Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025

    GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025

    Pengedar kenderaan GAC di Malaysia, WTC Automotif (WTCA) telah mengumumkan pemasangan tempatan untuk GAC Emkoo telah pun bermula di kilangnya di Segambut, menjelang pelancarannya yang dijangka pada suku ketiga tahun ini.

    Ini merupakan model kedua GAC yang dikeluarkan secara unit pemasangan tempatan di fasiliti berkenaan, selepas model segmen-B Emzoom GS3 dilancarkan di Malaysia pada April 2024.

    Pernah kelihatan ia dipandu di jalan raya pada Mac lalu, Emkoo merupakan SUV segmen-C yang berukuran 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm, yang dikatakan mampu memberikan persaingan buat Honda CR-V dan Proton X70.

    Seperti GS3 Emzoom, Emkoo juga menggunakan Global Platform Modular Architecture (GPMA), dan untuk pasaran global, SUV ini ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk 1.5 liter, 2.0 liter pengecas turbo petrol dan juga 2.0 liter hibrid.

    GAC Emkoo di M’sia – pemasangan tempatan CKD di kilang Segambut bermula, dilancarkan pada Q3 2025

    Bagi pilihan enjin 1.5 liter petrol, ia mampu menghamburkan kuasa 177 PS pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm antara 1,400 dan 4,500 rpm, memacukan roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan.

    Bagi Emkoo yang pernah dipertontonkan di Malaysia, kabinnya diberikan paparan instrymen digital tujuh-kelajuan dan skrin sesentuh infotainmen 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay, namun tidak pasti adakah ia juga diberikan untuk model yang bakal dipasarkan di sini.

    Di China, Emkoo turut ditawarkan dengan paparan yang lebih besar iaitu paparan instrumen 10.25-inci dan skrin sesentuh 14.6-inci serta sistem bunyi Yamaha bersama 12-pembesar suara.

    “Kami berbangga untuk mara ke langkah seterusnya dalam perjalanan CKD kami dengan pelancaran pengeluaran besar-besaran Emkoo. Pencapaian ini menyerlahkan keupayaan kami untuk memenuhi piawaian kualiti global bagi pemasangan secara tempatan. Emkoo mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan berteknologi maju dan reka bentuk ke hadapan kepada pengguna Malaysia dengan cara yang tepat pada masanya dan juga cekap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif WTC Automotif Tan Keng Meng.

    GALERI: GAC Emkoo dipertonton di Malaysia

     
     
  • ADAS, brek, lampu, HVAC Proton akan dibuat di Malaysia; kerjasama vendornya dan pembekal Geely

    ADAS, brek, lampu, HVAC Proton akan dibuat di Malaysia; kerjasama vendornya dan pembekal Geely

    Proton telah melengkapkan empat perjanjian usahasama dan juga dua perjanjian teknikal antara beberapa vendornya di Malaysia dan pembekal-pembekal komponen Geely dari China untuk meningkatkan lagi penghasilan komponen-komponen secara tempatan di sini.

    Menerusi sesi kali ini, vendor berpengalaman Proton iaitu Delloyd Technology Bhd telah menandatangani kerjasama dengan Imotion Automotive Technology (Suzhou) Co Ltd yang merupakan pembekal utama sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) kepada OEM di China seperti Geely, ZEEKR, Chery dan Volvo, untuk “membantu mempercepatkan pembangunan dan penggunaan sistem ADAS untuk model AMA01”. Ini mungkin merujuk kepada model pertama Proton yang akan menampilkan platform AMA, iaitu Proton Saga MC3 yang akan dilancarkan tahun ini.

    Manakala PEPS JV (M) Sdn Bhd menandatangani perjanjina dengan Liuzhou Sanly Autoparts Co Ltd bagi menghasilkan komponen-komponen sistem brek yang bakal digunakan pada model Saga MC3, X50, X70 dan X90. Selain itu JHM Consolidation Bhd telah menandatangani perjanjian dengan Jiangsu Dekai Auto Parts Co Ltd untuk menghasilkan komponen sistem lampu, dan Trillion Speed (M) Sdn Bhd bersama Shanghai Yinlun Heat Exchange Systems Co Ltd pula bakal berkerjasama untuk menghasilkan komponen untuk sistem penghawa dingin (HVAC) Proton di Malaysia.

    Dua perjanjian teknikal yang dimeterai pula adalah antara SHJ Interia Sdn Bhd-Changchun Fawsn Automotive Trim Co Ltd (untuk komponen bahagian kabin, terutamanya pelapik bumbung) serta Xenso Electronics Sdn Bhd dan Freetech Intelligent Systems Co Ltd (untuk ADAS, khasnya bagi pemantau titik buta dan bantuan tukar lorong).

    “Dengan komponen berteknologi tinggi menjadi semakin penting dalam model kami, penting bagi Proton untuk membawa pembangunan dan pengeluaran komponen ini ke ekosistem tempatan. Ini bukan sahaja untuk pengurangan kos tetapi juga untuk meningkatkan keupayaan pasukan R&D dan vendor. Perjanjian usaha dan teknikal ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk mengeluarkan kenderaan di Malaysia, sambil turut menjadikan negara ini hab automotif dengan menyumbang kepada merealisasikan Automotive High Tech Valley (AHTV) yang diterajui oleh pemegang saham syarikat,” kata Ketua Pegawai Perolehan Proton, Wang Huaibing.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan, JPJ dedah senarai syarikat bas ekpres, lori ada banyak saman tertunggak

    Kementerian Pengangkutan, JPJ dedah senarai syarikat bas ekpres, lori ada banyak saman tertunggak

    Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mendedahkan senarai syarikat pengusaha bas ekspres dan lori yang memiliki banyak saman trafik tertunggak atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

    Menurut Menteri MOT Anthony Loke, pihak berkuasa mengenalpasti 11 pengusaha lori dengan lebih 1,000 saman tertunggak dan 17 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 saman tertunggak. Beliau menambah bahawa senarai itu turut mendedahkan terdapat sebuah syarikat mempunyai 22,017 saman tertunggak sahaja. Tujuan mendedahkan senarai ini juga adalah untuk memberikan amaran kepada orang lain.

    Katanya lagi, lima kesalahan utama yang dilakukan oleh syarikat kenderaan komersial berat ialah kesalahan teknikal (brek/tayar tidak mengikut spesifikasi kenderaan/ serta pengubahsuaian kenderaan), pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, lebih muatan kenderaan, tiada cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah, dan memandu melebihi had laju.

    Klik untuk besarkan

    Bagi pengusaha bas ekspres, lima kesalahan paling biasa yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju, melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas (termasuk memandu lama di lorong paling kanan, memotong barisan, dan pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu), kesalahan teknikal, pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, serta tiada cukai jalan (LKM) dan insurans yang sah.

    Loke berkata bahawa semua syarikat yang terlibat telah diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat JPJ negeri atau cawangan. “Kegagalan untuk berbuat demikian akan diikuti dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, termasuk menyenaraihitamkan kenderaan serta-merta,” katanya.

    Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, dan mengingatkan semua pengusaha kenderaan komersial supaya menyemak dan menyelesaikan semua saman tertunggak.

     
     
  • JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    Semalam tular gambar sebuah Toyota GR86 menerima grafik badan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di media-media sosial. Jadi betul ke jabatan berkenaan dah guna kereta sport dua pintu tersebut untuk tugas-tugas rondaan? Jawapannya, tidak.

    Perkara sebenar telah didedahkan oleh laman Facebook rasmi perlumbaan Super GT Malaysia yang menyatakan bahawa Toyota GR86 tersebut sebenarnya adalah Safety Car yang akan digunakan dalam perlumbaan GR86 Cup Malaysia, di mana pusingan pertama siri ‘one make’ berkenaan akan berlangsung sekali dengan perlumbaan Super GT Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

    Kami turut difahamkan bahawa pihak penganjur perlumbaan berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment telah bekerjasama dengan pihak JPJ, membolehkan Safety Car tersebut menggunakan grafik badan kereta peronda jabatan itu. Dari gambar yang disiarkan juga dapat dilihat Haro menggunakan GR86 dengan spesifikasi yang sama seperti kereta lumba GR86 Cup sebagai asas untuk Safety Car berkenaan.

    Haro telah membawa 30 unit GR86 dalam spesifikasi Cup Car bagi dijual kepada mana-mana pihak yang berminat menyertai siri perlumbaan tersebut. Siri GR86 Cup ini sebenarnya turut dianjurkan di pelbagai negara lain termasuk Jepun, Australia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

    JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    Jentera ini diasaskan dari varian ‘kosong’ GR 86 RC pasaran Jepun yang datang tanpa aksesori seperti sistem infotainmen, dan hanya dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan. Varian ini hanya menampilkan berat keseluruhan 1,260 kg, tetapi mencapai 1,290 kg selepas ia siap sebagai sebuah kereta lumba. Ia juga masih menampilkan enjin FA24D 2,387 cc boxer empat-silinder tanpa pengecas turbo menghasilkan 227 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,700 rpm.

    Bagi menjadikan ia sebuah jentera dalam spesifikasi Cup Car, GR86 ini diberikan tingkat taraf seperti sistem ekzos Fujitsubo, set klac plat tunggal perlumbaan dari Cusco dan penyejuk minyak transmisi. Talaan enjin masih lagi standard, namun talaan pada respons pendikit dibenarkan dengan penggunaan pengawal pendikit elektronik bagi memberikan kawalan pedal dan respon yang lebih baik kepada pemandu.

    Manakala untuk casis, kereta lumba ini diberikan set suspensi perlumbaan KW Racing dan juga set-set bushing suspensi dari TRD. Kereta lumba ini juga diberikan LSD jenis 1 Way pada gandar belakang, manakala sistem stereng berkuasa elektrik mendapat talaan semula.

    Dari kilang GR86 RC ini juga sebenarnya hanya datang dengan set rim besi 16-inci bersama tayar bersaiz 205/55R16. Namun untuk perlumbaan di Malaysia ini, semua pasukan diwajibkan untuk meggunakan set rim aloi forged dari jenama tempatan, Raxer RP10X berdiameter 17-inci dan lebar 8 jj, dibalut dengan tayar rasmi untuk siri ini di Malaysia iaitu Bridgestone Potenza RE-71RS bersaiz 225/45R17.

    Manakala di sebalik set roda berkenaan tersorok set brek Advics dengan angkup empat omboh bersama cakera dua bahagian 345 mm x 30 mm di hadapan, dan juga angkup dua omboh bersama cakera 330 mm x 26 mm di belakang.

    Kesemua 30-unit kereta lumba ini juga akan datang sekali dengan set rollcage berdiameter 40 mm yang menerima kelulusan undang-undang pertandingan JAF di Jepun, tempat duduk bucket Bride Zeta untuk pemandu yang lengkap bersama tali pinggang keselamatan enam-point, dan juga kelengkapan HANS.

    Selain itu ia juga datang dengan sistem pemadam api dan kill switch di luar dan dalam kabin bagi mematikan arus elektrik sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan, pin bonet keselamatan dan juga cangkuk tunda di hadapan dan belakang bagi memudahkan kerja-kerja menunda di dalam litar.

    JPJ kini guna kereta peronda Toyota GR86? Tak, ini adalah safety car untuk perlumbaan GR86 Cup M’sia!

    Pusingan pertama GR86 Cup Malaysia ini akan menjadi perlumbaan sokongan untuk Super GT di Sepang yang sebenarnya telahpun bermula hari ini. Perlumbaan utama akan bermula esok dan berlangsung selama 10-lap. Sebanyak tiga pusingan akan diadakan sepanjang 2025, di mana pusingan kedua berlangsung bersama perlumbaan 300 km Malaysia Championship Series, manakala pusingan terakhir akan dibuat dalam format endurance di mana peserta perlu menghabiskan 86 lap. Ke semua pusingan akan berlangsung sepenuhnya di Sepang.

    Masih belum terlambat untuk anda membeli tiket bagi menyaksikan perlumbaan ini. Haro Sports & Entertainment sebelum ini turut telah mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.

    Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia atau di Litar Sepang ketika perlumbaan berlangsung. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.

    GALERI: Toyota GR86 Cup Malaysia

     
     
  • Volvo XC60 sudah terjual lebih 2.7 juta unit di seluruh dunia, atasi rekod Volvo 240 sebagai model terlaris

    Volvo XC60 sudah terjual lebih 2.7 juta unit di seluruh dunia, atasi rekod Volvo 240 sebagai model terlaris

    The XC60 overtakes the 240 to become Volvo’s best-seller

    Volvo Cars hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan bahawa SUV XC60 keluarannya kini telah pun terjual lebih dari 2.7 juta unit di seluruh dunia, mengatasi angka jualan model ikonik yang paling larisnya sebelum ini iaitu Volvo 240.

    “Ketika membesar di Sweden pada era 1980-an, Volvo 240 merupakan kereta keluarga yang ikonik – hampir setiap rumah memilikinya,” kata Susanne Hägglund, ketua penawaran global di Volvo Cars. “Hari ini, XC60 mengambil alih peranan itu – bukan sekadar sebagai pilihan keluarga, tetapi juga sebagai model paling berjaya dalam sejarah kami.”

    Model generasi pertama Volvo XC60 diperkenalkan pada tahun 2008. Ia merupakan model pertama Volvo yang dilengkapi dengan sistem City Safety, iaitu sistem brek automatik pertama di dunia yang didatangkan secara standard untuk membantu mengelak atau mengurangkan perlanggaran pada kelajuan sehingga 30 km/j. Sehingga kini, sistem yang sama sudah menjadi ciri biasa yang bukan sahaja dipadankan Volvo, malah untuk jenama-jenama lain membantu mengurangkan kemalangan.

    Volvo XC60 sudah terjual lebih 2.7 juta unit di seluruh dunia, atasi rekod Volvo 240 sebagai model terlaris

    The XC60 overtakes the 240 to become Volvo’s best-seller

    Manakala bagi model XC60 generasi kedua yang diperkenalkan pada 2017, ia kemudiannya menjadi model pertama di dunia yang memperkenalkan Oncoming Lane Mitigation – sistem yang membantu anda kembali ke lorong jika tersasar ke laluan bertentangan.

    XC60 pada mulanya hanya dipasang di Eropah menerusi kilang Volvo di Torslanda, Sweden. Namun selepas itu ia menjadi model Volvo global pertama yang turut dipasang di kilang Volvo di Chengdu, China bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan. Ia juga pernah dinobatkan sebagai World Car of the Year pada tahun 2018.

    Berbalik pada Volvo 240, ia muncul buat pertama kali pada tahun 1974, dan model ini dihasilkan hanya dalam satu generasi dengan jumlah pengeluaran sebanyak 2,685,171 unit. Ia diproduksi oleh beberapa kilang Volvo di seluruh dunia termasuk di Gothenburg dan Kalmar di Sweden, Ghent di Belgium dan tidak dilupakan ia turut diproduksi oleh kilang Volvo di Shah Alam, Malaysia.

    Ketika dilancarkan pada tahun 1974, Volvo 240 telah meletakkan standard baharu dalam keselamatan – termasuk rekaan badan yang mampu menyerap hentakan hadapan dan belakang, serta kabin penumpang yang diperkukuh. Prinsip ini bukan sahaja masih menjadi asas rekaan keselamatan Volvo hingga hari ini, malah ia turut digunakan oleh pembuat-pembuat kereta yang lain.

    Model ini juga antara yang terawal memperkenalkan perlindungan hentakan sisi yang kemudian dikembangkan menjadi sistem Side-Impact Protection System (SIPS) milik Volvo. Malah, Volvo turut memperkenalkan Child Booster Cushion pada tahun 1978 – iaitu satu inovasi baharu yang diperkenalkan pada dunia, satu ketika dahulu.

    Produksi Volvo 240 ini akhirnya ditamatkan selepas 19-tahun, dengan unit terakhirnya dikeluarkan di kilang Torslanda, Gothenburg pada 5 Mei 1993.

     
     
  • Harga minyak 26 Jun-2 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 dinaikkan 7 sen seliter

    Harga minyak 26 Jun-2 Julai – diesel untuk semenanjung dan RON97 dinaikkan 7 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 26 Jun hingga 2 Jun 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter iaitu menjadi RM3.21 seliter berbanding RM3.14 seliter pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak tujuh sen seliter iaitu menjadi RM2.88 seliter berbanding RM2.81 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat

    Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • GWM Tank 500 Vanta muncul di Australia – cat badan dan kemasan luaran hitam sepenuhnya, RM208k

    GWM Tank 500 Vanta muncul di Australia – cat badan dan kemasan luaran hitam sepenuhnya, RM208k

    Selepas lebih setahun berada dalam pasaran Australia, GMW Tank 500 kini diperkenalkan dalam edisi istimewa dengan rupa lebih garang untuk pasaran berkenaan, dikenali sebagai GWM Tank 500 Vanta. Sesuai dengan namanya, pengayaan luaran SUV gergasi ini nampak lebih agresif dengan diberikan lebih banyak kemasan hitam.

    Model ini diasaskan dari varian tertinggi Tank 500 pasaran Australia iaitu varian Ultra. Ia ditawarkan hanya dalam warna badan Crystal Black secara standard, di mana warna ini merupakan opsyen dengan tambahan harga AUD595 (RM1.6k) untuk varian biasa yang lain.

    Selain itu, kemasan-kemasan krom pada Tank 500 biasa diubah kepada hitam berkilat untuk Tank 500 Vanta ini termasuk gril hadapan, lencana Tank pada gril dan juga kemasan-kemasan pada bampar hadapan. Melengkapkan mukanya, lampu hadapan Tank 500 Vanta ini juga hadir dengan latar belakang berwarna hitam.

    Tak cukup dengan itu, panel-panel kemasan perak dan krom seperti pada rel bumbung, perapi-perapi cermin tingkap, perapi pada pintu tailgate dan bampar belakang, kemasan pada perumah tayar gantian, perumah lampu belakang, pembuka pintu, kemasan bendul pintu serta kemasan diffuser belakang semuanya turut sudah dihitamkan.

    GWM Tank 500 Vanta muncul di Australia – cat badan dan kemasan luaran hitam sepenuhnya, RM208k

    Model ini juga menerima set rim aloi 18-inci enam-jejari istimewa juga dalam kemasan hitam berkilat. Manakala angkup brek hadapan dan belakang pula diserlahkan dengan kemasan warna merah.

    Bagi perincian lain, Tank 500 Vanta ini berkongsi dengan Tank 500 Ultra pasaran Australia. Ia termasuk menerima locking differential pada gandar hadapan dan belakang, cruise control untuk laluan off-road dan bantuan ‘Tank Turn’.

    Dalam kabin SUV ini diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, roda stereng dengan pemanas, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, aliran udara dan pengurut, penghawa dingin tiga zon dan bumbung panaromik.

    Ia juga diberikan sistem keselamatan termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta, bantuan kekal lorong, amaran keluar selamat, kameran pemantau 540 darjah dengan pandangan telus bawah lantai dan pelbagai lagi.

    Unit rangkaian kuasanya juga tidak berubah, di mana SUV ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid dengan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo berkuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan dan tork maksima 380 Nm bermula 1,700 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama sebuah motor elektrik berkuasa 106 PS/268 Nm.

    Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Dengan semua perincian ini, GWM Tank 500 Vanta dijual pada harga AUD75,990 (RM208k) atau AUD2,000 (RM5.5k)lebih mahal dari varian Ultra. Tempahannya sudah dibuka dan penghantarannya kepada pelanggan akan bermula awal bulan depan.

    GWM Tank 500 ini juga baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu. Kita disini menerima hanya satu varian tetapi perincian yang ditawarkan adalah hampir sama dengan varian Ultra yang ditawarkan di Australia. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM328,800

     
     
  • BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Dua minggu lalu semasa acara My BMW World, BMW Malaysia secara rasmi telah memperkenalkan BMW X3 generasi keempat, G45. Sekarang, harga untuk satu-satunya varian yang ditawarkan, iaitu X3 20 xDrive M Sport diumumkan – RM320,800 tidak termasuk insurans. Jika memilih pakej waranti lima tahun berserta servis, harganya naik menjadi RM348,700.

    Model baru ini dipasang dalam negara (CKD), di kilang BMW di Kulim, Kedah dan harganya meningkat kira-kira RM9,000 berbanding model X3 sDrive20i Final Edition sebelum ini (atau RM10,200 jika termasuk pakej waranti). Namun, peningkatan ini hadir bersama pelbagai tambahan kelengkapan canggih.

    BMW X3 G45 digerakkan oleh enjin empat silinder 2.0L turbo B48 dengan kuasa 190 PS dan tork 310 Nm, digabungkan bersama sistem hibrid ringkas 48V (menambah 18 PS dan 200 Nm secara elektrik). Transmisi automatik ZF lapan kelajuan masih kekal dan kini hadir dengan sistem pacuan semua roda xDrive.

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Hasilnya, SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 7.8 saat, lebih pantas 0.4 saat berbanding model sebelum ini. Kelajuan maksimum masih lagi 215 km/j. Satu ciri baru yang penting adalah pakej Driving Assistant Plus, menawarkan bantuan pemanduan semi autonomous Tahap 2 – termasuk Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop & go serta Lane Centering Assist.

    Ciri keselamatan lain dalam pakej ini termasuk Autonomous Emergency Braking, Speed Limit Assist, Blind Spot Monitoring dengan pencegahan perlanggaran, Rear Cross Traffic Alert, Rear Collision Warning dan amaran bukaan pintu belakang.

    Dari segi saiz, X3 baru kini lebih besar dan garang. Ia mencatat ukuran panjang 4,755 mm dan lebar 1,920 mm – masing-masing bertambah 34 mm dan 29 mm. Namun, ketinggiannya direndahkan sebanyak 25 mm (kepada 1,660 mm), memberikan rupa lebih sporty manakala jarak roda pula bertambah sedikit kepada 2,865 mm.

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Rekaan luarannya mengambil inspirasi dari model elektrik BMW iX, dengan fender lebih bersegi, garis tingkap menaik, pemegang pintu rata dan permukaan sisi yang kemas. Bahagian hadapan menampilkan lampu utama segitiga dengan DRL berbentuk L dan gril “kidney” besar dengan pencahayaan Iconic Glow.

    Buat pertama kalinya, gril ini sekarang berpisah sepenuhnya dengan rekaan jalur menegak dan menyerong. Radar pula dialihkan ke sebelah kiri untuk rekaan yang lebih bersih. Lubang udara bawah turut diubah suai bagi menyerlahkan gaya sporty.

    Di belakang, lampunya berbentuk T dan tempat nombor plet kini ditempatkan di bampar – ciri pertama untuk model X bukan coupe. Paip ekzos juga kini disembunyikan. Model spesifikasi tempatan hadir dengan lampu LED automatik serta pakej M Sport yang termasuk bampar dengan bukaan udara besar, kemasan hitam berkilat dan rim 19 inci Style 1035 M.

    BMW X3 2025 – harga rasmi dikeluarkan, RM320,800 untuk X3 20 xDrive M Sport G45 hibrid ringkas

    Bahagian dalam juga menerima perubahan besar, dengan rekaan melengkung dan panel skrin besar merangkumi paparan pemandu digital 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci, menggunakan BMW Operating System 9. Sistem pencahayaan Interaction Bar kini disepadukan pada panel pintu, corong udara tengah dan pengecas tanpa wayar Qi.

    Ciri dalaman lain termasuk stereng tiga cabang bawah rata, tempat duduk sport larasam kuasa dengan memori di bahagian pemandu, kemasan brushed aluminium dan bumbung hitam, balutan kulit tiruan Veganza, kawalan suhu tiga zon, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, head-up display, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera 360 darjah dan pintu but boleh buka tanpa sentuhan.

    Walaupun terdapat bateri untuk sistem hibrid ringkasnya, ruang but masih dapat ditambah 20 liter menjadi 570 liter dan boleh dibesarkan hingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Penambahbaikan pada pengendalian termasuk anti-roll bar baru, gandar belakang lebih tegap dan jarak antara roda belakang lebih lebar.

    Namun, satu kekurangan ketara ialah sistem audio yang hanya menggunakan unit enam pembesar suara biasa (100W) – menurun daripada sistem HiFi 10 pembesar suara pada model sebelumnya. Sistem bunyi lebih baik ada disediakan sebagai pilihan tambahan, iaitu unit 15 pembesar suara Harman Kardon, tetapi di Malaysia ia masih belum ditawarkan.

     
     
  • Nissan Patrol Nismo 2026 diperkenal – Armada dengan 460 hp, suspensi dan ekzos sport, kit badan khas

    Nissan Patrol Nismo 2026 diperkenal – Armada dengan 460 hp, suspensi dan ekzos sport, kit badan khas

    Nissan terus memperkuat barisan SUV besarnya dengan memperkenalkan Patrol Nismo, versi prestasi tinggi bagi SUV yang dilancarkan pada September 2024. Juga dikenali sebagai Armada di beberapa pasaran, Patrol Nismo ini tampil lebih bertenaga dengan talaan semula stereng, suspensi sporty, sistem ekzos lebih lantang serta rekaan luaran dan dalaman yang lebih agresif – bersama warna ikonik Nismo, Stealth Gray.

    Model Nismo ini masih menggunakan enjin 3.5-liter V6 twin-turbo, tetapi dengan tambahan kuasa sebanyak 35 hp, menjadikan jumlah keseluruhannya 460 hp. Peningkatan kuasa ini dicapai menerusi penalaan semula sistem enjin dan pelarasan teliti pada ruang injap, sementara tork pula tidak berubah (dijangka kekal pada 700 Nm).

    Sistem ekzos juga telah ditala semula untuk menghasilkan bunyi yang lebih “hidup” dan kemudiannya ditambah lagi dengan teknologi Active Sound Enhancement dalam kabin yang menjadikan bunyi enjin lebih kuat ketika pemanduan.

    Nissan turut memberi sentuhan khas pada talaan stereng kuasa elektrik dan suspensi udara adaptif untuk menjadikan pengalaman pemanduan lebih responsif dan mantap. Patrol Nismo dipasang dengan rim 22 inci khas Nismo yang dibalut tayar berprestasi tinggi (UHP), sesuai dengan karekter pemanduan sporty.

    Rekaan luaran menyerlah dengan bentuk badan lebih berkotak serta lampu nyalaan siang LED berbentuk ‘E 3’. Nismo menyempurnakan gayanya dengan kit badan khas, berserta pemijak tepi, spoiler belakang, lengkuk fender yang lebih lebar, lampu kabus LED dan angkup brek berwarna merah.

    Patrol Nismo ditawarkan dalam beberapa pilihan warna eksklusif termasuk Nismo Stealth Gray, kombinasi Stealth Gray dengan bumbung hitam (Super Black) dan Black Diamond Pearl. Pembeli juga boleh memilih warna Everest White Pearl Tricoat, sama ada bumbung hitam atau warna yang sama dengan badan.

    Nissan Patrol Nismo 2026 diperkenal – Armada dengan 460 hp, suspensi dan ekzos sport, kit badan khas

    Bahagian dalaman pula diberi kemasan kulit berjahit corak berlian (quilted) dengan warna gelap dan kemasan benang merah. Tempat duduk hadapan menerima bahagian sokongan tepi boleh laras untuk keselesaan semasa pemanduan agresif, selain pedal aluminium dan lampu suasana pelbagai warna.

    Sejak dilancarkan akhir tahun lalu, Patrol generasi terbaru ini meneruskan legasi kenderaan 4×4 lasak Nissan yang telah terjual lebih 1.9 juta unit di seluruh dunia merentasi tujuh generasi. Selain versi Nismo, Patrol juga hadir dalam beberapa varian lain seperti SV, SL, Platinum, Pro-4X dan Platinum Reserve (pasaran Amerika Syarikat).

    Semua varian bukan Nismo dilengkapi enjin sama – 3.5L V6 twin-turbo berkuasa 425 hp, dipadankan dengan transmisi automatik 9 kelajuan dan pedal penukar gear di stereng. Keupayaan menarik kekal pada 3,855 kg untuk semua model.

    Varian Pro-4X pula direka khusus untuk pengembaraan lasak, dengan tayar all-terrain, bampar hadapan off-road, plat pelindung bawah, sistem pengunci differential elektronik dan suspensi udara adaptif. Rekaannya diserlahkan lagi dengan tambahan kemasan pada fender, rim 20 inci eksklusif Pro-4X dan kemasan Lava Red.

    Bahagian kabin juga didatangkan dengan pilihan tempat duduk baris kedua jenis kapten. Menambahkan daya tarikan, sistem bunyi dalam Patrol ini menggunakan jenama premium Klipsch, menampilkan 12 pembesar suara yang menjanjikan kualiti audio luar biasa – sesuatu yang jarang dilihat dalam SUV.

     
     
  • Bilik pameran Denza Sisma Auto Glenmarie kini dibuka

    Bilik pameran Denza Sisma Auto Glenmarie kini dibuka

    SISMA Auto kini melancarkan secara rasmi pembukaan bilik pameran Denza terbaru di Glenmarie, Shah Alam — dikenali sebagai Denza Sisma Auto Glenmarie. Kemudahan ini melibatkan premis dua tingkat dengan keluasan 20,000 kaki persegi dan melibatkan pelaburan sebanyak RM25 juta.

    Premis dengan penampilan mewah ini antara lain menempatkan galeri pameran yang luas yang akan mempamerkan barisan kenderaan elektrik akan datang keluaran Denza, serta membolehkan pelanggan untuk memandu uji model kenderaan yang ada.

    Premis berkenaan juga menyediakan sokongan lepas jualan yang menyeluruh, dengan kelengkapan canggih untuk menampung keperluan servis kenderaan pelanggan. Layanan concierge premium turut disediakan, termasuk untuk mengambil dan menghantar kenderaan tarus dari rumah atau pejabat pelanggan.

    Bilik pameran Denza Sisma Auto Glenmarie kini dibuka

    “Keyakinan global terhadap jenama BYD semakin meningkat. Sebagai sub-jenama BYD, Denza berada di kedudukan yang cukup baik untuk menarik perhatian pemilik kenderaan premium dan mewah. Jenama Denza pula terserlah dengan inovasi teknologi dan cadangan nilai yang menarik. Dengan pelancaran Denza Sisma Auto, kami menjadikannya pengalaman Denza lebih mudah diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan Sisma Auto Syed Khalil bin Syed Ibrahim.

    “Dengan pembukaan rasmi lima pengedar baru Denza, ia menjadi bukti kesungguhan kami dalam memberikan layanan yang luar biasa kepada pelanggan. Kami juga amat teruja dengan kehadiran SISMA Auto ke dalam keluarga Denza, yang terletak di kawasan strategik hab automotif Glenmarie. BYD Malaysia akan terus memperluaskan rangkaian pengedar dan pusat servis kami bagi memastikan kenderaan elektrik berkualiti tinggi – termasuk untuk pasaran umum dan premium – mudah didapati bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang semakin berkembang,” ujar Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, Eagle Zhao berkata,

    Pusat Pameran dan Service Denza SISMA Auto terletak di No 21, Jalan Perintis U1/52, Seksyen U1, Bandar Glenmarie, Shah Alam ini dibuka setiap hari mulai jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

     
     
  • Polis bakal beri 30% diskaun saman trafik terpilih pada 26-29 Jun dalam acara Karnival Rompin Fest 2025

    Polis bakal beri 30% diskaun saman trafik terpilih pada 26-29 Jun dalam acara Karnival Rompin Fest 2025

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 30% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 26hingga 29 Jun 2025.

    Penawaran diskaun saman ini akan berlangsung di Tapak Karnival Rompin Fest, Rompin bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang. Malah hari ini juga, penawaran diskaun trafik berkenaan turut berlangsung di Kaunter Trafik IPD Rompin. Masih sempat untuk anda mendapatkan penawaran diskaun trafik ini.

    Bayaran boleh dilakukan secara tunai atau pun menggunakan kad debit/kredit. Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman emalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Rompin atau daerah berhampirannya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • KTMB Shuttle Tebrau bakal ditamatkan pada 2027, digantikan dengan RTS bermula tahun yang sama

    KTMB Shuttle Tebrau bakal ditamatkan pada 2027, digantikan dengan RTS bermula tahun yang sama

    Selepas 12 tahun beroperasi, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau, yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bakal ditamatkan pada 2027. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, penamatan perkhidmatan tren itu susulan pengoperasian Rapid Transit System Link (RTS Link) yang akan bermula juga pada 2027, laporan Berita Harian.

    Mohamad Fazli berkata KTMB Shuttle Tebrau merupakah satu daripada mod pengangkutan yang membawa penumpang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura dengan tempoh perjalanan perkhidmatan berkenaan mengambil masa sekitar lima minit dengan harga tiket sehala RM5 dari Johor Bahru-Singapura dan SGD5 (RM17.80) dari Singapura-Johor Bahru.

    “Namun ia akan ditamatkan dalam tempoh enam bulan selepas RTS Link mula beroperasi pada 1 Januari 2027. Bagaimanapun, set keretapi KTMB Shuttle Tebrau akan terus digunakan untuk menambah kekerapan perjalanan dari JB Sentral ke Stesen Kempas,” katanya.

    RTS Link adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura. Ia dijadualkan siap menjelang Disember 2026 dan beroperasi awal 2027, RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit.

    Dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala, RTS Link bertujuan meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan memupuk hubungan Malaysia-Singapura yang lebih kukuh. Ia juga meliputi kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang ditempatkan bersama untuk memastikan proses pelepasan penumpang yang lancar.

     
     
  • Model konsep Mazda Iconic SP memang pengganti RX-7, bukan roadster MX-5 generasi baru – CTO Mazda

    Model konsep Mazda Iconic SP memang pengganti RX-7, bukan roadster MX-5 generasi baru – CTO Mazda

    Ketika model konsep Mazda Iconic SP membuat kemunculan di Japan Mobiliti Show dua tahun lalu, bukan semua orang berpendapat bahawa ia adalah bayangan untuk pengganti model sports rotary Mazda RX-7. Ini kerana ada yang mengandaikan bahawa model tersebut mungkin bayangan untuk Mazda MX-5 generasi baharu kerana saiznya yang lebih kecil dari RX-7, serta model generasi pertama Mazda MX-5 turut dipamerkan pada acara tersebut.

    Namun ketua pegawai teknikal (CTO) Mazda, Ryuichi Umeshita mengesahkan bahawa Iconic SP sememangnya bukan pengganti kepada MX-5 kerana ia direka dengan saiz lebih besar dari roadster yang turut dikenali dengan nama Miata di beberapa pasaran itu.

    “Anda boleh jangkakan Iconic SP akan menjadi penerus yang baik untuk RX-7,” kata Umeshita kepada portal automotif MotorTrend.

    Model konsep Mazda Iconic SP memang pengganti RX-7, bukan roadster MX-5 generasi baru – CTO Mazda

    Selain dari beberapa rekaan ikonik seperti profil sisi badan, lampu pop-up hadapan, bentuk pintu dan juga cermin belakang yang diinspirasi terus dari RX-7 dari generasi terakhir iaitu FD3S, yang mengesahkan bahawa Iconic SP ini merupakan pengganti RX-7 adalah enjin wankel rotary yang disumbat pada bonet hadapan, walaupun fungsi utama enjin tersebut adalah sebagai enjin penambah jarak (range extender) untuk mengecas semula bateri hibrid seperti fungsi pada sistem hibrid e-Skyactiv R-EV yang telahpun digunakan pada Mazda MX-30 R-EV.

    Untuk Iconic SP, enjin rotary yang dibekalkan tersebut adalah lebih berkuasa dengan dua rotor berbanding hanya satu rotor pada MX-30 R-EV, dan kedudukan enjin tersebut diletakkan pada kedudukan yang memberikan pusat graviti lebih rendah, agihan berat hadapan dan belakang 50:50 seperti RX-7 FD3S, serta motor elektrik memacu roda belakang dengan bekalan kuasa sehingga 370 PS.

    Untuk nama, Umeshita masih tidak dapat mengesahkan sama ada ia akan menggunakan nama RX-7 sebagai model generasi keempat (selepas SA22, FC3S dan FD3S) atau sebagai RX-9 untuk menyambung legasi yang ditinggalkan oleh kereta sport rotary terakhir Mazda iaitu RX-8.

    Model konsep Mazda Iconic SP memang pengganti RX-7, bukan roadster MX-5 generasi baru – CTO Mazda

    Namun beliau ada menyebut kereta sport berkenaan berkemungkinan akan menggunakan semula nama Cosmo, yang merupakan nama model kereta sport produksi pertama Mazda yang menggunakan enjin rotary iaitu Mazda Cosmo Sport, serta beberapa model rotary mewah seperti Cosmo AP (juga dikenali sebagai RX-5) dan Eunos Cosmo.

    Walaupun belum ada kata putus bahawa versi produksi bagi Mazda Iconic SP ini akan dihasilkan atau tidak, Mazda kini dilihat sedang serius untuk menjadikannya kenyataan. Tahun lalu CEO Mazda Katsuhiro Moro telah mengumumkan bahawa satu pasukan jurutera khas bagi membangunkan semula enjin wankel rotary generasi baharu telah ditubuhkan dan mula bekerja sejak 1 Februari 2024.

    Menurut Moro, keputusan itu didorong kuat oleh sokongan yang diterima selepas Iconic SP didedahkan, dan “impian” bagi menghasilkan model produksi sedemikian kini “semakin hampir”.

    Model konsep Mazda Iconic SP memang pengganti RX-7, bukan roadster MX-5 generasi baru – CTO Mazda

    Manakala untuk MX-5 generasi baharu, dalam laporan sebelum ini Umeshita telah mendedahkan bahawa roadster berkenaan akan kekal dengan dengan saiz yang sama dari generasi pertama sehingga generasi keempat terkini, dan kekal digerakkan dengan enjin petrol empat silinder-sebaris.

    MX-5 generasi kelima tersebut dirancang untuk disumbat dengan enjin generasi baharu Mazda yang dikenali sebagai SkyActiv-Z dengan kapasiti 2.5 liter NA. Enjin tersebut direka untuk beroperasi dengan nisbah campuran bahan api dan udara sempurna 14.7:1 (atau 1 Lambda) hampir pada setiap tahap RPM enjin, membolehkan ia lulus piawaian emisi Euro 7 dan standard LEV IV di California tanpa menggunakan sebarang sistem hibrid elektrik.

    Ini secara tidak langsung juga membolehkan MX-5 generasi baharu tersebut di bina ringan dengan berat masih di bawah 1 tan. Oleh kerana beroperasi hampir keseluruhan dengan nisbah campuran 1 lambda, enjin dengan kapasiti 2.5 liter tersebut disasarkan akan menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin SkyaActiv-G sedia ada, membolehkan nisbah kuasa kepada berat juga akan menyamai MX-5 generasi yang ada sekarang.

     
     
  • Grab Malaysia lancar perkhidmatan e-hailing EV dari KLIA – guna 10 MPV BYD M6 sebagai permulaan

    Grab Malaysia lancar perkhidmatan e-hailing EV dari KLIA – guna 10 MPV BYD M6 sebagai permulaan

    Grab Malaysia telah mengumumkan kini turut menggunakan kenderaan elektrik (EV) dalam perkhidmatan e-hailing mereka, khas untuk lapangan terbang, khusus untuk penumpang yang berlepas dari KLIA. Perkhidmatan baharu ini telah dilancarkan semalam oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Sebagai permulaan, sebanyak 10 unit MPV elektrik BYD M6 digunakan, dan ia boleh ditempah sebagai salah satu pilihan melalui aplikasi Grab, dan disenaraikan Pintu 4, Aras 3 (balai ketibaan utama) sebagai lokasi pengambilan (pick up point) bagi perkhidmatan ini, berbeza dengan Aras 1 untuk perkhidmatan e-hailing biasa.

    Syarikat ini turut memaklumkan bahawa mereka telah mewujudkan ruang rehat EV di terminal sebagai ciri tambahan untuk pengguna perkhidmatan premium ini, namun dikenakan bayaran sedikit lebih tinggi berbanding pilihan enam-tempat duduk biasa. Sebagai contoh, perjalanan dari lapangan terbang ke pusat bandar akan menelan kos sekitar RM134, berbanding RM105 untuk perkhidmatan MPV enam-tempat duduk biasa.

    Loke berkata inisiatif Grab ini ternyata menyokong pelbagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti sistem pengangkutan di pintu masuk utama negara.

    “Pemilihan KLIA sebagai lokasi pelancaran adalah sangat strategik, bukan sahaja kerana jumlah trafik penumpang yang tinggi, tetapi juga kerana ia memberikan pendedahan maksimum kepada pengguna domestik dan antarabangsa mengenai usaha Malaysia dalam memperkukuh mobiliti hijau,” katanya.

    Perkhidmatan e-hailing EV KLIA yang baharu ini adalah hasil kerjasama Grab dengan BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (YGT) dan penyedia perkhidmatan pengecasan EV yang berpangkalan di Singapura, Power-Up Tech, yang dimeterai pada bulan Mac. Di bawah kerjasama ini, YGT akan menyediakan pakej penyewaan EV yang komprehensif kepada Grab, selain rangkaian solusi elektrifikasi.

     
     
  • JPJ sita 101 kenderaan mewah dalam Ops Luxury – Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne dll

    JPJ sita 101 kenderaan mewah dalam Ops Luxury – Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne dll

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita sebanyak 101 kenderaan mewah pelbagai jenama menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan di seluruh negara sejak awal bulan ini. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly bin Ramli, merupakan usaha JPJ untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilikan dan penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya secara bersepadu di seluruh negara.

    “Dalam operasi itu, sebanyak 101 kenderaan mewah dikesan melakukan kesalahan. Ia termasuk Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayman, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz.

    “Di mana kenderaan terbabit didapati melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah,lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah (CDL), pamer nombor pendaftaran kenderaan lain, ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem dan penggunaan trade plate palsu,” katanya ketika meninjau kenderaan mewah yang disita di Depoh Sita, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.

    Aedy Fadly berkata, kenderaan terbabit disita di seluruh negara dengan Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah tertinggi membabitkan masing-masing 17 kenderaan. Ia diikuti Pulau Pinang (14), Perak (11), Johor (10), Kedah (sembilan), Pahang (lima), Melaka (lima), Negeri Sembilan (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (dua), Sabah (dua), Perlis (satu) dan Sarawak (satu), laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, Ops Luxury turut mendedahkan kemungkinan terdapat kenderaan klon berdasarkan ketidakpadanan nombor casis serta penggunaan nombor pendaftaran palsu.

    “Pasukan JPJ sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa kenderaan disyaki ada kaitan dengan sindiket kenderaan klon. Malah, kita tidak menolak kemungkinan kenderaan yang menggunakan ‘trade plate’ palsu juga terbabit,” katanya.

    Mengenai pemilik kenderaan mewah berkenaan pula, beliau mengesahkan sebahagiannya adalah individu kenamaan dan selebriti, namun identiti mereka tidak didedahkan atas dasar siasatan.

    “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, tidak kira siapa pun mereka. Lagi dikenali, lagi besar tanggungjawab mereka untuk menunjukkan contoh kepada masyarakat. Alasan seperti terlupa memperbaharui LKM, tidak boleh diterima. Kalau selepas disita, boleh pula segera bayar dan perbaharui… kenapa tidak dibuat lebih awal?” katanya sambil menjelaskan kebanyakan pemilik memberi alasan sedemikian tetapi hanya bertindak selepas kenderaan disita.

    Tegas beliau, pelaksanaan Ops Luxury ini memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya. Di mana pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah. JPJ juga menyeru pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dengan memastikan dokumen kenderaan dan lesen memandu sentiasa diperbaharui serta sah digunakan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025