Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800

    Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800

    Setelah maklumat awalnya mula beredar di internet minggu ini, Proton X90 MC 2026 kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, dengan tiga varian ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut:

    • Proton X90 MC 2026 Lite (RM106,800)
    • Proton X90 MC 2026 Prime (RM116,800)
    • Proton X90 MC 2026 Prime X (RM122,800)
    • *Harga atas jalan, belum termasuk insuran.

    Namun sempena pelancarannya, Proton memberikan rebat sebanyak RM7,000. Ini menjadikan harga masing-masing varian ini bermula dari RM99,800, RM109,800 dan RM115,800.

    Seperti dijangka, SUV segmen D tujuh-tempat duduk Proton X90 kini menjadi model terbaru yang diberikan kemaskini yang sama seperti yang sudah dilihat dilakukan terhadap model lain keluaran syarikat itu, seperti Saga, X50, X70 dan juga yang terbaru, sedan S70.

    Ketika diperkenalkan pada tahun 2023, ada empat varian X90 ditawarkan: Standard, Executive, Premium dan Flagship. Tiga varian yang lebih rendah ketika itu datang dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk (konfigurasi 2-3-2, dengan kerusi panjang di barian kedua), manakala untuk Flagship pula datang dengan enam-tempat duduk (konfigurasi 2-2-2, dengan dua kerusi kapten di barisan kedua).

    Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800

    Untuk rujukan, harga jualan Proton X90 terdahulu adalah seperti berikut:

    • Proton X90 1.5L Standard (7-tempat duduk) – RM123,800

    • Proton X90 1.5L Executive (7-tempat duduk) – RM130,800

    • Proton X90 1.5L Premium (7-tempat duduk) – RM144,800

    • Proton X90 1.5L Flagship (6-tempat duduk) – RM152,800

    Dengan pengenalan versi 2026 ini, perbezaan harga yang terlibat adalah sekitar RM24,000 bagi varian paling asas dan sekitar RM37,000 bagi varian paling lengkap.

    Dalam versi kemaskini minor change (MC) bagi X90 ini, ia juga turut menerima enjin 1.5 liter empat-silinder baru dari keluarga enjin BHE15 yang diberi nama i-GT oleh Proton. Enjin BHE15 yang dibekalkan untuk X90 2026 ini menggunakan konfigurasi yang sama seperti X50 facelift, X70 MC3 dan juga S70 MC1.

    Yang dimaksudkan ialah unit enjin berkenaan dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus yang menghasilkan kuasa sebanyak 181 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksimum 290 Nm dari 2,000 rpm sehingga 3,500 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan (7DCT) yang memacu roda hadapan.

    Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800

    Dengan pertukaran unit enjin daripada unit 1.5L turbo GDI tiga-silinder yang digunakan terdahulu, pengenalan versi kemaskini ini juga menyaksikan X90 MC 2026 tidak lagi datang dengan sistem hibrid 48V yang digandingkan bersama enjin tersebut. Bacaan penggunaan bahan api untuk tetapan janaan kuasa baru ini ialah 6.9 liter per 100 km.

    Juga, tidak seperti model kembarnya di China, Geely Hoayue, yang diberikan kemaskini dan penampilan baru yang lebih segar tahun lalu, Proton X90 MC 2026 tidak menampilkan sebarang pembaharuan atau kelainan yang ketara untuk rekaan luarannya berbanding model terdahulu di sini. Bagaimanapun, ada satu tambahan ciri berbanding model terdahulu: landasan bumbung X90 MC 2026 ini adalah tambahan terbaru, yang boleh menampung beban sehingga 75 kg.

    Dengan itu, ciri luaran X90 MC 2026 ini masih terdiri daripada gril krom, lampu LED reflektor penuh dengan DRL bentuk L. Rekaan rim juga kekal sama, dan tiada lagi pilihan untuk rim lebih besar untuk varian paling tinggi ditawarkan — kini rim 18-inci adalah standard. Tayarnya kini bertukar menggunakan GitiComfort untuk versi terbaru ini.

    Ukuran dimensi Proton X90 MC 2026 ini masih sama dengan 4,835 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,785 mm tinggi, dengan jarak roda 2,815 mm.

    Spesifikasi setiap varian adalah seperti berikut:

      Proton X90 MC 1.5TD Lite
      Kelengkapan standard:

    • Enjin i-GT 1.5TD empat-silinder
    • Transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan
    • Suspensi belakang jenis multi-link
    • Lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED
    • Rim aloi 18-inci
    • Landasan bumbung
    • Skrin sentuh sistem infotainmen 12.3-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    • Tempat duduk balutan kulit buatan
    • Tujuh port USB
    • Enam-beg udara
    • Penderia parkir belakang
    • Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800

      Proton X90 MC 1.5TD Prime
      Ditambah:

    • Lampu hadapan automatik
    • Pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan
    • Paparan instrumen dengan skrin 10.3-inci
    • Tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik enam-hala
    • Kamera-360 darjah dengan paparan telus 180 darjah
    • Sistem pemantau tekanan angin tayar
    • Penderia parkir hadapan
    • Proton X90 MC 2026 dilancar di Malaysia — enjin 1.5T i-GT baru, tiada mild hybrid 48V; dari RM99,800

      Proton X90 MC 1.5TD Prime X
      Ditambah:

    • Tempat duduk balutan kulit Nappa
    • Tambahan larasan lumbar pada tempat duduk pemandu
    • Tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala dengan ‘suis bos’
    • Aliran udara pada tempat duduk baris pertama dan kedua
    • Tempat duduk kapten untuk baris kedua
    • Perehat kepala ergonomik pada tempat duduk baris pertama dan kedua
    • DVR (dashcam) hadapan

    Kelengkapan lain yang ada juga sama seperti sebelumnya. Antara ciri yang dimaksudkan ialah pendingin dua zon dengan kawalan pendingin berasingan di belakang untuk semua barisan tempat duduk (terletak di bumbung), sistem G-Clean dengan penapis udara N95 dan ioniser, serta tujuh slot USB. Keluasan kargo juga sama, dengan 257 liter dengan semua kerusi ditegakkan, dan boleh dilanjutkan menjadi 2,050 liter jika kerusi barisan kedua dan ketiga direbahkan.

    Bagi aspek keselamatan standard, Proton X90 MC 2026 dilengkapi antaranya dengan enam beg udara, empat sensor parkir (Lite; enam sensor untuk dua varian lebih tinggi), kamera undur dan walk away auto lock. Dan bagaimana Proton menurunkan harga bagi penawaran X90 2026 adalah dengan menggugurkan semua ciri bantuan keselamatan canggih ADAS daripada spesifikasi terbaru ini (sebelumnya ditawarkan untuk varian Premium ke atas). Selain itu, ada ciri lain yang telah digugurkan – antaranya ialah sambungan 4G/WiFi, tiada juga bumbung panoramik seperti varian Flagship terdahulu, serta tiada juga pengecas telefon tanpa wayar dari varian Premium.

    Proton X90 MC1 2026 diberikan lima pilihan warna badan — Quartz Black, Marine Blue, Armour Silver, Snow White dan Jet Grey. Warna Cinnamon Brown dan Ruby Red kini tidak lagi ditawarkan untuk X90. Untuk bahagian kabin dalaman pula, tema hitam adalah standard, dengan pilihan antara kerusi balutan kulit buatan atau kulit Nappa.

    Proton X90 MC 2026 Prime X

    Proton X90 MC 2026 Prime

    Proton X90 MC 2026 — Gambar rasmi

    Gambar studio

     
     
  • Harga RON95 bersubsidi akan dikekalkan pada RM1.99 seliter walau harga pasaran minyak dunia naik ketara

    Harga RON95 bersubsidi akan dikekalkan pada RM1.99 seliter walau harga pasaran minyak dunia naik ketara

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa harga RON95 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walau pun harga pasaran minyak dunia ketika ini naik ketara susulan ketegangan di Asia Barat, laporan Berita Harian/

    Walau bagaimana pun, beliau mengakui keputusan mengekalkan harga bahan api itu satu pendekatan yang sukar, memandangkankebanyakan negara termasuk negara jiran mula menaikkan harga.

    Tambahnya lagi, keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal, dan hasil semakan dengan Petronas mendapati bekalan produk petroleum negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

    “Ini satu keputusan yang sukar tapi (RON95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 sen seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi dari harga sebenar, apalagi kalau dibanding dengan harga di negara-negara jiran, tiga kali ganda (banding harganya),” katanya.

    Harga RON95 bersubsidi akan dikekalkan pada RM1.99 seliter walau harga pasaran minyak dunia naik ketara

    Laporan Bernama pula menyebut, Anwar berkata susulan konflik di Asia Barat serta gangguan bekalan minyak dari Selat Hormuz, dianggarkan lebih 400 kapal tangki terkandas dan harga minyak Brent mencecah AS$119 bagi setiap tong pada 9 Mac lepas.

    “Walaupun harga minyak kini di bawah paras AS$90, ia masih tidak menentu dan menyebabkan peningkatan harga pasaran minyak petrol dan diesel yang mendadak,” katanya.

    Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan minyak, Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah ditugaskan untuk memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan.

    Anwar berkata beliau memahami kerisauan rakyat dan memberi jaminan bahawa situasi masih terkawal. Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.

     
     
  • Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Mercedes-Benz akhirnya memperkenalkan MPV elektrik mewah yang telah lama diperkatakan, menerusi model baru dikenali sebagai VLE. Dibayangkan sebelum ini melalui model konsep Vision V yang dipamerkan di Auto Shanghai tahun lalu VLE disifatkan oleh Mercedes-Benz sebagai sebuah “Grand Limousine”, walaupun bentuknya jelas menyerupai MPV mewah bersaiz besar.

    VLE dibangunkan menggunakan platform modular baru yang dinamakan sebagai Van Architecture. Platform fleksibel ini direka khusus untuk van moden dan membolehkan konfigurasi tempat duduk sehingga lapan penumpang. Model ini juga jelas dibangunkan untuk bersaing dengan MPV elektrik mewah dari China yang semakin popular seperti Denza D9, Zeekr 009 dan Xpeng X9.

    Buat masa awal ini, VLE akan ditawarkan dalam satu varian jarak jauh iaitu VLE300. Model ini dilengkapi motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa 276 PS atau 203 kW, digandingkan dengan bateri NMC berkapasiti 115 kWh. Mercedes-Benz mendakwa model ini mampu menawarkan jarak pemanduan melebihi 700 kilometer berdasarkan piawaian WLTP.

    Pada masa hadapan, varian lebih berkuasa yang dikenali sebagai VLE400 4Matic akan diperkenalkan. Seperti namanya, model ini menggunakan sistem pacuan semua roda dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan melebihi 400 PS atau sekitar 300 kW.

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Prestasi pecutannya juga agak mengagumkan dengan keupayaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.5 saat. Mercedes-Benz turut merancang untuk memperkenalkan varian lebih mampu milik dengan bateri LFP berkapasiti 80 kWh.

    Seperti model elektrik baru Mercedes-Benz yang lain, termasuk CLA generasi terkini, VLE menggunakan seni bina elektrik 800 volt. Sistem ini membolehkan pengecasan pantas DC sehingga 300 kW. Dengan keupayaan ini, kenderaan mampu menambah jarak perjalanan sehingga sekitar 355 kilometer hanya dalam tempoh pengecasan selama 15 minit.

    Bagaimanapun, Mercedes-Benz masih belum mendedahkan tempoh rasmi pengecasan dari 10 hingga 80 peratus. Menariknya, untuk menggunakan pengecas 400 volt seperti Tesla Supercharger, pembeli perlu menambah penukar DC-DC sebagai pilihan tambahan.

    Bagi memastikan pengalaman pemanduan setanding dengan kenderaan mewah, VLE turut ditawarkan dengan sistem suspensi udara Airmatic. Sistem ini bukan sahaja memberikan keselesaan perjalanan yang lebih baik, malah membolehkan ketinggian kenderaan dinaikkan atau diturunkan sehingga 40 mm untuk memudahkan keluar masuk penumpang atau meningkatkan kelegaan tanah.

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Dari segi dimensi, VLE mempunyai panjang 5,309 mm, lebar 1,999 mm dan tinggi 1,943 mm. Saiz ini menjadikannya antara MPV elektrik paling panjang dalam segmennya, malah lebih panjang daripada Xpeng X9 serta Mercedes-Benz S-Class versi jarak roda panjang.

    Jarak roda model ini juga mencapai 3,342 mm, memberikan ruang kabin yang sangat luas. Mercedes-Benz turut merancang untuk memperkenalkan varian lebih panjang dengan panjang keseluruhan 5,484 mm dan jarak roda 3,517 mm, yang bahkan mengatasi ukuran Maybach S-Class.

    Berbanding model V-Class sebelum ini, VLE tampil dengan reka bentuk yang jauh lebih berani dan mewah. Bahagian hadapan menampilkan gril besar penuh menegak yang boleh dipadankan dengan lambang tiga penjuru Mercedes-Benz yang berdiri di atas bonet, sesuatu yang jarang dilihat pada model berbentuk van.

    Lampu hadapan pula direka dengan bentuk beralun dan disambungkan dengan jalur lampu di bahagian atas. Versi Digital Light turut ditawarkan dengan elemen pencahayaan bintang empat yang menyala.

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Rekaan sisi pula kelihatan lebih aerodinamik dengan garis bumbung kaca yang melengkung lembut, garis bahu yang halus serta pemegang pintu jenis pop-out yang rata dengan badan. Penampilan kenderaan yang besar juga dibantu dengan pilihan rim bersaiz antara 19 hingga 22 inci. Di bahagian belakang, lampu LED direka dalam bentuk bar berbentuk U terbalik yang turut membingkai cermin belakang, lengkap dengan tulisan Mercedes-Benz.

    Seperti kebanyakan model Mercedes-Benz lain, VLE turut ditawarkan dalam pakej AMG Line yang memberikan rupa lebih sporty menerusi bampar hadapan berbeza, gril dot matrix bercahaya serta logo Mercedes bersaiz besar pada gril. Selain itu, varian Standard dan Exclusive turut ditawarkan, dengan model lebih tinggi menerima kemasan hitam berkilat pada bahagian bawah badan untuk mengurangkan kesan visual saiz kenderaan yang besar.

    Di bahagian dalaman, papan pemuka direka rata dan dilapisi kemasan piano hitam, selari dengan rekaan terkini model Mercedes-Benz. Rekaan ini menjadi asas kepada sistem paparan MBUX Superscreen yang ditawarkan sebagai pilihan.

    Sistem ini menambah skrin sentuh penumpang hadapan bersaiz 14 inci selain paparan instrumen digital 10.25 inci dan skrin infotainmen utama 14 inci. Turut tersedia ialah paparan head-up display realiti tambahan bersaiz 23.1 inci serta kamera web di bahagian tengah papan pemuka.

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Panel skrin lebar ini diapit oleh corong pendingin hawa menegak, manakala corong tengah disembunyikan di bahagian atas papan pemuka. Mercedes-Benz turut menyediakan tiga pilihan reka bentuk konsol tengah, termasuk versi kompak dengan satu atau dua pengecas tanpa wayar Qi, versi lebih panjang dengan perehat tangan serta ruang simpanan terbuka, dan varian paling mewah dengan dua ruang penyimpanan yang boleh dipanaskan atau disejukkan.

    Ruang penumpang belakang merupakan tarikan utama VLE. Model ini boleh didapati dalam konfigurasi tujuh atau lapan tempat duduk. Barisan kedua boleh dipilih sama ada dalam bentuk bangku atau kerusi kapten individu dengan meja lipat.

    Kedua-dua jenis tempat duduk ini boleh disusun dalam pelbagai konfigurasi termasuk menghadap ke belakang untuk kegunaan perkhidmatan shuttle. Tempat duduk tersebut juga boleh ditanggalkan sepenuhnya dan dilengkapi roda kecil bagi memudahkan ia dialihkan atau disimpan.

    Untuk tahap keselesaan lebih tinggi, Mercedes-Benz turut menawarkan tempat duduk barisan kedua dengan pelarasan elektrik. Namun pilihan paling mewah ialah kerusi Grand Comfort yang dilengkapi kusyen tambahan, perehat kaki terbina, pengecas tanpa wayar individu, sokongan lumbar serta fungsi urutan. Semua pelarasan tempat duduk ini boleh dikawal melalui butang fizikal, sistem infotainmen atau aplikasi Mercedes-Benz.

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Kerusi Grand Comfort ini turut dipadankan dengan skrin hiburan gergasi bersaiz 31.3 inci beresolusi 8K dengan nisbah 32:9 yang boleh dilipat keluar dari bumbung, mirip konsep yang digunakan pada BMW 7 Series. Skrin ini turut dilengkapi kamera web untuk panggilan persidangan, fungsi paparan berpecah serta keupayaan penstriman kandungan daripada platform seperti Disney+.

    Kawalan skrin dilakukan melalui dua tablet boleh tanggal yang ditempatkan di belakang tempat duduk hadapan. Sistem audio pilihan pula menggunakan sistem Burmester 3D Surround Sound dengan 22 pembesar suara serta sokongan Dolby Atmos.

    Walaupun menumpukan kepada kemewahan dan teknologi, aspek praktikal masih diberi perhatian. Dengan semua tempat duduk dipasang, ruang but masih menawarkan kapasiti sehingga 795 liter. Jika semua tempat duduk manual ditanggalkan, ruang kargo boleh meningkat sehingga 4,078 liter, menjadikannya sangat sesuai untuk membawa barangan besar. Mercedes-Benz turut menyatakan bahawa VLE mampu menarik beban sehingga 2.5 tan.

    Dari segi keselamatan, VLE dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu moden. Antara ciri yang ditawarkan termasuk MB.Drive Assist dengan kawalan jelajah adaptif Distronic, bantuan pemusatan lorong serta bantuan pertukaran lorong.

    Mercedes-Benz VLE diperkenal – MPV EV mewah kuasa lebih 400 PS, jarak gerak WLTP lebih 700 km

    Sistem MB.Drive Assist Plus pula menambah fungsi pertukaran lorong automatik. Sementara itu, MB.Drive Assist Pro menawarkan pemanduan separa automatik di bandar dan lebuh raya, yang akan diperkenalkan terlebih dahulu di pasaran China. Selain itu, VLE turut dilengkapi bantuan parkir serta sistem kamera 360 darjah yang dipertingkatkan dengan amaran perlindungan rim bagi mengelakkan kerosakan ketika menghampiri bahu jalan.

    Walaupun VLE diperkenalkan sebagai model elektrik sepenuhnya, laporan media automotif antarabangsa menyatakan bahawa Mercedes-Benz mungkin akan menawarkan varian enjin pembakaran dalaman pada masa hadapan. Langkah ini selari dengan pendekatan baharu syarikat yang menilai semula strategi elektrifikasi sepenuhnya.

    Perkara tersebut juga tercermin melalui perubahan nama platform daripada Van Electric Architecture kepada Van Architecture, yang memberi ruang kepada penggunaan pelbagai jenis trenkuasa pada masa hadapan.


     
     
  • 20 jenama EV terlaris di Malaysia Februari 2026 – Proton di atas dengan 1,802 unit terjual, BYD kedua

    20 jenama EV terlaris di Malaysia Februari 2026 – Proton di atas dengan 1,802 unit terjual, BYD kedua

    Pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan bagi tahun 2026 terus dikuasai oleh Proton apabila jenama nasional itu mengekalkan kedudukan teratas carta jualan. Pada Februari lalu sahaja, Proton mencatatkan sebanyak 1,802 unit pendaftaran EV baru, sekaligus menjadikan ia peneraju jualan bagi bulan tersebut. Secara keseluruhan setakat ini bagi tahun 2026 (YTD), Proton telah merekodkan 5,078 unit.

    Sebahagian besar daripada jumlah jualan Februari itu disumbangkan oleh model Proton eMas 5, yang mencatatkan sebanyak 1,562 unit jualan sepanjang bulan berkenaan. Prestasi ini mengukuhkan lagi kedudukan Proton sebagai pemain paling dominan dalam segmen EV tempatan pada masa ini.

    Di tempat kedua ialah BYD yang merekodkan 469 pendaftaran EV pada Februari, menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 1,382 unit. Sementara itu, iCaur berjaya naik satu anak tangga ke tempat ketiga selepas mencatatkan 294 unit jualan pada bulan yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan tahunannya kini 745 unit.

    20 jenama EV terlaris di Malaysia Februari 2026 – Proton di atas dengan 1,802 unit terjual, BYD kedua

    MG pula menunjukkan peningkatan yang ketara pada Februari apabila mencatatkan jualan sebanyak 206 unit, sekaligus meningkatkan jumlah keseluruhan tahun ini kepada 375 unit. Prestasi tersebut melonjakkan jenama itu daripada kedudukan ketujuh pada Januari ke tempat keempat dalam carta bulanan Februari.

    Di tempat kelima bagi jualan bulan Februari ialah Zeekr dengan 191 unit terjual. Jumlah itu menjadikan jualan terkumpul jenama tersebut bagi tahun ini sebanyak 680 unit, sekali gus meletakkannya di kedudukan keempat dalam carta keseluruhan jualan EV setakat ini. Tesla pula berada di tempat keenam bagi bulan tersebut dengan 144 unit terjual dan jumlah keseluruhan tahun ini sebanyak 320 unit.

    Bagi kedudukan seterusnya, tiada lagi jenama yang berjaya melepasi angka 100 unit jualan pada Februari. Leapmotor berada di tempat ketujuh dengan 90 unit jualan bulan lalu dan jumlah keseluruhan 261 unit bagi tahun ini. Xpeng pula berada di tempat kelapan selepas merekodkan 75 unit pada Februari, menjadikan jumlah terkumpul tahunannya 172 unit.

    20 jenama EV terlaris di Malaysia Februari 2026 – Proton di atas dengan 1,802 unit terjual, BYD kedua

    TQ Wuling berada di kedudukan kesembilan dengan 66 unit jualan pada Februari, sebahagian besarnya didorong oleh model Bingo yang baru dilancarkan. Secara keseluruhan, jenama tersebut kini mencatatkan 101 unit bagi tahun ini. Volvo melengkapkan kedudukan 10 teratas apabila menjual 46 kenderaan elektrik pada Februari, menjadikan jumlah jualan tahunannya setakat ini sebanyak 74 unit.

    Bagi kedudukan ke-11 hingga ke-14 dalam carta bulanan, jurang jualan antara jenama yang terlibat adalah sangat kecil. BMW mendahului kumpulan ini di tempat ke-11 dengan 32 unit terjual pada Februari dan jumlah keseluruhan 72 unit bagi tahun ini. Mercedes-Benz pula berada tepat di belakang dengan 31 unit jualan pada bulan sama, namun secara keseluruhan bagi tahun ini ia masih mendahului BMW dengan 114 unit terjual.

    MINI dan Great Wall Motor (GWM) pula masing-masing mencatatkan 30 unit jualan pada Februari. Walaupun jumlah bulanan mereka sama, GWM berada di hadapan dalam carta keseluruhan tahun ini dengan 81 unit berbanding MINI yang mencatatkan 53 unit setakat ini.

    20 jenama EV terlaris di Malaysia Februari 2026 – Proton di atas dengan 1,802 unit terjual, BYD kedua

    Dongfeng berada di kedudukan seterusnya dengan 26 unit jualan pada Februari dan jumlah keseluruhan 69 unit bagi tahun ini. Di belakangnya ialah smart yang mencatatkan 25 unit jualan bulan lalu, menjadikan jumlah terkumpulnya 63 unit.

    Empat kedudukan terakhir dalam senarai 20 teratas bagi bulan Februari diisi oleh Denza dengan 17 unit jualan dan jumlah keseluruhan 72 unit bagi tahun ini. Honda pula mencatatkan 11 unit jualan pada Februari tetapi belum lagi tersenarai dalam carta 20 teratas bagi jumlah keseluruhan tahun ini.

    Porsche juga merekodkan 11 unit jualan bulan lalu dengan jumlah keseluruhan 43 unit setakat ini, manakala Chery melengkapkan senarai selepas berjaya menjual sembilan kenderaan elektrik pada Februari.

     
     
  • Proton X50 Black Edition 2026 – warna Quartz Black, terhad 200 unit, asas Flagship, rebat Raya RM7,000

    Proton X50 Black Edition 2026 – warna Quartz Black, terhad 200 unit, asas Flagship, rebat Raya RM7,000

    Tidak sampai satu tahun selepas X50 facelift dilancarkan, Proton kini memperkenalkan versi edisi khas pertama bagi SUV segmen B tersebut. Model baru ini dikenali sebagai Proton X50 Black Edition dan tampil dengan identiti yang lebih eksklusif menerusi kemasan warna hitam khas yang tidak ditawarkan dalam pilihan warna standard.

    Seperti namanya, X50 Black Edition hadir dengan warna Quartz Black metalik yang memberikan penampilan lebih garang dan elegan. Warna gelap ini juga membantu menyamarkan saiz gril hadapan yang lebih besar pada model facelift.

    Proton sememangnya jarang menawarkan warna hitam pada model biasa, sebaliknya sering menyimpannya untuk model tertentu atau edisi khas. Dalam kes ini, hanya 200 unit X50 Black Edition akan ditawarkan kepada pelanggan.

    Perbezaan utama berbanding model biasa sebenarnya terhad kepada kemasan warna luaran sahaja. Model ini masih menggunakan rim aloi dua tona 18 inci seperti versi biasa dan tidak dilengkapi rim hitam sepenuhnya. Beberapa elemen kemasan luar juga kekal dengan warna krom dan perak, termasuk jalur gril “Ethereal Bow” berwarna merah serta angkup brek merah. Di bahagian dalaman pula, tempat duduk masih mengekalkan kemasan berwarna merah dan tidak menggunakan warna hitam sepenuhnya.

    X50 Black Edition dibina berasaskan varian tertinggi Flagship. Oleh itu, ia masih mengekalkan pelbagai ciri premium seperti bumbung panoramik, spoiler belakang, lampu LED sepenuhnya serta rim aloi dua tona 18 inci. Varian ini juga menampilkan bumbung berwarna hitam, namun pada edisi ini keseluruhan badan kenderaan tampil dalam satu tona warna yang sama.

    Dari segi kelengkapan, model ini hadir dengan pelbagai ciri moden termasuk sistem kemasukan tanpa kunci dengan fungsi kunci dan buka automatik berdasarkan jarak, butang penghidup enjin, penyaman udara automatik satu zon serta pelindung matahari separa lutsinar.

    Proton X50 Black Edition 2026 – warna Quartz Black, terhad 200 unit, asas Flagship, rebat Raya RM7,000

    Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik enam hala dan ruang kabin dibalut dengan upholsteri kulit tiruan. Pemandu juga disajikan paparan instrumen digital bersaiz 8.88 inci serta skrin infotainmen besar 14.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Turut disediakan ialah pengecas tanpa wayar Qi, sistem audio enam pembesar suara, kamera 360 darjah, pintu but berkuasa elektrik, tag RFID dan cermin tingkap dengan lapisan keselamatan.

    Aspek keselamatan juga kekal lengkap dengan enam beg udara, sistem kawalan kestabilan serta pelbagai teknologi bantuan pemandu termaju. Antaranya termasuk brek kecemasan autonomous, adaptive cruise control dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran ketika membuka pintu, pengecaman papan tanda jalan serta lampu tinggi automatik. Varian Flagship turut dilengkapi sistem bantuan parkir automatik.

    Proton X50 Black Edition 2026 – warna Quartz Black, terhad 200 unit, asas Flagship, rebat Raya RM7,000

    Di bawah bonet, X50 Black Edition masih menggunakan enjin baru 1.5 liter i-GT turbo empat silinder yang diperkenalkan bersama model facelift. Enjin ini menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksimum 290 Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa sekitar 7.6 saat.

    Dari segi harga, Proton mengekalkan tanda harga yang sama seperti varian Flagship biasa iaitu RM113,300, tidak termasuk rebat pelancaran RM4,000 yang sebelum ini ditawarkan. Bagaimanapun, Proton kini menyediakan diskaun promosi Hari Raya sebanyak RM7,000 yang menurunkan harga efektif kepada RM106,300. Pelanggan yang membuat tukar beli kenderaan turut boleh menikmati nilai overtrade tambahan sebanyak RM800.

     
     
  • Proton eMas 7 CKD 2026 kini sudah berada di bilik pameran – RM6k lebih murah, bermula bawah RM100k

    Proton eMas 7 CKD 2026 kini sudah berada di bilik pameran – RM6k lebih murah, bermula bawah RM100k

    Selepas produksinya bermula di kilang Proton Tanjung Malim pada Januari lalu, Proton eMas 7 2026 dalam versi pemasangan tempatan (CKD) kini sudahpun tiba di bilik-bilik pameran Proton. Versi CKD ini bukan sahaja ditawarkan pada harga lebih rendah, malah menampilkan beberapa penambahan perincian.

    Proton eMas 7 CKD ini masih ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Prime yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM103,800 dan juga varian tertinggi Premium dijual pada harga RM119,800 – harga ini turut termasuk cukai jalan bernilai RM180 yang sebelum ini dikecualikan oleh kerajaan.

    Proton turut menawarkan rebat bernilai RM4,000 menjadikan eMas 7 Prime boleh dibeli pada harga bermula di bawah RM100k iaitu pada RM99,800 dan varian Premium pula dijual pada harga RM115,800. Dan berbanding harga yang diumumkan pada pelancaran pada Disember 2024, harga bagi versi CKD ini adalah RM6k lebih murah untuk varian Prime dan RM4k lebih murah untuk Premium.

    Perbezaan antara Proton eMas 7 CKD (atas) dan juga CBU (bawah)

    Pada asasnya versi CKD ini masih lagi nampak sama seperti eMas 7 CBU, namun ada beberapa perincian yang menandakan bahawa ia dibuat di Tanjung Malim, bukan diimport dari China. Paling mudah, anda boleh lihat pada bahagian bawah kanan cermin hadapan yang kini tiada lagi grafik mercu tanda Bandar Hangzhou.

    Nombor pengenalan kenderaan (VIN) juga berbeza di mana versi CKD akan bermula dengan ‘PL1’, manakala versi CBU bermula dengan abjad L. Plat VIN yang terletak di bahagian bawah tiang-B juga berbeza di versi CKD menerima plat dari Proton, manakala versi CBU ia diberikan plat yang masih tertulis Zhejiang Geely Automobile.

    Antara perincian-perincian tingkat taraf diberikan pada eMas 5 CKD 2026 ini termasuk pintu tailgate belakang bantuan kuasa kini diberikan pada varian rendah Prime, manakala untuk varian Premium, tingkat taraf diberikan pada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan penambahan fungsi bantuan olah gerak mengelak (kenderaan akan mengubah haluan untuk mengelak pelanggaran apabilan AEB diaktifkan), amaran lintasan trafik hadapan dan juga bantuan tukar lorong aktif (kereta akan menukar lorong secara automatik selepas lampu isyarat membelok diaktifkan serta sistem sudah mengesan keadaan trafik yang mengizinkan).

    Proton eMas 7 CKD 2026 kini sudah berada di bilik pameran – RM6k lebih murah, bermula bawah RM100k

    Tiga fungsi baharu ADAS yang diberikan pada model 2026 ini tidak dapat diberikan pada model-model lebih awal menerusi kemaskini over-the-air (OTA) kerana ia turut melibatkan penambahan komponen tiga unit radar gelombang-milimeter baharu yang diletakkan pada bahagian tengah hadapan dan kedua-dua sisi bampar hadapan. Namun semua model 2026 ini akan terus dibekalkan dengan penutup penutup ruang kargo belakang (tonneau cover) seperti versi kemaskini tahun lalu.

    Selain dari itu, perincian-perician lain pada eMas 7 CKD ini masih lagi sama seperti versi sebelumnya – lampu hadapan masih lagi tidak tertulis ‘Proton’ dan kedua-dua sisi bampar tidak menyalakan lampu seperti Geely EX5, serta tingkat taraf pada eMas 7 PHEV seperti kawalan fizikal untuk bumbung suria dan aplikasi Qiblat juga masih tidak diberikan.

    Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri LFP 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

    Varian Prime mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat manakala varian Premium sedikit lebih lambat dengan catatan 7.1 saat. Namun kedua-duanya boleh mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Kedua-duanya juga menyokong pengecas AC dengan kadar maksima 11 kW.

    Spesifikasi penuh Proton eMas 7 CKD 2026. Klik untuk besarkan

    Tetapi untuk pengecas pantas DC, varian Prime boleh menerima sehingga 80 kW dan Prime pula sehingga 100 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Jika menggunakan pengecas AC wallbox di rumah, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

    Untuk pecahan spesifikasi, varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

    Untuk pilihan warna badan dan dalaman juga ditawarkan sama seperti versi kemaskini 2025 di mana pelanggan yang memilih warna badan Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Platinum Silver, Quartz Rose, dan Obsidian Black akan menerima kabin berwarna Indigo Blue, manakala pembeli varian Premium dengan warna badan Quartz Rose dan juga Turquoise Green akan ditawarkan kabin dengan warna Alabaster White.

    Pro-Net turut masih menawarkan pakej jualan Power Pack+ yang merangkumi pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, adaptor V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800, waranti tanpa had perbatuan selama 6 tahun untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun/160,000 km untuk bateri voltan tinggi serta rebat tukar-beli bernilai RM5,000.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 4,856 unit kenderaan pada Feb 2026 – prestasi didorong permintaan model penting

    UMW Toyota Motor jual 4,856 unit kenderaan pada Feb 2026 – prestasi didorong permintaan model penting

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini telah mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 4,856 unit kenderaan sepanjang Februari 2026. Jumlah jualan ini dilihat sedikti meningkat berbanding 4,700 unit yang dicatatkan bulan lalu dan menjadikan jualan tahunan kumulatifnya untuk dua bulan pertama tahun ini berada pada 9,556 unit.

    Menurut syarikat itu, prestasi jualan yang stabil ini dipacu oleh permintaan terhadap model-model penting Toyota, namun ia tidak menyertakan sekali pecahan jualan mengikut model.

    Syarikat berkenaan juga dilihat agresif melancarkan model-model dengan unit rangkaian kuasa hibrid – dalam dua bulan pertama tahun ini sahaja ia telah melancarkan Vios Hybrid, Corolla Cross HEV GR Sport yang dikemaskini, Harrier HEV dan juga Vellfire HEV.

    “Pendekatan pelbagai haluan kami memastikan pelanggan tidak terhad kepada satu solusi sahaja. Dengan memperluaskan pilihan hibrid merentasi segmen sedan dan SUV sambil terus mengukuhkan rangkaian seluruh negara kami, kami menyediakan pilihan elektrik yang praktikal dan disokong oleh ekosistem pemilikan yang boleh diharap,” kata Datuk Ravindran Kurusamy, presiden UMWT.

     
     
  • Servis Ihsan Madani @Petronas AutoExpert dilancar oleh KPDN – diskaun hingga 30%, 10-31 Mac

    Servis Ihsan Madani @Petronas AutoExpert dilancar oleh KPDN – diskaun hingga 30%, 10-31 Mac

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan program Servis Ihsan Madani @Petronas AutoExpert (SIM@PAX) yang menawarkan diskaun servis kenderaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Menerusi program ini, pengguna boleh menikmati diskaun antara 10% hingga 30% bagi penyelenggaraan kenderaan dari 10 hingga 31 Mac 2026 di 124 bengkel dan pusat servis automotif di seluruh negara, termasuk bengkel persendirian serta rangkaian terpilih yang bekerjasama dengan kerajaan, laporan Malay Mail.

    Menteri KPDN, Armizan Mohd Ali berkata program SIM ini dilaksanakan melalui gabungan subsidi kerajaan dan sumbangan daripada industri automotif. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan melalui aplikasi Setel atau platform lain yang mengambil bahagian.

    “Inisiatif ini bertujuan membantu rakyat Malaysia ingin memandu kenderaan untuk perjalanan jauh sempena Hari Raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengurangkan kos penyelenggaraan, selain memberi jaminan keselamatan sepanjang musim perayaan,” kata Armizan.

     
     
  • 20 EV terlaris di Malaysia Feb 2026 – Proton eMas 5 no.1, diikuti eMas 7, Perodua QV-E catat 1 pendaftaran

    20 EV terlaris di Malaysia Feb 2026 – Proton eMas 5 no.1, diikuti eMas 7, Perodua QV-E catat 1 pendaftaran

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun mengeluarkan rekod pendaftaran kenderaan untuk bulan Februari 2026. Dari rekod berkenaan, kami rangkumkan untuk anda 20 kereta elektrik penuh (EV) paling laris di Malaysia untuk bulan tersebut, dan juga jualan kumulatif tahunan untuk untuk 2-bulan pertama 2026.

    Dari data berkenaan dapat di lihat model EV paling laris di Malaysia pada bulan lalu masih lagi Proton eMas 5 dengan pendaftaran sebanyak 1,562 unit. Ini menjadikan jualan kumulatif tahunannya untuk dua bulan pertama tahun ini (YTD) adalah sebanyak 4,630 unit.

    Ia diikuti dengan satu lagi model EV dari Proton iaitu eMas 7 berada di tempat kedua dengan pendaftaran sebanyak 240 unit (448 unit YTD). Manakala SUV dengan gaya retro, iCaur V23 pula terjual sebanyak 179 unit (447 unit YTD), diikuti BYD Atto 3 keempat dengan 169 unit (558 unit YTD) dan MG4 EV di tempat kelima dengan 144 unit (229 unit YTD) didaftarkan sepanjang bulan lalu.

    20 EV terlaris di Malaysia Feb 2026 – Proton eMas 5 no.1, diikuti eMas 7, Perodua QV-E catat 1 pendaftaran

    Tempat keenam pula adalah Zeekr 7X, di mana SUV pilihan Dato Siti Nurhaliza dan Dato Lee Chong Wei ini terjual sebanyak 142 unit (568 unit YTD) sepanjang Februari 2026. Ia diikuti iCaur 03 di tempat ke tujuh dengan 115 unit (298 unit YTD), BYD Seal 6 ke lapan dengan 110 unit (306 unit YTD), BYD Sealion 7 ke sembilan dengan 107 unit (303 unit YTD) dan Tesla Model 3 ke-10 dengan 104 unit (195 unit YTD).

    EV comel yang dilancarkan pada hujung tahun lalu iaitu TQ Wuling Bingo berada di tempat ke-11 dengan 66 unit (101 unit YTD) didaftarkan sepanjang Februari, diikuti MG S5 EV ke-12 dengan 58 unit (136 unit YTD), Xpeng G6 ke-13 dengan 52 unit (124 unit YTD), Zeekr 009 ke-14 dengan 48 unit (107 unit YTD), dan Leapmotor C10 ke-15 dengan 47 unit (118 unit YTD).

    MPV tujuh tempat duduk BYD M6 pula terjual sebanyak 44 unit (97 unit YTD) pada bulan Februari untuk berada di tempat ke-16. Ia diikuti oleh Leapmotor B10 ke-17 dengan 43 unit (143 unit YTD) dan Tesla Model Y ke-18 dengan 40 unit (125 unit YTD).

    20 EV terlaris di Malaysia Feb 2026 – Proton eMas 5 no.1, diikuti eMas 7, Perodua QV-E catat 1 pendaftaran

    Rekod JPJ ini menyaksikan model-model EV GWM Ora iaitu Good Cat dan 07 disatukan, dan ia berada di tempat ke-19 bulan lalu dengan pendaftaran sebanyak 30 unit (82 unit YTD). Tempat terakhir dalam carta 20 terlaris ini adalah Mercedes-Benz EQS yang turut terjual sebanyak 30 unit (110 unit YTD).

    Dalam data JPJ ini juga kami dapati cuma sebuah Perodua QV-E didaftarkan pada bulan lalu, dan ia menunjukkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya di mana tiada sebarang pendaftaran dibuat pada Januari 2026. Sebelum ini Perodua ada menyebut bahawa ia bakal menawarkan QV-E dalam versi yang telah dilokalisasikan sepenuhnya pada Jun nanti, membolehkan EV ini dijual pada harga lebih rendah. Ketika itu barulah ia akan mula memasarkan model berkenaan untuk mendapatkan jualan lebih tinggi.

     
     
  • 20 jenama kereta terlaris pada Feb 2026 – Perodua dahului Proton dengan 10k unit; diikuti Toyota, Honda

    20 jenama kereta terlaris pada Feb 2026 – Perodua dahului Proton dengan 10k unit; diikuti Toyota, Honda

    Data pendaftaran kenderaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk Februari 2026, turut menyaksikan Perodua sekali lagi menjadi jenama kereta paling laris di Malaysia.

    Walau pun bilangan hari untuk Februari lebih pendek dengan musim perayaan yang menyebabkan sedikit penurunan jualan, kejatuhan mendadak Proton membolehkan peneraju pasaran itu terus menikmati jurang yang lebih besar berbanding pesaingnya, iaitu lebih daripada 10,000 unit. Secara keseluruhan, Perodua mencatatkan 23,575 pendaftaran kenderaan bulan lalu, walau menurun sekitar 2,553 unit (atau 9.8%) berbanding Januari, didorong oleh permintaan yang terus kukuh bagi model Perodua Bezza, Perodua Axia dan Perodua Myvi.

    Sebaliknya, jualan Proton merosot sebanyak 6,303 unit (-31.9%) kepada 13,447 unit, berbanding paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun sebanyak 19,750 unit pada bulan sebelumnya. Akibatnya, kelebihan jualan Perodua bagi tahun setakat ini (year-to-date) telah meningkat kepada 16,506 unit, selepas menjual 49,703 kenderaan berbanding 33,197 unit oleh Proton.

    20 jenama kereta terlaris pada Feb 2026 – Perodua dahului Proton dengan 10k unit; diikuti Toyota, Honda

    Jika dua tempat teratas dimonopoli pengeluar kereta nasional, tempat ketiga pula diduduki oleh Toyota sebagai jenama bukan nasional terbaik. Pengeluar kereta terbesar dunia itu mencatatkan 6,993 unit pendaftaran bulan lalu, iaitu peningkatan 395 unit berbanding Januari. Namun begitu, terdapat kebiasaan bahawa sebahagian besar pendaftaran Toyota datang daripada kenderaan recon, bukan sepenuhnya melalui pengedaran rasmi.

    Di belakangnya, Honda juga mencatat peningkatan 202 unit kepada 3,379 unit, manakala Chery kekal di kedudukan kelima dengan 938 unit (turun 349 unit). Mengekori rapat ialah Omoda & Jaecoo (901 unit, turun 386 unit) dan Mitsubishi Motors (889 unit, turun 302 unit), manakala Mercedes-Benz (659 unit), Isuzu (527 unit) dan BYD (469 unit) melengkapkan 10 teratas.

    Tiada kejutan bagi baki kedudukan lain dalam senarai, dengan BMW hampir memasuki kelompok 10 teratas (449 unit). Jetour pula jatuh ke kedudukan ke-15 (297 unit) daripada kedudukan ke-11 pada Januari. Sementara itu, jenama yang kebanyakannya menawarkan kenderaan elektrik (EV) seperti iCaur (ke-16, 294 unit), MG Motor (ke-17, 279 unit) dan Zeekr (ke-20, 191 unit) terus mencatat prestasi baik ketika menjual baki stok tahun 2025, walaupun pada tahap yang sedikit lebih rendah.

    20 jenama kereta terlaris pada Feb 2026 – Perodua dahului Proton dengan 10k unit; diikuti Toyota, Honda

     
     
  • Puspakom lanjut waktu operasi pada Sabtu ini, 14 Mac 2026 – melibatkan semua cawangan kecuali Langkawi

    Puspakom lanjut waktu operasi pada Sabtu ini, 14 Mac 2026 – melibatkan semua cawangan kecuali Langkawi

    Jika anda menghadapi kesulitan untuk menghantar kenderaan bagi jalani pemeriksaan pada hari bekerja, anda masih boleh berbuat demikian pada hujung minggu ini. Puspakom memutuskan untuk melanjutkan waktu operasinya pada Sabtu ini, 14 Mac 2026.

    Lanjutan operasi ini melibatkan semua cawangan kecuali di Langkawi, yang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, seperti mana waktu operasinya pada Sabtu yang lepas-lepas.

    Anda boleh membuat temujanji menerusi dalam talian menerusi GiCheck (portal atau aplikasi) sebelum pergi ke cawangan terbabit. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Jadi, sebelum anda memulakan perjalanan panjang untuk ke mana-mana destinasi terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri ini, sila periksa kondisi kenderaan anda terlebih dahulu. Pastikan ia selamat digunakan ya.

     
     
  • 20 kereta terlaris Feb 2026 – Bezza kembali di atas, Saga kedua; S70 dan X50 mengatasi Traz; Aruz ke-20

    20 kereta terlaris Feb 2026 – Bezza kembali di atas, Saga kedua; S70 dan X50 mengatasi Traz; Aruz ke-20

    Data pendaftaran kenderaan terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan perubahan pada kedudukan model paling laris bagi bulan Februari 2026. Perodua Bezza kembali merampas kedudukan teratas selepas mencatatkan sebanyak 7,031 unit pendaftaran sepanjang bulan tersebut, sekaligus mengatasi Proton Saga yang berada di tempat kedua dengan 6,007 unit.

    Walaupun begitu, Proton Saga masih mengekalkan kedudukan sebagai model paling banyak didaftarkan dari segi jumlah keseluruhan tahun ini (YTD). Sehingga Februari 2026, Saga mencatatkan 16,292 unit pendaftaran berbanding Perodua Bezza dengan 15,462 unit. Tempat ketiga pula menjadi milik Perodua Axia yang merekodkan 5,306 unit bagi bulan Februari dan jumlah keseluruhan 11,887 unit bagi tahun ini.

    Perodua terus menguasai sebahagian besar kedudukan lima teratas apabila Perodua Myvi berada di tangga keempat dengan 4,317 unit (9,136 YTD), diikuti Perodua Alza di tempat kelima dengan 3,205 unit (6,217 YTD). Dominasi ini menunjukkan kekuatan barisan model Perodua dalam pasaran tempatan pada bulan lalu.

    20 kereta terlaris Feb 2026 – Bezza kembali di atas, Saga kedua; S70 dan X50 mengatasi Traz; Aruz ke-20

    Proton kembali muncul dalam senarai dengan Proton S70 yang menduduki tempat keenam selepas mencatatkan 1,940 unit pendaftaran bagi Februari dan jumlah keseluruhan 3,544 unit bagi tahun ini. Di belakangnya ialah Proton X50 di tempat ketujuh dengan 1,818 unit bagi Februari, menjadikan jumlah keseluruhan 4,229 unit setakat ini. Kedua-dua model tersebut berada di hadapan Perodua Traz yang menduduki tempat kelapan dengan 1,710 unit pendaftaran pada Februari dan 3,611 unit bagi jumlah YTD.

    Toyota Hilux pula berada di tempat kesembilan dengan 1,677 unit pada Februari, sekaligus meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 3,015 unit bagi tahun ini. Sementara itu, Proton eMas 5 berada di kedudukan kesepuluh dengan 1,562 unit pendaftaran pada Februari. Angka tersebut hampir separuh daripada pencapaian model berkenaan pada Januari, dengan jumlah keseluruhan tahun setakat ini mencecah 4,630 unit.

    Memasuki separuh kedua senarai 20 model terlaris, Perodua Ativa berada di tempat ke-11 dengan 1,352 unit dan jumlah keseluruhan 2,364 unit. Di tempat ke-12 ialah Toyota Alphard dengan 1,293 unit bagi Februari, menjadikan jumlah keseluruhan 2,457 unit termasuk kenderaan import terpakai (recon).

    20 kereta terlaris Feb 2026 – Bezza kembali di atas, Saga kedua; S70 dan X50 mengatasi Traz; Aruz ke-20

    Honda City pula berada di tangga ke-13 dengan 1,258 unit pendaftaran pada Februari dan jumlah keseluruhan 2,489 unit. Toyota Vios menyusul di tempat ke-14 dengan 1,102 unit dan jumlah keseluruhan 2,236 unit. Proton Persona, yang dijangka akan ditamatkan pengeluarannya dalam masa terdekat, masih kekal dalam senarai apabila mencatatkan 903 unit pendaftaran pada Februari untuk kedudukan ke-15, menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini sebanyak 1,842 unit.

    Bagi kedudukan ke-16, Honda HR-V merekodkan 833 unit pendaftaran pada Februari, sekaligus mengekalkan momentum jualannya dengan jumlah keseluruhan 1,671 unit bagi tahun ini. Model ini berada sedikit di hadapan Toyota Corolla Cross yang menduduki tempat ke-17 dengan 777 unit dan jumlah keseluruhan 1,660 unit.

    Seterusnya di tempat ke-18 ialah rangkaian SUV Tiggo daripada Chery yang mencatatkan 752 unit pendaftaran pada Februari dan jumlah keseluruhan 1,806 unit. Dua model terakhir dalam senarai 20 teratas ialah Mitsubishi Xpander di tempat ke-19 dengan 701 unit (1,511 YTD) dan Perodua Aruz di tempat ke-20 dengan 653 unit pendaftaran bagi Februari serta jumlah keseluruhan 1,025 unit bagi tahun ini.

     
     
  • Zeekr X 2026 di Eropah – SUV EV kompak dipertingkat, pengecasan DC sehingga 230 kW, akan sampai M’sia?

    Zeekr X 2026 di Eropah – SUV EV kompak dipertingkat, pengecasan DC sehingga 230 kW, akan sampai M’sia?

    Zeekr mengumumkan kemas kini bagi model tahun 2026 untuk Zeekr X yang dijadualkan mula dijual di pasaran Eropah pada Mei tahun ini. Crossover kompak elektrik sepenuhnya itu menerima beberapa peningkatan penting termasuk penggunaan teknologi bateri baru yang dikenali sebagai Golden Battery, motor yang lebih berkuasa serta reka bentuk dalaman yang diperbaharui. Kemas kini ini juga menjadikannya selari dengan versi yang telah diperkenalkan di China bagi model tahun 2025.

    Teknologi Golden Battery yang digunakan pada model baru ini menawarkan keupayaan pengecasan pantas yang lebih baik. Bagi varian Long Range pacuan roda belakang (RWD), sistem ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 230 kW, membolehkan tahap bateri meningkat daripada 10% kepada 80% dalam masa sekitar 18 minit sahaja.

    Dari segi prestasi, kuasa motor bagi varian Long Range kini meningkat kepada 250 kW atau bersamaan 340 PS. Sementara itu, varian Privilege AWD yang menggunakan sistem pacuan semua roda dwi-motor menghasilkan kuasa sehingga 365 kW (496 PS) dengan tork 573 Nm.

    Zeekr X 2026 di Eropah – SUV EV kompak dipertingkat, pengecasan DC sehingga 230 kW, akan sampai M’sia?

    Zeekr turut menawarkan dua pilihan bateri untuk model X yang dikemas kini. Pilihan pertama ialah bateri Energee berkapasiti 61 kWh yang dibangunkan oleh Geely, manakala pilihan kedua ialah bateri lithium ternary 66 kWh yang dibekalkan oleh CATL.

    Di pasaran China, kedua-dua bateri ini masing-masing menawarkan jarak pemanduan sehingga 512 km dan 530 km berdasarkan piawaian ujian CLTC. Jika ditukar kepada piawaian WLTP yang lebih realistik, jarak pemanduan dianggarkan sekitar 420 km dan 434 km.

    Di bahagian kabin, Zeekr X versi Eropah menerima sistem infotainmen baru dengan skrin sesentuh bersaiz 14.6 inci. Skrin ini dipasang pada rel gelongsor elektrik sepanjang 353 mm di bahagian papan pemuka, membolehkannya digerakkan dari kedudukan tengah ke arah penumpang hadapan mengikut keperluan.

    Zeekr X 2026 di Eropah – SUV EV kompak dipertingkat, pengecasan DC sehingga 230 kW, akan sampai M’sia?

    Ruang dalaman turut dilengkapi beberapa kemudahan tambahan seperti pengecas peranti tanpa wayar 50 watt, ruang sarung tangan penumpang yang dilindungi kata laluan, ruang simpanan berkapasiti 6.6 liter, dua pemegang cawan di bahagian hadapan serta ruang konsol tengah berkapasiti 5.7 liter yang dilengkapi fungsi penyejukan dan pemanasan.

    Di Malaysia, Zeekr sebelum ini telah memberi bayangan mengenai kehadiran sebuah “SUV premium kompak yang dikemas kini”, berkemungkinan merujuk kepada Zeekr X versi terbaru ini. Model Zeekr X mula diperkenalkan secara rasmi di Malaysia pada Disember 2024 dengan dua varian iaitu Premium RWD dan Flagship AWD, ditawarkan pada harga pelancaran antara RM156,000 hingga RM173,000.

    Walaupun model kemas kini Zeekr X tidak dinyatakan secara khusus dalam teaser tersebut, Zeekr merancang untuk melancarkan tiga model versi terbaru di Malaysia pada tahun ini. Antaranya termasuk model perdana 9X PHEV, manakala satu lagi model yang berkemungkinan diperkenalkan ialah 009 Grand Collector’s Edition.

     
     
  • Seksyen 4 di Lebuhraya WCE dibuka sebelum Aidilfitri – jajaran 4.5 km itu bakal dirasmikan pada 18 Mac ini

    Seksyen 4 di Lebuhraya WCE dibuka sebelum Aidilfitri – jajaran 4.5 km itu bakal dirasmikan pada 18 Mac ini

    Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE Holdings Bhd, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid mengesahkan jajaran Seksyen 4 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di persimpangan Lebuhraya Persekutuan akan dibuka sebelum Aidilfitri ini. Pembukaan laluan baharu itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 18 Mac ini, katanya, menurut laporan Berita Harian.

    Beliau menambah satu pusingan U sementara akan dibuka di sepanjang laluan Seksyen 4 berkenaan yang membolehkan pengguna jalan raya dari arah Lebuhraya Persekutuan untuk kembali ke arah asal yang dapat mengurangkan kesesakan aliran trafik di sekitar Klang, Shah Alam, Subang serta Petaling Jaya.

    “Minggu depan, WCE akan membuka satu jajaran panjang Seksyen 4 membolehkan pengguna dari Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya terus menggunakan WCE untuk ke utara. Jajaran ini membabitkan satu pusingan U yang mana pengguna yang mahu ke utara boleh terus menggunakannya tanpa masuk melalui Setia Alam,” katanya.

    Jelasnya lagi, Seksyen 4 sepanjang 4.5 kilometer itu berfungsi sebagai ‘missing link’ strategik yang melengkapkan sambungan antara rangkaian lebuh raya utama di kawasan ini.

    Seksyen 4 di Lebuhraya WCE dibuka sebelum Aidilfitri – jajaran 4.5 km itu bakal dirasmikan pada 18 Mac ini

    “Jajaran ini menghubungkan Persimpangan Bertingkat NKVE/FHR2 ke Persimpangan Bertingkat NNKSB 1, sekali gus menyediakan akses yang lebih lancar antara Lebuhraya Persekutuan dan WCE. Pembukaan jajaran ini membantu mengurangkan kesesakan trafik di jalan-jalan tempatan sekitar Klang dan Shah Alam, khususnya pada waktu puncak.

    “Malah dengan pembukaan Seksyen 4, masa perjalanan dari Meru/Kapar ke Lebuhraya Persekutuan kini dapat dipendekkan daripada lebih 20 minit kepada kurang daripada 10 minit, terutamanya pada waktu puncak,” katanya yang menambah apabila siap kelak, kemudahan pusingan U sementara itu akan ditutup.

    Lebuhraya WCE merupakan lebuhraya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 km dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting.

    Ia merangkumi 11 seksyen iaitu tujuh seksyen di Selangor dan empat seksyen di Perak. Selain Seksyen 11, lima lagi seksyen WCE telah dibuka iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) di Selangor serta Seksyen 8 ( Hutan Melintang-Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir -Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) di Perak. Secara purata trafik harian mencecah 70,000 kenderaan yang melalui lima seksyen berkenaan.

     
     
  • Porsche Malaysia pilih pelumba simulator Naquib Azlan untuk sertai Porsche Carrera Cup Asia 2026

    Porsche Malaysia pilih pelumba simulator Naquib Azlan untuk sertai Porsche Carrera Cup Asia 2026

    Team Porsche Malaysia secara rasmi mengumumkan pemenang perlumbaan simulator Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025, Naquib Azlan dipilih sebagai pemandu pasukan berkenaan untuk siri perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) musim ini.

    Naquib yang kini berumur 26 tahun akan memandu jentera lumba Porsche 992.2 911 Cup pasukan tersebut yang bernombor #17, bersaing dalam kategori Pro untuk semua pusingan PCCA musim 2026. Pasukan yang dikendalikan oleh Sime Darby Auto Performance tersebut turut mendapat kerjasama dari Earl Bamber Motorsport (EBM) and Axle Motorsports.

    “Sukan sudah permotoran berakar umbi dalam DNA Porsche, dibentuk oleh lebih 75 tahun warisan perlumbaan. Di Porsche Malaysia, kami komited untuk mewujudkan platform yang bermakna untuk bakat tempatan — sama ada di litar maya atau trek sebenar — untuk mengejar minat mereka dan merealisasikan potensi mereka. Perkembangan Naquib Azlan daripada perlumbaan simulasi kepada Porsche Carrera Cup Asia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila prestasi, disiplin dan peluang disatukan,” kata Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance.

    Porsche Malaysia pilih pelumba simulator Naquib Azlan untuk sertai Porsche Carrera Cup Asia 2026

    Naquib mula berlumba dalam perlumbaan simulator sejak berumur 18 tahun, kemudian berpeluang beralih ke perlumbaan kereta sebenar dengan terpilih menyertai program pembangunan Toyota Gazoo Racing Malaysia dengan berlumba dalam kategori Rookie pada tahun 2020.

    Selepas itu beliau meraih kejayaan demi kejayaan dengan menang kategori berkenaan, menjadi juara kelas Sporting dan Super Sporting pada musim-musim seterusnya, menjadi juara dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000km, dan telah ke peringkat antarabangsa dengan menang siri Thailand Super Series tahun lalu dalam kategori GT4.

    Walaupun sudah berlumba secara profesional dengan kereta sebenar, Naquib masih tidak melupakan perlumbaan sim di mana tahun lalu selain dari menjadi juara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia kategori Driven Dreamers, Naquib juga merupakan naib juara Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025.

    Porsche Malaysia pilih pelumba simulator Naquib Azlan untuk sertai Porsche Carrera Cup Asia 2026

    “Pengenalan pertama saya kepada sukan permotoran adalah melalui perlumbaan simulasi, dan saya terpikat sejak awal lagi. Bersaing dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia telah membuka peluang yang tidak pernah saya bayangkan. Kini berlumba dengan Porsche Malaysia, yang mempunyai warisan perlumbaan yang kukuh, adalah satu penghormatan yang mutlak. Saya berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan daripada pasukan di Porsche Malaysia, serta bimbingan daripada Axle Motorsports sepanjang perjalanan ini. Saya berharap dapat mewakili Malaysia dan Porsche di pentas antarabangsa,” kata Naquib.

    Team Porsche Malaysia dan Naquib telah pun ke Zhuhai International Circuit di China dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu untuk menyertai sesi ujian rasmi PCCA 2026. Dan dari 30 pemandu yang hadir dari 12 negara berbeza, Naquib telah membuat kejutan dengan membuat catatan masa terpantas 1:35.391!

    Musim 2026 merupakan edisi ke-23 PCCA dilangsungkan, dan tahun ini kejohanan berkenaan menjadi wilayah pertama yang menggunakan jentera 911 GT3 Cup generasi baharu berkenaan. Pusingan pertama akan bermula di Shanghai, China, dari 14–15 Mac di mana ia menjadi salah satu perlumbaan sokongan GP F1 China, dan selepas itu ia akan bertandang ke litar-litar utama di seluruh rantau ini. Kejohanan ini akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang pada lewat musim untuk Pusingan 9, 10 dan 11, yang menampilkan dua perlumbaan Sprint dan satu perlumbaan dalam format endurance.

    GALERI: Porsche 992 911 GT3 Cup Team Porsche Malaysia

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV Prime 2026 — galeri penuh PHEV termurah di M’sia; hingga 943 km WLTP; RM105,800

    Proton eMas 7 PHEV Prime 2026 — galeri penuh PHEV termurah di M’sia; hingga 943 km WLTP; RM105,800

    Berikut merupakan galeri penuh bagi model Proton eMas 7 PHEV Prime, yang merupakan varian paling asas di antara tiga varian yang ditawarkan, selain Premium dan Premium Plus. Dijual dengan harga RM109,800 atas jalan belum termasuk insuran, varian Prime ini murah RM14,000 berbanding Premium, dan RM20,000 lebih murah berbanding varian Premium Plus yang paling tinggi.

    Sejak pelancarannya pada awal Februari lalu, tawaran istimewa dengan rebat RM4,000 diberikan kepada 5,000 pelanggan terawal yang membuat tempahan — membolehkan harganya lebih rendah, RM105,800, dan sekali gus menjadikan model plug-in hybrid paling murah di Malaysia ketika ini.

    Sistem janaan kuasanya terdiri daripada sistem EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI dengan janaan 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan 125 Nm tork, dan disertakan dengan sebuah motor elektrik di depan dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 262 Nm. Output maksimum PHEV ini ialah sebanyak 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan 262 Nm yang disalurkan ke roda depan.

    Proton eMas 7 PHEV Prime 2026 — galeri penuh PHEV termurah di M’sia; hingga 943 km WLTP; RM105,800

    Yang membezakannya daripada varian paling tinggi ialah bateri yang digunakan. Prime dan Premium dilengkapi dengan kapasiti bateri yang sama, bateri CATL LFP 18.4 kWh, dengan jarak EV 83 km, serta jarak keseluruhan yang mampu diberikan sejauh 943 km (WLTP). Pengecasan DC pula 30 kW (30%-80% SoC kurang 20 minit), dengan 6.6 kW untuk pengecasan AC.

    Bagi kelengkapan, Prime hanya dilengkapi dengan enam-pembesar suara, enam-beg udara dan kamera undur. Saiz rimnya juga lebih kecil, dengan 18-inci, dan tiada jalur lampu LED berkelebaran penuh di depan. Apple CarPlay dan Android Auto tersedia untuk semua varian Proton eMas 7 PHEV. Ia bagaimana pun tidak dilengkapi dengan paparan head-up, tiada pengecas telefon tanpa wayar, dan tiada sistem audio Flyme dengan 16-pembesar suara. Bagi ciri keselamatan, Prime menerima fungsi ADAS yang kurang berbanding Premium dan Premium Plus — kami sertakan senarai lengkap spesifikasinya untuk rujukan anda.

    Proton eMas 7 PHEV Prime 2026

     
     
  • MG S5 EV CKD mula dikeluar dari kilang EPMB Melaka — tambahan 35 hp/100 Nm, hanya Lux; jangka RM120k

    MG S5 EV CKD mula dikeluar dari kilang EPMB Melaka — tambahan 35 hp/100 Nm, hanya Lux; jangka RM120k

    MG S5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) kini mula berada dalam pasaran Malaysia. SUV elektrik yang menjadi model pertama daripada SAIC yang di-CKD di sini itu telah dirasmikan pengeluaran pertamanya di Kilang 2 EPMB di Pegoh, Melaka pagi tadi. Perasmian tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh.

    “Pengeluaran pertama MG S5 EV CKD ini menjadi pencapaian penting bagi MG di Malaysia serta mencerminkan komitmen kami terhadap lokalisasi bagi memperkukuh peranan Malaysia di dalam ekosistem kenderaan elektrik di rantau ini,” jelas Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi.

    “Dengan pemasangan tempatan ini, kami mampu membawakan kenderaan kami lebih dekat kepada pelanggan di Malaysia dan dalam masa yang sama memperkukuhkan rangkaian pembekal automotif tempatan, menyokong vendor tempatan serta menyumbang kepada ekosistem EV yang lebih luas,” tambahnya.

    MG S5 EV CKD mula dikeluar dari kilang EPMB Melaka — tambahan 35 hp/100 Nm, hanya Lux; jangka RM120k

    Pengeluaran pertama dari kilang hari ini menandakan juga tempahan bagi MG S5 EV CKD ini mula dibuka secara rasmi. Ia turut melibatkan beberapa kemaskini berbanding model CBU yang diperkenalkan pada Mei 2025. Antaranya ialah lebih kuasa dan tork: MG S5 EV CKD kini memberikan janaan 202 hp dan 350 Nm tork, lebih 34 hp dan 100 Nm berbanding model CBU. Kuasa ini disalurkan ke roda belakang, yang turut menggunakan tetapan suspensi multi-link untuk lebih keselesaan.

    S5 CKD ini menyokong pengecasan sehingga 150 kW, yang akan mengecas bateri LFP 62 kWh CATL dari 10%-80% SoC dalam masa 26 minit. Jarak WLTP-nya juga lebih jauh, kini memberikan 446 km. Jaminan untuk bateri ialah selama lapan-tahun atau 180,000 km, dengan jaminan berasingan selama lapan-tahun atau 160,000 km untuk unit kawalan motor. Jaminan kenderaan pula adalah selama tujuh-tahun atau 150,000 km.

    MG S5 EV CKD ini mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,476 mm panjang, 1,849 mm lebar dan 1,621 mm tinggi. Berbanding Proton eMas 7, S5 ini 139 mm lebih pendek, 52 mm kurang lebar dan 49 mm lebih rendah dengan jarak roda 20 mm lebih pendek. Tiada ruang “frunk” tersedia, tetapi ruang butnya seluas 453-liter boleh dilanjutkan menjadi 1,441 liter dengan kerusi belakang dilipat, termasuk ruang di bawah lantai but.

    MG S5 EV CKD mula dikeluar dari kilang EPMB Melaka — tambahan 35 hp/100 Nm, hanya Lux; jangka RM120k

    Varian Lux yang paling tinggi menjadi satu-satunya yang di-CKD buat masa sekarang. Ia dilengkapi antaranya dengan kerusi balutan kulit buatan, kerusi depan berliang dan larasan kuasa, serta bukaan tailgate tanpa kendalian tangan. Kelengkapan keselamatan juga lengkap, dengan adanya ADAS 2.5 yang terdiri daripada bantuan kesesakan jalan dan kawalan melayar pintar. Model S5 ini telah menerima penarafan lima-bintang untuk Euro NCAP dan ASEAN NCAP.

    MG S5 EV CKD kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM120,000. Harga akhir dan perincian lengkap akan diumumkan dalam masa terdekat: pembeli terawal pula akan menikmati promosi bernilai RM10,000. Pakej tersebut terdiri daripada rebat RM7,000, pengecas wallbox 7 kW bernilai RM2,000 dan kredit pengecasan sebanyak RM1,000.

    MG S5 EV CKD mula dikeluar dari kilang EPMB Melaka — tambahan 35 hp/100 Nm, hanya Lux; jangka RM120k

    Pada Oktober 2025, harga MG S5 CBU telah diturunkan sebanyak RM8,000 untuk semua varian berbanding harga anggarn awalnya, menjadikan harga varian Com RM108,548, varian Com Long Range RM118,548 dan Lux Long Range RM128,548. Jika corak ini kekal, harga rasmi versi CKD juga mungkin akan mengikut pendekatan yang sama.

    SAIC Motor Malaysia memaklumkan bahawa pengeluaran di kilang EPMB Pegoh — yang menerima jolokan sebagai hab CKD untuk jenama China (kini GWM, Xpeng menyusul) — dijanga melibatkan 120 hingga 180 unit sebulan, dengan anggaran untuk pengeluaran tahunan sekitar 1,500 hingga 2,000 unit pada 2026. SAIC juga merancang untuk mengeksport dari Melaka ke negara ASEAN lain dan sedang mempertimbangkan juga pasaran pemanduan sebelah kiri.

     
     
  • Mercedes-Benz dilapor bangunkan platform EV di China guna asas elektrikal/elektronik Geely GEEA 4.0

    Mercedes-Benz dilapor bangunkan platform EV di China guna asas elektrikal/elektronik Geely GEEA 4.0

    Pengeluar autmotif premium Jerman, Mercedes-Benz dilapor kini sedang membangunkan platform kenderaan elektrik (EV) di China menggunakan asas E/E (elektrikal/elektronik) berdasarkan senibina Geely Electrical Electronic Architecture (GEEA) 4.0.

    Perkara tersebut dilaporkan media negara berkenaan iaitu 36kr yang menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama Mercedes-Benz membangunkan platform kenderaan di luar Jerman, dan difahamkan bahawa pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) jenama itu di China akan menjadi ibu pejabat untuk pembangunan kenderaan kompak, di mana ia akan fokus terhadap pembangunan kenderaan besar dan sederhana.

    Sumber-sumber dalaman industri turut memberitahun bahawa platform baharu berkenaan kini dikenali dengan kod nama ‘Phoenix’ dan ia akan digunakan untuk EV entry-level yang akan dipasarkan ke seluruh dunia. Model pertama berdasarkan platform tersebut akan mula diproduksi sekitar 2030, dan ia akan menggantikan platform MMA sedia ada, bagi menjadi asas kepada model-model seperti A-Class, B-Class, GLA, GLB dan CLA.

    Senibina E/E ini merupakan asas kepada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan juga untuk mengoperasikan sebuah kokpit pintar. GEEA 4.0 bukan hanya boleh digunakan sebagai asas E/E untuk model-model EV, malah untuk kenderaan bukan EV. Ia adalah versi generasi baharu selepas GEEA 3.0 yang buat masa sekarang digunakan pada model seperti Geely Galaxy E5, kembar kepada Proton eMas 7 di Malaysia.

    Laporan itu juga menyebut bahawa Mercedes-Benz akan menumpukan terhadap perkara seperti mengurangkan kos, justeru itu membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan Geely. Namun Mercedes-Benz bukanlah jenama Eropah pertama menjalinkan kerjasama seperti, di mana syarikat seperti Volkswagen dan Stellantis telah terlebih dahulu mengorak langkah dengan mendapatkan kerjasama rapat bersama jenama-jenama China.

     
     
  • Kenderaan Thai perlu ada Permit Edaran Antarabangsa untuk masuk Malaysia atau berisiko disita – JPJ

    Kenderaan Thai perlu ada Permit Edaran Antarabangsa untuk masuk Malaysia atau berisiko disita – JPJ

    Mana-mana kenderaan Thailand yang memasuki Malaysia tanpa memiliki Permit Edaran Antarabangsa (ICP) serta dikesan berada pada jarak lebih dua kilometer dari pintu masuk sempadan berisiko akan disita, tegas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Katanya, pihaknya memberikan peringatan itu memandangkan pada musim perayaan Aidilfitri nanti mungkin banyak kenderaan dari negara jiran akan memasuki Malaysia menerusi pintu sempadan negara, laporan Bernama.

    “Mana-mana kenderaraan yang tidak mempunyai ICP dan berada melebihi dua kilometer dari pintu masuk sempadan (negara) ini, sekiranya ditahan, kita akan sita…kita nak ingatkan supaya dapatkan ICP ini di stesen penguatkuasa JPJ di sempadan negara,” katanya.

    Beliau menjelaskan bahawa kebenaran ICP yang sah untuk 90 hari itu hanya terpakai untuk kegunaan kenderaan persendirian sahaja. “Maka menjadi kesalahan kenderaan itu digunapakai untuk aktiviti lain termasuk sebarang urus niaga di negara ini,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya juga tidak akan mengeluarkan ICP sekiranya kenderaan warga asing tersebut mempunyai saman tertunggak sehinggalah ia (saman terbabit) diselesaikan. Malah jika kenderaan terbabit didapati berada di negara ini dan masih mempunyai saman tertunggak, JPJ akan bertindak menahannya.

     
     
  • Budak lelaki 13 tahun ditahan sewaktu memandu, beri alasan bapanya yang turut bersamanya tidak sihat

    Budak lelaki 13 tahun ditahan sewaktu memandu, beri alasan bapanya yang turut bersamanya tidak sihat

    Memang banyak kes berlaku melibatkan individu bawah umur yang memandu tanpa lesen, kebiasaannya kenderaan dibawa keluar untuk bersiar-siar tanpa pengetahuan pemilik kenderaan. Tapi ada juga pemilik kenderaan sendiri yang memberikan kebenaran, termasuk ada sendiri bersama individu bawah umur berkenaan di dalam kenderaan tersebut.

    Inilah yang terjadi di Kedah pada minggu lalu apabila seorang budak lelaki berusia 13 tahun ditahan kerana memandu kereta – dengan bapanya duduk di tempat penumpang hadapan, semasa operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kulim, laporan Malay Mail.

    Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, budak lelaki terbabit memandu sebuah Perodua Kancil sebelum ditahan kira-kira 12.45 tengah hari pada 5 Mac di Jalan Sungai Seluang semasa operasi dijalankan oleh JPJ cawangan Sungai Petani. Pemeriksaan mendapati budak tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah kerana belum mencapai umur minimum yang dibenarkan untuk mendapatkan lesen, satu kesalahan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Budak lelaki 13 tahun ditahan sewaktu memandu, beri alasan bapanya yang turut bersamanya tidak sihat

    Budak lelaki tersebut memaklumkan kepada pegawai penguatkuasa bahawa dia “tiada pilihan” selain memandu kerana bapanya tidak sihat dan perlu menyelesaikan satu urusan. Walau bagaimanaa pun, JPJ tetap mengeluarkan saman kerana memandu di bawah umur, manakala bapanya turut dikenakan denda. Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut mempunyai cukai jalan yang sah dan tidak disita.

    Walaupun tiada kejadian buruk berlaku dalam kes ini, membenarkan individu bawah umur memandu kenderaan boleh membawa akibat yang serius malah meragut nyawa. Minggu lalu, The Star melaporkan bahawa seorang wanita yang membenarkan anak lelakinya berusia 17 tahun memandu keretanya – yang kemudiannya terlibat dalam kemalangan sehingga meragut tiga nyawa – telah didenda RM1,500 oleh mahkamah majistret di Seremban.

    Dalam kejadian kemalangan tersebut, anak lelaki tertuduh melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua buah motosikal, menyebabkan tiga remaja berusia 15, 16 dan 17 tahun maut. Remaja itu pada awalnya mengaku tidak bersalah ketika pertama kali didakwa atas kesalahan memandu secara melulu pada 22 April tahun lalu, namun kemudian menukar pengakuan kepada bersalah pada Disember. Dia dijadualkan menerima hukuman pada bulan Mei ini, sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026