Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Program pembangunan pemandu Wing Hin di Jepun diperluas; podium Rd.1 TGR GR86/BRZ Cup 2026!

    Program pembangunan pemandu Wing Hin di Jepun diperluas; podium Rd.1 TGR GR86/BRZ Cup 2026!

    Selepas menjadi juara keseluruhan Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Clubman Series di Jepun tahun lalu, pasukan lumba dari Malaysia, Wing Hin Motorsport mengembangkan lagi program pembangunan pemandunya di negara matahari terbit tersebut dengan meluaskan peluang berkenaan bukan hanya untuk pelumba tanah air, malah turut membukanya untuk pelumba-pelumba dari Asia yang lain.

    Dengan kerjasama pemandu Gazoo Racing dan Rookie Racing iaitu Masahiro Sasaki, Wing Hin menampilkan dua pemandu pada pusingan pembukaan Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Clubman Series 2026 yang berlangsung di Litar Autopolis hujung minggu lalu.

    Tahun ini, Wing Hin Motorsports membariskan pelumba Touring Car berpengalaman dari Malaysia iaitu Mitchell Cheah dan Jordan Johan dari Indonesia. Dan walaupun ini merupakan kali pertama Cheah berlumba di Autopolis, beliau mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dengan mencatatkan masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan dan kemudian menamatkan perlumbaan juga di tempat kedua!

    Manakala untuk Jordan Johan yang juga merupakan adik kepada pemandu rali sensasi Indonesia yang menamatkan Rali Dakar 2026 dalam kategori Classic baru-baru iaitu Julian Johan, keputusan yang dicatatkan juga tidak mengecewakan apabila beliau mencatatkan masa ke-7 terpantas dalam sesi kelayakan, kemudian menghabiskan perlumbaan di kedudukan lebih tinggi iaitu tempat ke-6.

    “Matlamat jangka panjang adalah untuk mewujudkan saluran bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga pemandu Asia Tenggara untuk maju ke peringkat perlumbaan yang lebih tinggi di Jepun. Sasaki akan memainkan peranan penting dalam pembangunan dan bimbingan pemandu, dan pendedahan di Jepun bertujuan untuk meningkatkan pengalaman, disiplin, pemikiran, kemahiran perlumbaan dan kemahiran memandu,” kata Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh.

    Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series akan berlangsung dalam tujuh pusingan tahun ini. Selepas perlumbaan pembukaan musim di Litar Autopolis ini, ia akan beralih ke Pusingan 2 dari 16-17 Mei di Sportsland Sugo. Kemudian ia akan diikuti oleh Pusingan 3 dari 27-28 Jun di Litar Antarabangsa Okayama; dan Pusingan 4 dari 8-9 Ogos di Litar Lumba Tokachi; Pusingan 5 di Litar Fuji Speedway dari 5-6 September, diikuti oleh Pusingan 6 dari 3-4 Oktober di Litar Suzuka sebelum pusingan ke-7 dan terakhir di Mobility Resort Motegi dari 21-22 November.

     
     
  • Mitsubishi Triton ditawar sokongan diesel sehingga RM15k; 5 tahun servis percuma untuk AT Premium

    Mitsubishi Triton ditawar sokongan diesel sehingga RM15k; 5 tahun servis percuma untuk AT Premium

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini sedang memberikan tawaran istimewa untuk pembeli barisan model Mitsubishi Triton yang mendaftar trak pikap baharu masing-masing bermula 1 hingga 30 April 2026. Tawaran ini diberikan untuk semua varian Triton bermula dari Single Cab sehinggalah kepada versi Championship Edition yang dilancarkan baru-baru ini.

    Untuk tempoh masa terhad, MMM akan menawarkan sokongan diesel bernilai RM15,000 untuk pembelian Triton Athele kemaskini pra-Jun 2025, RM12,000 untuk Triton MT GL, RM100,000 untuk Triton Athlete Championship Edition dan Triton Athlete, RM8,000 untuk Triton AT GL, RM6,000 untuk Triton Single Cab dan RM5,000 untuk Triton AT Premium Championship Edition dan Triton AT Premium.

    Bagi dua varian terakhir, pembeli turut akan menerima pakej penyelenggaraan sifar kos selama lima-tahun, waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan kadar faedah 0% selama lima tahun. MMM menyatakan bahawa keseluruhan pakej yang diberikan kepada AT Premium Championship Edition dan AT Premium, termasuk sokongan diesel RM5,000 adalah bernilai RM25,000.

    Sekiranya anda memang pemilik Mitsubishi atau kaki tangan kerajaan, MMM akan memberikan ganjaran tambahan sebanyak RM1,000, dan ia diberikan untuk pembelian semua varian Triton. Untuk lebih mengetahui berkenaan Triton Championship Edition anda boleh baca pada PAUTAN INI, Triton Athele kemaskini pra-Jun 2025 pada PAUTAN INI, dan juga semua varian Triton lain pada PAUTAN INI.

    GALERI: Mitsubishi Triton Athlete Championship Edition 2026

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium AT Championship Edition

     
     
  • Denza B8 bakal tiba di Malaysia – SUV body-on-frame PHEV dengan kuasa 578 PS /760 Nm, ROI dibuka

    Denza B8 bakal tiba di Malaysia – SUV body-on-frame PHEV dengan kuasa 578 PS /760 Nm, ROI dibuka

    Jenama premium BYD iaitu Denza akan melancarkan satu lagi model ke pasaran Malaysia, kali ini merupakan SUV off-road yang dikenali sebagai Denza B8, dan pendaftaran minat (ROI) untuk pelanggan di pasaran tempatan telah pun dibuka awal bulan ini.

    Di China Denza B8 ini dikenali sebagai Bao 8 dan dijual menerusi jenama off-road BYD iaitu Fangchengbao. B8 merupakan SUV jenis body-on-frame seperti Toyota Land Cruiser, namun ia digerakkan oleh unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) BYD yang dikenali sebagai DMO (Dual-Mode Off-road).

    Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik di mana masing-masing diletak pada gandar hadapan dan gandar belakang seperti EV sebenar untuk memacu semua roda. Motor pada gandar hadapan mampu menghasilkan kuasa 272 PS/360 Nm, manakala motor pada gandar belakang pula adalah lebih berkuasa dengan 408 PS/400 Nm.

    Denza B8 bakal tiba di Malaysia – SUV body-on-frame PHEV dengan kuasa 578 PS /760 Nm, ROI dibuka

    Tidak cukup dengan itu, unit rangkaian kuasa DMO pada Denza D8 ini juga dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 197 PS dan tork maksima 350 Nm. Jadi secara keseluruhan SUV ini dibekalkan dengan kuasa 578 PS (425 kW) dan tork maksima 760 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa daru bateri Blade 36.8 kWj yang membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sejauh 115 km dalam kitaran ujian NEDC (100 km WLTP). Manakala enjin pembakaran dalaman pula menerima bekalan petrol dari tangki gergasi sebesar 91 liter. Dengan satu cas bateri penuh dan satu tangki petrol penuh membolehkan SUV ini bergerak sejauh 905 km.

    Bateri Blade berkenaan boleh dicas semula menggunakan pengecas pantas DC sehingga 120 kW, membolehkan cas dari 30-80% dipenuhkan dalam masa 16 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan sehingga 11 kW, dan kuasa dari bateri turut boleh dikeluarkan untuk kegunaan peralatan elektrik lain menerusi sistem V2L (vehicle-to-load) 6.5 kW AC.

    Seperti kebanyakkan sistem PHEV yang dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar automotif China yang lain, kenderaan ini akan bergerak dengan hanya kuasa elektrik sehingga cas berbaki 25%, dan selepas itu enjin petrol akan dihidupkan untuk mengecas semula bateri.

    Selain dari motor elektrik, gandar hadapan dan belakang SUV ini juga disertakan dengan locking differential bagi memberikan cengkaman lebih baik ketika melalui laluan off-road. Selain itu Denza B8 ini juga dilengkapi sistem suspensi hidraulik DiSus-P yang membolehkan ketinggiannya dilaras sehingga 140 mm. Ini membolehkan ia meredah sungai atau banjir dengan kedalaman sehingga 890 mm, serta sudut approach dan berlepas dapat ditambah sehingga masing-masing 34 dan 35 darjah.

    SUV ini pernah dipamerkan di Thailand ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2026. Jadi dapat dilihat ia menerima beberapa perincian lain termasuk paparan instrumen 12.3-inci, skrin sesentuh utama 17.3-inci dan juga satu lagi skrin untuk penumpang hadapan bersaiz 12.3-inci.

    Ia juga ditawarkan dalam konfigurasi enam-tempat duduk dengan tempat duduk kapten bersama ottoman pada baris kedua dan juga tujuh-tempat duduk dengan diberikan kerusi jenis bench pada baris kedua bersama fungsi larasan elektrik serta pemanas dan pengalir udara.

    Kesemua tempat duduk pada baris kedua dan ketiga boleh dilipat dan dibangunkan semula secara elektrik, manakala ruang kargo di belakang pula berkapasiti 147 liter sehingga 920 liter untuk versi tujuh-tempat duduk dan 902 liter untuk versi enam-tempat duduk.

    GALERI: Denza B8 di BIMS 2026

    2026

     
     
  • Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan tiba di Malaysia ketika pameran KLIMS 2026 Jun nanti

    Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan tiba di Malaysia ketika pameran KLIMS 2026 Jun nanti

    Laman Facebook rasmi Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) telah menunjukkan sebuah video yang menampilkan Ketua Pemasaran Dongfeng Malaysia, Fujin Liow mendedahkan bahawa Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan dipertontonkan buat kali pertama di acara itu nanti.

    Dongfeng MHero II

    MHero bagi Dongfeng adalah model yang setara dengan Tank bagi GWM, dengan penampilan yang lebih sibuk. Ia menggunakan model asal MHEro 917 yang diperkenalkan pada 2023 (juga dikenali dengan nama MHero 1). Tahun lalu, model kedua yang dikenali dengan nama M817 (MHero 2 atau MHero II) pula muncul. Ia juga akan menjadi pesaing langsung kepada sebuah lagi model yang bakal masuk ke pasaran tempatan, Denza D8.

    MHero II berpenampilan lebih ringkas dan kemas berbanding model yang terdahulu. Ia mempunyai ukuran dimensi 5,100 mm panjang, 1,998 mm lebar, 1,899 mm tinggi (1,919 mm untuk versi dengan suspensi udara; versi ini juga memberikan anda stereng roda belakang dan suspensi boleh laras 150 mm dengan kawalan penyerap hentak berterusan) dengan mempunyai jarak roda 3,005 mm.

    Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan tiba di Malaysia ketika pameran KLIMS 2026 Jun nanti

    Sistem PHEV yang melengkapinya memberikan janaan sebanyak 687 PS dan tork 848 Nm dari enjin turbo 1.5 186 PS, yang bergandingan dengan motor elektrik hadapan 272 PS serta motor elektrik belakang 279 PS. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.2 saat dengan jarak CLTC bagi EV sekitar 215 km, sementara julat gabungannya sehingga 1,365 km bagi versi dengan bateri CATL Freevoy 50.4 kWh. Ruang but pula menyediakan kapasiti 828 liter.

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah pacuan semua roda dengan E-Lock pintar, kemampuan meredah air sedalam 900 mm, radius pusingan 3.5 meter, sembilan mod pacuan (termasuk Lumpur, Pasir dan Batu), lampu ambient 256 warna, sistem bunyi Dynaudio, ciri vehicle-to-load 6 kW (V2L), skrin sentuh 15.6-inci, panel instrumen 10.25-inci, paparan head-up, cermin pandang belakang digital dan kebuk pendingin di konsol tengah lima-liter.

    Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan tiba di Malaysia ketika pameran KLIMS 2026 Jun nanti

    Dongfeng Voyah Dream

    Di China, MPV Voyah Dream (turut dikenali sebagai Dreamer di sesetengah pasaran) ditawarkan dalam versi PHEV dan EV. Versi PHEV terkini mempunyai binaan 800V, pengecasan 5C, bateri 62.5-kWh (terdapat juga pilihan bateri 43.2 kWh dengan jarak EV 225 km CLTC), jarak EV 350 km CLTC dan jarak gabungan 1,530 km. Manakala versi EV pula boleh mencapai jarak 700 km CLTC dan dilengkapi bateri NMC 108.7 kWh dan dua motor elektrik (jumlah 551 PS).

    Ukuran dimensinya pula ialah 5,315 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,820 mm tinggi dengan jarak roda 3,200 mm. Versi PHEV dengan janaan 653 PS/915 Nm (gabungan enjin 1.5T dengan dua motor elektrik) mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 203 km/j.

    Ada juga stereng roda belakang (belokan sehingga lima-darjah), paparan head-up augmented reality 29-inci, monitor siling 17.3-inci, skrin sentuh 15.6-inci, kebuk pendingin di konsol tengah 13-liter dan suspensi udara dengan kawalan penyerap hentak berterusan.

    Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan tiba di Malaysia ketika pameran KLIMS 2026 Jun nanti

    Dongfeng 008

    Akhir sekali, SUV 008, yang diperkenalkan pada tahun 2024 dan tidak dikemas kini sejak itu. Terdapat versi lima dan enam-tempat duduk serta versi REEV dan EV — semuanya berukuran 5,002 mm panjang, 1,972 mm lebar dan 1,732 mm tinggi, dengan jarak roda 3,025 mm.

    Dari segi teknologi, ia antara lain dilengkapi dengan skrin sentuh 15.6-inci, panel instrumen 10.25-inci (8.8-inci untuk model enam-tempat duduk) dan cermin pandang belakang digital 9.2-inci. Terdapat juga lampu ambient 64 warna, pengecasan tanpa wayar 50W dan 20-pembesar suara (termasuk pembesar suara penyandar kepala). Turtu ditawarkan sebagai pilihan ialah skrin hiburan di belakang 15.6-inci dan peti pendingin.

    Dongfeng MHero II, Voyah Dream dan 008 akan tiba di Malaysia ketika pameran KLIMS 2026 Jun nanti

    Enjin turbo 1.5 liter 008 REEV 147 PS/210 Nm mampu mengecas bateri LFP 34.32 kWh yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik belakang yang menjana sebanyak 272 PS/340 Nm. Ia mempunyai jarak pemanduan EV CLTC sejauh 210 km, jarak pemanduan gabungan 1,300 km dan masa pengecasan 30-80% selama 26 minit. 008 EV mempunyai motor elektrik yang sama, tetapi menggunakan bateri LFP 82.28 kWh yang lebih besar untuk memberikan jarak pemanduan CLTC sejauh 636 km. Pengecasan SoC 30-80% dicapai dalam masa 28 minit sahaja.

    Ketiga-tiga model ini memanfaatkan Huawei ADAS dan HarmonyOS canggih, yang mungkin tidak akan ditawarkan untuk Malaysia. Apa pun, semua model ini dijangka akan dipamerkan di KLIMS 2026, MITEC, dari 12-21 Jun. Dongfeng Malaysia kini menjual model Box (RM101k-RM114k), Vigo (RM109k; RM100k untuk pelanggan awal) dan 007 (RM170k-196k; RM161k-187k untuk pelanggan awal).

    Dongfeng MHero II

    Dongfeng Voyah Dream

    Dongfeng 008

     
     
  • Bekalan petrol, diesel di M’sia masih terkawal; risiko lebih besar jika konflik Asia Barat berterusan – PMX

    Bekalan petrol, diesel di M’sia masih terkawal; risiko lebih besar jika konflik Asia Barat berterusan – PMX

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan buat masa ini bekalan petrol dan diesel di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal namun risiko lebih besar mungkin dirasai sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, laporan Harian Metro.

    Katanya, walau pun konflik geopolitik dunia memberi tekanan kepada ekonomi global dan rantaian bekalan tenaga, namun kerajaan ketika ini masih mampu menampung tekanan kenaikan harga minyak dunia melalui subsidi, namun keadaan itu tidak boleh bertahan terlalu lama sekiranya perang berpanjangan.

    “Ini (perang) kalau keadaan tak berubah satu dua bulan ini kesannya sampai ke setiap kampung di negara ini percayalah… saya berdoa supaya dapat dileraikan,” katanya yang menambah kerajaan kini membelanjakan hampir RM6 bilion sebulan bagi menampung subsidi petrol, diesel dan bantuan berkaitan bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung akibat kenaikan harga global.

    Bekalan petrol, diesel di M’sia masih terkawal; risiko lebih besar jika konflik Asia Barat berterusan – PMX

    Namun, katanya, jika keadaan berterusan, jumlah itu boleh mencecah sehingga RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan, sekali gus memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.

    Jelasnya lagi, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, kira-kira 50% bekalan minyak negara masih perlu diimport, menyebabkan Malaysia turut terdedah kepada ketidaktentuan harga global. Sehubungan itu, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan harga masih terkawal selagi keadaan mengizinkan.

    Anwar menegaskan, hubungan diplomatik yang baik dan pendirian tegas Malaysia terhadap serangan ke atas Iran membolehkan kapal negara melalui Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan tenaga negara terus lancar dan tidak terjejas. Katanya lagi, terdapat negara lain yang telah terjejas teruk, termasuk sebuah negara jiran yang terpaksa menutup kira-kira 400 stesen minyak akibat kekurangan bekalan bahan api.

    “Selain itu, ada negara lain yang terpaksa mengehadkan pembelian petrol kepada jumlah tertentu dan menetapkan hari tertentu bagi pembelian bahan api. Malaysia masih bertahan. Walaupun ada tekanan, kita belum sampai tahap seperti negara lain yang terpaksa menutup ratusan stesen minyak,” katanya.

     
     
  • Mazda CX-5 generasi ketiga akan muncul di KLIMS Jun ini sebelum dilancarkan ke pasaran Malaysia Q3 nanti?

    Mazda CX-5 generasi ketiga akan muncul di KLIMS Jun ini sebelum dilancarkan ke pasaran Malaysia Q3 nanti?

    Pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz memberikan bayangan bahawa ia akan mendedahkan model generasi ketiga Mazda CX-5 buat pertama kali di sini ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 Jun nanti. Perkara ini disebut oleh wakil Bermaz dalam satu video promo di laman KLIMS dengan menyatakan bahawa syarikat itu akan mempamerkan SUV terkini Mazda “yang mungkin tiba” ke pasaran Malaysia dalam acara tersebut itu kelak.

    Sebelum ini Bermaz sudahpun mengesahkan bahawa CX-5 generasi baharu berkenaan akan tiba ke pasaran Malaysia pada suku ketiga tahun ini. Ia disebut sendiri oleh Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh bahawa model tersebut akan ditawarkan terlebih dahulu dalam versi diimport sepenuhnya, diikuti oleh versi CKD selepas itu.

    Mazda CX-5 generasi ketiga akan muncul di KLIMS Jun ini sebelum dilancarkan ke pasaran Malaysia Q3 nanti?

    Beliau turut menjelaskan, ketika dilancarkan nanti CX-5 generasi ketiga tersebut hanya akan ditawarkan dengan 2.5 liter, dan ia akan dijual sekali bersama model generasi kedua yang tidak akan dihentikan jualannya tetapi hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.

    Manakala bagi Mazda CX-5 generasi ketiga yang baru dididedahkan pada peringkat global Julai tahun lalu hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.

    GALERI: Mazda CX-5 generasi ketiga di Japan Mobility Show 2025

     
     
  • Tesla Model Y L di Malaysia – harga versi 6 tempat duduk, jarak roda panjang sah bermula RM262,615

    Tesla Model Y L di Malaysia – harga versi 6 tempat duduk, jarak roda panjang sah bermula RM262,615

    Menerusi laman web rasminya, Tesla Malaysia sudahpun mengesahkan harga bagi model baharu, Tesla Model Y L yang baru dilancarkan awal minggu lalu, di mana secara rasmi ia dijual di pasaran tempatan pada harga atas jalan tanpa insuran RM262,615. Jadi harga rasmi yang diumumkan ini tidak jauh dari harga anggaran RM260,000 yang disebut sebelum ini.

    Tesla Model Y L merupakan versi dengan jarak roda lebih panjang bagi memuatkan tiga baris tempat duduk berbanding Model Y biasa yang hanya menawarkan dua baris tempat duduk – sebab itulah ia RM17,550 lebih mahal berbanding Model Y Premium Long Range AWD yang sudahpun berada dalam pasaran, dijual pada harga RM242,450.

    Dengan harga yang diumumkan ini, anda hanya boleh memiliki Tesla Model Y L berkenaan dengan warna badan Stealth Grey dan juga tema dalaman berwarna hitam. Namun warna badan lain turut ditawarkan tetapi dengan tambahan bayaran – warna Cosmic Silver dan Ultra Red berharga RM11,000, warna Glacier Blue berharga RM7,500, manakala warna Pearl White dan Diamond Black memerlukan anda menambah sebanyak RM5,000. Manakala untuk dalaman, Tesla turut menawarkan tema opsyen Zen Grey yang memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM5,000.

    Tesla Model Y L di Malaysia – harga versi 6 tempat duduk, jarak roda panjang sah bermula RM262,615

    Dari segi dimensi Model Y L ini menampilkan panjang keseluruhan 4,976 mm, lebar 2,129 mm, tinggi 1,668 mm dan jarak roda sejauh 3,040 mm. Jadi berbanding versi Model Y standard, versi L ini adalah 179 mm lebih panjang, 44 mm lebih tinggi dan jarak roda 150 mm lebih jauh. Jarak kelegaan tanah versi ini juga adalah 2 mm lebih tinggi iaitu 169 mm. Dengan badan lebih panjang dan tinggi serta tambahan satu baris tempat duduk menjadikan Tesla Model Y L ini 96 kg lebih berat kepada 2,088 kg berbanding Model Y Premium LRWD.

    Selain dari rupa yang ‘sedikit pelik’ kerana lebih panjang dan bumbung belakang lebih tinggi untuk ruang kepala lebih luas, Model Y L ini turut boleh dikenali menerusi spoiler but belakang yang direka semula serta diberikan kemasan warna badan berbanding hitam pada Model Y biasa. Rekaan baharu ini turut membolehkan pekali geserannya bertambah baik pada kadar 0.216 berbanding 0.22 pada versi biasa. Model Y L ini juga datang dengan set roda standard unik hanya untuknya iaitu rim aloi Machina berdiameter 19-inci. Ia dibalut dengan tayar Continental EcoContact 7 S bersaiz 255/45R19 di hadapan dan 274/45R19 di belakang.

    Di dalam, susunan tempat duduk dibentang dengan konfigurasi 2-2-2. Tempat duduk baris kedua direka bebas dan terpisah yang menampilkan perehat tangan yang kecil kawalan elektrik bersama fungsi pemanas, pengalir udara dan juga larasan elektrik. Walau bagaimanapun ia tidaklah semewah tempat duduk kapten yang lazimnya diberikan pada MPV mewah, kerana tidak dilengkapi dengan perehat kaki ottoman dan juga meja lipat. Tempat duduk baris kedua ini diasingkan hanya lah untuk memudahkan akses ke tempat duduk baris ketiga.

    Tesla Model Y L di Malaysia – harga versi 6 tempat duduk, jarak roda panjang sah bermula RM262,615

    Tempat duduk paling belakang turut diberikan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, dan ia turut menampilkan perehat kepala. Ia boleh dilaras dan dilipat rata menggunakan larasan elektrik. Dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga yang dilipat, Tesla mendakwa bahawa Model Y L ini dapat menyediakan ruang kargo sebesar 2,539 liter, berbanding versi standard yang menampilkan hanya 2,138 liter.

    Jika semua tempat duduk digunakan, ruang but belakang masih menampilkan ruang storan yang baik kerana ia diberikan ruang storan bawah lantai yang dalam. Juga terdapat ruang frunk yang boleh digunakan pada bahagian hadapan. Model Y L ini juga diberikan tempat duduk dengan rekaan berbeza dengan Model Y biasa, di mana ia datang dengan perehat kepala yang bersambung dengan perehat badan, serta diberikan sokongan peha yang boleh dipanjangkan.

    Perincian dalaman lain yang turut diberikan secara standard termasuk pengecas telefon pintar 50W dan 30W tanpa wayar (hanya 15Wx2 pada Model Y biasa), penyejuk aktif serta sistem audio dengan 18-pembesar suara dan satu subwoofer berbanding 15-pembesar suara dan satu subwoofer pada Model Y Premium LRAWD.

    Ia juga diberikan perincian-perincian lain yang sama seperti Model Y Premium biasa termasuk perapi dalam tekstil, upholsteri kulit sintetik, skrin sesentuh utama 16-inci, skrin sesentuh tempat duduk baris kedua lapan-inci, bumbung kaca panaromik, lampu suasana kabin, lapan kamera luaran (masih tiada fungsi 360-darjah penuh) dan juga pintu tailgate belakang dengan fungsi operasi tanpa sentuhan.

    Bagi unit rangkaian kuasa pula, Model Y L pasaran Malaysia yang dijual dalam varian tunggal Premium AWD ini menerima dua motor elektrik bagi memacu kesemua roda, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 5 saat, berbanding PLRAWD dengan konfigurasi sama mencatatkan masa 4.8 saat. Kelajuan maksima pula adalah sama kedua-duanya iaitu 201 km/j.

    Bateri yang dibekalkan didakwa dapat memberikan jarak gerak 681 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala untuk mengecas ia boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 250 kW, dan juga pengecas AC 11 kW. Model Y L ini juga datang standard dengan sistem suspensi adaptif seperti Model Y Performance yang memberikan larasan Balanced dan Rear Comfort.

     
     
  • JPJ eBid: JYW dan BSV bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Selangor bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Johor,JYW boleh dibida bermula 13 April. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 17 April. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 18 April 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini BSV, bakal dibuka bidaan mulai 15 April. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 19 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 April 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • JPJ tidak lagi tetapkan KPI untuk jumlah saman, kini tumpukan pematuhan keselamatan jalan raya

    JPJ tidak lagi tetapkan KPI untuk jumlah saman, kini tumpukan pematuhan keselamatan jalan raya

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak lagi akan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi jumlah saman yang dikeluarkan oleh pegawai penguatkuasanya, laporan The Star.

    Sebaliknya, agensi penguatkuasaan itu akan mengalihkan fokus daripada jumlah saman yang dikeluarkan kepada peningkatan pematuhan dan keselamatan jalan raya, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli. Di mana operasi penguatkuasaan akan lebih menumpukan kepada rondaan, pemantauan dan tindakan pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

    “Kami tidak memberi tumpuan kepada pengeluaran saman, sebaliknya memastikan pematuhan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Bahagian penguatkuasaan akan menilai semula KPI saman yang ditetapkan sebelum ini,” katanya,

    Tambahnya, langkah JPJ ini selaras dengan hala tuju dasar Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memperkukuhkan strategi penguatkuasaan yang memberi impak lebih besar terhadap keselamatan jalan raya.

    Jelasnya lagi, pegawai penguatkuasa sebaliknya akan dinilai berdasarkan keberkesanan operasi dan hasil keselamatan, bukannya jumlah saman yang dikeluarkan.

    Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan bahawa KPI JPJ adalah pengurangan kemalangan maut, bukannya jumlah saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

     
     
  • Hyundai Petaling Jaya diumum sudah dibuka secara rasmi, bilik pameran dioperasikan oleh Palm Motor

    Hyundai Petaling Jaya diumum sudah dibuka secara rasmi, bilik pameran dioperasikan oleh Palm Motor

    Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan bahawa Hyundai Petaling Jaya kini sudah dibuka secara rasmi. Bilik pameran yang terletak di Lot 23-A & 25, 13/2, Jalan Kemajuan, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya berkenaan dioperasikan oleh Palm Motor, yang telah pun menjadi salah satu pengedar jenama Hyundai di Malaysia sejak 2002.

    Fasiliti berkenaan dibina dengan keluasan 4,200-kaki persegi. Ia dibuka setiap hari dengan waktu operasi 9 pagi hingga 6 petang untuk hari Isnin hingga Sabtu, dan 10 pagi hingga 5 petang untuk hari Ahad dan juga pada hari cuti kelepasan am.

    “Pembukaan Hyundai Petaling Jaya menandakan satu peristiwa penting untuk pengembangan rangkaian kami kerana kami menyasarkan untuk mempunyai 25 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun 2026. Matlamat kami adalah untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia dengan akses yang lebih luas, pengalaman yang lebih baik dan nilai yang bermakna, didorong oleh janji kami – Sentiasa di sisi anda,” kata presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee.

    “Pembukaan bilik pameran Hyundai baharu ini di PJ menandakan satu peristiwa penting bagi kami dan Hyundai. Melalui Palm Motor, Hyundai kembali ke PJ dengan tujuan untuk mendekatkan jenama Hyundai kepada anda dan memberi perkhidmatan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” kata prinsipal pengedar Palm Motor, Cedric Choo pula.

    “Ini termasuk memperkenalkan barisan kenderaan Hyundai terbaharu (Santa Fe, Tucson, Staria dan banyak lagi yang akan datang) untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang cemerlang dari hujung ke hujung, daripada pembelian kenderaan tanpa rasa risau kepada servis dan sokongan pelanggan yang boleh dipercayai,” tambahnya.

     
     
  • Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

    Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

    Semasa acara New York International Auto Show (NYIAS) 2026, Hyundai membuat kejutan dengan memperkenalkan sebuah model konsep dikenali sebagai Boulder Concept. Model yang menggunakan kerangka body-on-frame ini bukan sahaja dibangunkan sempena ulang tahun ke-40 Hyundai di Amerika Syarikat, tetapi juga memberi bayangan awal kepada SUV offroad pertama jenama itu.

    Meskipun Hyundai sebelum ini pernah menawarkan varian XRT bagi beberapa model produksinya, ia tidak boleh dianggap sebagai jentera offroad tulen. Dengan Boulder Concept, Hyundai dilihat bersedia memasuki segmen yang selama ini didominasi oleh model seperti Ford Bronco, Jeep Wrangler dan Toyota 4Runner. Walaubagaimanapun, versi produksi bagi model ini hanya dijangka muncul sekitar tahun 2030.

    Dari segi reka bentuk, konsep ini menggunakan falsafah yang digelar “Art of Steel”, menampilkan gabungan bentuk berkotak dengan garisan moden. Rekaan tersebut jelas disasarkan kepada citarasa pasaran Amerika, dengan penampilan lasak menerusi posisi badan tegak, lengkungan fender besar serta tayar mud-terrain bersaiz 37 inci. Hyundai menyifatkan konsep ini sebagai kenderaan yang dibina berasaskan gaya hidup dan nilai Amerika, khusus untuk mereka yang gemar meneroka laluan baru dengan keyakinan.

    Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

    Bahagian hadapan Boulder Concept menampilkan gril lebar yang diapit lampu utama bertingkat, bersama bampar yang dilengkapi pelindung bawah (skid plate). Bonet hadapan pula mempunyai rekaan beralur, dipadankan dengan cermin sisi besar serta sebaris lampu yang dipasang pada rel bumbung.

    Reka bentuk bahagian belakang turut mengekalkan identiti lasak dengan lampu menegak dan pintu but unik dua engsel. Ia turut menempatkan tayar gantian bersaiz penuh serta tingkap berkuasa. Elemen seperti skid plate dan side rocker yang menonjol dikatakan membantu memberikan sudut mendongak, menjunam dan breakover yang lebih agresif.

    Dari sudut praktikaliti, aspek penglihatan turut diberi perhatian melalui penggunaan tingkap gaya safari di bahagian atas serta tingkap sisi belakang yang melingkari tiang C. Pintu barisan kedua juga direka dengan bukaan berengsel belakang bagi memudahkan akses dan memuatkan peralatan aktiviti lasak ke dalam kabin.

    Hyundai Boulder Concept diperkenal – petunjuk SUV offroad body-on-frame akan datang tahun 2030

    Bahagian dalaman meneruskan tema lasak dengan kehadiran pemegang serta tombol fizikal bersaiz besar dan butang kawalan yang mudah dicapai. Beberapa permukaan dinaikkan untuk memberikan sentuhan ergonomik, termasuk tuil penukar gear yang memperlihatkan mekanisme sambungan secara terbuka.

    Sebagai model konsep, terdapat juga elemen futuristik seperti head-up display penuh lebar dan empat skrin individu yang memaparkan pelbagai maklumat. Walaubagaimanapun, tidak semuanya dijangka dibawa ke versi produksi.

    Menurut Hyundai, pembangunan platform body-on-frame ini masih di peringkat awal, namun garis panduan utama telah ditetapkan untuk model masa hadapan. Boulder Concept dijangka menjadi asas kepada barisan SUV offroad yang akan direka, dibangunkan dan dihasilkan di Amerika Syarikat menggunakan keluli keluaran Hyundai sendiri. Sebelum ini, Hyundai pernah memperkenalkan konsep serupa menerusi Crater Concept, iaitu SUV offroad kompak yang dipertontonkan pada November lalu.

     
     
  • MINI Paul Smith Edition 2026 di Malaysia — galeri penuh model terhad dari Cooper SE EV, dari RM222k

    MINI Paul Smith Edition 2026 di Malaysia — galeri penuh model terhad dari Cooper SE EV, dari RM222k

    Dilancarkan bulan lalu dan ditawarkan dalam warna Inspired White atau Statement Grey, MINI Paul Smith Edition dijual dengan harga RM222,222 atas jalan, belum termasuk insurans (atau RM228,522 dengan jaminan empat-tahun dan pakej servis). Apa yang membezakannya daripada Cooper SE biasa yang menjadi model asalnya, dan mengapa ia dikenakan harga yang RM28k lebih mahal?

    Tiada sebarang perubahan untuk sistem janaan kuasanya. Ia masih menggunakan bateri NMC 54.2-kWh (402 km WLTP), 95 kW DC (10-80% dalam masa kurang setengah jam) dan kadar pengecasan AC 11 kW, dengan motor elektrik yang menjana sebanyak 218 PS/330 Nm yang dipasang di hadapan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 170 km/j.

    Antara kelainan yang ada ialah penggunaan warna Nottingham Green yang menghiasi cermin sisi, di sekeliling ‘gril’, di hab penutup, bumbung (dengan jalur istimewa Paul Smith di sisi) serta rim aloi ‘Slide Spoke’ 18-inci (yang juga mempunyai kemasan Dark Steel). Lambang MINI pula dalam warna hitam-biru dan tulisan ‘Paul Smith’ dalam warna Anthracite Grey di pintu belakang.

    Jika pintu dibuka, lampu di bawah cermin sisi akan memancarkan ‘halo’ sambutan mesra dalam tulisan tangan Smith. Bahagian dalamannya menampilkan tempat duduk sport Nightshade Blue JCW dalam balutan material Vescin, dengan jahitan Shadow Stripe di bahagian bahu dan tempat letak kepala. Turut dihadirkan ialah label Paul Smith.

    Kemasan balutan Shadow Stripe juga diguna untuk papan pemuka dengan cara yang diinspirasikan oleh reka bentuk jalur istimewa Smith. Bahagian papan pemuka sisi penumpang pula terdapat jalur kulit hitam hiasan dengan jahitan biru, manakala kemasan lantai pintu pula memaparkan mesej “Every day is a new beginning!” dalam tulisan tangan perekanya.

    Sentuhan istimewa lain termasuk motif arnab lukisan tangan yang disulam di tikar lantai, manakala jalur fabrik stereng diberikan warna mengikut tema. Skrin sentuh bulat juga diubah suai untuk memasukkan tiga latar belakang eksklusif yang direka oleh Paul Smith untuk model Personal, dengan jalur istimewanya disepadukan secara halus ke tepi atas paparan.

     
     
  • 20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi

    20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi

    Data pendaftaran kereta baharu untuk bulan Mac 2026 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dah pun dikeluarkan, dan ini adalah senarai 20 kereta paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu yang dibuat berdasarkan data berkenaan.

    Untuk bulan lalu, Perodua Bezza masih lagi kereta paling laris di Malaysia dengan terjual sebanyak 7,493. Ia diikuti oleh satu lagi model dari Perodua iaitu Axia, berada di tempat kedua dengan terjual sebanyak 5,774 unit. Proton Saga yang sebelum ini dijangka boleh mengatasi Bezza, nampaknya jatuh satu lagi anak tangga pada Mac – terjual hanya 5,398 unit, Saga hanya berada di tempat ketiga berbanding nombor dua bulan sebelumnya.

    Konsistensi prestasi jualan Bezza juga membolehkan jualan kumulatif untuk tiga bulan pertama (YTD) tahun ini mencecah 22,955 unit, memintas Saga yang jatuh ke tempat kedua dengan jumlah jualan YTD mencapai 21,690 unit. Axia yang terjual sebanyak 17,661 unit untuk tiga bulan pertama tahun ini kini berada di tempat ketiga.

    Kembali ke jualan bulanan untuk Mac, Myvi berada di tempat keempat dengan 4,514 unit didaftarkan (13,650 YTD). Proton X50 nampaknya berada dalam kedudukan yang sangat kuat dengan berada di tempat kelima, terjual sebanyak 2,860 unit sepanjang Mac (7,089 unit YTD).

    20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi

    Seperti biasa JPJ mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model Honda City sedan dan Hatchback, dan merekodkan pendaftaran sebanyak 2,743 unit pada Mac (5,232 unit YTD) untuk berada di tempat keenam.

    Tempat ketujuh hingga ke-10 dipenuhi dengan kenderaan dari jenama nasional, iaitu Perodua Alza terjual sebanyak 2,474 unit (8,691 unit YTD), Proton S70 ke-lapan sebanyak 2,254 unit (5,798 unit YTD), Proton eMas 5 ke-sembilan sebanyak 2,071 unit (6,701 unit YTD) dan Perodua Ativa sebanyak 1,920 unit (4,284 unit YTD).

    Manakala bagi tempat ke-11 hingga 20, carta ini dikuasai oleh model-model dari jenama Jepun. Honda HR-V berada di tempat ke-11 dengan jualan 1,832 unit (3,503 unit YTD). Walaupun harga bahan api diesel kini semakin meningkat, permintaan terhadap Toyota Hilux nampak masih stabil di mana sebanyak 1,749 unit trak pikap berkenaan telah terjual bulan lalu (4,764 unit YTD) untuk berada di tempat ke-12.

    20 kereta paling laris Mac 2026 – Bezza no.1, Saga jatuh no.3, X50 no.5, permintaan Hilux masih tinggi

    Manakala MPV mewah Toyota Alphard berada di tempat ke-13 dengan rekod pendaftaran 1,606 unit (4,063 unit YTD) – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun. Sedan segmen-B Toyota Vios berada di tempat ke-14 dengan pendaftaran sebanyak 1,509 unit (3,745 unit YTD).

    SUV segmen-B penuh Perodua Traz pula berada di tempat ke-15 dengan jualan 1,479 unit sepanjang Mac (5,090 unit YTD), diikuti Honda Civic di tempat ke-16 terjual sebanyak 1,322 unit (2,450 unit YTD), Toyota Corolla Cross di tempat ke-17 dengan jualan 895 unit (2,555 units YTD) dan Perodua Aruz di tempat ke-18 dengan 865 unit.

    Jenama dari China nampaknya kurang menyerlah bulan lalu di mana Jaecoo J7 menjadi satu-satunya model dari negara berkenaan yang tersenarai dalam carta 20 terlaris ini, berada di tempat ke-19 dengan jualan 737 unit (2,165 unit YTD). Proton Persona yang mungkin ditamatkan pengeluarannya bila-bila masa tahun ini masih gagah berada di tempat ke-20 dengan terjual sebanyak 714 unit bulan lalu (2,556 unit YTD).

     
     
  • Proton X90 MC 2026 — 323 unit dijual pada Mac walau kurang sebulan, jualan tertinggi sejak lebih setahun

    Proton X90 MC 2026 — 323 unit dijual pada Mac walau kurang sebulan, jualan tertinggi sejak lebih setahun

    Walaupun diselubungi perkembangan berkaitan keselamatan dan penarafan ASEAN NCAP satu-bintang yang tidak menyebelahinya, Proton X90 MC tetap menunjukkan tarikan jualan yang baik bagi Mac 2026 dengan mencatatkan sebanyak 323 unit, walaupun baru saja dilancarkan pada 11 Mac lalu — tak cukup pun sebulan penuh untuk mencapai angka jualan tersebut.

    Angka jualan tertinggi sebelum ini yang pernah dicapai oleh Proton X90 adalah pada Disember 2024 dengan 307 unit. Peningkatan ini tentulah dipengaruhi oleh harga jualannya yang telah berkurang sebanyak RM37,000, menjadi RM99,800 untuk varian Lite kini. Ini diikuti dengan RM109,800 untuk Prime dan RM115,800 untuk Prime X (semuanya dengan rebat pelancaran RM7,000).

    Proton X90 MC kini dilengkapi enjin empat-silinder turbo BHE15-EFZ 1.5 liter i-GT moden — yang menggantikan enjin tiga-silinder mild-hybrid sebelum ini — yang menjana sebanyak 181 PS dan 290 Nm tork. Selain enjin empat-silinder yang lebih seimbang dan lebih lancar, Proton juga mendakwa kos penyelenggaraan yang lebih rendah dengan penggunaan timing chain dan penggunaan bahan api serendah 6.9 liter per 100 km.

    Proton X90 MC 2026 — 323 unit dijual pada Mac walau kurang sebulan, jualan tertinggi sejak lebih setahun

    Bagaimanapun, pengurangan harga itu juga bermakna ada kelengkapan yang digugurkan. Kini, tiada lagi sambungan 4G (jadi tiada sokongan aplikasi atau kawalan suara “Hi Proton”), bumbung panoramik, pengecasan tanpa wayar Qi atau pintu belakang berkuasa. Namun, Proton X90 MC ini menerima ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (yang bahkan masih tidak diberikan kepada X90 lama).

    Lebih ketara ialah gugurnya keseluruhan set bantuan pemandu X90. Juga tiada lagi ciri pemanduan separa autonomi Tahap 2 seperti kawalan pelayaran adaptif dan bantuan ke tengah lorong, dan juga tiada AEB. Terlalu banyak pengurangan ciri keselamatan penting padanya sehingga ASEAN NCAP menurunkan penarafan lima-bintang yang diraih sebelumnya.

    Apa pun, prestasi jualan X90 yang bertambah baik memberikan sumbangan kecil kepada jualan keseluruhan Proton yang mencatatkan sebanyak 15,706 unit kenderaan dijual bulan lalu, meningkat 2,140 unit daripada jualan Februari lalu. Ini membawa kepada angka suku pertama sebanyak 49,140 unit, yang merupakan angka jualan suku-tahunan terbaik untuk Proton sejak 2004.

    Proton X90 MC 2026 Prime X

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV — 646 unit dijual pada Mac 2026, lebih sekali ganda berbanding jualan eMas 7 EV

    Proton eMas 7 PHEV — 646 unit dijual pada Mac 2026, lebih sekali ganda berbanding jualan eMas 7 EV

    Berdasarkan laporan jualan bagi bulan Mac 2026 yang dikeluarkan, Proton telah menjual sebanyak 646 unit Proton eMas 7 PHEV bulan lalu, yang merupakan jualan sebulan penuh yang pertama model terbabit. Model plug-in hybrid kepada eMas 7 itu dilancarkan secara rasmi pada 4 Februari lalu.

    Dengan itu, jualan model PHEV berkenaan adalah lebih sekali ganda berbanding eMas 7 EV, yang mencatatkan jualan 306 unit. Ini bagaimanapun jauh berbeza jika dibandingkan dengan jualan eMas 5 yang mencatatkan angka 2,071 unit — menjadikannya EV paling popular di Malaysia dari segi jualan. Semua ini menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan Proton eMas bagi Mac 2026, yang mencatatkan sebanyak 3,023 unit.

    “Kami berterima kasih terhadap sambutan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Proton eMas sejak jenama ini dilancarkan pada tahun 2024. Usaha kami untuk mendedahkan rakyat Malaysia kepada teknologi EV dan produk kami kini membuatkan hasil. Buktinya dapat dilihat daripada angka jualan yang dicapai, dan sasaran kami adalah untuk menjadikan Proton eMas sebagai jenama kenderaan tenaga baru nombor satu pada tahun 2026,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.

    Proton eMas 7 PHEV — 646 unit dijual pada Mac 2026, lebih sekali ganda berbanding jualan eMas 7 EV

    Semalam, Pro-Net turut mengumumkan bahawa eMas 7 PHEV telah menerima lebih 4,900 tempahan. eMas 7 PHEV dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.5 liter NA dengan janaan 99 PS/125 Nm, yang digabungkan dengan motor elektrik 218 PS/262 Nm untuk memberikan jumlah output keseluruhan sebanyak 262 PS/262 Nm.

    Varian Prime dan Premium didatangkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 18.4-kWh daripada CATL yang memberikan jarak elektrik sejauh 83 km, atau 943 km secara gabungan sistem berkenaan. Varian Premium Plus yang paling tinggi pula mendapat bateri LFP bilah pendek Geely Aegis 29.8-kWh, dengan jarak EV 146 km dan jarak gabungan 996 km.

    Proton eMas 7 PHEV — 646 unit dijual pada Mac 2026, lebih sekali ganda berbanding jualan eMas 7 EV

    Kadar pengecasan DC maksimum bateri yang lebih kecil ialah 30 kW, dan mencapai tahap pengecasan 30-80% dalam masa kurang daripada 20 minit. Bateri Aegis boleh mengendalikan pengecasan sehingga 60 kW, dan mampu mencapai SoC daripada 30-80% dalam masa kurang daripada 16 minit. Pengecasan AC pula pada kadar maksimum 7 kW. Dari segi prestasi, Prime/Premium boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat, manakala Premium Plus 8.2 saat.

    Proton eMas 7 PHEV Prime jual dengan harga bermula RM109,800 atas jalan tanpa insurans, diikuti oleh Premium dengan harga RM123,800. Premium Plus pula dijual dengan harga RM129,800.

    Dengan rebat pelancaran RM4,000, harga jualan masing-masing adalah lebih rendah, menjadi RM105,800, RM119,800 dan RM125,800. Proton juga telah mengumumkan warna Hijau Zamrud (Emerald Green) baru untuk model ini, menjadikan ada enam pilihan warna secara keseluruhan.

     
     
  • Subaru Getaway buat kemunculan di AS – SUV EV tiga baris tempat duduk, 420 hp, jarak gerak hingga 483 km

    Subaru Getaway buat kemunculan di AS – SUV EV tiga baris tempat duduk, 420 hp, jarak gerak hingga 483 km

    Kerjasama berterusan antara Subaru dan Toyota dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) terus menunjukkan hasil apabila Subaru memperkenalkan model EV terbesarnya setakat ini di pasaran Amerika Syarikat. Dikenali sebagai Getaway, model ini berkongsi banyak persamaan dengan Toyota Highlander EV yang juga adalah model baru, serta menyertai barisan EV Subaru sedia ada seperti Solterra, Trailseeker dan Uncharted.

    Dijadual memasuki pasaran Amerika Syarikat pada penghujung 2026 sebagai model tahun 2027, Getaway menawarkan konfigurasi tempat duduk sehingga tujuh penumpang dan didatangkan secara standard dengan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive. Ia kemudiannya digandingkan dengan dua motor elektrik, masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, seterusnya menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 420 hp.

    Angka tersebut mengatasi Highlander EV versi dua motor yang menghasilkan 338 kuasa kuda, sekaligus membolehkan Getaway memecut 0-96 km/j dalam masa kurang lima saat. Dari segi keupayaan, model ini turut menawarkan jarak kelegaan tanah sekitar 211 mm, bersama sistem X-Mode Dual Mode yang menyediakan mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud, selain fungsi Grip Control dan Downhill Assist Control. Keupayaan menunda juga tidak diketepikan dengan kapasiti sehingga 1,588 kg.

    Subaru Getaway buat kemunculan di AS – SUV EV tiga baris tempat duduk, 420 hp, jarak gerak hingga 483 km

    Sumber kuasa bagi motor elektrik ini adalah bateri lithium-ion berkapasiti 95.8 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan melebihi 483 km mengikut dakwaan Subaru. Seperti kebanyakan EV di Amerika Syarikat, Getaway dilengkapi soket pengecas NACS yang memberikan akses kepada rangkaian lebih 25,000 pengecas pantas Tesla Supercharger di seluruh Amerika Utara. Pengecasan pantas DC pula menyokong sehingga 150 kW, dengan masa sekitar 30 minit untuk mengecas dari 10% ke 80%.

    Model ini turut dilengkapi sistem pemanasan awal bateri bagi memastikan prestasi kekal optimum dalam cuaca sejuk. Subaru juga merancang untuk memperkenalkan varian jarak standard pada tahun 2027 dengan bateri 77 kWh dan sistem pacuan semua roda, namun butiran lanjut hanya akan diumumkan kemudian.

    Dari segi reka bentuk, Getaway menampilkan identiti tersendiri meskipun berkongsi asas dengan model kembarnya. Bahagian hadapan menampilkan logo bercahaya bersama rekaan lampu utama unik, manakala bahagian belakang dilengkapi jalur lampu penuh dengan tulisan jenama yang turut bercahaya. Ia juga hadir dengan rak bumbung gaya tangga yang menambah elemen praktikal.

    Ruang dalaman menawarkan tiga baris tempat duduk dengan susun atur papan pemuka yang hampir sama seperti Highlander EV. Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci, skrin infotainmen 14 inci, bumbung panoramik, tempat duduk dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay, dua pad pengecas tanpa wayar 15W, lampu suasana boleh ubah serta lima mod pemanduan bersama sistem bantuan pemandu EyeSight.

    Bagi konfigurasi tempat duduk, barisan kedua boleh dipilih sama ada dalam bentuk bangku untuk susun atur 2-3-2 atau kerusi kapten bagi susun atur 2-2-2. Tempat duduk barisan kedua juga dilengkapi fungsi lipatan satu sentuhan bagi memudahkan akses ke barisan ketiga, dan Subaru mendakwa individu berketinggian sekitar enam kaki masih boleh duduk dengan selesa di ketiga-tiga barisan.

    Dari segi ruang kargo, barisan ketiga boleh dilipat secara elektrik untuk meningkatkan kapasiti muatan sehingga 1,291 liter, iaitu lebih besar berbanding Kia EV9. Dengan barisan ketiga dalam keadaan tegak, ruang kargo yang ditawarkan adalah sebanyak 450 liter.

     
     
  • 20 jenama EV terlaris Mac 2026 – Proton eMas di atas, hampir tiga kali lebih daripada BYD di tempat kedua

    20 jenama EV terlaris Mac 2026 – Proton eMas di atas, hampir tiga kali lebih daripada BYD di tempat kedua

    Data terkini pendaftaran kenderaan elektrik (EV) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan dominasi berterusan Proton menerusi jenama eMas sepanjang tahun ini. Pada Mac 2026 sahaja, Proton mencatatkan sebanyak 2,377 unit EV berdaftar, sekali gus mendahului carta dengan kelebihan hampir tiga kali ganda berbanding pesaing terdekat, BYD yang merekodkan 879 unit.

    Bagi keseluruhan suku pertama tahun ini, Proton terus berada jauh di hadapan dengan jumlah terkumpul sebanyak 7,455 unit EV berdasarkan data JPJ. BYD pula mencatatkan 2,261 unit, manakala Tesla melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan 338 unit pada Mac, iaitu prestasi bulanan terbaiknya setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan tahun sebanyak 658 unit.

    Di kedudukan keempat, iCaur mencatatkan 257 unit dengan jumlah keseluruhan 1,002 unit, diikuti Zeekr di tempat kelima dengan 177 unit dan jumlah terkumpul 857 unit. MG menjadi jenama terakhir yang melepasi angka 100 unit pada Mac dengan 112 unit, sekaligus berada di kedudukan keenam dan mencatatkan 487 unit bagi jumlah keseluruhan tahun ini.

    20 jenama EV terlaris Mac 2026 – Proton eMas di atas, hampir tiga kali lebih daripada BYD di tempat kedua

    Untuk jenama yang mencatatkan jualan di bawah 100 unit, Volvo berada di tempat ketujuh dengan 90 unit dan jumlah terkumpul 164 unit. Ia diikuti oleh XPeng dengan 72 unit (244 unit keseluruhan), BMW dengan 67 unit (139 unit keseluruhan) serta Leapmotor yang melengkapkan kedudukan 10 teratas dengan 60 unit dan jumlah 321 unit bagi tahun ini.

    Masuk ke separuh kedua senarai 20 teratas ini, TQ Wuling berada di tempat ke-11 dengan 49 unit dan jumlah keseluruhan 150 unit. Honda kembali ke dalam senarai 20 teratas di kedudukan ke-12 dengan 34 unit EV berdaftar dan jumlah terkumpul 46 unit. Denza pula berada di tempat ke-13 dengan 27 unit pada Mac, menjadikan jumlah keseluruhan hampir mencecah 100 unit iaitu 99 unit.

    20 jenama EV terlaris Mac 2026 – Proton eMas di atas, hampir tiga kali lebih daripada BYD di tempat kedua

    Seterusnya, MINI mencatatkan 26 unit dengan jumlah keseluruhan 79 unit, berkongsi angka bulanan yang sama dengan Great Wall Motor yang mempunyai jumlah terkumpul 107 unit, masing-masing di kedudukan ke-14 dan ke-15.

    Lima jenama terakhir dalam senarai ini ialah Dongfeng di tempat ke-16 dengan 23 unit (92 unit keseluruhan), Mercedes-Benz di tempat ke-17 dengan 19 unit (133 unit keseluruhan), smart di tempat ke-18 dengan 18 unit (81 unit keseluruhan), Porsche di tempat ke-19 dengan 14 unit (57 unit keseluruhan) dan Neta di tempat ke-20 dengan 13 unit serta jumlah terkumpul 46 unit.

     
     
  • RON95 di Malaysia lebih murah berbanding di Arab Saudi dan negara ASEAN lain, kecuali Brunei – KPDN

    RON95 di Malaysia lebih murah berbanding di Arab Saudi dan negara ASEAN lain, kecuali Brunei – KPDN

    Walaupun harga bahan api global melonjak, namun harga petrol RON 95 di Malaysia masih antara yang paling rendah di rantau ini serta lebih murah berbanding di Arab Saudi, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

    Berdasarkan harga runcit bahan api di Malaysia bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, satu ilustrasi oleh Jabatan Penerangan Malaysia menunjukkan bahawa petrol dan diesel di Malaysia masih lebih murah berbanding negara-negara ASEAN lain dan juga Arab Saudi, kecuali Brunei, di mana harga petrol adalah bersamaan RM1.67 seliter, dan diesel bersamaan RM0.98 seliter.

    Dalam kalangan negara jiran lain, harga bahan api di Thailand disenaraikan pada kadar bersamaan RM6.48 seliter bagi petrol, dan RM4.95 seliter untuk diesel. Sementara itu, di Singapura, harga bahan api di republik berkenaan disenaraikan pada kadar bersamaan RM10.30 seliter bagi petrol, dan RM12.05 seliter untuk diesel.

    RON95 di Malaysia lebih murah berbanding di Arab Saudi dan negara ASEAN lain, kecuali Brunei – KPDN

    Negara-negara lain yang disenaraikan dari segi harga bahan api termasuk Laos (petrol RM7.20, diesel RM7.65), Filipina (petrol RM6.43, diesel RM7.99), Myanmar (petrol RM6.35, diesel RM7.05), Kemboja (petrol RM6.26, diesel RM7.27), Vietnam (petrol RM2.96, diesel RM3.49), dan Indonesia (petrol RM2.96, diesel RM3.49).

    Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kuota awal 300 liter sebulan bagi petrol RON 95 di bawah program subsidi bahan api Budi Madani RON 95 dikurangkan sementara kepada 200 liter sebulan.

    Sementara itu, bagi bahan api diesel, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan awal minggu ini bahawa bantuan tunai bulanan di bawah inisiatif Budi Madani Diesel akan dikekalkan pada RM300 bagi bulan April 2026.

     
     
  • Proton jual 15,706 unit kenderaan pada Mac 2026 – 49,140 unit untuk Q1, rekod tertinggi sejak 2004

    Proton jual 15,706 unit kenderaan pada Mac 2026 – 49,140 unit untuk Q1, rekod tertinggi sejak 2004

    Proton telahpun mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan Mac 2026, yang menyaksikan pengeluar automotif berpusat di Tanjong Malim tersebut berjaya menjual sebanyak 15,706 unit kenderaan bulan lalu. Ini bermaksud jualan Proton untuk semua model-modelnya termasuk yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman, kenderaan elektrik penuh (EV) dan juga plug-in hybrid (PHEV) naik sebanyak 15.4% berbanding jumlah 13,566 unit yang dicatatkan pada Februari 2026. Malah berbanding bulan sama tahun lalu, jualan yang dicatatkan oleh Proton pada Mac 2026 ini juga adalah 12.8% lebih tinggi.

    Dengan jumlah berkenaan juga, Proton berjaya mencatatkan jualan kumulatif tahunan untuk suku pertama tahun ini sebanyak 49,140 unit, atau naik sebanyak 40.1%. Menurut Proton, pencapaian suku pertama 2026 ini merupakan yang terbaik dalam tempoh 22-tahun kebelakangan ini, iaitu sejak 2004.

    Prestasi ini juga membolehkan Proton menjangkakan pegangan pasarannya untuk Mac 2026 berada pada kadar 25.1%, manakala untuk suku pertama 2026 ia dijangka berada pada 27.4% – satu lagi rekod tertinggi dicatatkan sejak 2017.

    Proton jual 15,706 unit kenderaan pada Mac 2026 – 49,140 unit untuk Q1, rekod tertinggi sejak 2004

    Saga masih merupakan model terlaris Proton dengan terjual sebanyak 5,438 unit sepanjang bulan lalu, menjadikan jumlah jualan suku pertama tahun ini sudah mencecah 21,770 unit. SUV segmen-B X50 facelift pula merupakan model kedua terlaris dengan terjual sebanyak 3,265 unit untuk Mac 2026, menjadikan jualan untuk tiga bulan pertama tahun ini berjumlah 7,571 unit – naik 48% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Sedan segmen-C Proton S70 juga menunjukkan prestasi jualan yang baik bulan lalu, di mana versi kemaskini MC1 tersebut terjual sebanyak 2,254 unit sepanjang Mac, iaitu rekod tertinggi pernah dicatatkan bagi model berkenaan sejak Februari 2024. Manakala bagi SUV tujuh-tempat duduk X90 yang juga baru diberikan kemaskini MC1 bulan lalu telah terjual sebanyak 323 unit, walaupun ia dilancarkan hampir pada pertengahan bulan Mac.

    Model-model dengan teknologi elektrifikasi Proton dengan jenama eMas juga menjadi penyumbang untuk jualan yang tinggi jenama tersebut bulan lalu. Sebanyak 3,023 unit Proton eMas terjual bulan lalu, di mana 2,071 unit adalah model EV paling mampu milik Proton eMas 5, menjadikan ia model EV paling laris di Malaysia untuk suku pertama tahun ini dengan jumlah jualan keseluruhan 6,701 unit.

    Manakala untuk eMas 7, versi EV terjual sebanyak 306 unit pada Mac, manakala versi PHEV yang baru dilancarkan terjual sebanyk 646 unit sepanjang bulan lalu.

    “Prestasi jualan Proton bagi Q1 adalah hasil pelaburan berterusan dalam teknologi, rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualan yang telah meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan kami. Usaha ini turut merangkumi program pemasangan dan lokalisasi yang memberi nilai lebih baik kepada pelanggan serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem automotif negara,” kata CEO Proton Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

    “Walaupun model ICE menunjukkan pemulihan jualan yang kukuh, Proton turut mengambil kira keperluan pengguna sekiranya berlaku peningkatan harga bahan api. Oleh itu, model-model terkini kami menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik serta kos penyelenggaraan yang rendah. Pada masa yang sama, melalui Proton eMas, kami menyediakan laluan yang lebih mudah untuk pelanggan beralih kepada teknologi EV dan PHEV,” tambahnya.

     
     
  • 20 jenama terlaris Mac 2026 – Perodua atasi Proton, Toyota ketiga, Honda gandakan jualan berbanding Feb

    20 jenama terlaris Mac 2026 – Perodua atasi Proton, Toyota ketiga, Honda gandakan jualan berbanding Feb

    Data pendaftaran kenderaan baru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi bulan Mac menunjukkan pasaran automotif tempatan terus rancak dengan persaingan sengit antara pengeluar utama. Perodua kekal mendahului carta jualan apabila mencatatkan sebanyak 24,530 unit kenderaan terjual sepanjang bulan tersebut.

    Sementara itu, Proton merekodkan jualan sebanyak 15,243 unit, iaitu sekitar 62% daripada jumlah jualan Perodua. Perbandingan ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding Januari lalu apabila Proton mencapai tahap 76% hasil jualan kukuh sebanyak 19,750 unit.

    Di kalangan jenama Jepun, Toyota dan Honda dilihat kembali mengukuhkan prestasi masing-masing. Toyota mencatatkan jualan sebanyak 8,617 unit, manakala Honda pula mencapai 7,062 unit pada Mac. Prestasi Honda amat memberangsangkan apabila jualannya meningkat lebih dua kali ganda berbanding bulan sebelumnya.

    20 jenama terlaris Mac 2026 – Perodua atasi Proton, Toyota ketiga, Honda gandakan jualan berbanding Feb

    Bagi jenama dari China, Chery mengalami penurunan apabila jatuh ke tangga kelapan bagi bulan Mac dan keenam mengikut jumlah keseluruhan tahunan setakat ini. Jualan jenama ini menunjukkan trend menurun secara konsisten daripada 1,287 unit pada Januari kepada 938 unit pada Februari dan seterusnya 892 unit pada Mac. Kedudukannya kini diambil alih oleh Omoda Jaecoo, yang mencatatkan prestasi terbaik tahun ini dengan hampir 1,500 unit terjual.

    Mazda turut mencuri perhatian apabila berada di kedudukan keenam dengan 1,054 unit, mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 137% berbanding bulan sebelumnya. Mitsubishi Motors berada di tempat ketujuh dengan 981 unit untuk bulan Mac dan jumlah terkumpul 3,061 unit bagi tahun ini. BYD mengekalkan kedudukan kesembilan dengan 879 unit pada Mac dan 2,261 unit bagi jumlah keseluruhan tahun.

    Kejutan turut datang daripada Jetour yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik buat pertama kali dengan jualan sebanyak 790 unit. Secara keseluruhan dalam tahun 2026, jenama ini kini menghampiri 1,700 unit dan berada di tangga ke-11. Dalam segmen premium pula, Mercedes-Benz mencatatkan 727 unit, diikuti BMW dengan 672 unit bagi bulan Mac.

    20 jenama terlaris Mac 2026 – Perodua atasi Proton, Toyota ketiga, Honda gandakan jualan berbanding Feb

    Nissan menunjukkan peningkatan ketara apabila jualannya meningkat lebih dua kali ganda kepada 585 unit, sekaligus meletakkannya di tangga ke-13 untuk bulan tersebut dan mengumpul 1,160 unit bagi tahun ini. Tesla buat pertama kali tahun ini memasuki senarai 20 teratas bulanan dengan 338 unit, meskipun jumlah keseluruhan tahunan masih belum mencukupi untuk berada dalam senarai tersebut.

    Beberapa jenama lain seperti Ford, Isuzu, iCaur dan MG terus bersaing di kedudukan bawah carta bulanan dan tahunan. Sementara itu, Zeekr menunjukkan penurunan jualan daripada 489 unit pada bulan Januari kepada 191 unit pada Februari dan 177 unit pada Mac.

    Jika dilihat kepada prestasi keseluruhan setakat tahun ini, Perodua masih mendahului dengan jumlah 74,233 unit, iaitu kira-kira satu setengah kali ganda berbanding Proton. Proton kini berada pada landasan mencapai 24% daripada sasaran 200,000 unit bagi tahun ini. Toyota pula mencatatkan 22,208 unit, manakala Honda merekodkan 13,618 unit, dengan Honda kini mencapai sekitar 23% daripada sasaran 60,000 unit bagi tahun 2026.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026