Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BYD rancang kembangkan rangkaian pada tahun 2026

    BYD rancang kembangkan rangkaian pada tahun 2026

    Pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, BYD Sime Motors, terus memperluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualannya bagi memberikan sokongan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan. Ketika ini jenama tersebut memiliki lebih 40 bilik pameran di seluruh negara dan menjelang 2026 syarikat itu menyasarkan sebanyak 34 pusat servis akan beroperasi apabila sembilan lagi fasiliti baru siap dibangunkan.

    Dalam usaha memperkukuhkan kehadiran di seluruh negara, BYD turut meluaskan rangkaian ke kawasan di luar bandar utama. Di Johor misalnya, bilik pameran baru telah dibuka di Muar dan Kluang. Di Pantai Timur pula, pusat baru di Kuala Terengganu melengkapkan rangkaian sedia ada di Kuantan dan Kota Bharu. Bagi wilayah utara Semenanjung, BYD kini mempunyai kehadiran di Sungai Petani, Juru dan Ipoh. Selain itu, terdapat juga 12 pusat badan dan cat kenderaan BYD yang beroperasi di seluruh Malaysia.

    Pengembangan rangkaian ini seiring dengan pertumbuhan jenama tersebut di pasaran tempatan. BYD kekal sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 14,407 unit kenderaan BYD telah dihantar kepada pelanggan, meningkat 68 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian itu meletakkan BYD di tangga keenam keseluruhan carta jenama kenderaan di Malaysia, atau kedudukan keempat dalam segmen jenama bukan nasional.

    BYD rancang kembangkan rangkaian pada tahun 2026

    Pertumbuhan jumlah pelanggan juga menunjukkan peningkatan yang pantas. BYD mengambil masa sekitar 20 bulan untuk mencapai 10,000 pelanggan pertama, namun jumlah 10,000 pelanggan seterusnya berjaya dicapai dalam tempoh hanya 13 bulan. Menurut BYD Sime Motors, syarikat itu berada di landasan untuk mencapai 30,000 pelanggan di Malaysia seawal bulan hadapan.

    Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao, berkata pencapaian tersebut mencerminkan kerjasama kukuh antara BYD dan Sime Motors, selain komitmen bersama dalam meningkatkan standard pemilikan kenderaan elektrik di Malaysia. Menurutnya, rangkaian yang komprehensif membolehkan BYD menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh sepanjang tempoh pemilikan kenderaan, di samping meningkatkan keyakinan terhadap nilai jualan semula.

    Beliau turut menjelaskan bahawa setiap bilik pameran baru direka untuk memberikan pengalaman yang lebih premium kepada pelanggan, selari dengan janji BYD untuk menggabungkan teknologi canggih dengan persekitaran yang berfokuskan pelanggan.

    Tambah beliau lagi, sebagai jenama BEV terkemuka di negara ini, BYD akan terus memberi tumpuan kepada keperluan pengguna Malaysia melalui pengembangan rangkaian di seluruh negara serta memperkukuhkan setiap titik sentuhan dengan pelanggan.

    Zhao turut merakamkan penghargaan kepada komuniti pemilik BYD atas kepercayaan yang diberikan dan menegaskan komitmen syarikat untuk terus meningkatkan tahap kemudahan, keyakinan serta penjagaan kepada pelanggan.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan, menyatakan bahawa walaupun pasaran automotif kini semakin kompetitif, BYD tetap berjaya menunjukkan keupayaan serta daya tahan yang kukuh.

    BYD rancang kembangkan rangkaian pada tahun 2026

    Menurutnya, tahun ini membuka peluang baru untuk mengukuhkan lagi kehadiran BYD di seluruh negara dengan memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan yang lebih premium serta penyediaan solusi mobiliti pintar tanpa pelepasan karbon. Langkah ini dilihat penting dalam mempercepatkan penerimaan kenderaan elektrik di Malaysia.

    Salah satu projek yang bakal menjadi tumpuan ialah pembukaan pusat pameran utama dikenali sebagai BYD Mansion yang dijadualkan mula beroperasi tahun ini. Terletak di Macalister Road, Pulau Pinang, bilik pameran ikonik itu menampilkan struktur kaca moden yang mengelilingi sebuah bangunan warisan, dengan muka asal bangunan tersebut dikekalkan di bahagian hadapan. Menurut BYD, reka bentuknya turut menggabungkan elemen budaya tempatan bagi mewujudkan ruang pameran yang unik dan premium.

    Pada masa sama, syarikat itu turut menekankan pelaburan berterusan dalam infrastruktur selepas jualan bagi menangani kebimbangan pelanggan berkaitan penyelenggaraan dan tempoh menunggu servis. Sokongan teknikal disediakan oleh lebih 80 juruteknik bertauliah EV yang dilatih di Akademi BYD, selain kewujudan gudang alat ganti berpusat yang memastikan ketersediaan komponen dengan lebih cekap. Bagi pelanggan, ini bermakna tempoh menunggu servis yang lebih singkat serta tahap ketelusan yang lebih baik sepanjang proses penyelenggaraan kenderaan.

     
     
  • Linglong Sport Master lebih baik dari Michelin, Pirelli, Continental, dan lain-lain dalam ujian di Eropah?

    Linglong Sport Master lebih baik dari Michelin, Pirelli, Continental, dan lain-lain dalam ujian di Eropah?

    Bukan sahaja pengeluar-pengeluar automotif, malah pengeluar-pengeluar komponen untuk industri automotif dari China kini sedang menghasilkan produk-produk yang boleh bersaing diperingkat global untuk berdiri sama tinggi dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun yang sudah berada lebih lama dalam industri ini.

    Yang terbaharu, pengeluar tayar dari China iaitu LingLong telah membuat kejutan dengan mendahului carta ujian dalam permukaan jalan basah di Eropah, mengatasi jenama-jenama terkenal termasuk Michelin, Continental, Pirelli, Goodyear, dan Bridgestone.

    Ujian berkenaan dijalankan oleh ADAC (Allgemeiner Deutscher Automobil-Club) bersama Auto Bild dan keputusannya disiarkan menerusi Tyre Review. Dalam ujian berkenaan tayar dari Linglong yang diuji iaitu Linglong Sport Master bersaiz 225/50R17 diuji pada Audi A4 Avant B9, dan satu lagi bersaiz 245/45R19 diuji pada BMW 5 Series G60.

    Dalam ujian brek di atas permukaan basah bermula 80 km/j Linglong Sport Master untuk roda 17-inci berkenaan mencatatkan jarak berhenti 30.10 m, sama dengan jarak yang dicatatkan oleh Continental PremiumContact 7 dan ia merupakan terbaik dalam kelasnya. Ia diikuti oleh tayar Goodyear EfficientGrip Performance di tempat ketiga (31.30 m), Pirelli Cinturato C3 (31.80 m) dan Michelin Primacy 5 (32.70 m).

    Linglong Sport Master lebih baik dari Michelin, Pirelli, Continental, dan lain-lain dalam ujian di Eropah?

    Linglong Sport Master e yang dipadankan secara standard pada Leapmotor B10 pasaran Malaysia

    Linglong Sport Master turut cemerlang dalam ujian brek di atas permukaan konkrit yang basah dengan mencatatkan jarak membrek paling dekat dengan 32.30 m, diikuti Continental PremiumContact 7 (34.90 m), Kumho Ecsta HS52 (35.90 m), Pirelli Cinturato C3 (37.30 m) dan Falken ZIEX ZE320 (37.70 m) dalam carta 5 Terbaik.

    Manakala dalam ujian akuasatah (aquaplaning), Linglong Sport Master berada pada kedudukan keempat terbaik di mana ia mula terapung di atas lopak air pada kelajuan 78.60 km/j. Tayar terbaik dalam ujian ini adalah Pirelli Cinturato C3 (79.70 km/h), dikuti Continental PremiumContact 7 (79.70 km/h) dan Vredestein Ultrac plus (79.30 km/h) di tempat ketiga.

    Walau bagaimanapun untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam ujian brek permukaan basah tersebut, kompaun tayar Linglong Sport Master berkenaan menunjukkan keputusan yang tidak bagus dari segi kehausan dan juga penggunaan bahan api.

    Bagi tayar untuk roda 17-inci, Linglong Sport Master dianggarkan hanya mampu bertahan untuk digunakan sejauh 26,100 km iaitu tempat terakhir berbanding 16 tayar lain yang diuji – jika anda mencatatkan penggunaan tahunan sekitar 20,000 km, mungkin tayar ini perlu ditukar setiap tahun. Sebaagi perbandingan, tayar terbaik dalam perkara ini iaitu Goodyear EfficientGrip Performance yang dianggar boleh bertahan sekali ganda lebih jauh dari Linglong Sport Master iaitu sejauh 57,800 km.

    Proton eMas 5 (kiri) dan BYD Dolphin (kanan) pasaran Malaysia yang masing-masing dipadankan dengan tayar Linglong Comfort Master dan Linglong Eco Master

    Begitu juga untuk ujian penggunaan bahan api, sekali lagi Linglong Sport Master untuk roda 17-inci berada di tempat terakhir berbanding 16 tayar lain dengan mencatat penggunaan bahan api 6.00 liter/100 km. Tayar terbaik dalam kategori ini adalah Michelin Primacy 5 yang mencatatkan 5.40 liter/100 km (ujian ini dilakukan oleh ADAC dengan memandu kenderaan dalam laluan oval bagi mendapatkan bacaan penggunaan bahan api tersebut).

    Jadi dengan melihat hasil keputusan ujian-ujian tersebut secara keseluruhan, adakah anda rasa Linglong Sport Master tersebut merupakan tayar terbaik dalam kelasnya?

    Di Malaysia tayar jenama Linglong boleh ditemui pada sebagai tayar standard dari kilang yang dipadankan pada beberapa model. Antaranya Leapmotor B10 yang dibekalkan dengan tayar Linglong Sport Master e, dan pengalaman kami memandu SUV EV tersebut ia memberikan prestasi yang wajar.

    Model lain yang turut menerima tayar Linglong sebagai tayar standard dari kilang termasuk Proton eMas 5 dengan Linglong Comfort Master dan juga BYD Dolphin dengan Linglong Eco Master, yang pada kami kedua-duanya memberikan prestasi pemanduan yang kurang memuaskan.

     
     
  • Moto Morini Alltrhike 450 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin dua silinder 450 cc, meter TFT, RM29k

    Moto Morini Alltrhike 450 dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin dua silinder 450 cc, meter TFT, RM29k

    Seperti yang diberitahu tahun lepas, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd akhirnya melancarkan Moto Morini Alltrhike untuk pasaran Malaysia, pada harga RM28,888 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun, tanpa had batuan tetap.

    Digelar sebagai motosikal offroad kapasiti rendah pertama Moto Morini, Alltrhike dipacu oleh enjin dua silinder selari DOHC berkapasiti 450 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 44 hp pada 8,500 rpm dan tork 44 Nm pada 6,250 rpm.

    Bersesuaian dengan konsep lasaknya, model ini menggunakan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipegang oleh masing-masing fork USD Kayaba 41 mm dengan pelarasan pra beban, serapan dan mampatan, serta monoshock dengan pelarasan pra beban dan serapan.

    Sistem brek terdiri daripada unit cakera tunggal 320 mm bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 255 mm dengan angkup dua piston serta sistem ABS dual-channel yang boleh ditutup. Tangki bahan api berkapasiti 18 liter, sementara berat keseluruhan pula adalah 170 kg.

    Sebagai sebuah motosikal yang dicipta untuk kegunaan lasak, Alltrhike datang secara terus dengan pelindung bawah enjin serta fender tinggi. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk meter TFT enam inci, soket pengecas USB-C dan USB-A serta lampu jenis LED.

    Tidak cukup dengan itu, pada harga yang disebutkan, pembeli juga akan menerima beg barangan belakang dan tepi bersama motosikal ini.


     
     
  • Xpeng G6 PowerX – versi REEV dengan kuasa 296 PS, jarak gerak EV CLTC 430 km, keseluruhan 1,704 km

    Xpeng G6 PowerX – versi REEV dengan kuasa 296 PS, jarak gerak EV CLTC 430 km, keseluruhan 1,704 km

    SUV elektrik Xpeng G6 kini menerima varian baru dikenali sebagai PowerX di pasaran China, mengikuti jejak langkah MPV elektrik Xpeng X9 yang sebelum ini turut diperkenalkan dengan teknologi sama. Sering dilihat sebagai pesaing kepada Tesla Model Y, SUV ini sekarang ditambah dengan sistem range extender.

    Melalui sistem tersebut, G6 PowerX dilengkapi enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo yang ditempatkan di bahagian hadapan. Walaubagaimanapun, enjin pembakaran dalaman itu tidak memacu roda secara langsung. Sebaliknya ia berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri LFP berkapasiti 55.8 kWh pada kadar sehingga 85 kW.

    Kuasa pemanduan masih sepenuhnya disalurkan oleh satu motor elektrik di gandar belakang yang menghasilkan 296 PS (218 kW) dan 450 Nm tork. Dengan konfigurasi ini, pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat, kira-kira tiga persepuluh saat lebih perlahan berbanding versi elektrik sepenuhnya.

    Xpeng G6 PowerX – versi REEV dengan kuasa 296 PS, jarak gerak EV CLTC 430 km, keseluruhan 1,704 km

    Menurut Xpeng, G6 PowerX mampu bergerak sehingga 450 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya berdasarkan kitaran CLTC di China. Dengan bantuan enjin penjana tersebut, jarak keseluruhan boleh mencecah sehingga 1,704 km. Penggunaan bahan api pula dianggarkan pada kadar 2.24 liter bagi setiap 100 km, manakala apabila bateri habis, penggunaan meningkat kepada sekitar 5.9 liter bagi setiap 100 km.

    Dari segi sistem pengecasan, G6 PowerX masih menggunakan seni bina elektrik 800 volt. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga sekitar 5C, yang dianggarkan kira-kira 280 kW. Ini membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 12 minit, sama seperti versi EV biasa yang menyokong pengecasan sehingga 451 kW.

    Selain perubahan pada rangkaian kuasa, G6 PowerX turut menerima penambahbaikan pada sistem casis. Antaranya termasuk penyerap hentak adaptif baru yang dikawal oleh sistem kawalan casis berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta penggunaan bush hidraulik yang telah dipertingkatkan.

    Xpeng G6 PowerX – versi REEV dengan kuasa 296 PS, jarak gerak EV CLTC 430 km, keseluruhan 1,704 km

    Dari segi reka bentuk, perubahan luaran adalah minimum dan sebahagian besar kekal sama seperti model facelift yang diperkenalkan sebelum ini. Antara ciri yang masih dikekalkan termasuk jalur lampu hadapan penuh merentasi bahagian depan, lengkuk roda yang kini dicat sepenuhnya mengikut warna badan, spoiler kecil pada bahagian belakang serta rekaan rim baru. Perbezaan yang paling jelas pada versi PowerX hanyalah gril hadapan yang lebih terbuka serta kehadiran penutup pengisian bahan api.

    Bahagian dalaman juga mengambil inspirasi daripada model facelift. Ia menampilkan papan pemuka serta panel pintu yang direka semula, bersama sistem pencahayaan ambien yang lebih meluas. Dari sudut teknologi, kabin dilengkapi paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci dan skrin infotainmen sentuh 15.6 inci.

    Turut disediakan adalah dua pengecas Qi tanpa wayar 50 watt dan sistem audio Xopera dengan 18 pembesar suara. Xpeng turut mendakwa G6 PowerX merupakan satu-satunya model REEV dalam kelasnya yang menawarkan sistem pembatalan bunyi aktif.

    Xpeng G6 PowerX – versi REEV dengan kuasa 296 PS, jarak gerak EV CLTC 430 km, keseluruhan 1,704 km

    Bagi sistem bantuan pemandu pula, G6 PowerX menggunakan tiga cip AI Turing terkini keluaran Xpeng yang memberikan kuasa pemprosesan sehingga 2,250 TOPS. Perkakasan ini menyokong model visual-language-action (VLA) generasi kedua bagi meningkatkan keupayaan pemanduan automatik. Xpeng menyasarkan tahap autonomi Tahap 4 dapat dicapai dalam tempoh antara satu hingga tiga tahun akan datang.

    Di China, Xpeng G6 PowerX kini ditawarkan dalam satu varian dengan harga 186,800 yuan, bersamaan kira-kira RM107,400. Dengan semakin banyak pasaran global mula mempertimbangkan alternatif kepada kenderaan elektrik sepenuhnya, tidak mustahil varian PowerX untuk G6 dan X9 akan diperluaskan ke pasaran lain pada masa hadapan, termasuk Malaysia.

     
     
  • GALERI – Toyota Vellfire Hybrid 2026 di Malaysia; RM550k, 250 PS, terima kelengkapan Exec Lounge

    GALERI – Toyota Vellfire Hybrid 2026 di Malaysia; RM550k, 250 PS, terima kelengkapan Exec Lounge

    UMW Toyota telah melancarkan Toyota Vellfire Hybrid 2026 ke pasaran tempatan pada Januari lalu. Tiada sebarang majlis pelancaran dibuat ketika itu di mana pengenalannya ke pasaran Malaysia hanya diberitahu melalui emel. Jadi selepas unit sebenar telah dipamerkan di bilik pameran, kami pun bergegas untuk mendapatkan galeri penuh model ini untuk tatapan anda.

    Versi dengan unit rangkaian kuasa lebih mesra alam ini dibawa ke sini selepas dua tahun Vellfire generasi keempat berkenaan dijual dalam pasaran tempatan. Ia ditawarkan dalam satu varian iaitu Toyota Vellfire Hybrid, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM549,900, dan ia merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Jadi berbanding versi dengan enjin pembakaran dalaman penuh iaitu Toyota Vellfire 2.5L yang dijual pada harga RM448,000, versi hibrid ini adalah RM100,000k lebih mahal. Manakala berbanding kembarnya iaitu Alphard yang ditawarkan dalam varian 2.4T Executive Lounge, Vellfire Hybrid pasaran Malaysia ini masih RM2,000 lebih mahal.

    GALERI – Toyota Vellfire Hybrid 2026 di Malaysia; RM550k, 250 PS, terima kelengkapan Exec Lounge

    Vellfire Hybrid ini ini digerakkan oleh sistem hibrid siri-selari Toyota, menggandingkan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 187 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 233 Nm bermula 4,300 hingga 4,500 rpm, bersama motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS dan tork maksima 270 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan sejumlah 250 PS (70 PS lebih berkuasa dari versi petrol penuh), dan kuasa tersebut dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT elektronik (E-CVT). Toyota menyatakan bahawa versi hibrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api pada takat 5.7 liter/100 km, jauh lebih rendah dari versi petrol yang mencatatkan 9.1 liter/100 km.

    Tidak kira unit rangkaian kuasa yang diberikan, kedua-dua Vellfire petrol dan hibrid pasaran Malaysia menampilkan rupa luaran yang serupa, termasuk lampu hadapan dan belakang LED serta diberikan rim 19-inci kemasan dua-tona yang sama.

    GALERI – Toyota Vellfire Hybrid 2026 di Malaysia; RM550k, 250 PS, terima kelengkapan Exec Lounge

    Perbezaan lebih jelas dapat dilihat pada bahagian kabin di mana versi hibrid ini menerima kelengkapan lebih mewah seperti Alphard Executive Lounge termasuk paparan head-up dan upholsteri kulit Nappa kemasan Sunset Brown berbanding versi petrol yang diberikan balutan kulit sintetik berwarna hitam.

    Ia juga menerima kelengkapan-kelengkapan lain termasuk papara instrumen dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin 14-inci bersama kawalan penghawa dingin fizikal ala-Lexus, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi JBL dengan 15 pembesar suara serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Kabin belakang Vellfire ini turut menerima tempat duduk belakang Executive Lounge yang sama seperti Alphard, di mana ia hadir dengan ottoman bina-dalam, diberikan fungsi pengurut, meja boleh lipat dengan cermin solek, fungsi pengalir pendingin hawa dan pemanas dan kesemua fungsi ini boleh dikawal menerusi panel kawalan digital yang nampak seperti telefon pintar.

    Vellfire Hybrid ini juga diberikan skrin kabin belakang yang sama seperti Alphard bersaiz 14-inci yang boleh dilipat pada bahagian tengah bumbung, antara kedua-dua pelindung cahaya bagi bumbung panaromik. Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk penghidup enjin jarak jauh, penghawa dingin empat-zon dengan penyegar udara Panasonic Nanoe X, tempat duduk dengan pengalir udara dan pemanas serta larasan kuasa lapan-hala untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang hadapan, kolum stereng larasan kuasa, pedal penukar gear, cermin pandang belakang digital, kamera 360 darjah, pintu tailgate bantuan kuasa serta filem penapis haba dan keselamatan untuk cermin tingkap.

    Untuk keselamatan pula Vellfire Hybrid ini datang dengan fungsi penuh Toyota Safety Sense termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop go, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi adaptif dan lain-lain. Ia juga datang dengan enam beg udara.

     
     
  • Proton X90 MC1 2026 – brosur tertiris, enjin i-GT 1.5L Turbo 4-silinder 181 PS/290, tiada hibrid 48V, 3 varian

    Proton X90 MC1 2026 – brosur tertiris, enjin i-GT 1.5L Turbo 4-silinder 181 PS/290, tiada hibrid 48V, 3 varian

    Selepas Saga, X50, X70 dan S70, tak lama lagi giliran SUV segmen-D Proton X90 pula akan menerima enjin 1.5 liter empat silinder baharu dari keluarga enjin BHE15 yang diberi nama sebagai i-GT oleh Proton. Sebelum dilancarkan secara rasmi, brosur bagi SUV yang ditingkat taraf tersebut telah pun tertiris dalam laman media sosial Facebook.

    Menerusi brosur tersebut terdedah bahawa tiada lagi sistem hibrid ringkas 48V dibekalkan pada X90 MC1 ini, dan ia bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Prime dan Prime X.

    Enjin BHE15 yang dibekalkan nampaknya dalam konfigurasi sama seperti X50 facelift, X70 MC3 dan juga S70 MC1, iaitu versi dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 181 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 rpm sehingga 3,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Foto-foto yang tersiar menerusi brosur yang tertiris tersebut juga mengesahkan bahawa tiada sebarang perubahan pada rupa luaran, dan semua varian akan dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 18-inci.

    Klik untuk besarkan

    Spesifikasi untuk varian asas 1.5TD Lite:

    Enjin i-GT 1.5TD
    Transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan
    Suspensi belakang jenis multilink
    Lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED
    Rim aloi 18-inci
    Rel bumbung
    Skrin sesentuh sistem infotainmen 12.3-inci sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    Tempat duduk leatherette
    Tujuh port USB
    Enam-beg udara
    Penderia parkir belakang

    Varian pertengahan 1.5TD Prime ditambah dengan:

    Lampu hadapan automatik
    Pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan
    Paparan instrumen dengan skrin 10.3-inci
    Tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik enam-hala
    Kamera-360 darjah dengan paparan telus 180 darjah
    Sistem pemantau tekanan angin tayar
    Penderia parkir hadapan

    Proton X90 MC1 2026 – brosur tertiris, enjin i-GT 1.5L Turbo 4-silinder 181 PS/290, tiada hibrid 48V, 3 varian

    Varian tertinggi 1.5TD Prime X ditambah dengan:

    Tempat duduk balutan kulit Nappa
    Tambahan larasan lumbar pada tempat duduk pemandu
    Tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala dengan ‘suis bos’.
    Aliran udara pada tempat duduk baris pertama dan kedua
    Tempat duduk kapten untuk baris kedua
    Perehat kepala ergonomik pada tempat duduk baris pertama dan kedua
    DVR (dashcam) hadapan

    Brosur ini juga mendedahkan bahawa X90 MC1 ditawarkan dengan warna badan Quartz Black, Marine Blue, Armour Silver, Snow White dan Jet Grey. Manakala pada bahagian kabin ia hanya ditawarkan dalam tema hitam tidak kira pilihan upholsteri leatheretta atau kulit Nappa.

     
     
  • K’jaan berusaha sedaya mungkin kekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter agar tidak bebankan rakyat

    K’jaan berusaha sedaya mungkin kekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter agar tidak bebankan rakyat

    Walau pun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, namun kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter supaya ia tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut laporan Bernama.

    “Harga minyak hari ini, harga minyak mentah Brent satu barel (tong) sudah naik 100 dolar Amerika. Kita masih bertahan dengan RM1.99 seliter untuk Budi95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pagi tadi.

    Pada 6 Mac lalu, beliau dilaporkan berkata negara masih boleh mengekalkan harga petrol bersubsidi Budi95 tersebut antara satu atau dua bulan.

    Menurut beliau, kesan konflik yang berterusan di Timur Tengah terhadap ekonomi dan geopolitik serantau masih terkawal. Namun, kira-kira 200 kapal yang kini terkandas di Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada perdagangan dan ekonomi, kerana dianggarkan 20% bekalan minyak global melalui laluan tersebut.

     
     
  • Toyota Harrier 2.5 HEV 2026 di Malaysia — hibrid 217 PS kini jadi varian tunggal XU80, RM289,000 atas jalan

    Toyota Harrier 2.5 HEV 2026 di Malaysia — hibrid 217 PS kini jadi varian tunggal XU80, RM289,000 atas jalan

    Awal Mac, UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan secara rasmi model Toyota Harrier 2.5 HEV 2026 untuk pasaran Malaysia. Pengenalan versi hibrid bagi model generasi keempat XU80 ini juga kini menjadi satu-satunya varian Harrier yang ditawarkan, menggantikan varian 2.0 Luxury petrol yang mula diperkenalkan pada April 2020, sebelum diberi kemaskini pada Oktober 2022.

    Dengan peralihan kepada model hibrid ini, harga bagi Harrier 2.5 HEV 2026 juga naik hampir RM40k berbanding model 2.0 Luxury sebelum ini, dengan harga jualan RM289,000 atas jalan, belum termasuk insuran.

    Harrier versi hibrid terdiri daripada enjin petrol Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter yang menghasilkan kuasa sebanyak 178 PS pada 5,700 rpm dan tork maksimum dari 3,600 rpm hingga 5,200 rpm, serta dibantu oleh motor elektrik berkuasa 120 PS dan tork maksimum 202 Nm. Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa ini menjana sebanyak 218 PS, memberikan bacaan penggunaan bahan api yang didakwa pada kadar 4.7 liter bagi setiap 100 km.

    Toyota Harrier 2.5 HEV 2026 di Malaysia — hibrid 217 PS kini jadi varian tunggal XU80, RM289,000 atas jalan

    Menggunakan platform TNGA-K, Harrier HEV masih menampilkan konfigurasi suspensi hadapan jenis topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang. Ia juga masih dipadankan dengan set rim aloi dan tayar dengan saiz yang sama seperti varian 2.0L Luxury sebelum ini, iaitu rim 18-inci dengan tayar 225/60R18.

    Kelengkapan luaran lain yang ada termasuklah lampu hadapan bi-LED projektor automatik, lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan lampu belakang LED, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok dan lampu puddle, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan penderia kaki serta bumbung panaromik.

    Di dalam, Harrier HEV menerima perincian seperti skrin Display Audio lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto sambungan wayar, sistem audio dengan enam-pembesar suara, paparan instrumen dengan skrin 12.3-inci dan paparan head-up berwarna 10.5-inci untuk pemandu, serta sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang penghembus kabin belakang.

    Toyota Harrier 2.5 HEV 2026 di Malaysia — hibrid 217 PS kini jadi varian tunggal XU80, RM289,000 atas jalan

    Selain itu, ia juga balutan kerusi kombinasi kulit dalam kemasan hitam, tempat duduk pemandu larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, pengalir udara dan pemanas untuk semua tempat duduk, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lima port USB-C dan juga cermin pandang belakang digital.

    Untuk aspek keselamatan, Harrier HEV dilengkapi tujuh-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, bantuan mula mendaki, brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, sistem pamantau tekanan tayar, pemantau pandangan panaromik, isyarat berhenti kecemasan, sistem telematik, perakam video digital hadapan dan belakang, serta filem penapis haba dan juga keselamatan.

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) Toyota Safety Sense yang memberikan fungsi termasuk sistem pra-pelanggaran, amaran kelaur laluan, bantuan mengesan lorong, cruise control adaptif radar dinamik semua kelajuan, lampu hadapan adaptif, bantuan pengenal tanda jalan, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, notis kenderaan menghampiri, serta brek sokongan parkir hadapan dan belakang.

    Warna badan Grey Metallic ditawarkan secara standard, manakala pelanggan yang mahukan warna badan Platinum White Pearl Mica atau Precious Black perlu menambah RM800. Setiap pembelian Toyota Harrier 2.5 HEV ini dilindungi oleh jaminan selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta jaminan selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk komponen hibrid termasuk bateri hibrid, inverter dan juga kotak kawalan komputer (ECU) pengurusan kuasa.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa – pemantauan digandakan bagi elak kecurian kabel

    MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa – pemantauan digandakan bagi elak kecurian kabel

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa bagi MRT Laluan Putrajaya telah selesai sepenuhnya dan perkhidmatan tren telah kembali beroperasi seperti biasa pada pagi ini.

    “Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma yang sebelum ini disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan sepanjang tempoh gangguan turut ditamatkan,” kata syarikat terbabit.

    Gangguan perkhidmatan yang dikesan pada 3 Mac 2026 adalah berpunca daripada kejadian kecurian kabel bekalan kuasa berhampiran Stesen Damansara Damai yang telah menjejaskan ramai penumpang perkhidmatan Laluan Putrajaya.

    Sepanjang tempoh gangguan tersebut, Rapid Rail telah menempatkan hampir 180 kakitangan tambahan di stesen-stesen yang terlibat, selain menyediakan 20 buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang yang terjejas meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

    MRT Laluan Putrajaya kembali beroperasi seperti biasa – pemantauan digandakan bagi elak kecurian kabel

    “Susulan kejadian tersebut, Rapid Rail telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

    “Sebagai langkah pencegahan, pemantauan keselamatan di kawasan landasan dan fasiliti operasi turut dipertingkatkan melalui rondaan berterusan oleh pasukan Polis Bantuan bagi memastikan keselamatan infrastruktur serta kelancaran perkhidmatan,” kata Rapid Rail lagi.

    Orang ramai turut digalakkan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan atau fasiliti tren dengan menghubungi talian Khidmat Pelanggan Rapid KL di 03-7885 2585, atau pihak berkuasa terdekat.

     
     
  • JPJvBid dilancarkan – platform bidaan dalam talian baharu untuk kenderaan sitaan dan lucut hak

    JPJvBid dilancarkan – platform bidaan dalam talian baharu untuk kenderaan sitaan dan lucut hak

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah melancarkan JPJvBID, sebuah platform digital yang dibangunkan bagi mengurus proses lelongan awam kenderaan sita dan dilucuthak secara dalam talian dengan lebih telus, cekap dan sistematik.

    Aplikasi JPJvBID boleh dimuat turun mulai esok (10 Mac 2026) melalui platform Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery dengan menggunakan ID MyJPJ sedia ada atau melalui pendaftaran baharu.

    “Bagi mereka yang berminat menyertai bidaan, pembelian e-katalog akan dibuka mulai 18 Mac 2026, manakala bidaan pertama melalui aplikasi ini akan berlangsung dari 1 hingga 5 April 2026,” kata Dato’ Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah JPJ.

    JPJvBid dilancarkan – platform bidaan dalam talian baharu untuk kenderaan sitaan dan lucut hak

    Menurut laporan Malay Mail dan Business Today, JPJ Selangor akan mengendalikan lelongan perintis melibatkan 30 kenderaan yang terdiri daripada motosikal, kereta dan kenderaan lusuh. Berbeza dengan sebelum ini, pemeriksaan fizikal kenderaan tidak lagi dibenarkan dengan pengenalan JPJvBid, bermakna pembida perlu membuat keputusan hanya berdasarkan gambar serta laporan penarafan kenderaan yang disertakan pada setiap senarai.

    Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh menyemak e-katalog yang telah dibeli serta sejarah bidaan mereka. Sama seperti JPJeBid bagi nombor pendaftaran kenderaan, setiap senarai memaparkan maklumat seperti harga permulaan dan jumlah kenaikan bidaan.

    Aedy Fadly berkata pelancaran JPJvBid merupakan langkah strategik untuk meningkatkan ketelusan, kecekapan dan integriti dalam proses pelupusan kenderaan yang disita.

     
     
  • Tular video Drift di Jalan Genting Highland – polis tangkap pemandu dan sita sebuah BMW 325i

    Tular video Drift di Jalan Genting Highland – polis tangkap pemandu dan sita sebuah BMW 325i

    Polis DiRaja Malaysia Daerah Bentong, Pahang telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya telah menangkap seorang lelaki berhubung satu video aksi drfit yang dirakam dan tular di media sosial baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada 2 Mac 2026 pihak Polis IPD Bentong telah mengesan satu video klip berdurasi 14 saat yang tular di platform media sosial TikTok memaparkan sebuah BMW 325i yang dipandu secara berbahaya dengan melakukan aksi drift di selekoh jalan naik Genting Highland.

    Susulan itu, satu usaha untuk mengesan pemandu kenderaan berkenaan telah pun dijalankan bagi membantu siasatan dan akhirnya pada 6 Mac seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun telah hadir ke pejabat trafik IPD Bentong kira-kira pukul 11 pagi bersama kenderaan tersebut.

    “Suspek kemudiannya telah ditangkap dan kenderaan berkenaan turut disita bagi tindakan selanjutnya. Ujian saringan awal air kencing dijalankan terhadap suspek mendapati keputusan negatif.

    “Pihak polis telah membukan kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam kenyataan yang sama Ketua Polis Daerah Bentong Supt. Zaiham Mohd Kahar turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta tidak melakukan sebarang aksi pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

     
     
  • Siti Nurhaliza jadi pemilik pertama GWM Wey G9 PHEV

    Siti Nurhaliza jadi pemilik pertama GWM Wey G9 PHEV

    GWM Malaysia telah menyerahkan GWM WEY G9 Hi4 PHEV pertama yang dipasang secara lokal kepada biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam majlis penyerahan yang berlangsung petang semalam di GWM USJ.

    Dalam pelancaran Wey G9 pada 29 Januari lalu, Siti Nurhaliza turut diumumkan sebagai duta rasmi jenama Wey G9 sekali gus meletakkan kedudukan MPV pintar ini sebagai kenderaan yang sesuai untuk kegunaan harian seisi keluarga dan urusan profesional.

    Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, penyerahan ini membuktikan keyakinan GWM terhadap pasaran di Malaysia. “Kami berasa sungguh berbesar hati untuk menyerahkan Wey G9 Hi4 PHEV kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pemilik pertama dan duta jenama ini. Sikap profesional, penampilannya yang anggun dan keistimewaan beliau yang berjaya menambat hati peminat dari pelbagai generasi menepati kesemua aspek yang diingini oleh Wey G9 Hi4 PHEV sebagai MPV New Energy baharu yang premium.

    “Dengan ciri-ciri keselamatan, keselesaan, rekaan yang sofistikated dan teknologi pintarnya, Wey G9 Hi4 PHEV dicipta untuk pemandu yang pakar dalam menilai prestasi, menitikberatkan kecanggihan reka bentuk dan berkeyakinan dalam setiap perjalanan.”

    Siti Nurhaliza turut berkongsi kegembiraan beliau semasa menerima Wey G9 yang disifatkan sebagai detik yang begitu bermakna dan bernilai dalam kehidupannya.

    “Wey G9 Hi4 PHEV terasa begitu sempurna dalam melengkapkan kehidupan harian saya. Keselesaan, ruangnya yang luas, dan reka bentuk dalamannya menjadikan setiap perjalanan lebih tenang dan menyeronokkan. Sama ada saya menggunakannya untuk keluar bekerja, menghadiri mesyuarat, atau meluangkan masa bersama keluarga tersayang, setiap perjalanan dirasakan berjalan dengan lancar, damai, dan meyakinkan. Inilah maksud sebenar keseimbangan dan kemudahan yang amat saya hargai.”

    Hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja, MPV ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,800. Ia diberikan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Hi4 yang menggandingkan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 150 PS bermula 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 240 1,800 hingga 4,000 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/170 yang dipadankan pada kotak gear khusus hibrid DHT empat-kelajuan untuk memacu roda hadapan, serta satu lagi motor elektrik 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang.

    Wey G9 berukuran panjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda sejauh 3,085 mm. Jika dibandingkan dengan MPV mewah ikonik di Malaysia iaitu Toyota Alphard, Wey G9 ini adalah 35 mm lebih panjang, 110 mm lebih lebar, 50 mm lebih rendah, dan jarak roda 85 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun sekiranya dibandingkan dengan saingan-saingan dari China seperti Zeekr 009, Xpeng X9 dan Denza D9, Wey G9 ini adalah antara yang paling pendek kerana masing-masing mempunyai panjang melebihi 5.2 meter serta jarak roda antara 3.1 hingga 3.2 meter.

     
     
  • Malaysia boleh kekalkan harga petrol bersubsidi Budi95 pada RM1.99 seliter hingga 2 bulan – PM Anwar

    Malaysia boleh kekalkan harga petrol bersubsidi Budi95 pada RM1.99 seliter hingga 2 bulan – PM Anwar

    Malaysia mampu mengekalkan harga semasa petrol RON 95 bersubsidi pada RM1.99 seliter di bawah skim Budi Madani RON 95 (Budi95), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, laporan The Star.

    “Kami akan cuba mengawal kesan konflik Iran, termasuk terhadap RON95 yang berharga RM1.99 seliter. Kami akan memantau keadaan ini kerana setakat ini kami masih mampu mengekalkannya untuk satu atau dua bulan, jadi saya menyeru semua pihak termasuk penjawat awam, pekerja dan perniagaan supaya berwaspada terhadap situasi ini,” kata Perdana Menteri.

    Menurut beliau, kesan konflik yang berterusan di Timur Tengah terhadap ekonomi dan geopolitik serantau masih terkawal. Namun, kira-kira 200 kapal yang kini terkandas di Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada perdagangan dan ekonomi, kerana dianggarkan 20% bekalan minyak global melalui laluan tersebut.

    Awal minggu ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Malaysia akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah skim petrol bersubsidi Budi Madani RON95. Selain harga bersubsidi RON95 pada RM1.99 seliter, pelarasan harga bahan api minggu ini menyaksikan harga RON95 tanpa subsidi meningkat lapan sen kepada RM2.67 seliter, manakala harga RON97 naik 10 sen kepada RM3.25 seliter. Harga diesel Euro 5 B10 dan B20 pula meningkat lapan sen kepada RM3.12 seliter, sementara diesel Euro 5 B7, yang 20 sen lebih mahal seliter, naik kepada RM3.32 seliter

     
     
  • Pemeriksaan percuma di bengkel Caltex Havoline Autopro, serta hadiah untuk pembelian minyak enjin!

    Pemeriksaan percuma di bengkel Caltex Havoline Autopro, serta hadiah untuk pembelian minyak enjin!

    Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tak lama lagi, dan tentunya ramai antara kita yang akan melakukan perjalanan jauh balik dari Lembah Klang ke kampung halaman. Pastikan senarai semak anda untuk Raya ini tidak tertinggal satu perkara penting ini: pemeriksaan kenderaan agar perjalanan berjalan lancar nanti. Itu waktu terburuk untuk kenderaan anda berdepan sebarang masalah.

    Untuk menyelenggara serta melakukan pemeriksaaan ke atas semua sistem penting kereta anda adalah satu keperluan sebelum melakukan perjalanan jauh. Maka, ambil kesempatan untuk pemeriksaan kenderaan percuma yang ditawarkan sempena Promosi Pengguna Musim Perayaan Caltex Havoline Delo.

    Ia tersedia di bengkel-bengkel Havoline Autopro terpilih di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak pada hujung minggu pertama dan kedua bulan Mac 2026. Slot adalah terhad, dan pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu. Ia berdasarkan siapa yang mendaftar dahulu, jadi bertindak sekarang!

    Pemeriksaan percuma di bengkel Caltex Havoline Autopro, serta hadiah untuk pembelian minyak enjin!

    Sekiranya anda memilih untuk menyelenggara kereta di bengkel-bengkel Havoline Autopro ini, anda berpeluang membawa pulang kerusi perkhemahan boleh lipat percuma, atau bekas makanan silikon 700 ml dengan penutup. Semua ini sangat berguna sebagai persediaan perjalanan balik kampung!

      Kerusi perkhemahan percuma

    • Havoline Pro DS Fully Synthetic LE SAE 5W-40
    • Delo Sports Advanced Fully Synthetic SAE 5W-30
    • Delo Sports Advanced Fully Synthetic SAE 5W-40
    • Bekas makanan silikon 700 ml dengan penutup percuma

    • Havoline Synthetic Blend SAE 10W-40
    • Delo Sports Synthetic Blend SAE 15W-40

    Pemeriksaan percuma di bengkel Caltex Havoline Autopro, serta hadiah untuk pembelian minyak enjin!

    Hadiah percuma dengan pembelian ini sah sehingga 31 Mac 2026, jadi masa terbaik untuk menggabungkan kedua-dua tawaran berkenaan adalah pada hujung minggu pertama dan kedua Mac ini. Untuk maklumat lanjut dan untuk menyemak senarai bengkel Havoline Autopro yang terlibat, klik di sini. Selamat memandu!

     
     
  • Beli bateri kereta VARTA dan anda berpeluang menang GWM Haval H6 HEV serta PIN reload Touch ‘n Go

    Beli bateri kereta VARTA dan anda berpeluang menang GWM Haval H6 HEV serta PIN reload Touch ‘n Go

    Sedang mencari bateri ganti untuk kereta anda? Beli bateri kereta VARTA bermula sekarang hingga 31 Mei 2026 dan anda mungkin berpeluang untuk menang besar, dengan hadiah utama yang ditawarkan berupa sebuah GWM Haval H6 HEV.

    Ya, betul. SUV hibrid berkenaan menjadi taruhan hadiah utama dalam kempen terbaharu VARTA. Dilengkapi dengan enjin turbo dan juga sebuah motor elektrik, Haval H6 HEV menawarkan janaan sebanyak 243 PS dan 530 Nm yang sekali gus menjadi prestasi utamanya. Kelengkapan lain juga banyak, menjadikan SUV ini sangat sesuai untuk pelbagai kegunaan. Model tersebut juga datang dengan bateri VARTA, yang akan menjamin setiap permulaan perjalanan tanpa sebarang masalah.

    Bagaimana caranya untuk menang SUV ini? Anda hanya perlu membeli sebuah bateri kereta VARTA dari mana-mana bengkel, pengedar atau penjual bateri yang terlibat di seluruh negara, dan akan menerima kad gores. Ini akan membolehkan anda memenangi hadiah segera, berupa nombor pin Touch n’ Go eWallet (yang akan dihantar dalam tempoh tiga hari bekerja, selepas pengesahan).

    Beli bateri kereta VARTA dan anda berpeluang menang GWM Haval H6 HEV serta PIN reload Touch ‘n Go

    Setiap kad gores yang berdaftar juga bersamaan dengan satu penyertaan cabutan bertuah, yang melayakkan anda untuk memenangi sebuah GWM Haval H6 HEV, dengan pemenang akan dipilih melalui cabutan bertuah yang akan dilakukan pada Jun nanti. Anda juga perlu berkongsi testimoni di Facebook, menggunakan hashtag #VARTAFitsAll, dan juga tag “VARTA MY Authorised Distributor – HT Eco Battery” dalam hantaran berkenaan.

    Tidak kira model yang mana, bateri VARTA menawarkan kuasa dan ketahanan, dengan jenama yang juga sudah mempunyai rekod terbukti, yang telah menawarkan 100 tahun inovasi bateri sejak permulaannya di Jerman pada 1887. Jika membeli bateri VARTA, anda boleh meyakini tahap kualiti OE-nya, memandangkan jenama ini juga merupakan pembekal bateri kepada jenama-jenama premium seperti BMW dan MINI.

    Kelebihan utama bateri kereta VARTA ialah penggunaan PowerFrame Technology, sebuah rekaan grid yang dipatenkan untuk memperbaiki aliran elektrik dan ketahanannya, serta prestasi konsisten dan berkuasa dalam keadaan yang mencabar serta jangka hayat bateri yang panjang. Tidak ketinggalan, bateri VARTA turut menawarkan nilai untuk wang yang dibelanjakan, dengan memberikan prestasi premium pada harga yang terjangkau.

    Beli bateri kereta VARTA dan anda berpeluang menang GWM Haval H6 HEV serta PIN reload Touch ‘n Go

    Ada bateri VARTA untuk semua jenis kenderaan anda, sama ada untuk sedan, SUV, MPV atau trak pikap, dan semuanya serasi untuk model kenderaan baik dari pengeluar Continental, Jepun dan tempatan lainnya. Anda akan mendapatkan bateri yang sesuai untuk kenderaan dari penawaran yang tersedia, sama ada dari barisan produk Silver Dynamic AGM (paling tinggi, ciri start-stop), Blue Dynamic EFB (tahap pertengahan, ciri start-stop) atau Silver/Blue/Black Dynamic (biasa, SLI).

    Jadi, jika anda ingin menggantikan bateri kenderaan dalam masa terdekat, pastikan ia sebuah VARTA — dengannya anda akan mendapatkan sebuah bateri yang boleh diharap dan tahan lama. Paling penting, anda juga berpeluang memenangi sebuah GWM Haval H6 HEV. Ketahui lebih lanjut tentang bateri VARTA dan cari lokasi pengedar VARTA berdekatan anda melalui laman Facebook rasmi (VARTA MY Authorised Distributor – HT Eco Battery) atau di Instagram.

     
     
  • Honda akan eksport Acura Integra Type S dan Honda Passport dari Amerika Syarikat ke Jepun tahun ini

    Honda akan eksport Acura Integra Type S dan Honda Passport dari Amerika Syarikat ke Jepun tahun ini

    Dengan perjanjian antara kerajaan Amerika Syarikat dan kerajaan Jepun yang memudahkan sistem pensijilan bagi import-silang kenderaan kedua-dua negara, Honda mengumumkan bakal mengeksport beberapa kenderaannya yang dibangunkan dan diproduksi di Amerika Syarikat ke Jepun bermula separa kedua tahun ini, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang lebih luas di negara asal jenama itu.

    Dua model yang dipilih untuk tujuan ini iaitu Acura Integra Type S dan juga SUV Honda Passport Trailsport Elite. Kedua-dua model ini diproduksi di kilang Honda Development & Manufacturing of America, LLC (HDMA), dan sebelum ini telah pun dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026 dan Osaka Auto Messe 2026 untuk dipertontonkan kepada orang awam.

    Honda akan eksport Acura Integra Type S dan Honda Passport dari Amerika Syarikat ke Jepun tahun ini

    Acura Integra Type S dilancarkan di pasaran Amerika Syarikat pada April 2023, merupakan varian paling berkuasa berbanding versi asas yang muncul setahun sebelum itu. Secara asasnya Integra generasi baharu ini dibangunkan menggunakan platform yang sama dengan Honda Civic generasi ke-11, manakala versi Type S ini berkongsi kelengkapan casis, suspensi serta enjin K20C DOHC VTEC Turbo berkuasa 320 hp/420 Nm dan kotak gear manual enam-kelajuan yang sama dengan Honda Civic Type R FL5.

    Manakala Honda Passport merupakan SUV yang lebih besar dari CR-V dibangunkan khas untuk pasaran Amerika Utara, serta mempunyai kebolehan meredah laluan off-road sebenar. Ia digerakkan dengan enjin V6 3.5 liter berkuasa 285 hp dan tork maksima 355 Nm, digandingkan bersama transmisi automatik 10 kelajuan sistem pacuan semua roda i-VTM4 dengan torque vectoring yang dapat mengagihkan tork dengan lebih tepat. Varian Trailsport Elite yang dibawa ke Jepun ini merupakan varian tertinggi yang diberikan kebolehan off-road lebih baik.

     
     
  • BMW i3 2027 dalam teaser – akan didedah 18 Mac ini, EV NA0 3 Series 800V, kuasa sehingga 469 PS, 645 Nm

    BMW i3 2027 dalam teaser – akan didedah 18 Mac ini, EV NA0 3 Series 800V, kuasa sehingga 469 PS, 645 Nm

    Selepas diperkenalkan melalui beberapa konsep Vision sejak tahun 2023, model elektrik baharu BMW i3 “Neue Klasse” akhirnya dijadualkan membuat kemunculan rasmi pada 18 Mac. Model ini bukan pengganti kepada kereta bandar i3 yang pernah diperkenalkan sebelum ini, sebaliknya merupakan versi elektrik bagi sedan ikonik 3 Series, sekali gus menjadikannya antara model paling penting dalam sejarah moden BMW.

    Sebagai gambaran awal kepada model yang dianggap sebagai langkah besar bagi jenama tersebut, BMW telah menyiarkan imej teaser ringkas yang memperlihatkan rekaan lampu hadapan yang tersendiri. Seperti SUV elektrik iX3 generasi baru, model ini menampilkan gril berkembar “double kidney” yang besar dan memanjang merentasi bahagian hadapan, dengan bentuk yang menirus di hujung kiri dan kanan. Reka bentuk tersebut menempatkan empat unit lampu hadapan bersama lampu siang (DRL) berbentuk garisan serong yang memberi identiti visual baru kepada model ini.

    Berbeza dengan iX3, i3 tidak dilengkapi elemen gril menegak yang diinspirasikan daripada model asal Neue Klasse pada era 1960-an. Sebagai alternatif, BMW menggunakan jalur lampu yang diterangi di antara lampu hadapan bagi mengekalkan identiti gril “kidney” klasik jenama tersebut. Pendekatan ini dijangka dapat menenangkan peminat BMW yang sebelum ini agak skeptikal dengan reka bentuk radikal pada konsep i Vision Dee dan Vision Neue Klasse.

    BMW i3 2027 dalam teaser – akan didedah 18 Mac ini, EV NA0 3 Series 800V, kuasa sehingga 469 PS, 645 Nm

    Selain imej teaser, BMW turut berkongsi beberapa gambar prototaip i3 yang sedang menjalani ujian musim sejuk. Walaupun masih diselubungi pelekat penyamaran, imej tersebut memberikan gambaran awal tentang reka bentuk keseluruhan kereta ini.

    Dengan peralihan kepada sistem elektrik sepenuhnya, bahagian hadapan kini lebih pendek berbanding model enjin pembakaran dalaman. Bonet hadapan pula direka agak tinggi bagi menempatkan sistem paparan unjuran BMW Panoramic Vision di dalam kabin.

    Dari bahagian sisi ke belakang, reka bentuknya masih mengekalkan bayangan sedan yang sinonim dengan 3 Series, termasuk bahagian tingkap yang agak tegak serta petunjuk kepada elemen reka bentuk Hofmeister kink yang menjadi identiti BMW.

    BMW i3 2027 dalam teaser – akan didedah 18 Mac ini, EV NA0 3 Series 800V, kuasa sehingga 469 PS, 645 Nm

    Selari dengan bahasa reka bentuk minimalis baru jenama itu, bahagian sisi kenderaan ini menampilkan garis bahu yang lebih ringkas bersama pemegang pintu jenis tersembunyi yang akan terkeluar apabila digunakan.

    Di bahagian belakang, ruang nombor pendaftaran dipasang pada penutup but dan bukannya pada bampar seperti pada iX3. Ia terletak di bawah lampu belakang nipis berbentuk huruf L yang memberikan penampilan moden dan kemas.

    BMW turut mendedahkan beberapa maklumat awal mengenai model ini yang menggunakan kod pembangunan NA0 dan dijangka mula memasuki fasa pengeluaran pada separuh kedua tahun ini. Ketika pelancaran, ia akan ditawarkan dalam varian pacuan semua roda i3 50 xDrive dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa gabungan sekitar 469 PS (345 kW) dan tork 645 Nm.

    BMW i3 2027 dalam teaser – akan didedah 18 Mac ini, EV NA0 3 Series 800V, kuasa sehingga 469 PS, 645 Nm

    Menurut laporan Car Magazine yang berpeluang menguji model ini di kawasan Artik berhampiran Arjeplog, Sweden, varian tertinggi i3 dijangka menggunakan bateri NMC berkapasiti 108 kWh yang sama seperti pada iX3. Dengan berat yang dijangka lebih ringan serta reka bentuk aerodinamik yang lebih baik berbanding SUV tersebut, i3 berpotensi menawarkan jarak pemanduan yang melebihi 805 km berdasarkan standard WLTP.

    Seperti iX3, i3 turut dibina menggunakan seni bina elektrik 800 volt yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW. Dengan teknologi ini, baterinya dijangka mampu dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 21 minit sahaja.

    Selain versi standard, BMW juga sedang membangunkan varian berprestasi tinggi daripada model ini. Versi tersebut sebelum ini diberikan bayangan melalui konsep Vision Driving Experience, menandakan bahawa model elektrik berprestasi tinggi daripada bahagian BMW M juga bakal menyertai barisan i3 pada masa hadapan.

     
     
  • Zontes 368 V2 diperkenal dalam empat varian – harga bermula RM23,800, lebih canggih dan dipertingkat

    Zontes 368 V2 diperkenal dalam empat varian – harga bermula RM23,800, lebih canggih dan dipertingkat

    Barisan skuter Zontes 368 V2 kini rasmi dilancarkan di Malaysia dalam empat varian, dengan harga bermula daripada RM23,800. Empat model yang ditawarkan ialah 368D (RM23,800), 368E (RM25,800), 368G (RM28,800) dan model terbaru dalam keluarga tersebut iaitu 368K (RM27,800).

    Rangkaian skuter Zontes 368 dibawa masuk ke pasaran tempatan oleh Eurotech Wheel Distribution. Sebelum ini, model 368D dan 368E pernah dipertontonkan kepada umum ketika Malaysia Autoshow 2025, namun pelancarannya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada versi V2 yang kini hadir dengan pelbagai penambahbaikan.

    Keempat-empat model ini menggunakan enjin yang sama, tetapi dibezakan melalui gaya rekaan serta karakter tunggangan bagi memenuhi cita rasa dan keperluan penunggang yang berbeza.

    Zontes 368 V2 diperkenal dalam empat varian – harga bermula RM23,800, lebih canggih dan dipertingkat

    Kuasa bagi Zontes 368 V2 dijana oleh enjin satu silinder SOHC bersesaran 368 cc dengan penyejukan cecair. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik Bosch dan menghasilkan 38.2 hp pada 7,500 rpm serta 40 Nm tork pada 6,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi CVT bersama sistem pemacu tali sawat.

    Menurut Zontes, empat model dalam siri ini disasarkan kepada gaya tunggangan yang berbeza di bawah konsep pemasaran yang dinamakan “Geng4Ride”. Model 368D disasarkan kepada kumpulan “Geng Stylo”, manakala 368E untuk “Geng Konvoi”. Sementara itu, 368G pula ditujukan kepada “Geng Explorer” dan 368K kepada “Geng Healing”, masing-masing menggambarkan karakter dan tujuan penggunaan skuter tersebut.

    Dari segi peningkatan bagi versi V2, antara yang paling ketara ialah kehadiran sistem cruise control sebagai ciri standard untuk semua model. Fungsi ini dapat dipasang hasil penggunaan sistem pendikit elektronik ride-by-wire bersama kawalan pendikit Bosch. Turut disertakan sebagai kelengkapan standard ialah sistem pemantauan tekanan angin tayar, kawalan cengkaman, serta sistem brek ABS dua saluran.

    Selain itu, skuter ini turut menyokong sambungan Bluetooth antara telefon pintar penunggang dengan aplikasi Zontes SmartApp 3.0. Bagi meningkatkan keselesaan tunggangan, model 368D, 368E dan 368K turut dilengkapi penghadang angin larasan elektrik.

    Sistem brek untuk semua model menggunakan cakera tunggal di bahagian hadapan dan belakang, dengan angkup empat piston di hadapan serta satu piston di belakang. Suspensi pula terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) boleh laras di hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang. Turut disertakan ialah brek parkir sebagai ciri standard.

    Model pertama dalam barisan ini ialah Zontes 368D, yang juga merupakan model paling ringan dan paling mampu milik dalam siri tersebut. Ia mempunyai berat sekitar 175 kg serta tangki bahan api berkapasiti 12 liter, menjadikannya kira-kira 25 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya.

    Zontes 368 V2 diperkenal dalam empat varian – harga bermula RM23,800, lebih canggih dan dipertingkat

    Ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 20 liter disediakan, bersama dua ruang simpanan kecil di bahagian hadapan. Model ini ditawarkan dalam pilihan warna Grey, Black dan Green.

    Zontes 368D menggunakan roda bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, dipadankan dengan tayar bersaiz 120/50 dan 140/70. Ia turut dilengkapi pemanas pemegang serta dua mod tunggangan iaitu Touring dan Sport. Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi panel instrumen TFT HD berwarna bersaiz 4.75 inci, selain turut dilengkapi kamera papan pemuka hadapan.

    Model seterusnya ialah Zontes 368E yang direka khusus untuk perjalanan jarak jauh. Bagi meningkatkan keselesaan, model ini hadir dengan pemanas pemegang dan tempat duduk. Ruang papan kaki yang luas, sekitar 260 mm, membolehkan pelbagai posisi kaki ketika menunggang. Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Grey dan Black.

    Zontes 368 V2 diperkenal dalam empat varian – harga bermula RM23,800, lebih canggih dan dipertingkat

    Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan berkapasiti 50 liter yang cukup besar untuk memuatkan dua helmet jenis full-face. Bahagian rak belakang pula sedia untuk dipasang kotak simpanan tambahan bersama plat pemasangan. Berat keseluruhan model ini ialah 186 kg dengan tangki bahan api berkapasiti 17 liter, manakala sistem brek hadapan menggunakan komponen daripada J.Juan.

    Bagi penunggang yang gemarkan pengembaraan, Zontes menawarkan model 368G yang merupakan model paling laris dalam siri 368 sejak diperkenalkan pada Januari 2025. Skuter ini menampilkan gaya seakan skuter pengembaraan dan didatangkan secara standard dengan lampu tambahan serta bar pelindung badan (crash guard).

    Cermin penghadang angin bagi 368G boleh dilaraskan secara manual. Model ini juga menawarkan dua pilihan tempat duduk, iaitu versi standard dengan ketinggian tempat duduk 770 mm dan jarak kelegaan tanah 155 mm, serta versi tinggi dengan ketinggian tempat duduk 795 mm dan jarak kelegaan tanah 180 mm yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Tangki bahan api berkapasiti 17.5 liter disediakan, manakala ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 52 liter.

    Zontes 368 V2 diperkenal dalam empat varian – harga bermula RM23,800, lebih canggih dan dipertingkat

    Melengkapkan barisan ini ialah Zontes 368K yang direka untuk perjalanan jarak jauh dengan tahap keselesaan lebih tinggi. Model ini hanya ditawarkan dalam warna Grey dan mempunyai badan yang sedikit lebih panjang berbanding model lain dalam siri 368. Dengan berat sekitar 186 kg, ia direka untuk memberikan kestabilan ketika menunggang pada kelajuan lebuh raya.

    Ruang simpanan bawah tempat duduknya berkapasiti 50 liter dan mampu memuatkan dua helmet full-face. Maklumat tunggangan dipaparkan melalui skrin TFT-LKCD bersaiz 6.75 inci. Antara ciri lain yang disediakan termasuk cermin penghadang angin elektrik boleh laras, rak barangan belakang magnesium yang sedia dipasang kotak tambahan, kamera hadapan dan belakang serta lampu utama LED projektor dengan fungsi pengesanan automatik.


     
     
  • Volkswagen Golf Mk9 dalam teaser – hatchback generasi seterusnya akan ada pilihan ICE dan elektrik

    Volkswagen Golf Mk9 dalam teaser – hatchback generasi seterusnya akan ada pilihan ICE dan elektrik

    Satu imej teaser bagi Volkswagen Golf generasi baru telah didedahkan oleh kesatuan pekerja Jerman, IG Metall, seperti dilaporkan oleh Autocar. Imej tersebut dipercayai merupakan gambaran rasmi pertama bagi hatchback generasi kesembilan model ikonik itu.

    Imej berkenaan ditunjukkan ketika satu mesyuarat di mana Volkswagen menegaskan komitmennya untuk terus mengekalkan pengeluaran Golf di kilang Wolfsburg, lokasi yang secara tradisinya menjadi pusat pengeluaran model tersebut sejak sekian lama.

    Menurut laporan, Golf generasi baru ini dijangka membuat kemunculan rasmi pada tahun 2028 dan akan ditawarkan dengan dua jenis rangkaian kuasa iaitu enjin pembakaran dalaman serta versi elektrik sepenuhnya.

    Berdasarkan imej teaser yang dikongsi, hatchback itu kelihatan mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding Golf generasi semasa, Mk8. Perkara ini memberi petunjuk bahawa imej tersebut mungkin merujuk kepada versi elektrik. Jarak roda yang lebih panjang itu juga dikatakan merupakan salah satu ciri seni bina platform SSP yang bakal menjadi asas kepada Golf generasi baru.

    Ketua reka bentuk Volkswagen Group, Andreas Mindt, sebelum ini menyatakan bahawa reka bentuk akhir Golf generasi seterusnya akan mengambil inspirasi daripada beberapa model konsep seperti ID. Polo dan ID. Cross, selain mengekalkan elemen daripada generasi Golf terdahulu.

    Mindt turut menyebut Golf generasi ketujuh sebagai rujukan penting dalam pembangunan model baru ini. Menurutnya, Mk7 dianggap sebagai sebuah karya reka bentuk yang hampir sempurna kerana berjaya menggabungkan elemen terbaik daripada sejarah model Golf, namun masih tampil dengan identiti yang segar.

    Volkswagen Golf Mk9 dalam teaser – hatchback generasi seterusnya akan ada pilihan ICE dan elektrik

    Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa semua model Volkswagen pada masa hadapan akan mengekalkan butang kawalan fizikal bagi fungsi utama seperti sistem penyaman udara dan kawalan kelantangan audio.

    Bagi Golf generasi kesembilan, versi elektrik dijangka menggunakan sistem elektrik berasaskan seni bina 800 volt bersama teknologi bateri yang lebih maju. Gabungan ini dijangka mampu menawarkan peningkatan dari segi jarak pemanduan serta kelajuan pengecasan berbanding model elektrik Volkswagen sedia ada.

    Sementara itu, varian dengan enjin pembakaran dalaman pula akan menjadi versi yang dinaik taraf secara menyeluruh daripada Golf generasi kelapan. Versi elektrik model ini juga dilaporkan bakal menggunakan nama ID Golf.

     
     
  • Mitsubishi Triton Championship Edition kini di Malaysia; Athlete & Premium AT, rai jentera rali AXCR

    Mitsubishi Triton Championship Edition kini di Malaysia; Athlete & Premium AT, rai jentera rali AXCR

    Mitsubishi Triton Athlete Championship Edition

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini memperkenalkan model edisi terhad Mitsubishi Triton Championship Edition yang dihasilkan bagi meraikan kemenangan kedua trak pikap berkenaan dalam rali rentas negara Asia Cross Country Rally (AXCR) edisi tahun lalu.

    Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Triton Athlete Championship Edition yang hanya akan dihasilkan sebanyak 150 unit dan juga Triton AT Premium Championship Edition yang dibuat hanya sebanyak 120 unit.

    Bagi Triton Athlete Championship Edition, ia hanya ditawarkan dalam warna badan Jet Black Mica, serta datang standard dengan tayar All-Terrain Yokohama Geolander A/T4 yang didakwa “bukan sahaja menaikkan rupa yang berotot malah turut memberikan cengkaman lebih dan keyakinan lebih baik dalam pelbagai keadaan pemanduan”.

    Mitsubishi Triton Championship Edition kini di Malaysia; Athlete & Premium AT, rai jentera rali AXCR

    Mitsubishi Triton Premium AT Championship Edition

    Manakala bagi Triton Athlete Championship Edition ia hanya hadir dengan warna badan White Diamond bersama beberapa perincian luaran unik yang lain. Antaranya adalah rim aloi Enkei Trail Cross berdiameter 18-inci, beberapa perincian sama seperti varian Athlete termasuk Sports Bar dan juga kemasan skid plate bawah bampar hadapan.

    Kedua-dua varian Championship Edition ini juga diberikan pelekat-pelakat badan pada bahagian bawah pintu, panel bed belakang serta pintu tailgate belakang yang diinspirasikan dari grafik sayap perlumbaan Mitsubishi Ralliart. Pelekat ‘AXCR Champion’ juga dilekatkan pada pintu tailgate belakang.

    Untuk sebelah dalam, kedua-dua varian hadir dengan sulaman ‘AXCR Champion’ diberikan pada perehat kepala, manakala Triton Athlete diberikan skrin sesentuh sistem infotaimen bersaiz sembilan-inci bersama paparan dari kamera pemantau sekeliling.

    Bagi lain-lain perincian, kelengkapan yang dipadankan pada kedua-dua Triton Championship Editon ini masih sama seperti varian Athlete dan Premium AT biasa. Unit rangkaian kuasa juga sama di mana kedua-duanya menerima enjin 4N16 2.4 liter turbodiesel, tetapi menampilkan talaan yang berbeza.

    Triton Athlete dipadankan dengan sistem turbo dua-peringkat bagi menghasilkan kuasa 205 PS dan tork maksima 470 Nm, manakala Triton Premium AT pula dibekalkan dengan kuasa 184 PS dan tork makisma 430 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Selain dari kuasa, kedua-dua varian ini juga menerima sistem pacuan empat roda yang berbeza. Bagi Triton Athlete ia diberikan sistem Super Select 4WD-II manakala Triton Premium AT pula diberikan sistem Easy Select 4WD. Kedua-dua sistem ini membolehkan pacuan roda belakang (2WD) dan pacuan empat roda (4WD) diubah dengan mudah menggunakan tombol pemilih pada konsol tengah, namun bagi sistem Super Select 4WD-II diberikan kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik.

    Antaranya sistem Super Select 4WD-II ini menawarkan pilihan 4HLc (pacuan empat roda sepenuhnya masa dengan differential tengah yang dikunci), 4LLc (differential tengah dikunci dan menggunakan gear rendah), mod-mod pemanduan termasuk Eco, Gravel, Snow, Mud dan Sand yang akan memberikan tetapan agihan tork mengikut situasi, dan juga sistem Active Yaw Controller (AYC) yang membuat agihan tork antara tayar kiri dan kanan hadapan ketika mengambil selekoh bagi memberikan cengkaman dan dinamik pemanduan yang lebih baik.

    Triton Athlete juga diberikan sistem bantuan pemanduan Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS) yang menampilkan fungsi-fungsi seperti Sistem Pengelak Pelanggaran Hadapan(FCM), Amaran Keluar Lorong (LDW), cruise control adatif (ACC), amaran titik buta dengan bantuan tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan lain-lain.

    Mitsubishi Triton Athlete Championship Edition dan juga Triton AT Premium Championship Edition ini akan mula dijual bermula 11 Mac ini. Ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM169,980 untuk Triton Athlete Championship Edition dan RM155,980 untuk Triton AT Premium Championship Edition.

    Sempena pelancaran kedua-dua model edisi terhad ini, MMM turut menawarkan pelindung kunci eksklusif yang disertakan bersama tag Ralliart, dan juga pek pelekat sukan bermotor istimewa.

    Mitsubishi Triton Athlete Championship Edition

    Mitsubishi Triton Premium AT Championship Edition

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026