmatan tambahan ini boleh dilihat menerusi paparan grafik di bawah. Di stesen Subang Jaya, tren akan tiba dan berlepas di Platform 1. Manakala di Jalan Kastam pula, tren akan menggunakan Platform 3. Untuk pengetahuan, sebanyak 10 stesen sambungan di antara laluan berkenaan.

     
     
  • Honda WR-V 2023 kelihatan menuju ke bilik pameran di Malaysia – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Honda WR-V 2023 kelihatan menuju ke bilik pameran di Malaysia – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Honda WR-V 2023 dikesan sedang diangkut menggunakan treler menuju ke bilik pameran, menandakan pesaing bagi Perodua Ativa ini bakal dilancarkan dalam masa terdekat ini. SUV paling kecil keluaran Honda ini telah pun dibuka tempahan sejak 12 Jun lalu dan telah pun dipertontonkan pada umum menerusi siri jelajah seluruh negara.

    Ia memiliki dimensi panjang 4,060 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,608 mm dan jarak roda sejauh 2,485 mm. Jadi berbanding Ativa, WR-V adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 27 mm lebih rendah serta jarak roda 40 mm lebih dekat.

    Jarak kelegaan tanah WR-V ini adalah lebih tinggi dari Ativa iaitu 220 mm berbanding 200 mm sekaligus memberikan ia rupa lebih lasak. Ruang but SUV kompak Honda ini juga lebih besar dengan kapasiti 380 liter berbanding 369 liter pada saingannya dari Perodua.

    WR-V menerima enjin yang sama seperti Honda City dan varian asas HR-V iaitu unit 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan. Jadi dari segi kuasa juga WR-V adalah lebih besar dari Ativa yang digerakkan oleh enjin 1.0L turbo tiga-silinder berkuasa 97 hp/140 Nm.

    Selain itu, Honda Malaysia juga telah megesahkan bahawa WR-V turut akan ditawarkan dalam versi paling sporty iaitu WR-V RS. Varian berkenaan menerima perincian yang disahkan seperti gril hadapan unik bersama emblem RS, rim aloi dua tona 17-inci dan lain-lain.

    Honda WR-V 2023 kelihatan menuju ke bilik pameran di Malaysia – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    WR-V pasaran Malaysia ini juga akan ditawarkan dengan perincian seperti cermin sisi auto-lipat, lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan juga lampu isyarat membelok LED jenis sequential.

    Di dalam kabinnya, ia diberikan upholstery gabungan kulit sintetik dan fabrik hitam dengan kemasan serlahan merah serta jahitan kontras merah pada tempat duduk dan roda stereng. Ada ciri lain yang turut diberikan termasuklah unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dua port USB, kamera pendangan-belakang pelbagai-sudut, paparan pelbagai-info 4.2-inci, telematik Honda Connect, pedal penukar gear dan enam pembesar suara.

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing juga turut ditawarkan yang memberikan fungsi termasuk sistem pemberitahu kereta hadapan bergerak (LCDN), kawalan kelajuan adaptif (ACC), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS) bersama Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Ia turut diberikan sistem Honda LaneWatch tetapi tanpa brek parkir elektronik.

    Untuk info penuh termasuk harga dan penawaran variannya akan kita ketahui sewaktu ia dilancarkan tidak lama lagi. Sama-samalah kita nantikan.

    GALERI: Honda WR-V RS pasaran Thailand

     
     
  • Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Kerjasama antara Renault dan Geely nampaknya maju setapak lagi apabila kedua-dua jenama dari Perancis dan China berkenaan mewujudkan satu syarikat baharu bagi bersama-sama membangunkan unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan sistem hibrid elektrik.

    Dalam perjanjian yang telah ditandatangani semalam, syarikat baharu tersebut dimiliki bersama dengan Renault memegang 50% saham dan 50% adalah milik Geely. Syarikat tersebut mensasarkan untuk menjadi peneraju teknologi hibrid generasi seterusnya dan solusi untuk unit rangkaian kuasa dengan kadar efisien tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran dunia akan datang.

    Seperti yang diumumkan pada 2 Mac 2023 susulan surat niat yang ditandatangani antara Aramco, Geely dan Renault Group, Aramco juga kini sedang menilai untuk membuat pelaburan strategik dalam syarikat teknologi rangkaian kuasa baharu ini. Pelaburan dari Aramco berkenaan akan menyokong pertumbuhan syarikat dan menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan utama merentas penyelesaian bagi bahan api sintetik dan teknologi hidrogen generasi seterusnya.

    Syarikat kerjasama baharu ini akan beroperasi dengan 17 kilang enjin bersama lima pusat R&D di tiga benua, melibatkan 19,000 pekerja dalam organisasi efektif penuh yang distrukturkan secara strategik. Ia akan menyediakan penyelesaian unit rangkaian kuasa untuk pelbagai OEM, bersama model perniagaan yang menarik bagi mengalu-alukan rakan kongsi baharu.

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Menurut Renault dan Geely, pemilikan modal syarikat usaha sama itu akan dikawal bersama oleh kedua-dua pihak. Ia mensasarkan untuk menghasilkan sejumlah 5 juta enjin pembakaran dalaman, enjin hibrid dan plug-in hybrid serta transmisi setahun.

    Unit-unit rangkaian kuasa tersebut akan dibekalkan kepada jenama-jenama di bawah kedua-dua kumpulan automotif berkenaan termasuk Renault Group, Geely Auto, Volvo Cars, Proton, Nissan, Mitsubishi Motors, dan Punch Torino.

    Malah syarikat kerjasama ini turut mensasarkan untuk membekalkan solusi teknologi unit rangkaian kuasa untuk pnegeluar-pengeluar kenderaan pihak ketiga pada masa hadapan, dan dalam masa yang sama turut mengalu-alukan rakan kerjasama lain bagi memperkuatkan jaringan nilainya.

    Renault Group dan Geely akan memindahkan Harta Intelek kepada pusat operasi yang membolehkan mereka membangunkan teknologi unit rangkaian kuasa masa hadapan secara autonomi sepenuhnya yang mampu memenuhi semua keperluan pasaran.

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    Kerjasama ini juga akan diterajui bersama oleh Renault dan Geely, dengan jumlah ahli lembaga pengarah yang sama antara kedua-dua pihak bagi menghasilkan formulasi, strategi serta menetapkan hala tuju syarikat. Ia akan bermula dengan dua pusat operasi utama iaitu Madrid untuk Renault dan Hangzhou untuk Geely.

    Pasukan eksekutif akan ditempatkan di Ibu Pejabat syarikat baharu ini, yang dirancang untuk dibangunkan di United Kingdom untuk menyatukan operasi, membina sinergi, dan menentukan rancangan masa depan. Tranksaksi untuk memuktamadkan kerjasama ini dijangka akan dibuat pada separa kedua 2023.

    Geely Auto dan Renault juga akan memeterai perjanjian perolehan jangka panjang (tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang terpakai) daripada usaha sama untuk enjin pembakaran dalaman, hibrid dan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (enjin dan transmisi) untuk kenderaan penumpang, usaha sama untuk kenderaan komersial ringan sebagai serta pembangunan bateri hibrid.

    “Menghadapi cabaran automotif hari ini, tiada siapa yang boleh mendakwa mempunyai semua penyelesaian secara bersendirian. Bagi menghasilkan inovasi yang berjaya memerlukan kepakaran dan aset untuk digabungkan. Apabila menyebut berkenaan persaingan global untuk penyahkarbonan pengangkutan jalan, masa kini semakin singkat dan ia bukan lagi perniagaan yang sama,” kata CEO Renault Group, Luca de Meo.

    Renault & Geely wujudkan syarikat baharu bangunkan enjin, sistem hibrid untuk Proton, Mitsubishi, Nissan

    “Hari ini, kami berbangga untuk bergabung tenaga dengan syarikat hebat seperti Geely untuk menubuhkan pemain baharu, menghadapi cabaran, dapat mengganggu permainan dan membuka jalan untuk teknologi enjin pembakaran dalaman emisi ultra-rendah. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Eric Li Shufu atas kepercayaannya: kami kini bersedia untuk bergerak ke hadapan!” tambahnya lagi.

    “Kami gembira untuk memulakan perjalanan ini bagi menjadi peneraju global dalam teknologi hibrid, menyediakan penyelesaian emisi rendah kepada pembuat kereta di seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Luca de Meo dan pasukan Renault.

    “Mengulangi komitmen kami untuk memanfaatkan kepakaran teknologi seluruh kumpulan dan portfolio jenama kami untuk merintis perjalanan ke arah kemampanan dan penciptaan nilai yang lebih besar yang akan membawa kepada pengalaman pengguna yang lebih baik,” kata pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025