Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ mulai 1 Mac selepas sebulan ditangguh

    MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ mulai 1 Mac selepas sebulan ditangguh

    Sepanjang minggu lalu, individu yang mengakses aplikasi mudah alih MyJPJ yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan memasukkan 12 digit nombor kad pengenalan (MyKad) dan kata laluan mungkin mendapati mereka masih boleh berbuat demikian, walaupun MyDigital ID telah diumumkan sebagai satu-satunya kaedah log masuk untuk aplikasi tersebut bermula 1 Februari 2026.

    Ini kerana tarikh akhir bagi keperluan tersebut telah dilanjutkan ke 1 Mac, berkemungkinan bagi memberi peluang kepada mereka yang belum mendaftar untuk berbuat demikian. Pada November tahun lalu, JPJ memaklumkan bahawa kira-kira 13 juta pengguna telah memuat turun atau mendaftar aplikasi MyJPJ, dan daripada jumlah itu, 1.3 juta pengguna telah mula menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi tersebut.

    JPJ turut berkata bahawa sekitar 11 juta pengguna masih belum mendaftar MyDigital ID pada ketika itu. Walau bagaimana pun, tiada kemas kini mengenai jumlah pendaftaran setakat ini, namun berdasarkan sikap kebiasaan rakyat Malaysia dalam hal sebegini, boleh diandaikan bahawa peratusan mereka yang masih belum berdaftar berkemungkinan besar masih tinggi.

    Jika anda belum mendaftar, segeralah berbuat demikian. Proses pendaftarannya agak mudah. Penggunaan MyDigital ID ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, manakala mereka yang berumur di bawah 18 tahun serta pemegang kad MyPR akan terus menggunakan kaedah log masuk biasa.

     
     
  • KDN keluarkan peringatan berkenaan penggunaan siren dan lampu biru untuk kenderaan persendirian

    KDN keluarkan peringatan berkenaan penggunaan siren dan lampu biru untuk kenderaan persendirian

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan peringatan kepada kenderaan persendirian atau milik orang awam yang menggunakan siren dan lampu biru di jalan raya.

    Menurut perkongsian di Facebook rasminya, KDN berkata, penggunaan siren dan lampu biru untuk kenderaan awam adalah satu kesalahan undang-undang dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Jika ada orang awam atau kenderaan persendirian yang menggunakannya, tindakan penguatkasaan boleh dikenakan iaitu di bawah Kaedah 138 (1) iaitu Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda RM2,090 atau penjara enam bulan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaaan (jika menyamar sebagai penjawat awam).

    Sebelum ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hanya kenderaan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada, iaitu menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    KDN keluarkan peringatan berkenaan penggunaan siren dan lampu biru untuk kenderaan persendirian

    Perkongsian KDN ini susulan baru-baru ini terdapat sebuah Toyota Alphard yang dirakam menyalakan siren dan lampu pandu arah ketika melalui jalan yang sesak. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya giat mengesan pemandu MPV terbabit namun nombor pendaftaran kenderaan di dalam video tular berkenaan tidak dapat dipastikan, laporan Harian Metro.

    Menurutnya, setakat ini juga tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu malah penelitian di ruang komen juga tidak menemukan maklumat berkaitan nombor pendaftaran MPV berkenaan.

    “Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

    “Mana-mana individu atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

     
     
  • Satu lorong masuk di Plaza Tol Bukit Raja ditutup hingga jam 5 pagi pada 11 Feb untuk turap jalan

    Satu lorong masuk di Plaza Tol Bukit Raja ditutup hingga jam 5 pagi pada 11 Feb untuk turap jalan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa terdapat satu lorong masuk di Plaza Tol Bukit Raja ditutup sejak jam 10 pagi tadi sehinggalah 5 pagi pada 11 Februari ini. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan dilaluan berkenaan dilaksanakan sepanjang tempoh itu.

    Sehubungan itu, pengguna laluan berkenaan dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda trafik serta arahan petugas di lokasi, dan menggunakan laluan alternatif sekiranya trafik meningkat, khususnya bagi kenderaan berat.

     
     
  • Proton S70 MC 2026 – enjin, lampu depan dan rim baru, kit badan ada spoiler dan jalur merah, tayar Giti

    Proton S70 MC 2026 – enjin, lampu depan dan rim baru, kit badan ada spoiler dan jalur merah, tayar Giti

    Menerusi teaser yang Proton siarkan dua hari lalu, model kemaskini Proton S70 MC 2026 sepatutnya didedahkan esok, 7 Februari 2026 di semua bilik-bilik pameran Proton seluruh Malaysia. Namun di laman sosial, sudah ada pengedar Proton yang memuatnaik beberapa gambar teaser tambahan untuk S70 2026 tersebut.

    Ini set gambar yang kami petik dari satu pengedar Proton di Pulau Pinang yang memaparkan beberapa perincian baharu pada bahagian luaran S70 MC 2026. Pertama, jika anda lihat pada bahagian muka, model kemaskini ini diberikan lampu hadapan baharu yang sama seperti Geely Emgrand facelift yang muncul pada 2024.

    Sekali tengok lampu berkenaan nampak sama macam lampu model sedia ada. Namun kalau anda perhati dengan teliti, terdapat satu bar krom yang terletak melintang pada bahagian lampu kecil dalam perumah lampu tersebut. Juga boleh dilihat seperti lampu isyarat membelok telah dialihkan ke lampu utama, bukan lagi sekali dengan jalur ‘kening’ LED nyalaan siang.

    Kemudian kita juga boleh nampak bahawa kit badan S70 2026 berkenaan kini diberikan serlahan jalur merah, dan spoiler bawah bampar hadapan kelihatan seperti berakhir pada gril bampar. Beralih ke sisi, sekali lagi jika anda tengok set rim 17-inci yang diberikan pada S70 2026 ini nampak sama seperti set rim 17-inci pada model sekarang. Tapi jika anda lihat dengan teliti, rim tersebut adalah berbeza terutamanya pada bahagian tengah.

    Juga ia tidak lagi dipadankan dengan tayar Goodyear kerana kilang Goodyear di Shah Alam sudah pun ditutup, dan ia digantikan dengan tayar yang dibekalkan oleh Giti, sama seperti X70 yang kini turut menggunakan tayar Giti selepas kilang tayar Continental di Alor Setar, Kedah ditutup akhir tahun lalu. Sebelum bertukar ke Giti, S70 sebenarnya sebelum ini pernah menerima tayar Kumho dari Vietnam tahun lalu.

    Manakala di bahagian belakang, boleh dilihat kit badan S70 2026 ini turut disertakan dengan spoiler pada but belakang. Pada model sedia ada, rim 17-inci dan juga kit badan dipadankan secara standard untuk model varian Flagship dan Flagship X.

    Tidak ditunjukkan di sini adalah enjin baharu yang diterima oleh sedan ini seperti yang telah disahkan oleh Proton sebelum ini, iaitu enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm seperti yang telahpun diberikan pada X50 facelift yang dilancarkan pada Julai 2025 dan juga X70 MC3 yang dilancarkan bulan lalu.

    Enjin tersebut masih akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Selain dari menghasilkan kuasa yang lebih besar (berbanding 150 PS/226 Nm pada enjin 1.5 liter Turbo PFI tiga-silinder sedia ada), serta memberikan penggunaan bahan api lebih efisien, enjin baharu ini juga menggunakan sistem timing chain yang lebih mudah diselenggara berbanding timing belt.

    Nak tengok gambar-gambar S70 MC 2026 yang lebih terperinci? Teruskan bersama kami kerana selepas ini kami akan ke bilik pameran Proton bagi mendapatkan galeri penuh model kemaskini ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri PSD dan KGF bakal dibuka bidaan

    Memasuki bulan kedua tahun 2026, semakin banyak model baharu kenderaan dilancarkan. Jika ada yang menempahnya, pasti tercari-cari siri nombor pendaftaran yang bersesuaian kan. Ini ada dua siri terkini yang diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan seperti biasa, ia hanya boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut JPJ, siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PSD bakal dibuka bidaan bermula 12 Februari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 16 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Februari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KGF, dibuka bidaan bermula 14 Februari 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 18 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19 Februari 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV 2026 — kami jawab soalan lazim yang ramai tanyakan tentang SUV plug-in hybrid ini

    Proton eMas 7 PHEV 2026 — kami jawab soalan lazim yang ramai tanyakan tentang SUV plug-in hybrid ini

    Proton eMas 7 PHEV yang dilancarkan semalam merupakan model plug-in hybrid yang pertama untuk Proton. Disebabkan itu, banyak pertanyaan yang bermain dalam fikiran ramai orang, dan juga yang disuarakan antaranya oleh warga internet.

    Setakat ini, kami telah kongsikan beberapa siri video ringkas dan juga yang dengan perincian penuh tentang model terbaru Proton berkenaan, yang anda boleh rujuk sekiranya ingin tahu dengan lebih mendalam tentang segala aspek tentangnya.

    Sedikit berbeza untuk video kali ini, kami tampilkan format baru dengan siri pertanyaan lazim yang banyak ditanyakan serta memberi jawapan ringkas dan tepat terhadap setiap satu daripadanya. Antaranya, adakah versi EV lebih baik berbanding PHEV ini? Kalau tak cas bateri, bateri SUV ini akan tahan lama tak? Atau, kalau tak cas bateri langsung, akan ada apa-apa kesan terhadap kereta ini?

    Semua ini dan banyak lagi pertanyaan dan jawapan yang akan membuatkan anda lebih faham tentang PHEV umumnya, serta Proton eMas 7 PHEV ini. Selamat menonton. Untuk perincian lanjut tentang kereta ini, baca di sini.

    Proton eMas 7 PHEV Premium Plus 2026

    Proton eMas 7 PHEV Premium 2026

     
     
  • LRT3 Shah Alam dijangka mula operasi Jun ini – Loke

    LRT3 Shah Alam dijangka mula operasi Jun ini – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa Projek LRT3 bagi laluan Shah Alam dijangka akan memulakan operasi selewat-lewatnya pada bulan Jun 2026. Menurutnya lagi jangkaan berkenaan dibuat oleh pemilik aset iaitu Prasarana Malaysia Bhd, namun beliau sendiri tidak menolak kemungkinan laluan tersebut sedia beroperasi lebih awal dijangka pada April.

    Projek LRT3 ini pada awalnya dijangka boleh siap digunakan pada Oktober tahun lalu, kemudian ditangguhkan pada penghujung Disember. Namun menjelang akhir tahun, tarikh siap projek ini diumumkan ditangguh sekali lagi sekurang-kurangnya pada suku kedua tahun ini.

    Menurut Loke dalam wawancara bersama sebuah stesen radio pagi tadi dan kemudian dipetik oleh DagangNews, kelewatan daripada sasaran asal Oktober tahun lalu adalah bagi memastikan keselamatan penumpang melalui ujian yang teliti, termasuk tahap paling kritikal Fault-Free Run (FFR), di mana setiap tren perlu bergerak sekurang-kurangnya 4,000km tanpa gangguan teknikal.

    “Semasa ujian pada November dan Disember, kami menghadapi isu perisian dan sistem isyarat. Setiap kali berlaku gangguan, ujian perlu dimulakan semula dari sifar,” katanya dan menambah kumpulan pertama daripada lebih 20 tren laluan ini telah melepasi FFR, manakala kumpulan seterusnya masih menjalani ujian. Setelah ujian akhir selesai, kementerian akan memulakan operasi secara rasmi.

    Projek LRT Shah Alam sepanjang 37.8km menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang, dan dijangka memberi perkhidmatan kepada dua juta penduduk di koridor barat Lembah Klang. Ia dimulakan pada 2016 namun berdepan beberapa kelewatan akibat penstrukturan semula pakej kerja dan pandemik COVID-19.

    Tarikh siap sebelum ini telah ditunda daripada 2020 ke Mac 2025, manakala sasaran Oktober 2025 terlepas akibat cabaran teknikal.

     
     
  • Prasarana lancar Penjejak Penjimatan Pas My50 – rancang perjalanan harian, lihat jumlah penjimatan

    Prasarana lancar Penjejak Penjimatan Pas My50 – rancang perjalanan harian, lihat jumlah penjimatan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan Penjejak Penjimatan Pas My50 yang merupakan ciri eksklusif yang ditawarkan kepada pengguna yang melanggan Pas My50 melalui program mini Travel Pass dalam aplikasi TNG eWallet.

    Menerusi ciri ini, pengguna kini dapat melihat jumlah penjimatan sebenar yang dinikmati sepanjang tempoh penggunaan pas, berbanding pembayaran tambang secara berasingan bagi setiap perjalanan.

    Direka dengan paparan yang ringkas dan mudah difahami, Penjejak Penjimatan Pas My50 membantu pengguna menilai manfaat penggunaan pas dengan lebih jelas, di samping merancang perjalanan harian secara lebih bijak bagi mengoptimumkan sepenuhnya nilai dan faedah Pas My50.

    Presiden dan CEO Prasarana, Amir Hamdan, berkata pengenalan Penjejak Penjimatan Pas My50 membolehkan pengguna melihat dengan lebih jelas sejauh mana pas tersebut membantu menjimatkan perbelanjaan perjalanan harian
    mereka.

    “Ini bukan sekadar satu ciri digital, sebaliknya merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keyakinan pengguna terhadap manfaat pengangkutan awam sebagai pilihan mobiliti harian yang lebih berbaloi dan mampan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Prasarana turut mengumumkan bahawa kemudahan pembelian Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara kini ditawarkan secara digital menerusi program mini Travel Pass dalam aplikasi TNG eWallet, sekali gus memperluas akses pengguna kepada perkhidmatan pas perjalanan yang lebih mudah dan fleksibel.

    Pembelian pas digital ditawarkan pada harga yang sama tanpa caj tambahan dan boleh diaktifkan terus ke kad Touch ‘n Go berfungsi NFC melalui aplikasi TNG eWallet bagi kemudahan pengguna.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Penjejak Penjimatan My50 atau pendigitalan pas Rapid Kota dan Rapid Kembara, layari laman sesawang www.myrapid.com.my atau https://www.touchngo.com.my.

     
     
  • HLYM serah 200 Yamaha Tracer 9 GT kepada PDRM

    HLYM serah 200 Yamaha Tracer 9 GT kepada PDRM

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) membuat serahan 200 unit Yamaha Tracer 9 GT kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekaligus menandakan pembekalan motosikal berkuasa tinggi terbesar pernah dilakukan oleh syarikat itu kepada PDRM.

    Majlis yang berlangsung di ibu pejabat HLYM di Sungai Buloh dihadiri oleh Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Muhammad Hanif Othman, pegawai PDRM serta wakil daripada HLYM, sambil menampilkan Tracer 9 GT yang lengkap diubah suai untuk kegunaan PDRM.

    Tracer 9 GT 2026 baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia minggu lepas, dan ia menampilkan pelbagai pembaharuan termasuk reka bentuk, terutamanya lampu hadapan, yang menggunakan susunan bertingkat untuk unit LED bersama dengan fungsi Cornering Light. Sebagai versi GT, lampu utamanya juga adalah jenis LED matriks adaptif yang disambungkan kepada sistem kamera dan boleh melaras sendiri mengikut keadaan sekitar.

    HLYM serah 200 Yamaha Tracer 9 GT kepada PDRM

    Di bahagian suspensi, motosikal ini dilengkapi unit semi aktif yang boleh melaras sendiri mengikut input yang diterima oleh Inertial Measurement Unit (IMU), terdiri daripada fork USD Kayaba di hadapan dan monoshock dengan tombol pelarasan pra beban di tepi.

    Enjin bagaimanapun masih sama seperti sebelum ini, iaitu unit tiga silinder CP3 890 cc yang mampu menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Mod tunggangan pula ada lima iaitu Sport, Street, Rain dan dua mod yang boleh diubah suai.

     
     
  • Kerajaan akan pastikan M’sia tidak dijadikan tempat lambakan kenderaan murah, kualiti rendah – Johari

    Kerajaan akan pastikan M’sia tidak dijadikan tempat lambakan kenderaan murah, kualiti rendah – Johari

    Kemasukan pelbagai jenama kereta baru sejak kebelakangan ini sememangnya memberi manfaat kepada pengguna Malaysia dari segi pilihan yang lebih luas serta harga yang lebih kompetitif. Namun begitu, timbul keperluan untuk memastikan pasaran tempatan tidak dibanjiri dengan kenderaan import sepenuhnya (CBU) semata-mata kerana ia murah dan mudah dibawa masuk, tanpa mengambil kira kualiti atau nilai sebenar kepada pengguna dan ekonomi negara.

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa setiap penambahan dalam rantaian automotif perlu dinilai berdasarkan sumbangannya kepada pengguna dan bukan sekadar faktor harga semata-mata. Menurut beliau, dengan populasi Malaysia sekitar 34 juta orang, pendekatan sedia ada perlu dikaji semula agar negara ini tidak menjadi destinasi lambakan kenderaan lebihan dari negara lain.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Proton eMas 7 PHEV semalam, sambil menegaskan bahawa Malaysia tidak seharusnya menerima semua kereta murah tanpa tapisan. Sebaliknya, hanya kenderaan yang mempunyai kualiti bersesuaian, memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dan digerakkan oleh teknologi yang baik wajar dibawa masuk ke pasaran. Beliau turut menyatakan harapan agar pendekatan ini mendapat sokongan semua pihak.

    Kerajaan akan pastikan M’sia tidak dijadikan tempat lambakan kenderaan murah, kualiti rendah – Johari

    Kenyataan tersebut hadir susulan penguatkuasaan peraturan baru yang menetapkan semua kenderaan elektrik (EV) CBU daripada jenama baru yang belum memasuki pasaran Malaysia perlu mempunyai harga minimum RM250,000 ke atas, selain kuasa gabungan sekurang-kurangnya 200 kW atau 272 PS, berkuat kuasa 1 Januari tahun ini. Keperluan ini merupakan peningkatan ketara berbanding had harga minimum RM100,000 yang dikenakan sebelum ini ketika pengecualian cukai masih berkuat kuasa.

    Difahamkan, peraturan baru ini turut terpakai kepada semua model EV CBU baru, tanpa mengira sama ada jenama tersebut sudah berada di Malaysia atau sebaliknya. Ini bermakna hanya model EV CBU yang telah mendapat kelulusan sebelum 31 Disember 2025 sahaja dibenarkan menggunakan had harga minimum RM100,000, dengan cukai dikenakan seperti biasa.

    Bagaimanapun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan bahawa pihaknya sedang berunding dengan kementerian bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan peraturan ini. Sehingga perkara tersebut diperincikan sepenuhnya, kedudukan sebenar garis panduan ini masih belum jelas. Dalam konteks ini, pemasangan tempatan atau CKD dilihat sebagai jalan penyelesaian utama, sejajar dengan hasrat MITI untuk menggalakkan pelaburan dan pembangunan industri automotif tempatan melalui sekatan terhadap CBU.

     
     
  • Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal

    Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal

    Satu imej yang dikongsi dalam laman Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group oleh pembaca Saiful Hakim menampakkan sebuah kontena dengan penjenamaan Lepas, dipercayai dirakam di Pelabuhan Klang. Perkongsian itu disertakan dengan ayat ringkas, “Kereta dah ready ke tu?”, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kehadiran jenama baru tersebut di Malaysia.

    Jawapannya, belum lagi, tapi makin hampir. Lepas Malaysia, yang disebut sebagai “leap-pass” dan bukannya “le-pas”, merupakan satu lagi jenama di bawah payung Chery. Sebelum ini, telah dilaporkan bahawa pelancaran rasmi jenama tersebut bersama model-model awalnya dijangka berlangsung pada separuh pertama 2026, iaitu tahun ini.

    Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan bulan lalu, Lepas Malaysia memaklumkan perancangan untuk membuka sekurang-kurangnya 20 pusat jualan dan servis di negeri-negeri utama di Semenanjung serta Malaysia Timur. Sasaran jangka panjangnya adalah untuk mempunyai sehingga 30 cawangan menjelang akhir 2026. Selain itu, sebuah ‘Lifestyle Experience Centre’ turut dirancang di Lembah Klang, yang digambarkan sebagai ruang pameran lebih imersif dan eksklusif berbanding bilik pameran biasa.

    Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal

    Menurut Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo, jenama Lepas direka khusus untuk generasi yang yakin, kreatif dan sentiasa berhubung. Ia menyasarkan individu yang mengutamakan keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan minat peribadi, serta mengharapkan kenderaan mereka mencerminkan citarasa dan gaya hidup sendiri.

    Beliau turut menegaskan bahawa menjelang pengenalan Lepas pada 2026, fokus utama syarikat adalah untuk memastikan setiap pelanggan dapat merasai gabungan reka bentuk halus dan teknologi yang boleh dipercayai, di samping membina komitmen jangka panjang terhadap pasaran Malaysia melalui rangkaian yang semakin berkembang.

    Walaupun kenyataan tersebut tidak menyebut secara khusus model yang bakal menjadi peneraju Lepas di Malaysia, jenama ini sebenarnya telah pun diperkenalkan di Indonesia. Berdasarkan pendedahan di pameran GIIAS tahun lalu, model L8 dan L6 dijangka menjadi tunjang utama kemasukan Lepas ke pasaran tempatan, dengan satu lagi model lebih kecil iaitu L4 turut ditawarkan. Ketiga-tiga model ini dibangunkan menggunakan platform NEV global Chery Group yang bersifat modular dari segi saiz dan rangkaian kuasa.

    Kenderaan Lepas mula tiba di Malaysia – pelancaran dijangka 1H 2026, SUV L8 dan L6 antara model terawal

    Model L8 merupakan versi tersendiri kepada Chery Tiggo 8 generasi kedua, yang masih belum diperkenalkan di Malaysia. Ia hadir sebagai kenderaan plug-in hybrid dan berkemungkinan berkongsi spesifikasi rangkaian kuasa yang sama dengan sistem Chery Super Hybrid yang digunakan pada Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV yang kini dijual di sini. Perlu diingatkan bahawa Tiggo 8 PHEV tempatan bukan daripada generasi kedua, menjadikan L8 sebuah model yang unik buat masa ini. Rangkaian kuasa yang sama turut digunakan pada Jaecoo J7 PHEV.

    Di bawah L8, Lepas L6 diposisikan sebagai SUV segmen C, manakala L4 pula menjadi model permulaan untuk jenama Lepas. Dengan pendekatan reka bentuk yang lebih bergaya dan berorientasikan gaya hidup, Lepas dilihat sebagai alternatif lebih moden dan bergaya berbanding jenama Chery di arus perdana. Persoalannya, sejauh mana bahasa reka bentuk baru ini mampu menarik perhatian pembeli tempatan apabila ia tiba secara rasmi di Malaysia nanti?

     
     
  • Mitsubishi Xforce dipertontonkan di Malaysia – dua varian CKD, 1.5L CVT; anggaran RM110k-RM120K

    Mitsubishi Xforce dipertontonkan di Malaysia – dua varian CKD, 1.5L CVT; anggaran RM110k-RM120K

    Hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mempertontonkan SUV Xforce serba baharu yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada April ini. Bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu Urban dan Ultimate, MMM turut menyatakan bahawa harga jangkaan bagi Xforce adalah sekitar RM110,000 hingga RM120,000.

    Belum mendedahkan tarikh pelancarannya namun tempahan bagi SUV segmen-B ini turut dibuka mulai hari ini. MMM turut menganjurkan promosi pembelian terawal atau early bird di mana 1,000 pelanggan pertama berpeluang menikmati rebat RM5,000 dan peluang melayakkan diri menyertai peraduan ‘Beli satu percuma satu’ untuk Urban. Manakala menerusi program kesetiaan pula, tambahan RM1,000 akan diberikan untuk pemilik Mitsubishi yang memilih varian Ultimate.

    Xforce bagi pasaran Malaysia adalah versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pengeluaran Mitsubishi yang terletak di Pekan, Pahang. MMM turut menyasarkan untuk menghantar 800 unit pertama Xforce pada April 2026.

    Xforce ditampilkan dengan enjin petrol 1.5 liter Naturally Aspirated 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, enjin Xforce digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.

    Memiliki ukuran dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi serta jarak roda 2,650 mm, Xforce berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Toyota Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi. Xforce juga memiliki jarak dari tanah (ground clearance) mencecah 222 mm yang didakwa paling tinggi dalam kelasnya, dibandingkan dengan 196 mm pada HR-V dan Traz pula 210 mm.

    Bagi rekabentuk luaran, Xforce mengetengahkan konsep “Silky & Solid” yang menggabungkan gaya elegan dari bahagian hadapan hingga belakang. Wajah hadapannya berkonsepkan “Dynamic Shield” yang menampilkan lampu LED ikonik diintergrasikan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk T-Shape, manakala gril Piano Black Hexagonal dan bampar pula direka dengan efek tiga dimensi yang tampak lebih sporty dan agresif.

    Ia juga diberikan roda aloi dua-tona lima-jejari 18-inci dibaluti tayar 225/50 R18, flaring fender yang menampilkan imej lebih lasak, cermin sisi elektrik dengan lampu membelok terbina di dalam, lampu belakang LED yang juga mengekalkan bentuk T-shape, reka bentuk bumbung ‘terapung’, bilah pengelap cermin hadapan dengan fungsi Auto Rain serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Varian Ultimate pula diberikan ciri luaran yang lebih premium iaitu pintu tailgate kuasa dengan fungsi kick motion, lambang hud enjin dan tailgate spoiler.

    Menjengah pada bahagian kabinnya, Xforce menerima sentuhan konsep “Horizontal Axis” pada papan pemuka yang mencipta suasana ruang yang luas dan terbuka serta meningkatkan visibiliti. Boleh dikatakan rekaan papan pemuka Xforce nampak lebih premium berbanding pesaingnya. Untuk urban, ia diberikan papan pemuka PVC rona hitam dengan soft pad, manakala model spesifikasi penuh Ultimate menerima papan pemuka berkemasan Mélange Weave dengan sentuhan warna mocha.

    Mitsubishi Xforce dipertontonkan di Malaysia – dua varian CKD, 1.5L CVT; anggaran RM110k-RM120K

    Untuk ciri paparan, varian asas Urban diberikan paparan audio lapan-inci dengan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay berwayar dan paparan meter digital TFT 4.2-inci. Manakala Ultimate menerima unit paparan audio lebih besar bersaiz 12.3-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan paparan digital bersaiz lapan-inci untuk pemandu.

    Bagi fungsi hiburan, Urban sekadar diberikan sistem audio standard dengan enam-pembesar suara bersama tweeter. Dan Ultimate pula menerima sistem audio premium “Dynamic Sound Yamaha” dengan lapan-pembesar suara.

    Sesuai dengan kedudukannya sebagai model spesifikasi penuh, Ultimate turut diberikan ciri kelengkapan khas termasuk pengecas tanpa wayar, pencahayaan lampu kabin LED biru, empat mod pemanduan (Normal, Wet. Gravel, Mud), penapis udara Nanoe X buatan Panasonic, cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam.

    Ciri standard lain untuk kedua-dua varian termasuk larasan manual bagi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, material leatherette hitam (dengan kemasan Mocha untuk Ultimate) tempat duduk belakang 40:20:40 boleh direbahkan sehingga lapan tahap untuk keselesaan maksimum, perehat tangan tengah dengan fungsi penyejukan, penyaman udara dwi-zon dengan corong untuk bahagian lutut, dua port USB (Type A & C) untuk hadapan dan belakang serta kamera paparan sekeliling.

    Xforce memiliki ruang but berkapasiti 480 liter (tanpa tempat duduk dibaringkan) yang boleh disifatkan cukup luas, berbanding HR-V dengan 437 liter dan Traz berkapasiti 471 liter.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Xforce yang telah mendapat penarafan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP diberikan ciri standard termasuk ABS, ESC, EBD dan bantuan brek, brek parkir elektrik dengan fungsi brake hold, bantuan mula mendaki, speed sensing door lock, Isofix, Active Yaw Control, amaran titik buta (BSW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Belakang (RCTA) dan empat unit beg udara untuk Urban serta enam unit bagi Ultimate.

    Untuk Ultimate, ia diberikan ciri keselamatan tambahan iaitu Mitsubishi Motors Safety Sensing (yang menyerupai ADAS) merangkumi Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Notifikasi Kenderaan Hadapan Bergerak (LCDN), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Buat masa ini, harga pasaran Xforce masih belum didedahkan, cuma dimaklumkan harga anggarannya sekitar RM110,000 hingga RM120,000. Setiap pembelian Xforce turut diberikan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Selanjutnya, kita kena tunggu pengumuman rasmi dari pihak MMM.

     
     
  • Dongfeng Vigo dilancarkan di Malaysia — satu varian, 51.87 kWh dengan jarak 386 km WLTP, harga RM100k

    Dongfeng Vigo dilancarkan di Malaysia — satu varian, 51.87 kWh dengan jarak 386 km WLTP, harga RM100k

    Selepas dipertontonkan secara rasmi di Malaysia pada Disember tahun lalu, Central Auto Distributors (CADB) hari ini melancarkan secara rasmi dua model Dongfeng Vigo untuk pasaran tempatan. Hanya satu varian ditawarkan, Vigo Premier dengan harga RM108,888. Sempena pelancarannya, harga pengenalan RM100,000 diberikan kepada pelanggan terawal.

    Dongfeng Vigo untuk pasaran Malaysia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 51.87 kWh dengan motor elektriknya menjana kuasa sebanyak 120 kW (161 hp) dan 230 Nm tork, pacuan roda depan. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 386 km mengikut kitaran WLTP. Pecutan 0-100 km/j pula dicapai dalam masa 9.5 saat.

    Untuk pengecasan, ia mampu menampung pengecasan pantas DC jenis sehingga 167 kW (30%-80% dalam 30 minit), sementara untuk pengecasan AC jenis Type 2 dengan kapasiti sehingga 6.6 kW (sembilan jam diperlukan untuk cas penuh). Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga tersedia dengan kadar sehingga 3.3 kW untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luar.

    Dongfeng Vigo dilancarkan di Malaysia — satu varian, 51.87 kWh dengan jarak 386 km WLTP, harga RM100k

    Dongfeng Vigo mempunyai dimensi ukuran 4,306 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,654 mm tinggi dengan jarak roda 2,715 mm. Berbanding BYD Atto 2, saiz Vigo tidak jauh beza — empat milimeter lebih pendek, 38 mm lebih lebar dan 30 mm lebih rendah. Saiz ini juga sekitar 149 mm lebih pendek berbanding Atto 3 — dengan jarak roda berkenaan 95 mm lebih panjang berbanding Atto 2 dan hanya lima milimeter lebih pendek berbanding Atto 3

    Bahagian luar Vigo tampil dengan rekaan unik dengan ilham dari kiub Rubik, walaupun beberapa elemen seperti meminjam rekaan dari Kia EV5. Lampu hadapan LED projektor berbentuk L terbalik disambungkan dengan bar plastik lutsinar, manakala bamparnya diberi kemasan plastik hitam tebal bersama pelindung perak.

    Di bahagian tepi, terdapat lengkung roda bersegi, cermin sisi dengan jalur hitam dan pemegang pintu rata yang sebenarnya tidak bergerak — ia menggunakan butang elektronik di bahagian bawah. Vigo dipadankan dengan rim 18-inci bersama penutup aero penuh.

    Dongfeng Vigo dilancarkan di Malaysia — satu varian, 51.87 kWh dengan jarak 386 km WLTP, harga RM100k

    Bahagian belakang menampilkan lampu berbentuk segitiga dan ciri istimewa yang jarang ditemui dalam segmen ini — penutup but jenis dua bahagian seperti BMW X5 atau Range Rover. Ruang but yang ditawarkan juga luas, sekitar 500 liter, serta tempat duduk belakang dibahagikan kepada konfigurasi 60:40. Terdapat juga lantai but dua tingkat dan pelbagai ruang simpanan di bahagian bawah dan ruang simpanan di bahagian depan kereta.

    Kabin Vigo direka dengan gaya minimalis, dilengkapi konsol tengah pelbagai fungsi yang menyediakan banyak ruang simpanan, pengecas Qi 50-watt dan tiga pemegang cawan tarik keluar. Sistem infotainmennya serupa dengan Dongfeng 007, iaitu paparan instrumen 8.8-inci dan skrin sesentuh 12.8-inci yang menyokong Apple CarPlay (tanpa wayar) dan Android Auto (wayar).

    Tempat duduk hadapan menawarkan pelarasan kuasa enam hala, fungsi liang udara dan memori untuk pemandu, dengan kemasan kulit sintetik. Seperti model 007, penyaman udara hanya satu zon dan stereng hanya boleh dilaras secara mencondong tanpa larasan teleskopik. Lampu ambient pula boleh diubah mengikut tema, termasuk fungsi “ritma” yang biasa ditemui pada kereta buatan China.

    Ada enam pilihan warna badan disediakan untuk Vigo, terdiri daripada — Arctic White, Titanium Silver, Sandstone Beige, Mosswood Green, Canyon Orange dan Cyber Black. Sementara untuk kabin dalaman datang dalam gabungan warna hitam dan kelabu cerah.

     
     
  • Dongfeng 007 dilancar di Malaysia – RWD dan AWD, sehingga 544 PS dan 533 km WLTP, RM161k-RM187k

    Dongfeng 007 dilancar di Malaysia – RWD dan AWD, sehingga 544 PS dan 533 km WLTP, RM161k-RM187k

    Central Auto Distributors (CADB) dengan kerjasama pengedar Volt Auto hari ini melancarkan model kedua Dongfeng di Malaysia, iaitu sedan EV lima-pintu digelar sebagai Dongfeng 007. Model ini ditawarkan dalam dua varian yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China bermula dengan varian asas Premium dijual pada harga RM161,000, diikuti varian tertinggi Prime berharga RM187,000.

    Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Setiap pembelian hadir dengan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti unit rangkaian kuasa selama lapan tahun dengan perbatuan tanpa had. Sempena pelancarannya, pengecas wallbox ABB juga ditawarkan secara percuma.

    Di China model ini dikenali sebagai eπ 007 (disebut “yipai”), dan ia merupakan asas kepada sedan EV Nissan N7. Di sini 007 ini akan berhadapan terus dengan BYD Seal, dihasilkan dengan dimensi 4,880 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,476 mm tinggi, dan jarak rodanya sejauh 2,915 mm. Jadi berbanding Seal, 007 ini sedikit lebih panjang tetapi jarak rodanya 5 mm lebih pendek.

    Walaupun digelar sebagai sedan, 007 sebenarnya lebih menyerupai sebuah fastback dengan bumbung belakang landai dan but pendek, sementara bahagian hadapannya menampilkan muncung yang rendah. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu nyalaan siang LED yang nipis pada bahagian atas, sementara lampu utamanya pula dipisahkan dan diletak pada bahagian bampar.

    Dongfeng 007 dilancar di Malaysia – RWD dan AWD, sehingga 544 PS dan 533 km WLTP, RM161k-RM187k

    Manakala di belakang, ia diberikan lampu nipis yang merentangi sepenuhnya badan dan juga pintu but dengan grafik jalur-jalur LED. Imej sporty sedan ini turut diperkuat dengan pintu tanpa kerangka cermin tingkap. Model asas diberikan set rim aloi 18-inci, manakala varian paling tinggi diberikan rim aloi 19-inci bersama penutup angkup brek berwarna merah – ini sahaja perincian kelengkapan antara varian Premium dan Prime selain unit rangkaian kuasa, di mana lain-lain kelengkapan adalah sama antara kedua-duanya.

    Untuk unit rangkaian kuasa, varian asas hanya menerima satu motor elektrik memacu roda belakang berkuasa 272 PS dan tork maksima 310 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Motor berkenaan digerakkan bateri berkapasiti 73.48 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 533 km mengikut standard WLTP.

    Bagi varian paling tinggi pula, ia menerima tambahan satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, memberikan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork 620 Nm serta kebolehan pacuan semua roda, menjadikan pecutan 0-100 km/j varian ini lebih pantas iaitu hanya 3.9 saat. Bateri yang dibekalkan masih berkapasiti 73.48 kWj, jadi jarak geraknya adalah lebih pendek iaitu sekitar 463 km WLTP.

    Dongfeng 007 dilancar di Malaysia – RWD dan AWD, sehingga 544 PS dan 533 km WLTP, RM161k-RM187k

    Untuk mengecas, Dongfeng 007 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 200 kW bagi bateri 73.48 kWj, membolehkan cas daripada 30% ke 80% dipenuhkan dalam masa sekitar 16 minit. Manakala untuk pengecasan AC, ia terhad kepada 6.6 kW sahaja. Model ini turut menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luaran.

    Seperti model-model EV dari China lain, Dongfeng 007 ini menampilkan bahagian dalaman yang minimalis dengan papan pemuka ringkas dan konsol tengah yang tinggi, lengkap dengan dua pad pengecas telefon pintar tanpa wayar. Hampir semua fungsi dikawal melalui dua skrin utama, iaitu paparan instrumen 8.8 inci dan skrin infotainmen 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto secara tanpa wayar.

    Manakala untuk sistem audio, 007 ini dibekalkan dengan 19 pembesar suara bersama sokongan bunyi sekeliling Wanos. Bagi warna kabin, varian pacuan roda belakang ditawarkan dalam tema hitam dan putih, manakala versi pacuan semua roda hadir dengan kombinasi kelabu dan putih. Tempat duduk hadapan pula dilengkapi pengalir udara, larasan bantuan kuasa empat hala untuk penumpang serta larasan enam hala dan fungsi memori untuk pemandu.

    Dongfeng 007 ini turut hadir dengan bumbung panaromik. Walau bagaimanapun, ada beberapa perincian yang agak janggal untuk kereta yang kelihatan canggih sebegini, antaranya sistem pendingin hawa hanya satu zon, stereng hanya boleh dilaras secara ke atas dan ke bawah tanpa fungsi teleskopik, dan tempat duduk belakang pula dilipat sebagai satu bahagian penuh tanpa nisbah lipatan.

    Untuk praktikaliti, pintu fastback belakang 007 ini memberikan bukaan yang luas untuk akses kepada ruang but dengan kapasiti 452 liter. Tak cukup? Ia turut diberikan ruang simpanan frunk di hadapan yang bersaiz kecil.

    Bagi kelengkapan keselamatan, Dongfeng 007 menerima pakej penuh sistem bantuan pemandu termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan mula semula, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, amaran lintas trafik belakang dengan brek automatik, amaran pelanggaran belakang serta amaran buka pintu.

    Pembeli Dongfeng 007 pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam empat warna badan iaitu Eclipse Grey, Obsidien Black, Celestial White dan Starlit Silver.

    GALERI: Dongfeng 007 Prime

     
     
  • JPJ eBid: Siri JYU dan APK bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Perak yang akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYU bakal dibuka bidaan bermula 10 Februari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 14 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Februari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Perak, APK, dibuka bidaan bermula 13 Februari 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 17 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 18 Februari 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Senarai harga MINI Malaysia 2026 – Countryman S All4 CKD naik RM2k menjadi RM261k; model lain kekal

    Senarai harga MINI Malaysia 2026 – Countryman S All4 CKD naik RM2k menjadi RM261k; model lain kekal

    MINI Malaysia mengemas kini senarai harga bagi tahun 2026, dengan hanya satu perubahan ketara melibatkan model pemasangan tempatan (CKD) MINI Countryman S All4. SUV ini sebelumnya ditawarkan pada harga RM258,888 atas jalan tanpa insurans pada Februari tahun lalu, namun bagi 2026 harganya meningkat sebanyak RM2,000 kepada RM260,888.

    Bagi pelanggan yang memilih pakej waranti lanjutan dan servis, harga baru yang ditetapkan ialah RM271,288. Ini juga menunjukkan peningkatan RM2,000 berbanding harga terdahulu iaitu RM269,288. Dari sudut peratusan, harga Countryman S All4 naik sebanyak 0.77 peratus, atau 0.74 peratus jika termasuk pakej selepas jualan lanjutan.

    Selain daripada model tersebut, tiada perubahan harga melibatkan model lain dalam barisan MINI di Malaysia. Ini termasuk lima model elektrik yang ditawarkan ketika ini, iaitu Cooper SE, John Cooper Works E, Aceman SE, JCW Aceman E dan Countryman SE All4, yang semuanya kekal dengan harga sedia ada seperti yang dipaparkan dalam senarai harga rasmi MINI Malaysia.

    Senarai harga MINI Malaysia 2026 – Countryman S All4 CKD naik RM2k menjadi RM261k; model lain kekal

     
     
  • Toyota Yaris Cross dijumpai naik Genting – kembar Perodua Traz dengan enjin hibrid akan dilancar?

    Toyota Yaris Cross dijumpai naik Genting – kembar Perodua Traz dengan enjin hibrid akan dilancar?

    Toyota Yaris Cross dikesan sudah berada di Malaysia, sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa pelancaran rasminya bakal berlangsung dalam tahun ini. Menerusi beberapa foto yang tular di pelbagai kumpulan WhatsApp, kelihatan beberapa unit SUV segmen B itu sedang diuji dengan masih memakai pelekat penyamaran ketika melalui jalan menuju ke Genting Highlands.

    Yaris Cross membuat kemunculan sulung peringkat ASEAN di Indonesia pada Mei 2023. Model ini dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture dan mempunyai kembar rapat di pasaran tempatan iaitu Perodua Traz, yang telah mula dijual pada Disember tahun lalu.

    Dari segi rekaan dan saiz, kedua-dua model ini sangat mirip kecuali pada bahagian wajah hadapan dan belakang. Dimensinya juga hampir sama, dengan panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm serta jarak roda 2,620 mm. Perbezaan kecil dapat dilihat pada ketinggian, di mana Traz sedikit lebih tinggi pada 1,655 mm berbanding Yaris Cross setinggi 1,615 mm.

    Toyota Yaris Cross dijumpai naik Genting – kembar Perodua Traz dengan enjin hibrid akan dilancar?

    Bagi pasaran tempatan, Perodua Traz ditawarkan dengan satu pilihan penggerak sahaja iaitu enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA. Enjin ini menghasilkan kuasa 106 PS atau 78 kW serta tork 138 Nm dan digandingkan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda hadapan.

    Sebaliknya, Toyota Yaris Cross menawarkan pilihan yang lebih luas bergantung kepada pasaran. Di Indonesia, ia ditawarkan sama ada dengan enjin 2NR-VE yang sama seperti Traz atau versi hibrid. Sistem hibrid tersebut menggunakan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA yang beroperasi menggunakan kitaran Atkinson.

    Enjin ini menghasilkan kuasa 91 PS atau 67 kW serta tork 121 Nm dan dipadankan dengan transmisi CVT. Ia dibantu oleh motor elektrik berkuasa 80 PS atau 59 kW dengan tork 141 Nm, menjadikan jumlah output sistem keseluruhan sebanyak 111 PS atau 82 kW.

    Untuk pasaran Thailand pula, Yaris Cross hanya ditawarkan dalam versi hibrid. Sistem ini menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah dan mencatatkan penggunaan bahan api yang dinilai pada 26.3 km seliter. Versi hibrid ini juga dilengkapi tangki bahan api yang lebih kecil berkapasiti 36 liter, berbanding 42 liter untuk versi enjin NA.

    Seperti mana pendekatan Toyota terhadap model Veloz dan Alza, Yaris Cross dijangka diposisikan sebagai pilihan yang lebih premium berbanding Perodua Traz. Harga yang lebih tinggi berkemungkinan disertai dengan penambahan ciri-ciri kelengkapan serta penawaran trenkuasa hibrid, sejajar dengan strategi elektrifikasi UMW Toyota Motor (UMWT). Ini selari dengan pelancaran Vios Hybrid baru-baru ini yang menggunakan sistem hibrid sama seperti Yaris Cross.

    Buat masa ini, UMWT masih belum memberi sebarang bayangan rasmi mengenai kehadiran Yaris Cross di Malaysia. Namun, penampakan unit ujian dengan penyamaran ini memberi petunjuk jelas bahawa persiapan ke arah pelancaran sedang giat dijalankan.

     
     
  • Perodua QV-E – jarak gerak WLTP boleh cecah 370 km, bateri LFP 52.5 kWh, lebih jauh berbanding eMas 5

    Perodua QV-E – jarak gerak WLTP boleh cecah 370 km, bateri LFP 52.5 kWh, lebih jauh berbanding eMas 5

    Semasa menyediakan laporan berkaitan Perodua semalam, kami ternampak bahawa syarikat itu sebenarnya telah mendedahkan angka jarak pemanduan WLTP yang lebih realistik untuk kenderaan elektrik pertamanya, QV-E. Model itu dinyatakan mampu bergerak sehingga 370 km bagi setiap cas penuh. Sebelum ini, semasa pelancarannya pada Disember lalu, QV-E diumumkan dengan jarak pemanduan 445 km berdasarkan piawaian NEDC.

    Secara umum, angka WLTP lebih hampir dengan penggunaan sebenar berbanding NEDC, namun jarak tersebut masih bergantung kepada keadaan pemanduan yang ideal serta gaya pemanduan yang berhemah. Dalam konteks ini, QV-E dilihat mampu bersaing dengan pencabar terdekatnya seperti Proton eMas 5 Premium yang menawarkan jarak 325 km WLTP dan BYD Atto 2 dengan 345 km WLTP. Kelebihan utama QV-E terletak pada kapasiti baterinya yang paling besar dalam segmen ini, iaitu unit CATL LFP berkapasiti 52.5 kWh, berbanding 40.16 kWh pada eMas 5 dan 51.13 kWh pada Atto 2.

    Sebagai imbasan semula, QV-E merupakan EV buatan tempatan pertama di Malaysia serta model pertama Perodua yang direka dan dibangunkan sepenuhnya secara sendiri. Ia ditawarkan pada harga RM80,000 atas jalan tanpa insurans, namun harga tersebut tidak termasuk bateri.

    Perodua QV-E – jarak gerak WLTP boleh cecah 370 km, bateri LFP 52.5 kWh, lebih jauh berbanding eMas 5

    Ini kerana QV-E merupakan EV pertama di negara ini yang menggunakan model langganan bateri atau battery-as-a-service (BaaS). Yuran langganan ditetapkan pada RM275 sebulan, termasuk SST, dengan tempoh kontrak selama sembilan tahun.

    QV-E dibina menggunakan platform modular baru yang dibangunkan bersama Magna Steyr dari Austria. SUV bergaya “sportback” ini digerakkan oleh satu motor elektrik di hadapan yang menghasilkan kuasa 204 PS atau 150 kW serta tork 285 Nm. Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 165 km/j.

    Walaupun prestasi tersebut boleh dianggap mengagumkan bagi sebuah Perodua, aspek pengecasan pula kurang menyerlah. Dengan sokongan pengecasan pantas DC terhad kepada 60 kW, pengecasan dari 30 hingga 80 peratus mengambil masa sekitar 30 minit.

    Angka ini lebih perlahan berbanding Proton eMas 5 yang hanya memerlukan 20 minit dan BYD Atto 2 dengan 28 minit. Untuk pengecasan AC menggunakan pengecas 6.6 kW, bateri QV-E memerlukan kira-kira lapan jam untuk dicas sepenuhnya.

    Dari segi sambutan pasaran, QV-E masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan Perodua. Pengeluar kereta nasional itu menyasarkan jualan 500 unit sebulan, namun setakat ini tempahan hanya mencecah 205 unit. Pengeluaran berskala penuh juga masih belum bermula berikutan pembekal baru, termasuk dari China, yang masih bergelut untuk memenuhi piawaian kualiti Perodua, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abidin Ahmad.

    Walaubagaimanapun, QV-E hanyalah permulaan kepada perjalanan elektrifikasi Perodua. Platform ini dijangka melahirkan dua hingga tiga model baru pada masa hadapan, termasuk sebuah EV segmen A peringkat permulaan yang telah disahkan. Perodua turut merancang pelbagai pendekatan menarik untuk barisan model akan datang, termasuk teknologi pertukaran bateri, selain pilihan trenkuasa hibrid dan range extender.

    GALERI: Perodua QV-E

     
     
  • Proton sahkan Geely akan rebadge Saga MC3 untuk pasaran Filipina – LHD, masih dibuat di Tanjong Malim

    Proton sahkan Geely akan rebadge Saga MC3 untuk pasaran Filipina – LHD, masih dibuat di Tanjong Malim

    Tahun lalu Geely Filipina telah mendedahkan rancangannya untuk 2026, yang menyaksikan Proton Saga MC3 turut akan dieksport ke pasaran berkenaan dan akan direbadge sebagai Geely. Manakala ketika pelancaran Proton eMas 7 PHEV yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, Proton sendiri telah mengesahkan perkara tersebut.

    “Dan juga pencapaian terbesar Proton sebagai jenama nasional bagi saya adalah apabila rakan strategik kami menggunakan kereta dengan IP kami sepenuhnya di pasaran luar mereka direbadge sebagai kereta Geely, Ini merupakan yang pertama dalam sejarah mana-mana kerjasama di Malaysia di mana Saga telah dipilih oleh Geely untuk direbadge sebagai kereta Geely untuk pasaran Filipina. Dan ia juga dibuat di Tanjong Malim,” kata pengerusi Proton Holdings Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam ucapannya.

    Filipina merupakan negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD). Dengan apa yang diumumkan oleh Syed Faisal ini juga telah mengesahkan bahawa walaupun Saga berkenaan dilekat dengan logo Geely, ia masih dipasang oleh Proton di Tanjong Malim dan kemudian dieksport ke sana. Sebelum ini Proton turut pernah memasang X50 dalam versi LHD dan dilekat dengan logo Geely Coolray untuk dieksport ke pasaran Vietnam.

    Proton Saga MC3 baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada November tahun lalu. Ia merupakan model pertama Proton yang menggunakan platform AMA iaitu platform yang diasaskan dari platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Proton sahkan Geely akan rebadge Saga MC3 untuk pasaran Filipina – LHD, masih dibuat di Tanjong Malim

    Bukan hanya Saga, platform AMA yang bersifat modular ini turut akan melahirkan beberapa model lain yang direka sendiri oleh Proton, antaranya SUV dan juga MPV yang akan dijual pada harga lebih mampu milik. Walaupun model-model dengan platform AMA ini direka sendiri oleh Proton, namun ia bukanlah model yang dihasilkan hanya untuk pasaran Malaysia, sebaliknya disasarkan untuk pasaran global, kata Proton.

    Ini juga bukan bermaksud bahawa model-model berkenaan hanya akan berada di pasaran-pasaran eksport Proton, malah akan direbadge oleh Geely adalah untuk memenuhi permintaan pasaran tertentu kerana ia tidak mempunyai model-model yang lebih kecil dari siri-X dan siri-S.

    Untuk pasaran Filipina, Saga akan dilancarkan dengan logo Geely pada suku keempat tahun ini. Buat masa sekarang, ia belum diberi nama oleh Geely dan dirujuk hanya dengan kod AMA01, iaitu kod pembangunan bagi Proton Saga MC3 di Malaysia.

    Dalam slaid pembentangan yang ditunjukkan Geely Filipina akhir tahun lalu, Saga MC3 disifatkan sebagai sebuah model yang menampilkan “penggayaan yang dinamik” dan juga “pengendalian yang stabil”, serta ia disasarkan untuk berhadapan terus dengan Toyota Vios serta Mitsubishi Mirage sedan generasi keempat atau dikenali sebagai Attrage di Malaysia satu ketika dahulu.

     
     
  • Harga minyak 5-11 Feb – diesel naik empat sen seliter

    Harga minyak 5-11 Feb – diesel naik empat sen seliter

    Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 5 hingga 11 Februari 2026, harga runcit petrol RON 97 masih dikekalkan pada RM3.10 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dikekalkan pada harga RM2.54 seliter. Begitu juga dengan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sekali lagi dinaikkan sebanyak empat sen seliter menjadi RM2.96 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 7 Januari lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata kerajaan tidak akan melaksanakan penyasaran bagi subsidi petrol RON95 berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini. Ini termasuklah mengurangkan kuota subsidi Budi95 untuk mengelakkan bebanan tambahan kepada isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026