Langkah Zeekr Malaysia makin padu apabila tiga model kenderaan elektrik (EV) yang telah dilancarkannya iaitu MPV Zeekr 009, Zeekr X dan Zeekr 7X makin laris di pasaran. Malah pada tahun lalu, Zeekr berjaya menjual 2,560 unit dengan majoritinya disumbangkan oleh model 7X. Sekaligus menempatkannya sebagai jenama EV ke-empat terlaris di pasaran Malaysia.
Melihat akan sambutan yang makin menggalakkan ini, Zeekr Malaysia memutuskan untuk melancarkan tiga model baharunya pada tahun ini. Perkara ini diumumkan sendiri oleh Pengarah Urusannya, Eddy Lu, dalam majlis bersama pihak media malam tadi.
Antara model yang sah bakal dilancarkan pada tahun ini ialah 9X, yang bukan sahaja merupakan model perdana Zeekr, malah kini menjadi penanda aras semasa untuk Geely Group secara keseluruhan.
9X, yang mempunyai aura Rolls-Royce Cullinan merupakan kenderaan versi plug-in hybrid. dan merupakan model pertama Zeekr yang menggunakan enjin pembakaran dalaman. Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinde dari Geely dengan hamburan kuasa 279 PS, dan dalam keadaan tertentu ia boleh memacu roda secara terus (yang bermaksud ia bukan REEV).
Namun, kebanyakan masa 9X beroperasi sebagai EV, dengan output 1,400 PS (1,030 kW), tork 1,410 Nm, serta pecutan 0–100 km/j dalam hanya 3.1 saat. Perlu diingat bahawa harga 9X akan jauh lebih tinggi berbanding Zeekr 009.
Selain 9X, Zeekr juga akan memperkenalkan MPV 009 versi yang paling mewah. Adakah ini bermakna 009 Grand dengan bentangan empat-tempat duduk bakal menjadi model spesifikasi tertinggi bagi barisan 009 di sini? Di Malaysia, MPV 009 dibarisi varian 009 Executive, 009 Luxury dan juga 009 Ultra Luxury. Harga yang ditawarkan antara RM299,800 hingga RM359,800.
Model ketiga yang dijangka bakal diperkenalkan di Malaysia tahun ini ialah X yang dikemaskini. Tahun lalu, pasaran China telah menerima model X yang dikemaskini dengan penggayaan yang lebih menawan serta ditambah beberapa ciri kelengkapan baharu.
Antaranya, X terkini diberikan skrin pintar elektrik 14.6-inci dengan rel elektrik 353 mm yang membolehkan skrin terbabit bergerak antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan. Di negara kelahirannya, X menerima enjin berkuasa 480 hp (365 kW) dan 573 Nm, namun untuk pasaran kita, model AWD menerima output 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam 3.69 saat, lebih pantas berbanding versi pra-peningkatan AWD (3.8 saat). Ia juga diberikan bateri Energee dengan unit 61 kW, menyertai pilihan bateri CATL ternary lithium 66 kWh.
Jadi, adakah pelancaran 9X dan juga dua model yang dijangka iaitu 009 Grand dan X yang dikemaskini ini akan terus meletakkan Zeekr di posisi yang lebih selesa dalam segmen EV di sini?
Oktober tahun lalu, Chery Corporate Malaysia sudahpun mengesahkan bahawa satu lagi sub-jenamanya iaitu Lepas bakal bertapak di pasaran tempatan bermula tahun ini, manakala pada Januari lalu, Lepas Malaysia sudahpun mengeluarkan kenyataan pertamanya dengan mengumumkan perancangannya untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan jualan dan servis di negeri utama di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan sasaran besarnya adalah untuk mempunyai 30 cawagan menjelang penghujung 2026.
Minggu lepas satu imej yang dikongsi dalam laman Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group menampakkan sebuah kontena dengan penjenamaan Lepas, dipercayai dirakam di Pelabuhan Klang. Dan minggu ini di laman yang sama ada pengguna yang memuatnaik foto sebuah Lepas L4 di Malaysia tanpa sebarang pelekat penyamaran seperti sedang menjalani penggambaran video.
Lepas secara rasminya diperkenalkan untuk peringkat global pada April tahun lalu. Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang. Jadi untuk kesemua model dengan jenama Lepas akan menerima lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu.
Selain itu, bahagian sisi model-model Lepas ini juga akan tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.
Manakala pada bahagian dalaman, setiap model-model Lepas ini akan diberikan papan pemuka ringkas dengan rekaan asas diinpirasikan dari latar langit bumi, dan disertakan dengan konsol tengah yang bersepadu dengan skrin tengah utama dalam posisi potret serta dicondongkan seakan air terjun yang mengalir ke bawah. Sementara pada pintu dan papan pemuka, Lepas akan memberikan balutan fabrik yang tidak pernah ada pada mana-mana jenama sebelum ini, menampilkan tekstur seakan kulit bayi.
Walaupun tampil dengan rekaan lebih tersendiri, model-model Lepas masih berkongsi platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama seperti model Chery, Jaecoo dan Omoda. L4 merupakan SUV paling kecil dalam keluarga Lepas buat masa sekarang. Ia menampilkan dimensi panjang 4,406 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak roda sejauh 2,640 mm. Jadi Lepas L4 ini mempunyai kaitan rapat dengan Chery Tiggo Cross di mana SUV segmen A berkenaan menampilkan ukuran panjang 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm.
Kedua-dua SUV ini juga mungkin menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama dan cuma dibezakan dengan talaan – di Afrika Selatan Lepas L4 disahkan menerima enjin 1.5 liter turbo berkuasa 147 PS dan tork maksima 225 Nm digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, manakala Chery Tiggo Cross pasaran Malaysia diberikan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 147 PS dan tork maksima 210 Nm juga dengan kotak gear yang sama.
Selain L4, Lepas turut mendedahkan dua lagi SUV yang lebih besar ketika pelancaran globalnya tahun lalu iaitu SUV segmen-C Lepas L6 yang mungkin kembar kepada Chery Tiggo 7, dan juga SUV segmen-D Lepas L8 yang sudah disahkan kembar kepada Chery Tiggo 8 generasi baharu di China.
Tahun lalu Lepas turut telah mengesahkan bahawa ia turut akan bertapak di pasaran Indonesia, dan membawa ketiga-tiga Lepas L4, L6 dan L8 untuk dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. Untuk pasaran republik tersebut, Lepas telah mengesahkan bahawa ia akan melancarkan L8 terlebih dahulu dan akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa “Super Hybrid System”, merujuk kepada sistem Chery Super Hybrid (CSH) yang tampil bukan sahaja dengan sistem hibrid biasa, malah ada juga pilihan sistem plug-in hybrid (PHEV).
Untuk Malaysia, mungkin ia akan dimulakan dengan Lepas L4 terlebih dahulu memandangkan ia model pertama dijumpai dan mungkin sedang menjalani penggambaran iklan?
Proton S70 MC1 2026 kini sudahpun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan dengan empat varian ditawarkan, masing-masing dijual dengan harga seperti berikut:
Proton S70 1.5TD Executive 2026: RM73,800
Proton S70 1.5TD Premium 2026: RM79,800
Proton S70 1.5TD Flagship 2026: RM89,800
Proton S70 1.5TD Flagship X 2026: RM94,800
Walaupun dengan harga yang kekal sama seperti sebelumnya, khusus sempena pelancaran ini, Proton memberikan rebat sebanyak RM5,000, menjadikan harga masing-masing seperti berikut: RM68,800; RM74,800; RM84,800 dan RM89,800 — sekali gus menjadikan S70 sebagai sedan dengan nilai yang berbaloi bagi mereka yang sedang mencari sebuah sedan untuk keluarga.
Pembaharuan paling utama yang dilakukan terhadap S70 MC1 2026 ini tentulah peralihan kepada enjin i-GT versi turbo seperti Proton X50 dan Proton X70 — unit BHE15-EFZ yang menghasilkan kuasa sebanyak 181 PS pada 5,500 5pm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 rpm-3,500 rpm (dengan kitaran Otto-Miller) yang menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo terdahulu yang hanya datang dengan janaan kuasa sebanyak 150 PS/226 Nm.
Dengan tambahan kuasa sebanyak 31 PS/64 Nm, Proton S70 MC1 2026 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat (S70 lama dalam 9.6 saat). Kuasa masih disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, tetapi telah ditala semula bagi memberikan tukaran gear yang lebih lancar.
Gandingan tersebut membolehkan S70 2026 mencapai penggunaan bahan api pada kadar 5.7 liter setiap 100 km perjalanan (atau 17.5 km per liter) — ini bersamaan dengan pertambahan kecekapan penggunaan minyak sebanyak 8.1% berbanding model lama. Mod pemanduan juga kekal ada tiga, tanpa mod Adaptive yang diberikan untuk X50.
Dalam video ringkas ini, kami sertakan soalan-soalan lazim untuk perkara-perkara yang perlu anda tahu tentang penawaran S70 MC1 2026 ini. Apa peningkatan yang dilakukan secara keseluruhan? Apa yang tukar, dan apa yang ditambah? Betul ini sebuah sedan sporty dengan prestasi yang lain macam? Semua ini dan banyak lagi kami jawab dalam video ini. Selamat menonton!
Pemilik jenama Peugeot iaitu Stellantis telah mengumumkan bahawa Peugeot 408 yang dipasang di Malaysia menerusi kilangnya yang terletak di Gurun, Kedah kini telah di eksport ke pasaran Taiwan. Ia merupakan pasaran ketiga yang menerima 408 yang dipasang di Malaysia selepas Thailand menerimannya pada tahun 2024, diikuti Kemboja pada 2025.
Peugeot 408 ini menerima enjin petrol turbo 1.6 liter PureTech yang dikemaskini dan menerima penarafan Euro 6. Ia menghasilkan kuasa 225 hp (berbanding 218 PS pada pasaran Malaysia), sama seperti varian plug-in hybrid (PHEV) tetapi 168 kg lebih ringan, dakwa Stellantis.
Dengan pelaburan sebanyak 1.5 juta euro (RM7 juta), kilang Stellantis Gurun telah menerima tingkat taraf pada barisan pengeluaran, termasuk R&D khas untuk kalibrasi unit rangkaian kuasa dan juga pembangunan komponen untuk lokalisasi. Lebih banyak pasaran di Asia pasifik kini sedang dinilai untuk eksport.
“Visi kami untuk mengubah Gurun menjadi pemacu utama serantau kini sedang terbentuk, disokong oleh pelaburan strategik untuk menaik taraf kemudahan penting ini untuk pengeluaran tempatan dan eksport. Perkembangan terkini ini menekankan komitmen kami untuk meningkatkan output pengeluaran di Malaysia sambil memperluaskan jenama dan model dalam portfolio Stellantis bagi memenuhi pelbagai keperluan rantau ini,” kata Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN.
Syarikat itu turut menyatakan bahawa ia kini sedang berusaha untuk mencapai kapasiti produksi penuh di Gurun, dengan mensasarkan eksport sebanyak 280,000 unit kenderaan ke 20 negara merentas Asia Pasifik menjelang 2028. Kilang berkenaan berkemampuan untuk memasang model-model dengan enjin pembakaran dalaman, EV penuh, dan juga hibrid ringkas. Kilang ini juga turut memasang model-model Leapmotor untuk pasaran Malaysia, bermula dengan SUV C10 CKD selepas menerima pelaburan berjumlah 5 juta euro (RM23.4 juta).
Selepas 250 Dual, satu lagi model CFMoto dilancarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Papio Racer, dijual pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna iaitu Clay Yellow, Nebula White dan Champion Blue.
Perkara utama yang membezakan Papio Racer baru ini dengan XO Papio yang pernah dilancarkan beberapa tahun lepas adalah panel badan, di mana Papio Racer mendapat fairing penuh dari atas sampai ke bawah, sementara XO Papio pula cuma menggunakan fairing jenis separuh (tiada panel di tepi enjin).
Enjin masih sama, iaitu unit satu silinder 126 cc suntikan bahan api penyejukan udara, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 9.5 hp pada 8,250 rpm dan tork 9.2 Nm pada 6,500 rpm.
Meskipun berada dalam kategori ‘mini bike‘, Papio Racer datang dengan sistem keselamatan terkini yang termasuk ABS dual-channel, dilaksana oleh unit brek cakera hadapan (angkup dua piston) dan belakang (angkup satu piston), serta sistem kawalan cengkaman, yang merupakan tambahan bagi model baru ini.
Roda 12 inci pada motosikal ini dipegang oleh masing-masing fork USD di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Informasi penting dipaparkan melalui meter gabungan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api tujuh liter, lampu LED serta soket pengecas USB.
Sejak didedahkan di Tokyo Mobility Show 2023, masih belum ada keputusan muktamad dari Mazda untuk menghasilkan model produksi berdasarkan model konsep Iconic SP yang dikatakan pengganti kepada kereta sport dengan enjin wankel rotary, Mazda RX-7.
Dalam satu temuramah bersama Auto Express, penyelia perancangan produk Mazda Eropah, Moritz Oswald berkata ramai kakitangan Mazda sendiri berharap untuk memulakan projek tersebut, namun kekangan kewangan syarikat masih menjadi faktor utama bagi projek berkenaan diluluskan.
“Jika ada jalan yang boleh dilaksanakan untuk menghasilkannya, saya pasti seseorang akan melakukannya, ini Mazda, kerana di sini enthusiasts akan merealisasikannya,” kata Oswald.
“Jumlah enthusiasts dalam syarikat ini memamg gila. Semua orang suka kereta, jadi sudah tentu memang ada kemahuan yang mendalam untuk melancarkan produk yang emosional. Jadi adakah kami akan melihat perkara itu? Ya, sudah tentu. Tapi sekali lagi, kami juga merupakan syarikat yang perlu hasilkan keuntungan,” tambahnya.
Manakala naib pengurus besar R&D Mazda Eropah Christian Schultze pula menyatakan bahawa satu lagi cabaran yang perlu dihadapi adalah untuk menghasilkan sebuah kereta sport yang boleh dijual pada dengan harga yang tidak terlalu mahal. “Satu perkara yang perlu anda faham, Mazda mewakili kereta untuk orang biasa,” katanya.
“Jika saya kata saya nak jual sesuatu pada harga $100,000 (Euro), saya boleh buat sebuah kereta sport yang boleh dipercayai. Tapi jika saya kata saya nak buat sesuatu untuk orang biasa seperti saya dan anda dan semua orang, ini merupakan sesuatu yang benar-benar mencabar,” jelas Schultze.
Model konsep Mazda Iconic SP menampilkan rekaan yang mengambil unsur-unsur ikonik seperti profil sisi badan, lampu pop-up hadapan, bentuk pintu dan juga cermin belakang dari model generasi terakhir Mazda RX-7 iaitu FD3S. Bukan itu sahaja, malah ia turut disumbat dengan enjin wankel rotary pada bonet hadapan, walaupun fungsi utama enjin tersebut adalah sebagai enjin penambah jarak (range extender) untuk mengecas semula bateri hibrid seperti fungsi pada sistem hibrid e-Skyactiv R-EV yang telahpun digunakan pada Mazda MX-30 R-EV.
Untuk Iconic SP, enjin rotary yang dibekalkan tersebut adalah lebih berkuasa dengan dua rotor berbanding hanya satu rotor pada MX-30 R-EV, dan kedudukan enjin tersebut diletakkan pada kedudukan yang memberikan pusat graviti lebih rendah, agihan berat hadapan dan belakang 50:50 seperti RX-7 FD3S, serta motor elektrik memacu roda belakang dengan bekalan kuasa sehingga 370 PS.
Tiga bulan selepas Iconic SP ini didedahkan iaitu pada Januari 2024 ketika Tokyo Auto Salon berlangsung, Mazda mengumumkan pula bahawa ia bakal menubuhkan satu pasukan jurutera khas bagi membangunkan semula enjin wankel rotary generasi baharu yang akan memulakan tugas mereka pada 1 Februari tahun itu juga. Namun sehingga kini masih lagi tiada bayangan jelas berkenaan versi produksi kereta sport dengan enjin wankel rotary berkenaan.
BYD memperkenalkan versi baru Atto 3 untuk pasaran Eropah yang dikenali sebagai BYD Atto 3 Evo. Model ini dibangunkan berasaskan versi facelift yang telah diperkenalkan lebih awal di China, dengan perubahan paling ketara melibatkan sistem pacuan yang kini beralih kepada pacuan roda belakang (RWD).
Varian RWD ini menggunakan motor elektrik belakang berkuasa 313 PS dan 380 Nm, iaitu peningkatan sebanyak 112 PS dan 70 Nm berbanding versi pacuan roda hadapan (FWD) sebelum ini. Selain itu, BYD turut menawarkan varian dua motor pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan 449 PS dan 560 Nm tork, memberikan prestasi yang jauh lebih agresif.
Peralihan kepada konfigurasi RWD turut membawa beberapa peningkatan dari segi kejuruteraan casis. Suspensi belakang kini menggunakan tetapan five-link menggantikan sistem four-link sebelum ini. Ruang but juga bertambah sebanyak 50 liter menjadikan kapasiti keseluruhan 490 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,360 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Menariknya, Atto 3 Evo kini turut dilengkapi ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 101 liter.
Untuk bateri, kapasiti ditingkatkan daripada 60.48 kWh kepada 74.8 kWh. Dengan bateri lebih besar ini, varian RWD mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 510 km mengikut kitaran WLTP, manakala varian AWD mencatatkan 470 km.
Dari segi prestasi pecutan, RWD mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, manakala AWD jauh lebih pantas dengan catatan 3.9 saat. Sebagai perbandingan, Atto 3 Ultra versi FWD yang ditawarkan di pasaran tempatan mencatat masa 7.3 saat bagi pecutan yang sama.
Satu lagi perubahan penting ialah peralihan sistem elektrik daripada 400V kepada 800V. Naik taraf ini meningkatkan kadar pengecasan maksimum daripada 88 kW kepada 220 kW, sekaligus memendekkan masa pengecasan 10-80% daripada 40 minit kepada hanya 25 minit. Model ini turut menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) berkapasiti 3 kW untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.
Melihat kepada penampilan luar, Atto 3 Evo menerima bampar baru, spoiler pintu belakang dengan lampu brek terbahagi ala Haval H6 HEV serta rim aloi 18 inci rekaan terkini. Bahagian dalaman pula masih mengekalkan elemen unik seperti kemasan menyerupai tali gitar, pemegang pintu dalaman unik dan skrin sesentuh 15.6 inci yang boleh diputar.
Beberapa perubahan turut dibuat pada susun atur kabin. Pemilih gear kini dipindahkan ke kolum stereng, membolehkan pad pengecas tanpa wayar diletakkan secara memanjang berbanding melintang sebelum ini. Stereng baru turut diperkenalkan bersama paparan instrumen digital 8.8 inci berbentuk segi empat tepat, menggantikan reka bentuk trapezoid pada model sebelum facelift. Perubahan ini selari dengan kemas kini yang telah diperkenalkan untuk pasaran China.
Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% untuk kenderaan Kelas 1 (persendirian) di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (juga dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang) pada 14 hingga 15 Februari 2026 (Sabtu dan Ahad ini), sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Ia sejajar dengan pengumuman kerajaan yang turut memberikan diskaun tol yang sama di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), juga selama dua hari iaitu bermula jam 12.01 tengah malam pada 14 Februari dan berakhir jam 11.59 malam pada 15 Februari 2026 kepada para pengguna kenderaan persendirian.
Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai 91.7% siap setakat bulan Januari lalu, dan tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Menurut beliau lagi, dengan ketibaan tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) yang pertama di Malaysia, ia sekali gus menandakan projek infrastruktur nasional bernilai RM50.27 bilion itu telah memasuki fasa yang lebih penting, laporan Bernama.
“Dengan penerimaan EMU dan E-Loco maka kita akan memulakan fasa penting iaitu ujian dan pertauliahan (tren) yang mana ini selari dengan perancangan keseluruhan projek itu dan kita jangkakan bahawa jadual dirancang iaitu ECRL dapat beroperasi pada Januari tahun depan dapat dicapai.
“Sudah tentu beberapa bulan baki ini akan digunakan sepenuhnya untuk segala ujian dan sebagainya, saya harapkan bahawa keseluruhan projek ini berjalan lancar,” katanya yang menambah setakat ini, pengoperasian komersial dijadual bermula Januari 2027.
Secara keseluruhannya, ECRL menggunakan 11 set tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta serta 12 E-Loco untuk tujuan kargo. Setakat ini, dua set pertama tren EMU dan dua E-Loco telah tiba di Malaysia.
Kesemuanya tren menjalani ujian menyeluruh sebelum digunakan dalam operasi sebenar. Di mana tren yang dikilangkan oleh CRRC Dalian di China dihantar ke negara ini selepas berjaya melalui ujian komprehensif serta ujian penerimaan kilang yang disahkan oleh MRL selaku pemilik Projek ECRL.
ECRL merupakan projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia dan turut menjadi sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), hasil hubungan diplomatik yang erat serta kerjasama ekonomi kukuh antara Malaysia dan China.
Melibatkan laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang ini serta mempunyai 59 terowong, perkhidmatan ECRL dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.
GWM Malaysia mengumumkan bahawa sebanyak 800 unit tempahan telah diterima untuk MPV mewah GWM WEY G9 Hi4 PHEV yang baru sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan minggu lalu.
“Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan permintaan pelanggan yang teguh, malah ia turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan lokal di Malaysia. Dengan kelebihan tenaga kerja mahir kami dan rangkaian vendor yang ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan,” kata Encik Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia.
Ketika dilancarkan pada 29 Januari lalu, GWM WEY G9 Hi4 PHEV ini ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan produksi dibuat di kilang EPMB di Pegoh Melaka, hanya satu varian dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,800. Setiap pembelian MPV ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama enam-tahun tanpa had perbatuan, serta 8 tahun atau 180,000 km waranti untuk sistem hibrid, termasuklah perlindungan untuk pek bateri, motor kuasa, dan unit kawalan.
Malaysia menerima G9 dalam versi tujuh-tempat duduk dan jarak roda pendek, dihasilkan dengan dimensi panjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda sejauh 3,085 mm. Ia diberikan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Hi4 yang menggandingkan enjin 1.5 liter empar-silinder turbo berkuasa 150 PS bermula 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 240 1,800 hingga 4,000 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/170 yang dipadankan pada kotak gear khusus hibrid DHT empat-kelajuan untuk memacu roda hadapan, serta satu lagi motor elektrik 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang.
Ini memberikan kebolehan pacuan semua roda pada MPV ini, dengan bekalan kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Agihan tork antara gandar hadapan dan belakang pula dikawal oleh Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC).
Motor-motor elektrik pada unit rangkaian kuasa PHEV Hi4 ini menerima bekalan kuasa dari bateri NMC berkapasiti 44.2 kWj. Ini membolehkan MPV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sejauh 145 km mengikut kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 58 liter membolehkan ia bergerak dalam jarak pemanduan keseluruhan dianggarkan sekitar 1,000 km, atau ia menggunakan sekitar 1.2 liter petrol bagi setiap perjalanan 100 km.
Dengan sistem PHEV ini juga membolehkan bateri pada Wey G9 dicas semula seperti sebuah kenderaan elektrik (EV) sebenar. Ia menyokong sistem pengecas AC berkapasiti 6.6 kWj bagi membolehkan cas antara 15% hingga 100% dipenuhkan dalam masa 6.5 jam, manakala dengan pengecas pantas DC cas dari 30% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa sekitar 26 minit. Ia juga datang dengan sistem Vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW bagi membolehkan pelbagai peralatan elektrik digunakan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan Op Selamat Siri 25 akan dilaksanakan bermula 15 hingga 20 Februari 2026 di seluruh negara. Dengan tema “Kongsi perjalanan, kongsi keselesaan dan keselamatan diutamakan”, Op Selamat 25 ini adalah sempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pertengahan minggu hadapan.
Op Selamat telah dilaksanakan sejak tahun 2012 hingga sekarang adalah bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya nahas maut dan memastikan kelancaran aliran trafik. Konsep utama Op Selamat 25 adalah Pre-Emptive Services and total Enforcement di mana JSPT membuat persiapan awal bagi menyelaras penugasan semua kontigen seluruh Malaysia yang melibatkan 3,609 anggota dan berkolaborasi dengan agensi-agensi penguatkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan semua pihak terlibat.
“Penguatkuasaan dan tindakan serta merta di bawah peruntukan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas LN 166/59 kepada pengguna jalan raya yang melanggar enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan (‘Q’), tidak mematuhi lampu isyarat, dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” kata Pengarah JSPT, CP Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali.
Dengan menjangkakan sebanyak 3.27 juta kenderaan yang akan menggunakan lebuhraya sepanjang tempoh perayaan ini, 25 Emergency Response Team (ERT) juga akan sentiasa bersiap siaga di 11 lokasi di sepanjang lebuhraya utara, selatan dan pantai timur untuk memberi bantuan awal kepada pengguna jalan raya yang mengalami masalah di sepanjang lebuhraya.
Sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan diri sendiri, penumpang dan orang di sekeliling semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua dan bila-bila masa. Jalan raya bukanlah tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Maka, amalkan pemanduan selamat dan tingkatkan fokus pemanduan serta pastikan kenderaan anda berada dalam kondisi yang baik sebelum memulakan perjalanan.
Selepas ditunjukkan sepenuhnya dan dibuka untuk tempahan minggu lalu, Proton S70 MC1 2026 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Empat varian diperkenalkan, dengan masing-masing dijual dengan harga seperti berikut:
Proton S70 1.5TD MC1 Executive 2026: RM73,800
Proton S70 1.5TD MC1 Premium 2026: RM79,800
Proton S70 1.5TD MC1 Flagship 2026: RM89,800
Proton S70 1.5TD MC1 Flagship X 2026: RM94,800
Sempena pelancarannya, Proton turut memberikan rebat sebanyak RM5,000, menjadikan harga masing-masing seperti berikut: RM68,800; RM74,800; RM84,800 dan RM89,800.
Pembaharuan paling utama yang dilakukan terhadap S70 MC1 2026 ini ialah enjin i-GT versi turbo seperti Proton X50 dan Proton X70 — unit BHE15-EFZ yang menghasilkan kuasa sebanyak 181 PS pada 5,500 5pm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 rpm-3,500 rpm (dengan kitaran Otto-Miller; DVVT dengan pam air elektrik) yang menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo terdahulu yang hanya datang dengan janaan kuasa sebanyak 150 PS/226 Nm.
Dengan tambahan kuasa sebanyak 31 PS/64 Nm, Proton S70 MC1 2026 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat (S70 lama dalam 9.6 saat). Kuasa masih disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, tetapi telah ditala semula bagi memberikan tukaran gear yang lebih lancar.
Menurut Proton, gandingan ini membolehkan S70 2026 mencapai penggunaan bahan api pada kadar 5.7 liter setiap 100 km perjalanan (atau 17.5 km per liter) — ini bersamaan dengan pertambahan kecekapan penggunaan minyak 8.1% berbanding model lama. Mod pemanduan juga kekal ada tiga, tanpa mod Adaptive yang diberikan untuk X50. Ini kerana, Proton masih mahu menilai dahulu maklum balas pengguna terhadap mod Adaptive tersebut sebelum menyertakannya untuk model lain.
Tidak hanya lebih berkuasa dan jimat bahan api, enjin baru ini juga menggunakan mekanisma timing chain untuk menggerakkan aci sesondol, berbanding timing belt pada enjin terdahulu sekali gus memberikan kelebihan dari segi penyelenggaraan yang lebih ringkas serta kurang kos.
Selain itu, tiada perubahan dilakukan terhadap tetapan stereng untuk Proton S70 MC1 2026 ini. Suspensi pula ditala semula untuk disesuaikan kepada berat enjin baru yang digunakan kini. Aspek kendalian pula tidak diberikan sebarang perubahan berbanding model sebelumnya.
Bahagian luaran Proton S70 MC1 2026 pula menampilkan lampu hadapan baru yang sama seperti Geely Emgrand facelift 2024. Sekali pandang, lampu berkenaan kelihatan sama seperti lampu model sedia ada. Namun jika diperhatikan dengan teliti, terdapat satu bar krom yang terletak melintang di bahagian lampu kecil dalam perumah lampu tersebut.
Juga boleh dilihat lampu isyarat membelok telah dialihkan ke lampu utama, bukan lagi sekali dengan jalur ‘kening’ LED nyalaan siang — tetapi tanpa ciri pancaran sequence ketika mula dihidupkan. Begitu juga dengan lampu isyarat kini menggunakan jenis bulb biasa, bukan lagi LED sementara lampu tingginya terletak dalam bahagian projektor utama. Serta, tiada lagi tulisan Proton kelihatan. Sebaliknya, lampu belakang masih mengekalkan pancaran sequence.
Selain itu S70 MC1 2026 juga menerima set rim 17-inci rekaan baru — kelihatan sama seperti rim yang diberikan pada model sedia ada, tetapi jika dilihat dengan teliti, ia berbeza terutamanya di bahagian tengah. Rim baru tersebut tidak lagi dipadankan dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2, kerana kilang Goodyear di Shah Alam sudah pun ditutup.
Sebagai ganti, tayar GitiComfort F22 dari China mengambil alih, sama seperti X70 yang kini turut menggunakan tayar Giti selepas kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah ditutup akhir tahun lalu. Sebelum bertukar ke Giti, S70 pernah menggunakan tayar Kumho dari Vietnam, tahun lalu. Pertukaran jenama tayar yang digunakan ini adalah disebabkan oleh faktor kos; oleh kerana tiada lagi kilang Continental dan Goodyear di Malaysia, Proton terpaksa beralih kepada tayar Giti untuk mengekalkan kos yang optimum.
Proton S70 MC1 2026 ini menerima kit badan baru yang diberikan serlahan jalur merah “Storm Red” (hanya untuk warna badan hitam dan putih), dan spoiler bawah bampar hadapannya kelihatan seperti berakhir di gril bampar. Diffuser belakang pula nampak lebih agresif (tetapi masih tidak menonjolkan muncung ekzos berkembar sebenar seperti X50) dan juga spoiler di penutup but belakang. Bodykit ini direka oleh Proton sendiri berdasarkan citarasa pengguna di sini.
Untuk bahagian kabin, ia tidak melibatkan perubahan besar: misalnya, papan pemuka dan juga saiz skrin masih lagi sama. Cuma, bagi model kemaskini ini, skrin infotainmen utama kini datang dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar.
Dari segi perbezaan kelengkapan antara varian, didatangkan sebagai standard untuk varian Executive termasuk kerusi balutan fabrik, head unit infotainmen 8.0-inci, lima slot USB, sensor parkir belakang dan rim aloi 16-inci. Suis untuk larasan tingkap juga kini dengan pencahayaan.
Naik ke varian Premium, kelengkapannya menerima tambahan lampu utama LED, jalur lampu di belakang, kerusi dan stereng balutan kulit buatan serta pendingin automatik. Ada juga sensor parkir depan dan kamera undur.
Dengan skrin 8.0-inci, ini bermakna varian Executive dan Premium tidak didatangkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, dan kedua-duanya masih menggunakan meter analog sebagai paparan instrumen pemandu. Ini sedikit aneh, kerana dengan X50 facelift sebelum ini sudah menerima paparan digital sepenuhnya, bahkan Saga paling asas pun datang dengan paparan digital juga. Proton juga mengesahkan yang model S70 sebelum ini tidak akan menerima kemaskini AACP berkenaan.
Naik ke varian Flagship, ia menerima rim bersaiz 17-inci. Di dalam, paparan instrumennya adalah melalui skirn TFT 10.25-inci serta skrin sentuh infotainmen 12.3-inci kekal sama seperti sebelum ini, tetapi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar untuk dua varian tertinggi.
Varian Flagship juga menerima tambahan pengecas telefon tanpa wayar, kamera 360-darjah HD dengan paparan 3D, kerusi pemandu dengan larasan enam-hala serta filem penapis haba. Bagaimanapun, masih tiada ciri paddle shifter — walaupun model ini dipasarkan sebagai sedan sporty. Proton memaklumkan, ini adalah kerana di China juga memang tidak ada ciri berkenaan ditawarkan untuk model setara di sana.
Untuk Flagship X, selain bodykit dan pelapik bumbung hitam, perbezaannya sangat minimum: dengan sunroof dan DVR depan sebagai tambahan.
Bagi aspek keselamatan, S70 MC1 2026 datang dengan enam beg udara serta ciri lain seperti bantuan menukar lorong, amaran bukaan pintu, amaran perlanggaran belakang serta amaran lintasan trafik belakang sebagai standard. Itu untuk varian Executive dan Premium.
Untuk Flagship dan Flagship X pula, ia datang juga dengan sistem bantuan ADAS dengan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2 seperti sebelumnya, menampilkan sistem-sistem seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong (LKA), kawalan melayar adaptif dan bantuan ke tengah lorong.
Terdapat lima pilihan warna badan ditawarkan untuk S70 MC1 2026 ini: Quartz Black, Snow White, Space Grey, Marine Blue dan Ruby Red. Warna merah ini menggantikan Passion Red, sementara warna Teal Bayou Green tidak lagi ditawarkan.
Bagi minggu bertarikh 12 hingga 18 Februari 2026, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 masih dikekalkan pada RM3.10 seliter.
Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dikekalkan pada harga RM2.54 seliter. Begitu juga dengan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.
Walau bagaimana pun, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sekali lagi dinaikkan iaitu sebanyak tiga sen seliter, kini menjadi RM2.99 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia kekal pada RM2.15 seliter.
Menerusi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menjangkakan penjimatan sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun ini susulan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program Budi Madani 95 (Budi95). Menerusi program ini, ia telah merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, atau sehingga 96 juta transaksi sebulan.
“Saya menegaskan perkembangan ini merupakan satu berita yang amat positif, kerana tidak banyak negara berani mengambil langkah tegas melaksanakan penyasaran subsidi, memandangkan risiko serta cabaran dari sudut penerimaan rakyat,”katanya.
Lebuhraya Kajang–Seremban Sdn Bhd (LEKAS) akan melaksanakan pengaktifan SmartLane di beberapa seksyen terpilih di Lebuhraya LEKAS antara Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) dan Persimpangan Kajang Perdana (SILK) sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurusan trafik secara proaktif bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak pagi dan petang.
Pelaksanaan ini telah mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan bertujuan meningkatkan kelancaran trafik serta memperkukuh tahap keselamatan jalan raya di lokasi yang dikenal pasti sering mengalami kesesakan, khususnya pada waktu puncak. Pelan mitigasi kesesakan ini akan dilaksanakan setiap hari dari jam 6 pagi hingga 9 malam bermula esok (12 Februari 2026).
Laluan SmartLane berkenaan akan diaktifkan dari KM 1.0 hingga KM 0.1 (arah utara) iaitu dari Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS) ke Persimpangan Kajang Perdana (SILK) menuju Putrajaya. Ia juga melibatkan
KM 0.0 hingga KM 0.4 (arah selatan) iaitu dari Persimpangan Kajang Perdana (SILK) ke Persimpangan Kajang Selatan (LEKAS).
Menurut LEKAS, inisiatif ini bertujuan meningkatkan kapasiti lorong melalui pelaksanaan sistem SmartLane yang mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada bagi memperbaiki aliran trafik. Langkah-langkah keselamatan turut diambil kira, termasuk penempatan kon trafik (di lokasi terpilih), lampu amaran, serta papan tanda untuk panduan pengguna lebuhraya bagi memastikan penggunaan lorong yang selamat sepanjang tempoh pengaktifan SmartLane.
Kedua-dua lokasi SmartLane ini melibatkan penggunaan sementara lorong kecemasan sebagai lorong
tambahan semasa waktu operasi. Laluan SmartLane ini mempunyai papan tanda “SmartLane Mula” dan “SmartLane Tamat”, lampu LED hijau menunjukkan lorong dibuka, manakala lampu tidak menyala menunjukkan lorong ditutup.
Klik untuk besarkan
Selain itu, ia juga menempatkan papan tanda amaran awal dan akan dinyahtaktifkan di luar waktu operasi di mana lorong kecemasan akan kembali kepada fungsi asalnya untuk tujuan kecemasan.
Bagi menyokong pelaksanaan ini, LEKAS telah memasang papan tanda amaran awal, papan arah lorong serta visual yang menunjukkan pembahagian lorong dan penyaluran trafik di lokasi terlibat. Pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk mematuhi semua papan tanda amaran dan arah yang disediakan, memilih lorong yang sesuai lebih awal mengikut destinasi dan mengekalkan laluan lorong ke destinasi pilihan terutamanya pada waktu puncak bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan selamat.
Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya LEKAS, Chua Lay Hoon berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen
berterusan LEKAS terhadap pengurusan trafik secara proaktif.
“Pelaksanaan pengaktifan SmartLane menunjukkan pendekatan proaktif LEKAS dalam mengurus kesesakan
pada waktu puncak pagi dan petang. Dengan penggunaan sementara lorong kecemasan serta panduan lorong yang lebih awal melalui penambahbaikan papan tanda destinasi, kami menyasar untuk meningkatkan kapasiti jalan, mengurangkan pergerakan silang (weaving), dan memperbaiki aliran trafik di kawasan persimpangan kritikal.
“Keselamatan pengguna lebuhraya adalah keutamaan kami. Inisiatif pengurusan trafik ini telah dirancang
dengan teliti dan diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan, disokong oleh langkah dan pelan pengurusan trafik yang komprehensif serta pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan yang selamat dan berkesan,” katanya.
Varian terbaru bagi siri Triumph Scrambler 400, iaitu XC yang didedah kepada dunia Julai tahun lalu kini diumumkan bakal tiba di pasaran Malaysia pada bulan Mac 2026. Tempahan juga sudah dibuka, dengan harga motosikal yang diberitahu RM34,200 tidak termasuk insurans.
Scrambler 400 XC menawarkan kemampuan offroad yang lebih lasak berbanding Scrambler 400 X, di mana ia datang dengan rim aluminium spoked tanpa tiub jenama Excel 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar Metzeler Karoo Street 100/90 dan 140/80.
Untuk menjadikan penampilannya lebih bersesuaian dengan imej lasak yang dibawa, Scrambler 400 XC dipasang dengan penghadang lumpur hadapan yang tinggi, bersama penghadang angin atas lampu, pelindung tangan serta pelindung bawah enjin secara standard.
Dengan semua perubahan ini, Scrambler 400 XC mencatat berat 190 kg, menjadikan ia sedikit lebih berat berbanding Scrambler 400 (179 kg). Tangki bahan api dan tinggi tempat duduk masih sama iaitu masing-masing 13 liter dan 835 mm.
Bahagian asas lain juga tidak mempunyai beza, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 398 cc berkuasa 40 PS dan tork 37.5 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.
Suspensi pula terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, dan monoshock RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, masing-masing memberikan jarak gerak sama iaitu 150 mm (juga masih sama dengan Scrambler 400).
Tugas menghentikan motosikal dijalankan brek cakera tunggal 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan 230 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS dual-channel dengan mod offroad diberikan secara standard, bersama kawalan cengkaman yang boleh ditutup.
Bahagian meter menggunakan unit padanan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk soket pengecas USB-C serta immobiliser pencegah kecurian. Tiga warna ditawarkan untuk Scrambler 400 XC ini iaitu Racing Yellow, Storm Grey dan Vanilla White.
Proton memulakan tahun 2026 dengan langkah kanan dalam segmen kenderaan elektrik (EV) apabila mencatatkan sebanyak 3,276 pendaftaran pada bulan Januari, berdasarkan data terbaru daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jumlah tersebut sudah cukup untuk meletakkan Proton sebagai jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan pertama tahun ini, meskipun ketika ini ia hanya menawarkan dua model iaitu eMas 7 dan eMas 5.
Di tempat kedua ialah BYD yang merekodkan 913 unit pendaftaran, ketinggalan 2,363 unit di belakang Proton. Kedudukan ketiga menjadi milik Zeekr dengan 489 unit, manakala iCaur pula rapat di belakang di tangga keempat dengan 451 unit.
Di luar kelompok empat teratas, tiada jenama lain yang berjaya melepasi angka 400 unit. Tesla berada di tangga kelima dengan 176 unit, sedikit mendahului Leapmotor yang mencatatkan 171 unit di tempat keenam serta MG di tempat ketujuh dengan 169 unit.
Bagi jenama yang tidak mencapai angka tiga digit, senarai bermula dengan Xpeng di kedudukan kelapan dengan 97 unit. Mercedes-Benz menyusul di tempat kesembilan dengan 83 unit, diikuti Denza dengan 55 unit. Great Wall Motor mencatatkan 51 unit, Dongfeng 43 unit, BMW 40 unit dan smart 38 unit untuk melengkapkan kedudukan sehingga tangga ke-14.
TQ Wuling turut tersenarai dalam kelompok 20 teratas selepas pelancaran model Bingo pada Disember 2025. EV pemasangan tempatan (CKD) itu merekodkan 35 unit pendaftaran pada Januari, sekali gus meletakkan jenama tersebut di tangga ke-15.
Lima kedudukan terbawah dalam senarai 20 teratas menyaksikan Porsche di tempat ke-16 dengan 32 unit, yang berkemungkinan termasuk kenderaan import terpakai (recond). Volvo berada di tangga ke-17 dengan 28 unit, diikuti Neta dengan 24 unit, MINI dengan 23 unit dan Lexus melengkapkan senarai di tempat ke-20 dengan 19 unit.
Dengan baki 11 bulan lagi dalam tahun 2026, kedudukan ini masih boleh berubah, terutamanya jika lebih banyak model baru diperkenalkan atau pengeluar memulakan operasi pemasangan tempatan bagi menawarkan harga yang lebih kompetitif. Namun setakat ini, Proton jelas mendahului pasaran dengan jurang yang agak besar.
Data pendaftaran kereta baharu untuk bulan Januari 2026 dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dah pun dikeluarkan, dan ini adalah senarai 20 EV paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu yang dibuat berdasarkan data berkenaan.
Tempat kedua dengan jurang yang jauh adalah Zeekr 7X yang terjual sebanyak 426 unit, diikuti BYD Atto 3 di tempat ketiga dengan jumlah pendaftaran sebanyak 389 unit. SUV dengan inspirasi retro iCaur V23 pula terjual sebanyak 268 unit untuk berada di tempat keempat, manakala satu lagi model EV Proton iaitu eMas 7 terjual sebanyak 208 unit sepanjang Januari 2026 untuk berada di tempat ke-lima.
Seterusnya dua model BYD iaitu Sealion 7 (196 unit) dan Seal 6 (195 unit) masing-masing di kedudukan ke-enam dan ke-tujuh, diikuti iCaur 03 (183 unit) ke-lapan, Leapmotor B10 (100 unit) ke-sembilan dan Tesla Model 3 ke-10 dengan 91 unit.
Top 20 EV models Malaysia Jan 2026-1
Satu lagi model Tesla iaitu Model Y berada di tempat ke-11 dengan jualan sebanyak 85 unit. Tempat ke-12 adalah MG4 (85 units), diikuti EV mewah Mercedes-Benz EQS dengan 80 unit, dan satu lagi EV MG S5 di tempat ke-14 dengan jumlah jualan 78 unit.
Melengkapkan senarai 20 EV terlaris bagi Januari 2026 ini adalah Xpeng G6 (72 unit), Leapmotor C10 (71 unit), Zeekr 009 (59 units), BYD Atto 2 (56 units), Denza D9 (55 units) dan BYD M6 (53 units).
Ada yang tercari-cari berapa jumlah Perodua QV-E terjual? EV dari Rawang tersebut tidak langsung tidak mencatatkan sebarang rekod pendaftaran sepanjang bulah Januari 2026 walaupun ia telah mengumpulkan sebanyak 205 tempahan sehingga awal Februari ni.
Ini berkemungkinan berkaitan dengan masalah vendor-vendor Perodua di China yang menghasilkan komponen yang tidak menepati standard yang Perodua tetapkan, menyebabkan produksi model tersebut terjejas di Malaysia seperti yang diberitahu oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sebelum ini.
Namun Perodua telah menyatakan jumlah jualan bagi QV-E ini akan bertambah dari masa ke masa, khususnya pada bulan Jun nanti ketika Perodua mula menawarkan QV-E dalam versi yang telah dilokalisasikan sepenuhnya, membolehkan EV ini dijual pada harga lebih rendah sehingga bermula RM60,000 termasuk bateri.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan terkini yang menunjukkan sebanyak 1,901 unit Perodua Traz didaftarkan pada bulan lalu. Angka ini tepat dengan sasaran pengeluaran bulanan sebanyak 1,900 unit yang ditetapkan oleh kilang Perodua di Sungai Choh.
Sebelum itu, sebanyak 393 unit telah didaftarkan pada bulan Disember, susulan pelancaran rasmi SUV berkenaan pada pertengahan bulan tersebut. Secara keseluruhan, jumlah pendaftaran setakat ini adalah sebanyak 2,294 unit.
Pencapaian 1,901 unit pada bulan lalu berkemungkinan besar dipengaruhi oleh perancangan pengeluaran Perodua sendiri. Setakat ini, pengeluar automotif nasional itu masih belum mendedahkan jumlah tempahan sebenar bagi Traz. Oleh itu, tahap permintaan sebenar untuk model kembar kepada Toyota Yaris Cross ini masih belum dapat dipastikan, namun ia sekurang-kurangnya melebihi sasaran atau kapasiti pengeluaran bulanan yang ditetapkan.
Perkembangan bagi bulan Februari bakal menjadi petunjuk penting. Sekiranya angka pendaftaran kekal sekitar 1,900 unit, ia mungkin menunjukkan pengeluaran masih dikawal mengikut pelan asal. Jika jumlahnya menurun, ia boleh memberi gambaran permintaan yang kurang memberangsangkan.
Sebaliknya, jika angka meningkat, ia mungkin hasil pelarasan jadual pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang lebih tinggi, walaupun perubahan seperti ini biasanya memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.
Dalam barisan model Perodua, Traz berada di antara Ativa dan Aruz jika melihat kepada saiznya. SUV ini ditawarkan dalam dua varian iaitu X pada harga RM76,000 dan H pada harga RM82,000. Kedua-duanya menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-VE dengan teknologi dwi VVT-i yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm tork, digandingkan bersama transmisi CVT.
Walaupun Proton Saga sudah merampas takhta Perodua Bezza sebagai kereta paling laris sepanjang Januari 2026, untuk gelaran jenama terlaris masih lagi dipegang oleh Perodua. Menerusi data pendaftaran kenderaan baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bulan Januari 2026 mendedahkan bahawa Perodua telah berjaya menjual sebanyak 26,128 unit kereta.
Namun untuk pembukaan tahun ini, Proton dilihat telah merapatkan jurang perbezaannya dengan Perodua – jika sebelum ini lazimnya angka jualan bulanan Proton adalah sekitar separuh atau kurang dari Perodua, untuk Januari 2026 Proton berjaya menjual sebanyak 19,750 unit kereta baharu, atau kini jurangnya semakin kurang kepada sekitar 25% sahaja berbanding Perodua.
Toyota menjadi jenama bukan nasional paling laris bulan lalu dengan jualan sebanyak 6,598 unit, diikuti Honda di tempat keempat dengan jualan 3,177 unit. Walau bagaimanapun kedua-dua jenama Jepun ini mencatatkan jualan yang lebih rendah berbanding bulan sama tahun lalu.
Manakala Chery pula menjadi jenama dari China paling laris sepanjang Januari 2026 dengan jualan sebanyak 1,287 unit untuk berada di tempat kelima secara keseluruhan, diikuti sub-jenamanya iaitu Omoda | Jaecoo yang berada di tempat keenam dengan jualan 1,230 unit.
Top 20 brands Malaysia Jan 2026-1
Mitsubishi yang masih hanya ada dua model yang dijual di Malaysia sebelum model baharu Xforce dilancarkan masih gagah berada di tempat ke-tujuh dengan jualan 1,191 unit, diikuti jenama EV China iaitu BYD berada di tempat ke-lapan dengan jualan 913 unit – ini bulan pertama BYD menjual kenderaan tanpa insentif EV CBU dari kerajaan yang berakhir hujung tahun lalu, dan selepas lima bulan berturut-turut mencatatkan jualan bulanan melebihi 1,000 unit.
Mazda berada di tempat ke-sembilan dan menjadi jenama Jepun terakhir berada dalam Top 10 bulan lalu dengan jualan 841 unit. Mercedes-Benz berada di tempat ke-10 (677 unit) berjaya mengatasi BMW yang berada di tempat ke-12 (545 unit). Manakala Jetour melonjak ke kedudukan ke-11 pada bulan lalu dengan pendaftaran sebanyak 593 unit kenderaan.
Satu lagi jenama China iaitu Zeekr juga naik ke posisi lebih baik iaitu ke-13 dengan jualan sebanyak 489 unit bulan lalu. Manakala satu lagi sub-jenama Chery iaitu iCaur buat pertama kali masuk ke carta 20 jenama terlaris dengan berada di kedudukan ke-14 selepas berjaya menjual sebanyak 451 unit bulan lalu.
Dengan kebangkitan beberapa jenama China ini telah memaksa beberapa jenama Jepun jatuh ke kedudukan lebih bawah, di mana Nissan berada di tangga ke-18 (336 unit) dan Isuzu berada di tempat ke-20 (261 unit). Lebih malang untuk jenama EV Amerika Syarikat iaitu Tesla yang terkeluar terus dari senarai 20 terlaris bulan lalu.
Honda Malaysia semalam telah mengumumkan sasaran jualan bagi tahun 2026, dengan angka sebanyak 60,000 unit. Ini merupakan sebuah sasaran yang sederhana dan lebih rendah memandangkan pada tahun 2025, syarikat itu telah berjaya menjual sebanyak 72,301 unit kenderaan.
Walaupun angka tersebut memadai untuk membolehkan Honda Malaysia kekal sebagai pendahulu dalam segmen kenderaan penumpang bukan-nasional untuk 12 tahun berturut-turut, ia sebenarnya masih jauh dari sasaran asal yang diletakkan untuk tahun lalu, iaitu sebanyak 83k unit kenderaan. Bagi tahun 2024, Honda Malaysia telah menjual sebanyak 81,600 unit kenderaan.
Menurut syarikat itu, sasaran sederhana bagi 2026 mencerminkan perubahan dalam persekitaran pasaran, yang disandarkan kepada kefahaman terhadap perubahan perilaku pelanggan serta permintaan pasaran yang semakin berkembang. Namun Honda Malaysia tetap akan kekal komited terhadap pertumbuhan mapan yang dipacu oleh nilai, dan akan terus menzahirkan strateginya untuk memberikan pengalaman “fun to drive” menerusi barisan kenderaan keluaran jenama itu.
“Semangat “fun to drive” mencerminkan komitmen kami untuk memberikan kenderaan yang terhubung dengan pelanggan secara emosi. Kami ingin menekankan bahawa produk Honda adalah lebih daripada sekadar sebuah pengangkutan. Ia adalah tentang keterhubungan segera yang boleh dirasakan oleh pengguna ketika mereka melangkah masuk ke dalam; keseronokan yang terbit daripada rasa pemanduan yang natural. Emosi inilah yang Honda bangunkan dalam setiap model sejak awal,” jelas Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Narushi Yazaki.
Selari dengan pendekatan ini, syarikat itu menjelaskan juga akan mengembangkan lagi barisan model e:HEV, dengan penawaran akan datang bakal dilengkapi oleh teknologi S+ Shift untuk pasaran tempatan. Honda Malaysia juga akan memperkenalkan enam model baru di sini, tahun ini, termasuk Prelude BF1.
Honda Malaysia juga akan memperkukuhkan operasi pengedarnya dengan memberi tumpuan untuk mempertingkatkan aspek jualan dan lepas jualan tahun ini, dan yakin akan dapat mencapai sasarannya tahun ini.