Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan – 4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

Selepas lebih tiga tahun diperkenalkan, akhirnya Porsche Cayenne generasi ketiga kini menerima enjin dalam konfigurasi V8 dengan lencana GTS, selepas ianya digugurkan pada model facelift generasi kedua pada tahun 2014. Model baharu ini didedahkan untuk kedua-dua versi badan serentak iaitu Cayenne GTS dan juga Cayenne GTS Coupe.

Enjin V8 pada GTS generasi baharu ini dihasilkan hanya dalam kapasiti 4.0 liter berbanding 4.8 liter sebelum ini. Namun dengan dua pengecas turbo, ia mampu menghasilkan kuasa 460 PS dan tork maksima 620 Nm, atau 20 PS/20 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya.

Model GTS ini masih diletakkan di bawah satu anak tangga berbanding Cayenne Turbo di mana model tersebut juga dijana enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo ditala bagi menghasilkan 550 PS/770 Nm. Namun GTS masih lagi lebih berkuasa dari model Cayenne S yang menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo berkembar yang menghasilkan 440 PS/550 Nm.

Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

Kedua-dua versi Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe ini mampu mencatatkan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat (dengan pakej Sport Chrono) atau 0.6 saat lebih pantas dari GTS generasi sebelumnya. Kelajuan maksima pula dicatatkan pada 270 km/j. Enjin V8 berkenaan turut diberikan sistem kawalan silinder adaptif dan juga sistem ekzos sport. Ia digandingkan bersama kotak gear lapan-kelajuan automatik Tiptronic S.

Casis model GTS ini juga 20 mm lebih rendah dari model S, dan turut hadir dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus). Pembeli turut boleh memilih sistem suspensi udara tiga-kebuk yang membolehkan ia direndahkan lagi sebanyak 10 mm.

Opsyen lain yang turut ditawarkan untuk sistem pengendalian Cayenne GTS dan GTS Coupe ini adalah sistem stereng untuk gandar belakang dan juga sistem penstabil olengan badan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC).

Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

Untuk brek, model ini datang standard dengan angkup berwarna merah bersama cakera logam berdiameter 390 mm di hadapan dan 358 mm di belakang. Namun, pembeli turut ditawarkan dengan tingkat taraf pakej Porsche Surface Coated Brake (PSCB) dengan salutan tungsten karbida pada cakera atau pilihan pakej Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

Porsche Cayenne GTS dan GTS Coupe ini diberikan pakej penggayaan Sport Design secara standard, bersama pelbagai serlahan hitam pada bahagian luar seperti pada liang udara hadapan, kemasan tingkap sisi, tip ekzos dan juga logo-logo pada bahagian belakang.

Penggayaan SUV ini turut dilengkapkan dengan rim 21-inci RS Spyder Design dalam kemasan hitam satin berkilat, serta lampu-lampu LED termasuk Porsche Dynamic Light System (PDLS).

Porsche Cayenne GTS dan Cayenne GTS Coupe didedahkan –  4.0L V8 bi-turbo, 460 PS/620 Nm

Pada bahagian kabin pula, versi GTS ini diberikan balutan Alcantara pada kemasan bumbung, panel tengah tempat duduk, perehat tangan konsol tengah dan juga pintu, bersama kemasan-kemasan brushed aluminium gelap. Kelengakapan lain yang turut diberikan termasuk tempat duduk sport dengan larasan berkuasa lapan-hala dan logo-logo GTS. Untuk opsyen, pelanggan ditawarkan dengan pilihan panel-panel serlahan warna Carmine Red atau Crayon.

Di Jerman, Porsche Cayenne GTS akan dijual pada harga bermula 114,087 euros (RM550,673), manakala Cayenne GTS Coupe pula dijual pada harga bermula 118,490 euros (RM571,925). Kedua-dua model tersebut akan tiba di bilik-bilik pameran pasaran berkenaan bermula pada bulan Julai nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required