Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Omoda C9 Matte Black Limited Edition di Malaysia – unit terhad, penghantaran sudah bermula, RM192k

    Omoda C9 Matte Black Limited Edition di Malaysia – unit terhad, penghantaran sudah bermula, RM192k

    Model edisi khas Omoda C9 Matte Black Limited Edition yang diperkenalkan Disember lalu kini dipertontonkan kepada umum di acara jelajah di 1 Utama, lokasi sama pelancaran varian Omoda C9 PHEV sebelum ini. Kehadiran model ini nyata mencuri perhatian dengan penampilan lebih garang dan eksklusif.

    Berdasarkan perkongsian beberapa pengedar di media sosial, penghantaran kepada pelanggan dilaporkan sudah pun bermula. Menariknya, jumlah unit bagi edisi terhad ini dikatakan antara 100 hingga 120 unit sahaja, tetapi angka tepat masih belum disahkan. Model ini juga dipercayai ditawarkan dalam varian pacuan semua roda (AWD) sahaja, sesuatu yang dapat diperhatikan melalui penggunaan angkup brek berwarna merah.

    Seperti namanya, kemasan hitam kusam menjadi identiti utama model ini, namun tidak semua bahagian diberikan sentuhan tersebut. Panel ‘OMODA’ di atas gril masih mengekalkan kemasan hitam berkilat, manakala jalur pada bampar belakang serta kemasan sisi di bahagian bawah pintu masih menggunakan elemen krom.

    Antara komponen yang menerima kemasan hitam berkilat termasuklah jalur pada splitter hadapan, panel tengah diffuser belakang, rim aloi bersaiz 20 inci, rel bumbung serta bahagian bawah penutup cermin sisi. Untuk ruang kabin pula, tiada perubahan ketara dilakukan dan ia kekal seperti model standard.

    Kami diberitahu, pakej kosmetik ini ditawarkan pada harga RM3,000. Ini bermakna harga bagi Omoda C9 AWD yang asalnya RM188,800 akan meningkat kepada RM191,800 dengan penambahan pakej tersebut. Setakat ini, Omoda | Jaecoo Malaysia masih belum mengumumkan sama ada pakej ini boleh dipasang pada unit sedia ada.

    Sebagai imbasan, Omoda C9 yang dipasang di Shah Alam dan dilancarkan pada Disember 2024 merupakan SUV segmen D yang dijana enjin 2.0 liter turbo empat silinder, menghasilkan kuasa 261 PS dan tork 400 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, serta sistem suspensi MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang. Bagi varian AWD, ia turut dilengkapi sistem suspensi adaptif Continuous Damping Control bagi meningkatkan tahap keselesaan dan kawalan pemanduan.

     
     
  • Pemilik EV kena saman kerana guna JPJePlate dengan tulisan kecil, walhal ia plat asli tanpa ubahsuai

    Pemilik EV kena saman kerana guna JPJePlate dengan tulisan kecil, walhal ia plat asli tanpa ubahsuai

    Baru-baru ini tular di laman Facebook berkenaan seorang pemilik kenderaan elektrik (EV) yang menggunakan nombor plet khas JPJePlate, tetapi di saman atas kesalahan “nombor/lesen plat fancy yang tidak menepati spesifikasi kerana tulisan pada plat berkenaan didakwa terlalu kecil”.

    Menurut pemilik EV berkenaan plat yang digunakan tersebut adalah plat asli JPJePlate yang memang menampilkan tulisan yang lebih kecil. Ketika plat ini dilancarkan pada September 2024, JPJePlate yang menggunakan asas plat aluminium dan menampilkan tulisan berwarna hitam yang ditekan dengan latar belakang berwarna putih, hanya tampil dengan satu saiz tulisan standard untuk memuatkan sehingga lapan huruf dan nombor.

    Contoh JPJePlate dengan tulisan saiz biasa (kiri) dan saiz kecil (kanan)

    Namun pada Oktober 2024, pembekal plat berkenaan iaitu Handal Ceria telah memperkenalkan lagi satu versi JPJePlate untuk EV dengan tulisan lebih kecil dengan ukuran 52 x 11 cm, bagi memuatkan 9 hingga 13 huruf dan nombor, contohnya plat XXVIASEAN, PUTRAJAYA dan MALAYSIA.

    Apa yang pelik pada JPJePLate milik individu yang disaman ini ialah, ia masih plat dalam versi lapan huruf/nombor dalam susunan “XXX XXXX X”, tetapi menggunakan tulisan dalam versi lebih kecil, menyebabkan ia didakwa tidak menepati syarat yang ditetapkan.

    Pemilik berkenaan kemudiannya pergi ke balai polis untuk membatalkan saman tersebut, namun tindakan tersebut tidak boleh diambil dan ia perlu diselesaikan di Mahkamah.

    Kami telah menghubungi pihak Handal Ceria berkenaan isu ini, namun syarikat itu menyatakan bahawa perkara berkenaan telahpun dibawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

     
     
  • Isuzu D-Max dengan enjin 2.2L Ddi MaxForce akan dilancar di Malaysia, ganti enjin 1.9L; ROI dibuka

    Isuzu D-Max dengan enjin 2.2L Ddi MaxForce akan dilancar di Malaysia, ganti enjin 1.9L; ROI dibuka

    Isuzu Malaysia bakal melancarkan trak pikap D-Max 2026 dengan enjin turbodiesel baharu 2.2 liter Ddi MaxForce, dan pendaftaran minat (ROI) untuknya sudahpun dibuka. Sama seperti pasaran Thailand, penawaran enjin baharu RZ4F-TC 2.2L Ddi MaxForce ini akan menggantikan model-model yang menggunakan enjin turbodiesel empat-silinder RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Bluepower.

    Menurut maklumat yang disiarkan menerusi laman ROI tersebut, enjin baharu berkenaan patuh regulasi Euro-5 dan menghasilkan kuasa 163 PS dan tork maksima 400 Nm, sama seperti angka kuasa yang ditawarkan di pasaran Thailand; lebih berkuasa dari enjin 1.9L sebelumnya yang hanya menghasilkan 150 PS/350 Nm.

    Enjin 2.2L MaxForce ini sebenarnya masih diasaskan dari enjin 1.9L Ddi Bluepower, namun kapasitinya ditingkatkan dari 1,898 cc kepada 2,164 cc menerusi pemadanan liner silinder dan omboh baharu (83mmx100 mm). Selain itu enjin ini juga diberikan rod penghubung dan aci engkol dan kepala silinder baharu.

    Omboh baharu berkenaan bukan sahaja lebih besar, malah ia turut disalut dengan bahan yang menjadikan daya geserannya jauh lebih rendah serta direka bagi menghasilkan pusaran lebih tinggi untuk melaras aliran udara yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih berkesan.

    Isuzu D-Max dengan enjin 2.2L Ddi MaxForce akan dilancar di Malaysia, ganti enjin 1.9L; ROI dibuka

    Enjin 2.2L ini juga menerima penyuntik bahan api dengan tekanan lebih tinggi iaitu 250 MPa berbanding 180 MPa pada versi 1.9L. Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (E-VGS) juga dikemaskini menampilkan aliran masuk dan bilah turbin lebih besar, bersama injap wastegate yang dikawal oleh kotak komputer enjin berbanding enjin 1.9L yang masih menggunakan tekanan spring konvensional.

    Akhir sekali enjin baharu ini turut diperkemas dengan sistem pelinciran lebih baik yang bukan sahaja meningkatkan pretasi, malah turut memberikan ketahanan lebih tinggi.

    Di Thailand enjin baharu ini juga datang dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu bagi menggantikan kotak gear automatik enam-kelajuan pada enjin 1.9L. Manakala untuk versi manual ia masih diberikan kotak gear enam-kelajuan.

    Dengan penawaran enjin baharu ini, senarai varian untuk D-Max 2026 adalah seperti berikut:

    • X-Terrain – 3.0L AT
    • Premium – 2.2L AT dan 3.0L AT
    • Auto Plus – 2.2L AT
    • Standard – 2.2L AT dan 2.2L MT
    • Single Cab – 2.2L AT dan 2.2L MT

    Jadi berbanding barisan varian D-Max sebelum ini, ada dua varian telah digugurkan iaitu V-Cross dan Low Ride. Juga berdasarkan apa yang ditawarkan di Thailand, model kemaskini terbaharu ini tidak akan melibatkan perubahan pada rupa dan ia akan terus menggunakan penggayaan dari D-Max facelift 2023.

    GALERI: Isuzu D-Max Hi-Lander 2.2 Ddi MaxForce M A/T di BIMS 2025

     
     
  • BMW i3 2026 – 3 Series EV NA0 dengan kuasa hingga 469 PS, jarak gerak WLTP 900 km, cas DC 400 kW

    BMW i3 2026 – 3 Series EV NA0 dengan kuasa hingga 469 PS, jarak gerak WLTP 900 km, cas DC 400 kW

    BMW membuka lembaran baru dalam era elektrifikasi menerusi pengenalan generasi Neue Klasse, dan selepas kemunculan iX3 tahun lalu, kini tumpuan beralih kepada model yang paling dinantikan iaitu BMW i3 (kod NA0). Model ini merupakan interpretasi semula kepada barisan 3 Series yang selama ini dikenali sebagai sedan sports ikonik jenama dari Bavaria dan kini diolah sepenuhnya untuk era kenderaan elektrik.

    Tidak lagi berkongsi asas dengan model enjin pembakaran dalaman, i3 dibangunkan di atas platform khas EV serba baru, lengkap dengan seni bina elektrik 800 volt. Pendekatan ini membolehkan pengecasan lebih pantas serta prestasi yang dipertingkatkan. Pada masa sama, BMW turut memperkenalkan bahasa rekaan yang berbeza sepenuhnya, baik pada bahagian luaran mahupun dalaman, selain konsep paparan digital generasi terkini.

    Walaupun sarat dengan teknologi moden, BMW mengekalkan bentuk sedan konvensional untuk i3 dengan rekaan berkotak yang lebih klasik, berbeza daripada trend rekaan aerodinamik ekstrem yang popular ketika ini. Bahagian cermin sisi yang tegak diinspirasikan daripada model BMW era 1970-an hingga 1990-an, manakala elemen moden diserlahkan melalui perincian yang sebelum ini diperlihatkan menerusi konsep i Vision Dee dan Vision Neue Klasse.

    BMW i3 2026 – 3 Series EV NA0 dengan kuasa hingga 469 PS, jarak gerak WLTP 900 km, cas DC 400 kW

    Di bahagian hadapan, i3 menampilkan rekaan ‘shark nose’ dengan dua panel hitam berkilat yang melebar ke sisi, bersambung kepada lampu utama LED empat unit serta lampu siang berbentuk garis serong. Berbeza dengan iX3, tiada gril “kidney” tradisional, sebaliknya elemen pencahayaan digunakan bagi memberikan ilusi bentuk ikonik tersebut.

    Rekaan badan keseluruhannya tampak lebih bersih dan minimalis berbanding model BMW terdahulu. Bonet hadapan rata dengan lekuk tengah yang menempatkan logo jenama, manakala bahagian sisi menampilkan lengkungan fender yang memberi imej lebih tegap. Garisan badan yang rendah pula membantu memberikan ilusi kedudukan yang lebih sporty.

    Identiti klasik BMW seperti ‘Hofmeister Kink’ masih dikekalkan, namun kali ini direka menggunakan kemasan plastik hitam. Buat pertama kali pada 3 Series, pemegang pintu jenis ‘flush’ dengan mekanisme elektronik turut diperkenalkan. Di bahagian belakang, lampu berbentuk L yang nipis dan lebar memberikan penampilan moden, bersama rekaan lekuk pada bahagian tengah yang menempatkan logo.

    BMW i3 2026 – 3 Series EV NA0 dengan kuasa hingga 469 PS, jarak gerak WLTP 900 km, cas DC 400 kW

    Dimensi i3 sebenarnya lebih besar berbanding 3 Series generasi G20, walaupun kelihatan lebih kompak. Ia berukuran 4,760 mm panjang, 1,865 mm lebar dan 1,480 mm tinggi, dengan jarak roda 2,897 mm. Pertambahan saiz ini dijangka memberi lebih ruang, khususnya untuk penumpang belakang.

    Masuk ke ruang kabin, fokus utama jelas diberikan kepada pemandu. Susun atur dalaman banyak berkongsi elemen dengan iX3, termasuk sistem Panoramic iDrive berasaskan BMW Operating System X. Paparan instrumen tradisional digantikan dengan paparan Panoramic Vision yang memanjang dari tiang A ke tiang A, digabungkan dengan skrin infotainmen 17.9 inci berbentuk parallelogram.

    Stereng turut menerima rekaan baru dengan jejari pada posisi jam 12 dan 6, manakala head-up display 3D ditawarkan sebagai pilihan. Sistem ini juga menyokong pembantu suara “Hey BMW” yang kini dipertingkat dengan fungsi AI generatif melalui integrasi Amazon Alexa+.

    Antara ciri moden lain termasuk pengecas tanpa wayar Qi2 dengan sokongan magnetik, bumbung kaca panoramik dengan penebat haba, serta pelbagai pilihan kemasan dalaman termasuk fabrik Econeer, kulit tiruan Veganza dan kulit Merino asli. Tempat duduk pula ditawarkan dalam beberapa konfigurasi termasuk versi M Sport dengan sokongan lebih agresif.

    Dari segi kuasa, i3 memperkenalkan trenkuasa Gen6 baru BMW. Varian pertama yang ditawarkan ialah i3 50 xDrive dengan konfigurasi dua motor, menghasilkan 469 PS dan 645 Nm tork. Apa yang lebih mengagumkan ialah jarak pemanduan yang mencecah sehingga 900 km mengikut kitaran WLTP, hampir 100 km lebih jauh berbanding iX3.

    Walaupun kapasiti bateri belum diumumkan secara rasmi, ia dijangka menggunakan pek sekitar 108.7 kWh dengan teknologi sel silinder baru yang meningkatkan ketumpatan tenaga. Sistem pengecasan pantas DC pula menyokong sehingga 400 kW, membolehkan tambahan jarak sekitar 400 km hanya dalam masa 10 minit. Pengecasan AC sehingga 22 kW turut ditawarkan, bersama fungsi pengecasan dua hala dan vehicle-to-load (V2L).

    BMW i3 2026 – 3 Series EV NA0 dengan kuasa hingga 469 PS, jarak gerak WLTP 900 km, cas DC 400 kW

    Dari aspek pemanduan, BMW memberi penekanan besar terhadap dinamik pemanduan menerusi sistem ‘Heart of Joy’, iaitu komputer pusat yang mengawal stereng, brek dan motor dengan kadar respons sepuluh kali lebih pantas berbanding sistem terdahulu. Suspensi menggunakan gabungan MacPherson di hadapan dan gandar lima pautan di belakang, dengan pilihan suspensi adaptif M untuk varian pacuan semua roda.

    Sistem brek regeneratif turut dipertingkatkan sehingga mampu mengendalikan hampir keseluruhan proses membrek, manakala fungsi “soft stop” memastikan pemberhentian yang lebih lancar tanpa sentakan. Seperti model BMW moden lain, i3 dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 2.

    BMW i3 dijadualkan memasuki fasa pengeluaran bermula Ogos ini sebelum dilancarkan di pasaran Eropah pada separuh kedua tahun ini. Dengan transformasi besar ini, i3 dilihat sebagai simbol perubahan arah BMW dalam era elektrifikasi, sekali gus membuka persoalan sama ada pendekatan baru ini mampu mengekalkan legasi 3 Series sebagai sedan sports pilihan utama.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Mac – RON97 naik 70 sen seliter, diesel untuk Semenanjung naik 80 sen seliter

    Harga minyak 19-25 Mac – RON97 naik 70 sen seliter, diesel untuk Semenanjung naik 80 sen seliter

    Nampak gayanya harga minyak dunia kian ‘meroket’ akibat konflik di Asia Barat, sekaligus mendorong peningkatan harga runcit bagi bahan api utama di Malaysia. Bagi tempoh antara 19 hingga 25 Mac 2026, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 70 sen seliter menjadi RM4.55 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia dikekalkan seperti minggu sebelum ini iaitu RM3.27 seliter. Begitu juga harga runcit petrol bersubsidi RON95 yang masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Untuk harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia dinaikkan 80 sen seliter menjadi RM4.72 seliter untuk gred B10/B20 dan RM4.92 seliter bagi gred B7. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia masih berharga RM2.15 seliter.

    Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa harga RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walau pun harga pasaran minyak dunia ketika ini naik ketara susulan ketegangan di Asia Barat.

    Beliau turut berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

     
     
  • MINI Paul Smith Edition 2026 dilancar di Malaysia – guna asas Cooper SE EV, unit terhad, harga RM222k

    MINI Paul Smith Edition 2026 dilancar di Malaysia – guna asas Cooper SE EV, unit terhad, harga RM222k

    MINI Malaysia memperkenalkan model edisi khas terbaru, MINI Paul Smith Edition, khas untuk peminat pereka fesyen terkenal dari Britain, Paul Smith. Model ini ditawarkan dalam jumlah terhad serta hadir dengan dua pilihan warna eksklusif, sekaligus menjadikannya antara varian MINI yang paling unik di pasaran tempatan.

    Dibangunkan berasaskan model elektrik sepenuhnya Cooper SE, MINI Paul Smith Edition ditawarkan pada harga RM222,222 atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan standard dua tahun tanpa had perbatuan. Bagi pelanggan yang memilih pakej MINI Service and Repair Inclusive (MSRI) merangkumi jaminan dan servis selama empat tahun, harga naik menjadi RM228,522. Secara perbandingan, pembeli perlu membayar kira-kira RM28,000 lebih tinggi berbanding Cooper SE biasa untuk memiliki edisi yang lebih eksklusif ini.

    Dari sudut mekanikal, tiada perubahan dilakukan berbanding Cooper SE standard. Ia dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 54.2 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 402 kilometer mengikut piawaian WLTP.

    MINI Paul Smith Edition 2026 dilancar di Malaysia – guna asas Cooper SE EV, unit terhad, harga RM222k

    Sistem pengecasan AC menyokong kuasa maksimum 11 kW, manakala pengecasan pantas DC pula mencapai sehingga 95 kW, membolehkan tahap bateri meningkat dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang 30 minit. Kuasa disalurkan kepada motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm tork, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j.

    Dari segi penampilan, model edisi khas ini tampil dengan sentuhan warna Nottingham Green pada cermin sisi, gril hadapan serta penutup hab roda. Warna sama turut digunakan pada bahagian bumbung, diserlahkan lagi dengan jalur ikonik rekaan Paul Smith yang merentasi bahagian antara tiang B dan C.

    Roda aloi bersaiz 18 inci jenis ‘Slide Spoke’ juga diberikan kemasan Nottingham Green, digabungkan dengan perincian Dark Steel serta penutup hab yang memaparkan logo Paul Smith. Identiti luaran turut diperkemaskan dengan lambang MINI berwarna Black Blue dan tulisan ‘Paul Smith’ dalam tona Anthracite Grey pada pintu belakang.

    Masuk ke dalam, lampu ‘puddle’ pada cermin sisi memaparkan tulisan ‘hello’ dalam gaya tulisan tangan Paul Smith sebagai sambutan kepada penumpang. Tempat duduk pula menggunakan balutan Vescin dalam warna Nightshade Blue JCW Sports, lengkap dengan corak Shadow Stripe pada bahagian bahu dan perehat kepala serta label khas Paul Smith.

    Corak Shadow Stripe turut diterapkan pada papan pemuka, diinspirasikan daripada jalur ikonik pereka tersebut. Di bahagian penumpang hadapan, terdapat jalur kulit hitam dengan jahitan biru sebagai elemen hiasan, manakala kemasan pada ambang pintu memaparkan mesej “Every day is a new beginning!” dalam tulisan tangan beliau.

    Perincian lain yang mencuri perhatian termasuk motif arnab yang disulam pada alas kaki, selain jalur tekstil berwarna pada stereng yang menambahkan elemen ceria. Sistem infotainmen skrin sentuh bulat turut menerima sentuhan khas dengan tiga latar belakang eksklusif rekaan Paul Smith untuk mod Personal, lengkap dengan jalur ikonik yang disepadukan secara halus pada bahagian atas paparan.

    GALERI: MINI Paul Smith Edition warna Statement Grey


    GALERI: MINI Paul Smith Edition warna Inspired White

     
     
  • Polis tumpaskan sindiket curi dan klon kenderaan – 12 individu ditahan, 12 kenderaan bernilai RM1.1j disita

    Polis tumpaskan sindiket curi dan klon kenderaan – 12 individu ditahan, 12 kenderaan bernilai RM1.1j disita

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket curi dan klon kenderaan dalam satu operasi yang menyaksikan 12 individu ditahan, laporan Free Malaysia Today. Suspek berusia antara 33 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman antara 12 hingga 15 Mac, dan telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut.

    Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman, M Kumar, operasi tersebut dijalankan selepas kira-kira lima bulan risikan terhadap sindiket yang mahir dalam mengklon kenderaan dan menjual semula kereta terbabit. “Salah seorang suspek juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura berkaitan kes kecurian kenderaan dan telah diserahkan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Selain tangkapan, polis turut menyita 12 kenderaan pelbagai model termasuk Toyota, Honda dan Mazda dengan keseluruhannya bernilai anggaran RM1.1 juta. Daripada jumlah tersebut, lapan kenderaan didapati telah diubah identitinya, manakala empat lagi disahkan dicuri dari Singapura.

    Polis tumpaskan sindiket curi dan klon kenderaan – 12 individu ditahan, 12 kenderaan bernilai RM1.1j disita

    Pemeriksaan polis mendapati bahawa nombor casis dan enjin kenderaan yang diklon telah diubah, malah ada yang diubah sehingga identiti asalnya tidak dapat dikenal pasti. M Kumar menjelaskan bahawa sindiket tersebut menggunakan kenderaan curi atau kenderaan yang telah diisytiharkan sebagai “total loss”.

    “Kenderaan ini kelihatan sah walaupun selepas pemeriksaan dan kadangkala dijual melalui pengedar yang kelihatan seolah-olah sah,” katanya, sambil menambah bahawa semakan lanjut mendapati sebahagian kenderaan klon itu turut mempunyai dokumen sah daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kecurian kenderaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Polis kini sedang berusaha mengesan ahli sindiket lain dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli kenderaan, terutamanya jika ditawarkan pada harga yang terlalu rendah. Pemilik kenderaan yang telah diisytiharkan sebagai “total loss” juga digesa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti kenderaan mereka.

     
     
  • Wing Hin Motorsports bawa cabaran Malaysia ke siri perlumbaan Super Taikyu & TGR GR86/BRZ Cup 2026

    Wing Hin Motorsports bawa cabaran Malaysia ke siri perlumbaan Super Taikyu & TGR GR86/BRZ Cup 2026

    Pasukan Wing Hin Motorsports dari Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia akan terus bertanding dalam siri perlumbaan Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup di Jepun untuk musim penuh 2026 bagi mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih musim lalu, dan sebagai tambahan pasukan itu juga turut akan membuat penampilan dalam siri perlumbaan ketahanan Eneos Super Taikyu secara musim penuh tahun ini.

    Perlumbaan pertama Eneos Super Taikyu 2026 akan bermula hujung minggu ini iaitu 21 hingga 22 Mac dengan dua perlumbaan masing-masing selama empat-jam yang berlangsung di litar Mobility Resort Motegi, di mana Wing Hin Motorsport akan mempertaruhkan Toyota GR Supra GT4 Evo2, dipandu oleh dua pemandu negara iaitu Naquib Azlan dan Amer Harris, serta dibantu oleh seorang pemandu Jepun Shuji Maeshima.

    “Peralihan ke Super Taikyu sebahagian besarnya didorong oleh kejayaan pasukan dalam siri clubman Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Cup 2025 di mana Naquib memenangi gelaran juara keseluruhan dalam musim penuh pertama kami dan Amer menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, serta memperoleh tempat ke-4 dalam kelas bersama Mitchell Cheah dalam Siri Langstrecken ADAC Nurburgring 4 Jam pada tahun 2025. Bersaing di Jepun menggariskan objektif jangka panjang untuk memberi inspirasi, menyokong dan menyediakan platform yang mampan kepada pemandu muda berbakat dari seluruh Asia untuk menaiki tangga sukan permotoran. Kami berada dalam usaha ini untuk mewujudkan peluang baharu untuk pemandu muda berbakat ini,” kata Ketua Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh.

    Siri Eneos Super Taikyu 2026 akan menampilkan 7 pusingan perlumbaan, semuanya berlangsung di pelbagai litar di Jepun. Pusingan 2 akan berlangsung selama 5 Jam pada 18-19 April di Litar Suzuka sebelum pemandu berehat sebagai persediaan untuk Pusingan 3 yang akan berlangsung selama 24 Jam di Fuji Speedway dari 5-7 Jun. Pusingan 4 Siri ini akan berpindah ke Sportsland Sugo untuk dua perlumbaan 4 Jam individu dari 4-5 Julai; diikuti oleh Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Autopolis untuk perlumbaan tunggal selama 5 Jam pada 25-26 Julai; dan pusingan kedua terakhir pada 24-25 Oktober di Litar Antarabangsa Okayama untuk dua perlumbaan 3 Jam. Pusingan ke-7 dan terakhir akan membawa pemandu kembali ke Fuji Speedway untuk perlumbaan tunggal selama 4 Jam.

    Penyertaan Wing Hin Motorsports ke Jepun dibimbing oleh Masahiro Sasaki yang bertindak sebagai penasihat pasukan. Masahiro Sasaki memainkan peranan penting dalam membimbing pemandu muda Malaysia seperti Naquib Azlan dan Amer Harris semasa GR86/BRZ Cup Jepun 2025 yang pertama, yang membawa kepada keputusan membanggakan bagi pemandu muda ini di Jepun. Masahiro Sasaki merupakan pemandu Toyota Gazoo Racing dan juga merupakan pemandu pembangunan untuk Toyota dan Lexus. Pengalamannya juga termasuk bertanding dalam GR86/BRZ Cup, Super Taikyu; Nurburgring 24 Jam; dan memandu dalam Kelas GT300 Siri Autobacs Super GT.

    Untuk GR86/BRZ Cup 2026, pasukan Wing Hin Motorsport akan diwakili oleh seorang lagi pelumba muda negara iaitu Mitchell Cheah. Selain dari berlumba dalam perlumbaan siri ADAC Nurburgring Langstrecken 4-Jam tahun lalu, Cheah juga mengemudi GR Supra GT4 Evo2 Wing Hin Motorsport dalam Thailand Super Series (TSS) untuk bergelar juara kelas GT4.

    Cheah turut berperanan penting dalam memacu pasukan itu mencapai pelbagai kemenangan dan pencapaian dalam siri Trofi Idemitsu Super Endurance Asia Tenggara di Thailand, menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 dalam Kelas D3 pada tahun 2025; meraih tempat ke-2 dalam Kelas D4 pada tahun 2024; dan mendapat tempat ke-4 dalam Kelas D3 dan tempat ke-10 keseluruhan pada tahun 2023.

    Wing Hin Motorsports bawa cabaran Malaysia ke siri perlumbaan Super Taikyu & TGR GR86/BRZ Cup 2026

    Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Cup 2026 akan berlangsung dalam tujuh pusingan, dengan pembukaan musim dijadualkan pada 5 April di Litar Autopolis, kemudian beralih ke Pusingan 2 dari 16-17 Mei di Sportsland Sugo. Ia diikuti oleh Pusingan 3 dari 27-28 Jun di Litar Antarabangsa Okayama; dan Pusingan 4 dari 8-9 Ogos di Litar Lumba Tokachi; Pusingan 5 di Litar Fuji Speedway dari 5-6 September, diikuti oleh Pusingan 6 dari 3-4 Oktober di Litar Suzuka sebelum pusingan ke-7 dan terakhir di Mobility Resort Motegi dari 21-22 November.

    Wing Hin Motorsports juga terlibat dalam inisiatif Program Perlumbaan Pelanggan bagi menyediakan pasukan kepada pelumba muda Indonesia, Jordan Johan menerusi satu lagi GR86 yang akan berlumba di bawah panji Toyota Gazoo Racing Indonesia. Program yang telah diperkenalkan tahun lalu ini akan menyaksikan Wing Hin Motorsports menyediakan kereta, kru teknikal dan sokongan perlumbaan kepada pemandu berkenaan.

    “Program Perlumbaan Pelanggan disediakan untuk menyokong komitmen kami bagi membantu pemandu muda berbakat di Asia menaiki tangga sukan permotoran dengan cara yang lebih berstruktur dan mampan. Sukan permotoran memerlukan pelaburan yang besar tetapi dengan program ini, kami berharap dapat menyediakan individu, syarikat dan pasukan dengan penyertaan yang bukan sahaja dipercepatkan malah tetap kukuh. Program Perlumbaan Pelanggan juga meletakkan Wing Hin Motorsports secara strategik untuk meningkatkan pengalaman, kehebatan teknikal dan profesionalisme kami dalam sukan permotoran,” kata Loh.

     
     
  • Omoda C9 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM205,800 dengan rebat, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9 saat!

    Omoda C9 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM205,800 dengan rebat, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9 saat!

    Omoda | Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Omoda C9 PHEV, diumum dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM208,800. Ini bermakna harga yang ditawarkan tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding harga anggaran RM220,000 yang diumum ketika model ini dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia pada Ogos 2025, dan ia masih RM20,000 lebih mahal berbanding varian tertinggi bagi C9 dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya yang berharga RM188,800.

    Dan khas untuk pelanggan yang membuat tempahan awal SUV ini iaitu sebelum 30 April 2026, anda akan menerima rebat ‘duit raya’ bernilai RM3,000 menjadikan harga jualannya turun lagi bermula RM205,800, serta diberikan kabel untuk fungsi Vehicle-to-load (V2L) yang bernilai RM730 secara percuma.

    Rupa luaran bagi C9 PHEV ini adalah hampir sama sepenuhnya dengan varian yang dijana oleh enjin petrol penuh. Perbezaan yang boleh dilihat hanyalah ada empat kemasan empat segi yang kecil pada pembahagi kemasan tengah gril bawah bampar hadapan, emblem PHEV serta lencana ‘C9’ berwarna biru pada pintu tailgate belakang, dan ada satu penutup pada bahagian kiri belakang seperti penutup pengisi minyak yang menyimpan port pengecas bateri SUV hibrid elektrik ini.

    Bahagian kabin varian PHEV ini juga menampilkan rupa yang sama seperti C9 dengan enjin petrol penuh. Apa yang berbeza adalah suis putar untuk memilih mod pemanduan di bahagian tengah papan pemuka model petrol penuh diubah kepada fungsi pemilih mod hibrid atau elektrik penuh pada varian PHEV ini.

    Omoda C9 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM205,800 dengan rebat, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9 saat!

    C9 PHEV ini juga mempunyai perincian seperti model EV sebenar kerana tidak mempunyai butang penghidup enjin pada papan pemuka, dan kereta ini boleh dihidupkan dan dipandu sebaik sahaja ia mengesan kunci kereta berada pada tempat duduk pemandu.

    Perbezaan paling besar sudah tentu adalah dari segi unit rangkaian kuasa di mana C9 PHEV ini digerakkan oleh Super Hybrid System (SHS) Omoda Jaecoo. Ia menampilkan enjin petrol 1.5 liter empat-silinder turbo kitaran Miller yang menghasilkan 143 PS dan tork maksima 215 Nm, digandingkan dengan transmisi khas hibrid (DHT) tiga kelajuan yang dipek bersama dua motor elektrik masing-masing berkuasa 102 PS/170 Nm dan 122 PS/220 Nm bagi memacu roda hadapan.

    Tidak cukup dengan itu gandar belakang turut dipacu oleh satu lagi motor elektrik berkuasa 283 PS/310 Nm. Ini bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda pada SUV ini, malah menawarkan kuasa gandingan keseluruhan 605 PS dan tork maksima 915 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat!

    Sebagai perbandingan, C9 dalam varian enjin pembakaran dalaman pasaran Malaysia dibekalkan dengan enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan kuasa 261 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Omoda C9 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM205,800 dengan rebat, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9 saat!

    Semua motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 34.46-kWj. Bateri yang agak besar untuk sebuah model hibrid ini mampu memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 150 km menurut kitran ujian WLTP. Manakala dengan satu tangki petrol penuh, ia boleh bergerak sekitar 1,100 km dengan menggunakan mod Hybrid.

    Bateri berkenaan boleh di cas seperti EV sebenar, di mana C9 PHEV ini boleh menerima cas pantas DC sehingga 70 kW bagi memenuhkan bateri dari 30 hingga 80% dalam masa 25 minit. Ia juga menyokong sistem cas AC sehingga 6.6 kW, memmbolehkan kuasa elektrik diisi dari 30 hingga 100% dalam masa lima jam setengah.

    Perincian-perincian mekanikal lain masih lagi sama seperti varian dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang, serta penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC) yang kini turut telah diberikan pada varian AWD pada model dengan enjin petrol penuh.

    Model pasaran Malaysia ini datang dengan kelengkapan seperti lampu hadapan LED adaptif bersama fungsi ‘persembahan lampu’ mengikut rentak muzik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang LED, lampu isyarat membelok dinamik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, rel bumbung serta rim aloi 20-inci yang dibalut dengan tayar Michelin e-Primacy 245/50R20.

    Omoda C9 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM205,800 dengan rebat, 605 PS/915 Nm, 0-100 km/j 4.9 saat!

    Kabin bagi C9 PHEV ini menerima upholsteri kulit yang membaluti tempat duduk, panel instrumen dan juga roda stereng. Ia juga diberikan semua tempat duduk dengan fungsi pemanas dan pengalir udara, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat hala serta larasan posisi roda stereng juga dengan bantuan elektrik.

    Selain itu pemandu menerima paparan instrumen dengan skrin 12.3-inci dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Skrin infotainmen juga menerima skrin sesentuh 12.3-inci yang memberikan hubungan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, disambungkan kepada sistem bunyi Sony 390 watt dengan 14-pembesar suara termasuk sepasang pembesar suara yag terletak di dalam perehat kepala tempat duduk pemandu.

    Ia turut menerima sistem pendingin hawa dua zon dengan fungsi ion negatif dan sistem pengurusan udara segar serta pewangi kabin bina dalam, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, bumbung panaromik, lampu suasana kabin dengan 256 warna dan banyak lagi.

    Untuk keselamatan pula, SUV ini dibekalkan dengan kelengkapan seperti lapan-beg udara, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, pemantau tekanan angin tayar, kunci automatik (terbuka bila enjin dimatikan atau selepas kemalangan), sistem kamera 540-darjah dan pelbagai lagi.

    Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan bersama brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan cruise bersepadu, bantuan kesesakan jalan raya, pengehad kelajuan aktif pintar, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong dan pelbagai lagi.

    Setiap pembelian Omoda C0 PHEV ini akan dilindungi waranti kenderaan selama tujuh-tahun atau 200,000 km, waranti enjin selama 10-tahun atai satu juta km serta waranti untuk sistem hibrid elektrik termasuk bateri, motor elektrik dan sistem kuasa elektronik selama 10-tahun atau 200,000 km.

    50 unit terawal Omoda C9 PHEV ini merupakan unit yang diimport sepenuhnya dari China (CBU), dan selepas itu ia disambung dengan model-model pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di Shah Alam tanpa sebarang perubahan perincian dan juga harga.

     
     
  • Lotus Eletre 600 MY2027 dipertingkat, kekal RM499k — Emeya 600 juga dikemaskini untuk M’sia, RM489k

    Lotus Eletre 600 MY2027 dipertingkat, kekal RM499k — Emeya 600 juga dikemaskini untuk M’sia, RM489k

    Lotus Cars Malaysia telah umumkan kemaskini bagi barisan model Eletre dan Emeya untuk pasaran tempatan dengan ketibaan versi model tahun 2027 (MY27), Eletre 600 dan Emeya 600. Kemaskini berkenaan meliputi peningkatan dari aspek kelengkapan standard bagi kedua-dua varian paling asas tersebut.

    Spesifikasi bagi kedua-dua kereta terbabit telah dipertingkat dan menampilkan barisan ciri mewah dan prestasi yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk varian yang lebih tinggi, sekali gus memberikan lebih nilai untuk pelanggan di Malaysia.

    Antara tambahan yang dimaksudkan ialah spoiler belakang bersepadu aktif serta balutan kulit Nappa untuk kerusi dalam warna hitam dan tali keledar tiga warna, serta lampu ambient yang boleh dilaraskan untuk lebih sentuhan mewah dan personal. Kedua-dua model juga turut menerima pakej rim yang lebih besar, iaitu dalam saiz 22-inci untuk Eletre dan 21-inci untuk Emeya, yang dilengkapi tayar Pirelli P Zero dan angkup enam-omboh yang ditawarkan dalam warna hitam atau merah.

    Lotus Eletre 600 MY2027 dipertingkat, kekal RM499k — Emeya 600 juga dikemaskini untuk M’sia, RM489k

    Ini menjadi tambahan kepada senarai sedia ada yang komprehensif untuk kedua-dua kereta. Sebagai ciri standard, Eletre 600 dan Emeya 600 lengkap dengan ciri seperti suspensi udara aktif dengan kawalan hentakan berterusan (CDC), brake-applied torque vectoring dan lampu utama LED matriks serta sistem bunyi KEF Premium dengan 15-pembesar suara. Ada juga paparan head-up dan sistem kawalan pendingin empat zon.

    Tiada sebarang perubahan aspek mekanikal yang terlibat untuk Eletre — ia masih kekal dengan pacuan semua roda dengan dua motor yang menawarkan sebanyak 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan 710 Nm. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencapai laju maksimum 258 km/j.

    Bateri lithium-ion dengan kapasiti 112 kWh (107 kWh boleh digunakan) menawarkan Eletre 600 hingga 580 km jarak WLTP. Untuk pengecasan, binaan elektrikal 800-volt yang ada menyokong hingga kadar 350 kW, membolehkan SoC 10%-80% dalam masa 20 minit. Pengecasan AC pula boleh dilakukan hingga 22 kW.

    Untuk Emeya 600 pula, hyper GT elektrik ini mengekalkan kemaskini 2026 sebelumnya yang diperkenalkan Ogos tahun lalu, dan hanya melibatkan tambahan kepada spesifikasi tersebut. Output adalah sama seperti Eletre dengan 612 PS dan 710 N, dengan pacuan ke semua roda. Namun, ia lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.15 saat, dan laju maksimum 250 km/j.

    Emeya 600 dilengkapi dengan bateri 102 kWh, model ini menawarkan jarak perjalanan sehingga 610 km. Seperti varian Emeya yang lain, Emeya 600 menampilkan binaan elektrikal 800-volt yang menyokong sehingga 420 kW pengecasan DC (SoC 10%-80% dalam masa 15 minit), dan sehingga 22 kW untuk pengecasan AC.

    Kedua-dua Eletre 600 dan Emeya 600 ditawarkan dalam pilihan warga seperti Zenith White, Kaimu Grey dan Stellar Black, serta pilihan warna istimewa seperti Galloway Green, Boreal Grey, Fireglow Orange serta yang paling popular, Solar Yellow.

    Untuk harga, Lotus Eletre 600 masih mengekalkan harga yang sama untuk varian paling asas seperti sebelum ini, RM499,000, sama ketika ia mula diperkenalkan pada Ogos tahun lalu. Bagi Emeya 600, ia melibatkan sedikit kenaikan harga dengan RM489,000 (berbanding RM459,000 sebelumnya).

    Selain varian 600 ini, Eletre dan Emeya turut ditawarkan dalam varian lain seperti SE dan Sport dengan kemaskini terbarunya yang akan diumumkan kelak. Pelanggan yang berminat dengan penawaran terbaru ini boleh mendapatkan perincian lanjut di bilik pameran Lotus di Glenmarie dan Pavilion Damansara Heights.

    Lotus Eletre 600 MY27

    Lotus Emeya 600 MY27

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia Februari 2026 jatuh 19%; bulan pendek dan cuti Tahun Baru Cina – MAA

    Jualan kenderaan di Malaysia Februari 2026 jatuh 19%; bulan pendek dan cuti Tahun Baru Cina – MAA

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyiarkan data jualan kenderaan untuk bulan Februari 2026, menyaksikan sejumlah 52,414 unit kenderaan baharu telahpun diserahkan kepada pelanggan.

    Jumlah tersebut mewakili penurunan sebanyak 19% daripada 64,298 unit yang direkodkan pada Januari 2026. MAA menyatakan bahawa ia adalah kerana bulan bekerja yang lebih pendek serta sambutan Tahun Baru Cina yang turut menyebabkan penutupan kilang selama seminggu dalam kalangan pengeluar.

    Angka jualan Februari 2026 ini juga adalah 19% kurang berbanding bulan yang sama tahun lalu yang menyaksikan 65,052 unit terjual pada Februari 2025. Namun, jumlah jualan tahunan sehingga kini (YTD) pada tahun 2026 adalah 1% lebih tinggi berbanding tahun 2025, dengan 116,712 unit telah diserah kepada pelanggan dalam tempoh dua bulan pertama berbanding 115,501 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

    Jualan kenderaan di Malaysia Februari 2026 jatuh 19%; bulan pendek dan cuti Tahun Baru Cina – MAA

    Bagi bulan Mac 2026, persatuan itu menjangkakan jualan akan meningkat sempena Hari Raya Aidilfitri dan promosi yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat kereta.

    Dari segi pengeluaran pula sebanyak 49,741 kenderaan telah dihasilkan pada Februari 2026, iaitu 20% kurang daripada 62,090 unit yang direkodkan pada Februari 2025. Ini menjadikan jumlah pengeluaran tahunan kepada 110,607 unit, 7% kurang daripada 119,540 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

     
     
  • Polis laksana Op Selamat 26 pada 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri

    Polis laksana Op Selamat 26 pada 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan Op Selamat 26 akan dilaksanakan bermula 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini. Kali ini, ia mengangkat tema “Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan dan keselamatan diutamakan.”

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, Op Selamat yang dianjurkan sejak tahun 2012 hingga kini adalah bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya nahas maut dan memastikan kelancaran aliran trafik. “Konsep utama Op Selamat 26 adalah Pre-Emptive Services and Total Enforcement di mana JSPT membuat persiapan awal bagi menyelaras penugasan bersama agensi-agensi pengkuatkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan semua pihak terlibat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambah Muhammed Hasbullah, sempena dengan Aidilfitri ini, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan serta kesesakan dengan tindakan penyuraian di laluan-laluan utama di seluruh negara, JSPT menugaskan seramai 5,544 orang anggota dan pegawainya di seluruh negara untuk pelaksanaan operasi ini.

    Polis laksana Op Selamat 26 pada 19 hingga 24 Mac 2026 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri

    “Sepanjang pelaksanaan Op Selamat ini, 25 pasukan Emergency Response Team (ERT) akan sentiasa bersiap siaga untuk memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang menghadapi sebarang masalah di sepanjang lebuhraya. Sebanyak 11 lokasi di lebuhraya utara, selatan dan pantai timur telah dikenalpasti untuk penempatan pasukan ERT bagi memastikan bantuan disalurkan dengan pantas dan berkesan,” sambungnya lagi.

    Jelasnya, penguatkuasaan dan tindakan serta merta di bawah peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah Lalu Lintas LN 166/59 kepada pengguna jalan raya yang melanggar enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, menggunakan alat komunikasi semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memotong barisan.

    “Pihak JSPT menyarankan orang ramai untuk mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut had kelajuan yang ditetapkan dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    “Pada masa yang sama, pengguna lebuhraya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi saluran media JSPT dan stesen penyiaran utama negara bagi mengetahui maklumat aliran lalu lintas sebelum memulakan perjalanan bersama keluarga,” kata Muhammed Hasbullah.

     
     
  • Honda batalkan produksi tiga EV iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV & 0 Saloon untuk elak rugi lebih banyak

    Honda batalkan produksi tiga EV iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV & 0 Saloon untuk elak rugi lebih banyak

    Honda secara rasminya membatalkan pembangunan untuk tiga model elektrik penuh (EV) yang dirancang untuk diproduksi tidak lama lagi iaitu Acura RSX, Honda 0 SUV dan juga Honda 0 Saloon kerana pasaran EV yang lembab dan bakal menyebabkan syarikat ini rugi lebih banyak pada jangka masa panjang sekiranya penjualannya diteruskan.

    Syarikat tersebut mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini menerangkan situasi kewangan untuk perniagaan automobilnya yang kini sedang merosot. Menurut Honda ia terperangkap dalam situasi tersebut kerana dua perkara iaitu perubahan polisi tarif Amerika Syarikat yang memberi kesan terhadap perniagaan kenderaan dengan enjin petrol dan hibrid, serta produk Honda yang kini tidak kompetitif di Asia kerana syarikat lebih menumpukan lebih banyak sumber terhadap pembangunan EV.

    Menurut Honda lagi persekitaran perniagaan automobil Honda juga kini sedang mengalami perubahan yang signifikant, dan masih lagi belum ada kepastian dalam apa jua situasi.

    “Sebelum ini, dengan peraturan alam sekitar yang ketat dilaksanakan sepenuhnya di A.S. dan negara-negara lain, Honda meneruskan adaptasi EV dengan tekad yang kuat bahawa usaha untuk mencapai peneutralan karbon adalah tanggungjawab Honda, sebagai pengeluar produk mobiliti, yang mesti dipenuhi untuk masa depan. Walau bagaimanapun, di A.S, pengembangan pasaran EV telah menjadi lembab disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pelonggaran peraturan bahan api fosil dan semakan semula insentif EV,” kata Honda dalam kenyataan tersebut.

    Situasi juga tidak menyebelahi Honda di pasaran automotif terbesar dunia iaitu di China, di mana nilai pelanggan pada pasaran tersebut kini telah berubah dari perincian perkakasan seperti keberkesanan bahan api dan ruang kabin, kepada perincian-perincian berasaskan perisian yang akan secara berterusan berubah mengikut kemahuan pelanggan.

    “Ini telah meningkatkan persaingan disebabkan oleh kemunculan pesat pengeluar EV baharu yang memanfaatkan kitaran pembangunan produk pendek dan kekuatan mereka dalam bidang teknologi kenderaan tertakrif perisian (SDV), termasuk sistem bantuan pemandu termaju (ADAS). Dalam persekitaran persaingan yang begitu sukar, Honda tidak dapat menghasilkan produk yang menawarkan nilai untuk wang yang lebih baik daripada pengeluar EV baharu, mengakibatkan penurunan daya saing,” jelas Honda lagi.

    Acura RSX sepatutnya akan mula masuk ke pasaran bermula separa kedua tahun ini dan versi prototaip yang hampir kepada versi produksi sebenarnya telah pun didedahkan tahun lalu. Manakala Honda 0 SUV dan 0 Saloon pula merupakan sebahagian dari model EV 0 Honda yang diumumkan pada 2024 dengan sasaran untuk dilancarkan bermula 2026 sehingga 2030.

     
     
  • JPJ eBid: QAB_P dan CFG bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Pahang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QAB_P, boleh dibida bermula 22 Mac. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 26 Mac. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 Mac 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pahang, CFG, bakal dibuka bidaan mulai 26 Mac. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 30 Mac, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 31 Mac 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Nissan akan mula eksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun bermula 2027

    Nissan akan mula eksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun bermula 2027

    Dengan perjanjian antara kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Jepun yang memudahkan sistem pensijilan bagi import-silang kenderaan kedua-dua negara, Nissan mengumumkan akan mula mengeksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun untuk dijual di pasaran negara asal jenama itu bermula awal 2027.

    Sistem baharu ini membolehkan kereta yang telah diperakui oleh pengawal selia di Amerika Syarikat diimport ke Jepun dan dijual tanpa sebarang ujian keselamatan tambahan perlu dibuat di Jepun. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai semasa rundingan tarif antara Amerika Syarikat dan Jepun tahun lalu.

    Buat masa sekarang, Murano generasi keempat produksi di kilang Smyrna milik Nissan di Tennessee, di mana kilang berkenaan turut menghasilkan Pathfinder generasi kelima. Murano generasi baharu ini telahpun diperkenalkan di Amerika Syarikat pada Oktober 2024, namun sehingga kini ia belum dilancarkan di Jepun.

    Nissan akan mula eksport Murano yang dibuat di Amerika Syarikat ke Jepun bermula 2027

    Langkah bagi mengeksport Murano dari Amerika Syarikat ke Jepun ini dilaporkan bertujuan untuk menyerap kapasiti berlebihan di fasiliti yang kurang digunakan itu.

    “Saya teruja untuk berkongsi dengan anda bahawa Murano akan kembali ke Jepun. Murano telah mendapat pujian yang tinggi daripada pelanggan di pasaran AS kerana reka bentuknya yang elegan dan keselesaan yang luar biasa. Ia telah dinamakan sebagai SUV bersaiz sederhana yang paling boleh diharap dalam Kajian Kebolehpercayaan Kenderaan AS (VDS) JD Power 2026 untuk tahun kedua berturut-turut. Dengan pengenalan model ini, Nissan menyasarkan untuk mengukuhkan lagi barisan produknya di Jepun dan memenuhi pelbagai keperluan pelanggan Jepun,” kata Ivan Espinosa, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan.

    Selain Nissan, dua lagi jenama Jepun iaitu Toyota dan Honda telah mengumumkan untuk mengeksport beberapa model dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi mengambil kesempatan terhadap kemudahan baharu ini. Toyota akan mengeksport Camry, Highlander dan Tundra, manakala Honda mengesahkan akan membawa pulang Acura Integra Type S dan Honda Passport dari Amerika Syarikat balik ke Jepun untuk dijual di sana.

     
     
  • Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j

    Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac dan berakhir jam 11.59 malam pada 19 Mac 2026 kepada para pengguna kenderaan persendirian.

    Seperti kelaziman, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

    Susulan dengan pengumuman tersebut, Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah ini juga diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, terutama mereka yang menempuh perjalanan jauh serta menanggung pelbagai keperluan persiapan hari raya.

    Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j

    “Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan bagi tujuan pembayaran balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang dianggarkan berjumlah RM21.03 juta.

    “Pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun ini bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan, selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuhraya,” katanya.

    Dalam masa yang saya, beliau turut memaklumkan, bagi memastikan kelancaran operasi lebuhraya, beliau juga telah mengarahkan semua kerja penyenggaraan dihentikan sepanjang tempoh 18 hingga 30 Mac 2026. Arahan ini bertujuan memastikan trafik lebih lancar, mengelakkan lorong ditutup, serta meminimumkan gangguan kepada pengguna yang pulang ke kampung atau kembali semula ke ibu kota selepas Aidilfitri.

    Diskaun tol 50% sempena Aidilfitri; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang, 18-19 Mac – kos pampasan RM21.03j

    “Sehubungan itu, pengguna lebuhraya diharap dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pengguna juga disarankan memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya LLM dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

    “Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan memberi perhatian kepada maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Bagi mereka yang menggunakan lorong Smartlane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya lagi.

    Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752. Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

     
     
  • BMW M3 Touring 24H – dari lawak April Fool ke kereta lumba sebenar guna kelengkapan mekanikal M4 GT3!

    BMW M3 Touring 24H – dari lawak April Fool ke kereta lumba sebenar guna kelengkapan mekanikal M4 GT3!

    Ingat lagi kisah bagaimana Volvo menghasilkan kereta lumba BTCC berasaskan badan wagon di mana ia kelihatan seperti ‘bahan lawak’ pada permulaan, dan kemudiannya menggemparkan dunia sukan permotoran? Ini ada satu lagi kisah yang nampak macam lebih kurang sama yang mahu dimulakan oleh BMW.

    Tahun lalu BMW menyiarkan imej buatan yang menayangkan sebuah wagon M3 Touring yang dijelmakan sebagai sebuah kereta lumba sebagai lawak April Fool. Namun tahun ini, ia bukan lagi lawak kerana jentera lumba wagon M3 Touring berkenaan sudahpun benar-benar di bina oleh BMW!

    Jentera lumba ini dinamakan sebagai BMW M3 Touring 24H, dan seperti namanya ia bakal menyertai perlumbaan endurance 24 Jam, atau secara spesifiknya perlumbaan Nürburgring 24 Jam yang akan berlangsung pada 16 dan 17 May nanti. Namun sebelum itu, kereta lumba wagon ini akan terlebih dahulu berlumba di Nürburgring Langstrecken-Serie (NLS) minggu hadapan juga di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife tersebut.

    BMW M3 Touring 24H – dari lawak April Fool ke kereta lumba sebenar guna kelengkapan mekanikal M4 GT3!

    Menurut BMW, keputusan untuk menghasilkan kereta lumba dalam badan wagon ini telah dimuktamadkan pada pertengahan 2025, dan selepas itu pembangunannya terus bermula membolehkan M3 Touring 24H siap dalam masa lapan-bulan.

    Untuk jentera lumba M3 Touring kompetitif dalam perlumbaan-perlumbaan yang dirancang untuk disertai, ia perlu dihasilkan menurut regulasi FIA GT3. Ini bukan masalah kerana BMW telahpun mempunyai jentera lumba M4 GT3 Evo, secara asasnya menggunakan platform yang sama cuma badannya dalam versi coupe.

    Jadi semua kelengkapan mekanikal M4 GT3 tersebut disalin pada badan wagon M3 Touring 24H berkenaan, termasuk enjin P58 2,993 enam-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 590 hp dan tork maksima 700 Nm bersama kotak gear enam kelajuan sequential dengan klac elektro-hidraulik yang memacu sepenuhnya roda belakang.

    BMW M3 Touring 24H – dari lawak April Fool ke kereta lumba sebenar guna kelengkapan mekanikal M4 GT3!

    Dengan badan wagon, M3 Touring 24H ini adalah 200 mm lebih panjang dari M4 GT3 Evo, serta 32 mm lebih tinggi dari jentera lumba coupe tersebut termasuk spoiler gergasi yang dipadankan pada bahagian belakang wagon berkenaan. Ubahsuai yang dibuat pada kerangka badan wagon tersebut bermula pada tiang-A dan kebelakang termasuk pintu hadapan, manakala pintu belakang kini sudah tidak boleh dibuka kerana kini adalah sebahagian dari panel badan utama.

    Perincian-perincian aerodinamik dari M4 GT3 Evo turut dibawa dan disesuaikan ke wagon M3 Touring 24H ini termasuk bampar hadapan, fender, panel sisi belakang, bumbung bampar belakang dan sebagainya.

    BMW M3 Touring 24H ini akan berlumba di NLS di bawah pasukan Schubert Motorsport. Ia akan bersaing dalam kategori jemputan SPX, jadi ia tidak akan berada dalam kelas yang sama dengan tiga M4 GT3 Evo yang bersaing dalam kategori tertinggi SP9. Jentera ini akan dikendalikan oleh empat pemandu rasmi BMW iaitu Jens Klingmann, Ugo de Wilde, Connor De Phillippi, dan Neil Verhagen.

     
     
  • Zeekr 009 2026 dikemaskini di China — guna sistem 900-volt, hingga 925 PS; jangka diperkenalkan April ini

    Zeekr 009 2026 dikemaskini di China — guna sistem 900-volt, hingga 925 PS; jangka diperkenalkan April ini

    Zeekr 009 bakal diberikan kemaskini di pasaran China. Spesifikasi awal berkaitan perkara ini terkandung dalam fail yang didedahkan oleh Kementerian Industri da Teknologi Maklumat (MIIT) China. MPV yang diberikan kemaskini tersebut dijangka akan membuat penampilan sulung ketika acara pameran Auto Beijing hujung April ini, seperti dilaporkan oleh CarNewsChina.

    Penampilan luaran 009 terbaru ini masih kekal seperti sebelumnya, begitu juga dengan dimensi ukurannya. Konfigurasi enam atau tujuh-tempat duduk juga akan terus ditawarkan, begitu juga dengan ciri sensor LiDAR di bumbungnya seperti versi 2024 untuk pasaran di sana.

    Perubahan paling besar melibatkan sistem janaan kuasanya, yang menyaksikan penggunaan seni bina elektrikal 900-volt. 009 pada awalnya menggunakan sistem 400-volt pada 2023 sebelum beralih kepada sistem 800-volt pada 2024, yang turut menyaksikan pengenalan varian pacuan roda depan untuk versi kedua tersebut.

    Zeekr 009 2026 dikemaskini di China — guna sistem 900-volt, hingga 925 PS; jangka diperkenalkan April ini

    Dengan sistem 900-volt terbaru ini, output puncak 009 naik mencapai angka 925 PS (912 hp atau 680 kW), dengan motor elektrik di depan dilaporkan menjana sebanyak 421 PS (416 hp dan 310 kW), sementara unit motor elektrik di belakang memberikan sebanyak 503 PS (496 hp atau 370 kW). Sebagai perbandingan, model sedia ada dengan pacuan semua roda ketika ini memberikan janaan sebanyak 789 PS (778 hp atau 580 kW).

    Fail berkenaan tidak menyatakan sebarang maklumat berkaitan bateri yang digunakan, tetapi difahamkan bahawa MPV berkenaan akan dilengkapi dengan bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC) daripada CATL-Geely. Dengan sistem 900-volt, MPV ini mampu mencapai kadar cas 12C, dengan SoC 10%-80% dicapai dalam masa hanya tujuh minit.

     
     
  • JPJ guna 6 dron untuk pantau dan kesan kesalahan trafik di 288 hotspot sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri

    Sepanjang pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 sejak 13 Mac lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menggunakan enam unit dron berkeupayaan tinggi bagi memantau dan mengesan kesalahan trafik dari udara .

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata dron berkenaan akan diterbangkan di 288 lokasi panas yang dikenal pasti mempunyai kadar kemalangan tinggi serta aliran trafik yang padat. Lokasi berkenaan merangkumi laluan utama ke negeri Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu, selain laluan selatan menuju Johor serta lebuhraya utama di bahagian utara negara, laporan Berita Harian.

    Tambahnya, pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan akan diberikan Notis Temu Siasat (114) di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berdasarkan bukti rakaman imej dan video dron. Di mana individu yang menerima notis berkenaan perlu hadir ke pejabat JPJ untuk siasatan lanjut, di mana rakaman dron akan digunakan sebagai bukti sokongan.

    “Buat masa ini, rakaman dron hanya berfungsi sebagai bukti sokongan dan tidak digunakan untuk mengeluarkan saman secara terus, berbeza dengan kesalahan yang dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS),” katanya.

    “Dron ini berkeupayaan zoom sehingga 200 kali ini membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dikenal pasti dengan jelas dari jarak jauh. Setakat ini, enam unit dron digunakan bagi tujuan pemantauan trafik sempena operasi tersebut.

    JPJ guna 6 dron untuk pantau dan kesan kesalahan trafik di 288 hotspot sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri

    “Buat masa ini, rakaman dron hanya berfungsi sebagai bukti sokongan dan tidak digunakan untuk mengeluarkan saman secara terus, berbeza dengan kesalahan yang dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS),” katanya.

    Beliau turut berkata pemantauan dari udara membolehkan pegawai memerhati pergerakan trafik secara lebih menyeluruh selain mengesan kesalahan yang sukar dikenal pasti melalui pemantauan konvensional di darat. Di mana semua anggota yang ditugaskan mengendalikan dron telah menjalani latihan khusus dan diwajibkan memiliki lesen pengendalian yang sah sebelum dibenarkan mengoperasikan peralatan berkenaan.

    Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui penggunaan teknologi bagi meningkatkan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan.

    Di mana penguatkuasaan akan memberi tumpuan kepada pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan, yang disifatkan sebagai kesalahan serius. Sebanyak 12,164 kes penyalahgunaan lorong kecemasan direkodkan antara tahun 2023 hingga Februari tahun ini, termasuk 689 kes yang dikesan antara Januari hingga Februari 2026.

    “Lorong kecemasan disediakan khusus untuk tujuan kecemasan dan tidak boleh digunakan sesuka hati,” katanya.

     
     
  • Sime Motors buka BYD Mansion Macalister — bilik pameran konsep warisan pertama BYD di P. Pinang

    Sime Motors buka BYD Mansion Macalister — bilik pameran konsep warisan pertama BYD di P. Pinang

    Sime Darby Beyond Auto secara rasmi telah memperkenalkan BYD Mansion Macalister, sebuah bilik pameran terbaru dengan konsep menarik yang terletak di Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang.

    Melibatkan kawasan seluas 26,994 kaki persegi dengan ruang bangunan berkeluasan 9,000 kaki persegi, bilik pameran berkenaan menghidupkan semula sebuah bangunan lama yang sebelum ini menjadi mercu tanda dagang bagi kalangan komuniti setempat.

    Seni bina unik bangunan berkenaan memberikan perwatakan tersendiri yang terhasil melalui proses baik pulih untuk mengalihnya menjadi bilik pameran BYD, yang menampilkan suasana jualan kontemporari yang mempamerkan teknologi mobiliti elektrik sebagai tumpuan utama.

    Melalui usaha tersebut, BYD Mansion Macalister dirujuk sebagai bilik pameran berkonsep warisan pertama BYD di Malaysia. Ruang bangunan tersebut menempatkan sudut pameran yang boleh memuatkan empat buah kereta dalam suasana ala galeri. Turut tersedia ialah kawasan rundingan dengan tataan ruang tamu mewah, serta bilik serahan persendirian untuk pelanggan.

    Sebagai tambahan, ia turut dilengkapi dengan kemudahan pusat servis dengan lima ruangan servis, satu ruang untuk jajaran tayar dan sebuah ruangan penyambut tetamu untuk memenuhi keperluan lepas jualan pelanggan. Rumah agam berkenaan juga turut menampilkan hab pengecasan dengan satu pengecas pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC.

    “BYD Mansion Macalister mewakili pencapaian penting syarikat dalam meneruskan usaha untuk tumbuh dan mengembangkan pengalaman jualan automotif di sini. Dengan mengubah sebuah tapak hartanah bersejarah menjadi destinasi untuk mobiliti elektrik, kami tidak hanya memelihara satu bahagian terpenting dalam warisan seni bina di Pulau Pinang, tetapi juga mewujudkan sebuah ruang bermakna untuk mengalami sendiri masa depan mobiliti,” jelas Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026