Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton dan UPSI bekerjasama bakal wujudkan pusat pembelajaran EV pertama bagi IPT di Malaysia

    Proton dan UPSI bekerjasama bakal wujudkan pusat pembelajaran EV pertama bagi IPT di Malaysia

    Proton dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan ekosistem Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) serta teknologi Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Malaysia.

    Antara objektif utama kerjasama antara dua pihak ini ialah cadangan mewujudkan Pusat Pembelajaran dan Demonstrasi EV pertama di institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia, pembangunan modul pendidikan asas BEV, penyediaan latihan praktikal berkaitan teknologi e.MAS, serta peningkatan kesedaran awam terhadap teknologi BEV nasional.

    Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, hasil pertemuan tersebut memberi fokus kepada potensi sinergi antara industri automotif nasional, selaras dengan komitmen UPSI untuk mengintegrasikan teknologi hijau dalam kurikulum serta ekosistem universiti.

    Proton dan UPSI bekerjasama bakal wujudkan pusat pembelajaran EV pertama bagi IPT di Malaysia

    “UPSI melihat kunjungan ini sebagai satu langkah signifikan dalam merapatkan jurang antara industri dan akademia. Teknologi BEV dan NEV bukan lagi satu pilihan masa depan, tetapi keperluan semasa yang perlu difahami dan dikuasai oleh generasi muda,” katanya.

    Tambahnya, UPSI turut komited untuk memainkan peranan aktif dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam sekitar.

    “Sebagai universiti yang berteraskan pendidikan, UPSI bukan sahaja mahu memperkenalkan teknologi EV dalam bilik kuliah, tetapi juga menyediakan pengalaman pembelajaran yang bersifat praktikal, relevan dan berimpak tinggi kepada pelajar serta komuniti,” jelasnya lagi.

    Timbalan CEO Proton, Datuk Abdul Rashid Musa, pula berkata pihaknya melihat institusi pendidikan tinggi sebagai rakan strategik penting dalam mempercepat pembangunan ekosistem mobiliti elektrik negara. Di mana pendekatan kolaboratif antara industri dan universiti mampu melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi global.

    “Transformasi industri automotif ke arah BEV memerlukan sokongan kukuh daripada sektor pendidikan. Kerjasama dengan UPSI mencerminkan komitmen Proton untuk bukan sahaja membangunkan teknologi, tetapi juga memperkasa ilmu dan kefahaman masyarakat terhadap teknologi kenderaan elektrik.

    “Kami percaya pendekatan Industry in Campus ini akan membuka ruang pembelajaran baharu, memperkukuh kebolehpasaran graduan serta menyokong aspirasi negara dalam memperkasa teknologi hijau dan mobiliti masa depan,” katanya.

     
     
  • Hyundai tawar pakej tema paparan Pokemon untuk sistem infotainmen menerusi OTA di Korea Selatan

    Hyundai tawar pakej tema paparan Pokemon untuk sistem infotainmen menerusi OTA di Korea Selatan

    Hyundai telah bekerjasama dengan Pokemon Korea bagi memperkenalkan pakej paparan tema digital watak anime dari Jepun berkenaan untuk model-model terkininya sempena ulangtahun ke-30 Pokemon yang akan disambut pada Jumaat ini iaitu pada 27 Februari 2026.

    Pelanggan-pelanggan yang berminat dengan pakej ini sudahpun boleh membelinya sejak 23 Februari lalu menerusi Bluelink Store, dan akan menerimanya menerusi kemaskini perisian over-the-air (OTA). Antara model yang boleh menerima kemaskini ini termasuk Palisade, Nexo, Ioniq 9, Ioniq 6, Sonata dan Staria.

    Dua tema ditawarkan iaitu ‘Pokémon Pikachu Quick Attack’ dan ‘Pokémon Ditto World Theme’, di mana kedua-duanya akan diadaptasikan pada sistem infotainmen Navigation Cockpit (ccNC) Hyundai. Apabila diaktifkan, paparan instrumen dan juga visual pada skrin infotainmen akan menampilkan grafik karekter, sistem navigasi bertema dan juga ‘persembahan’ animasi istimewa ketika kereta mula dihidupkan dan dimatikan.

    “Kerjasama dengan Pokémon Korea ini mencerminkan keperluan pelanggan yang ingin mendekorasi dan meluahkan gaya mereka tersendiri melalui automobil masing-masing sebagai alat pengangkutan. Selaras dengan era kereta terhubung, kami akan terus meningkatkan nilai pengalaman yang dapat dirasai oleh pelanggan di dalam kenderaan mereka,” kata Hyundai dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya: APAD diarah siasat insiden gangguan berulang, Prasarana diminta penjelasan

    LRT Laluan Kelana Jaya: APAD diarah siasat insiden gangguan berulang, Prasarana diminta penjelasan

    Isu perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang sering kali mengalami gangguan teknikal kerap kali mencetuskan kemarahan di kalangan para penggunanya. Malah kelmarin, perkhidmatan tren tersebut mengalami gangguan dua kali sehari dan menyebabkan kesesakan luar biasa di stesen-stesen utama seperti Sri Rampai, KL Sentral, dan Masjid Jamek. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan para penggunanya berhubung tahap penyelenggaraan dan kecekapan pengurusan Prasarana selaku pengendali perkhidmatan rel ini.

    Prasarana menerusi anak syarikatnya, Rapid KL, mengesahkan kelewatan berpunca daripada sebuah tren yang terpaksa dipandu secara manual antara Stesen Asia Jaya dan Taman Bahagia. Walaupun perkhidmatan dilaporkan telah pulih, pengguna masih berdepan kesesakan melampau malah ada juga penumpang pitam disebabkan suhu panas di platform.

    Susulan insiden gangguan yang berulang ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat masalah tersebut dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah.

    Sumber foto: Laman sosial media

    “Saya memandang serius beberapa insiden gangguan melibatkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada awal Ramadan ini. Rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap.

    “Saya telah mengarahkan CEO Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera,” katanya yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.

    Disebabkan isu sebeginilah para pengguna pengangkutan awam seringkali mengeluh dan marah kerana kualiti perkhidmatan yang ‘dianggap’ kurang bermutu. Ramai yang bersetuju bahawa pengangkutan awam bukanlah sekadar pilihan tetapi ia adalah keperluan. Untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, ramai yang memilih menaiki tren khususnya ke tempat kerja. Tetapi kalau sering kali berhadapan dengan isu sebegini, apa lagi pilihan yang ada untuk rakyat jelata?

     
     
  • JPJ eBid: TDG dan APL dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu dan Perak dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu, TDG, dibuka bidaan sejak 24 Februari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 28 Februari. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 1 Mac 2026.. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Perak, APL, bakal dibuka bidaan mulai 10 Mac. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 14 Mac, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 Mac 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Volvo sahkan 40,323 unit EX30 terlibat dalam panggilan balik susulan risiko kebakaran bateri EV

    Volvo sahkan 40,323 unit EX30 terlibat dalam panggilan balik susulan risiko kebakaran bateri EV

    Menurut laporan Reuters, Volvo akan memanggil balik lebih 40,323 unit model EX30 di peringkat global berikutan risiko baterinya menjadi terlalu panas dan boleh menyebabkan kebakaran. Kedua-dua varian SUV elektrik tersebut, iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance terlibat dalam panggilan balik itu.

    Bateri yang digunakan dalam unit terjejas dibekalkan oleh Shandong Geely Sunwoda Power Battery, iaitu usaha sama yang disokong oleh Geely, syarikat induk Volvo. Volvo memaklumkan kepada agensi berita tersebut bahawa pembekal bateri berkenaan telah membetulkan isu itu dan pihaknya akan menggantikan modul dalam pek bateri voltan tinggi bagi SUV kompak tersebut.

    Unit yang terlibat akan dibaiki secara percuma, dan pemfailan kawal selia mendedahkan bahawa pemilik yang terlibat telah dimaklumkan sejak Disember 2025 supaya mengehadkan pengecasan kepada hanya 70% serta meletakkan kenderaan jauh dari bangunan sementara kerja pembaikan dilaksanakan. Modul bateri gantian itu dianggarkan oleh penganalisis menelan kos sebanyak USD195 juta (kira-kira RM760 juta) ditanggung Volvo, tidak termasuk kos logistik dan pembaikan.

    Laporan Reuters itu mendedahkan skala panggilan balik berkenaan, yang pertama kali diumumkan oleh Volvo pada Januari tahun ini. Di Malaysia, kurang daripada 200 pemilik EX30 telah diminta membawa kenderaan mereka sebagai langkah pencegahan. Seperti yang dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia (VCM), Chris Wailes, kepada kami bulan lalu, VCM pada masa ini tidak mengetahui secara tepat berapa banyak kereta dalam kumpulan tersebut yang benar-benar mengalami kesulitan ini, namun tetap memanggil semula keseluruhannya sebagai langkah berjaga-jaga.

     
     
  • Geely EX5 2026 dengan bateri 68.39 kWj, jarak gerak 500 km akan tiba di Australia – Proton eMas 7 juga?

    Geely EX5 2026 dengan bateri 68.39 kWj, jarak gerak 500 km akan tiba di Australia – Proton eMas 7 juga?

    Julai lalu Geely telah memperkenalkan versi kemaskini Geely Galaxy E5 di China di mana ia diberikan bateri dengan kapasiti lebih besar, menawarkan jarak gerak lebih jauh. Kemaskini tersebut nampaknya bakal ditawarkan untuk model eksport di mana SUV ini dikenali dengan nama Geely EX5 – laporan dari Drive menyebut bahawa dokumen pensijilan oleh kerajaan Australia bagi EX5 2026 telah pun dilihat, menandakan pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi.

    Model kemaskini ini dipadankan dengan bateri LFP Aegis bilah pendek berkapasiti 68.39 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 530 km hingga 610 km dalam kitaran ujian CLTC, atau sekitar 500 km dalam ujian WLTP yang lebih tepat. Sebagai perbandingan, model sedia ada hanya menawarkan jarak 410 km WLTP untuk varian yang menawarkan jarak gerak paling jauh.

    Selain itu versi kemaskini tersebut juga menampilkan sokongan pengecas pantas DC yang lebih berkuasa dari 100 kW pada versi sedia ada, membolehkan bateri lebih besar berkenaan dipenuhkan dalam masa yang masih sama seperti sebelum ini iaitu dari 30% hingga 80% dalam masa 20 minit.

    Geely EX5 2026 dengan bateri 68.39 kWj, jarak gerak 500 km akan tiba di Australia – Proton eMas 7 juga?

    Ia juga menerima sistem V2L untuk mengalirkan kuasa bateri untuk kegunaan peralatan elektrik lain yang dipertingkat dari 3.3 kW kepada 6.6 kW. Namun ia masih dibekalkan dengan motor elektrik yang sama berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

    Selepas Australia, tingkat taraf ini juga dijangka akan ditawarkan pada pasaran lain, dan mungkin kembar EX5 di Malaysia iaitu Proton eMas 7 dalam varian paling tinggi iaitu Premium turut akan menerima kemaskini yang sama. Namun ia mungkin mengambil sedikit masa kerana eMas 7 baru sahaja mula dipasang di Tanjong Malim dengan bateri sedia ada.

    Jadi mungkin versi dengan bateri lebih besar ini akan mula ditawarkan di Malaysia bermula tahun hadapan? Di China, varian asas Galaxy E5 turut menerima tingkat taraf bateri iaitu diberikan bateri dengan kapasiti 60.22 kWj – boleh juga dijangka varian asas eMas 7 Prime di sini juga akan menerima kemaskini yang sama, membolehkan varian paling murah itu bergerak sejauh 430 km dalam kitaran WLTP.

     
     
  • Pengguna harus tahu kenaikan kadar tol ditangguh, kerajaan tanggung implikasi kewangan – Nanta

    Pengguna harus tahu kenaikan kadar tol ditangguh, kerajaan tanggung implikasi kewangan – Nanta

    Sebarang keputusan berkenaan tempoh kerajaan untuk terus menangguhkan kenaikan kadar tol lebuhraya dan menangung implikasi kewangan perlu dibuat oleh barisan Kabinet, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, laporan Bernama.

    Beliau turut berkata langkah kerajaan menahan semakan semula kadar itu ketika ini bertujuan untuk memastikan kadar tol sedia ada tidak dinaikkan bagi mengurangkan beban rakyat.

    “Saya fikir tujuan utama mengapa kerajaan menahan penstrukturan dan menyemak semula adalah supaya kadar tol semasa yang dibayar rakyat sekarang tidak meningkat.

    Pengguna harus tahu kenaikan kadar tol ditangguh, kerajaan tanggung implikasi kewangan – Nanta

    “… kerana jika dibenarkan mengikut perjanjian, kadar tol ini perlu dikaji semula, bermakna kadar tol akan meningkat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini.

    Jelasnya, implikasi kewangan susulan penangguhan itu sebenarnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi.

    “Memandangkan rakyat mungkin masih terbeban dengan banyak kos sara hidup dan sebagainya, buat masa ini kerajaan masih menahan, minta syarikat-syarikat ini tangguh dulu kajian semula kadar tol tetapi kerajaan tanggunglah. Pengguna harus tahu bila kenaikan kadar tol ditangguh maka kerajaan yang perlu bayar,” katanya.

     
     
  • Kerja turapan jalan di lorong keluar kenderaan berat di Plaza Tol Changkat Jering, 24-27 Feb, 10 malam-6 pagi

    Kerja turapan jalan di lorong keluar kenderaan berat di Plaza Tol Changkat Jering, 24-27 Feb, 10 malam-6 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan akan dilaksanakan di satu lorong keluar bagi kenderaan berat dan lebar (Lorong K08) di Plaza Tol Changkat Jering, Lebuhraya Utara-Selatan mulai malam ini (24 Februari) hingga 27 Februari 2026, antara jam 10 malam hingga 6 pagi.

    “Sepanjang tempoh tersebut, satu lorong keluar akan terlibat dan pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda trafik serta arahan petugas di lokasi, dan menggunakan laluan alternatif sekiranya trafik meningkat, khususnya bagi kenderaan berat,” kata PLUS.

    Bagi pengguna laluan terbabit khususnya pemandu kenderaan berat, anda diminta untuk memandu lebih berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja dijalankan.

     
     
  • Perodua sekali lagi nyatakan tekan butang push start hanya sekali, bukan dua-tiga kali untuk hidupkan enjin

    Anda pernah dengar mitos nak hidupkan enjin kereta, kena tekan butang penghidup enjin dua atau tiga kali untuk elakkan berlaku kerosakan pada enjin? Kalau anda guna kenderaan jenis Perodua, syarikat berkenaan dah sahkan perkara tersebut hanyalah mitos, dan anda hanya perlu tekan butang berkenaan sekali, sambil memijak pedal brek untuk menghidupkan enjin kereta anda.

    Perodua mengesahkan perkara ini menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya. Ini bukan kali pertama syarikat itu menyatakan perkara ini, malah tahun lalu ia telah menyiarkan satu video ‘Tip Abang Perodua’ untuk memberitahu pengguna bahawa menghidupkan enjin dengan menekan butang push start tersebut sebanyak tiga kali hanyalah mitos.

    Video berkenaan dihasilkan bersama pempengaruh Fuad Nasir dan juga watak ‘Abang Perodua’ yang merungkai beberapa mitos pemilikan kenderaan, antaranya tentang tekanan angin tayar dan juga penggunaan penghawa dingin didakwa boleh meningkatkan penggunaan bahan api.

    Tip Abang Perodua pada minit 1:07 video tersebut menyebut fakta yang betul adalah anda hanya perlu menekan butang penghidup enjin sekali serentak dengan memijak pedal brek bagi menghidupkan enjin, sekaligus menafikan mitos bahawa ‘enjin akan tahan lama serta sihat dan walfiat’ sekiranya butang tersebut ditekan tiga kali seperti yang disebut oleh Fuad sebelum itu.

    Mitos ini sebenarnya adalah ‘evolusi’ dari ‘petua’ sebelum adanya sistem keyless entry yang menggunakan butang penghidup enjin ini lagi, di mana pada era 90’an dahulu ada yang menganjurkan agar kita hanya menghidupkan enjin selepas lampu ‘check engine’ pada paparan instrumen padam.

    Teori ini menyatakan bahawa ia perlu dilakukan bagi mengelakkan kotak komputer ‘terkejut’ ketika semua sistem diperiksa sendiri oleh komputer ketika mula menerima bekalan elektrik. Mungkin ada kebenaran berkenaan teori ini, dan mungkin tidak kerana masih lagi belum ada bukti kukuh atau penemuan kotak komputer enjin yang rosak kerana pemiliknya tidak menunggu sehingga lampu tersebut padam sebelum enjin dihidupkan.

    Namun ini adalah cerita pada era lewat 80’an dan awal 90’an iaitu zaman di mana sistem karburator secara beransur-ansur mula digantikan dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Beza komputer pada zaman berkenaan adalah jauh lebih ‘primitif’ berbanding komponen yang kita sekarang.

    Jadi tidak timbul masalah ‘terkejut’ ini memandangkan kotak komputer enjin untuk model-model terkini adalah sangat laju dan melakukan kesemua proses kadang kala tidak sampai 1 saat. Malah pada enjin-enjin terkini, ia telah direka dengan pelbagai mod selamat yang akan menghalang enjin berkenaan hidup sekiranya ia mengesan ada kerosakan besar akan berlaku jika ada sistem yang gagal berfungsi.

    Kami sebenarnya pernah menulis berkenaan perkara ini kira-kira tujuh tahun lalu, namun sehingga kini masih lagi ada lagi yang percaya tentang mitos berkenaan. Dan malangnya masih ada penasihat jualan (termasuk dari Perodua sendiri) yang ‘mengajar’ pelanggan bila nak hidupkan enjin, kena tekan push start button tiga kali.

     
     
  • Tesla Model Y L – sebelum ini China sahaja, tapi akan masuk pasaran Australia tahun ini, Malaysia juga?

    Tesla Model Y L – sebelum ini China sahaja, tapi akan masuk pasaran Australia tahun ini, Malaysia juga?

    Bagi mereka yang meminati Tesla Model Y tetapi memerlukan kapasiti tempat duduk lebih daripada lima orang, berita ini pasti mengujakan. Varian enam tempat duduk yang dikenali sebagai Tesla Model Y L dilaporkan bakal memasuki pasaran pemanduan sebelah kanan, sekaligus membuka peluang lebih luas kepada pengguna di rantau ini.

    Menurut laporan CarExpert, model tersebut telah muncul dalam dokumen pensijilan kerajaan Australia, memberi petunjuk bahawa pelancarannya mungkin semakin hampir dan berpotensi berlaku seawal tahun ini. Perkembangan ini muncul tidak lama selepas Model Y L menerima kelulusan jenis kenderaan Eropah pada penghujung tahun lalu (menurut pengguna X, @eivissacopter), seterusnya menguatkan jangkaan bahawa SUV elektrik tiga baris ini akan diperkenalkan ke lebih banyak pasaran global.

    Seperti kebiasaan Tesla, pengeluar kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat itu lazimnya melancarkan model baru secara serentak di pelbagai negara sebaik sahaja ia bersedia untuk dipasarkan. Ini bermakna Malaysia juga berpotensi menerima tempahan Model Y L dalam tempoh yang sama dengan pasaran lain.

    Model Y L merupakan versi yang sedikit lebih besar berbanding Model Y standard. Ia 179 mm lebih panjang dengan ukuran keseluruhan 4,976 mm dan 44 mm lebih tinggi pada 1,668 mm, selain jarak roda yang dipanjangkan sebanyak 149 mm kepada 3,040 mm.

    Pertambahan dimensi ini membolehkan pemasangan dua tempat duduk tambahan di barisan ketiga, menjadikannya SUV enam tempat duduk. Namun, reka bentuk bumbung yang masih condong ke belakang dijangka sedikit mengehadkan ruang kepala untuk penumpang di barisan paling belakang.

    Di bahagian kabin, bangku barisan kedua digantikan dengan tempat duduk jenis kapten yang dilengkapi perehat tangan boleh laras secara elektrik serta fungsi pemanas dan pengudaraan. Saiz badan yang lebih besar turut menyumbang kepada ruang kargo maksimum sehingga 2,539 liter, berbanding 2,130 liter bagi Model Y biasa.

    Tesla Model Y L – sebelum ini China sahaja, tapi akan masuk pasaran Australia tahun ini, Malaysia juga?

    Untuk makluman, Tesla sebenarnya sudah menawarkan Model Y tiga baris bagi varian Premium AWD di Amerika Syarikat, namun ia tidak dipasarkan secara meluas di luar negara tersebut.

    Buat masa ini, pasaran China hanya menerima satu varian Model Y L, iaitu versi dwi-motor pacuan semua roda. Difahamkan, model ini menghasilkan kuasa sekitar 462 PS atau 340 kW dan dipadankan dengan bateri NMC berkapasiti 82 kWh.

    Dari segi prestasi, SUV elektrik ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.5 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 201 km/j. Jarak gerak yang didakwa mengikut kitaran CLTC ialah sehingga 751 km, manakala anggaran spesifikasi Eropah menunjukkan jarak sekitar 681 km berdasarkan piawaian WLTP.

     
     
  • Chery KP31 didedah – trak pikap konsep diesel PHEV rupa seperti Ford Bronco, bakal tiba di Malaysia?

    Chery KP31 didedah – trak pikap konsep diesel PHEV rupa seperti Ford Bronco, bakal tiba di Malaysia?

    Chery sekali lagi mencuri perhatian apabila memperkenalkan sebuah trak pikap konsep baru yang dikenali dengan kod nama KP31 di Sydney. Model ini dilihat lebih canggih berbanding KP11 yang pernah dipamerkan di Auto Shanghai dan kemudiannya dilancarkan di China sebagai Rely R08.

    Trak konsep KP31 ini memberi bayangan awal kepada model produksi yang dijangka memasuki pasaran Australia pada suku keempat tahun ini. Dari segi reka bentuk, penampilannya jelas mengingatkan kepada Ford Bronco, terutama pada bahagian hadapan yang menampilkan gril melintang penuh, lampu utama bulat serta bampar plastik yang tebal dan lasak. Reka bentuk ini menjadikan KP31 antara model dari China yang paling ketara meniru gaya SUV offroad Amerika tersebut.

    Namun begitu, gabungan rekaan seperti fender berkotak, badan dua kabin yang tegak serta pemegang pintu dan cermin sisi bersaiz besar menjadikan KP31 tampil lebih garang dan menarik berbanding R08 yang kelihatan lebih sederhana.

    Chery KP31 didedah – trak pikap konsep diesel PHEV rupa seperti Ford Bronco, bakal tiba di Malaysia?

    Berbeza dengan Bronco, KP31 mengekalkan konfigurasi trak pikap sebenar dengan ruang kargo belakang bersaiz penuh. Ia turut dilengkapi tangga sisi binaan dalam, lampu belakang menegak berciri futuristik serta kemasan pintu belakang dengan tulisan besar jenama Chery.

    Dari segi dimensi, trak konsep ini berukuran 5,610 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,925 mm tinggi, menjadikannya sangat besar. Walaubagaimanapun, versi produksi sebenar dijangka lebih kompak dengan panjang sekitar 5,450 mm. Walaupun lebih pendek berbanding konsep, ia masih 80 mm lebih panjang daripada Ford Ranger.

    Keistimewaan utama KP31 terletak di bawah bonet hadapan apabila ia bakal menggunakan rangkaian kuasa plug-in hybrid diesel, yang menurut Chery merupakan trak pikap pertama di dunia dengan teknologi sedemikian. Sistem ini digerakkan oleh enjin turbodiesel 2.5 liter yang mencapai kecekapan terma sehingga 47 peratus.

    Hasilnya, penggunaan bahan api dikurangkan sebanyak 10 peratus berbanding trak pikap diesel konvensional. Model ini juga disasarkan mampu membawa muatan sehingga 1,000 kg dan menawarkan kapasiti menunda 3.5 tan, setanding dengan pesaing dalam segmennya. Selain itu, tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) dikatakan berkurang sehingga 30 peratus. Varian plug-in hybrid petrol pula dijangka menyertai barisan model ini pada tahun hadapan.

    Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada KP31 akan dipasarkan di bawah jenama Himla atau menggunakan jenama utama Chery. Turut menjadi persoalan ialah sama ada ia bakal menggantikan R08 dalam perancangan global syarikat tersebut.

    Memandangkan model ini sudah disahkan akan ditawarkan dalam versi pemanduan sebelah kanan untuk pasaran Australia, besar kemungkinan ia akan bersaing secara langsung dengan Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Ford Ranger serta model baru seperti BYD Shark 6 yang dijangka memasuki pasaran.

     
     
  • Toyota Land Cruiser FJ akan dilancar di Thailand Mac ini – LC paling kecil dengan enjin 2.7L petrol, 6AT, 4WD

    Toyota Land Cruiser FJ akan dilancar di Thailand Mac ini – LC paling kecil dengan enjin 2.7L petrol, 6AT, 4WD

    Selepas didedahkan di Jepun pada Oktober tahun lalu, model paling kecil dalam keluarga Toyota Land Cruiser iaitu Land Cruiser FJ bakal di lancarkan di Thailand pada hujung bulan hadapan, lapor portal automotif dari negara tersebut iaitu Autolife.

    Laman itu turut mengesahkan bahawa SUV yang diasaskan dari casis ladder frame IMV0 yang sama seperti trak pikap mampu milik Hilux Champ tersebut akan diproduksi di Thailand, dan kemudian akan dieksport ke Jepun pada pertengahan tahun ini. Malah Land Cruiser FJ ini akan dikenakan struktur cukai PPV SUV berasaskan casis trak pikap, sama seperti Toyota Fortuner yang diasaskan dari casis IMV yang sama dengan Toyota Hilux.

    Land Cruiser FJ ini menampilkan rupa retro seakan SUV Toyota FJ Cruiser sebelum ini, di mana model berkenaan juga sebenarnya diinspirasikan dari model legenda Land Cruiser dikenali dengan kod casis FJ40/BJ40. Namun menurut Toyota nama ‘FJ’ yang diberikan pada model entry level terbaharu ini bermaksud ‘Freedom & Joy’ (kebebasan dan keseronokkan).

    Toyota Land Cruiser FJ akan dilancar di Thailand Mac ini – LC paling kecil dengan enjin 2.7L petrol, 6AT, 4WD

    Ia menampilkan muka yang agak seiras dengan Hilux Champ dan secara keseluruhan SUV ini menerima rekaan berkotak juga seperti FJ40, manakala di belakang tiang-C yang agak ‘tebal’, pintu tailgate dengan engsel pada bahagian sisi bersama tayar gantian yang digantung, serta hadir dengan rel bumbung secara standard.

    Selain itu ia menampilkan bampar hadapan yang agak ‘gemuk’ yang selari dengan pelindung-pelindung badan plastik juga direka tebal, dipasang pada semua ruang roda dan pada bahagian bawah pintu. Pemijak kaki sisi juga kelihatan dipasang standard bagi memudahkan penumpang masuk ke kabin yang tinggi. Bampar belakang juga direka gemuk, bukan sahaja untuk melindungi badan, malah turut ada bahagian yang direka sebagai pemijak kaki.

    Toyota menyatakan bahawa panel sisi pada bampar hadapan dan belakang Land Cruiser FJ ini direka agar boleh dicabut berasingan dari bampar utama. Ini bagi membolehkan ia boleh diperbaiki dengan lebih mudah di mana pengguna hanya perlu menukar pada bahagian yang rosak dan bukan keseluruhan bampar sekiranya melanggar sesuatu yang selalunya akan berlaku ketika meredah laluan off-road.

    Toyota Land Cruiser FJ akan dilancar di Thailand Mac ini – LC paling kecil dengan enjin 2.7L petrol, 6AT, 4WD

    Dari segi saiz, Land Cruiser FJ ini menampilkan dimensi panjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dan jarak roda sejauh 2,580 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Land Cruiser FJ ini adalah 220 mm lebih pendek dan jarak rodanya juga adalah 165 mm lebih pendek dari Fortuner, tetapi ia menampilkan lebar yang sama serta 125 mm lebih tinggi. Toyota menyatakan bahawa dengan saiz yang kecil ini membolehkan Land Cruiser FJ ini dihasilkan sebagai sebuah jentera off-road yang lebih tangkas.

    Land Cruiser FJ ini juga didakwa menampilkan jarak kelegaan tanah serta sudut berlepas yang membolehkan ia mencapai prestasi dalam laluan off-road yang setara dengan Land Cruiser 70 Series. SUV ini juga direka bagi mudah dikendali pada kawasan sempit dengan radius pusingan hanya 5.5 meter.

    Rekaan berkotak-kotak diteruskan ke dalam bahagian kabin Land Cruiser FJ ini. Ia menampilkan papan pemuka dan konsol tengah seperti Land Cruiser 250 tetapi dalam skala lebih kecil, manakala rekaan tombol dengan dan roda stereng pula kelihatan seiras.

    Menurut Toyota papan pemuka tersebut direka dengan panel instrumen yang diletak pada posisi lebih rendah bagi memberikan pandangan lebih jelas untuk pemandu terhadap cermin hadapan, memberikan pemanduan lebih selamat tak kira pada laluan off-road atau jalan biasa. SUV ini juga hadir hanya dalam konfigurasi lima-tempat duduk.

    Buat masa sekarang Land Cruiser FJ ini ditawarkan hanya dengan satu unit rangkaian kuasa iaitu enjin petrol yang sama seperti Fortuner 2TR-FE 2.7 liter empat silinder berkuasa 163 PS dan tork maksima 246 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan 6 Super ECT, bersama sistem pacuan empat roda separa-masa.

    Masih lagi belum dengar sebarang khabar sama ada Land Cruise FJ ini akan di bawa ke pasaran Malaysia atau tidak. Namun dengan diasaskan dari platform IMV, mungkin tiada masalah untuk model ini dipasang di kilang UMW Toyota di Shah Alam di mana fasiliti berkenaan sedang memasang dua model IMV lain iaitu Hilux dan Fortuner.

    Mungkin dengan harga yang betul, Land Cruiser FJ ini boleh mengugat pasaran Suzuki Jimny dengan enjin 1.5L NA yang kini dijual pada harga RM159k bagi versi biasa dan RM200k untuk versi 5-Door?

    GALERI: Toyota Land Cruiser FJ di Tokyo Mobility Show 2025

     
     
  • Kementerian Pengangkutan sedang teliti pindaan peruntukan had laju 30 km/j di zon sekolah

    Kementerian Pengangkutan sedang teliti pindaan peruntukan had laju 30 km/j di zon sekolah

    Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti pindaan berkaitan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperuntukkan had laju 30 km/j secara khusus di zon sekolah.

    “Kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 15 Julai 2024 telah bersetuju menetapkan had kelajuan maksimum 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan zon sekolah sebagai dasar nasional bagi meningkatkan keselamatan murid dan warga sekolah,” kata Menteri MOT, Anthony Loke.

    Jelasnya, pindaan ini dilaksanakan secara komprehensif dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PLANMalaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

    “Dari aspek penguatkuasaan, sebaik sahaja pewartaan had laju 30 km/j dimuktamadkan, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut peruntukan sedia ada Akta 333 oleh PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya menerusi jawapan bertulis bagi persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Kalam Salan (PN – Sabak Bernam) yang ingin tahu apakah mekanisme pelaksanaan penguatkuasaan (tindakan undang-undang) had laju maksimum diturunkan daripada 50 km/j kepada 30 km/j di zon sekolah oleh JKMKKJR.

    Kementerian Pengangkutan sedang teliti pindaan peruntukan had laju 30 km/j di zon sekolah

    “Dari aspek penguatkuasaan, sebaik sahaja pewartaan had laju 30 km/j dimuktamadkan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah peruntukan sedia ada Akta 333 oleh PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui pendekatan termasuk operasi bersepadu di kawasan sekolah terpilih dan pemasangan papan tanda had laju baharu dan penandaan jalan yang jelas.

    “Selain itu, ia melibatkan penggunaan kamera penguatkuasaan automatik tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan pemantauan berkala di waktu puncak persekolahan,” jelasnya lagi.

    Walau bagaimana pun, katanya lagi, kerajaan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Projek Zon Sekolah Selamat sedang dilaksanakan sebagai projek rintis di sekolah berisiko tinggi bagi menyokong pelaksanaan dasar had laju 30 km/j.

    “Antara intervensi fizikal di bawah Projek Zon Sekolah Selamat termasuk penyempitan lorong dan pembinaan laluan pejalan kaki; lintasan pejalan kaki bertingkat dan pembinaan pulau perlindungan (refuge island) dan pulau tengah (median); serta penambahbaikan papan tanda dan perabot jalan.

    “Kerajaan yakin bahawa gabungan pendekatan kejuruteraan, pendidikan dan penguatkuasaan ini akan dapat mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian di kawasan sekolah, selaras dengan aspirasi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030,” katanya.

     
     
  • Pendaftaran kenderaan baharu di Malaysia cecah 1.6 juta pada tahun 2025, naik 3.78% berbanding 2024

    Pendaftaran kenderaan baharu di Malaysia cecah 1.6 juta pada tahun 2025, naik 3.78% berbanding 2024

    Saban tahun makin banyak model kereta baharu dilancarkan di negara kita dan ini mendorong peningkatan pembelian di kalangan rakyat Malaysia. Malah pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 820,752 unit kenderaan telah terjual, menjadikannya rekod baharu yang pernah dicapai setakat ini. Ia meningkat sebanyak 0.5% berbanding tahun 2024. Ini juga tahun kedua angka melebihi 800,000 unit berjaya dicapai.

    Sambutan luar biasa terhadap pembelian kereta baharu ini turut mendorong peningkatan jumlah pendaftaran kenderaan di negara kita pada tahun 2025. “Pada tahun lalu, sebanyak 1,629,389 unit kenderaan telah didaftarkan. Ia mewakili peningkatan sebanyak 3.78% berbanding 1,570,121 unit pada tahun 2024,” kata Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke, dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen semalam.

    Mengikut data yang dikongsikan oleh MOT, daripada jumlah pendaftaran itu, ia melibatkan sebanyak 704,251 unit motosikal dan 861,515 kereta bagi kategori kenderaan persendirian. Manakala untuk kategori kenderaan perdagangan perkhidmatan awam pula, sejumlah 1,221 unit bas, 376 unit teksi dan 5,622 unit kereta sewa telah didaftarkan.

    Selain itu, ia juga melibatkan pendaftaran kenderaan perdagangan (barangan) sebanyak 35,414 unit, dan lain-lain kenderaan (seperti jentera, backhoe, Forklift, Off-Road, dan lain-lain) sebanyak 20,990 unit.

    Pendaftaran kenderaan baharu di Malaysia cecah 1.6 juta pada tahun 2025, naik 3.78% berbanding 2024

    Loke turut berkata, untuk tahun 2023 pula, jumlah keseluruhan kenderaan baharu yang didaftarkan di negara ini mencecah 1,533,285 unit dan tahun 2024 pula berjumlah 1,570,121 unit. (Sila rujuk jadual di atas untuk mengetahui jumlah pecahan mengikut jenis kenderaan)

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Haji Onn Abu Bakar, Ahli Parlimen Batu Pahat yang ingin mengetahui jumlah keseluruhan kenderaan baharu yang telah didaftarkan di negara ini bagi tahun 2023, 2024 dan 2025, yang diperincikan mengikut kategori kenderaan berat dan kenderaan ringan, serta jenis kenderaan seperti persendirian, perdagangan dan pengangkutan awam.

    Ini bermakna, dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, sebanyak 4,732,795 unit kenderaan baharu telah didaftarkan dengan 4,657,918 daripadanya layak digunakan di jalan raya. Termasuk dengan kenderaan yang sedia ada (pendaftaran lama dan masih digunapakai), ini antara faktor mengapa jalan raya utama di negara ini kian sesak.

    Walau pun sesetengah jalan utama dan lebuhraya dilebarkan atau ditambah lorong, peningkatan jumlah kenderaan baharu yang didaftarkan saban tahun mungkin tidak dapat selesaikan isu kesesakan lalu lintas yang kian meruncing terutamanya pada musim perayaan. Kalau daripada sudut ekonomi negara, lonjakan jualan kenderaan saban tahun merupakan perkara positif. Namun, isu kesesakan lalu lintas pula bagai membebani rakyat kita. Apa pendapat anda mengenai isu ini? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • Lamborghini batalkan produksi EV pertamanya iaitu Lanzador kerana hampir tiada pelanggan yang minat

    Lamborghini batalkan produksi EV pertamanya iaitu Lanzador kerana hampir tiada pelanggan yang minat

    Lamborghini mengesahkan bahawa ia telah pun membatalkan produksi model EV pertamanya iaitu Lamborghini Lanzador. Perkara ini disebut sendiri oleh CEO jenama supercar Itali berkenaan, Stephan Winkelmann dalam The Sunday Times dan dipetik oleh laporan Road and Track.

    Menurut Winkelmann produksi EV berkenaan dibatalkan kerana “hampir tiada” pelanggan-pelanggan dalam sasaran pasaran Lamborghini yang berminat dengan kenderaan elektrik, dan mereka lebih berminat dengan bunyi dan tindak balas dari enjin pembakaran dalaman.

    “EV, di dalam bentuknya kini, sukar untuk memberikan hubungan beremosi ini,” kata Winkelmann dan menegaskan bahawa Lamborghini akan terus membina enjin pembakaran dalaman “selama yang boleh”.

    Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya Lamborghini melabur dengan jumlah besar dalam pembangunan EV ketika pasaran dan asas pelanggan belum bersedia akan menjadi satu “hobi yang mahal”, dan ia tidak bertanggung jawab dari segi kewangan terhadap pemegang saham, pelanggan, serta pekerja-pekerja dan keluarga mereka.

    Lamborghini batalkan produksi EV pertamanya iaitu Lanzador kerana hampir tiada pelanggan yang minat

    Jadi untuk menggantikan Lanzador, Winkelmann mengesahkan Lamborghini akan menghasilkan satu lagi model plug-in hybrid (PHEV) dalam barisan model dengan teknologi elektrikfikasinya menjelang 2030. Namun ini bukan bermaksud Lamborghini tidak berminat untuk menghasilkan model EV, tetapi ia akan dengan model sedemikian sekiranya ada permintaan yang cukup dalam pasaran.

    “Kami tak cakap tak akan buat, tapi hanya apabila tiba tepat pada waktunya. Untuk masa hadapan yang boleh dijangka, [hanya akan ada] PHEV. Kami akan terus membangunkan elektrifikasi kerana kami juga perlu bersedia,” katanya.

    Model konsep Lamborghini Lanzador ini telah didedahkan pada 2023 dan dijadualkan untuk diproduksi menjelang 2028. Ia menampilkan bentuk badan sebuah coupe tetapi diberikan suspensi dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi seperti sebuah SUV, namun masih lebih rendah berbanding Urus.

    EV berkenaan diberikan dua motor elektrik untuk memacu keempat-empat roda menghasilkan kuasa keseluruhan 1,360 PS, dan dilengkapi dengan komponen-komponen casis aktif bagi memberikan pengendalian yang lincah, termasuk suspensi udara dan juga stereng untuk gandar belakang.

     
     
  • Lorong ditutup di Lebuhraya Guthrie mulai malam ini

    Lorong ditutup di Lebuhraya Guthrie mulai malam ini

    Untuk pengguna Lebuhraya Guthrie (GCE), sila ambil perhatian. Syarikat konsesinya, Prolintas mengumumkan bahawa terdapat dua penutupan lorong di lebuhraya terbabit akan dilaksanakan mulai malam ini.

    Ia melibatkan penutupan lorong dari KM18.3 hingga KM18.9 arah utara untuk kelancaran kerja-kerja penghitaman garisan jalan dan garisan sementara untuk lencongan. Ia akan dilaksana mulai jam 10 malam ini (24 Februari) hingga 5 pagi esok.

    Kedua, penutupan lorong melibatkan laluan kecemasan dan penunggang motosikal di KM18.1 hingga KM19.5, juga arah utara, untuk kerja-kerja membina persimpangan baharu. Ia dilaksanakan mulai hari ini hingga 8 Mac 2026.

    Sila pandu dengan lebih berhati-hati dan patuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi yang terlibat.

     
     
  • Review Perodua Traz — Apa yang bagus dan tidak?

    Review Perodua Traz — Apa yang bagus dan tidak?

    Perodua Traz dilancarkan secara rasmi pada Disember 2025, dua tahun selepas tarikh asal yang dirancang pada awalnya. SUV dalam segmen B ini mempunyai ukuran dimensi 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar dan 1,655 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,620 mm — dan merupakan versi Perodua bagi model Toyota Yaris Cross.

    Ada dua varian ditawarkan, iaitu X dan H, dengan harga masing-masing RM76,100 dan RM81,100 (RM82,000 untuk pilihan dua tona warna), harga atas jalan belum termasuk insuran. Kedua-duanya menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter, dengan janaan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm — unit dengan Dual VVT-i NA empat-silinder, yang sama dengan Myvi antaranya, dan diganding bersama kotak gear D-CVT.

    Dari segi kelengkapan, varian X antara lain dilengkapi dengan lampu LED dengan fungsi “follow me home” dan larasan manual, DRL LED, lampu belakang LED serta cermin sisi lipatan automatik dengan lampu isyarat LED. Di dalam, kerusi balutan fabrik dengan jahitan benang merah menghiasinya. Ada juga head unit 9.0-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto sambungan wayar, sistem audio dengan empat pembesar suara dan empat slot USB.

    H pula menerima tambahan kelengkapan seperti lampu kabus LED, lampu aluan di cermin sisi serta masukan tanpa kunci (untuk dua bahagian depan). Selain itu ada juga stereng dan tombol gear balutan kulit buatan, pendingin automatik dan dua tweeter tambahan menjadikan enam pembesar suara. Tidak ketinggalan kamera parkir 360-darjah, dashcam dan pintu ruangan barangan belakang larasan kuasa dengan sensor pergerakan kaki.

    Aspek keselamatan Traz terdiri daripada antaranya enam beg udara, sistem ASA dengan AEB, amaran pergerakan kereta depan dan kawalan salah operasi pedal. Amaran penukaran lorong, amaran lintasan trafik di belakang dan peninjau titik buta juga tidak ketinggalan, tetapi tanpa kawalan melayar adaptif (ACC) atau bahkan kawalan melayar biasa.

    Turut ditawarkan ialan kit aksesori Gear Up untuk Traz, dan boleh dirujuk dalam galeri varian H di bawah. Antara pakej yang ditawarkan termasuklah Elevate, Illuminatin dan Utility. Kami memperincikan perihal SUV terbaru — yang paling besar dan paling mahal untuk Perodua ketika ini — dan menunjukkan apa yang bagus dan sebaliknya. Selamat menonton.

    Perodua Traz X 2026

    Perodua Traz H 2026 dengan aksesori Gear Up

     
     
  • KLIA Transit Ramadan keluarkan jadual hingga 20 Mac

    Bagi pengguna perkhidmatan tren KLIA Ekspres, ini ada makluman penting buat anda. Ini ada jadual perjalanan khas untuk bulan Ramadan, dan ia hanya membabitkan KLIA Transit (bukannya tren tanpa henti KLIA Ekspres).

    Untuk hari biasa, tren pertama akan memulakan perjalanan dari KL Sentral ke KLIA2 pada jam 5.03 pagi dan selang masa adalah setiap 30 minit hingga 6.33 pagi. Kemudian bermulalah waktu puncak hingga jam 9.03 pagi, dengan selang masa dikurangkan ke 15 minit. Manakala untuk waktu puncak petang pula adalah dari jam 4.03 petang hingga 8.03 malam, dengan tren akan tiba setiap 15 minit. Jika tidak, selang masa adalah setiap setengah jam kecuali dari 11 malam hingga 12 tengah malam, di mana selangnya ialah setiap 20 minit.

    Bagi hujung minggu dan cuti umum pula, selang masa KLIA Transit adalah setiap 30 minit sepanjang hari kecuali dari 11 malam hingga 12 tengah malam, di mana ia beroperasi setiap 20 minit – tiada waktu puncak bagi hujung minggu dan cuti umum.

    Jika anda menaiki tren dari lapangan terbang menuju ke bandar, tren pertama (dari KLIA2) adalah pada jam 5.18 pagi dan tren terakhir berlepas pada 12.30 tengah malam. Waktu puncak pada hari bekerja adalah dari 6.18 pagi hingga 8.46 pagi, dan dari 4.18 petang hingga 7.46 malam. Tiada waktu puncak pada hujung minggu, hanya selang masa 30 minit kecuali pada satu jam terakhir perkhidmatan.

    Jadual Ramadan dengan waktu puncak yang diubah ini berkuat kuasa dari sekarang hingga 20 Mac.

     
     
  • Kerajaan jamin perlaksanaan cukai OMV/402 bagi kenderaan CKD tak akan bebankan rakyat B40, M40

    Kerajaan jamin perlaksanaan cukai OMV/402 bagi kenderaan CKD tak akan bebankan rakyat B40, M40

    Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin menyatakan bahawa perlaksanaan penuh struktur cukai nilai pasaran terbuka (OMV), atau PU(A) 402/2019—Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan membebankan sekitar 90% rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40

    “Impak kenaikan harga kenderaan berada pada tahap paling minimum. Kerajaan akan memastikan bahawa kenderaan mampu milik untuk golongan B40 dan M40 berdasarkan insentif cukai yang telah diluluskan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN- Jerantut), seperti yang dilaporkan oleh The Edge.

    “Impak-impak kecil lain mungkin akan membabitkan kenderaan-kenderaan dari jenama mewah, yang akan menyaksikan sedikit peningkatan harga. Walau bagaimanapun ini tidak akan menjejaskan pembeli dari kumpulan B40 dan M40, yang lazimnya tidak membeli kenderaan mewah,” tambahnya.

    OMV/402 ini akan mula dilaksanakan pada Julai tahun ini selepas ditangguh selama lima tahun dan ia menetapkan metodologi pengiraan baharu untuk mengira OMV kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan akan mempengaruhi harga jualannya.

    Semakan semula ini bertujuan untuk memperkenalkan pengiraan tambahan kepada persamaan tersebut, memperluaskan kiraan duti eksais untuk perkara lain termasuk memasukkan kos bukan pembuatan seperti aspek penjualan kenderaan serta elemen berkaitan seperti pemasaran, perbelanjaan pentadbiran dan keuntungan.

    Awal tahun ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan bahawa semakan semula terhadap OMV/402 ini akan “memberikan impak yang sangat sedikit atau tiada impak” terhadap harga kenderaan CKD. Namun sebelum itu persatuan tersebut gusar kerana harga kenderaan-kenderaan CKD berkenaan akan naik sekitar 10% hingga 30% selepas perlaksanaan undang-undang baharu tersebut.

     
     
  • Leapmotor C10 – kemas kini untuk pasaran Malaysia akan tiba, SUV EV dapat lebih kuasa dan jarak gerak?

    Leapmotor C10 – kemas kini untuk pasaran Malaysia akan tiba, SUV EV dapat lebih kuasa dan jarak gerak?

    Model SUV elektrik sepenuhnya, Leapmotor C10, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2024 bakal menerima satu lagi kemas kini dalam masa terdekat. Perkara ini dibaca melalui teaser oleh Leapmotor Malaysia di saluran media sosial rasminya, yang menjanjikan “lebih kuasa” dan “lebih jarak”.

    Sebelum ini, C10 pernah diberi kemas kini, pada tahun lalu, namun perubahannya agak kecil. Ia melibatkan pertukaran pengecas AC binaan dalam daripada 6.6 kW kepada unit 11 kW, selain penambahan beberapa kelengkapan baru seperti sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) jenis terus, kit pam tayar bermotor serta penutup ruang kargo belakang.

    Untuk kemas kini terbaru, perubahan yang dibawa dijangka lebih signifikan, khususnya daripada sudut mekanikal. Versi yang bakal diperkenalkan di Malaysia berkemungkinan besar akan menerima naik taraf sama seperti model yang telah dikemas kini di pasaran China tahun lalu.

    Leapmotor C10 – kemas kini untuk pasaran Malaysia akan tiba, SUV EV dapat lebih kuasa dan jarak gerak?

    Di China, kemas kini tersebut menyaksikan peningkatan kuasa kepada 299 PS (220 kW), iaitu tambahan 68 PS berbanding 231 PS sebelum ini. Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada versi Malaysia akan menerima angka yang betul-betul sama, memandangkan model sedia ada di sini menawarkan kuasa 218 PS (160 kW).

    Sekiranya peningkatan itu diterapkan, pecutan 0-100 km/j dijangka bertambah baik kepada sekitar 5.9 saat, berbanding 7.5 saat bagi model semasa. Janji “lebih jarak” pula hadir menerusi penggunaan bateri berkapasiti lebih besar. Pek bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) kini berkapasiti 74.9 kWh, meningkat daripada 69.9 kWh sebelum ini.

    Hasilnya, jarak pemanduan turut bertambah, dengan model baru mencatat jarak sehingga 605 km mengikut kitaran CLTC, atau sekitar 495 km berdasarkan standard WLTP. Ini merupakan peningkatan kira-kira 70 km berbanding jarak 424 km WLTP yang ditawarkan oleh C10 sedia ada di Malaysia.

    Leapmotor C10 – kemas kini untuk pasaran Malaysia akan tiba, SUV EV dapat lebih kuasa dan jarak gerak?

    Selain itu, model kemas kini di China turut beralih daripada seni bina elektrik 400V kepada 800V, yang lazimnya membolehkan pengecasan lebih pantas dan cekap. Jika tiada perubahan pada perancangan, ciri ini juga dijangka diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

    Dari segi penampilan luaran dan dalaman, tiada rombakan besar dijangka dilakukan. Antara perubahan kecil yang disebut termasuk pilihan warna ungu baru, pemegang pintu berkuasa elektrik serta pad pengecas tanpa wayar 50W yang lebih berkuasa. Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai harga baru, namun pada Jun tahun lalu, harga C10 telah disemak semula kepada RM125,000 daripada RM159,000.

    Satu lagi persoalan yang timbul adalah sama ada model kemas kini ini akan dipasang secara tempatan. Sebelum ini, pihak syarikat ada memaklumkan bahawa C10 akan dipasang secara CKD di fasiliti milik Stellantis di Gurun, Kedah, dengan operasi pemasangan dirancang bermula hujung tahun lalu. Jika perancangan itu berjalan lancar, adalah logik untuk menjangkakan versi 2026 ini akan hadir sebagai model pemasangan tempatan. Perkembangan lanjut dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026