Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-AMG SL43 dipertonton di M’sia — roadster 381 PS; 0-100 km/j dalam 4.9 saat; anggaran RM1 juta

    Mercedes-AMG SL43 dipertonton di M’sia — roadster 381 PS; 0-100 km/j dalam 4.9 saat; anggaran RM1 juta

    Ketika pengenalan model Mercedes-Benz A-Class Sedan facelift hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mempertontonkan model SL generasi ketujuh, yang pertama kali membuat penampilan globalnya pada November 2021. Kini diposisikan di bawah Mercedes-AMG, model R232 SL terkini telah menggantikan GT Roadster dan kembali dengan bumbung fabrik boleh lipat — SL terakhir dengan ciri ini adalah model R129 tahun 90an.

    SL yang dilihat ini merupakan varian SL43 yang diperkenalkan untuk pasaran global pada April lalu, untuk menyertai dua varian lain, SL55 4Matic+ dan SL63 4Matic+. Dua varian tersebut menggunakan enjin M177 4.0 liter biturbo V8 dan pacuan semua roda, manakala SL43 pula memanfaatkan enjin M139 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris dengan pacuan roda belakang.

    Mercedes-AMG SL43 dipertonton di M’sia — roadster 381 PS; 0-100 km/j dalam 4.9 saat; anggaran RM1 juta

    Unit M139 ini adalah enjin yang sama digunakan untuk versi prestasi tinggi 45 bagi model CLA, A-Class dan GLA, dengan kedudukan pacuan roda belakang tersebut. Yang membezakannya ialah, unit untuk SL menampilkan sistem turbo baru yang memanfaatkan pengecas turbo gas ekzos elektrik dari teknologi F1.

    Disepadukan secara langsung pada shaft pengecas turbo antara turbin di sisi ekzos dan kompresor di sisi intake, motor elektrik berkenaan mempunyai ketebalan sekitar 4 cm. Ini memutarkan shaft dalam rev rendah sehingga gas ekzos mengambil alih, membolehkan respon segera diperbaiki dari kedudukan kelajuan mendatar serta untuk seluruh julat kelajuan enjin.

    Mercedes-AMG SL43 dipertonton di M’sia — roadster 381 PS; 0-100 km/j dalam 4.9 saat; anggaran RM1 juta

    Pengecas turbo elektrik itu berfungsi antar kelajuan enjin sehingga 170,000 rpm dan memanfaatkan sistem 48-volt mild hybrid, yang disambung kepada belt-driven starter-generator (RSG). RSG ini mampu memberikan lonjakan sementara sebanyak 14 PS (13 hp atau 10 kW), dan dalam masa masa membolehkan mod melayar, pengumpulan tenaga serta peralihan lancar bagi fungsi Start/Stop enjin.

    Output keseluruhan sistem adalah 381 PS (375 hp atau 280 kW) pada 6,750 rpm dan 480 Nm tork dari 3,250 hingga 5,000 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9G yang menghantar kuasa ke roda belakang. Dari segi prestasi, ia mengambil masa 4.9 saat u ntuk pecutan 0-100 km/j, dengan laju maksimum 275 km/j. Bumbung SL ini juga boleh dilipat dalam masa 15 saat, dalam kelajuan di bawah 60 km/j.

    Mercedes-AMG SL43 dipertonton di M’sia — roadster 381 PS; 0-100 km/j dalam 4.9 saat; anggaran RM1 juta

    Mercedes-AMG SL43 2023 ini tidak disenaraikan secara rasmi dalam laman web MBM, tetapi mereka yang berminat boleh menghubungi MBM untuk membuat tempahan khas, dengan harga anggaran bagi model ini sekitar RM1 juta.

     
     
  • Ducati DRE Racetrack Academy beri peluang peserta tuntut ilmu tunggangan litar dengan professional

    Ducati DRE Racetrack Academy beri peluang peserta tuntut ilmu tunggangan litar dengan professional

    Ducati dalam usaha untuk memberikan lebih nilai dan peluang kepada pemilik motosikal jenamanya untuk menikmati gaya hidup bermotosikal menganjurkan pelbagai acara seperti perjalanan ke World Ducati Week, menonton MotoGP di litar, track day dan pelbagai lagi.

    Bagi yang ingin belajar atau meningkatkan kemampuan menunggang, DRE Racetrack Academy adalah salah satu yang perlu disertai. Baru-baru ini ia berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selama tiga hari dan melibatkan penyertaan pemilik dari pelbagai negara termasuk Indonesia, China, India, Filipina, Singapura, Malaysia.

    Meskipun nama “Racetrack” itu seakan menggambarkan acara ini serius tentang litar, peserta tidak sepatutnya rasa takut atau terancam untuk menyertainya kerana ia dibahagikan kepada beberapa kategori seperti Introduction, Warm-Up, Evo dan Master.

    Jadi, tidak kiralah sama ada sudah biasa menunggang dalam litar ataupun tidak pernah langsung, anda boleh memilih kategori yang sesuai mengikut kemampuan diri yang sudah diketahui. Jika memang itu kali pertama anda masuk ke litar, kategori Introduction adalah saranan pertama, sementara jika sudah biasa, bolehlah memilih sama ada EVO ataupun Master.

    Terima kasih kepada Pirelli dan Ducati Malaysia, kami juga berpeluang untuk menyertai DRE Racetrack Academy ini, dengan penganjur meletakkan wakil kami, Durrani Sharom ke dalam kategori Intro kerana masih tidak mengetahui tahap kemampuan beliau.

    Sesi untuk setiap kategori dimulakan dengan teori pengenalan kepada tunggangan di dalam litar yang termasuk laluan lumba (racing line), tempat membrek (braking point) serta pelbagai lagi asas yang diperlukan untuk tunggangan dalam litar.

    Ducati DRE Racetrack Academy beri peluang peserta tuntut ilmu tunggangan litar dengan professional

    Kemudiannya, peserta akan dibahagikan pula kepada kategori masing-masing, serta kumpulan yang lebih kecil sekitar empat hingga lima orang dengan satu pengajar. Menariknya tentang Ducati, mereka mempunyai barisan pengajar sendiri yang dipilih melalui proses mencabar dan terdiri daripada mereka yang bukan calang-calang, dengan kebanyakannya adalah pelumba atau bekas pelumba.

    Antara nama-nama terkenal yang terlibat untuk DRE Racetrack Academy kali ini di SIC adalah seperti Dario Marchetti (juga adalah pengarah teknikal DRE), Karel Abraham, Chaz Davies, Alex De Angelis, Ferruccio Lamborghini, Emilio Zamora serta Carlos Serrano.

    Apabila sudah dibahagikan dalam kumpulan masing-masing yang lebih kecil, pengajar dapat memberikan fokus yang lebih baik kepada setiap peserta, dengan setiap kali apabila masuk kembali ke pit selepas beberapa pusingan di dalam litar, pengajar akan memberitahu cara untuk memperbaiki tunggangan masing-masing.

    Apa yang kami gemar dalam acara DRE Racetrack Academy ini, boleh dikatakan semua tenaga pengajar DRE cukup mesra dengan peserta sekaligus menimbulkan rasa senang untuk bertanyakan sebarang soalan. Jika tidak cukup dengan jawapan lisan, mereka juga akan menunjukkan cara yang betul dengan menaiki simulator khas yang disediakan.

    Dalam lima sesi masuk ke dalam litar sepanjang satu hari acara ini, salah satunya akan melibatkan pengajar merekod tunggangan peserta dari belakang menggunakan video (melekat di bahagian hadapan motosikal). Selepas selesai, video itu dimainkan semula pada skrin dan pengajar akan menunjukkan di mana bahagian yang boleh diperbaiki.

    Ducati DRE Racetrack Academy beri peluang peserta tuntut ilmu tunggangan litar dengan professional

    Bagi kami, DRE Racetrack Academy adalah satu peluang yang tidak patut dilepaskan bagi seorang pemilik Ducati. Walaupun ia adalah acara berbayar (RM6,800 seorang untuk kategori EVO), ia dirasakan berbaloi kerana anda mendapat maklum balas berkenaan cara tunggangan dan langkah memperbaikinya daripada pengajar profesional.

    Bukan setakat itu, anda juga dapat membelasah Panigale V4S (berharga RM190k di Malaysia) dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa V3, di litar yang disenaraikan sebagai antara yang terbaik di dunia. Kemudian di penghujung hari, setiap peserta diberi sijil dan dapat menikmati beberapa aktiviti lain seperti pertunjukan lagak ngeri menggunakan motosikal.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class facelift 2023 kini di Malaysia – bermula RM234k, A200 dan A250 4matic, hanya sedan

    Mercedes-Benz A-Class facelift 2023 kini di Malaysia – bermula RM234k, A200 dan A250 4matic, hanya sedan

    Selepas didedahkan pada Oktober tahun lalu, model kemaskini untuk Mercedes-Benz A-Class generasi terkini sudah pun sampai ke pasaran Malaysia. Seperti versi sebelum ini, A-Class biasa untuk pasaran Malaysia dibuat secara pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang dan ia hanya ditawarkan dalam versi sedan V177 dalam varian A200 Progressive Line dan A250 4Matic AMG Line.

    Bagi model asas A200 Progressive Line, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM 238,888. Manakala untuk Mercedes-Benz A250 4Matic AMG Line pula, harga rasminya belum diumumkan, tetapi Mercedes-Benz Malaysia sudah mengeluarkan harga anggaran iaitu RM 264,000.

    Untuk model A200 Progressive Line, ia masih dibekalkan oleh penjana yang sama iaitu enjin petrol turbo 1.33L empat-silinder sebaris yang dibekalkan oleh Renault menghasilkan 163 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Mercedes-Benz A-Class facelift 2023 kini di Malaysia – bermula RM234k, A200 dan A250 4matic, hanya sedan

    Manakala bagi A250, enjin M260 2.0 liter turbo empat-silinder berkuasa 224 hp pada takat 5,500 rpm hingga 6,100 rpm dengan tork 350 Nm bermula 2,000 rpm hingga 4,000 rpm masih dikekalkan, tetapi kini diberikan sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V dengan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) berkuasa 13 hp dan tork 150 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan, dan seperti namanya, ia kini menerima sistem pacuan semua roda 4matic. Ini membolehkan model ini memecut dari dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Model facelift ini menampil perubahan kecil pada sebelah luar, bermula pada bahagian muka di mana ia diberikan lampu hadapan LED baharu bersama lampu nyalaan siang yang kini lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-L seperti versi sebelum ini. Kedua-dua varian diberikan lampu tinggi adaptif.

    Mercedes-Benz A200 Progressive Line (kiri) dan A250 4Matic AMG Line (kanan)

    Gril hadapan masih lagi berbentuk heksagon. Bagi model A200 Progresive line, ia menampilkan kemasan liang udara palsu pada setiap sisi yang kecil. Manakala untuk model A250 yang datang dengan kit AMG, ia menampilkan gril hadapan dengan elemen bintang tiga penjuru bagi menggantikkan elemen pin krom serta bampar “A-Wing profile” yang kini direka kurang bersegi.

    Di belakang, kluster lampu untuk A-Class facelift ini masih lagi nampak sama, tetapi menampilkan rekaan grafik berbeza. Manakala pada bampar, kedua-dua model A200 Progressive Line dan A250 AMG Line ini hadir dengan rekaan bahagian diffuser dan perumah tip ekzos yang lebih ringkas.

    Untuk roda, A200 menerima rim aloi ringan 17-inci lima jejari berkembar dalam kemasan dua-tona, manakala A250 pula diberikan set rim aloi ringan AMG 18-inci lima jejari berkembar dalam kemasan tremolite grey dan aloi digilap. Kedua-dua set rim ini didakwa memberikan kesan aerodinamik yang dioptimakan.

    Mercedes-Benz A200 Progressive Line (kiri) dan A250 4Matic AMG Line (kanan)

    Dalam kabin, bentuk papan pemuka versi facelift ini masih nampak sama seperti sebelum ini, menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen digital dan infotainmen. Tetapi touchpad pada konsol tengah yang digunakan untuk mengawal skrin infotain sudah tidak ada. Bahagian berkenaan kini ditempatkan ruang storan bertutup bersama butang kawalan untuk sistem Dynamic Select, bantuan parkir dan kawalan bunyi audio.

    Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) pada A-Class facelift ini juga telah dipertingkat kepada versi NTG7, dan ia menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar dan juga gaya paparan yang kini boleh dipilih antara Classic, Sporty atau Discreet. Port pengecas telah diperingkat dengan memberikan fungsi cas pantas, serta diberikan tambahan port USB Type-C.

    Bagi kabin model A200 Progressive Line, ia diberikan tempat duduk jenis Comfort dengan upholsteri kulit sintetik Artico, serta kemasan panel-panel ala-gentian karbon gelap pada papan pemuka dan pintu. Manakala A50 AMG Line pula menerima imej lebih sporty menampilkan upholsteri gabungan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut serta serlahan jahitan merah.

    Kedua-dua varian ini menerima sistem keselamatan termasuk Active Parking Assist dengan kamera undur, Bantuan titik buta, bantuan amaran keluar kenderaan dan bantuan brek aktif. Bagi model A250, ia turut menerima tambahan Sports Brake System yang memberikan mengekalkan prestasi membrek walaupun ia digunakan secara agresif dalam masa yang lama.

     
     
  • Gracshaw lancar helmet berkonsepkan Jepun – enam pilihan grafik, dua visor, lulus SIRIM, harga RM420

    Gracshaw lancar helmet berkonsepkan Jepun – enam pilihan grafik, dua visor, lulus SIRIM, harga RM420

    Pengeluar helmet tempatan, Gracshaw hari ini telah melancarkan barisan helmet motosikal baru yang dipanggil sebagai Japan Edition. Ia menggunakan asas daripada bentuk helmet Gennex yang tersedia sebelum ini, namun diterapkan dengan rekaan berkonsepkan Jepun yang ditawarkan dalam enam pilihan iaitu Kurita, Tsuru, Japop, Tengu, Oda dan Karasu.

    Setiap rekaan yang digunakan pada Gracshaw Japan Edition ini dihasilkan sendiri oleh pereka Gracshaw, dan mempunyai maksudnya yang secara amnya boleh dikategorikan kepada cerita dongeng, budaya pop serta sejarah yang berkaitan Jepun.

    Selain rekaan unik, helmet Gracshaw Japan Edition yang dijual pada harga RM420 setiap satu ini turut menampilkan pelbagai ciri antaranya seperti visor gelap binaan dalaman, salur udara di depan, atas dan belakang serta span dalam yang boleh dicabut untuk dibasuh atau ditukar. Setiap pembelian juga akan diberi dengan beg helmet khas.

    “Ini adalah barisan helmet paling unik dan mengujakan pernah dihasilkan oleh Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya dari satu konsep ke pengeluaran akhir. Visi kami adalah untuk menawarkan pelindung kepala yang menggabungkan kualiti, keselesaan serta gaya kepada penunggang,” kata pengurus bahagian pemasaran Double Site Marketing, Farizan Md Akir.

    Meskipun adalah model rekaan istimewa, Gracshaw Japan Edition ini tidak hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, dan Farizan juga memberitahu bahawa Gracshaw mempunyai perancangan untuk memasarkannya di negara jiran. Helmet ini turut mendapat pengiktirafan daripada SIRIM dan mencatat berat 1,500 gram (saiz L).

     
     
  • BHPetrol dan Maxis bekerjasama untuk terminal pembayaran luaran di stesen di Semenanjung Malaysia

    BHPetrol dan Maxis bekerjasama untuk terminal pembayaran luaran di stesen di Semenanjung Malaysia

    Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) telah memilih Maxis untuk menyertai pelaksanaan digitalisasi meluas BHPetrol untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di stesen runcit mereka. Menerusi kerjasama ini, Maxis sebagai penyedia rangkaian akan menyediakan SD-WA terurusnya (Software-Defined Wide Area Network) untuk menyokong terminal pembayaran di setiap pam minyak dan sistem kaunter bayaran (Point of Sale) di semua stesen runcit BHPetrol di Semenanjung Malaysia.

    Sebagai pengetahuan, SD-WAN adalah teknologi rangkaian yang menawarkan solusi kesalinghubungan
    yang fleksibel, boleh dinaik taraf, dan berpatutan sambil menggabungkan langkah-langkah keselamatan yang tersedia untuk memastikan perlindungan komunikasi secara menyeluruh.

    Menurut Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, hingga kini, SD-WAN Maxis telah dilaksanakan di lebih daripada 240 lokasi, dengan pelaksanaan di stesen-stesen lain dijangka selesai menjelang akhir tahun.

    “Kerjasama penting ini membolehkan Maxis menawarkan keupayaan unik dan pengalaman kami dalam menyediakan teknologi rangkaian generasi seterusnya. Kami bersedia untuk bekerjasama serta menyokong usaha transformasi digital BHPetrol,” katanya.

    Manakala Ir. Azizul Azily Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol berkata, “Di mana kerjasama strategik ini selaras dengan komitmen kami untuk memanfaatkan kuasa digitalisasi dalam mempercepatkan pertumbuhan kami. Kami yakin bahawa kerjasama ini akan membolehkan kami memupuk lebih banyak inovasi, meningkatkan operasi, dan yang penting sekali, meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan di BHPetrol.”

    Sejajar dengan kerjasama ini, Maxis dan BHPetrol menawarkan rebat tunai eksklusif kepada pengguna Maxis dan Hotlink sehingga 30 Jun 2023. Pengguna hanya perlu memuat turun tawaran ini dari aplikasi Maxis

     
     
  • 915,874 kemalangan jalan raya direkod pada 2021-2022

    915,874 kemalangan jalan raya direkod pada 2021-2022

    Kementerian Pengangkutan (MoT) mengesahkan bahawa sebanyak 915,874 kes kemalangan jalan raya dicatatkan dalam tempoh 2021 hingga 2022, laporan The Star.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 545,588 kes melibatkan 6,080 kematian (1.1%) pada tahun lalu, sementara untuk tahun 2021 pula, sebanyak 370,286 kes dengan 4,539 kematian (1.23%), menurut Menteri MoT, Anthony Loke Siew Fook.

    “Kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kemalangan jalan raya kebanyakannya disebabkan oleh tingkah laku manusia, diikuti oleh reka bentuk, keadaan infrastruktur jalan dan keadaan kenderaan. MIROS dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menjalankan kempen dan langkah penguatkuasaan untuk menggalakkan etika pemanduan yang selamat,” kata Loke.

    915,874 kemalangan jalan raya direkod pada 2021-2022

    Kenyataan Loke menerusi jawapan bertulis di Parlimen susulan pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah), yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan punca utama kemalangan jalan raya maut di samping rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menyelesaikan isu itu.

    Bagi tujuan tersebut, MoT telah melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 pada Januari 2022 untuk menangani isu kemalangan jalan raya.

    “Matlamatnya adalah untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030. Pelbagai program dan strategi melibatkan pihak berkepentingan daripada masyarakat tempatan dan sektor swasta juga telah dirancang,” kata Loke.

    Tambahnya, kedua-dua strategi pasif dan aktif juga diambil bagi meningkatkan standard keselamatan kenderaan. Ini adalah melalui penciptaan pusat penyelidikan dan ujian keselamatan kenderaan, dan [dengan] menambah baik piawaian dan mekanisme yang digunakan untuk menilai [keselamatan kenderaan],” kata Loke sambil menambah bahawa langkah lain juga sedang diambil.

     
     
  • Triumph Street Triple 765 R, RS 2023 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM59,900 dan RM73,900

    Triumph Street Triple 765 R, RS 2023 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM59,900 dan RM73,900

    Triumph Malaysia hari ini sempena pembukaan pusat pameran baru di Petaling Jaya telah melancarkan model naked Street Triple 765 2023, yang ditawarkan dalam versi R dan RS, dengan harga masing-masing RM59,900 dan RM73,900.

    Sementara enjin tiga silinder sebaris 765 cc pada 765 R menghasilkan kuasa 118.4 hp pada 11,500 rpm, RS yang merupakan versi lebih tinggi pula dijadikan lebih berkuasa dengan mampu menghasilkan 128.2 hp pada 12,000 rpm. Tork kedua-dua versi ini masih sama, iaitu 80 Nm pada 9,500 rpm.

    Sebagai padanan kepada enjin yang telah dipertingkat ini, kotak gear enam kelajuan padanya turut dinaik taraf, dengan nisbah gear lebih pendek, untuk pecutan yang lebih pantas. Quickshifter diberikan standard, bersama klac jenis slip and assist pada kedua-dua versi Street Triple ini.

    Di bahagian kokpit, 765 RS menerima panel instrumen TFT lima inci berwarna penuh baru, yang selain memaparkan informasi penting, juga boleh menunjukkan masa pusingan dalam litar dan disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi MyTriumph. Versi R masih menggunakan panel LCD.

    Selain empat mod tunggangan (Road, Rain, Sport dan Rider) yang disediakan pada Street Triple 2023 ini, versi RS juga ditambah dengan satu lagi mod iaitu Track. Pemetaan penyampaian kuasa, ABS dan kawalan cengkaman yang lebih dinamik disediakan melalui mod Road, Sport dan Track, sementara mod Rain pula menghadkan kuasa kepada 100 PS sahaja.

    Keseluruhan panel badan Street Triple 2023 ini adalah baru, dan ini termasuk tangki bahan api 15 liternya (kurang dua liter berbanding sebelum ini). Semua lampu pada model ini menggunakan jenis LED, sementara panel bawah enjin dan penutup tempat duduk belakang hanya diberi kepada versi RS sahaja.

    Triumph Street Triple 765 R, RS 2023 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM59,900 dan RM73,900

    Pada bahagian suspensi, model asas R mendapat unit boleh laras yang terdiri daripada fork USD 41 mm SFF-BP dan monoshock Showa, sementara RS dinaik taraf dengan fork USD Showa BPF 41 mm (juga boleh laras sepenuhnya). Monoshock RS adalah unit Ohlins STX40 boleh laras sepenuhnya.

    Sistem brek menggunakan unit daripada Brembo, dengan R mendapat angkup empat piston M4.32, manakala RS dinaik taraf dengan unit Stylema empat piston. Bagi berat, versi R mencatat 189 kg sementara RS satu kilogram lebih ringan (lengkap dengan semua minyak dan pelincir).

    Versi paling tinggi bagi Street Triple 765 2023 ini, iaitu Moto2 Edition juga akan tiba di Malaysia tidak lama lagi dan harganya akan diumumkan kemudian. Versi yang dikeluarkan terhad hanya 765 unit di seluruh dunia ini menggunakan spesifikasi asas sama seperti versi RS, tetapi dinaik taraf dengan fork Ohlins NIX30 di hadapan, panel gentian karbon serta beberapa perincian istimewa lain.

    GALERI: Triumph Street Triple 765 R 2023


    GALERI: Triumph Street Triple 765 RS 2023


    GALERI: Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition 2023

     
     
  • Proton X50 dan X70 dilancarkan di Mozambique

    Proton X50 dan X70 dilancarkan di Mozambique

    Ketika mengumumkan prestasi jualan untuk bulan Mei 2023, Proton ada menyebut bahawa ia kini sudahpun memulakan operasinya di pasaran eksport ke-12 iaitu di Mozambique bulan lalu. Pada pasaran tersebut, jenama automotif dari Malaysia ini diwakili oleh pengedar tempatan iaitu Entreposto, dan bermula dengan dua model SUV iaitu X50 dan X70.

    X50 ditawar dalam empat varian bagi model pasaran Mozambique ini. Tiga varian lebih rendah iaitu Standard, Luxury dan Executive menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan pelbagai titik (PFI) menghasilkan 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

    Manakala model varian tertinggi X50 Premium pula diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan automatik yang sama untuk memacu roda hadapan.

    Untuk perincian, model pasaran Mozambique ini adalah sama dengan model pasaran Malaysia, cuma nama-nama variannya sahaja diubah.

    Manakala untuk X70, ia hanya ditawarkan dengan enjin 1.5L TGDi dalam empat varian berbeza, berbanding di Malaysia yang masih ada varian dengan enjin 1.8 liter T-GDi. Varian-varian berkenaan adalah Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium X 2WD.

    Sempena pelancaran kedua-dua model tersebut, Entreposto menawarkan harga pengenalan lebih rendah iaitu 2.2 juta metical Mozambique (MT) atau sekitar RM159k untuk X50 Premium dan MT2.3 juta (sekitar RM167k) untuk X70 Premium.

    GALERI: Brosur rasmi Proton X50 pasaran Mozambique

    GALERI: Brosur rasmi Proton X70 pasaran Mozambique

     
     
  • Mercedes-Benz EQS500 4Matic CKD 2023 di Malaysia – jarak gerak 696 km; 449 PS/828 Nm, dari RM649k

    Mercedes-Benz EQS500 4Matic CKD 2023 di Malaysia – jarak gerak 696 km; 449 PS/828 Nm,  dari RM649k

    Mercedes-Benz EQS 500 4Matic Electric Art Line merupakan model pertama bagi barisan kenderaan elektrik EQ yang dipasang (versi CKD) di Malaysia. Diperkenalkan pada Februari tahun ini, harga atas jalan bagi model ini mencecah RM648,888 tanpa insurans dan menggantikan EQS 450+ AMG Line yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman. Untuk artikel ini, kami membawakan galeri penuh bagi EQS500 dengan lebih 200 foto untuk tatapan anda.

    Menampilkan dua motor elektrik, pacuan semua-roda EQS 500 mampu meledakkan keseluruhan kuasa mencecah 449 PS (443 hp, atau 330 kW) dan tork 828 Nm. Sekaligus membolehkan EQS 500 ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat, lebih pantas berbanding EQS 450+ yang memerlukan 6.2 saat untuk mencapai pecutan sebegitu. Walau bagaimana pun, kedua-dua varian memiliki angka kelajuan maksimum yang sama iaitu 210 km/j.

    Varian CKD ini juga menggunakan kapasiti tenaga yang sedikit tinggi yang dijana dari bateri lithium-ion pada 108.4 kWh. Dalam pengecasan penuh, EQS 500 mampu memberikan jarak gerak sehingga 696 km mengikut kitaran WLTP berbanding 782 km bagi EQS 450+.

    Mercedes-Benz EQS500 4Matic CKD 2023 di Malaysia – jarak gerak 696 km; 449 PS/828 Nm,  dari RM649k

    Waktu mengecas semula EQS 500 juga adalah sama dengan EQS 450+, iaitu 10 jam (10-100%) apabila menggunakan AC Type 2 sehingga 11 kW, dan 31 minit (10-80%) apabila menggunakan pengecas pantas DC CCS2 sehingga 200 kW.

    EQS 500 juga didatangkan dengan kemasan luaran Electric Art Line berbanding AMG Line pada
    EQS 450+, menyaksikan lebih banyak kemasan krom, serta rim 20-inci lima-jejari yang menggantikan unit AMG 21-inci pada EQS 450+ sebelum ini.

    Berkenaan spesifikasi, hampir semua kelengkapan pada EQS 450+ turut diberikan pada EQS 500 ini, termasuk suspensi udara Airmatic dengan pilihan serapan, stereng gandar belakang (sehingga 10 darjah) serta pilihan mod Dynamic Select dengan beberapa mod pemanduan.

    Selain daripada itu, kelengkapan lain masih lagi sama. Pakej Electric Art Line seperti 450+ terus digunakan pada bahagian dalam EQS 500, tetapi warna balutan kulit Nappa padanya telah ditukar kepada hitam/kelabu berbanding hitam/coklat Balao pada model CBU. Ia juga diberikan headliner fabrik hitam, alas lantai velour, elemen kemasan kayuan lime struktur-garisan anthracite serta pencahayaan ambien 64-warna.

    Panel paparan MBUX Hyperscreen berukuran 141 cm terus digunakan, dan ia terdiri daripada gabungan tiga skrin berlainan iaitu panel instrumen 12.3-inci, skrin sesentuh OLED 17.7-inci di tengah dan satu lagi skrin sesentuh OLED 12.3-inci di hadapan penumpang hadapan. Selain itu, ia juga diberikan Mercedes me connect services, Android Auto dan Apple CarPlay untuk menyokong beberapa fungsi media.

    Risalah spesifikasi Mercedes-Benz EQS 500 4Matic CKD 2023

    Melengkapkan lagi cirinya, model ini turut diberikan tempat duduk Comfort, dengan unit di hadapan boleh dilaras secara elektrik dan dilengkapi fungsi pemanas, liang udara serta memori. Di belakang, Rear Seat Package Plus menyediakan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik, penyandar kepala mewah (juga ada di hadapan), panel kawalan suhu, sistem bunyi sekeliling Burmester 3D serta peletak tangan. Turut disediakan di belakang adalah pengecas tanpa wayar dan tablet MBUX.

    Untuk aspek keselamatan, ia diberikan ciri standard termasuk Driving Assistance Plus Package (termasuk AEB), Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist (pemanduan semi-autonomous), Pre-Safe, Evasive Manoeuvre Support, Active Parking Assist, Parking Package dengan kamera 360 darjah dan perlindungan kenderaan Urban Guard.

     
     
  • Kerajaan pertimbangkan cadangan ambil alih lebuhraya jika kewangan negara stabil – KKR

    Kerajaan pertimbangkan cadangan ambil alih lebuhraya jika kewangan negara stabil – KKR

    Biar pun pucuk kepimpinan telah bertukar, namun isu pengambilalihan konsesi lebuh raya masih hangat diperkatakan. Terkini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan mengambil alih konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar tol di seluruh negara sekiranya kedudukan kewangan negara stabil pada masa depan.

    Katanya, ketika ini cadangan mengambil alih mana-mana konsesi lebuh raya tidak dapat dilaksanakan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang amat tinggi, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan sentiasa komited dan fokus terhadap sebarang usaha untuk menangani kenaikan harga barang serta mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung rakyat. Namun kerajaan pada masa ini tidak bercadang mengambil alih mana-mana lebuh raya yang sedang beroperasi kerana memerlukan implikasi kewangan yang sangat tinggi.

    “Kerajaan bersedia mempertimbangkan semula cadangan ini sekiranya keadaan kewangan dan fiskal negara mengizinkan kelak,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan komitmen kerajaan dalam mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol di seluruh negara bagi meringankan beban rakyat.

     
     
  • Mitsubishi Colt 2024 untuk Eropah didedahkan – rebadge dari Renault Clio, HEV 1.6L, 1.0L Turbo & NA

    Mitsubishi Colt 2024 untuk Eropah didedahkan – <em>rebadge</em> dari Renault Clio, HEV 1.6L, 1.0L Turbo & NA

    Selepas beberapa teaser disiar, akhirkan Mitsubishi Colt 2024 sudahpun didedahkan secara rasmi. Walau bagaimanapun seperti yang diketahui sebelum ini, Colt baharu ini adalah model khas untuk pasaran Eropah dan sebenarnya adalah model rebadge dari Renault Clio serta diproduksi dikilang yang sama iaitu kilang Renault di Bursa, Turki.

    Jadi, Colt 2024 ini turut menggunakan platform CMF-B Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dan dibina sebagai sebuah hatchback lima-pintu. Pada bahagian hadapan boleh dilihat Colt masih menggunakan bonet dan juga fender yang sama seperti Clio, namun diberikan muka yang menyerlahkan rekaan signatur Dynamic Shield Mitsubishi.

    Kluster lampu hadapan nampak seperti seiras, tetapi grafik pada bahagian dalam lampu Colt nampak lebih tersendiri menampilkan dua jalur LED pada bahagian ‘kening’. Jalur berkenaan dilihat seperti bersambung dengan kemasan krom pada gril hadapan, serta logo Mitsubishi bersaiz besar juga dalam kemasan krom diletak di tengah.

    Mitsubishi Colt 2024 untuk Eropah didedahkan – <em>rebadge</em> dari Renault Clio, HEV 1.6L, 1.0L Turbo & NA

    ‘Ekor’ berbentuk ‘J’ pada lampu Clio juga diubah pada rekaan Colt ini di mana ia kini membentuk kemasan hitam pada bampar, yang menjadi perumah kepada lampu nyalaan siang LED tambahan. Bahagian sisi Colt 2024 ini juga masih seiras dengan Clio, menampilkan pembuka pintu belakang yang disorokkan pada bahagian tiang-C membuatkan ia kelihatan seperti hatchback tiga-pintu.

    Manakala di belakang, Colt dan Clio berkongsi lampu yang sama. Namun untuk Colt, rekaan bampar yang diberikan adalah lebih agresif di mana ia menampilkan kemasan liang udara palsu pada kedua-dua sisi.

    Untuk kabin, Colt nampaknya hampir menggunakan keseluruhan rekaan yang sama seperti Clio, cuma loga Renault pada roda stereng diubah kepada logo Mitsubishi. Ia menampilkan pilihan skrin sama ada 7- atau 9.3-inci untuk sistem Smartphone-link Display Audio (SDA) yang diletakkan secara potret pada bahagian atas tengah papan pemuka, yang dihubungkan kepada sistem bunyi premium dari Bose.

    Mitsubishi Colt 2024 untuk Eropah didedahkan – <em>rebadge</em> dari Renault Clio, HEV 1.6L, 1.0L Turbo & NA

    Selain sebagai sistem hiburan, skrin berkenaan juga perlu digunakan untuk akses kepada sistem Multi-Sense, yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan (My Sense, Sport atau Eco), respon enjin dan stereng dan juga lampu suasana dalam kabin.

    Mitsubishi menawarkan pilihan unit rangkaian kuasa hibrid penuh (HEV) dan juga petrol sepenuhnya untuk Colt baharu ini. Bagi model HEV, ia menerima enjin petrol NA 1.6 liter bersama dua buah motor elektrik (satu merupakan unit starter-generator manakala satu lagi motor elektrik utama) yang digandingkan dengan dengan kotak gear automatik multi-mode.

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri hibrid 1.2 kWj, dan ia menghasilkan kuasa keseluruhan 142 PS dan tork maksima 205 Nm. Ini membolehkan model Colt Hybrid ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

    Bagi model petrol penuh pula, Colt ditawarkan dalam dua jenis enjin. Model paling berkuasa adalah versi 1.0L turbo yang menjana 91 PS dan tork maksima 160 Nm. Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.2 saat serta mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

    Model paling asas pula hanya menerima enjin tiga-silinder 1.0 liter NA yang menghasilkan hanya 67 PS dan tork 95 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 17.1 saat, dan kelajuan maksima yang boleh dicapai hanya 160 km/j.

    Untuk keselamatan pula, Colt 2024 turut ditawarkan dengan sistem bantuan pemanduan. Ia meliputi sistem termasuk cruise control adaptif dengan Stop & Go, bantuan kekal lorong dengan amaran, pengelak pelanggaran hadapan, pengenal tanda trafik, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi automatik dan bantuan parkir.

    Mitsubishi Colt 2024 ini dijangka akan dijual di pasaran Eropah bermula bulan Oktober ini, menyaksikan nama ‘Colt’ kembali ke pasaran benua berkenaan selepas dihentikan selama sembilan tahun.

     
     
  • Toyota C-HR generasi kedua muncul dalam teaser sebelum pengenalan rasmi 26 Jun – rekaan lebih unik?

    Toyota C-HR generasi kedua muncul dalam teaser sebelum pengenalan rasmi 26 Jun – rekaan lebih unik?

    Toyota teleh menyiarkan teaser rasmi pertama untuk C-HR generasi baru, yang akan didedahkan pada 26 Jun nanti. “Acara yang ditunggu-tunggu ini akan memperkenalkan buat kali pertamanya Toyota C-HR serba baru, sebuah SUV kompak canggih dan mengujakan, yang menampilkan rekaan menarik serta teknologi yang maju,” kata Toyota Eropah.

    Meskipun lampu belakang LED penuh yang bersambung dari kiri ke kanan sudah menjadi satu kebiasaan sekarang, Toyota menjadikannya lebih unik pada C-HR baru ini dengan meletakkan namanya di bahagian tengah. Lampu itu pula mempunyai tiga jalur melintang.

    C-HR asal yang mula diperkenalkan pada tahun 2016 menampilkan rekaan serba unik, dan jika model generasi kedua mengikut rekaan model konsep C-HR Prologue yang ditunjukkan pada tahun 2022, ia mungkin akan menjadi lebih menonjol.

    Di Malaysia, C-HR kurang mendapat sambutan kerana ia dijual pada harga yang boleh dikatakan tinggi dan datang dengan spesifikasi rendah. Walaupun begitu, ia membawa sesuatu yang unik daripada aspek rekaan dan juga pemanduan. Dengan Corolla Cross yang kini sudah menjadi pilihan popular, adakah anda rasa C-HR akan kembali dalam pasaran kita?

    GALERI: Toyota C-HR Prologue Concept

     
     
  • Tesla Malaysia siar iklan jawatan kosong – temuduga terbuka 17 Jun ini bertempat di Cyberview, Cyberjaya

    Tesla Malaysia siar iklan jawatan kosong – temuduga terbuka 17 Jun ini bertempat di Cyberview, Cyberjaya

    Seperti yang kita ketahui sebelum ini, Tesla sudahpun disahkan akan beroperasi di Malaysia tidak lama lagi. Sebelum ini beberapa jawatan kosong untuk operasi di sini telah ditawarkan pada laman web rasmi Tesla, dan terbaharu beberapa jawatan lagi ditawarkan menerusi sesi temudaga terbuka yang akan dijalankan.

    Temuduga tersebut akan berlangsung pada hari Sabtu ini, 17 Jun 2023 bertempat di pejabat Cyberview Sdn Bhd, tingkat 4, Blok 3750, Cyber 8, Persiaran Apec di Cyberjaya, bermula pukul 12 tengah hari sehingga 4 petang.

    Lima jawatan dibuka untuk diisi iaitu Penasihat jualan/Penasihat jualan dalaman, Penasihat jualan enterprise, Penasihat penghantaran, Pakar sokongan pelanggan dan Penasihat Servis.

    Tiada pra-pendaftaran perlu dibuat untuk menghadiri sesi temuduga ini. Anda hanya perlu membawa resume bercetak dan sijil sokongan berkaitan ke lokasi yang telah dinyatakan.

    Semakan kami di laman web rasmi Tesla menunjukkan banyak lagi jawatan kini telah dibuka untuk diisi. Ia disiarkan pada bahagian Tesla Careers untuk Kuala Lumpur, dan anda perlu menghantar resume anda secara atas talian menerusi laman berkenaan. Jawatan-jawatan baharu yang ditawarkan buat masa sekarang adalah seperti berikut:

    Tesla Malaysia siar iklan jawatan kosong – temuduga terbuka 17 Jun ini bertempat di Cyberview, Cyberjaya

     
     
  • Perodua Axia E manual 2023 dilihat di Malaysia — warna kelabu baru, bampar lama; bakal dilancar?

    Perodua Axia E manual 2023 dilihat di Malaysia — warna kelabu baru, bampar lama; bakal dilancar?

    Ramai yang sedia maklum, ketik Perodua Axia 2023 dilancarkan Februari lalu, pengeluarnya akan tetap menawarkan varian E dari generasi pertama model itu bagi memenuhi keperluan sebagai kereta paling murah di Malaysia. Tidak dinyatakan secara tepat bila Axia E tersebut akan diperkenalkan semula (asalnya April), dan tidak juga ada perincian spesifikasi dan harganya.

    Namun kini pengenalannya macam sudah dekat. Seorang pembaca paultan.org, Muhd Hamka terserempak dua unit yang berkemungkinan besar ialah Axia E terbaru. Rim “kompang” besi jelas kelihatan, dan lebih menarik adalah unit kelabu yang ada dalam gambar ini.

    Perodua Axia E manual 2023 dilihat di Malaysia — warna kelabu baru, bampar lama; bakal dilancar?

    Varian E sebelum ini untuk Axia 2019 hanya ditawarkan dalam Glittering Silver dan Ivory White, maka warna kelabu ini sepertinya menjadi penawaran terbaru yang akan menjadi sebahagian daripada kemaskini bagi model 2023. Apa yang tidak akan ditambah ialah cermin sisi warna badan serta sensor parkir dan pengilap di belakang.

    Anehnya, kereta yang dilihat ini menggunakan wajah depan Axia 2017 dan bukannya Axia 2019. Model yang lebih lama itu tidak mempunyai wajah depan yang lebih agresif pada bahagian bampar dengan garisan yang tidak terlalu ketara di bahagian bukaan sudutnya. Ia agak berlainan daripada bahagian belakang kedua-dua kereta ini, dengan rekaan bampar nampak lebih cenderung kepada model Axia E 2019, juga dengan bukaan udara hiasan di sudutnya.

    Perodua Axia E manual 2023 dilihat di Malaysia — warna kelabu baru, bampar lama; bakal dilancar?

    Hanya ada gambar ini sahaja buat masa ini untuk diperhatikan, jadi maklumat dan kelainan penampilannya sehingga info rasmi didedahkan, serta sama ada gabungan rekaan Axia lama dan baru ini memang diinginkan begitu (mungkin untuk kurangkan lagi kos?). Apa yang sudah diketahui adalah unit enjin 1KR-VE 1.0 liter NA tiga-silinder VVT-i akan kekal dan dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    Axia varian E ini, yang selalu menerima jolokan “kereta sekolah memandu” telah beredar sejak Axia pertama diperkenalkan pada 2014 dan kekal dalam barisan penawaran Perodua serta diberi kemaskini pada 2017 dan 2019. Sebelum ini, ia dijual pada harga RM24,090 atas jalan tidak termasuk insuran. Berapa harga barunya nanti?

     
     
  • Polis saman konvoi BMW Car Club Singapore pandu perlahan, halang lalu lintas di Jambatan Kedua Penang

    Polis saman konvoi BMW Car Club Singapore pandu perlahan, halang lalu lintas di Jambatan Kedua Penang

    Pada Jumaat lalu, 9 Jun 2023, terdapat video tular di laman media sosial Tik Tok yang memaparkan sekumpulan konvoi BMW dengan plat pendaftaran Singapura yang memandu perlahan dan menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang.

    Video berdurasi dua minit 50 saat yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Panglimaperang itu telah mendapat perhatian Polis Daerah Seberang Perai Selatan yang mengesahkan kejadian terbabit kumpulan konvoi BMW Car Club Singapore.

    “Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 9 Jun 2023 jam 12.30 tengahari, bermula KM3.8 dari arah Batu Kawan hingga KM9.0 arah Batu Maung. Hasil laporan yang diterima, kertas siasatan telah dibuka di bawah Kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu Kaedah 16 (1) LN 166/59 kerana melakukan halangan lalu lintas.

    “Pada 11 Jun 2023 jam 12.10 tengahmalam, kesemua pemandu (konvoi terbabit) telah hadir ke IPD Seberang Perai Selatan dan telah dikenakan saman,” kata DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar, Timbalan Ketua Polis IPD Seberang Perai Selatan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah beliau, pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas. “Masyarakat diminta supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas,”katanya lagi.

    Awal pagi tadi, menerusi Facebook BMW Car Club Singapore, kumpulan terbabit telah menyiarkan kenyataan mohon maaf di atas tindakan tersebut. Malahan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk sebarang tindakan lanjut. Baguslah, dah buat salah, mohon maaf dan sedia berhadapan hukuman. Harap lepas ini, pemandu dari negara jiran jangan buat onar lagi di sini. Memanglah banyak duit boleh bayar saman, tetapi tindakan menyusahkan orang lain itu memang tidak boleh diterima.

    @akaunhambaallah kelab kereta sekat abis jalan habuan#fypシ ♬ bunyi asal – panglimaperang

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025