Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aplikasi MyJalan terima 39,371 aduan kerosakan jalan raya antara Ogos 2023-30 Jun 2025 – Kem. Kerja Raya

    Aplikasi MyJalan terima 39,371 aduan kerosakan jalan raya antara Ogos 2023-30 Jun 2025 – Kem. Kerja Raya

    Sejak dilancarkan pada Ogos 2023 sehingga 30 Jun 2025, aplikasi MyJalan KKR menerima 39,371 aduan berkaitan kerosakan jalan raya di seluruh negara, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Jelas beliau, daripada jumlah itu, 11,959 aduan atau 30.4% melibatkan Jalan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) manakala 27,412 bersamaan dengan 69.6% lagi membabitkan jalan bandaran di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) kerajaan negeri, serta agensi lain, laporan Bernama.

    “Berhubung status aduan jalan di Sarawak, sebanyak 809 aduan diterima. Sebanyak 68 aduan adalah di bawah seliaan KKR yang 43 daripadanya telah diselesaikan dan 25 aduan sedang dalam tindakan manakala baki 741 aduan atau 91.59% merupakan aduan jalan membabitkan pihak bertanggungjawab lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang bertanya mengenai statistik aduan serta pencapaian aplikasi MyJalan dalam menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya di Sarawak dan penambahbaikan dibuat KKR untuk aplikasi itu.

    Aplikasi MyJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Ogos – diesel untuk Semenanjung Malaysia naik tiga sen seliter jadi RM2.94 seliter

    Harga minyak 7-13 Ogos – diesel untuk Semenanjung Malaysia naik tiga sen seliter jadi RM2.94 seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa bagi minggu bertarikh 7 hingga 13 Ogos 2025, harga runcit petrol RON97 dikekalkan pada paras RM3.17 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, kini menjadi RM2.94 seliter, berbanding RM2.91 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak juga masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

    Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

    Omoda & Jaecoo Malaysia (O&J) baru saja menunjukkan iklan teaser bagi dua model baru untuk acara Omoda & Jaecoo Carnival, namun ada satu lagi model dilihat yang mungkin merupakan model baru ketiga syarikat itu di sini. Dalam paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook, seorang pengguna, Rick Tan membuat sebuah hantaran gambar dua model SUV yang belum dilancarkan — yang dilihat di SS15 Subang Jaya. Walaupun lencananya ditutup, namun model berkenaan tampil dengan sangat jelas.

    Rekaan lampu belakang zig-zag menjadikannya begitu jelas — kita sedang melihat Omoda C7, sebuah SUV segmen C yang akan mengisi kedudukan antara Chery Omoda 5 (selepas ini akan menjadi Chery C5) dan Omoda C9 dalam pasaran tempatan — dan melengkapi juga penawaran Jaecoo J7. Ia sebelum ini pernah ditunjukkan di Malaysia Autoshow pada Mei lalu, dan pernah dilihat sedang diuji di lebuh raya, dan kini syarikat itu sedang mengambil pendafaran minat melalui laman webnya. Untuk itu, pelancarannya boleh dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Untuk pasaran tempatan, walaupun ia pernah ditunjuk di Bangkok pada Mac lalu dalam bentuk plug-in hybrid, C7 di sini mungkin akan dijual dalam bentuk enjin petrol. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol, dengan janaan 150 PS pada 5,500 rpm dan 275 Nm tork dari 2,000 hingga 3,500 rpm (di pasaran lain janaannya ada yang menjadi 197 PS dan 290 Nm). Ini digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan pacuan semua roda.

    Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

    Versi PHEV model ini pula akan berkongsi teknologi Super Hybrid System (SHS) yang sama dengan J7 PHEV. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan janaan 156 PS/220 Nm yang disertai oleh motor elektrik 204 PS/310 Nm dan juga transmisi khusus hibrid DHT berkelajuan tunggal. Output keseluruhan sistem ialah 360 PS dan 530 Nm, iaitu 13 PS dan 5 Nm lebih tinggi berbanding J7 PHEV.

    Walaupun dengan lebihan kuasa, C7 PHEV memecut 0-100 km/j dalam masa yang sama dengan J7 PHEV dalam 8.5 saat. Bateri lithium iron phosphate (LFP) 18.3 kWj Blade dari BYD itu adalah sama antara keduanya, dan memberikan jarak 95 km. Jarak keseluruhan yang boleh dicapai pula iala 1,250 km.

    Antara kelebihannya ialah gril corak bersegi yang luas, corak lampu “Design ID” yang bersepadu dengan bampar depan, stereng dengan dua jejari serta skrin sentuh 15.6-inci untuk infotainmen yang boleh dialih ke sebelah penumpang.

    Omoda & Jaecoo Malaysia akan mempertontonkan Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV di acara karnival anjuran mereka di Desa Park City, bermula 21 hingga 24 Ogos nanti. Jadi, adakah ketiga-tiga model ini akan dilancarkan dalam tahun ini?

     
     
  • Chery pengeluar China pertama capai jumlah eksport lima juta kenderaan – 550,000 unit pada 1H 2025

    Chery pengeluar China pertama capai jumlah eksport lima juta kenderaan – 550,000 unit pada 1H 2025

    Chery terus menunjukkan prestasi luar biasa apabila mengumumkan telah mencapai angka eksport sebanyak lima juta unit kenderaan setakat bulan lalu. Ini menjadikan Chery sebagai pengeluar kereta pertama dari China yang berjaya mencapai tahap tersebut. Dalam masa yang sama, Chery turut mencatat peningkatan paling pantas dalam kedudukan senarai Fortune Global 500 untuk tahun 2025, melonjak 152 anak tangga ke tempat nombor 233.

    Kejayaan ini bermula sejak tahun 2001 apabila Chery menghantar eksport pertamanya – model Fulwin – ke Timur Tengah, dengan hanya sepuluh unit dalam penghantaran awal itu. Pada ketika itu, jumlah eksport automotif China hanyalah sekitar 26,000 unit. Namun kini, dalam tempoh lebih dua dekad, Chery telah berjaya mengeksport sebanyak 1.14 juta kenderaan hanya dalam tahun lalu sahaja. Ini menjadikannya pengeluar eksport kenderaan utama China selama 22 tahun berturut-turut. Secara purata, sebuah kereta keluaran Chery dihantar ke pelanggan luar negara setiap 27 saat.

    Chery turut melaporkan bahawa mereka masih menerajui jumlah eksport automotif China bagi separuh pertama tahun ini. Syarikat itu menghantar keluar sebanyak 550,000 unit kenderaan, bersamaan satu daripada setiap lima kereta buatan China yang dieksport. Angka ini merangkumi 44% daripada jumlah keseluruhan jualan syarikat sepanjang tempoh tersebut.

    Pertumbuhan jualan yang ketara turut dicatatkan di pasaran Eropah, di mana jumlah jualan Chery meningkat hampir sebelas kali ganda kepada lebih 30,000 unit dalam enam bulan pertama tahun ini. Jualan untuk bulan Jun sahaja meningkat lebih enam kali ganda. Daripada jumlah itu, sebanyak 45% merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV), menunjukkan penerimaan positif terhadap teknologi elektrifikasi yang dibawa oleh Chery.

    Strategi pelbagai jenama yang digunakan oleh Chery untuk pasaran global turut menunjukkan hasil. Syarikat ini telah melancarkan jenama Omoda dan Jaecoo sebagai pelengkap kepada jenama utama Chery, manakala dua lagi jenama baharu, iCaur dan Lepas, dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Walaupun tidak dinyatakan sama ada angka jualan ini turut merangkumi jenama Jetour yang turut dimiliki oleh Chery, jenama itu beroperasi secara berasingan dan tidak dikendalikan di bawah anak syarikat utama Chery Automobile.

    Walaupun Chery mendahului, saingan dari syarikat lain semakin sengit, terutamanya daripada BYD. Menurut Yiche – , pengeluar kenderaan elektrik itu telah mengeksport sebanyak 443,100 unit kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini – kesemuanya terdiri daripada kenderaan tenaga baharu.

     
     
  • Pelaksanaan sistem tol MLFF tidak melibatkan implikasi kewangan kerajaan – Ahmad Maslan

    Pelaksanaan sistem tol MLFF tidak melibatkan implikasi kewangan kerajaan – Ahmad Maslan

    Pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Katanya, perkara itu merupakan hala tuju baharu yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu, laporan Bernama.

    Ahmad Maslan turut berkata, hala tuju tersebut juga membuka peluang kepada syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan untuk berunding dan menjalinkan kerjasama secara perniagaan ke perniagaan (business to business atau B2B) dengan 33 syarikat konsesi lebuhraya bertol sedia ada bagi merealisasikan pelaksanaan sistem MLFF.

    “Sebagai contoh, PNB Prolintas kini sedang melaksanakan proof of concept atau ujian percubaan bersama Touch ‘n Go dan CIMB di Plaza Tol Alam Impian, Lebuhraya Kemuning–Shah Alam. Mereka telah memasang gantri dan peralatan berkaitan bagi mencuba pelaksanaan MLFF di lokasi berkenaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Pelaksanaan sistem tol MLFF tidak melibatkan implikasi kewangan kerajaan – Ahmad Maslan

    Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai status pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF serta langkah penambahbaikan sistem seperti Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memastikan keberkesanan sistem baharu itu.

    Bagi menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai langkah KKR menangani isu pengguna yang cuba mengelak daripada membayar tol apabila MLFF dilaksanakan, beliau berkata, teknologi RFID serta Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) akan digunakan di lorong MLFF.

    “Sesiapa yang tidak membayar tol di lorong MLFF akan dikesan kerana nombor pendaftaran kenderaan yang melalui gantri berkaitan akan direkodkan… ini bermakna mereka yang tidak membayar tol akan dikesan dan diberikan notis. Mungkin selepas ini akan ada kaedah tertentu, seperti tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan dan sebagainya, itu antara langkah yang sedang dipertimbangkan apabila MLFF dilaksanakan,” katanya.

    Berkenaan penambahbaikan sistem RFID, Ahmad berkata, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong RFID sedia ada dengan memastikan syarikat pengendali lebuh raya melaksanakan kerja-kerja penalaan (fine tuning) secara lebih kerap.

    “Langkah ini bagi memastikan sistem RFID di lorong itu dipertingkatkan selain kesedaran dalam kalangan pengguna untuk memastikan baki mencukupi ketika menggunakan plaza tol,” katanya.

     
     
  • Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini

    Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini

    Walaupun sudah melancarkan Jaecoo J7 PHEV dan Jaecoo J8 dalam tempoh lapan bulan yang lalu, Omoda & Jaecoo Malaysia masih belum kehabisan peluru. Syarikat ini dijangka memperkenalkan dua model baru ketika acara Omoda & Jaecoo Carnival yang akan berlangsung di Desa ParkCity 21 hingga 24 Ogos ini, berdasarkan satu imej promosi yang memaparkan kelibat dua model kenderaan yang masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

    Model pertama yang menarik perhatian ialah Jaecoo J5, sebuah SUV saiz lebih kecil berbanding J7 dan dijangka hadir dengan tanda harga yang lebih rendah. J5 sudah pun diperkenalkan di pasaran antarabangsa sejak tahun lalu dan tampil dengan rekaan bersegi seperti Range Rover Evoque yang dijangka menarik minat ramai pembeli.

    Di rantau ASEAN, J5 pertama kali dipertontonkan di Indonesia pada Februari lalu dalam versi elektrik, sebelum ke Thailand. Namun untuk pasaran Malaysia, varian enjin petrol dijangka akan dilancarkan terlebih dahulu.

    Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini

    Model ini menggunakan enjin empat silinder 1.6 liter turbo sama seperti dalam model-model Chery lain. Meskipun angka rasmi belum diumumkan, ia dijangka menawarkan kuasa sekitar 197 PS dan 290 Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan roda hadapan – sama seperti Jaecoo J7.

    Model kedua yang menjadi kejutan ialah Omoda C9 PHEV, versi plug-in hybrid kepada SUV lima tempat duduk segmen D itu. Menariknya, model ini pernah digunakan dalam satu cabaran kecekapan bahan api di Afrika Selatan pada Februari lalu, di mana ia berjaya menamatkan perjalanan sejauh 939 km dari Cape Town ke Addo hanya dengan satu isian penuh bahan api dan bateri.

    Secara luaran, Omoda C9 PHEV kelihatan hampir sama dengan versi enjin pembakaran biasa. Namun dari segi teknikal, ia menggunakan sistem Super Hybrid System (SHS) yang dinaik taraf berbanding J7 PHEV, berpusat pada enjin 1.5 liter turbo dengan output 143 PS dan 215 Nm.

    Jaecoo J5, Omoda C9 PHEV dalam teaser Malaysia – pra tonton awam di Desa Park City 21-24 Ogos ini

    Apa yang membezakan C9 PHEV ialah penggunaan tiga motor elektrik bagi sistem pacuan semua roda – dua motor di hadapan masing-masing dengan kuasa 102 PS/170 Nm dan 122 PS/220 Nm, manakala motor belakang menjana 238 PS dan 310 Nm. Gabungan ini memberikan kuasa keseluruhan sehingga 537 PS dan ada pasaran lain yang melaporkan angka setinggi 598 PS dan tork 915 Nm. SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    C9 PHEV juga dilengkapi dengan bateri jenis NMC (nikel mangan kobalt) berkapasiti 34.46 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km mengikut kitaran WLTP. Dengan tangki bahan api berkapasiti 70 liter, jumlah jarak keseluruhan boleh mencecah hingga 1,100 km. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 70 kW – mampu mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa hanya 25 minit. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas AC sehingga 6.6 kW, yang mengambil masa sekitar lima jam setengah untuk cas penuh dari 30% ke 100%.

    Harga rasmi masih belum diumumkan, namun memandangkan model Omoda C9 versi pacuan semua roda dijual pada harga RM188,800, versi PHEV dijangka akan ditawarkan pada harga bawah RM200,000 apabila dilancarkan kelak

     
     
  • Jangan terperdaya dengan iklan lesen kopi-O – JPJ

    Jangan terperdaya dengan iklan lesen kopi-O – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya akan penyebaran promosi menerusi iklan atau akaun yang tidak sah berhubung iklan palsu lesen memandu tanpa latihan dan ujian atau digelar ‘Lesen Kopi-O’ yang dipromosikan menerusi laman media sosial.

    “Iklan atas nama akaun Sekolah Memandu Jaya bertindak mempromosikan pemilikan lesen memandu tanpa ujian dengan menggunakan gambar Yang Berhormat Anthony Loke, Menteri Pengangkutan, bertujuan memancing keyakinan orang ramai.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa iklan dan akaun tersebut adalah palsu. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya akan penyebaran promosi menerusi iklan atau akaun yang tidak sah seperti ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kerugian,” kata JPJ menerusi laman Facebook rasminya baru-baru ini.

    Dalam masa yang sama, orang ramai juga digalakan merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut atau pertanyaan. Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan https://jpj.spab.gov.my/

     
     
  • Honda Malaysia anjur promosi Ogos 2025 – diskaun CR-V RM15k, HR-V RM6k, City RM8k, Civic RM7k

    Honda Malaysia anjur promosi Ogos 2025 – diskaun CR-V RM15k, HR-V RM6k, City RM8k, Civic RM7k

    Sempena dengan bulan Kemerdekaan, Honda Malaysia menganjurkan promosi jualan ‘Proud. United. Rewarded’ sepanjang Ogos 2025. Pastinya penawaran ini berbaloi untuk anda yang ingin memiliki mana-mana model Honda.

    Ia ditawarkan untuk semua model Honda buatan tahun 2025 yang merupakan pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, bermula dengan CR-V yang menerima diskaun hingga RM15,000. Ia diberikan untuk semua varian bagi SUV segmen-C ini, kecuali untuk 2.0L e:HEV RS yang hanya ditawarkan dengan rebat sebanyak RM13,000.

    Untuk HR-V facelift yang dilancarkan pada bulan lalu, turut ditawarkan dengan rebat sebanyak RM4,000 untuk kesemua empat variannya. Jika anda merupakan pelanggan Honda sedoa ada, anda bakal menerima tambahan RM2,000 untuk penyelenggaran percuma yang membawakan jumlah keseluruhan rebat ini mencecah RM6,000. Bagi WR-V pula, ia ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM6,000 untuk kesemua variannya, termasuk model spesifikasi tertinggi RS.

    Manakala bagi Civic terkini pula, diskaunnya bermula RM5,000 untuk model asas 1.5L Turbo E dan 2.0L e:HEV RS, naik hingga RM7,000 untuk 1.5L Turbo V dan 1.5L Turbo RS. Untuk City sedan pula, ia diberikan diskaun hingga RM8,000 untuk varian 1.5L, V dan RS variants, sementara model asas 1.5L S menerima rebat sebanyak RM7,000.

    Jika berminat dengan varian hibrid untuk sedan segmen-B itu, diskaun sebanyak RM4,000 diberikan. Manakala untuk City Hatchback pula, hampir semua varian menerima diskaun sebanyak RM4,000, kecuali 1.5L e:HEV RS yang sekadar diberikan rebat RM2,500. Kesemua diskaun yang dinyatakan ini adalah untuk kenderaan yang didaftarkan mulai sekarang hingga 31 Ogos 2025. Senarai penuh barisan model Honda adalah seperti foto di bawah ini.

    Honda Malaysia anjur promosi Ogos 2025 – diskaun CR-V RM15k, HR-V RM6k, City RM8k, Civic RM7k

     
     
  • Proton Saga MC3 2025 – dokumen dalaman tertiris tunjuk semua varian dapat enjin 1.5L, pilihan AT & CVT

    Beberapa dokumen dalaman dan gambar intipan berkenaan Proton Saga MC3 yang akan dilancarkan tidak lama lagi telah tertiris di laman sosial TikTok, dan kemudiannya disiarkan oleh akaun Facebook The Ajerul.

    Dokumen berkenaan mendedah jawapan bagi teka-teki apa unit rangkaian kuasa yang akan digunakan oleh Saga tingkat taraf terkini tersebut, di mana ia memang akan menerima enjin 1.5 liter empat-silinder baharu yang akan menggantikan enjin Campro VVT 1.3 liter S4PE yang digunakan pada versi sedia ada.

    Bagi enjin baharu berkenaan, ia dipercayai adalah enjin dari siri BHE15 yang sama dengan enjin pada X50 facelift yang sudah dilancarkan, tetapi tanpa pengecas turbo dan hanya dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api port. Anda boleh baca lebih perincian berkenaan enjin tersebut pada PAUTAN INI.

    Dan yang paling menarik, Proton akan menawarkan dua transimisi automatik berdasarkan varian yang pembeli pilih, namun tiada pilihan kotak gear manual akan diberikan. Untuk anda yang masih mahu rasa tukaran gear sebenar bolehlah memilih Saga dalam varian asas Standard dan pertengahan Executive di mana dua varian ini dibekalkan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT. Manakala untuk pemandu yang mahu pemanduan yang lebih efisien boleh memilih varian tertinggi Saga Premium yang dibekalkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Proton Saga MC3 2025 – dokumen dalaman tertiris tunjuk semua varian dapat enjin 1.5L, pilihan AT & CVT

    Beberapa foto intipan juga disiarkan menerusi hantaran ini, antaranya mendedahkan bahawa Saga MC3 ini menerima lampu hadapan dan juga gril yang menampilkan elemen corak kain songket serta ‘etheral bow’ baharu seperti model-model terkini Proton yang lain. Malah ia juga menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED diletak dalam lampu utama yang kelihatan seperti bersambung dengan ‘etheral bow’ pada gril.

    Foto bahagian dalaman juga terdedah yang menunjukkan bahawa Saga menerima papan pemuka dirombak sepenuhnya, menampilkan skrin berkembar untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen. Roda stereng juga telah ditukar menggunakan unit rata dibawah yang sama seperti X50 dan S70.

    Saga MC3 ini dibangunkan dari platform AMA Proton, di mana ia masih berasaskan platform sedia ada tetapi ditingkat taraf bagi memastikan ia terus relevan dari segi ujian keselamatan, standard terkini dan sebagainya. Walaupun muka dan bahagian belakang menerima rombakan rekaan yang besar, kerangka asas badan dan juga kesemua bentuk pintu masih lagi nampak serupa dengan versi MC2 sedia ada.

    Dengan kelengkapan yang begitu tinggi seperti yang terdedah ini, adakah Saga akan terus bersaing dengan Bezza sebagai sedan segmen-A, atau akan dijual lebih mahal dari sekarang?

    GALERI: Foto-foto intipan Proton Saga MC3 2025

     
     
  • Pengaktifan lencongan jalan dilaksanakan di laluan Bukit Gambir-Tangkak di PLUS hingga 30 Dis 2025

    Pengaktifan lencongan jalan dilaksanakan di laluan Bukit Gambir-Tangkak di PLUS hingga 30 Dis 2025

    Untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di bahagian selatan, ini ada makluman buat anda. Pengendali lebuhraya terbabit mengumumkan pihaknya melaksanakan pengaktifan lencongan jalan secara berperingkat dari KM166.79 ke KM168.26 antara Bukit Gambir dan Tangkak.

    Ia dilaksanakan di kedua-dua arah, iaitu menghala ke KL dan JB, mulai hari ini hingga 30 Disember 2025 untuk kerja pembinaan jambatan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya.

    “Sehubungan itu, para pengguna lebuhraya dinasihatkan agar merancang perjalanan serta mematuhi semua papan tanda trafik dan arahan yang diberikan oleh petugas PLUS semasa melalui kawasan kerja,” kata PLUS.

    Mengikut info grafik di atas, dua lorong akan dilencongkan ke kiri, termasuk ke lorong kecemasan. Jadi, anda diminta lebih berhati-hati sewaktu menukar lorong dan tolong peka dengan kehadiran penunggang motosikal yang menggunakan laluan terbabit. Sila ikut papan tanda dan arahan petugas di lokasi terbabit. Dan amalkan pemanduan selamat.

     
     
  • Proton eMas 5 akan dipamer dalam siri jelajah MISI 5

    Proton eMas 5 akan dipamer dalam siri jelajah MISI 5

    Proton eMas 5 yang dijadual dilancarkan tahun ini akan terlebih dahulu dibawa pusing keliling ke seluruh Malaysia bermula Ogos hingga Oktober nanti, bagi membolehkan orang ramai mendekatinya. Beberapa lokasi tumpuan umum serta premis pengedar Proton eMas akan terlibat. Ini juga boleh dijadikan isyarat kepada tempoh pengenalan rasminya: mungkinkah model ini akan dilancarkan selepas selesai siri jelajah ini?

    “Proton eMas 7 kini sudah menjadi EV paling laris di Malaysia, dan kami percaya cara terbaik untuk terus membina kepercayaan dan momentum adalah dengan Proton eMas 5 yang bakal dilancarkan, dan itu perlu dilakukan secara bersemuka.”

    “Dengan siri jelajah MISI 5, orang ramai berpeluang untuk mendekati Proton eMas 5 secara langsung dan mengetahui perincian produk,” jelas Ketua Pegawai Operasi Pro-Net, Zhang Qiang dan menambah kereta berkenaan disasarkan untuk pengguna dan keluarga muda, dan juga pengguna EV pertama kali.

    Pengunjung akan disediakan dengan pendekatan menyeluruh tentang kereta ini yang akan dipamerkan serta ada juga elemen interaktif yang menanti di lokasi. Tentang aspek pengecasan EV terbaru ini, Pro-Net juga menyebutkan yang ia boleh dicas mencapai 80% dalam masa yang “kurang dari tempoh rehat makan tengahari.”

    Proton eMas 5 akan dipamer dalam siri jelajah MISI 5

    Siri jelajah ini akan bermula di Bahagian Tengah dari 9-17 Ogos dengan eMas 5 akan muncul di lokasi seperti Batu Caves, Masjid Putra, Pasar Seni, KLCC dan Jambatan Saloma, sementara akan pertontonkan juga di cawangan seperti berikut:

    • 9 Ogos: SG Car (Shah Alam), Wheelcorp (Setia Alam), EON (Glenmarie) dan AJG (Puchong)
    • 10 Ogos: AJG (Sri Kembangan), Jawira (Balakong), ProAuto (Kajang) dan Jewel Sonic (Putrajaya)
    • 16 Ogos: Able Mobility (Cheras), MBF EV (Jalan Tun Razak), Cahaya (Segambut) dan Igreen (Setapak)
    • 17 Ogos: Pantai Bharu (Rawang), EON (Damansara), Regal Motor (Petaling Jaya) dan Peringgit (Jalan Klang Lama)

    Proton eMas 5 dijangka akan berkongsi spesifikasi mekanikalnya dengan Geely Star Wish/Xingyuan, termasuklah motor pacuan roda belakang dengan janaan 79 PS/130 Nm dan 116 PS/150 Nm yang digandingkan bersama bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12 kWj (untuk jarak perjalanan 310 km CLTC) dan unit 40.16 kWj (dengan jarak 410 km).

     
     
  • Toyota Hilux Travo 2026 – lukisan bahagian dalam tersebar, papan pemuka seperti Prado, skrin tengah

    Toyota Hilux Travo 2026 – lukisan bahagian dalam tersebar, papan pemuka seperti Prado, skrin tengah

    Toyota Hilux generasi kelapan yang berada dalam pasaran sekarang sudah wujud sejak 2016 dan telah melalui beberapa siri facelift. Namun, sudah tiba masa untuk perubahan besar dan berita baiknya, Hilux generasi kesembilan sedang dibangunkan dan dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Meskipun perubahan luaran dijangka tidak terlalu ketara, rekaan dalaman dikatakan akan menerima transformasi menyeluruh.

    Ini disahkan lagi apabila beberapa lakaran daripada buku manual alat ganti Toyota bocor dalam internet, dikongsikan oleh akaun Instagram @cars_secrets dan turut dilaporkan oleh Drive. Lakaran tersebut menunjukkan papan pemuka baru dengan rekaan bertingkat – menyerupai gaya Toyota Prado, lengkap dengan tombol gear besar dan corong pendingin hawa tengah.

    Tiada skrin panjang bersambung seperti kebanyakan kenderaan moden sekarang, namun skrin sentuh bersaiz besar yang berdiri bebas menjadi tumpuan utama. Menurut Drive, skrin tersebut bersama panel instrumen masing-masing bersaiz 12.3 inci dan dijangka menggunakan perisian yang sama seperti Prado, bukannya sistem Arene serba baru yang diperkenalkan pada RAV4 2026.

    Toyota Hilux Travo 2026 – lukisan bahagian dalam tersebar, papan pemuka seperti Prado, skrin tengah

    Ciri menarik lain yang dapat dilihat ialah dua ruang barangan serta dulang khas untuk telefon di bawah corong pendingin hawa tengah. Terdapat juga satu struktur condong di hadapan tombol gear yang berkemungkinan adalah ruang simpanan, namun tidak mustahil juga ia merupakan skrin tambahan untuk kawalan pendingin hawa. Jika ia hanyalah ruang simpanan, maka kawalan pendingin hawa dijangka diletakkan dalam baris butang di bawah corong udara, sama seperti rekaan pada Prado.

    Satu lakaran luaran turut tersebar, menampakkan rupa yang agak serupa dengan ramalan rekaan oleh Theophilus Chin – lampu utama tirus dengan lampu nyalaan siang (DRL) seperti ‘kening’, bar sambungan nipis serta perumah lampu kabus berbentuk segi tiga.

    Apa yang belum pernah dilihat sebelum ini ialah rekaan bampar belakang dengan ciri seperti Ford Ranger – satu lekuk pemijak yang membolehkan pengguna naik ke ruang kargo dengan lebih mudah. Lampu belakang juga kelihatan menjulur dengan ketara ke sisi ruang kargo.

    Toyota Hilux Travo 2026 – lukisan bahagian dalam tersebar, papan pemuka seperti Prado, skrin tengah

    Dari segi mekanikal, platform sedia ada dijangka dikekalkan, bersama enjin diesel empat silinder turbo 2GD-FTV 2.4 liter dan 1GD-FTV 2.8 liter. Sistem hibrid ringkas 48-volt yang sebelum ini tidak ditawarkan di semua pasaran juga dijangka dikekalkan. Drive turut melaporkan bahawa stereng kuasa elektrik baru mungkin diperkenalkan, sekaligus membolehkan kemasukan sistem bantuan pemanduan Tahap 2 (Level 2 ADAS).

    Toyota Hilux generasi kesembilan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun ini, sebelum mula dijual di pasaran global pada tahun hadapan. Persoalan utama yang kini bermain di fikiran ramai ialah – adakah ia bakal menjadi Hilux generasi pertama dengan versi elektrik sepenuhnya? Sama-sama kita nantikan jawapannya.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology muncul dalam teaser – hala tuju rekaan baru, gril berlampu

    Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology muncul dalam teaser – hala tuju rekaan baru, gril berlampu

    Mercedes-Benz akan memperkenalkan model GLC terbarunya yang menggunakan EQ Technology, elektrik penuh pada 7 September 2025 sempena acara IAA Mobility di Munich. Menjelang pelancaran itu, pengeluar dari Jerman ini mendedahkan imej pertama SUV elektrik ini tanpa sebarang penyamaran, memfokuskan kepada rekaan baru yang akan menjadi penanda arah untuk model-model Mercedes-Benz yang akan datang.

    Bahagian yang didedahkan dalam imej awal ini ialah gril hadapan, yang mencerminkan fasa baru dalam falsafah rekaan “Sensual Purity”. Gril GLC versi elektrik ini tampil dengan gaya piksel moden yang menyerlahkan muka depan kenderaan, menggunakan 942 titik cahaya yang boleh dianimasikan bagi memberikan karakter unik. Gril ini merupakan pilihan tambahan, lengkap dengan logo bintang Mercedes yang menyala serta bingkai gril bercahaya.

    Bagi pembeli yang mahukan reka bentuk lebih ringkas, terdapat juga pilihan gril standard yang menampilkan bingkai krom lebar dengan rekaan seperti kaca berasap. Jika dibandingkan dengan GLC enjin pembakaran dalaman (ICE) biasa, gril pada versi EQ ini lebih besar dan tinggi secara menegak, selain turut memiliki bukaan udara bawah yang lebih lebar.

    Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology muncul dalam teaser – hala tuju rekaan baru, gril berlampu

    Lampu hadapan GLC elektrik ini kelihatan lebih tajam dan direka seolah-olah bersambung terus dengan gril hadapan, manakala apron bawah dilengkapi corong udara berbentuk segi tiga di penjuru bagi meningkatkan aliran udara. Mercedes-Benz turut menyatakan bahawa rekaan kenderaan elektrik masa depan mereka akan lebih menyerupai model enjin biasa dan inilah gambaran pertama arah tuju tersebut.

    Dari segi spesifikasi, GLC EQ ini dibina berasaskan struktur 800 volt yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 320 kW. Varian pertama yang disahkan ialah GLC400 4Matic, yang mampu mendapatkan jarak pemanduan sejauh 260 km hanya dengan 10 minit pengecasan.

    Menariknya, jarak roda SUV ini juga 80 mm lebih panjang berbanding model ICE, menjadikannya 2,888 mm – ruang dalaman yang lebih luas. Ia turut ditawarkan dengan pilihan sistem suspensi udara yang diambil daripada model mewah S-Class serta skrin paparan MBUX Hyperscreen. Butiran lanjut akan diketahui apabila ia didedahkan sepenuhnya tidak lama lagi.

     
     
  • Perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan hujung bulan depan – MoF

    Perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan hujung bulan depan – MoF

    Kementerian Kewangan (MoF) berkata kerajaan akan mengumumkan perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 pada hujung bulan depan, laporan Bernama.

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Parlimen susulan pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, yang ingin mengetahui pelaksanaan penyaluran semula subsidi termasuk fasa front- dan back-end yang diumumkan oleh Kementerian Ekonomi, dan MoF memaklumkan bahawa mekanisme penyasaran subsidi sedang dibangunkan dan diuji secara aktif bagi memastikan ia beroperasi secara lancar apabila dilaksanakan kelak.

    “Ini termasuk penambahbaikan data daripada agensi-agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). Kerajaan berhasrat untuk mengguna pakai pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan subsidi RON 95 sampai kepada kumpulan sasar yang tepat,” kata MoF.

    Perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan hujung bulan depan – MoF

    Di bawah mekanisme penyasaran subsidi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai, rakyat Malaysia yang layak boleh menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter melalui pengesahan MyKad. Warga asing dan mereka yang tidak layak pula akan membayar harga pasaran tanpa subsidi (harga semasa adalah antara RM2.61 hingga RM2.69).

    Semalam, Menteri Kewangan II merangkap Menteri Ekonomi interim, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mendedahkan bahawa mekanisme tersebut juga akan menggunakan data daripada PADU, yang mengandungi 30.4 juta profil individu.

    Maklumat ini merangkumi data demografi, lokaliti, sosioekonomi dan pekerjaan, pendapatan, pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang sedang diterima.

     
     
  • JPJ eBid: Siri SJM dan MED dibuka untuk bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Sabah, SJM, bidaannya telah dibuka sejak 3 Ogos 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir pada 7 Ogos, jam 10 malam. Keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya, 8 Ogos 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka pula, MED, bidaannya pula bakal dibuka mulai 8 Ogos dan akan berakhir jam 10 malam pada 12 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 13 Ogos 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025