Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz GLA200, GLA250 Nightfall Edition 2026 diperkenal di Malaysia – AMG Line, bermula RM259k

    Mercedes-Benz GLA200, GLA250 Nightfall Edition 2026 diperkenal di Malaysia – AMG Line, bermula RM259k

    Mercedes-Benz Malaysia MBM) hari ini memperkenalkan Mercedes-Benz GLA200 dan GLA250 dalam versi Nightfall Edition 2026, yang menyuntik sedikit kesegaran bagi model generasi H247 itu yang telah berada dalam pasaran tempatan sejak 2020. Kedua-duanya diberikan beberapa tingkat taraf kelengkapan, namun masih mengekalkan harga RM258,888 untuk GLA200 Nightfall Edition dan RM295,888 bagi GLA250 Nightfall Edition.

    Harga-harga yang dinyatakan ini adakah harga atas jalan tanpa insuran. Setiap pembelian model-model ini juga dilindungi oleh waranti pengeluar selama empat-tahun tanpa had perbatuan.

    Pada bahagian luaran, kini kedua-dua GLA200 dan GLA250 Nightfall Edition ini diberikan kit penggayaan AMG Line, yang sebelum ini hanya diberikan pada GLA250. Pakej tersebut meliputi bampar hadapan yang kelihatan lebih agresif, panel bawah bampar belakang yang kelihatan seperti diffuser dan juga set brek sport dengan cakera yang ditebuk.

    Mercedes-Benz GLA200, GLA250 Nightfall Edition 2026 diperkenal di Malaysia – AMG Line, bermula RM259k

    Untuk lampu hadapan, GLA200 masih kekal dengan reflektor LED, manakala GLA250 pula menerima lampu LED projektor matrix Multibeam. Untuk set roda pula GLA200 Nightfall Edition menerima rim aloi 19-inci AMG yang sebelum ini dipadankan pada GLA250 AMG Line, manakala GLA250 Nightfall Edition pula dipertingkat dengan rim aloi AMG 20-inci.

    Selain itu kedua-dua GLA Nightfall Edition ini menerima pakej Night secara standard, dengan diberikan kemasan hitam berkilat bar pada gril, lip spoiler hadapan, skirt sisi, panel sisi bawah bampar belakang, cermin sisi, rel bumbung dan juga pada tip ekzos.

    Pada bahagian kabin, GLA200 Nightfall menerima tingkat taraf kelengkapan bagi menjadikan ia sama seperti GLA250. Ini termasuk diberikan upholsteri kulit sintetik dan gentian mikro Artico, roda stereng AMG balutan kulit Nappa, tempat duduk sport, perapi-perapi brushed aluminium, pedal aloi dan pelapik bumbung berwarna hitam.

    Kedua-dua varian ini juga diberikan sistem pendingin hawa dua zon Thermotronic bersama liang penghembus kabin belakang dan juga kamera 360-darjah.

    Lain-lain kelengkapan masih lagi sama dengan varian biasa di mana GLA200 dan GLA250 ini diberikan skrin berkembar 10.25-inci untuk sistem infotianmen MBUX, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, lampu suasana kabin 64-warna, park assist dan juga pintu tailgate bantuan kuasa bersama fungsi buka tanpa sentuhan.

    Semua perincian keselamatan turut dibawa ke Nightfall Edition ini di mana GLA200 dan GLA250 dilengkapkan dengan tujuh-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, brek kecemasan automatik, pemantau titik buta, amaran buka pintu, pemantau perhatian pemandu dan lampu tinggi automatik.

    Mercedes-Benz GLA200, GLA250 Nightfall Edition 2026 diperkenal di Malaysia – AMG Line, bermula RM259k

    Manakala bagi GLA250, ia ditambah dengan lampu tinggi automatik adaptif. Komponen bagi sistem cruise control adaptif Distronic juga sudah dilengkapkan, namun pemilik perlu mengaktifkannya kemudian menerusi skim langganan dengan bayaran lebih.

    Tiada sebarang kemaskini dibuat untuk unit rangkaian kuasa. Mercedes-Benz GLA200 Nighfall Edition menerima enjin petrol M282 1.3 liter empat silinder dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 163 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 2,000 rpm hingga 3,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan dari Getrag untuk memacu roda hadapan.

    Manakala bagi Mercedes-Benz GLA250 Nightfall Edition pula, ia digerakkan dengan enjin petrol M260 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 224 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan sistem hibrid ringkas yang terdiri dari stater-generator pacuan tali sawat (BSG) 48-volt yang membekalkan kuasa tambahan 14 PS/150 Nm ketika memecut, dan juga kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Mercedes-Benz GLA200 Nightfall Edition 2026

    Mercedes-Benz GLA250 Nightfall Edition 2026

     
     
  • Honda X-ADV pasaran M’sia dapat warna baru – RM71k

    Honda X-ADV pasaran M’sia dapat warna baru – RM71k

    Skuter gaya adventure Honda X-ADV bagi tahun 2026 tampil dengan kemas kini warna untuk pasaran Malaysia. Harga jualan cadangan yang dikeluarkan oleh Boon Siew Honda adalah bermula daripada RM70,999, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Dua pilihan warna baru iaitu Matte Deep Mud Grey dan Graphite Black ditawarkan pada harga RM70,999, manakala warna Matte Pearl Glare White diletakkan pada harga RM71,999. Selain pilihan warna ini, tiada perubahan dibuat dari segi spesifikasi teknikal atau kelengkapan.

    Kuasa masih dijana oleh enjin dua silinder selari berkapasiti 745 cc dengan sistem penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT). Enjin ini menghasilkan 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm tork pada 4,750 rpm, serta mematuhi piawaian emisi Euro 5.

    Sistem DCT Honda menawarkan lima tahap tetapan. Tahap 1 memberikan karakter paling santai, manakala Tahap 4 menukar gear pada rpm lebih tinggi serta melakukan penurunan gear lebih awal untuk kesan brek enjin yang lebih ketara.

    Tahap 2 disepadukan dengan mod tunggangan Standard, sementara Tahap 3 berada di antara Standard dan Sport. Respons pendikit turut diperhalusi untuk memudahkan pergerakan dari keadaan pegun dan kawalan pada kelajuan rendah di bawah 10 km/j, khususnya ketika membuat pusingan U.

    Berat keseluruhan X-ADV disenaraikan pada 236 kg termasuk 13.2 liter bahan api di dalam tangki. Ketinggian tempat duduk standard ialah 820 mm dengan reka bentuk yang direndahkan di bahagian sisi untuk memudahkan kaki mencecah tanah. Pilihan tempat duduk tinggi pada 920 mm turut disediakan.

    Honda X-ADV pasaran M’sia dapat warna baru – RM71k

    Dari segi kemudahan, model ini dilengkapi sistem Smart Key Honda, ruang simpanan di bahagian hadapan, ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 22 liter serta soket pengecas USB-C. Lampu isyarat juga berfungsi sebagai lampu nyalaan siang (DRL) dan dilengkapi ciri pembatalan automatik yang beroperasi berdasarkan perbezaan kelajuan roda hadapan dan belakang ketika membelok, bukan sekadar pemasa.

    Empat mod tunggangan ditawarkan iaitu Standard, Sport, Rain dan Gravel, bersama satu mod User yang membolehkan penunggang melaras penghantaran kuasa, tahap brek enjin, ABS dan kawalan cengkaman. Sistem kawalan cengkaman mempunyai tiga tahap intervensi serta pilihan untuk dimatikan sepenuhnya. Tahap 1 membenarkan sedikit gelinciran roda belakang manakala Tahap 3 memberikan kawalan maksimum di permukaan licin.

    Sistem brek ABS dua saluran adalah standard, dengan cakera berkembar 296 mm dan angkup empat piston di hadapan, serta cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. Suspensi menggunakan fork jenis USD di hadapan dan monoshock di belakang, melengkapkan pakej skuter pengembaraan serba moden.

     
     
  • Proton Saga MPV dibayangkan melalui lukisan digital

    Proton Saga MPV dibayangkan melalui lukisan digital

    Pelancaran Proton Saga MC3 pada November lalu bukan sahaja membawa kemas kini kepada sedan segmen A popular itu, malah membuka laluan kepada beberapa model baru yang bakal dibangunkan berasaskan platform Advanced Modular Architecture (AMA). Di bawah pelan ini, tiga kod nama telah didedahkan iaitu AMA02, AMA05 dan AMA06.

    Sebelum ini, Proton memaklumkan bahawa dua daripada model berkenaan ialah SUV, manakala satu lagi merupakan MPV. Platform AMA yang bersifat modular membolehkan jarak roda dan lebar trek dilanjutkan sehingga 290 mm, sekaligus memberi fleksibiliti untuk membangunkan pelbagai jenis kenderaan daripada asas yang sama.

    Pereka digital automotif, Theophilus Chin, kini tampil dengan gambaran awal bagaimana rupa MPV berasaskan Saga ini. Sebelum ini beliau turut menghasilkan interpretasi “Saga Cross”. Untuk versi MPV ini, nama “Ersaga” digunakan pada plat nombor, dipercayai gabungan nama Ertiga dan Saga.

    Proton Saga MPV dibayangkan melalui lukisan digital

    Rekaan yang dihasilkan mengambil bentuk asas Suzuki Ertiga generasi kedua, model MPV yang sebelum ini turut dijenamakan semula sebagai Proton Ertiga untuk pasaran tempatan. Theo kemudian menggabungkan elemen wajah hadapan Saga MC3 termasuk gril, lampu utama dan bampar hadapan, selain penggunaan rim yang sama seperti sedan tersebut.

    Di bahagian belakang, jalur lampu penuh melintang milik Saga MC3 disesuaikan pada badan MPV ini, bersama kemasan hitam pada bahagian bawah bampar yang menampilkan elemen seakan diffuser. Oleh kerana grafik lampu Saga berbeza daripada rekaan asal Ertiga yang memanjang ke D-pillar, garis bawah cermin belakang turut diratakan bagi memberikan padanan visual yang lebih kemas.

    Dari segi rangkaian kuasa, Proton sebelum ini mendedahkan bahawa salah satu SUV berasaskan AMA serta MPV ini akan menggunakan enjin DHE (Dedicated Hybrid Engine) versi NA dengan port injection daripada keluarga enjin i-GT. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi “DHT120”, yang membayangkan tahap kuasa lebih rendah berbanding model plug-in hybrid seperti Proton eMas 7.

    Buat masa ini, semua imej yang beredar hanyalah gambaran tidak rasmi. Namun dengan fleksibiliti platform AMA dan perancangan produk baru Proton, tidak mustahil MPV kompak berasaskan Saga bakal menjadi realiti dalam masa terdekat.

     
     
  • Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k

    Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k

    Honda Malaysia hari ini memperkenalkan versi kemaskini untuk CR-V generasi ke-enam untuk pasaran tempatan, yang bukan sahaja menampilkan beberapa perubahan perincian, malah barisan variannya juga telah dirombak.

    Bagi model 2026 ini, CR-V paling asas di Malaysia adalah dari versi hibrid iaitu varian e:HEV E yang dijual pada harga RM178,200. Ia diikuti satu-satunya varian dengan enjin petrol penuh iaitu CR-V V 1.5L Turbo berharga RM181,900 dan varian tertinggi pula adalah e:HEV RS berharga RM195,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Ini bermakna penawaran varian bagi CR-V pasaran Malaysia ini telah dikecilkan dari empat kepada hanya tiga kerana varian asas sebelum ini iaitu Honda CR-V S 1.5L Turbo (berharga RM159,900) telah digugurkan, manakala varian E sebelum ini yang dijana oleh enjin petrol penuh digantikan dengan unit rangkaian kuasa hibrid.

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana varian-varian e:HEV yang digerakkan oleh sistem hibrid menerima unit rangkaian kuasa Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) menampilkan enjin petrol 2.0L NA kitaran Atkison berkuasa 148 PS/190 Nm yang dalam kebanyakkan masa bertindak sebagai generator, manakala roda hadapan dipacu oleh motor elektrik berkuasa 184 PS/335 Nm.

    Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k

    Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu contohnya cruising pada kelajuan tinggi di lebuhraya, enjin petrol turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar bagi memberikan kecekapan yang lebih baik, menerusi klac lock-up di dalam transmisi e-CVT yang diberikan.

    Manakala varian yang digerakkan oleh enjin petrol penuh pula kekal menerima enjin L15BE 1.5L DOHC turbo empat silinder yang menghasilkan kuasa 193 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 243 Nm bermula 1,700-5,000 rpm, digandingkan bersama kotak gear CVT seperti sebelum ini.

    Bagi varian dengan enjin turbo, ia dipadankan dengan set rim aloi 18-inci dalam kemasan Sparkle Silver, manakala varian-varian hibrid pula diberikan rim aloi dengan saiz sama tetapi dalam kemasan Berlina Black. Honda Malaysia menawarkan warna badan baharu iaitu Blazing Red Pearl, dan semua varian CR-V 2026 ini diberikan filem penapis haba Ecotint yang diperakui oleh Honda sebagai perincian standard.

    Honda CR-V 2026 pasaran Malaysia dilancarkan – varian asas kini hibrid e:HEV E, bermula RM178k

    Pada bahagian kabin pula, semua varian CR-V kini diberikan skrin Advanced Display Audio 9.0-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto hubungan tanpa wayar, serta servis-servis Google Audio bina dalam yang menawarkan fungsi seperti Google Assistant, Google Maps dan akses kepada banyak lagi aplikasi lain menerusi Google Play. Bagi varian RS, ia kini diberikan logo ‘RS’ yang ditekap pada tempat duduk.

    Model 2026 ini juga menerima fungsi Digital Key, membolehkan pemilik mengunci atau membuka kunci, dan juga menghidupkan enjin menggunakan aplikasi dalam telefon pintar. Aplikasi Honda Connect juga kini menampilkan fungsi tambahan seperti cermin tingkap dan pintu tailgate berkuasa yang dioperasikan pada jarak jauh.

    Honda Malaysia juga telah menggantikan sistem LaneWatch kepada sistem Informasi Titik Buta (BSI) dan juga ia kini menerima sistem Pemantau Lintasan Trafik belakang.

     
     
  • Promosi Honda Malaysia Mac 2026 – diskaun sehingga RM60k, potongan RM13k untuk City, Civic rebat RM18k

    Promosi Honda Malaysia Mac 2026 – diskaun sehingga RM60k, potongan RM13k untuk City, Civic rebat RM18k

    Selepas sambutan Tahun Baru Cina, tumpuan kini beralih pula kepada Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Bagi mereka yang berhajat untuk pulang ke kampung atau memulakan lembaran baru dengan kenderaan serba baru, kempen jualan Mac 2026 oleh Honda Malaysia menawarkan pelbagai rebat menarik.

    Menerusi kempen “Make Every Journey Fun” bagi bulan ini, Honda Malaysia menawarkan diskaun sehingga RM60,000. Pembeli boleh memilih sama ada model tahun 2025 (MY2025) atau stok baru tahun 2026. Seperti kebiasaan, unit tahun sebelumnya hadir dengan rebat yang lebih tinggi.

    Antara tawaran paling mencuri perhatian ialah Honda Civic Type R yang menerima potongan harga RM60,000, manakala model elektrik sepenuhnya Honda e:N1 ditawarkan dengan rebat RM34,000, menjadikan harganya RM115,900. Kedua-dua tawaran ini dikekalkan seperti bulan Februari lalu.

    Bagi model pemasangan tempatan (CKD) yang menjadi tulang belakang jualan jenama ini, semua varian turut menikmati potongan harga. Honda City bagi semua lima varian menerima diskaun RM13,000 untuk unit MY2025, manakala Honda City Hatchback pula ditawarkan dengan potongan RM10,000.

    Model crossover kompak Honda WR-V menyaksikan julat rebat antara RM10,000 hingga RM13,000 bergantung kepada varian, dengan varian RS menerima potongan tertinggi. Sementara itu, Honda HR-V versi facelift 2025 ditawarkan dengan rebat sehingga RM16,000 bagi varian RS hibrid, RM15,000 untuk varian asas S enjin NA dan RM13,000 bagi varian turbo E.

    Bagi Honda Civic, potongan harga mencecah RM18,000 merentasi semua varian MY2025. Namun begitu, Honda CR-V tidak lagi tersenarai dalam promosi model tahun 2025 kali ini.

    Promosi Honda Malaysia Mac 2026 – diskaun sehingga RM60k, potongan RM13k untuk City, Civic rebat RM18k

    Untuk model tahun 2026, rebat yang ditawarkan sedikit rendah. Semua varian City dan WR-V menerima potongan RM10,000, City Hatchback dan Civic pula masing-masing RM8,000, manakala HR-V ditawarkan dengan rebat RM9,000 kecuali varian RS hibrid yang menerima RM10,000. Seperti MY2025, CR-V juga tidak termasuk dalam senarai promosi.

    Kesemua tawaran ini sah untuk kenderaan yang didaftarkan sehingga 31 Mac 2026. Dengan jumlah penjimatan yang agak besar, kempen bulan ini dilihat sebagai peluang terbaik bagi pembeli yang ingin memiliki Honda baru menjelang musim perayaan.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya alami gangguan kuasa akibat kecurian kabel antara Sg Buloh-Damansara Damai

    MRT Laluan Putrajaya alami gangguan kuasa akibat kecurian kabel antara Sg Buloh-Damansara Damai

    MRT Laluan Putrajaya sedang mengalami gangguan perkhidmatan disebabkan isu bekalan kuasa antara stesen Sungai Buloh dan Damansara Damai.

    Pasukan kejuruteraan Rapid Rail memaklumkan bahawa berlaku kecurian kabel berhampiran stesen Damansara Damai dan memandangkan kerja pembaikan berskala besar diperlukan, gangguan perkhidmatan dijangka berlarutan sepanjang hari ini.

    Sehubungan dengan itu, tren dari Putrajaya Sentral (dan KL) akan berpatah balik di stesen Metro Prima di Kepong. Kekerapan tren ialah setiap enam minit. Terdapat tren ulang-alik antara Metro Prima dan Damansara Damai dengan selang masa lapan minit. Penumpang yang ingin ke Damansara Damai boleh menggunakan tren ulang-alik ini bagi menyambung perjalanan.

    Bagi tren dari arah satu lagi, iaitu dari Kwasa Damansara, tren akan berpatah balik selepas membuat perjalanan singkat ke Damansara Damai. Kekerapan bagi laluan ini ialah setiap lapan minit.

    MRT Laluan Putrajaya alami gangguan kuasa akibat kecurian kabel antara Sg Buloh-Damansara Damai

    Klik untuk besarkan

    Rapid Rail memaklumkan bahawa penumpang mungkin terpaksa menunggu lebih lama di platform, terutamanya di stesen antara Metro Prima dan Damansara Damai. Polis bantuan serta kakitangan stesen telah ditugaskan di stesen terlibat bagi membantu penumpang dan pengumuman akan dibuat di stesen.

    Bas perantara turut disediakan dan beroperasi di laluan dari Metro Prima ke Kwasa Damansara, dengan kekerapan antara 15 hingga 30 minit pada waktu puncak dan 30 hingga 45 minit pada waktu bukan puncak. Kekerapan ini bergantung kepada keadaan trafik. Rapid Rail turut menasihatkan penumpang supaya mempertimbangkan pengangkutan alternatif bagi meneruskan perjalanan mereka.

     
     
  • GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 di Malaysia – harga sama RM149k, kemaskini kecil

    GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 di Malaysia – harga sama RM149k, kemaskini kecil

    Kita di Malaysia telahpun menerima versi facelift untuk Toyota Corolla Cross GR Sport pada penghujung tahun 2024 dan dijual dalam pasaran sebagai model 2025. Namun pada awal bulan lalu, UMW Toyota memperkenalkan satu lagi versi kemaskini untuk SUV berkenaan – tiada sebarang majlis pelancaran dibuat untuk Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 tersebut, dan ini merupakan galeri yang dapat kami rakamkan untuk anda apabila ia mula dipamerkan di bilik pameran.

    Pada bahagian muka versi 2026 ini nampak lebih ‘bersih’ dan ringkas berbanding versi 2025. Ini kerana ia tidak lagi mempunyai ‘misai’ pada bahagian gril hadapan untuk ‘memegang’ logo Toyota di tengah, dan elemen sarang lebah dipenuhkan sehingga ke bahagian atas.

    Malah bingkai gril berkenaan tersebut juga lebih ringkas kerana tiada lagi bahagian yang berhubung dengan kedua-dua lampu hadapan kini telah diwarnakan sama dengan warna badan berbanding hadir dalam kemasan hitam sebelum ini. Model kemaskini ini juga diberikan lencana GR di hadapan yang dilekat pada bahagian bawah kanan gril hadapan.

    GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 di Malaysia – harga sama RM149k, kemaskini kecil

    Imej ‘lasak’ Corolla Cross GR Sport 2026 ini juga dikurangkan dan ia lebih nampak sporty di mana kemasan skid plate di bawah bampar hadapan kini digantikan dengan spoiler dalam kemasan perak. Manakala di belakang kemasan bawah bampar juga telah ditukar dengan rekaan lebih ringkas, juga disudahkan dengan layangan berwarna perak.

    Lain-lain perincian luaran masih lagi nampak sama di mana ia diberikan rim aloi 18-inci jejari turbin dengan kemasan dua-tona, lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok LED bina dalam, lampu belakang LED dengan lensa jernih, lampu kabus LED hadapan dan belakang, rel bumbung dan visor pintu. Tiga warna badan ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Red Mica Metallic dan Dark Turquoise, di mana ketiga-tiganya dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

    Tiada perubahan besar diberikan pada sebelah dalam di mana serlahan benang merah yang sebelum ini diberikan pada upholsteri kulit hitam tempat duduk, roda stereng dan gaiter tuil penukar gear kini turut disulam pada papan pemuka dan panel-panel pintu. Tali pinggang keledar yang sebelum ini berwarna hitam juga telah ditukar kepada warna merah bagi menaikkan lagi imej sporty.

    GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 di Malaysia – harga sama RM149k, kemaskini kecil

    Rupa tempat duduk hadapan Corolla Cross GR Sport ini masih lagi sama, tetapi logo GR yang belum ini hanya ditekap pada pada perehat kepala kini sudahpun diberikan sulaman berwarna, manakala pada bahagian perehat badan pula dihiasi jalur menegak di tengah. Logo-logo GR lain boleh ditemui pada roda stereng, butang penghidup enjin, karpet kaki dan juga pada kunci kawalan jauh.

    Kelengkapan-kelengkapan lain yang dibekalkan masih sama, di mana Corolla Cross GR Sport ini menerima ia diberikan paparan instrument digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci, skrin infotainmen 10.1-inci diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, enam pembesar suara, pendingin hawa dua-zon dengan liang penghembus belakang, cermin pandang belakang auto-malap, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, pengecas tanpa wayar, tag RFID, filem penapis haba keselamatan, tray ruang but dan juga pintu tailgate bantuan kuasa bukaan tanpa sentuhan.

    Ia juga diberikan kamera perakam digital dan kamera 360-darjah, serta ciri keselamatan lain termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang,
    Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).

    Corolla Cross HEV GR Sport 2026 ini juga datang dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana model ini masih menerima unit rangkaian hibrid yang menggandingkan enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter Dual VVT-i NA empat silinder berkuasa 98 PS dan tork maksima 142 Nm, bersama dua motor elektrik di mana motor utamanya berkuasa 72 PS/163 Nm bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS untuk memacu roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri Ni-MH 168 sel berkapasiti 6.5 Ah yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

    Tiada perubahan juga dari segi harga Toyota Corolla Cross HEV 2026 ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM148,800. Ia diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri untuk sistem hibrid selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Nissan Serena e-Power C28 2026 kini di M’sia – 1.4L petrol, motor 163 PS/315 Nm; dari RM155k-RM180k

    Nissan Serena e-Power C28 2026 kini di M’sia – 1.4L petrol, motor 163 PS/315 Nm; dari RM155k-RM180k

    Selepas dipertontonkan pada Disember 2025, hari ini Nissan Serena e-Power C28 2026 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Barisan MPV hibrid ini ditawarkan dengan lima varian iaitu Serena X yang berharga bermula RM154,800, X Plus (dari RM159,800), Highway Star (dari RM169,800), Premium Highway Star (dari RM174,800) dan model spesifikasi penuh Shiro Premium Highway Star (dari RM179,800).

    Sempena dengan pelancarannya, ETCM menawarkan rebat pengenalan sebanyak RM5,000 dan pakej aksesori bernilai RM8,000 untuk semua varian Serena e-Power 2026 ini kecuali varian asas X. Tawaran pembelian awal (early bird) ini sah sehingga dimaklumkan kelak, menurut ETCM.

    Apa yang menariknya mengenai Serena generasi terbaharu ini ialah ia kini ditampilkan dengan sistem hibrid e-Power, menjadikannya model e-Power pertama yang dipasang di Malaysia. iaitu dari kilang pemasangan ETCM di Serendah. Jika dibandingkan dengan Serena C27 yang menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD dan sistem S-Hybrid, Serena C28 menawarkan pengalaman pemanduan lebih mirip kenderaan elektrik (EV) dengan tork segera dan pecutan lebih responsif, tanpa kebimbangan mengenai jarak perjalanan atau proses pengecasan.

    Serena e-Power C28 dipadankan dengan enjin petrol HR14DDe 1.4 liter naturally aspirated tiga-silinder sebaris yang mampu menghamburkan 98 PS dan tork 123 Nm. Enjin ini berfungsi secara eksklusif untuk menjana bateri lithium-ion berkapasiti 1.77 kWj yang terletak di bawah lantai, di antara tempat duduk hadapan. Bateri tersebut menjana motor elektrik berkuasa 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 315 Nm yang memacu roda hadapan sepenuhnya. Kecekapan bahan api didakwa sekitar 18.5 km seliter mengikut piawaian NEDC.

    Nissan Serena e-Power C28 2026 kini di M’sia – 1.4L petrol, motor 163 PS/315 Nm; dari RM155k-RM180k

    MPV ini berukuran 4,765 mm panjang, 1,715 mm lebar, 1,870 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,870 mm. Sebagai perbandingan, model C27 yang terdahulu berukuran 4,790 mm panjang (berkemungkinan disebabkan reka bentuk muka hadapan yang lebih menonjol), 1,740 mm lebar, 1,865 mm tinggi dan jarak rodanya ialah 2,860 mm.

    Dari segi reka bentuk, Serena C28 masih mengekalkan identiti model sebelumnya tetapi dengan gaya lebih moden. Gril V-Motion kini mempunyai susunan palang menegak dalam kemasan hitam atau krom dan diintegrasikan kemas bersama lampu utama LED projektor tiga elemen.

    Bahagian bampar hadapan turut menerima lampu kabus LED bersaiz kecil dan liang sisi yang kini berfungsi sebagai tirai udara. Ia juga diberikan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar berprofil 205/65 R16. Di belakang, lampu belakang berbentuk boomerang direka lebih nipis, manakala tailgate direka semula dengan logo Nissan dan tulisan “Serena” lebih rapat. Kemasan ruang plat pendaftaran juga diperkecilkan, bersama lampu kabus belakang LED di sisi kanan.

    Dari sisi, bentuk keseluruhan Serena masih dikenali dengan garis tingkap yang berlekuk, namun garisan karakter yang sebelum ini bermula dari lampu hadapan dan menghala ke rel pintu gelangsar telah digantikan dengan garisan lurus yang bermula dari bampar depan.

    Bagi kelengkapan kabinnya, Serena C28 ini diberikan papan pemuka yang lebih moden, menampilkan dua paparan bersaiz 12.3-inci iaitu satu berfungsi sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin sentuh untuk sistem infotainmen Nissan Connect. Sistem infotainmen ini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, manakala penumpang belakang boleh menikmati monitor hiburan bersaiz 14-inci yang dipasang di siling.

    Untuk aspek keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemandu yang merangkumi amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi serta sistem kamera pandangan sekeliling.

    Pakej pemanduan semi-autonomous ProPILOT Nissan turut ditawarkan sebagai standard yang terdiri daripada kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, serta intervensi titik buta yang memberikan bantuan stereng atau brek secara lembut apabila pemandu cuba menukar lorong sementara kenderaan lain dikesan berada di kawasan titik buta.

    Untuk dua varian paling rendah diberikan pilihan satu tona ialah Diamond Black dan Brilliant White. Manakala varian Highway Star juga diberikan ditambahkan dengan pilihan warna Dark Metal Grey dan Turquoise Blue. Untuk dua varian tertinggi pula diberikan pilihan dua tona untuk kesemua warna yang dipadankan bersama bumbung hitam.

    Sekali lagi, barisan Serena e-Power C28 2026 ini ditawarkan dengan lima varian iaitu Serena X yang berharga bermula RM154,800, X Plus (dari RM159,800), Highway Star (dari RM169,800), Premium Highway Star (dari RM174,800) dan model spesifikasi penuh Shiro Premium Highway Star (dari RM179,800). Setiap pembelian diberikan waranti kenderaan selama lima-tahun atau 100,000 km ditawarkan sebagai standard, manakala komponen e-Power (motor, bateri dan pengurusan tenaga) diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Spesifikasi mengikut varian:

    Serena e-Power X (dari RM154,800)

      Mekanikal:

    • Enjin petrol HR14DDe 1.4 liter naturally aspirated tiga-silinder sebaris berkuasa 98 PS dan tork 123 Nm
    • Sistem pacuan Nissan e-Power
    • Automatik Single Gear Reduction
    • Bateri lithium-ion berkapasiti 1.77 kWj
    • Motor elektrik berkuasa 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 315 Nm
    • Mod pemanduan – Standard, Eco, Sport
    • Luaran:

    • Gril V-Motion yang diintegrasikan dengan lampu utama LED projektor tiga-elemen, dan lampu belakang ‘Boomerang’ dan lampu kabus belakang
    • Pintu gelangsar bukaan kuasa untuk bahagian kiri dan manual di bahagian kanan
    • Dwi-pintu belakang bukaan manual
    • Dalaman:

    • Tempat duduk fabrik hitam dengan kemasan water-repellent
    • Paparan digital berwarna TFT tujuh-inci untuk Advance Drive Assist Display (ADAD)
    • Sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay & Android Auto
    • Empat unit pembesar suara
    • Kawalan suhu automatik dwi-zon dengan kawalan digital untuk barisan kedua serta corong udara untuk barisan ketiga
    • Dua unit USB Port (Dua Type A, Satu Type C)
    • 11 tempat letak cawan
    • Ciri Keselamatan:

    • Enam unit beg udara
    • Cruise Control
    • Kamera belakang
    • Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar(IPFCW)
    • Kepekaan Pemandu Pintar (IDA)
    • Amaran Ketibaan Liring (LDW)
    • Amaran Titik Buta (BSW)
    • Kepekaan Trafik Belakang (RCTA)
    • e-Pedal Step (one-pedal driving)
    • Cagak ISOFIX untuk barisan kedua
    • Bantuan Mula Mendaki (HSA)
    • Bantuan Lampu Tinggi (HBA)
    • Kawalan Dinamik Kenderaan (VDX) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
    • ABS dengan EBD dan Bantuan Brek (BA)
    • Walk Away Auto Lock & Approach Auto Unlock
    • High Mount Stop Lamp
    • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
    • Electric Vehicle Sound untuk pejalan kaki
    • Speed Sensing Auto Door Lock
    • X Plus (dari RM159,800)

      Ditambah:

      Dalaman:

    • Tempat duduk balutan kulit tiruan
    • Paparan 14-inci yang terpasang di siling (non-motorised)
    • Ciri Keselamatan:

    • Kamera 360-darjah
    • Highway Star (dari RM169,800)

      Ditambah:

      Luaran:

    • Lampu kabus belakang LED
    • Pintu gelangsar bukaan kuasa untuk bahagian kiri dan kanan
    • Kaca akustik untuk cermin utama
    • Dalaman:

    • Paparan digital berwarna TFT 12.3-inci
    • Skrin sesentuh Alliance in-vehicle infotainment (AVI) 12.3-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    • Enam unit pembesar suara dengan dua unit tweeter
    • Tempat duduk material fabrik hitam dengan water-repellent finish
    • 15 tempat letak cawan
    • Enam unit USB Ports (1 Type A, 5 Type C) dan pengecas tanpa wayar
    • Premium Highway Star (dari RM174,800)

      Ditambah:

      Dalaman:

    • Tempat duduk premium dengan balutan quilted kulit Nappa rona hitam
    • Shiro Premium Highway Star (dari RM179,800)

      Ditambah:

      Luaran:

    • Dwi-pintu belakang bukaan kuasa
    • Dalaman:

    • Tempat duduk Luxurious dengan balutan quilted kulit Nappa rona putih
    • Paparan 14-inci yang terpasang di siling (motorised)

    GALERI: Nissan Serena e-Power X 2026

    GALERI: Nissan Serena e-Power Premium Highway Star 2026

    GALERI: Nissan Serena e-Power Shiro Premium Highway Star 2026

     
     
  • Selamat Raya dengan Volvo dari 7-8 Mac — rebat overtrade hingga RM60k; trade-in mudah oleh Carro

    Selamat Raya dengan Volvo dari 7-8 Mac — rebat overtrade hingga RM60k; trade-in mudah oleh Carro

    Kita selalu mengucapkan selamat kepada sesama sendiri, tetapi untuk Volvo, perkataan tersebut membawa makna yang lebih daripada sekadar sapaan. Bagi jenama berasal dari Sweden itu, selamat adalah teras utama di sebalik kepercayaan bahawa semua keluarga berhak tiba ke destinasi mereka dalam keadaan selamat.

    Hari Raya ini, Volvo memberikan rebat dan tawaran menarik ke atas pelbagai model keluarannya bagi memastikan perjalanan balik kampung anda tidak hanya penuh gaya, tetapi apa yang lebih penting, ia selamat.

    Untuk itu, acara Selamat Raya dengan Volvo akan berlangsung di semua bilik pameran Volvo di seluruh negara bermula pada 7-8 Mac 2026, yang akan membawakan ganjaran eksklusif yang khusus berupa niai trade-in sehingga RM60,000 bagi barisan kenderaan Selamat oleh Volvo. Bagi anda yang berminat dengan model-model elektrik penuh Volvo pula, nilai tukaran bagi EX30 mencecah sehingga RM33,888, sementara angka itu mencecah sehingga RM40,888 dan RM30,000 bagi masing-masing model EC40 dan EX90.

    Sekiranya anda belum bersedia untuk peralihan tersebut, tetapi masih inginkan sebuah kenderaan Volvo yang cekap, XC60 ada ditawarkan dengan rebat tukaran sehingga RM54,800. Perlukan sesuatu yang lebih besar? Tak perlu risau kerana XC90 ada untuk memenuhi keperluan seisi keluarga anda.

    XC90 boleh dimiliki dalam bentuk janaan mild hybrid yang memberikan penjimatan bahan api yang sangat menakjubkan bagi sebuah SUV dalam saiz yang sama. Jika anda memerlukan lebih banyak kuasa, turut ditawarkan ialah pilihan versi plug-in hybrid dengan janaan 462 PS (456 hp atau 340 kW) dan 709 Nm, dengan kelebihan untuk mengecasnya yang akan mengurangkan kebergantungan kepada enjin konvensional.

    Ini diikuti dengan rekaan dalaman ala Scandinavia yang cantik serta lengkap dengan fungsi praktikal, yang jelas menjadi kelebihan bagi XC90 dan pilihan bagi mereka yang mahukan sebuah SUV untuk keluarga. Nilai rebat untuk XC90 yang ditawarkan pula adalah sehingga RM60,000 bagi unit model tahun 2024, sementara bagi unit tahun 2025 diberikan nilai rebat sebanyak RM40,500.

    Peralihan daripada kereta lama anda kepada sebuah Volvo baharu juga akan lebih mudah dengan rakan rasmi Carro, yang akan memberikan penilaian profesional di lokasi terhadap kereta lama anda. Dengan bayaran yang dibuat dalam tempoh 24-jam, proses Carro juga sangat telus tanpa sebarang yuran tersembunyi dan dijamin akan mendapatkan harga terbaik untuk kereta terpakai anda.

    Dengan tawaran hebat ke atas kenderaan Volvo serta proses trade-in yang mudah dan telus oleh Carro, Selamat Raya dengan Volvo adalah sebuah acara untuk mereka yang mengidamkan sebuah kenderaan dengan rekaan Scandinavia, prestasi serta komitmen terhadap selamat untuk kereta baru anda. Daftar minat anda di sini dan berkunjung ke bilik pameran Volvo terdekat pada 7-8 Mac ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BSU dan JYV dibuka untuk bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Selangor dan Johor yang sedang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BSU dibuka bidaan sejak 1 Mac. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 Mac 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Perak, JYV, dibuka bidaan bermula 2 Mac 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 Mac, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 Mac 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Peugeot 3008 2026 pasaran Malaysia terima sedikit kemas kini – tiada AEB, rebat RM31k, menjadi RM138k

    Peugeot 3008 2026 pasaran Malaysia terima sedikit kemas kini – tiada AEB, rebat RM31k, menjadi RM138k

    Model generasi kedua bagi Peugeot 3008 mula diperkenalkan pada tahun 2017 dan diberi facelift pada 2021. Walaupun usianya kini mencecah sembilan tahun dan generasi ketiga telah pun didedahkan pada 2023, Stellantis Malaysia masih meneruskan jualan model ini di pasaran tempatan. Ia diberikan kemas kini yang sangat minimum sementara menunggu ketibaan barisan model Peugeot baru yang dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN.

    Dari segi harga, Peugeot 3008 ini secara rasmi masih ditawarkan pada RM169,388. Namun begitu, rebat sebanyak RM31,388 menjadikan harga efektifnya turun kepada RM138,000. Model ini turut didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun atau 200,000 kilometer, merangkumi tiga tahun jaminan kilang dan tambahan empat tahun jaminan lanjutan.

    Perubahan yang dilakukan adalah kecil dan lebih tertumpu kepada identiti korporat baru Peugeot. Logo perisai terkini dipaparkan pada jeriji hadapan, bahagian tengah stereng serta paparan instrumen digital i-Cockpit bersaiz 12.3 inci. Tulisan Peugeot pada pintu but belakang juga menggunakan reka bentuk baru yang lebih tajam dan moden, sama seperti lencana 3008. Namun begitu, kemasan plat tepi masih mengekalkan bentuk lama jenama ini.

    Peugeot 3008 2026 pasaran Malaysia terima sedikit kemas kini – tiada AEB, rebat RM31k, menjadi RM138k

    Bahagian luaran turut menerima rekaan rim baru bersaiz 18 inci dengan kemasan dua tona gaya turbin, yang sebelum ini digunakan pada 408 Premium. Selain itu, senarai kelengkapan kekal seperti versi sebelum ini.

    Ia merangkumi lampu utama LED dengan lampu siang berbentuk “cakar”, lampu belakang LED “tiga cakar”, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, penyaman udara automatik dua zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa enam hala, penukar gear paddle shifter, bumbung suria panoramik serta skrin sentuh infotainmen 10 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan ialah enam pembesar suara, kamera undur dan pintu but berkuasa dengan fungsi bebas tangan.

    Dari aspek keselamatan, Peugeot 3008 dilengkapi enam beg udara, kawalan kestabilan, kawalan turun bukit serta beberapa sistem bantuan pemandu asas seperti pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, pengecaman papan tanda trafik dan pemantau tahap keletihan pemandu. Bagaimanapun, ia tidak dilengkapi sistem brek kecemasan autonomous walaupun mempunyai kamera pada cermin hadapan, satu kekurangan yang agak ketara bagi model dalam julat harga ini.

    Di bawah bonet, tiada perubahan dilakukan. Ia masih menggunakan enjin petrol empat silinder 1.6 liter THP turbo yang menghasilkan 165 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork seawal 1,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan Aisin. Walaupun kekal dengan pacuan roda hadapan, model ini dilengkapi sistem Advanced Grip Control, iaitu sistem kawalan cengkaman yang dipertingkatkan bagi membantu pemanduan di permukaan mencabar secara ringan.

    Dengan penerapan identiti korporat terbaru pada model yang sudah berusia hampir sedekad ini, kemungkinan untuk melihat 3008 generasi baru dilancarkan dalam masa terdekat dilihat semakin tipis, meskipun model tersebut pernah dikesan di Malaysia dan sebelum ini disahkan bakal memasuki pasaran. Menurut Ketua Stellantis ASEAN, Isaac Yeo, barisan model Peugeot terbaru mempunyai kos yang terlalu tinggi untuk pasaran tempatan, terutamanya dalam persaingan dengan model-model China yang lebih berorientasikan nilai.

     
     
  • Proton Saga MC3 dilancarkan di Brunei – pasaran eksport pertamanya, 2 varian bermula RM52k

    Proton Saga MC3 dilancarkan di Brunei – pasaran eksport pertamanya, 2 varian bermula RM52k

    Baru sekitar tiga bulan berada dalam pasaran tempatan dengan dilancarkan pada November lalu, Proton Saga MC3 kini sudah mula dieksport keluar negara dengan Brunei menjadi pasaran luar Malaysia pertama yang menerima sedan mampu milik tersebut.

    Di sana Saga hanya ditawarkan dalam dua varian bermula varian Executive yang dijual pada harga B$16,800 (sekitar RM52k) dan Premium berharga BND18,800 (RM58k). Pengedar Proton di Brunei iaitu PAD Motors juga menawarkan diskaun sebanyak B$500 (RM1.5k) untuk 100 pelanggan terawal. Semua pembelian Saga MC3 di negara itu diberikan waranti selama lima tahun atau 150,000 km serta tiga kali servis percuma upah buruh.

    Menurut CEO Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) Edmund Lim Meng Thong, pelancaran Saga MC3 ini di Brunei mencerminkan hasrat Proton bagi meningkatkan volum eksport dengan memperkukuh kehadiran dalam segmen peringkat permulaan di pasaran serantau.

    “Dengan memanfaatkan teknologi proprietari seperti platform AMA, kami menyasarkan peningkatan pegangan pasaran di ASEAN serta memperkukuh strategi pertumbuhan berteraskan eksport selaras dengan matlamat jangka panjang syarikat,” tambahnya.

    Proton Saga MC3 ini dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” BHE15-CFN yang mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala lebih rendah pula ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Model ini juga menerima rombakan besar dari segi rupa di mana semua varian kini diberikan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).

    Kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.

    Tahun lalu Proton telah mengeksport sebanyak 6,000 unit kenderaan ke pasaran luar. Ia selaras dengan sasaran menjadikan pasaran eksport sebagai penyumbang 30 peratus daripada jumlah jualan keseluruhannya menjelang 2030 serta memperluaskan kehadiran ke sekurang-kurangnya 32 negara.

    Saga MC3 merupakan model kedua Proton dilancarkan di Brunei tahun ini, selepas X50 facelift dilancarkan di pasaran tersebut pada Januari lalu.

    GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT pasaran Malaysia

    GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota Harrier 2.5 Hybrid dilancar di Malaysia – bermula RM289k, 2.5L NA, 218 PS, 4.7L/100 km

    Toyota Harrier 2.5 Hybrid dilancar di Malaysia – bermula RM289k, 2.5L NA, 218 PS, 4.7L/100 km

    Nampaknya seperti pengeluar-pengeluar lain, Toyota juga agak agresif tahun ini. Selepas melancarkan GR Corolla AT, Vellfire Hybrid dan juga Vios Hybrid pada Januari lalu, kini jenama gergasi Jepun berkenaan melancarkan satu lagi model hybrid ke pasaran Malaysia – ini dia Toyota Harrier 2.5 HEV secara rasminya dijual ke pasaran tempatan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM289,000.

    Dengan penawaran varian hybrid pada model generasi XU80 ini, UMW Toyota Motors (UMWT) nampaknya menamatkan penawaran model petrol penuh dengan enjin 2.0 liter NA yang telah dilancarkan pada April 2020, dan kali terakhir menerima kemaskini pada Oktober 2022, ketika itu ditawarkan pada harga RM274k.

    Bagi model hybrid ini, ia menggandingkan enjin petrol Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter yang menghasilkan kuasa 178 PS pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 3,600 rpm hingga 5,200 rpm, serta dibantu dengan motor elektrik berkuasa 120 PS dan tork maksima 202 Nm. Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menjana 218 PS, serta mencatatkan penggunaan bahan api yang didakwa pada 4.7 liter setiap 100 km.

    Toyota Harrier 2.5 Hybrid dilancar di Malaysia – bermula RM289k, 2.5L NA, 218 PS, 4.7L/100 km

    Di bina berasaskan platform TNGA-K, Harrier HEV ini masih menampilkan konfigurasi suspensi hadapan jenis topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang. Untuk set roda, ia juga masih dipadankan dengan set rim aloi dan tayar dengan saiz yang sama seperti varian 2.0L Luxury sebelum ini iaitu rim 18-inci dengan tayar 225/60R18.

    Kelengkapan luaran lain yang dipadankan termasuk lampu hadapan bi-LED projektor automatik, lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan lampu belakang LED, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok dan lampu puddle, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan penderia kaki serta bumbung panaromik.

    Pada sebelah dalam pula, ia menerima perincian termasuk skrin Display Audio lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto hubungan wayar, sistem audio dengan enam-pembesar suara, paparan instrumen dengan skrin 12.3-inci dan paparan head-up berwarna 10.5-inci untuk pemandu, serta sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang penghembus kabin belakang.

    Toyota Harrier 2.5 Hybrid dilancar di Malaysia – bermula RM289k, 2.5L NA, 218 PS, 4.7L/100 km

    Selain itu ia juga upholsteri kombinasi kulit dalam kemasan hitam, tempat duduk pemandu larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, pengalir udara dan pemanas untuk semua tempat duduk, pengecas telefon pintar tanpa wayar, lima port USB-C dan juga cermin pandang belakang digital.

    Untuk keselamatan, Harrier HEV ini diberikan tujuh-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, bantuan mula mendaki, brek dengan sistem ABS, EBD dan BA, sistem pamantau tekanan tayar, pemantau pandangan panaromik, isyarat berhenti kecemasan, sistem telemetik, perakam video digital hadapan dan belakang, serta filem penapis haba dan juga keselamatan.

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) Toyota Safety Sense yang memberikan fungsi termasuk sistem pra-pelanggaran, amaran kelaur laluan, bantuan mengesan lorong, cruise control adaptif radar dinamik semua kelajuan, lampu hadapan adaptif, bantuan pengenal tanda jalan, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, notis kenderaan menghampiri, serta brek sokongan parkir hadapan dan belakang.

    Warna badan Grey Metallic ditawarkan secara standard, manakala pelanggan yang mahukan warna badan Platinum White Pearl Mica dan Precious Black perlu menambah RM800. Setiap pembelian Toyota Harrier 2.5 HEV ini dilindungi oleh waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk komponen hibrid termasuk bateri hibrid, inverter dan juga kotak kawalan komputer (ECU) pengurusan kuasa.

     
     
  • Susur masuk ke Bamboo Hill dari Jalan Ipoh ditutup sepenuhnya selama 9 bulan mulai hari ini

    Susur masuk ke Bamboo Hill dari Jalan Ipoh ditutup sepenuhnya selama 9 bulan mulai hari ini

    Pengendali Lebuhraya DUKE telah memaklumkan bahawa susur masuk ke Bamboo Hill dari Jalan Ipoh ditutup sepenuhnya selama sembilan bulan bermula hari ini (2 Mac 2026).

    Penutupan laluan berkenaan adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan jejambat jalan oleh Tetuan Concord Housing Development Sdn. Bhd.

    “Oleh yang demikian, pengguna diminta menggunakan laluan alternatif termasuk menggunakan Lebuhraya NKVE dan seterusnya ke Lebuhraya DUKE untuk ke Bamboo Hill. Atau pun dari Jalan Ipoh, anda boleh memasuki Lebuhraya DUKE untuk ke susur masuk Bamboo Hill. Sila rujuk pelan pengurusan trafik di atas untuk info yang lebih jelas.

     
     
  • MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ berkuatkuasa 1 Mei 2026

    MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ berkuatkuasa 1 Mei 2026

    Bagi pengguna aplikasi mudah alih MyJPJ yang masih menggunakan 12 digit nombor kad pengenalan (MyKad) untuk mengakses aplikasi mudah alih MyJPJ, anda masih mempunyai masa untuk mendaftar MyDigital ID sebagai log masuk tunggal. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pendaftaran MyDigital ID yang telah diumumkan sebagai satu-satunya kaedah log masuk untuk aplikasi tersebut dilanjutkan hingga 1 Mei 2026.

    Sebelum ini, JPJ mengumumkan tempoh lanjutan untuk mendaftar MyDigital ID hingga 1 Mac selepas ia ditangguhkan selama sebulan. Berkemungkinan bagi memberi peluang kepada mereka yang belum mendaftar untuk berbuat demikian. Pada November tahun lalu, JPJ memaklumkan bahawa kira-kira 13 juta pengguna telah memuat turun atau mendaftar aplikasi MyJPJ, dan daripada jumlah itu, 1.3 juta pengguna telah mula menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi tersebut.

    JPJ turut berkata bahawa sekitar 11 juta pengguna masih belum mendaftar MyDigital ID pada ketika itu. Walau bagaimana pun, tiada kemas kini mengenai jumlah pendaftaran setakat ini, namun berdasarkan sikap kebiasaan rakyat Malaysia dalam hal sebegini, boleh diandaikan bahawa peratusan mereka yang masih belum berdaftar berkemungkinan besar masih tinggi.

    Jika anda belum mendaftar, segeralah berbuat demikian. Proses pendaftarannya agak mudah. Penggunaan MyDigital ID ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, manakala mereka yang berumur di bawah 18 tahun serta pemegang kad MyPR akan terus menggunakan kaedah log masuk biasa.

     
     
  • Autobacs Super GT 2026 – tiket pusingan Malaysia dah mula dijual bermula RM80; berlangsung 19-21 Jun

    Autobacs Super GT 2026 – tiket pusingan Malaysia dah mula dijual bermula RM80;  berlangsung 19-21 Jun

    Selepas berlangsung dengan jayanya tahun lalu, siri perlumbaan Autobacs Super GT dari Jepun sah akan kembali ke Malaysia untuk edisi tahun ini, dan jualan tiketnya sudahpun bermula pada 28 Februari lalu. Untuk musim 2026, Malaysia akan menjadi hos untuk perlumbaan pusingan ketiga yang berlangsung pada 19 hingga 21 Jun, berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

    Untuk pembeli-pembeli tiket terawal, penganjur kini menawarkan promosi khas di mana anda boleh mendapatkan tiket dengan harga serendah RM80 (harga biasa RM100) untuk grandstand K1 (berhadapan selekoh pertama) dan juga RM200 (harga biasa RM250) untuk grandstand utama.

    Bagi penonton yang mahu menonton perlumbaan ini secara lebih eksklusif, tiket GT Club Suite boleh dibeli pada harga bermula RM450 untuk seorang (suite kongsi) sehingga RM30,000 untuk satu suite eksklusif yang boleh menempatkan sehingga 70 orang.

    Manakala bagi mereka yang mahukan lebih pengalaman, anda boleh memilih untuk membeli pas-pas sama ada GT Paddock Club (RM2,000), Experience Package (RM5,000), Dream Package untuk dua orang (RM15,000), atau VVIP Package untuk dua orang (RM50,000).

    Pemegang pas GT Club Suite dan GT Suite akan layak mendapat akses ke laluan pit, manakala ahli GT Paddock Club akan layak mendapat akses ke laluan pit dan juga grid. Mereka yang membeli pemegang pas Experience Package akan mendapat tambahan perjalanan bas Circuit Safari di trek dengan kereta GT.

    Bagi pemegang pas Experience Package dan Pakej VVIP pula akan layak mendapat semua keistimewaan ini termasuk perjalanan teksi dan lawatan pit eksklusif. Tiket-tiket ini sudah boleh dibeli secara atas talian menerusi TixShack di laman web rasmi Super GT Malaysia dan juga menerusi Excitix.

    “Selepas 12 tahun tidak bersiaran, siri Autobacs Super GT kembali ke Malaysia tahun lepas dengan sambutan 75,977 peminat dan penonton perlumbaan pada hujung minggu yang merangkumi perlumbaan bertaraf dunia di trek dan pelbagai aktiviti serta tarikan di luar trek. Matlamat kami adalah untuk menjadikan acara ini lebih menarik tahun ini dan seterusnya,” kata Rakan Kongsi Pengurusan Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan.

    Haro Sports & Entertainment merupakan pemegang hak dan penganjur untuk pusingan Super GT di Malaysia, dan Nihon Matsuri adalah penganjur bersama Festival Super GT Malaysia

    Selain dari Super GT, acara ini juga akan menampilkan beberapa perlumbaan sokongan yang lain termasuk siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing Vios Challenge dan juga ASEAN GR86 Cup iaitu acara yang hanya bermula sebagai perlumbaan domestik di Malaysia tahun lalu dan kini diperluas dengan penyertaan pelumba serantau.

    Selain dari perlumbaan, ada juga acara lain yang akan berlangsung di Sepang pada hujung minggu yang sama, antaranya larian Ekiden anjuran Alumni Look East Policy Society (ALEPS) dan juga sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Selangor 2026 masing-masing dianjurkan oleh Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

    Acara yang berlangsung tahun lalu merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Menerusi perjanjian yang dimeterai pada 2024, Malaysia akan terus menganjurkan Super GT sekurang-kurangnya sehingga 2027, dan setakat ini ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT terkini yang dilangsungkan di luar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.

    Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2026 ini, bermula dengan pusingan pertama yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 11 hingga 12 April.

     
     
  • KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

    KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan sebanyak 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 Mac hingga 29 Mac 2026 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk memenuhi permintaan tinggi orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman.

    Menurut KTMB, daripada jumlah tersebut, 18 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan lapan perkhidmatan EMUPlus akan beroperasi sebagai langkah proaktif susulan tiket perkhidmatan sedia ada yang hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.

    “Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan dan EMUPlus akan menyediakan 8,118 tempat duduk sehari, termasuk pilihan Kelas Perniagaan, menjadikan jumlah keseluruhan 105,534 tempat duduk bagi menampung lonjakan penumpang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sebanyak 285,714 yang merangkumi 70 perjalanan sehari dengan purata harian 21,978 tempat duduk,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Bagi perkhidmatan ETS, ia melibatkan lapan perjalanan laluan JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral, enam perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh, dua perjalanan laluan Butterworth – KL Sentral – Butterworth dan dua perjalanan laluan Padang Besar – KL Sentral – Padang Besar. Manakala untuk perkhidmatan EMUPlus pula, ia membabitkan lapan perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh.

    KTMB turut berkata, sebanyak 10 perjalanan tren ETS tambahan telah mula dijual sejak semalam (1 Mac 20260), manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    KTMB sediakan 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac 2026 sempena Aidilfitri

    Untuk Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur pula, KTMB memaklumkan ia akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral – Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat – KL Sentral. Sebanyak 792 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur bagi perkhidmatan ini.

    Perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, bagi memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang. Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM80 bagi Kelas Superior dan tambang bagi tempat tidur Kelas Superior RM90 (katil atas) dan RM95 (katil bawah) serta RM95 bagi Kelas Premier.

    Bagi perkhidmatan ELA edisi Utara, tren khas ini melibatkan laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral. Tren ini akan beroperasi dengan empat perkhidmatan, pada 17 Mac dan 22 Mac bagi laluan KL Sentral – Padang Besar serta 18 Mac dan 23 Mac bagi laluan Padang Besar – KL Sentral. Sebanyak 1,200 tiket ditawarkan bagi koc tempat duduk Kelas Superior dengan kadar tambang RM70 sehala.

    “Tiket-tiket bagi perkhidmatan khas ini masih lagi terdapat kekosongan tempat duduk dan kepada para penumpang yang ingin merasai pengalaman untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki tren konvensional, boleh membuat pembelian di aplikasi KITS Style, laman sesawang KTMB atau mesin kios KTMB di stesen terpilih.

    KTMB berkata inisiatif ini merupakan komitmen berterusan syarikat ini dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati perjalanan yang selesa, selamat dan efisien pada musim perayaan, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyokong mobiliti awam negara.

    “KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket seawal mungkin bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir. Penumpang juga dinasihatkan supaya tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk,” kata KTMB lagi.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk mendapatkan maklumat terkini.

     
     
  • BHPetrol ‘Beli dan Menang, Mencari OKB’ — belanja RM20, menang Proton Saga dan 200k mata ePoints

    BHPetrol ‘Beli dan Menang, Mencari OKB’ — belanja RM20, menang Proton Saga dan 200k mata ePoints

    Teringin untuk menang sebuah Proton Saga Executive? Ada empat unit model berkenaan tersedia untuk direbut dalam peraduan Beli dan Menang, Mencari “OKB” anjuran BHPetrol, yang bermula pada 1 Februari hingga 31 Mac 2026.

    Untuk ikut serta, apa yang perlu anda lakukan hanyalah berbelanja minimum RM20 untuk membeli minyak Infiniti (RON 95, RON 97, diesel B10 atau diesel B7) atau barangan runcit dalam satu transaksi di stesen BHPetrol, dan gunakan eCard BHPetrol anda untuk menyertai peraduan ini.

    Empat pemenang bertuah akan berpeluang memenangi hadiah utama Saga serta 200,000 mata ganjaran ePoints, yang boleh digunakan untuk menebus pelbagai barangan yang tersenarai dalam kedai ganjaran eCard. Empat buah motosikal Yamaha Ego Avantiz serta 100,000 mata ganjaran ePoints juga menanti pemenang tempat kedua, sementara tiga pemenang tempat ketiga pula akan membawa pulang iPhone 17 Pro dan 50,000 mata ganjaran ePoints.

    Selain hadiah utama, peraduan ini juga memberikan 16 hadiah mingguan yang terdiri daripada wang tunai bernilai RM2,500 setiap satu, dengan dua pemenang akan diumumkan setiap minggu. Keseluruhannya, hadiah bernilai sehinga RM300,000 tersedia untuk dimenangi.

    Ambil maklum bahawa transaksi pembelian produk tembakau, tambah nilai Touch n’ Go, ePay, pambayaran utiliti dan cuci kereta tidak sah untuk penyertaan peraduan ini. Ketahui lebih lanjut tentang peraduan ini di sini.

     
     
  • Prasarana menggariskan strategi stabilkan set tren yang berusia, bakal terima 26 set tren baharu – Loke

    Prasarana menggariskan strategi stabilkan set tren yang berusia, bakal terima 26 set tren baharu – Loke

    Umum mengetahui bahawa sejak kebelakangan ini isu perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang sering kali mengalami gangguan teknikal kerap kali mencetuskan kemarahan dan rungutan di kalangan para penggunanya.

    Malah awal minggu ini, perkhidmatan tren tersebut mengalami gangguan dua kali sehari dan menyebabkan kesesakan luar biasa di stesen-stesen utama seperti Sri Rampai, KL Sentral, dan Masjid Jamek. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan para penggunanya berhubung tahap penyelenggaraan dan kecekapan pengurusan Prasarana selaku pengendali perkhidmatan rel ini.

    Sehubungan dengan itu, kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat masalah tersebut dan mengambil tindakan terhadap Prasarana Malaysia Berhad selaku pengendali perkhidmatan tren ini sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah. Malah Prasarana sendiri telah diminta untuk memberikan penjelasan mengenai isu ini.

    Sumber foto: Laman sosial media

    Petang ini, Loke telah menerima kunjungan pengurusan Prasarana bertujuan memberikan taklimat dan penjelasan berkenaan dengan isu-isu yang melibatkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya.

    Menurut Loke, hasil pertemuan tersebut, Prasarana mengesahkan pihaknya telah menggariskan strategi untuk menstabilkan set-set tren 818 yang semakin berusia, termasuk perolehan alat ganti tambahan dengan lebih awal.

    “Set tren baharu KLAV27 yang terakhir telah memulakan perkhidmatan pada tahun lepas. Perolehan 26 set tren baharu seterusnya telah dilaksanakan dan dijangka tiba pada tahun 2028.

    “Saya menasihati pihak pengurusan supaya lebih proaktif dalam strategi penyelenggaraan dan penyampaian maklumat agar isu-isu yang melibatkan set-set tren 818 tidak menenggelamkan penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lalu,” katanya menerusi perkongsian di laman Fecebook rasminya.

    Prasarana menggariskan strategi stabilkan set tren yang berusia, bakal terima 26 set tren baharu – Loke

    Loke turut berkata, beliau turut menekankan kepada pihak pengurusan Prasarana bahawa kerja-kerja penyelenggaraan adalah perkara yang tidak boleh dikompromi. Katanya lagi, bagi mengatasi permasalahan ini, Prasarana akan mengambil tindakan penambahbaikan terhadap program untuk set tren 818 dan juga pelan kontingensi.

    Pagi tadi, anak syarikat Prasarana, Rapid Rail memberikan penjelasan bahawa langkah mengeluarkan tren daripada perkhidmatan ketika waktu operasi berjalan sejak beberapa hari ini merupakan prosedur operasi dan keselamatan standard. “Tren mungkin dikeluarkan sementara bagi tujuan pembaikan kecil, termasuk isu prestasi penyaman udara atau sistem lain di dalam tren. Langkah ini diambil bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan kepada penumpang sentiasa terpelihara.

    “Yang penting, apabila sesebuah tren dikeluarkan daripada perkhidmatan, Rapid Rail akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk menggerakkan tren gantian sekiranya perlu. Ini memastikan selang masa (headway) kekal pada kekerapan waktu puncak dan kebolehpercayaan perkhidmatan tidak terjejas,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Chery Malaysia taja Piala Lee Chong Wei – kejohanan belia sulung dengan hadiah berjumlah RM100,000

    Chery Malaysia taja Piala Lee Chong Wei – kejohanan belia sulung dengan hadiah berjumlah RM100,000

    Chery Corporate Malaysia telah diumumkan sebagai penaja rasmi bagi Piala Lee Chong Wei yang julung kali diadakan pada tahun ini. Seperti nama bagi kejohanan badminton belia ini, ia diasaskan oleh pemain badminton terkemuka Malaysia, Lee Chong Wei, dengan tujuan memupuk bakat muda di peringkat akar umbi.

    Pertandingan ini, yang berbeza daripada kebanyakan kejohanan remaja lain kerana akan disiarkan di Astro, mendapat sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Ia melibatkan pemain perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita bagi kategori bawah 13, bawah 15 dan bawah 17 tahun, selain beregu campuran bagi kategori bawah 17 tahun. Sebanyak 128 tempat akan diperuntukkan merangkumi semua kumpulan umur dan kategori.

    Hadiah yang ditawarkan berjumlah keseluruhan RM100,000, dikatakan sebagai jumlah hadiah terbesar pernah ditawarkan bagi kejohanan badminton belia di Malaysia dan para pemenang turut berpeluang menjalani sesi pemilihan bersama BAM. Maklumat lanjut, termasuk tarikh sebenar kejohanan, akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

    Chery Malaysia taja Piala Lee Chong Wei – kejohanan belia sulung dengan hadiah berjumlah RM100,000

    “Di Chery, kami percaya dalam menyokong inisiatif yang mewujudkan nilai berkekalan untuk masyarakat. Kerjasama dengan Piala Lee Chong Wei membolehkan kami menyumbang kepada program yang memupuk bakat, menggalakkan keterangkuman dan menerapkan nilai-nilai murni melalui sukan,” kata Naib Presiden Chery Corporate Malaysia, Cheng Nam Weng.

    Tambahnya, sebagai salah satu jenama automotif antarabangsa yang paling pesat berkembang di Malaysia, Chery berbangga dapat memainkan peranan dalam memperkukuh masa depan sukan negara.

    Pengeluar kereta dari China itu bukan asing dalam menaja sukan di Malaysia, sebelum ini menyokong pemenang pingat Olimpik negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menghadiahkan kereta, selain turut menyokong kontinjen kebangsaan di Sukan Para Remaja Asia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026