Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kerja tebatan banjir di LPT1 akan dilaksanakan mulai 1 April 2026, melibatkan KM116-KM117 arah timur

    Kerja tebatan banjir di LPT1 akan dilaksanakan mulai 1 April 2026, melibatkan KM116-KM117 arah timur

    AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) memaklumkan bahawa kerja-kerja tebatan banjir (Pakej 1A) akan dilaksanakan di lebuhraya berkenaan mulai esok, 1 April 2026. Ia melibatkan jajaran di KM116-KM117 (arah timur), dengan laluan lencongan turut dibuka bagi memastikan aliran trafik kekal lancar.

    Menurut syarikat konsesi terbabit, kerja-kerja projek akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan pengguna lebuhraya serta kelancaran aliran trafik. Antara yang dijangka di laluan ini termasuk perubahan arah, penggabungan lorong, pengurangan had laju di kawasan tertentu, serta kemungkinan kesesakan pada waktu puncak.

    Justeru, pelan pengurusan trafik yang akan dilaksanakan telah melalui penilaian teknikal yang menyeluruh termasuk audit keselamatan jalan raya serta pengesahan yang telah disemak dan diluluskan melalui Road Safety Audit (RSA). Di mana pelan terbabit juga mengambil kira aspek mitigasi risiko sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan jangka panjang, khususnya di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir, kata syarikat terbabit lagi.

    Kerja tebatan banjir di LPT1 akan dilaksanakan mulai 1 April 2026, melibatkan KM116-KM117 arah timur

    Bagi pengguna LPT1 yang melalui lokasi terlibat, anda dinasihati agar mematuhi isyarat papan tanda dan semua arahan trafik yang telah disediakan supaya perjalanan lancar serta keselamatan dapat diutamakan. Dalam masa yang sama, tingkatkan fokus pemanduan, kekal peka dan memandu dengan lebih berhati-hati.

    Pada Julai 2023, Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir untuk dilaksanakan dengan kadar segera di 14 lokasi sepanjang jajaran LPT1. Projek tebatan banjir yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM200 juta ini bertujuan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang di lokasi terbabit.

    “Sebanyak 10 lokasi banjir telah dikenalpasti iaitu di KM 84.7, KM 112, KM 113, KM 114, KM 115, KM 116, KM 117, KM 124, KM 126 dan KM 198. Manakala empat lagi lokasi berisiko dinaiki air juga telah dikenalpasti iaitu di KM 156, KM 178, KM 242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor,” katanya.

     
     
  • Cadang wajibkan pesalah mabuk, bawah pengaruh dadah bayar gantirugi kepada keluarga mangsa – Loke

    Cadang wajibkan pesalah mabuk, bawah pengaruh dadah bayar gantirugi kepada keluarga mangsa – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara yang dikenakan, laporan Bernama.

    Menterinya, Anthony Loke, berkata langkah ini selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

    “Pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020,” katanya yang turut menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

    Tambah beliau, MOT memandang serius kejadian nyawa terkorban angkara pemandu bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, malah kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

    Cadang wajibkan pesalah mabuk, bawah pengaruh dadah bayar gantirugi kepada keluarga mangsa – Loke

    Menurut Akta 333 mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan.

    Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

    “Justeru, MOT menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyegerakan siasatan kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Klang kelmarin secara menyeluruh agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan, seterusnya berharap agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat terhadap pesalah sekiranya didapati bersalah,” katanya.

    Kelmarin, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, kereta jenis Honda City berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan. Perlanggaran itu menyebabkan Allahyarham Amirul Hafiz Omar tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia. Hasil ujian saringan mendapati pemandu Honda City itu positif alkohol serta dadah.

     
     
  • JPJ buka penjualan baki nombor pendaftaran istimewa FH mulai 1 April 2026 menerusi portal MySikap

    Jika ada yang terlepas peluang untuk membida siri nombor pendaftaran istimewa (NPI) FH yang dibuka bidaan pada awal Februari lalu, kini anda boleh mendapatkan baki nombor yang ada mulai esok (1 April). Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, baki penjualan nombor pendaftaran FH ini akan dibuka menerusi portal MySikap.

    Siri FH ini adalah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2026, yang dibuka bidaan dari 1 hingga 5 Februari lalu. Bidaannyamengikut harga yang ditetapkan iaitu nombor bernilai utama (golden) bermula RM20,000, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (attractive) RM 2,500, nombor popular (RM500) dan nombor biasa (running) pula dari RM300.

    Sebelum ini, baki nombor plat hanya dibuka untuk jualan menerusi ibu pejabat JPJ di Putrajaya atau cawangan negeri, namun kini ia dijual secara dalam talian menerusi portal MySikap.

    Selepas anda log masuk, pergi ke bahagian “kenderaan” dan cari “tempahan nombor pendaftaran”. Kemudian, pilih “nombor pendaftaran istimewa” daripada bahagian menu dan pilih siri/nombor anda. Anda boleh membuat bayaran menggunakan kad kredit atau FPX dan tekan “cetak” untuk resit anda. Klik pada grafik di atas untuk gambaran yang lebih jelas. Jualan dalam talian bermula esok dan ia berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.

     
     
  • Kad kredit/debit luar tidak akan diterima di pam minyak bermula 1 April 2026 bagi elak ketirisan RON 95

    Kad kredit/debit luar tidak akan diterima di pam minyak bermula 1 April 2026 bagi elak ketirisan RON 95

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan bahawa penggunaan kad kredit dan debit asing untuk pembelian petrol RON 95 di stesen minyak seluruh negara akan mula disekat secara berperingkat bermula Rabu, 1 April 2026.

    Langkah ini diperkenalkan bagi mengekang kenderaan pendaftaran asing daripada mengisi RON 95 di pam layan diri menggunakan kad antarabangsa, satu situasi yang dilaporkan kerap berlaku sebelum ini. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada mekanisme kawalan bagi memastikan bahan api bersubsidi tersebut hanya dinikmati oleh pihak yang layak.

    Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, sistem baru yang akan dilaksanakan mampu menapis transaksi secara automatik selepas tarikh tersebut. Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ini bukan sahaja membantu menghalang akses kepada pengguna tidak layak, malah turut mengurangkan beban operasi yang ditanggung oleh pengusaha stesen minyak.

    Kad kredit/debit luar tidak akan diterima di pam minyak bermula 1 April 2026 bagi elak ketirisan RON 95

    Meskipun penggunaan kad asing masih dibenarkan, transaksi hanya boleh dilakukan di kaunter dan tidak lagi di pam layan diri. Bagi kenderaan dengan pendaftaran luar negara pula, mereka hanya dibenarkan menggunakan petrol RON 97.

    Tambah beliau, pelaksanaan langkah ini akan memudahkan pemantauan oleh pengusaha stesen minyak serta pihak penguat kuasa, di samping memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada. Beberapa syarikat minyak dilaporkan telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem ini, manakala selebihnya akan melaksanakannya secara berperingkat.

     
     
  • Harga EV Toyota yang bakal dilancar di M’sia tersebar

    Harga EV Toyota yang bakal dilancar di M’sia tersebar

    Teka-teki mengenai model kenderaan elektrik (EV) baru oleh UMW Toyota Motor (UMWT) nampaknya semakin terjawab apabila senarai harga bagi tiga model yang sebelum ini disiarkan dalam teaser telah tersebar dalam media sosial.

    Tiga model tersebut terdiri daripada Toyota Urban Cruiser EV, Toyota Hilux BEV dan Toyota bZ4X facelift. Antara yang paling mendapat perhatian ialah bZ4X versi facelift yang kini sedang dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026. Di Thailand, model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda hadapan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD), dengan harga bermula sekitar RM185,000 hingga RM200,000 selepas penukaran mata wang.

    Bagi pasaran Malaysia, senarai harga yang terdedah menunjukkan varian dengan kuasa 167 kW atau 227 PS, menandakan penggunaan motor tunggal dengan konfigurasi FWD. Model ini dikatakan bakal ditawarkan pada harga sekitar RM220,000 atas jalan tanpa insurans.

    Harga EV Toyota yang bakal dilancar di M’sia tersebar

    Ia turut hadir dengan jaminan kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan serta jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan untuk bateri, inverter dan unit kawalan elektronik (ECU) EV. Pembeli juga diberi pilihan untuk melanjutkan jaminan komponen EV ini selama dua tahun dengan bayaran RM5,700.

    Sementara itu, model pikap elektrik Toyota Hilux BEV yang turut dikenali sebagai Hilux Travo-e di Thailand disenaraikan pada harga sekitar RM226,300 atas jalan tanpa insurans. Spesifikasi yang didedahkan menunjukkan kuasa gabungan 144 kW atau 196 PS hasil penggunaan dua motor, masing-masing di bahagian hadapan dan belakang.

    Ia menggunakan bateri berkapasiti 59.2 kWh yang memberikan jarak pemanduan sekitar 240 km mengikut piawaian WLTP, serta menyokong pengecasan pantas DC sehingga 125 kW dan AC sehingga 11 kW. Seperti bZ4X, model ini turut dilengkapi pakej jaminan yang sama termasuk pilihan waranti lanjutan.

    Melengkapkan senarai ialah Toyota Urban Cruiser EV, sebuah SUV elektrik kompak yang juga merupakan model kembar kepada Suzuki eVitara. Model ini disenaraikan pada harga sekitar RM198,000 dan dijana oleh motor tunggal pacuan hadapan dengan kuasa 128 kW atau 174 PS.

    Ia menggunakan bateri berkapasiti 61 kWh dan turut menerima pakej jaminan yang sama seperti dua model lain, termasuk pilihan lanjutan perlindungan selama dua tahun tambahan. Dengan kemunculan senarai harga bagi ketiga-tiga model EV ini, pelancaran rasmi di pasaran Malaysia dijangka bakal berlangsung dalam masa terdekat.

    Toyota bZ4X facelift di Bangkok Motor Show 2026

    Toyota Hilux Travo-e di Bangkok Motor Show 2026

    Toyota Urban Cruiser di GIIAS 2025

     
     
  • Proton Saga MC3 – RM1,200 untuk lanjutan waranti bahagian enjin, transmisi tertentu dua tahun/50,000 km

    Proton Saga MC3 – RM1,200 untuk lanjutan waranti bahagian enjin, transmisi tertentu dua tahun/50,000 km

    Bagi anda yang bercadang untuk membeli Proton Saga MC3 2026 baru, terdapat satu pilihan tambahan yang mungkin menarik untuk dipertimbangkan. Proton kini menawarkan lanjutan waranti khas melibatkan komponen terpilih enjin dan transmisi.

    Melalui bayaran tambahan sebanyak RM1,200, pembeli akan menikmati perlindungan lebih lama, menjadikan jumlah keseluruhan waranti meningkat daripada lima tahun atau 150,000 kilometer kepada tujuh tahun atau 200,000 kilometer (untuk bahagia tertentu). Lanjutan ini khusus meliputi komponen tertentu dalam enjin dan transmisi, sekaligus memberikan ketenangan minda kepada pemilik dalam tempoh penggunaan jangka panjang.

    Proton Saga MC3 – RM1,200 untuk lanjutan waranti bahagian enjin, transmisi tertentu dua tahun/50,000 km

    Walaubagaimanapun, Proton menegaskan bahawa tawaran ini hanya sah untuk pembelian kenderaan baru sahaja. Ini bermakna pemilik Proton Saga MC3 sedia ada tidak layak untuk mendapatkan pakej lanjutan waranti tersebut.

    Dalam masa yang sama, pemilik yang memilih untuk mendapatkan perlindungan tambahan ini perlu memastikan kenderaan mereka diselenggara di pusat servis rasmi Proton sepanjang tempoh lanjutan berkenaan bagi memastikan waranti kekal sah.

     
     
  • Toyota bZ4X, Hilux EV dan Urban Cruiser EV dalam teaser — model EV Toyota bakal tiba di Malaysia!

    Toyota bZ4X, Hilux EV dan Urban Cruiser EV dalam teaser — model EV Toyota bakal tiba di Malaysia!

    Akhirnya, model-model Toyota EV kelihatan seperti makin hampir untuk memasuki pasaran Malaysia secara rasmi. Seperti dilihat dalam iklan teaser yang dikongsikan ini, jelas boleh dikenali tiga model yang ditunjuk itu: bZ4X, Hilux baru (kini dengan versi EV), dan Urban Cruiser.

    Toyota bZ4X 2026 baru saja membuat penampilan di Bangkok, dan ditawarkan dalam dua varian — FWD dengan harga 1.529 juta baht (RM185k) dan AWD dengan harga 1.649 juta baht (RM200k). Versi FWD datang dengan motor tunggal yang menjana 224 PS dan 269 Nm tork. Versi AWD pula dengan tambahan satu motor di belakang dengan janaan 118 PS/170 Nm, menjadikan janaan gabungannya 343 PS. Kedua-duanya menggunakan bateri lithium-ion 73.1 kWh (525 km WLTP bagi FWD, 481 km WLTP bagi AWD), dan pengecasan 150 kW DC (10-80% dalam 28 minit) dan 22 kW AC.

    Kemudian ada pula trak pikap EV, Toyota Hilux Travo-e dengan harga 1.491 juta baht (RM180k), hanya satu varian di Thailand — double-cab, 112 PS/205 Nm motor depan + 176 PS/268 Nm motor belakang (196 PS gabungan), bateri 59.2 kWh (240 km WLTP), dengan kadar pengecasan 125 kW DC dan 11 kW AC. Ia masih menggunakan platform IMV, namun yang telah diberikan ketahanan tambahan, kendalian lebih baik dan kurang gegaran.

    Urban Cruiser EV pula adalah kembar kepada Suzuki eVitara (juga dijangka tiba di pasaran Malaysia), dengan saiznya berada di antara bZ4X dan Yaris Cross. Pasaran Indonesia sebelum ini menerima tiga varian — FWD dengan motor tunggal 144 PS/189 Nm di depan dengan bateri 49 kWh; FWD dengan motor tunggal (174 PS/189 Nm) dengan bateri 61 kWh; serta AWD dengan dua motor (184 PS/300 Nm) dengan bateri 61 kWh.

    Bersedia untuk model-model EV daripada Toyota ini untuk pasaran tempatan?

    Toyota bZ4X di Bangkok Motor Show 2026

    Toyota Hilux Travo-e di Bangkok Motor Show 2026

    Toyota Urban Cruiser di GIIAS 2025

     
     
  • Hyundai Stargazer 2026 di Bangkok — MPV 1.5L segmen B, dari RM88k di Thailand; tiba di Malaysia Q4

    Hyundai Stargazer 2026 di Bangkok — MPV 1.5L segmen B, dari RM88k di Thailand; tiba di Malaysia Q4

    Hyundai Stargazer facelift 2026 kini dilancarkan di Thailand selepas membuat penampilan awal di Indonesia pada Julai tahun lalu. MPV segmen B berkenaan ditawarkan dalam dua varian, Trend dan Smart, dengan harga bermula 719,000 baht (RM87,626) hingga 799,000 baht (RM97,376). Model tiga baris tempat duduk ini juga disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini.

    Dari segi janaan kuasa, Stargazer facelift menggunakan enjin petrol 1.5 liter Smartstream MPI tanpa turbo yang menghasilkan 113 hp pada 6,300 rpm dan 144 Nm pada 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda melalui transmisi pintar IVT (Intelligent Variable Transmission), yang menggunakan rantai berbanding tali sawat seperti CVT konvensional.

    Untuk dimensi, Stargazer berukuran 4,575 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,695 mm tinggi dengan jarak roda 2,780 mm. Saiz ini menjadikannya lebih besar berbanding Perodua Alza, dengan 150 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar. Ia menggunakan rim 16 inci dengan tayar 205/55R16, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang. Berat kenderaan adalah sekitar 1,280 kg dengan kapasiti tangki bahan api 40 liter.

    Hyundai Stargazer 2026 di Bangkok — MPV 1.5L segmen B, dari RM88k di Thailand; tiba di Malaysia Q4

    Dari segi luaran, ia lengkap dengan lampu utama halogen automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu isyarat LED pada cermin sisi boleh laras dan lipat kuasa serta lampu belakang LED. Rekaan keseluruhan mengekalkan identiti moden dengan sentuhan praktikal untuk kegunaan keluarga.

    Ruang kargo juga fleksibel, dengan kapasiti 185 liter apabila semua tempat duduk digunakan. Apabila barisan ketiga dilipat, ruang meningkat kepada 585 liter, manakala kapasiti maksimum mencecah 1,892 liter.

    Di dalam kabin, sistem infotainmen menggunakan skrin sentuh lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Pemandu turut mendapat paparan digital, manakala sambungan peranti merangkumi dua soket 12 volt untuk kedua-dua varian. Dari segi port USB-C, varian Trend menyediakan satu port, sementara varian Smart menawarkan tiga port.

    Hyundai Stargazer 2026 di Bangkok — MPV 1.5L segmen B, dari RM88k di Thailand; tiba di Malaysia Q4

    Konfigurasi tempat duduk barisan kedua menggunakan dua kerusi kapten, lengkap dengan meja lipat untuk penumpang sebelah kiri. Ciri kemudahan lain termasuk kemasukan tanpa kunci, brek parkir elektrik, corong pendingin hawa belakang dengan kawalan sendiri serta empat mod pemanduan.

    Bagi aspek keselamatan, varian Smart dilengkapi pakej bantuan pemandu yang lebih menyeluruh. Ini termasuk kawalan jelajah pintar dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pengelakan pelanggaran hadapan dengan sokongan simpang, bantuan kekal lorong, amaran titik buta, bantuan elak pelanggaran lintasan belakang, amaran keluar selamat, bantuan lampu tinggi, amaran keletihan pemandu, amaran kenderaan hadapan bergerak serta amaran penumpang belakang.

    Pilihan warna yang ditawarkan di Thailand termasuk Midnight Black Pearl, Titan Grey Metallic dan Creamy White Pearl. Dengan harga antara 719,000 hingga 799,000 baht, Hyundai Stargazer facelift 2026 bakal bersaing dengan model seperti Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander apabila tiba di pasaran Malaysia kelak

     
     
  • BYD Malaysia hentikan rancangan CKD — MITI tetapkan harga minimum RM200k seunit, 80% eksport

    BYD Malaysia hentikan rancangan CKD — MITI tetapkan harga minimum RM200k seunit, 80% eksport

    Pada Ogos tahun lalu, BYD Malaysia mengesahkan rancangan syarikat itu untuk mendirikan kilang pemasangan tempatan di Tanjong Malim, Perak. Namun, tiada kemaskini terhadap perkembangan tersebut yang kedengaran selepas itu, walaupun pengeluarannya dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini. Mengapa?

    The Edge melaporkan, nasib kilang yang sepatutnya didanai sepenuhnya oleh BYD itu kini tergantung, kerana syarikat China itu dikatakan sedang menilai semula rancangan tersebut. Sebabnya? Menurut laporan berkenaan, mereka tidak bersetuju dengan terma yang ditetapkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai sebahagian daripada syarat.

    Difahamkan, syarat yang tidak dapat dipenuhi oleh BYD itu adalah berkaitan keperluan untuk BYD mengeksport sebanyak 80% daripada jumlah kenderaan yang dikeluarkan di Tanjong Malim, dan 20% lagi adalah untuk kenderaan yang dijual dengan harga RM200,000 seunit bagi pasaran tempatan.

    “Syarat tersebut tidak dapat dipersetujui oleh mereka,” jelas Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kepada The Edge dalam satu perbualan ringkas telefon.

    BYD Malaysia hentikan rancangan CKD — MITI tetapkan harga minimum RM200k seunit, 80% eksport

    Beliau menambah, ada keperluan untuk melindungi industri automotif tempatan, yang telah menyediakan sebanyak 700,000 peluang pekerjaan kepada warga. “Perlu juga diingat bahawa Proton dan Perodua mempunyai 50% kandungan tempatan dalam kenderaan mereka, dan Proton menjual sekitar 150,000 unit setahun, sementara Perodua menjual sekitar 350,000 unit setahun. Ini angka jualan yang besar, dan kedua-dua syarikat ini membangunkan sebahagian besar ekosistem sedia ada untuk industri automatif di Malaysia. ”

    Ditanya sama ada rancangan Chery Malaysia untuk melabur sebanyak RM2.2 bilion untuk kilang pemasangan Smart Auto Industrial Park di Hulu Selangor akan diteruskan atau tidak, Johari menjelaskan bahawa perjanjian tersebut telah pun dimuktamadkan, maka ia kekal diteruskan.

    Laporan berkenaan juga menyatakan, tidak pasti bagaimana perkembangan ini akan memberi kesan kepada beberapa lagi pengeluar kenderaan China seperti Zeekr dan Xpeng, yang diketahui mempunyai rancangan untuk memulakan aktiviti pemasangan tempatan untuk EV mereka pada tahun 2026, susulan berakhirnya tempoh pengecualian cukai untuk EV CBU pada penghujung 2025.

    Kerajaan juga telah memperkenalkan harga minimum baru sebanyak RM250,000 untuk EV CBU, yang tidak hanya meliputi jenama yang baru masuk ke pasaran tempatan, tetapi juga model baru dari jenama sedia ada. Ini membuatkan pengeluar perlu mempunyai perancangan untuk CKD. Ini melibatkan perbezaan harga sebanyak RM50k berdasarkan harga minimum RM200k yang ditetapkan untuk EV CKD sebelumnya.

     
     
  • Toyota bZ4X facelift 2026 ditunjuk di Bangkok — dua varian, hingga 525 km WLTP; dari RM185k di Thailand

    Toyota bZ4X facelift 2026 ditunjuk di Bangkok — dua varian, hingga 525 km WLTP; dari RM185k di Thailand

    Toyota bZ4X facelift 2026 telah dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026, selepas membuat kemunculan global sekitar setahun lalu, dan dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Model crossover elektrik ini menjadi antara tarikan utama jenama Jepun tersebut di acara berkenaan.

    Menurut Toyota Thailand, bZ4X facelift ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda hadapan (FWD) dengan harga 1,529,000 baht (RM185,468) dan pacuan semua roda (AWD) pada 1,649,000 baht (RM200,024).

    Varian FWD dilengkapi satu motor elektrik di hadapan dan menghasilkan sebanyak 224 PS dan 269 Nm. Sementara itu, varian AWD menggunakan konfigurasi dua motor, menggabungkan motor hadapan yang sama dengan tambahan motor belakang berkuasa 118 PS dan 170 Nm, menjadikan jumlah output keseluruhan mencecah 343 PS.

    Toyota bZ4X facelift 2026 ditunjuk di Bangkok — dua varian, hingga 525 km WLTP; dari RM185k di Thailand

    Kedua-dua varian menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 73.1 kWh. Untuk jarak pemanduan, versi FWD mampu mencapai sehingga 600 km mengikut kitaran NEDC atau sekitar 525 km WLTP, manakala versi AWD menawarkan sehingga 570 km NEDC atau 481 km WLTP. Dari segi pengecasan, kedua-duanya menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, yang membolehkan pengecasan dari 10% ke 80% dicapai dalam masa sekitar 28 minit.

    Di bahagian dalam, model ini hadir dengan kemasan kulit sintetik, tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa lapan arah serta memori untuk pemandu, tingkap kuasa automatik dengan fungsi anti-pinch, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang mula enjin. Turut disediakan ialah paddle shifter untuk kawalan brek regeneratif, paparan instrumen pemandu tujuh inci serta skrin infotainmen bersaiz 14 inci.

    Sistem infotainmen menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, lengkap dengan sistem audio enam-pembesar suara bagi varian FWD dan sembilan-pembesar suara untuk AWD. Kemudahan lain termasuk satu port USB-A, tiga USB-C, soket 12-volt, dua pengecas telefon tanpa wayar, pendingin hawa dua zon dengan corong belakang serta lampu ambient kabin dengan 64 pilihan warna.

    Toyota bZ4X facelift 2026 ditunjuk di Bangkok — dua varian, hingga 525 km WLTP; dari RM185k di Thailand

    Dari segi keselamatan, bZ4X facelift dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu seperti pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan keluar selamat dan sistem bantuan parkir dengan brek automatik. Ia turut disertakan pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem pra-perlanggaran dengan brek automatik, kawalan jelajah radar dinamik semua kelajuan, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi pengurangan kelajuan ketika selekoh, kawalan lampu tinggi automatik, amaran keluar lorong serta bantuan pengesanan lorong.

    Ciri keselamatan aktif lain termasuk ABS, EBD, bantuan brek, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki serta lapan beg udara yang meliputi bahagian hadapan, sisi, tengah hadapan, lutut pemandu dan tirai.

    Untuk pasaran Thailand, pilihan warna yang ditawarkan termasuk Attitude Black Mica, Precious Metal dan Platinum White Pearl, dengan beberapa pilihan turut tersedia dalam kombinasi dua tona bersama bumbung hitam. Giliran Malaysia pula bila?

     
     
  • Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS?

    Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS?

    Selepas sekian lama mengasingkan diri daripada segmen kenderaan pacuan empat roda (4×4) pseudo-lasak yang kini dikuasai jenama China, Geely akhirnya tampil menyertai persaingan menerusi model baru yang dinamakan Geely Galaxy Battleship 700. Pernah diperlihatkan sebagai model konsep Galaxy Cruiser di acara Auto Shanghai tahun lalu, model ini dijadualkan membuat kemunculan rasmi di Auto China di Beijing pada penghujung bulan hadapan.

    Berdasarkan imej awal yang didedah, reka bentuk berkotak model ini jelas dipengaruhi oleh model ikonik seperti Land Rover Defender dan Ford Bronco, dan ia dilihat berjaya diterjemahkan dengan baik daripada versi konsep ke model produksi.

    Antara elemen yang dikekalkan termasuk rekaan cermin sisi tegak, rupa cermin hadapan seakan melengkung ke tepi, garis tingkap unik, bahu badan yang lebar serta lengkuk roda bentuk petak yang menonjol. Bahagian hadapan pula menampilkan gril segi empat penuh lebar yang menempatkan lampu utama bulat, jalur lampu melintang serta logo Geely Galaxy yang bercahaya.

    Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS?

    Beberapa ciri menarik lain yang turut dikekalkan ialah bampar hadapan berwarna perak dengan elemen seperti cangkuk penarik berwarna oren, pemegang pintu jenis tarik yang besar serta bonet dengan bukaan udara. Antara perubahan kecil yang tidak dibawa ke model produksi termasuk rekaan bonet jenis clamshell dan lampu tambahan, yang digantikan dengan elemen bulat. Selain itu, tayar gantian luaran juga kelihatan ada terlihat dalam beberapa imej yang didedahkan.

    Bahagian dalam turut diperlihatkan secara ringkas, menampilkan tuil gear besar yang diinspirasikan daripada pendikit pesawat. Di sekelilingnya terdapat suis kawalan yang dipercayai untuk mod pemanduan dan mod offroad.

    Di bawahnya pula tersedia deretan butang fizikal bagi mengawal pelbagai fungsi offroad seperti differential belakang berkunci, gear nisbah rendah serta fungsi pusingan setempat (tank turn) yang seakan ditawarkan oleh GWM Tank 300 dan GWM Tank 500.

    Geely Galaxy Battleship 700 – 4×4 dengan kemampuan AI, penggerak PHEV, kuasa sehingga 1,400 PS?

    Dari segi kuasa, Battleship 700 dijangka menggunakan penggerak plug-in hybrid berprestasi tinggi yang sama seperti Lotus Eletre X Hybrid dan Zeekr 9X. Sistem ini ditawarkan dalam konfigurasi dua dan tiga motor dengan kuasa mencecah 897 PS dan sehingga 1,400 PS, digandingkan bersama enjin petrol turbo 2.0 liter berkuasa 279 PS serta bateri NMC berkapasiti 55 kWh atau 70 kWh.

    Menariknya, kenderaan ini turut dikatakan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menentukan sumber kuasa paling sesuai sama ada petrol, elektrik atau gabungan kedua-duanya bergantung kepada keadaan permukaan jalan.

     
     
  • Lexus IS facelift 2026 dilancar di Thailand – naik taraf kali ketiga, teknologi dan kabin ditambah baik

    Lexus IS facelift 2026 dilancar di Thailand – naik taraf kali ketiga, teknologi dan kabin ditambah baik

    Dalam dunia automotif moden, tidak banyak model yang kelihatan semakin menarik apabila usia meningkat. Namun, Lexus IS generasi ketiga membuktikan sebaliknya. Model generasi ini sudah ada sejak tahun 2013, tetapi penampilannya kini kelihatan lebih segar dan tegap berbanding sebelum ini. Ia sebelum ini telah menerima dua kemas kini pada tahun 2017 dan 2021, dan facelift terbaru dibangunkan berasaskan versi 2021 yang lebih agresif.

    Rekaan luaran baru menonjolkan evolusi identiti sporty sedan ini. Bahagian hadapan kini menampilkan jejaring gril yang lebih besar dan disepadukan secara visual dengan lampu utama sedia ada. Bahagian atas gril berbentuk spindle diberikan kemasan warna badan yang memanjangkan ilusi bonet, selain menempatkan logo Lexus. Di bahagian belakang, logo berbentuk huruf “L” digantikan dengan tulisan penuh Lexus, selari dengan identiti reka bentuk semasa jenama tersebut.

    Bagi varian F Sport, ia hadir dengan penampilan lebih garang menerusi spoiler belakang yang lebih menonjol serta rim aloi aluminium ringan bersaiz 19 inci dengan rekaan jejari nipis. Sebanyak lapan pilihan warna ditawarkan termasuk warna baru Neutrino Grey, dan kini pelanggan juga boleh memilih angkup brek berwarna merah. Kombinasi ini turut dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026.

    Lexus IS facelift 2026 dilancar di Thailand – naik taraf kali ketiga, teknologi dan kabin ditambah baik

    Di bahagian dalam, kabin Lexus IS mengekalkan konsep kokpit yang memfokuskan pemandu, tetapi kini dengan susun atur lebih moden. Papan pemuka direka semula bagi menempatkan kluster instrumen digital dan skrin infotainmen bersaiz 12.3 inci.

    Sistem kawalan pad sentuh yang sebelum ini banyak dikritik telah digugurkan, diganti dengan kawalan fizikal yang lebih praktikal termasuk butang pelaras audio dan kawalan tempat duduk siap dengan liang udara serta pemanas.

    Penstrukturan semula bahagian dalam ini turut membolehkan ruang simpanan tambahan bersama pengecas tanpa wayar diwujudkan, selepas pemain cakera padat yang dianggap ketinggalan zaman dibuang. Panel kawalan pendingin hawa kini lebih kompak, manakala jam analog yang sebelum ini menjadi identiti Lexus turut digugurkan. Butang penghidup enjin kini lebih tersorok, stereng menggunakan rekaan baru dan corong pendingin hawa sisi tidak lagi berbentuk bulat.

    Lexus IS facelift 2026 dilancar di Thailand – naik taraf kali ketiga, teknologi dan kabin ditambah baik

    Untuk pasaran Thailand, Lexus Thailand menawarkan model IS 300h hibrid import sepenuhnya dalam dua varian iaitu Premium dan F Sport, masing-masing pada harga sekitar 2.799 juta (RM341,000) dan 3.099 juta baht (RM378,000). Pembeli varian F Sport boleh menambah bumbung suria dengan bayaran tambahan, selain menikmati sistem audio premium 17 pembesar suara daripada Mark Levinson.

    Untuk penggerak, IS 300h menggunakan sistem hibrid pacuan roda belakang dengan enjin 2.5 liter tanpa turbo yang menghasilkan 181 hp dan 221 Nm. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 143 hp dan 300 Nm, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan 223 hp. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 185 km/j, manakala penggunaan bahan api purata dianggarkan sekitar 18.52 km/l.

    Lexus turut melakukan penambahbaikan dari aspek pemanduan. Sistem stereng kuasa elektrik kini menggunakan mekanisme parallel rack gear dengan nisbah berubah, menggantikan sistem coaxial sebelum ini bagi memberikan rasa stereng yang lebih lancar dan responsif.

    Sistem suspensi adaptif pula dipertingkat dengan penggunaan actuator solenoid linear baru yang meningkatkan keupayaan kawalan redaman sehingga empat kali ganda, sekaligus memberikan kestabilan lebih baik serta mengurangkan hentakan daripada permukaan jalan.

    Dari sudut keselamatan, model ini dilengkapi pakej Lexus Safety System+ yang kini merangkumi fungsi Proactive Driving Assist. Sistem ini membantu memperlahankan kenderaan secara automatik apabila menghampiri selekoh atau kenderaan di hadapan, selain memberikan bantuan stereng berterusan ketika berada dalam lorong.

    Secara keseluruhannya, walaupun sudah lama berada di pasaran, Lexus IS generasi ini terus relevan dengan gabungan reka bentuk yang semakin matang, teknologi terkini dan peningkatan kejuruteraan. Ia membuktikan bahawa sesetengah model sememangnya mampu menjadi lebih menarik seiring peredaran masa.

     
     
  • Lesen memandu tamat tempoh lebih 36 bulan tidak layak untuk petrol RON95 bersubsidi BUDI95

    Lesen memandu tamat tempoh lebih 36 bulan tidak layak untuk petrol RON95 bersubsidi BUDI95

    Pemegang lesen memandu Malaysia yang telah tamat tempoh melebihi 36 bulan tidak layak menerima subsidi petrol RON 95 di bawah program Budi Madani (Budi95). Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Menurut beliau, kelayakan untuk menerima subsidi Budi95 adalah bergantung kepada status lesen memandu individu. Sehubungan itu, semua pemegang lesen diingatkan supaya memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan kelayakan tidak terjejas.

    Aedy Fadly menjelaskan bahawa lesen memandu yang masih aktif ditakrifkan sebagai lesen yang tidak tamat tempoh melebihi 36 bulan dari tarikh pembaharuan terakhir. Dalam tempoh tersebut, pemegang lesen masih layak menikmati subsidi berkenaan.

    Namun, bagi lesen yang telah tamat tempoh lebih daripada 36 bulan, pembaharuan tidak boleh dilakukan secara automatik. Pemilik lesen perlu menduduki semula ujian kompetensi memandu di institut memandu yang diiktiraf sebelum layak mendapatkan lesen baru. Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu yang memandu kenderaan bermotor wajib memastikan lesen memandu sentiasa sah dan belum tamat tempoh.

     
     
  • BYD Atto 1 dilancar di Thailand – model termurah jenama itu, WLTP sehingga 304 km, dari RM52k

    BYD Atto 1 dilancar di Thailand – model termurah jenama itu, WLTP sehingga 304  km, dari RM52k

    BYD Atto 1, yang turut dikenali sebagai Seagull, kini membuat kemunculan rasmi di Bangkok International Motor Show 2026. Model elektrik kompak ini ditawarkan pada harga bermula 429,900 baht, iaitu sekitar RM52,000, menjadikannya antara EV paling mampu milik yang dijual di Thailand ketika ini. Unit yang dipasarkan adalah diimport sepenuhnya dari China.

    Harga permulaan tersebut merujuk kepada varian asas Dynamic, yang dilengkapi motor elektrik tunggal di hadapan dengan kuasa 75 PS dan tork 135 Nm. Prestasi ini cukup sesuai untuk kegunaan bandar, dengan pecutan 0-50 km/j dapat dicapai dalam masa 4.9 saat. Pemandu juga boleh memilih antara mod pemanduan Eco, Normal dan Sport.

    Motor elektrik ini dikuasakan oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) keluaran BYD dengan kapasiti 30.08 kWh. Ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 300 km mengikut kitaran NEDC atau sekitar 240 km berdasarkan WLTP. Dari segi pengecasan, varian Dynamic menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 30 kW.

    BYD Atto 1 dilancar di Thailand – model termurah jenama itu, WLTP sehingga 304  km, dari RM52k

    Turut ditawarkan ialah varian Premium dengan harga 459,900 baht (sekitar RM56,000). Varian ini masih menggunakan motor elektrik yang sama, namun dilengkapi bateri lebih besar berkapasiti 38.88 kWh yang meningkatkan jarak pemanduan kepada 380 km (NEDC) atau 304 km (WLTP). Kadar pengecasan AC kekal pada 6.6 kW, manakala pengecasan DC dipertingkatkan kepada 40 kW. Kedua-dua varian turut menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) dan menggunakan rim bersaiz 16 inci.

    Dari segi kelengkapan, Atto 1 hadir dengan spesifikasi standard yang agak lengkap termasuk lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED serta pengelap cermin dengan sensor hujan. Ruang dalaman dilengkapi paparan instrumen digital tujuh inci, tempat duduk dengan kemasan kulit sintetik serta skrin infotainmen 10.1 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

    Sistem audio menggunakan empat pembesar suara, dan turut disertakan kad kunci NFC, pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5 serta kamera undur. Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi empat beg udara termasuk tirai sisi, bersama sistem keselamatan asas seperti ABS, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan (VDC).

    Bagi varian Premium, ia menerima tambahan seperti pelarasan stereng tilt dan teleskopik, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam arah, pengecas tanpa wayar serta tambahan beg udara sisi hadapan. Varian ini juga satu-satunya yang dilengkapi sistem bantuan pemandu (ADAS) yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, pengecaman tanda trafik, brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, amaran dan pencegahan keluar lorong, lampu tinggi automatik serta pemantau tekanan angin tayar.

    Dari segi pilihan warna, bahagian dalaman menggunakan kombinasi hitam dan kelabu sebagai standard. Untuk luaran, pilihan yang ditawarkan ialah Shell White, Quantum Black, Pop Green dan Velocity Blue, namun varian Dynamic hanya tersedia dengan dua warna pertama.

    Dalam barisan model BYD, Atto 1 diposisikan di bawah BYD Dolphin, menjadikannya model paling kecil jenama itu di Thailand. Ia berukuran 3,925 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,590 mm tinggi dengan jarak roda 2,500 mm. Sebagai perbandingan, Dolphin lebih besar dengan dimensi panjang 4,290 mm dan jarak roda 2,700 mm, sekali gus membezakan kedudukan kedua-dua model dalam segmen masing-masing.

     
     
  • Honda StepWGN 2026 dipamer di Thailand – varian Spada hibrid 2.0L, import dari Jepun, RM216k

    Honda StepWGN 2026 dipamer di Thailand – varian Spada hibrid 2.0L, import dari Jepun, RM216k

    Honda StepWGN generasi keenam kini dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026, memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat model MPV keluarga popular ini. Model generasi keenam ini sebelum ini telah diperkenalkan di Thailand pada acara Thailand International Motor Expo tahun lalu, sebelum harga rasminya diumumkan pada Februari tahun ini.

    Didatangkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, StepWGN dijual pada harga 1.78 juta baht, iaitu sekitar RM216,000. Harga ini menjadikannya model kedua paling mahal dalam barisan Honda Thailand selepas Honda Civic Type R yang ditawarkan pada 3.99 juta baht (RM487,000). Malah, MPV ini juga lebih mahal berbanding Honda CR-V e:HEV dan Honda Accord e:HEV yang masing-masing dijual sehingga 1.729 juta baht (RM211,000) bagi varian tertinggi.

    Untuk pasaran Thailand, StepWGN hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu Spada, lengkap dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Sistem ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder tanpa turbo yang menghasilkan 145 PS dan 175 Nm tork. Enjin tersebut berfungsi bersama motor elektrik yang menjana tenaga untuk bateri, seterusnya memacu motor utama di hadapan dengan kuasa 184 PS dan 315 Nm.

    Honda StepWGN 2026 dipamer di Thailand – varian Spada hibrid 2.0L, import dari Jepun, RM216k

    Dalam keadaan tertentu, enjin kitaran Atkinson ini juga boleh memacu roda hadapan secara langsung melalui transmisi E-CVT. Honda mendakwa penggunaan bahan api sekitar 18.5 km/l, manakala bateri hibrid diberikan jaminan selama 10 tahun tanpa had perbatuan. Kenderaan pula dilindungi jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

    Dari segi kelengkapan, StepWGN hadir dengan rim 16 inci, panel instrumen digital bersaiz 10.2 inci serta lampu LED sepenuhnya. Ia turut dilengkapi tuil pengawal tahap brek regeneratif, konfigurasi tujuh tempat duduk, sistem pendingin hawa tiga zon dengan corong belakang, kemasukan tanpa kunci, upholsteri gabungan kulit sintetik dan fabrik, meja lipat serta ottoman untuk penumpang barisan kedua.

    Sistem infotainmen pula menggunakan paparan lapan inci Advanced Touch yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Dari segi keselamatan, MPV ini dilengkapi enam beg udara serta pakej bantuan pemandu Honda Sensing.

    Pilihan warna yang ditawarkan termasuk Meteoroid Gray Metallic sebagai warna standard tanpa caj tambahan. Warna Twilight Mist Black Pearl dan Crystal Black Pearl dikenakan bayaran tambahan 10,000 baht (RM1,200), manakala Platinum White Pearl pula memerlukan tambahan 14,000 baht (RM1,700).

    Di Thailand, harga StepWGN meletakkannya sebagai pesaing kepada Nissan Serena e-Power Highway Star yang dijual pada sekitar 1.69 juta baht (RM206,000). Selain Thailand, model ini juga telah memasuki pasaran negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, menandakan penerimaan yang semakin meluas bagi MPV hibrid ini di rantau Asia Tenggara

     
     
  • Chery O5 facelift kedua di Bangkok – rekaan luar dan dalam baru, NEDC 422 km, sampai Malaysia tahun ini

    Chery O5 facelift kedua di Bangkok – rekaan luar dan dalam baru, NEDC 422 km, sampai Malaysia tahun ini

    Model SUV segmen B ini boleh dipanggil dengan pelbagai nama seperti Omoda 5, Omoda C5, O5 atau C5. Apa pun gelarannya, ia sekarang diberikan facelift buat kali kedua dan dipamerkan di acara Bangkok International Motor Show. Model ini sebenarnya sudah didedahkan pada bulan Oktober, dan Chery Malaysia juga turut mengesahkan bahawa ia akan memasuki pasaran tempatan dalam tahun ini.

    Untuk bahagian luar, perubahan kali ini jelas lebih ketara. Bagi mereka yang kurang gemar dengan gril berlubang pada model asal, rekaan baru ini mungkin lebih menarik. Bahagian hadapan kini tampil dengan lampu utama yang lebih tirus, manakala bahagian “hidung” kelihatan lebih tajam dan tertutup sepenuhnya.

    Reka bentuk ini dikenali sebagai “Robo Shark”, dengan sentuhan seakan bentuk kepala jerung. Menariknya, walaupun rupa hadapan ini sering dikaitkan dengan versi elektrik, laporan oleh Car Magazine UK menunjukkan bahawa versi enjin petrol juga menggunakan reka bentuk hampir sama, cuma dibezakan dengan bukaan kecil berbentuk slot di atas nombor plat.

    Chery O5 facelift kedua di Bangkok – rekaan luar dan dalam baru, NEDC 422 km, sampai Malaysia tahun ini

    Pendekatan ini selari dengan hala tuju baru Chery yang ingin menyeragamkan reka bentuk antara model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV). Sebelum ini, versi petrol menampilkan gril besar dengan banyak bukaan, manakala versi EV menggunakan rekaan hadapan yang lebih tertutup seperti model terkini ini.

    Di bahagian belakang pula, lampu LED kini menggunakan grafik berbentuk kilat yang lebih moden. Pintu but dan bampar belakang turut direka semula, dengan nombor plat dipindahkan ke bahagian bampar dalam lekukan berbentuk huruf V.

    Masuk ke ruang kabin, perubahan lebih menyeluruh dapat dilihat. Tidak seperti facelift pertama yang masih mengekalkan reka bentuk dalaman asal, versi terbaru ini tampil dengan susun atur baru yang lebih moden dan futuristik. Stereng kini berbentuk bujur dengan dua tona warna dan rekaan dua jejari.

    Chery O5 facelift kedua di Bangkok – rekaan luar dan dalam baru, NEDC 422 km, sampai Malaysia tahun ini

    Skrin berkembar 10.25 inci telah digantikan dengan skrin sesentuh utama bersaiz 15.6 inci bersama panel instrumen digital 8.8 inci. Selain itu, terdapat pemegang tangan yang disepadukan dengan corong pendingin hawa tengah, serta pemegang cawan berbentuk heksagon. Keseluruhan susun atur dalaman memberikan rasa lebih menyelubungi pemandu.

    Di pasaran Thailand, model ini ditawarkan hanya sebagai kenderaan elektrik penuh dan hadir dalam satu varian sahaja iaitu Max+. Ia masih menggunakan motor elektrik tunggal di hadapan yang menghasilkan kuasa 211 PS dan tork 288 Nm. Prestasi kekal sama dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.2 saat dan kelajuan maksimum 171 km/j.

    Namun begitu, terdapat perubahan pada kapasiti bateri yang kini lebih kecil iaitu 50.6 kWh berbanding 61 kWh sebelum ini, menyebabkan jarak perjalanan mengikut standard NEDC menurun daripada 505 km kepada 422 km.

    Dari aspek pengecasan, kadar pengecasan AC maksimum kini berkurang daripada 9.9 kW kepada 6.6 kW, manakala pengecasan pantas DC pula meningkat daripada 80 kW kepada 110 kW. Walaubagaimanapun, tempoh masa pengecasan rasmi masih belum diumumkan setakat ini.

    Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk cermin hadapan dua lapisan dengan ciri pengurangan bunyi, sistem kamera 540 darjah, fungsi urutan pada tempat duduk pemandu, sistem audio dengan lapan pembesar suara Sony, suspensi belakang multi-link serta 19 fungsi bantuan pemandu (ADAS). Berdasarkan laman rasmi, harga model ini di Thailand berada dalam lingkungan 700,000 hingga 900,000 baht, iaitu sekitar RM85,000 hingga RM97,000.

     
     
  • Pembelian petrol, diesel lebih 20 liter dalam bekas luar tangki kenderaan perlu permit khas – pengarah KPDN

    Pembelian petrol, diesel lebih 20 liter dalam bekas luar tangki kenderaan perlu permit khas – pengarah KPDN

    Mana-mana individu atau organisasi yang ingin membeli petrol atau diesel melebihi 20 liter untuk diisi ke dalam bekas selain tangki kenderaan diwajibkan mendapatkan permit khas, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Perkara ini dilaporkan oleh New Straits Times sebagai sebahagian daripada langkah kawalan terhadap penggunaan bahan api bersubsidi.

    Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, menjelaskan bahawa pembelian bahan api ke dalam bekas tanpa permit hanya dibenarkan dalam situasi kecemasan dan tidak boleh melebihi 20 liter. Had ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan bahan api terkawal oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol atau diesel dari stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan perlu memohon dan mendapatkan kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Pembelian di bawah permit ini hanya terpakai bagi kuantiti 20 liter ke atas dan tertakluk kepada harga semasa di pam.

    Pembelian petrol, diesel lebih 20 liter dalam bekas luar tangki kenderaan perlu permit khas – pengarah KPDN

    Selain itu, hanya pemegang permit khas dibenarkan membuat pembelian bahan api dalam kuantiti besar menggunakan tong atau bekas lain di stesen minyak. Bagi mereka yang tidak mempunyai permit, pembelian dalam bekas hanya dibenarkan untuk kecemasan dan dalam jumlah kurang daripada 20 liter.

    Antara pihak yang layak memohon permit termasuk pengendali forklift, sektor pengangkutan air dan rekreasi air, industri makanan, pertanian dan perladangan, perkhidmatan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan skala kecil. Penduduk di kawasan luar bandar dan pulau juga termasuk dalam kategori yang layak.

    Pemegang permit dibenarkan menggunakan tong, bekas plastik atau apa-apa bekas yang sesuai dan selamat, tertakluk kepada syarat yang diluluskan seperti jumlah kuantiti, lokasi stesen minyak, tempoh serta kekerapan pembelian.

    Terdahulu, satu insiden tular melibatkan dua individu mengisi petrol RON95 ke dalam beberapa bekas di sebuah stesen minyak di Skudai, Johor. Hasil siasatan mendapati individu terbabit merupakan warganegara Malaysia dan pemegang MyKad. Susulan itu, Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa tindakan akan diambil, termasuk menyekat kelayakan penggunaan subsidi di bawah program Budi95 terhadap individu dan kenderaan yang terlibat.

     
     
  • Kuota subsidi RON95 diturunkan kepada 200 liter mula 1 April, pengisian diesel di Sabah, Sarawak ada had

    Kuota subsidi RON95 diturunkan kepada 200 liter mula 1 April, pengisian diesel di Sabah, Sarawak ada had

    Pelarasan semula kuota subsidi petrol RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter yang dijangkakan sebelum ini nampaknya berlaku betul apabila perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu secara rasmi sebentar tadi.

    Had 300 liter sebulan bagi setiap individu yang ditetapkan sebelum ini akan diturunkan kepada 200 liter bermula 1 April 2026, dengan Anwar mengatakan ia cuma adalah langkah sementara sehingga keadaan pulih. Walaubagaimanapun, tanda ke arah itu masih belum ada.

    Seperti sebelum ini, beliau juga sekali lagi menyatakan bahawa 90% pengguna tidak terkesan kerana menggunakan di bawah had itu, dengan purata yang dicatat cuma 100 liter setiap orang. Pemandu e-hailing pula masih boleh menikmati had sehingga 800 liter sebulan.

    Kuota subsidi RON95 diturunkan kepada 200 liter mula 1 April, pengisian diesel di Sabah, Sarawak ada had

    Sementara itu untuk Sabah dan Sarawak, kerajaan turut akan melaksanakan had pengisian diesel baru bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan. Bagi kenderaan ringan pengangkutan awam barangan dan persendirian, mereka hanya boleh mengisi maksimum 50 liter bagi setiap pembelian.

    Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan pula ditetapkan maksimum 100 liter bagi setiap pembelian dan kenderaan melebihi tiga tan pula maksimum 150 liter setiap pembelian.

    Bermula hari ini, harga diesel ditetapkan pada RM5.52 seliter bagi Semenanjung Malaysia, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula adalah RM2.15 seliter. Sebagai perbandingan dengan negara jiran, harga di Kalimantan, Indonesia adalah sekitar IDR15,000 (RM3.55) seliter atau IDR6,800 (RM1.61) seliter untuk biodiesel dengan subsidi.

    Brunei pula menetapkan harga diesel biasa pada BND0.31 (RM0.97) seliter dan BND0.95 (RM2.96) seliter untuk diesel premium. Harga di Filipina adalah lebih tinggi, antara PHP92 (RM6.11) ke PHP126 (RM8.37) seliter.

     
     
  • BMW iX3 2026 di Bangkok – EV generasi NA5 dengan pengecasan DC 400 kW, jarak gerak WLTP 805 km

    BMW iX3 2026 di Bangkok – EV generasi NA5 dengan pengecasan DC 400 kW, jarak gerak WLTP 805 km

    Selepas kira-kira enam bulan diperkenalkan secara rasmi, model SUV elektrik generasi baru BMW iX3 2026 kini dipamerkan dalam versi pemanduan sebelah kanan di Bangkok International Motor Show 2026 (BIMS 2026). Di Thailand, model ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu iX3 50 xDrive dengan harga bermula 3,599,000 baht, bersamaan sekitar RM435,903.

    Dari segi reka bentuk, model berkod NA5 ini merupakan versi produksi kepada konsep Vision Neue Klasse X. Ia menampilkan gril “kidney” bercahaya, permukaan bonet dan pintu belakang dengan lekukan khas untuk logo, serta kemasan tingkap tanpa jalur getah yang ketara, memberikan penampilan moden dan futuristik.

    Untuk dimensi, iX3 baru ini hampir menyamai saiz BMW X3 G45 generasi terkini. Ia berukuran 4,782 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,635 mm tinggi, menjadikannya sedikit lebih panjang tetapi lebih sempit dan rendah berbanding model X3 tersebut.

    BMW iX3 2026 di Bangkok – EV generasi NA5 dengan pengecasan DC 400 kW, jarak gerak WLTP 805 km

    Varian 50 xDrive menandakan ia menggunakan sistem dwi-motor pacuan semua roda. Motor hadapan jenis asynchronous (ASM) menghasilkan 167 PS dan 255 Nm, manakala motor belakang jenis electrically excited synchronous (EESM) menjana 326 PS dan 455 Nm. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan 469 PS dan 645 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 4.9 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

    Model ini turut memperkenalkan seni bina elektrik 800 volt pertama bagi BMW, yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW. Dengan bateri NMC berkapasiti boleh guna 108.7 kWh, pengecasan dari 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa sekitar 21 minit.

    Untuk pengecasan di rumah, ia menyokong sehingga 11 kW AC atau pilihan naik taraf kepada 22 kW. Selain itu, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) turut disediakan dengan kapasiti sehingga 3.7 kW. Jarak pemanduan pula mencecah sehingga 805 km mengikut piawaian WLTP.

    BMW iX3 2026 di Bangkok – EV generasi NA5 dengan pengecasan DC 400 kW, jarak gerak WLTP 805 km

    Dari sudut pemanduan, BMW memperkenalkan sistem kawalan baru dikenali sebagai “Heart of Joy”, iaitu unit pengurusan pintar yang menyelaraskan trenkuasa, sistem brek, pemulihan tenaga dan stereng dengan kelajuan pemprosesan sehingga 10 kali lebih pantas berbanding sistem konvensional.

    Bagi ciri bantuan pemandu, fungsi Motorway Assistant membolehkan pemandu melepaskan tangan daripada stereng untuk tempoh lebih lama ketika memandu di lebuh raya tanpa gangguan amaran berterusan. Sistem Symbiotic Drive pula membolehkan input kecil pada stereng atau brek dilakukan tanpa menjejaskan operasi pemanduan autonomous sepenuhnya.

    Di bahagian dalam, iX3 generasi ini menampilkan perubahan besar dengan penggunaan skrin tengah Panoramic iDrive bersaiz 17.9 inci serta paparan Panoramic Vision yang merentasi bahagian bawah cermin hadapan dari tiang ke tiang. Kawalan suara melalui arahan “Hey BMW” mengaktifkan pembantu maya untuk navigasi, komunikasi, hiburan dan kawalan kenderaan.

    Untuk pasaran Thailand, pilihan kemasan dalaman ditawarkan dalam warna hitam atau Castanea dengan jahitan kontras perak. Ruang kargo pula mencapai sehingga 1,750 liter, selain tambahan ruang simpanan hadapan (frunk) sebanyak 58 liter.

    Dari segi pilihan warna luaran, model ini ditawarkan dalam beberapa pilihan termasuk Ocean Wave Blue, Black Sapphire, Polarised Grey, Space Silver, M Brooklyn Grey dan Alpine White. Dengan harga bermula sekitar RM435,903 di Thailand, BMW iX3 baharu ini meletakkan dirinya sebagai salah satu SUV elektrik premium paling canggih dalam segmennya.

     
     
  • Kuota subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter akan dipotong dari 300 liter kepada 200 liter, bermula April?

    Kuota subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter akan dipotong dari 300 liter kepada 200 liter, bermula April?

    Kerajaan dijangka akan mengetatkan pemberian subsidi bahan api di bawah program Budi95 susulan peningkatan harga minyak global yang dipengaruhi konflik berterusan di Timur Tengah. Menurut laporan The Edge, kuota petrol RON95 bersubsidi yang kini ditetapkan pada harga RM1.99 seliter berkemungkinan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter.

    Langkah ini dikatakan boleh diumum seawal minggu ini, dengan pelaksanaan kuota baru dijangka bermula pada April. Setelah kuota tersebut habis digunakan, pengguna perlu membayar harga tanpa subsidi bagi RON95, yang kini mencecah RM3.87 seliter.

    Pengurangan kuota ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memastikan subsidi dapat diteruskan dalam keadaan harga minyak mentah dunia yang masih tinggi. Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, sebelum ini menyatakan bahawa harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter hanya mampu dikekalkan untuk tempoh terhad, sekitar dua bulan, bergantung kepada pergerakan harga minyak global.

    Beliau turut memberi amaran bahawa kos subsidi boleh meningkat sehingga RM24 bilion sekiranya harga minyak mentah global kekal pada paras sekitar AS$110 setong. Sebagai perbandingan, harga minyak mentah Brent crude pernah mencecah AS$120 setong pada 9 Mac lalu sebelum menurun kepada sekitar AS$98 setong ketika ini. Walaupun begitu, harga tersebut masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$70 setong sebelum tercetusnya konflik melibatkan Iran pada penghujung Februari.

    Walaupun cadangan pengurangan kuota ini mungkin menimbulkan kebimbangan, impaknya dijangka tidak besar kepada majoriti pengguna. Data sebelum ini menunjukkan purata penggunaan petrol bersubsidi adalah sekitar 83 liter sebulan, manakala 90 peratus penerima subsidi menggunakan kurang daripada 200 liter setiap bulan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026