Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Lorong tambahan sementara dibuka untuk laluan Simpang Renggam-Sedenak di PLUS, 18 Mac-5 Apr

    Lorong tambahan sementara dibuka untuk laluan Simpang Renggam-Sedenak di PLUS, 18 Mac-5 Apr

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa satu lorong tambahan sementara akan dibuka di KM45.1 – KM42.5 (arah selatan) di laluan Simpang Renggam-Sedenak, Lebuhraya Utara-Selatan, yang terlibat dengan projek pelebaran lebuhraya.

    Lorong tambahan berkenaan akan dibuka mulai 18 Mac hingga 5 April 2026 bagi membantu melancarkan aliran trafik menghala ke selatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.

    “Sepanjang tempoh ini, pengguna lebuhraya akan menikmati tiga lorong trafik berbanding dua lorong sebelum ini bagi meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan di kawasan projek,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, pengguna lebuhraya dinasihati agar mematuhi had laju yang ditetapkan, kekalkan jarak selamat antara kenderaan, elakkan menukar lorong secara mengejut dan sentiasa peka dengan keadaan trafik semasa.

    “Rancang perjalanan anda dengan bijak dan utamakan keselamatan sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman,” tambah PLUS lagi.

     
     
  • Porsche Macan petrol kembali ke pasaran Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 265 PS, RM469,000

    Porsche Macan petrol kembali ke pasaran Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 265 PS, RM469,000

    Porsche Malaysia kini kembali menawarkan varian enjin petrol bagi model Macan susulan daripada permintaan kukuh pasaran tempatan. SUV yang menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter itu ditawarkan dalam jumlah yang terhad, pada harga RM469,000 tidak termasuk insurans.

    Untuk generasi terkini, Macan diperkenalkan secara eksklusif sebagai model elektrik sepenuhnya. Oleh itu, kemunculan semula Macan berenjin petrol di Malaysia sebenarnya merujuk kepada model generasi terdahulu, iaitu versi yang telah menerima kemas kini kedua (facelift) dan mula ditawarkan di negara ini pada tahun 2022.

    Bagi model Macan 2026 ini, ia dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang menghasilkan 265 PS dan 400 Nm tork. Kuasa tersebut disalurkan ke semua empat roda melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan PDK. SUV ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 232 km/j.

    Porsche Macan petrol kembali ke pasaran Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 265 PS, RM469,000

    Dari segi kelengkapan untuk pasaran Malaysia, Macan 2026 hadir dengan lampu hadapan LED bersama sistem Porsche Dynamic Light System (PDLS), serta cermin sisi luar Sport Design. Di bahagian kabin pula, ia dilengkapi sistem infotainmen Porsche Communication Management dengan paparan skrin sentuh penuh HD bersaiz 10.9 inci.

    Model ini juga menggunakan rim bersaiz sekurang-kurangnya 19 inci, manakala pemandu disediakan dengan stereng GT Sport pelbagai fungsi yang turut digunakan pada model terkini Porsche 911 serta beberapa model Porsche semasa.

    Sebagai tambahan, varian yang ditawarkan di Malaysia turut didatangkan dengan pakej Premium sebagai kelengkapan standard. Pakej ini merangkumi sistem suspensi spring keluli bersama Porsche Active Suspension Management (PASM) dengan kawalan redaman berubah, Power Steering Plus, serta pakej Sport Chrono lengkap dengan suis mod pemanduan.

    Porsche Macan petrol kembali ke pasaran Malaysia – enjin empat silinder 2.0L turbo 265 PS, RM469,000

    Ciri keselesaan lain yang disertakan termasuk sistem Comfort Access, cermin dalaman dan luaran dengan fungsi malap automatik, Park Assist bersama kamera undur dan paparan Surround View. Tempat duduk hadapan pula ialah jenis Comfort dengan pelarasan elektrik 14 hala serta fungsi memori. Turut disediakan ialah bidai tingkap sisi belakang jenis manual serta sokongan Apple CarPlay dengan pengecaman suara Siri.

    Dengan harga jualan RM469,000, Macan petrol 2026 ini ditawarkan oleh Porsche Malaysia bersama jaminan selama dua tahun serta pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

     
     
  • Toyota GR Yaris 2026 di Jepun – roda stereng baharu, talaan semula EPS & suspensi, masih 304 PS/400 Nm

    Toyota GR Yaris 2026 di Jepun – roda stereng baharu, talaan semula EPS & suspensi, masih 304 PS/400 Nm

    Hot hatch homolagasi jentera rali WRC, Toyota GR Yaris sekali lagi menerima kemaskini di Jepun, dan untuk versi 2026 ini ia menerima beberapa tingkat taraf perincian dan juga talaan bagi memberikan pengalaman pemanduan prestasi yang lebih baik.

    Dari segi fizikal luaran, masih tiada perubahan dilihat di mana GR Yaris 2026 ini masih tampil dengan rupa yang dibawa dari versi facelift 2024. Namun anda boleh kenal model 2026 ini sekiranya meninjau ke dalam kabin, khususnya pada tempat pemandu di mana ia kini menerima roda stereng baharu yang sama seperti diberikan pada model edisi terhad GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition dan Morizo RR.

    Roda stereng berkenaan dihasilkan dengan diameter lebih kecil dan nampak seperti roda stereng kereta lumba sebenar. Gegelang roda stereng berkenaan direka agar ia dapat digenggam dengan selesa oleh kedua-dua tangan, manakala butang-butang kawalannya kini tidak terletak pada jejari dan diposisikan tidak berdekatan antara satu sama lain dan lebih dekat ke bahagian tengah.

    Toyota GR Yaris 2026 di Jepun – roda stereng baharu, talaan semula EPS & suspensi, masih 304 PS/400 Nm

    Menurut Toyota rekaan tersebut adalah untuk mengelakkan pemandu tersalah menekan butang, dan ia juga menyala bagi memudahkan butang-butang tersebut digunakan pada waktu malam.

    Untuk pengedalian, talaan semula dibuat melibatkan sistem stereng berkuasa bantuan elektrik (EPS) di mana ia kini dapat memastikan operasi yang boleh diharap khususnya apabila kereta ini menggunakan tayar dengan cengkaman tinggi, atau ketika meredah selekoh dalam keadaan beban tinggi serta kadar brek yang kuat.

    Kadar pengesanan tork stereng juga kini telah diperluaskan dengan mengoptimakan ketegaran torsion bar dengan penderia tork dan perisian kawalan yang diubahsuai. Ia dibuat agar sistem stereng dapat memberikan bantuan lebih optimal dalam situasi “beban yang sangat tinggi”. Talaan baharu ini disempurnakan dengan talaan semula yang dibuat pada penyerap hentak.

    Toyota GR Yaris 2026 di Jepun – roda stereng baharu, talaan semula EPS & suspensi, masih 304 PS/400 Nm

    GR Yaris 2026 ini masih dipadankan dengan set rim aluminium forged 18-inci yang dibekalkan oleh BBS bersama tayar bersaiz 225/40R18. Varian RZ High Performance dan RZ High Performance dengan Aero performance menerima tayar Bridgestone Potenza Race.

    Tiada sebarang perubahan dibuat pada enjin di mana GR Yaris 2025 ini masih menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Pembeli boleh memilih varian yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, atau kotak gear automatik lapan kelajuan GR DAT.

    Kuasa dari enjin dialirkan kepada sistem pacuan semua roda GR Four dengan mod Normal memberikan agihan tork 60:40 antara gandar hadapan dan belakang; mod Gravel memberikan agihan tork 50:50; manakala mod Track akan memberikan agihan tork bervariasi berdasarkan situasi antara 60:40 sehingga 30:70. Gandar hadapan dan belakang juga masih kekal dibekalkan dengan LSD jenis Torsen.

    Toyota GR Yaris 2026 di Jepun – roda stereng baharu, talaan semula EPS & suspensi, masih 304 PS/400 Nm

    Kemaskini untuk 2026 ini menyaksikan GR Yaris kini ditawarkan dalam lima varian bagi pasaran Jepun iaitu RC, RC dengan pakej Aero Performance, RZ, RZ High Performance, dan RZ High Performance dengan pakej Aero Performance. Ia juga ditawarkan dengan beberapa pilihan opsyen di mana pemanas tempat duduk dan roda stereng kini boleh dipadankan apabila pembeli memilih brek tangan menegak bersama pakej Navigatian atau pakej Comfort.

    Di Jepun Toyota GR Yaris 2026 ini dijual pada harga bermula 3,617,200 yen (RM89,268) untuk varian asas RC, sehingga 5,532,200 yen (RM136,528) untuk RZ High Performance dengan pakej Aero Performance (harga adalah untuk versi kotak gear manual enam kelajuan). Pembeli yang mahukan kotak gear automatik GR DAT perlu menambah 350,000 yen (RM8,637) untuk setiap varian.

     
     
  • JPJ akan memperketatkan penguatkuasaan peranti had kelajuan terhadap bas ekpres dan bas persiaran

    JPJ akan memperketatkan penguatkuasaan peranti had kelajuan terhadap bas ekpres dan bas persiaran

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran terakhir buat pengusaha bas ekspres dan bas persiaran supaya mematuhi arahan pemasangan peranti peranti had kelajuan (Speed Limitation Device (SLD)).

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, setakat 16 Mac 2026, sebanyak 12% daripada 2,544 bas ekspres aktif masih belum melaksanakan pengesahan SLD, manakala bagi bas persiaran pula, ia melibatkan sebanyak 49% daripada 3,371 kenderaan aktif yang turut belum berbuat demikian.

    “JPJ memandang serius tahap ketidakpatuhan ini, khususnya melibatkan bas persiaran yang masih mencatatkan peratusan baki yang tinggi walaupun keperluan pematuhan telah dimaklumkan lebih awal kepada pihak industri,” tegasnya sambil menyatakan bahawa pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan khusus kepada pemeriksaan SLD menerusi Ops Hari Raya (HRA) di seluruh negara menjelang Aidilfitri, laporan Harian Metro.

    “Semua anggota JPJ akan digerakkan bagi memeriksa SLD pada bas ekspres dan bas persiaran di seluruh negara. Pengusaha dikehendaki menunjukkan sijil pengesahan SLD apabila kenderaan diperiksa oleh anggota JPJ.

    Sekiranya tidak mempunyai SLD atau gagal mengemukakan sijil pengesahan, tindakan pertama yang akan diambil adalah pengeluaran Notis Temusiasat, Notis 114 Pengusaha kemudian akan diberikan tempoh selama 14 hari untuk membawa semula kenderaan ke JPJ bagi tujuan pengesahan pemasangan SLD,” katanya yang menambah penguatkuasaan fasa pertama membabitkan pengesahan SLD telah tamat pada 1 Oktober lalu.

    “Fasa kedua pula pengaktifan SLD bagi kenderaan berkaitan adalah sehingga 1 Januari 2027. Fasa ketiga yang masih berjalan melibatkan kenderaan perdagangan yang tidak mempunyai SLD dan perlu memasang peranti itu secara retrofit diberi tempoh sehingga 1 Julai untuk melaksanakannya.

    “”Fasa ketiga masih belum tamat dan tindakan lanjut termasuk kemungkinan penyitaan atau larangan kenderaan berada di atas jalan raya akan dipertimbangkan selepas tempoh berkenaan berakhir. Pada masa sama, pendekatan yang dilaksanakan kini lebih menjurus kepada advokasi dan pemberian notis bagi memastikan pengusaha industri melaksanakan pemasangan SLD seperti yang diwajibkan,” katanya.

    Berita Harian pula melaporkan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kementeriannya sedang menambah lebih banyak bengkel yang boleh melakukan pemasangan SLD supaya semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem itu.

    Menurut beliau lagi, senarai bengkel yang boleh membuat pemasangan itu akan dikemas kini, bagi memudahkan pemilik kenderaan berat di seluruh negara.

    “Kita faham untuk mereka memasang dan mengesahkan pemasangan SLD ini, ia perlukan lebih banyak rangkaian, lebih banyak bengkel dan sebagainya,” katanya yang turut menggesa pihak industri supaya memandang berat arahan kerajaan sebelum ini membabitkan pemasangan peranti berkenaan.

    Pada masa sama, katanya, syarikat pengeluar meminta tambahan masa untuk mereka membantu dengan pemasangan dan pengesahan pemasangan peranti berkenaan.

     
     
  • Garis panduan baharu kenderaan de-controlled dan trak pikap yang bawa barangan mulai 1 April – MOT

    Garis panduan baharu kenderaan de-controlled dan trak pikap yang bawa barangan mulai 1 April – MOT

    Kementerian Pengangkutan (MOT) menetapkan garis panduan baharu penggunaan kenderaan de-controlled dan trak pikap bagi membawa barangan untuk menangani kekeliruan dalam kalangan pemilik kenderaan jenis itu serta aspek penguatkuasaan pihak berkuasa berkaitan.

    Menteri MOT, Anthony Loke berkata garis panduan baharu itu berkuatkuasa mulai 1 April 2026 di mana kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) tidak melebihi 7,500 kilogram (kg) dikategorikan sebagai kenderaan de-controlled dan boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat, laporan Malay Mail.

    Ini bermakna pemilik atau syarikat yang memiliki kenderaan tersebut boleh mengangkut barangan sendiri tanpa perlu mendapatkan permit pengendali daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Walau bagaimanapun, kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barangan bagi pihak pihak ketiga dengan bayaran masih dianggap sebagai kenderaan komersial dan memerlukan permit.

    “Jika kenderaan digunakan untuk mengangkut barangan milik pihak ketiga bagi tujuan sewaan atau ganjaran, pengendali perlu mendapatkan Permit Pembawa Kelas A daripada APAD mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” kata Loke.

    Tambah beliau, manakala trak pikap persendirian dibenarkan mengangkut barangan milik sendiri, dengan syarat muatan diikat dengan selamat dan tidak melebihi had muatan kenderaan.

    Pemegang lesen memandu Kelas D juga dibenarkan memandu kenderaan de-controlled dengan berat tanpa muatan sehingga 4,000 kg, walaupun had semasa lesen tersebut ialah 3,500 kg. “Fleksibiliti ini mengambil kira pertambahan berat daripada badan kargo atau struktur lain yang dipasang pada kenderaan,” kata Loke.

     
     
  • BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru

    BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru

    BYD Atto 3 bakal menerima versi kemaskini baharu untuk tahun 2026, di mana model berkenaan sudahpun muncul di laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China dan dilaporkan oleh CarNewsChina.

    Dokumentasi untuk pemfailan di MIIT tersebut mendedahkan bahawa Atto 3 yang dikemas kini berkenaan menampilkan ukuran 4,665 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,675 mm tinggi dengan jarak roda 2,770 mm, menjadikan ia 200 mm lebih panjang berbanding versi sedia ada. Berat untuk Atto 3 2026 pasaran China ini pula didakwa ditimbang pada 1,690 kg.

    Atto 3 2026 ini juga nampaknya menerima konfigurasi yang sama dengan Atto 3 Evo yang didedahkan di Eropah baru-baru ini di mana motor tunggal yang dibekalkan bukan lagi memacu roda hadapan, sebaliknya diletakkan pada gandar belakang untuk memacu roda belakang. Dokumen yang terdedah di MIIT ini juga menunjukkan bahawa ia bakal ditawarkan dengan dua pilihan motor iaitu 200 kW (272 PS) dan 240 kW (326 PS).

    BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru

    Kemaskini mekanikal lain masih belum didedahkan. Namun ada kemungkinan ia akan menyerupai penawaran yang diberikan pada model Evo di Eropah di mana suspensi multilink di belakang kini menerima sistem lima-hubungan berbanding empat-hubungan sebelum ini, dan ruang kargo belakang menampilkan kapasiti 50 liter lebih besar kepada 490 liter, atau 1,360 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat dan ruang frunk berkapasiti 101 liter.

    Manakala menurut laporan IT Home pula, Atto 3 2026 pasaran China ini mungkin akan menggunakan bateri BYD Blade generasi kedua, di mana ia menampilkan ketumpatan tenaga lebih baik dan mampu dicas semula dari 10%-70% hanya dalam masa lima minit.

    Untuk ADAS pula, fail MIIT mendedahkan bahawa Atto 3 ini akan menerima beberapa penderia tambahan, dan ia ditunjuk diletakkan pada bahagian bumbung (untuk Lidar), dan juga radar yang diletakkan di hadapan serta kamera pada kedua-dua belah fender sisi.

    BYD Atto 3 2026 terdedah di China – kini pacuan roda belakang, versi 272 PS dan 326 PS, penggayaan baru

    Selain itu Atto 3 ini turut menerima kemaskini rupa di mana ia diberikan bampar hadapan yang telah direka semula, lampu hadapan yang lebih nipis dan pembuka pintu separa tenggelam. Ia ditawarkan dengan set roda dengan rim aloi sama ada 18- atau 19-inci.

    Di belakang pula, lampunya kini sama tebal dengan bar yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Spoiler bumbung juga telah direka semula untuk menempatkan lampu brek ketiga yang lebih nipis. Menurut CarNewsChina yang memetik laporan media China yang lain, tempahan bagi BYD Atto 3 2026 tersebut mungkin akan dibuka pada pertengahan tahun ini.

     
     
  • Kastam KL sita 13 kenderaan import bernilai RM4.61 juta kerana disimpan lebih tempoh dibenarkan

    Kastam KL sita 13 kenderaan import bernilai RM4.61 juta kerana disimpan lebih tempoh dibenarkan

    Sebanyak 13 kenderaan import pelbagai jenis bernilai kira-kira RM4.61 juta termasuk duti dan cukai telah disita oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur kerana disimpan melebihi tempoh dibenarkan di gudang berlesen sekitar Lembah Klang, laporan Bernama.

    Menurut Pengarahnya, Wan Norizan Wan Daud, sitaan dibuat hasil beberapa siri serbuan dari 5 Januari hingga 6 Februari menerusi Ops Terma dengan kerjasama Bahagian Perkastaman JKDM. Di mana hasil pemeriksaan rapi mendapati kenderaan import itu disimpan melebihi tempoh penyimpanan dibenarkan iaitu 48 bulan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 65(2) dan 65(5) Akta Kastam 1967.

    “Nilai kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM1.7 juta manakala anggaran duti dan cukai import terbabit sebanyak RM2.8 juta. Dua pengarah syarikat telah dipanggil untuk memberi keterangan dan kes masih dalam siasatan bagi mengesan syarikat atau ejen pengimport untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kastam termasuk kesalahan menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) akta itu.

    Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 mana lebih besar dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 mana lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

     
     
  • iCaur Malaysia serah sebanyak 1,800 unit kenderaan sejak pelancarannya — perkenal kelab pemilik rasmi

    iCaur Malaysia serah sebanyak 1,800 unit kenderaan sejak pelancarannya — perkenal kelab pemilik rasmi

    iCaur Malaysia telah menyerahkan lebih daripada 1,800 unit kenderaan sejak jenama itu mula memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada Mei tahun lalu. 03 menjadi model pertama iCaur yang dijual di sini pada September 2025, diikuti oleh V23 pada November tahun yang sama — dengan versi Retro Edition menjadi penawaran yang terkini.

    “Untuk mencapai 1,800 unit kenderaan yang berada di atas jalan raya adalah sesuatu yang sangat bermakna buat iCaur Malaysia. Ia mencerminkan hubungan yang kami bangunkan bersama pemandu di seluruh negara; mereka yang menghargai rekaan menonjol, prestasi dan pengalaman pemilikan yang terserlah kelainannya.

    Dalam usaha kami untuk terus berkembang, iCaur hadir untuk mempelopori segmen NEV off-road di sini melalui penawaran produk yang tersendiri dan melalui ekosistem yang juga unik,” jelas Pengarah Kanan, iCaur Malaysia, Francis Chin.

    Sebagai menandakan pencapaian tersebut, syarikat itu telah menganjurkan satu perjumpaan bersama pemilik bagi meraikan serahan kenderaan iCaur yang ke-1,800 dan ke-1,801 kepada pemiliknya. Acara itu juga menandakan perasmian Kelab Pemilik iCaur Malaysia, sebuah kelab pemilik rasmi di sini.

    “Pelanggan kami merangkul semangat “Born to Play” sebagai sebuah cerminan terhadap bagaimana mereka ingin menjalani kehidupan. Dengan Kelab Pemilik iCaur Malaysia, kami mencipta lebih banyak peluang untuk semua pemilik berhubung, berkongsi pengalaman dan membentuk perjalanan mereka pada masa depan,” ujar Pengarah Pemasaran, iCaur Malaysia, Daniel Lai.

     
     
  • JPJ kenalpasti 15 juta kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh lebih 5 tahun, majoritinya motosikal

    JPJ kenalpasti 15 juta kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh lebih 5 tahun, majoritinya motosikal

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenalpasti lebih 15 juta kenderaan di seluruh negara yang tidak diperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) melebihi 5 tahun, laporan Berita Harian. Ini mewakili kira-kira 37% daripada 41 juta kenderaan yang kini didaftarkan dalam pangkalan data JPJ setakat Disember tahun lalu, dengan sebahagian besar dipercayai merupakan kenderaan terbiar atau yang telah tamat jangka hayat.

    Menurut setiausaha bahagian darat Kementerian Pengangkutan (MOT), Mohamed Irwan Mansor, motosikal merupakan majoriti kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh iaitu sebanyak 9.76 juta unit. Ini diikuti oleh 4.07 juta kereta persendirian, manakala baki dua juta lagi terdiri daripada bas, teksi, kereta sewa dan kenderaan barangan.

    “Berdasarkan angka ini, kami bimbang apabila cukai jalan kenderaan tidak diperbaharui melebihi lima tahun, ia berisiko tinggi menjadi kenderaan terbiar. Bagi kenderaan yang tidak lagi digunakan, ia sepatutnya dilupuskan melalui saluran yang betul supaya boleh dikeluarkan secara rasmi daripada daftar JPJ,” katanya.

    Data tersebut turut menunjukkan bahawa kini terdapat 15.61 juta kereta aktif dengan cukai jalan yang sah, menjadikan jumlah keseluruhan kereta di negara ini termasuk yang tidak aktif adalah sebanyak 19.69 juta unit. Sementara itu, pendaftaran motosikal adalah sebanyak 18.9 juta unit, namun 9.2 juta daripadanya kini dianggap tidak aktif di jalan raya.

    JPJ kenalpasti 15 juta kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh lebih 5 tahun, majoritinya motosikal

    Bagi menangani isu kenderaan lama dan terbiar, MOT melancarkan program geran padanan untuk penggantian kenderaan lama pada Januari tahun ini. Di bawah inisiatif bernilai RM10 juta ini, penerima yang layak dengan kenderaan berusia 20 tahun atau lebih boleh menerima geran sehingga RM2,000, yang kemudiannya akan dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan yang mengambil bahagian apabila menukar kepada kenderaan yang lebih baharu.

    Pada masa ini, program tersebut melibatkan semua model Proton, serta model Perodua Aruz dan Ativa. Walaupun sesebuah kenderaan tidak lagi layak digunakan di jalan raya, ia masih layak menerima geran tersebut selagi nombor enjin dan casis masih ada dan pemiliknya merupakan ahli keluarga terdekat pemohon. Setakat ini, hampir 3,000 pemilik kenderaan lama telah menyertai program geran padanan tersebut, dengan RM4.43 juta geran telah pun disalurkan.

    Mohamed Irwan Mansor turut berkata kementerian akan menggunakan kaedah teknologi tinggi bagi penguatkuasaan cukai jalan, dengan JPJ dijangka melaksanakan sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) untuk mengesan kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh. “Ini merupakan langkah awal untuk menjejaki lebih 2,000 kereta terbiar. Kami berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melupuskan kenderaan dengan cara yang betul,” tambahnya.

     
     
  • Pasukan TGR Racing Malaysia dilancar – sertai Thailand Super Series dengan GR Supra GT4 Evo2

    Pasukan TGR Racing Malaysia dilancar – sertai Thailand Super Series dengan GR Supra GT4 Evo2

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini melancarkan pasukan lumba Toyota Gazoo Racing (TGR Racing) Malaysia yang bakal bersaing di perlumbaan Thailand Super Series (TSS) untuk musim penuh tahun ini. Pasukan yang berpangkalan di GR Malaysia Garage terletak di kilang pemasangan Toyota Bukit Raja, Shah Alam berkenaan bakal bertanding dalam kelas tertinggi TSS iaitu GT4, mempertaruhkan dua buah Toyota GR Supra GT4 Evo2 yang berwarna biru metalik.

    Pasukan ini dipimpin oleh Jason Ong yang bertindak sebagai Prinsipal Pasukan, manakala barisan pelumba pasukan TGR Racing Malaysia pula menggandingkan pemandu-pemandu muda dan berpengalaman, dan telah menempa nama dipersada antarabangsa. Kereta nombor #81 akan dikemudi oleh pasangan Shaun Thong dan Weiron Tan, manakala kereta nombor #83 dipandu oleh pasangan Nazim Azman dan Putera Adam.

    Kedua-dua jentera ini akan berhadapan dengan pelbagai jentera lumba kelas GT4 dari jenama lain termasuk Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercedes AMG GT4, Aston Martin Vantage GT4 dan sekitar lima buah GR Supra GT4 lain yang turut digunakan oleh satu lagi pasukan dari Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport.

    Shaun Thong yang berumur 31 tahun merupakan pelumba paling berpengalaman dalam pasukan ini di mana beliau yang merupakan pelumba paling muda memulakan perlumbaan di Asian Formula Renault ketika berumur 16 tahun kini telah mencatatkan 45 rekod kemenangan, tujuh gelaran juara kejohanan dan telah memulakan 250 perlumbaan. Antara perlumbaan yang pernah disertai Thong termasuk British Formula Renault, Formula Ford UK, Euro Formula Open F3 Nurburgring 24H (dengan Audi) GT World Challenge Asia, Asian Lemans LMP3 Series, Super GT300, Super Taikyu Endurance dan banyak lagi.

    Pasukan TGR Racing Malaysia dilancar – sertai Thailand Super Series dengan GR Supra GT4 Evo2

    Manakala pasangannya Weiron Tan juga berumur 31 tahun pula merupakan juara Lotus Supercup GT4 Series pada tahun 2011 dan juga merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah menang perlumbaan di litar berbentuk oval di Amerika Syarikat menerusi perlumbaan Pro Mazda Championship 2015. Tan juga pernah berlumba di Asian Le Mans Series dengan jentera kelas LMP, China GT Championship, FIA World Endurance Championship, GT World Challenge Asia Series serta merupakan pemandu rasmi pasukan Audi Sport Asia serta pemandu pembangunan junior dalam pasukan Carterham F1.

    Bagi Nazim Azman yang kini berusia 24-tahun memulakan karier pelumbaan di peringkat antarabangsa bermula dengan Italian Formula 4 pada 2018, dan kemudian beralih British Formula 3 Championship, Euro Formula Open Championship dan telah berjaya melangkah ke FIA Formula 3 Championship. Sebelum menyertai pasukan TGR Malaysia ini, Nazim merupakan pemandu rasmi pasukan Porsche Malaysia dalam perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) untuk musim 2023 dan 2024.

    Pasangan Nazim iaitu Putera Adam yang berumur 19-tahun pula merupakan pelumba paling muda dalam pasukan ini, dan merupakan ‘produk’ program pembangunan bakat muda Toyota Gazoo Racing Malaysia yang berlumba dalam kategori Rookie perlumbaan Vios Challenge Malaysia. Walaupun masih muda, Adam telah dinobatkan sebagai juara Lamborghini Super Trofeo Europe Championship 2015 dalam kategori Pro, serta pernah berlumba di TSS 2023 dalam kategori GTC.

    Pasukan TGR Racing Malaysia dilancar – sertai Thailand Super Series dengan GR Supra GT4 Evo2

    “Bagi Toyota, budaya perlumbaan bukan sekadar aktiviti kompetitif, sebaliknya teras kepada falsafah kami dalam mempertingkat mutu dan prestasi. Setiap penyertaan membawa aspirasi untuk mencapai standard tertinggi serta meraih kemenangan, kerana gelanggang sebenar perlumbaan menjadi penentu aras keupayaan sebenar sesebuah pasukan. Sejak diperkenalkan, Toyota Gazoo Racing berkembang sebagai platform yang merangsang pertumbuhan industri sukan permotoran tempatan, menyatukan komuniti perlumbaan dan memupuk bakat baharu. Evolusi seterusnya ini menandakan langkah kami ke arena perlumbaan GT serantau, sekali gus terus mengangkat dan menetapkan penanda aras baharu bagi sukan permotoran Malaysia,” kata Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota.

    Bagi penyertaan musim pertama ini, TGR Racing Malaysia meletakkan penekanan terhadap fasa persediaan dan pembelajaran yang sistematik. “Justeru, pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi membolehkan pasukan membina asas kukuh sebelum tampil sebagai pencabar utama dalam siri berkenaan. Usaha ini merangkumi pemindahan kepakaran teknikal dan operasi kepada tenaga kerja tempatan yang akan bekerjasama rapat dengan rakan sepasukan dari Jepun, sekali gus memperkukuh keupayaan dalaman pasukan untuk tempoh jangka panjang,” kata pasukan tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Thailand Super Series 2026 akan bermula dengan ujian pramusim pada 22 hingga 23 April di Litar Antarabangsa Chang, diikuti pusingan pembukaan dari 21 hingga 24 Mei di litar yang sama. Pusingan kedua dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 5 Julai sempena ulang tahun ke-20 Bangsaen Grand Prix di Chonburi. Saingan kemudian beralih ke Litar Antarabangsa Sepang Petronas bagi pusingan ketiga dan keempat, masing-masing pada 21 hingga 23 Ogos serta 18 hingga 20 September, sebelum musim melabuh tirai di Litar Antarabangsa Chang dari 30 Oktober hingga 1 November.

    GALERI: Foto Rasmi Toyota GR Supra GT4 Evo2 pasukan TGR Racing Malaysia

     
     
  • Individu miliki saman AwAS yang disenarai hitam boleh bayar menerusi aplikasi MyJPJ mulai 18 Mac

    Individu miliki saman AwAS yang disenarai hitam boleh bayar menerusi aplikasi MyJPJ mulai 18 Mac

    Mana-mana pengguna jalan raya yang telah disenaraihitamkan kerana mempunyai saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), boleh membayar saman terbabit menerusi platform aplikasi MyJPJ bermula 18 Mac 2026.

    Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, status senarai hitam akan dinyahaktifkan secara automatik dalam sistem JPJ sebaik sahaja pembayaran berjaya dilakukan, laporan Bernama.

    “Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ, sekali gus menjimatkan masa dan mempercepatkan urusan berkaitan.

    “Walau bagaimana pun, tiada diskaun akan diberikan untuk saman lama, kecuali saman AwAS yang diterima tahun ini, yang ditawarkan diskaun antara RM150, RM200 dan RM300 bergantung pada tempoh bayaran,” katanya dalam sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA), di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Individu miliki saman AwAS yang disenarai hitam boleh bayar menerusi aplikasi MyJPJ mulai 18 Mac

    Beliau menambah bahawa pembayaran saman trafik melalui aplikasi MyJPJ tidak melibatkan Notis Saman (114) serta saman yang tidak boleh dikompaun, kerana kes tersebut perlu diselesaikan di mahkamah. Antara kesalahan trafik yang tidak boleh dikompaun ialah memandu tanpa insurans atau lesen, atau mempamerkan cukai jalan palsu.

    Katanya lagi, individu yang menerima “notis hadir” masih perlu hadir ke pejabat JPJ yang berkaitan untuk melengkapkan siasatan terhadap kesalahan trafik yang dilakukan. “Jika mereka tidak hadir, status mereka akan disenaraihitamkan dan mereka tetap perlu datang ke JPJ untuk menyelesaikannya,” katanya.

    Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa mulai 1 Januari tahun ini, kadar saman trafik akan diseragamkan antara agensi, dan kempen diskaun berkala tidak lagi diadakan. Sebaliknya, pembayaran awal saman akan diberi ganjaran, manakala pembayaran lewat akan dikenakan jumlah penuh.

     
     
  • Omoda C9 bakal dilancar di Malaysia pada 18 Mac – 537 PS, jarak gerak EV 145 km, dijangka RM220k

    Omoda | Jaecoo Malaysia menerusi laman media sosialnya telah menguar-uarkan bahawa Omoda C9 PHEV akan dilancarkan di pasaran tempatan pada Rabu ini, 18 Mac 2026. SUV segmen-D versi plug-in hybrid ini dilancarkan selepas ia diperkenalkan sebagai model enjin pembakaran dalaman (ICE) pada Disember 2024.

    Kita telah pun dimaklumkan bahawa harga jangkaannya adalah sekitar RM220k, jadi kena nantikan adakah harganya akan menjadi lebih rendah sewaktu dilancarkan kelak. Bagi model ICE, ia ditawarkan pada harga RM169k (2WD) dan RM189k (AWD). Jadi, tidaklah keterlaluan untuk menjangkakan harganya sedikit melebihi RM200,000. Walau bagaimana pun, ia ditawarkan dengan promosi pembelian ‘early bird‘ dengan diskaun RM4,618 dan merangkumi rebat tunai “angpau” sebanyak RM3,888 serta kabel penyambung vehicle-to-load atau V2L percuma bernilai RM730.

    Dari segi mekanikal, Omoda C9 PHEV menggunakan sistem Super Hybrid System, atau SHS versi dipertingkat, yang sebelum ini diperkenalkan melalui Jaecoo J7 PHEV. Enjin petrol 1.5 liter turbo empat-silinder yang menghasilkan 143 PS dan 215 Nm tork masih dikekalkan, namun kini digandingkan dengan dua motor elektrik di bahagian hadapan.

    Motor pertama ialah unit P2 berfungsi sebagai integrated starter-generator dengan output 102 PS dan 170 Nm, manakala motor kedua jenis P2.5 berperanan sebagai motor pacuan dengan kuasa 122 PS dan 220 Nm.

    Omoda C9 bakal dilancar di Malaysia pada 18 Mac – 537 PS, jarak gerak EV 145 km, dijangka RM220k

    Transmisi hibrid satu kelajuan yang digunakan pada J7 turut digantikan dengan unit tiga kelajuan. Konfigurasi ini membolehkan enjin pembakaran dalaman membantu memacu roda pada kelajuan rendah, sekali gus meningkatkan pecutan.

    Untuk gandar belakang pula, sebuah motor elektrik berkuasa 230 PS dan 310 Nm digunakan, memberikan sistem pacuan semua roda. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan gabungan kuasa 537 PS dan tork 650 Nm, membolehkan C9 PHEV memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Kelajuan maksimum bagaimanapun dihadkan kepada 179 km/j.

    Di bawah lantai kenderaan, C9 PHEV dilengkapi bateri NMC berkapasiti 34 kWh yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 145 km mengikut penarafan WLTP. Dengan tangki bahan api berkapasiti 70 liter, jarak pemanduan keseluruhan yang didakwa mencecah 1,100 km. Angka ini bukan sekadar teori, kerana model ini pernah mencatat jarak efektif sehingga 1,190 km semasa pertandingan Omoda & Jaecoo Long Range Safari Drive di Afrika Selatan tahun lalu.

    Penggunaan bahan api pula dinilai pada kadar 1.4 liter bagi setiap 100 km apabila bateri dicas penuh. Apabila paras bateri menurun ke sekitar 20%, penggunaan meningkat kepada 6.5 liter bagi setiap 100 km. Dari aspek pengecasan, C9 PHEV menyokong pengecasan pantas DC sehingga 70 kW, membolehkan bateri dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 25 minit. Untuk pengecasan AC pula, ia menyokong sehingga 6.6 kW, dengan masa pengecasan dari 30 hingga 100 peratus sekitar 5.5 jam.

     
     
  • WMoto NX150S dilancar di Malaysia – skuter 150 cc lengkap dengan ABS dan kawalan cengkaman, RM6.7k

    WMoto NX150S dilancar di Malaysia – skuter 150 cc lengkap dengan ABS dan kawalan cengkaman, RM6.7k

    Bersama dengan KTNS TT Classic 150, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan sebuah skuter hari ini, iaitu WMoto NX150S. Ia ditawarkan pada harga RM6,688 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km, dalam pilihan warna Grind Green, Glacier Green dan Lava Brown.

    NX150S menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api penyejukan cecair 149.6 cc, yang dipadankan bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter.

    Meskipun dipasarkan pada harga tidak sampai RM7k, NX150S datang dengan pelbagai kelengkapan model seperti lampu LED, sistem kunci pintar, dua soket pengecas USB serta meter jenis digital LCD. Kemudiannya di bahagian keselamatan, ia dilengkapi sistem brek ABS dual-channel serta kawalan cengkaman.

    Menghubungkan skuter ini dengan jalan adalah rim 13 inci yang dibalut tayar bersaiz 130/70 di hadapan dan belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.

    Brek pada kedua-dua roda menggunakan unit cakera, manakala kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk 19 liter, dua poket barangan serta tapak beg barangan belakang.

     
     
  • KTNS TT Classic 150 dilancarkan di Malaysia – RM6.9k

    KTNS TT Classic 150 dilancarkan di Malaysia – RM6.9k

    Setelah sekian lama tiada model baru, jenama KTNS kembali muncul dalam pasaran Malaysia dengan pelancaran model TT Classic 150 oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd pada harga RM6,888 tidak termasuk insurans. Tiga pilihan warna disediakan, iaitu Dark Gold, Matt Black dan Matt Grey, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Motosikal ini dipacu oleh enjin satu silinder empat strok, suntikan bahan api, penyejukan udara 150 cc, bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 10.6 hp pada 7,500 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 11 liter.

    Membawa gaya scrambler, TT Classic 150 dipasang dengan rim spoked bersaiz 18 inci dengan tayar 110/90 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 120/0 di belakang. Ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Untuk brek, kedua-dua roda dilengkapi dengan unit cakera tunggal (tiada ABS) manakala di bahagian kokpit motosikal ini dilengkapi dengan meter digital LCD untuk paparan informasi termasuk kedudukan gear dan tahap bahan api.

    Secara keseluruhan TT Classic 150 mencatat berat kering 130 kg dengan tinggi tempat duduk 840 mm, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah semua lampu jenis LED, pemula enjin elektrik serta pelindung enjin.

     
     
  • Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS

    Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) hari ini secara rasmi menarik balik penarafan keselamatan 5-bintang bagi Proton X90 yang diberikan pada Mei 2023 susulan pelancaran model kemaskini 2026 (MC1) minggu lalu kerana sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada SUV tujuh-tempat duduk berkenaan telah pun disingkirkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penarafan 5-Bintang yang diberikan kepada X90 dengan ujian yang dibuat di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025 sebelum ini diturunkan hanya kepada 1-Bintang. Menerusi ujian yang dibuat pada 2023 tersebut Proton X90 asalnya memperoleh penarafan 5-Bintang dengan skor keseluruhan 83.79 mata yang merangkumi prestasi cemerlang dalam Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75 mata), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (17.79 mata), Bantuan Keselamatan (15.71 mata), dan Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50 mata).

    Namun selepas pelancaran model MC1 minggu lalu, ASEAN NCAP menyemak semula spesifikasi keselamatan yang diberikan dan mendapati sebahagian besar teknologi ADAS termasuk Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), serta Teknologi Titik Buta (BST) yang sebelum ini merupakan ciri standard, kini dibuang sepenuhnya.

    Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS

    ASEAN NCAP menjelaskan di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021-2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana-mana kategori tunggal, bagi memastikan “perlindungan menyeluruh” diberikan.

    “Penyingkiran teknologi-teknologi ini telah menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-Bintang, manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS)-yang sangat bergantung kepada Pengesanan Titik Buta—telah merosot mendadak ke penarafan 1-Bintang.

    “Kesannya, penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan pada tahap 1-Bintang sahaja. Walau bagaimanapun, ASEAN NCAP mengesahkan bahawa penarafan keselamatan 5-Bintang hanya terpakai untuk varian X90 yang dikilangkan antara tahun 2023 hingga 2025. Model-model khusus ini telah disahkan dilengkapi dengan teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol penilaian 2021-2025 kami. MIROS dan ASEAN NCAP menggesa para pengguna untuk lebih teliti dan menyemak spesifikasi keselamatan varian pilihan mereka bagi memastikan ia memenuhi piawaian 5-Bintang tersebut,” tulis kenyataan rasmi ASEAN NCAP yang disiarkan pagi ini.

    Sementara itu Ketua Pengarah MIROS Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak menyatakan bahawa pihak amat kesal dengan keputusan Proton untuk mengeluarkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model kemaskini baharu tersebut.

    Proton X90 MC1 2026 – penarafan 5-bintang ASEAN NCAP ditarik, turun ke 1-bintang kerana tiada ADAS

    “Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-Bintang tahun 2023 tersebut. Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar: keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit,” tegasnya.

    “Pengesanan Titik Buta (BSD) adalah faktor pemberat kritikal dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal kami. Penyingkirannya, bersama bantuan canggih yang lain, telah melucutkan mata yang sebelum ini memberikan X90 penarafan tahap tertinggi. Keselamatan mestilah menjadi keutamaan yang boleh diakses oleh semua, bukannya satu kemewahan. ASEAN NCAP akan terus memantau semua pengeluar yang telah dinilai; kami tidak akan teragak- agak untuk menarik balik penarafan mana-mana jenama yang mengkompromi keselamatan kenderaan selepas penilaian dibuat,” kata Ts. Yahaya Ahmad, Ketua Teknikal ASEAN NCAP pula.

    Proton X90 MC1 yang dilancarkan minggu lalu menerima tingkat taraf enjin lebih berkuasa 1.5 liter empat silinder turbo bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder dengan sistem hibrid ringkas 48V sebelumnya. Proton turut mengubah strategi untuk memasarkan X90 dengan menurunkan harganya hampir RM30k lebih murah di mana varian Lite boleh dibeli pada harga bermula RM99,800 (dengan rebat), namun ia terpaksa mengorbankan beberapa perincian termasuk sistem ADAS.

    Walau bagaimanapun, ketika pelancaran model X90 2026 tersebut Proton tidak mendakwa dan menyatakan dalam mana-mana bahan pemasaran seperti dalam brosur rasmi dan sebagainya bahawa model berkenaan masih menerima penarafan 5-Bintang dari ASEAN NCAP. Ini bukan kali pertama Proton mengambil strategi yang serupa, di mana pada 2017 syarikat tersebut telah melancarkan model kemaskini Proton Exora dengan mengurangkan beg udara sisi, dan perincian tersebut terus tidak ditawarkan semula sehingga MPV berkenaan ditamatkan pengeluarannya pada Oktober 2023.

     
     
  • Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026 – pendaftaran sudah dibuka hari ini, ada kategori wanita

    Perlumbaan simulator Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia (PESCM) bakal berlangsung untuk musim ketiga tahun ini, dengan perdaftarannya sudah diumumkan mula dibuka secara rasmi di laman Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia bermula hari ini.

    Untuk tahun ini semua peserta akan berlumba di platform Assetto Corsa, berbanding menggunakan Raceroom tahun lalu. Juga Porsche Malaysia turut menambah satu lagi kategori tahun ini iaitu kategori wanita, dibuka untuk kaum hawa yang berumur 10 hingga 23 tahun.

    Tiga kategori sebelum ini masih lagi dipertandingkan, jadi semua kategori untuk PESCM 2026 adalah seperti berikut:

    • Junior Dreamers: 10 – 14 tahun
    • Young Dreamers: 15 – 17 tahun
    • Driven Dreamers: 18 – 23 tahun
    • Female Dreamers: 10 – 23 tahun (kategori semua-wanita)

    Juga untuk tahun ini tiada lagi pusingan kelayakan yang boleh dibuat secara atas talian, di mana semua peserta yang mendaftar perlu datang ke lokasi dan masa seperti di bawah:

    • Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur – April 18-19, 2026
    • The Mall, Mid Valley Southkey, Johor Bahru – April 25-26, 2026
    • Gurney Paragon Mall, Penang – May 2-3, 2026

    Ketika pusingan kelayakan pertama ini juga peserta perlu memilih Porsche Center yang mahu diwakili kerana ia akan menentukan tempat ‘gelanggang’ pada peringkat kelayakan kedua sekiranya mara ke pusingan seterusnya. 30 pelumba terpantas dari setiap kategori di setiap lokasi pusingan kelayakan akan mara ke pusingan kelayakan kedua.

    Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026 – pendaftaran sudah dibuka hari ini, ada kategori wanita

    Manakala 10 pelumba terpantas dari setiap Porsche Center akan mara ke pusiangan kelayakan ke 3 yang akan berlangsung di Pavilion Bukit Jalil pada 4 hingga 5 Julai 2026. Dari sini, 10 pelumba terpantas dari setiap kategori pula akan mara ke pusingan terakhir yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, serentak dengan pusingan ke 9, 10 dan 11 Ogos perlumbaan sebenar Porsche Carrera Cup Asia pada 22 hingga 23 Ogos 2026.

    Perlumbaan sebenar PCCA berkenaan juga bakal memberikan inspirasi kepada pelumba-pelumba PESCM 2026 kerana pasukan Porsche Malaysia diwakili oleh Naquib Azlan, pemenang PESCM 2025 dalam kategori Driven Dreamers.

    Jadi untuk yang berminat jangan lupa untuk mendaftar di laman web rasmi Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia, dan pendaftaran tersebut akan ditutup pada 10 April 2026 pukul 11.59 malam.

     
     
  • Subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel meningkat hingga RM3.2b sebulan demi manfaat rakyat-MOF

    Subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel meningkat hingga RM3.2b sebulan demi manfaat rakyat-MOF

    Kerajaan kini menanggung subsidi petrol dan diesel yang meningkat sehingga RM3.2 bilion sebulan dalam usaha kerajaan memastikan rakyat terus menerima manfaat berikutan peningkatan bahan api global akibat konflik di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II (MOF), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Menurut beliau, subsidi kerajaan bagi petrol menerusi inisiatif Budi95 meningkat kepada RM2 bilion berbanding RM700 juta sebelum ini, manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan, laporan Bernama.

    “Walaupun Kerajaan Madani menangani implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan kita dapat mengekalkan pemberian inisiatif Budi95. Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita sudah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tiga tahun kerajaan Madani memerintah,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini.

    Ketika ditanya sama ada kemungkinan berlaku kekurangan bekalan bahan api akibat permintaan tinggi menjelang sambutan Aidilfitri dan cuti persekolahan minggu depan, Amir Hamzah berkata, gangguan bekalan tidak mungkin berlaku.

    “Seperti mungkin semua orang sedia maklum, arahan daripada Kabinet ialah saya untuk mempengerusikan jawatankuasa silang kementerian. Di bawah pengawasan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), mereka pantau stok bekalan (bahan api) yang ada di stesen minyak dan juga stok yang ada di syarikat minyak dan menjadi kebiasaan setiap kali perayaan mereka akan pastikan ada cukup bekalan minyak,” katanya

     
     
  • Jetour T2 dilancarkan di Malaysia – RM154,800 dengan rebat, SUV off-road, 2.0L Turbo 245 PS/375 Nm, AWD

    Jetour T2 dilancarkan di Malaysia – RM154,800 dengan rebat, SUV off-road, 2.0L Turbo 245 PS/375 Nm, AWD

    Selepas tempahannya dibuka pada November tahun lalu, akhirnya hari ini Jetour T2 secara rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. SUV ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu T2 2.0TD XWD, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM156,800.

    Jetour Malaysia turut menawarkan rebat sebanyak RM2,000 untuk 3,000 pelanggan pertama yang menempahnya, menjadikan harga lebih murah iaitu RM154,800. Setiap pembelian diberikan perlindungan waranti tujuh tahun atau 150,000 km, waranti unit rangkaian kuasa selama 10 tahun atau 1,000,000 km serta servis percuma termasuk alat ganti dan kos buruh sebanyak lima kali.

    Dari segi saiz, T2 dihasilkan dengan dimensi panjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1870 mm dan jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi ia merupakan SUV yang bertanding dalam kelas segmen-D untuk berhadapan dengan model seperti Chery Tiggo 8 dan Proton X90. Namun ia hanya menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk dan direka sebagai SUV off-road sebenar seperti Ford Bronco, Ford Bronco Sport dan Land Rover Defender, tetapi masih dibina berasaskan kerangka unibody.

    Jetour T2 dilancarkan di Malaysia – RM154,800 dengan rebat, SUV off-road, 2.0L Turbo 245 PS/375 Nm, AWD

    Jadi ia rekaan luarannya memang direka untuk kelihatan lasak – ia diberikan lampu dan gril hadapan bersegi tetapi dengan grafik LED seperti bulat, bampar hadapan dan belakang seperti trak pikap yang besar dan kelihatan memberikan sudut approach dan berlepas yang baik, overfender pada setiap ruang roda yang lebar serta berfungsi sebagai pelindung badan, running board yang merentasi sepenuhnya bawah sisi badan, rel bumbung, serta ‘kotak’ pada pintu tailgate belakang yang menyimpan tayar gantian pada SUV off-road tradisional.

    Jetour T2 ini turut menerima rekaan badan yang bersegi, muka seperti Ford Bronco, serta rekaan sisi dan belakang seolah-olah mendapat inspirasi dari rekaan dari Land Rover Defender. Antara perincian luaran lain yang dipadankan pada T2 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED, lampu kabus LED, pintu tailgate belakang dengan fungsi vakum, lampu brek ketiga yang terletak di atas bumbung serta rim aloi 19-inci yang dibalut dengan tayar All-Terrain 255/60R19.

    Rekaan yang nampak lasak turut dibawa pada sebelah dalam di mana Jetour T2 ini menerima papan pemuka bersegi menampilkan skrin infotainmen yang diletakkan ‘terapung’ bersaiz 15.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital penuh dengan skrin 10.25-inci, suis-suis kawalan pendingin hawa fizikal yang disusun seperti kekunci piano, roda stereng berbentuk oblong balutan leatherette, tombol gear juga direka bersegi dengan suis putar pemilih mod off-road turut diletakkan pada konsol tengah.

    Jetour T2 dilancarkan di Malaysia – RM154,800 dengan rebat, SUV off-road, 2.0L Turbo 245 PS/375 Nm, AWD

    Perincian dalaman lain yang turut dipadankan termasuk sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk hadapan dengan fungsi aliran udara, larasan kuasa (pemandu enam hala dengan fungsi memori dan penumpang empat hala), pendingin hawa dua zon dengan penghembus udarakabin belakang, lampu suasana kabin, bumbung kaca panoramik dan sistem kamera 360-darjah.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Jetour T2 ini sebenarnya berkongsi dengan Chery Tiggo 8 Pro, menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Kuasa dialirkan menerusi sistem pacuan semua roda yang memberikan lapan mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport, Snow, Mud, Sand, Rock dan X-Mode iaitu mod yang mengaktifkan sistem AWD pintar XWD. Ia juga datang dengan Hill Hold Control, Kawalan Menurun Cerun dan mod Crawl Control yang membolehkan SUV ini ‘merangkak’ kerita meredah laluan off-road.

    Dari segi keselamatan Jetour T2 telahpun menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) menerusi ujian pelanggaran yang dibuat pada Disember tahun lalu. Ia dilengkapi dengan enam-beg udara, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Jetour T2 pasaran Malaysia ini juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Tahap 2 dengan fungsi termasuk amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan kawalan stereng, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan pelbagai lagi.

    Tiga warna badan ditawarkan untuk Jetour T2 di Malaysia termasuk Khaki White, Aviation Silver dan Carbon Black. Buat permulaan Jetour T2 akan ditawarkan dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, dan selepas ini ia akan dijelmakan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dipasang di Johor menerusi kilang Berjaya Assembly.

     
     
  • Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

    Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

    Seperti yang pernah dilihat melalui perbandingan antara Proton eMas 7 dan Proton X70, kenderaan elektrik (EV) menawarkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam kelas saiz yang sama.

    Perkara yang sama turut berlaku kepada model lebih kecil dalam keluarga eMas, iaitu Proton eMas 5 yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu dan kini menjadi antara pilihan popular dalam kalangan pembeli kereta tahun ini.

    Bagi melihat perbezaannya dengan lebih jelas, kos penyelenggaraan eMas 5 boleh dibandingkan dengan dua model popular daripada Perodua, iaitu Perodua Myvi dan Perodua Ativa. Kedua-dua model tersebut berada dalam kelas saiz yang hampir sama dengan eMas 5 serta mempunyai julat harga yang bertindih dengan model EV tersebut.

    Dari segi harga, eMas 5 varian asas Prime dijual pada harga RM56,800 atas jalan tanpa insurans, manakala varian Premium pula berharga RM69,800. Harga ini adalah selepas Pro-Net melanjutkan rebat pelancaran sebanyak RM3,000 tanpa had tempoh. Bagi model Perodua pula, Myvi varian enjin 1.5 liter ditawarkan pada harga antara RM50,900 hingga RM59,900, manakala Ativa pula berada dalam julat RM62,500 hingga RM73,400.

    Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

    Jika dilihat kepada kos penyelenggaraan sepanjang lima tahun, Myvi memerlukan perbelanjaan sekitar RM3,368.70 manakala Ativa pula RM3,539.30 berdasarkan jadual servis rasmi Perodua. Sebagai perbandingan, eMas 5 hanya memerlukan kos sekitar RM1,278.03 untuk tempoh yang sama. Ini bermakna kos penyelenggaraan eMas 5 adalah kira-kira 62% lebih rendah berbanding Myvi dan sekitar 64% lebih rendah berbanding Ativa.

    Walaubagaimanapun, jadual servis bagi eMas 5 sedikit berbeza berbanding model Perodua tersebut. Servis pertama dilakukan pada jarak 5,000 km atau tiga bulan, manakala servis seterusnya hanya diperlukan setiap 20,000 km atau 12 bulan. Sebaliknya, Myvi dan Ativa memerlukan penyelenggaraan setiap 10,000 km atau enam bulan.

    Menariknya, jadual penyelenggaraan lengkap eMas 5 sebenarnya meliputi sehingga 205,000 km atau 123 bulan penggunaan. Jika dikira untuk tempoh sepuluh tahun, jumlah kos penyelenggaraan keseluruhan hanyalah RM2,492.34, yang masih lebih rendah berbanding kos lima tahun bagi kedua-dua model Perodua tersebut.

    Kos penyelenggaraan yang lebih rendah ini berpunca daripada jumlah komponen yang perlu diganti atau diservis yang jauh lebih sedikit pada EV. Dalam kes eMas 5, komponen yang disenaraikan dalam jadual servis termasuk pelincir untuk reduction gear, bendalir brek, penyejuk dan penapis kabin. Sebaliknya, kereta enjin pembakaran dalaman memerlukan lebih banyak komponen penyelenggaraan seperti minyak enjin, minyak transmisi, penapis udara enjin serta palam pencucuh.

    Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
    Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

    Jadual servis Proton eMas 5 untuk lima tahun (atas), 10 tahun (bawah)

    Sepanjang lima tahun penggunaan, servis paling mahal bagi eMas 5 berlaku pada jarak 85,000 km atau sekitar 51 bulan, dengan kos sebanyak RM426.36 untuk semua komponen kecuali penukaran minyak kotak gear pengurangan. Bagi Myvi pula, kos servis tertinggi berlaku pada jarak 100,000 km atau 60 bulan dengan jumlah RM727.96. Untuk Ativa, kosnya lebih tinggi pada jarak sama iaitu RM933.16, sebahagiannya disumbang oleh kos penggantian palam pencucuh.

    Namun begitu, kos pemilikan sesebuah kenderaan tidak hanya terhad kepada penyelenggaraan di pusat servis. Faktor lain seperti tayar turut memainkan peranan. Secara umum, harga tayar meningkat apabila saiz rim menjadi lebih besar.

    eMas 5 ditawarkan dengan rim bersaiz 15 inci bagi varian Prime dan 16 inci bagi varian Premium, dan ia tidak memerlukan tayar khusus EV yang biasanya lebih mahal. Myvi pula menggunakan rim 15 inci bagi semua varian enjin 1.5 liter, manakala Ativa hadir dengan rim bersaiz antara 16 hingga 17 inci.

    Berdasarkan saiz tersebut, harga tayar untuk eMas 5 dijangka setanding dengan model enjin pembakaran dalaman. Namun, tayar pada eMas 5 mungkin mengalami kehausan lebih cepat disebabkan penghantaran tork segera daripada motor elektrik serta berat kenderaan yang lebih tinggi. Berat eMas 5 berada dalam lingkungan 1,230 hingga 1,305 kg, berbanding Myvi yang seberat sekitar 1,010 hingga 1,025 kg dan Ativa antara 1,020 hingga 1,035 kg.

    Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun
    Kos penyelenggaraan Proton eMas 5 EV dibandingkan dengan Perodua Myvi, Ativa dalam tempoh 5, 10 tahun

    Jadual servis Perodua Myvi (atas), Ativa (bawah)

    Sebaliknya, penggunaan sistem brek regeneratif melalui motor elektrik berpotensi memanjangkan jangka hayat pad brek pada eMas 5 berbanding model ICE. Dari segi cukai jalan pula, eMas 5 hanya memerlukan bayaran tahunan RM30 untuk varian Prime dan RM60 bagi varian Premium. Sebagai perbandingan, cukai jalan Myvi ialah RM90 setahun manakala Ativa hanya RM20.

    Selain itu, kos penggunaan harian juga boleh menjadi lebih rendah bagi EV sekiranya pengecasan dilakukan di rumah. Walaubagaimanapun, perbelanjaan bulanan boleh meningkat jika pengguna lebih bergantung kepada pengecas awam, terutamanya pengecas pantas DC yang biasanya mengenakan kadar caj lebih tinggi.

    Dengan kos penyelenggaraan yang jauh lebih rendah, tidak hairanlah jika eMas 5 kini semakin mendapat perhatian pembeli di Malaysia. Persoalannya, adakah faktor ini cukup untuk mendorong lebih ramai pengguna beralih kepada kenderaan elektrik?

     
     
  • Honda Rebel 500 pasaran Malaysia dapat warna baru

    Honda Rebel 500 pasaran Malaysia dapat warna baru

    Model cruiser kelas pertengahan, Honda Rebel 500, menerima kemas kini warna bagi tahun model 2026 di pasaran Malaysia. Warna baru ini dipanggil sebagai Matte Gun Powder Black Metallic, tetapi daripada gambar, kelihatan sama sahaja seperti warna Matte Dim Grey Metallic yang diperkenalkan tahun lepas.

    Harga jualan yang disyorkan kekal tidak berubah berbanding iaitu RM33,899, dan begitu juga dengan bahagian lain termasuk spesifikasi motosikal ini, sama seperti sebelumnya.

    Dari segi kuasa, Rebel 500 masih menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 471 cc penyejukan cecair serta dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-Fi. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan bersama klac assist dan slipper dan menghasilkan kuasa 45.59 hp pada 8,500 rpm serta tork maksimum 43.3 Nm pada 6,000 rpm.

    Untuk sistem suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik manakala di belakang terdapat sepasang penyerap hentak daripada Showa dengan takungan nitrogen yang boleh dilaras untuk tahap pra-beban. Sistem brek terdiri daripada cakera hidraulik tunggal pada roda hadapan dan belakang, dengan sistem brek ABS dual-channel sebagai kelengkapan standard.

    Rebel 500 menggunakan rim bersaiz 16 inci di hadapan dan belakang. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 690 mm bagi memberikan posisi tunggangan yang mesra penunggang, manakala berat motosikal ini direkodkan pada 190 kg dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 11.2 liter.

    Dari segi kelengkapan, Rebel 500 dilengkapi sistem pencahayaan LED sepenuhnya. Maklumat tunggangan pula dipaparkan menerusi skrin LCD berbentuk bulat berdiameter 100 mm dengan paparan latar negatif, yang memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, penunjuk posisi gear serta penggunaan bahan api.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026