Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lorong kiri dan kecemasan di laluan Bidor-Sungkai di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 19 Ogos 2022

    Lorong kiri dan kecemasan di laluan Bidor-Sungkai di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 19 Ogos 2022

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan sementara lorong Kecemasan dan lorong kiri di antara laluan Bidor ke Sungkai di KM342.60 hingga KM346.66 (arah selatan) dan KM346.95 (arah utara). Penutupan lorong berkenaan dilaksanakan mulai hari ini (25 Julai 2022) hingga jam 8 pagi pada 19 Ogos 2022.

    Ia dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di laluan terbabit dilaksanakan dengan lancar.

    Menurut PLUS, walau bagaimanapun, lorong kanan di laluan terbabit masih boleh dilalui oleh semua kenderaan. Dalam masa yang sama, para pengguna lebuhraya terbabit juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan ketika melalui kawasan terbabit.

    Pelanggan boleh memuat turun Aplikasi PLUS atau berinteraksi secara digital menerusi Chatbot Putri untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

     
     
  • Penjara minima 5 tahun, denda hingga RM50k menanti jika pandu melulu dan sebabkan kematian – PDRM

    Penjara minima 5 tahun, denda hingga RM50k menanti jika pandu melulu dan sebabkan kematian – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengeluarkan pengingatan untuk orang awam tentang hukuman yang menanti sekiranya memandu secara melulu atau berbahaya hingga menjadi penyebab kematian, bakal berhadapan dengan penjara minima lima tahun dan denda sehingga RM50,000.

    Perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang telah dipinda dari Seksyen 41 ke 45 pada Julai 2022. Di mana di bawah Seksyen 41 akta terbabit, pindaan bermakna denda yang perlu dilunaskan oleh pesalah ialah dari RM20,000 hingga RM50,000, dan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun. Sebelum ini, denda dari RM5,000 hingga RM20,000 dan/atau penjara antara dua hingga 10 tahun untuk kesalahan pertama.

    Penjara minima 5 tahun, denda hingga RM50k menanti jika pandu melulu dan sebabkan kematian – PDRM

    Entri yang dinaikkan menerusi media sosial oleh PDRM adalan susulan beberapa insiden yang tular sejak kebelakangan ini termasuk menukar lorong secara tiba-tiba dalam keadaan trafik yang sibuk, gagal berhenti untuk mengelakkan pelanggaran dan banyak lagi.

    Kebanyakan video yag tular ini adalah hasil rakaman dari dashcam pengguna jalan raya. Malah setiap kali video insiden sebegini tular, ia menjadi perhatian para netizen dengan pelbagai kecaman dikeluarkan. Justeru, PDRM sekali lagi bertegas dan memberikan amaran untuk pemandu agar lebih berhati-hati dan mengamalkan pemanduan yang berhemah supaya tidak menjadi punca kemalangan jalan raya hingga ada nyawa yang melayang.

    Selain itu, sila periksa keadaan kenderaan anda secara rutin, adakah ia selamat digunakan mahu pun tidak. Ingat, malang tidak berbau dan sentiasalah bertimbang rasa dalam setiap perbuatan anda.

     
     
  • Ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi sekadar ada lesen L atau tiada lesen B Penuh langsung – JPJ

    Ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi sekadar ada lesen L atau tiada lesen B Penuh langsung – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan menerusi pelbagai operasi pemeriksaan motosikal yang dijalankan, ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi dikesan menggunakan lesen percubaan (Lesen L) untuk tempoh lama. Malah ada di antara mereka yang turut menyertai konvoi bermotosikal ke merata tempat.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, hasil pemeriksaan mendapati golongan itu tidak pernah memperbaharuinya kepada lesen penuh (Kelas B), laporan Bernama.

    “Ada juga dalam kalangan mereka (penunggang motosikal berkuasa tinggi) yang tidak mempunyai kedua-dua lesen (Lesen L serta Kelas B) dan sepatutnya tidak boleh menunggang motosikal berkapasiti melebihi 250cc,” katanya yang turut menasihati agar golongan itu segera mendapatkan lesen Kelas B bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

    Ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi sekadar ada lesen L atau tiada lesen B Penuh langsung – JPJ

    Beliau berkata demikian sewaktu pelaksanaan Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong, semalam. Dalam operasi terbabit, katanya, lebih 3,000 motosikal diperiksa, termasuk 796 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, dalam operasi bermula jam 8 pagi tadi.

    “Melalui operasi ini, kesalahan paling tinggi dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tiada cukai jalan yang sah,” katanya.

    Dalam masa yang sama, pihaknya turut memberi nasihat kepada pemilik dan penunggang motosikal supaya mengelak daripada terlibat dengan sebarang kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

    Ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi sekadar ada lesen L atau tiada lesen B Penuh langsung – JPJ

    “Mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya, tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikuatkuasakan,” tegasnya sambil memaklumkan sejak 2018 hingga Jun lalu, sebanyak 3.7 juta motosikal diperiksa dan 1.3 juta motosikal diambil tindakan oleh JPJ.

    “Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada lesen memandu (471,665), tiada Lesen Kenderaan Motor (313,174) dan tiada perlindungan insurans (299,772),” katanya.

    Tambahnya, JPJ akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya serta jalan Persekutuan dan negeri dari semasa ke semasa dalam usaha menangani kegiatan lumba haram serta menunggang secara berbahaya.

     
     
  • EVx 2022: Volvo XC40 Recharge Pure Electric turut mengambil bahagian – sedang berlangsung di SCCC

    EVx 2022: Volvo XC40 Recharge Pure Electric turut mengambil bahagian – sedang berlangsung di SCCC

    Lintas langsung dari Electric Vehicle Expo (EVx) 2022 anjuran paultan.org, yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC). Jangan lupa untuk join kami dalam acara ini, yang penting tiada tiket masuk dikenakan atau dalam erti kata lain, kemasukannya adalah secara PERCUMA.

    Volvo Car Malaysia merupakan sebahagian daripada syarikat yang mengambil bahagian mempamerkan produk masing-masing. Jika anda ingin melihat dan menerokai kenderaan elektrik (EV) keluaran syarikat terkemuka Sweden, inilah masa yang sesuai.

    Mengambil kesempatan dengan mempamerkan XC40 Recharge Pure Electric, SUV ini digerakkan oleh dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar menjadikan ia SUV pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

    Kuasa dibekalkan dari bateri 78 kW yang mampu memberikan jarak gerak 418 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. XC40 EV ini menyokong pengecas AC 11 kW menggunakan penyambung Type 2, membolehkan bateri dicas penuh dalam masa 7.5 jam. Ia juga diberikan sistem cas pantas DC dengan kemampuan maksimum 150 kW (antaramuka CCS2) yang boleh mengecas bateri dari 0% hingga 80% penuh dalam masa hanya 33 minit.

    Selain Volvo, jenama lain yang turut mengambil bahagian dalam acara ini termasuklah Petronas, BMW, Mercedes-Benz, Tesla, EVC, Exicom, RHB Bank dan banyak lagi. Selain mengeksplorasi EV yang dipamerkan, anda juga boleh memperoleh informasi berkaitan secara terus dari pengeluar kereta, pemegang saham ekosistem dan juga pemilik EV sedia ada, yang diundang untuk berkongsi pengalaman berkaitan dengan pemilikian EV.

    Malah, sekiranya anda menjadi antara 70 pelanggan pertama yang menempah mana-mana model EV dalam EVx ini, anda berpeluang menerima beg cenderahati EVx eksklusif, baucer bernilai RM2,000 dari V-Kool dan juga baucer solusi pembersihan udara dari Blueair, termasuk baucar RM1,000 untuk sistem (tenaga solar) photovoltaic dari Alpha Solar. Pembeli juga boleh menikmati kadar pembiayaan menarik untuk EV dari RHB Bank.

     
     
  • EVx 2022: BMW iX, iX3 dan iV dipamer oleh Wheelcorp Premium; model PHEV turut mengambil bahagian

    EVx 2022: BMW iX, iX3 dan iV dipamer oleh Wheelcorp Premium; model PHEV turut mengambil bahagian

    Jika anda mempunyai masa lapang pada hari ini atau esok, jangan lupa kunjungi acara EVx 2022 anjuran paultan.org yang berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Inilah masa yang paling sesuai untuk anda menerokai dunia kenderaan elektrik (EV) dan apa jua yang berkaitan dengannya.

    Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam EVx ialah BMW, yang diwakili oleh pengedarnya Wheelcorp Premium. Sebagai salah satu peneraju EV yang mendapat tempat di Malaysia, sudah pasti model-model EV keluaran jenama ini ditunggu-tunggu oleh penggemarnya. Untuk EVx 2022, Wheelcorp Premium mempamerkan BMW iX, iX3 dan i4, bersama dengan model PHEV seperti 330e, 530e, 740Le dan X5 45e.

    Tiada lagi i3 di pasaran, cuma tinggal barisan iX yang mewakili EV keluaran BMW. Untuk model iX ini, ia diberikan pilihan xDrive40, dengan dua motor elektrik berkembar yang mampu menghasilkan sejumlah 240 kW (326 PS) dan tork 630 Nm. Membolehkan SUV bersaiz besar ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 200 km/j.

    Kuasa iX ini dijanakan oleh bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh yang mampu memberikannya jarak 425 km bagi pengecasan penuh, mengikut kitaran WLTP. iX boleg dicas menggunakan pengecas AC 11 kW dan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam 15 minit. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC 150 Kw, dan status pengecasan dari 10% hingga 80% adalah sekitar 31 minit.

    Untuk iX3 pula, yang merupakan versi elektrik bagi model X3, ia digandingkan dengan motor elektrik pacuan-belakang yang mampu memberikan sehingga 210 kW (286 PS) dan tork 400 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat. Unit e-motor ini dikuasakan oleh bateri lithium-ion 73.8-kWh yang mampu memberikan jarak antara 453 dan 461 km mengikut kitaran WLTP.

    Pengecasannya mengambil masa sekitar 7.5 ham dengan menggunakan pengecas AC berkuasa 11kW, tetapi hanya 32 minit untuk status pengecasan dari 10% hingga 80% sekiranya menggunakan pengecas pantas DC.

    Jika anda tidak berminat dengan SUV, ini ada satu model coupe empat-pintu yang cukup menarik rekaannya. BMW i4 digandingkan dengan motor tunggal pacuan-belakang yang mampu menghasilkan 250 kW (340 PS) dan tork 430 Nm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum hingga 190 km/j. Bateri lithium-ion m83.9 kWh yang diberikan untuk model ini memberikannya jarak sekitar 590 km bagi pengecasan tunggal.

    i4 juga boleh dicas menggunakan pengecas Ac berkapasiti 11 kW, yang mengambil masa sekitar lapan jam 15 minit untuk pengecasan penuh. Walau pun, jika menggunakan pengecas pantas DC dengan kapasiti 200 kW (atau sehingga 150 kW untuk SUV), disebabkan baterinya yang besar, status pengecasan yang boleh dicapai dari 10% hingga 80% hanya mengambil masa lebih kurang 31 minit sahaja.

    Jika anda berminat untuk menempah mana-mana model EV atau PHEV keluaran BMW ini, anda berpeluang menikmati kadar pembiayaan menarik serendah 0.91%. Ditambah pula dengan rebat tunai sehingga RM30,000 untuk model terpilih. Tertakluk pada terma dan syarat.

    EVx 2022 dibuka untuk kunjungan umum dan ia adalah percuma. Dan jangan lupa untuk menyertai forum khas yang dikendalikan sendiri oleh pasukan editorial paultan.org untuk mengetahui lebih banyak info mengenai EV.

    Sekiranya anda menjadi antara 70 pelanggan pertama yang menempah mana-mana model EV dalam EVx ini, anda berpeluang menerima beg cenderahati EVx eksklusif, baucer bernilai RM2,000 dari V-Kool dan juga baucer solusi pembersihan udara dari Blueair, termasuk baucar RM1,000 untuk sistem (tenaga solar) photovoltaic dari Alpha Solar. Pembeli juga boleh menikmati kadar pembiayaan menarik untuk EV dari RHB Bank.

     
     
  • EVx 2022: Mercedes-Benz EQS dan EQA dipamerkan di SCCC – dibawakan khas oleh Hap Seng Star

    EVx 2022: Mercedes-Benz EQS dan EQA dipamerkan di SCCC – dibawakan khas oleh Hap Seng Star

    The paultan.org Electric Vehicle Expo (EVx) 2022 sedang rancak berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) mulai hari ini sehingga esok (24 Julai 2022). Kalau anda tertanya-tanya, apakan acara yang kami anjurkan ini? Ia merupakan ekspo yang berkaitan kenderaan elektrik.

    Salah satu perkara menarik yang anda boleh saksikan di sini ialah dua model elektrik-penuh keluaran Mercedes-Benz iaitu EQS dan EQA, dibawakan oleh Hap Seng Star. Model sedan mewah elektrik-penuh EQS baru saja dilancarkan semalam untuk pasaran tempatan. Ia digandingkan dengan bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 107.8 kWh dan mampu memberikan jarak EV sehingga 782 km mengikut kitaran-WLTP.

    Bateri terbabit memacukan motor elektrik belakang dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 333 PS (329 hp atau 245 kW) dan tork 565 NM, membolehkan EQS ini dipecut dari 0-100 km/ dalam masa 6.2 saat dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum hingga 210 km/j.

    Bagi model EQA pula, ia dipadankan dengan motor elektrik hadapan yang mampu memberikan kuasa hingga 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork 375 Nm, dan bateri dengan kapasiti tenaga 66.5 kWh pula boleh memberikan jentera kompak ini jarak hingga 429 km bagi pengecasan tunggal. Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

    Ia boleh dicas penuh dalam masa lima jam 45 minit menggunakan pengecas dalaman 11 kW AC (sambungan Type 2). Atau, pengecas pantas DC boleh mengecas hingga 100 kW dan sambungan CCS2 akan membolehkan bateri mencapai 10%-80% penuh dalam masa hanya 32 minit.

    Selain Mercedes-Benz, jenama lain yang turut mengambil bahagian dalam acara ini termasuklah
    Petronas, BMW, Volvo, Tesla, EVC, Exicom, RHB Bank dan banyak lagi. Selain mengeksplorasi EV yang dipamerkan, anda juga boleh memperoleh informasi berkaitan secara terus dari pengeluar kereta, pemegang saham ekosistem dan juga pemilik EV sedia ada, yang diundang untuk berkongsi pengalaman berkaitan dengan pemilikian EV.

    Malah, sekiranya anda menjadi antara 70 pelanggan pertama yang menempah mana-mana model EV dalam EVx ini, anda berpeluang menerima beg cenderahati EVx eksklusif, baucer bernilai RM2,000 dari V-Kool dan juga baucer solusi pembersihan udara dari Blueair, termasuk baucar RM1,000 untuk sistem (tenaga solar) photovoltaic dari Alpha Solar. Pembeli juga boleh menikmati kadar pembiayaan menarik untuk EV dari RHB Bank.

    EVx dibuka untuk kunjungan umum dan ia adalah percuma. Dan jangan lupa untuk menyertai forum khas yang dikendalikan sendiri oleh pasukan editorial paultan.org untuk mengetahui lebih banyak info mengenai EV.

     
     
  • EVx 2022: Ketahui pelbagai aspek berkaitan EV hujung minggu ini di Setia City — jumpa di sana!

    EVx 2022: Ketahui pelbagai aspek berkaitan EV hujung minggu ini di Setia City —  jumpa di sana!

    Jika anda ingin mengetahui segala perkara berkaitan kenderaan elektrik, maka tiada tempat lain yang patut dikunjungi melainkan EVx 2022 anjuran paultan.org yang berlangsung hari ini dan esok, 23-24 Julai 2022, di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Segala yang anda ingin tahu berkenaan EV ada di sini. Sebagai contoh, beberapa jenama seperti kenderaan BMW, Volvo, Mercedes-Benz (oleh Hap Seng Star), serta beberapa pengedar yang turut membawakan kenderaan Tesla untuk dipamer.

    Ada kelebihan jika membeli EV di acara ini. Bagi 70 pelanggan pertama membuat tempahan EV, anda akan menerim beg hadiah eksklusif EVx termasuk baucar bernilai RM1,000 untuk filem penapis haba dari V-Kool dan penapis udara Blueair, serta baucar RM1,000 untuk sistem solar Aplha Solar. Pelanggan yang mengambil pembiayaan juga akan mendapat kadar faedah menarik daripada RHB Bank.

    EVx 2022: Ketahui pelbagai aspek berkaitan EV hujung minggu ini di Setia City —  jumpa di sana!

    Selain kenderaan, penyelesaian dan penyedia pengecasan EV juga dari EVhub.my, yang menyediakan antaranya pengecas Wallbox, sebuah pengeluar pengecas terulung peringkat global. Antara pengecas Wallbox yang tersedia ialah Pulsar Plus, Commander 2 dan Copper SB, semua boleh mengecas 7.4 kW dari sumber single-phase atau hingga 22 kW dari sumber three-phase.

    Bagi yang sekadar ingin mendapatkan maklumat dan mengetahui lebih lanjut tentang EV di Malaysia pula, anda boleh juga mengikuti sesi bual bicara berkaitan EV oleh pemain industri dan juga pemilik sedia ada, seperti berikut:

    Sabtu, 23 Julai

    Perbualan dengan jenama automotif — 11 pagi

      Pembicara:

    • David Kim (Pengarah Jualan, BMW Group Malaysia)
    • Christian Grimberg (Pengurus Besar Pengurusan Harga & Produk, Mercedes-Benz Malaysia)

    Perbualan dengan pihak berkepentingan dalam ekosistem EV — 3pm

      Pembicara:

    • Haikal Zubir (Ketua Mobiliti, Gentari)
    • Aishah Daniyal (Ketua Pengawal Selia dan Advokasi, PMO-EV, Tenaga Nasional)
    • Che Hang Seng (Pengarah Teknikal, EVC dan JomCharge)
    • Simon Britter (Pengurus Produk Global EV, Exicom)

    EVx 2022: Ketahui pelbagai aspek berkaitan EV hujung minggu ini di Setia City —  jumpa di sana!

    Ahad, 24 Julai 2022

    Perbualan dengan pemilik EV — 3pm

      Pembicara:

    • Datuk Shahrol Helmi (pemilik Tesla Model S owner)
    • Zuhril Azhar (pemilik Tesla Model 3 owner)
    • Alvin Phua (pemilik Nissan Leaf dan tinggal di kondo)

    Semua bual bicara ini akan disiarkan secara langrung di laman web dan Youtube paultan.org. Datang ke EVx hujung minggu ini. Acara ini terbuka kepada umum dan masuk adalah percuma. Jumpa di sana.

    Mercedes-Benz oleh Hap Seng Star

    Volvo

     
     
  • MSF Supermoto 2022 – pusingan kedua di UniMAP, Perlis bakal saksikan saingan ramai pelumba pro

    MSF Supermoto 2022 – pusingan kedua di UniMAP, Perlis bakal saksikan saingan ramai pelumba pro

    Selepas pusingan pertama Mei lalu di Litar Tangkak, Johor Bahru, perlumbaan MSF Supermoto akan diteruskan dengan pusingan kedua di Litar UniMAP, Perlis. Seperti yang diberitahu sebelum ini, perlumbaan musim 2022 melibatkan lebih ramai pelumba dengan penyertaan hampir 50 orang pelumba.

    Melalui apa yang disaksikan semasa pusingan pertama, setiap kategori menunjukkan saingan sengit yang bukan sahaja menaikkan keterujaan pelumba, tetapi juga penonton. Selain dua perlumbaan bagi setiap kategori (Moto 1 dan Moto 2), terdapat juga perlumbaan khas Super Rocco untuk rebutan pelumba.

    Istimewanya perlumbaan MSF Supermoto tahun ini, ia turut melibatkan penyertaan pelumba profesional, dari pelbagai disiplin perlumbaan motosikal seperti Malaysia Super Bike Championship (MSBK), Asia Road Racing Champion (ARRC), British Super Bike, European Talent Cup, Asia Talent Cup, CEV Moto3, Moto2, FIM SuperMoto S4 Europe, FIM Asia SuperMoto serta Johor Motocross Series.

    Mereka adalah termasuk Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd Khairi Zakaria, Adam Norrodin, Daniel Haiqal, Ian Robert Dublin, Khairulamirin Yahaya, Zhafir Zarkasha, Lewis Cornish, Khuzaini Mahmood dan Muhd Sharul ‘Juan’ Ezwan.

    Sesi latihan akan bermula dari hari ini dan Sabtu (23 Julai) sementara perlumbaan sebenar akan berlangsung pada hari Ahad, 24 Julai. Selain hadir sendiri ke litar, anda juga boleh menyaksikan perlumbaan MSF Supermoto ini melalui siaran langsung di laman Facebook MotoMSF bermula jam 11.30 pagi hari Ahad.

     
     
  • Mercedes-Benz EQC400 4Matic diperkenalkan di M’sia – 408 hp/760 Nm; jarak EV 437 km; anggaran RM390k

    Mercedes-Benz EQC400 4Matic diperkenalkan di M’sia – 408 hp/760 Nm; jarak EV 437 km; anggaran RM390k

    Selain melancarkan model EQS 450+ AMG Line, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) juga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan semula model EQC, yang turut berada di bawah famili EQ. SUV elektrik ni pernah dipertontonkan di negara kita buat pertama kalinya pada Jun 2019 dan tika itu, ia dijangka mula menerima tempahan pada tahun 2020. Namun, disebabkan pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, maka perancangan itu tergendala buat seketika.

    Hadir dengan varian EQC 400 4Matic, ia ditawarkan dengan harga anggaran RM390,000 dan didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti lapan-tahun atau 160,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

    . Dengan kod nama N293, EQC 400 4Matic diberikan penjana kuasa dwi-motor dengan hamburan output 408 hp dan tork 765 Nm, membolehkan ia dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 180 km/j.

    Ia juga digandingkan dengan bateri 80 kWh, yang membolehkan EQC 400 4Matic yang mampu memberikan jarak hingga 437 km, dengan sokongan pengecasan AC dengan kapasiti 11 kW yang mengambil masa sekitar 11 jam jika menggunakan wallbox di rumah atau stesen pengecasan awam. Sementara pengecas pantas DC pula berkapasiti 110 kW, dengan status pengecasan dari 10% hingga 80% dalam 40 minit.

    Mercedes-Benz EQC400 4Matic diperkenalkan di M’sia – 408 hp/760 Nm; jarak EV 437 km; anggaran RM390k

    Seperti EQS, EQC 400 4Matic turut didatangkan dengan kemasan AMG Line, dengan ciri kelengkapan termasuk aloi ringan pelbagai-jejari AMG 20-inci, lampu utama Multibeam LED dan bilah pengelap cermin hadapan dengan penderia hujan. Manakala pencahayaannya pula menampilkan warna biru sebagai identiti bagi EQ. Malah gambaran yang lebih terang turut ditampilkan menerusi garisan melintang yang merentasi bahagian atas gril, memberikan pencahayaan yang berterusan dari jaluran lampu nyalaan siang pada lampu utama.

    Melewati bahagian belakangnya pula, lampu berbilang-seksyen ditampilkan dengan cermin tema jalur cahaya mendatar. Lampu-lampu ini sedikit kecil hasil daripada pemantul yang berada di bahagian bampar, menampakkan hujungnya yang lebih menarik dan sporty. Untuk menyerlahkan lagi peralihan reka bentuk dengan EQ, model ini turut mendapat tipografi khusus dengan spesifik EQ.

    Di dalamnya, EQC 400 4Matic turut diberikan kemasan AMG Line dan ciri lain termasuk pedal penukar gear Direct Select, pakej Interior Light, kemasan ala-aluminium, upholstery hitam kulit, kemasan kulit Nappa untuk roda stereng multifunction, sementara papan pemuka pula menerima kemasan kulit ala-Nappa.

    Selain itu, ia turut diberikan kaca akustik dengan penebat bunyi, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan larasan kuasa dan fungsi memori serta sokongan belakang.

    Mercedes-Benz EQC400 4Matic diperkenalkan di M’sia – 408 hp/760 Nm; jarak EV 437 km; anggaran RM390k

    Sistem MBUX terkini diberikan secara standard, dan panel instrumen digitalnya mempunyai empat tema khas EQ iaitu Modern Classic, Sport, Progressive dan Discreet. Malahan sistem ini turut termasuk dengan Pakej Inovasi yang terdiri daripada paparan utama, MBUX Interior Assistant, pakej Navigasi dengan pre-installed navigation, informasi trafik secara langsung, Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi termaju, paparan instrumen digital sepenuhnya, touchpad (tanpa pengawal) dan modul komunikasi Mercedes me.

    Selain itu, ciri lain yang turut diberikan untuk varian ini termasuk kawalan suhu Thermotronic, Easy-Pack tailgate, pakej Keyless Go, alas lantai AMG, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar, dua port USB-C untuk tempat duduk belakang dan soket pengecasan 12-voltan pada tempat penyimpan barangan.

    Sistem bantuan pemandu juga agak lengkap, dengan Driving Assistance Package, termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Steer Assist, Active Speed Limit Assist dengan Traffic Sign Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist dan Active Blind Spot Assist.

    Ia turut didatangkan dengan sistem pemantauan tekanan tayar, beg udara untuk bahagian lutur, sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz, kamera 360°, dan Active Parking Assist dengan Parktronic.

     
     
  • Aveta bakal lancar supermoped 25 Julai ini di M’sia

    Aveta bakal lancar supermoped 25 Julai ini di M’sia

    Dalam masa hanya beberapa hari lagi, Aveta akan melancarkan sebuah motosikal yang mereka gelarkan sebagai “Ultimate Supermoped.” Setakat ini hanya dua gambar teaser yang dikeluarkan, dan melaluinya kita dapat melihat beberapa ciri yang ada.

    Gambar pertama dari tepi menunjukkan motosikal ini menggunakan lampu utama yang terletak di bahagian dada seperti Honda RS-X, sementara bahagian ‘kepala’ yang bersambung kepada pemegang pula mempunyai jalur lampu DRL LED.

    Pergi pula kepada gambar kedua, ia menunjukkan bahagian roda yang menampakkan rim aluminium dengan rekaan cabang Y serta tayar yang lebar. Turut terlihat adalah brek cakera belakang, dengan angkup satu piston, tetapi ia mungkin tidak mempunyai ABS (di belakang) kerana tiada gegelung pengesan sistem tersebut di situ. Ekzos nampak tegap dan mempunyai kemasan warna perak di hujungnya.

    Aveta bakal lancar supermoped 25 Julai ini di M’sia

    Apabila dipanggil sebagai supermoped, kita mengharapkan enjin yang lebih besar berbanding Yamaha Y15ZR dan Honda RS-X yang menggunakan kapasiti 150 cc, tetapi spesifikasi sebenarnya hanya akan didedah sewaktu pelancaran nanti. Bersama kita nantikan.

    Kapcai terakhir yang dilancarkan oleh Aveta di pasaran Malaysia adalah V13R (RM6,688), di mana ia mempunyai rekaan hampir seperti Y15ZR, tetapi datang dengan enjin satu silinder SOHC 127 cc yang digabungkan bersama transmisi empat kelajuan, untuk menghasilkan kuasa 9.1 hp pada 7,500 rpm dan 6.0 Nm tork pada 7,500 rpm. Sistem bahan api enjin ini juga masih menggunakan karburetor.

     
     
  • Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) selaku pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia hari ini memperkenalkan Ford Ranger 2022 generasi baru untuk pasaran tempatan. Keseluruhannya ada tujuh varian ditawarkan, dengan dua daripadanya adalah XLT Plus pada harga RM142,888 dan Wildtrak pada harga RM168,888. Ranger Raptor berprestasi tinggi pula akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Empat lagi varian terdiri daripada XLT (dua versi MT dan AT) dengan harga dari RM124,888, serta dua lagi versi (MT dan AT) bagi varian XL dengan harga jualan bermula dari RM108,888.

    Ranger generasi baru ini, yang didedahkan November lalu, telah menerima pembaharuan menyeluruh, walaupun kekal menggunakan platform T6. Dari segi rekaan, Ranger baru ini nampak lebih tegap. Wajah depannya dengan lampu utama bentuk C, yang dilanjutkan ke bahagian gril baru menjadikannya lebih menonjol. Bahagian lengkung tayar kini lebih ketara.

    Pertama kali untuk Ranger, lampu utama Matrix LED kini diperkenalkan untuk varian WildTrak, sementara varian lain menggunakan reflektor LED atau reflektor halogen. Di belakang, lampu kombinasi LED digunakan, sementara pemegang pintu ruang belakang diletakkan di bawah lampu brek ketiga.

    Kamera undur pula diletakkan di bawah lencana Ford. Saiz rim kini antara 17-inci hingga 20-inci (bagi Wildtrak), dengan yang kedua ini merupakan pertama kali ditawarkan untuk Ranger. Sebagai tradisi trak pikap lazimnya, sistem pacuan empat-roda juga disediakan; sistem 4×4 separuh masa dengan shift-on-the-fly elektronik, dan sistem 4×4 sepenuh masa baru dengan suis elektronik dan transfer case dua-kalajuan (4H dan 4L).

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Selain itu, roda depannya juga telah dialih sebanyak 50 mm ke depan, menjadikan jarak antara rodanya lebih panjang. Sudut mendekati (approach angle) di depan juga kini dinaikkan daripada 28.5-darjah kepada 30-darjah. Begitu juga dengan sudut perlepasan (departure angle) di belakang dinaikkan daripada 21-darjah kepada 25.6-darjah dengan overhang depan 865 mm, mengurangkan kemungkinan bersentuhan dengan permukaan tanah ketika off-road.

    Ford Ranger 2022 menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue empat-silinder turbodiesel, dengan turbo tunggal atau bi-turbo. Janaan kuasa bagi versi turbo tunggal adalah 180 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm pada 1,750-2,500 rpm. Sementara bagi versi bi-turbo pula adalah 210 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm pada 1,750-2,000 rpm.

    Transmisi bagi enjin dengan turbo tunggal adalah unit 6R80 automatik enam-kelajuan, tetapi telah dijadikan lebih cekap berbanding sebelum ini. Turut ditawarkan adalah versi transmisi manual enam-kelajuan baru bagi pilihan enjin turbo tunggal; kotak gear baru ini mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan.

    Bagi versi bi-turbo — yang ada masalah kebocoran minyak dan diselesaikan dengan rekaan gasket baru — menampilkan unit Getrag 10R80 10-kelajuan, yang turut diberikan kemaskini untuk lebih cekap. Ia telah melalui lebih daripada enam juta kilometer ujian, termasuk lebih daripada 3,900 km di dalam perlumbaan off-road.

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Kini lebih ringan dan lebih tahan, transmisi berkenaan menampilkan tork converter baru, yang menurut Ford memberikan respon lebih baik dan mengatasi malasah “lag” ketika pecutan. Jurang nisbah antara kedudukan gear juga dirapatkan, menjadikan penyampaian kuasa lebih baik dalam beban enjin yang lebih rendah, memberi kelebihan ketika menunda atau off-road.

    Untuk melindungi bahagian penting ketika off-road, Ranger baru ini dipasangan pelindung bawah badannya untuk melindungi stereng, pam, transmisi dan transfer case. Jika dulu hanya model Raptor sahaja ditawarkan dengan pilihan mod pemanduan, kini ciri berkenaan ditawarkan untuk semua, bergantung kepada varian. Mod yang terlibat termasuk Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

    Turut disediakan ruang khusus di bawah bonet untuk pemasangan bateri kedua untuk kegunaan tambahan ketika beriadah/berkhemah. Bumbungnya boleh menampung beban 350 kg (statik) atau 85 kg (dinamik). Bergantung kepada varian, beban yang boleh ditampung oleh Ranger baru ini adalah sekitar 1,000 kg.

    Lain-lain kelengkapan menarik termasuk ruang kargo kini 50 mm lebih lebar. Pelindung lantai kargo plastik juga baru, dengan adanya dua soket 240 volt, 400 watt untuk pelbagai kegunaan serta penutupnya untuk melindungi cat dan permukaan logam yang ada.

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Tangga di belakang juga baru, dan disepadukan ke dalam trak ini di belakang roda belakang. Ini menjadikan muat-naik-turun barang lebih mudah, kerana pengguna tidak lagi perlu memijak tayar untuk tujuan itu. Permukaannya juga bertekstur untuk memberikan cengkaman ketika dipijak.

    Di dalam, skrin infotainmen menegak 12-inci akan mencuri tumpuan, lengkap dengan sistem Ford SYNC 4A. Panel instrumen digital lapan-inci juga tersedia, begitu juga dengan kamera keliling 360-darjah resolusi tinggi serta pengecas Qi tanpa wayar. Selebihnya, ada juga ruang cawan boleh alih, ruang simpanan barangan di bawah dan belakang kerusi, glovebox dua tingkat serta slot USB-C dan USB-A.

    Aspek keselamatan menyaksikan beberapa ciri baru diperkenalkan untuk Ranger 2022 ini. Antaranya ialah Post-Collision Braking yang akan mengaktifkan brek selepas perlanggaran untuk mengurangkan risiko perlanggaran kedua; Evasive Steer Assist yang pertama untuk segmen ini, yang menghindarkan kemungkinan perlanggaran dengan kereta hadapan yang perlahan atau berhenti, dengan memberikan daya tambahan kepada stereng; Reverse Brake Assist yang standard untuk Wildtrak, yang membantu menghindarkan perlanggaran ketika mengundur; Cross Traffic Alert yang akan memaklumkan sekiranya ada kenderaan menghampiri di belakang ketika mengundur; dan Adaptive Cruise Control dengan Stop-and-Go, juga untuk varian Wildtrak.

    Ford Ranger 2022 dilancarkan di Malaysia — tujuh varian, bermula dari RM109k; Raptor ditunjuk, tiba Q4

    Ciri Pre-Collision Assist yang ada pada Wildtrak dan XLT Plus pula diberi peningkatan dengan kamera pandangan lebar di cermin depan. AEB di dalamnya juga kini dipertingkat dengan ciri pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal. Dua ciri lain dalam rantaian ini kekal sama — Forward Coliision Warning dan Dynamic Brake Support.

    Ford Ranger 2022 ini datang dengan jaminan lima-tahun, dengan pilihan jaminan lanjutan sehingga tujuh tahun untuk pelanggan yang mahukannya.

    Ford Ranger 2022 XL 2.0L 6MT

    Ford Ranger 2022 XLT 2.0L AT

    Ford Ranger 2022 XLT Plus 2.0L AT

    Ford Ranger 2022 Wildtrak 2.0L AT

     
     
  • Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Mercedes-Benz EQB 350 4Matic 2022 turut diperkenalkan hari ini dalam majlis pelancaran EQS 450+ AMG Line 2022. Diproduksi di Kecskemét, Hungary, EQB 350 4Matic 2022 dijual pada harga jangkaan sekitar RM330,000 atas jalan tanpa insurans, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Ia juga didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti lapan-tahun atau 160,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

    Menggunakan tetapan pacuan semua roda dua motor, EQB hadir dengan padanan transmisi satu-kelajuan dalam keadaan standard. Motor di hadapan adalah unit asynchronous (ASM) sementara motor di belakang pula menggunakan unit permanently excited synchronous (PSM). Pacuan kuasanya mencecah 292 PS dan tork 520 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.2 saat, manakala laju maksimum mencecah 160 km/j.

    Kuasanya dipacukan dari pek bateri lithium-ion 420-voltan dengan kapasiti tenaga 66.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak 419 km.

    Dalam keadaan standard, EQB datang dengan pengecas onboard 11 kW, dan apabila dicucuk ke soket three-phase 11 kW, ia boleh memenuhkan bateri dalam masa 5 jam 45 minit. Ia juga boleh menerima pengecas DC pada kadar maksimum 100 kW, dan mengambil masa cuma 32 minit untuk mengisi bateri dari 10% ke 80%. Jika dicas selama 15 minit, ia dapat memberi jarak gerak tambahan 140 km.

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Kabel pengecasan sepanjang lima meter juga diberikan, yang boleh digunakan untuk mengecas menerusi wallbox di rumah dan stesen pengecasan awam. Untuk bahagian luarannya, ia diberikan roda aloi 19-inci, rel bumbung aluminium dan juga bilah pengelap cermin dengan penderia hujan. Lampu utama LED High Performance turut ditampilkan berserta dengan pencahayaan sekeliling dengan unjuran logo jenama.

    Memandangkan EQB ini boleh dianggap seperti GLB versi elektrik, saiznya juga hampir sama dengan panjang 4,684 mm, lebar 1,834 mm, tinggi 1,667 mm dan jarak roda 2,829 mm. Ruang barangan yang disediakan boleh menjadi antara 465 liter hingga 1,710 liter bagi versi lima tempat duduk sementara versi tujuh tempat duduk menyediakan 465 liter hingga 1,620 liter. Tempat duduk baris kedua boleh dilungsurkan ke hadapan sehingga 140 mm, seterusnya memberi tambahan 190 liter lagi bagi ruang barangan.

    Barisan ketiga tempat duduk juga hadir dengan tali pinggang keledar tiga-poin secara standard, dan ia boleh menempatkan penumpang yang berketinggian sehingga 165 cm. EQB juga boleh memuatkan sehingga empat kerusi kanak-kanak untuk barisan kedua dan ketiga, dengan satu lagi tambahan di tempat duduk penumpang hadapan.

    Melihat kepada rekaan, EQB mendapat muka hadapan dengan rekaan Electric Art serta lampu belakang yang khas untuknya, tetapi bahagian lain adalah sama seperti GLB termasuklah bonjolan di atas bonet. Terdapat jalur fibre-optic melintang yang menyambungkan DRL LED kiri dan kanan, dan di bawahnya terdapat jalur biru.

    Ciri lain yang diberikan untuk luarannya termasuklah roda aloi-ringan lima-jejari 19-inci, rel bumbung aluminium, lampu utama LED High Performance serta bilah pengelap cermin dengan penderia hujan.

    Untuk bahagian kabinnya pula, SUV tujuh-tempat duduk ini menampilkan bentangan kulit sintetik Artico dan fabrik Cupertino, dengan kemasan dua-tona rosé gold dan titanium grey pearl. Kemasan warna ini digunakan pada corong pendingin hawa, alas kaki serta jahitan tempat duduk, sementara roda stereng multifunction dengan upholstery dalam kulit Nappa.

    Mercedes-Benz EQB350 4Matic 2022 di M’sia – 292 hp/520 Nm, jarak EV 423 km; harga jangkaan RM330k

    Pengeluar dari Jerman ini juga mengambil penting tahap NVH EQB, sekaligus memasang lebih bahan penyerap pada bahagian keliling motor elektrik. Komponen yang menghasilkan gegaran seperti compressor pendingin hawa dipasang dengan penyerap getaran, manakala bushing getah dan bearing dipasang pada suspensi hadapan dan belakang.

    Sistem MBUX terkini diberikan secara standard, dan panel instrumen digitalnya mempunyai empat tema khas EQ iaitu Modern Classic, Sport, Progressive dan Discreet. Malahan sistem ini turut termasuk dengan Pakej Inovasi yang terdiri daripada paparan utama, MBUX Interior Assistant, pakej Navigas dengan pre-installed navigation, informasi trafik secara langsung, Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi termaju, paparan instrumen digital sepenuhnya, touchpad (tanpa pengawal) dan modul komunikasi Mercedes me.

    Selain itu, ciri lain yang turut diberikan untuk varian ini termasuk kawalan suhu Thermotronic, Easy-Pack tailgate, pakej Keyless Go.

    Sistem bantuan pemandu juga agak lengkap, dengan Driving Assistance Package, yang menyediakan pemanduan semi autonomous Level 2. Ia termasuk Active Distance Assist Distronic, Active Steer Assist, Active Speed Limit Assist dengan Traffic Sign Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist dan Active Blind Spot Assist.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW; harga dari RM699k

    Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW;  harga dari RM699k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan model elektrik penuh EQS dengan menawarkan varian tunggal EQS450+ untuk pasaran tempatan. Sedan elektrik sepenuhnya ini pertama kali diperkenalkan di persada dunia pada April 2021 dan telah membuka pendaftaran minat untuk pasaran Malaysia sejak Mac lalu. EQS merupakan model pertama yang dibangunkan dengan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) platform, yang turut digunakan untuk SUV EQS, EQE dan SUV EQE.

    Bagi varian EQS 450+, ia diberikan bateri lithium-ion 396 voltan dengan kapasiti tenaga 107.8 kW yang mampu memberikan jarak antara 631 km hingga 782 km bagi pengecasan penuh mengikut kitaran-WLTP, dan turut digandingkan dengan motor-tunggal pacuan roda-belakang (RWD) dan transmisi automatik kelajuan-tunggal. Gandingan ini memberikannya kuasa keseluruhan mencecah 245 kW (333 hp) dan tork 565 Nm, membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 210 km/j.

    Bagi sistem pengecasannya, EQS 450+ boleh menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) berkapasiti 11 kW dengan status pengecasan (SOC) 10%-100% mengambil masa selama 10 jam. Selain itu, ia juga menyokong pengecas pantas DC (sambungan CCS2) dengan kapasiti 200 kW yang hanya mengambil masa sekitar 31 minit untuk mencapai SOC 10%-80%.

    Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW;  harga dari RM699k

    Diimport dari Jerman, sedan elektrik penuh ini berukuran 5,216 mm panjang, 1,926 mm lebar, 1,512 mm tinggi dan jarak rodanya 3,210 mm, kecil sedikit berbanding model semasa S-Class. Ia ditampilkan dengan stereng gandar-belakang untuk pergerakan yang lebih mudah, pakej AIRMATIC dan suspensi dengan sistem peredam adaptif. Dan sebagai kenderaan pintar, barisan EQS diberikan 350 penderia yang setiap satunya memiliki fungsi sendiri termasuk merekodkan jarak, kelajuan dan pendikitan, keadaan pencahayaan, dan banyak lagi. Ia hasil kendalian bersama sistem kecerdasan bantuan (A.I).

    Untuk imej luarannya pula, EQS 450+ kelihatan cukup sporty dengan gaya ala coupe dan dilengkapi dengan penggayaan AMG Line. Ini termasuklah gril yang tertutup sepenuhnya yang menggunakan warna hitam berkilat dengan paten Mercedes-Benz, serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan.

    Ia juga dilengkapi dengan pakej Digital Light yang terdiri daripada Digital Lighting dan juga Adaptive Highbeam Assist Plus. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 21-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik.

    Mercedes-Benz EQS450+ AMG Line 2022 dilancar di Malaysia – 333PS, bateri 107.8 kW;  harga dari RM699k

    Menjengah bahagian kabinnya, rekaan serba mewah dan futuristik dipertaruhkan dengan elemen Electric Art. Papan pemuka EQS diberikan corong penghawa dingin tengah yang nipis dan nampak seakan bersambung terus dengan kemasan pada pintu. Ia juga hadir dengan dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6-inci untuk penumpang belakang. Dengan gandingan penggunaan material-material premium dan juga lampu suasana, kabin EQS ini benar-benar nampak futuristik.

    Dari segi visual, tumpuan utama sudah tentulah Hyperscreen MBUX yang merentangi keseluruhan papan pemuka sedan ini dan ia menampilkan pengimbas cap jari, sistem multimedia MBUX dan paparan penumpang hadapan OLED. Sebagai salah satu daya tarikan utama EQS 450+, Hyperscreen MBUX ini turut hadir dengan gabungan tiga skrin di bawah kaca aluminium silikat tahan calar berukuran 141 cm. Tiga skrin tersebut termasuk skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen pemandu, 17.7-inci untuk skrin tengah dan juga satu lagi skrin 12.3-inci untuk penumpang hadapan.

    Panel OLED digunakan untuk skrin tengah dan juga penumpang hadapan, dan ia turut memberikan tindak balas haptik yang dihasilkan menerusi actuator. Fungsi ini membantu untuk memberikan rasa seakan menggunakan suis atau butang mekanikal biasa ketika pengguna berinteraksi dengan skrin sesentuh tersebut.

    Bagi sistem MBUX, ia berfungsi dengan sistem kecerdasan bantuan (A.I) yang terkini membolehkan pembantu digital “Hey, Mercedes” mengenal lebih banyak arahan lisan serta diberikan pendekatan “zero-layer”, di mana fungsi yang selalu digunakan akan sentiasa dipaparkan pada skrin Home, dan pengguna tidak perlu mencari semula fungsi berkenaan atau menggunakan arahan suara.

    Ciri lain yang diberikan untuk EQS 450+ termasuklah roof liner dengan material fabrik hitam, roda stereng Multifuntion balutan kulit Nappa dan pedal penukar gear dalam rona krom perak. Untuk keselesaan yang lebih jitu, EQS 450+ turut diberikan Comfort Seat, dengan upholstery balutan kulit Nappa, dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi memori.

    Bukan itu sahaja, konsol tengahnya pula ditampilkan dengan kemasan kayuan struktur garisan Anthracite. Selain itu, ia juga diberikan pakej KEYLESS-GO Comfort yang turut merangkumi akses bebas-tangan, tablet MBUX untuk tempat duduk belakang, sistem pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar, USB Package Plus, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan suhu automatik THRMOTRONIC, sistem bunyi Burmester® 3D dan juga EASY-PACK tailgate.

    Untuk aspek keselamatannya pula, EQS 450+ diberikan Driving Assistance Plus Package yang merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, sokongan pergerakan Evasive, PRE-SAFE® impulse side , kamera 360°, Bantuan Parkir Aktif, sistem pemantauan tekanan tayar TIREFIT dan penderia belakang untuk bantuan ketibaan lorong.

    Diproduksi di Factory 56, Jerman, yang merupakan kilang pemasangan Mercedes-Benz C02-neutral, EQS 450+ ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM698,888 dengan cukai SST dan tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti 10-tahun atau 250,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Jun 2022 naik 25.15% – ‘cuti’ SST terus memacu peningkatan penghantaran

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Jun 2022 naik 25.15% – ‘cuti’ SST terus memacu peningkatan penghantaran

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Jun 2022, dengan sejumlah 63,366 unit kenderaan baharu telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12,732 unit berbanding 50,634 kenderaan (asalnya dilaporkan sebanyak 49,603 unit) yang terjual pada Mei, atau melibatkan kenaikan sebanyak 25.15%.

    Menurut MAA, peningkatan jualan pada bulan lalu disumbangkan dari pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang terus menarik perhatian pembeli sehingga tempoh berkenaan pada 30 Jun seperti yang dijadualkan.

    Berbanding bulan yang sama pada 2021, jualan pada Mei 2022 adalah lebih tinggi sebanyak 3,190% (atau 61,440 unit) berbanding 1,926 unit (asalnya dilaporkan sebanyak 1,921 unit) bagi tempoh yang sama tahun lalu. Jurang jumlah keseluruhan yang berbeza ini bukanlah suatu kejutan, memandangkan operasi semua bilik pameran kenderaan di seluruh negara ditutup susulan Perintah Pergerakan Kawalan pada 1 Jun lalu.

    Sementara itu, setakat ini, jumlah keseluruhan untuk separuh pertama tahun 2022 adalah mencecah 331,386 unit, lebih 33% (atau 82,208 unit) berbanding 249,178 unit yang dicatatkan pada enam bulan pertama tahun lalu.

    MAA turut meramalkan jualan bagi Julai adalah lebih kurang sama dengan rekod yang dicapai pada Jun, dengan syarikat kereta terus memenuhi tempahan yang diperoleh sepanjang tempoh ‘cuti’ SST dan ia mungkin berterusan sehingga Mac tahun depan, susulan keputusan kerajaan yang membenarkan kenderaan yang dibeli sepanjang tempoh pengecualian SST yang berakhir pada 30 Jun 2022 boleh didaftarkan sehingga 31 Mac hadapan.

    Walau bagaimana pun, MAA turut menambah isu bekalan cip semi konduktor dan komponen akan berterusan hingga memberikan kesan terhadap penghantaran kenderaan yang ditempah.

     
     
  • KTMB umum pertambahan perkhidmatan untuk KTM Komuter bagi sektor Lembah Klang dan sektor Utara

    KTMB umum pertambahan perkhidmatan untuk KTM Komuter bagi sektor Lembah Klang dan sektor Utara

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan perkhidmatan baharu dan lanjutan untuk KTM Komuter bagi sektor Utara dan sektor Lembah Klang.

    Untuk KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia melibatkan laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, bermula Isnin hadapan (25 Julai 2022). Selain itu, terdapat juga tujuh perkhidmatan lanjutan ke/dari stesen Pulau Sebang pada hari bekerja dan satu perkhidmatan lanjutan dari Pulau Sebang pada hari minggu dan hari kelepasan Am.

    Manakala bagi KTM Komuter sektor Utara, terdapat setiap satu perkhidmatan tambahan untuk laluan Padang Besar-Butterworth, Butterworth-Padang Besar, Padang Rengas-Butterworth dan Butterworth-Padang Rengas. Semua perkhidmatan tambahan ini bermula esok, 22 Julai 2022.

    Bagi mengetahu jadual penuh untuk perkhidmatan tren berkenaan, anda boleh layari laman web rasmi KTM atau menerusi aplikasi MyRailtime.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025