Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Aveta Nova 200 dilancarkan di Malaysia – skuter 183 cc dengan ABS dan TC, penyerap belakang tabung

    Aveta Nova 200 dilancarkan di Malaysia – skuter 183 cc dengan ABS dan TC, penyerap belakang tabung

    Barisan model Nova daripada Aveta, yang terdiri daripada Nova 125, Nova 160 dan Nova 250 kini bertambah apabila pengeluar jenama tempatan itu memperkenalkan pula Nova 200. Ia dilancarkan pada harga RM8,488 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan Nova 200 adalah enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 183.3 cc bersama padanan transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 18 hp pada 8,000 rpm dan tork 17.6 Nm pada 5,500 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan pemula elektrik, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 10 liter.

    Skuter ini duduk di atas rim 14 inci dengan saiz tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas. Brek di kedua-dua roda adalah unit cakera, datang lengkap dengan sistem ABS dual-channel.

    Ciri keselamatan ditambah lagi dengan sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup secara mudah melalui butang di bahagian kiri pemegang, manakala kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk kunci pintar, poket barangan dengan soket pengecas USB C dan A serta ruang simpanan di bawah tempat duduk.

    Selain panel badan yang nampak sporty, Nova 200 juga didatangkan dengan perincian berkonsep sama, seperti yang boleh dilihat pada tempat duduk serta motif lampu LED-nya. Informasi penting dipaparkan melalui meter digital LCD. Tiga warna ditawarkan untuk Nova 200 ini iaitu Neon, kelabu dan biru.

     
     
  • Jaecoo J5 di Malaysia – SUV segmen-B dengan ADAS Tahap 2, upholstery mesra-haiwan peliharaan; RM108k

    Jaecoo J5 di Malaysia – SUV segmen-B dengan ADAS Tahap 2, upholstery mesra-haiwan peliharaan; RM108k

    Jaecoo J5 yang dilancarkan pada Mac lalu, diposisikan di bawah kategori SUV segmen-B, bukan setakat menjadi pesaing kepada Proton X50 dan Honda HR-V, malah juga dengan Chery Tiggo Cross yang berkongsi platform sama dengannya.

    Ditawarkan dengan satu varisan sahaja untuk pasaran Malaysia, Jaecoo J5 versi 2WD ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM108,000. Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J5 ini, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan.

    Ia dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork maksima 210 Nm, angka yang sama dicatatkan pada enjin Chery Tiggo Cross 1.5T. Namun berbanding Tiggo Cross yang diberikan kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan, Jaecoo J5 ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik bagi memacu roda hadapan. Gandingan ini membolehkan J5 pasaran Malaysia ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dengan kelajuan maksima 175 km/j, dan mencapai penggunaan bahan api 7.5 liter untuk perjalanan 100 km menerusi kitaran ujian ketat WLTC.

    Jaecoo J5 di Malaysia – SUV segmen-B dengan ADAS Tahap 2, upholstery mesra-haiwan peliharaan; RM108k

    Dengan ukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi serta jarak roda 2,620 mm, J5 adalah 5 mm lebih pendek, 70 mm lebih lebar, 60 mm lebih tinggi dan 10 mm lebih panjang dari segi jarak roda berbanding Honda HR-V. Berbanding Proton X50 pula, J5 mempunyai panjang yang sama, 65 mm lebih lebar, 41 mm lebih tinggi dan 20 mm lebih panjang dari segi jarak roda.

    Roda J5 menggunakan rim aloi 18-inci yang dipadankan dengan tayar Chaoyang Aggressor bersaiz 235/55R18. Sistem suspensi terdiri daripada topang MacPherson di bahagian hadapan dan suspensi bebas multi-link di bahagian belakang, manakala brek menggunakan cakera pada semua roda. Jaecoo mendakwa rangka badan (bodyshell) J5 mempunyai kekukuhan kilasan sebanyak 23,500 Nm per darjah.

    Di bahagian dalaman, J5 mengambil elemen gaya minimalis daripada ‘abangnya’, J7, dan SUV segmen-B ini dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen berorientasikan potret bersaiz 13.2-inci, manakala pemandu mendapat paparan digital tujuh segmen bersaiz lapan-inci. Sambungan telefon pintar merangkumi Apple CarPlay dan Android Auto, serta satu pengecas peranti tanpa wayar Qi berkuasa 50 watt.

    Jaecoo J5 di Malaysia – SUV segmen-B dengan ADAS Tahap 2, upholstery mesra-haiwan peliharaan; RM108k

    Kabin J5 juga menggunakan bahan mesra haiwan peliharaan yang diperakui oleh TÜV, di mana kemasan kulit sintetiknya bersifat anti-bakteria dan tahan calar, serta mempunyai tahap sebatian organik meruap (VOC) yang rendah. Ruang bagasi menawarkan kapasiti 480 liter, atau sehingga 1,284 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Kelengkapan standard yang diberikan termasuk tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa serta fungsi pengudaraan, penyaman udara automatik dua-zon, pencahayaan ambien pelbagai warna, tingkap hadapan berkaca dua lapis akustik, bumbung kaca panoramik, sistem kamera 360 darjah dengan fungsi lut sinar, pintu belakang berkuasa dan lapan pembesar suara.

    Bagi sistem bantuan pemanduan, J5 dilengkapi ciri pemanduan separa autonomi Tahap 2 seperti bantuan kelajuan selekoh, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, serta bantuan pemusatan lorong, brek kecemasan autonomi, bantuan stereng mengelak, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, serta amaran pembukaan pintu.

     
     
  • JPJ seru rakyat manfaatkan kemudahan digital; 33 urusniaga via portal rasmi, 16 urusan via MyJPJ

    JPJ seru rakyat manfaatkan kemudahan digital; 33 urusniaga via portal rasmi, 16 urusan via MyJPJ

    Susulan konflik di Timur Tengah yang menjejaskan bekalan dan harga pasaran bahan api di peringkat global, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyeru orang ramai agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perkhidmatan digital yang disediakan bagi melaksanakan urusan berkaitan tanpa perlu hadir ke kaunter.

    “Pendekatan “urusan di hujung jari” ini bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah merupakan langkah praktikal yang dapat membantu rakyat menjimatkan kos petrol, mengurangkan masa perjalanan serta mengelakkan kesesakan di pejabat JPJ.

    “Untuk makluman, sebanyak 33 jenis urus niaga boleh dilaksanakan melalui Portal Rasmi JPJ (www.jpj.gov.my), manakala 16 jenis urus niaga lagi boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ. Orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform ini bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    JPJ seru rakyat manfaatkan kemudahan digital; 33 urusniaga via portal rasmi, 16 urusan via MyJPJ

    Tambah JPJ, pihaknya kekal komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui peluasan penggunaan platform digital seperti Portal Rasmi JPJ dan aplikasi MyJPJ, selaras dengan aspirasi Kerajaan ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berintegriti.

    “Dalam masa yang sama, usaha ini turut menyokong inisiatif penjimatan penggunaan bahan api dalam kalangan rakyat. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesa rakyat,” katanya lagi.

    Antara perkhidmatan yang boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal rasmi JPJ dan aplikasi MyJPJ ialah semakan dan pembayaran saman trafik, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM/cukai jalan), pembaharuan lesen memandu, permohonan Permit Memandu Antarabangsa (IDP), paparan Vehicle Ownership Certificate (VOC), semakan status senarai hitam dan banyak lagi.

     
     
  • Proton X70 Sport Edition — galeri perincian penuh model edisi terhad, harga bakal diumum 16 April

    Proton X70 Sport Edition — galeri perincian penuh model edisi terhad, harga bakal diumum 16 April

    Hujung minggu lalu, Proton secara rasmi telah mengumumkan model Proton X70 Sport Edition yang dikeluarkan dalam jumlah terhad 600 unit. Tempahannya juga sudah mula dibuka dan harganya akan diumumkan pada 16 April nanti. Kini, kami bawakan galeri yang lebih lengkap untuk anda perhatikan untuk model berkenaan.

    Proton X70 Sport Edition menggunakan varian tertinggi X70 Premium MC3 yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini. Dan, seperti juga X50 Sport Edition yang diperkenalkan pada Januari tahun lalu, X70 edisi terhad ini turut mengenakan warna badan Quartz Black, kit badan istimewa yang terdiri daripada splitter hadapan dan skirting sisi serta dengan bahagian belakang diberikan serlahan jalur merah.

    Proton X70 Sport Edition — galeri perincian penuh model edisi terhad, harga bakal diumum 16 April

    Penampilan luaran X70 edisi terhad ini dilengkapkan dengan emblem ‘Sport Edition’ di pintu tailgate belakang serta set rim 19-inci yang sama seperti varian Premium biasa, tetapi dalam kemasan hitam berkilat.

    Manakala untuk bahagian dalam kabin, perubahan yang diberikan pula termasuklah serlahan jahitan benang merah di tempat duduk, roda stereng dan juga perehat lengan hadapan. Juga ada sulaman “Sport Edition” dihadirkan di bahagian penyandar badan kedua-dua tempat duduk bahagian depan.

    Proton turut memberikan talam barangan untuk but belakang secara standard untuk X70 Sport Edition ini. Semua kemasan dan aksesori tambahan yang diberikan untuk model edisi terhad terbaru ini adalah bernilai RM6,000.

    Bagaimanapun, tiada perubahan mekanikal yang diberikan. Model versi ini kekal digerakkan dengan enjin BHE15-EFZ 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 181 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 dan 3,500 rpm. Kuasa berkenaan dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT.

    Ketika pelancarannya Januari lalu, Proton X70 MC3 Premium dijual dengan harga RM112,800, yang sudah termasuk rebat pelancaran RM7,000. Dengan penambahan perincian bernilai RM6,000 untuk versi Sport Edition ini, berapa agaknya yang akan diletak nanti?

     
     
  • Polis ditempatkan di 80 stesen minyak sempadan untuk pantau dan kekang penyeludupan bahan api

    Polis ditempatkan di 80 stesen minyak sempadan untuk pantau dan kekang penyeludupan bahan api

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan anggota polis di lebih 80 stesen minyak berhampiran kawasan sempadan bagi memantau dan mengekang penyeludupan bahan api.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, langkah itu susulan arahan terbaharu Kabinet minggu lalu susulan konflik di Asia Barat yang berisiko memberi kesan rantaian terhadap bekalan dan harga barangan negara, laporan Bernama.

    Beliau berkata arahan sudah diberikan kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalia Ismail untuk tindakan lanjut termasuk mengatur penugasan anggota bagi mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan, sekali gus memantau serta membanteras penyeludupan bahan api.

    “Penglibatan pihak polis dalam mengawasi stesen minyak di sempadan ini bukan bersifat kekal. Apabila krisis berakhir, kita akan menilai semula peranan itu,” katanya baru-baru ini.

    Laporan Astro Awani pula menyebut, Saifuddin turut berkata bantuan polis diperlukan bagi mengambil kira kekangan jumlah jentera penguat kuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang-barang di seluruh negara susulan konflik ini.

    Polis ditempatkan di 80 stesen minyak sempadan untuk pantau dan kekang penyeludupan bahan api

    “Fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN telah dilaksana di 87 stesen minyak, dan akan disusuli di 70 lagi stesen dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan melibatkan anggota Polis.

    “Kita akan terus memantau risiko dan keperluan peluasan lebih menyeluruh dari semasa ke semasa. Saya juga telah berbincang dengan menteri (menteri dalam negeri) untuk mempertimbangkan keperluan penglibatan sukarelawan RELA dalam proses pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak ini,” katanya.

    Tambahnya, langkah pemantauan ketat itu perlu memandangkan bebanan subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel telah melonjak secara drastik susulan krisis di Asia Barat.

    “Sebelum krisis bermula, kerajaan membelanjakan lebih kurang RM700 juta sebulan untuk subsidi petrol dan diesel secara bersasar. Namun, selepas krisis tercetus, tanggungan subsidi dua bahan api ini melonjak hingga hampir RM6 bilion sebulan,” katanya

     
     
  • LRT Laluan Kelana Jaya sedang alami gangguan suis di Stesen Universiti, tren alternatif diaktifkan

    LRT Laluan Kelana Jaya sedang alami gangguan suis di Stesen Universiti, tren alternatif diaktifkan

    Pagi ini, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sedang mengalami kelewatan akibat gangguan suis landasan di Stesen Universiti.

    Justeru, pengendali pengangkutan rel berkenaan telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan.

    Di mana tren dari Stesen Gombak akan berpatah balik di Stesen Abdullah Hukum dan tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Universiti, dengan ketibaan tren dianggarkan setiap lima minit. Manakala tren perantara turut diaktifkan dari Stesen Universiti ke Abdullah Hukum dengan kekerapan setiap enam minit.

    “Disebabkan gangguan operasi ini, penumpang dijangka mengalami waktu menunggu yang lebih lama di platform. Pasukan teknikal kini berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih bagi memulikan operasi normal secepat mungkin.

    “Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang. Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen. Penumpang disarankan merujuk pada laman media sosial Rapid KL atau aplikasi perjalanan PULSE untuk status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya,” kata Rapid Rail dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk pengguna perkhidmatan ini, anda dinasihati rancang perjalanan sewajarnya dan disaran menggunakan medium pengangkutan awam yang lain. Harap bersabarlah banyak-banyak berhadapan dengan situasi sebegini apatah lagi pada pagi Isnin yang mampu mengundang ‘Monday Blues’ ini.

     
     
  • Suzuki DR-Z 4S, DR-Z 4SM dilancar di Malaysia – enjin satu silinder 398 cc 38 PS, mod tunggangan, TC, ABS

    Suzuki DR-Z 4S, DR-Z 4SM dilancar di Malaysia – enjin satu silinder 398 cc 38 PS, mod tunggangan, TC, ABS

    Diperkenalkan kepada pasaran dunia hujung tahun 2024, Suzuki DR-Z 4S dan DR-Z 4SM kini tiba di Malaysia pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans. Harga ini bagaimanapun hanya untuk 50 pembeli terawal dan selepas itu ia akan dinaikkan menjadi RM42,888.

    Model dual purpose ini membawa nama yang sudah wujud sejak tahun 2000 dan versi baru ini akhirnya diberikan peningkatan menyeluruh dengan DR-Z4S untuk kegunaan lasak atau enduro dan DR-Z4SM yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa atau juga boleh dipanggil sebagai supermoto.

    Hampir keseluruhan bahagian motosikal ini adalah baru berbanding model sebelumnya yang sudah lama tidak diberi peningkatan, termasuk kerangka, yang dibuat daripada tiub besi, manakala bahagian penyokong tempat duduk dan lengan ayun menggunakan aluminium.

    Menurut Suzuki, DR-Z4 2026 mendapat enjin baru, yang merupakan unit satu silinder empat strok DOHC penyejukan cecair berkapasiti 398 cc dengan sistem suntikan bahan api dan injap intake titanium, mampu menghasilkan 38 PS dan tork 37 Nm. Transmisi bagaimanapun masih lagi lima kelajuan, tetapi dengan klac slipper yang dipanggil oleh Suzuki sebagai Suzuki Clutch Assist System (SCAS). Enjin ini juga mematuhi tahap emisi Euro 5+.

    Kini menggunakan pendikit ride-by-wire (RBW), DR-Z4 2025 dapat menyediakan ciri elektronik seperti mod tunggangan (A,B dan C) dan kawalan cengkaman (1, 2, Gravel dan boleh ditutup terus). Untuk sistem ABS, ia mendapat tetapan dual-channel, yang bukan setakat boleh ditutup untuk roda belakang sahaja, tetapi juga untuk kedua-dua roda (DR-Z4S sahaja).

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui panel instrumen LCD ringkas, namun serba lengkap dengan penunjuk kedudukan gear, mod tunggagan dan tahap minyak. Di bawahnya terdapat butang khas untuk kawalan sistem ABS.

    Suzuki DR-Z 4S, DR-Z 4SM dilancar di Malaysia – enjin satu silinder 398 cc 38 PS, mod tunggangan, TC, ABS

    Beza utama antara DR-Z4S dan DR-Z4SM adalah di bahagian rim, dengan DR-Z4S mendapat unit spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sementara DR-Z4SM pula menggunakan unit 17 inci di kedua-dua bahagian – juga jenis spoked. Untuk brek, DR-Z 4S mendapat cakera tunggal 270 mm di hadapan dengan Nissin dua piston, manakala DR-Z 4SM dipertingkat dengan cakera 310 mm floating. Brek belakang kedua-duanya masih sama, iaitu cakera 240 mm dengan angkup Nissin satu piston.

    Pada kedua-dua versi DR-Z4 2025 ini, suspensi yang digunakan adalah daripada Kayaba, terdiri daripada fork USD di hadapan, dan monoshock di belakang, dan kedua-duanya boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan. Bezanya adalah pada jarak gerak, iaitu 280 mm di hadapan dan 296 mm di belakang untuk DR-Z4S, dan 260 mm/277 mm untuk DR-Z4SM.

    Dengan tetapan ini, kedudukan DR-Z4S juga menjadi lebih tinggi, dengan mencatat jarak kelegaan dari tanah 300 mm dan tinggi tempat duduk 920 mm, manakala DR-Z4SM mencatat 260 mm/890 mm. Tangki bahan api kedua-duanya adalah 8.7 liter DR-Z4S adalah lebih ringan dengan catatan berat keseluruhan (dengan minyak) 151 kg, manakala DR-Z4SM 154 kg.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada DR-Z4 2025 adalah termasuk semua lampu jenis LED, pemula enjin elektronik (tiada penendang kaki), pelindung bawah enjin serta pemegang aluminium. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: Suzuki DR-Z 4S

    GALERI: Suzuki DR-Z 4SM

     
     
  • Proton X70 Sport Edition – Quartz Black, hanya 600 unit, tempahan dibuka, harga didedah pada 16 April

    Proton X70 Sport Edition – Quartz Black, hanya 600 unit, tempahan dibuka, harga didedah pada 16 April

    Baru petang semalam kita dapat lihat sebuah X70 dengan penggayaan lebih garang dibawa dengan trak pengangkut, dan sekitar pukul 9.30 malam tadi kami terima kenyataan rasmi dari Proton berkenaan model tersebut – secara rasmi ia dikenali sebagai Proton X70 Sport Edition (seperti yang kami jangkakan), dan ia merupakan model edisi terhad yang hanya dihasilkan sebanyak 600 unit.

    Untuk anda yang berminat, model ini sebenarnya akan dipamerkan di bilik-bilik pameran Proton terpilih hujung minggu ini, dan tempahannya juga sudah dibuka. Cuma harga sebenar X70 Sport Edition ini hanya akan diumumkan pada 16 April nanti.

    Versi edisi terhad ini diasaskan dari varian teringgi MC3 iaitu X70 Premium. Ia menerima perincian yang sama seperti X50 Sport Edition yang dilancarkan pada Januari tahun lalu iaitu badan yang dilayangkan dengan warna Quartz Black, kit badan istimewa terdiri dari splitter hadapan dan skirt sisi serta belakang di mana kesemuanya diberikan serlahan jalur merah.

    Rupa luaran X70 edisi terhad ini dilengkapkan dengan emblem ‘Sport Edition’ pada pintu tailgate belakang serta set rim 19-inci yang sama seperti varian Premium biasa tetapi dalam kemasan hitam berkilat. Manakala dalam kabin, perubahan yang diberikan termasuk serlahan jahitan benang merah pada tempat duduk, roda stereng dan juga perehat tangan hadapan. Juga ada sulaman “Sport Edition” pada perehat badan kedua-dua tempat duduk hadapan.

    Proton turut memberikan tray untuk but belakang secara standard untuk X70 Sport Edition ini. Menurut jenama itu semua perincian dan aksesori tambahan yang dipadankan pada model edisi terhad ini adalah bernilai RM6,000.

    Tiada perubahan ditampilkan pada aspek mekanikal. Ia kekal digerakkan dengan enjin BHE15-EFZ 1.5 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 181 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 dan 3,500 rpm. Kuasa berkenaan dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT.

    Ketika dilancarkan Januari lalu, Proton X70 MC3 Premium dijual pada harga RM112,800 di mana ia sudah termasuk rebat pelancaran RM7,000. Dengan penambahan perincian bernilai RM6,000 pada model Sport Edition ini, berapa pula harganya nanti?

     
     
  • Denza D9 DM-i masuk pasaran global – MPV mewah PHEV 353 PS, jarak gerak elektrik WLTP 353 km

    Denza D9 DM-i masuk pasaran global – MPV mewah PHEV 353 PS, jarak gerak elektrik WLTP 353 km

    Hampir dua tahun selepas Denza D9 versi elektrik diperkenal untuk pasaran eksport, Denza kini membawa pula varian plug-in hybrid (PHEV) bagi MPV mewah tersebut ke peringkat global. Model yang menggunakan rangkaian kuasa Dual Mode Intelligent (DM-i) ini membuat penampilan sulungnya di Eropah, sekaligus menyertai model wagon flagship, Z9GT.

    Dengan penambahan enjin petrol, bahagian hadapan kenderaan kini menempatkan enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 120 PS dan 220 Nm. Enjin ini dipadankan dengan dua motor elektrik yang lebih kecil, masing-masing menjana 231 PS di hadapan dan 61 PS di belakang.

    Meskipun motor elektrik memainkan peranan utama dalam pergerakan kenderaan, enjin pembakaran dalaman turut membantu memacu roda hadapan pada kelajuan tinggi. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 353 PS, sedikit rendah berbanding versi elektrik pacuan semua roda.

    Denza D9 DM-i masuk pasaran global – MPV mewah PHEV 353 PS, jarak gerak elektrik WLTP 353 km2

    Dari segi prestasi, D9 DM-i mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 8.6 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j. Ia menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 58.5 kWh yang memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 210 km mengikut piawaian WLTP. Apabila digabungkan dengan tangki bahan api 61 liter, jarak keseluruhan boleh mencecah 950 km, sekaligus mengatasi kekangan jarak perjalanan yang menjadi kelemahan utama versi elektrik sebelum ini.

    Seperti model Z9GT, D9 DM-i turut menyokong teknologi pengecasan pantas DC Flash Charging oleh BYD, dengan kadar sehingga 559 kW. Ini membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 70 peratus dalam masa hanya lima minit, dan dari 10 hingga 97 peratus dalam sembilan minit. Menjelang tempoh 12 bulan akan datang, sebanyak 6,000 stesen Flash Charging akan dibangunkan di luar China, dengan separuh daripadanya dirancang untuk pasaran Eropah.

    Melihat kepada bahagian luar, rekaan D9 DM-i hampir tidak berbeza dengan versi elektrik yang ditawarkan sebelum ini. Perbezaan utama hanyalah pada kemasan gril hadapan yang kini menampilkan elemen berbentuk bendera berwarna hitam untuk pasaran Eropah. Rim yang digunakan juga kekal bersaiz 18 inci dengan rekaan multi-spoke.

    Denza D9 DM-i masuk pasaran global – MPV mewah PHEV 353 PS, jarak gerak elektrik WLTP 353 km

    Bagi ruang dalaman, walaupun gambar rasmi belum didedahkan, varian DM-i disahkan menerima skrin penumpang bersaiz 10.25 inci. Saiz ini lebih kecil berbanding unit 15.6 inci pada model terkini di China, namun ia kini dilengkapi dua pengecas tanpa wayar Qi berkuasa 50 watt.

    Sistem audio turut dinaik taraf daripada konfigurasi 14 pembesar suara Dynaudio kepada sistem 16 pembesar suara Devialet. Paparan instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen 15.6 inci serta head-up display 12 inci kekal sebagai kelengkapan standard, dengan model Eropah turut menerima integrasi perkhidmatan Google seperti Google Maps terbina dalam.

    Sama seperti versi elektrik, D9 DM-i mengekalkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan susunan 2-2-3. Tempat duduk barisan kedua jenis kapten dilengkapi pelbagai ciri premium termasuk ottoman binaan dalaman, pengecas tanpa wayar, fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan, serta skrin sesentuh pada perehat tangan. Turut disediakan ialah peti sejuk dengan fungsi pemanas dan penyejuk.

    Denza D9 DM-i masuk pasaran global – MPV mewah PHEV 353 PS, jarak gerak elektrik WLTP 353 km

    Penumpang barisan kedua kini mendapat skrin sesentuh 12.8 inci yang dipasang di belakang tempat duduk hadapan, meskipun skrin siling 17.3 inci yang ditawarkan di China tidak disertakan. Sistem kawalan suara juga dipertingkatkan dengan sokongan sehingga enam zon berbanding empat sebelum ini.

    Dari aspek praktikaliti, ruang but menawarkan kapasiti minimum 430 liter dengan semua tempat duduk digunakan, dan boleh ditingkatkan kepada 570 liter apabila barisan ketiga digerakkan ke hadapan. Dengan barisan ketiga dilipat dan barisan kedua dialihkan ke posisi paling hadapan, kapasiti maksimum mencecah 2,310 liter. Sistem suspensi pula masih menggunakan spring gegelung bersama penyerap hentak adaptif DiSus-C.

    Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada D9 DM-i akan ditawarkan di pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia. Namun, prestasi jualan versi elektrik yang mencatat sekitar 1,200 unit tahun lalu menunjukkan potensi yang baik. Kehadiran varian PHEV ini dijangka mampu memberi saingan lebih sengit kepada model popular seperti Toyota Alphard, Toyota Vellfire serta GWM Wey G9. Selain itu, versi elektrik yang dikemas kini dengan bateri Blade 2.0, rekaan dalaman baharu dan teknologi pengecasan pantas juga dilihat berpotensi besar untuk pasaran tempatan.

    GALERI: Denza D9 2026 di China

     
     
  • Hyundai secara rasmi lancar jenama Ioniq di China – model konsep sedan Venus dan SUV Earth didedah

    Hyundai secara rasmi lancar jenama Ioniq di China – model konsep sedan Venus dan SUV Earth didedah

    Hyundai mengumumkan pelancaran rasmi jenama kenderaan elektriknya, Ioniq, di China sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kehadiran dalam pasaran EV terbesar dunia itu. Ketika ini, pengeluar dari Korea Selatan tersebut menawarkan dua model elektrik di China iaitu Ioniq 5 N dan EO (juga dikenali sebagai Elexio), manakala barisan model lain masih terdiri daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman seperti Palisade dan Elantra N.

    Seiring dengan pengumuman tersebut, Hyundai turut memperkenalkan dua model konsep yang dibangunkan khas untuk pasaran China, dikenali sebagai Venus dan Earth. Kedua-dua model konsep ini bukan sahaja mencerminkan kesediaan Hyundai untuk bersaing dalam pasaran kenderaan tenaga baru (NEV), malah menjadi asas kepada sistem nama baru, di mana model Ioniq masa hadapan akan dinamakan sempena planet.

    Hyundai turut mengetengahkan konsep yang lebih simbolik dengan menggambarkan pelanggan sebagai “matahari” dan kenderaan sebagai “planet” yang mengelilinginya. Gabungan ini membentuk apa yang digelar sebagai “Ioniq universe”, iaitu ekosistem mobiliti yang dibangunkan khusus mengikut keperluan pengguna tempatan. Antara teknologi yang dipamerkan termasuk sistem pemanduan autonomous yang dibangunkan bersama rakan tempatan, serta penggunaan teknologi EV range-extended (REEV).

    Hyundai secara rasmi lancar jenama Ioniq di China – model konsep sedan Venus dan SUV Earth didedah

    Menurut Presiden Beijing Hyundai Motor Company, Li Fenggang, kedua-dua model konsep yang diperkenalkan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak produk yang akan dibangunkan berdasarkan pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna China.

    Beliau turut menegaskan bahawa model produksi akan datang akan menggabungkan pengalaman pemanduan pintar dan kabin pintar yang menjadi keutamaan pengguna di negara itu, di samping mengekalkan piawaian keselamatan dan kualiti global jenama Ioniq.

    Dari segi rekaan, konsep Venus digambarkan sebagai sedan ikonik yang diinspirasikan daripada keindahan planet paling terang. Ia tampil dengan kemasan warna Radiant Gold serta rekaan futuristik yang menonjolkan siluet satu lengkung bersama struktur bumbung unik.

    Hyundai secara rasmi lancar jenama Ioniq di China – model konsep sedan Venus dan SUV Earth didedah

    Bahagian dalaman pula menggunakan tona warna hangat dengan pencahayaan berlapis bagi mewujudkan suasana seakan-akan atmosfera Venus. Turut melengkapkan ruang kabin ialah paparan skrin lebar bersaiz besar serta avatar interaktif dikenali sebagai “Lumi” yang berfungsi berkomunikasi dengan penumpang.

    Sementara itu, konsep Earth pula diletakkan sebagai SUV dengan karakter lasak yang mencerminkan keseimbangan dan tenaga kehidupan planet Bumi. Ia menggunakan kemasan warna Aurora Shield dan menampilkan elemen rekaan lebih agresif seperti pelindung bawah badan (skid plate) serta perincian skru terdedah pada bentuk badan yang bersegi dan berotot.

    Di bahagian dalam, Earth dilengkapi tempat duduk “air-hug” yang memberikan sokongan melalui modul udara lembut, selain lampu suasana yang diinspirasikan daripada bayang-bayang pokok untuk suasana lebih tenang.

    Hyundai secara rasmi lancar jenama Ioniq di China – model konsep sedan Venus dan SUV Earth didedah

    Konsep ini turut menampilkan pendekatan “shy-tech” bagi mengurangkan gangguan visual, di samping membenarkan cahaya semula jadi masuk dengan banyak ke dalam kabin. Seperti Venus, Earth juga dilengkapi avatar tersendiri yang dinamakan “Aero”.

    Walaupun Hyundai tidak menyatakan secara rasmi bahawa kedua-dua konsep ini akan memasuki peringkat produksi, terdapat kemungkinan besar ia akan direalisasikan sebagai model EV sebenar pada masa hadapan. Menurut laporan CarNewsChina, Hyundai dijangka memperkenalkan model produksi pertama Ioniq yang dibangunkan khusus untuk pasaran China pada acara Auto Beijing yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Dalam tempoh tiga tahun akan datang, jenama ini merancang untuk memperluaskan penawaran dengan pelbagai model EV dan REEV merangkumi segmen pertengahan hingga besar dalam pelbagai gaya badan.

     
     
  • Proton X70 Sport Edition dilihat atas lori penghantar – kit badan, rim hitam, serlahan merah, akan dilancar?

    Proton X70 Sport Edition dilihat atas lori penghantar – kit badan, rim hitam, serlahan merah, akan dilancar?

    Sebuah Proton X70 dengan penggayaan lebih agresif dilihat sedang dibawa menggunakan lori penghantar, di mana imejnya telah dirakam dan dimuat naik ke Facebook menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group.

    Rupa agresif pada SUV segmen-C tersebut diserlahkan menerusi pemadanan kit badan bersama jalur-jalur merah serta rim dalam kemasan hitam. Ada yang menyatakan bahawa ini adalah ‘X70 Black Edition’, namun kami jangkakan ia adalah X70 Sport Edition kerana kemasan-kemasan yang diberikan termasuk satu lencana yang ditampal pada pintu tailgate belakang yang nampak sama seperti X50 Sport Edition yang dilancarkan pada Januari tahun lalu, iaitu model edisi khas diasaskan X50 pre-facelift dalam varian Premium.

    Proton X70 Sport Edition dilihat atas lori penghantar – kit badan, rim hitam, serlahan merah, akan dilancar?

    Proton X50 Sport Edition 2025

    Proton X70 baru sahaja menerima penyegaran menerusi model MC3 yang dilancarkan pada Januari lalu. Ia masih tampil dengan rupa luaran yang nampak sama, namun perubahan terbesar dibuat menerusi penukaran enjin dari 1.5 liter tiga-silinder turbo kepada enjin baharu i-GT 1.5 liter empat silinder turbo yang menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm.

    Ia ditawarkan hanya dalam dua varian iaitu 1.5TD Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM106,800, dan 1.5TD Premium berharga RM119,800. Agak-agak varian mana yang menjadi asas kepada X70 Sport Edition ini, dan berapa harga jualannya kelak? Sebagai rujukan, X50 Sport Edition dijual pada harga RM3,500 lebih mahal dari varian Premium yang menjadi asasnya.

     
     
  • FELDA mahu dasar jelas berkenaan Biodiesel B100 100% sawit; alternatif berdaya saing, harga lebih stabil

    FELDA mahu dasar jelas berkenaan Biodiesel B100 100% sawit; alternatif berdaya saing, harga lebih stabil

    Dengan harga diesel yang kini telah mencapai RM6.72 seliter, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa biodiesel B100 (diperbuat dari 100% minyak kelapa sawit) boleh diketengahkan sebagai alternatif yang berdaya saing.

    Menurut beliau buat masa sekarang pelaksanaan B100 masih di peringkat dasar dan akan dimulakan dengan penggunaan dalam ekosistem FELDA terlebih dahulu.

    “Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas), kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi,” katanya kepada dalam laporan Bernama.

    Ahmad Shabery menyatakan bahawa harga B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter bergantung pada harga minyak sawit mentah, dan dengan anggaran harga di bawah RM5.00 seliter, penggunaan B100 bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel, malah membuka ruang kepada strategi penstabilan harga bahan api domestik serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

    FELDA mahu dasar jelas berkenaan Biodiesel B100 100% sawit; alternatif berdaya saing, harga lebih stabil

    Untuk itu, Ahmad Shabery menyatakan bahawa FELDA dan FGV Holdings Bhd perlu memperluas pembangunan loji pemprosesan biodiesel B100 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

    “Kami sedang mengadakan rundingan bagi menentukan bentuk kerjasama, sama ada melibatkan sektor swasta sepenuhnya, sokongan kerajaan atau pihak lain, dalam usaha memenuhi keperluan peningkatan kapasiti B100,” katanya.

    Beliau turut menyatakan bahawa sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel telah dilaksanakan melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dengan jarak perjalanan melebihi 50,000 kilometer, manakala ujian percubaan selama empat bulan menggunakan lori tangki turut dijalankan pada 2024.

    Pada Mac 2025 kami telah melaporkan bahawa FGV Biotechnologies iaitu anak syarikat FGV telah melancarkan kempen Biodiesel B100 di Fraser Hill, Pahang dan mendedahkan bahawa bahan api berkenaan diuji menggunakan SUV Mazda CX-8 yang dijalankan selama setahun.

     
     
  • MINI John Cooper Works GP Inspired Edition di M’sia — gaya ilham perlumbaan, masih 231 PS; RM334k

    MINI John Cooper Works GP Inspired Edition di M’sia — gaya ilham perlumbaan, masih 231 PS; RM334k

    Sebagai MINI yang paling diinginkan, MINI John Cooper Works GP sentiasa mendapat permintaan tinggi. Masalahnya, model edisi ini tidak hanya akan ditawarkan sekali sahaja, iaitu ketika penghujung kitaran hayat setiap generasi MINI, tetapi ia juga sentiasa dikeluarkan dalam jumlah terhad dan sangat mahal. Namun, kini ada yang lebih mudah untuk mendapatkan penampilan yang serupa dengan JCW GP Inspired Edition, yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia.

    Ia tidaklah murah. Jika berdasarkan JCW petrol “standard” yang sudah sedia mahal, GP Inspired Edition ini dikenakan harga tambahan RM15,000 lebih tinggi, dijual dengan harga RM333,888 atas jalan tanpa insurans. Ini termasuk jaminan dua-tahun standard tanpa had perbatuan; jika pelanggan memilih lanjutan jaminan empat-tahun dan pakej servis, harganya melonjak kepada RM345,988.

    MINI John Cooper Works GP Inspired Edition di M’sia — gaya ilham perlumbaan, masih 231 PS; RM334k

    Perkara yang menghubungkan GP Inspired Edition ini dengan model inspirasinya ialah cat Racing Grey dan JCW Aero Kit yang lengkap — termasuk spoiler berganda di pintu belakang yang tinggi dan sayap kecil di bahagian hadapan, sisi dan belakang, semuanya diserlahkan dengan warna merah. Ada juga jalur kelabu dan merah di seluruh bahagian, serta rajah pelbagai litar terkenal di tiang-C. Pelekat besar “GP Inspired” di sepanjang sisi menunjukkan bahawa ini merupakan model versi inspirasi.

    Bagaimanapun, ini masih model JCW tulen yang dilengkapi dengan reka bentuk bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, gril yang lebih terbuka dengan corak bendera berkotak, ekzos di tengah dan roda aloi JCW Lap Spoke 18-inci, dan diserlahkan dengan penutup tengah MINI merah untuk GP Inspired Edition.

    MINI John Cooper Works GP Inspired Edition di M’sia — gaya ilham perlumbaan, masih 231 PS; RM334k

    Di bahagian dalam, tikar lantai dan plat gelincir GP Inspired yang ditempah khas digandingkan dengan stereng JCW dan tempat duduk sport MINI yang dibalut dengan kulit buatan Vecsin dan fabrik, serta perincian merah dan grafik bendera berkotak di papan pemuka. Penutup kunci GP Inspired melengkapkan tambahan tersebut.

    Di bawah bonetnya adalah enjin empat-silinder turbo B48 2.0 liter yang tidak diubah suai, dengan hantaran kuasa 231 PS dan tork 380 Nm ke roda depan. Angka tersebut jauh sekali daripada janaan 306 PS dan 450 Nm untuk model GP, tetapi ia masih mencukupi untuk GP Inspired Edition mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Selain GP Inspired Edition, MINI Malaysia juga telah memperkenalkan MINI 1965 Victory Edition (yang jauh lebih murah), berdasarkan enjin elektrik John Cooper Works E.

     
     
  • Budi Diesel RM300 manfaat kepada 335k pengguna

    Budi Diesel RM300 manfaat kepada 335k pengguna

    Kementerian Kewangan Malaysia telah memuat naik satu hantaran Facebook menjelaskan bagaimana kerajaan membantu pengguna diesel dalam krisis bahan api global yang sedang berlaku kini. Ia mendedahkan, sejak krisis itu meletus, kerajaan belum lagi mengapungkan harga diesel sepenuhnya;
    subsidi tetap diberikan untuk sebahagian daripadanya selama lima minggu berturut-turut. Pernyataan itu turut memaklumkan bahawa diesel bertapis masih dijual pada harga AS$250 (RM993) setong — dan, diesel di Malaysia masih antara yang termurah di ASEAN.

    Selain itu, bantuan tunai bulanan Budi Diesel — yang telah dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 pada bulan Mac dan diteruskan untuk April — telah memberikan manfaat kepada lebih 355,000 penerima (boleh memohon di sini sekiranya anda memenuhi kriteria).

    Berdasarkan kadar diesel tanpa subsidi RM6.72 seliter yang diumumkan untuk minggu ini, subsidi RM300 hanyalah bersamaan dengan 65.6 liter sebulan (RM6.72 – RM2.15 = RM4.57 “subsidi” seliter). Memandangkan kebanyakan kenderaan diesel di Malaysia mempunyai kapasiti tangki lebih daripada 70 liter, isian kedua untuk satu tangki penuh bulan ini pasti akan membuatkan pengguna “menangis”.


    Selain daripada itu, RM2.15 seliter adalah apa yang perlu dibayar oleh pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan (terhad kepada 50, 100 atau 150 liter setiap transaksi bergantung jenis kenderaan), serta kenderaan barangan (lebih 343,000 kenderaan telah diluluskan). RM1.88 seliter adalah untuk pengangkutan awam darat (lebih 25,000 kenderaan diluluskan termasuk bas, teksi, ambulans dan bomba) manakala RM1.65 seliter adalah untuk nelayan (lebih 10,000 penerima).

    Memandangkan sistem MyKad berjaya dan berkesan digunakan untuk agihan petrol Budi Madani RON 95 (Budi95), kerajaan sedang mempertimbangkan perkara yang sama untuk diesel, walaupun masih belum pasti bagaimana MyKad akan digunakan untuk membezakan antara kenderaan persendirian, awam dan barangan – ketiga-tiganya kini membayar harga yang berbeza untuk diesel, dan terdapat lima harga diesel yang berbeza (tanpa subsidi, “subsidi RM300”, RM2.15, RM1.88 dan RM1.65). Masalah ini tidak wujud untuk petrol Budi95 RM1.99; yang menentukannya hanya sama ada anda layak atau tidak.

     
     
  • Tesla Model Y Juniper di Malaysia tiada lagi pilihan bahagian dalam warna putih, diganti dengan Zen Grey

    Tesla Model Y Juniper di Malaysia tiada lagi pilihan bahagian dalam warna putih, diganti dengan Zen Grey

    Tesla Model Y versi terkini di Malaysia tidak lagi ditawarkan dengan pilihan kemasan dalaman berwarna putih. Sebagai gantinya, Tesla memperkenalkan pilihan baru iaitu Zen Grey, yang sebelum ini diperkenalkan pada varian Model Y L (enam tempat duduk) awal bulan ini. Untuk model lima tempat duduk, kemasan Zen Grey ditawarkan sebagai pilihan tambahan bernilai RM5,000.

    Apabila warna dalaman baru ini dipilih, harga Tesla Model Y lima tempat duduk menjadi kepada RM200,450. Namun begitu, harga asas model ini kekal tidak berubah pada RM195,450. Dari segi penampilan, warna Zen Grey masih mengekalkan tona cerah seperti kemasan putih sebelumnya, tetapi dengan sentuhan yang lebih lembut dan moden.

    Bagi pilihan lain, struktur harga kekal sama seperti sebelum ini. Rim bersaiz 20 inci “Helix 2.0” ditawarkan sebagai naik taraf bernilai RM10,000 berbanding rim standard 19 inci “Crossflow”. Untuk warna luaran, Stealth Grey kekal sebagai satu-satunya pilihan tanpa kos tambahan, manakala Pearl White Multi-Coat dan Diamond Black masing-masing ditawarkan pada harga RM5,000.

    Tesla Model Y Juniper di Malaysia tiada lagi pilihan bahagian dalam warna putih, diganti dengan Zen Grey

    Pilihan warna premium lain termasuk Quicksilver dan Ultra Red yang masing-masing berharga RM11,000. Menariknya, warna Cosmic Silver yang ditawarkan pada Model Y L tidak disenaraikan untuk varian lima tempat duduk. Selain itu, aksesori seperti pelindung bumbung kaca turut ditawarkan pada harga RM450.

    Dari sudut sistem bantuan pemandu, Basic Autopilot disertakan sebagai ciri standard. Pelanggan juga boleh memilih naik taraf kepada Enhanced Autopilot pada harga RM16,000 atau Full Self-Driving pada RM32,000, namun kedua-duanya masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

    Tesla Model Y Juniper di Malaysia tiada lagi pilihan bahagian dalam warna putih, diganti dengan Zen Grey

    Barisan varian Model Y turut merangkumi versi Rear-Wheel Drive sebagai model asas, diikuti Long Range Rear-Wheel Drive bermula RM216,450 dan Long Range All-Wheel Drive dari RM242,450. Kesemua harga ini kekal tanpa perubahan. Sementara itu, Model Y L dengan pacuan semua roda pula ditawarkan pada harga bermula RM260,000.

    Dari segi prestasi pengecasan, Model Y Standard Range RWD menyokong pengecasan pantas DC sehingga 175 kW, yang mampu menambah jarak sehingga 238 km dalam masa 15 minit. Bagi varian Long Range AWD pula, pengecasan sehingga 250 kW membolehkan tambahan jarak sehingga 283 km dalam tempoh sama. Untuk pecutan, varian Standard Range RWD mencatat masa 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat, manakala Long Range AWD lebih pantas dengan catatan 4.8 saat.

     
     
  • SAIC Maxus eTerron 9 dilihat di Serdang, Selangor – trak pikap EV, 430 km WLTP, ROI sudah dibuka

    SAIC Maxus eTerron 9 dilihat di Serdang, Selangor – trak pikap EV, 430 km WLTP, ROI sudah dibuka

    Sebuah trak pikap SAIC Maxus eTerron 9 dilihat dipandu di atas jalan raya awam di Malaysia, atau lebih spesifiknya ia sedang menuju ke Minlon di Serdang, Selangor. Foto model tersebut telah berjaya dirakam dan di muat naik oleh seorang pengguna Facebook di paultan.org Automotive/Car Discussion Group. Pengedar Maxus di Malaysia iaitu Weststar Maxus sebenarnya telah membuka pendaftaran minat bagi trak pikap ini pada hujung bulan lalu, tetapi tanpa pembayang jelas bila ia akan dilancarkan di sini.

    SAIC Maxus eTerron 9 ini telah membuat kemunculannya di Eropah pada September 2024, didakwa sebagai “trak pikap 4×4 pertama yang dibina berasaskan platfrom elektrik khusus”. Ia menampilkan dimensi panjang 5,500 mm, lebar 2,005 mm, tinggi 1,860 mm dan jarak roda 3,300 mm. Sebagai perbandingan, ini menjadikan ia 140 mm lebih panjang berbanding Ford Ranger dan 175 mm lebih panjang berbanding Toyota Hilux.

    Di benua itu juga eTerron 9 ini diberikan pek bateri ‘Tetris’ 102 kWh yang mampu memberikan jarak sehingga 430 km mengikut standard WLTP. Bateri ini boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC sehingga 115 kW, bagi memenuhkan bateri antara 20-80% dalam masa 40 minit. Sistem V2L turut disediakan bagi membolehkan cas bateri berkenaan digunakan untuk mengoperasikan perlatan elektrik lain dengan kapasiti 2.2 atau 6.6 kW.

    Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada sepasang motor elektrik – yang terletak di setiap gandar – memberikan kebolehan pacuan semua roda dan menyampaikan kuasa keseluruhan 442 PS (436 hp atau 325 kW) bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Menurut SAIC, trak ini boleh menunda sehingga 3.5 tan dan membawa berat sehingga 620 kg.

    Berbeza dengan trak pikap biasa, panel pembahagi antara tempat duduk belakang dengan ruang barangan pada eTerron 9 ini direka agar ia boleh dibuka, membolehkan pengguna memasukkan barang panjang sehingga 2,400 mm. Tidak cukup dengan itu, ia turut mempunyai bahagian frunk berkapasiti 236 liter di ‘muncung’ hadapan yang memberikan ruang tambahan untuk menyimpan barang,

    Manakala dalam ruang kabin, ia diberikan kemasan kulit dua tona bersama dua skrin TFT lebar untuk panel instrumen dan sistem infotainmen. Ia kemudiannya disertai konsol tengah seakan terapung, roda stereng dua jejari serta kemasan metalik di beberapa tempat.

    Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik dan datang dengan liang udara serta fungsi mengurut, sementara tempat duduk di sebelahnya boleh dilipat hampir rata untuk memberi ruang baring sehingga 1,700 mm. Tempat meletak barang juga ada banyak, sehingga 20 di sekeliling kereta.

    Dengan harga diesel yang semakin meningkat, adakah ini masa yang tepat untuk trak pikap EV ini dilancarkan di sini>

     
     
  • MINI 1965 Victory Edition dilancar di Malaysia – asas JCW 3 Door elektrik, peringatan kepada kejayaan rali

    MINI 1965 Victory Edition dilancar di Malaysia – asas JCW 3 Door elektrik, peringatan kepada kejayaan rali

    MINI Malaysia hari ini memperkenalkan dua model edisi khas baru, dengan tumpuan utama diberikan kepada 1965 Victory Edition. Model ini diwujudkan sebagai penghormatan kepada warisan sukan permotoran jenama MINI, khususnya kepada kejayaan legenda Mini Cooper S yang memenangi Rali Monte Carlo pada tahun 1965.

    Konsep yang digunakan adalah untuk menghubungkan kejayaan masa lalu, dengan hala tuju masa kini MINI yang memberi fokus kepada teknologi elektrifikasi. Oleh itu, model ini diasaskan daripada John Cooper Works E, iaitu versi prestasi tinggi bagi hatchback elektrik J01.

    Ia dilengkapi bateri berkapasiti 49.2 kWh (kapasiti bersih; 54.2 kWh kasar) serta motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan tork 350 Nm. Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    MINI 1965 Victory Edition dilancar di Malaysia – asas JCW 3 Door elektrik, peringatan kepada kejayaan rali

    Apabila bateri dicas penuh, ia mampu memberi jarak perjalanan sehingga 371 km berdasarkan piawaian WLTP. Untuk pengecasan, sistem AC menyokong kuasa sehingga 11 kW yang memerlukan sekitar lima jam 15 minit untuk pengecasan penuh, manakala pengecasan pantas DC sehingga 95 kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 30 minit.

    Meskipun spesifikasi mekanikal dan elektrikal kekal sama seperti model asas, 1965 Victory Edition tampil dengan sentuhan reka bentuk yang unik bagi menampakkan bezanya. Antaranya ialah warna badan Chili Red yang menyerlah, dipadankan dengan jalur putih sporty yang memanjang dari bonet hingga ke bahagian belakang, serta bumbung dengan kemasan putih, lengkap bersama sunroof.

    Elemen istimewa lain termasuk angka “52” pada sisi kenderaan, yang merujuk kepada nombor perlumbaan kereta yang memenangi Rali Monte Carlo 1965. Grafik ini hadir dalam warna putih dan disertakan pelekat “1965” pada bahagian c-pillar. Untuk rim, model ini menggunakan rim JCW Mastery Spoke berwarna hitam bersaiz 18 inci, menggantikan rim JCW Lap Spoke yang digunakan pada John Cooper Works E standard.

    Bahagian dalam turut menampilkan elemen yang meraikan kemenangan bersejarah tersebut. Bahagian tepi pintu direka khas dengan perincian yang memperingati kejayaan itu, manakala kabin menggunakan kombinasi warna JCW anthracite dan merah. Rujukan kepada tahun 1965 juga dapat dilihat pada stereng dan kotak simpanan konsol tengah, selain nombor perlumbaan “#52” yang tertera pada kunci pintarnya.

    Dari segi harga, MINI 1965 Victory Edition ditawarkan pada RM230,888 atas jalan tanpa insurans, termasuk jaminan selama dua tahun. Jika pelanggan memilih pakej MINI Service and Repair Inclusive (MSRI), tempoh jaminan dilanjutkan kepada empat tahun bersama pakej servis empat tahun, menjadikan jumlah keseluruhan RM237,188. Untuk perbandingan, harga ini adalah RM12,000 lebih tinggi berbanding model John Cooper Works E standard.

     
     
  • Hannah Yeoh umum inisiatif Bangun KL untuk galak rakyat masuk ibu kota lebih awal, elak kesesakan

    Hannah Yeoh umum inisiatif Bangun KL untuk galak rakyat masuk ibu kota lebih awal, elak kesesakan

    Bagi mengurangkan kesesakan trafik di Kuala Lumpur pada waktu puncak dengan menggalakkan orang ramai memasuki ibu kota berkenaan lebih awal, kerajaan kini telah memperkenalkan satu inisiatif baharu yang dikenali sebagai ‘Bangun KL: Ke Arah Kuala Lumpur Yang Lebih Sejahtera’.

    Inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama Zus Coffee di mana sebanyak 250 cawangan rangkaian kopi berkenaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya menawarkan minuman pada harga diskaun kepada warga kota yang tiba awal antara 7 pagi hingga 8 pagi menerusi aplikasi mudah alih syarikat tersebut.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, inisiatif itu menekankan perubahan tingkah laku melalui pemberian insentif dan kerjasama rentas sektor dalam menangani tekanan trafik secara lebih menyeluruh.

    “Bandar yang baik bukan sekadar cantik dari segi rupa, tetapi mesti berfungsi untuk kehidupan harian rakyat. Sebab itu, kita memulakan program Bangun KL. Ini bukan tentang slogan, tetapi tentang mengubah cara bandar ini bergerak setiap pagi.

    “Kita tidak boleh selesa dengan pola lama yang menyebabkan semua orang bergerak pada waktu sama dan terperangkap dalam kesesakan sama. Bangun KL adalah usaha untuk mengagihkan semula tekanan waktu pagi supaya lebih seimbang dan lebih manusiawi,” katanya dalam laporan Bernama.

    Hannah turut memberitahu bahawa dianggarkan 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi dan pengagihan semula sekurang-kurangnya 10 peratus daripada aliran tersebut ke waktu lebih awal mampu memberi impak signifikan kepada kelancaran trafik.

    Menurutnya lagi Bangun KL merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup warga kota menerusi keseimbangan antara waktu bekerja, kesihatan dan kehidupan sosial.

     
     
  • KTM ETS KL Sentral – JB Sentral dijadualkan semula mulai 18 April – pemulangan tambang ditawarkan

    Klik untuk besarkan

    Makluman penting buat pengguna KTM ETS. Pengendalinya, KTM Berhad telah mengumumkan penjadualan semula bagi beberapa perkhidmatan ETS terpilih antara KL Sentral dan JB Sentral, berkuat kuasa 18 April 2026. Ini selaras dengan kemajuan projek landasan berkembar KVDT2.

    Menurut KTMB, penjadualan semula ini melibatkan perkhidmatan ETS 9536 dari JB Sentral ke KL Sentral (8.30 malam – 12.50 tengah malam) dan ETS 9537 dari KL Sentral ke JB Sentral (9.10 malam – 1.30 pagi).

    Perkhidmatan gantian bagi ETS 9536 ialah ETS 9530, yang akan berlepas dari JB Sentral pada pukul 3 petang dan tiba di KL Sentral pada 7.20 malam. Bagi ETS 9537 pula, perkhidmatan gantinya ialah ETS 9535, yang akan berlepas dari KL Sentral pada pukul 8 malam dan tiba di ibu negeri Johor pada 12.20 tengah malam.

    Bagi mereka yang telah membeli tiket ETS 9536 dan 9537 untuk perjalanan bermula 18 April, anda layak menerima bayaran balik penuh. Pembatalan tiket untuk tujuan bayaran balik dibuka sejak semalam melalui aplikasi KITS Style. Anda kemudian boleh membeli tiket baharu bagi ETS 9530, 9535 atau perkhidmatan lain yang sesuai dengan jadual anda. Untuk panduan terperinci tentang cara membuat bayaran balik melalui aplikasi, sila rujuk grafik di atas.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling: Kerja baikpulih di Stesen Chan Sow Lin masih giat dijalankan

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling: Kerja baikpulih di Stesen Chan Sow Lin masih giat dijalankan

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih susulan gangguan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin yang berlaku semalam masih giat dijalankan.

    “Sehingga kerja pembaikan selesai, perkhidmatan tren alternatif akan diteruskan iaitu tren dari Sentul Timur beroperasi seperti biasa ke Putra Heights dan sebaliknya. Manakala tren dari Ampang akan berpatah balik di Chan Sow Lin. Tren alternatif ini akan tiba dengan kekerapan setiap enam minit.

    “Penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Ampang harus membuat pertukaran di Stesen Chan Sow Lin. (Platform 1B dan 2B). Manakala penumpang dari Ampang ke Sentul Timur, harus membuat pertukaran di Stesen Chan Sow Lin (Platform 1A),” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook rasminya.

    Jelasnya lagi, bagi melancarkan pergerakan penumpang, kakitangan tambahan telah ditempatkan di stesen terlibat untuk memberikan bantuan dan panduan perjalanan. Pengumuman berkala turut dibuat di stesen bagi memaklumkan status terkini perkhidmatan. Penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling melalui laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026