VIDEO: Evolusi 40-tahun dari Mazda 323 ke Mazda 3

Kita mungkin tahu Mazda 3 kini telah berada dalam pasaran dalam tiga generasi berbeza, bermula dengan model generasi BK yang muncul dalam pasaran pada tahun 2003. Namun tahukah anda susur galur model segmen-C dengan variasi badan hatchback dan sedan ini sudahpun bermula sejak lebih dari 40-tahun yang lalu? Portal automotif Australia, CarsGuide, telah menghasilkan video menyelusuri sejarah model berkenaan untuk pasaran negara mereka.

Sebelum dikenali sebagai Mazda 3, model ini sebenarnya dikenali sebagai Mazda 323 Familia dalam barisan model. Model generasi pertama 323 diperkenalkan pada tahun 1977, manakala untuk nama Familia pula ia telah pun digunakan sejak era 60’an lagi. Video di atas memaparkan evolusi Mazda 323 kepada Mazda 3 pada pasaran Australia, di mana model berkenaan mula masuk kepasaran negara tersebut pada tahun 1980.

Mazda 323 generasi pertama tampil dalam bentuk badan hatchback dalam pilihan tiga-pintu dan lima pintu, serta digerakkan dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR). Untuk model pasaran Australia dalam video ini, ia diberikan enjin 1.4 liter aci sesondol tunggal dengan suapan sistem karburator, bersama kotak gear manual empat-kelajuan.

323 generasi kedua hadir dengan lebih banyak pilihan bentuk badan – hatchback tiga-pintu dan lima-pintu, serta turut ditawarkan dalam bentuk sedan empat-pintu. Model ini merupakan model yang dibangunkan bersama Ford yang menghasilkan model Laser (kelihatan seiras dengan 323), dan ia kini menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF).

Pasaran Australia menerima 323 generasi kedua pada tahun 1984, dan ia hadir dengan pilihan enjin 1.5 liter karburator dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

Bagi model generasi ketiga, 323 hadir dalam bentuk badan yang lebih banyak; sedan empat-pintu, hatchback tiga- dan lima-pintu, dan sebuah lagi variasi istimewa hatchback lima-pintu yang jauh lebih sporty digelar Mazda Astina 323. Video ini hanya memaparkan model Astina yang hadir kepasaran berkenaan pada tahun 1991.

Astina agak ikonik pada zamannya kerana menampilkan rekabentuk yang begitu unik. Selain badan yang tirus dan tajam pada bahagian hadapan, ia turut hadir dengan lampu hadapan boleh sorok (pop-up headlight). Berbanding pasaran Malaysia yang menerima model 1.5 liter karburator, pasaran Australia diberikan varian 1.6 liter dengan sistem suntikan bahan api.

Video ini juga tidak memaparkan versi sedan dan hatchback model generasi BG, dan model 323 generasi keempat bagi pasaran Australia ialah hatchback lima pintu Astina (dikenali sebagai Lantis pada pasaran Malaysia). Astina generasi baharu ini masih menampilkan bentuk badan yang sporty seperti model terdahulu, dan varian tertinggi pasaran Australia diberikan enjin 2.0 liter V6.

Selain dari generasi BG, video ini turut tidak memaparkan versi sedan atau hatchback model generasi BH yang sepatutnya sezaman dengan Asitna V6. Evolusi berkenaan diteruskan pada model 323 generasi kelima pasaran Australia iaitu model dengan kod casis BJ yang diperkenalkan pada tahun 2001. Model ini didatangkan dengan enjin empat silinder 2.0 liter, dan merupakan generasi terakhir menggunakan nama 323.

VIDEO: Evolusi 40-tahun dari Mazda 323 ke Mazda 3

Tahun 2005, Mazda menerima model pertama hadir dengan nama Mazda 3 menggantikan model 323 sebelum ini. Menerusi model ini juga, Mazda telah mula menonjolkan rekaan moden yang diteruskan pada model-model terbaharunya. Hatchback generasi pertama Mazda 3 ini dijana enjin 2.0 liter dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

Sekali lagi video ini tidak memaparkan model yang sepatutnya berada dalam susunan generasi dengan mengenepikan model generasi kedua dengan kod casis BL (2008-2013). Model terakhir yang dipaparkan adalah model generasi terkini Mazda 3, yang kini telah pun diberikan versi facelift 2017.

Model generasi terakhir ini mempunyai segalanya yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran segmen-C moden. Ia direka dengan konsep Kodo Soul of Motion Mazda yang sememangnya sangat garang, dijana enjin NA berteknologi tinggi suntikan bahan api terus Mazda SkyActiv-G 2.0 liter yang menghasilkan nisbah mampatan 14:1, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv Drive.

Selain dari model-model standard ini, Mazda 323 turut menerima model-model berprestasi tinggi dengan barisan enjin B6 dan B8 suapan pengecas turbo dalam pelbagai varian antaranya Clair, GTX dan Interplay, manakala Mazda 3 generasi kedua dan ketiga hadir dengan Mazdaspeed3/ Mazda 3 MPS yang dijana enjin turbo 2.3 liter.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required