Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PLUS laksana laluan kontra di Bandar Saujana Putra ke Putrajaya di Lebuhraya ELITE malam ini

    PLUS laksana laluan kontra di Bandar Saujana Putra ke Putrajaya di Lebuhraya ELITE malam ini

    Untuk pengguna Lebuhraya Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), ini ada makluman buat anda. PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan laluan kontra antara Bandar Saujana Putra dan Putrajaya. Lokasi tepatnya ialah antara KM18 hingga KM19.50 menuju ke KLIA.

    Laluan kontra berkenaan akan dilaksanakan mulai jam 11 malam ini (11 Februari) hingga 5 pagi esok (12 Februari), bagi memberikan laluan kerja-kerja pembaikan pembinaan jambatan oleh kontraktor pihak ketiga.

    Berdasarkan grafik di atas, dapat dilihat bahawa tiga lorong termasuk lorong kecemasan menghala ke Putrajaya akan ditutup, malah lorong laju di arah bertentangan juga akan ditutup untuk dijadikan kawasan kerja. Semua trafik yang menghala ke Putrajaya akan dilencongkan ke satu lorong sahaja, manakala trafik menghala ke Shah Alam/Subang akan menggunakan dua lorong bersama satu laluan lencongan.

    Pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda trafik serta arahan petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja demi keselamatan bersama.

     
     
  • 20 kereta terlaris Jan 2026 – Proton Saga no.1, eMas 5 EV pertama dalam Top 5, X50 lebih laris dari Traz

    20 kereta terlaris Jan 2026 – Proton Saga no.1, eMas 5 EV pertama dalam Top 5, X50 lebih laris dari Traz

    Mesti ramai yang tertunggu-tunggu senarai kereta paling laris untuk bulan Januari 2026 menerusi data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebab nak tengok sama ada Proton Saga dapat pintas Perodua Bezza atau pun tidak kan? Dan jawapannya, ya – dengan tempahan kini dilaporkan mencecah 100,000 unit dan disambut dengan kerja keras kilang Proton di Tanjong Malim, Proton Saga MC3 kini merupakan model paling laris di Malaysia dengan terjual sebanyak 10,285 unit sepanjang bulan lalu!

    Saga ‘memaksa’ Bezza yang sekian lama berada di atas untuk turun ke tempat kedua dengan jumlah pendaftaran sebanyak 8,431 unit, serta sekaligus untuk menolak Perodua Axia jatuh ke tempat ketiga dengan pendaftaran 6,581 unit dan Perodua Myvi berada di tempat keempat dengan jumlah jualan 4,819 unit.

    Tambah menceriakan kem Proton untuk bulan lalu apabila EV mampu milik jenama tersebut iaitu Proton eMas 5 menjadi EV pertama yang masuk ke senarai Top 5 kereta paling laris di Malaysia dengan berada di tempat ke lima pada Januari 2026, dengan mencatatkan jualan sebanyak 3,068 unit.

    20 kereta terlaris Jan 2026 – Proton Saga no.1, eMas 5 EV pertama dalam Top 5, X50 lebih laris dari Traz

    Top 20 vehicles Malaysia Jan 2026-1

    Tempat ke-enam diisi oleh Perodua Alza dengan pendaftaran sebanyak 3,012 unit. Ia diikuti oleh SUV segmen-B Proton X50 yang berada di tempat ke-tujuh terjual 2,411 unit, atau sekitar 500 unit lebih laris dari saingan sekelas iaitu Perodua Traz yang baru dilancarkan pada bulan September, yang mencatatkan jualan sebanyak 1,901 unit sepanjang Januari 2026 untuk berada di tempat ke-lapan.

    Satu lagi model Proton berada dalam kedudukan Top 10 untuk bulan lalu iaitu sedan segmen-C Proton S70 terjual sebanyak 1,604 unit bagi meletakkannya di tempat ke-sembilan. Manakala model bukan nasional paling laris untuk Januari 2026 adalah trak pikap Toyota Hilux yang berada di tempat ke-sepuluh dengan rekod pendaftaran sebanyak 1,338 unit.

    Seperti biasa JPJ mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model Honda City sedan dan Hatchback, dan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,231 unit, berada di tempat ke-11 atau lebih tinggi dari Toyota Vios yang berada di tempat ke-13 dengan jualan sebanyak 1,134 unit. Manakala MPV mewah Toyota Alphard ‘menyelit’ di tempat ke-12 dengan rekod pendaftaran 1,164 unit – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun.

    20 kereta terlaris Jan 2026 – Proton Saga no.1, eMas 5 EV pertama dalam Top 5, X50 lebih laris dari Traz

    Rekod JPJ ini juga menghimpunkan sekali Chery Tiggo dari model Cross, 7 dan 8 sebagai satu model, di mana secara kumulatif ketiga-tiga SUV segmen-A, -C dan -D ini terjual sebanyak 1,054 unit untuk berada di tempat ke-14. Manakala jualan untuk SUV segmen-A Perodua Ativa yang selama ini sentiasa berada dalam senarai Top 10, jatuh ke tempat ke-15 pada Januari 2026 dengan jualan hanya 1,012 unit.

    Sedan segmen-B Proton Persona yang kini sudahpun masuk tahun ke-10 pengeluarannya masih gagah berada dalam senarai Top 20 Januari 2026 pada kedududkan ke-16 dengan jualan sebanyak 939 unit. Ia diikuti oleh Toyota Corolla Cross, Honda HR-V dan Mitsubishi Xpander yang berada di tempat ke-17, -18 dan 19 dengan jumlah jualan masing-masing 883, 838 dan 810 unit.

    Manakala SUV segmen-C dari China iaitu Jaecoo J7 menutup senarai ini dengan berada di kedudukan ke-20, terjual sebanyak 779 unit.

     
     
  • Polis pertimbang wajibkan dashcam untuk pengguna jalan raya – pemberi maklumat dapat diskaun saman

    Polis pertimbang wajibkan dashcam untuk pengguna jalan raya – pemberi maklumat dapat diskaun saman

    Sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang mempertimbangkan cadangan supaya penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya, laporan Astro Awani.

    Timbalan Pengarah 1 (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin berkata, buat masa ini penggunaan dashcam masih bersifat aksesori dan tidak diwajibkan. Walau bagaimana pun, katanya, sudah sampai masanya perkara itu dinilai semula oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT).

    Tambahnya, cadangan tersebut bertujuan menjadikan orang awam sebagai “mata dan telinga” kepada pihak berkuasa dalam merekod serta melaporkan kesalahan jalan raya yang berlaku.

    “Sampai masanya negara kita mungkin boleh menetapkan satu syarat atau kewajipan. Buat masa ini ia belum compulsory, lebih kepada aksesori, tetapi mungkin sudah tiba masanya kita mewajibkan supaya semua pengguna jalan raya ini menjadi mata kepada pihak berkuasa, di mana kesalahan yang berlaku boleh dirakam dan dilaporkan,” katanya.

    Polis pertimbang wajibkan dashcam untuk pengguna jalan raya – pemberi maklumat dapat diskaun saman

    Mohd Rozi berkata, JSPT juga sedang merancang mekanisme untuk memberi merit atau insentif kepada individu yang melaporkan kesalahan lalu lintas melalui rakaman dashcam.

    Sebagai contoh, beliau tidak menolak kemungkinan pemberian diskaun saman pada masa hadapan kepada mereka yang aktif menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan jalan raya kepada pihak berkuasa.

    “Ini masih dalam perancangan JSPT dalam konteks dashcam. Mungkin bila tiba masa diskaun saman, mereka yang tidak melaporkan tiada diskaun, tetapi mereka yang membuat laporan ada kelebihan,” jelasnya sambil menambah JSPT turut menerima maklum balas positif daripada masyarakat yang menyokong perluasan penggunaan dashcam sebagai alat membantu penguatkuasaan.

    Menurutnya, cadangan itu termasuk membenarkan mana-mana pengguna jalan raya yang memasang dashcam merakam kejadian atau kesalahan lalu lintas dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

    “Mmaksudnya sesiapa sahaja yang memasang dashcam boleh merakam kejadian atau kesalahan dan menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa dan akan ada manfaat kepada mereka nanti,” katanya yang turut berkata JSPT turut meneliti kemungkinan mewujudkan konsep ‘rakan kepada pihak berkuasa’ bagi pengguna yang bekerjasama dalam aspek keselamatan jalan raya.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang penggunaan dashcam untuk tujuan pelaporan perlu mematuhi undang-undang serta garis panduan yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa.

    “Ini cadangan yang baik yang diterima daripada masyarakat kepada JSPT, dan kita akan menyusun peraturan serta kepatuhan yang sesuai supaya ia dilaksanakan secara teratur dan sah,” katanya.

     
     
  • Honda Malaysia akan lancar 6 model sepanjang 2026 – Prelude, EV Super One, MPV Stepwgn dan ZR-V?

    Honda Malaysia akan lancar 6 model sepanjang 2026 – Prelude, EV Super One, MPV Stepwgn dan ZR-V?

    Ketika majlis sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Honda Malaysia malam ini, jenama Jepun itu mengumumkan akan melancarkan enam model baharu ke pasaran tempatan sepanjang 2026. Perancangan yang agak agresif ini adalah untuk memastikan ia mencapai sasaran jualan tahunan 60,000 unit dalam pasaran yang begitu kompetitif buat masa sekarang, dengan banyak pengeluar baharu yang masuk ke pasaran Malaysia terutamanya dari China.

    Tiada langsung pentunjuk jelas enam model yang dilancarkan tersebut. Namun dalam ucapan pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Narushi Yazaki, beliau ada menyatakan bahawa syarikatnya mengembangkan penawaran model-model hibrid dengan unit rangkaian kuasa e:HEV, termasuk dengan pengenalan teknologi S+ Shift.

    “Pengenalan teknologi S+ Shift untuk pertama kali adalah contoh jelas hala tuju ini. Ia memberikan hubungan kereta dengan pemandu yang lebih baik serta memberikan setiap perjalanan lebih dinamik dan memberikan kepuasan, menunjukkan apa Honda buat berbeza, untuk semua orang yang suka memandu,” kata Yazaki.

    Buat masa sekarang teknologi S+ Shift ini hanya ada pada satu model hibrid Honda iaitu Honda Prelude generasi keenam yang dilancarkan di Jepun tahun lalu. Malah dalam video sambutan ulangtahunnya yang ke-25 hujung tahun lalu, Honda Malaysia sudahpun menyiarkan teaser Honda Prelude berkenaan. Jadi sudah hampir pasti Prelude adalah salah satu dari enam model yang akan dilancarkan tersebut.

    Teknologi S+ Shift ini juga ada dipadankan pada satu lagi model iaitu EV Honda Super One di mana prototaipnya telah didedahkan tahun lalu. Super One merupakan model yang diasaskan dari K-Car EV Honda N-One e:, tetapi ia diberikan motor yang lebih berkuasa dan juga badan yang lebih lebar bagi memberikan trek roda yang juga lebih lebar bagi memberikan pengendalian lebih baik.

    Super One bukan hanya akan dijual di Jepun kerana ia merupakan model global yang akan dipasarkan di seluruh dunia. Dan apa yang menarik, prototaip Super One berkenaan sudah dilihat diuji di Malaysia pada November tahun lalu. Untuk model kedua dilancarkan di Malaysia tahun ini, kami jangkakan ia adalah Honda Super One. Namun ada satu kekangan yang mungkin menjadi masalah kepada Super One – kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa model EV CBU yang dibawa ke pasaran tempatan tahun ini perlu dijual pada harga minima RM250,000. Apa pun mungkin ada jalan penyelesaiannya nanti.

    Honda Malaysia akan lancar 6 model sepanjang 2026 – Prelude, EV Super One, MPV Stepwgn dan ZR-V?

    Model ketiga yang kami jangka akan dibawa oleh Honda Malaysia ke sini adalah MPV tujuh-tempat duduk Honda Stepwgn. Model ini telah pun dilancarkan di Thailand dan Indonesia, di mana kedua-dua pasaran tersebut menerima varian hibrid Spada e:HEV.

    Buat masa sekarang hampir semua barisan model Honda di Malaysia telah dikemaskini dalam versi terbaharu sama dengan apa yang diterima pasaran-pasaran lain. Jadi agak sukar untuk mengagak tiga lagi model yang akan dibawa oleh Honda Malaysia ke sini.

    Bagi penulis sendiri, mungkin terdapat kemungkinan Honda Malaysia akan membawa SUV berasaskan Civic iaitu Honda Z-RV ke pasaran tempatan. Model ini membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada April 2022, tetapi dikenali sebagai HR-V pada pasaran berkenaan. Ia kemudiannya telah didedahkan di Jepun pada September 2022 sebelum mula dijual di negara tersebut bermula pada April tahun lalu, dan kemudiannya turut dilancarkan di Australia.

    Honda Malaysia akan lancar 6 model sepanjang 2026 – Prelude, EV Super One, MPV Stepwgn dan ZR-V?

    Honda ZR-V ini diasaskan dari platform yang sama dengan dengan Honda Civic FE, serta berkongsi pelbagai komponen lain seperti bahagian dalaman, suspensi dan juga pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.5 liter VTEC turbo dan hybrid e:HEV dengan enjin petrol 2.0 liter.

    Sekiranya model ini dibawa ke Malaysia, ia sudah tentu akan diletakkan pada posisi tengah antara Honda HR-V dan juga Honda CR-V. Jadi ZR-V akan mengisi ruang kosong yang diwujudkan oleh CR-V yang kini bukan hanya semakin besar, malah harganya juga semakin mahal. Malah ZR-V juga boleh diletakkan sebagai pencabar terus kepada Toyota Corolla Cross yang kini diterima baik dalam pasaran tempatan.

    Apa lagi dua model? Ini mungkin adalah model-model kemaskini atau model baharu sepenuhnya yang masih lagi belum diumumkan pada peringkat global. Jadi sama-samalah kita tunggu ya!

     
     
  • Jalan di PJ State ditutup untuk majlis CNY, 12-13 Feb

    Untuk anda yang bekerja atau sering ke PJ State, ini ada makluman penting. MBPJ telah mengumumkan penutupan Jalan Tengah di pusat bandar berkenaan, sebagai persiapan penganjuran majlis meraikan Tahun Baharu Cina.

    Acara berkenaan akan berlangsung pada 13 Februari ini dari jam 3 petang hingga 8 malam dan penutupan jalan dilaksanakan mulai jam 11 malam pada 12 Februari hingga 11 malam pada 13 Februari 2026.

    Jalan Tengah yang akan ditutup itu bermula dari hadapan Bank UOB hingga Jalan 52/18 iaitu di hadapan Restoran Ajmeer. Sila semak peta di atas untuk gambaran yang lebih jelas. Jika anda berada di lokasi berkenaan, sila patuhi papan tanda dan arahan dari pihak krew yang terlibat.

     
     
  • Mazda CX-3 dihenti produksi di Jepun – masih ditawarkan di Malaysia sebagai model CBU dari Thai

    Mazda CX-3 dihenti produksi di Jepun – masih ditawarkan di Malaysia sebagai model CBU dari Thai

    Mazda secara rasmi telah menghentikan pengeluaran CX-3 di Jepun, dengan produksi crossover kompak tersebut dijadualkan berakhir pada penghujung bulan ini. CX-3 pertama kali diperkenalkan pada tahun 2014 dan merupakan antara model tertua dalam barisan produk syarikat itu.

    Walaupun Mazda masih menerima tempahan bagi dua varian CX-3 yang ditawarkan di Jepun, tempahan tersebut akan ditutup sebaik sahaja jumlah maksimum pesanan dicapai, menurut kenyataan di laman web Mazda Jepun. Harga model tersebut di sana adalah antara 2,704,900 hingga 3,315,400 yen (sekitar RM68,000 hingga RM84,000).

    Bagaimana pun, CX-3 akan terus ditawarkan di Malaysia kerana ia diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand sejak 2022 – sebelum ini model tersebut dibawa masuk dari Jepun. Ketika ini, CX-3 di pasaran tempatan ditawarkan dalam tiga varian, iaitu 2.0G 2WD Plus berharga RM126,159 dan 2.0G 2WD High pada RM139,159 – kedua-dua harga adalah atas jalan tanpa insurans.

    Turut ditawarkan ialah varian 1.5G 2WD Plus, yang dipaparkan dalam tawaran spesifikasi tetapi tidak terdapat dalam senarai harga berkuatkuasa 1 November 2023. Senarai harga terdahulu ketika CX-3 menerima kemaskini pada Disember 2023 menunjukkan 1.5G 2WD Plus berharga RM115,720. Selain Thailand (model BT-50 pasaran tempatan juga diimport dari negara tersebut), CX-3 akan terus dihasilkan di Mexico

     
     
  • Ferrari Luce – rekaan dalaman bagi EV pertama syarikat, hasil bekas pekerja Apple, Jony Ive didedah

    Ferrari Luce – rekaan dalaman bagi EV pertama syarikat, hasil bekas pekerja Apple, Jony Ive didedah

    Kenderaan elektrik pertama Ferrari dijadual membuat kemunculan sulung tahun ini. Selepas mendedahkan perincian trenkuasa pada Oktober lalu, pengeluar automotif dari Itali itu kini berkongsi pula gambaran bahagian dalaman model yang disifatkan sebagai tambahan penting kepada barisan Ferrari.

    Sebelum ini, kereta tanpa pelepasan emisi itu dikenali dengan nama kod Elettrica, namun Ferrari kini mengesahkan nama rasminya sebagai Luce. Menurut syarikat itu, Luce membawa maksud “cahaya” atau “penerangan”, satu nama yang cukup simbolik kerana model ini akan menjadi penanda arah baru ketika Ferrari melangkah masuk ke dunia elektrifikasi buat kali pertama.

    Pendedahan ruang dalaman Ferrari Luce berlangsung di San Francisco dan dianjurkan bersama LoveFrom, sebuah firma reka bentuk yang terlibat secara langsung dalam pembangunan gaya kenderaan ini. LoveFrom diasaskan pada 2019 oleh bekas pereka Apple, Jony Ive, bersama Marc Newson dan telah bekerjasama rapat dengan Ferrari Centro Stile yang diterajui oleh Flavio Manzoni selama hampir lima tahun bagi merealisasikan Luce.

    Ferrari Luce – rekaan dalaman bagi EV pertama syarikat, hasil bekas pekerja Apple, Jony Ive didedah

    Hasil kerjasama ini diterjemahkan dalam bentuk kabin yang menampilkan sentuhan retro moden, dengan penggunaan tiga paparan utama. Paparan pertama terletak di hadapan pemandu dalam unit kluster instrumen dan menggunakan panel OLED yang dibekalkan oleh Samsung.

    Ia menampilkan tiga bukaan bulat yang membingkai paparan meter kelajuan digital, paparan maklumat kenderaan termasuk G-meter serta satu meter aliran tenaga. Rekaan ini jelas mengambil inspirasi daripada dunia penerbangan, selari dengan rujukan kepada instrumen Veglia dan Jaeger dari era 1950-an dan 1960-an.

    Buat pertama kali dalam sejarah Ferrari produksi, kluster instrumen ini dipasang pada batang stereng dan bergerak seiring dengan stereng itu sendiri, memastikan pandangan pemandu terhadap maklumat penting sentiasa konsisten tanpa mengira kedudukan stereng.

    Rekaan stereng tiga jejari pula mendapat ilham daripada stereng kayu Nardi ikonik dari tahun 1950-an dan 1960-an, seperti yang terdapat pada Ferrari 250 Europa milik Jony Ive sendiri. Stereng ini diperbuat daripada aluminium kitar semula sepenuhnya dengan komponen yang dimesin menggunakan teknologi CNC, menjadikannya 400 gram lebih ringan berbanding stereng Ferrari standard.

    Stereng tersebut turut dilengkapi dua modul kawalan analog di bahagian bawah jejari sisi, yang mengawal pelbagai fungsi termasuk mod pemanduan seperti Range, Tour dan Performance, sistem bantuan pemandu, kawalan cengkaman, mod suspensi serta pengelap cermin. Kawalan isyarat belok pula diletakkan pada jejari stereng.

    Paparan kedua merupakan skrin sentuh tengah yang dipasang menggunakan sendi bebola, membolehkannya dihalakan sama ada ke arah pemandu atau penumpang hadapan. Batang logam di bahagian bawah skrin berfungsi sebagai pemegang dan juga tempat sokongan tapak tangan untuk meningkatkan ergonomik. Menariknya, Ferrari memilih untuk mengekalkan kawalan fizikal tertentu dan tidak sepenuhnya bergantung kepada menu skrin sentuh.

    Ferrari Luce – rekaan dalaman bagi EV pertama syarikat, hasil bekas pekerja Apple, Jony Ive didedah

    Bagi menambah elemen keunikan, skrin tengah ini turut disertakan dengan multigraf mekanikal yang menggunakan tiga motor bebas untuk menggerakkan jarum aluminium beranod. Jarum ini bergerak di atas dail yang dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass dan boleh dipaparkan dalam mod jam, kronograf, kompas atau kawalan pelancaran.

    Kawalan tambahan untuk lampu dan nyahbeku ditempatkan pada satu panel di atas skrin tengah, yang turut menempatkan lampu peta, butang panggilan kecemasan serta tombol khas berlabel “Launch”.

    Paparan ketiga pula terletak di bahagian belakang konsol tengah dan digabungkan dengan kawalan fizikal sistem pendingin hawa. Konsol ini direka secara minimalis, dengan satu lagi panel kawalan diletakkan di antara pemegang cawan hadapan dan perehat tangan.

    Ferrari Luce – rekaan dalaman bagi EV pertama syarikat, hasil bekas pekerja Apple, Jony Ive didedah

    Panel tersebut mempunyai ciri unik tersendiri menerusi tapak kunci pintarnya. Apabila kunci dimasukkan, satu animasi berperingkat akan diaktifkan, di mana warna kunci berubah daripada kuning kepada hitam seolah-olah menyatu dengan permukaan kaca konsol tengah. Kesan dramatik ini direalisasikan melalui penggunaan paparan E Ink yang dibangunkan khas untuk kunci Luce, melambangkan “pemindahan kuasa” daripada kunci kepada kenderaan.

    Pemilih gear Luce juga tampil luar biasa apabila diperbuat daripada kaca Corning Gorilla Glass menggunakan proses pembuatan yang dikatakan belum pernah digunakan dalam rekaan dalaman automotif sebelum ini. Ferrari menjelaskan bahawa teknologi laser digunakan untuk menghasilkan lubang mikroskopik pada kaca, dengan saiz separuh lebar sehelai rambut manusia, bagi memasukkan dakwat grafik secara seragam dan sangat tepat.

    Pendedahan bahagian dalam ini merupakan fasa kedua dalam proses pengumuman berperingkat Ferrari bagi Luce. Fasa ketiga dan terakhir, iaitu pendedahan reka bentuk luaran, dijadual berlangsung di Itali pada bulan Mei. Berdasarkan maklumat awal, Ferrari Luce akan hadir sebagai model empat tempat duduk dengan empat pintu, menjadikannya model kedua dalam barisan Ferrari dengan konfigurasi tersebut selepas Purosangue.

     
     
  • Denza D9 EV 2026 terdedah di China – rekaan gril baru, kuasa 462 PS untuk FWD dan 557 PS untuk AWD

    Denza D9 EV 2026 terdedah di China – rekaan gril baru, kuasa 462 PS untuk FWD dan 557 PS untuk AWD

    Selepas diperkenalkan di Malaysia hampir setahun lalu, Denza D9 kini semakin kerap dilihat atas jalan raya. Namun begitu, di China, Denza sudah pun merancang kemas kini bagi model tahun 2026. Walaupun perubahan luaran adalah minimum, pemfailan terbaru di Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China mendedahkan bahawa naik taraf besar sebenarnya berlaku di bahagian mekanikal, lapor Autohome.

    Sebelum ini, Denza D9 versi elektrik penuh mudah dibezakan berbanding varian plug-in hybrid melalui gril hadapan tertutup dengan kemasan jalur menegak. Bagi kemas kini terbaru, Denza dilihat mahu menyeragamkan rekaan dengan menggunakan gril yang sama seperti versi hibrid, lengkap dengan corak sisipan berbentuk bendera. Turut dikesan ialah satu lagi varian dengan elemen menegak menyerupai “shard”, yang berkemungkinan merupakan versi mewah dengan spesifikasi lebih tinggi.

    Secara keseluruhan, rupa luaran D9 masih hampir sama seperti sebelum ini. Ia masih menggunakan lampu hadapan dengan kemasan rona emas ros, tiang D warna perak berbentuk layar, lampu belakang melintang penuh serta rekaan bampar belakang yang sama.

    Denza D9 EV 2026 terdedah di China – rekaan gril baru, kuasa 462 PS untuk FWD dan 557 PS untuk AWD

    Rim aloi 18 inci banyak jejari juga terus digunakan, namun kini ditawarkan dengan beberapa pilihan rekaan baru. Bahagian dalaman pula dijangka menerima sedikit sentuhan baru dari segi kemasan dan pilihan warna bagi menyegarkan suasana kabin mewahnya.

    Perubahan paling ketara sebenarnya terletak di bawah bonet, apabila Denza D9 kini menerima peningkatan kuasa yang sangat besar. Varian pacuan roda hadapan dengan satu motor kini menghasilkan 462 PS atau 340 kW, iaitu lebih tinggi daripada versi pacuan semua roda sedia ada dan meningkat sebanyak 149 PS berbanding model sebelumnya.

    Bagi varian pacuan semua roda, motor belakang turut dinaik taraf dengan tambahan 95 PS, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 557 PS atau 410 kW. Ini merupakan peningkatan sebanyak 190 PS dan meletakkan D9 sebaris dengan pesaing berprestasi tinggi seperti Zeekr 009.

    Denza D9 EV 2026 terdedah di China – rekaan gril baru, kuasa 462 PS untuk FWD dan 557 PS untuk AWD

    Dengan kuasa yang jauh lebih besar ini, prestasi pecutan juga dijangka bertambah baik berbanding model semasa yang mencatat masa 0-100 km/j dalam 9.5 saat untuk versi pacuan hadapan dan 6.9 saat bagi pacuan semua roda.

    Setakat ini, butiran teknikal lain masih belum didedahkan. Namun, terdapat harapan bahawa Denza akan memasang D9 dengan bateri yang lebih besar bagi menyokong trenkuasa baru ini. Model sedia ada sudah pun menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 103.6 kWh dan peningkatan kapasiti bukan sahaja mampu menambah jarak pemanduan, malah meningkatkan kesesuaiannya untuk perjalanan jarak jauh.

    Sebagai rujukan, versi pacuan semua roda ketika ini mampu mencapai jarak sehingga 480 km mengikut kitaran WLTP. Peningkatan kadar pengecasan pantas DC, yang kini dihadkan kepada 166 kW, juga dilihat sebagai satu penambahbaikan yang dialu-alukan.

    Denza D9 EV 2026 terdedah di China – rekaan gril baru, kuasa 462 PS untuk FWD dan 557 PS untuk AWD

    Walau bagaimanapun, satu ciri yang tidak dijangka ditawarkan untuk pasaran Malaysia ialah sistem bantuan pemandu eksklusif China, milik BYD yang dikenali sebagai God’s Eye versi 5.0. Sistem ini menawarkan penambahbaikan kepada fungsi brek kecemasan automatik dan bantuan stereng mengelak dengan pengesanan lebih baik terhadap kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal.

    Ia juga menyokong pemanduan automatik tahap tinggi di kawasan bandar dan lebuh raya, menggunakan lebih banyak kamera serta sensor lidar yang dipasang di bumbung, seperti yang terdapat pada Denza D9 versi pasaran China.

     
     
  • JPJ keluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3j terhadap pemandu warga asing sejak 2023

    JPJ keluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3j terhadap pemandu warga asing sejak 2023

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3 juta terhadap pemandu warga asing sejak 2023 hingga 2025 menerusi pelaksanaan Ops Pemandu Warga Asing (Ops PEWA), laporan The Star.

    Berdasarkan rekod saman yang dikeluarkan, warga asing Rohinya, Bangladesh, Indonesia, Timur Tengah, India dan China adalah warga yang paling tinggi dikenakan tindakan dengan jumlah keseluruhan seramai 462,835 orang, kata Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.

    Tambahnya, warga asing seperti Thailand dan Singapura menjadi antara yang terbanyak dikenakan saman, sekali gus membuktikan keperluan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, menyeluruh dan tidak selektif.

    JPJ keluarkan 482,742 saman bernilai RM25.3j terhadap pemandu warga asing sejak 2023

    Dalam tempoh yang sama, katanya lagi, sebanyak 15,789 kenderaan yang dipandu warga asing itu turut disita. Kesalahan utama yang dicatatkan termasuklah memandu tanpa lesen yang sah, tiada cukai jalan dan insurans serta kesalahan teknikal seperti modifikasi kenderaan tanpa kelulusan yang sah.

    JPJ menegaskan pemandu warga asing yang melanggar undang-undang jalan raya akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian, termasuk saman, sitaan kenderaan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan sedia ada.

    “JPJ juga memberi amaran keras kepada majikan dan pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan pemandu warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen sah. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas turut diambil terhadap pihak terbabit,” katanya yang turut menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi dalam usaha memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi sepenuhnya.

     
     
  • Hyundai Malaysia sasar kembangkan jaringan pengedaran dan servis dari 12 ke 25 outlet pada 2026

    Hyundai Malaysia sasar kembangkan jaringan pengedaran dan servis dari 12 ke 25 outlet pada 2026

    Ketika berlangsungnya majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina Hyundai Motor Malaysia (HMY) malam tadi, syarikat itu mengumumkan bahawa ia bakal mengembangkan jaringan pengedaran dan servisnya dari 12 kepada 25 dalam tahun 2026 ini. Menurut syarikat itu ini merupakan komitmen jangka panjangnya untuk pasaran Malaysia.

    HMY mula beroperasi pertengahan tahun lalu sebagai sebuah syarikat prinsipal terus dari Korea Selatan, bagi menggantikan pengurusan Hyundai Sime Darby Motor (HSDM) di Malaysia. Dalam tahun yang sama, HMY turut telah menandatangani surat niat (LOI) dengan empat rakan pengedar pada Disember.

    Rancangan pengembangan jaringan pengedaran dan servis ini bukan hanya ditumpukan di bahagian semenanjung Malaysia, malah ekosistem tersebut turut akan diperluas di Sabah dan Sarawak.

    Selain itu HMY turut mendedahkan rancangan lain untuk 2026, antaranya untuk melancarkan model prestasi N iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N pada suku kedua, memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model Tucson dan Santa Fe juga pada suku kedua, serta bakal melancarkan MPV tujuh-tempat duduk segmen-B Hyundai Stargazer pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari di lebuhrayanya sempena CNY 2026 – aktifkan Smartlane di 32 lokasi

    PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari di lebuhrayanya sempena CNY 2026 – aktifkan Smartlane di 32 lokasi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari puncak di rangkaian lebuhrayanya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut minggu hadapan. Ini merupakan peningkatan hampir 16% berbanding hari-hari biasa di lebuhraya kendaliannya.

    Jangkaan hari puncak di Lebuhraya PLUS adalah pada 12 hingga 14 Februari bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang serta 20 hingga 22 Februari 2026 bagi perjalanan kembali semula ke ibu kota.

    Sehubungan itu, PLUS akan mengaktifkan laluan Smartlane di 32 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik. PLUS juga ingin mengingatkan pengguna agar mematuhi arahan lalu lintas, memandu secara berhemah ketika menggunakan Smartlane serta tidak menggunakan lorong kecemasan di luar lokasi pengaktifan Smartlane.

    PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari di lebuhrayanya sempena CNY 2026 – aktifkan Smartlane di 32 lokasi

    Wilayah utara

    • Persimpangan Bukit Tambun (U) – Plaza Tol Juru KM 150.4 – KM 146.4 (arah utara)
    • Bertam – Sg. Dua KM 120.6 – KM 128.0 (arah selatan)
    • Hentian Sebelah Sg. Bakap – Jawi KM 159.3 – KM 162.7 (arah selatan)
    • Changkat Jering – Hentian Sebelah Taiping Utara KM303.2 – KM297.0 (arah utara)
    • Ipoh Selatan – Simpang Pulai KM279.8 – KM286.7 (arah selatan)
    • Wilayah tengah

    • Gua Tempurung – Gopeng KM 303.2 – KM 297.0 (arah utara)
    • Gopeng – Tapah KM308.0 – KM312.0 (arah selatan)
    • Slim River – Sungkai KM 367.3 – KM 354.0 (arah utara)
    • Sungkai – Slim River KM 354.0 – KM356.0 (arah selatan)
    • R&R Rawang – Sg. Buaya KM 439.5 – KM 435.5 (arah utara)
    • Hentian Sebelah Rawang – Persimpangan Rawang KM 437.1 – KM 443.3 (arah selatan)
    • Bukit Beruntung – Sg. Buaya KM 429.0 – KM 434.0 (arah selatan)
    • Setia Alam – Shah Alam KM 4.3 – KM 8.1 (arah utara)
    • Shah Alam – Setia Alam KM 8.4 – KM 7.0 (arah selatan)
    • Susur Keluar Petron, NKVE – Subang KM 11.2 – KM 13.3 (arah utara)
    • Nilai – R&R Seremban KM 280.0 – KM 276.0 (arah selatan)
    • Putra Mahkota – Southville KM 289.4 – KM 292.6 (arah utara)
    • Southville – Putra Mahkota KM 293.5 – KM 289.5 (arah selatan)
    • Restoran Jejantas USJ – Seafield KM 8.1 hingga KM6.1 (arah utara)
    • Bandar Saujana Putra – Putra Heights KM 16.3 – KM 13.2 (arah utara)
    • Putra Heights – Bandar Saujana Putra KM 13.85 – KM 15.75 (arah selatan)
    • Ebor (S) – Shah Alam KM4.6 – KM0.7 (arah utara)
    • R&R Dengkil – Putrajaya KM22.9 – KM21.0 (arah utara)
    • Lingkaran Putrajaya KM P3.0 – KM 4.0 (arah timur)
    • Wilayah selatan

    • Port Dickson – Seremban KM 259.6 – KM 263.1 (arah utara)
    • Pedas Linggi – Senawang KM 244 – KM 248.5 (arah utara)
    • Simpang Ampat – Pedas Linggi KM 230.0 hingga KM 235.0 (arah utara)
    • Ayer Keroh – Hentian Sebelah Kg. Bemban KM 194.5 – KM 184 (arah selatan)
    • Tangkak – Jasin KM 174 – KM 180.2 (arah utara)
    • Senai – Kulai KM 19 – KM 27 (arah utara)
    • Dato’ Onn – Pasir Gudang KM 4.5 – KM 1.9 (arah selatan)
    • Pandan – Kempas KM 0.4 – KM 6.0 (arah utara)

    Untuk itu, pengguna lebuhraya dinasihati agar mematuhi arahan semasa oleh petugas di lokasi dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika Smartlane diaktifkan. Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain, di mana tiada laluan Smart Lane diaktifkan.

    Untuk pengetahuan anda, Smartlane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya. Pengguna lebuhraya boleh mengenal pasti laluan Smartlane melalui paparan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda pemberitahuan yang dipasang untuk menunjukkan bahawa laluan Smartlane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi tertentu.

    Pengguna lebuhraya disaran merancang perjalanan masing-masing termasuk boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi perjalanan di antara 11 hingga 22 Februari 2026. MyPLUS-TTA merupakan pendekatan digital PLUS untuk membantu orang ramai merancang dan memilih perjalanan yang paling sesuai untuk musim-musim perayaan.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan semua pengguna lebuhraya supaya menyelenggara dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik, bersedia secara fizikal dan mental untuk melakukan perjalanan jauh, memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-Wallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan dan lebih berhati-hati ketika memandu semasa musim hujan.

     
     
  • Hyundai Tucson dan Santa Fe akan mula dipasang di Malaysia (CKD) bermula suku kedua tahun ini

    Hyundai Tucson dan Santa Fe akan mula dipasang di Malaysia (CKD) bermula suku kedua tahun ini

    Selepas dilancarkan secara rasmi dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) pada Julai tahun lalu, Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengesahkan bahawa versi pemasangan tempatan (CKD) untuk SUV segmen-C Hyundai Tucson dan juga SUV segmen-D tujuh-tempat duduk Hyundai Santa Fe akan bermula di Malaysia pada suku kedua tahun ini. Perkara ini diumumkan ketika berlangsungnya majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina HMY malam tadi.

    Jadi ini merupakan model kedua dan ketiga Hyundai yang dipasang secara tempatan menerusi pengurusan baharu dengan syarikat prinsipal terus dari Korea Selatan diwujudkan pada pertengahan tahun lalu. Sebelum ini HMY telahpun mula memasang dan menjual MPV Hyundai Staria CKD pada pasaran tempatan, bagi menggantikan model CBU 2025 yang dilancarkan juga pada Julai 2025.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, operasi CKD HMY akan terus dibuat di kilang Inokom di Kulim, Kedah, meneruskan usahasama yang telah dijalinkan oleh Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) sebelumnya. Hyundai Motor Company (HMC) sebelum ini sudahpun mengumumkan pelaburan sebanyak RM2.16 bilion di Malaysia bermula 2025 hingga 2030 bagi menaiktaraf kilang berkenaan, untuk membolehkan fasiliti tersebut memenuhi kapasiti yang ditetapkan oleh HMC.

    Hyundai Tucson dan Santa Fe akan mula dipasang di Malaysia (CKD) bermula suku kedua tahun ini

    Buat masa sekarang Hyundai Tucson CBU ditawarkan dalam empat varian dengan tiga pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin NA biasa, enjin pengecas turbo dan hibrid. Ia dijual dengan harga RM143,888 untuk varian asas Style 2.0 MPi, RM164,888 untuk varian pertengahan, Tucson Prime dengan enjin 1.6T-GDi, diikuti dua varian tertinggi iaitu Tucson Prestige 1.6T-GDi AWD yang dijual pada RM186,888 dan Tucson Prestige 1.6T-GDi Hybrid pada harga RM197,888.

    Tucson varian paling asas menerima enjin 2.0 liter NA MPi menghasilkan kuasa 156 PS dan tork 192 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Manakala varian dengan enjin petrol turbo penuh pula diberikan enjin 1.6 liter T-GDi menghasilkan 180 PS dan 265 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Untuk varian hibrid pula ia menerima enjin 1.6 liter turbo bersama motor elektrik, yang secara keseluruhannya menghasilkan 235 PS dan 367 Nm, dengan transmisi automatik enam kelajuan.

    Untuk Santa Fe CBU pula, model generasi kelima ini hadir ke pasaran Malaysia terus dalam versi facelift, ditawarkan dalam tiga varian serta dua jenis unit rangkaian kuasa berbeza. Untuk dua varian lebih rendah iaitu HEV Prime dan HEV Prestige, ia menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti Tucson 1.6T-GDi Hybrid, masing-masing dijual pada haraga RM225,000 dan RM245,000.

    Manakala varian paling tinggi iaitu Santa Fe 2.5T Calligraphy yang dijual pada harga RM270,000, ia menerima enjin 2.5 liter T-GDi serba baru yang memberikan 281 PS pada 5,800 rpm dan 422 Nm antara 1,700 rpm-4,000 rpm. Ini digandingan dengan transmisi klac berkembar DCT lapan-kelajuan serta pacuan semua roda HTRAC dari Hyundai. Tiada lagi pilihan untuk enjin diesel kali ini, selari dengan penawarannya di pasaran lain global.

    Jika dilihat pada penawaran Staria dari CBU ke CKD, tiada sebarang perubahan harga antara kedua-dua versi berkenaan. Cuma untuk versi CKD, Staria diberikan pilihan warna baharu ketika dilancarkan pada Oktober 2025, kemudian pada Januari 2026 ia diberikan konsol tengah, juga tanpa sebarang perubahan harga.

    Jadi untuk Tucson dan Santa Fe CKD kelak, boleh dijangkakan tiada sebarang perubahan harga akan dibuat, dan mungkin ia juga akan menerima beberapa tingkat taraf kecil. Lagipun harga bagi model sedia ada sebenarnya sudah cukup kompetitif dalam kelas masing-masing.

    Hyundai Tucson 1.6T AWD Prestige 2025 CBU

    Hyundai Tucson Prime 2025 CBU

    Hyundai Tucson 1.6T Hybrid Prestige HEV 2025 CBU

    Hyundai Santa Fe 1.6L HEV Prime 2025 CBU

    Hyundai Santa Fe 1.6L HEV Prestige 2025 CBU

    Hyundai Santa Fe Santa Fe 2.5 T-GDi HTRAC Calligraphy 2025 CBU

     
     
  • JPJ eBid: BST dan RBE dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan Perlis dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BST, boleh dibida bermula hari ini, 10 Februari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 14 Februari. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Februari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Perlis, RBE, bakal dibuka bidaan mulai 21 Februari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 25 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 26 Februari 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Hyundai Stargazer akan dilancar di Malaysia suku ke-4 2026 – MPV segmen-B saingan Alza, Veloz, Xpander

    Hyundai Stargazer akan dilancar di Malaysia suku ke-4 2026 – MPV segmen-B saingan Alza, Veloz, Xpander

    Untuk yang mencari MPV segmen-B, ada beberapa model yang boleh anda beli baru dalam pasaran buat masa sekarang, antaranya kembar Perodua Alza dan Toyota Veloz serta saingan dari Mitsubishi iaitu Xpander. Namun tak lama lagi, ada satu lagi model yang bakal dilancarkan di Malaysia iaitu Hyundai Stargazer.

    Perkara ini telah disahkan oleh Hyundai Motors Malaysia (HMY) ketika berlangsungnya majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina syarikat tersebut malam ini. Menurut HMY, Stargazer bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada suku ke-empat tahun ini. Namun tiada perincian lain seperti spesifikasi mahupun anggaran harga yang disebut setakat ini.

    Hyundai Stargazer membuat kemunculan sulung globalnya pada 2022, dengan diperkenalkan di pasaran Indonesia untuk berhadapan dengan model-model seperti Mitsubishi Xpander, Honda BR-V dan juga Toyota Veloz/Daihatsu Xenia. Ia merupakan MPV tujuh-tempat duduk yang dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.

    Hyundai Stargazer akan dilancar di Malaysia suku ke-4 2026 – MPV segmen-B saingan Alza, Veloz, Xpander

    Seperti pesaing-pesaingnya yang lain, Stargazer digerakkan dengan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat-silinder MPI yang menghasilkan kuasa 115 PS dan tork maksima 143.8 Nm, digandingkan dengan transmisi IVT dan memacu hanya roda hadapan.

    Di Indonesia Stargazer telahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada Julai tahun lalu, dikenali sebagai Stargazer Cartenz. Model facelift ini menampilkan perubahan rupa luaran yang ketara, terutamanya bahagian hadapan dengan bonet lebih panjang, lampu utama yang diletakkan lebih tinggi serta lampu nyalaan siang berbentuk ‘H’. Gril hadapan kini lebih besar dengan corak segi empat, manakala bahagian apron bawah tampil lebih agresif. Di belakang, lampu turut menerima sentuhan rekaan serupa.

    Selain Hyundai Stargazer Cartenz standard, MPV ini turut ditawarkan dalam versi yang lebih lasak seperti SUV dikenali sebagai Stargazer Cartenz X di pasaran negara tersebut. Ia dijual pada harga 269.9 juta rupiah (sekitar RM70,000) sehingga 350.4 juta rupiah (RM91,000), manakala Cartenz X dijual antara 361.9 juta rupiah (RM94,000) hingga 391.9 juta rupiah (RM101,000).

    GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz di GIIAS 2025

    GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz X di GIIAS 2025

     
     
  • Hyundai Malaysia akan lancar jenama prestasi N – Ioniq 5 N, Ioniq 6 N akan dilancar suku kedua tahun ini

    Hyundai Malaysia akan lancar jenama prestasi N – Ioniq 5 N, Ioniq 6 N akan dilancar suku kedua tahun ini

    Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan bahawa jenama prestasi dari pengeluar automotif Korea Selatan itu iaitu Hyundai N akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Perkara ini diumumkan oleh ketua produk HMY ketika majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina malam ini, dan menurutnya dua model elektrik N iaitu Hyundai Ioniq 5 N dan juga Ioniq 6 N bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini.

    Bagi Ioniq 5 N, ia sebenarnya pernah ditunjukkan oleh pengurusan lama Hyundai di Malaysia iaitu Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada 2024. Malah sebelum ini HSDM pernah menjual model i30 N secara rasmi di pasaran Malaysia secara rasmi pada penghujung 2019.

    Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

    Hyundai Malaysia akan lancar jenama prestasi N – Ioniq 5 N, Ioniq 6 N akan dilancar suku kedua tahun ini

    Kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

    Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

    Hyundai Malaysia akan lancar jenama prestasi N – Ioniq 5 N, Ioniq 6 N akan dilancar suku kedua tahun ini

    Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

    Manakala bagi Hyundai Ioniq 6 N, ia adalah model EV kedua Hyundai N yang didedahkan pertama kali peringkat global di Goodwood Festival of Speed pada Julai tahun lalu. Diasaskan dari sedan EV Ioniq 6 biasa, model ini turut menerima semua yang diberikan pada Ioniq 5 N.

    Hyundai sebelum ini telah melancarkan Ioniq 5 N di Thailand pada 2024. Di sana model ini ditawarkan pada harga 3,790,000 baht atau RM478k. Mahal? Sebagai perbandingan Honda Civic Type R FL5 dijual di Thailand pada harga 3,990,000 baht atau RM503k, berbanding di Malaysia hot-hatch itu dijual pada harga RM399,900.

    GALERI: Pratonton Hyundai Ioniq 5 N

     
     
  • Genesis X Skorpio Concept guna enjin V8 berkuasa 1,115 PS/1,153 Nm, badan gentian karbon, casis tiub

    Genesis X Skorpio Concept guna enjin V8 berkuasa 1,115 PS/1,153 Nm, badan gentian karbon, casis tiub

    Genesis tampil dengan pendekatan berani terhadap konsep kereta sport lasak menerusi Genesis X Skorpio Concept, sebuah jentera yang membawa idea sama seperti Lamborghini Huracán Sterrato dan Porsche 911 Dakar, namun direka untuk menghadapi permukaan yang jauh lebih ekstrem.

    Konsep ini menandakan arah berbeza bagi jenama mewah Korea Selatan itu, dengan susun atur enjin hadapan dan rekaan badan yang jauh lebih tinggi berbanding konsep Magma GT berenjin tengah yang diperkenalkan pada November lalu.

    Menurut ketua pegawai kreatif Genesis, Luc Donckerwolke, X Skorpio Concept dibangunkan sebagai “kenderaan off-road ekstrem yang direka untuk dipandu merentasi permukaan paling mencabar dan keras”. Sejajar dengan matlamat tersebut, ia menggunakan rangka tiub sepenuhnya bersama rollcage penuh, dengan banyak komponen diambil daripada pembekal khusus perlumbaan endurance off-road.

    Genesis X Skorpio Concept guna enjin V8 berkuasa 1,115 PS/1,153 Nm, badan gentian karbon, casis tiub

    Panel luaran X Skorpio Concept dibina menggunakan gabungan bahan gentian kaca, gentian karbon dan Kevlar. Reka bentuk panel bersegmen ini membolehkan pembaikan dilakukan dengan pantas dan cekap, iaitu satu keperluan penting bagi kenderaan yang direka untuk beroperasi dalam persekitaran lasak dan mencabar.

    Seperti kebiasaan, Genesis jarang mendedahkan maklumat terperinci mengenai trenkuasa bagi model konsep. Namun bagi X Skorpio Concept, mereka memberikan sedikit gambaran apabila mengesahkan kehadiran enjin V8 di bawah bonet jenis clamshell. Enjin tersebut menghasilkan kuasa sebanyak 1,115 PS dan tork setinggi 117.6 kg-m atau bersamaan 1,153 Nm.

    Untuk sistem roda, X Skorpio Concept dipadankan dengan rim beadlock bersaiz 18 inci yang dibalut tayar off-road khas bersaiz 40 inci. Sistem brek pula menggunakan komponen daripada Brembo Motorsport. Genesis turut menyatakan kenderaan ini memiliki sudut pendekatan dan pelepasan yang besar, jarak roda pendek serta sudut breakover yang tinggi. Pelindung fender berkelegaan tinggi dan plat perlindungan bawah yang kukuh pula direka bagi mengelakkan kenderaan daripada tersangkut atau rosak ketika dipandu di laluan ekstrem.

    Genesis X Skorpio Concept guna enjin V8 berkuasa 1,115 PS/1,153 Nm, badan gentian karbon, casis tiub

    Bahagian dalaman mengekalkan fokus kepada keselamatan dan fungsi, dengan rollcage yang ketara, tali pinggang keselamatan four point serta struktur dalaman yang diperkukuh. Walaupun menampilkan suasana kabin yang bersifat utilitarian, Genesis masih mengekalkan sentuhan mewah, menjadikannya lebih eksklusif berbanding jentera kategori trophy truck dalam perlumbaan Baja yang menjadi inspirasi rekaan luarannya.

    Paparan instrumen dipasang terus pada stereng gaya perlumbaan, manakala kawalan sekunder diuruskan melalui panel butang yang disusun dalam bentuk grid. Menariknya, terdapat juga skrin gelongsor yang boleh dilaraskan sama ada lebih dekat ke arah pemandu untuk navigasi solo atau dialihkan ke sisi penumpang bagi tugas pembantu pemandu. Pemegang tangan turut disediakan di kedua-dua sisi konsol tengah bagi menambah keselamatan ketika meredah laluan mencabar.

    Setakat ini, Genesis masih belum mengesahkan sama ada X Skorpio Concept akan dibangunkan ke peringkat produksi atau digunakan dalam arena perlumbaan. Namun dengan pembinaan rangka tiub, enjin V8 berkuasa tinggi dan casis yang jelas direka untuk kegunaan ekstrem, konsep ini dilihat memiliki asas kukuh untuk memenuhi kriteria jentera trophy truck sekiranya Genesis memilih untuk merealisasikannya.

     
     
  • Kerajaan laksana peraturan baharu larang pemandu kenderaan asing beli RON95 mulai 1 Apr 2026

    Kerajaan laksana peraturan baharu larang pemandu kenderaan asing beli RON95 mulai 1 Apr 2026

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, mengesahkan kementeriannya akan mewujudkan peraturan baharu yang melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April 2026.

    Ini termasuklah untuk menyekat penggunaan kad kredit asing bagi pembelian petrol RON95 di negara ini, laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, ia bertujuan bagi memastikan pemberian subsidi RON95 hanya dinikmati oleh rakyat yang layak. Berkenaan dengan menyekat penggunaan kad kredit asing, KPDN sedang mengkaji mekanisme yang bersesuaian untuk melaksanakannya.

    “Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik atau pemandu kenderaan berpendaftaran asing. Peraturan ini disasarkan siap dan berkuat kuasa bermula pada 1 April 2026,” katanya semasa ucapan penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

    Selain itu katanya, pemeriksaan di bawah Ops Samar juga akan dipertingkatkan di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti penyelewengan.

    “Kementerian sememangnya memandang serius dakwaan wujud unsur ugutan atau pemerasan ke atas pengusaha stesen minyak menggunakan rakaman video.

    “Tindakan sedemikian adalah kesalahan jenayah di bawah undang-undang lain dan pihak terlibat boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPDN akan bekerjasama dengan PDRM sekiranya terdapat elemen penyalahgunaan peruntukan penguatkuasaan untuk tujuan ugutan,” katanya.

     
     
  • Jaecoo J5 – harga anggaran diumum sekitar RM110k – pakej untuk pembeli awal RM8,888, lancar Mac ini

    Jaecoo J5 – harga anggaran diumum sekitar RM110k – pakej untuk pembeli awal RM8,888, lancar Mac ini

    Jaecoo J5 diketahui akan dilancarkan tidak lama lagi apabila Omoda & Jaecoo Malaysia mengesahkan kemunculan rasminya akan berlaku hanya “beberapa minggu lagi”, pada bulan Mac. Walaupun tarikh pelancaran sebenar masih belum diumumkan, perkara yang mencuri tumpuan ialah penurunan ketara harga anggaran dari RM120,000 yang diumumkan sebulan lalu, kepada RM110,000 sekarang.

    Menjelang pelancaran rasmi, Jaecoo J5 turut ditawarkan dengan pakej “super early bird” bernilai sehingga RM8,888 untuk pelanggan yang membuat tempahan awal. Pakej ini merangkumi rebat tunai “angpow” sebanyak RM3,888, insurans percuma untuk tahun pertama bernilai RM3,000 serta pakej aksesori bernilai RM2,000. Aksesori yang ditawarkan termasuk subwoofer dalam kabin, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi.

    Untuk pasaran Malaysia, Jaecoo J5 ditawarkan secara eksklusif dengan enjin petrol sepenuhnya, berbeza dengan Thailand dan Indonesia yang menerima model ini dalam versi elektrik. Di bawah bonet, ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 147 PS dan 210 Nm tork, sama seperti yang digunakan pada Chery Tiggo Cross.

    Namun begitu, berbanding Tiggo Cross yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar enam kelajuan, Jaecoo J5 menggunakan transmisi CVT. Kuasa disalurkan ke roda hadapan dan membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 175 km/j. Penggunaan bahan api pula dinyatakan pada kadar 7.5 liter bagi setiap 100 km, bersamaan kira-kira 13.3 km bagi setiap liter.

    Dari segi saiz, Jaecoo J5 berada di hujung atas segmen B. Ia berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, menjadikannya sedikit lebih pendek berbanding Honda HR-V tetapi jauh lebih lebar dan tinggi. Jarak roda 2,620 mm pula adalah 10 mm lebih panjang daripada HR-V. Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 yang lebih besar mempunyai panjang tambahan 120 mm dan jarak roda 52 mm lebih panjang.

    Reka bentuk luaran J5 jelas mengambil inspirasi daripada barisan SUV mewah Range Rover, dengan gaya badan tegak, garisan kemas dan rekaan tingkap sekeliling yang menyatu. Ia dilengkapi lampu utama LED projektor nipis, lampu siang dua palang, gril hadapan besar berbentuk “waterfall”, bukaan udara lebar di bampar serta lampu belakang nipis yang disambungkan dengan jalur hitam melintang.

    Jaecoo J5 – harga anggaran diumum sekitar RM110k – pakej untuk pembeli awal RM8,888, lancar Mac ini

    SUV ini dipadankan dengan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci rekaan berbilang jejari yang dibalut tayar Chaoyang Aggressor. Suspensi hadapan menggunakan jenis MacPherson manakala bahagian belakang menggunakan sistem multilink, satu ciri yang jarang ditemui dalam segmen ini, bersama brek cakera pada keempat-empat roda. Jaecoo turut mendakwa ketegaran kilasan badan mencecah 23,500 Nm setiap darjah.

    Bahagian dalaman meneruskan pendekatan rekaan minimalis dengan papan pemuka mendatar, liang penghawa dingin penuh lebar dan konsol tengah gaya ‘waterfall’. Konsol ini menempatkan skrin infotainmen menegak bersaiz 13.2 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dua pemegang telefon pintar dengan satu pad pengecasan tanpa wayar Qi 50 watt, serta pemegang cawan rekaan unik. Paparan meter pula menggunakan skrin LCD tujuh segmen bersaiz lapan inci dan bukannya paparan digital penuh warna.

    Ruang kabin Jaecoo J5 menggunakan bahan mesra haiwan yang diperakui TÜV, termasuk balutan kulit tiruan tahan calar dan anti-bakteria. Pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori tambahan seperti jaring, alas dan pembawa haiwan peliharaan. Ruang but menawarkan kapasiti 480 liter dan boleh diperluas sehingga 1,280 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Kelengkapan standard yang ditawarkan agak menyeluruh, termasuk tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi pengudaraan, pendingin hawa automatik dua zon, lampu suasana pelbagai warna, cermin hadapan berkaca dua lapis akustik, bumbung kaca panoramik, sistem kamera 360 darjah dengan paparan lutsinar, pintu but berkuasa elektrik serta sistem audio lapan pembesar suara.

    Dari sudut keselamatan dan bantuan pemandu, Jaecoo J5 dilengkapi sistem bantuan pemanduan separa autonomous Tahap 2 yang merangkumi kawalan pelayaran adaptif dengan fungsi henti dan gerak semula, bantuan kekal lorong serta bantuan kelajuan di selekoh. Ia turut menawarkan brek kecemasan automatik, bantuan stereng mengelak, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik serta amaran pembukaan pintu.

    GALERI: Jaecoo J5 yang dipertonton di Malaysia

     
     
  • Toyo Proxes Comfort dilancarkan di Malaysia — tersedia untuk EV, perbaiki jarak brek, saiz 16-19 inci

    Toyo Proxes Comfort dilancarkan di Malaysia — tersedia untuk EV, perbaiki jarak brek, saiz 16-19 inci

    Toyo Tires Malaysia kini telah memperkenalkan tayar Proxes Comfort serba baru yang direka untuk memenuhi keperluan pemandu di sini. Dibangunkan di Jepun, Proxes Comfort memberikan cengkaman permukaan basah yang kuat untuk cuaca hujan yang kerap, stabil di selekoh serta selesa untuk perjalanan jauh.

    Faktor utama yang menyumbang kepada kualiti tersebut ialah kompaun utamanya yang dihasilkan dengan pendekatan canggih, struktur dalaman diperkukuh serta corak tayar yang dioptimumkan dengan menampilkan Dynamic Taper Design yang membantu untuk sentiasa mengekalkan sentuhan konsisten dengan permukaan jalan.

    Tayar ini juga disifatkan mampu memperbaiki agihan tekanan, mempekaya kekerasan blok serta menyokong kestabilan ketika membrek dan kendalian ketika kering dan basah — termasuk ketika berhenti mengejut, dalam keadaan hujan lebat atau bahkan ketika dalam keadaan trafik henti-dan-gerak.

    Berbanding Proxes CF2 sebelum ini, Proxes Comfort mengurangkan jarak brek permukaan kering sebanyak 8% serta jarak brek keadaan basah sehingga 13% lebih pendek. Proxes Comfort ditawarkan dalam 14 saiz dengan diameter tayar antara 16 hingga 19-inci, dengan 11 varian tersedia untuk kegunaan EV dengan penarafan “extra load” (XL) bagi menyokong keperluan berat yang lebih tinggi tidak hanya untuk EV, tetapi juga untuk HEV dan PHEV.

    Harga jualan yang dicadangkan ialah antara RM279 hingga RM698 bergantung varian.

     
     
  • Cadangan perkhidmatan kenderaan Transit Aliran Automatik di Putrajaya dibatal susulan kos tinggi

    Cadangan perkhidmatan kenderaan Transit Aliran Automatik di Putrajaya dibatal susulan kos tinggi

    Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak meneruskan cadangan penyediaan perkhidmatan trem tanpa landasan atau kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) di Putrajaya susulan kos pelaksanaan yang terlalu tinggi.

    Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui, hasil kajian awal mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun, laporan Bernama.

    “Kos ini di luar kemampuan kewangan PPj sebagai pihak berkuasa tempatan. Atas dasar itu, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran untuk fasa seterusnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Lo berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian sistem ART di Putrajaya memandangkan fasa rintisan sudah dijalankan sebelum ini, serta perincian pelan peluasan jajaran fasa seterusnya bagi memastikan ketersambungan peringkat awal dan akhir.

    Cadangan perkhidmatan kenderaan Transit Aliran Automatik di Putrajaya dibatal susulan kos tinggi

    Dr Zaliha turut mengemukakan soalan tambahan mengenai model pembiayaan alternatif termasuk kerjasama awam-swasta dalam menampung kos pelaksanaan ART. Lo menjawab, semua keputusan dibuat berpandukan kepada penilaian menyeluruh meliputi kos, faedah, risiko serta kemampuan fiskal semasa.

    Walau bagaimana pun, katanya, PPj sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam pada masa depan, tertakluk kepada kemampuan kewangan dan kelulusan peruntukan, khususnya bagi mencapai sasaran 70% penggunaan mod pengangkutan awam.

    Dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya, Lo turut berkata, PPj melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk penyediaan Bas NadiPutra di tujuh laluan yang beroperasi setiap hari, selain penggunaan teksi air sebagai antara mod pengangkutan awam.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026