Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MATTA Fair 2026, 3-5 April di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair 2026, 3-5 April di MITEC – bas perantara Rapid KL percuma dari KL Sentral, Sunway Putra Mall

    MATTA Fair kini kembali dan berlangsung hujung minggu ini dari 3 hingga 5 April 2026. Seperti kebiasaannnya, ia juga diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Inilah peluang untuk anda yang mencari pakej percutian dan pelancongan dengan harga yang lebih berpatutan.

    Jangan risau bab kesesakan lalu lintas dan masalah parkir, gunakan saja kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak Rapid KL. Anda boleh menaiki bas perantara percuma untuk ke MITEC yang disediakan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.

    Kekerapan ketibaan bas adalah setiap lima hingga 10 minit namun tertakluk kepada keadaan trafik. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di KL Sentral (Hentian Bas Balai Pelepasan ERL KLIA) dan juga hentian bas di Sunway Putra Mall (bertentangan PWTC).

    Jadi, jika anda merancang untuk ke MATTA Fair hujung minggu ini, pilihan terbaik ialah dengan menggunakan pengangkutan awam yang disediakan ini. Lebih memudahkan perjalanan anda tanpa memikirkan soal parkir atau tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

     
     
  • Proton Saga MC3 terjual 5,438 unit pada Mac 2026 – lebih rendah dari MC2 tahun lalu, tapi Q1 naik 38%

    Proton Saga MC3 terjual 5,438 unit pada Mac 2026 – lebih rendah dari MC2 tahun lalu, tapi Q1 naik 38%

    Walaupun menerima tempahan yang cukup banyak, Proton Saga MC3 nampaknya sekali lagi mencatatkan jualan bulanan yang tidak begitu tinggi – untuk Mac, Proton hanya menyerahkan sebanyak 5,438 unit Saga MC3 kepada pelanggan, kurang 609 unit berbanding jumlah 6,047 unit yang dicatatkan pada Februari lalu.

    Malah jumlah jualan Mac 2026 ini juga adalah lebih rendah berbanding jumlah jualan Saga MC2 pada bulan Mac tahun lalu di mana ketika itu sebanyak 6,154 unit telah diserahkan kepada pelanggan. Walau bagaimanapun, jualan yang begitu tinggi dicatatkan pada bulan Januari iaitu 10,285 unit masih mampu untuk mencatatkan kenaikan jualan Saga sebanyak 38% untuk suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, di mana secara kumulatif sebanyak 21,770 unit Saga MC3 telah dihantar kepada pelanggan untuk tiga bulan pertama tahun ini, atau secara purata 7,571 unit setiap bulan.

    Berdasarkan rekod serahan untuk bulan Februari dan Mac 2026, mungkin memang kapasiti pengeluaran kilang Proton untuk menghasilkan Saga MC3 hanya sekitar 5,000 unit – 6,000 unit sebulan? Ini kerana kami difahamkan bahawa jumlah serahan kepada pelanggan yang melebihi 10,000 unit pada Januari lalu adalah kerana Proton melambatkan penghantaran pada penghujung 2025 dan membawanya ke awal tahun 2026.

    Proton Saga MC3 terjual 5,438 unit pada Mac 2026 – lebih rendah dari MC2 tahun lalu, tapi Q1 naik 38%

    Kami turut ada mendengar rungutan pelanggan yang masih belum menerima kereta masing-masing walaupun sudah membuat tempahan pada akhir tahun lalu.

    Namun walaupun jumlah jualan Saga MC3 lebih rendah dari apa yang dijangkakan, Proton masih mampu mencatatkan jualan bulanan keseluruhan 15,706 unit kenderaan sepanjang Mac 2026, atau naik 15.77% berbanding bulan sebelumnya. Jumlah jualan berkenaan dipacu oleh model-model yang baru diberikan kemaskini seperti S70 dan X50, dan juga eMas 7 PHEV yang baru dilancarkan pada Februari lalu.

    Secara kumulatif, Proton telah mencatatkan jualan suku pertama tahun ini sebanyak 49,140 unit, yang juga merupakan rekod jualan suku pertama terbaik pernah dicatatkan oleh pembuat automotif nasional itu sejak 2004.

    GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT

    GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT

    GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT

     
     
  • JPJ eBid: Siri APM dan QDF bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Perak dan Sarawak yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APM bakal dibuka bidaan mulai 6 April. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 10 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 11 April 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QDF pula akan dibuka bidaan bermula 10 April 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 14 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 April 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Proton akan pasang motor elektrik dan transmisi hibrid untuk EV di Tg. Malim, sokong dasar MITI

    Proton akan pasang motor elektrik dan transmisi hibrid untuk EV di Tg. Malim, sokong dasar MITI

    Proton telah mengesahkan bahawa ia akan memasang komponen utama untuk model-model EVnya seperti unit motor elektrik dan juga transmisi khas hibrid (DHT) di Tanjong Malim sebagai salah satu langkah untuk mengembangkan lagi kapasiti pengilangan kenderaan dan unit rangkaian kuasa di fasiliti utamanya yang terletak di Perak itu.

    Perkara ini diumumkan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh DRB-Hicom petang tadi sebagai respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tempoh hari bagi menegaskan dasar pelaburan dan sektor automotif negara sebagai respons terhadap kekeliruan berkenaan pelaburan CKD BYD yang timbul awal minggu ini.

    Menurut Proton, pemasangan tempatan untuk komponen-komponen utama ini akan menyokong barisan model-model kenderaan dengan teknologi elektrifikasinya, termasuk hibrid dan elektrik penuh. Namun tiada sebarang perincian lain seperti skala dan garis masa didedahkan oleh Proton, di mana ia hanya menyatakan bahawa kebolehan teknologi dan pengilangan termaju ini akan dipacu oleh pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim. Proton memainkan peranan utama di dalam projek AHTV berkenaan sebagai hab nasional.

    Syarikat itu menyatakan bahawa AHTV akan menjadi tumpuan utama bagi pembuatan termaju, pembangunan bakat dan penyelidikan dan pembangunan, yang semuanya bertujuan untuk memperkukuh daya saing jangka panjang Malaysia dalam mobiliti masa hadapan. Ia turut menegaskan bahawa projek itu, bersama-sama dengan usaha lain, mencerminkan komitmennya untuk memajukan kepakaran tempatan, mempercepat pemindahan teknologi dan meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dalam peralihan global ke arah elektrifikasi.

    Proton akan pasang motor elektrik dan transmisi hibrid untuk EV di Tg. Malim, sokong dasar MITI

    Syarikat itu menambah bahawa sebagai pengeluar peralatan asli (OEM) automotif tempatan pertama di Malaysia, ia telah memainkan peranan penting dalam membangunkan rangkaian vendor sokongan negara, dengan komitmennya terhadap ekosistem tempatan diserlahkan melalui nilai pembelian tempatan lebih daripada RM17 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu (2021–2025), dan ia diunjurkan meningkat kepada kira-kira RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang (2026–2030).

    Proton menyatakan ia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk kementerian dan agensi kerajaan, bagi memastikan strategi dan pelaburannya kekal sejajar dengan agenda nasional yang lebih luas yang digariskan melalui Dasar Automotif Negara (NAP).

    “Kami komited sepenuhnya untuk menyokong aspirasi perindustrian dan mobiliti jangka panjang kerajaan dengan memperkukuh ekosistem automotif tempatan, membangunkan bakat Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan,” kata pengerusi Proton dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar.

    “Melalui kerjasama erat dan berterusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan industri, Proton akan terus memainkan peranannya dalam memastikan industri automotif Malaysia kekal relevan dan berdaya saing seiring dengan perkembangannya,” tambahnya.

     
     
  • Brunei kuatkuasa peraturan tangki tiga suku bagi kenderaan asing sebelum memasuki negaranya

    Brunei kuatkuasa peraturan tangki tiga suku bagi kenderaan asing sebelum memasuki negaranya

    Pemilik kenderaan pendaftaran asing termasuk Malaysia diwajibkan untuk mengisi bahan api kereta mereka sebelum memasuki Brunei. Ini kerana berkuatkuasa semalam (1 April), Brunei telah mula mewajibkan semua kenderaan asing yang memasuki negaranya mempunyai sekurang-kurangnya tiga suku tangki bahan api. Kegagalan mematuhi peraturan baharu ini, akan menyebabkan kenderaan terbabit tidak dibenarkan memasuki negara tersebut, laporan Borneo Post.

    “Semua kenderaan pendaftaran asing yang memasuki Brunei Darussalam dikehendaki mengekalkan tahap bahan api minimum tiga suku tangki semasa masuk. Kenderaan asing yang tidak mematuhi keperluan ini tidak akan dibenarkan memasuki Brunei Darussalam,” menurut kenyataan Jabatan Tenaga (DOE) negara itu.

    Walau bagaimana pun, DOE menambah, kenderaan rasmi kerajaan dikecualikan daripada keperluan tersebut, dan peraturan ini tidak terpakai kepada kenderaan berdaftar Brunei yang kembali dari Malaysia pada kemasukan pertama, namun ia akan dikuatkuasakan bagi kemasukan kedua dan seterusnya dalam tempoh 24 jam.

    Brunei kuatkuasa peraturan tangki tiga suku bagi kenderaan asing sebelum memasuki negaranya

    DOE turut berkata kenderaan asing di Brunei hanya dibenarkan membeli Shell V-Power Gasoline, yang kini berharga BND1.33 seliter (RM4.19), atau Shell V-Power Diesel (BND1.99, atau RM6.26) di stesen minyak terpilih pada kadar pasaran semasa. Sebagai perbandingan, Shell Premium berharga BND0.53 seliter (RM1.67), Shell Regular BND0.36 (RM1.13), dan Shell Diesel BND0.31 (RM0.98).

    Jabatan itu turut menambah bahawa semua pengendali stesen minyak telah diarahkan untuk mematuhi prosedur pengesahan dengan ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan. “Tindakan akan diambil terhadap sebarang cubaan menggunakan nombor pendaftaran palsu atau yang diubah suai. Pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan secara aktif oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

    Jabatan tersebut menyatakan langkah ini bertujuan untuk melindungi bekalan petroleum negara susulan perkembangan geopolitik semasa di Timur Tengah.

     
     
  • Proton S70 MC1 – 2,254 unit terjual pada Mac 2026, tertinggi sejak Feb 2024; lebih laris dari sedan seg-B

    Proton S70 MC1 – 2,254 unit terjual pada Mac 2026, tertinggi sejak Feb 2024; lebih laris dari sedan seg-B

    Proton hari ini mendedahkan bahawa model sedan segmen-C Proton S70 terjual sebanyak 2,254 unit sepanjang Mac 2026, iaitu jualan bulanan tertinggi pernah dicatatkan oleh model berkenaan selepas Februari 2024. Jumlah jualan yang dicatatkan ini bukan sahaja menjadikan S70 sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia, malah Proton mendakwa ia adalah lebih laris dari model-model dalam saingan sedan segmen-B (seperti Honda City dan Toyota Vios).

    Formulanya sudah tentu pada versi kemaskini MC1 yang diperkenalkan pada Februari lalu apabila Proton menukar enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo asal kepada enjin i-GT baharu. Enjin 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus itu bukan sahaja lebih berkuasa dengan menghasilkan 181 PS/290 Nm berbanding 150 PS/226 Nm pada enjin sebelumnya, malah ia juga lebih senyap, serta lebih mudah diselenggara kerana sistem timing belt telah ditukar kepada sistem timing chain.

    Kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT masih dikekalkan, membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 7.5 saat. Bagi varian Flagship X, kit badan yang diberikan adalah lebih agresif berbanding sebelum ini, dan ia merupakan rekaan dari Proton sendiri.

    Perincian-perincian lain masih lagi sama, tetapi model kemaskini MC1 ini menerima lampu hadapan dengan spesifikasi lebih rendah kerana lampu isyarat membelok LED yang sebelum ini bersepadu dengan lampu nyalaan siang pada bahagian ‘kening’ telah ditukar kepada lampu jenis mentol biasa. Perubahan ini juga telah menyisihkan fungsi ‘persembahan lampu’ apabila kunci dibuka.

    Proton S70 MC1 – 2,254 unit terjual pada Mac 2026, tertinggi sejak Feb 2024; lebih laris dari sedan seg-B

    Selain itu S70 MC1 2026 juga menerima set rim 17-inci rekaan baru — kelihatan sama seperti rim yang diberikan pada model sedia ada, tetapi jika dilihat dengan teliti, ia berbeza terutamanya di bahagian tengah. Rim baru tersebut tidak lagi dipadankan dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2, kerana kilang Goodyear di Shah Alam sudah pun ditutup.

    Sebagai ganti, tayar GitiComfort F22 dari China mengambil alih, sama seperti X70 yang kini turut menggunakan tayar Giti selepas kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah ditutup akhir tahun lalu. Sebelum bertukar ke Giti, S70 pernah menggunakan tayar Kumho dari Vietnam, tahun lalu. Pertukaran jenama tayar yang digunakan ini adalah disebabkan oleh faktor kos; oleh kerana tiada lagi kilang Continental dan Goodyear di Malaysia, Proton terpaksa beralih kepada tayar Giti untuk mengekalkan kos yang optimum.

    Namun dengan semua perubahan ini Proton S70 MC1 masih dijual pada harga yang sangat kompetitif dengan varian paling asas Executive ditawarkan pada harga RM73,800, diikuti varian Premium berharga RM79,800, varian Flagship berharga RM89,800, dan varian tertinggi Flagship X berharga RM94,800.

    Sempena pelancarannya, Proton turut memberikan rebat sebanyak RM5,000 untuk semua varian, menjadikan harga masing-masing lebih rendah iaitu RM68,800, RM74,800, RM84,800 dan RM89,800. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Proton S70 MC1 2026 Flagship X

    Proton S70 MC1 2026 Flagship

    Proton S70 MC1 Premium 2026

    Proton S70 MC1 2026 di SIC

    Slide maklumat

     
     
  • Nissan Serena e-Power C28 2026 – 1,300 tempahan diterima, 250 unit telah diserah kepada pembeli

    Nissan Serena e-Power C28 2026 – 1,300 tempahan diterima, 250 unit telah diserah kepada pembeli

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mengumumkan bahawa ia telah menerima sebanyak 1,300 tempahan untuk MPV Nissan Serena e-Power 2026 selepas model berkenaan dilancarkan ke pasaran tempatan bulan lalu. Dari jumlah tempahan berkenaan, sehingga kini sebanyak 250 unit model tersebut telah diserahkan kepada pelanggan.

    Model generasi ke-enam dengan kod C28 ini ditawarkan di Malaysia dalam lima varian, bermula dengan varian paling asas Serena X dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM154,800, diikuti X Plus berharga RM159,800, Highway Star berharga RM169,800, Premium Highway Star berharga RM174,800 dan model varian tertinggi Shiro Premium Highway Star pada harga RM179,800.

    Ketika dilancarkan ETCM menawarkan rebat pengenalan sebanyak RM5,000 dan pakej aksesori bernilai RM8,000 untuk semua varian Serena e-Power 2026 ini kecuali varian asas X. Menerusi kenyataan terbaharu yang dikeluarkan hari ini, tawaran tersebut masih lagi sah dan diteruskan.

    Model generasi baharu ini masih dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang pemasangan ETCM di Serendah, menjadikan ia model dengan unit rangkaian kuasa hibrid e-Power Nissan pertama yang dipasang di Malaysia.

    Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan enjin petrol HR14DDe 1.4 liter NA tiga-silinder sebaris menghasilkan kuasa 98 PS dan tork 123 Nm yang berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium-ion berkapasiti 1.77 kWj, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 315 Nm yang menerima kuasa dari bateri berkenaan.

    Setiap pembelian Nissan Serena C28 e-Power ini diberikan waranti kenderaan selama lima-tahun atau 100,000 km, manakala komponen e-Power (motor, bateri dan unit pengurusan tenaga) diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    GALERI: Nissan Serena e-Power X 2026

    GALERI: Nissan Serena e-Power Premium Highway Star 2026

    GALERI: Nissan Serena e-Power Shiro Premium Highway Star 2026

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sedang alami gangguan bekalan kuasa, bas perantara diaktifkan

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sedang alami gangguan bekalan kuasa, bas perantara diaktifkan

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling sedang mengalami kelewatan disebabkan gangguan bekalan kuasa yang berlaku di antara Stesen Awan Besar dan Stesen Sri Petaling.

    “Disebabkan ini, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar. Pihak Rapid Rail telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan,” kata Rapid Rail dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Di mana perkhidmatan tren alternatif melibatkan tren dari Stesen Putra Heights yang akan berpatah balik di
    Stesen Kinrara BK5 dengan kekerapan tujuh minit. Manakala tren dari Stesen Sentul Timur pula akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan 10 minit. Untuk tren perantara ulang-alik pula ia melibatkan laluan di antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar serta Stesen Kinrara BK5 dan Stesen Awan Besar, masing-masing melibatkan kekerapan sekitar 15 minit.

    Manakala bas perantara ulang alik yang disediakan secara percuma melibatkan antara Stesen Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Bukit Jalil dan Seri Petaling, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa.

    “Pasukan kejuruteraan Rapid Rail sedang berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin. Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang.

    “Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen. Penumpang juga disarankan untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain bagi meneruskan perjalanan ke destinasi dan merujuk pada laman media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini operasi,” kata Rapid Rail lagi.

     
     
  • 31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, pengaruh dadah pada 2025, SJR dipertingkat – polis

    31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, pengaruh dadah pada 2025, SJR dipertingkat – polis

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan berdasarkan statistik pada tahun 2025, sebanyak 31 kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol, manakala sejumlah 27 kes pula direkodkan pada tahun sebelumnya, laporan Berita Harian.

    “Walaupun peningkatan ini tidak terlalu ketara, namun setiap kes berlaku membawa implikasi kehilangan nyawa yang amat serius dan seharusnya tidak dipandang ringan. Hakikatnya, kes sebegini berpunca daripada tingkah laku yang boleh dielakkan, justeru JSPT memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan,” kata Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.

    Untuk menangani isu pemandu mabuk ini, Muhammed Hasbullah berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi sekatan jalan raya (SJR) secara meluas khususnya di lokasi dan waktu berisiko tinggi seperti pada lewat malam serta hujung minggu bagi mengesan pemandu mabuk.

    31 kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, pengaruh dadah pada 2025, SJR dipertingkat – polis

    Jelasnya, operasi bersepadu yang berimpak tinggi itu bukan saja mampu mengesan pesalah secara langsung, malah memberikan kesan pencegahan psikologi kepada pengguna jalan raya.

    “Kehadiran pihak berkuasa secara konsisten di lokasi dan waktu berisiko tinggi turut meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang,” katanya.

    Mengenai kekangan dihadapi JSPT dalam isu pemandu mabuk, Muhammed Hasbullah berkata, tiada masalah besar dari sudut undang-undang mahupun siasatan. Tambahnya, kerjasama erat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) membantu memastikan setiap pendakwaan mendapat perhatian sewajarnya.

    “Sokongan padu daripada pihak pendakwaan membolehkan proses siasatan dan pendakwaan dijalankan lebih lancar dan berkesan. Cabaran utama dihadapi bukan sekadar dari sudut penguatkuasaan di lapangan, tetapi lebih kepada membentuk kesedaran, tanggungjawab dan nilai moral dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

     
     
  • Ford Ranger Super Duty di Bangkok – trak belasahan dengan enjin V6 3.0L diesel turbo, harga RM196k

    Ford Ranger Super Duty di Bangkok – trak belasahan dengan enjin V6 3.0L diesel turbo, harga RM196k

    Ford Ranger Super Duty kini dipamerkan kepada umum sempena Bangkok International Motor Show 2026 (BIMS 2026), menandakan kemunculan varian baru dalam barisan trak pikap Ranger. Di Thailand, model ini ditawarkan pada harga 1,599,000 baht, bersamaan kira-kira RM196,081 untuk versi double cab, seperti yang dilaporkan oleh Autolife Thailand.

    Pertama kali diperkenalkan pada April 2025, Ranger Super Duty dibangunkan sebagai trak kerja untuk kegunaan lebih lasak. Ia tampil dengan casis yang diperkukuh, gandar yang dinaik taraf, driveshaft lebih tebal serta tangki bahan api lebih besar berkapasiti 130 liter.

    Selain itu, model ini turut dilengkapi pelbagai penambahbaikan terus dari kilang bagi memenuhi keperluan perniagaan tanpa perlu bergantung kepada aksesori pasaran selepas jualan. Antaranya seperti pelindung bawah enjin (bash plate) pada bampar hadapan, yang membantu meningkatkan sudut mendaki seiring dengan kelegaan tanah yang lebih tinggi.

    Reka bentuk luaran Ranger Super Duty diinspirasikan daripada trak Super Duty bersaiz penuh Ford untuk pasaran Amerika Syarikat. Ia menampilkan fender lebih lebar dan lengkuk roda berbentuk petak bagi menampung jarak roda yang lebih lebar serta tayar all-terrain 33 inci jenis General Grabber yang dipadankan dengan rim 18 inci lapan lubang.

    Dari segi kuasa, Ranger Super Duty menggunakan enjin 3.0 liter V6 diesel turbo yang turut digunakan pada varian Ranger lain. Namun, kuasanya dikurangkan kepada 209 PS berbanding 250 PS pada varian WildTrak 3.0 V6, sementara tork kekal pada 600 Nm. Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan. Beberapa mod pemanduan disediakan termasuk Normal, Eco, Tow-Haul, Slippery, Mud & Ruts, Sand dan Rock Crawl.

    Keupayaan angkut dan tunda turut dipertingkatkan, dengan berat kenderaan kasar (GVM) mencecah 4,500 kg dan berat gabungan (GCM) sehingga 8,000 kg. Versi casis double cab mampu membawa muatan sehingga 1,825 kg, manakala kapasiti tunda juga mencapai 4,500 kg. Dari sudut keupayaan offroad, kelegaan tanah ditingkatkan kepada 299 mm, lebih tinggi berbanding Ranger Raptor, manakala kedalaman redah air maksimum ialah 850 mm.

    Ford Ranger Super Duty di Bangkok – trak belasahan dengan enjin V6 3.0L diesel turbo, harga RM196k

    Bahagian kabin mengekalkan reka bentuk asas Ranger standard, termasuk skrin sesentuh bersaiz 12 inci dalam kedudukan menegak. Turut disediakan adalah barisan suis tambahan di bahagian atas cermin pandang belakang untuk sambungan aksesori. Sistem Integrated Device Mounting System juga ditawarkan, membolehkan peranti seperti tablet dipasang dengan selamat di bahagian konsol tengah tanpa mengganggu fungsi beg udara penumpang hadapan.

    Dari segi keselamatan dan bantuan pemandu, Ranger Super Duty dilengkapi pelbagai ciri termasuk Trailer Backup Assist, Trail Control dan Trail Turn Assist. Ia turut menampilkan sistem bantuan pemandu lanjutan seperti pemantauan titik buta, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dengan pengesanan pejalan kaki, bantuan membrek undur, amaran lintasan trafik belakang, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, serta bantuan kekal lorong dan amaran keluar lorong.

    Di Thailand, Ford Ranger Super Duty ditawarkan dalam beberapa pilihan warna termasuk Arctic White, Absolute Black, Command Grey, Traction Green dan Seismic Tan, dengan tiga warna terakhir sebagai pilihan tambahan berbayar. Model ini dipasarkan dalam konfigurasi double cab pada harga 1,599,000 baht.

     
     
  • Isuzu D-Max EV, hibrid belum tentu masuk Malaysia

    Isuzu D-Max EV, hibrid belum tentu masuk Malaysia

    Meskipun harga diesel menunjukkan peningkatan ketara di peringkat serantau termasuk Malaysia, tiada pengesahan rasmi mengenai rancangan membawa masuk varian elektrik sepenuhnya bagi Isuzu D-Max ke pasaran tempatan. Perkara ini dimaklumkan oleh Isuzu Malaysia kepada paultan.org.

    Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo, dalam satu kenyataan bertulis menjelaskan bahawa pihak syarikat masih meneliti keadaan semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut. Buat masa ini, fokus utama kekal kepada penawaran teras mereka iaitu kenderaan berenjin diesel, termasuk rangkaian trak pikap D-Max yang baru sahaja dikemas kini menerusi pelancaran model 2026 di Malaysia dengan enjin turbodiesel 2.2 liter terbaru.

    Pendekatan sama turut digunakan bagi varian hibrid ringkas D-Max, di mana Isuzu Malaysia tidak merancang untuk memperkenalkan versi elektrifikasi dengan enjin turbodiesel 1.9 liter itu ke pasaran tempatan.

    Isuzu D-Max EV, hibrid belum tentu masuk Malaysia

    Di Thailand, D-Max EV ditawarkan pada harga sekitar 1.591 juta baht, bersamaan kira-kira RM192,000. Model ini menggunakan sistem dua-motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork 325 Nm, dengan motor hadapan menjana 58 PS dan 108 Nm, manakala motor belakang menghasilkan 132 PS dan 217 Nm. Ia dipadankan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 66.9 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 263 km mengikut piawaian WLTP.

    Sementara itu, varian D-Max hibrid ringkas di Thailand dijual pada harga sekitar 1.145 juta baht atau kira-kira RM148,390. Model ini dikuasakan enjin RZ4E-TC MHEV 1.9 liter turbodiesel empat silinder yang menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,600 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik enam kelajuan.

    Dalam perkembangan berkaitan, kemas kini Isuzu D-Max 2026 yang dilancarkan di Malaysia semalam menyaksikan pengenalan enjin baru RZ4F-TC 2.2 liter turbodiesel empat silinder bagi menggantikan unit 1.9 liter sebelum ini. Enjin baru tersebut digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala enjin 3.0 liter turbodiesel bersama transmisi enam kelajuan masih ditawarkan untuk varian tertentu dalam barisan D-Max.

    GALERI: Isuzu D-Max EV di Thailand

     
     
  • BMW iX3 40 2026 – varian permulaan bagi EV generasi NA5 dengan kuasa 325 PS, WLTP sehingga 636 km

    BMW iX3 40 2026 – varian permulaan bagi EV generasi NA5 dengan kuasa 325 PS, WLTP sehingga 636 km

    BMW terus mengembangkan barisan kenderaan elektriknya dengan memperkenalkan varian baru bagi model iX3, iaitu iX3 40 yang kini menjadi pilihan permulaan. Model ini menyertai varian sedia ada, iX3 50 xDrive yang diperkenalkan ketika debut global SUV elektrik generasi NA5 itu September tahun lalu.

    Dari segi teknologi, iX3 40 menggunakan sistem eDrive generasi keenam BMW yang dibangunkan khusus untuk platform Neue Klasse, lengkap dengan seni bina elektrik 800 volt. Varian ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 636 km mengikut piawaian WLTP, sedikit rendah berbanding iX3 50 xDrive yang mampu mencapai sehingga 805 km. Perbezaan ini disebabkan oleh kapasiti bateri yang lebih kecil pada varian baru tersebut.

    Bateri jenis nikel mangan kobalt (NMC) pada iX3 40 mempunyai kapasiti tenaga boleh guna sebanyak 82.6 kWh, berbanding 108.7 kWh pada iX3 50 xDrive. Dari segi pengecasan, kuasa maksimum pengecasan pantas DC juga lebih rendah iaitu 300 kW berbanding 400 kW pada varian lebih tinggi, manakala pengecasan AC kekal pada 11 kW dan boleh dinaik taraf kepada 22 kW.

    BMW iX3 40 2026 – varian permulaan bagi EV generasi NA5 dengan kuasa 325 PS, WLTP sehingga 636 km

    Meskipun kuasa pengecasan DC lebih rendah, masa yang diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus masih sama iaitu sekitar 21 minit. Bagi pengecasan AC pada kadar maksimum 22 kW, bateri boleh dicas penuh dari 0 hingga 100 peratus dalam tempoh kira-kira empat jam 15 minit. Menariknya, fungsi pengecasan dua hala turut ditawarkan sebagai ciri standard pada iX3 40.

    Seperti yang diketahui melalui namanya yang tidak menggunakan label ‘xDrive’, iX3 40 hanya dilengkapi satu motor elektrik yang memacu roda belakang. Motor ini menghasilkan kuasa sebanyak 325 PS dan tork 500 Nm, lebih rendah berbanding iX3 50 xDrive yang menawarkan 469 PS dan 645 Nm.

    Dari segi prestasi, iX3 40 mencatatkan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.9 saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j, sedikit ketinggalan berbanding varian pacuan semua roda yang lebih berkuasa.

     
     
  • Toyota bZ4X facelift dilancar di Malaysia – RM220k, hanya FWD, 227 PS/269 Nm, jarak gerak 525 km WLTP

    Toyota bZ4X facelift dilancar di Malaysia – RM220k, hanya FWD, 227 PS/269 Nm, jarak gerak 525 km WLTP

    Selain dari Hilux BEV dan Urban Cruiser EV, UMW Toyota Motor hari ini turut melancarkan sebuah lagi EV iaitu Toyota bZ4X. Model ini telah pun ditunjukkan di Malaysia pada 2023, tetapi pelancarannya ditangguhkan kerana harga jualannya dikhuatirinya tidak kompetitif ketika itu.

    Jadi untuk pelancarannya hari ini, bZ4X terus diperkenalkan di pasaran Malaysia dalam versi facelift yang membuat penampilan sulung globalnya pada Mac tahun lalu. Model yang diimport sepenuhnya (CBU) ini ditawarkan pada pasaran tempatan dengan hanya satu varian pacuan hadapan tunggal, dijual pada harga atas jalan RM220,000.

    UMW Toyota memberikan waranti kenderaan selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk model ini, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri. Pembeli juga boleh memanjangkan waranti bateri kepada 10-tahun dengan tambahan bayaran sebanyak RM5,700.

    Toyota bZ4X facelift dilancar di Malaysia – RM220k, hanya FWD, 227 PS/269 Nm, jarak gerak 525 km WLTP

    Seperti yang dinyatakan tadi Toyota bZ4X pasaran Malaysia ditawarkan hanya dalam varian pacuan hadapan tunggal. Jadi ia hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik berkuasa 227 PS dan tork maksima 269 Nm (23 PS/3 Nm lebih berkuasa dari versi sebelum facelift) yang memacu roda hadapan.

    Bateri NMC versi facelift ini juga sedikit lebih besar dengan kapasiti 73.1 kWj berbanding 71.4 kWj sebelum ini, menawarkan jarak gerak 525 km dalam kitaran ujian WLTP bersama rim aloi 20-inci, berbanding hanya 436 km pada versi sebelumnya.

    Untuk mengecas, ia masih menyokong pengecas pantas DC sehingga 150 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari kadar 10% hingga 80% dalam masa 28 minit. Ia juga kini menerima pengecas AC sehingga 22 kW (hanya 6.6 kW sebelum ini) membolehkan cas dari 10-80% dipenuhkan dalam masa 2.2 jam.

    Toyota bZ4X facelift dilancar di Malaysia – RM220k, hanya FWD, 227 PS/269 Nm, jarak gerak 525 km WLTP

    Toyota bZ4X facelift ini masih menampilkan konfigurasi suspensi jenis topang McPherson di hdapan dan Double Wishbone di belakang. Namun ia menerima talaan semula terhadap suspensi dan pelarasan pada kerangka badan bagi memberikan bunyi dan getaran pada kadar lebih rendah untuk menambahbaik aspek keselesaan dan dinamik pemanduan.

    Kabin versi facelift ini juga lebih senyap kerana motor elektrik yang dibekalkan kini beroperasi dengan lebih senyap dan cermin tingkap hadapan kini sudah menggunakan kaca jenis akustik.

    Versi facelift ini menerima rekaan bahagian hadapan yang dirombak menampilkan muka ‘Jerung Hammerhead’ yang diberikan lampu nyalaan siang berbentuk-C, manakala lampu utama dialih ke kemasan tirai udara pada bampar hadapan. Pelindung-pelindung badan pada setiap perumah roda pula kini menerima kemasan hitam berkilat berbanding plastik hitam tanpa cat sebelum ini.

    Lima warna badan ditawarkan di mana dua daripadanya iaitu Attitude Black Mica dan Dark Blue Mica adalah warna standard, manakala pembeli yang mahukan warna badan Platinum White Pearl, Precious Metal dan Emotional Red II perlu menambah bayaran sebanyak RM800.

    Pada bahagian dalaman versi facelift ini diberikan papan pemuka yang turut direka semula, menampilkan skrin sesentuh utama 14-inci yang turut menempatkan sekali suis-suis fizikal bagi kawalan penghawa dingin. Skrin paparan instrumen pula masih kekal bersaiz tujuh-inci, namun ia kini diletakkan lebih tinggi ke atas. Konsol tengah juga dirombak semula yang kini menampilkan pad pengecas tanpa wayar Qi 15-watt.

    Kelengkapan standard lain yang dibekalkan termasuk sistem masuk tanpa kunci bersama butang penghidup sistem, tempat duduk hadapan dengan pengalir udara serta larasan elektrik lapan-hala, upholsteri kulit sintetik, sistem pendingin hawa dua zon dengan penghembus kabin belakang, penyegar udara Panasonic nanoe X, cermin pandang belakang digital, bumbung kaca panaromik, Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, enam pembesar suara, kamera 360-darjah, dashcam hadapan dan belakang serta pintu tailgate belakang operasi tanpa sentuhan.

    Untuk keselamtan pula, bZ4X pasaran Malaysia ini diberikan lapan beg udara, ESC dan fungsi penuh sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang merangkumi fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, bantuan kekal tengah lorong, pengurang kelajuan ketika melalui selekoh, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, AEB parkir, amaran buka pintu dan lampu tinggi adaptif.

    Risalah rasmi Toyota bZ4X 2026

     
     
  • Perkhidmatan ETS catat peningkatan penumpang 109%, tren Intercity 49% sepanjang Aidilfitri tahun ini

    Perkhidmatan ETS catat peningkatan penumpang 109%, tren Intercity 49% sepanjang Aidilfitri tahun ini

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa sepanjang tempoh operasi sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, perkhidmatan tren ETS mencatatkan jumlah keseluruhan 292,033 penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 109% berbanding tahun 2025. Lonjakan ini mencerminkan kepercayaan berterusan pengguna terhadap ETS sebagai pilihan utama bagi perjalanan jarak jauh yang lebih pantas, selesa dan efisien, khususnya dalam menghadapi peningkatan trafik semasa musim perayaan.

    Manakala perkhidmatan Intercity, iaitu Ekspres Rakyat Timuran (ERT) pula mencatatkan jumlah penumpang seramai 20,969 berbanding 14,039 penumpang pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 49%.

    Selain itu, tren Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA), iaitu perkhidmatan tren khas sempena hari raya yang menggunakan koc terpilih bagi laluan Pantai Timur dan Utara, merekodkan seramai 1,671 penumpang melalui enam perkhidmatan sepanjang tempoh tersebut.

    Menurut KTMB, keupayaan operasi pada tahun ini turut diperkukuh melalui penggunaan sepenuhnya set tren ETS3 baharu yang membolehkan peningkatan kapasiti tempat duduk serta meningkatkan keekapan operasi keseluruhan. Bagi menyokong permintaan tinggi sempena Aidilfitri, KTMB juga memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus khususnya bagi laluan KL Sentral – Ipoh, sekali gus membantu mengurangkan tekanan permintaan serta melancarkan aliran penumpang pada waktu puncak.

    Perkhidmatan ETS catat peningkatan penumpang 109%, tren Intercity 49% sepanjang Aidilfitri tahun ini

    “Secara keseluruhannya, sambutan pengguna terhadap perkhidmatan KTMB amat menggalakkan dengan sebanyak 314,673 tiket berjaya dijual, bersamaan 99.99% kadar pengisian tempat duduk sepanjang tempoh Aidilfitri kali ini. Ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap perkhidmatan rel sebagai pilihan utama rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri.

    Tambah beliau, “Dari aspek operasi, prestasi ketepatan masa (punctuality) ETS meningkat kepada 95%, berbanding 94% pada tahun sebelumnya. KTMB terus memberi penekanan kepada pemantauan operasi secara masa nyata, penyelenggaraan aset serta pelaksanaan langkah mitigasi bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil walaupun berdepan peningkatan pergerakan penumpang.”

    KTMB komited untuk terus mempertingkatkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan rel negara melalui penambahbaikan berterusan, pengukuhan keupayaan aset tren serta perancangan operasi yang lebih strategik, demi memberikan pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan lancar kepada seluruh rakyat Malaysia.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser EV 2026 di Malaysia — kembar Suzuki eVitara, jarak 426 km, CBU India; RM198k

    Toyota Urban Cruiser EV 2026 di Malaysia — kembar Suzuki eVitara, jarak 426 km, CBU India; RM198k

    Selain model elektrik Hilux BEV 2026 dan bZ4X EV 2026, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini turut melancarkan model SUV kompak segmen B, Toyota Urban Cruiser, yang merupakan kembar kepada Suzuki eVitara di pasaran lain. Ia dijual dengan harga RM198,000, atas jalan belum termasuk insuran.

    Dengan ukuran dimensi 4,285 mm panjang dan 1,800 mm lebar, saiz Toyota Urban Cruiser ini hampir menyamai saiz Mazda CX-3 (4,275 mm, 1,765 mm); model Toyota ini bagaimanapun 105 mm lebih tinggi. Berbanding SUV dalam segmen sama yang lain seperti Proton X50 dan Honda HR-V, ia lebih kecil tetapi dengan jarak roda yang lebih panjang, 2,700 mm (menghampiri SUV dalam segmen C, dengan radius pusingan 5.2 meter).

    Toyota Urban Cruiser EV 2026 di Malaysia — kembar Suzuki eVitara, jarak 426 km, CBU India; RM198k

    Dengan jarak roda yang lebih panjang ini, tempat duduk belakang Urban Cruiser boleh dilaras dan dilipat 40:20:40 – ciri unik dalam segmennya. Sebagai bandingan, saiz SUV EV BYD Atto 2 adalah 4,310 mm panjang, 1,830 mm lebar dan 1,675 mm tinggi, dengan jarak roda 2,620 mm.

    Rekaan luarannya terdiri daripada wajah depan “hammerhead” Toyota seperti yang dilihat pada model Prius dan Camry terkini, lengkung tayar yang menonjol, pemegang pintu belakang tersembunyi (seperti HR-V), bumbung “terapung” dan lampu LED belakang berkelebaran penuh dengan logo Toyota di bawahnya. Semua lampu adalah jenis LED, dan SUV ini menggunakan rim aloi dua-tona 18-inci dengan tayar MRF 225/55.

    Toyota Urban Cruiser EV 2026 di Malaysia — kembar Suzuki eVitara, jarak 426 km, CBU India; RM198k

    Untuk pasaran Malaysia, Urban Cruiser ditawarkan dalam satu varian dengan spesifikasi motor hadapan tunggal dengan 174 PS (128 kW) dan tork 193 Nm. Tenaganya dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 61.1 kWh 120-sel. Jarak WLTP yang boleh dicapai ialah 426 km, dan kadar pengecasan maksimum ialah 7 kW AC dan 125 kW DC – pengecasan pantas DC membolehkannya dicas dari SoC 15-80% dalam masa 50 minit. Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat.

    Kabinnya datang dengan gabungan warna coklat-hitam, dan dilengkapi skrin berkembar (paparan kluster panel 10.25-inci, dan paparan infotainment 10.1-inci). Ciri standard yang ada termasuk sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio JBL, lampu ambient (12-warna, tujuh tahap), bumbung kaca dengan pelindung dan balutan kerusi yang menggabungkan material oren dan kulit buatan warna coklat dengan kemasan gelap.

    Aspek keselamatan pula antara lain dilengkapi dengan fungsi ADAS penuh dan tujuh-beg udara. Untuk memudahkan masuk parkir, terdapat sistem kamera 360-darjah dengan pandangan dari atas 3D dan juga paras pandangan mata biasa. Empat pilihan warna tersedia untuk pelanggan — Pearl Arctic White, Land Breeze Green, Grandeur Grey dan Pearl Bluish Black.

    Toyota Urban Cruiser untuk pasaran Malaysia merupakan model CBU dari India, yang dibangunkan bersama dengan Suzuki eVitara. Ini adalah yang paling murah daripada tiga EV Toyota yang dilancarkan hari ini, dan RM22,000 lebih mampu milik berbanding Toyota bZ4X yang saiznya lebih besar. Sebuah lagi crossover elektrik kompak di Malaysia dalam lingkungan harga yang sama, iaitu Volvo EX30 CKD, yang dijual dengan harga dari RM208,888 hingga RM228,888.

    Toyota Urban Cruiser EV didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, sementara untuk bateri dan sistem EV-nya (bateri, inverter dan ECU) diberi jaminan lapan-tahun. Turut ditawarkan ialah lanjutan tempoh jaminan EV kepada 10-tahun dengan kos RM5,700 untuk lebih kelegaan fikiran pemiliknya.

    Toyota Urban Cruiser 2026

    Risalah rasmi Toyota Urban Cruiser 2026

     
     
  • Toyota Hilux EV 2026 dilancar di Malaysia — 59.2 kWh, 196 PS, 257 km jarak WLTP, CBU Thailand; RM226k

    Toyota Hilux EV 2026 dilancar di Malaysia — 59.2 kWh, 196 PS, 257 km jarak WLTP, CBU Thailand; RM226k

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini dengan secara rasmi telah memperkenalkan tiga model elektrik jenama itu untuk pasaran tempatan. Satu daripadanya ialah Toyota Hilux BEV, yang dijual dengan harga bermula RM226,300. Model ini merupakan unit CBU dari Thailand.

    Bahagian Toyota Hilux BEV menerapkan konsep “Cyber Sumo” dengan penampilan berbeza berbanding Hilux biasa. Ia memberi lebih penekanan terhadap kecekapan aerodinamik, wajah hadapan menggunakan rekaan gril lebih tertutup bagi menggantikan gril tradisional, serta rim aloi 17-inci juga unik untuk varian BEV.

    Ia juga dilengkapi dengan lampu utama projektor LED, lampu DRL dengan lapisan sekunder. Rekaan badannya juga kelihatan lebih berotot, terutama di bahagian lengkung tayar yang lebih bersegi — memberikan imej sebuah model elektrik yang khusus kepada Hilux. Hilux BEV ini mempunyai ukuran dimensi 5,320 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,865 mm tinggi dengan jarak roda 3,085 mm.

    Ruang kabin Hilux BEV datang dengan balutan kerusi campuran dengan kemasan lembut serta jahitan yang ketara. Kerusi pemandu diberikan larasan 10-arah, sementara untuk penumpang depan dengan larasan enam-arah.

    Skrin sentuh di tengah untuk infotainment bersaiz 12.3-inci, yang turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ini disertai oleh paparan 12.3-inci untuk bahagian kluster panel pemandu. Selain itu, ada juga ciri Electronic Parking Brake (EPB), serta pemilihan gear jenis shift-by-wire.

    Aplikasi Toyota Remote tersedia khusus untuk Hilux BEV, yang antara lain membolehkan pengguna untuk mengetahui maklumat seperti lokasi kenderaan dan pengedar terdekat, membuat temu janji servis dan juga bantuan kecemasan 24/7.

    Toyota Hilux EV 2026 dilancar di Malaysia — 59.2 kWh, 196 PS, 257 km jarak WLTP, CBU Thailand; RM226k

    Bagi sistem pacuan dan janaan kuasa, Hilux BEV dilengkapi dengan dua motor eAxle di gandar depan dan belakang yang menjadi pemacunya. Unit bahagian depan menghasilkan sebanyak 206 Nm tork, sementara bahagian belakang 267 Nm tork — dengan janaan kuasa sebanyak 144 kW (196 PS).

    Motor berkenaan mendapatkan tenaga daripada bateri lithium-ion 80-sel yang mempunyai kapasiti 59.2 kWh yang direka khusus untuk disepadukan dalam kerangka Hilux. Suhu bateri ini dikawal menggunakan penyejuk rintangan tinggi dan tahan lama, yang membantu melindunginya daripada hakisan dan ketahanan terhadap conductivity — ciri penting bagi sistem voltan tinggi.

    Untuk pengecasan, Hilux BEV terbaru ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, atau bekalan kuasa AC sehingga 10 kW. Pengecasan dari SoC 10% hingga 80% dengan pengecasan DC pada kadar 150 kW akan mengambil masa sekitar 30 minit, manakala dengan pengecasan AC pula memerlukan masa 6.5 jam untuk pengecasan SoC dari 10% hingga 100% (pada 10 kW). Dengan satu cas penuh, Hilux BEV mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 257 km (WLTP) — jarak penggunaan sebenar juga adalah tertakluk kepada keadaan penggunaan dan beban yang dibawa.

    Kedudukan bateri ini juga terletak di pusat graviti rendah, sekali gus membantu memberikan kestabilan kepada trak pikap elektrik ini. Ia juga terasing daripada bahagian kabin dan ruang barangan, dengan kerangkanya direka untuk menghalang risiko kerosakan bateri daripada daya putaran semasa bergerak di atas permukaan tanah yang tidak rata.

    Bateri tersebut juga dilindungi oleh penutup bawah yang kukuh serta terletak di dalam struktur kenderaan. Sisi kerangka telah diperkukuh dengan bahagian penyerap hentaman aluminium untuk memberikan perlindungan tambahan sekiranya berlaku perlanggaran.

    Ciri lain yang melengkapi Hilux HEV ialah Electric Power Steering (EPS) untuk tindak balas stereng yang lebih cekap dalam pelbagai situasi yang berbeza. Beban muatan yang boleh ditampung oleh trak EV ini pula ialah 750 kg — sama seperti model Hilux yang lain, tanpa sebarang pengurangan.

    Hilux EV ini juga diberikan tambahan titik silang untuk casis supaya lebih tegap dan kukuh, sementara titik silang lainnya diprofil semula. Suspensi belakang jenis leafspring de Dion yang lebih lasak kini digunakan bagi menggantikan jenis biasa.

    Trak pikap EV ini juga mempunyai kemampuan meredah air sedalam 700 mm. Jika ada keperluan khusus, tayar biasa yang didatangkan boleh ditukar kepada tayar off-road — walaupun ini akan memeberikan kesan tarhadap jarak perjalanan serta tahap NVH dalam kabin.

    Selain itu, Hilux BEV juga merupakan model pertama yang dilengkapi dengan Multi-Terrain Select (MTS), sebuah sistem elektronik 5-mod yang secara automatik akan menyesuaikan prestasi kenderaan dengan senario pemanduan off-road yang berbeza.

    Pemandu boleh memilih tetapan yang sesuai untuk permukaan yang berbeza seperti batu, pasir, lumpur, dirt, dan buat kali pertama untuk sebuah BEV, mod permukaan beralun (mod Mogul). Terdapat juga mod automatik yang membolehkan sistem menerima pakai tetapan yang paling sesuai, mengikut tingkah laku kenderaan dan input pemandu, dan beroperasi dengan cengkaman optimum.

    Bagi aspek keselamatan, Toyota Hilux BEV tidak ketinggalan: ia lengkap dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS). Sistem ADAS generasi ketiga ini antara lain terdiri daripada fungsi Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Auto High Beam. Selain itu, ciri Panoramic View Monitor juga adalah standard.

    Tiga warna badan ditawarkan untuk Hilux BEV: Ash, Platinum White Pearl (Premium) dan Super White 2 (Fleet/Basic). Toyota Hilux BEV didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km, yang mana dahulu. Baterinya pula diberikan jaminan berasingan selama lapan-tahun, tanpa had perbatuan, dengan pilihan untuk melanjutkannya kepada sembilan dan 10-tahun.

    Toyota Hilux HEV 2026

    Risalah rasmi Toyota Hilux HEV 2026

     
     
  • Jetour T2 – rebat RM2k pembeli terawal ditawarkan tambahan kepada 2,000 unit lagi; RM155,669 OTR

    Jetour T2 – rebat RM2k pembeli terawal ditawarkan tambahan kepada 2,000 unit lagi; RM155,669 OTR

    Ketika Jetour T2 dilancarkan ke pasaran tempatan bulan lalu, Jetour Malaysia ada menawarkan rebat tunai RM2,000 untuk 3,000 unit pertama yang didaftarkan, membolehkan harga atas jalan tanpa insuran SUV berkenaan menjadi RM155,669 berbanding harga asal RM157,669.

    Berita baik untuk mereka yang mungkin terlepas peluang untuk merebut rebat berkenaan, kini Jetour Malaysia membuka ‘peluang kedua’ dengan menawarkan rebat tunai yang sama bagi tambahan 2,000 unit lagi T2. Ini menjadikan secara keseluruhan sebanyak 5,000 unit Jetour T2 terawal yang didaftar di Malaysia menerima rebat istimewa tersebut.

    Jetour T2 merupakan SUV yang diasaskan dari casis unibody tetapi didakwa dapat memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang baik. Ia hadir dengan rekaan yang lasak di mana dari hadapan T2 kelihatan seperti Ford Bronco Sport, manakala dari sisi dan belakang ia tampil dengan rupa ‘diinspirasikan’ dari Land Rover Defender.

    Ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm, kemudian dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Jetour T2 – rebat RM2k pembeli terawal ditawarkan tambahan kepada 2,000 unit lagi; RM155,669 OTR

    Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ ketika meredah laluan off-road.

    T2 hanya ditawarkan dalam satu varian di Malaysia, menampilkan perincian-perincian seperti skrin infotainmen yang diletakkan ‘terapung’ bersaiz 15.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.25-inci, sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan dengan fungsi aliran udara, larasan kuasa (pemandu enam hala dengan fungsi memori dan penumpang empat hala), pendingin hawa dua zon dengan penghembus udara kabin belakang, lampu suasana kabin, bumbung kaca panoramik dan sistem kamera 360-darjah.

    Untuk keselamatan Jetour T2 pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian SUV ini diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.

     
     
  • Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition dilancar di Malaysia – warna badan hitam Matte, RM117,200

    Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition dilancar di Malaysia – warna badan hitam Matte, RM117,200

    Jetour Malaysia memperkenalkan model edisi terhad untuk SUV segmen-C Jetour Dashing yang diberi nama sebagai Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition. Model ini diasaskan dari Dashing varian tertinggi iaitu Dashing Prime, kemudian diberikan perincian-perincian dengan tema gelap pada bahagian luaran bagi memberikan rupa yang lebih garang.

    Paling menyerlah adalah warna badan model edisi terhad ini sendiri yang diberikan warna hitam matte. Ia diikuti dengan perincian lain termasuk emblem ‘Jetour’ dan ‘Dashing’ di hadapan dan belakang yang turut digelapkan, bersama rim aloi 19-inci ‘Phantom’ juga diberikan kemasan hitam. Untuk nampak lebih agresif, kesemua angkup brek diberikan serlahan kontra dengan kemasan merah menyala.

    Selain dari itu, perincian lain adalah sama dengan Dashing Prime biasa. Ia termasuk lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang LED, pintu but bukaan kuasa, sistem kunci pintar, penghidup enjin jarak jauh, upholsteri balutan kulit, tempat duduk hadapan larasan elektrik (pemandu enam arah, penumpang empat arah), panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh 10.25 inci untuk infotainmen dengan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa automatik dengan corong udara di belakang, pad pengecas 50W tanpa wayar, empat soket USB, bumbung panoramik, lampu suasana, enam pembesar suara, cermin sisi boleh lipat automatik dan pengelap cermin dengan penderia hujan.

    Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition dilancar di Malaysia – warna badan hitam Matte, RM117,200

    Juga tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana model edisi terhad ini masih dijana oleh enjin petrol empat-silinder 1.5 liter turbo berkuasa 156 PS (154 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Tiga mod pemanduan disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini yang boleh dipilih pemandu mengikut situasi.

    Untuk keselamatan pula Dashing Dark Warrior Limited Edition ini dibekalkan dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak ISOFIX, amaran lebih had laju dan empat pengesan undur. Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termasuk bantuan pemerhati parkir 360 darjah, paparan bawah badan 180 darjah, bantuan tukar lorong, pemantau titik buta, amaran tukar lorong dan amaran lintasan trafik belakang.

    Jetour Dashing Dark Warrior Limited Edition pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM117,200, atau sama dengan harga Dashing Prime biasa ketika ia dilancarkan di Malaysia tahun lalu. Setiap pembelian model ini diberikan waranti kenderaan selama tujuh-tahun/150,000 km, waranti enjin selama 10-tahun atau 1,000,000 km dan servis percuma sebanyak lima-kali yang merangkumi kos upah dan alat ganti.

     
     
  • Perodua sambut baik penjelasan dan komitmen MITI terhadap pembangunan industri automotif Malaysia

    Perodua sambut baik penjelasan dan komitmen MITI terhadap pembangunan industri automotif Malaysia

    Susulan kenyataaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menegaskan dasar pelaburan dan sektor automotif negara sebagai respons terhadap kekeliruan berkenaan pelaburan CKD BYD yang timbul awal minggu ini, Perodua hari ini menyatakan bahawa ia menyambut baik penjelasan berkenaan pendirian kerajaan tersebut terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) dan tujuan dasar berkenaan diperkenalkan iaitu untuk menggalakkan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada negara.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pembuat automotif nasional dari Rawang itu, ia menyatakan bahawa dengan adanya panduan yang selari dengan NAP, ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh dan boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan, seterusnya memberi kebaikan kepada semua pihak yang berkepentingan. Ia termasuklah membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan.

    “Menerusi visi ‘Next Generation Vehicle (NxGV)’ yang digariskan di dalam NAP, rakyat Malaysia berpeluang menikmati nilai dan inovasi yang lebih hebat dalam aspek mobiliti yang mana ia boleh mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat di negara ini.

    “Antara manfaatnya termasuklah tawaran perkhidmatan lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan oleh pemain industri, perkhidmatan mobiliti tambahan seperti aspek keselamatan yang dipertingkat serta integrasi mudah alih yang berasaskan teknologi Internet.

    Perodua sambut baik penjelasan dan komitmen MITI terhadap pembangunan industri automotif Malaysia

    “Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada yang digariskan oleh MITI berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif. Pujian harus diberikan kepada MITI di atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak,” tambah Perodua dalam kenyataan tersebut.

    Dalam perkembangan yang sama Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA) turut mengeluarkan kenyataan masing-masing hari ini bagi menyokong pendirian kerajaan tersebut. P2SA, yang mewakili rangkaian pengeluar komponen automotif tempatan yang luas, menyatakan sokongan penuhnya terhadap kenyataan MITI berkenaan syarat-syarat yang ditetapkan untuk pemain CKD baharu.

    Persatuan itu juga menyatakan bahawa dengan menerapkan syarat pemasangan volum tinggi secara konsisten merentasi semua jenama, tanpa mengira negara asal mereka, kementerian dapat memastikan pertumbuhan sektor kenderaan elektrik (EV) tidak menjejaskan ekosistem tempatan sedia ada.

    Perodua sambut baik penjelasan dan komitmen MITI terhadap pembangunan industri automotif Malaysia

    Menurut P2SA lagi pendirian MITI tersebut akan melindungi pelaburan syarikat yang telah dicurahkan ke dalam kapasiti dan teknologi perindustrian tempatan selama bertahun-tahun, sambil menggalakkan pemain baharu untuk berintegrasi dengan pembekal Malaysia. Ia menambah bahawa pendekatan itu akan memastikan ‘pemasangan tempatan’ diterjemahkan kepada limpahan ekonomi bernilai tinggi yang tulen untuk rakyat Malaysia, bukan sekadar proses sentuhan terakhir.

    Persatuan itu turut berkata bahawa ia kekal komited untuk berkembang seiring dengan NAP dan bersedia untuk menyediakan komponen dan kepakaran yang diperlukan untuk menyokong perjalanan negara ke arah mobiliti lestari, dengan ahlinya bersedia dan bersemangat untuk menerima peralihan kepada e-mobiliti.

    Manakala untuk PDA, ia berterima kasih kepada MITI kerana terus menjalin kerjasama rapat dengan persatuan itu dalam membangunkan dan mengembangkan sektor automotif dan komitmennya ke arah memastikan pertubuan perniagaan dalam negara. Persatuan itu juga menyatakan bahawa kepercayaan yang ditunjukkan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia telah membolehkan ahlinya melabur semula ke dalam negara melalui program pengembangan perniagaan dan tanggungjawab sosial.

     
     
  • Harga minyak 2-8 April – RON97 turun 20 sen seliter jadi RM4.95, diesel naik 50 sen seliter jadi RM6.02

    Harga minyak 2-8 April – RON97 turun 20 sen seliter jadi RM4.95, diesel naik 50 sen seliter jadi RM6.02

    Krisis tenaga global yang masih berlarutan telah mendorong lonjakan harga minyaknmentah Brent global melebihi 40%, sehingga melepasi paras AS$100 setong. Lebih kritikal, harga minyak yang diproses (refined product) bagi petrol dan diesel juga melambung tinggi masing-masing pada harga AS$150 setong dan AS$250 setong, sekali gus memberi tekanan kepada harga jualan runcit bagi kedua-dua produk berkenaan.

    Walau bagaimana pun, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa untuk tempoh 2 hingga 8 April 2026, harga runcit bagi petrol RON97 diturunkan 20 sen seliter, menjadi RM4.95 seliter.

    Bagi RON95 tanpa subsidi pula, ia masih dikekalkan pada RM3.87 seliter seperti mana minggu sebelum ini. Begitu juga RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.

    Manakala diesel untuk semenanjung Malaysia pula mengalami kenaikan sebanyak 50 sen, menjadi RM6.02 seliter. Namun diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Harga minyak 2-8 April – RON97 turun 20 sen seliter jadi RM4.95, diesel naik 50 sen seliter jadi RM6.02

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, mulai hari ini (1 April), had kelayakan Budi95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan. Kerajaan berkata pelarasan ini merupakan langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

    Selain itu, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan iaitu maksimum 50 liter setiap pembelian bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian, maksimum 100 liter setiap pembelian bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan serta maksimum 150 liter setiap pembelian untuk kenderaan melebihi tiga tan.

    “Sebagai langkah interim susulan kenaikan harga diesel, Kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan Budi Diesel sebanyak RM100 pada bulan April, menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi.

    “Selain langkah interim ini, Kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan mekanisme subsidi kekal mampan, telus dan memanfaatkan rakyat, dengan mengambil kira perkembangan semasa krisis tenaga global serta implikasi terhadap pasaran tenaga global,” kata MOF menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026