Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota masih pengeluar automotif paling laris di dunia untuk 2025 – BYD, SAIC dan Geely juga dalam Top 10

    Toyota masih pengeluar automotif paling laris di dunia untuk 2025 – BYD, SAIC dan Geely juga dalam Top 10

    Toyota sekali lagi dinobotkan sebagai pengeluar automotif paling laris apabila mencatatkan jualan tahunan sebanyak 11.32 juta unit kenderaan pada 2025. Bukan itu sahaja, jualan yang dicatatkan ini juga adalah 4.64% lebih banyak dari rekod jualan Toyota pada tahun sebelumnya. Angka-angka yang disebut ini adalah jualan keseluruhan jenama di bawah Toyota termasuk Lexus, Daihatsu dan Hino.

    Berdasarkan laporan kewangan yang disiarkan oleh pelbagai pemain utama dalam industri, tempat kedua untuk pengeluar automotif paling laris di dunia bagi 2025 disandang oleh Volkswagen, di mana kumpulan automotif Jerman yang turut menaungi jenama seperti Porsche, Audi, Skoda dan lain-lain itu mencatatkan jualan sebanyak 8.98 juta unit, jatuh 0.51% berbanding 2024.

    Manakala Hyundai pula berada di tempat ketiga dengan jualan sebanyak 7.27 juta unit, naik 0.6% berbanding tahun sebelumnya. Jenama dari Amerika Syarikat, General Motors pula berada di tempat keempat dengan jualan 6.18 juta kenderaan, atau naik sebanyak 3.03%. Tempat kelima pula adalah Stellantis, di mana kumpulan automotif yang terdiri dari 14 jenama tersebut mencatatkan jualan keseluruhan 5.48 juta untuk 2025, naik 1.27% berbanding 2024.

    Jenama dari China, BYD berada di tempat keenam dalam carta ini dengan jualan sebanyak 4.6 juta unit (+7.72%), diikuti satu lagi jenama senegara iaitu SAIC yang berada di tempat ke tujuh yang berjaya menjual 4.51 juta unit kenderaan sepanjang tahun lalu (+12.33%).

    Dua jenama China tersebut berjaya memintas Ford yang jatuh ke tempat ke lapan tahun ini, dengan rekod jualan 4.4 juta unit, kurang 1.68% berbanding jualan yang dicatatkan pada tahun lalu. Satu lagi gergasi automotif China iaitu Geely berada di tempat ke sembilan dengan jualan sebanyak 4.12 juta unit untuk 2025, naik mendadak sehingga 26.05% berbanding rekod jualan tahun sebelumnya.

    Honda pula berada di tempat ke-10 dengan jualan sebanyak 3.52 juat unit, di mana jenama warisan Jepun tersebut mencatatkan penurunan jualan sebanyak 7.53% berbanding tahun sebelumnya.

    Data-data yang disebutkan ini telah dikompilasikan oleh CLS, dan media-media dari China menyebut bahawa jualan kenderaan di negara tersebut tahun lalu telah mencecah sebanyak 34.4 juta unit, manakala eksport pula mencecah tujuh juta unit iaitu jumlah eksport tertinggi di dunia untuk 2025.

     
     
  • Ducati DesertX 2026 diperkenal – banyak bahagian baru termasuk casis dan enjin V2, 110 hp, enam mod

    Ducati DesertX 2026 diperkenal – banyak bahagian baru termasuk casis dan enjin V2, 110 hp, enam mod

    Model adventure lasak Ducati DesertX diberikan kemas kini signifikan bagi tahun 2026, dengan tumpuan utama untuk meningkatkan prestasi tunggangan offroad serta memudahkan aspek penyelenggaraan. Untuk rekod, DesertX yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2023 ditawarkan pada harga RM112,900 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Sebagai jentera paling berorientasikan offroad dalam barisan motosikal tinggi Ducati selain Multistrada V2, DesertX mengambil inspirasi daripada jentera legenda Cagiva Elefant yang sinonim dengan perlumbaan lasak Paris-Dakar. Model generasi kedua ini dibangunkan hasil maklum balas meluas serta pengalaman perlumbaan dalam acara mencabar seperti Erzbergrodeo dan NORRA Mexican 1000 Rally, sekaligus memastikan peningkatan ketara dalam keupayaan sebenar di laluan ekstrem.

    Walaupun memberi penekanan terhadap prestasi offroad, DesertX baru masih mengekalkan keselesaan untuk kegunaan harian. Ia kini dilengkapi sistem suspensi yang dipertingkatkan bersama tangki bahan api baru yang lebih ringan dan ergonomik. Pembangunannya berteraskan enjin Ducati V2 serta kerangka monocoque, sesuai untuk penunggang baru dalam dunia offroad mahupun yang berpengalaman.

    Ducati DesertX 2026 diperkenal – banyak bahagian baru termasuk casis dan enjin V2, 110 hp, enam mod

    Enjin v-twin baru Ducati berkapasiti 890 cc ini merupakan unit empat injap setiap silinder paling ringan pernah dihasilkan di Borgo Panigale. Ia menjana 110 hp pada 9,000 rpm dan 92 Nm tork pada 7,000 rpm, dengan 70 peratus daripada tork maksimum sudah tersedia seawal 3,000 rpm.

    Kotak gear enam kelajuan dilengkapi sistem Ducati Quick Shift (DQS) 2.0, dengan nisbah gear pertama hingga keempat yang lebih pendek bagi memudahkan jentera melepasi halangan di laluan mencabar.

    Dari sudut ketahanan, sela servis dipanjangkan dengan pemeriksaan kelegaan injap ditetapkan setiap 45,000 km manakala penukaran minyak enjin setiap 15,000 km atau dua tahun. Kerangka monocoque baru menggunakan enjin sebagai elemen struktur selain berfungsi sebagai kotak udara. Kedudukan kotak udara yang baru juga memudahkan akses kepada penapis udara, sekali gus memudahkan proses pembersihan selepas tunggangan offroad.

    Sistem brek turut taraf dengan cakera brek hadapan berdiameter 205 mm yang digandingkan bersama angkup monoblok Brembo M4.32. Pam brek kini menggunakan tuil baru yang memberikan rasa dan kawalan lebih baik terutama ketika tunggangan di laluan tidak berturap. Reka bentuk sistem brek ini juga membolehkan pemasangan mudguard tinggi tanpa memerlukan kit tambahan.

    Di bahagian roda, DesertX menggunakan rim spoked tanpa tiub bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally Street bersaiz 90/90 dan 150/70. Suspensi hadapan menggunakan fork USD KYB berdiameter 46 mm dengan pelarasan penuh serta jarak gerak 230 mm, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak tunggal KYB dengan pelarasan penuh dan pra-beban, menawarkan jarak gerak 220 mm.

    Pakej bantuan elektronik lengkap turut disediakan termasuk Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control dan Engine Brake Control yang semuanya boleh dilaras. Sistem ini dipadankan dengan enam mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Wet untuk jalan raya, serta dua mod khas offroad iaitu Enduro dan Rally.

    Ducati DesertX 2026 diperkenal – banyak bahagian baru termasuk casis dan enjin V2, 110 hp, enam mod

    Tangki bahan api polimer baru berkapasiti 18 liter direka lebih tirus dan ringan, memudahkan pergerakan penunggang di atas pelana. Kedudukan bahan api yang lebih rendah membantu menurunkan pusat graviti, sekaligus meningkatkan kestabilan dan kelincahan pengendalian. Tangki ini juga dilengkapi pelindung khas bagi menahan hentakan ringan ketika terjatuh pada kelajuan rendah.

    Paparan meter kini menggunakan skrin TFT bersaiz lima inci beresolusi 800 x 480 bersama dua soket USB sebagai ciri standard. Terdapat tiga mod paparan iaitu Road, Road Pro dan Rally, dengan pertukaran automatik paparan siang dan malam. Mod Rally turut berfungsi sebagai alat navigasi lengkap dengan tripmaster.

    Ketinggian tempat duduk standard ditetapkan pada 880 mm, namun Ducati menawarkan pilihan tempat duduk rendah serta kit penurunan suspensi yang mengurangkan ketinggian kepada 840 mm. Pelbagai aksesori tambahan turut ditawarkan menerusi katalog Ducati Performance, termasuk tangki bahan api tambahan untuk jarak tunggangan lebih jauh.

     
     
  • Aveta Vanguard 250 pasaran Malaysia dipertingkat – 10 bahagian ditambah baik, harga menjadi RM16,688

    Aveta Vanguard 250 pasaran Malaysia dipertingkat – 10 bahagian ditambah baik, harga menjadi RM16,688

    Selepas hanya satu tahun berada dalam pasaran Malaysia, skuter Aveta Vanguard 250 kini diberi kemas kini, dan menyaksikan harganya juga naik sedikit menjadi RM16,688 tidak termasuk insurans. Penambahbaikan yang diperkenalkan adalah hasil maklum balas pemilik serta penglibatan aktif penunggang, dengan fokus terhadap aspek keselesaan, versatiliti dan keyakinan ketika menunggang.

    Antara pembaharuan utama ialah penggunaan skrin sentuh TFT-LCD bersaiz tujuh inci yang memberikan paparan lebih jelas dan moden. Cermin penghadang angin kini boleh dilaras secara elektrik, sekaligus memudahkan penunggang menyesuaikan tahap perlindungan angin mengikut keperluan. Suis kawalan pada hendal turut direka semula agar lebih intuitif dan mudah diguna.

    Bagi meningkatkan keselesaan pembonceng, pelindung ekzos kini dipanjangkan untuk mengurangkan bahang haba, manakala perehat kaki belakang turut dipertingkatkan bagi memberikan posisi yang lebih selesa dan selamat. Bahagian tempat duduk juga direka semula dengan potongan lebih rendah di hadapan, membantu penunggang menjejakkan kaki ke tanah dengan lebih yakin ketika berhenti, di samping menawarkan tahap keselesaan yang lebih baik.

    Ruang simpanan di bawah tempat duduk kini lebih praktikal kerana mampu memuatkan topi keledar jenis muka penuh dengan lebih mudah. Pada masa sama, talaan penyerap hentak belakang disemak semula bagi memastikan kestabilan tunggangan yang lebih konsisten walaupun membawa beban berbeza.

    Dari sudut keselamatan dan kawalan, sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan cengkaman (TCS) kini boleh ditutup mengikut kesesuaian, membolehkan tetapan optimum sama ada untuk tunggangan di jalan raya mahupun laluan tidak berturap. Penutup enjin turut direka semula bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan.

    Aveta Vanguard 250 pasaran Malaysia dipertingkat – 10 bahagian ditambah baik, harga menjadi RM16,688

    Vanguard 250 masih digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair dengan empat injap, berkapasiti 244.2 cc, dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik Bosch. Enjin ini menghasilkan 24.8 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 22.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

    Bagi pasaran Malaysia, dua pilihan warna ditawarkan iaitu Nano Green dan Desert Bronze. Model yang dikemas kini ini dijadualkan mula berada di semua bilik pameran pengedar sah Aveta di seluruh negara bermula Mac 2026.

     
     
  • Toyota Fortuner 2026 ditemui di Thailand – asas Hilux baru, banyak perubahan tapi struktur masih sama

    Toyota Fortuner 2026 ditemui di Thailand – asas Hilux baru, banyak perubahan tapi struktur masih sama

    Kemunculan Toyota Hilux generasi kesembilan nampaknya diikuti rapat oleh model SUV kembarnya, iaitu Toyota Fortuner serba baru. Model berkenaan telah dikesan menjalani ujian di Thailand, menerusi beberapa imej intipan yang dimuat naik oleh akaun Instagram @kurdistan_automotive_blog_.

    Berdasarkan imej tersebut, Fortuner generasi ketiga ini menerima rekaan bahagian hadapan yang banyak dipengaruhi oleh Hilux baru. Lampu utama kelihatan lebih tirus dan disambungkan dengan jalur kemasan di bahagian atas gril, yang dijangka menggunakan kemasan warna badan bersama corak mesh.

    Bampar hadapan pula direka semula bagi memberikan identiti tersendiri kepada Fortuner, sekaligus membezakannya berbanding Hilux, seperti mana yang dilakukan pada model semasa. Walaubagaimanapun, perubahan ketara hanya tertumpu pada bahagian hadapan. Profil sisi dan struktur badan keseluruhannya dilihat masih mengekalkan bentuk model terdahulu.

    Toyota Fortuner 2026 ditemui di Thailand – asas Hilux baru, banyak perubahan tapi struktur masih sama

    Antara petunjuk jelas ialah rekaan ‘sirip’ pada panel tepi belakang yang masih dikekalkan. Pintu, bumbung dan cermin sisi juga kelihatan tidak banyak berubah. Perkara ini tidak mengejutkan memandangkan Hilux baru juga masih menggunakan platform ladder frame IMV Toyota serta struktur badan yang sama seperti sebelum ini.

    Di bahagian belakang, Fortuner baru ini menampilkan lampu belakang dengan grafik lebih tajam dan disambungkan oleh jalur kemasan yang merentangi ruang nombor pendaftaran. Reka bentuk ini memberikan sentuhan lebih moden dan selari dengan konsep rekaan terkini Toyota.

    Ruang dalaman pula dijangka menerima rombakan menyeluruh. Papan pemuka baru bakal diperkenalkan bersama beberapa suis dan komponen yang diambil daripada Toyota Land Cruiser Prado. Selain itu, sistem paparan instrumen digital dan skrin infotainmen terkini bersaiz sehingga 12.3 inci turut dijangka menjadi antara tarikan utama, seiring dengan penawaran teknologi semasa Toyota.


    Lukisan digital Toyota Fortuner 2026 oleh Theophilus Chin

    Dari segi rangkaian kuasa, Fortuner ini berkemungkinan besar mengekalkan enjin diesel 2.8 liter empat silinder 1GD-FTV yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm tork, digandingkan dengan pilihan transmisi manual atau automatik enam kelajuan. Bagi pasaran yang masih memerlukan enjin petrol, unit 2.7 liter empat silinder 2TR-FE tanpa pengecas turbo dengan kuasa 163 PS dan 246 Nm tork dijangka terus ditawarkan, sama seperti model semasa.

    Tidak ketinggalan, sistem Multi-Terrain System yang diperkenalkan pada Hilux baru juga dijangka dibawa ke Fortuner. Sistem ini menggunakan tombol putar bagi memilih mod pemanduan seperti Dirt, Sand, Mud, Rock dan Snow, sekaligus melaraskan respons pendikit serta transmisi mengikut keadaan permukaan.

    Turut dijangka ditawarkan ialah paparan Multi-Terrain Monitor yang memaparkan pandangan sekeliling dan bahagian bawah kenderaan menerusi sistem kamera 360 darjah, sekaligus meningkatkan keyakinan ketika memandu di laluan mencabar.

    GALERI: Toyota Hilux Travo 2026 pasaran Thailand

     
     
  • MAHB kenakan penalti LAD RM9.1j terhadap kontraktor aerotrain – lewat 91 hari, RM100k sehari

    MAHB kenakan penalti LAD RM9.1j terhadap kontraktor aerotrain – lewat 91 hari, RM100k sehari

    Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan penalti Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) sebanyak RM9.1 juta terhadap kontraktor aerotrain KLIA, ALSTOM IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech Joint Venture).

    Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), penalti yang dikenakan itu adalah disebabkan kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek aerotrain baharu di KLIA. Penalti berkenaan dikenakan selama 91 hari, bermula pada 1 April hingga 30 Jun 2025.

    “Seperti termaktub dalam kontrak, jumlah LAD dikenakan adalah RM100,000 sehari atau jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta,” kata MOT dalam jawapan bertulis di portal rasmi Parlimen Malaysia.

    Kementerian itu menjawab soalan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah nilai LAD atau penalti yang dikenakan oleh MAHB terhadap kontraktor Alstom IJM-Pestech Joint Venture ekoran kegagalan menyampaikan projek Aerotrain baharu secara memuaskan.

    Aerotren baharu KLIA memulakan operasinya dengan permulaan yang kurang lancar, namun awal bulan ini, MAHB memaklumkan bahawa penilai rel bebas mengesahkan sistem tersebut beroperasi seperti yang dirancang, dengan gangguan perkhidmatan disifatkan sebagai perkara biasa pada fasa awal operasi sistem rel yang kompleks.

    Penilai itu mendapati bahawa gangguan tersebut tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan berstruktur dan pemantauan berterusan disediakan untuk menguruskan isu-isu tersebut dengan berkesan.

     
     
  • Hyundai Tucson 1.6L Turbo Hybrid 2025 — penjimatan unggul sistem hibrid, pakej lengkap untuk praktikaliti

    Hyundai Tucson 1.6L Turbo Hybrid 2025 — penjimatan unggul sistem hibrid, pakej lengkap untuk praktikaliti

    Ketika syarikat induk Hyundai Motor Company (HMC) mengumumkan akan mengambil alih sendiri operasi berkaitan jenama itu daripada pengedar sebelumnya — Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) — menerusi pengenalan Hyundai Motor Malaysia (HMY), syarikat baru tersebut benar-benar inginkan sebuah permulaan baru.

    Jualan model-model legasi terdahulu oleh HSDM tidak lagi diteruskan. Bagaimanapun, HMY tetap akan terus memberikan sokongan lepas jualan kepada pelanggan-pelanggan yang berkaitan. Tiga model disebut menjadi penawaran pertama syarikat baru ini untuk Malaysia: Hyundai Santa Fe serba baru, dan juga Tucson serta Staria versi facelift terkini.

    Hal ini juga hadir sebagai sebuah pernyataan penting, bahawa ke hadapan, Hyundai Malaysia akan memberikan tumpuan kepada barisan model konvensional dan hibrid terlebih dahulu, dengan perancangan tersedia untuk pemasangan tempatan bagi ketiga-tiganya: Hyundai Staria sudah di-CKD bermula Oktober 2025, sementara Santa Fe dan Tucson menunggu giliran untuk di-CKD pada suku kedua tahun ini.

    Juga, ada sebuah lagi model yang sudah disahkan akan masuk ke pasaran Malaysia, dijangka pada suku keempat tahun ini, iaitu sebuah MPV segmen B yang akan menjadi pesaing kepada model-model popular seperti Perodua Alza, Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander: Hyundai Stargazer.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Honda ZR-V dikemaskini di Jepun – hanya ditawarkan versi hibrid sahaja; edisi Cross Touring, Black Style

    Honda ZR-V dikemaskini di Jepun – hanya ditawarkan versi hibrid sahaja; edisi Cross Touring, Black Style

    Selain membawa semula CR-V ke Jepun, Honda turut melakukan kemaskini terhadap ZR-V, model yang mengisi kekosongan apabila CR-V buat sementara waktu dikeluarkan daripada barisan model tempatan. Turut dikenali sebagai HR-V pasaran Amerika Syarikat, ZR-V diposisikan sebagai crossover segmen-C yang berkongsi asas dengan Civic generasi ke-11 dan berada di antara HR-V dan CR-V dari segi saiz.

    Dijadualkan mula dijual pada Mac tahun ini, ZR-V versi baharu menggugurkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan kini ditawarkan secara eksklusif sebagai model hibrid. Rangkaian kuasa e:HEV yang digunakan adalah enjin petrol 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris yang beroperasi mengikut kitaran Atkinson, menghasilkan 141 PS (139 hp atau 104 kW) dan 182 Nm.

    Enjin ini menjana elektrik melalui motor elektrik untuk mengecas bateri, yang seterusnya membekalkan kuasa kepada motor pacuan berasingan dengan output 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 315 Nm. Apabila perlu, transmisi e-CVT boleh menyambungkan enjin secara terus untuk memacu roda.

    Varian yang ditawarkan juga telah dikurangkan daripada dua kepada hanya satu, dengan varian X digugurkan dan hanya varian Z dikekalkan. Versi Black Style dan Cross Touring turut diperkenalkan, menjadikan jumlah keseluruhan konfigurasi ZR-V sebanyak tiga.

    Black Style dikenali menerusi gril honeycomb yang menggantikan rekaan bilah menegak sebelum ini, manakala Cross Touring dianggap sebagai “edisi khas” dengan penampilan luaran yang lebih lasak. Ini termasuk panel sisi bawah (pilihan aksesori pengedar) serta bampar hadapan berbeza dengan skid plate yang disertakan bersama. Bahagian dalaman pula menggunakan tona warna yang lebih cerah dengan jahitan berwarna jingga, bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang gemarkan aktiviti luar. Maklumat lanjut termasuk harga akan diumumkan bulan hadapan.

     
     
  • Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu?

    Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu?

    Tahun ini merupakan tahun terakhir FIA menggunakan undang-undang Rally1 sebagai kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), di mana tahun depan ia akan digantikan dengan undang-undang baharu yang dikenali sebagai Rally1 WRC27. Dan nampaknya Toyota kini sedang mendahului pembinaan jentera dengan spesifikasi baharu tersebut di mana prototaip kereta rali WRC27 pasukan berkenaan telah dilihat sedang diuji di Algarve, Portugal.

    Dan apa yang lebih menarik, menerusi video dan imej yang dirakamkan oleh pengguna Facebook bernama Marcio Pereira (yang kemudiannya semua telah dipadamkan), Toyota tidak lagi menggunakan badan hatchback GR Yaris untuk jentera WRC27 ini, sebaliknya menampilkan badan coupe dua-pintu misteri yang mempunyai but pendek di belakang!

    Bagi yang belum mengetahui, WRC27 merupakan undang-undang baharu yang diformulasikan oleh FIA bagi menarik minat lebih banyak pasukan untuk menyertai kategori tertinggi WRC, di mana ia sekarang hanya disertai oleh tiga pasukan iaitu Toyota, Hyundai dan M-Sport Ford.

    Untuk WRC27, semua pasukan perlulah menggunakan casis spaceframe yang dibina berdasarkan blueprint sama yang dikeluarkan oleh FIA, sama seperti undang-undang Rally1 sedia ada, tetapi menggunakan unit rangkaian kuasa yang diambil dari jentera spesifikasi Rally2 termasuk enjin 1.6 liter turbo dengan restrictor berdiameter 32 mm (menghasilkan kuasa sekitar 290 hp), kotak gear lima kelajuan sequential tanpa pedal pada roda stereng dan juga sistem pacuan semua roda.

    Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu?

    Untuk ini, jentera Rally1 WRC27 Toyota tersebut berkemungkinan menggunakan semua kelengkapan mekanikal yang diambil dari jentera lumba GR Yaris Rally2, termasuk enjin 1.6 liter tiga silinder turbo (boleh dengar dengan jelas pada video di mana bunyi enjinnya memang sama) berbanding GR Yaris Rally1 sedia ada yang sebenarnya menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo dari jentera Yaris WRC sebelum itu.

    Syarat-syarat yang dibuat ini adalah untuk mengurangkan kos pembinaan setiap jentera lumba di mana FIA menetapkan kos puncak pada €345,000 (sekitar RM1.6 juta) untuk sebuah kereta dalam spesifikasi tarmac, atau kira-kira 50% lebih murah berbanding jentera Rally1 sedia ada. Selain kos yang lebih murah ini, FIA turut memudahkan proses homologasi kerana setiap jentera tidak semestinya dibina berdasarkan model produksi jalan raya, tetapi ia juga boleh tampil sebagai model konsep atau prototaip, dan bentuk badan juga lebih bebas di mana setiap pasukan boleh menampilkan sama ada badan sedan, coupe, hatchback mahupun SUV.

    Pasukan yang bertanding juga tidak semestinya dari pengeluar automotif, di mana ia juga turut boleh disertai oleh syarikat-syarikat penala (Tuner). Dan untuk melepasi syarat homolagasi ini juga, pasukan yang membina jentera Rally1 WRC27 perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 10-jentera lumba yang sama, di mana ia bukan sahaja boleh digunakan oleh pasukan rasmi, malah turut boleh dijual kepada pasukan-pasukan persendirian dalam program perlumbaan pelanggan.

    Untuk Toyota, ia pasti akan menggunakan badan yang mewakili model produksi yang dijual di bilik pameran untuk tujuan pemasaran. Badan coupe dua-pintu yang digunakan ini berkemungkinan berdasarkan GR Celica generasi baharu di mana model tersebut telah dicanangkan untuk diperkenalkan oleh Toyota pada masa hadapan. Dengan undang-undang WRC27 ini sebenarnya membolehkan Toyota bertanding dalam WRC terlebih dahulu dengan GR Celica sebelum model produksinya dijual dalam pasaran.

    Toyota uji jentera WRC27 – bukan GR Yaris, tapi coupe 2-pintu misteri; ini prebiu GR Celica generasi baharu?

    Sebelum adanya Yaris, penampilan Toyota dalam WRC sering dibawa oleh Celica bermula dengan model generasi pertama Celica RA20 yang menyertai kejohanan tersebut dalam kategori Group 4 pada 1974. Ia kemudian diikuti oleh Celica RA40 Group 4 (1980), Celica RA63 Group 4 (1982), Celica Twin Cam Turbo TA64 Group B (1983), dan Celica GT-Four Group A (1989 – 1995) dari generasi ST165, ST185 dan ST205 yang menyaksikan Toyota merangkul dua gelaran juara dunia untuk kategori pengeluar dan empat untuk kategori pemandu.

    Selepas video-video dan imej-imej unit ujian ini tular semalam, tiada sebarang kenyataan rasmi lagi dikeluarkan oleh Toyota. Namun dalam laporan DirtFish, pengarah teknikal pasukan Toyota Tom Fowler mengesahkan ujian prototaip tersebut memang sedang dijalankan.

    “Pada saat ini kami telahpun menguji kereta ujian prototaip kami. Pasukan rekaan sedang menumpukan pada semua maklum balas yang diberikan kereta tersebut dan kami kini sedang bekerja untuk menyelesaikan masalah yang timbul serta membuat penambahbaikan.

    “Sasaran asal adalah untuk mula menguji kereta ini pada 2026. Kami dah capai sasaran itu. Kereta itu telah diuji dalam beberapa ujian dan ia sudahpun bergerak lebih dari 2,000 km. Saya tak boleh bagitahu angka sebenar,” kata Fowler.

     
     
  • PBT perlukan kerjasama JMB untuk penguatkuasaan terhadap kenderaan terbiar di kawasan strata – KPKT

    PBT perlukan kerjasama JMB untuk penguatkuasaan terhadap kenderaan terbiar di kawasan strata – KPKT

    Walau pun pihak berkuasa tempatan (PBT) giat menangani isu kenderaan terbiar, secara umumnya, ia hanya melibatkan kawasan awam. Namun penguatkuasaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan di kawasan strata milik persendirian sukar untuk dilaksanakan, laporan New Straits Times.

    Melainkan terdapat permohonan rasmi atau kerjasama daripada badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC) bagi hartanah terlibat, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu.

    “Bagi kawasan kediaman berstrata yang telah menubuhkan JMB atau MC, ia tertakluk sepenuhnya kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015. Di bawah peruntukan akta tersebut, sebaik sahaja JMB atau MC ditubuhkan secara sah, badan berkenaan mempunyai kuasa dan tanggungjawab perundangan sepenuhnya untuk mengurus, mengawal selia dan mentadbir semua perkara dalam harta bersama, termasuk isu melibatkan kenderaan terbiar di kawasan parkir dan laluan akses bersama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    PBT perlukan kerjasama JMB untuk penguatkuasaan terhadap kenderaan terbiar di kawasan strata – KPKT

    Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah kementerian untuk menggubal undang-undang kecil bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap kenderaan terbiar di kawasan kediaman berstrata.

    Sehubungan dengan itu, katanya lagi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap garis panduan pengurusan kenderaan terbiar yang dikeluarkan pada tahun 2020, dan penambahbaikan terhadap garis panduan tersebut melibatkan beberapa langkah.

    Langkah pertama ialah menggunakan Seksyen 65 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai instrumen tambahan bagi membolehkan pelupusan kenderaan dibuat tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang. Langkah kedua pula adalah melalui cadangan pindaan bagi memperluaskan kuasa penguatkuasaan kepada semua kategori pihak berkuasa tempatan serta memperjelaskan skop kawasan yang boleh dikuatkuasakan.

    Manakala langkah ketiga melibatkan mewujudkan mekanisme pelupusan kenderaan secara sukarela melalui sistem e-Dereg yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi menyediakan kaedah pelupusan yang lebih cepat dan mesra pengguna, katanya.

     
     
  • Honda CR-V generasi ke-enam baru dilancarkan di Jepun – kembali selepas tiga tahun, bermula RM128k

    Honda CR-V generasi ke-enam baru dilancarkan di Jepun – kembali selepas tiga tahun, bermula RM128k

    Tahukah anda, walaupun Honda CR-V generasi ke-enam sudah diperkenalkan diperingkat global pada Julai 2022, model berkenaan sebenarnya masih belum dilancarkan di Jepun. Ini kerana model generasi kelima CR-V tidak mendapat sambutan di sana, dan Honda menggantikan tempat CR-V dengan satu lagi model yang sedikit lebih kecil iaitu ZR-V. Namun Honda ada menawarkan CR-V generasi ke-enam ini di Jepun dalam versi e:FCEV bermula Julai 2024, tetapi dalam jumlah yang sangat sedikit di mana ia hanya dipajakkan kepada kerajaan-kerajaan tempatan dan syarikat-syarikat yang mahu mempromosikan penggunaan teknologi sel bahan api hidrogen.

    Dan kini secara rasmi Honda CR-V kembali ke pasaran Jepun – ia dilancarkan hanya dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV tetapi ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian e:HEV RS pacuan roda hadapan yang dijual pada harga 5,122,700 yen (sekitar RM128k), diikuti e:HEV RS AWD berharga 5,392,200 yen (RM134k) dan juga e:HEV RS AWD Black Edition berharga 5,779,400 yen (RM144k).

    Kesemua varian ini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa e:HEV dengan enjin petrol kitaran Atkinson 2.0 liter empat-silinder NA berkuasa 148 PS/183 Nm, di mana dalam kebanyakkan masa berfungsi untuk mengecas semula bateri hibrid. Ia digandingkan dengan dua motor elektrik di mana salah satunya berfungsi sebagai generator, manakala satu lagi motor utama berkuasa 184 PS/335 Nm berfungsi untuk memacu terus roda.

    Honda CR-V generasi ke-enam baru dilancarkan di Jepun – kembali selepas tiga tahun, bermula RM128k

    Walau bagaimanapun dalam situasi tertentu seperti cruising pada kelajuan tinggi, enjin turut akan membantu motor elektrik untuk memacu SUV ini, dengan kuasa disatukan menerusi klac lock-up di dalam transmisi e-CVT yang dibekalkan.

    Honda CR-V 2026 pasaran Jepun ini diberikan perincian seperti sistem infotainmen dengan skrin Honda Connect sembilan-inci dilengkapi Google bina-dalam, pad pengecas tanpa wayar 60-watt dan sistem bunyi Bose. Varian tertinggi Black Editon menerima tambahan perincian termasuk paparan head-up, bumbung suria panaromik, pengalir udara pada tempat duduk hadapan, rim aloi 19-inci, serlahan Crystal Black Pearl pada sebelah luar, perapi-perapi dalaman piano black dan dark silver serta kemasan tiang dan pelapik bumbung berwarna hitam.

    Honda CR-V generasi ke-enam baru dilancarkan di Jepun – kembali selepas tiga tahun, bermula RM128k

    Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing adalah standard untuk semua varian, menakala Black Edition diberikan tambahan fungsi seperti amaran lintasan trafik hadapan, pengelak pelanggaran ketika tukar lorong, dan bantuan tukar lorong.

    Pembeli Honda CR-V pasaran Jepun ini ditawarkan dengan enam pilihan warna badan iaitu Platinum White Pearl, Slate Gray Pearl, Crystal Black Pearl, Blazing Red Pearl dan Canyon River Blue Metallic. Honda hanya mensasarkan untuk menjual 400 unit sebelun sahaja CR-V ini di pasaran Jepun.

     
     
  • Beberapa buah tren LRT Laluan Kelana Jaya dikeluarkan dari perkhidmatan hari ini

    Beberapa buah tren LRT Laluan Kelana Jaya dikeluarkan dari perkhidmatan hari ini

    Nampak gayanya permasalahan yang dihadapi oleh perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya makin meruncing. Hari ini sahaja, beberapa buah tren telah dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat gangguan teknikal.

    Insiden pertama berlaku pada jam 7.05 pagi apabila sebuah tren dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Putra Heights. “Tren telah dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Putra Heights berikutan gangguan teknikal. Ini akan menjejaskan kekerapan tren buat sementara waktu, yang akan diselaraskan secara automatik,” menurut hantaran Rapid KL.

    Mesej yang sama turut dimuat naik pada jam 7.25 pagi (Putra Heights), 7.43 pagi (KLCC), 7.49 pagi (Taman Bahagia), 8.51 pagi (Kerinchi) dan 9.37 pagi (Dato Keramat) sepanjang waktu puncak pagi. Sebuah lagi tren dikeluarkan daripada perkhidmatan pada jam 12.47 tengah hari di Pasar Seni.

    Beberapa buah tren LRT Laluan Kelana Jaya dikeluarkan dari perkhidmatan hari ini

    Terbaharu, Rapid KL memuat naik mesej sama memaklumkan bahawa sebuah tren telah dikeluarkan daripada perkhidmatan di stesen Universiti pada jam 4.25 petang. Beberapa minit kemudian, pada jam 4.28 petang, sebuah lagi tren telah dikeluarkan di stesen Kelana Jaya akibat kerosakan teknikal. Keadaan dipercayai masih tidak stabil buat masa ini dan dengan beberapa tren tidak beroperasi, kelewatan dijangka berlaku. Oleh itu, penumpang dinasihatkan merancang perjalanan atau mencari pengangkutan alternatif untuk pulang ke rumah.

    Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menjalankan siasatan susulan masalah yang sama bagi perkhidmatan LRT ini, dengan dua gangguan pada hari Selasa – satu pada waktu pagi dan satu lagi pada sebelah petang, sehingga menimbulkan kekecewaan dan kemarahan di kalangan penumpang.

    “Saya memandang serius gangguan perkhidmatan yang berlaku melibatkan Laluan LRT Kelana Jaya pada permulaan Ramadan. Orang ramai berhak mengharapkan perkhidmatan yang lebih cekap dan boleh dipercayai,” kata Loke, sambil menambah bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana untuk memberikan penjelasan penuh dalam mesyuarat pasca-Kabinet kementerian.

     
     
  • China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

    China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

    Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menerbitkan satu draf baru yang menyenaraikan piawaian keselamatan mandatori bagi sistem pemanduan autonomous. Draf bertajuk “Intelligent Connected Vehicles – Safety Requirements for Autonomous Driving Systems” itu kini dibuka untuk maklum balas awam dan dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2027.

    Langkah ini diambil ketika China meneliti keperluan untuk memperketatkan tahap keselamatan sistem pemanduan autonomous susulan beberapa insiden kemalangan, termasuk yang melibatkan kematian, membabitkan kenderaan dengan keupayaan pemanduan sendiri seperti teksi robot.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, MIIT turut mengeluarkan piawaian baru berkaitan reka bentuk kenderaan seperti pemegang pintu dan stereng, yang turut menitikberatkan aspek keselamatan.

    China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

    Menerusi draf terbaru ini, tahap keselamatan minimum bagi sistem autonomous Tahap 3 dipertingkatkan. Mengikut klasifikasi SAE International, Tahap 3 atau “conditional driving automation” membolehkan kenderaan mengendalikan semua tugas pemanduan dalam keadaan tertentu, namun pemandu masih perlu bersedia untuk mengambil alih kawalan apabila diminta.

    Di bawah cadangan piawaian tersebut, sistem Tahap 3 mesti mampu melaksanakan tindakan kawalan risiko minimum secara sendiri sekiranya pemandu gagal memberi respons terhadap arahan mengambil alih kawalan. Ini termasuk keupayaan menukar lorong dan memberhentikan serta meletakkan kenderaan di lokasi selamat yang tidak menghalang lalu lintas ketika kecemasan, contohnya jika pemandu mengalami strok atau pengsan. Pada masa sama, sistem perlu meminimumkan risiko terhadap penumpang dan pengguna jalan raya lain.

    Keperluan ini secara tidak langsung menjadikan sistem Tahap 3 di bawah cadangan China semakin menghampiri keupayaan Tahap 4 mengikut definisi SAE, iaitu sistem yang tidak memerlukan pemandu mengambil alih dalam keadaan tertentu. Tahap 5 pula merupakan tahap tertinggi, dengan keupayaan operasi dalam semua keadaan tanpa memerlukan campur tangan manusia.

    China sediakan draf piawaian keselamatan baru untuk sistem pemanduan autonomous, “kotak hitam” wajib

    Selain itu, kenderaan dengan keupayaan pemanduan autonomous juga diwajibkan dilengkapi peranti yang dikenali sebagai Data Storage System for Automated Driving (DSSAD). Sistem ini berfungsi seperti “kotak hitam” pesawat, merakam data operasi penting bagi membantu siasatan dan pembinaan semula insiden sekiranya berlaku kegagalan sistem yang membawa kepada kemalangan jalan raya.

    Menurut laporan CarNewsChina, sistem rakaman data tersebut perlu mematuhi piawaian mandatori kebangsaan China bagi sistem rakaman data kenderaan pintar berhubung, yang telah berkuat kuasa pada Januari 2026. Apabila dimuktamadkan kelak, piawaian baru ini akan menggantikan piawaian kebangsaan berbentuk saranan bertajuk “General Technical Requirements for Autonomous Driving Systems of Intelligent Connected Vehicles” yang dilaksanakan pada September 2024.

    Berbeza dengan piawaian saranan yang bersifat sukarela, piawaian mandatori wajib dipatuhi sepenuhnya. Produk yang gagal memenuhi keperluan tidak akan dibenarkan untuk dikeluarkan, dijual atau diimport ke China. Bagi model kenderaan yang telah mendapat kelulusan sebelum tarikh pelaksanaan piawaian baru, tempoh peralihan selama 13 bulan akan diberikan bagi memastikan semua keperluan terkini dapat dipenuhi.

     
     
  • Volvo EX30 dikemaskini untuk 2026 — tambah varian asas 150 PS, hingga 476 km WLTP; UX baru, V2L

    Volvo EX30 dikemaskini untuk 2026 — tambah varian asas 150 PS, hingga 476 km WLTP; UX  baru, V2L

    Bagi penawaran model EX30 untuk tahun 2026, Volvo telah memperkenalkan beberapa kemaskini melibatkan barisan janaan kuasa serta penambahan teknologi dan ciri baru.

    Paling utama ialah tambahan pilihan janaan kuasa bagi tahap paling asas yang menampilkan motor elektrik belakang yang menghasilkan sebanyak 150 PS (148 hp atau 110 kW). Ini digandingkan dengan bateri 51 kWh yang memberikan jarak WLTP sejauh 339 km, atau 476 km dengan kapasiti bateri lebih besar, 69 kWh.

    Kedua-dua konfigurasi ini baru untuk pasaran Eropah, tetapi sudah ditawarkan di Singapura, yang telah menerima versi lebih asas itu dengan angka janaan yang sama sejak Jun 2025. Varian yang dekat dengan penawaran bagi tahap Cat A COE itu datang dalam dua varian, Plus (51 kWh) dan Ultra (69 kWh), dengan tork puncak sebanyak 343 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat dan laju maksimum 180 km/j.

    Sebelum pengumuman penambahan janaan kuasa baru ini, sudah tersedia tiga pilihan penawaran untuk EX30. Versi Single Motor dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 51 kWh dan sebuah motor di belakang dengan janaan 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 343 Nm.

    Ini diikuti oleh versi Single Motor Extended Range yang menggunakan motor elektrik sama, tetapi dengan bateri berbeza: nickel manganese cobalt (NMC) 69 kWh. Varian paling tinggi pula ialah Twin Motor Performance dengan dua motor elektrik dengan janaan 428 PS (422 hp atau 315 kW) dan 543 Nm tork — kedua-duanya kini sedang dibuka untuk tempahan di Malaysia dalam bentuk CKD.

    Selain janaan versi asas yang baru ini, Volvo memaklumkan telah melakukan rekaan semula sepenuhnya ciri pengalaman pengguna (UX) untuk skrin sentuh sistem infotainmen bagi membolehkan penambahan jalur kandungan boleh dikustom serta kawalan latar-sensitif.

    EX30 akan juga menerima fungsi vehicle-to-load (V2L), tetapi adapternya akan dijual berasingan bergantung pasaran mana. Menurut Volvo, UX baru dan fungsi V2L ini akan turut ditawarkan kepada pelanggan sedia ada nanti melalui kemaskini over-the-air (OTA).

    Perubahan dari sudut estetika pula melibatkan penawaran dua tema ruang dalaman, Harvest dan Black. Pilihan yang pertama itu menampilkan balutan fabirk dari bahan kitar semula dalam warna lembut — yang berbeza daripada balutan Nordico yang diperbuat daripada botol PET, hiasan hitam elegan, serta pelapik bumbung hitam.

    Pilihan kedua itu pula menampilkan warna hitam pekat dengan material balutan Nordico. Volvo juga menambah pilihan Black Edition kepada barisan tingkat kemasan yang ditawarkan, yang datang dalam tiga warna luaran: Onyx Black, Vapour Grey dan Crystal White.

     
     
  • Leapmotor C10 Plus di Malaysia – 299 PS, 510 km WLTP, DC 180 kW, Night Edition baharu, dari RM139k

    Leapmotor C10 Plus di Malaysia – 299 PS, 510 km WLTP, DC 180 kW, Night Edition baharu, dari RM139k

    Setelah mula diuar-uarkan ketibaannya awal minggu ini, kini barisan Leapmotor C10 2026 telah pun ada varian baharu dan telah dilancarkan di Malaysia. Varian baharu yang merupakan spesifikasi tertinggi ini dipanggil C10 Plus, diberikan naik taraf mekanikal menyeluruh seperti yang diperkenalkan di China tahun lalu, namun dengan peningkatan harga yang ketara.

    Harganya kini mencecah RM148,000, naik RM23,000 berbanding varian asas C10. Insentif cukai EV bagi versi CBU yang yang telah tamat tahun lalu nampaknya turut mendorong kenaikan harga ini. Stellantis Malaysia sebelum ini pernah berkata pihaknya akan memulakan pemasangan tempatan bagi versi CKD hujung tahun lalu, namun ia tidak disebut di dalam kenyataan media yang dikeluarkan ini.

    Selain itu, terdapat rebat sebanyak RM9,000 yang menjadikan harganya turun kepada RM139,000, sekali gus mengurangkan perbezaan berbanding varian sedia ada kepada RM14,000. Terdapat juga subsidi insurans sebanyak RM4,000 untuk pembeli terawal, yang menjadikan jumlah penjimatan keseluruhan yang dituntut sebanyak RM13,000. Perlindungan waranti kekal selama enam-tahun atau 150,000 km, dengan tambahan waranti bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Leapmotor C10 Plus di Malaysia – 299 PS, 510 km WLTP, DC 180 kW, Night Edition baharu, dari RM139k

    Walau apa pun, kenaikan harga tersebut hadir bersama beberapa kelebihan besar, terutamanya dari segi jarak perjalanan. Kapasiti bateri LFP telah meningkat daripada 69.9 kWh kepada 81.9 kWh, dan digabungkan dengan kecekapan tenaga yang dipertingkatkan kepada 15.1 kWh bagi setiap 100 km, ini membolehkan C10 bergerak sehingga 86 km lebih jauh dengan sekali cas, dengan jarak yang dinilai WLTP mencecah 510 km.

    Masa pengecasan bateri itu kini juga lebih singkat – hasil peralihan kepada seni bina 800 volt, kuasa pengecasan pantas DC yang disokong meningkat daripada hanya 84 kW kepada 180 kW yang jauh lebih baik. Oleh itu, walaupun baterinya lebih besar, pengecasan dari 30 hingga 80% kini hanya mengambil masa 22 minit, iaitu lapan minit lebih pantas berbanding sebelum ini. Walaupun pengecasan AC tidak dinyatakan, ia dijangka kekal pada 11 kW seperti sebelum ini, sebagaimana yang telah dikemas kini tahun lalu.

    Bagi C10 Plus ini, ia juga diberikan peningkatan dari segi prestasi. Walau masih mengekalkan satu motor belakang, namun kini ia menghasilkan 299 PS (220 kW) dan 360 Nm tork, iaitu peningkatan sebanyak 81 PS (60 kW) dan 40 Nm berbanding varian asas. Ini memendekkan masa pecutan 0-100 km/j hampir satu setengah saat, yang kini hanya mengambil masa 6.2 saat. Kelajuan maksimum juga meningkat sebanyak 20 km/j kepada 190 km/j.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan yang dinyatakan pada reka bentuk atau senarai kelengkapan. Selain itu, dalam masa yang sama, turut diperkenalkan edisi terhad Night Edition baharu yang hanya ditawarkan untuk 50 unit sahaja, dengan kos tambahan RM8,000, menjadikan harganya RM156,000, atau RM147,000 dengan rebat yang disebutkan tadi. Edisi ini menampilkan kemasan cat dua tona dengan bumbung hitam, serta kit badan yang merangkumi spoiler hadapan yang menonjol, skirt sisi yang lebih dalam dan diffuser belakang yang lebih agresif. Rim aloi standard 20-inci “Trident” juga diberikan kemasan hitam matte.

    Leapmotor C10 Plus di Malaysia – 299 PS, 510 km WLTP, DC 180 kW, Night Edition baharu, dari RM139k

    GALLERY: Leapmotor C10 Plus 2026

    GALLERY: Leapmotor C10 Plus Night Edition 2026


    GALERI: Leapmotor C10 2025 di Malaysia

     
     
  • Nissan Almera 2026 mula diproduksi di Mexico – generasi baru tapi guna platform dan enjin sedia ada?

    Nissan Almera 2026 mula diproduksi di Mexico – generasi baru tapi guna platform dan enjin sedia ada?

    Nissan Mexicana mengumumkan bahawa ia kini telahpun memulakan produksi bagi Nissan Versa – atau kita kenali di sini sebagai Almera – generasi baharu di kilang A1 Aguascalientes, Mexico. Namun ia belum lagi dilancarkan, dan Nissan masih belum mendedahkan apa-apa maklumat berkenaan model ini, kecuali menyiarkan tiga gambar rasmi sedan berkenaan yang baru disiapkan di kilang tersebut.

    Tiga gambar berkenaan hanya mendedahkan bahagian hadapan sedan ini, menampilkan muka signatur baharu Nissan dengan lampu nyalaan siang nipis bersama bar hitam merentangi sepenuhnya bahagian muncung, bersama logo Nissan di tengah, sementara lampu hadapan utama dan gril diletakkan pada bampar hadapan.

    Namun menerusi gambar-gambar yang tertiris sebelum ini, Versa 2026 tersebut masih menampilkan kerangka badan yang nampak sama seperti model generasi sebelumnya, dan juga lampu belakang pada badan yang masih diberikan rekaan boomerang. Namun model generasi baharu ini menampilkan bar hitam merentangi sepenuhnya penutup but bagi menghubungkan kedua-dua belah lampu, manakala perumah nombor pendaftaran dialih ke bampar.

    Jadi tidak mustahil Versa generasi baharu ini sebenarnya masih menggunakan kerangka dan platform yang sama seperti generasi sebelumnya, kerana Nissan telah melakukan perkara yang sama terhadap Nissan Sentra generasi baharu yang didedahkan di Amerika Syarikat tahun lalu.

    Malah Versa 2026 ini juga mungkin masih mengekalkan unit rangkaian kuasa yang sama – bagi pasaran Amerika dan Amerika Latin, Versa digerakkan oleh enjin 1.6 liter empat-silinder NA berkuasa 122 hp/154 Nm, berbeza dengan Almera di sini yang menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS/152 Nm.

    Namun Versa generasi baharu ini hanya akan kekal di pasaran Amerika Latin, manakala jualannya di Amerika Syarikat dan Kanada dihentikan pada model generasi sebelumnya. Nissan Versa ini juga merupakan model paling laris di Mexico dan telah terjual lebih dari satu juta unit sejak diperkenalkan pada 2011, dan sebab itulah model generasi baharu ini terus diproduksi di negara tersebut serta menjadi pasaran global pertama yang menerimanya.

    “Kami bukan sahaja meraikan lembaran baharu dalam sejarah salah satu model kami yang paling ikonik, tetapi kami juga mengesahkan semula kekuatan, kerelevanan dan kekukuhan operasi pembuatan kami di Mexico. Mencapai pengeluaran lapan juta unit, terutamanya melalui Nissan Versa, membuatkan kami berasa bangga dan mendorong kami untuk terus membina kisah kejayaan ini,” kata Rodrigo Centeno, Presiden dan CEO Nissan dan Infiniti Mexicana.

    Untuk pasaran Asia Tenggara, negara seperti Thailand sudahpun menerima Almera facelift pada 2023. Namun kita di Malaysia masih lagi ditawarkan Almera N18 dengan rupa yang sama sejak ia membuat kemunculan global sulung pada 2019. Jadi agaknya bila model generasi baharu ini akan tiba ke pasaran tempatan?

    GALERI: Imej Nissan Versa 2026 yang tertiris

     
     
  • Jalan yang dibina di atas tanah k’jaan tidak dibenarkan dijual, dipindah milik kepada swasta – NRES

    Jalan yang dibina di atas tanah k’jaan tidak dibenarkan dijual, dipindah milik kepada swasta – NRES

    Jalan yang dibina di atas tanah kerajaan tidak dibenarkan dijual atau dipindah milik kepada pihak swasta, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh. Memandangkan ia merupakan aset strategik negara, penglibatan sektor swasta hanya terhad kepada pengurusan atau penyelenggaraan jalan melalui perjanjian konsesi, tanpa menjejaskan pemilikan kerajaan atau status jalan tersebut sebagai jalan awam.

    Ahli Parlimen Ledang itu menambah bahawa sebarang penutupan, pelupusan atau perubahan status jalan awam tertakluk kepada pewartaan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828).

    “Proses ini melibatkan penelitian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan, kelulusan oleh pihak berkuasa negeri, serta keperluan menyediakan laluan alternatif yang setara atau lebih baik sekiranya akses awam terjejas,” katanya di Dewan Rakyat semalam, laporan Bernama.

    Tambahnya, Kerajaan mengamalkan proses penilaian berperingkat yang merangkumi pengesahan status tanah, penilaian teknikal oleh JKR dan pihak berkuasa tempatan dari segi keselamatan, kapasiti serta kebolehcapaian, selain syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri supaya laluan alternatif yang setara atau lebih baik disediakan sebelum sebarang perubahan dilaksanakan.

     
     
  • Harga minyak 26 Feb-4 Mac – RON97, RON95 tanpa subsidi, diesel di Semenanjung dinaikkan 5 sen seliter

    Harga minyak 26 Feb-4 Mac – RON97, RON95 tanpa subsidi, diesel di Semenanjung dinaikkan 5 sen seliter

    Untuk tempoh antara 26 Februari hingga 4 Mac 2026, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM3.15 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dinaikkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM2.59 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Untuk harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia turut dinaikkan lima sen seliter menjadi RM3.04 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia masih berharga RM2.15 seliter.

    Pada 11 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menjangkakan penjimatan sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun ini susulan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program Budi Madani 95 (Budi95). Menerusi program ini, ia telah merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, atau sehingga 96 juta transaksi sebulan.

    “Saya menegaskan perkembangan ini merupakan satu berita yang amat positif, kerana tidak banyak negara berani mengambil langkah tegas melaksanakan penyasaran subsidi, memandangkan risiko serta cabaran dari sudut penerimaan rakyat,”katanya.

     
     
  • Jaecoo J5 akan dilancarkan di Malaysia 5 Mac ini – anggaran RM110k, lawan X50 & HR-V, 1.5L Turbo, CVT

    Jaecoo J5 akan dilancarkan di Malaysia 5 Mac ini – anggaran RM110k, lawan X50 & HR-V, 1.5L Turbo, CVT

    Omoda | Jaecoo Malaysia menerusi laman media sosial rasminya telah pun mengesahkan bahawa SUV paling kecil dalam barisan modelnya iaitu Jaecoo J5 bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada minggu hadapan, 5 Mac 2026.

    Model ini telah membuat penampilan pertamanya di Malaysia pada Ogos tahun lalu, dan ketika itu ia diumumkan bakal dijual pada harga sekitar RM120,000. Namun menerusi satu lagi pengumuman yang dibuat awal bulan ini, Omoda | Jaecoo menyatakan bahawa harga anggarannya akan ditawarkan lebih rendah iaitu sekitar RM110,000.

    Malah ia juga turut ditawarkan dengan pakej “super early bird” bernilai sehingga RM8,888 untuk pelanggan yang membuat tempahan awal. Pakej ini merangkumi rebat tunai “angpow” sebanyak RM3,888, insurans percuma untuk tahun pertama bernilai RM3,000 serta pakej aksesori bernilai RM2,000. Aksesori yang ditawarkan termasuk subwoofer dalam kabin, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi.

    Jaecoo J5 ini berkongsi platform yang sama dengan Chery Tiggo Cross, dihasilkan dengan panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, dan juga jarak roda 2,620 mm. Jadi ia akan berhadapan terus dengan model-model SUV segmen-B seperti Proton X50 dan Honda HR-V, menampilkan panjang yang sama seperti X50, tetapi 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi serta jarak roda 20 mm lebih jauh berbanding SUV dari Proton tersebut.

    Dari segi rupa, J5 masih nampak seperti abangnya iaitu SUV segmen-C Jaecoo J7 tetapi dalam skala yang lebih kecil. Ia termasuk menampilkan gril hadapan ‘jailbar’ besar serta diberikan lampu hadapan LED nipis dengan jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam, bentuk bayang badan dan cermin tingkap dan juga lampu LED belakang nipis yang diinspirasikan dari rekaan SUV British iaitu Range Rover.

    Namun J5 diberikan pembuka pintu konvensional, berbanding jenis tenggelam yang diberikan pda J7. Model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan set rim aloi berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 235/55R18.

    Jaecoo J5 akan dilancarkan di Malaysia 5 Mac ini – anggaran RM110k, lawan X50 & HR-V, 1.5L Turbo, CVT

    Berbanding pasaran Thailand yang menerima J5 ini dalam versi elektrik penuh (EV) dan telah dilancarkan di sana tahun lalu, Jaecoo J5 untuk pasaran Malaysia disahkan menerima enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210, angka yang sama dicatatkan pada enjin Chery Tiggo Cross 1.5T.

    Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.

    Tidak seperti kebanyakkan SUV segmen-B yang menampilkan suspensi jenis torsion beam yang lebih ringkas di belakang, Jaecoo J5 ini menerima suspensi bebas multilink yang lebih jitu.

    Pada sebelah dalam, J5 menampilkan papan pemuka yang direka minimalis menampilkan hanya berapa butang kawalan fizikal. Papan pemuka berkenaan diberikan satu panel hitam berkilat mendatar yang ‘menyembunyikan’ liang penghembus udara dan juga skrin LCD 8-inci untuk paparan instrumen digital sekiranya ia tidak dihidupkan.

    Jaecoo J5 akan dilancarkan di Malaysia 5 Mac ini – anggaran RM110k, lawan X50 & HR-V, 1.5L Turbo, CVT

    Ia juga diberikan skrin sesentuh 2K untuk sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara menegak bersama WiFi bina-dalam, dihubungkan kepada sistem audio dengan lapan-pembesar suara. Model pasaran Malaysia ini juga disahkan menerima bumbung kaca panaromik sebesar 1.45 ㎡ didakwa terbesar dalam kelasnya, serta merangkumi hampir sepenuhnya bahagian bumbung SUV ini.

    Selain itu, kabin J5 pasaran Malaysia ini akan menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang didakwa ‘mesra haiwan peliharaan’. Manakala untuk but, ia menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 480 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,180 liter jika tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisah dengan nisbah 60/40) sepenuhhnya.

    Bagi sistem keselamatan, Omoda Jaecoo Malaysia cuma mengesahkan bahawa J5 pasaran tempatan ini bakal dilengkapi dengan sistem kamera pemantau 540-darjah serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.5 – jadi boleh dijangka ia akan menerima fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal lorong dan lain-lain.

    Berminat? Kalau nak tahu harga sebenar Jaecoo J5 ini jangan lupa terus bersama kami sehingga pelancaran rasminya minggu hadapan.

    GALERI: Jaecoo J5 yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat

    Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat

    Model Geely EX5 2026 kembali menjadi perhatian selepas sebelum ini muncul dalam dokumen pensijilan kerajaan Australia. Kali ini, laporan oleh CarExpert menyatakan spesifikasi model tersebut terdedah menerusi panduan industri Redbook, sekali gus menunjukkan angka jarak pemanduan rasmi WLTP bagi versi jarak jauh baru. Namun begitu, angka yang diperoleh didapati lebih rendah daripada jangkaan awal.

    EX5 akan terus ditawarkan dalam varian Complete dan Inspire seperti sebelum ini. Meskipun kapasiti bateri Aegis short blade jenis LFP yang dipasang sebagai standard kini meningkat menjadi 68.39 kWh daripada 60.22 kWh, jarak pemanduan pula tidaklah naik banyak.

    Varian Complete yang menggunakan rim 18 inci mencatat jarak sehingga 475 km mengikut kitaran WLTP, manakala varian Inspire dengan rim 19 inci pula mampu bergerak sejauh 450 km. Sebagai perbandingan, model semasa menawarkan jarak masing-masing 430 km dan 410 km.

    Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat

    Perkembangan ini sekali lagi menunjukkan perbezaan ketara antara angka kitaran CLTC dan WLTP. Di pasaran China, model sama yang dikenali sebagai Geely Galaxy E5 didakwa memperoleh tambahan jarak sehingga 80 km dengan bateri lebih besar, menjadikan angka rasmi meningkat daripada 530 km kepada 610 km mengikut kitaran CLTC.

    Namun apabila dinilai berdasarkan piawaian WLTP yang lebih realistik, pertambahan tersebut hanya sekitar 40 hingga 45 km, sekaligus menjadikan peningkatannya kurang dramatik bagi pasaran eksport.

    Bateri lebih besar itu turut menyumbang kepada pertambahan berat sekitar 50 kg. Justeru, tidak mengejutkan apabila prestasi pecutan sedikit terjejas walaupun output kekal pada 218 PS bersamaan 160 kW dan 320 Nm tork. Varian Complete kini mencatat masa 0-100 km/j dalam 7.4 saat berbanding 6.9 saat sebelum ini, manakala Inspire pula mengambil masa 7.6 saat berbanding 7.1 saat sebelumnya. Kelajuan maksimum kekal dihadkan kepada 175 km/j.

    Geely EX5 pasaran Australia – spesifikasi terdedah, jarak gerak WLTP sehingga 475 km, 0-100 km/j 7.4 saat

    Antara perubahan lain yang dijangka termasuk peningkatan kuasa pengecasan pantas DC melebihi 100 kW sebelum ini, bagi memastikan tempoh pengecasan 30 hingga 80 peratus kekal sekitar 20 minit. Fungsi Vehicle-to-Load atau V2L turut dinaik taraf dengan output kini mencecah 6.6 kW, iaitu dua kali ganda berbanding sebelumnya.

    Persoalannya, apakah implikasi perkembangan ini terhadap kembar model berkenaan di Malaysia, iaitu Proton eMas 7? Bateri berkapasiti lebih besar juga dijangka akan diperkenalkan ke pasaran tempatan, namun memandangkan model ini baru sahaja memasuki fasa pemasangan tempatan dengan saiz bateri sedia ada, berkemungkinan pengguna perlu menunggu kemas kini lebih menyeluruh pada masa akan datang.

    Semakan tersebut berpotensi menyaksikan varian Prime turut menerima peningkatan kapasiti bateri, selari dengan apa yang telah dilaksanakan di China. Di sana, unit asas 49.52 kWh yang menawarkan jarak WLTP sejauh 345 km telah digugurkan dan digantikan dengan pek 60.22 kWh seperti yang digunakan pada varian lebih tinggi.

     
     
  • Mahkamah China putuskan pemandu bertanggung jawab apabila guna teknologi pemanduan autonomous

    Mahkamah China putuskan pemandu bertanggung jawab apabila guna teknologi pemanduan autonomous

    Mahkamah Agung Rakyat China memutuskan bahawa pemandu manusia kekal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenderaan yang dipandu, walaupun kenderaan tersebut dilengkapi sistem bantuan pemanduan. Keputusan ini dibuat sebagai langkah memperketatkan peraturan keselamatan susulan satu insiden berprofil tinggi pada Mac tahun lalu yang mengorbankan tiga nyawa, lapor Channel News Asia.

    Kes rujukan bagi keputusan ini melibatkan satu penghakiman pada September lalu di wilayah Zhejiang, China. Dalam kes tersebut, seorang pemandu dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bergantung sepenuhnya kepada fungsi bantuan pemanduan ketika memandu dalam keadaan mabuk. Menurut laporan mahkamah, individu berkenaan memasang alat khas bagi meniru sentuhan tangan pada stereng, menetapkan kenderaan untuk bergerak secara automatik, sebelum bertindak tidur di tempat duduk penumpang.

    Mahkamah Agung Rakyat China dalam penghakimannya menegaskan bahawa sistem bantuan pemanduan dalam kenderaan tidak boleh menggantikan pemandu sebagai subjek utama pemanduan. Walaupun teknologi sedemikian mampu membantu mengawal kenderaan, pemandu masih merupakan individu yang melaksanakan tugas pemanduan dan perlu memastikan keselamatan ketika berada di jalan raya.

    Dengan keputusan terbaru ini, ia kini menjadi piawaian undang-undang di seluruh China. Mahkamah-mahkamah rendah diarahkan untuk menjadikan penghakiman tersebut sebagai rujukan dalam kes-kes seumpamanya pada masa akan datang.

    Ketetapan ini merupakan antara langkah terkini China dalam memperkemas aspek keselamatan automotif. Sebelum ini, negara berkenaan turut mengumumkan larangan terhadap penggunaan pemegang pintu tersembunyi serta stereng jenis yoke. Peraturan baru itu dijadualkan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2027.

    Bagi pemegang pintu tersembunyi, peraturan yang disemak semula menetapkan bahawa ruang lekuk sekurang-kurangnya berukuran 6 sentimeter panjang, 2 sentimeter lebar dan 2.5 sentimeter dalam perlu disediakan bagi membolehkan tangan memegang pemegang dengan selamat. Sementara itu, stereng pula diwajibkan menjalani ujian impak di 10 titik berbeza di sekeliling, termasuk bahagian tengah atas. Keperluan ini secara tidak langsung menolak penggunaan stereng gaya yoke yang tidak mempunyai bahagian atas penuh.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026