Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton eMas 7 PHEV kini ada warna Emerald Green

    Proton eMas 7 PHEV kini ada warna Emerald Green

    Proton eMas 7 PHEV baru sahaja dilancarkan di Malaysia dua bulan lalu. Namun hari ini Proton mengumumkan bahawa model berkenaan kini ditawarkan dengan warna hijau baharu yang dikenali dengan nama Emerald Green. Penawaran warna baharu ini tidak menggantikan mana-mana warna sedia ada iaitu Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Aquamarine Blue.

    Juga tiada penambahan harga diumumkan di mana eMas 7 PHEV ini masih dijual pada bermula RM109,800 untuk varian asas Prime, RM123,800 untuk varian Premium dan RM129,800 untuk varian tertinggi Premium Plus. Dengan rebat pelancaran bernilai RM4,000, harga akhir untuk setiap varian adalah masing-masing RM105,800, RM119,800 dan RM125,800. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Semua varian digerakkan unit rangkaian kuasa EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menampilkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI berkuasa 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan tork maksima 125 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork maksima 262 Nm.

    Proton eMas 7 PHEV kini ada warna Emerald Green

    Gandingan berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan tork maksima 262 Nm, di mana kesemuanya digunakan untuk memacu roda hadapan.

    Bagi varian Prime dan Premium, motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri litium loga fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh CATL berkapasiti 18.4-kWj, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 83 km, dan 943 km dengan gandingan satu cas bateri penuh dan satu tangki penuh petrol.

    Manakala varian Premium Plus, ia dibekalkan dengan bateri LFP Aegis bilah pendek keluaran Geely berkapasiti 29.8-kWj, memberikan jarak gerak EV sejauh 146 km dan 996 km dengan gandingan satu cas bateri penuh dan satu tangki penuh petrol.

    Untuk mengecas pula, varian Prime dan Premium menyokong pengecas pantas DC sehingga 30 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa tidak sampai 20-minit. Manakala varian Premium Plus pula boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 60 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 30-80% dalam masa kurang 16-minit. Kesemua varian juga boleh menggunakan pengecas AC onboard 7-kW.

    Menurut Proton, varian Prime dan Premium boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat, sementara varian Premium Plus pula memerlukan masa 8.2 saat untuk pecutan yang sama. Manakala ketiga-tiga varian mencatatkan kelajuan maksima yang sama iaitu 170 km/j, serta diberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) dan vehicle-to-vehicle (V2V).

     
     
  • Promosi Honda Malaysia untuk April 2026 – diskaun besar untuk varian hibrid City, Civic, HR-V dan CR-V

    Promosi Honda Malaysia untuk April 2026 – diskaun besar untuk varian hibrid City, Civic, HR-V dan CR-V

    Harga bahan api buat masa sekarang nampaknya semakin lama semakin tidak mesra poket. Jadi sekiranya anda masih belum yakin dengan kenderaan elektrik penuh (EV), teknologi hibrid adalah antara alternatif yang baik. Justeru, bagi bulan April 2026 Honda Malaysia hadir dengan promosi yang mengutamakan model-model hibrid menerusi kempen ‘Choose Your Hybrid Joy’.

    Promosi ini menawarkan diskaun untuk model-model baharu yang dibuat pada tahun 2026. Sekiranya anda berminat dengan Honda City sedan, varian hibrid e:HEV RS datang dengan diskaun RM12,000. Varian lain sedan segmen-B ini juga diberikan diskaun sebanyak RM10,000.

    Manakala untuk City Hatchback, varian hibrid e:HEV RS diberikan diskaun sebanyak RM10,000 manakala varian lain diberikan diskaun sebanyak RM8,000. SUV segmen-B Honda HR-V pula diberikan diskaun RM11,000 untuk varian hibrid, dan RM8,000 untuk varian lain.

    Promosi ini turut melibatkan sedan segmen-C Honda Civic di mana varian hirbid e:HEV RS diberikan diskaun sebanyak RM12,000, manakala varian E dan V diberikan diskaun RM7,000 serta varian Turbo RS diberikan diskaun RM10,000. Untuk bulan ini, tiada lagi diskaun ditawarkan untuk hot-hatch Honda Civic Type R.

    Promosi Honda Malaysia untuk April 2026 – diskaun besar untuk varian hibrid City, Civic, HR-V dan CR-V

    SUV segmen-C CR-V yang baru sahaja dikemaskini bulan lalu juga tidak terkecuali dalam promosi ini di mana varian hibrid e:HEV E dan e:HEV RS ditawarkan dengan diskaun RM9,000, manakala varian Turbo V hadir dengan diskaun sebanyak RM7,000.

    Namun sekiranya anda mahukan EV, Honda Malaysia turut ada model yang boleh anda pilih iaitu SUV EV segmen-B Honda e:N1 – ia ditawarkan dengan diskaun RM34,000, menjadikan harga jualannya kini hanya RM115,900. Walau bagaimanapun untuk e:N1 ini, ia adalah model yang dihasilkan pada 2025.

    Jadi jika anda berminat dengan promosi ditawarkan ini, jangan berlengah kerana ia hanya untuk kereta-kereta yang didaftarkan bermula hari ini sehingga 30 April nanti.

     
     
  • GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028

    GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028

    Selain mendedahkan model baharu yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan, GWM Malaysia turut mengumumkan langkah strategik untuk tahun 2026 hingga 2028, sekaligus membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam mengukuhkan pasaran automatifnya dalam negara.

    Mengikut kenyataan yang dikeluarkan syarikat ini, sepanjang tahun 2025, pihaknya telah merekodkan hampir 5,900 jualan kenderaan, sekaligus mewakili 177% kadar pertumbuhan dari tahun ke tahun. Justeru, dalam wawasannya menuju 2028, GWM Malaysia mensasarkan 6% pegangan pasaran, 60,000 jualan tahunan, dan berusaha untuk tersenarai dalam 10 teratas untuk jenama automotif di Malaysia, termasuk tiga teratas untuk jenama dari China.

    Buat setakat ini, GMW Malaysia menduduki tangga ke-16 secara keseluruhan pada tahun lalu (no. 4 bagi jenama China) dengan 5,876 unit terjual (mewakili 0.7% dalam perkongsian pasaran bagi rekod TIV mencecah 820,752 unit). Sekaligus mencatatkan lebih 177% berbanding 2,128 unit yang terjual pada tahun 2024 (di tangga ke-18).

    GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028

    Ya, jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 331% yang dicatatkan pada 2024, namun tetap merupakan pencapaian yang mengagumkan. Penyumbang terbesar sudah tentu ialah Haval H6 HEV – dalam segmen hibrid, SUV tersebut menduduki tempat kedua dan meraih 14.9% pegangan pasaran pada tahun 2025, sekali gus meletakkan GWM Malaysia secara keseluruhan di tempat ketiga dalam segmen hibrid dengan pegangan pasaran sebanyak 15.5%.

    “Di GWM Malaysia, perkara yang sentiasa menjadi fokus kami adalah untuk membina jenama automotif yang mampu bertahan lama di dalam pasaran. Kami bersaing menggunakan kepakaran jurutera, platform pintar, teknologi keselamatan yang dipertingkatkan, dan produk yang kukuh dalam usaha memberi nilai jangka panjang.

    “Kesemua ini dipacu oleh rangkaian pasaran yang semakin berkembang di seluruh negara. Pendekatan berteraskan disiplin ini juga memberi asas yang kukuh terhadap pertumbuhan yang mampan di samping mengekalkan kepercayaan pelanggan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia.

    GWM M’sia sasar 6% pegangan pasaran, 60k jualan tahunan, 10 teratas pengeluar kereta menjelang 2028

    Beliau menambah, “Pertumbuhan yang kami capai pada tahun 2025 menunjukkan bahawa kami sedang membangunkan sesuatu yang bermakna dan kami berada di landasan yang betul. Ia memberi gambaran terdapat peningkatan dalam keyakinan terhadap produk kami, tenaga kerja, dan kecekapan para pengedar kami, serta perkhidmatan selepas jualan yang cekap dan ekosistem.

    “Pada masa hadapan, fokus kami menjurus kepada meneruskan momentum ini untuk memberi nilai jangka panjang dengan meletakkan asas yang tepat, sesuai pada tempatnya, supaya pertumbuhan kami bukan sahaja mampan malah jenama ini terus berdiri kukuh untuk tahun-tahun yang mendatang.”

    Selain pembangunan produk, syarikat ini juga gigih memaju dan menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualannya. GWM Malaysia meletakkan sasaran operasinya bersama 60 pengedar di seluruh negara, dengan fokus untuk mengembangkan pertumbuhannya secara berstruktur dalam pasaran utama.

    Bermula dari 2026, piawaian identiti korporatnya yang dipertingkatkan akan menetapkan standard yang jelas untuk memberikan pengalaman jualan yang lebih konsisten dan premium di seluruh rangkaiannya. Perkhidmatan selepas jualan tetap menjadi kunci utama untuk memperolehi kepercayaan pelanggan. Ia disokong oleh program latihan teknikal yang intensif, 95% ketersediaan pemasangan alat ganti di seluruh negara, dan usaha berterusan sistem GWM Care untuk memperkasakan kepuasan para pelanggan sepanjang mereka menjadi pemilik kenderaan tersebut.

     
     
  • Denza D9 2026 di China – bahagian dalam serba baru, penggerak dipertingkat, CLTC sehingga 800 km

    Denza D9 2026 di China – bahagian dalam serba baru, penggerak dipertingkat, CLTC sehingga 800 km

    Kehadirannya sudah diketahui sejak Februari lalu, dan kini Denza D9 facelift akhirnya didedahkan secara rasmi untuk pasaran China.Menariknya, pembaharuan kali ini jauh lebih menyeluruh daripada jangkaan, dan berlaku kira-kira empat tahun selepas ia mula diperkenalkan di negara itu dan setahun selepas pelancarannya di Malaysia.

    Melihat dari luar, perubahan yang dilakukan agak minimum kerana MPV mewah ini masih mengekalkan reka bentuk asal. Namun begitu, kedua-dua varian elektrik (EV) dan plug-in hybrid (PHEV) kini menggunakan rekaan gril yang sama dengan elemen berbentuk bendera, menggantikan jalur menegak penuh yang sebelum ini eksklusif untuk versi EV. Selain itu, pilihan rim baru turut ditawarkan dengan kemasan dua tona berkilat dan rekaan banyak jejari, namun saiznya masih 18 inci.

    Perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian dalam, yang kini tampil lebih moden dan premium. Ia dilengkapi stereng dua cabang baru dengan bahagian bawah rata, bersama papan pemuka mendatar yang lebih kemas. Susun atur ini masih menempatkan paparan instrumen bersaiz 10.25 inci dan skrin infotainmen terapung 15.6 inci.

    Denza D9 2026 di China – bahagian dalam serba baru, penggerak dipertingkat, CLTC sehingga 800 km

    Bagi pasaran China, skrin penumpang hadapan turut dinaik taraf. Pada asalnya dipaparkan dalam format skrin lebar, panel papan pemuka kini boleh dibuka untuk mendedahkan skrin penuh bersaiz 15.6 inci. Selain itu, corong udara turut direka semula dengan unit menegak di penjuru papan pemuka dan corong tengah berbentuk segi empat yang lebih moden.

    Konsol tengah jenis “flying buttress” kini menempatkan dua pengecas tanpa wayar Qi, berbanding hanya satu sebelum ini, serta kawalan fizikal penyaman udara yang lebih praktikal. Bagi memberi ruang kepada ciri-ciri ini, tuil gear kristal telah digantikan dengan pemilih gear belakang stereng, selari dengan trend semasa di China.

    Di barisan kedua, Denza D9 masih menawarkan kerusi kapten “Air Spa” yang mewah lengkap dengan ottoman, skrin kawalan dan fungsi rebah “zero gravity” satu sentuhan. Kini, ia turut dilengkapi skrin siling bersaiz 17.3 inci, menambah baik kekurangan pada model terdahulu. Skrin pada bahagian penyandar kepala juga dinaik taraf kepada unit magnetik bersaiz 13 inci, khusus untuk pasaran China.

    Denza D9 2026 di China – bahagian dalam serba baru, penggerak dipertingkat, CLTC sehingga 800 km

    Dari sudut mekanikal, perubahan yang dibawakan adalah signifikan. Menurut laporan, varian elektrik kini menerima motor yang lebih berkuasa, dengan versi pacuan roda hadapan menghasilkan 462 PS, meningkat daripada 313 PS sebelum ini. Varian pacuan semua roda pula menambah motor belakang berkuasa 95 PS, menjadikan jumlah output keseluruhan meningkat kepada 557 PS.

    Selain itu, model ini kini menggunakan bateri Blade LFP generasi kedua dengan kapasiti meningkat daripada 103 kWh kepada 115 kWh. Ini membolehkan jarak pemanduan mencecah sehingga 800 km bagi versi pacuan hadapan dan 750 km bagi versi pacuan semua roda mengikut kitaran CLTC. Anggaran berdasarkan piawaian WLTP dijangka sekitar 680 km dan 640 km, satu peningkatan ketara berbanding model semasa.

    Satu lagi peningkatan besar ialah keupayaan pengecasan pantas DC. Dengan teknologi Flash Charging baru, kuasa pengecasan kini mencecah sehingga 1,500 kW, jauh lebih tinggi berbanding 200 kW sebelum ini. Ini membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 70 peratus dalam hanya lima minit, dan sehingga 97 peratus dalam masa sembilan minit.

    Denza D9 2026 di China – bahagian dalam serba baru, penggerak dipertingkat, CLTC sehingga 800 km

    Bagi varian PHEV, ia masih menggunakan enjin turbo 1.5 liter empat silinder dengan kuasa 156 PS, digandingkan bersama motor elektrik hadapan 272 PS dan motor belakang 61 PS. Kapasiti bateri turut ditingkatkan daripada 40 kWh kepada 66.5 kWh, sekali gus menggandakan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya kepada 401 km mengikut CLTC, atau sekitar 330 km berdasarkan WLTP. Varian ini juga menyokong teknologi pengecasan pantas, walaupun pada kadar yang lebih rendah.

    Denza D9 turut dilengkapi penyerap hentak adaptif DiSus-C serta sistem bantuan pemandu God’s Eye B (DiPilot 300), yang menyokong pemanduan separa autonomous di bandar dan lebuh raya termasuk penukaran lorong automatik.

    Di China, harga model ini bermula dari 389,800 yuan (sekitar RM227,700) hingga 489,800 yuan (sekitar RM286,200) bagi kedua-dua varian EV dan PHEV.

     
     
  • BMW iX3 L didedah di China – versi jarak roda panjang akan tiba di Malaysia dengan harga lebih menarik?

    BMW iX3 L didedah di China – versi jarak roda panjang akan tiba di Malaysia dengan harga lebih menarik?

    Ini merupakan penampilan pertama model BMW iX3 Long Wheelbase 2026 versi pasaran China, yang dibangunkan berasaskan platform Neue Klasse NA5 dan dihasilkan di Hungary. Persoalan yang timbul ialah sama ada model ini akan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding versi jarak roda standard di Malaysia, memandangkan kenderaan elektrik buatan China hanya dikenakan duti import sebanyak 5% berbanding 30% bagi model dari negara lain.

    Sebagai perbandingan, BMW iX1 versi standard yang diimport dari Jerman dijual sekitar RM250,000, manakala versi iX1 L buatan China dianggarkan berharga RM255,000. Namun begitu, harga anggaran lazimnya lebih tinggi berbanding harga pelancaran sebenar.

    Dari segi fizikal, model iX3 Long Wheelbase ini tiba dengan jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 108 mm kepada 3,005 mm. Dimensi lain masih belum diumumkan, tetapi sebagai rujukan, versi standard mempunyai jarak roda 2,897 mm dengan panjang 4,782 mm, lebar 1,895 mm dan tinggi 1,635 mm.

    BMW iX3 L didedah di China – versi jarak roda panjang akan tiba di Malaysia dengan harga lebih menarik?

    Perubahan lain termasuk penggunaan pemegang pintu jenis tarik keluar, berbeza dengan rekaan tersembunyi atau “flush” yang tidak lagi dibenarkan di China. Di bahagian belakang, lencana iX350L pada pintu but dijangka eksklusif untuk pasaran tersebut, manakala spoiler bumbung kini dilengkapi kamera yang dipasang di tengah.

    Dari sudut teknologi, model ini dijangka tampil lebih canggih dengan integrasi sistem seperti Huawei HarmonyOS Next, sokongan Alibaba dan model kecerdasan buatan DeepSeek, navigasi 3D Amap serta sistem bantuan pemandu (ADAS) Momenta yang direka khusus untuk pasaran China.

    BMW iX3 L didedah di China – versi jarak roda panjang akan tiba di Malaysia dengan harga lebih menarik?

    Untuk penggerak, iX3 ini masih menggunakan asas NA5 dengan sistem 800V, serta dua motor elektrik yang menghasilkan gabungan kuasa 469 PS dan tork 645 Nm. Ia turut dilengkapi bateri NMC berkapasiti 108.7 kWh, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW yang membolehkan tahap bateri 10 hingga 80 peratus dicapai dalam masa sekitar 21 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga disediakan.

    Jarak pemanduan dianggarkan sekitar 900 km mengikut kitaran CLTC, sedikit berbeza dengan angka 805 km berdasarkan piawaian WLTP bagi versi jarak roda standard. Dari segi prestasi, versi standard mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat. Oleh itu, versi jarak roda panjang ini dijangka mencatat masa sekitar lima saat, dengan kelajuan maksimum berkemungkinan kekal pada 210 km/j.

     
     
  • Jaecoo J8 facelift di China – tukar lencana jadi Chery Tiggo 9, skrin sesentuh besar, enjin 2.0T 261 PS

    Jaecoo J8 facelift di China – tukar lencana jadi Chery Tiggo 9, skrin sesentuh besar, enjin 2.0T 261 PS

    Dilancarkan di Malaysia tahun lalu, Jaecoo J8 kini bersedia menerima pengubahsuaian besar menjelang pameran Auto China di Beijing bulan hadapan. Namun, model ini tidak lagi akan menggunakan lencana Jaecoo – sebaliknya ia akan dikenali sebagai Chery Tiggo 9, sama seperti namanya di pasaran China sejak tiga tahun kebelakangan ini.

    Perlu dijelaskan, model ini sebenarnya berbeza dengan Tiggo 9 yang bakal ditawarkan di Malaysia, yang di China dikenali sebagai Tiggo 9X atau Tiggo 8L. Bahagian hadapan SUV ini menampilkan gril empat segi yang lebih tegak dengan jalur menegak yang lebih halus dan mewah.

    Lampu utama juga menjadi lebih besar dengan lampu siang berbentuk “dual-L”, disokong bingkai hitam yang memanjang ke penjuru bampar, menyerupai rekaan Tiggo Cross. Sentuhan krom turut menambah imej premium pada kereta ini.

    Jaecoo J8 facelift di China – tukar lencana jadi Chery Tiggo 9, skrin sesentuh besar, enjin 2.0T 261 PS

    Bahagian belakang pula menampilkan lampu penuh melintang yang lebih tebal, menyebabkan nombor plat kini diletakkan pada bampar, dan tempat asalnya diganti oleh logo Chery yang besar. Penampilan ini disempurnakan dengan tip ekzos trapezoid yang lebih besar (walaupun kemungkinan masih palsu) serta rekaan rim banyak jejari yang baru.

    Chery masih belum mengeluarkan imej rasmi kabin, tetapi laman Autohome telah mendedahkan banyak foto yang menunjukkan rekaan dalaman yang hampir sepenuhnya adalah baru.

    Papan pemuka yang sebelum ini meniru gaya Mercedes-Benz diganti dengan rekaan minimalis serupa dengan banyak SUV lain dari China, menampilkan corong udara yang lebih nipis dan kemas, serta konsol tengah tinggi yang masih menempatkan dua pemegang telefon (salah satunya berfungsi sebagai pengecas tanpa wayar Qi) dan pemegang cawan terbuka berkembar yang sebelum ini bertutup.

    Jaecoo J8 facelift di China – tukar lencana jadi Chery Tiggo 9, skrin sesentuh besar, enjin 2.0T 261 PS

    Perubahan paling ketara adalah skrin tengah. Masih terdapat paparan instrumen besar, tetapi skrin infotainmen kini menjadi satu panel tunggal yang melintang hingga ke sisi penumpang, membolehkan penumpang hadapan menonton video atau menggunakan fungsi lain. Konsep ini mirip dengan yang digunakan pada Mazda CX-6e.

    Stereng dua jejari baru dari Omoda C7 turut dipasang, lengkap dengan penyambung berulir untuk aksesori seperti pemegang telefon, mirip dengan Proton X50 terkini. Tempat duduk kini dijahit berlapis, dengan tempat duduk penumpang hadapan berubah menjadi “queen seat” lengkap dengan ottoman dan fungsi sandar “zero gravity” satu sentuhan. Seperti sebelumnya, Tiggo 9 ditawarkan dalam tetapan dua atau tiga baris tempat duduk, dengan kapasiti maksimum tujuh penumpang.

    Menurut Autohome, enjin empat silinder turbo 2.0 liter juga ditala semula untuk menghasilkan 261 PS dan tork 400 Nm, meningkat dari 249 PS dan 385 Nm sebelum ini. Transmisi automatik lapan kelajuan dan pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda dijangka dikekalkan.

    Memandangkan Jaecoo biasanya mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan model baru di Malaysia, J8 versi facelift dijangka tiba selewat-lewatnya tahun depan. Masih belum pasti sama ada paparan skrin besar ini akan dibawa masuk, kerana terdapat kes model dari China (seperti GWM Wey G9) yang dihantar untuk pasaran eksport tanpa skrin sedemikian.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV 2026 di Thailand — roda baru, warna dalaman coklat; CKD Malaysia, akan tiba di sini juga?

    Jaecoo J7 PHEV 2026 di Thailand — roda baru, warna dalaman coklat; CKD Malaysia, akan tiba di sini juga?

    Model SUV hibrid plug-in Jaecoo J7 PHEV turut mencuri perhatian di Bangkok International Motor Show 2026 dengan menampilkan beberapa pembaharuan kosmetik. Antara perubahan paling ketara ialah penggunaan rim aloi baharu bersaiz 19-inci dengan rekaan multi-spoke, menggantikan rim gaya turbin yang diperkenalkan sebelum ini. Menariknya, rim yang sama turut digunakan pada model Lepas L6 EV yang turut dipamerkan di acara sama.

    Perubahan turut melibatkan ruang dalaman, yang mana kemasan kulit buatan berwarna coklat kini digunakan secara meluas meliputi tempat duduk, papan pemuka, panel pintu serta konsol tengah. Kombinasi rim dan kemasan dalaman baharu ini hanya ditawarkan bersama pilihan warna luaran tertentu iaitu Carbon Crystal Black atau Olive Grey seperti unit yang dipamerkan.

    Walaupun menerima kemaskini dari segi penampilan, harga model ini kekal pada 999,000 baht (RM121,800). Tiada perubahan pada sistem janaan kuasa Super Hybrid System (SHS) yang masih menghasilkan kuasa gabungan sebanyak 279 PS. Sistem ini menggabungkan enjin petrol 2.0 liter turbo empat-silinder berkuasa 143 PS dengan motor elektrik 204 PS, dipadankan bersama transmisi hibrid khusus satu kelajuan dan bateri LFP berkapasiti 18.3 kWh. Bateri ini membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 88 km.

    Jaecoo J7 PHEV 2026 di Thailand — roda baru, warna dalaman coklat; CKD Malaysia, akan tiba di sini juga?

    Dari segi kelengkapan, spesifikasi kekal sama, dengan lampu LED, kemasukan tanpa kunci dan butang mula, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, paparan instrumen 10.25-inci serta skrin infotainmen menegak bersaiz 14.8-inci. Turut disertakan paparan head-up, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio lapan pembesar suara Sony, pengecas tanpa wayar 50W, sistem kamera 360-darjah dengan mod lutsinar serta pintu but berkuasa.

    Ciri keselamatan juga tidak berubah, dengan lapan beg udara, kawalan kestabilan, brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran kenderaan hadapan bergerak, amaran pembukaan pintu serta lampu tinggi automatik.

    Menariknya, kombinasi rim dan kemasan dalaman baharu ini dijangka turut ditawarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Ini kerana model ini dipasang CKD di Shah Alam untuk pasaran serantau, termasuk Thailand. Di Malaysia, Jaecoo J7 PHEV ditawarkan pada harga sekitar RM158,800 tanpa insurans.

    Secara keseluruhan, kemaskini ini lebih tertumpu kepada peningkatan visual tanpa menjejaskan aspek prestasi atau teknologi. Persoalannya kini, adakah rekaan rim baharu dan kemasan dalaman coklat ini lebih menarik berbanding kombinasi sedia ada?

     
     
  • GWM Ora 5 Hybrid dipamer di Thailand — 1.5L turbo petrol dengan e-motor, 223 PS/476 Nm; dari RM88k

    GWM Ora 5 Hybrid dipamer di Thailand — 1.5L turbo petrol dengan e-motor, 223 PS/476 Nm; dari RM88k

    Crossover elektrik GWM Ora 5 telah tampil di Bangkok International Motor Show 2026 dengan satu tambahan penting, iaitu varian hibrid yang dikenali sebagai Ora 5 HEV. Selain versi hibrid ini, model elektrik sepenuhnya (EV) yang telah dilancarkan di China pada suku keempat tahun lalu turut dipamerkan, termasuk unit berwarna hijau zamrud.

    Menurut GWM Thailand, Ora 5 HEV ditawarkan pada harga bermula 729,000 baht (RM88,543). Dari segi dimensi, kedua-dua versi EV dan HEV adalah sama, dan ditawarkan dalam dua varian iaitu Pro dan Ultra untuk pasaran Thailand.

    Ora 5 mempunyai ukuran panjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm dan tinggi 1,641 mm, dengan jarak roda 2,720 mm. Lebar trek roda hadapan dan belakang masing-masing ialah 1,583 mm dan 1,577 mm, manakala kelegaan tanah bagi crossover lima-tempat duduk ini ialah 175 mm.

    GWM Ora 5 Hybrid dipamer di Thailand — 1.5L turbo petrol dengan e-motor, 223 PS/476 Nm; dari RM88k

    Bagi varian hibrid, ia dilengkapi enjin petrol 1.5 liter turbo empat-silinder yang menghasilkan 150 PS pada julat 5,500 hingga 6,000 rpm serta tork 240 Nm antara 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik jenis magnet kekal yang menjana 190 PS dan 236 Nm, dengan tenaga disimpan dalam bateri lithium-ion berkapasiti 1.03 kWh.

    Gabungan sistem hibrid ini memberikan jumlah kuasa 223 PS dan tork 476 Nm. Kapasiti tangki bahan api pula ialah 55 liter. Berdasarkan laporan Autolife Thailand, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j, serta mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l.

    Dari segi casis, Ora 5 HEV menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, sama seperti versi EV. Sistem stereng kuasa elektrik turut digunakan, manakala brek terdiri daripada cakera berpengudaraan di hadapan dan cakera pepejal di belakang. Ia dipadankan dengan rim aloi 18-inci bersama tayar bersaiz 225/60R18.

    Untuk kelengkapan luaran, model ini dilengkapi lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, spoiler belakang dengan lampu brek tinggi, pintu but manual, pengelap cermin hadapan dengan sensor hujan, cermin sisi larasan kuasa serta rel bumbung.

    Di dalaman, Ora 5 HEV hadir dengan paparan instrumen digital bersaiz 10.25-inci dan skrin infotainmen 14.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem ini turut menawarkan sambungan Bluetooth, navigasi pintar, kawalan suara dalam bahasa Thai dan Inggeris, fungsi telematik, kawalan kenderaan melalui aplikasi mudah alih serta kemas kini perisian over-the-air.

    Sistem audio standard menggunakan enam pembesar suara, manakala varian Ultra dinaik taraf kepada sembilan pembesar suara dengan kawalan volum sensitif kelajuan. Dari segi sambungan peranti, terdapat pengecas tanpa wayar 50 watt, satu port USB-A dan satu USB-C di bahagian hadapan serta satu lagi USB-C untuk penumpang belakang.

    GWM Ora 5 Hybrid dipamer di Thailand — 1.5L turbo petrol dengan e-motor, 223 PS/476 Nm; dari RM88k

    Tempat duduk pemandu dilengkapi pelarasan kuasa enam-arah untuk semua varian, manakala varian Ultra menambah fungsi pengudaraan dan memori tiga tetapan. Tempat duduk penumpang hadapan bagi varian Pro menggunakan pelarasan manual empat arah, sementara varian Ultra menawarkan pelarasan kuasa serta fungsi pengudaraan.

    Keseluruhan kabin menggunakan kemasan kulit buatan, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, disertakan perehat kepala tengah dan stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaras dari segi jangkauan dan kecondongan.

     
     
  • Denza B8 dibuka untuk ROI di M’sia — 4×4 PHEV 3-baris, 748 PS/760 Nm, 125 km jarak EV CLTC

    Denza B8 dibuka untuk ROI di M’sia — 4×4 PHEV 3-baris, 748 PS/760 Nm, 125 km jarak EV CLTC

    Malaysia bakal menerumi model Denza kedua untuk pasaran tempatan, selepas lebih setahun pengenalan model MPV Denza D9. Bagi yang berminat, anda kini boleh mendaftarkan minat anda untuk Denza B8 melalui laman web rasmi Denza Malaysia.

    Ini merupakan model rebadge daripada Fangchengbao Bao 8, yang merupakan model off-road 4×4 tiga baris tempat duduk flagship yang dijual di bawah sub-jenama BYD di China. Denza B8 adalah nama yang diberikan untuk pasaran luar China.

    Ukuran dimensinya adalah 5,195 mm panjang, 1,994 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, ia 305 mm lebih panjang, 24 mm lebih lebar dan 15 mm lebih rendah berbanding Bao 5/B5 yang pernah dipamer di Pameran Automotif Malaysia 2024. Jarak rodanya pula adalah 2,920 mm; 120 mm lebih panjang. Model ini bahkan lebih besar berbanding Toyota Land Cruiser 300, yang mempunyai panjang maksimum 4,985 mm.

    Kuasanya dijana oleh sistem Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid BYD yang turut digunakan dalam B5, tetapi dengan enjin empat silinder turbo 2.0 liter 245 PS/380 Nm dan bukannya enjin 1.5 liter yang lebih kecil. Enjin ini digandingkan dengan transmisi hibrid khusus (DHT) dan dua motor elektrik (272 PS/360 Nm + 408 PS/400 Nm). Jumlah output keseluruhan sistem ialah 748 PS dan 760 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.8 saat.

    Motor elektriknya mendapatkan tenaga daripada bateri Blade LFP 36.8 kWh dengan kapasiti yang sedikit lebih besar dan menyediakan jarak elektrik sejauh 125 km CLTC yang sama seperti B5. Ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 91.5 liter yang besar, membolehkan jarak keseluruhan yang mampu dicapai sejauh 1,200 km. B8 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 120 kW, membolehkan bateri mencapai SOC 30% hingga 80% dalam masa 16 minit.

    Denza B8 di BIMS 2026

    2026

     
     
  • Honda Prelude 2026 dibuka untuk tempahan di M’sia — coupe hibrid 2+2, lancar suku kedua tahun ini

    Honda Prelude 2026 dibuka untuk tempahan di M’sia — coupe hibrid 2+2, lancar suku kedua tahun ini

    Honda Malaysia telah umumkan bahawa tempahan untuk model Prelude di Malaysia kini dibuka, lebih awal daripada pelancaran rasmiya yang dijangka diadakan pada suku kedua tahun ini. Pelanggan yang berminat juga boleh membuat tempahan tersebut secara dalam talian.

    Diberi kod nama BF1, Honda Prelude terbaru ini mempunyai ukuran dimensi 4,522 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,355 mm tinggi dengan jarak roda 2,605 mm. Ia merupakan sebuah coupe dengan konfigurasi tempat-duduk 2+2, dilengkapi teknologi hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) oleh Honda yang sama seperti Civic e:HEV, yang menggabungkan unit enjin petrol 2.0L empat-silinder sebaris dengan sebuah motor elektrik, untuk memacu roda depan.

    Enjin ini menghasilkan sebanyak 141 PS pada 6,000 rpm dan 182 Nm pada 4,500 rpm, yang menyalurkan tenaga untuk sebuah traction motor yang menghasilkan 184 PS dan 315 Nm ke roda depan. Enjin petrol ini juga boleh memacu roda secara langsung dalam kelajuan lebih tinggi sekiranya sistem menentukan lebih cekap begitu. Gabungan ini memberikan output puncak sebanyak 203 PS.

    Honda Prelude 2026 dibuka untuk tempahan di M’sia — coupe hibrid 2+2, lancar suku kedua tahun ini

    Jika sistem janaan hibridnya dikongsi bersama Civic e:HEV, komponen casis lain seperti suspensi depan dual-axis strut dan penyerap hentak adaptif pula dikongsi bersama Civic Type R FL5. Prelude menggunakan roda 19-inci dengan tayar 235/40R19. Brek pula dilengkapi oleh angkup Brembo warna biru di depan, dengan rotor brek berukuran 13.8-inci di depan dan 12-inci di belakang.

    Honda Prelud akan menjadi produk Honda yang pertama di Malaysia yang menampilkan teknologi S+ Shift, yang menyepadukan Active Sound Control untuk menghadirkan simulasi penukaran gear dari transmisi lapan-kelajuan yang digunakan. Fungsi Shift Hold yang ada juga mensasarkan untuk memperbaiki ketepatan pemanduan dengan membantu kenderaan ini memberi maklum balas lebih tepat terhadap input pemandu.

    Untuk alat bantuan pemanduan, Honda Prelude 2026 menerima Honda Sensing yang terdiri antaranya daripada fungsi peninjau titik buta dan peninjau lintasan trafik.

    Honda Prelude 2026 di Bangkok

     
     
  • Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

    Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

    Tesla Malaysia hari ini memperkenalkan versi lebih panjang untuk SUV Model Y, dikenali sebagai Tesla Model Y L ke pasaran tempatan. Model dengan konfigurasi enam-tempat duduk ini bakal berada dalam pasaran pada suku kedua 2926, dengan harga anggaran bermula RM260,000. Sebagai perbandingan model jarak roda standard paling mahal sebelum ini iaitu Premium Long Range AWD dijual pada harga RM242,450.

    Dari segi dimensi Model Y L ini menampilkan panjang keseluruhan 4,976 mm, lebar 2,129 mm, tingg 1,668 mm dan jarak roda sejauh 3,040 mm. Jadi berbanding versi Model Y standard, versi L ini adalah 179 mm lebih panjang, 44 mm lebih tinggi dan jarak roda 150 mm lebih jauh. Jarak kelegaan tanah versi ini juga adalah 2 mm lebih tinggi iaitu 169 mm. Dengan badan lebih panjang dan tinggi serta tambahan satu baris tempat duduk menjadikan Tesla Model Y L ini 96 kg lebih berat kepada 2,088 kg berbanding Model Y Premium LRWD.

    Selain dari rupa yang ‘sedikit pelik’ kerana lebih panjang dan bumbung belakang lebih tinggi untuk ruang kepala lebih luas, Model Y L ini turut boleh dikenali menerusi spoiler but belakang yang direka semula serta diberikan kemasan warna badan berbanding hitam pada Model Y biasa. Rekaan baharu ini turut membolehkan pekali geserannya bertambah baik pada kadar 0.216 berbanding 0.22 pada versi biasa.

    Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

    Model Y L ini juga datang dengan set roda standard unik hanya untuknya iaitu rim aloi Machina berdiameter 19-inci. Ia dibalut dengan tayar Continental EcoContact 7 S bersaiz 255/45R19 di hadapan dan 274/45R19 di belakang. Tesla menawarkan warna Stealth Grey sebagai warna standard Model Y L ini, namun pembeli masih boleh memilih warna Pearl White, Diamond Black, Glacier Blue, Ultra Red dan Cosmic Silver sebagai pilihan opsyen yang memerlukan bayaran tambahan.

    Di dalam, susunan tempat duduk dibentang dengan konfigurasi 2-2-2. Tempat baris kedua direka bebas dan terpisah yang menampilkan perehat tangan yang kecil kawalan elektrik bersama fungsi pemanas, pengalir udara dan juga larasan elektrik. Walau bagaimanapun ia tidaklah semewah tempat duduk kapten yang lazimnya diberikan pada MPV mewah, kerana tidak dilengkapi dengan perehat kaki ottoman dan juga meja lipat. Tempat duduk baris kedua ini diasingkan hanya lah untuk memudahkan akses ke tempat duduk baris ketiga.

    Tempat duduk paling belakang turut diberikan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, dan ia turut menampilkan perehat kepala. Ia boleh dilaras dan dilipat rata menggunakan larasan elektrik. Dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga yang dilipat, Tesla mendakwa bahawa Model Y L ini dapat menyediakan ruang kargo sebesar 2,539 liter, berbanding versi standard yang menampilkan hanya 2,138 liter.

    Tesla Model Y L dilancar di Malaysia – jarak roda lebih jauh, 6-tempat duduk, anggaran RM260k; Q2 2026

    Jika semua tempat duduk digunakan, ruang but belakang masih menampilkan ruang storan yang baik kerana ia diberikan ruang storan bawah lantai yang dalam. Juga terdapat ruang frunk yang boleh digunakan pada bahagian hadapan.

    Model Y L ini juga diberikan tempat duduk dengan rekaan berbeza dengan Model Y biasa, di mana ia datang dengan perehat kepala yang bersambung dengan perehat badan, serta diberikan sokongan peha yang boleh dipanjangkan. Model Y L ini diberikan kabin berwarna hitam sepenuhnya secara standard, manakala tema Zen Grey ditawarkan sebagai pilihan opsyen.

    Perincian dalaman lain yang turut diberikan secara standard termasuk pengecas telefon pintar 50W dan 30W tanpa wayar (hanya 15Wx2 pada Model Y biasa), penyejuk aktif serta sistem audio dengan 18-pembesar suara dan satu subwoofer berbanding 15-pembesar suara dan satu subwoofer pada Model Y Premium LRAWD.

    Ia juga diberikan perincian-perincian lain yang sama seperti Model Y Premium biasa termasuk perapi dalam tekstil, upholsteri kulit sintetik, skrin sesentuh utama 16-inci, skrin sesentuh tempat duduk baris kedua lapan-inci, bumbung kaca panaromik, lampu suasana kabin, lapan kamera luaran (masih tiada fungsi 360-darjah penuh) dan juga pintu tailgate belakang dengan fungsi operasi tanpa sentuhan.

    Bagi unit rangkaian kuasa pula, Model Y L ini menerima dua motor elektrik bagi memacu kesemua roda, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 5 saat, berbanding PLRAWD dengan konfigurasi sama mencatatkan masa 4.8 saat. Kelajuan maksima pula adalah sama kedua-duanya iaitu 201 km/j.

    Bateri yang dibekalkan didakwa dapat memberikan jarak gerak 681 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala untuk mengecas ia boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 250 kW, dan juga pengecas AC 11 kW. Model Y L ini juga datang standard dengan sistem suspensi adaptif seperti Model Y Performance yang memberikan larasan Balanced dan Rear Comfort.

    Selain dari harga, buat masa sekarang Tesla Malaysia belum mendedahkan perincian-perincian rasmi lain termasuk kuasa motor elektrik, kapasiti bateri dan sebagainya. Maklumat-maklumat ini mungkin akan disiarkan bersama harga rasmi apabila ia berada di pasaran Malaysia kelak iaitu pada suku kedua 2026 nanti.

     
     
  • K’jaan bekerjasama dengan Petronas, syarikat minyak lain untuk pastikan bekalan bahan api mencukupi

    K’jaan bekerjasama dengan Petronas, syarikat minyak lain untuk pastikan bekalan bahan api mencukupi

    Kerajaan telah bekerjasama dengan Petronas dan syarikat minyak lain bagi memastikan bekalan bahan api di Malaysia kekal mencukupi untuk kira-kira sebulan, laporan NST.

    Langkah ini adalah bagi membolehkan kerajaan mengekalkan mekanisme subsidi sedia ada, yang membolehkan pengguna membeli petrol RON 95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter – manakala harga tanpa subsidi kini berada pada RM3.87 seliter sementara menunggu kemas kini harga bahan api hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata harga bahan api kekal sebagai isu utama dan perlu diuruskan berdasarkan fakta serta kejelasan. “Harga bahan api adalah isu yang dekat di hati saya. Kita perlu menanganinya dengan berhati-hati, berpandukan fakta. Sebab itu kita membuat keputusan mengenai RON 95. Hasil perbincangan dengan Petronas dan syarikat minyak lain, kita mampu mengawal keadaan untuk tempoh sebulan atau lebih. Rakyat seharusnya menjadi pihak terakhir yang menanggung beban,” katanya.

    Walaupun harga petrol RON 95 bersubsidi masih dikekalkan pada RM1.99 seliter, kerajaan mengumumkan minggu lalu bahawa kuota bulanan 300 liter bagi petrol RON 95 di bawah program subsidi petrol Budi Madani RON 95 (Budi95) dikurangkan sementara kepada 200 liter sebulan berkuatkuasa hari ini, 1 April 2026.

     
     
  • Beberapa jalan di sekitar pusat bandar KL ditutup berperingkat hari ini – 9 mlm-11.59 malam

    Beberapa jalan di sekitar pusat bandar KL ditutup berperingkat hari ini – 9 mlm-11.59 malam

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa penutupan sementara jalan secara berperingkat akan dilaksanakan sempena perarakan Kuil Sri Thandayuthapani “Panguni Uthiram” pada hari ini, 1 April 2026.

    Ia melibatkan beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar termasuk Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Tun H.S Lee, Jalan Hang Lekir, Jalan Sultan, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Razak (Jalan Pekeliling) yang akan ditutup antara jam 9 malam hingga 11.59 malam ini.

    Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak.

     
     
  • GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia tahun ini – juga bakal tiba SUV segmen-B, segmen-C mewah

    GWM Tank 300 HEV dilancar di Malaysia tahun ini – juga bakal tiba SUV segmen-B, segmen-C mewah

    Dalam majlis Malam Penghargaan Tahunan Bersama Media hari ini, GWM Malaysia turut berkongsikan rancangannya untuk membawa lebih banyak model baharu ke pasaran tempatan bagi tempoh 2026 hingga 2028. Ia adalah bagi membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam mengukuhkan pasaran automatifnya dalam negara.

    Antara model yang diumumkan akan tiba di sini tidak lama lagi ialah GWM Tank 300 HEV. Bukan itu sahaja, jenama ini juga akan melancarkan dua model SUV segmen-B, dua SUV segmen-C dan SUV mewah segmen-C, tetapi tidak didedahkan model mana yang akan dibawa masuk ke pasaran tempatan.

    Untuk Tank 300 HEV, ia disuapkan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo petrol yang dipadankan bersama motor elektrik, yang menghasilkan kuasa mencecah 346 hp (351 PS atau 255 kW) dan tork 648 Nm. Ia juga dipadankan dengan Hybrid Automatic Transmission sembilan-kelajuan dan sistem 4WD, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat. Untuk menjana motor elektriknya, SUV HEV ini juga diberikan bateri Lithium-ion 1.76 kWh dan menurut GWM, penggunaan bahan api untuk Tank 300 HEV ini dianggarkan sekitar 8.4 liter bagi setiap 100 km.

    Untuk SUV segmen-B pula, kami jangkakan ia sebagai GWM Ora 5 Hybrid, yang telah dilancarkan di Thailand baru-baru ini bagi versi EV dan HEV. Ora 5 berukuran 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,720 mm – menjadikannya sekitar 250 mm lebih panjang daripada Good Cat dan hampir sama saiz dengan BYD Atto 3. Dari segi prestasi, ia dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 204 PS (150 kW) yang disambungkan kepada bateri jenis lithium iron phosphate (LFP), namun kapasiti bateri belum didedahkan.

    Bagi SUV segmen-C pula, kebarangkalian Haval Raptor (atau dikenali sebagai Menglong di pasaran China) yang akan dibawa masuk ke sini. Ia dipadan dengan enjin 1.5 liter Hi4 PHEV yang mampu menghamburkan kuasa hingga 370 hp dan tork 750 Nm, dengan pilihan bateri sama ada berkapasiti 19.1 kWh atau 27.5 kWh, menawarkan jarak gerak pacuan elektrik hingga 145 km mengikut standard CLTC.

    Apabila GWM Malaysia mengesahkan akan membawa masuk SUV segmen-C mewah, kami terbayangkan Wey 03, atau turut dikenali sebagai Wey Coffee 02 di Eropah dan Wey Latte di negara kelahirannya, di China. Model PHEV ini mampu menghamburkan kuasa hingga 442 PS/685 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat. Ia juga diberikan bateri berkapasiti 35.43 kWh dan mampu mencapai jarak gerak EV hingga 136 km mengikut standard WLTP. Bateri tersebut boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan AC 11 kW.

    Wey 03 dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo dengan motor elektrik di hadapan dan satu lagi motor elektrik di belakang. Sistem pacuan semua-rodanya dipacukan menerusi transmisi DCT kering sembilan-kelajuan. Walau bagaimana pun, ia hanya jangkaan kami sahaja dan kena nantikan pengumuman selanjutnya dari GWM sendiri, model apakah yang bakal menerjah pasaran Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2028 selain Tank 300 HEV.

     
     
  • Isuzu D-Max 2026 dilancar di M’sia — 2.2L turbodiesel baru, 163 PS/400 Nm, auto 8-kelajuan; RM103k-RM163k

    Isuzu D-Max 2026 dilancar di M’sia — 2.2L turbodiesel baru, 163 PS/400 Nm, auto 8-kelajuan; RM103k-RM163k

    Isuzu D-Max generasi ketiga mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2021. Setakat ini, ia sudah diberikan dua kemaskini, masing-masing pada 2023 dan 2024. Kini, bagi model tahun 2026, Isuzu Malaysia kini memperkenalkan barisan penawaran terbaru untuk trak pikap Isuzu D-Max dengan menampilkan enjin serba baru, unit RZ4F-TC 2.2L turbocas diesel serta kemaskini lainnya. Malaysia merupakan pasaran kedua yang menerima enjin ini, selepas Thailand.

    Sembilan varian yang ditawarkan untuk Isuzu D-Max 2026 adalah seperti berikut:

    • D-Max 2.2L 4×4 MT (Single Cab, RM103,121)
    • D-Max 3.0L 4×4 MT (Single Cab, RM108,888)
    • D-Max 2.2L 4×4 AT (Single Cab, RM109,121)
    • D-Max 2.2L 4×4 MT Standard (Double Cab, RM114,271)
    • D-Max 2.2L 4×2 Auto Plus (Double Cab, RM114,671)
    • D-Max 2.2L 4×4 Standard (Double Cab, RM122,171)
    • D-Max 2.2L 4×4 AT Premium (Dauble Cab, RM141,821)
    • D-Max 3.0L 4×4 AT Premium (Double Cab, RM145,138)
    • D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain (Double Cab, RM162,938)
    • *Harga atas jalan, belum termasuk insuran.

    Isuzu D-Max 2026 dilancar di M’sia — 2.2L turbodiesel baru, 163 PS/400 Nm, auto 8-kelajuan; RM103k-RM163k

    Dengan pengenalan ini, tiada lagi penawaran enjin 1.9L turbodiesel sebelum ini untuk pasaran tempatan dan itu digantikan oleh enjin serba baru 2.2L turbodiesel, sementara unit janaan 3.0 liter masih dikekalkan untuk tiga varian.

    Unit enjin RZ4F-TC 2.2L ini dibangun dan direka semula dari awal, dan bukannya dengan diubah atau dinaik taraf dari enjin 1.9L sebelumnya. Ini kerana, ia ingin memberikan kecekapan termal dan prestasi janaan yang jauh lebih cekap — lebih lasak, lebih ringan, kurang gegaran, serta untuk mendapatkan saiz kebuk pembakaran yang lebih besar.

    Berbanding enjin 1.9L, unit 2.2L ini menjana kuasa 8.7% lebih tinggi dengan memberikan 163 PS pada 3,600 rpm manakala tork pula 14.3% lebih tinggi dengan 400 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,400 rpm. Selain itu, dengan adanya siri sistem kawalan pencemaran yang pintar melibatkan Diesel Oxidation Catalyst (DOC), Diesel Particulate Diffuser (DPD) dan Intelligent Exhaust Gas Recircutalion (EGR), enjin baru ini mengurangkan pembebasan emisi merbahaya sebanyak 21% dan bendasing particulate sebanyak 99%.

    Enjin baru juga memenuhi piawaian diesel bersih Euro 5 dan mampu menampung tahap biodiesel sehingga B20. Berbanding enjin 1.9L terdahulu, enjin 2.2L baru ini memberikan penjimatan dan lebih cekap sekitar 5.2%. Berdasarkan ujian penggunaan nyata Isuzu di Malaysia, kadar penggunaan bahan api yang dapat dicapai oleh enjin baru ini ialah 15.78 km per liter, berbanding versi 1.9L dengan 14.99 km per liter. Jarak purata yang boleh dicapai dengan satu tangki penuh adalah sekitar 1,352 km.

    Isuzu D-Max 2026 dilancar di M’sia — 2.2L turbodiesel baru, 163 PS/400 Nm, auto 8-kelajuan; RM103k-RM163k

    Melengkapkan pembaharuan terhadap sistem janaan trak pikap ini ialah gandingan transmisi automatik lapan-kelajuan baru yang melengkapi model 2026 ini. Sebagai perbandingan, model 1.9L sebelum ini dilengkapi dengan transmisi automatik enam-kelajuan sahaja. Selain julat ratio yang lebih luas, kotak gear ini menampilkan pemetaan penukaran baru yang mempercepat penukaran gear, menjadikan kehilangan kuasa antara gearnya berkurangan.

    Juga merupakan tambahan penawaran terbaru bagi D-Max ialah varian Single Cab Automatic, yang merupakan penawaran pertama seumpamanya di Malaysia. Varian terbaru ini juga menampilkan ruang kargo yang luasL 2,345 mm x 1,590 mm x 465 mm. Ia juga lengkap dengan mod Rough Terrain, warna badan baru (SIlver), konsol tengah baru dan juga bampar depan warna badan.

    Dari segi penampilan, Isuzu D-Max 2.2L 2026 ini juga diberikan kemaskini yang membezakannya sebagai sebuah model facelift terbaru. Bahagian depannya kini datang dengan rekaan gril baru untuk semua varian, disertai dengan lampi LED dengan warna baru (untuk varian Double Cab Automatik) dan juga kemasan lampu kabus baru.

    Dari sisi, rekaan rim juga diberi sentuhan baru yang berkilau untuk varian Premium, sementara X-Terrain diberikan rim kemasan warna kelabu kesat. Bahagian pemijak sisi juga hadir dengan rekaan baru, dengan warna hitam-perak untuk varian Premium, dan warna hitam sepenuhnya untuk varian X-Terrain.

    Untuk bahagian belakang, warna baru untuk lampu kombinasi LED turut diberikan untuk varian Premium dan X-Terrain. Ciri Tailgate Assist juga kini adalah standard untuk semua varian Double Cab (pilihan untuk varian Standard AT/MT). Selain itu, dua pilihan warna badan baru juga ditawarkan: Inishmore Green Metallic (varian Premium dan X-Terrain) dan Obsidian Grey Mica (varian Premium dan Auto Plus).

    Untuk ruang dalaman, sistem infotainmen dengan skrin bersaiz 10-inci diberikan untuk varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus, manakala unit tujuh-inci akan melengkapi varian Standard AT/MT. Rekaan corak di panel pintu juga baru untuk X-Terrain dan Premium, dengan dua jenis balutan kerusi ditawarkan mengikut varian: balutan kulit untuk X-Terrain dan Premium, dan balutan fabrik untuk Auto Plus dan Standard AT/MT.

    Menurut Isuzu, enjin baru ini juga telah menjalani ujian ketahanan yang tinggi melibatkan jarak 2.2 juta kilometer, bersamaan perjalanan mengelilingi dunia sebanyak 55 kali. Pembelian Isuzu D-Max 2.2L 2026 ini juga didatangkan dengan pakej servis berkala percuma baru percuma, yang membolehkan pelanggan membawa D-Max mereka untuk untuk pemeriksaan di pusat servis sah Isuzu dalam tempoh dua-tahun atau 20,000 km.

    Isuzu D-Max 2.2L TD 4×4 AT Premium 2026

    Isuzu DMax 2.2L TD 4×4 AT Single Cab 2026

    Slide pembaharuan Isuzu D-Max 2.2L 2026

     
     
  • MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    Sepanjang hujung minggu lalu, tersebar laporan media yang menyatakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) didakwa telah mengenakan beberapa syarat terhadap rancangan pemasangan tempatan (CKD) oleh BYD, yang dikatakan sukar dipersetujui oleh pengeluar dari China itu.

    Menurut laporan tersebut, antara syarat yang didakwa dikenakan termasuk keperluan untuk mengeksport sehingga 80 peratus daripada jumlah pengeluaran di Tanjung Malim, manakala baki 20 peratus pula hanya boleh dijual di pasaran tempatan dengan harga melebihi RM200,000 seunit.

    Perkara ini pantas menjadi perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai perbincangan di laman web serta media sosial. Namun, kekurangan maklumat terperinci telah menyebabkan pelbagai spekulasi timbul, termasuk andaian yang tidak disahkan.

    MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    Susulan dakwaan dan kekeliruan yang semakin tersebar, MITI kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan rasmi (kami sertakan di bawah) bagi menjelaskan situasi sebenar, termasuk memperincikan syarat lesen pengilangan untuk BYD serta dasar automotif berkaitan.

    Di dalam kenyataan tersebut, MITI menegaskan komitmennya untuk membangunkan industri automotif negara secara mampan, sambil menjelaskan bahawa keputusan BYD untuk menubuhkan operasi di Tanjung Malim mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem industri Malaysia serta potensi pertumbuhan jangka panjang negara sebagai hab automotif serantau.

    Kerajaan turut mengalu-alukan penyertaan pengeluar global bukan sahaja dalam pemasangan kenderaan, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk pembuatan komponen, penyelidikan dan pembangunan serta logistik.

    MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    Dalam masa sama, MITI menekankan kepentingan pemain tempatan seperti Proton dan Perodua, yang kini menguasai lebih 63 peratus pasaran kenderaan tempatan serta menyokong lebih 700,000 pekerjaan.

    Kedua-dua syarikat ini juga mencatat kadar lokalisasi melebihi 75 peratus hasil pelaburan berdekad lamanya dalam pembangunan vendor dan teknologi tempatan. Langkah yang diambil ini bukan bersifat perlindungan, tetapi ke arah pembangunan

    Mengulas dakwaan bahawa BYD mungkin menilai semula pelaburannya, MITI menjelaskan bahawa syarikat itu telah pun menerima Lesen Pengilangan interim pada 29 September 2025 untuk pemasangan kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuk EV dan plug-in hybrid di Tanjung Malim, Perak Malaysia.

    MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    Lesen tersebut diberikan berdasarkan model pengeluaran berorientasikan eksport, sejajar dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serantau serta memanfaatkan FTA Malaysia dan rangkaian bekalan serantau yang dimiliki.

    Antara syarat utama yang dikenakan ialah had jualan domestik sebanyak 10,000 unit setahun, bersamaan kira-kira 20 peratus daripada kapasiti pengeluaran, manakala selebihnya perlu disasarkan ke pasaran eksport. MITI menegaskan bahawa pendekatan ini bukan satu sekatan, sebaliknya strategi untuk mengukuhkan integrasi rantaian bekalan global dan meningkatkan imbangan perdagangan negara.

    Selain itu, bagi memastikan aktiviti pembuatan bernilai tinggi, proses pemasangan perlu merangkumi operasi badan, cat dan trim di dalam negara, dan bukan sekadar pemasangan komponen import. Syarat harga minimum atas jalan (OTR) bagi kenderaan CKD pula ditetapkan pada RM100,000, sekaligus menafikan dakwaan bahawa harga minimum ditetapkan sehingga RM200,000.

    MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    MITI turut menjelaskan bahawa tiada larangan terhadap import model pikap baru seperti yang didakwa dalam media sosial, sebaliknya kenderaan komersial masih dibenarkan diimport dalam kuota terhad sambil menggalakkan pemasangan tempatan.

    Menurut kementerian itu, dasar semasa bukan bersifat perlindungan semata-mata, tetapi bertujuan membangunkan industri melalui aktiviti nilai tambah tinggi seperti pemindahan teknologi, pembangunan kejuruteraan dan pengeluaran berskala eksport. Pendekatan ini selaras dengan Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menyasarkan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi baru.

    MITI keluarkan kenyataan berkenaan topik CKD BYD – semua jenama China dialukan, harga lantai RM100k

    MITI turut menegaskan bahawa Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan asing termasuk dari China, dengan beberapa pengeluar seperti Chery Automobile telah menerima kelulusan untuk pengeluaran tempatan. Kehadiran jenama global seperti Mercedes-Benz dan Volvo sebagai pangkalan pemasangan serantau turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri automotif.

    Secara keseluruhan, MITI menegaskan bahawa Malaysia tidak menutup pintu kepada pelabur, sebaliknya menetapkan kerangka dasar yang memastikan setiap pelaburan membawa nilai jangka panjang kepada ekonomi, termasuk penciptaan pekerjaan, pembangunan vendor tempatan dan pemindahan teknologi.

     
     
  • Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 dipertontonkan di Malaysia – CBU dari Jepun, harga bawah RM190k

    Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 dipertontonkan di Malaysia – CBU dari Jepun, harga bawah RM190k

    Subaru Crosstrek 2026 telah pun dipertontonkan secara mengejut di Malaysia, dengan penawaran varian 2.0i EyeSight. Model ini akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan dijangka berharga di bawah RM190k apabila ia dilancarkan secara rasmi pada bulan Mei tahun ini.

    Sebelum ini dikenali sebagai XV, dan sebagai pengganti kepada model generasi terdahulu versi facelift yang dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Disember 2021, model ini pada asasnya masih merupakan hatchback Impreza yang ditinggikan, dengan elemen gaya SUV seperti pelindung plastik hitam pada gerbang roda dan bampar.

    Buat masa ini, maklumat rasmi bagi spesifikasi versi Malaysia masih tidak didedahkan sepenuhnya. Namun, berdasarkan penamaan variannya, 2.0i EyeSight, ia dijangka dilengkapi enjin boxer 2.0 liter empat-silinder tanpa pengecas turbo, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda symmetrical (AWD) yang dicipta khas jenama ini, serta pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight.

    Dibina dengan versi terkini Subaru Global Platform (SGP), SUV generasi ketiga ini dipertingkatkan dimensi panjangnya sebanyak 15 mm, menjadi 4,480 mm, namun 40 mm lebih rendah kepada 1,575 mm, manakala lebar 1,800 mm dan jarak roda 2,670 mm kekal tidak berubah, dan untuk jarak kelegaan tanah (ground clearance) pula sekitar 200 mm.

    Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 dipertontonkan di Malaysia – CBU dari Jepun, harga bawah RM190k

    Rangkaian kuasanya dijangka merupakan kesinambungan daripada unit suntikan terus FB20D yang digunakan pada model facelift generasi terdahulu, yang menghasilkan kuasa cecah 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm, memacu keempat-empat roda melalui transmisi Lineartronic CVT bersama sistem pacuan semua roda symmetrical yang dinyatakan di atas.

    Model generasi ketiga yang menggantikan XV generasi kedua, menampilkan gaya rekaan yang diperbaharui pada bentuk yang masih dikenali, bermula dengan jalur krom pada gril yang bersambung dengan lampu DRL LED pada setiap lampu hadapan. Gril heksagon kelihatan lebih garang berbanding model terdahulu, dan elemen gaya berbentuk-C diterapkan di seluruh rekaan, seperti pada bucu bampar, lampu nyalaan siang (DRL), serta elemen lampu belakang.

    Di bahagian atas, rel bumbung pada Crosstrek kini lebih berbentuk segi berbanding pada XV generasi kedua, manakala set roda bagi unit yang dipaparkan ini menggunakan tayar bersaiz 225/55R18 yang membaluti rim 18-inci dengan rekaan turbin dwi-warna seperti yang dilihat pada unit yang dipamerkan menerusi acara GIIAS 2024 di Indonesia dan versi mild-hybrid di Jepun.

    Reka bentuk papan pemuka Crosstrek pula diinspirasi daripada model WRX/Levorg untuk sebahagian besar susun aturnya. Sepasang meter analog mengapit paparan pelbagai maklumat di tengah, manakala unit infotainmen tengah berorientasikan menegak, dengan corong penyaman udara menegak di kedua-dua sisinya. Oleh itu, paparan kecil yang terletak di atas unit infotainmen utama pada XV generasi kedua kini tidak lagi ditampilkan.

    Ciri ketersambungan dalam Crosstrek merangkumi input audio tambahan 3.5 mm, bersama port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A, serta pad pengecasan peranti tanpa wayar Qi, selain soket kuasa 12 voltan untuk penumpang hadapan. Penumpang barisan kedua pula mendapat port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A. Untuk sambungan telefon pintar, Android Auto dan Apple CarPlay dijangka akan diberikan.

    Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dengan cagak kerusi kanak-kanak ISOFIX terletak pada bahagian luar tempat duduk belakang. Di bawah lantai ruang but terdapat tayar simpanan sementara jenis “space saver” bersaiz 185/65R17.

    Seperti yang ditunjukkan oleh nama variannya, Crosstrek dilengkapi dengan pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, AEB serta pemantau perhatian pemandu berasaskan kamera.

    Subaru Crosstrek 2026 dijangka mula dijual di Malaysia pada bulan Mei tahun ini, dengan harga di bawah paras RM190k. Model ini akan diimport sepenuhnya (CBU), selaras dengan hala tuju jenama tersebut ke arah barisan produk CBU dari Jepun sepenuhnya untuk pasaran Malaysia bermula 2025.

     
     
  • Yamaha Tenere 700 2026 dilancar di Malaysia – banyak bahagian dinaik taraf, TC, mod tunggangan, RM59k

    Yamaha Tenere 700 2026 dilancar di Malaysia – banyak bahagian dinaik taraf, TC, mod tunggangan, RM59k

    Didedahkan kali pertama pada penghujung tahun 2024, versi terkini bagi Yamaha Tenere 700 kini sudah tiba di Malaysia, dilancarkan pada harga RM58,998 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini sebenarnya adalah daripada versi Rally, tetapi datang dengan spesifikasi versi Standard. Banyak pembaharuan dibuat bagi model baru ini, bermula dengan panel badan, yang termasuk penghadang angin hadapan, tangki, lampu LED hadapan serta tempat duduknya.

    Kemudiannya sekarang, Tenere 700 sudah menggunakan sistem pendikit ride-by-wire YCC-T, sekaligus membolehkan ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman (boleh ditutup) serta mod tunggangan, yang disediakan dalam dua pilihan (Sport dan Explorer).

    Yamaha Tenere 700 2026 dilancar di Malaysia – banyak bahagian dinaik taraf, TC, mod tunggangan, RM59k

    Sama seperti sebelum ini, Tenere 700 mempunyai sistem ABS yang boleh dipilih, sama ada untuk berfungsi di hadapan dan belakang, hadapan sahaja atau ditutup terus, tetapi sekarang ia dilengkapi dengan butang khas untuk melakukan pilihan tersebut di sebelah meter TFT 6.3 inci barunya (dengan sambungan kepada telefon pintar).

    Meter serta fungsi utama motosikal ini boleh dikawal melalui butang baru di bahagian kiri pemegang, yang kini berupa tombol kecil, seperti pada MT-07. Untuk bahagian pengendalian, Yamaha telah menambah baik fork 43 mm pada model ini dengan pelarasan pra beban (selain mampatan dan lantunan), manakala monoshock belakang juga boleh dilaras sepenuhnya.

    Jarak gerak suspensi ini masih lagi 210 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sekaligus tinggi tempat duduk juga tidak berubah – 875 mm. Jarak dari tanah pula adalah 240 mm manakala tangki bahan api masih berkapasiti 16 liter.

    Ciri ergonomik motosikal ini turut tidak diabaikan dengan pembaharuan yang dibuat antaranya menggunakan penutup klac yang lebih nipis supaya tidak mengganggu kaki penunggang serta pemijak kaki yang lebih lebar dan panjang.

    Enjin secara asasnya tidak diubah, masih lagi unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, yang berkemampuan 73.4 PS pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm, tetapi ia mempunyai salur udara baru serta transmisi yang ditala semula.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Tenere 700 2025 adalah rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, soket pengecas serta brek yang terdiri daripada set cakera berkembar 282 mm dengan angkup Brembo di hadapan dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Berat keseluruhan Tenere 700 adalah 208 kg.

     
     
  • KPDN gagalkan cubaan seleweng 800L diesel di Johor

    KPDN gagalkan cubaan seleweng 800L diesel di Johor

    Jurang perbezaan harga bahan api bersubsidi di Malaysia dengan harga di pasaran lain menjadi antara punca aktiviti penyelewengan bahan api tetap berleluasa kerana ia dianggap sebagai menguntungkan para penyeludup. Walau pun ada risiko ‘kantoi’ namun ada yang menganggapnya ‘berbaloi’ kerana pulangan yang tinggi membutakan mata untuk sindiket sebegini terus menjalankan aktiviti haram tersebut.

    Terkini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng 800 liter diesel di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor.

    Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, bahan api itu ditemukan selepas Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) menahan dan memeriksa sebuah lori mencurigakan sekitar jam 2 petang kelmarin. Pemeriksaan mendapati lori itu diubah suai dengan pemasangan dua pam disambung terus dari tangki asal kenderaan ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di ruang simpanan dan dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter diesel.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, beliau turut berkata pemandu lori terbabit gagal mengemukakan dokumen sah termasuk permit khas menyimpan atau tujuan pembelian minyak diesel. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,716 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan oleh KPDN antara 1 Januari 2024 hingga 27 Mac 2026 sebagai tindakan membanteras penyeludupan petrol dan diesel, menyaksikan lebih RM32 juta nilai petrol dan diesel dirampas, serta 667 individu ditahan. Malah KPDN semakin agresif melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk menangani aktiviti haram ini termasuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko tinggi bagi membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih berkesan memandangkan rakaman akan disalurkan terus ke pusat kawalan penguatkuasaan KPDN dan pejabat negeri.

     
     
  • TNB: Kadar ST AFA untuk April 2026 -0.47 sen/kWh

    TNB: Kadar ST AFA untuk April 2026 -0.47 sen/kWh

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah umumkan bahawa kadar Automatic Fuel Adjustment (AFA) oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mencapai -0.47 sen per kWh bagi April, naik dari -2.15 pada Mac 2026. Ramalan untuk April awalnya dijangka -1.89, menjadikan ini satu peningkatan yang ketara.

    Ini sudah dijangka memandangkan harga minyak mentah global kini mencecah lebih US$110 (RM443) setong. Namun TNB lebih bergantung kepada arang dan gas untuk penjanaan elektrik, maka harga bahan api yang meningkat di pasaran global belum memberi kesan besar terhadap pengguna EV ketika ini.

    Berdasarkan ramalan tiga-bulan sebelum ini, AFA hanya dijangka memasuki wilayah angka positif pada Julai (+0.08 sen per kWh), selepas jatuh pada bulan Jun kepada -0.91.

    AFA telah menggantikan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang digunakan sebelumnya, dan akan dikira secara automatik sebagai sama ada lebihan atau diskaun sehingga 3 sen/kWh bergantung kepada harga bahan api — kaedah yang dikemaskini secara bulanan, dengan perubahan yang lebih besar (lebih daripada 3 sen) memerlukan kelulusan kabinet.

    TNB: Kadar ST AFA untuk April 2026 -0.47 sen/kWh

    Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Penstrukturan Semula Tarif Elektrik TNB yang mula dilaksanakan pada 1 Julai 2025, AFA merupakan satu daripada lima komponen atau ‘caj’ yang diguna untuk mengira bil elektrik anda:

    • Caj penjanaan: 27.03 sen/kWh untuk penggunaan keseluruhan sebanyak 1,500 kWh ke bawah setiap bulan, atau 37.03 sen/kWh untuk penggunaan keseluruhan lebih daripada 1,500 kWh sebulan. Ini meliputi kos sebenar penjanaan elektrik dari loji jana kuasa.
    • Caj kapasiti: 4.55 sen/kWh. Ini meliputi kos untuk menyelenggara kapasiti bekalan elektrik yang mencukupi.
    • Caj jaringan: 12.85 sen/kWh. Ini meliputi kos operasi dan penyelenggaraan grid dan jaringan lokal untuk menyampaikan elektrik.
    • Caj runcit: RM10/sebulan; dimansuhkan untuk penggunaan bulanan 600 kWh ke bawah. Ini kos tetap untuk bacaan meter, bil dan layanan pelanggan.
    • Caj AFA: -0.47 sen/kWh untuk April 2026; dimansuhkan untuk penggunaan keseluruhan kurang daripada 600 kWh sebulan.

    TNB: Kadar ST AFA untuk April 2026 -0.47 sen/kWh

    Anda boleh menggunakan alat kiraan TNB Bill Calculator untuk mendapatkan anggaran kasar bil elektrik anda untuk sebulan. Ringkasnya, jika anda menggunakan lebih daripada 1,500 kWh sebulan, anda tambahkan caj penjanaan, kapasiti dan rangkaian (semuanya 54.43 sen/kWh) kepada caj runcit (RM10) dan kadar AFA (-0.47 sen/kWh untuk April 2026; angka negatif, maka ia adalah diskaun).

    Atau, jika penggunaan anda kurang daripada 1,500 kWh sebulan, ia adalah 44.43 sen/kWh ditambah dengan caj runcit dan kadar AFA. Untuk penggunaan keseluruhan kurang daripada 600 kWh, ia akan menjadi RM44.43 sen/kWh — caj runcit dan AFA dimansuhkan.

    Berikut senarai bulanan kadar AFA setakat ini:

    • Julai 2025: 0.00 sen/kWh
    • Ogos 2025: -1.45 sen/kWh
    • September 2025: -1.10 sen/kWh
    • Oktober 2025: -6.50 sen/kWh
    • November 2025: -8.91 sen/kWh
    • Disember 2025: -6.42 sen/kWh
    • Januari 2026: -4.99 sen/kWh
    • Februari 2026: -2.77 sen/kWh
    • Mac 2026: -2.15 sen/kWh
    • April 2026: -0.47 sen/kWh

    Pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 1,000 kWh sebulan boleh menikmati diskaun ‘Insentif Cekap Tenaga’. Apa yang diskaun ini memberikan adalah relatif kepada penggunaan (penggunaan tinggi, insentif rendah), dengan diskaun maksimum sebanyak 25 sen/kWh.

    Sementara itu, pengguna domestik yang mempunyai meter pintar juga mempunyai pilihan untuk memasukkan skim Time of Use (ToU), yang membolehkan mereka menukar corak penggunaan elektrik dan memanfaatkan kadar tarif yang lebih rendah ketika waktu bukan-puncak untuk menikmati penjimatan dalam bil bulanan.

    Skim tersebut mempunyai dua zon masa, dengan masa bukan-puncak adalah dari 10pm hingga 2pm dari Isnin hingga Jumaat dan seharian pada hujung minggu. Waktu puncak pula adalah dari 2pm hingga 10pm pada haria biasa. Berikut caj tenaga di bawah skim ini:

    Bagi penggunaan bulanan kurang daripada 1,500 kWh:

    • Tarif puncak: 28.52 sen per kWh
    • Tarif bukan-puncak: 24.43 sen per kWh

    Bagi penggunaan bulanan lebih daripada 1,500 kWh:

    • Tarif puncak: 38.52 sen per kWh
    • Tarif bukan-puncak: 34.43 sen per kWh
     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026