Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BYD Racco – bahagian dalam kei car EV pertama BYD didedah, bakal masuk pasaran Jepun tahun ini

    BYD Racco – bahagian dalam kei car EV pertama BYD didedah, bakal masuk pasaran Jepun tahun ini

    Syarikat kenderaan elektrik dari China, BYD, telah menyiarkan foto rasmi ruang dalaman model kei pertamanya yang dikenali sebagai Racco. Model kompak ini dijadual memasuki pasaran Jepun pada musim panas tahun ini, antara bulan Jun hingga Ogos. Racco sebelum ini diperkenalkan kepada umum ketika acara Japan Mobility Show tahun lalu dan namanya dikatakan membawa maksud “memerang laut” dalam bahasa Jepun.

    Dari segi rekaan dalaman, susun atur Racco menepati ciri tipikal sebuah kereta kei di Jepun. Tuil pemilih gear serta kawalan penyaman udara ditempatkan pada panel khas di bahagian papan pemuka. Di bawahnya tersedia tiga lapisan ruang simpanan terbuka, dengan ruang paling atas dilengkapi soket kuasa 12 volt dan soket USB untuk kemudahan pengecasan peranti.

    Bagi pemandu, kluster instrumen digital diletakkan di tengah-tengah dua corong pendingin hawa berbentuk bujur. Skrin sesentuh infotainmen pula terletak di bahagian tengah papan pemuka, diapit oleh corong udara mendatar. Ruang kabin hadapan direka kompak seperti kebanyakan model kei, menjadikan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan agak berdekatan antara satu sama lain. Walaupun tiada paparan khusus bagi tempat duduk baris kedua, Racco diketahui menawarkan empat tempat duduk secara keseluruhan.

    Menurut BYD, setiap sentuhan dalam kabin direka agar terasa selamat dan lembut apabila dipegang. Bentuk tuil gear misalnya dikatakan direka supaya sesuai dan selesa dalam genggaman tapak tangan. Walaupun bersaiz kecil, aspek praktikaliti tetap diberi perhatian. Racco menyediakan ruang menegak khas untuk menyimpan payung panjang, ruang khas untuk kad dan telefon pintar yang kerap digunakan serta pemegang botol dan cawan yang mudah dicapai.

    Dari segi dimensi, Racco berukuran 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar dan 1,800 mm tinggi, selari dengan peraturan kategori kei di Jepun. Ia dilaporkan menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) yang dibekalkan oleh FinDreams, anak syarikat BYD. Pek bateri tersebut menawarkan jarak pemanduan sehingga 180 km mengikut kitaran WLTP dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW.

    Di Jepun, Racco dijangka dijual pada harga bermula sekitar 2.5 juta yen, bersamaan kira-kira RM63,000. Dalam segmen kenderaan elektrik kei, ia bakal bersaing dengan beberapa model lain seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan Nissan Sakura. Kehadiran Racco sekali gus menandakan langkah awal BYD untuk menembusi pasaran kei EV yang semakin berkembang di Jepun.

     
     
  • Nissan Kicks facelift 2026 akan dilancar di Thailand Mac ini – rupa sama dengan Nissan Kait pasaran Brazil

    Nissan Kicks facelift 2026 akan dilancar di Thailand Mac ini – rupa sama dengan Nissan Kait pasaran Brazil

    Nissan telahpun melancarkan Nissan Kicks generasi kedua sekitar dua tahun lalu iaitu pada Mac 2024. Namun untuk kita di pasaran Asia Tenggara mungkin akan lambat lagi menerima model tersebut kerana menurut laporan media automotif Thailand iaitu Autolife, Kicks generasi pertama sedia ada akan diberikan satu lagi facelift dan akan dilancarkan di negara tersebut pada penghujung bulan hadapan iaitu ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2026.

    Laporan itu turut menyebut bahawa Kicks facelift 2026 ini akan menampilkan rupa yang sama dengan Nissan Kait. Bagi yang belum mengetahui, Nissan Kait adalah SUV yang diasaskan dari Kicks generasi pertama, diberikan perubahan luaran yang menyeluruh, dibangunkan untuk pasaran Amerika Latin dan mula diproduksi di Brazil bermula Disember tahun lalu.

    Sekali tengok Kait memang nampak tiada kait-mengait dengan Nissan Kicks kerana mukanya menerima lampu hadapan LED yang lebih tirus dan bersegi yang dihubungkan antara kiri dan kanan menerusi satu bar dengan logo Nissan di tengah, bersama tiga-baris LED untuk lampu nyalaan siang pada bampar.

    Gril utama juga terletak di bawah iaitu pada bampar dan ia turut menampilkan kemasan seperti skid plate di bawahnya. Kait turut menerima penutup bonet hadapan dan juga fender baharu bagi disesuaikan dengan muka baharu berkenaan. Namun jika anda lihat dari sisi, boleh dilihat Kait masih menerima rekaan pintu hadapan dan juga belakang serta garis bumbung yang sama dengan Nissan Kicks generasi pertama.

    Nissan Kicks facelift 2026 akan dilancar di Thailand Mac ini – rupa sama dengan Nissan Kait pasaran Brazil

    Nissan Kait, Resende, RJ, Novembro/2025.
    FOTO: Pedro Danthas/Divulgação Nissan

    Di belakang pula, Kait turut diberikan rombakan rekaan yang menampilkan lampu lebih nipis dan bersegi, perumah nombor pendaftaran dipindahkan ke bawah serta rekaan bampar belakang berlainan yang nampak lebih lasak.

    Walau bagaimanpun Kicks facelift ini kelak akan mengekalkan unit rangkaian kuasa hibrid e-Power yang sama, menggandingkan enjin petrol HR12DE 1.2 liter tiga-silinder berkuasa 82 PS/103 Nm yang bertugas hanya untuk mengecas semula bateri 2.06 kWh, manakala roda hadapan digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 129 PS/280 Nm. Ia berbeza dengan Nissan Kait yang hanya ditawarkan dengan enjin petrol biasa HR16DE 1.6 liter empat-silinder NA digandingkan bersama kotak gear CVT Xtronic.

    Di Malaysia kita menerima versi sedia ada Nissan Kicks e-Power yang dilancarkan pada Disember 2024, berbanding Thailand yang sudah menerimanya sejak tahun 2020. Jadi agaknya bila kita akan menerima versi facelift ini, dan bila pula versi Kicks generasi kedua akan tiba di sini?

    GALERI: Nissan Kait pasaran Amerika Latin

     
     
  • Kastam Johor sita 42 kenderaan mewah bernilai RM21.57j menerusi Ops Terma antara 1 Jan-6 Feb 2026

    Kastam Johor sita 42 kenderaan mewah bernilai RM21.57j menerusi Ops Terma antara 1 Jan-6 Feb 2026

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor telah menyita 42 kenderaan mewah bernilai RM7.28 juta dengan implikasi cukai RM14.09 juta dengan jumlah keseluruhan mencecah RM21.57 juta menerusi Ops Terma iaitu operasi membanteras sindiket syarikat pengimport kereta.

    Menerusi operasi yang dilaksanakan antara 1 Januari hingga 6 Februari 2026 ini, JKDM turut menahan empat orang individu yang disyaki terlibat dengan sindiket terbabit laporan Malaymail.

    Ops Terma menyasarkan gudang kereta mewah berlesen serta rondaan darat di seluruh negeri, dengan sebanyak 341 pemeriksaan dilakukan, kata Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi.

    “Sebanyak 21 kes telah dibuka untuk siasatan, melibatkan pemilik berusia antara 40 hingga 50 tahun, di mana syarikat mereka gagal melunaskan duti ke atas kenderaan import dalam tempoh 24 bulan yang ditetapkan, walaupun diberikan tempoh ihsan sehingga 48 bulan,” katanya kepada pemberita di Menara Kastam Johor.

    Kenderaan yang disita, diimport dari negara termasuk Jepun dan United Kingdom, melibatkan jenama seperti Mercedes-Benz, BMW, Toyota, Lexus dan Suzuki.

    Aminul Izmeer turut berkata sebahagian kenderaan itu juga didapati telah digunakan di jalan raya sebelum duti dibayar.

    “Operasi tersebut bertujuan memastikan pematuhan terhadap Seksyen 65 dan 75 Akta Kastam 1967 yang mengawal selia gudang berlesen serta sekatan import kenderaan. Ia turut menyasarkan kenderaan yang diimport secara tidak sah, termasuk dari Singapura tanpa permit import yang sah di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya lagi.

     
     
  • Rapid Rail lanjut operasi waktu puncak sepanjang Ramadan – 6:30 pagi-9:30 pagi, dan 4 petang-8 malam

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) melanjutkan waktu operasinya bagi menampung corak perjalanan penumpang sepanjang bulan Ramadan, laporan The Star. Waktu puncak akan bermula dari 6:30 pagi hingga 9:30 pagi, dan dari 4 petang hingga 8 malam, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Sebagai perbandingan, waktu puncak biasa pada bulan-bulan lain adalah dari 7 pagi hingga 9:30 pagi, dan dari 5 petang hingga 7:30 malam.

    “Langkah ini diambil bagi memastikan operasi lebih lancar, meningkatkan keselesaan penumpang serta menampung jumlah orang ramai yang menggunakan tren Rapid Rail sebagai pilihan utama untuk menuju ke lokasi berbuka puasa,” kata menteri itu, yang turut memaklumkan bahawa lanjutan waktu puncak ini dilaksanakan setiap tahun sepanjang Ramadan.

    Rapid Rail lanjut operasi waktu puncak sepanjang Ramadan – 6:30 pagi-9:30 pagi, dan 4 petang-8 malam

    Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang bertanya sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah sempena bulan Ramadan berikutan perubahan pola pergerakan penumpang.

    “Namun langkah penyelenggaraan ramalan dan pencegahan iaitu untuk memastikan penyelenggaraan secara berkala kepada sistem kita dan juga (penyelenggaraan) kepada tren kita berjalan sepanjang masa untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya gangguan,” kata Loke.

    Tambah beliau lagi, terdapat kakitangan teknikal di dalam tren untuk mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan, dan kakitangan stesen juga dilatih bagi mengurus kawalan orang ramai dengan cekap bagi mengurangkan kesesakan.

     
     
  • LRT3 Laluan Shah Alam dijangka beroperasi sebelum Jun, 14 daripada 22 tren selesai jalani ujian – Loke

    LRT3 Laluan Shah Alam dijangka beroperasi sebelum Jun, 14 daripada 22 tren selesai jalani ujian – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dijangka beroperasi sebelum Jun ini, selepas semua proses ujian, pentauliahan dan penyelesaian isu teknikal disiapkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, laporan Bernama.

    Katanya, setakat ini dua kumpulan tren melibatkan 14 daripada 22 tren telah selesai menjalani ujian larian tanpa gagal (FFR) manakala satu lagi kumpulan merangkumi lapan tren masih dalam proses menjalani ujian berkenaan selama 22 hari.

    “Setakat semalam masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan selepas ujian FFR ini dijalankan terhadap semua tren ini, maka proses seterusnya ialah ujian dan pentauliahan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    “Semuanya dijangka disiapkan dalam masa satu hingga dua bulan akan datang. Jadi jadual baharu yang diletakkan sebagai sasaran ialah pada Mac tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jaminan tarikh baharu projek itu dapat disiapkan selepas beberapa kali mengalami penangguhan.

    LRT3 Laluan Shah Alam dijangka beroperasi sebelum Jun, 14 daripada 22 tren selesai jalani ujian – Loke

    Beliau turut menafikan kelewatan pengoperasian LRT3 berkait dengan langkah rasionalisasi kos projek, sebaliknya berpunca daripada isu teknikal yang timbul semasa fasa ujian sistem.

    Dalam masa yang sama, katanya, Prasarana Malaysia Berhad sedang mempercepat penyiapan projek dan semua ujian berkaitan supaya laluan itu dapat dibuka lebih awal daripada bulan Jun.

    “Apa yang berlaku sekarang ialah isu teknikal, bukannya isu pengurangan kos. Langkah pengurangan kos sebelum ini telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk mekanisme pelaksanaan projek. Ketika itu terdapat stesen yang dikurangkan bagi menjimatkan kos.

    “Namun apa yang berlaku sekarang tidak mempunyai kaitan langsung dengan keputusan rasionalisasi kos atau kaedah pelaksanaan projek pada 2018,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosni Sohar yang ingin mengetahui sama ada pengurangan kos dan skop projek menyumbang kepada kelewatan projek berkenaan.

    Loke turut mendedahkan, kontraktor utama LRT3 iaitu Setia Utama LRT3, anak syarikat Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) perlu membayar Ganti Rugi Tertentu dan Ditentukan (LAD) disebabkan kelewatan projek ini iaitu sebanyak RM2.73 juta bagi setiap hari kelewatan.

    “Kadar LAD tersebut, bersamaan 0.024% daripada jumlah nilai kontrak, adalah bagi memastikan kontraktor memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kelewatan dalam projek berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa jumlah keseluruhan pampasan hanya akan diketahui selepas projek itu siap sepenuhnya.

     
     
  • Horse Powertrain dedah enjin H12 Concept – mampu capai penggunaan bahan api tak sampai 3.3L/100 km

    Horse Powertrain dedah enjin H12 Concept – mampu capai penggunaan bahan api tak sampai 3.3L/100 km

    Syarikat pembekal unit rangkaian kuasa kerjasama Geely dan Renault iaitu Horse Powertrain memperkenalkan enjin Horse H12 Concept, iaitu enjin konsep generasi baharu yang menunjukkan teknologi enjin pembakaran dalaman dengan penggunaan bahan api yang sangat rendah untuk digandingkan dengan sistem hibrid. Ia juga dibina dengan kerjasama syarikat petroleum dari Sepanyol iaitu Repsol, di mana enjin H12 Concept ini beroperasi dengan bahan api yang 100% boleh diperbaharui dibekalkan oleh syarikat tersebut.

    Enjin H12 Concept ini sebenarnya merupakan evolusi dari enjin HR12 yang boleh ditemui pada model-model produksi sedia ada seperti Nissan Kicks e-Power yang kini dijual di pasaran Malaysia. Antara pembaharuan yang dibuat adalah termasuk merombak rekaan kebuk pembakaran bagi membolehkan ia mencapai nisbah mampatan sehingga 17:1, diberikan sistem edaran semula gas ekzos (EGR) generasi baharu, menggunakan pengecas turbo yang dioptimakan, sistem penyalaan tenaga-tinggi, pengurangan geseran komponen-komponen dalaman menerusi penggunaan minyak pelincir dari Repsol serta kotak gear hibrid baharu dengan pengurusan tenaga yang dioptimakan.

    Hasilnya enjin Horse H12 Concept ini mampu untuk mencapai kecekapan haba brek puncak (BTE) 44.2% sekaligus dapat mencapai kadar penggunaan bahan api 40% lebih rendah (berbanding penggunaan bahan api purata kenderaan penumpang di Eropah pada 2023) iaitu di bawah 3.3 liter untuk setiap 100 km, berdasarkan kitaran ujian WLTP.

    Horse Powertrain dedah enjin H12 Concept – mampu capai penggunaan bahan api tak sampai 3.3L/100 km

    Menurut Horse Powertrain lagi, dengan beroperasi menggunakan bahan api 100% diperbaharui, kereta saiz sederhana yang dipadankan dengan enjin H12 Concept ini akan menghasilkan 1.77 tan C02 setahun lebih rendah dari kereta yang menggunakan bahan api tradisional dengan perjalanan sejauh purata 12,500 km.

    “Enjin Horse H12 Concept ini merupakan contoh bagaimana enjin berkeberkesanan tinggi dan bahan api boleh diperharui boleh mengurangkan pencemaran hari ini, tanpa menunggu solusi-solusi masa hadapan. Sebagai syarikat, kami percaya bahawa dengan bergantung hanya pada satu teknologi bukanlah cara yang paling cepat untuk mengurangkan pencemaran. Sebab inilah mengapa kami menyokong pendekatan neutral teknologi yang membolehkan inovasi merentasi semua solusi – elektrik, hibrid, enjin penambah jarak dan bahan api rendah karbon,” kata CEO Horse Powertrain, Patrice Haettel.

     
     
  • Penguatkuasa JPJ dibaling mercun oleh mat rempit ketika rondaan berhampiran Lebuhraya LATAR

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor mengesahkan insiden pegawai penguatkuasanya yang dibaling mercun oleh sekumpulan penunggang motosikal sewaktu sedang melakukan operasi trafik berhampiran Lebuhraya LATAR pada malam kelmarin, laporan Buletin TV3.

    Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota JPJ menjalankan rondaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar Lebuhraya LATAR dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri. Motosikal berkenaan ditahan selepas penunggang dan pemboncengnya didapati tidak memakai topi keledar selain tiada lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans. Susulan itu, notis kesalahan dikeluarkan terhadap kedua-dua individu terbabit.

    Walau bagaimana pun, ketika pegawai JPJ sedang mengeluarkan notis, sekumpulan penunggang motosikal dianggarkan antara 20 hingga 30 orang didakwa mula membaling mercun beberapa kali dari kawasan bukit berhampiran deretan kedai baharu. Malah sebahagian daripada kumpulan itu kemudian menghampiri anggota penguatkuasa dan penunggang yang disaman sebelum beredar dari lokasi.

    Penguatkuasa JPJ dibaling mercun oleh mat rempit ketika rondaan berhampiran Lebuhraya LATAR

    Beberapa individu yang masih berada di tempat kejadian terus membaling mercun ke arah pegawai JPJ dan penunggang terbabit, manakala yang lain didakwa melakukan provokasi di lampu isyarat berhampiran dengan mengaumkan ekzos motosikal serta menjerit kata-kata kesat. Atas faktor keselamatan, pasukan JPJ beredar selepas selesai tindakan penguatkuasaan.

    Susulan kejadian tersebut, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, berkata pihaknya memandang serius perbuatan itu kerana boleh mengundang risiko kepada anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain.

    “Kami tidak berkompromi dengan mana-mana pihak menghalang tugas penguatkuasaan atau bertindak agresif terhadap pegawai yang menjalankan tanggungjawab. Saya sudah mengarahkan anggota terbabit membuat laporan polis berhubung insiden itu,” katanya.

    Tambahnya, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan undang-undang trafik dan menggesa orang ramai menghormati anggota penguat kuasa serta mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

     
     
  • Puspakom umum fungsi bayaran balik menerusi aplikasi GiCheck ditangguh hingga 8 Mac 2026

    Puspakom umum fungsi bayaran balik menerusi aplikasi GiCheck ditangguh hingga 8 Mac 2026

    Puspakom telah mengumumkan penangguhan sementara bagi fungsi bayaran balik menerusi aplikasi GiCheck, yang dilancarkan pada awal bulan ini. Penangguhan tersebut bermula hari ini (23 Februari) sehingga 8 Mac 2026, dan akan diaktifkan semula mulai jam 12.01 tengahmalam pada 9 Mac ini.

    Syarikat pemeriksaan kenderaan itu turut berkata sepanjang tempoh tersebut, permohonan bayaran balik tidak dapat dimohon melalui aplikasi GiCheck dan hanya boleh dibuat semula selepas sistem kembali beroperasi.

    Difahamkan bahawa tempoh kelayakan untuk bayaran balik adalah satu bulan dari tarikh pemeriksaan. Jika tempoh ini bertindih dengan gangguan sistem, baki hari yang terjejas akan dibawa ke hadapan sebaik sahaja sistem kembali beroperasi.

    Sebagai contoh, jika tarikh pemeriksaan kenderaan anda ialah 28 Januari, tempoh kelayakan asal untuk bayaran balik adalah sehingga 28 Februari. Namun, memandangkan gangguan sistem GiCheck bermula pada 23 Februari, enam hari yang ‘hilang’ itu akan dibawa ke hadapan, menjadikan tarikh akhir baharu ialah 5 Mac.

    Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila hubungi khidmat pelanggan Puspakom di talian 03-51017000.

     
     
  • Audi RS5 Sedan, Avant 2026 didedah- 2.9L V6 Turbo berkembar PHEV, 639 PS/825 Nm, 0-100 km/j 3.6s!

    Audi RS5 Sedan, Avant 2026 didedah- 2.9L V6 Turbo berkembar PHEV, 639 PS/825 Nm, 0-100 km/j 3.6s!

    Bedfordgreen metallic, Progressiv red metallic, outdoor static photo, exterior, three-quarter front and three-quarter rear view

    Audi secara rasminya telah mendedahkan model baharu RS5 2026, iaitu model prestasi pertamanya yang menggunakan teknologi plug-in hybrid (PHEV). Model ini juga dihasilkan untuk menggantikan RS4 dan juga RS5 sebelum ini, oleh itu ia diperkenalkan dalam bentuk badan Sedan dan juga wagon atau dikenali sebagai Avant.

    Tak pastilah sistem PHEV yang dipadankan oleh Audi ini bagi membolehkan ia melepasi undang-undang emisi yang semakin ketat atau ia semata-mata untuk memberikan kuasa tambahan. Ini kerana walaupun ada bantuan elektrifikasi, Audi tidak menggunakan enjin petrol dengan sesaran lebih kecil, sebaliknya masih lagi menggunakan enjin 2.9 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar, sama seperti RS4/RS5 sebelum ini.

    Namun enjin petrol berkenaan dipertingkat dengan adaptasi sistem kitaran Miller, dan kini ditala bagi menghasilkan kuasa 510 PS dan tork maksima 600 Nm, jauh lebih besar dari versi sebelum ini yang hanya dibekalkan dengan 450 PS/600 Nm. Tidak cukup dengan itu, sebuah motor elektrik berkuasa 177 PS dan tork 460 Nm disumbat pada gandar belakang, memberikan kuasa keseluruhan 639 PS dan tork maksima 825 Nm pada RS5 ini!

    Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda, dan padanan tersebut membolehkan RS5 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum ia mencapai kelajuan maksima 285 km/j. Audi RS5 2026 ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik penuh tanpa enjin petrol dihidupkan sejauh 84 km, atau sehingga 87 km dalam kawasan bandar.

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri berkapasiti 25.9 kWj yang diletakkan pada lantai ruang but belakang. Sistem PHEV pada RS5 ini berfungsi dengan asas elektrikal 400-volt, sama seperti kenderaan elektrik (EV) penuh sebenar. Jadi ia boleh dicas semula dengan pengecas AC sehingga 11 kW membolehkan kuasa dipenuhkan dalam masa 2.5 jam.

    Bukan hanya untuk menggerakkan kereta, malah motor elektrik yang terletak di dalam gandar belakang berkenaan turut mempunyai peranannya dalam sistem Torque Vectoring elektro-mekanikal yang digelar sebanagi Dynamic Torque Control, di mana tork antara roda kiri dan kanan belakang akan diagihkan secara tepat mengikut situasi bagi memberikan cengkaman paling optimum.

    Tork bukan hanya diagih untuk roda kiri dan kanan belakang, malah agihan turut dibuat antara gandar hadapan dan belakang menerusi LSD tengah yang terletak di dalam kotak gear lapan kelajuan automatik. LSD berkenaan akan mengagihkan tork secara bervariasi antara 70/30 hingga 15/85 mengikut situasi. Menurut Audi LSD tengah ini bukan sahaja akan meningkatkan cengkaman roda, malah ia turut memberikan pemanduan yang lebih dinamik, lincah dan mudah dikendalikan dengan mengurangkan understeer.

    Malah ia turut disediakan dengan mod pemanduan seperti Dynamic di mana tork akan sentiasa rasa lebih pada gandar belakang bagi memberikan gerakan oversteer yang dibuat secara sengaja ketika keluar dari selekoh. Dan lebih ekstrem, ia juga diberikan mod RS Torque Rear, di mana ia membolehkan kereta ini dipandu secara Drift dalam keaadaan terkawal.

    Walau bagaimanapun, dengan sistem PHEV dan juga pacuan semua roda yang lebih kompleks ini menyebabkan berat keseluruhan RS5 ini juga bertambah – RS5 sedan ditimbang dengan berat 2,355 kg, manakala versi wagon Avant pula lebih berat dengan 2,370 kg.

    Audi RS5 Sedan, Avant 2026 didedah- 2.9L V6 Turbo berkembar PHEV, 639 PS/825 Nm, 0-100 km/j 3.6s!

    Progressiv red metallic, indoor static photo, interior

    Namun seperti biasa, RS5 ini menerima casis istimewa untuk memastikan ia kekal lincah walaupun dengan badan lebih berat yang menampilkan konfigurasi suspensi jenis bebas lima-pautan untuk hadapan dan belakang. Ia dipadankan dengan penyerap hentak RS injap berkembar yang dapat memberikan keseimbangan antara prestasi pengendalian dan juga keselesaan.

    Sistem stereng juga menerima talaan khas RS di mana ia menggunakan nisbah 13:1 yang memberikan rasa yang lebih terus dan reaksi lebih pantas berbanding model A5 biasa. Manakala untuk roda pula RS 5 ini diberikan set rim aloi forged 20-inci dengan tayar 285/35R20. Pembeli turut boleh memilih rim aloi forged lebih besar berdiameter 21-inci dengan lebar bahagian depan 10 J dan belakang lebih lebar berukuran 10.5 J, dalam kemasan metallic black, Neodymium gray matte, atau dua tona gandingan diamond-cut dan black metallic.

    Bagi menghentikan gergasi ini pula, ia dipadankan dengan set brek RS standard dengan cakera logam 420 mm di hadapan dan 400 mm di belakang, bersama angkup yang boleh dipilih untuk menerima kemasan hitam atau merah. Audi turut menawarkan opsyen brek RS seramik dengan cakera 440 mm di hadapan dan 410 mm di belakang, di mana brek ini bukan sahaja lebih tahan panas dan lebih besar, malah ia juga sekitar 30 kg lebih ringan.

    Audi RS5 Sedan, Avant 2026 didedah- 2.9L V6 Turbo berkembar PHEV, 639 PS/825 Nm, 0-100 km/j 3.6s!

    Progressiv red metallic, indoor static photo, interior

    Seperti biasa, bahagian luaran untuk RS5 ini tampil jauh lebih garang berbanding A5 biasa menerusi badan yang jauh lebih lebar dan berotot bagi menempatkan set roda yang lebih besar serta geometri suspensi yang menampilkan jarak trek roda lebih jauh.

    Bukan itu sahaja, RS5 ini juga menerima bampar hadapan dengan apron lebih agresif yang menampilkan gril dan liang ambilan udara lebih besar seperti mahu mengaut semua udara di hadapan untuk masuk ke ruang enjin. Begitu juga dengan bampar belakang di mana RS5 diberikan diffuser udara yang sangat agresif serta menonjolkan tip ekzos berkembar bersaiz besar.

    Untuk lampu, Audi menawarkan pilihan lampu hadapan LED Matrix yang digelapkan serta diberikan lampu nyalaan siang digital khas RS, manakala di belakang ia diberikan lampu OLED 2.0 yang menampilkan fungsi komunikasi bagi memberikan amaran kepada pemandu kenderaan lain jika berlaku insiden.

    Manakala di dalam, RS5 ini diberikan paparan Audi MMI Panorama yang melengkung terdiri dari paparan instrumen dengan skrin Audi virtual cockpit 11.9-inci dan juga skrin infotainmen MMI Touch Display 14.5-inci, di mana kedua-duanya turut menampilkan paparan khas prestasi RS. Tidak cukup dengan itu pemandu turut diberikan dengan paparan head-up, dan penumpang hapadan juga diberikan skrin sendiri pada papan pemuka bersaiz 10.9-inci.

    Selain itu kabin RS5 ini juga menerima roda stereng RS rata di bawah balutan kulit Nappa dan penandu pukul 12, tempat duduk sport dengan larasan kuasa dan fungsi pengurut, serta pilihan pelbagai material upholsteri termasuk gentian mikro Dinamica, fabrik Cascade dan juga kemasan-kemasan brushed aluminium dan gentian karbon.

     
     
  • Microsleep antara penyumbang statistik kemalangan jalan raya, 20% kes dilaporkan setiap tahun – MIROS

    Microsleep antara penyumbang statistik kemalangan jalan raya, 20% kes dilaporkan setiap tahun – MIROS

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata antara penyumbang utama statistik kemalangan jalan raya di negara ini ialah sindrom tertidur seketika sewaktu sedang memandu atau microsleep, dengan kira-kira 20% kes termasuk kematian dilaporkan setiap tahun.

    Menurut Ketua Pengarah MIROS Prof Madya Dr Siti Zaharah Ishak, microsleep berlaku akibat keletihan dan kelesuan, selain dipengaruhi jam biologi tubuh, khususnya ketika musim perayaan yang membabitkan perjalanan jauh, tempoh pemanduan terlalu lama serta perubahan corak pemanduan, laporan Bernama.

    Microsleep berlaku apabila kita memandu dalam keadaan tanpa sedar untuk seketika. Kadang-kadang, kita kenal pasti juga pemandu yang mengalami microsleep dalam keadaan mata terbuka tetapi dalam keadaan tidak sedar antara dua hingga 10 saat,” katanya pada program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Microsleep – Urus Keletihan, Kurangkan Kemalangan’ di Bernama TV pagi tadi.

    Beliau menambah, risiko kemalangan meningkat ketara pada musim perayaan susulan pertembungan dengan cuti sekolah di mana unjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menunjukkan terdapat lebih dua juta kenderaan bergerak di lebuhraya sepanjang tempoh itu.

    Microsleep antara penyumbang statistik kemalangan jalan raya, 20% kes dilaporkan setiap tahun – MIROS

    “Antara simptom awal gejala microsleep ialah pemandu kerap mengubah posisi duduk serta momentum kelajuan kenderaan yang tidak konsisten, sekali gus menuntut mereka mendapatkan rehat yang cukup, merancang masa perjalanan menggunakan aplikasi dan berhenti sekiranya mengantuk.

    “Secara purata, manusia memerlukan tujuh jam tidur bagi memastikan badan benar-benar segar, namun kualiti tidur lebih penting berbanding tempohnya. Sekiranya mengantuk ketika memandu, pemandu dinasihatkan berhenti serta berehat di Kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang lebuhraya,” katanya.

    Selain itu, beliau juga menyarankan pemandu membuka tingkap seketika bagi mendapatkan udara segar, berinteraksi dengan kenderaan lain seperti menyalakan lampu tinggi atau membunyikan hon sekiranya mengalami keletihan, yang juga boleh membantu menyedarkan pemandu lain yang mungkin berdepan gejala sama.

    Beliau turut berkata bahawa MIROS menjalankan penilaian teknologi kenderaan, termasuk mengenal pasti Sistem Bantuan Pemandu Termaju, pada kenderaan baharu yang dilengkapi amaran keluar lorong serta sistem brek kecemasan automatik bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengubah tingkah laku pemanduan.

     
     
  • Audi masih akan keluarkan Concept C versi produksi

    Audi masih akan keluarkan Concept C versi produksi

    Audi mengesahkan bahawa versi produksi bagi Concept C masih berada di landasan yang tepat untuk diperkenalkan secara rasmi pada tahun hadapan – lapor Autocar.

    Pengesahan ini muncul selepas satu surat dalaman daripada Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, kepada para pekerja syarikat itu disebarkan oleh media Jerman, Donaukurier. Dalam surat berkenaan, Döllner menjawab kebimbangan berkaitan masa depan kereta sport elektrik Audi yang sedang dibangunkan bersama Porsche itu.

    Beliau menegaskan bahawa penghantaran platform oleh Porsche tidak menjadi persoalan dan kerjasama antara kedua-dua jenama berjalan dengan baik menerusi kolaborasi erat antara pasukan Porsche dan Audi. Kenyataan ini hadir susulan laporan bahawa model pengganti kepada Porsche 718 Boxster dan Porsche 718 Cayman sedang direka semula untuk menggunakan enjin petrol, sekali gus menyimpang daripada perancangan awal yang hanya memfokuskan kepada kuasa elektrik sepenuhnya.

    Audi masih akan keluarkan Concept C versi produksi

    Terdahulu, timbul tanda tanya mengenai hala tuju 718 generasi baru, versi elektrik selepas Michael Leiters mengambil alih jawatan CEO Porsche daripada Oliver Blume berkuat kuasa 1 Januari tahun ini. Laporan Bloomberg menyatakan bahawa di bawah kepimpinan Leiters, Porsche sedang menilai semula kemungkinan membatalkan model sport dua pintu elektrik sepenuhnya yang bakal diperkenalkan.

    Perkembangan itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan terhadap masa depan Audi Concept C versi produksi, yang secara dalaman dikenali sebagai C-Sport. Namun, surat dalaman oleh Döllner bertujuan memberi jaminan kepada warga kerja Audi bahawa perancangan untuk model sport elektrik jenama itu kekal seperti yang dirancang.

    Menurut Döllner ketika pelancaran model konsep tersebut sebelum ini, model produksi yang bakal terhasil daripada Concept C akan ditawarkan sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya tanpa sebarang perancangan untuk varian enjin pembakaran dalaman.

    Pada Disember lalu, Porsche dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengubah suai model Boxster dan Cayman generasi seterusnya bagi menempatkan enjin pembakaran dalaman di bahagian tengah. Langkah itu memerlukan kejuruteraan semula yang signifikan memandangkan platform PPE yang digunakan untuk model elektrik menjadikan pek bateri sebagai sebahagian struktur utama yang menanggung beban casis.

    GALLERY: Audi Concept C

     
     
  • Smart lane jangan sampai ganti lorong kecemasan; boleh bahayakan dan lambatkan respon penyelamat

    Smart lane jangan sampai ganti lorong kecemasan; boleh bahayakan dan lambatkan respon penyelamat

    Pembukaan smart lane di lebuh raya sejak 12 Februari lalu memang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan ketika musim perayaan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, menurut ahli-ahli dalam bidang keselamatan jalan raya, pelaksanaan Smart Lane itu tidak boleh sampai membahayakan keselamatan, lapor The Star.

    “Walaupun dengan mengubah lorong kecemasan menjadi lorong tambahan untuk lalu lintas ketika waktu puncak terlihat sebagai satu pilihan penyelesaian yang praktikal dan murah untuk mengurangkan kesesakan, tetap ada risiko yang datang bersamanya,” jelas Profesor Madya dan pakar keselamatan jalan raya di Universiti Putra Malaysia (UPM), Law Teik Hua.

    Smart lane ada baik dan buruknya. Di satu sisi, ia membantu mengurangkan kesesakan dengan cara menggunakan lorong sedia ada tanpa perlu membina yang baru. Namun, ada kerisauan tentang aspek keselamatan ketika melibatkan kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan itu, serta sukar dan lambat untuk mengesan kejadian di lorong kecemasan,” jelas beliau.

    Smart lane jangan sampai ganti lorong kecemasan; boleh bahayakan dan lambatkan respon penyelamat

    “Bahu jalan direka untuk kegunaan kenderaan bermasalah, ambulans serta pasukan penyelamat untuk memudahkan mereka bertindak pantas. Menggunakan lorong itu sebagai tambahan bagi aliran trafik akan memberi kesan terhadap maklum balas keselamatan seperti dinyatakan itu. Jika dilakukan tanpa kaedah yang betul, risikonya mungkin akan lebih daripada manfaat yang diberikan tersebut,” tambahnya.

    Di luar negara, laluan seumpama itu membolehkan penggunaan yang dinamik bagi bahagian bahu jalan untuk meningkatkan kapasiti trafik, dan bahu jalan sementara yang digunakan di AS dan Australia adalah tertakluk kepada kawalan operasi yang ketat, yang disokong oleh papan tanda yang jelas, pengurusan had laju, penguatkuasaan dan pemantauan, ujarnya.

    Contoh yang ada ini menunjukkan bahawa smart lane memang boleh berhasil di Malaysia, tetapi hanya jika pemantauan yang ketat dilaksanakan, seperti mengawal tempoh aktif yang terkawal, yang hanya digunakan untuk kesesakan waktu puncak, dan perlu serta-merta ditutup jika trafik kembali lancar. “Ia tidak boleh menjadi langkah kekal untuk meningkatkan kapasiti di lebuh raya,” tambahnya Law lagi.

    Smart lane jangan sampai ganti lorong kecemasan; boleh bahayakan dan lambatkan respon penyelamat

    Sementara itu, ahli majlis eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Datuk Suret Singh berkata, smart lane tidak boleh menggantikan lorong kecemasan, yang diwujudkan untuk membantu maklum balas cekap bagi kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku kemalangan dan bencana.

    Antara faktor yang menyumbang kepada kesesakan di lebuh raya ialah tawaran diskaun dan pengecualian tol ketika musim perayaan, ujarnya. “Tawaran diskaun tol untuk sehari dua adalah idea yang tidak bernas, kerana pengguna akan merancang perjalanan mereka mengikut tempoh tersebut. Ini mengakibatkan kesesakan serta tempoh waktu puncak palsu untuk pengguna yang mungkin akan melakukan perjalanan mereka pada tarikh atau waktu yang lain,” ujarnya.

    “Dengan mengatur perjalanan pada tarikh atau tempoh sendiri, ia akan menggalakkan perkongsian kenderaan dan mengurangkan kesesakan. Pada masa yang sama, kutipan tol juga sepatutnya dikenakan kepada motosikal untuk tidak menggalakkan mereka melakukan perjalanan ketika musim perayaan bagi mengurangkan kemalangan dan kehilangan jiwa dalam kategori kenderaan tersebut,” tambahnya lagi.

     
     
  • JPJ sita Toyota Camry Hybrid sambung bayar – tiada dokumen sah, pemilik boleh dikenakan tindakan

    JPJ sita Toyota Camry Hybrid sambung bayar – tiada dokumen sah, pemilik boleh dikenakan tindakan

    Urusan jual-beli secara sambung bayar memang sudah lama wujud walau pun ramai yang menyedari ia merupakan amalan yang menyalahi undang-undang. Pelbagai alasan diberikan untuk sambung bayar, antaranya urusan tukar milik yang dianggap menyulitkan atau pun pinjaman bank tidak diluluskan.

    Lantas, pembeli kenderaan berkenaan dengan rela untuk sambung bayar walau pun di dalam geran pemilikan (VOC) kenderaan itu masih nama pemilik asal. Walau bagaimana pun, kegiatan sambung bayar ini biasanya berakhir dengan situasi yang tidak menyenangkan sama ada kepada “pembeli” mahupun pemilik kenderaan.

    Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah telah menyita sebuah Toyota Camry Hybrid dalam satu Ops Luxury yang dijalankan pegawai penguat kuasa di Kilometer 1, Jalan Sungai Ular–Taman Bestari, Kulim.

    Pemeriksaan mendapati kenderaan itu digunakan di bawah skim sambung bayar dan tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) yang sah serta perlindungan insurans yang sah. Susulan itu, notis saman P22 dan notis sitaan dikeluarkan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kenderaan tersebut dibawa ke depoh sitaan JPJ cawangan Kulim untuk tindakan lanjut, menurut hantaran JPJ negeri di laman Facebooknya.

    JPJ turut memaklumkan bahawa tindakan akan diambil terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan kesalahan tersebut berlaku. Dalam kes ini, kecuaian terletak pada pihak pemilik kerana menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui bagi kenderaan miliknya. Ini termasuk semua saman yang diperoleh oleh kenderaan berkenaan, tanpa mengira siapa yang memandunya.

    Nasihat kepada mereka yang bercadang untuk memajak kenderaan atau ingin “memiliki” kenderaan mewah melalui skim sambung bayar tetap sama seperti sebelum ini – jangan lakukannya! Ia menyalahi undang-undang dan penuh dengan risiko.

     
     
  • Langkah lebih tegas diperlukan untuk kurangkan kemalangan, kematian melibatkan motosikal – MKJR

    Langkah lebih tegas diperlukan untuk kurangkan kemalangan, kematian melibatkan motosikal – MKJR

    Statistik menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya di Malaysia setiap tahun, iaitu hampir 70% daripada keseluruhan kes. Malah motosikal bersaiz kecil atau kapcai juga merupakan kenderaan paling berbahaya di negara ini, laporan The Star.

    Menurut Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR), motosikal dengan enjin berkapasiti kecil, khususnya yang di bawah 150cc, sering membawa maut kerana strukturnya yang ringan dan tidak menawarkan sebarang perlindungan ketika berlaku kemalangan.

    “Keadaan ini menyebabkan penunggang dan pembonceng sangat terdedah kepada kecederaan serius atau kematian,” kata Datuk Suret Singh, yang merupakan ahli jawatankuasa eksekutif MKJR.

    Langkah lebih tegas diperlukan untuk kurangkan kemalangan, kematian melibatkan motosikal – MKJR
    .
    Beliau berkata statistik menunjukkan bahawa 34% kematian melibatkan motosikal berenjin kecil berlaku di jalan persekutuan, manakala 32% di jalan negeri, 22% di jalan perbandaran dan 12% di lebuhraya.

    “Memandangkan antara 85% hingga 90% daripada hampir 16.8 juta motosikal berdaftar di negara ini adalah kapcai atau motosikal berkapasiti kecil dan kebanyakannya mampu mencapai kelajuan melebihi 110 km/j, namun peratusan tersebut dijangka sukar untuk diturunkan,” katanya yang turut menggesa langkah lebih tegas dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak tragedi.

    Tambah beliau, “Intervensi keselamatan jalan raya yang lebih tertumpu kepada kenderaan komersil dan penumpang tidak seharusnya terus mengabaikan isu utama. Memandangkan penunggang motosikal berkapasiti kecil menyumbang 70% daripada jumlah kematian, kita perlu mempertimbangkan langkah-langkah untuk mengawal penggunaan dan pendedahan mereka.”

    Salah satu langkah yang dicadangkan ialah larangan sementara selama enam hari ke atas motosikal ketika musim perayaan iaitu ketika jalan raya digunakan secara maksimum. “Mengehadkan penggunaan kapcai dua hari sebelum, semasa dan dua hari selepas musim perayaan boleh membantu menangani isu ini. Ia mungkin kelihatan ekstrem dan tidak popular, tetapi nyawa lebih penting,” katanya sambil menambah bahawa penunggang boleh berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif sepanjang tempoh larangan sementara itu.

    Namun begitu, statistik juga boleh menunjukkan sudut yang berbeza. Seperti dilaporkan tahun lalu, satu kajian yang dijalankan oleh Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) mendapati bahawa walaupun jumlah kematian melibatkan motosikal adalah 12 kali ganda lebih tinggi berbanding kereta, hanya 13% kes kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal.

    Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa 67% kemalangan disebabkan oleh kereta, manakala 20% lagi melibatkan kenderaan komersil. Selain itu, faktor jalan raya juga bukanlah punca utama yang boleh dipersalahkan.

     
     
  • Toyota RAV4 dilancarkan di Jepun – 329 PS, jarak gerak EV 150 km, ada varian GR Sport talaan khas

    Toyota RAV4 dilancarkan di Jepun – 329 PS, jarak gerak EV 150 km, ada varian GR Sport talaan khas

    Pasaran Jepun telahpun menerima SUV segmen-C Toyota RAV4 generasi ke-6 pada Disember tahun lalu, di mana ketika itu ia hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid dalam dua gred varian berbeza. Dan kini pasaran tersebut turut menerima RAV4 dalam satu lagi versi unit rangkaian kuasa iaitu plug-in hybrid (PHEV) dan ia turut ditawarkan dalam dua gred varian – Z dan juga GR Sport yang lebih sporty.

    Untuk versi PHEV ini, ia masih menampilkan enjin petrol A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder sebaris yang dibantu oleh motor elektrik, digandingkan bersama kotak gear E-CVT. Ia datang standard dengan sistem pacuan semua roda E-Four, di mana sistem ini tidak menggunakan kotak pemindah mekanikal pada transmisi, sebaliknya dipadankan dengan satu lagi motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang bagi memacu roda belakang.

    Menurut Toyota, secara keseluruhan unit rangkaian kuasa hibrid bersama sistem AWD E-Four pada RAV4 PHEV ini menghasilkan kuasa 329 PS, berbanding hanya 241 PS pada model HEV. Perbezaan utama antara dua versi ini sudah tentulah pada saiz bateri di mana versi PHEV diberikan bateri yang lebih besar dan boleh dicas semula seperti kenderaan elektrik sebenar (EV).

    Sistem PHEV berkenaan juga didakwa ia boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 150 km, berbanding hanya 95 km pada versi HEV. Bateri berkenaan juga menggunakan semikonduktor silikon karbida (SiC) di dalam unit kawalan kuasa (PCU) bagi mengurangkan kehilangan kuasa, dakwa Toyota.

    Kenyataan yang dikeluarkan kali ini tidak menyebut berkenaan pengecas, namun ketika diperkenalkan pada peringkat global tahun lalu Toyota menyatakan bahawa bateri sistem PHEV tersebut boleh dicas semula dengan menerima sistem AC 11 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC yang didakwa boleh memenuhkan bateri dari kadar 10-80% dalam masa sekitar 30 minit.

    Sistem PHEV ini juga menawarkan fungsi di mana baterinya boleh digunakan untuk memberikan kuasa kepada peralatan-peralatan elektrik lain (ia digelar sebagai fungsi Vehicle-to-load atau V2L oleh pengeluar-pengeluar lain). Ia boleh digunakan sama ada dengan soket pada ruang kargo belakang atau menggunakan soket yang dipalam terus pada palam pengecas, memberikan soket luaran 100V yang mambpu membekalkan elektrik sehingga 1,500W secara keseluruhan.

    Menurut Toyota sistem ini boleh digunakan pada masa-masa kecemasan seperti bencana alam dan sebagainya. Dengan mod HV Power Supply, ia boleh membekalkan elektrik sekitar 6.5 hari pada beban 400W bermula pada cas bateri penuh dan setangki penuh petrol. Ia juga menampilkan mod Power Supply Time Priority yang boleh memanjangkan masa tersebut sehingga sekitar 7 hari.

    Untuk rupa, Toyota RAV4 Z PHEV menampilkan muka yang sama dengan Z HEV, tetapi diberikan serlahan kemasan hitam berkilat pada spoiler bawah bampar, panel-panel pelindung badan dan juga pada set rim. Ia juga diberikan lampu kabus dengan jalur LED berdiri bersama perumah yang turut diberikan kemasan hitam berkilat.

    Manakala bagi varian GR Sport, ia diberikan bampar hadapan berbeza yang menampilkan gril dengan kawasan aliran udara lebih besar, spoiler bawah bampar lebih agresif, dan juga spoiler belakang lebih besar. Menurut Toyota kit badan ini dihasilkan dengan analisis komputer berulang kali (CFD) dan terowong angin bagi menghasilkan downforce bukan sahaja pada kelajuan tinggi, malah pada kelajuan sederhana dan rendah bagi menambahbaik kestabilan dan kawalan.

    Toyota RAV4 dilancarkan di Jepun – 329 PS, jarak gerak EV 150 km, ada varian GR Sport talaan khas

    Bukan hanya rupa, casis untuk varian GR Sport ini turut mendapat talaan unik bagi memberikan pengendalian lebih baik. Ia termasuk penambahan GR Performance Dampers keluaran Yamaha Motors pada bahagian hadapan yang dapat mengurangkan herotan casis dan menyerap getaran daripada badan kenderaan dan ketidakstabilan semasa memandu.

    Selain itu, pendakap badan tambahan GR Braces juga diberikan pada suspensi belakang, didakwa dapat memberikan rasa stereng yang lebih ‘terus’. Tidak ketinggalan penyerap hentak pada RAV4 GR Sport PHEV ini juga diberikan talaan unit yang memberikan kestabilan dan kawalan lebih baik, dan juga sistem stereng bantuan kuasa elektrik yang ditala bagi memmberikan rasa stereng lebih responsif dan tepat dalam mod Normal dan Sport.

    Toyota RAV4 PHEV ini akan mula berada di pasaran Jepun pada 9 Mac 2026. Ia dijual pada harga 6,000,000 yen (RM151k) untuk varian Z PHEV dan juga 6,300,000 yen (RM159k) untuk varian GR Sport PHEV.

     
     
  • PDRM pertimbang semua kenderaan polis dilengkapi dashcam – cadangan akan dikemuka kepada KPN

    PDRM pertimbang semua kenderaan polis dilengkapi dashcam – cadangan akan dikemuka kepada KPN

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa pihaknya menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang meneliti untuk memasang kamera papan pemuka (dashcam) dalam setiap kenderaan polis, dan satu cadangan berhubung inisiatif itu akan dikemukakan tidak lama lagi kepada Ketua Polis Negara (KPN).

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan serta membolehkan pihak polis merakam dan menilai setiap insiden dengan lebih terperinci, laporan Bernama.

    “Cadangan ini merupakan satu langkah positif yang akan memudahkan kami mengenal pasti punca kemalangan atau insiden lain yang melibatkan pengguna jalan raya,” katanya.

    Cadangan untuk melengkapkan semua kenderaan polis dengan peranti tersebut dibuat susulan cadangan PDRM supaya penggunaan dashcam diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya. Pada masa ini, dashcam masih dianggap sebagai aksesori dan tidak diwajibkan, namun PDRM berpendapat perkara itu wajar dinilai semula oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Pengangkutan.

    Pada tahun 2024, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tiada perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam pada semua kenderaan di negara ini. Beliau menyatakan bahawa pelbagai aspek perlu dipertimbangkan, termasuk kos pembelian dan pemasangan yang perlu ditanggung oleh pemilik kenderaan sekiranya peranti tersebut diwajibkan.

     
     
  • Jetour Malaysia Club dilancar untuk pemilik Dashing dan VT9 – SUV T2 bakal lancar bulan hadapan?

    Jetour Malaysia Club dilancar untuk pemilik Dashing dan VT9 – SUV T2 bakal lancar bulan hadapan?

    Jetour Malaysia secara rasmi memperkenalkan Jetour Malaysia Club (JMC), sebuah kelab khas untuk pemilik SUV Jetour Dashing dan Jetour VT9, dengan pemilik model Jetour T2 bakal menyertai komuniti ini dalam masa terdekat.

    Bagi meraikan penubuhan kelab tersebut, sekumpulan pemilik Jetour telah menyertai konvoi dari Bamboo Hills, Kuala Lumpur menuju ke Awana di Genting Highlands. Program itu turut disertakan dengan sesi pratonton dan pandu uji awal model T2 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    Penubuhan JMC merupakan sebahagian daripada falsafah ‘Travel+’ yang menjadi teras jenama Jetour. Menurut syarikat itu, kelab ini diwujudkan sebagai platform khusus untuk pemilik berhubung, berkongsi pandangan serta menyertai pelbagai aktiviti jenama pada masa akan datang.

    Jetour Malaysia Club dilancar untuk pemilik Dashing dan VT9 – SUV T2 bakal lancar bulan hadapan?

    Ia bukan sekadar kelab pemilik biasa, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang Jetour dalam memastikan hubungan dengan pelanggan berterusan walaupun selepas kenderaan diserahkan.

    Selain sesi pandu uji T2, para peserta turut menyertai program Jetour 101 Car Clinic. Bengkel ini memberi pendedahan asas mengenai penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan, termasuk cara memahami lampu amaran pada kluster instrumen, memeriksa paras minyak enjin, memantau cecair brek dan penyejuk serta menilai keadaan tayar.

    Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia, Fu Yong, berkata acara sulung bersama pemilik ini membuktikan bagaimana strategi Travel+ dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia. Menurut beliau, penglibatan pelanggan tidak seharusnya terhenti setakat pembelian kenderaan sahaja.

    Jetour Malaysia Club dilancar untuk pemilik Dashing dan VT9 – SUV T2 bakal lancar bulan hadapan?

    Melalui Jetour Malaysia Club, inisiatif pendidikan seperti Jetour 101 Car Clinic dan pengembangan rangkaian sokongan selepas jualan, syarikat berhasrat membina komuniti pemilik yang lebih yakin dan saling berhubung, di samping mengukuhkan asas perkhidmatan selepas jualan.

    Sepanjang tahun lalu, Jetour Malaysia mencatatkan jualan sebanyak 2,741 unit SUV di pasaran tempatan. Bagi menyokong pertumbuhan ini, syarikat merancang untuk memperluaskan rangkaiannya kepada 50 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, berbanding 31 lokasi ketika ini.

    Model T2 yang tampil dengan rekaan ala kenderaan utiliti lasak dijadualkan dilancarkan pada suku pertama 2026. Selain itu, model T1 yang menampilkan gaya lebih moden dan kurang berkotak juga sedang dalam perancangan untuk diperkenalkan ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

     
     
  • iCaur V23 Retro Edition di bilik pameran PJ hujung minggu ini — RM18,888 untuk 88 pembeli terawal

    iCaur V23 Retro Edition di bilik pameran PJ hujung minggu ini — RM18,888 untuk 88 pembeli terawal

    Jika anda belum ada sebarang perancangan pada hujung minggu ini, 21-22 Februari 2026, bolehlah berkunjung ke iCaur Petaling Jaya Playground. Model iCaur V23 yang dilengkapi dengan pakej luaran Retro Edition akan dipamerkan di sana, dan pengunjung berpeluang untuk melihatnya dari dekat — dalam dua penampilan seperti ditunjukkan ini; warna hijau dalam versi 2WD motor tunggal dan juga warna oren dengan dua motor iWD.

    Kit luaran berkenaan meliputi bahagian gril hadapan krom dan jalur hiasan, panel fender, bampar krom di hadapan dan belakang, lengkung roda krom depan dan belakang serta pemijak sisi yang diperbuat daripada kayu padu. Dilancarkan secara rasmi pada Januari lalu, pakej ini dikenakan harga RM22,000 (dengan tawaran RM18,888 untuk 88 pembeli terawal), dan didatangkan dengan tempoh jaminan 12-bulan, kecuali pemijak sisi yang diberikan jaminan 18-bulan.

    Dilancarkan di Malaysia pada November 2025, iCaur V23 didatangkan dengan dua varian iaitu 2WD motor-tunggal dan iWD pacuan semua roda dengan dwi-motor dengan harga kemaskini pada 2026 kepada RM119,870 (2WD) dan RM132,980 (iWD) bermula 1 Januari lalu.

    Perincian spesifikasi bagi kedua-dua varian adalah seperti berikut:

      iCaur V23 2WD

    • Motor elektrik: 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 180 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 11 saat
    • Kelajuan maksimum: 140 km/j
    • Bateri: 59.93 kWh lithium iron phosphate (LFP)
    • Jarak pacuan (NEDC): 360 km
    • Pengecas DC: 85 kW
    • Pengecas AC: 6.6 kW
    • iCaur V23 iWD

    • Motor elektrik hadapan: 75 PS (74 hp atau 55 kW) dan 112 Nm
    • Motor elektrik belakang: 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 180 Nm
    • Jumlah keseluruhan kuasa: 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan 292 Nm; AWD
    • 0-100 km/j: 7.5 saat
    • Kelajuan maksimum: 140 km/j
    • Bateri: 81.76 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak pacuan (NEDC): 430 km
    • Pengecas DC: 104 kW
    • Pengecas AC: 6.6 kW

    iCaur V23 2WD 2026 dengan kit Retro Edition

    iCaur V23 iWD 2026 dengan kit Retro Edition

     
     
  • Nissan Gravite diperkenalkan di India – MPV 7-tempat duduk bermula RM24k, rebadge dari Renault Triber

    Nissan Gravite diperkenalkan di India – MPV 7-tempat duduk bermula RM24k, rebadge  dari Renault Triber

    Nissan telah memperkenalkan MPV tujuh-tempat duduk baharu di India yang dikenali sebagai Nissan Gravite. Walau bagaimanapun jika dilihat pada bahagian sisi dan juga belakang, MPV baharu ini sebenarnya adalah rebadge daripada Renault Triber, iaitu model yang diasaskan dari platform CMF-A Pakatan Renault-Nissan, juga membuat penampilan sulung globalnya di India pada 2019.

    Menurut Nissan, pengenalan Gravite ini didorong dari momentum yang ditunjukkan oleh SUV segmen-A yang juga dibina khas untuk India iaitu Nissan Magnite, manakala nama ‘Garvite’ itu pula adalah dari inspirasi 1.4 bilion rakyat India dengan pelbagai latar belakang yang pelbagai.

    Berbalik pada rekaan, muka Gravite dibezakan dengan gril dan bampar yang tidak sama dengan Triber. Model Nissan ini gril hadapan dengan elemen rekaan sarang lebah kemasan Piano Black, serta bampar yang direka untuk nampak lasak seperti SUV menampilkan kemasan perak dengan jalur merah berbentuk-C pada setiap sisi serta skid plate pada bahagian tengah bawah.

    Nissan Gravite diperkenalkan di India – MPV 7-tempat duduk bermula RM24k, rebadge  dari Renault Triber

    Kluster lampu hadapan masih nampak serupa, tetapi susunan projektor dan jalur LED di dalamnya berbeza. Rekaan penutup bonet hadapan juga masih nampak sama, tetapi ia menampilkan skrip ‘GRAVITE’ pada hujung muncung ala-Range Rover. Seperti Triber, Garvite juga menerima rel bumbung dan pelindung-pelindung badan plastik pada semua perumah roda, namun MPV Nissan ini diberikan rekaan rim yang lebih tersendiri.

    Di belakang, sekali lagi kluster lampu yang diberikan masih nampak sama, tetapi Garvite di berikan lensa lampu jenis jernih. Seperti juga bampar hadapan, bampar belakang Gravite diberikan kemasan perak dengan jalur merah berbentuk-C pada setiap sisi bersama skid plate pada bahagian tengah bawah bagi menyerlah imej seperti SUV.

    Gravite mungkin dilihat sebagai MPV yang diberikan rupa seakan SUV seperti Mitsubishi Xpander. Namun sebenarnya ia dihasilkan dengan saiz lebih kecil menampilkan ukuran panjang 3,987 mm, lebar 1,734 mm, tinggi 1,644 mm, jarak roda sejauh 2,636 mm serta kelegaan tanah setinggi 182 mm. Sebagai perbandingan Xpander diukur dengan panjang 4,475 mm, lebar 1,750 mm, tinggi 1,720 mm, jarak roda sejauh 2,775 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 225 mm.

    Nissan Gravite diperkenalkan di India – MPV 7-tempat duduk bermula RM24k, rebadge  dari Renault Triber

    Untuk unit rangkaian kuasa, Gravite masih berkongsi enjin 1.0 liter tiga-silinder NA yang sama seperti Triber yang menghasilkan kuasa 72 PS dan tork maksima 96 Nm. Padanan transmisi juga serupa dengan pilihan sama ada kotak gear manual lima kelajuan atau Automated Manual Transmision (AMT) EZ Shift lima kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Rekaan dalaman Gravite juga masih lagi sama dengan Triber terutamanya rekaan pada papan pemuka, dibezakan dengan beberapa perincian seperti kemasan, perapi dan juga logo pada roda stereng. Dengan semua tempat duduk didirikan, ruang but belakang menyediakan kapasiti kargo 84 liter. Jika kedua-dua tempat duduk belakang dilipat, ruang berkenaan meningkat kepada 625 liter.

    Antara perincian yang ditawarkan pada Gravite ini bergantung pada varian adalah skrin infotainmen 8-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 7-inci, aliran penyejuk pada glove box dan ruang barang konsol tengah, sistem audio premium JBL dan pelbagai lagi

    Tiada sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dipadankan, di mana untuk keselamatan Gravite diberikan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction, bantuan mula mendaki, serta brek dengan sistem ABS, BA dan EBD.

    Di India, Nissan Garvite ini dijual pada harga bermula 565,000 rupee (sekitar RM24k), ditawarkan dalam lima varian gred termasuk model edisi terhad Launch Edition, di mana dua varian paling asas hanya diberikan kotak gear manual manakala tiga varian lebih tinggi hadir dengan pilihan kotak gear manual dan AMT. Model ini diproduksi di kilang yang sama dengan Renault Triber iaitu di kilang Pakatan Renault-Nissan di Chennai.

    Nissan tidak menyebut sama ada Gravite ini akan perkenalkan ke luar India atau tidak, namun untuk Renault Triber dan Nissan Magnite, kedua-duanya turut dieksport ke pasaran luar termasuk Indonesia.

     
     
  • KTM ETS beri 30% diskaun tiket sempena awal Ramadan – untuk perjalanan hingga 22 Feb 2026

    KTM ETS beri 30% diskaun tiket sempena awal Ramadan – untuk perjalanan hingga 22 Feb 2026

    Sempena meraikan awal bulan Ramadan, KTM Berhad (KTMB) menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk pembelian tiket bagi perkhidmatan tren ETS laluan utara dan selatan. Pada awalnya, pemberian diskaun diberikan hanya 20%b sebelum KTMB menambah lagi 10% bagi memberikan peluang kepada para penggunanya menikmati perjalanan dengan kadar tambang yang lebih rendah.

    Pemberian diskaun ini adalah untuk perjalanan ETS sehingga 22 Februari 2026 untuk laluan Ipoh-KL Sentral-Ipoh, Butterworth-KL Sentral-Butterworth, Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar, Padang Besar-JB Sentral-Padang Besar, dan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.

    KTMB turut menambah dua tren bagi perjalanan Padang Besar-JB Sentral dan JB Sentral-Padang besar untuk tarikh perjalanan 20-22 Februari.

    KTM ETS beri 30% diskaun tiket sempena awal Ramadan – untuk perjalanan hingga 22 Feb 2026

    Untuk menikmati tawaran diskaun ini, anda perlu masukkan kod promo NURRAMADAN atau RAMADANTIBA mengikut nombor tren dan tarikh perjalanan yang ditetapkan (sila semak jadual di atas sebagai rujukan). Walau bagaimana pun, diskaun ini hanya untuk perjalanan sehala khas bagi rakyat Malaysia, dan untuk tiket yang berharga RM40 ke atas. Tiada diskaun untuk Kelas Perniagaan ETS, KTM Antara Bandar dan Shuttle Tebrau serta tiket konsesi.

    Tiket boleh dibeli menerusi aplikasi KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB dan di semua medium pembelian tiket KTMB.

    Bagi yang merancang balik ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri, KTMB turut menyediakan tren tambahan bagi ETS melibatkan perjalanan antara 13 hingga 29 Mac 2026. Sebanyak 36,540 tiket perjalanan untuk perkhidmatan tambahan akan ditawarkan. Jualan tiket tambahan ini akan dibuka mulai jam 12 tengahari pada 1 Mac 2026.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026