Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda CR-V e:HEV RS 2026 di M’sia – tambah ciri baru, BLIS, RCTA, Google terbina dalam, kekal RM196k

    Honda CR-V e:HEV RS 2026 di M’sia – tambah ciri baru, BLIS, RCTA, Google terbina dalam, kekal RM196k

    Awal minggu ini, Honda Malaysia telah mengumumkan CR-V generasi keenam telah dinaiktaraf untuk 2026. SUV ini masih mengekalkan sebahagian besar cirinya, namun ada sedikit penambahan kelengkapan baharu, dan bagi varian tertinggi RS, ia diberikan naiktaraf kosmetik untuk bahagian dalamannya. Namun begitu, barisan model telah disusun semula, dengan kini hanya tiga varian ditawarkan berbanding empat varian yang diperkenalkan ketika model ini dilancarkan di sini pada Disember 2023.

    Varian asas S turbo sebelum ini telah digugurkan, manakala varian petrol E digantikan dengan versi hibrid e:HEV bagi gred yang sama. Ini menjadikan e:HEV E, yang berharga RM178,200, sebagai varian permulaan baharu bagi SUV tersebut, manakala V AWD pengecas turbo (RM181,900) dan e:HEV RS (RM195,900) kekal dalam barisan model. Menariknya, kehadiran E Hybrid ini menandakan buat pertama kalinya dua varian hibrid ditawarkan dalam satu barisan model Honda di Malaysia.

    Varian RS yang dikemas kini kini sudah berada di bilik pameran, seperti mana yang kami kongsikan foto di sini. Satu-satunya perubahan luaran yang ketara ialah pilihan warna baharu Blazing Red Pearl, dan semua varian CR-V kini didatangkan dengan filem penapis haba dan keselamatan Honda Authorised Solar and Security oleh Ecotint sebagai kelengkapan standard.

    Di bahagian dalam pula, satu-satunya penambahbaikan kosmetik hanya terdapat pada varian RS, dan ia agak kecil, iaitu kemasan hairline film yang lebih gelap pada trim papan pemuka serta logo RS timbul pada bahagian belakang tempat duduk hadapan. Dengan ketiadaan varian S, semua varian CR-V kini dilengkapi sistem Advanced Display Audio bersaiz 9.0-inci, dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.

    Penambahbaikan lain pula ialah Google Audio Services kini diintegrasikan ke dalam sistem infotainmen, yang menawarkan Google Assistant secara bebas tangan serta navigasi masa nyata melalui Google Maps, selain akses kepada pelbagai aplikasi melalui Google Play.

    Kemaskini ini juga memperkenalkan ciri baharu Digital Key, yang membolehkan pemilik menggunakan peranti mudah alih sebagai kunci utama kereta. Selain itu, fungsi kawalan jauh yang disepadukan dalam aplikasi mudah alih Honda Connect kini membolehkan tingkap dan pintu but berkuasa (power tailgate) dikendalikan secara jarak jauh.

    Bagi aspek bantuan pemandu dan keselamatan, sistem Honda Sensing masih ditawarkan, namun kini dilengkapi fungsi amaran trafik lintas belakang, yang dipanggil oleh Honda sebagai Cross Traffic Monitor (CTM).

    Selain itu, dalam langkah yang memodenkan kenderaan ini, sistem kamera sisi LaneWatch yang lama akhirnya digantikan dengan Blind Spot Information (BSI), yang memberi amaran kepada pemandu melalui indikator bercahaya pada cermin sisi ketika menukar lorong.

    Selain itu, dari segi mekanikal, model ini masih sama seperti ketika diperkenalkan. e:HEV RS (dan juga e:HEV E) dikuasakan oleh sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggabungkan operasi motor elektrik dan enjin petrol, dengan angka kuasa yang kekal tidak berubah berbanding sebelum ini.

    Enjin petrolnya ialah unit 2.0 liter Naturally Aspirated empat-silinder kitaran Atkinson, yang berfungsi terutamanya sebagai penjana, menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 190 Nm pada 4,500 rpm. Sementara itu, motor elektrik pula menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dari 5,000 hingga 8,000 rpm serta 335 Nm dari 0 hingga 2,000 rpm.

    Bagi satu-satunya versi petrol, iaitu V AWD, model ini terus menggunakan enjin L15BE 1.5 liter VTEC turbo empat-silinder yang sama, dengan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700 hingga 5,000 rpm.

     
     
  • Honda e:N2 bakal dilancar di Thailand – tempahan sudah dibuka, anggaran RM180k, 530 km NEDC

    Honda e:N2 bakal dilancar di Thailand – tempahan sudah dibuka, anggaran RM180k, 530 km NEDC

    Honda sah bakal melancarkan model EV baharu yang dikenali sebagai e:N2 di pasaran Thailand, di mana tempahannya di negara tersebut sudahpun dibuka. e:N2 ini merupakan sebuah SUV EV yang telahpun dilancarkan di China pada 2024, dikenali sebagai e:NS2 di sana, dan ia dibangunkan bersama oleh Honda dan Dongfeng. Model yang sama turut akan dilancarkan di Jepun dalam masa tiga bulan akan datang, di mana ia dikenali sebagai Honda Insight pada pasaran tersebut, dan tempahannya akan dibuka pada 19 Mac ini.

    Berbanding Honda e:N1 sebelum ini yang bersaing dalam kelas SUV segmen-B (diasaskan dari Honda HR-V), e:N2 ini adalah lebih besar dengan dimensi panjang 4,788 mm, lebar 1,838 mm, tinggi 1,570 mm serta jarak roda sejauh 2,733 mm, membolehkan ia bersaingan kepada model-model segmen-C seperti BYD Atto 3, Geely EX5/Proton eMas 7 dan Leapmotor C10.

    Namun ia masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti e:N1 iaitu motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm yang memacu roda hadapan, bersama bateri NMC keluaran CATL 68.8 kWj yang didakwa mampu memberikan jarak gerak sejauh 530 km dalam kitaran NEDC (545 km CLTC atau kira-kira 450 km WLTP). Di Jepun, Honda Insight di dakwa mempunyai jarak gerak lebih 500 km dalam kitaran WLTP.

    Dari segi rekaan, e:N2 menampilkan rekaan yang sporty yang nampak seperti coupe pembuka pintu belakang yang tersorok, bumbung yang rendah serta bahagian belakang yang nampak seperti sebuah fastback. Ia diberikan muka dengan lampu yang direka tajam dan nipis, serta nyalaan siang LED berbentuk anak panah pada bahagian sisi bersambung dengan jalur menyala yang merentangi sepenuhnya bahagian hadapan.

    Model pasaran Thailand ini disahkan akan menerima set rim aloi 18-inci, lampu LED hadapan dan belakang dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan fungsi operasi tanpa sentuhan.

    Manakala pada sebelah dalam, ia diberikan liang penghawa dingin seakan merentangi sepenuhnya papan pemuka, ‘bersatu’ dengan paparan instrumen yang nipis bersaiz 9.4-inci serta bersambung terus dengan panel pintu membentuk kabin seperti tab mandi.

    Ia turut diberikan skrin utama di tengah yang kelihatan seperti terapung bersaiz 12.8-inci, berfungsi dengan antara muka Honda Connect 4.0 serta disokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Tiada suis kawalan fizikal untuk sistem penghawa dingin kerana semuanya perlu dibuat pada skrin. Pemandu turut menerima paparan head-up 11.5-inci yang dipancar ke cermin hadapan.

    Honda e:N2 bakal dilancar di Thailand – tempahan sudah dibuka, anggaran RM180k, 530 km NEDC

    Perincian lain yang turut disahkan untuk e:N2 pasaran Thailand ini termasuk sistem pewangi udara, tempat duduk hadapan larasan berkuasa (lapan-hala dengan memori untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang) bersama liang pengalir udara, bumbung suria, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, penghawa dingin dua-zon dengan liang kabin belakang, pad pengecas tanpa wayar dan juga kamera pemantau 360-darjah.

    Manakala untuk keselamatan pula ia datang dengan tujuh-beg udara, kawalan kestabilan elektronik serta sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, bantuan pengekal tengah lorong, pengelak keluar jalan, amaran pergerakan kenderaan hadapan, pemantau titk buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga lampu tinggi automatik.

    Honda Thailand mengumumkan bahawa e:N2 akan dijual pada harga anggaran “1,4XX,XXX baht” atau sekitar RM180,000, di mana ia akan diimport sepenuhnya dari China seperti Honda Insight di Jepun. Dengan penawaran model ini di Thailand, boleh jadi e:N2 juga sebenarnya adalah salah satu dari enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia ke pasaran tempatan tahun ini?

     
     
  • Zeekr 7X turut jadi pilihan Datuk Seri Lee Chong Wei

    Selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza, kini giliran Datuk Seri Lee Chong Wei, sebagai selebriti kedua di Malaysia yang memilih Zeekr 7X sebagai kenderaan peribadi. Jika Datuk Siti memilih rona Forest Green, ikon badminton itu pula memilih warna Tech Grey.

    Dilancarkan pada Ogos 2025, model 7X telah mencatat kejayaan besar bagi jenama premium milik Geely itu, dengan lebih 1,500 unit terjual menjelang akhir tahun 2025. Malah SUV premium itu menduduki tempat kedua dalam carta jualan EV bagi Januari 2026, hanya di belakang Proton eMas 5.

    Ia masih dianggap berbaloi walaupun selepas kenaikan harga baru-baru ini bagi tahun 2026, yang menyaksikan harga runcit yang disyorkan (RRP) meningkat antara 1.6% hingga 1.8%. Kenaikan ini berlaku susulan tamatnya insentif pengecualian cukai untuk EV. Malah pelarasan kecil itu “mencerminkan komitmen terhadap pelanggan di Malaysia serta strategi jangka panjang jenama ini di pasaran tempatan, menurut Zeekr Malaysia.

    Barisan model 7X kini bermula dari RM182,800 bagi varian RWD Standard (sebelum ini RM179,800), manakala RWD Long Range pula berharga RM193,800 (sebelum ini RM190,800). Varian tertinggi AWD Performance kini dijual pada harga RM230,800, berbanding harga sewaktu dilancarkan iaitu RM226,800. Spesifikasi penuh dan maklumat lanjut boleh dilihat dalam artikel pelancarannya.

    Untuk tahun ini, Zeekr merancang untuk melancarkan tiga model baharu dan turut mengesahkan rancangan pemasangan tempatan (CKD). Model Zeekr pertama yang akan dipasang secara tempatan di Malaysia (dan juga di dunia) ialah 7X. Tiada garis masa khusus diberikan, namun memandangkan 7X bukan salah satu daripada tiga model baharu bagi 2026, ia dijangka muncul seawal tahun 2027.

     
     
  • Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

    Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

    Honda Insight kembali diperkenalkan, namun kali ini dengan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu. Selepas tiga generasi terkenal sebagai model hibrid yang menampilkan teknologi elektrifikasi terkini Honda, model terbaru ini sekarang beralih sepenuhnya kepada kuasa elektrik. Lebih menarik, Insight juga buat pertama kalinya tampil dalam bentuk SUV.

    Model ini dijadualkan dilancarkan di Jepun dalam tempoh tiga bulan akan datang, dengan tempahan dibuka bermula 19 Mac. Walaubagaimanapun, reka bentuknya mungkin tidak begitu asing kerana model yang sama sebenarnya telah diperkenalkan di China pada tahun 2024 dengan nama e:NS2, dibangunkan menerusi kerjasama antara Honda dan Dongfeng.

    Berdasarkan model yang dijual di China itu, Insight dijangka berkongsi komponen mekanikal yang sama. Ini termasuk penggunaan satu motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan dengan kuasa 150 kW atau bersamaan 204 PS serta tork 310 Nm.

    Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

    Angka tersebut hampir sama dengan yang ditawarkan oleh BYD Atto 3. Model ini juga dijangka menggunakan bateri jenis NMC berkapasiti 68.8 kWh seperti yang terdapat pada Honda e:N1, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 545 km mengikut kitaran ujian CLTC di China.

    Bagaimanapun, siaran media bagi pasaran Jepun menyatakan bahawa Insight mampu mencapai jarak pemanduan melebihi 500 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat. Ini memberi kemungkinan bahawa model untuk Jepun mungkin dilengkapi bateri berkapasiti lebih besar berbanding versi yang ditawarkan di China.

    Dari segi rekaan, Insight menampilkan gaya yang cukup unik dan moden. Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah yang disambungkan oleh jalur lampu melintang penuh, membentuk grafik menyerupai huruf “H”. Reka bentuk lampu belakang juga mengikuti konsep yang sama.

    Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

    Selain itu, model ini turut menggunakan pemegang pintu hadapan jenis tersembunyi yang keluar secara automatik, pemegang pintu belakang yang disorokkan pada bingkai, serta garis bumbung yang condong ke belakang menyerupai gaya fastback. Warna baru yang diperkenalkan, Aqua Topaz Metallic II, digambarkan sebagai gabungan kejernihan air dengan kilauan batu permata topaz.

    Di bahagian dalam, Insight menampilkan susun atur kabin yang lebih berorientasikan teknologi berbanding model Honda yang biasa kita lihat. Pemandu disajikan dengan paparan instrumen digital nipis bersaiz 9.4 inci, skrin infotainmen sentuh 12.8 inci yang menggunakan sistem Honda Connect 4.0 terkini, serta head-up display bersaiz 11.5 inci.

    Honda Insight muncul semula di Jepun sebagai EV – tukar nama dari e:NS2 pasaran China, WLTP 500 km

    Honda turut menyatakan bahawa Insight merupakan model pertama mereka di Jepun yang dilengkapi sistem pewangi udara binaan dalam serta fungsi pemanasan pintar yang menyelaras operasi pemanas kabin, tempat duduk dan stereng secara serentak. Sistem ini dikatakan mampu beroperasi dengan lebih senyap, cekap serta mengurangkan kesan penyahlembapan udara berbanding sistem terdahulu.

    Memandangkan Insight kini ditawarkan dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan, terdapat kemungkinan besar model ini akan dipasarkan ke lebih banyak negara dalam masa terdekat. Ini termasuk Malaysia, memandangkan model Honda e:N1 yang sebelum ini hanya ditawarkan di China telah pun mula dijual di pasaran tempatan sejak Mei 2025, walaupun sambutannya setakat ini dilihat cuma sederhana.

     
     
  • Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang

    Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang

    Land Rover Defender 2026

    Model baru dalam keluarga Defender bakal diperkenalkan tidak lama lagi apabila Land Rover merancang untuk melancarkan sebuah varian lebih kecil dikenali sebagai Defender Sport. Model ini dijangka membuat penampilan sulung pada tahun hadapan dan akan menjadi model pertama dalam sub-jenama Defender yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Menurut laporan Autocar, model baru itu sedang dibangunkan menggunakan platform kenderaan elektrik serba baru. Ia juga telah dikesan menjalani ujian jalan raya di United Kingdom sebagai sebahagian daripada proses pembangunan. Pengarah jenama Defender, Mark Cameron, memberitahu bahawa kerja pembangunan untuk model yang dirujuk sebagai “Defender Sport” kini berada pada tahap yang agak maju. Namun begitu, beliau tidak mengesahkan sama ada model tersebut benar-benar akan menggunakan nama Sport secara rasmi apabila dilancarkan kelak atau tidak.

    Apabila model baru ini diperkenalkan nanti, ia akan menjadi varian paling asas dalam rangkaian Defender yang ketika ini terdiri daripada Defender 90, 110 dan 130, selain versi Hardtop yang ditawarkan untuk kegunaan komersial. Kehadiran model ini juga menandakan produk serba baru pertama sejak Defender dijadikan sebagai jenama tersendiri di bawah strategi “House of Brands” JLR, yang turut merangkumi jenama Range Rover dan Discovery.

    Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang

    Range Rover Evoque

    Menurut Cameron, fokus semasa adalah untuk membangunkan Defender sebagai sebuah jenama gaya hidup mewah. Buat masa ini, Defender hanya mempunyai satu model utama dengan beberapa varian berbeza, namun perancangan sedang dibuat untuk tempoh tujuh hingga sepuluh tahun akan datang bagi memperluaskan portfolio jenama tersebut. Beliau menegaskan bahawa setiap model yang diperkenalkan perlu mengekalkan DNA utama Defender iaitu ketahanan luar biasa, dibina untuk tahan lama serta memiliki keupayaan meredah pelbagai keadaan.

    Dari segi saiz, Defender Sport dikatakan mempunyai panjang sedikit melebihi 4.5 meter. Model ini dibangunkan menggunakan platform EMA, iaitu seni bina yang akan menjadi asas kepada beberapa model elektrik masa depan dalam kumpulan JLR, termasuk pengganti kepada Range Rover Evoque dan Range Rover Velar.

    Bagi model yang lebih besar dan mewah seperti Range Rover bersaiz penuh dan Defender generasi sedia ada, ia akan terus menggunakan platform MLA, manakala Jaguar pula membangunkan platform EV tersendiri yang dikenali sebagai JEA.

    Land Rover Defender Sport akan diperkenal – EV badan lebih kecil, platform EMA Evoque akan datang

    Range Rover Velar

    Walaubagaimanapun, penggunaan platform dengan pek bateri yang diletakkan di bahagian bawah lantai membawa beberapa kompromi dari segi keupayaan teknikal. Cameron menjelaskan bahawa saiz kenderaan serta konfigurasi platform tersebut mungkin akan mengurangkan jarak pergerakan suspensi dan artikulasi roda berbanding Defender generasi L663 yang ada sekarang. Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa Defender Sport tetap akan direka untuk menawarkan tahap keupayaan off-road yang signifikan.

    Menurutnya lagi, keupayaan luar jalan yang menjadi identiti Defender sebenarnya memberikan cabaran tersendiri apabila diterapkan pada kenderaan elektrik, kerana ia boleh memberi kesan kepada jarak pemanduan. Oleh itu, tugas utama pasukan pembangunan adalah memastikan DNA Defender terus dikekalkan agar jenama itu tidak sekadar menjadi satu lagi SUV biasa di pasaran yang sudah pun dipenuhi pelbagai pilihan.

     
     
  • Nissan Versa 2026 dilancarkan di Mexico – Almera generasi baharu, akan dibawa juga ke ASEAN?

    Nissan Versa 2026 dilancarkan di Mexico – Almera generasi baharu, akan dibawa juga ke ASEAN?

    Nissan telah melancarkan Nissan Versa 2026 di Mexico, iaitu model yang dikenali sebagai Nissan Almera di pasaran negara kita. Walaupun Nissan menyatakan bahawa ini adalah model generasi baharu, kita boleh lihat dengan jelas ia masih menggunakan kerangka badan dan juga rekaan pintu yang masih sama dengan model generasi sebelumnya, menandakan ia masih diasaskan dari platform terdahulu.

    Apa yang dibuat pada Versa ini sebenarnya sama seperti Nissan Sentra generasi baharu yang didedahkan di Amerika Syarikat tahun lalu, di mana ia memang diasaskan dari platform lama tetapi diberikan pengayaan luaran dan dalaman baharu sepenuhnya.

    Model generasi baharu ini menampilkan muka signatur baharu Nissan dengan lampu nyalaan siang nipis dihubungkan kepada bar hitam merentangi sepenuhnya bahagian muncung, bersama logo Nissan di tengah, sementara lampu hadapan utama dan gril diletakkan pada bampar hadapan.

    Nissan Versa 2026 dilancarkan di Mexico – Almera generasi baharu, akan dibawa juga ke ASEAN?

    Rekaan lampu belakang pada badan yang masih diberikan rekaan boomerang. Namun model generasi baharu ini menampilkan bar hitam merentangi sepenuhnya penutup but bagi menghubungkan kedua-dua belah lampu belakang, manakala perumah nombor pendaftaran dialih ke bampar.

    Antara perincian yang diberikan bagi model pasaran Mexico ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED dengan fungsi Follow Me Home dan juga rim aloi 17-inci rekaan baharu.

    Malah Versa 2026 ini juga masih mengekalkan unit rangkaian kuasa yang sama – bagi pasaran Amerika Latin, Versa digerakkan oleh enjin HR16DE 1.6 liter empat-silinder NA berkuasa 118 hp dan tork maksima 154 Nm, berbeza dengan Almera di sini yang menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 100 PS/152 Nm. Enjin berkenaan digandingkan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau dengan transmisi CVT Xtronic.

    Nissan Versa 2026 dilancarkan di Mexico – Almera generasi baharu, akan dibawa juga ke ASEAN?

    Pada bahagian dalaman, terdapat sedikit rombakan rekaan dibuat pada papan pemuka di mana liang penghembus udara pendingin hawa pada bahagian tengah kini bercantum dengan perumah paparan instrumen, kedua-dua liang sisi yang sebelum ini berbentuk bulat diubah kepada bentuk bersegi, manakala skrin infotainmen di tengah kini pada kedudukan ‘terapung’.

    Manakala lain-lain perincian seperti suis-suis kawalan pada papan pemuka, konsol tengah dan roda stereng nampak masih sama seperti versi sebelum ini.

    Bergantung pada varian, Versa 2026 ini diberikan skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci, pad pengecas telefon tanpa wayar serta sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara.

    Untuk keselamatan pula semua varian Versa pasaran Mexico ini menerima enam-beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, penderia parkir belakang dan bantuan mula mendaki. Manakala varian lebih tinggi diberikan fungsi bantuan pemanduan seperti lampu bantuan lampu tinggi, amaran keluar lorong, cruise control adaptif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lain-lain.

    Nissan Versa 2026 ini diproduksi di Mexico dan bakal dieksport ke pasaran Amerika Latin yang lain. Ia ditawarkan dalam tiga varian di negara tersebut iaitu Sense, Advance dan Exclusive, di mana untuk Sense dan Advance ia tersedia dalam versi manual lima-kelajuan dan CVT, manakala varian tertinggi Exclusive hanya ditawarkan dalam versi CVT. Ia dijual pada harga bermula 382,900 peso (sekitar RM85k) sehingga 470,900 peso (RM105k).

    Untuk pasaran Asia Tenggara, negara seperti Thailand sudahpun menerima Almera facelift pada 2023. Namun kita di Malaysia masih lagi ditawarkan Almera N18 dengan rupa yang sama sejak ia membuat kemunculan global sulung pada 2019. Mungkin apabila model generasi baharu ini ditawarkan, kita di Malaysia akan terus menerima versi terbaharu ini?

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV — 3.5k tempahan dalam 1.5 bulan

    Proton eMas 7 PHEV — 3.5k tempahan dalam 1.5 bulan

    Sejak mula dibuka untuk tempahan bermula sebulan setengah yang lalu, Proton eMas 7 PHEV kini telah menerima lebih daripada 3,500 tempahan. Model berkenaan dilancarkan secara rasmi sejak 4 Februari lalu.

    Pro-Net selaku pengedar jenama Proton eMas memaklumkan, angka tempahan yang sangat menggalakkan ini adalah isyarat penerimaan yang meyakinkan daripada pasaran. Disifatkan sebagai naik taraf yang praktikal dari kenderaan ICE biasa, eMas 7 PHEV menawarkan peralihan yang lancar ke arah mobiliti elektrifikasi, dan dalam masa yang sama mengekalkan kebiasaan enjin konvensional.

    “Melepasi 5,000 serahan dalam tempoh hanya dua bulan dan mencapai lebih daripada 3,500 tempahan untuk eMas 7 PHEV dalam tempoh sebulan setengah jelas menunjukkan penerimaan yang semakin rancak terhap mobiliti elektrifikasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini juga mengesahkan bahawa strategi kami untuk menawarkan penyelesaian pengangkutan berasaskan elektrikfikasi yang praktikal untuk pasaran tempatan adalah tepat,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang.

    Proton eMas 7 PHEV — 3.5k tempahan dalam 1.5 bulan

    Proton eMas 7 PHEV menggunakan sistem EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter NA BHE15PFI (sama seperti enjin Saga MC3) dengan janaan 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan 125 Nm tork, dan menggandingkannya dengan sebuah motor elektrik di depan dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 262 Nm — dengan enjin kitaran Atkinson. Output maksimum PHEV ini ialah sebanyak 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan 262 Nm yang disalurkan ke roda depan. Sistem ini mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 996 km WLTP.

    Ketika pelancarannya, SUV PHEV berkenaan ditawarkan dalam tiga varian: Proton eMas 7 PHEV Prime (RM109,800); Proton eMas 7 PHEV Premium (RM123,800); dan Proton eMas 7 PHEV Premium Plus (RM129,800). Perincian lanjut tentang spesifikasinya ada di sini.

     
     
  • MB Negeri Sembilan mohon maaf adakala terpaksa langgar lampu isyarat merah untuk hadiri acara rasmi

    Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memohon maaf susulan satu video tular di media sosial berhubung kenderaan rasminya yang melanggar lampu isyarat merah di bandar Seremban baru-baru ini.

    Aminuddin mengakui kadangkala pemandunya terpaksa melanggar lampu isyarat merah bagi memastikan beliau tiba di lokasi acara rasmi tepat pada waktunya, laporan Harian Metro.

    Tambahnya, jadual hariannya yang padat dengan pelbagai program sehari menyebabkan pemandunya perlu mengejar masa.

    “Saya akui kadangkala terpaksa melanggar lampu merah kerana perlu cepat sampai dan terdapat beberapa acara rasmi yang dirancang dalam sehari. Boleh tengok di Facebook saya, berapa program yang saya hadir dalam sehari,” katanya yang mengakui terdapat seorang pegawai polis dalam kenderaannya.

    “Kita terpaksa langgar (lampu isyarat merah), tetapi dalam keadaan berhati-hati dan menggunakan isyarat yang cukup kerana hendak segera sampai ke lokasi.

    “Saya minta maaf, kalau tidak saya pun tak berani langgar. Biasanya pemimpin negeri diberi kelonggaran untuk hal atau perkara tertentu,” katanya yang menambah pejabatnya juga sudah menulis surat kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mendapatkan kelulusan diperlukan.

     
     
  • Jaecoo J5 2026 dilancar di Malaysia – RM102k dengan rebat, CKD, SUV segmen-B, 1.5L Turbo 147 PS, CVT

    Jaecoo J5 2026 dilancar di Malaysia – RM102k dengan rebat, CKD, SUV segmen-B, 1.5L Turbo 147 PS, CVT

    Omoda | Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV segmen-B Jaecoo J5 ke pasaran tempatan. Ditawarkan hanya dalam satu varian tunggal yang dipasang secara tempatan (CKD), Jaecoo J5 ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM108,000. Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J5 ini, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan.

    Bagi pelanggan yang membuat tempahan awal iaitu bermula hari ini hingga 15 Mac 2026, J5 ini juga turut ditawarkan dengan pakej “super early bird” bernilai sehingga RM8,000. Pakej ini merangkumi rebat tunai “duit raya” sebanyak RM3,000, pilihan insurans percuma untuk tahun pertama bernilai RM3,000 ataupun duit raya tambahan sebanyak RM3,000 menjadikan harga jualan lebih murah iaitu RM102,000, serta pakej aksesori bernilai RM2,000. Aksesori yang ditawarkan termasuk subwoofer dalam kabin, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi.

    Jaecoo J5 ini sebenarnya model yang berkongsi platform sama dengan Chery Tiggo Cross, namun menampilkan dimensi sedikit berbeza iaitu panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm, dan juga jarak roda 2,620 mm. Jadi ia akan berhadapan terus dengan model-model SUV segmen-B seperti Proton X50 dan Honda HR-V, menampilkan panjang yang sama seperti X50, tetapi 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi serta jarak roda 20 mm lebih jauh berbanding SUV dari Proton tersebut.

    Jaecoo J5 2026 dilancar di Malaysia – RM102k dengan rebat, CKD, SUV segmen-B, 1.5L Turbo 147 PS, CVT

    Jaecoo J5 menerima suspensi bebas multilink yang lebih jitu pada bahagian belakang berbanding Tiggo Cross dan juga kebanyakkan SUV segmen-B lain yang menampilkan suspensi jenis torsion beam yang lebih ringkas. Manakala di hadapan ia diberikan konfigurasi topang McPherson.

    Dari segi rupa, J5 masih nampak seperti abangnya iaitu SUV segmen-C Jaecoo J7 tetapi dalam skala yang lebih kecil. Ia termasuk menampilkan gril hadapan ‘jailbar’ besar serta diberikan lampu hadapan LED nipis dengan jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam, bentuk bayang badan dan cermin tingkap dan juga lampu LED belakang nipis yang diinspirasikan dari rekaan SUV British iaitu Range Rover.

    Namun J5 diberikan pembuka pintu konvensional, berbanding jenis tenggelam yang diberikan pda J7. Model pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan set rim aloi berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar Chao Yang Aggressor
    ZS03+ bersaiz 235/55R18.

    Jaecoo J5 2026 dilancar di Malaysia – RM102k dengan rebat, CKD, SUV segmen-B, 1.5L Turbo 147 PS, CVT

    Model pasaran Malaysia ini ditawarkan hanya dalam versi unit rangkaian kuasa petrol sepenuhnya, berbanding pasaran Thailand yang menerima J5 ini dalam versi elektrik penuh (EV) dan telah dilancarkan di sana tahun lalu. Di sini J5 digerakkan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210 Nm, angka yang sama dicatatkan pada enjin Chery Tiggo Cross 1.5T.

    Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dengan kelajuan maksima 175 km/j, dan mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.

    Pada sebelah dalam, J5 menampilkan papan pemuka yang direka minimalis menampilkan hanya berapa butang kawalan fizikal. Papan pemuka berkenaan diberikan satu panel hitam berkilat mendatar yang ‘menyembunyikan’ liang penghembus udara dan juga skrin LCD 8-inci untuk paparan instrumen digital sekiranya ia tidak dihidupkan.

    Ia juga diberikan skrin sesentuh 2K untuk sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara menegak bersama WiFi bina-dalam, dihubungkan kepada sistem audio dengan lapan-pembesar suara. Model pasaran Malaysia ini juga menerima bumbung kaca panaromik sebesar 1.45 ㎡ didakwa terbesar dalam kelasnya, serta merangkumi hampir sepenuhnya bahagian bumbung SUV ini.

    Selain itu, kabin J5 pasaran Malaysia ini akan menerima upholsteri kulit tiruan berwarna hitam yang didakwa ‘mesra haiwan peliharaan’. Manakala untuk but, ia menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 480 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,180 liter jika tempat duduk belakang dilipat (boleh dipisah dengan nisbah 60/40) sepenuhhnya.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin dan fungsi kunci walk away, penghidup enjin jarak jauh dengan penghidup penghawa dingin, amaran kunci tertinggal di dalam kenderaan, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan bukaan pengesan jarak kunci.

    Bagi sistem keselamatan, Omoda Jaecoo Malaysia cuma mengesahkan bahawa J5 pasaran tempatan ini dilengkapi dengan enam-beg udara, sistem kamera pemantau 540-darjah, sistem pemantau tekanan angin tayar, amaran bukaan pintu tailgate dan bonet hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun dan pelbagai lagi.

    Ia juga disertakan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) 2.5, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, lampu tinggi automatik, amaran pelanggaran hadapan cruise control adaptif, bantuan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran mula gerak kenderaan hadapan, amaran dan brek lintasan trafik belakang, bantuan kesesakan trafik, amaran buka pintu dan pelbagai lagi.

    GALERI: Gambar rasmi Jaecoo J5 2026 pasaran Malaysia

     
     
  • Aveta Bellagio 125 dilancar untuk Malaysia – RM6,998

    Aveta Bellagio 125 dilancar untuk Malaysia – RM6,998

    Aveta hari ini melancarkan dua buah skuter, dengan salah satunya adalah Bellagio 125. Membawa gaya retro yang familiar, Bellagio 125 ini dijual pada harga RM6,998 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Diamond White, Pistachio Green dan Carbon Black.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder SOHC, suntikan bahan api, penyejukan udara 124 cc bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti enam liter.

    Informasi penting dipaparkan melalui skrin digital LCD di hadapan penunggang dan demi memberikan kemudahan, ia juga datang dengan soket pengecas USB C dan A, penghadang angin hadapan, ruang simpanan bawah tempat duduk serta poket barangan di bawah bahagian pemegang.

    Skuter ini terletak di atas rim yang sama saiz di hadapan dan belakang, iaitu 12 inci, dibalut tayar 90/90, dan ia dipegang masing-masing fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap di belakang. Untuk brek, hanya bahagian hadapan menggunakan tetapan cakera, sementara di belakang masih menggunakan dram.

    Secara keseluruhan, skuter ini mencatat berat 100 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 775 mm, menjadikan ia sesuai untuk lebih ramai pengguna.

     
     
  • Aveta Viper 180 dilancar di Malaysia – RM8,998

    Aveta Viper 180 dilancar di Malaysia – RM8,998

    Satu lagi skuter yang dilancarkan oleh Aveta hari ini bersama Bellagio 125 adalah Viper 180. Ia dijual pada harga RM8,998 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Arctic White, Midnight Black dan Storm Grey.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 174 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 18 hp pada 6,500 rpm dan tork 17.2 Nm pada 8,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 10.5 liter.

    Selain penampilan yang garang, Viper 180 turut menyediakan kelengkapan canggih termasuk skrin TFT LCD tujuh inci yang boleh disambung kepada telefon pintar dan mempunyai perakam video hadapan, serta lampu jenis LED di hadapan dan belakang.

    Rim mempunyai saiz yang berbeza, iaitu 14 inci dibalut tayar 110/70 di hadapan, dan 13 inci dibalut tayar 130/70 di belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleksopik serta dua penyerap hentak.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dan ia datang terus dengan sistem ABS dual-channel. Turut disediakan sebagai ciri keselamatan adalah kawalan cengkaman. Jaminan untuk Viper 180 adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Harga minyak 5-11 Mac – RON97 naik 10 sen, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung naik 8 sen

    Harga minyak 5-11 Mac – RON97 naik 10 sen, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung naik 8 sen

    Untuk tempoh antara 5 hingga 11 Mac 2026, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 10 sen seliter menjadi RM3.25 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia dinaikkan sebanyak lapan sen seliter menjadi RM2.67 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Untuk harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia turut dinaikkan lapan sen seliter menjadi RM3.12 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia masih berharga RM2.15 seliter.

    Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi untuk rakyat Malaysia walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Timur Tengah.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, bagaimanapun kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi Madani RON95 (Budi95).

     
     
  • Proton Saga MC3 — kempen servis bagi MY2025; komponen tingkap kuasa dan kemaskini perisian ESC

    Proton Saga MC3 — kempen servis bagi MY2025; komponen tingkap kuasa dan kemaskini perisian ESC

    Merujuk kepada satu hantaran di laman Facebook Proton Saga MC3 2025, Proton Saga MC3 model tahun 2025 telah dipanggil semula untuk dua hal teknikal.

    Hantaran berkenaan yang memuatkan imej seperti paparan terminal komputer di pusat servis menunjukkan dua baru perkara yang dimaksudkan. Yang pertama memaparkan “software updates for electronic stability control”, dan yang kedua memaparkan “memo [for] all new Saga replacement of power window”.

    Yang pertama agak jelas melibatkan kemaskini perisian sistem kawalan kestabilan model berkenaan, sementara yang kedua akan melibatkan penggantian komponen tingkap kuasa, tanpa dinyatakan apakah perinciannya. Ambil maklum, ini hanyalah untuk model tahun 2025, dan unit yang dikeluarkan bermula awal tahun ini tidak terkesan.

    Menurut Proton, panggilan semula ini merupakan langkah penambahbaikan produk serta kempen servis, dan bukannya berkaitan kualiti keselamatan. Kemaskini terhadap tingkap kuasa misalnya adalah melibatkan penambahbaikan terhadap komponen, yang mencerminkan sebuah usaha berterusan daripada Proton untuk memperhalusi dan mempertingkat produknya, dan bukanlah disebabkan masalah kerosakan.

    Proton Saga MC3 — kempen servis bagi MY2025; komponen tingkap kuasa dan kemaskini perisian ESC

    Dilancarkan pada November 2025, Proton Saga MC3 diperkenalkan dalam tiga varian — Proton Saga 1.5 Standard A/T (RM38,990), Proton Saga 1.5 Executive A/T (RM44,990), Proton Saga 1.5 Premium CVT (RM49,990). Semua varian ini menggunakan enjin BHE15PFI 1.5 liter empat-silinder NA — dengan Premium digandingkan dengan CVT, manakala dua varian yang lebih rendah dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Dibangun menggunakan platform Advanced Modular Architecture (AMA), Saga MC3 ini turut dikenali dengan kod nama AMA01, yang memberi petunjuk bahawa sedan ini merupakan model pertama daripada siri tersebut yang akan diperkenalkan kelak — hal yang sudah disahkan oleh Proton, dengan versi SUV dan MPV bakal menyusul.

    Ini boleh dilakukan kerana platform AMA tersebut membolehkan jarak roda dan lebar sentuhan jalannya dilanjutkan sehingga 290 mm, sekali gus memungkunkan model MPV dan SUV untuk dihasilkan daripada platform sama dengan berbeza saiz.

     
     
  • Denza Z9 GT sah bakal masuk Malaysia — model flagship shooting brake bakal dilancarkan 1H 2026?

    Denza Z9 GT sah bakal masuk Malaysia — model flagship shooting brake bakal dilancarkan 1H 2026?

    Dalam satu majlis CNY dan berbuka puasa anjuran BYD/Denza yang lalu, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao mengesahkan bahawa model Denza Z9 GT akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi. Bagaimanapun, tiada tempoh yang dinyatakan setakat ini.

    Model berkenaan sudah beberapa kali ditunjukkan di Malaysia. Kali pertama adalah ketika pelancaran MPV Denza D9 lebih setahun yang lalu, sebelum turut membuat penampilan di acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org pada Julai 2025. Ia sekali ditampilkan kepada umum ketika pameran BYD Tech Discovery pada November tahun lalu. Sebelum ini, ada khabar yang menyatakan bahawa Z9 GT akan dilancarkan di sini seawal separuh pertama 2026.

    Di China, Z9 merupakan model BYD/Denza untuk bersaing dengan Shooting Brake EV kumpulan Geely iaitu Zeekr 001. Ada juga versi sedan untuk model yang sama di sana. Di Malaysia ketika ini, segmen berkenaan hanya ada Porsche Taycan Cross Turismo. Z9 di China tidak hanya ditawarkan dalam bentuk EV, tetapi turut hadir dalam pilihan plug-in hybrid (PHEV).

    Denza Z9 GT sah bakal masuk Malaysia — model flagship shooting brake bakal dilancarkan 1H 2026?

    Bagi model EV seperti yang pernah dilihat di PACE tahun lalu, ia merupakan unit pemanduan sebelah kiri (LHD) dan dilengkapi dengan tiga motor elektrik — gandar hadapan menerima sebuah motor berkuasa 313 PS (230 kW) dan tork maksima 430 Nm, sementara gandar belakang dipacu oleh dua buah motor elektrik masing-masing berkuasa 326 PS (240 kW) dan tork maksima 360 Nm.

    Secara keseluruhan, ketiga-tiga motor elektrik ini membekalkan Denza Z9 GT EV dengan kuasa sebanyak 965 PS (710 kW) dan tork 1,150 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat hanya dalam masa 3.4 saat! Motor-motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) gergasi 100 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 630 km dalam kitaran ujian domestik China CLTC.

    Bateri tersebut boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC yang mampu menampung kadar sehingga 270 kW, membolehkan pengecasan 30% hingga 80% dicapai dalam masa hanya 19 minit.

    Denza Z9 GT sah bakal masuk Malaysia — model flagship shooting brake bakal dilancarkan 1H 2026?

    Bagi versi PHEV pula, kuasa yang dibekalkan pada setiap motor adalah sedikit rendah, dengan motor gandar hadapan berkuasa 272 PS (200 kW)/315 Nm dan motor gandar belakang masing-masing berkuasa 299 PS (220 kW)/360 Nm. Ini secara keseluruhan membekalkan kuasa 870 PS (640 kW) dan tork maksima 1,035 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.6 saat.

    Bateri yang membekalkan kuasa juga lebih kecil: bateri LFP dengan 38.5 kWj. Namun, bateri berkenaan akan sentiasa dicas oleh sebuah enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 207 PS/325 Nm yang bertugas hanya sebagai generator, tanpa sebarang mekanisma untuk memacu roda.

    Dengan satu cas bateri penuh, Z9 GT PHEV boleh bergerak sejauh 201 km tanpa enjin petrol dihidupkan. Manakala dengan satu tangki penuh petrol ia boleh berjalan sejauh 1,101 km. Bateri tersebut masih boleh dicas seperti EV sebenar — dengan pengecas pantas DC berkapasiti 82 kW, dan pengcasan dari 30% hingga 80% hanya memerlukan 19 minit.

    Denza Z9 GT sah bakal masuk Malaysia — model flagship shooting brake bakal dilancarkan 1H 2026?

    Denza Z9 GT mempunyai ukuran dimensi 5,180 mm panjang, 1,990 mm lebar dengan jarak roda sejauh 3,125 mm. Berbanding Porsche Taycan Sport Turismo, Denza Z9 GT ini adalah 217 mm lebih panjang dan 24 mm lebih lebar, serta jarak rodanya 225 mm lebih jauh.

    Badan yang sangat besar ini ditampung dengan penyerap hentak adaptif DiSus-C, atau pilihan suspensi udara DiSus-A (perincian ini adalah standard untuk versi EV) bagi memberikan pengendalian yang baik. Turut membantu Shooting Brake gergasi ini untuk meredah selekoh dengan lincah adalah sistem stereng pada gandar belakang dengan sudut putaran sehingga 15 darjah, bersama agihan tork untuk kedua-dua motor elektrik kiri dan kanan dikawal oleh sistem torque-vectoring.

    Denza Z9 GT di PACE 2025

     
     
  • Proton jual 13,566 unit kenderaan untuk Februari 2026 – 6,047 unit Saga MC3 dihantar kepada pelanggan

    Proton jual 13,566 unit kenderaan untuk Februari 2026 – 6,047 unit Saga MC3 dihantar kepada pelanggan

    Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,566 unit kenderaan sepanjang Februari 2026. Tidak dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun jumlah jualan bulanan yang diumumkan oleh Proton lazimnya turut mengambilkira unit-unit yang dieksport keluar negara.

    Jumlah jualan ini jelas jatuh sebanyak 31% berbanding jumlah luar biasa banyak iaitu 19,833 unit yang dicatatkan pada Januari 2026. Namun jika dibandingkan dengan Februari 2025, jualan yang dicatatkan ini sebenarnya naik sebanyak 20.8% Ini menjadikan jumlah keseluruhan Proton untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini sudahpun mencecah 33,399 unit, atau naik 57.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Proton menganggarkan Jumlah Volum Industri (TIV) 17.6% kepada 52,996 unit bulan lalu, jadi ia menganggarkan pegangan pasarannya pada Februari dianggarkan sekitar 25.6%, manakala pegangan pasaran untuk dua bulan pertama tahun ini berada pada 28.5%.

    Proton jual 13,566 unit kenderaan untuk Februari 2026 – 6,047 unit Saga MC3 dihantar kepada pelanggan

    Penurunan jualan Proton bulan ini secara jelasnya adalah kerana jumlah penghantaran Proton Saga bagi Februari hanya 6,047 unit berbanding 10,285 unit pada bulan lalu. Ini membolehkan jumlah jualan tahunan Saga kini mencecah 16,332 unit hanya dalam masa dua bulan pertama tahun ini, naik 69.8% berbanding tahun lalu.

    Manakala Proton X50 facelift pula merekodkan jualan sebanyak 1,842 unit pada Februari, menjadikan jumlah jualan kumulatifnya bagi dua bulan pertama tahun ini mencapai 4,271 unit, meningkat 31.1% berbanding tahun lalu.

    Satu lagi sedan Proton iaitu S70 yang telahpun menerima tingkat taraf enjin yang lebih berkuasa bulan lalu terjual sebanyak 1,940 unit sepanjang Februari. Ini menjadikan jumlah jualan tahunannya untuk dua bulan pertama tahun ini naik sebanyak 3,544 unit, meningkat 51.5% berbanding tempoh sama tahun lalu. Proton menyatakan bahawa ia telah menerima sekitar 5,000 tempahan S70 MC1 yang baru dilancarkan pada 11 Februari lalu.

    “Proton memulakan 2026 dengan prestasi yang kukuh hasil permintaan berterusan terhadap barisan model baharu kami. Pada masa sama, usaha menambah baik pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis terus menjadi keutamaan.

    Proton jual 13,566 unit kenderaan untuk Februari 2026 – 6,047 unit Saga MC3 dihantar kepada pelanggan

    “Dalam tempoh terdekat, fokus kami adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti produk. Pelaburan yang dibuat di Tanjong Malim memberi keyakinan kepada kami untuk memenuhi permintaan pasaran,” kata CEO Proton Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

    Proton turut mengumumkan bahawa aplikasi Proton Link 2.0 telah dikemas kini pada awal Mac bagi membolehkan pelanggan membuat tempahan servis secara terus dengan rangkaian pusat 3S/4S PROTON di seluruh negara.

    “Selain produk baharu, Proton turut memberi perhatian kepada pengalaman pemilikan secara menyeluruh. Daripada kemudahan bilik pameran dan pusat servis yang lebih selesa hingga kepada kemudahan dalam talian, kami komited memastikan pengalaman memiliki kenderaan Proton lebih mudah dan memuaskan,” tambah beliau.

     
     
  • Kerajaan tidak bercadang ubah harga subsidi RON95 walau pasaran minyak global tidak menentu – MOE

    Kerajaan tidak bercadang ubah harga subsidi RON95 walau pasaran minyak global tidak menentu – MOE

    Kerajaan tidak bercadang melakukan perubahan drastik terhadap dasar semasa, khususnya membabitkan harga subsidi RON95, walau pun pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

    Akmal turut berkata, konflik di Timur Tengah tidak menunjukkan indikator yang kukuh untuk mendorong kerajaan melakukan perubahan drastik terhadap dasar sedia ada termasuk mengubah harga minyak di pasaran domestik, laporan Bernama.

    “Kementerian Ekonomi (MOE) sedang memantau dengan teliti apa yang berlaku di Timur Tengah tetapi ia tidak memberikan sebarang petunjuk untuk kerajaan membuat sebarang perubahan drastik dari segi dasar kita. Kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar, kita masih mengekalkan harga RON95 yang munasabah kepada rakyat, katanya.

    Pada 1 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi untuk rakyat Malaysia walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Timur Tengah.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, bagaimanapun kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi Madani RON95 (Budi95).

     
     
  • Johor mula uji Komuter Selatan – Kempas Baru ke Pasir Gudang hanya 40 minit, operasi mula tahun ini

    Johor mula uji Komuter Selatan – Kempas Baru ke Pasir Gudang hanya 40 minit, operasi mula tahun ini

    Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) telah mula melaksanakan ujian ‘dry run’ perkhidmatan Komuter Selatan laluan Kempas Baru – Pasir Gudang bersama pasukan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam, di mana ia turut disertai oleh YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor bersama En. Mohd Fa’iz Salehon selaku CEO PAJ.

    Menurut PAJ, ujian ini dijalankan bagi menilai tempoh perjalanan sebenar serta mengukur potensi perkhidmatan ini sebagai alternatif berdaya saing kepada penggunaan kenderaan persendirian. Dan hasil dari ujian tersebut menunjukkan tempoh perjalanan sekitar 35 hingga 40 minit dari Kempas Baru ke Stesen Pasir Gudang hanya mengambil masa sekitar 35 hingga 40 minit, di mana ia disifatkan sebagai satu tempoh yang kompetitif dan lebih konsisten berbanding perjalanan jalan raya yang sering berdepan kesesakan, khususnya pada waktu puncak.

    Perbadanan itu juga menyatakan bahawa perkhidmatan Komuter Selatan ini dijangka mula beroperasi pada tahun ini dan bakal menjadi pilihan mobiliti strategik buat warga Johor, terutamanya pekerja sektor perindustrian di Pasir Gudang serta mereka yang berulang-alik ke Bandaraya Johor Bahru.

    Penyediaan perkhidmatan Komuter Selatan ini juga merupakan salah satu mod utama dalam strategi penyuraian trafik yang diambil oleh kerajaan Negeri Johor, di mana ia dirangka dengan integrasi bersama rangkaian bas awam sedia ada serta kemudahan park and ride di stesen terpilih bagi memastikan kesinambungan perjalanan yang lebih lancar dan menyeluruh.

    PAJ juga menyatakan bahawa inisiatif ini selari dengan agenda Kerajaan Negeri dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Greater Johor Bahru dan Pasir Gudang, selain menyokong pembangunan kawasan Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), serta ia diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, sekali gus menyumbang kepada sistem mobiliti yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan untuk Negeri Johor.

    Cadangan untuk mewujudkan Komuter Selatan ini telah disebutkan Fazli pada Disember tahun lalu untuk mengoptimakan penggunaan landasan tunggal sedia ada yang telahpun tersedia tetapi ia hanya digunakan untuk mengangkut barangan. Beliau turut menyatakan projek ini dijangka mampu mengurangkan masalah trafik di Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan kawasan sekitar dan telah mencadangkan stesen penumpang sementara untuk di Taman Daya, Bandar Seri Alam dan Kampung Pasir Putih, manakala tambang yang dicadangkan adalah sekitar RM3 sehala.

     
     
  • Pengecas Tesla Supercharger kini dibuka untuk EV bukan Tesla di Malaysia – lokasi terpilih, RM1.80/kWj

    Pengecas Tesla Supercharger kini dibuka untuk EV bukan Tesla di Malaysia – lokasi terpilih, RM1.80/kWj

    Pengecas kenderaan elektrik pantas Tesla Supercharger kini sudahpun dibuka untuk digunakan pada EV bukan jenama Tesla di Malaysia. Namun buat masa sekarang servis tersebut hanya dibuka pada Tesla Supercharger di lokasi terpilih, dan semuanya masih dalam kawasan Lembah Klang.

    Lokasi-lokasi tersebut adalah di Shah Alam (i-City Finance Avenue), Kuala Lumpur (Pavilion KL), Putrajaya (IOI City Mall) dan juga Dengkil (Gamuda Cove).

    Berdasarkan harga yang ditunjukkan dalam aplikasi, pemilik EV bukan Tesla perlu membayar RM1.80 untuk satu kWj bagi mengecas kereta mereka menggunakan Tesla Supercharger tersebut. Turut terdapat caj kesesakan dikenakan sehingga RM2.00 seminit sekiranya lokasi berkenaan sedang sibuk.

    Pengecas Tesla Supercharger ini lazimnya berkadar 250 kW dan menggunakan penyambung jenis CCS2. Untuk menggunakannya pemilik EV bukan Tesla perlu memuat turun aplikasi Tesla (iOS, Android) dan perlu membuat pendaftaran akaun Tesla.

    Cara-cara menggunakannya adalah seperti berikut:

    • Muat turun dan pasang aplikasi Tesla
    • Daftar akaun Tesla
    • Pilih ‘Charge Your EV’ dan cari lokasi Supercharger anda.
    • Tambah kaedah pembayaran anda.
    • Palamkan penyambung pada kenderaan anda.
    • Pilih pegun dan tekan ‘Start Charging.’
    • Pilih ‘Stop Charging’ untuk melengkapkan sesi pengecasan anda.

    Jika anda juga kini memiliki kenderaan Tesla dan anda ingin mengecas EV bukan Tesla anda yang lain, buka aplikasi Tesla dan tekan menu di bahagian atas sebelah kanan untuk mencari pilihan ‘Charge Your Other EV’.

    Juga terdapat promosi “Get Supercharged” yang sedang berlangsung di mana jika anda menyertai peraduan tersebut, anda boleh memenangi kredit Supercharging bernilai 1,500 km hanya dengan menyertainya.

    Penawaran terbaharu yang dibuat oleh Tesla Malaysia ini adalah selari dengan salah satu syarat untuk pengecualian AP Tesla di bawah program BEV Global Leaders, iaitu ia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dengan sekurang-kurangnya 30% daripadanya terbuka kepada orang ramai dan untuk digunakan oleh EV daripada jenama lain.

     
     
  • JPJ eBid: QBJ dan NEK bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Negeri Sembilan bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QBJ, bakal dibuka bidaan smulai 8 Mac. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 12 Mac. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 13 Mac 2026.. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Negeri Sembilan, NEK, bakal dibuka bidaan mulai 9 Mac. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 13 Mac, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 Mac 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026