Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

Selepas didedahkan untuk peringkat global Julai tahun lalu, versi facelift kedua untuk Porsche Macan akhirnya secara rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. Pengedar jenama berkenaan untuk pasaran tempatan, Sime Darby Auto Performance (SDAP) menawarkan Macan facelift 2022 ini terus dalam tiga varian iaitu versi asas Macan, Macan S dan Macan GTS.

Bagi pasaran Malaysia, model asas Macan dijual pada harga bermula RM433,154. Model Macan S pula dijual pada harga bermula RM623,593, diikuti Macan GTS yang boleh dibeli dengan harga bermula RM786,232. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah merangkumi cukai dan duti, tetapi tidak termasuk bayaran atas-jalan, insuran mahupun apa-apa perincian opsyen.

Setiap pembelian diberikan sekali dengan waranti dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun. Namun untuk pembeli yang mahukan perlindungan waranti lebih lama, mereka boleh memilih program Porsche Approved Warranty dengan bayaran tambahan (harga adalah berdasarkan permintaan).

Berbanding model facelift pertama yang diperkenalkan pada 2018, versi kemaskini terbaharu Macan ini menampilkan bampar hadapan yang direka semula, dengan diberikan gril utama yang lebih kecil bersama rekaan sisi berbentuk-C persis Macan Turbo sebelum ini.

Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

Bahagian bawah apron bampar berkenaan juga diberikan satu lagi liang kemasukan udara yang turut menempatkan sepasang lampu kabus. Kesemua varian Macan kini diberikan lampu hadapan Porsche Dynamic Light System (PDLS) bersama cermin sisi Sport Design (menampilkan ‘kaki’ berbentuk-V) yang sebelum ini hanya diberikan pada Macan Turbo.

Bagi varian GTS, keseluruhan bahagian ‘mulut’ pada bampar hadapan berkenaan diberikan warna hitam tanpa sebarang permukaan dengan warna badan bagi memberikan rupa yang lebih agresif. Pada profil sisi, bahagian ‘bilah’ di bahagian bawah pintu kini diberikan rekaan tiga-dimensi baharu, sementara di belakang Macan facelift 2022 ini menerima diffuser berwarna hitam yang lebih besar bersama sepasang reflektor cahaya yang diposisikan lebih tinggi.

Dalam kabin, Macan terkini ini menerima konsol tengah baharu yang menampilkan panel rata yang diberikan kawalan sensitif sentuhan bagi menggantikan butang kawalan konvensional sebelum ini – sama seperti model-model baharu Porsche yang lain termasuk Taycan, Panamera dan Cayenne.

Tombol gear juga kini lebih pendek tanpa boot kulit, serta diberikan gate tukaran gear yang lebih kecil bersama kemasan sekeliling krom yang nipis. Rombakan bahagian berkenaan juga memberikan ruang storan di belakang suis brek parkir elektronik yang lebih besar tetapi ia kini tidak diberikan penutup.

Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

Perincian-perincian baharu lain yang turut diberikan pada Macan facelift 2022 ini termasuk roda stereng GT Sport yang diambil dari model 911 terkini, bersama jam analog yang direka semula dan diberikan secara standard untuk semua varian.

Untuk sistem infotainmen, model ini menerima skrin sesentuh 10.9-inci yang berfungsi dengan sistem Porsche Communication Management (PCM). Dua suis putar di bahagian bawah skrin tersebut masih lagi kekal, namun butang-butang analog lain yang sebaris dengannya telah digantikan dengan kawalan sensitif-sentuhan yang nampak lebih ringkas.

Bagi unit rangkaian kuasa pula, kesemua varian Macan masih lagi diberikan kotak gear klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan serta sistem pacuan semua roda bersama Porsche Traction Management (PTM). Namun untuk barisan pilihan enjin, kesemuanya telah ditala semula dengan tekanan bahan api yang ditingkatkan kepada 350 bar bagi memberikan agihan bahan api yang lebih baik kepada setiap silinder, sekaligus memberikan pembakaran yang dioptimakan.

Oleh itu, model asas Macan yang dikuasakan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo kini menjana 265 PS dan tork maksima 400 Nm, atau 13 PS/30 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Talaan baharu ini juga membuatkan ia lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j yang hanya mengambil masa 6.2 saat (0.5 saat lebih pantas) serta mencapai kelajuan maksima 232 km/j (225 km/j sebelum ini).

Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

Macan S dan Macan GTS masih lagi dijana oleh enjin V6 2.9 liter dengan pengecas turbo berkembar. Talaan baharu tersebut membolehkan enjin pada Macan S bernafas dengan 380 PS dan tork maksima 530 Nm, atau 26 PS/40 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya. Kuasa yang lebih besar tersebut membolehkan Macan S 2022 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat (0.5 saat lebih pantas) sebelum mencapai kelajuan maksima 259 km/j (254 km/j sebelum ini).

Bagi model Macan GTS pula, enjin berkenaan kini menghasilkan 440 PS dan tork maksima 550 Nm, atau 60 PS dan 30 Nm lebih berkuasa dari versi sebelum ini. Ia membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.0 saat (0.3 saat lebih pantas) serta mencatatkan kelajuan maksima 272 km/j, atau 11 km/j lebih laju dari model sebelumnya.

Kesemua angka prestasi yang disebut ini adalah untuk model yang datang dengan pakej opsyen Sport Chrono. Jika pakej tersebut tidak dipadankan, masa pecutan 0-100 km/j yang dicatatkan oleh setiap varian adalah 0.2 saat lebih lambat.

Talaan casis model facelift 2022 ini juga telah dioptimakan bagi memberikan tindak balas dan respon yang lebih baik. Kesemua varian menerima penyerap hentak adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM), manakala Macan GTS diberikan suspensi udara secara standard yang ditala lebih keras 10% di hadapan, 15% di belakang.

Menurut SDAP, model asas Macan dan Macan S pasaran Malaysia ini menerima Premium Package sebagai ciri standard. Pakej tersebut meliputi perincian seperti tempat duduk hadapan comfort dengan larasan elektrik 14-hala bersama fungsi memori, Power Steering Plus, Park Assist (termasuk kamera undur dan pemantau sekeliling), cermin padang belakang malap sendiri serta sistem bunyi dari Bose.

Sebanyak 14 warna badan ditawarkan untuk pembeli Macan facelift di Malaysia termasuk warna baharu Papaya Metallic dan Gentian Blue Metallic, manakala warna Python Green adalah khas untuk Macan GTS. Jika anda mahukan warna yang berbeza, SDAP turut menawarkan program Paint to Sample dari Porsche untuk penampilan yang benar-benar unik.

Bukan itu sahaja, pembeli juga ditawarkan dengan pelbagai pilihan rim dengan saiz bermula 19- hingga 21-inci, pelbagai pilihan kombinasi upholsteri, kemasan dan pelbagai lagi yang boleh anda buat menerusi konfigurator yang disedia oleh Porsche bagi membolehkan anda mendapatkan sebuah Macan yang berbeza dengan unit pemilik lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required