Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi

    JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa tiada lagi had harian bagi nombor giliran yang dikeluarkan di semua cawangannya di seluruh negara sejak 13 Januari lalu. Langkah ini diambil susulan maklum balas pelanggan yang mengadu nombor giliran di kaunter perkhidmatan habis walaupun waktu operasi masih berbaki, laporan Malay Mail.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, had nombor giliran sebelum ini bukan disebabkan kaunter ditutup lebih awal, sebaliknya kerana had harian ditetapkan berdasarkan kapasiti operasi sebenar.

    “Had giliran sebelum ini ditentukan mengikut sumber manusia, tempoh masa perkhidmatan, serta jenis transaksi yang memerlukan pemeriksaan dan pengesahan fizikal. Tujuannya adalah untuk memastikan setiap pelanggan yang menerima nombor dapat dilayan dengan baik dalam tempoh waktu operasi tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

    JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi

    Beliau berkata, sistem JPJeQ telah mengeluarkan 9.3 juta nombor giliran pada tahun lalu, dengan anggaran sekitar 39,000 nombor sehari di seluruh negara. Di mana keadaan itu mencerminkan kehadiran pelanggan yang tinggi serta kebergantungan yang ketara terhadap perkhidmatan kaunter fizikal.

    Namun begitu, beliau mengakui wujud persepsi negatif apabila pelanggan yang datang lewat tidak lagi dapat memperoleh nombor giliran walaupun kaunter masih dibuka. “JPJ memahami kebimbangan orang ramai. Oleh itu, kami telah memutuskan untuk menambah baik pendekatan sedia ada supaya tiada pelanggan yang merasakan hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan dinafikan,” jelasnya.

    Aedy Fadly berkata semua pelanggan yang hadir dalam waktu operasi berhak menerima nombor giliran dan seterusnya mendapatkan perkhidmatan, dengan sistem JPJeQ terus digunakan bagi mengurus aliran pelanggan dengan lebih cekap. Semua cawangan JPJ akan melaksanakan pengeluaran nombor giliran tanpa had sepanjang waktu operasi, iaitu dari 7.45 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin dan Jumaat, serta dari 8.00 pagi hingga 4.30 petang pada hari Selasa hingga Khamis.

    JPJ hapuskan had harian nombor giliran, semua pelanggan akan dilayan sepanjang waktu operasi

    Tambah beliau, bagi memastikan pelaksanaan proses baharu itu berjalan lancar, JPJ telah memperkukuh pengurusan dalaman, termasuk penempatan kakitangan pada waktu puncak, pengoptimuman aliran kerja kaunter, pemantauan berterusan oleh pengurusan pejabat negeri dan cawangan, serta penambahbaikan penyelarasan antara jabatan.

    “Pendirian JPJ adalah jelas dan tegas. Semua kaunter mesti beroperasi sepenuhnya mengikut waktu yang ditetapkan, kecuali dalam situasi teknikal atau keselamatan yang tidak dapat dielakkan. Sebarang penutupan kaunter tanpa alasan munasabah adalah tidak dibenarkan,” katanya.

    Katanya lagi, JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau ketidakpatuhan yang menjejaskan pelanggan, dan tindakan pentadbiran atau tatatertib akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat kelemahan atau kelompongan dalam pengurusan kaunter.

     
     
  • Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS

    Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS

    Aplikasi baharu JustGo telah dimuat turun oleh kira-kira 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang diperkenalkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laporan Harian Metro.

    Buat setakat ini, projek rintis untuk sistem pembayaran tol ANPR tersebut dilaksanakan di bahagian utara yang melibatkan sembilan tol jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua.

    JustGO menerusi kenyataannya berkata, PLUS melalui aplikasi JustGO memperkenalkan konsep kebebasan memilih lorong yang membolehkan kenderaan berdaftar masuk dan keluar melalui mana-mana lorong tol tanpa perlu disesuaikan dengan kaedah pembayaran tertentu.

    Aplikasi JustGo telah dimuat turun 200,000 pengguna untuk sistem pembayaran tol ANPR di PLUS

    “Nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik apabila melalui lorong tol dan caj diproses serta dipautkan terus kepada kaedah pembayaran pengguna melalui aplikasi mudah alih berkenaan. Bagi menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu muat turun dan mendaftar di aplikasi terbabit. Tiada pemasangan peranti dan kos permulaan dikenakan kepada pengguna,” kata JustGo.

    Menurut PLUS, pengguna berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu, sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

    “Meliputi jarak 87.7 kilometer, fasa pertama ini dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir. Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,”kata PLUS.

    Disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sistem ini direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, dan akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa.

    Untuk menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGo, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit, dan memandu seperti biasa, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta tanpa kos pendahuluan kepada pengguna.

    Menurut PLUS lagi, kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat. Selain urusan pembayaran tol, aplikasi JustGo turut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna. Sementara itu, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa.

    Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh. Hasil ujian menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

    “Ujian ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuhraya lain. Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti,” kata PLUS.

     
     
  • Lambakan motosikal juga antara faktor kesesakan jalan raya, syor guna pengangkutan awam – pakar

    Lambakan motosikal juga antara faktor kesesakan jalan raya, syor guna pengangkutan awam – pakar

    Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berpendapat bahawa bilangan pengguna motosikal yang tinggi dalam negara juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesesakan trafik di Malaysia.

    “Kita ada masalah sedikit berbanding negara lain kerana pengangkutan persendirian kita turut melibatkan motosikal. Dan motosikal kita terlalu banyak, kita juga tau masalahnya dan ia juga mengganggu kapasiti jalan dan juga mempengaruhi tahap kesesakan.

    “Jadi itu adalah masalah kita yang kita perlu faham dan perlu kita selesaikan. Bagi saya kita kena cuba bawa pengguna motosikal dan pengguna kereta ke pengangkutan awam,” katanya ketika temuramah Agenda Awani semalam yang membincangkan berkenaan keadaan jalan raya di Kuala Lumpur yang semakin sesak akhir-akhir ini.

     
     
  • Harga minyak 19-25 Feb – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 19-25 Feb – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 19 hingga 25 Februari 2026, harga runcit bagi semua bahan api utama di negara ini dikekalkan. Ini bermakna harga petrol RON 97 masih dikekalkan pada RM3.10 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dikekalkan pada harga RM2.54 seliter. Begitu juga dengan harga runcit petrol bersubsidi RON95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Untuk harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia turut dikekalkan pada RM2.99 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia masih berharga RM2.15 seliter.

    Pada 11 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menjangkakan penjimatan sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun ini susulan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program Budi Madani 95 (Budi95). Menerusi program ini, ia telah merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, atau sehingga 96 juta transaksi sebulan.

    “Saya menegaskan perkembangan ini merupakan satu berita yang amat positif, kerana tidak banyak negara berani mengambil langkah tegas melaksanakan penyasaran subsidi, memandangkan risiko serta cabaran dari sudut penerimaan rakyat,”katanya.

     
     
  • Geely berjaya pintas jualan BYD untuk kenderaan penumpang di China bagi bulan Januari 2026

    Geely berjaya pintas jualan BYD untuk kenderaan penumpang di China bagi bulan Januari 2026

    Jika di Malaysia ada Perodua, di China ada BYD iaitu jenama tempatan yang mengusai pasaran automotif negara tersebut, yang juga merupakan pasaran automotif terbesar di dunia. Namun untuk January 2026, penguasaan BYD di lihat mula tergugat apabila satu lagi jenama tempatannya iaitu Geely mencatatkan jualan secara borong dan juga di outlet runcit lebih tinggi dari BYD.

    Sepanjang bulan lalu Geely telah menjual sebanyak 270,000 unit kenderaan diperingkat borong dan 210,000 unit di outlet runcit, berbanding masing-masing hanya 206,000 unit dan 94,000 unit untuk BYD, lapor CarNewsChina. Jualan keseluruhan kenderaan penumpang di China untuk Januari 2026 mencatatkan angka 1.544 juta unit, yang sebenarnya turun 13.9% berbanding tempoh sama tahun lalu, dan hampir satu pertiga lebih rendah berbanding Disember 2025.

    Jualan Januari 2026 yang dicatatkan oleh Geely juga sebenarnya jatuh -12.6% berbanding jualan pada tempoh sama tahun lalu, dan sudah tentu BYD mencatatkan penurunan yang jauh lebih drastik iaitu -53%. Manakala HIMA (Harmony Intelligent Mobility Alliance) iaitu jenama kolobrasi inisiatif dari Huawei di mana antaranya termasuk Aito, Luxeed, BAIC dan Maextro mencatatkan peningkatan paling drastik mencecah 65.5% berbanding Januari tahun lalu, dan ini juga merupakan kali pertama ia masuk ke carta 10 terbaik.

    Data yang dikompilasikan oleh CarNewsChina

    Manakala untuk jualan diperingkat borong, jenama yang menunjukkan penurunan paling drastik pula adalah Changan yang jatuh -64.6% berbanding tempoh sama tahun lalu dan berada di tangga ke-lapan untuk Januari 2026. Manakala pertumbuhan terbaik pula catatkan oleh SAIC yang mencatatkan jualan 77,000 unit, naik 53.6% untuk berada ditangga kelima, di mana prestasi ini disumbangkan oleh jualan MG di pasaran eksport.

    Tahun lalu Geely telah menjual sebanyak 3.02 juta kenderaan secara global, dan tahun ini ia mensasarkan jualan global sebanyak 3.45 juta atau 14% lebih banyak dari 2025. Sasaran itu ditetapkan dengan strategi untuk melancarkan satu atau dua model baharu setiap suku tahun.

     
     
  • Skuadron Rapid Rail RAJD Askar Wataniah ditubuh untuk kawal landasan LRT, MRT dari kecurian kabel

    Skuadron Rapid Rail RAJD Askar Wataniah ditubuh untuk kawal landasan LRT, MRT dari kecurian kabel

    Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) yang bertujuan untuk membantu melindungi rangkaian rel bandar kita.

    Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata skuadron tersebut merupakan satu inisiatif strategik baharu yang mengintegrasikan kepakaran pertahanan dengan sistem rel bandar. Ia juga menjadi tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal negara.

    “Penubuhan skuadron ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Mertahanan dalam memastikan kebolehoperasian dan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam strategik sentiasa berada pada tahap optimum, bukan sahaja ketika aman, malah ketika berdepan situasi krisis atau ancaman keselamatan,” kata Khaled hari ini semasa pelancaran skuadron tersebut, seperti dilaporkan Astro Awani.

    Skuadron Rapid Rail RAJD Askar Wataniah ditubuh untuk kawal landasan LRT, MRT dari kecurian kabel

    “Sistem rel bandar termasuk LRT, MRT dan Monorel merupakan antara infrastruktur kritikal negara yang menyokong mobiliti harian rakyat serta ekonomi. Justeru, penubuhan skuadron ini menyumbang secara langsung kepada keselamatan negara dengan memastikan sistem rel sentiasa dilindungi dalam semua keadaan, termasuk bagi pengurusan krisis negara dan kelancaran operasi ketenteraan,” tambah beliau.

    Skuadron tersebut dianggotai sepenuhnya oleh anggota Askar Wataniah yang mempunyai kepakaran profesional dalam bidang rel, kejuruteraan dan operasi pengangkutan. Ia tidak melibatkan pertambahan jawatan tetap baharu, sebaliknya memanfaatkan kepakaran sedia ada sebagai nilai tambah strategik kepada pertahanan negara, kata menteri itu. Skuadron berkenaan terdiri daripada 33 pegawai dan 191 anggota Askar Wataniah.

    “Dalam situasi kecemasan atau krisis, skuadron ini akan digerakkan untuk membantu pemulihan operasi rel, sokongan kejuruteraan, pengurusan di lokasi kejadian serta penyelarasan dengan agensi keselamatan dan pengendali rel,” jelasnya lagi.

    Skuadron Rapid Rail RAJD Askar Wataniah ditubuh untuk kawal landasan LRT, MRT dari kecurian kabel

    Pada Disember lalu, Prasarana menyatakan bahawa kecurian kabel telah mengganggu operasi rel Rapid KL, sekali gus memberi kesan langsung kepada jutaan penumpang di Lembah Klang. Ini adalah tambahan kepada kerugian berjumlah RM20.6 juta dalam tempoh tiga tahun yang lalu. Selain kelewatan, isu keselamatan juga turut menjadi kebimbangan.

    Pengendali pengangkutan awam Rapid itu berkata tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 68% dalam kes kecurian kabel. Trend ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga di dalamnya, yang ‘memberikan hasil lumayan’ kepada sindiket. Diharapkan skuadron baharu Askar Wataniah ini dapat menjadi langkah pencegahan yang berkesan.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Jan 2026 turun 29%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Jan 2026 turun 29%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk Januari 2026, yang menyaksikan sebanyak 64,298 unit telah dihantar kepada para pelanggan. Angka terkini ini menunjukkan penurunan sebanyak 29% berbanding 90,716 unit yang direkodkan pada Disember 2025.

    Menurut MAA lagi, jumlah jualan yang berkurangan pada Januari 2026 berpunca daripada pembelian awal yang dibuat pada Disember 2025, yang mencatatkan jumlah jualan bulanan tertinggi dalam sejarah (rekod sebelumnya ialah 81,735 unit pada Disember 2024). Ia bukanlah fenomena yang baharu, kerana perkara sama turut berlaku apabila membandingkan angka jualan Januari dengan Disember sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun (YoY), jumlah jualan Januari 2026 meningkat mendadak sebanyak 27% berbanding Januari 2025 (50,449 unit), dengan peningkatan tersebut disumbangkan oleh banyak pelancaran model baharu pada penghujung tahun 2025.

    Bagi Februari 2026, persatuan tersebut menjangkakan jualan akan kekal sederhana berikutan bulan bekerja yang lebih pendek (17 hari) akibat cuti Tahun Baharu Cina.

    Dari segi pengeluaran pula, bulan lalu mencatatkan sebanyak 60,866 kenderaan dihasilkan, iaitu peningkatan 6% berbanding 57,450 unit yang direkodkan pada Januari 2025.

     
     
  • GALERI: Triumph Scrambler 400 XC – RM34,200

    GALERI: Triumph Scrambler 400 XC – RM34,200

    Semasa majlis pelancaran Triumph Trident 800 dan Street Triple 765 RX baru-baru ini, para media yang hadir juga diberikan peluang untuk menyaksikan sendiri satu lagi model baru daripada daripada jenama itu, iaitu Scrambler 400 XC. Tempahan untuk model ini sudah dibuka pada harga RM34,200 dan dijangka tiba pada bulan Mac ini.

    Scrambler 400 XC menawarkan kemampuan offroad yang lebih lasak berbanding Scrambler 400 X, di mana ia datang dengan rim aluminium spoked tanpa tiub jenama Excel 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar Metzeler Karoo Street 100/90 dan 140/80.

    Untuk menjadikan penampilannya lebih bersesuaian dengan imej lasak yang dibawa, Scrambler 400 XC dipasang dengan penghadang lumpur hadapan yang tinggi, bersama penghadang angin atas lampu, pelindung tangan serta pelindung bawah enjin secara standard.

    GALERI: Triumph Scrambler 400 XC – RM34,200

    Dengan semua perubahan ini, Scrambler 400 XC mencatat berat 190 kg, menjadikan ia sedikit lebih berat berbanding Scrambler 400 (179 kg). Tangki bahan api dan tinggi tempat duduk masih sama iaitu masing-masing 13 liter dan 835 mm.

    Bahagian asas lain juga tidak mempunyai beza, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 398 cc berkuasa 40 PS dan tork 37.5 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.

    Suspensi pula terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, dan monoshock RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, masing-masing memberikan jarak gerak sama iaitu 150 mm (juga masih sama dengan Scrambler 400).

    Tugas menghentikan motosikal dijalankan brek cakera tunggal 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan 230 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS dual-channel dengan mod offroad diberikan secara standard, bersama kawalan cengkaman yang boleh ditutup.

    Bahagian meter menggunakan unit padanan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk soket pengecas USB-C serta immobiliser pencegah kecurian. Tiga warna ditawarkan untuk Scrambler 400 XC ini iaitu Racing Yellow, Storm Grey dan Vanilla White.

     
     
  • BMW panggil balik 575k kenderaan di seluruh dunia atas masalah motor pemula, kenderaan susah hidup

    BMW panggil balik 575k kenderaan di seluruh dunia atas masalah motor pemula, kenderaan susah hidup

    BMW mengumumkan satu panggilan balik global melibatkan lebih setengah juta kenderaan yang dihasilkan antara Julai 2020 hingga Julai 2022 berikutan potensi masalah pada komponen motor pemula (starter motor). Isu berkenaan boleh menyebabkan kenderaan sukar dihidupkan atau dalam keadaan tertentu gagal dihidupkan sepenuhnya.

    Menurut laporan BMW Blog, penggunaan yang kerap untuk menghidupkan enjin dalam tempoh masa panjang boleh menyebabkan kehausan pada suis magnetik dalam unit motor pemula tersebut. Keadaan ini seterusnya menimbulkan masalah ketika proses menghidupkan enjin.

    Dalam kes yang jarang berlaku, kehausan itu juga berpotensi menyebabkan litar pintas sekali gus meningkatkan risiko kebakaran. Faktor risiko inilah yang mendorong BMW melaksanakan kempen panggilan semula sebagai langkah pencegahan.

    BMW panggil balik 575k kenderaan di seluruh dunia atas masalah motor pemula, kenderaan susah hidup

    Dianggarkan sekitar 575,000 unit kenderaan terjejas di seluruh dunia, merangkumi pelbagai model dan varian. Antaranya ialah BMW 2 Series Coupé (G42), 3 Series (G20 sedan, G21 Touring dan G28 versi jarak roda panjang pasaran China), 4 Series (G22 Coupé, G23 Convertible dan G26 Gran Coupé), 5 Series (G30 sedan dan G31 Touring), 6 Series Gran Turismo (G32) serta 7 Series (G11 dan G12).

    Selain itu, model SUV dan roadster seperti G01 X3, G02 X4, G05 X5, G06 X6 serta G29 Z4 turut termasuk dalam senarai. Memandangkan Toyota GR Supra berkongsi asas mekanikal yang sama dengan Z4, model tersebut juga dijangka terlibat dalam tindakan ini.

    Di Jerman, panggilan semula ini melibatkan 28,582 unit kenderaan, manakala di Amerika Syarikat sebanyak 87,394 unit terkesan. Langkah baik pulih yang akan dilaksanakan adalah penggantian motor penghidup dan dalam sesetengah kes, bateri 12 volt turut akan diganti jika perlu.

    Bagi pasaran tempatan, BMW Group Malaysia memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti jumlah sebenar kenderaan yang terlibat. Dalam satu kenyataan ringkas, syarikat itu menyatakan bahawa pengedar sah BMW akan menghubungi terus pemilik kenderaan yang terjejas bagi urusan selanjutnya. Pelanggan juga diberi jaminan bahawa kenderaan mereka kekal selamat untuk digunakan sementara menunggu tindakan susulan.

     
     
  • Sistem MySikap JPJ sedang alami gangguan teknikal – kaunter JPJ dan aplikasi MyJPJ turut terjejas

    Sistem MySikap JPJ sedang alami gangguan teknikal – kaunter JPJ dan aplikasi MyJPJ turut terjejas

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memaklumkan bahawa terdapat gangguan teknikal pada sistem Mysikap JPJ buat masa ini. Sekaligus ia turut menjejaskan urusan menerusi kaunter JPJ, MySikap dan aplikasi MyJPJ.

    Buat masa ini, tindakan penyelenggaran sedang dilaksanakan, ujar JPJ menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya.

    Justeru, para pengguna diminta untuk bersabar dan menangguhkan sebarang urusan dengan JPJ buat sementara waktu ini dan nantikan kemaskini menerusi laman media sosial JPJ untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Aliran kontra di Jalan Gasing-Templer dan NPE tidak beroperasi pada 16-20 Feb sempena cuti sekolah

    Aliran kontra di Jalan Gasing-Templer dan NPE tidak beroperasi pada 16-20 Feb sempena cuti sekolah

    Ini ada makluman buat warga PJ. MBPJ mengumumkan bahawa laluan aliran kontra (contraflow) biasa pada hari bekerja di Jalan Gasing, Jalan Templer dan Lebuhraya NPE ditutup sementara sempena cuti Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

    Laluan aliran kontra tersebut yang membantu meningkatkan kapasiti trafik pada waktu puncak hari bekerja, tidak akan diaktifkan mulai hari ini hingga Jumaat, iaitu 16 hingga 20 Februari. Walau bagaimana pun, ia akan disambung semula pada Isnin hadapan, 23 Februari 2026.

    Penutupan ini dijangka tidak memberi banyak kesan kerana trafik di PJ dan Lembah Klang dijangka sangat lengang minggu ini memandangkan ramai yang mengambil kesempatan untuk balik kampung atau bercuti. Bagi yang masih berada di bandar, nikmatilah ketenangan sementara ini!

     
     
  • Mitsubishi Xforce terima 1,000 tempahan selepas seminggu pra-pelancaran – lanjut pakej early bird

    Mitsubishi Xforce terima 1,000 tempahan selepas seminggu pra-pelancaran – lanjut pakej early bird

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa SUV segmen-B Xforce kini telah menerima 1,000 unit tempahan dalam tempoh seminggu selepas pra-pelancarannya pada 5 Februari lalu. Sambutan yang menggalakkan ini mencerminkan keterujaan rakyat Malaysia yang semakin meningkat terhadap SUV kompak terbaharu daripada Mitsubishi ini menjelang pelancaran rasminya yang dijadualkan pada awal April 2026.

    Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan tersebut, MMM mengambil keputusan untuk melanjutkan pakej pembelian awal (early bird) untuk 1,000 lagi pelanggan yang menempah SUV ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi. Menerusi kempen tersebut, pelanggan berpeluang menikmati rebat tunai sebanyak RM5,000, kos buruh percuma untuk tiga kali penyelenggaran dan berpeluang menyertai kuiz ‘Beli 1 Percuma 1’ bagi memenangi satu lagi Xforce Ultimate.

    Takashi Sakamaki selaku CEO MMM berkata, “Kami amat berterima kasih atas sambutan luar biasa terhadap Mitsubishi Xforce. Pencapaian lebih 1,000 tempahan dalam tempoh hanya satu minggu merupakan bukti kukuh keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama kami dan SUV baharu yang menarik ini. Lanjutan pakej Early Bird adalah cara kami menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan.

    “Kami juga yakin rangkaian pengedar kami di seluruh negara bersedia sepenuhnya untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar, daripada tempahan hingga ke sokongan selepas jualan. Dengan Xforce dipasang secara tempatan (CKD), ia turut membuktikan komitmen jangka panjang kami terhadap Malaysia. Kami percaya Xforce akan menetapkan penanda aras baharu dalam segmennya serta terus mengukuhkan kehadiran Mitsubishi Motors di pasaran.”

    Ditawarkan dengan dua varian iaitu Urban dan Ultimate, buat masa ini MMM hanya memaklumkan harga jangkaan bagi Xforce adalah sekitar RM110,000 hingga RM120,000. Ia ditampilkan dengan enjin petrol 1.5 liter Naturally Aspirated 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, enjin Xforce digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.

     
     
  • China haramkan rekaan roda stereng jenis yoke bermula 1 Januari 2027 – gagal ujian pelanggaran

    China haramkan rekaan roda stereng jenis yoke bermula 1 Januari 2027 – gagal ujian pelanggaran

    Selepas mengharamkan rekaan pembuka pintu tersembunyi, China bakal mengharamkan pula rekaan roda stereng jenis yoke yang buat masa sekarang digunakan oleh beberapa model kereta yang dijual oleh Tesla, Lexus dan beberapa jenama tempatan negara tersebut.

    Ini adalah berikutan satu draf untuk menyemak semula standard keselamatan mandatori automotif yang diterbitkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China baru-baru, di mana ia telah menyisihkan semua bahan-bahan teknikal yang berkaitan dengan rekaan roda stereng yang berbentuk separuh, atau sering dirujuk sebagai roda stereng jenis yoke.

    Undang-undang baharu ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2027, dan akan menggantikan standard yang hampir tidak diberikan rombakan besar sejak 2011. Semakan semula terhadap undang-undang tersebut dibuat atas alasan keselamatan ketika kemalangan, di mana setiap rekaan roda stereng akan menjalani ujian impak terhadap 10 kawasan sekitar bahagian ‘rim’ termasuk pada bahagian atas tengah. Rekaan roda stereng yoke ini tidak mempunyai bahagian rim atas berkenaan, dan ia secara automatik gagal dalam ujian tersebut.

    China haramkan rekaan roda stereng jenis yoke bermula 1 Januari 2027 – gagal ujian pelanggaran

    Menurut laporan Autohome, standard baharu ini adalah selari dengan undang-undang antarabangsa dengan mengurangkan had daya mendatar dalam ujian-ujian modul manusia 11,110N, sama dengan spesifikasi dalam undang-undang UN R12. Toleransi yang lebih ketat untuk gerakan kolum stereng ke depan dan ke belakang semasa perlanggaran juga ditetapkan dalam draf berkenaan.

    Selain itu, piawaian baharu ini juga menghapuskan sebarang pengecualian untuk ujian impak manusia yang sebelum ini dibenarkan di bawah syarat-syarat tertentu. Semua model kenderaan kini dikehendaki lulus ujian pengesahan ini, tanpa mengira keadaan.

    Jadi semua kenderaan baharu yang memohon kelulusan jenis (Type Approval) di China perlulah mematuhi undang-undang berkenaan pembuka pintu dan juga roda stereng yang telah dirombak ini bermula 2027. Model-model sedia ada yang sebelum ini diluluskan dengan undang-undang lama diberikan tempoh peralihan sekitar 13 bulan untuk menukar rekaan masing-masing.

     
     
  • Jadual KTM Komuter KL-Seremban akan disemak semula untuk pendekkan tempoh perjalanan – Loke

    Jadual KTM Komuter KL-Seremban akan disemak semula untuk pendekkan tempoh perjalanan – Loke

    Jadual bagi perkhidmatan KTM Komuter antara Kuala Lumpur dan Seremban akan disemak semula bagi mengurangkan waktu menunggu dan memendekkan tempoh perjalanan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke seperti dilaporkan Bernama.

    “Perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur mengalami kelewatan. Ramai penumpang melaporkan perjalanan mengambil masa satu jam 45 minit, dan kadangkala sehingga dua jam. Kelewatan ini berpunca daripada kerja-kerja naik taraf landasan yang sedang dijalankan di sepanjang laluan tersebut. Beberapa seksyen dikurangkan kepada satu landasan sahaja, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan tren,” kata Loke. Beliau turut berkata bahawa perbincangan untuk menambah baik perkhidmatan akan diadakan selepas Tahun Baharu Cina.

    Stesen kereta api Seremban kini sedang dinaik taraf bagi integrasi yang lebih baik dengan hab Seremban Sentral yang bakal dibangunkan bersebelahan. Keadaan ini telah menyebabkan sedikit kesulitan kepada penumpang, dan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban merayu agar orang ramai agar memahami situasi tersebut.

    “Kami sedang melakukan yang terbaik, namun stesen baharu itu dijangka mengambil masa setahun lagi untuk disiapkan. Kami berharap ia akan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang di Seremban,” katanya, sambil menambah bahawa projek Klang Valley Double Track Electrification Phase 2 (KVDT2) berjalan mengikut jadual.

    “Projek ini sememangnya mencabar kerana kerja-kerja perlu dijalankan di landasan yang masih aktif. Ketika kerja dilakukan di satu landasan, tren masih beroperasi di landasan yang satu lagi. Faktor keselamatan mengehadkan tempoh masa jentera boleh berada di atas landasan setiap hari, yang secara semula jadi memperlahankan kerja pembinaan,” jelasnya.

     
     
  • JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar

    JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 sejak dari 13 Februari lalu di seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan pematuhan semua pengguna jalan raya, termasuk pengangkutan awam, kenderaan persendirian, dan kenderaan barangan, sepanjang musim perayaan.

    “Sepanjang operasi yang berlangsung hingga 22 Februari ini, JPJ menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya melalui pematuhan pemasangan dan fungsi Speed Limitation Device (SLD). Ini bagi memastikan kenderaan perdagangan yang beroperasi mematuhi had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan,” kata Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan.

    Tambahnya, bagi mempertingkatkan lagi aspek keselamatan, pihaknya turut menggesa pemandu bas ekspres agar memastikan para penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan. “Ini bukan sahaja mematuhi undang-undang tetapi juga mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan. Ia membabitkan kesalahan Kaedah 4 dan 4A Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (pindaan 2008) sekiranya tidak memakai tali pinggang keledar. dengan kadar Kompan RM300.

    “Bagi memastikan keselamatan perjalanan jarak jauh, pengusaha bas awam diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer untuk mengelakkan keletihan dan memastikan perjalanan lebih terkawal. Selain itu, semua pemandu perlu mematuhi disiplin pemanduan di lebuhraya, termasuk menggunakan lorong kanan hanya untuk memotong serta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut mengingatkan larangan pemanduan kenderaan barangan (road ban) sempena perayaan Tahun Baharu Cina berkuatkuasa hari ini dan esok serta 21 hingga 22 Februari 2026 bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.

    “JPJ menyeru semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan, merancang perjalanan awal, memastikan kenderaan selamat, dan berehat secukupnya sebelum memandu, kerana keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama,”kata Azrin lagi.

    Pengguna jalan raya juga dialu-alukan membuat laporan berkaitan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ (menu e-aduan@jpj) atau e-mel ke [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.

    JPJ gesa pemandu bas patuhi peraturan termasuk pastikan penumpang pakai tali pinggang keledar

     
     
  • Triumph Street Triple 765 RX tiba di Malaysia – lebih agresif, suspensi Ohlins boleh laras, harga RM81,100

    Triumph Street Triple 765 RX tiba di Malaysia – lebih agresif, suspensi Ohlins boleh laras, harga RM81,100

    Selain Trident 800, Triumph Malaysia turut melancarkan Street Triple 765 yang lebih agresif, ditambah dengan nama RX di belakangnya. Duduk lebih tinggi daripada Street Triple RS, model ini dijual pada harga RM81,100 tidak termasuk insurans.

    Mula digunakan pada tahun 2015, RX membawa identiti sebuah jentera yang lebih berprestasi, dan pada Street Triple 765 ini antara perubahan paling penting adalah suspensi, yang terdiri daripada fork USD Öhlins NIX30 di hadapan dan monoshock Öhlins STX40 di belakang – kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya.

    Kemudiannya, kedudukan menunggang Street Triple 765 RX ini juga menjadi lebih agresif hasil penggunaan pemegang jenis clip-on, manakala sistem brek menggunakan set berkembar cakera 310 mm bersama angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup Brembo satu piston di belakang. Pam brek atas pula menggunakan unit Brembo MCS.

    Menurut Triumph, Street Triple 765 RX hanya akan dijual pada tahun ini sahaja, dan ia menampilkan kemasan khas yang termasuk logo RX pada ekzos, tempat duduk khas RX, upper yoke cetakan khas mesin serta warna Matt Aluminium Silver dengan subframe dan rim Diablo Red.

    Enjin tiga silinder 765 cc pada motosikal ini bagaimanapun adalah sama seperti 765 RS, dan kuasanya juga masih 130 PS pada 12,000 rpm dan tork 80 Nm pada 9,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan, lengkap dengan quickshifter naik dan turun gear.

    Informasi penting dipaparkan melalui skrin TFT lima inci dan penunggang disediakan dengan tambahan mod ABS Track. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3, Optimised Cornering ABS, Traction Control dan tangki bahan api 15 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 188 kg.

     
     
  • LRT Laluan Mutiara – tiada penutupan jalan pada CNY

    LRT Laluan Mutiara – tiada penutupan jalan pada CNY

    Laluan utama yang terlibat di tapak pembinaan Laluan LRT Mutiara di Pulau Pinang tidak akan ditutup sepanjang musim perayaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, laporan Bernama.

    Beliau berkata pemilik projek dan kontraktor utama – masing-masing MRT Corp dan SRS Consortium – memberi jaminan bahawa gangguan jalan raya akan diminimumkan, termasuk semasa sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) yang akan datang.

    “Sebarang kerja pembinaan hanya akan dijalankan pada waktu malam dan bukan pada waktu puncak, manakala bagi musim perayaan utama, aktiviti pembinaan biasanya dihentikan sementara selama satu atau dua hari, bergantung kepada perancangan kontraktor,” kata Zairil baru-baru ini.

    Berhubung langkah pengurusan trafik yang diarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Zairil berkata pelaksanaan pelan tersebut, yang disediakan oleh MRT Corp, sentiasa dipantau dan dikemaskini setiap bulan selaras dengan fasa pembinaan.

    Pertama kali dibincangkan pada tahun 2015, Laluan LRT Mutiara sepanjang 29.5 km akan menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Pulau Pinang menerusi 21 stesen. Jajaran utamanya meliputi laluan dari kawasan Penang South Reclamation ke Penang Sentral serta Stesen Komtar di George Town.

     
     
  • Triumph Trident 800 dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin tiga silinder 798 cc, quickshifter, RM53,900

    Triumph Trident 800 dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin tiga silinder 798 cc, quickshifter, RM53,900

    Triumph Trident 800 kini tiba di Malaysia, dilancarkan pada harga jualan RM53,900 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna iaitu Ash Grey/Diablo Red, Carnival Red/Graphite dan Jet Black. Meskipun sekali imbas nampak seperti sama sahaja dengan Trident 660, roadster baru ini menerima peningkatan menyeluruh, yang menjadikannya lebih berprestasi dan lebih agresif.

    Tumpuan utama adalah di bahagian enjin, di mana Trident 800 ini menggunakan unit tiga silinder 798 cc sama seperti Tiger 800, dengan tiga throttle body serta salur udara yang direka semula, mampu menghasilkan kuasa 115 PS pada 10,750 rpm and tork 84 Nm pada 8,500 rpm.

    Penunggang boleh mengawal penyampaian kuasa ini melalui tiga mod yang disediakan, iaitu Road, Sport dan Rain, sementara transmisi pula menggunakan unit enam kelajuan lengkap dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Berpadanan dengan enjin yang lebih berkuasa ini, suspensi Trident 800 juga dipertingkat, melihatkan penggunaan barangan Showa yang terdiri daripada fork USD 41 mm boleh laras sepenuhnya serta monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera 310 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sebagai tambahan sistem keselamatan, motosikal ini turut didatangkan dengan Cornering ABS dan Traction Control yang boleh mengikut perkiraan sudut condong (lean angle).

    Triumph Trident 800 dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin tiga silinder 798 cc, quickshifter, RM53,900

    Skrin TFT pada Trident 800 boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth dan turut diberi adalah cruise control. Mencatat berat keseluruhan 198 kg, Trident 800 datang dengan tangki bahan api 14 liter serta tinggi tempat duduk 810 mm.

    Selain versi standard, Triumph Malaysia turut menawarkan satu lagi versi yang dijual pada harga RM56,900, di mana ia datang dengan ekzos Akrapovic serta cermin sisi di hujung pemegang.


     
     
  • Kuasa adalah prestasi — PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race, formula juara untuk kereta anda

    Kuasa adalah prestasi — PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race, formula juara untuk kereta anda

    Ahli sukan bela diri mengamalkan diet pemakanan yang ketat untuk membolehkan mereka mencapai prestasi terbaik dan menang dalam setiap pertandingan. Muhammad Ali, Bruce Lee dan jaguh tempatan, Johan ‘Jojo’ Ghazali antara yang sangat terkenal dengan disiplin pemakanan untuk memastikan mereka sentiasa kekal berprestasi.

    Begitu juga dengan kereta anda: “diet” yang betul akan sentiasa memastikan prestasi terbaiknya ketika di jalanan. Dengan teknologi yang datangnya dari Formula One, PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race dihasilkan untuk kuasa yang tiada tandingan yang memberikan prestasi kuasa luar jangkaan, termasuklah kuasa enjin dan respons yang lebih baik.

    Prestasi di litar yang boleh anda manfaatkan

    Tidak mudah sebenarnya untuk memenangi satu perlumbaan Formula One. Apatah lagi untuk memenangi beberapa perlumbaan dan muncul sebagai juara lapan kali kejuaraan Formula One World Constructor. Namun, itu bukanlah segalanya bagi pasukan F1 Mercedes AMG PETRONAS.

    Usaha sama PETRONAS dengan pasukan Mercedes AMG F1 sangat penting dalam membangunkan teknologi pelincir termaju, sekali gus membentuk pencapaian baharu dalam kejuruteraan Primax 97 dengan Pro-Race bagi memenuhi keperluan pemanduan berprestasi tinggi dalam enjin moden.

    Formula juara ini adalah tulang belakang bagi PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race, yang memberikan secebis pengalaman litar lumba kepada pemandu dalam pemanduan seharian mereka. Formulasi canggihnya dihasilkan khusus untuk memperbaiki beberapa aspek dalam enjin. Pertama, dengan menghilangkan hingga 99.9% mendapan* yang boleh mengurangkan kuasa. Ingat, kuasa bersamaan dengan prestasi; untuk mengekalkannya adalah perkara yang sangat penting.

    Sementara itu, Advanced Dual Friction Modifier yang pertama di dunia — yang terdiri daripada bahan kimia 2-dalam-1 termaju — akan mengurangkan geseran enjin tambahan 25%* lebih lagi, untuk membolehkan komponen enjin bergerak dengan bebas dan memberikan pemanduan lebih responsif. Molekul-molekulnya berperanan untuk dua tindakan yang sama penting.

    Pertama, formulasi uniknya memperbaiki interaksi antara bahan api dan minyak, yang menyumbang untuk memperbaiki tahap kecekapan bahan api dan mengurangkan pembebasan karbon. Ini membolehkan pemanduan yang lebih cekap dicapai bagi setiap tangki.

    Kuasa adalah prestasi — PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race, formula juara untuk kereta anda

    Ini apa yang berlaku: pengubah geseran biasa yang dibekalkan oleh minyak enjin akan menyusut selari dengan masa akibat pemanasan, pengoksidaan dan pencairan bahan api. Penting untuk dinyatakan bahawa dwi-pengubah geseran dalam PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race akan menambah jumlah bahan pengubah geseran berkenaan secara berterusan dalam minyak enjin, dan dalam masa yang sama menghadirkan lapisan perlindungan di dinding silinder, bagi mengurangkan geseran untuk memberikan maklum balas dan kuasa yang lebih baik.

    Dari pengalaman sebenar

    Penggunaan berterusan adalah kunci keberhasilannya. Ujian rambang yang dilakukan di bawah keadaan pemanduan dan jalan biasa menunjukkan dua daripada tiga peserta dapat merasakan prestasi yang lebih baik ketika menggunakan PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race berbanding minyak premium lain yang biasa mereka gunakan.

    70% daripada peserta juga dapat merasakan lebih kuasa dan maklum balas, yang ternyata merupakan kesan daripada formulasi canggih yang menggunakan Advanced Dual Friction Modifier untuk memastikan enjin terus bersih dan lancar.

    Kuasa adalah prestasi — PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race, formula juara untuk kereta anda

    Rasai sendiri bahan api para juara

    Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam sukan permotoran dan menjadi dorongan utama di belakang lapan kejuaraan Formula One World Constructor berturut-turut, PETRONAS menghadirkan bahan api terbaiknya untuk dimanfaatkan oleh kenderaan anda.

    PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race akan memastikan enjin kereta anda memberikan prestasi yang berterusan dengan maklum balas yang lebih baik, walaupun di bawah keadaan pemanduan yang mencabar. Sama seperti ahli bela diri yang dinyatakan sebelumnya, isian minyak yang betul adalah kunci utama kepada prestasi. Formulasinya direka untuk menyokong teknologi yang canggih, serta memenuhi permintaan pemanduan berprestasi tinggi hari ini.

    Dari maklumat prestasi penggunaan dalam Formula One hinggalah kepada pengesahan penggunaan harian sebenar, pilihlah kuasa dan buat pilihan terbaik untuk kenderaan anda dengan mengisinya dengan PETRONAS Primax 97 dengan Pro-Race di stesen PETRONAS berdekatan anda — ketahui lebih lanjut di sini.

    Jadi ahli Ganjaran Mesra Rewards dan bayar dengan aplikasi Setel untuk menerima hingga 3x Mata Ganjaran Mesra Rewards, yang boleh ditebus dengan bahan api atau ganjaran lain — sekali gus memberikan nilai tambah melangkaui setiap perjalanan.

    *Berbanding minyak biasa

     
     
  • Trafik meningkat sehingga 75% jadi faktor kesesakan di sekitar ibu kota sepanjang minggu ini – KLCCC

    Trafik meningkat sehingga 75% jadi faktor kesesakan di sekitar ibu kota sepanjang minggu ini – KLCCC

    Minggu ini isu paling popular yang dikongsikan terutamanya di kalangan netizen ialah kesesakan trafik luar biasa yang berlaku di sekitar ibu kota dan Lembah Klang. Ada yang mengambil masa sekitar dua jam perjalanan antara Petaling Jaya ke Ampang. Ada yang ‘sangkut’ dalam kesesakan ‘super padu’ ini hampir tiga jam untuk perjalanan dari Klang ke Cheras. Bukan setakat pada waktu puncak pagi dan petang, kesesakan lalu lintas ini boleh dikatakan berlaku tidak kira waktu, waima jam 11 malam pun masih ada yang ‘sangkut’ di jalan raya.

    Kesesakan luar biasa sering kali dikaitkan dengan waktu puncak (hari biasa), berlakunya kemalangan jalan raya, ada kenderaan rosak, hujan lebat (terutamanya jika ada jalan yang dinaiki air banjir) dan kerja selenggara jalan, atau pihak polis membuat sekatan jalan raya (tapi agak jaranglah polis nak buat SJR masa puncak atau di jalan yang memang kronik kesesakannya).

    Jadi apakah punca kesesakan lalu lintas yang berlaku sepanjang minggu ini? Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) memaklumkan bahawa kesesakan trafik yang berlaku sekitar ibu kota minggu ini dikenal pasti berpunca daripada peningkatan 75% kenderaan keluar masuk ke bandar raya ini berbanding minggu lalu, laporan Harian Metro.

    Trafik meningkat sehingga 75% jadi faktor kesesakan di sekitar ibu kota sepanjang minggu ini – KLCCC

    Menerusi pemantauan KLCCC, terdapat peningkatan aliran keluar masuk kenderaan setiap hari berbanding minggu lalu, khususnya pada waktu puncak pagi, tengah hari dan petang.

    “Lonjakan ini dipercayai dipengaruhi peningkatan pergerakan sempena musim perayaan, selain faktor rutin waktu bekerja. Selain itu, insiden kemalangan kecil dan kenderaan rosak di beberapa laluan utama turut menyumbang kepada kesesakan yang berlarutan. Pertambahan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar juga dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama keadaan trafik yang perlahan.

    “Antara laluan utama yang dikesan mengalami pertambahan trafik ketara ialah Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan aplikasi navigasi trafik secara masa nyata serta mempertimbangkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar,” katanya.

    Trafik meningkat sehingga 75% jadi faktor kesesakan di sekitar ibu kota sepanjang minggu ini – KLCCC

    Bila membaca komen netizen di laman media sosial, ada yang mengaitkannya dengan lebih 800,000 unit kenderaan baharu terjual di Malaysia pada tahun lalu mendorong pertambahan kenderaan di jalan raya. Ada juga yang berpendapat penggunaan pengangkutan awam masih rendah sekitar 20-30% sahaja kerana masih ramai yang memilih untuk memandu sendiri.

    Selain itu, masalah kesesakan juga dikatakan disumbangkan oleh keadaan jalan raya yang tidak berubah (masih ada yang mengekalkan dua lorong) walhal pertambahan kenderaan mendadak saban tahun, ramai yang keluar membeli-belah atau memghadiri acara sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan juga nak sambut Ramadan. Macam-macam lagi ulasan mengenai isu ini dibincangkan dan diperdebatkan di laman media sosial. Apa komen atau teori anda pula? Kongsikan bersama kami di ruangan di bawah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026