Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Omoda C9 PHEV – harga jangkaan didedah sekitar RM220k, pembeli terawal dapat pakej bernilai RM4,618

    Omoda C9 PHEV – harga jangkaan didedah sekitar RM220k, pembeli terawal dapat pakej bernilai RM4,618

    Selain Jaecoo J5, Omoda & Jaecoo Malaysia akhirnya mendedahkan harga anggaran bagi satu lagi model penting mereka, iaitu Omoda C9 PHEV. SUV petrol-elektrik flagship ini pernah dipertontonkan pada bulan Oktober dan dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM220,000.

    Angka ini jelas lebih tinggi berbanding varian AWD biasa yang berharga RM188,800, namun berdasarkan strategi harga terdahulu jenama ini, harga akhir berkemungkinan akan diumumkan lebih rendah semasa pelancaran rasmi.

    Seperti J5, Omoda C9 PHEV turut ditawarkan dengan pakej “super early bird” untuk pelanggan yang membuat tempahan awal dari sekarang sehingga tarikh pelancaran. Nilai pakej ini adalah RM4,618 dan merangkumi rebat tunai “angpau” sebanyak RM3,888 serta kabel penyambung vehicle-to-load atau V2L percuma bernilai RM730.

    Buat masa ini, Omoda & Jaecoo belum mengesahkan tarikh pelancaran sebenar untuk C9 PHEV. Namun memandangkan Jaecoo J5 bakal dilancarkan bulan hadapan dan syarikat telah mengesahkan kehadiran beberapa model baru lain pada suku ketiga dan keempat tahun ini, C9 PHEV dijangka memasuki pasaran sekitar suku kedua, iaitu antara April hingga Jun.

    Dari segi mekanikal, Omoda C9 PHEV menggunakan sistem Super Hybrid System, atau SHS versi dipertingkat, yang sebelum ini diperkenalkan melalui Jaecoo J7 PHEV. Enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 143 PS dan 215 Nm tork masih dikekalkan, namun kini digandingkan dengan dua motor elektrik di bahagian hadapan.

    Motor pertama ialah unit P2 berfungsi sebagai integrated starter-generator dengan output 102 PS dan 170 Nm, manakala motor kedua jenis P2.5 berperanan sebagai motor pacuan dengan kuasa 122 PS dan 220 Nm.

    Omoda C9 PHEV – harga jangkaan didedah sekitar RM220k, pembeli terawal dapat pakej bernilai RM4,618

    Transmisi hibrid satu kelajuan yang digunakan pada J7 turut digantikan dengan unit tiga kelajuan. Konfigurasi ini membolehkan enjin pembakaran dalaman membantu memacu roda pada kelajuan rendah, sekali gus meningkatkan pecutan.

    Untuk gandar belakang pula, sebuah motor elektrik berkuasa 230 PS dan 310 Nm digunakan, memberikan sistem pacuan semua roda. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan gabungan kuasa 537 PS dan tork 650 Nm, membolehkan C9 PHEV memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Kelajuan maksimum bagaimanapun dihadkan kepada 179 km/j.

    Di bawah lantai kenderaan, C9 PHEV dilengkapi bateri NMC berkapasiti 34 kWh yang menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 145 km mengikut penarafan WLTP. Dengan tangki bahan api berkapasiti 70 liter, jarak pemanduan keseluruhan yang didakwa mencecah 1,100 km.

    Angka ini bukan sekadar teori, kerana model ini pernah mencatat jarak efektif sehingga 1,190 km semasa pertandingan Omoda & Jaecoo Long Range Safari Drive di Afrika Selatan tahun lalu.

    Penggunaan bahan api pula dinilai pada kadar 1.4 liter bagi setiap 100 km apabila bateri dicas penuh. Apabila paras bateri menurun ke sekitar 20%, penggunaan meningkat kepada 6.5 liter bagi setiap 100 km. Dari aspek pengecasan, C9 PHEV menyokong pengecasan pantas DC sehingga 70 kW, membolehkan bateri dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 25 minit. Untuk pengecasan AC pula, ia menyokong sehingga 6.6 kW, dengan masa pengecasan dari 30 hingga 100 peratus sekitar 5.5 jam.

    GALERI: Omoda C9 PHEV yang dipamer di Malaysia

     
     
  • Mazda CX-5 – produksi dan jualan cecah 5 juta unit di seluruh dunia, Malaysia antara penyumbang produksi

    Mazda CX-5 – produksi dan jualan cecah 5 juta unit di seluruh dunia, Malaysia antara penyumbang produksi

    Mazda mengumumkan bahawa SUV segmen-C Mazda CX-5 kini sudahpun mencapai produksi dan juga jualan melebihi lima juta unit di seluruh dunia pada penghujung 2025 sejak model generasi pertamanya diperkenalkan pada 2011. Ini menjadikan CX-5 sebagai model ketiga Mazda yang telah mencapai angka berkenaan selepas Mazda 323 dan juga Mazda3.

    Buat masa sekarang CX-5 telah terjual di lebih 100 pasaran secara global. Produksi pertamanya bermula dengan kilang Ujina No.2 di Hiroshima, Jepun pada 2011, kemudian ia berkembang ke kilang Ujina No.1, kilang Hofu di Yamaguchi dan juga kilang-kilang di China.

    Mazda CX-5 juga dipasang di pelbagai negara lain untuk program pemasangan tempatan (CKD), dan untuk ini tidak terkecuali unit-unit yang dipasang di Kulim, Kedah untuk pasaran Malaysia.

    “Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua para pelanggan dan peminat di seluruh dunia yang menyokong CX-5. CX-5 serba baharu telah pun bertukar seluruhnya dalam masa lapan-tahun, memperhalusi lagi rekaan sporty dan dinamik pemanduannya. Ia menawarkan kabin yang luas di mana semua penumpang dapat menikmati keselesaan dan kemudahan, bersama dengan antara muka Manusia-Mesin yang direka semula,” kata pengurus program CX-5, Koichiro Yamaguchi.

    Mazda CX-5 – produksi dan jualan cecah 5 juta unit di seluruh dunia, Malaysia antara penyumbang produksi

    “Dengan fokus yang teliti terhadap kebolehgunaan harian, ia telah berkembang menjadi SUV generasi baharu yang menjadikan pemanduan lebih selesa dan kehidupan itu sendiri lebih bermakna. Kami akan terus membangunkan CX-5 dengan teliti, menyasarkan ia dihargai untuk tahun-tahun akan datang,” tambahnya.

    Mazda CX-5 generasi ketiga yang baru dididedahkan pada peringkat global Julai lalu, bermula di Eropah dan kemudian ke pasaran Jepun pada Oktober 2025. Untuk permulaan CX-5 generasi baharu ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt. Enjin berkenaan ditala dengan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm, dialirkan ke kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan.

    Sekali tengok ia mungkin nampak sama dengan model generasi kedua, namun hakikatnya Mazda CX-5 baharu ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.

    Jarak roda model generasi baharu ini juga lebih jauh iaitu 2,775 mm (+75 mm), membolehkan ruang kabin direka lebih luas, dalam masa yang sama turut memberikan pengendalian yang lebih stabil.

    Mazda CX-5 – produksi dan jualan cecah 5 juta unit di seluruh dunia, Malaysia antara penyumbang produksi

    Dengan badan yang lebih tinggi, Mazda bukan hanya dapat menyediakan ruang kepala yang lebih selesa kepada penumpang, malah pintu belakang SUV ini dapat direka dengan bukaan lebih luas bagi membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lebih mudah – penumpang yang tinggi tidak perlu terlalu menunduk, manakala penumpang kanak-kanak dan juga warga emas juga lebih mudah masuk kerana bendul pintu yang direka lebih rendah.

    Saiz badan yang lebih besar dan panjang ini juga memberikan ruang but 61 liter lebih luas berbanding model generasi sebelumnya. Malah ia bukan soal ruang semata-mata, kerana Mazda menghasilkan pintu tailgate belakang juga dengan bukaan lebih luas dan bahagian bawah lebih rendah bagi memastikan barang yang besar boleh dimasukkan dengan mudah ke ruang berkenaan.

    Pengerusi eksekutif Bermaz Auto Tan Sri Ben Yeoh mendedahkan pada Oktober lalu bahawa model generasi ketiga Mazda CX-5 ini bakal sampai ke pasaran Malaysia pada suku ketiga 2026 dan ia akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, manakala versi CKD akan diperkenalkan sekitar 12-16 bulan selepas itu.

    Yeoh turut mendedahkan bahawa ketika CX-5 generasi ketiga dilancarkan kelak, model generasi kedua akan terus ditawarkan dalam pasaran, di mana model berkenaan kini dihasilkan secara CKD di kilang Inokom di Kulim, Kedah. Beliau turut menjelaskan, ketika CX-5 generasi ketiga dilancarkan nanti, ia hanya akan ditawarkan dengan enjin 2.5 liter, sementara bagi model generasi kedua pula hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter. Buat masa sekarang CX-5 generasi kedua sedia ada pada pasaran Malaysia turut ditawarkan dengan enjin 2.5 liter NA dan juga 2.5 liter Turbo selain 2.0 liter NA.

     
     
  • 3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM

    3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah trafik di lebuhraya utama seawal hari Jumaat, 13 Februari 2026 bagi pengguna lebuhraya yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur. Di mana dijangkakan jumlah trafik yang menggunakan lebuhraya utama dan lebuhraya sambungan ke lebuhraya utama mampu mencapai 3.27 juta kenderaan pada hari puncak sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

    Lebuhraya utama yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia dijangka menampung jumlah trafik terbesar sepanjang musim perayaan dengan kira-kira 2.2 juta kenderaan, diikuti oleh Lebuhraya Karak (210,000 kenderaan), Lebuhraya Pantai Timur (90,000 bagi Fasa 1, 40,000 bagi Fasa 2) serta Lebuhraya Pantai Barat (160,000 kenderaan). Sementara itu, lebuhraya penghubung seperti DUKE, LATAR dan LEKAS yang menghala ke lebuhraya utama diunjurkan mencatatkan jumlah trafik masing-masing sebanyak 275,000, 145,000 dan 150,000 kenderaan.

    Bagi berhadapan dengan peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuhraya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuhraya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan. Antara langkah-langkah proaktif yang telah diambil adalah memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuhraya kecuali bagi kerja kecemasan bermula 12 hingga 23 Februari 2026.

    3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM

    PLUS juga diarahkan untuk mengaktifkan laluan SmartLane di 32 lokasi yang telah dikenalpasti di lebuhraya kendaliannya. Selain itu, LLM turut mengarahkan syarikat konsesi lebuhraya untuk memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain melaksanakan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi.

    Bukan itu sahaja, syarikat konsesi lebuhraya perlu memastikan pengoperasian lebuhraya dalam keadaan terbaik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

    3.27 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya utama menjelang Tahun Baharu Cina 2026 – LLM

    LLM turut menasihati pengguna lebuhraya supaya merancang perjalanan dengan merujuk kepada TuJu Highway Navigation App LLM dan travel time advisory (TTA) bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL – Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

    Pengguna lebuhraya juga disarankan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mempunyai baki yang mencukupi dalam akaun Touch ‘n Go (kad atau eDompet) serta kad debit (diskaun tol sebanyak 50% di lebuhraya pada 14 hingga 15 Februari kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya PLUS dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya LINKEDUA), dan memberi perhatian kepada zon SmartLane. Sekiranya hujan, sebanyak 571 lokasi teduhan khas yang disediakan untuk penunggang motosikal di sepanjang lebuhraya. Apa pun, sila amalkan pemanduan berhemah dan selamat.

     
     
  • Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 – gril baharu, tambah logo GR, kabin sporty, harga kekal RM149k

    Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 – gril baharu, tambah logo GR, kabin sporty, harga kekal RM149k

    Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 telah pun berada di pasaran tempatan dengan sedikit kemaskini yang lebih segar. Tiada perubahan besar dilakukan, namun ia lebih sporty dengan ciri GR Sport yang ditambah.

    Ciri paling ketara ialah bahagian gril yang kini tampil serba baharu. Tiada lagi “sayap” pada lencana Toyota, dan kini seluruh bahagian gril ditampilkan dengan rekaan honeycomb. Selain itu, bahagian hadapan tampil lebih menonjol dengan ‘ketiadaan’ bingkai gril, yang sebelum ini mempunyai ‘sayap’ kecil tersendiri dan diintegrasikan dengan kluster lampu hadapan – kini ia hadir dalam warna badan, sekali gus menjadikan gril kelihatan seolah-olah ‘terapung’. Gril hadapan juga kini dilengkapi logo GR, selain logo yang terdapat pada bahagian sisi dan belakang.

    Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026 – gril baharu, tambah logo GR, kabin sporty, harga kekal RM149k

    Pada bahagian bawah pula, ‘skid plate’ kini ditampilkan tapa rekaan tiga palang. Manakala ‘skid plate’ belakang pula lebih ringkas berbanding sebelum ini. Lencana Corolla Cross di belakang pula kini hadir dengan warna hitam (sebelum ini krom). UMW Toyota Motor (UMWT) turut berkata bumbung hitam kini standard untuk semua pilihan waran, iaitu Platinum White Pearl, Dark Turquoise dan Red Mica Metallic.

    Bahagian dalaman pula mengekalkan pendekatan yang sama, di mana Corolla Cross GR Sport 2026 menerima beberapa sentuhan sporty kecil tetapi menonjol. Ia hadir dengan dalaman hitam yang menampilkan jahitan merah pada stereng, sarung tuil gear dan tempat duduk – warna garang tersebut kini diperluaskan ke papan pemuka dan panel pintu untuk penampilan yang lebih seragam (sebelum ini, dua bahagian tersebut menggunakan jahitan putih).

    Tempat duduk kini dilengkapi ‘tulang tengah’ di bahagian sokongan bawah pinggang, selain logo GR berwarna penuh yang disulam pada perehat kepala. Logo GR juga kini terdapat pada jejari bawah stereng (sebelum ini kosong) serta pada alat kawalan kunci (key fob), yang sebelum ini memaparkan tulisan ‘Corolla Cross’.

    Secara keseluruhan, penambahbaikan ini sangat menepati ciri sebuah varian perdana GR Sport – ringkas namun sporty. UMWT menyatakan bahawa kemaskini ini “memberi respons secara langsung terhadap jangkaan pelanggan yang semakin berkembang, dengan menawarkan penampilan yang lebih menonjol, keselesaan dan penglibatan pemanduan yang lebih baik, sambil mengekalkan kecekapan serta kemudahan pemilikan yang menjadi ciri kenderaan hibrid Toyota”.

    Walau pun UMWT menambah beberapa ciri untuk menaikkan lagi ‘seri’ Corolla Cross GR Sport ini, namun tiada perubahan harga bagi SUV ini. Ia masih kekal berharga RM148,800 atas jalan tanpa insurans.

    GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport 2026

     
     
  • Mercedes-AMG C 63 dengan enjin 4-silinder PHEV akan dihentikan produksi, ganti C 53 6-silinder sebaris

    Mercedes-AMG C 63 dengan enjin 4-silinder PHEV akan dihentikan produksi, ganti C 53 6-silinder sebaris

    Mercedes-AMG C 63 paling kontroversi pernah dihasilkan iaitu model generasi W206 yang muncul pada 2022 dengan enjin empat-silinder 2.0 liter akhirnya sah akan ditamatkan pengeluarannya tidak lama lagi. Perkara ini diberitahu sendiri oleh CEO Mercedes-AMG Michael Schiebe dalam laporan Edmunds.

    Laporan ini turut menyebut bahawa C 63 W206 akan ditamatkan terus riwayatnya tanpa ada pengganti dengan enjin V8 sebenar seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Namun pelanggan boleh memilih sedan C-Class W206 dengan lencana AMG paling berkuasa selepas ini menerusi model Mercedes-AMG C 53 yang akan didedahkan pada separa kedua tahun ini.

    “Kami akan ambil enjin pembakaran dalaman dari CLE 53. Tiada enjin hibrid – ia enjin enam silinder sebaris yang tulen,” kata Schiebe.

    Ini bermakna sedan Mercedes-AMG C 53 berkenaan akan menerima enjin dari C-Class cabriolet berprestasi Mercedes-AMG CLE 53, iaitu enjin turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang dikenali sebagai enjin M256M, iaitu unit M256 yang telah dipertingkat.

    Mercedes-AMG C 63 dengan enjin 4-silinder PHEV akan dihentikan produksi, ganti C 53 6-silinder sebaris

    Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 449 PS bermula 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork maksima 560 Nm bermula 2,200 hingga 5,000 rpm, dan turut menerima unit starter generator yang bersepadu (ISG) di dalamnya, memberikan kuasa tambahan sehingga 23 PS/205 Nm ketika memecut, bertindak sebagai salah satu komponen sistem hibird ringkas 48-volt CLE53 ini – tidak dapat dipastikan sama ada sistem ringkas ini dikira sebagai sistem hibird atau tidak dalam konteks kenyataan Schiebe yang menyatakan bahawa C 53 kelak diberikan “enjin enam-silinder tulen tanpa hibrid”.

    Sebagai perbandingan, unit rangkaian kuasa C 63 W206 sebelum ini yang menggandingkan enjin M139L 2.0 liter turbo bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) E Performance yang sangat rumit menghasilkan kuasa 680 hp/1,020 Nm. Manakala C 63 dari generasi W205 sebelumnya yang dijana oleh enjin M177 V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar pula mampu menghasilkan kuasa 510 PS/700 Nm.

    Apa yang menarik, Schiebe menyatakan bahawa sebab utama penamatan produksi C 63 W206 tersebut bukanlah kerana ia tidak mendapat sambutan dari pelanggan, sebaliknya beliau menyebut bahawa enjin 2.0 liter empat-silinder berkenaan agak sukar untuk mematuhi undang-undang emisi Euro 7 yang lebih ketat pada masa akan datang.

    “Di bawah undang-undang EU7, agak sukar untuk membawa [enjin empat-silinder] ke masa hadapan,” kata Schiebe. “Sebab itulah kami akan berhenti untuk menawarkan enjin M139 untuk segmen saiz sederhana dan gantikan dengan enjin enam-silinder.”

     
     
  • Puspakom lancar aplikasi mobiliti baharu ‘GiCheck’

    Puspakom lancar aplikasi mobiliti baharu ‘GiCheck’

    Susulan pengenalan GiCheck bulan lalu, Puspakom kini telah melancarkan aplikasi mobiliti bagi sistem tempahan pemeriksaan kenderaan. Langkah ini melengkapkan pelaksanaan ekosistem tempahan digital baharu syarikat tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

    “Aplikasi mudah alih ini merupakan perkembangan terkini dalam transformasi #MacamBaharu Puspakom yang sedang berjalan, dengan fokus untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui ketepatan, kejelasan dan kecekapan operasi yang lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

    Tambah beliau, laman web GiCheck yang dilancarkan pada Januari 2026 telah meletakkan asas kepada sistem tempahan yang lebih stabil dan tepat. “Aplikasi mudah alih ini kini memperluaskan keupayaan tersebut kepada pelanggan yang lebih gemar menggunakan peranti mudah alih, sambil mengekalkan integriti data dan piawaian pemeriksaan yang sama,”katanya lagi.

    Boleh dimuat turun melalui Apple App Store (iOS) atau Google Play Store (Android), aplikasi GiCheck menggantikan aplikasi MyPuspakom sebelum ini dan berfungsi sebagai lanjutan kepada laman web GiCheck. Mahmood menjelaskan bahawa aplikasi baharu ini menangani isu lama yang sering dihadapi pelanggan, khususnya kesilapan tempahan akibat kemasukan data secara manual dan kekeliruan mengenai kelayakan pemeriksaan.

    “Melalui integrasi langsung dengan platform mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), GiCheck membolehkan maklumat kenderaan diperoleh dengan lebih tepat, sekali gus membantu pelanggan menyemak kelayakan pemeriksaan serta dokumen yang diperlukan lebih awal dalam proses tempahan,” katanya. Ini dapat mengurangkan kegagalan tempahan, penolakan pemeriksaan dan lawatan ulangan yang tidak perlu, di samping menyokong operasi yang lebih lancar di pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara.

     
     
  • Purata lebih 1,300 kenderaan dikesan ceroboh lorong khas bas dan teksi di sekitar ibu kota, Lembah Klang

    Purata lebih 1,300 kenderaan dikesan ceroboh lorong khas bas dan teksi di sekitar ibu kota, Lembah Klang

    Rapid Bus Sdn Bhd menyatakan bahawa lebih 1,300 secara purata pemandu kenderaan dikesan menceroboh lorong khas bas dan teksi di sekitar ibu kota serta Lembah Klang. Perkara ini dikesan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) menerusi projek rintis penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kamera papan pemuka yang dipasang pada bas RapidKL.

    Menurut Ketua Inisiatif dan Kerjasama Strategik Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), Zainurul Hakim, projek rintis ini bertujuan mengesan pencerobohan lorong bas dan teksi, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan bertrafik tinggi.

    Katanya, kajian awal mendapati meskipun lorong bas dapat menjimatkan masa perjalanan, tahap pencerobohan yang tinggi menyebabkan kesesakan dan menjejaskan ketepatan jadual perkhidmatan.

    Justeru, katanya, rakaman yang diperoleh bagi projek rintis selama enam bulan akan dinilai dari segi ketepatan, kejelasan imej siang dan malam serta keberkesanan pengesanan kesalahan dalam pelbagai keadaan cuaca.

    “Rakaman ini kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menilai kesesuaiannya sebagai bahan bukti di sisi undang-undang. Sepanjang tempoh percubaan, lebih 1,300 secara purata kes pencerobohan lorong bas dikesan, namun tiada tindakan penguatkuasaan diambil setakat ini kerana fokus utama adalah penilaian teknikal dan kesedaran awam.

    Purata lebih 1,300 kenderaan dikesan ceroboh lorong khas bas dan teksi di sekitar ibu kota, Lembah Klang

    “Projek rintis yang bermula Oktober lalu membabitkan tiga koridor iaitu Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama, dengan satu bas bagi setiap koridor. Tempoh percubaan selama enam bulan dijangka berakhir pada Mac ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Tambahnya, projek rintis yang dijalankan menerusi kerjasama strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ bagi memperkukuh penguatkuasaan dan bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

    “Selain penguatkuasaan, penambahbaikan infrastruktur turut dirancang termasuk pemasangan papan tanda berserta lampu amaran dan struktur ganti paparan iklan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai lorong khas bas dan teksi,” katanya.

    Katanya, pemasangan kamera papan pemuka dijangka akan diperluaskan kepada 50 buah bas lagi tahun ini, tertumpu kepada koridor lorong bas sedia ada.

    “Selain itu, tiga lagi koridor atau jajaran baharu lorong khas bas dan teksi akan dilaksanakan dalam tempoh 2026-2027 membabitkan Jalan Gombak, Jalan Ipoh dan Jalan Cheras. Bagaimanapun, pelaksanaan penuh sistem ini bergantung kepada peruntukan kewangan serta pemuktamadan kerangka perundangan yang dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun,” katanya.

     
     
  • Harga Zeekr 7X 2026 di Malaysia dikemaskini — tiga varian dari RM183k hingga RM231k; naik hingga 1.8%

    Harga Zeekr 7X 2026 di Malaysia dikemaskini — tiga varian dari RM183k hingga RM231k; naik hingga 1.8%

    Zeekr Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi model Zeekr 7X yang dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2025, yang kini menyaksikan sedikit kenaikan secara keseluruhannya selepas tamatnya pengecualian cukai dan insentif kerajaan untuk EV hujung tahun lalu.

    Harga terkini bagi barisan varian Zeekr 7X bermula tahun ini adalah seperti berikut:

    • Zeekr 7X RWD Standard – RM182,800 (naik daripada RM179,800 ketika dilancarkan)
    • Zeekr 7X RWD Long Range – RM193,800 (naik daripada RM190,800 ketika dilancarkan)
    • Zeekr 7X AWD Performance – RM230,800 (naik daripada RM226,800 ketika dilancarkan)

    Menurut Zeekr Malaysia, larasan harga ini hanya melibatkan kenaikan sebanyak 1.7% bagi varian Standard, 1.6% untuk Long Range dan 1.8% untuk Performance. “Ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap pelanggan di Malaysia dan strategi jangka panjang jenama ini di sini,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Zeekr.

    Untuk perincian lanjut tentang Zeekr 7X ketika pelancarannya, baca di sini.

     
     
  • Proton S70 MC1 2026 ditunjuk penuh — tempahan kini dibuka; 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat

    Proton S70 MC1 2026 ditunjuk penuh — tempahan kini dibuka; 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat

    Semalam, Proton mengumumkan bahawa tempahan bagi model sedan Proton S70 MC1 2026 mula dibuka hari ini, dan akan dilancarkan secara rasmi pada minggu depan, 11 Februari 2026. Maka hari ini Proton S70 MC1 2026 berkenaan telah mula ditunjukkan di bilik pameran Proton, membolehkan kami membawakannya untuk tatapan anda secara langsung.

    Dua daripada empat varian yang ada ditampilkan di sini, iaitu dua varian yang paling tinggi — Flagship dan Flagship X. Dua lagi varian lebih rendah terdiri daripada Executive dan Premium. Beberapa perkara yang dapat diperhatikan daripada model S70 facelift 2026 yang ditampilkan di sini antaranya ialah varian Flagship X berkenaan datang dengan bodykit.

    Bagaimanapun, ia tidak hadir dengan jalur kemasan merah memandangkan unit yang ditunjukkan ini berwarna biru: jalur merah berkenaan hanya dikhaskan untuk warna badan hitam dan putih sahaja. Lampu utama juga hadir dengan rekaan baru, tetapi tanpa ciri pancaran sequence ketika mula dihidupkan. Begitu juga dengan lampu isyarat kini menggunakan jenis bulb biasa, bukan lagi LED sementara lampu tingginya terletak dalam bahagian projektor utama — tiada lagi tulisan Proton kelihatan. Sebaliknya, lampu belakang masih mengekalkan pancaran sequence.

    Proton S70 MC1 2026 ditunjuk penuh — tempahan kini dibuka; 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat

    Varian Flagship dan Flagship X ini juga menggunakan tayar Giti yang sama seperti model spesifikasi rendah versi yang terdahulu. Untuk bahagian dalam, yang membezakan dua varian teratas berkenaan adalah warna pelapik bumbungnya — Flagship X datang dengan warna hitam sementara Flagship kekal menggunakan warna beige. Lagi ciri yang membezakan antara varian Flagship dan Flagship X ialah adanya sunroof dan DVR di bahagian depan untuk varian paling tinggi tersebut.

    Seperti yang sudah pernah kami laporkan sebelum ini, Proton S70 MC1 2026 ini menerima enjin i-GT versi turbo seperti X50 dan X70, iaitu enjin BHE15-EFZ yang menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo terdahulu yang hanya datang dengan janaan kuasa 150 PS/226 Nm.

    Dengan tambahan kuasa 31 PS/64 Nm, Proton S70 MC1 2026 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Kuasa masih disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7-DCT, tetapi telah ditala semula bagi memnberikan tukaran gear yang lebih lancar. Menurut Proton, gandingan ini membolehkan S70 2026 mencapai penggunaan bahan api pada kadar 5.7 liter setiap 100 km perjalanan.

    Proton S70 MC1 2026 ditunjuk penuh — tempahan kini dibuka; 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat

    Bukan sahaja lebih berkuasa dan jimat bahan api, enjin baru ini juga menggunakan mekanisma timing chain untuk menggerakkan aci sesondol, berbanding timing belt pada enjin terdahulu sekali gus memberikan kelebihan dari segi penyelenggaraan yang lebih ringkas serta kurang kos.

    Bahagian luaran Proton S70 MC1 2026 ini menampilkan lampu hadapan baru yang sama seperti Geely Emgrand facelift 2024. Sekali pandang, lampu berkenaan kelihatan sama seperti lampu model sedia ada. Namun jika diperhatikan dengan teliti, terdapat satu bar krom yang terletak melintang di bahagian lampu kecil dalam perumah lampu tersebut. Juga boleh dilihat lampu isyarat membelok telah dialihkan ke lampu utama, bukan lagi sekali dengan jalur ‘kening’ LED nyalaan siang.

    Selain itu S70 MC1 2026 juga menerima set rim 17-inci rekaan baru — kelihatan sama seperti rim yang diberikan pada model sedia ada, tetapi jika dilihat dengan teliti, ia berbeza terutamanya di bahagian tengah.

    Seperti disahkan melalui unit yang ditunjukkan ini, rim baru tersebut tidak lagi dipadankan dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2, kerana kilang Goodyear di Shah Alam sudah pun ditutup. Sebagai ganti, tayar GitiComfort F22 dari China mengambil alih, sama seperti X70 yang kini turut menggunakan tayar Giti selepas kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah ditutup akhir tahun lalu. Sebelum bertukar ke Giti, S70 pernah menggunakan tayar Kumho dari Vietnam, tahun lalu.

    Proton S70 MC! 2026 ini juga menerima kit badan baru yang diberikan serlahan jalur merah (hanya untuk warna badan hitam dan putih), dan spoiler bawah bampar hadapannya kelihatan seperti berakhir di gril bampar. Diffuser belakang pula nampak lebih agresif (tetapi masih tidak menonjolkan muncung ekzos berkembar sebenar seperti X50) dan juga spoiler di penutup but belakang.

    Untuk bahagian kabin, tiada perubahan besar dapat dilihat: misalnya, papan pemuka dan juga saiz skrin masih lagi sama. Cuma, bagi model kemaskini ini, skrin infotainmen utama kini datang dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar.

    Proton turut mengumumkan bahawa sistem bantuan ADAS untuk Proton S70 MC1 2026 ini masih kekal dengan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2, menampilkan sistem-sistem seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong (LKA), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan lain-lain

    Tempahan untuk model ini kini mula dibuka dengan bayaran deposit sebanyak RM500. Harga jualan sebenar bagi model ini mungkin diumumkan ketika pelancarannya nanti. Sebagai rujukan, Proton S70 sedia ditawarkan dalam empat varian bermula varian paling asas Executive berharga RM73,800, Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800 dan Flagship X berharga RM94,800.

    Proton S70 MC1 2026 Flagship X

    Proton S70 MC1 2026 Flagship

     
     
  • Diskaun tol 50% pada 14-15 Feb sempena CNY; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang – kos pampasan RM19.5j

    Diskaun tol 50% pada 14-15 Feb sempena CNY; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang – kos pampasan RM19.5j

    Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan diskaun tol sebanyak 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu bermula jam 12.01 tengah malam pada 14 Februari dan berakhir jam 11.59 malam pada 15 Februari 2026 kepada para pengguna kenderaan persendirian.

    Ia adalah bagi meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

    “Kerajaan Madani dalam Mesyuarat Kabinet semalam telah bersetuju untuk memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026. Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta,” kata Alexander.

    Diskaun tol 50% pada 14-15 Feb sempena CNY; kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang – kos pampasan RM19.5j

    Tambahnya, pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuhraya.

    Semua pengguna lebuhraya disaran agar merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MyPLUS- TTA dan TuJu Highway Navigation App LLM untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

    Selain itu, anda juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System (VMS). Bagi mereka yang menggunakan lorong SmartLane, anda diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan
    kelajuan dietapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

    Anda juga boleh menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, aplikasi X, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800-88-7752. Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

     
     
  • Toyota lantik Kenta Kon sebagai presiden, CEO baru – Koji Sato dilantik naib pengerusi, ket. pegawai industri

    Toyota lantik Kenta Kon sebagai presiden, CEO baru – Koji Sato dilantik naib pengerusi, ket. pegawai industri

    Toyota sekali lagi merombak barisan kepimpinan utamanya dengan melantik pegawai operasi dan ketua pegawai kewangannya iaitu Kenta Kon sebagai presiden dan CEO baharu bermula 1 April 2026 nanti. Kon akan menggantikan tugas Koji Sato yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2023. Selepas ini Sato akan bertugas sebagai naib pengerusi Toyota, bagi membantu Akio Toyoda sebagai pengerusi syarikat, dan beliau turut akan menyandang satu lagi jawatan yang baru diwujudkan iaitu ketua pegawai industri.

    Dengan startegi baharu ini, Kon sebagai bos baharu akan bertanggungjawab terhadap pengurusan dalaman syarikat, manakala Sato pula akan lebih fokus terhadap perkara-perkara berkenaan industri secara keseluruhan termasuk memegang jawatan sebagai pengerusi Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA). Menurut Toyota rombakan ini dibuat adalah untuk “mempercepatkan proses membuat keputusan sebagai respon terhadap perubahan dalam persekitaran dalaman dan luaran.”

    Toyota lantik Kenta Kon sebagai presiden, CEO baru – Koji Sato dilantik naib pengerusi, ket. pegawai industri

    Kon dilantik ke jawatan baharu ini di atas pengalamannya dalam bahagian kewangan, di mana Toyota mensasarkan untuk menambahbaik keuntungan dan mengurangkan jumlah pulang modal produknya bagi menghasilkan kereta yang lebih baik. Kon akan ditugaskan untuk melaksanakan pembaharuan berskala luas kepada seluruh rantaian nilainya, memanfaatkan pengalaman pengurusan rentas fungsinya ketika bertugas di divisi perisian Woven By Toyota sebelum ini.

    Manakala untuk Sato, peranannya dalam JAMA akan membolehkan beliau mendapatkan kerjasama lebih besar dengan pembuat-pembuat kereta Jepun yang lain. Beliau juga merupakan naib pengerusi Persekutuan Perniagaan Jepun (Keidanren), dan dalam peranannya di situ, beliau diharap untuk mempromosikan cadangan dasar yang berpaksikan monozukuri (pembuatan) dan kolobrasi industri termaju bagi menambahbaik daya saing perindustrian Jepun.

     
     
  • UMW Toyota jual 4,700 kereta pada Jan 2026 – GR Corolla AT dan Vios Hybrid dilancarkan bulan lalu

    UMW Toyota jual 4,700 kereta pada Jan 2026 – GR Corolla AT dan Vios Hybrid dilancarkan bulan lalu

    UMW Toyota Motor (UMWT) berjaya menjual sebanyak 4,700 unit kereta pada Januari 2026, yang disifatkan sebagai permulaan yang stabil bagi tahun ini dalam persekitaran pasaran yang kompetitif, menurut syarikat tersebit. Rekod ini turut mencerminkan sambutan pasaran yang konsisten merentasi segmen teras Toyota, disokong oleh barisan produk yang luas dan telah kukuh di pasaran Malaysia.

    Pengedar rasmi Toyota dan Lexus itu turut berkata, “Perpandukan pendekatan ‘Best in Town’, syarikatnya kekal komited untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang boleh dipercayai dan disokong sepenuhnya, sekali gus mengukuhkan keyakinan serta keutamaan pelanggan melalui produk berkualiti, sokongan di seluruh negara dan perkhidmatan selepas jualan yang diyakini.

    “Tahun Baharu Cina adalah detik pembaharuan dan kebersamaan, dan bagi kebanyakan rakyat Malaysia, ia juga melibatkan perjalanan untuk bersama keluarga. Dalam tempoh perayaan, ketenangan fikiran di jalan raya menjadi lebih penting dan ia datang daripada kenderaan yang direka untuk memberikan prestasi yang konsisten dalam perjalanan jarak jauh. Selain disokong oleh penjagaan yang boleh dipercayai, supaya keluarga boleh meneruskan perjalanan dengan penuh keyakinan dan menumpukan perhatian kepada detik-detik yang benar-benar bermakna,” kata Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    UMW Toyota jual 4,700 kereta pada Jan 2026 – GR Corolla AT dan Vios Hybrid dilancarkan bulan lalu

    Bulan lalu, UMWT melancarkan dua model yang memperluaskan rangkaian penawarannya. Model GR Corolla AT dengan transmisi automatik lapan-kelajuan baharu yang menyalurkan kuasa kepada hot hatch tersebut sebanyak 300 PS/400 Nm ke keempat-empat roda. Pecutan 0–100 km/j dapat dilakukan dalam 5.3 saat. Model import CBU dari Jepun ini ditawarkan pada harga RM379,000, iaitu RM10,000 lebih mahal berbanding versi manual enam-kelajuan.

    Malah UMWT turut melancarkan Vios Hibrid baharu, yang ditawarkan pada harga bermula RM103,900 hingga RM109,900 bagi varian GR Sport, iaitu tahap kemasan baharu untuk Vios di pasaran tempatan.
    Model CKD HEV ini dikuasakan oleh Sistem Hibrid Toyota generasi keempat, yang menggabungkan set gear E-CVT bagi membolehkan sambungan mekanikal antara enjin dan roda pacuan.

    Enjin yang digunakan ialah 1.5L 2NR-VEX, yang berbeza daripada 2NR-VE standard kerana beroperasi menggunakan kitaran Atkinson. Enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan output 91 PS/121 Nm digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 80 PS/141 Nm, serta bateri lithium-ion berkapasiti 0.76 kWh. Penggunaan bahan api dinilai pada 3.6 liter bagi setiap 100 km, bersamaan 27.8 km/l.

     
     
  • Pengimport EV CBU mungkin perlu pasang stesen pengecasan; keutamaan untuk pengecas DC — MITI

    Pengimport EV CBU mungkin perlu pasang stesen pengecasan; keutamaan untuk pengecas DC — MITI

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang mempertimbang untuk mewajibkan syarikat yang membawa masuk kenderaan elektrik CBU untuk membantu memasang lebih banyak kemudahan stesen pengecasan EV, jelas menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, lapor Free Malaysia Today.

    Langkah ini mungkin akan menjadi syarat wajib bertujuan untuk menyokong pertumbuhan EV serta capaian lebih meluas terhadap pengecas EV di seluruh negara. Johari menjelaskan hal ini dalam satu jawapannya dalam sesi di Dewan Rakyat. “Untuk mana-mana kereta CBU yang diimport, kita mahu mereka juga memainkan peranan dalam menyediakan semua kemudahan ini,” jelas beliau.

    Setakat 31 Disember 2025, ada sejumlah 5,624 unit pengecas awam yang telah dipasang di seluruh negara, bersamaan dengan 56% daripada sasaran 10,000 pengecas awam seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, yang telah berjaya dicapai. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,923 unit adalah pegecas pantas DC yang telah dipasang, melepasi sasaran 1,500 unit yang ditetapkan. Sementara bagi pengecas AC pula, angkanya sedikit di belakang dengan 3,701 unit atau sekitar 43% daripada sasaran 8,500 unit, jelas beliau.

    “Ketersediaan pengecas pantas menjadi faktor yang mempengaruhi keyakinan pengguna untuk beralih kepada EV,” jelas Johari, dan bahawa dengan memberi keutamaan terhadap pemasangan pengecas DC adalah sangat penting dalam membina keyakinan pengguna. Beliau juga turut menggalakkan pemilik EV untuk memasang pengecas di rumah.

    Pengimport EV CBU mungkin perlu pasang stesen pengecasan; keutamaan untuk pengecas DC — MITI

    Dengan kadar pemasangan pengecas AC yang rendah, Persatuan Kenderaan Sifar Emisi Malaysia (MyZEVA) pada 2024 menganggarkan sasaran untuk mempunyai 8,500 unit pegecas AC awam hanya akan dapat dicapai pada suku ketiga tahun ini.

    Antara jenama EV dengan rangakaian pengecas sendiri di Malaysia ketika ini ialah Tesla, yang dikecualikan daripada mempunyai rakan niaga tempatan untuk AP francaisnya di bawah program BEV Global Leaders pada 2023.

    Sebagai syarat terhadap keistimewaan itu, Tesla perlu membuka sekurang-kurangnya 30% daripada rangkaian pengecas DC-nya (kadar minimum 180 kW) kepada umum, dan untuk digunakan oleh EV dari jenama lain bermula 2025. Namun perkara ini belum lagi berlaku kerana Tesla Supercharger masih terhad untuk kegunaan kenderaan Tesla sahaja.

     
     
  • Kelle Energy lancar pengecas EV mudah alih BESS pertama di Malaysia – pengecasan sehingga 60 kW DC

    Kelle Energy lancar pengecas EV mudah alih BESS pertama di Malaysia – pengecasan sehingga 60 kW DC

    Sebuah syarikat yang berpusat di Singapura, Kelle Energy, melancarkan sistem pengecas kenderaan elektrik mudah alih pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Battery Energy Storage System atau BESS. Pengecas mudah alih berbentuk ‘powerbank’ beroda ini dilengkapi sistem simpanan tenaga berkapasiti 184 kWh dan mampu menyokong pengecasan DC sehingga 60 kW.

    Ia direka untuk mengecas beberapa kenderaan elektrik secara serentak serta ditawarkan sebagai penyelesaian pantas, lebih kos efektif dan tidak bergantung kepada grid elektrik berbanding pemasangan infrastruktur pengecas kekal. Inisiatif ini turut dilihat berpotensi membantu mengurangkan kesesakan di stesen pengecasan lebuh raya.

    Dalam masa yang sama, Kelle Energy turut memeterai dua memorandum persefahaman. Perjanjian pertama dibuat bersama anak syarikat Gotion High-Tech, iaitu Anhui Yijianeng Digital Technology, bagi menyokong pelaburan strategik serta pembangunan perniagaan dalam penyelesaian tenaga mudah alih dan aplikasi BESS di rantau ini.

    Kelle Energy lancar pengecas EV mudah alih BESS pertama di Malaysia – pengecasan sehingga 60 kW DC

    Memorandum kedua pula melibatkan Anhui Yijianeng Digital Technology dan EV Connection, dengan fokus kepada pelaksanaan serta pengembangan perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik mudah alih di seluruh Malaysia.

    Melalui kerjasama ini, semua pihak yang terlibat akan berganding bahu untuk memperkenalkan perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang boleh diskalakan dan berorientasikan pengguna. Penyelesaian ini disasarkan untuk memenuhi keperluan pusat bandar, fasiliti komersial, pengendali kumpulan kenderaan serta koridor permintaan EV yang sedang berkembang di Malaysia.

    Rakan teknologi utama bagi pengecas EV mudah alih Kelle Energy ialah Gotion, sebuah pengeluar bateri dari China yang sebahagiannya dimiliki oleh Kumpulan Volkswagen. Sebelum ini, turut dilaporkan bahawa kerajaan negeri Johor sedang memuktamadkan perbincangan dengan Gotion bagi menubuhkan kemudahan pembuatan bateri kenderaan elektrik di negeri tersebut.

     
     
  • Lencongan trafik dilaksana di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS pada 9-12 Feb 2026, 10 malam-5 pagi

    Lencongan trafik dilaksana di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS pada 9-12 Feb 2026, 10 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 9 hingga 12 Februari ini. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan untuk projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng (utara) ke Senai (utara).

    Menurut PLUS, lencongan trafik di laluan berkenaan melibatkan kedua-dua arah utara (KM33.8-KM35.5) dan selatan (KM36.5-KM35.0), serta dilaksanakan dari jam 10 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh yang dinyatakan itu.

    “Ketika kerja-kerja tersebut dijalankan, kenderaan akan dilencongkan ke laluan paling kanan bagi mewujudkan zon kerja yang selamat di samping meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuhraya. Justeru, pengguna lebuhraya disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

    “Pengguna juga diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” kata PLUS.

    Untuk maklumat trafik semasa dan bantuan, pengguna boleh merujuk kepada Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X@plustrafik atau paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.

     
     
  • Toyota Alphard guna siren dan beacon rupa-rupanya kenderaan kementerian, dapat kelulusan JPJ – JSPT

    Toyota Alphard guna siren dan beacon rupa-rupanya kenderaan kementerian, dapat kelulusan JPJ – JSPT

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan MPV Toyota Alphard yang yang dirakam menyalakan siren serta beacon atau lampu pandu arah di sebuah lebuhraya, baru-baru ini, mempunyai kebenaran untuk penggunaan isyarat amaran berkenaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Mohd Zamzuri berkata, pihaknya sudah mengenal pasti MPV berkenaan dan pemiliknya. Hasil semakan mendapati kenderaan berkenaan juga sudah mendapat kebenaran daripada JPJ untuk penggunaan isyarat amaran berkenaan. Walau bagaimana pun, beliau tidak mendedahkan secara spesifik berkenaan MPV berkenaan milik kementerian ‘rahsia’ itu.

    “Kenderaan berkenaan adalah kenderaan yang digunakan atas tugas rasmi sebuah Kementerian. Penggunaan ‘beacon’ dan siren juga sudah mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah JPJ,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Tambahnya, pihaknya juga akan memanggil kenderaan terbabit dalam masa terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

    Baru-baru ini, tular di laman media sosial rakaman video yang memaparkan sebuah Alphard yang menyalakan siren dan lampu pandu arah ketika melalui jalan yang sesak. Susulan video yang tular berkenaan, JSPT KL giat mengesan pemandu MPV terbabit dan nombor pendaftaran kenderaan itu pula tidak dapat dipastikan.

     
     
  • Proton S70 MC1 2026 — tempahan dibuka, 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat, lancar 11 Feb

    Proton S70 MC1 2026 — tempahan dibuka, 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat, lancar 11 Feb

    Proton hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk model kemaskini sedan segmen-C S70 MC1 2026 akan dibuka bermula esok, serentak dengan pendedahan model berkenaan di bilik-bilik pameran 3S/4S Proton di seluruh negara. Harganya belum lagi diumumkan, namun untuk mereka yang berminat tempahan boleh dibuat dengan bayaran RM500.

    Tak sampai tiga tahun lagi dalam pasaran, model kemaskini 2026 ini menampilkan beberapa perubahan kecil dibuat pada sebelah luar dan dalam, dan yang paling penting ia kini dijana oleh enjin empat silinder baharu dalam keluarga i-GT yang kini telah digunakan pada Proton X50 facelift, Proton Saga MC3 dan juga Proton X70 MC3.

    Untuk S70 MC1 2026 ini ia menerima enjin i-GT dari versi turbo seperti X50 dan X70 iaitu enjin BHE15-EFZ yang menghasilkan kuasa 181PS dan tork maksima 290Nm, bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo terdahulu yang hanya dibekalkan dengan kuasa 150 PS/226 Nm.

    Dengan kuasa 31 PS/64 Nm lebih besar, S70 MC1 2026 ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Kuasa masih disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT, tetapi ia telah ditala semula bagi memnberikan tukaran gear yang lebih lancar. Menurut Proton, gandingan ini membolehkan S70 2026 mencapai penggunaan bahan api pada kadar 5.7 liter setiap 100 km perjalanan.

    Proton S70 MC1 2026 — tempahan dibuka, 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat, lancar 11 Feb

    Bukan sahaja lebih berkuasa dan jimat bahan api, enjin baharu ini juga menggunakan mekanisma timing chain untuk menggerakkan aci sesondol, berbanding timing belt pada enjin terdahulu, memberikan kelebihan dari segi penyelenggaraan yang lebih ringkas serta kurang kos.

    Walau bagaimanapun Proton tidak menyebut sebarang penawaran enjin 1.5 liter empat silinder dalam versi tanpa turbo seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini. Mungkin versi berkenaan akan ditawarkan selepas produksi Proton Persona dihentikan, dan versi NA ini akan menawarkan pilihan S70 dengan harga lebih mampu milik.

    Pada bahagian luaran, S70 2026 ini menampilkan lampu hadapan baharu yang sama seperti Geely Emgrand facelift 2024. Sekali tengok lampu berkenaan nampak sama macam lampu model sedia ada, namun kalau anda perhati dengan teliti, terdapat satu bar krom yang terletak melintang pada bahagian lampu kecil dalam perumah lampu tersebut. Juga boleh dilihat lampu isyarat membelok telah dialihkan ke lampu utama, bukan lagi sekali dengan jalur ‘kening’ LED nyalaan siang.

    Selain itu S70 MC1 2026 ini juga menerima set rim 17-inci rekaan baharu. Sekali lagi, ia nampak sama seperti rim yang diberikan pada model sedia ada, tetapi jika anda lihat dengan teliti, rim tersebut adalah berbeza terutamanya pada bahagian tengah.

    Proton S70 MC1 2026 — tempahan dibuka, 1.5 Turbo 4-silinder i-GT, 0-100 km/j 7.5 saat, lancar 11 Feb

    Rim baharu ini juga tidak lagi dipadankan dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 kerana kilang Goodyear di Shah Alam sudah pun ditutup, dan ia digantikan dengan tayar GitiComfort F22 dari China, sama seperti X70 yang kini turut menggunakan tayar Giti selepas kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah ditutup akhir tahun lalu. Sebelum bertukar ke Giti, S70 sebenarnya sebelum ini pernah menerima tayar Kumho dari Vietnam tahun lalu.

    Selain itu S70 2026 ini juga menerima kit badan baharu yang diberikan serlahan jalur merah, dan spoiler bawah bampar hadapan kelihatan seperti berakhir pada gril bampar, diffuser belakang yang nampak lebih agresif (tetapi masih tidak menonjolkan tip ekzos berkembar sebenar seperti X50) dan juga spoiler pada penutup but belakang.

    Pada model sedia ada, rim 17-inci dan juga kit badan dipadankan secara standard untuk model varian Flagship dan Flagship X. Manakala pecahan kelengkapan mengikut varian untuk S70 MC1 2026 ini masih belum disiarkan oleh Proton.

    Tiada perubahan besar dilihat pada sebelah dalam kabin, di mana papan pemuka dan juga saiz skrin masih lagi sama. Cuma bagi model kemaskini ini, skrin infotainmen utama kini sudahpun diberikan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar.

    Proton turut mengumumkan bahawa sistem bantuan termaju (ADAS) pada S70 MC1 2026 ini masih kekal dengan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2, menampilkan sistem-sistem seperti brek kecemasan automatik (AEB), bantuan kekal lorong (LKA), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) dan lain-lain

    Seperti yang diberitahu tadi, tempahan untuk model ini akan mula dibuka esok dengan bayaran deposit sebanyak RM500. Harga jualan sebenar bagi model ini mungkin diumumkan ketika pelancarannya nanti yang telahpun disahkan akan berlangsung pada 11 Februari nanti.

    Sebagai rujukan, Proton S70 sedia ditawarkan dalam empat varian bermula varian paling asas Executive berharga RM73,800, Premium berharga RM79,800, Flagship berharga RM89,800 dan Flagship X berharga RM94,800.

    GALERI: Proton S70 2026 di Proton CS Prima Auto Pulau Pinang

     
     
  • Geely Galaxy M7 didedah – Galaxy L7 facelift dengan muka M9, PHEV dengan jarak gerak sehingga 1,730 km

    Geely Galaxy M7 didedah – Galaxy L7 facelift dengan muka M9, PHEV dengan jarak gerak sehingga 1,730 km

    Geely memperkenalkan model terkini dalam barisan kenderaan tenaga baharu Galaxy menerusi pelancaran Galaxy M7. Nama SUV plug-in hybrid ini memberi bayangan bahawa ia merupakan versi lebih kecil kepada model perdana tiga baris tempat duduk, Galaxy M9, dan perkara ini turut disokong oleh reka bentuk bahagian hadapannya yang jelas mengambil inspirasi daripada model tersebut.

    Bahagian hadapan M7 mengekalkan jalur lampu penuh yang menampilkan motif pencahayaan seperti bintang di bahagian tengah. Ia dipadankan dengan lampu siang berbentuk L serta satu unit projektor lampu utama pada setiap sisi. Rekaan tanpa gril turut digunakan, dengan logo Galaxy diletakkan di tengah, selain bukaan udara hadapan yang melengkung ke bawah dan kemasan krom pada saluran udara menegak di bucu bampar.

    Namun, apabila dilihat dari bahagian sisi dan belakang, rekaannya tidak sekata dengan muka hadapan yang lebih kemas. Lengkungan roda yang bersudut, garis bahu tajam yang menaik ke arah roda belakang serta bar lampu belakang berbentuk U terbalik yang mengikut garisan penutup bampar menyerlahkan gaya yang lebih agresif. Perbezaan ini wujud kerana M7 sebenarnya merupakan versi naik taraf atau facelift kepada Galaxy L7 yang mula dilancarkan di China pada tahun 2023.

    Geely Galaxy M7 didedah – Galaxy L7 facelift dengan muka M9, PHEV dengan jarak gerak sehingga 1,730 km

    Beberapa perubahan luaran dapat diperhatikan berdasarkan imej pemfailan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) yang diperoleh Autohome. Antaranya, kemasan hitam di hujung lampu belakang telah dibuang, manakala grafik lampu kini tampil lebih ringkas dan kemas dengan elemen tengah yang menjadi identiti sub-jenama Galaxy.

    Ruang nombor plat turut direka semula agar kelihatan lebih moden, dan bahagian bawah bampar dilicinkan dengan menyingkirkan sirip menyerupai diffuser. Seperti L7, model ini masih berasaskan platform Boyue L, yang menjelaskan gaya rekaan badannya yang lebih tajam.

    Di bahagian dalam, M7 menerima perubahan besar berbanding L7. Skrin infotainmen menegak bersaiz 13.2 inci serta paparan untuk penumpang hadapan telah digantikan dengan skrin tengah mendatar yang lebih konvensional, berkemungkinan unit bersaiz 15.4 inci yang turut digunakan pada model Galaxy lain. Susun atur papan pemuka juga mengikut rekaan terkini barisan Galaxy.

    Di bawah bonet, M7 menggunakan rangkaian kuasa EMotive Intelligence atau EM-i yang sama seperti model Galaxy lain. Ia menggabungkan motor elektrik, yang berkemungkinan unit 238 PS dan 262 Nm seperti pada Starship 7 terkini di China, bersama enjin petrol 1.5 liter empat silinder NA yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm.

    Model ini juga dilaporkan akan ditawarkan dengan pilihan bateri LFP berkapasiti 18.4 kWh dan 29.8 kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 225 km serta jarak keseluruhan mencecah 1,730 km. Maklumat lanjut dijangka didedahkan apabila model ini diperkenalkan sepenuhnya.

    Galaxy M7 bagaimanapun dijangka kekal eksklusif untuk pasaran domestik China sahaja, sama seperti Galaxy L7 sebelum ini. Langkah ini dilihat sebagai usaha Geely untuk mengelakkan persaingan dalaman, terutamanya dengan model Starship 7 atau Starray EM-i yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia sebagai Proton eMas 7 PHEV.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8.5 1.5 eTSI R-Line kini di Malaysia – harga RM185,990, 50 terawal dapat potongan RM6k

    Volkswagen Golf Mk8.5 1.5 eTSI R-Line kini di Malaysia – harga RM185,990, 50 terawal dapat potongan RM6k

    Muncul hanya sebagai pra tonton semasa pelancaran Volkswagen Golf Mk8.5 tahun lepas, versi R-Line kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM185,990. Namun, bagi 50 pelanggan terawal yang membuat tempahan, Volkswagen menawarkan potongan harga RM6,000, menjadikan harga jualan RM179,990.

    Harga ini termasuk Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama lima tahun, jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 km serta bantuan tepi jalan selama lima tahun.

    Dari segi dimensi, Golf Mk8.5 mencatat ukuran 4,289 mm panjang, 1,799 mm lebar dan 1,483 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,631 mm. Kapasiti ruang but maksimum mencecah 1,237 liter apabila tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya, menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

    Volkswagen Golf Mk8.5 1.5 eTSI R-Line kini di Malaysia – harga RM185,990, 50 terawal dapat potongan RM6k

    Model ini dipacu oleh enjin 1.5 liter eTSI turbo dengan teknologi hibrid ringkas, yang menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 250 Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi DSG klac kering tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan. Pecutan 0-100 km/j dapat dibuat dalam masa 8.6 saat, manakala sistem pengunci differential elektronik XDS turut disertakan bagi meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

    Bahagian luaran menampilkan lampu hadapan LED matriks IQ.LIGHT, manakala di belakang terdapat kluster lampu IQ.LIGHT 3D LED. Dari sisi, Golf R-Line Mk8.5 diserlahkan dengan rim aloi rekaan Coventry yang dipadankan dengan tayar bersaiz 225/45R17.

    Ruang kabin pula dilengkapi tempat duduk R-Line dengan gabungan fabrik dan kemasan ArtVelours microfleece. Sistem infotainmen bersaiz 12.9 inci dengan navigasi GPS menjadi tumpuan utama, disokong oleh sistem audio tujuh pembesar suara. Paparan instrumen digital menggunakan skrin Digital Cockpit Pro beresolusi tinggi bersaiz 10 inci, selain turut menawarkan paparan head-up display dan fungsi pengecasan tanpa wayar.

    Dari aspek keselamatan, Golf R-Line Mk8.5 hadir dengan tujuh beg udara serta pakej bantuan pemandu IQ.DRIVE. Antara ciri yang ditawarkan termasuk amaran trafik belakang, Lane Sssist, Side Assist, Travel Assist, brek kecemasan automatik dan kawalan kelajuan adaptif. Dua cagak ISOFIX turut disediakan pada tempat duduk belakang kiri dan kanan untuk pemasangan kerusi kanak-kanak.

    Sebagai pilihan, pelanggan juga boleh membeli kenderaan ini tanpa pakej VAP, sekali gus menikmati penjimatan sebanyak RM10,000. Namun, pilihan ini hadir dengan kompromi apabila tempoh penyelenggaraan percuma tidak disertakan dan jaminan kenderaan dikurangkan kepada dua tahun sahaja.

     
     
  • Xpeng GX didedah melalui siri gambar pertama – SUV EV dengan range extender, menyerupai Range Rover

    Xpeng GX didedah melalui siri gambar pertama – SUV EV dengan range extender, menyerupai Range Rover

    Xpeng telah menyiarkan imej pertama model crossover perdana barunya yang dikenali sebagai GX menerusi platform Weibo. Model ini dijangka membuat kemunculan awam pada Pameran Auto Beijing yang akan berlangsung pada April tahun ini. GX bakal bersaing dalam segmen SUV bersaiz penuh di pasaran China, menentang model seperti Li Auto L9, Aito M9, Zeekr 9X dan Denza N9.

    Melihat dari tepi, reka bentuk GX jelas mengingatkan kepada Range Rover generasi semasa. Namun begitu, Xpeng turut menerapkan beberapa elemen tersendiri bagi membezakan identiti model ini. Bahagian hadapan GX menampilkan unit lampu yang dipasang rendah, jalur lampu melintang sepenuhnya dan ketiadaan gril konvensional, memberikan rupa yang lebih moden dan futuristik.

    Turut boleh dilihat, pintu hadapan GX tidak mempunyai kemasan hiasan seperti yang terdapat pada Range Rover. Di belakang pula, GX menggunakan jalur lampu mendatar menggantikan rekaan lampu berbentuk U yang menurun. Berdasarkan imej yang dikongsi, panjang keseluruhan GX dianggarkan sekitar 5.2 meter, seperti yang dilaporkan oleh CarNewsChina.

    Walaubagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada pemegang pintu jenis rata dengan badan akan digunakan pada versi produksi, memandangkan China dijadualkan melarang penggunaan pemegang pintu tersembunyi bermula Januari tahun hadapan.

    Dikenali secara dalaman dengan kod nama G01, GX akan menggunakan sistem Kunpeng Super Electric System milik Xpeng. Ia merupakan rangkaian kuasa kenderaan elektrik range extender atau REEV yang menyokong teknologi pengecasan 5C dan dikatakan mampu menawarkan jarak pemanduan hibrid melebihi 1,000 kilometer.

    Menurut hantaran di Weibo itu juga, GX akan ditawarkan sebagai model enam tempat duduk dengan sokongan teknologi berasaskan kecerdasan buatan atau AI. Seperti kebanyakan model dari China, butiran spesifikasi penuh GX dijangka akan didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) dalam masa terdekat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026