Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Vario 125 Street dilancarkan di Malaysia – skuter 125 cc 11.6 hp, rim 14 inci, brek CBS, RM7.5k

    Honda Vario 125 Street dilancarkan di Malaysia – skuter 125 cc 11.6 hp, rim 14 inci, brek CBS, RM7.5k

    Sekian lama tiada model baru, Boon Siew Honda (BSH) hari ini melancarkan Vario 125 Street untuk pasaran Malaysia pada harga RM7,468 tidak termasuk insurans. Dua pilihan warna disediakan, iaitu ungu dan putih, manakala jaminan pula adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Meskipun mempunyai nama yang hampir sama seperti satu lagi skuter 125 cc dalam barisan produk BSH, model baru ini menampilkan rekaan badan tersendiri dan tidak sama dengan Vario 125 yang dilancarkan pada tahun 2023 (masih ditawarkan sehingga sekarang).

    Semua lampunya menggunakan unit LED, dengan bahagian belakang bersaiz kecil, manakala bahagian atas pemegangnya tidak mempunyai perumah dan menggunakan rekaan jenis terbuka. Rim 14 inci hadapan dan belakangnya pula dicat warna yang sama seperti panel badan.

    Menggerakkan Vario 125 Street ini adalah enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi, sejukan cecair berkapasiti 124.9 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT untuk menghasilkan kuasa 11.6 hp pada 8,500 rpm dan tork 11.9 Nm pada 5,000 rpm. Ini adalah enjin yang sama seperti Vario 125 dan jumlah kuasanya juga hampir sama.

    Di bawah tempat duduk Vario 125 Street ini terdapat ruang simpanan 18 liter, boleh menempatkan sebuah helmet dan kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk dua poket barangan (satu mempunyai penutup), soket pengecas USB-C dan kunci pintar.

    Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, manakala brek pula menggunakan unit cakera di hadapan dan dram di belakang. Tiada ABS pada brek ini, tetapi Honda menggunakan sistem Combined Brake System (CBS). Panel meter terdiri daripada unit digital, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 5.5 liter.

     
     
  • Cycle & Carriage buka pusat 3S Leapmotor Glenmarie

    Cycle & Carriage buka pusat 3S Leapmotor Glenmarie

    Syarikat Cycle & Carriage (C&C) telah melancarkan Leapmotor Glenmarie, sebuah pusat 3S bagi jenama kenderaan elektrik (EV) Leapmotor yang terletak di kawasan “car square” Glenmarie. Ini merupakan cawangan Leapmotor kedua oleh C&C di Lembah Klang dan yang keempat di seluruh negara.

    Leapmotor Glenmarie dibangunkan di atas tapak seluas 22,497 kaki persegi dengan keluasan binaan mencecah 14,120 kaki persegi. Ia menempatkan ruang pameran yang mampu memaparkan sehingga tujuh kenderaan pada satu masa, selain bengkel lengkap serta ruang pejabat khusus. Bangunan ini turut menampilkan muka hadapan berwarna hitam yang mengikut identiti korporat terkini Leapmotor.

    Dari segi kemudahan, pelanggan disediakan dengan ruang menunggu yang selesa, ruang mezzanine serta bilik perbincangan peribadi bagi sesi konsultasi yang lebih terperinci. Proses penyerahan kenderaan pula dijalankan di bilik khas yang direka khusus untuk tujuan tersebut.

    Cycle & Carriage buka pusat 3S Leapmotor Glenmarie

    Menariknya, pelanggan juga boleh melihat terus ke dalam kawasan bengkel yang dilengkapi lima ruang servis dan pembaikan, selain kemudahan mencuci kereta dan bilik detailing. Pusat 3S ini turut menyediakan 18 petak parkir, dua pengecas AC dan satu pengecas pantas DC.

    Ketua Pegawai Eksekutif C&C, Adrian Short berkata pembukaan pusat ini merupakan satu pencapaian penting dalam kerjasama syarikat itu bersama Stellantis Malaysia, selepas kejayaan pelancaran bilik pameran di Bukit Jalil sebelum ini.

    Menurut beliau, pengembangan ini bertujuan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut, di samping memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dan menyeluruh, daripada proses pembelian hingga ke perkhidmatan selepas jualan.

    Cycle & Carriage buka pusat 3S Leapmotor Glenmarie

    Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo menyifatkan pembukaan pusat 3S penuh pertama ini sebagai satu langkah penting dalam menyediakan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan. Beliau menambah bahawa kepakaran runcit C&C yang terbukti, digabungkan dengan visi masa depan Leapmotor, akan mengukuhkan asas pertumbuhan mampan serta kehadiran jangka panjang di pasaran.

    Untuk masa akan datang, C&C merancang untuk terus mengembangkan rangkaian Leapmotor menerusi pembukaan lebih banyak pusat 3S dan 1S, termasuk sebuah pusat 3S di Johor Bahru serta bilik pameran di Petaling Jaya dan tanah besar Pulau Pinang. Terdahulu, syarikat itu telah membuka bilik pameran Leapmotor di Pavilion Bukit Jalil, yang merupakan cawangan pertama jenama tersebut di dalam pusat beli-belah di Malaysia.

    Bilik pameran Leapmotor Glenmarie beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu, manakala pada Ahad dan cuti umum ia dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang. Pusat servis pula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja dan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.

     
     
  • Rakyat boleh guna pengangkutan awam, EV semasa krisis minyak; kongsi kereta boleh jimat kos – Loke

    Rakyat boleh guna pengangkutan awam, EV semasa krisis minyak; kongsi kereta boleh jimat kos – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa kementeriannya menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia akan beralih kepada penggunaan pengangkutan awam serta kenderaan elektrik (EV) susulan krisis bahan api global yang masih berterusan. Perkara ini disampaikan dalam ucapan beliau semasa perhimpunan bulanan kementerian, meskipun kerajaan buat masa ini masih mengekalkan harga petrol bersubsidi RON 95 (Budi95) pada kadar RM1.99 seliter.

    Isu bahan api sememangnya sensitif, terutamanya di Malaysia, kerana ia sering menjadi perhatian utama rakyat. Persoalan yang timbul adalah mengapa perlu beralih kepada pengangkutan awam atau EV sedangkan harga petrol masih kekal rendah.

    Namun begitu, beban subsidi yang mencecah sekitar RM4 bilion sebulan bukanlah jumlah yang kecil. Malah, kerajaan telah mengurangkan had subsidi bulanan Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter, satu petunjuk jelas bahawa usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan penggunaan bahan api dalam kalangan rakyat.

    Walaupun terdapat perkembangan positif seperti penurunan harga minyak mentah global dan gencatan senjata di beberapa kawasan konflik, keadaan masih belum benar-benar stabil. Situasi ini boleh berubah pada bila-bila masa.

    Rakyat boleh guna pengangkutan awam, EV semasa krisis minyak; kongsi kereta boleh jimat kos – Loke

    Dalam konteks ini, timbul persoalan sejauh mana kerajaan mampu menampung perbelanjaan subsidi pada kadar semasa. Justeru, langkah berjimat cermat dalam penggunaan bahan api dilihat sebagai usaha bersama bagi memastikan lebih ramai rakyat terus menikmati harga petrol bersubsidi pada kadar rendah berbanding harga tanpa subsidi yang kini sekitar RM4.27 seliter.

    Dalam masa yang sama, negara jiran di rantau ASEAN juga telah mula melaksanakan pelbagai langkah penjimatan bahan api. Pendekatan ini bagaimanapun berbeza mengikut keadaan individu dan tidak semestinya melibatkan peralihan sepenuhnya kepada pengangkutan awam atau EV. Sebagai alternatif, Anthony Loke turut menggalakkan syarikat e-hailing untuk memperluaskan perkhidmatan perkongsian kenderaan atau carpooling.

    Menurut beliau, inisiatif tersebut boleh dilaksanakan dengan segera memandangkan konsepnya telah pun diuji bersama beberapa syarikat e-hailing. Perkhidmatan carpooling ini dilihat mampu meningkatkan kecekapan perjalanan dengan membolehkan penumpang berkongsi kenderaan pada kos yang lebih rendah, di samping memastikan keseimbangan antara keperluan industri dan kebajikan pengguna.

    Dalam menghadapi situasi semasa, rakyat kini berdepan pelbagai pertimbangan dalam mengurus penggunaan bahan api harian. Sama ada memilih untuk berjimat, beralih kepada alternatif lain, atau meneruskan rutin seperti biasa, setiap keputusan memainkan peranan dalam menghadapi cabaran kos tenaga yang semakin meningkat.

     
     
  • Lexus RX500h F Sport Special Edition 2026 di Malaysia – masih lagi dalam unit terhad, harga RM512,888

    Lexus RX500h F Sport Special Edition 2026 di Malaysia – masih lagi dalam unit terhad, harga RM512,888

    Diperkenalkan tahun lalu dalam jumlah terhad sebanyak 50 unit Lexus RX500h F Sport Special Edition kini kembali ditawarkan di pasaran Malaysia. Untuk kemasukan kali ini, Lexus membawa versi dengan penampilan serba hitam, namun jumlah unit yang ditawarkan tidak diberitahu. Harga jualan kekal seperti sebelum ini, iaitu RM512,888 atas jalan tanpa insurans, menjadikannya RM4,000 lebih mahal berbanding varian standard RX500h F Sport.

    Dari segi perubahan, kemas kini yang dilakukan agak minimum. Antaranya ialah rekaan penutup tengah rim aloi 21 inci yang kini menerima kemasan matte bersama lapisan jernih tambahan. Selain itu, pilihan warna juga tidak lagi terhad kepada Graphite Black Glass Flake seperti sebelum ini, sebaliknya diperluaskan kepada keseluruhan palet warna RX standard, termasuk Sonic Iridium, Sonic Chrome, Sonic Copper, White Nova Glass Flake dan Heat Blue Contrast Layering.

    Selebihnya, model edisi khas ini masih mengekalkan ciri-ciri terdahulu. Ia tampil dengan kit badan khas melibatkan kemasan hitam berkilat pada bahagian hadapan, sisi dan belakang, dipadankan dengan angkup brek berwarna oren.

    Lexus RX500h F Sport Special Edition 2026 di Malaysia – masih lagi dalam unit terhad, harga RM512,888

    Turut disertakan ialah lampu unjuran F Sport serta plat ambang pintu hadapan bercahaya dengan logo F Sport. Ruang dalaman pula menggunakan gabungan kemasan kulit dan gentian mikro Ultrasuede bersama hiasan aluminium Dark Spin khas F Sport.

    Dari sudut kelengkapan, spesifikasi yang ditawarkan adalah setara dengan RX500h standard. Ini termasuk lampu utama BladeScan dengan fungsi lampu tinggi adaptif, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan hala lengkap dengan pengudaraan dan memori untuk pemandu, sistem penyaman udara tiga zon Lexus Climate Concierge serta cermin pandang belakang digital.

    Turut disediakan adalah paparan instrumen 12.3 inci, head-up display, skrin sesentuh 14 inci berserta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas Qi tanpa wayar, sistem audio premium Mark Levinson dengan 21 pembesar suara, kamera 360 darjah dan pintu but berkuasa dengan fungsi bebas tangan.

    Lexus RX500h F Sport Special Edition 2026 di Malaysia – masih lagi dalam unit terhad, harga RM512,888

    Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi pakej penuh Lexus Safety System+ yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek kecemasan ketika parkir, pengecaman tanda jalan, amaran pembukaan pintu serta bantuan parkir. Ia turut hadir dengan tujuh beg udara termasuk untuk lutut pemandu, kawalan kestabilan dan sistem agihan tork melalui brek.

    Sebagai varian prestasi tertinggi dalam keluarga RX, RX500h menggunakan sistem hibrid pacuan semua roda Direct4. Ia menggabungkan enjin petrol turbo empat silinder 2.4 liter T24A-FTS yang menghasilkan 275 PS dan 460 Nm, bersama motor elektrik hadapan berkuasa 87 PS dan 292 Nm serta motor belakang 103 PS dan 169 Nm.

    Kuasa keseluruhan sistem mencecah 371 PS dengan 550 Nm tork, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.2 saat. Model ini turut dilengkapi rear wheel steering serta penyerap hentak adaptif untuk pengendalian lebih dinamik. Seperti kebiasaan model hibrid Lexus, model edisi khas ini hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta jaminan bateri hibrid selama lapan tahun, juga tanpa had perbatuan.

    GALERI: Lexus RX500h F Sport 2023

     
     
  • Chery Malaysia perkenal aplikasi CarLinko untuk pemilik PHEV — ciri yang biasanya hanya untuk EV

    Chery Malaysia perkenal aplikasi CarLinko untuk pemilik PHEV — ciri yang biasanya hanya untuk EV

    Chery Malaysia kini telah memperkenalkan aplikasi mudah alih untuk pemilik plug-in hybrid. Dikenali sebagai CarLinko, aplikasi tersebut akan menawarkan pemantauan yang lebih pintar, pengurusan tenaga lebih cekap serta kemudahan harian kepada pengguna Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV. Kedua-duanya model terbabit dilancarkan pada Oktober 2025.

    “Di Chery, matlamat kami adalah untuk memastikan teknologi PHEV dapat mempertingkatkan kehidupan seharian melalui kesederhanaan dan reka bentuk pintar. CarLinko melanjutkan manfaat pemanduan plug-in hybrid yang melangkaui penjimatan bahan api, dengan memberikan pemilik kawalan dan keselesaan, pengecasan serta pemerhatian ke atas kenderaan. Ini mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap mobiliti elektrik yang lebih pintar dan menyeronokkan,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.

    Pengguna CarLinko boleh mengaktifkan penghawa dingin PHEV mereka dari jauh sebelum memasuki kereta, dan ia mempunyai ciri pencari kenderaan sekiranya pemilik terlupa telah meletakkan kereta di mana. Ciri-ciri gaya EV termasuk menjadualkan pengecasan di rumah melalui aplikasi, menjadikannya lebih mudah untuk menambah tenaga mengikut waktu yang dipilih dan mengurangkan bil elektrik anda.

    Aplikasi CarLinko juga memberikan pemilik PHEV akses masa nyata kepada maklumat kenderaan seperti perbatuan, jarak pemanduan yang tinggal dan tahap bateri/petrol. Pemilik juga boleh menyemak data tekanan tayar dan penggunaan bahan api kereta mereka dari jauh. Akhir sekali, pemilik boleh menyemak jadual servis dan mengakses rekod servis dari dalam aplikasi.

    Ditawarkan sebagai ciri percuma untuk pemilik Chery PHEV, aplikasi CarLinko boleh dimuat turun dari Apple App Store untuk iOS atau Google Play untuk Android. Pemilik kereta baru akan melengkapi proses pengaktifan dan pemasangan semasa serahan kenderaan mereka. Pemilik Chery PHEV sedia ada pula boleh mengaktifkan perkhidmatan ini dengan mengunjungi pengedar Chery terdekat untuk pengesahan dan pemasangan yang selamat.

    Ini merupakan satu ciri dan pengalaman penggunaan EV yang bagus untuk dinikmati oleh pemilik PHEV, dan bahkan sesetengah jenama EV juga tidak tawarkan kepada pelanggan mereka. Butiran penuh dan spesifikasi Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV berkuasa 1.5T Chery Super Hybrid di sini.

     
     
  • Proton X50 2026 dapat warna Quartz Black sebagai pilihan standard — Black Edition sangat popular

    Proton X50 2026 dapat warna Quartz Black sebagai pilihan standard — Black Edition sangat popular

    Bulan lalu, Proton memperkenalkan model X50 Black Edition. Ia merupakan versi terhad bagi SUV segmen-B facelift berkenaan, yang menggunakan varian Flagship paling tinggi sebagai asasnya dan dihadirkan dalam warna Quartz Black metalik. Ketika itu, dikhabarkan hanya ada 200 unit Black Edition tersebut yang akan ditawarkan kepada pelanggan.

    Bagaimanapun, permintaan pasaran terhadap model Black Edition berkenaan sangat menggalakkan dan Proton mengambil keputusan untuk menjadikan Quartz Black sebagai pilihan warna standard untuk semua varian X50 bermula bulan ini. Harga kekal sama, dengan varian Executive paling asas berharga RM89,800 atas jalan tanpa insurans, sementara spesifikasi pertengahan Premium dengan harga RM101,800 dan spesifikasi tertinggi Flagship dengan harga RM113,300.

    Warna Quartz Black ini akan menggantikan warna Passion Red yang telah digugurkan. Ini menjadikan Passion Red tidak lagi tersedia untuk mana-mana model Proton, kerana kereta terakhir yang ditawarkan warta tersebut ialah S70 (juga telah digantikan dengan Ruby Red dengan pelancaran MC1), manakala Iriz pula sudah tidak dikeluarkan lagi.

    Dengan perkembangan ini, pilihan warna yang tersedia untuk X50 kini termasuk Armour Silver, Snow White, Jet Grey, Teal Bayou Green dan Quartz Black. Warna hitam secara tidak langsung dapat “menyembunyikan” saiz gril yang besar untuk model facelift berkenaan.

     
     
  • Harga minyak 9-15 April – RON97 dan RON95 masing-masing naik 40 sen seliter, diesel naik 70 sen seliter

    Harga minyak 9-15 April – RON97 dan RON95 masing-masing naik 40 sen seliter, diesel naik 70 sen seliter

    Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia. “Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya, dan bukannya harga semasa hari ini.

    “Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu, ketika pasaran global berada pada paras yang lebih tinggi, yang telah mencecah sekitar AS$150 setong bagi produk petrol dan AS$250 setong bagi produk diesel, dan ini terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara,” kata MOF dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, untuk tempoh 9 hingga 15 April 2026, MOF mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON97 dinaikkan sebanyak 40 sen seliter, menjadi RM5.35 seliter.

    Harga minyak 9-15 April – RON97 dan RON95 masing-masing naik 40 sen seliter, diesel naik 70 sen seliter

    Malah RON95 tanpa subsidi juga mengalami kenaikan sebanyak 40 sen seliter, menjadi RM4.27 seliter. Namun RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.

    Manakala diesel untuk semenanjung Malaysia pula mengalami kenaikan sebanyak 70 sen, menjadi RM6.72 seliter. Walau bagaimana pun diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    “Kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi, di samping terus melindungi rakyat menerusi mekanisme sokongan bersasar yang sedia ada,” sambung MOF.

    Katanya lagi, kerajaan juga akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat secara teliti dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya

    Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya

    GT Association (GTA) dan Haro Sports & Entertainment hari ini mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan bahawa perlumbaan pusingan Malaysia untuk siri Autobacs Super GT 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19-21 Jun ini akan ditangguhkan.

    Menurut kenyataan berkenaan, keputusan ini dibuat disebabkan oleh keadaan global semasa, terutamanya situasi yang tidak menentu di Timur Tengah yang telah menyebabkan kesukaran dari segi operasi dan logistik yang ketara. Ditambah dengan peningkatan kos pengangkutan antarabangsa dan perbelanjaan perjalanan udara yang besar, ia telah memberi impak yang tidak seimbang terhadap perancangan dan penganjuran acara tersebut.

    “Walaupun ini bukanlah apa yang kami bayangkan untuk tahun kedua pusingan Malaysia, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada GTA, pasukan dan semua pihak berkepentingan yang dihargai – rakan kongsi kami, penaja, media dan terutamanya semua peminat – atas sokongan dan pemahaman mereka yang kuat dalam masa yang mencabar ini. Perlumbaan ini akan kembali ke Malaysia, dan apabila ia berlangsung, kami komited untuk menjadikannya dua kali lebih menarik!” kata rakan kongsi pengurusan Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hassan.

    Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya

    “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Haro Sports & Entertainment dan semua orang yang terlibat di Malaysia atas usaha mereka dalam membuat persediaan untuk acara ini. Ini adalah keputusan yang sukar untuk dibuat, tetapi kami ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat, peserta, penaja dan media Jepun kami atas pemahaman mereka. Kami akan terus membina hubungan kerjasama dengan Haro Sports & Entertainment dan semua orang di Malaysia supaya peminat Malaysia dapat sekali lagi menikmati Super GT yang mengujakan,” ulas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Masaaki Banboh.

    Mengikut perancangan awal, Litar Antarabangsa Sepang di Malaysia akan menjadi pusingan ketiga untuk musim 2026 Autobacs Super GT, dan jualan tiketnya sudahpun mula dijual awal bulan lalu. Sebelum ini ada khabar angin menyatakan bahawa pusingan di Malaysia ini akan dibatalkan terus, namun dengan pengumuman yang dibuat hari ini ia disahkan hanya akan ditangguhkan sehingga “keadaan mengizinkan untuk menganjurkan acara yang selamat, stabil dan berkualiti tinggi”, kata kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    Sekiranya anda telah membeli tiket-tiket berkenaan, ia masih sah untuk perlumbaan yang akan dijadualkan semula kelak. Namun anda masih boleh membuat tuntutan pulangan semula pembayaran tiket tersebut, dan ia perlu dibuat sebelum 30 April 2026.

    Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya

    Tetapi sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sehingga 1 Mei 2026 dan mahu terus menggunakan tiket berkenaan apabila ada tarikh baru kelak, pihak penganjur akan menaiktaraf tiket anda secara automatik, dan ia termasuk menerima akses percuma untuk grid walk.

    Manakala untuk mereka yang membuat tuntutan semula, anda perlu membeli semula tiket sekiranya mahu hadir ke perlumbaan yang dijadualkan semula itu kelak, dan tiket berkenaan berkemungkinan akan berharga lebih tinggi dan mungkin ketersediaan tiket berkenaan juga turut terhad.

     
     
  • Kerajaan kaji penggunaan MyKad untuk subsidi diesel bersasar bagi kurangkan risiko ketirisan, lebih cekap

    Kerajaan kaji penggunaan MyKad untuk subsidi diesel bersasar bagi kurangkan risiko ketirisan, lebih cekap

    Kerajaan Malaysia kini sedang mengkaji kemungkinan untuk memperluaskan penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api diesel. Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan skim Budi Madani RON 95 (Budi95) bagi petrol RON 95 yang telah diperkenalkan sebelum ini – lapor New Straits Times.

    Menurut Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, penggunaan MyKad dalam skim Budi95 terbukti lebih tersusun dan berupaya mengurangkan risiko ketirisan, di samping membolehkan penjimatan dilaksanakan tanpa menjejaskan corak pembelian pengguna secara ketara. Pendekatan ini juga dilihat lebih efisien dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

    Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan agihan bantuan di bawah Sumbangan Asas Rahmah di kawasan bandar dan luar bandar memberikan petunjuk positif bahawa sistem berasaskan MyKad untuk subsidi diesel bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Namun begitu, kajian terperinci masih diperlukan memandangkan corak penggunaan diesel berbeza mengikut kawasan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

    Kerajaan kaji penggunaan MyKad untuk subsidi diesel bersasar bagi kurangkan risiko ketirisan, lebih cekap

    Selain itu, terdapat juga cabaran dari segi infrastruktur, terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada stesen minyak konvensional dan bergantung kepada kaedah pengagihan alternatif. Justeru, kerajaan perlu memastikan sebarang pelaksanaan baru tidak menjejaskan bekalan bahan api. Kajian ini sedang dijalankan secara bersama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

    Bagi subsidi diesel, kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa bantuan tunai bulanan di bawah Budi Madani Diesel akan dikekalkan pada kadar RM300 bagi April 2026, selepas dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 pada bulan Mac lalu.

    Dalam perkembangan berkaitan petrol RON 95, kerajaan mengambil pendekatan untuk mengurangkan kuota subsidi bulanan kepada 200 liter di bawah skim Budi95, berbanding 300 liter sebelum ini. Langkah ini dilihat sebagai alternatif kepada kenaikan harga bahan api bersubsidi, dengan matlamat utama untuk melindungi kebajikan majoriti rakyat Malaysia daripada kesan peningkatan kos sara hidup.

     
     
  • Chery Tiggo 7L di China – tukar jenama dari Omoda C7, enjin 4 silinder 1.6L turbo 197 PS, skrin 15.6 inci

    Chery Tiggo 7L di China – tukar jenama dari Omoda C7, enjin 4 silinder 1.6L turbo 197 PS, skrin 15.6 inci

    Barisan model Chery Tiggo 7 di pasaran China sememangnya dikenali sebagai agak mengelirukan, dengan beberapa varian berbeza ditawarkan serentak. Antaranya termasuk Tiggo 7 Plus yang dikenali sebagai Tiggo 7 PHEV di Malaysia, Tiggo 7 Premium (Tiggo 7 Pro di pasaran tempatan) serta Tiggo 7 High Performance yang sebenarnya merupakan versi penjenamaan semula bagi Jaecoo J7. Kini, pengeluar dari China itu menambah satu lagi model baru ke dalam keluarga ini menerusi pengenalan Tiggo 7L.

    Seperti juga varian High Performance, Tiggo 7L sebenarnya dibangunkan daripada portfolio Omoda & Jaecoo, kali ini berasaskan Omoda C7. Rekaan luaran model ini jelas mengekalkan bentuk asal C7, termasuk garis badan yang moden, pemegang pintu jenis ‘flush’, lampu belakang dengan grafik zig-zag yang unik serta garisan tingkap yang menaik ke arah bahagian belakang.

    Perubahan utama dapat dilihat pada bahagian hadapan. Meskipun lampu utama masih mengekalkan rekaan tajam yang melingkari sisi, gril hadapan kini direka semula dengan saiz lebih besar dan melintang penuh, menggantikan corak ‘honeycomb’ berwarna badan pada C7. Rekaan ini digabungkan dengan bukaan udara bawah yang melengkung ke bawah serta kemasan saluran udara berbentuk segi tiga di bucu, sekaligus membentuk imej hadapan berkonsepkan huruf “X”.

    Ruang dalaman Tiggo 7L pula banyak mengambil inspirasi daripada C7, dengan susun atur papan pemuka mendatar yang ringkas dan kemas. Konsol tengah terapung menampilkan dua ruang letak telefon pintar, termasuk satu dengan pengecas tanpa wayar Qi, selain dua pemegang cawan bertutup serta beberapa butang kawalan fizikal. Turut dikekalkan ialah rekaan stereng dua jejari serta skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci yang boleh digerakkan secara elektrik ke arah penumpang hadapan.

    Dari segi kuasa, Tiggo 7L dijangka menggunakan enjin empat silinder turbo 1.6 liter yang sama seperti C7, menghasilkan 197 PS dan 290 Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Berbeza dengan beberapa pasaran lain, model ini tidak ditawarkan dengan pilihan penggerak plug-in hybrid. Pelancarannya di China dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat sebelum dipamerkan kepada umum di acara Auto China di Beijing pada bulan ini.

    Di Malaysia, kelibat Omoda C7 telah beberapa kali dikesan sejak dipertontonkan pada acara Malaysia Autoshow pada bulan Mei lalu. Walaupun perkembangan terkini agak senyap, model tersebut dijangka akan dilancarkan dalam tahun ini, seiring dengan perancangan pengembangan produk oleh Omoda & Jaecoo Malaysia pada separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Mitsubishi Xforce 2026 dilancar di Malaysia — CKD, 1.5L NA, CVT; varian Urban RM110k, Ultimate RM120k

    Mitsubishi Xforce 2026 dilancar di Malaysia — CKD, 1.5L NA, CVT; varian Urban RM110k, Ultimate RM120k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini telah melancarkan secara rasmi model SUV segmen B Mitsubishi Xforce 2026 untuk pasaran tempatan. Dua varian ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut: Urban (RM109,980) dan Ultimate (RM119,980). Semua merupakan harga atas jalan, belum termasuk insuran.

    Sempena pelancarannya, promosi istimewa turut diberikan kepada pelanggan terawal. Antaranya ialah rebat tunai sebanyak RM5,000, servis percuma sebanyak tiga kali dan kelayakan untuk menyertai peraduan “Beli Satu Percuma Satu” yang dilanjutkan sehingga 12 April 2026. Selain itu, program kesetiaannya turut ditawarkan dengan tambahan rebat tunai RM1,000, atau Skim Kerajaan yang menawarkan yang juga ditawarkan dengan rebat tunai RM1,000.

    Mitsubishi Xforce 2026 dilancar di Malaysia — CKD, 1.5L NA, CVT; varian Urban RM110k, Ultimate RM120k

    Turut ditawarkan ialah pilihan aksesori tulen Mitsubishi dengan potongan harga 20% bagi 50 pembeli terawal. Ini melibatkan pakej seperti Excitement Package (RM3,280); Fashion Roof Rail Package (RM1,750); dan Practical Package (RM560).

    Dipasang secara CKD di kilang pemasangan DRB-Hicom di Pekan, Pahang, Mitsubishi Xforce 2026 dilengkapi unit enjin 4A91 petrol 1.5 NA DOHC MIVEC yang sama seperti digunakan oleh MPV Xpander, dengan janaan sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum sebanyak 141 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan kotak gear CVT yang memacu roda hadapan, dan bukannya transmisi automatik empat-kelajuan seperti Xpander.

    SUV segmen B terbaru dari Mitsubishi ini mempunyai ukuran dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm. Dari segi saiz, Mitsubishi Xforce berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Toyota Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi. Xforce juga memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) yang terbaik dalam kelasnya, mencecah 222 mm — HR-V dengan 196 mm, Traz 210 mm.

    Mitsubishi Xforce 2026 dilancar di Malaysia — CKD, 1.5L NA, CVT; varian Urban RM110k, Ultimate RM120k

    Berikut perbandingan saiz antara Mitsubishi Xforce — yang mempunyai kelebihan dari segi saiz — berbanding beberapa model SUV kompak dalam segmen B yang dijual di pasaran Malaysia ketika ini:

    • Mitsubishi Xforce – 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,660 mm tinggi, 2,650 mm jarak roda, 1,235-1,250 kg berat.
    • Honda HR-V – 4,347-4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590-1,591 mm tinggi, 2,610 mm jarak roda, 1,274-1,396 kg berat.
    • Proton X50 – 4,380 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,609 mm tinggi, 2,600 mm jarak roda, 1,351-1,378 kg berat.
    • Chery Omoda O5 – 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,588 mm tinggi, 2,630 mm jarak roda, 1,434 kg berat.
    • Chery Tiggo Cross – 4,318 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,670 mm tinggi, 2,610 mm jarak roda, 1,468-1,565 kg berat.
    • Perodua Traz – 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,655 mm tinggi, 2,620 mm jarak roda, 1,145-1,150 kg berat.
    • Toyota Corolla Cross – 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi, 2,640 mm jarak roda, 1,405-1,430 kg berat.

    Dari segi rekaan luar, Mitsubishi Xforce menerapkan konsep “Silky & Solid” yang menggabungkan gaya elegan dari bahagian hadapan hingga belakang. Wajah hadapannya hadir dengan pendekatan rekaan “Dynamic Shield”, menampilkan lampu LED ikonik yang disepadukan bersama lampu nyalaan siang LED T-Shape, manakala gril Piano Black Hexagonal dan bampar pula direka dengan efek tiga dimensi yang tampak lebih sporty dan agresif.

    Mitsubishi Xforce 2026 dilancar di Malaysia — CKD, 1.5L NA, CVT; varian Urban RM110k, Ultimate RM120k

    SUV ini datang dengan rim aloi dua-tona warna dengan lima-jejari bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/50 R18, kemasan bahagian fender yang menampilkan imej lebih lasak, cermin sisi elektrik dengan lampu membelok terbina di dalam, lampu belakang LED T-shape, reka bentuk bumbung ‘terapung’, bilah pengelap cermin hadapan dengan fungsi Auto Rain serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Varian Ultimate menerima ciri luaran yang lebih premium dengan tambahan pintu tailgate belakang larasan kuasa dengan fungsi kick motion, serta ada lencana di hud enjin dan juga tailgate spoiler.

    Di dalam kabin, Xforce menerima sentuhan rekaan “Horizontal Axis” untuk papan pemuka yang mencipta suasana ruang yang luas dan terbuka serta meningkatkan daya penglihatan pemandu — yang tampil lebih premium dan kemas berbanding beberapa pesaingnya. Bagi varian Urban, ia diberikan papan pemuka PVC rona hitam dengan soft pad, manakala model spesifikasi penuh Ultimate menerima papan pemuka dengan kemasan Mélange Weave dalam warna mocha.

    Selain itu, varian asas Urban datang dengan paparan audio lapan-inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay berwayar dan paparan meter digital TFT 4.2-inci. Manakala varian Ultimate pula menerima unit paparan audio lebih besar bersaiz 12.3-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan paparan kluster meter digital bersaiz lapan-inci untuk pemandu.

    Untuk hiburan, Urban sekadar diberikan sistem audio standard dengan enam-pembesar suara bersama tweeter. Ultimate pula menerima sistem audio premium “Dynamic Sound Yamaha” dengan lapan-pembesar suara.

    Varian Ultimate turut diberikan ciri kelengkapan khas termasuk pengecas tanpa wayar, pencahayaan lampu kabin LED biru, empat mod pemanduan (Normal, Wet. Gravel, Mud), penapis udara Nanoe X buatan Panasonic, cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam.

    Ciri standard lain yang ada untuk kedua-dua varian termasuklah larasan manual bagi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, material kulit buatan hitam (dengan kemasan Mocha untuk Ultimate), tempat duduk belakang dengan nisbah 40:20:40 yang boleh direbahkan sehingga lapan tahap untuk keselesaan maksimum, perehat lengan di tengah dengan fungsi pendingin, penyaman udara dwi-zon dengan corong untuk bahagian lutut, dua port USB (Type A & C) di depan dan belakang serta kamera sekeliling.

    Mitsubishi Xforce menyediakan ruang but berkapasiti 480 liter (dengan tempat duduk tegak) yang cukup luas, berbanding HR-V dengan 437 liter dan Traz berkapasiti 471 liter.


    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Mitsubishi Xforce yang telah mendapat penarafan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP dilengkapi juga dengan ciri standard termasuk ABS, ESC, EBD dan bantuan brek, brek parkir elektrik dengan fungsi Brake Hold, bantuan mula mendaki, speed sensing door lock, Isofix, Active Yaw Control, amaran titik buta (BSW), bantuan menukar lorong (LCA), amaran trafik di belakang (RCTA) serta empat unit beg udara untuk Urban manakala enam unit bagi Ultimate.

    Untuk varian Ultimate juga, ia diberikan ciri keselamatan tambahan Mitsubishi Motors Safety Sensing (yang menyerupai ADAS), yang merangkumi fungsi Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Notifikasi Kenderaan Hadapan Bergerak (LCDN), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Baca juga pengalaman pemanduan ringkas kami dengan Mitsubishi Xforce di sini.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia

    Mitsubishi Xforce 2026 dengan aksesori

    Risalah produk

    Gambar rasmi perasmian

     
     
  • Geely Galaxy A7 EV didedah – sedan segmen D elektrik jarak gerak CLTC 550 km, Proton eMas sedan?

    Geely Galaxy A7 EV didedah – sedan segmen D elektrik jarak gerak CLTC 550 km, Proton eMas sedan?

    Geely bakal memperluaskan barisan model elektriknya menerusi pengenalan versi elektrik penuh bagi sedan plug-in hybrid segmen-D, Galaxy A7. Model baru ini akan dikenali sebagai Galaxy A7 EV dan dijangka membuat kemunculan sulung pada acara Auto China yang akan berlangsung di Beijing tidak lama lagi.

    Melihat pada rekaan luaran, Galaxy A7 EV mengekalkan rupa yang hampir sama dengan versi hibridnya. Perubahan yang dilakukan adalah minimum, antaranya saiz bukaan udara tengah yang lebih kecil kerana ketiadaan enjin pembakaran dalaman.

    Selain itu, bahagian bucu bampar hadapan kini menampilkan saluran udara yang lebih tirus. Secara keseluruhan, reka bentuk hadapan model ini turut mengingatkan kepada gaya moden yang dipopularkan oleh Lucid Air.

    Geely Galaxy A7 EV didedah – sedan segmen D elektrik jarak gerak CLTC 550 km, Proton eMas sedan?

    Satu lagi perubahan ketara ialah kedudukan soket pengecas yang kini dialihkan ke bahagian fender hadapan, sama seperti yang digunakan pada Proton eMas 7. Model ini turut dilengkapi rim aloi lima jejari baru serta rekaan semula ringan pada bahagian bawah bampar belakang.

    Di ruang dalaman, tiada perubahan besar diperhatikan. Galaxy A7 EV masih menampilkan papan pemuka minimalis dengan rekaan liang penghawa dingin melintang penuh, konsol tengah jenis “bridge” yang disertakan tombol kawalan fizikal seperti pada eMas 7, serta stereng dua jejari. Paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci dan skrin sentuh infotainmen 15.4 inci turut dikekalkan, kedua-duanya menggunakan sistem interface Flyme Auto.

    Dari segi teknikal, butiran rasmi masih belum diumumkan. Namun laporan menyatakan bahawa model ini akan menggunakan motor elektrik hadapan berkuasa 218 PS, sama seperti yang terdapat pada eMas 7. Ia dijangka dipadankan dengan dua pilihan bateri LFP jenis Aegis “short blade”, iaitu berkapasiti 49.52 kWh dan 58.05 kWh.

    Geely Galaxy A7 EV didedah – sedan segmen D elektrik jarak gerak CLTC 550 km, Proton eMas sedan?

    Jarak pemanduan dianggarkan sekitar 470 km dan 550 km mengikut kitaran CLTC, manakala anggaran lebih realistik berdasarkan piawaian WLTP adalah sekitar 385 km hingga 450 km bergantung kepada kapasiti bateri.

    Galaxy A7 EV juga berpotensi menjadi asas kepada pembangunan sedan elektrik baru oleh Proton di bawah jenama eMas. Langkah ini dilihat selari dengan usaha pengeluar nasional itu untuk mengembangkan penawaran kenderaan elektriknya, selepas sebelum ini memberi tumpuan kepada segmen SUV dan hatchback.

    Walaubagaimanapun, mengambil kira keadaan pasaran sedan segmen-D yang semakin suram di Malaysia, terdapat kemungkinan Proton akan memilih untuk memperkenalkan model yang lebih kecil. Antara calon yang lebih sesuai ialah model berasaskan Geely Galaxy Starshine 6 PHEV, yang dibangunkan daripada Emgrand generasi baru. Versi elektrik sepenuhnya bagi model segmen-C ini berpotensi menjadi alternatif kepada “Proton S70 EV”, khususnya dalam situasi harga bahan api yang dijangka meningkat dalam masa terdekat.

     
     
  • Jaecoo J7 dinobat kereta paling laris di UK untuk Mac 2026, kalahkan Ford Puma dan Nissan Qashqai

    Jaecoo J7 dinobat kereta paling laris di UK untuk Mac 2026, kalahkan Ford Puma dan Nissan Qashqai

    Poor man Range Rover“, ini antara gelaran untuk Jaecoo J7, iaitu SUV sub-jenama Chery dari China dengan rekaan yang diinspirasikan dari jenama ikonik dari United Kingdom iaitu Range Rover. Namun nampaknya pengguna di UK sudah tidak kisah dengan “hakikat” tersebut kerana untuk bulan Mac 2026, Jaecoo J7 merupakan kenderaan yang paling laris di negara itu!

    Menurut laporan Autocar, Jaecoo J7 (atau dikenali sebagai Jaecoo 7 di sana) terjual sebanyak 10,064 unit sepanjang bulan lalu di UK. Ia menewaskan Ford Puma dengan jualan 9,193 unit, Nissan Qashqai yang terjual 8,718 unit dan Kia Sportage terjual sebanyak 7,310 unit.

    Malah J7 merupakan model kedua terlaris di UK untuk tiga bulan pertama tahun ini dengan jualan kumulatif tahunan 2026 yang sudah mencecah 15,569 unit, sedikit di belakang Ford Puma yang mencatatkan jualan untuk tempoh sama sebanyak 16,128 unit.

    Jaecoo 7 ini dilancarkan di UK pada Januari 2025, sedikit lewat berbanding Malaysia yang menerima model ini pada Julai 2024. Jadi ia cuma mengambil masa setahun untuk J7 mendapat kepercayaan dari pelanggan di sana untuk menjadi antara model paling laris, bersaing dengan jenama-jenama dari Eropah dan Jepun yang lebih dipercayai.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser dan bZ4X EV terlalu mahal? Harga di Langkawi dedahkan ia kerana struktur cukai

    Toyota Urban Cruiser dan bZ4X EV terlalu mahal? Harga di Langkawi dedahkan ia kerana struktur cukai

    Minggu lalu UMW Toyota Malaysia membuat kejutan, kerana bukan sahaja ia buat pertama kali melancarkan model elektrik penuh (EV) ke pasaran tempatan, malah melancarkan terus tiga model EV.

    Namun apa yang lebih memeranjatkan, harga yang ditawarkan untuk ketiga-tiga model tersebut yang disifatkan tidak kompetitif dan terlalu mahal. UMWT menawarkan EV Toyota Urban Cruiser iaitu SUV segmen-B yang direbadge dari Suzuki eVitara pada harga RM198,000, atau sekali ganda lebih mahal dari pesaingnya iaitu BYD Atto 2. Toyota bZ4X facelift pula ditawarkan pada harga RM220k, lebih mahal dari BYD Sealion 7 yang jauh lebih besar dan lebih berkuasa. Manakala Hilux EV pula ditawarkan pada harga RM226,300.

    Walau bagaimanapun selepas harga bebas cukai untuk Langkawi diumumkan oleh UMW Toyota, boleh kita lihat harga untuk model-model tersebut bukanlah sengaja dijual pada harga terlalu mahal, tetapi ia adalah disebabkan struktur cukai untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) dan dari mana kenderaan tersebut diimport.

    Di Langkawi Urban Cruiser dijual pada harga RM133,600, bermaksud kita di semenanjung perlu membayar RM64,400 atau 48% lebih mahal. Manakala bZ4X pula dijual pada harga RM153,000 di pulau bebas cukai berkenaan, bermaksud kita di semenanjung perlu membayar lebih RM67,000 atau 43.8% untuk memiliki SUV itu.

    Toyota Urban Cruiser dan bZ4X EV terlalu mahal? Harga di Langkawi dedahkan ia kerana struktur cukai

    Bagaimana kerajaan mengira berapa cukai CBU yang perlu dikenakan ke atas kereta-kereta ini? Secara asasnya ia melibatkan 30% duti import + 10% duti eksais + 10% cukai jualan. Walau bagaimanapun untuk duti import, ia dipengaruhi oleh perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan negara-negara lain.

    Contohnya, jadual pengurangan tarif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) menetapkan bahawa EV yang masuk ke rantau kita hanya akan dikenakan duti import 5%. Jadi EV yang diimport dari China akan dikenakan cukai CBU lebih rendah dengan hanya sebanyak 5%+10%+10% berbanding struktur standard 30%+10%+10% untuk EV yang diimport dari negara lain.

    Tidak semua FTA adalah sama, misalny FTA yang ditandatangani ASEAN dengan China sangat berbeza dengan FTA yang kita persetujui bersama Korea Selatan. Dengan Korea Selatan, kereta berada dalam senarai ‘sangat sensitif’ jadi duti import kekal pada 30% untuk EV CBU dari jenama Hyundai dan Kia. Halangan tarif ini didirikan untuk melindungi industri tempatan daripada dibebani oleh import yang lebih kompetitif dari segi kos; namun semuanya bergantung pada ‘beri dan terima’ dalam rundingan. Jelas sekali, China telah mendapat kelebihan yang besar dalam hal melibatkan EV.

    Seperti yang kita ketahui, China sememangnya merupakan juara dalam aspek menghasilkan EV yang baik dengan kos yang paling rendah. Bersama dengan FTA yang turut menyebelahinya, sebab itulah EV dari China dapat dijual pada harga yang sangat kompetitif di Malaysia.

    BYD Atto 2 dan Zeekr 7X antara EV CBU dari China yang menikmati duti eksais yang rendah di Malaysia

    Untuk Urban Cruiser, ia dibangunkan oleh Maruti Suzuki di India, dan hab pemasangannya juga berada di sana. Jadi Urban Cruiser yang diimport sepenuhnya dari India ini dikenakan cukai penuh 30%+10%+10%. Manakala untuk bZ4X yang dibawa dari Jepun, duti import yang dikenakan adalah sekitar 5% lebih rendah kerana FTA. Anda juga perlu ingat kiraan yang kami buat ini bukanlah benar-benar diperhalusi kerana ia tidak termasuk kos penghantaran tambahan ke Langkawi dan lain-lain.

    Untuk Hilux EV, harga yang dijual di semenanjung Malaysia hanyalah RM16,800 atau 8% lebih mahal berbanding harga RM209,500 di Langkawi. Ini adalah kerana trak pikap merupakan kenderaan komersil yang sememangnya bebas cukai dan ia hanya dikenakan cukai jualan sebanyak 10%

    Jadi apa yang kami mahu ketengahkan di sini adalah rendah atau tinggi harga sesebuah model itu kadangkala bergantung juga pada dari mana ia diimport kerana struktur cukai yang dikenakan tidak sama. Ya, walaupun tanpa cukai Urban Cruiser masih lagi mahal berbanding saingannya dari China, namun atas faktor-faktor lain ia masih nampak kompetitif untuk dijual di sini.

    Toyota Urban Cruiser dan bZ4X EV terlalu mahal? Harga di Langkawi dedahkan ia kerana struktur cukai

    Anda juga perlu diingat bahawa masih ada model-model EV dari China dijual pada harga insentif kerana ia sampai ke sini sebelum akhir tahun lalu. Dan dengan penghantaran seterusnya nanti ia turut akan diperkenalkan dengan harga baharu.

    Apa pun, harga-harga EV Toyota ini tentunya lebih rendah sekiranya ia dipasang secara tempatan di Malaysia. Namun antara perkara yang penting perlu difikirkan oleh UMW Toyota sebelum mengilangkan model-model berkenaan, adakah permintaannya kelak cukup besar bagi memastikan pelaburan untuk menyiapkan barisan produksi akan menghasilkan keuntungan, atau sekurang-kurangnya ‘balik modal’?

    Apa pula pendapat anda? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Ketika pertama kali memandu Mitsubishi Xforce 2026 secara ringkas di atas jalan raya di sekitar Kuala Lumpur pada Februari lalu, ada satu hal yang paling ketara terserlah: ternyata angka-angka spesifikasinya yang tertera di atas kertas tidak menggambarkan pengalaman pemanduan sebenar SUV segmen B ini.

    Angka output yang dijana oleh enjin 1.5 liter NA 4A91 DOHC MIVEC yang melengkapinya tidaklah terlalu besar atau mengujakan, sama seperti dengan MPV Mitsubishi Xpander, dengan janaan kuasa yang tidaklah terlalu luar biasa — 105 PS pada 6,000 rpm dengan tork maksimum 141 Nm pada 4,000 rpm. Bagi sebuah SUV kegunaan keluarga, angka ini biasa-biasa sahaja. Tambahan pula, enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT, yang bagi sesetengah orang bukanlah merupakan gandingan yang akan memberikan banyak kelebihan.

    Tetapi, sebaik sahaja berada di tempat duduk pemandu dan mula mengerah tenaga SUV ini, ternyata prestasi yang diberikannya tidak kalah mengujakan. Sebagai sebuah SUV kompak segmen B, ia mempunyai kemampuan dan prestasi yang jarang-jarang ditemui dalam pasaran tempatan ketika ini, terutama dengan kebanjiran SUV EV dan elektrifikasi dari pengeluar China yang banyak mengisi segmen yang sama.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Pertama sekali, Mitsubishi Xforce mempunyai sentuhan yang lebih premium di bahagian luar dan dalamnya. Ini juga bukanlah perkara baru, kerana sebelum ini kami sudah pernah bawakan laporan pratonton bagi model yang sebaik pelancarannya nanti, akan terus ditawarkan dalam bentuk CKD pemasangan di Pekan. Perincian lanjut tentang perkara ini boleh di baca di sini.

    Sepanjang pengalaman singkat memandu Mitsubishi Xforce, SUV ini kami sifatkan mempunyai banyak kelebihan dari segi penggunaan atau pemanduan sebenarnya. Paling ketara, angka janaan yang dirasakan biasa saja pada awalnya memberikan tanggapan yang sama sekali berbeza: Xforce sangat mudah dipacu dan dipandu, dan dalam banyak keadaan, tidak pula dirasakan kurang kuasa atau berat.

    Ada satu perkataan yang mungkin lebih tepat untuk menggambarkan pengalaman ini: ia terasa refine, telah diperhalusi dalam setiap pertimbangannya. Dan ini merujuk kepada segenap aspek yang sempat kami nilai dan perhatikan. Dari segi pacuan, Xforce sangat mudah untuk memulakan pergerakannya dari kedudukan statik. Tak ada lengah, dan tak ada deruman enjin atau CVT yang menunjukkan bahawa SUV ini tidak cekap. Kuasanya tiba dengan lancar dan senang.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Begitu juga dengan CVT. Di dalam model-model lain, biasanya ramai yang akan merungut CVT-nya terlalu bising dan kurang umpph, bahkan ada yang ke tahap lemau dan lambat. Tetapi itu bukan halnya dengan Xforce: CVT-nya tiada kebisingan yang mengganggu sama-sekali jika didengar dari dalam kabin, dan lebih penting, respon akan tiba segera dan serta-merta. Ini memang sangat diperlukan oleh sebuah SUV yang bila tiba waktunya ada keperluan untuk membawa beban atau muatan yang lebih berbanding sedan atau kereta kompak biasa.

    Ketika melalui permukaan jalan yang ada hadangan garisan kuning/merah, misalnya di kawasan yang memberi amaran untuk perlahankan kenderaan, tetapan suspensinya mungkin akan terasa sedikit keras dan melantun, kerana hentakan akan dirasa dan didengari dengan jelas — tentunya bergantung kepada kelajuan semasa.

    Namun mungkin inilah DNA dan kejuruteraan dari sayap prestasi Mitsubishi Ralliart yang disuntik sedikit ke dalam Xforce sebagai sebuah lanjutan teknologi dan pengalaman pemanduan yang dahulu pernah dibangunkan untuk jentera lumba mereka.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Satu lagi keunikan Xforce ialah, jika model Pajero lama ada altimeter (dengan inclinometer dan thermometer) analoq yang biasanya sangat berguna untuk menunjukkan keadaan dan kedudukan kenderaan ketika dalam keadaan off-road yang tidak rata, ciri yang sama — tetapi dalam versi digital — turut dihadirkan untuk Xforce, yang antara lain disertai dengan paparan G-Force dan tiltmeter dan kompas. Ciri ini mungkin tak ramai yang hargai, tetapi bila ditawarkan untuk Xforce, ia memberi bayangan bahawa SUV ini memang direka untuk menggalas cabaran pemanduan selain daripada hanya jalan tar.

    Dua latihan yang disediakan tempoh hari juga memberikan kesempatan untuk merasakan maklum balas Mitsubishi Xforce ini dalam keadaan pemanduan yang sedikit menekan. Pertama, laluan dan pecutan dengan halangan slalom. Walaupun SUV ini datang dengan kedudukan yang paling tinggi dari permukaan tanah dalam kelasnya dengan 222 mm jarak, olengan badan yang dapat dirasakan sangat minimal, mungkin berkat sistem suspensi yang sedikit keras. Dalam masa yang sama ia juga sangat lincah dan mudah untuk dibalas sterengnya berturut-turut, tanpa ada rasa akan hilang kawalan yang tentunya turut dibantu oleh sistem bantuan pemandu yang ada.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Kedua ialah berkaitan Active Yaw Control yang sangat berguna ketika hari hujan atau permukaan jalan basah. Cuma, ia perlu dipilih secara manual terlebih dahulu untuk diaktifkan oleh pemandu, dan tidak akan “masuk” secara automatik. Dalam mod ini, ia mengawal kadar gelinciran tayar secara individu antara tayar paling luar dan tayar di dalam (misalnya ketika di selekoh) untuk membolehkan kenderaan sentiasa berada dalam kawalan dan memudahkan pemandu mengendalikan kenderaan supaya merapat ke dalam garisan pemanduan yang sepatutnya dan tidak terbabas keluar.

    Selain ciri AYC berkenaan, aspek keselamatan Xforce juga lengkap, dengan adanya fungsi standard seperti ABS, ESC, EBD dan bantuan brek, brek parkir elektrik dengan Brake Hold, bantuan mula mendaki, speed sensing door lock, Isofix, amaran titik buta (BSW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Belakang (RCTA) dan empat unit beg udara untuk varian Urban serta enam unit bagi varian Ultimate. Ia juga telah menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia — prestasi dan pemanduan melangkaui sekadar angka di atas kertas

    Untuk Ultimate, varian ini turut didatangkan dengan ciri Mitsubishi Motors Safety Sensing (yang menyerupai ADAS), merangkumi Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Notifikasi Kenderaan Hadapan Bergerak (LCDN), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Mitsubishi Xforce 2026 untuk pasaran Malaysia akan dilancarkan secara rasmi esok, 8 April 2026.

    Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia

     
     
  • PANDU UJI: Nissan Serena e-Power C28 2026 memang power, cukup selesa tapi harga agak ‘kayangan’

    PANDU UJI: Nissan Serena e-Power C28 2026 memang power, cukup selesa tapi harga agak ‘kayangan’

    Nissan Serena memang sudah lama terkenal sebagai antara model MPV yang digemari termasuk di Malaysia. Ia mula diperkenalkan di pasaran tempatan sekitar 90-an dengan versi CBU dibawa masuk dan generasi awal dikenali sebagai C23 dengan rekaan berkotak dan pintu gelangsar manual, diikuti oleh C24, yang lebih moden dan mula mendapat sambutan lebih meluas.

    Tahun 2018, ia mula dipasang di Malaysia oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM), termasuk memperkenalkan teknologi S-Hybrid yang lebih menjimatkan bahan api. KIni Serena melepasi enam generasi dan untuk model terkininya yang dilancarkan pada 3 Mac lalu, ia diberikan sistem hibrid e-Power dan MPV ini dikenali sebagai Nissan Serena e-Power C28 2026.

    Seperti yang diumumkan sewaktu pelancarannya, barisan MPV hibrid ini ditawarkan dengan lima varian iaitu Serena X yang berharga bermula RM154,800, X Plus (dari RM159,800), Highway Star (dari RM169,800), Premium Highway Star (dari RM174,800) dan model spesifikasi penuh Shiro Premium Highway Star (dari RM179,800).

    Ya, harganya memang agak mahal tetapi adakah pemilikan MPV hibrid ini berbaloi? Beberapa minggu sebelum pelancarannya, ETCM telah mengundang kami untuk memandu ujinya dengan pemanduan secara bergilir-gilir dengan tiga lagi rakan media permotoran, dari Petaling Jaya menuju ke Kuantan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kia Carnival facelift 2026 8-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 12 pembesar suara Bose, RM239,849

    Kia Carnival facelift 2026 8-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 12 pembesar suara Bose, RM239,849

    Kia Sales Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan versi lapan-tempat duduk untuk MPV Kia Carnival facelift 2026. Model ini dijual pada harga RM238,888 (atau RM239,849 untuk harga atas jalan tanpa insuran), Jadi model ini akan berada ditengah antara model paling mewah tempat duduk yang dijual pada harga RM249k dan juga model 11-tempat duduk yang dijual pada harga RM189k. Kesemua versi Kia Carnival di Malaysia masih lagi dipasang secara tempatan (CKD) menerusi kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Bagi model lapan-tempat duduk ini ia menerima susunan kerusi dengan konfigurasi 2-3-3, di mana baris kedua boleh dipisahkan dan digelangsarkan dengan nisbah 40:20:40 – kerusi di tengah boleh ditolak ke hadapan dan ke belakang, manakala kerusi kiri dan kanan boleh dipusingkan ke belakang. Tempat duduk baris ketiga pula boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40 serta boleh dilipat rata ke dalam lantai.

    Perincian lain yang turut diberikan pada versi lapan-tempat duduk ini termasuk paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci, sistem bunyi dengan 12-pembesar suara dari Bose, lampu suasana kabin, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala dan larasan lumbar 4-hala bersama aliran udara dan pemanas.

    Kia Carnival facelift 2026 8-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 12 pembesar suara Bose, RM239,849

    Unit rangkaian kuasa pula masih sama dengan versi 7- dan 11-tempat duduk di mana ia digerakkan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel berkuasa 202 PS/440 N, digandingkan bersama kotak gear lapan-kelajuan yang didakwa mampu mencapai kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km dan mencapai jarak gerak sejauh 900 km, semuanya dalam kitaran WLTP dengan setangki penuh bahan api.

    Manakala untuk keselamatan, Kia Carnival lapan-tempat duduk ini menerima lapan beg-udara serta fungsi penuh sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Masih empat warna badan disediakan untuk Kia Carnival lapan-tempat duduk ini iaitu Meteor Gray, Snowflake White Pearl, Astra Blue dan Jet Black. Setiap pembelian model ini juga datang standard dengan waranti selama lima tahun dan 150,000 km

    GALERI: Gambar rasmi

     
     
  • Indonesia jamin harga bahan api bersubsidi dikekalkan pada paras semasa hingga akhir tahun ini

    Indonesia jamin harga bahan api bersubsidi dikekalkan pada paras semasa hingga akhir tahun ini

    Indonesia memberi jaminan bahawa harga bahan api bersubsidi akan dikekalkan pada paras semasa sehingga akhir tahun ini, laporan Kompas.com.

    Menurut Menteri Kewangan negara berkenaan, Purbaya Yudhi Sadewa, kerajaan telah menyediakan pelbagai senario untuk meredakan kesan kenaikan harga minyak dunia. “Jadi, yang bersubsidi hingga akhir tahun adalah terjamin. Jadi masyarakat tidak perlu bimbang, tidak perlu takut. Kami sudah membuat pengiraan,” katanya.

    Pada 31 Mac lalu, kerajaan Indonesia turut mengumumkan tiada tiada pelarasan harga bahan apo dibuat bagi April. Di mana petrol bersubsidi RON 90 dijual pada harga tetap Rp10,000 (RM2.37) seliter, manakala diesel bersubsidi (biosolar) dihadkan pada Rp6,800 (RM1.61) seliter, dengan kerajaan menanggung perbezaan kos.

    Manakala bahan api tidak bersubsidi ditetapkan berdasarkan mekanisme pasaran, dengan Pertamax (RON 92) dijual pada sekitar Rp12,300 (RM2.91) seliter dan Pertamax Turbo (RON 98) kira-kira Rp13,100 (RM3.10) seliter bagi Mac, tertakluk kepada pelarasan berkala selaras harga minyak global, kadar pertukaran asing dan komponen kos lain. Bagi diesel tidak bersubsidi, Dexlite ditetapkan pada Rp14,200 (RM3.36) seliter, manakala Pertamina Dex pada Rp14,500 (RM3.43) seliter.

    Walau bagaimana pun, beliau menambah tekanan fiskal tetap diberi perhatian. “Beban subsidi berpotensi meningkat sekiranya harga minyak dunia terus naik. Kenaikan harga tenaga didorong oleh konflik di Timur Tengah. Keadaan ini meningkatkan kos import tenaga Indonesia,” katanya sambil menambah kerajaan menyediakan gabungan dasar fiskal dan tenaga dengan tujuan mengawal tekanan terhadap belanjawan tanpa menaikkan harga bahan api bersubsidi.

     
     
  • Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia mungkin dibatalkan kerana ada potensi kekurangan bahan api

    Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia mungkin dibatalkan kerana ada potensi kekurangan bahan api

    Perlumbaan pusingan Malaysia untuk siri Autobacs Super GT 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Jun ini mungkin akan dibatalkan, lapor Sportscar365. Portal sukan permotoran tersebut difahamkan bahawa pembatalan ini adalah permintaan dari kerajaan Malaysia kerana acara berskala besar berkenaan perlu ditangguhkan kerana ada potensi berlakunya kekurangan bahan api.

    Menurut laporan itu lagi sekiranya pusingan Super GT 2026 di Malaysia ini dibatalkan, ia akan digantikan dengan pusingan yang akan berlangsung di Jepun. Pengumuman berkenaan pembatalan acara ini mungkin akan dibuat hujung minggu ini, iaitu ketika berlangsungnya pusingan pembukaan Autobacs Super GT 2026 di Litar Antarabangsa Okayama.

    Bukan hanya potensi kekurangan bahan api, malah faktor lain seperti kos untuk pengangkutan barangan dan kakitangan yang kini sedang meningkat juga dilaporkan menjadi salah satu punca pembatalan perlumbaan di Malaysia berkenaan.

    Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia mungkin dibatalkan kerana ada potensi kekurangan bahan api

    Perlumbaan Autobacs Super GT ini kembali ke Malaysia tahun lalu, iaitu selepas 12 tahun sejak kali terakhir ia diadakan di sini di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Menerusi perjanjian yang dimeterai pada 2024, Malaysia akan terus menganjurkan Super GT sekurang-kurangnya sehingga 2027, dan setakat ini ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT terkini yang dilangsungkan di luar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.

    Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2026 ini, bermula dengan pusingan pertama yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 11 hingga 12 April. Sekiranya pembatalan ini tidak dibuat, Sepang akan menjadi perlumbaan pusingan ketiga Super GT tahun ini yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun nanti.

    Seperti yang diketahui potensi untuk berlakunya kekurangan bahan api ini adalah kerana konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah buat masa sekarang. Sehingga kini konflik tersebut turut telah menjejaskan beberapa acara sukan permotoran termasuk pusingan di Bahrain dan Arab Saudi untuk Formula 1 tahun ini, manakala perlumbaan Qatar 1,812km dalam kalender World Endurance Championship terpaksa dijadualkan semula dari Mac ke Oktober nanti.

     
     
  • Tiada sekatan rakyat guna MyKad nikmati Budi95 selagi ikut peraturan yang dikuatkuasa – JPN

    Tiada sekatan rakyat guna MyKad nikmati Budi95 selagi ikut peraturan yang dikuatkuasa – JPN

    Semalam kecoh di laman media sosial berhubung kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara berkenaan penggunaan kad pengenalan atau MyKad dalam kalangan ahli keluarga bagi menikmati inisiatif Budi95 yang turut dikira satu kesalahan.

    Bagi mengelakkan kekecohan terus berlarutan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif Budi95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

    Kata JPN lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarahnya sebelum ini adalah berkaitan siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh seorang individu di Kelantan, selaras dengan bidang kuasa Jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri.

    Tiada sekatan rakyat guna MyKad nikmati Budi95 selagi ikut peraturan yang dikuatkuasa – JPN

    “Dalam hal ini, JPN ingin menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif Budi95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Madani untuk memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

    “Merujuk Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan. JPN bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan,” kata JPN menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam.

    Tambahnya, kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan Kerajaan. “Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru agar menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi sebarang urusan, termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti,” katanya lagi.

    JPN turut berkata, bagi aspek penyalahgunaan subsidi, termasuk dalam pelaksanaan Budi95, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi-agensi yang berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026