Barisan model 911 kini berkembang lagi apabila Porsche memperkenalkan varian GTS bagi model generasi 992. Ia akan duduk atas sekali dalam barisan model Carrera biasa, sebelum pergi kepada model GT yang terletak lebih tinggi.

Seperti sebelum ini, ada tiga bentuk badan yang ditawarkan, iaitu Coupe, Cabriolet dan Targa. Bagi versi Targa, ia dipanggil sebagai 911 Targa 4 GT (pacuan semua roda), sementara Carrera GTS (pacuan roda belakang) dan Carrera 4 GTS (pacuan semua roda) ditawarkan dalam bentuk Coupe dan Cabriolet.

Enjin boxer enam silinder 3.0 liter turbo terus digunakan pada GTS generasi 992 ini, dengan menghasilkan kuasa 480 PS dan 570 Nm tork. Sama seperti model Carrera dan Carrera S 992 yang didedahkan sebelum ini, transmisi PDK lapan kelajuan terus diberikan secara standard dan terdapat pilihan untuk menukar kepada unit manual tujuh kelajuan.

Menurut Porsche, bagi varian Carrera 4 GTS Coupe yang datang dengan transmisi automatik klac berkembar PDK, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat (sedikit laju berbanding sebelum ini). Suspensi bagi 911 GTS Coupe dan GTS Cabriolet menggunakan unit PASM aktif secara standard, dan ia adalah 10 mm lebih rendah berbanding Carrera biasa.

Suspensi belakang pula menampilkan spring daripada varian 911 Turbo, yang mana ia mempunyai penahan untuk memastikan spring tersebut sentiasa dalam tekanan dalam semua keadaan pemanduan. Bagi Targa 4 GTS pula, ia masih menggunakan casis sama seperti Targa 4 S. Brek serta kombinasi rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang masih sama seperti 911 Turbo.

Model 911 GTS juga tidak menggunakan casis yang banyak penebat bunyi, dan ia diberikan terus dengan sistem ekzos sport. Untuk penampilan pula, Carrera GTS 992 terus mendapat kemasan hitam seperti sebelum ini, termasuk pada kemasan keliling lampu dan DRL. Lampu belakang adalah unik untuk model GTS, dan datang dengan jalur LED panjang yang bersambung dari kiri ke kanan.

Bahagian dalam standard 911 GTS 992 menggunakan balutan Race-Tex warna hitam, bersama Sports Seats Plus yang mempunyai pelarasan elektronik. Roda stereng sport GT dengan suis mod pemanduan juga diberikan terus pada GTS, bersama aplikasi Porsche Track Precision dan paparan suhu tayar.

Balutan Race-Tex digunakan pada bahagian tengah tempat duduk, roda stereng, pemegang pintu, perehat tangan, penutup konsol tengah serta tombol gear, dan ia dihias dengan jahitan sama ada berwarna Carmine Red atau Crayon. Warna kontras ini juga digunakan pada jam Sport Chrono serta meter rpm, sementara kemasan gentian karbon digunakan pada papan pemuka dan panel pintu.

Jika mahukan sesuatu yang lebih sporty, pemilik boleh mendapatkan pakej Lightweight Design, di mana kereta diringankan lagi dan ciri aerodinamik dipertingkat. Dalam pakej ini, tempat duduk menggunakan unit bucket penuh gentian karbon seperti GT3, serta cermin dan bateri yang lebih ringan.

Bagi sistem infotainmen, 911 GTS menggunakan Porsche Communication Management dengan fungsi tambahan dan operasi yang lebih mudah. Menurut Porsche, tempat sentuhan bahagian Media kini telah dibesarkan dan susunannya juga adalah baru.

Sistem arahan suara turut dipertingkat, dengan kini ia boleh diaktifkan dengan panggilan “Hey Porsche”. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto diberikan standard. Porsche 911 GTS akan mula ditawarkan di Jerman hujung tahun dengan harga bermula 140,981 euro (RM700,061).