Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – papan pemuka dipenuhi Hyperscreen MBUX, akan didedah 20 Apr ini

    Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – papan pemuka dipenuhi Hyperscreen MBUX, akan didedah 20 Apr ini

    Mercedes-Benz bakal membuat pendedahan penuh bagi model C-Class EV pada 20 April ini di Korea Selatan. Namun sebelum ia ditunjuk sepenuhnya, jenama premium Jerman berkenaan mendedahkan dahulu papan pemuka bagi model yang akan berhadapan terus dengan BMW i3 tersebut.

    Nampaknya C-Class EV ini menerima papan pemuka yang diambil dari versi SUVnya iaitu GLC EV. Papan pemuka berkenaan dipenuhi hampir keseluruhannya dengan skrin Hyperscreen MBUX. Pada GLC EV, Hyperscreen tersebut adalah bersaiz 39.1-inci, serta terdapat pilihan Superscreen dengan konfigurasi paparan instrumen 10.3-inci serta dua skrin bersaiz 14-inci untuk sistem infotainmen yang terletak di tengah dan bahagian penumpang hadapan.

    Juga seperti GLC EV, C-Class EV ini juga menerima dua pad pengecas tanpa wayar pada konsol tengah, dua pemegang cawan bersama beberapa suis fizikal. Lampu suasana kabin pula turut disertai dengan jalur-jalur menyala yang merentasi panel atas pintu dan papan pemuka serta di bahagian bawah yang bersambung dengan konsol terowong.

    Menurut Mercedes-Benz, dengan senibina elektrik baharu khas yang baharu membolehkan kabin C-Class EV ini menawarkan ruang dalaman yang lebih luas. Antara perincian yang bakal diberikan termasuk pilihan tempat duduk “high end” untuk penumpang hadapan dengan fungsi memori, larasan lumbar empat hala, liang pengalir udara, pengurut belakang badan serta fungsi deruman “4D” dalam konsert menerusi sistem bunyi.

    Gril untuk pembesar suara sistem bunyi sekeliling Burmester 3D pada kabin C-Class EV ini juga datang dengan rekaan linera baharu bersama “relief tiga-dimensi”.

    Mercedes-Benz juga menyatakan bahawa bahagian dalaman C-Class EV ini akan menampilkan material dengan gred lebih tinggi dari sebelum ini. Model asas akan diberikan upholsteri kulit Softorino, manakala varian AMG Line akan diberikan upholsteri kulit Nappa dengan liang-liang “berlian berpintal” bersama jahitan mocassin pada penyokong sisi tempat duduk.

    Pembeli juga ditawarkan dengan pelbagai varian dekor seperti gentian semula jadi dengan liang pori terbuka, perapi kayu birch dan juga gentian karbon. Ia juga ditawarkan dengan Pakej Vegan, menjadi C-Class EV ini model kedua selepas GLC EV dengan bahagian dalaman diiktiraf oleh The Vegan Society.

    Pakej tersebut menampilkan permukaan lembut dari bahan bukan berasal dari haiwan untuk upholsteri tempat duduk, pelapik bumbung, tiang-tiang, panel pintu dan juga karpet.

    Selain itu, C-Class EV ini juga ditawarkan dengan bumbung kaca panaromik Sky Control dengan fungsi pengabutan elektrokromik bersegmen dan juga 162 bintang menyala sebagai sebahgian dari lampu suasana kabin. Ia juga diberikan banyak perincian untuk menebat bunyi seperti kaca dua lapis pada kedua-dua tingkat sisi hadapan, pemadanan penebat bunyi lebih ekstensif, cagak suspensi dengan elastomer nyahgandingan, motor elektrik lebih senyap serta unit pendingin udara yang dirombak.

    Mercedes-Benz Class EV ini masih akan menggunakan senibina elektrikal 8-volt yang sama seperti GLC EV, membolehkan pengecas pantas DC menerima sehingga 330 kW.

     
     
  • Toyota Yaris Cross dilancar di M’sia tidak lama lagi – ‘kembar’ Perodua Traz; akan dapat pilihan hibrid?

    Toyota Yaris Cross dilancar di M’sia tidak lama lagi – ‘kembar’ Perodua Traz; akan dapat pilihan hibrid?

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menyiarkan teaser model Yaris Cross menerusi laman Facebook rasminya, memberikan petanda bahawa kembar kepada Perodua Traz ini sedang menantikan detik pelancarannya di pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, UMWT tidak mendedahkan jangkaan detik pelancarannya itu.

    Mula diperkenalkan di peringkat global di Indonesia pada Mei 2023, SUV segmen-B yang akan tiba di pasaran kita merupakan model spesifik ASEAN dan berbeza dengan yang dijual di Eropah. Dibangunkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), Yaris Cross berukuran 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar dan jarak roda cecah 2,525 mm, tetapi ia sedikit rendah berbanding Traz iaitu 1,615 mm berbanding model Perodua itu (1,655 mm).

    Jika anda tertanya-tanya adakah Yaris Cross lebih besar atau kecil berbanding SUV yang menyainginya, ini yang boleh diteliti:

    Honda HR-V

    • Panjang: 4,347-4,387 mm
    • Lebar: 1,790 mm
    • Tinggi: 1,590-1,591 mm
    • Jarak roda: 2,610 mm

    Toyota Yaris Cross dilancar di M’sia tidak lama lagi – ‘kembar’ Perodua Traz; akan dapat pilihan hibrid?

    Proton X50

    • Panjang: 4,380 mm
    • Lebar 1,795 mm
    • Tinggi: 1,609 mm
    • Jarak roda: 2,600 mm

    Mitsubishi Xforce

    • Panjang: 4,390 mm
    • Lebar: 1,810 mm
    • Tinggi: 1,660 mm
    • Jarak roda: 2,650 mm

    Chery Omoda O5

    • Panjang: 4,400 mm
    • Lebar: 1,830 mm
    • Tinggi: 1,588 mm
    • Jarak roda: 2,630 mm

    Chery Tiggo Cross

    • Panjang: 4,318 mm
    • Lebar: 1,830 mm
    • Tinggi: 1,670 mm
    • Jarak roda: 2,610 mm

    Toyota Yaris Cross dilancar di M’sia tidak lama lagi – ‘kembar’ Perodua Traz; akan dapat pilihan hibrid?

    Buat masa ini, UMWT masih ‘mengunci mulut’, jadi kita belum tahu dengan tepat pilihan penjana kuasa yang akan ditawarkan untuk Yaris Cross. Model kembarnya, Traz, dikuasakan oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder sebaris tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 106 PS (105 hp atau 78 kW) dan 138 Nm tork, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui D-CVT (CVT Mod Dwi) milik Daihatsu.

    Konfigurasi ini adalah yang digunakan pada Yaris Cross di Indonesia, walaupun terdapat juga pilihan transmisi manual lima-kelajuan selain D-CVT. Pasaran tersebut turut menawarkan Yaris Cross dengan penjana kuasa hibrid, yang berasaskan enjin 2NR-VEX dengan kapasiti sama 1.5 liter dan tanpa pengecas turbo tetapi beroperasi menggunakan kitaran Atkinson.

    Enjin tersebut menghasilkan 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan 121 Nm, dipadankan dengan CVT serta dibantu oleh motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan 141 Nm untuk jumlah kuasa sistem sebanyak 111 PS (110 hp atau 82 kW). Di negara jiran kita, Thailand hanya menawarkan Yaris Cross dengan versi hibrid. Memandangkan usaha elektrifikasi oleh UMWT, tidak mustahil kita juga akan menerima varian hibrid.

    Toyota Yaris Cross dilancar di M’sia tidak lama lagi – ‘kembar’ Perodua Traz; akan dapat pilihan hibrid?

    Untuk kedua-dua pasaran Indonesia dan Thailand, Yaris Cross turut diberikan kelengkapan Toyota Safety Sense dengan fungsi ADAS termasuk kawalan keluncuran adaptif, di mana ia tidak langsung ditawarkan buat Traz. Seperti yang kita lihat pada model kembar Veloz dan Alza, versi Toyota berkemungkinan lebih premium dengan lebih banyak ciri serta mungkin harga permulaan yang lebih tinggi.

    Pasaran SUV segmen-B dijangka menjadi lebih kompetitif berbanding sebelum ini dengan kembalinya Toyota ke dalam pasaran selepas pengunduran C-HR. Sementara kita menunggu UMWT memberikan lebih banyak maklumat, adakah anda teruja dengan ketibaan Yaris Cross? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah.

    GALERI: Toyota Yaris Cross pasaran Indonesia

     
     
  • 77% di Malaysia bergantung kepada kereta peribadi, 61% rasa selamat dalam kereta autonomous — Ipsos

    77% di Malaysia bergantung kepada kereta peribadi, 61% rasa selamat dalam kereta autonomous — Ipsos

    Menurut Ipsos Mobility Monitor 2026, sejumlah 77% rakyat Malaysia bergantung kepada kenderaan persendirian sebagai mod pengangkutan utama mereka, manakala purata di peringkat global pula hanya berada di tahap 54%, lapor Malay Mail.

    Menurut tinjauan tersebut, ia bukanlah berkaitan soal kos — kira-kira 62% daripada 500 orang dewasa di Malaysia terlibat dalam tinjauan itu berpendapat bahawa pengangkutan awam di kawasan mereka adalah berpatutan; ini bahkan lebih tinggi berbanding purata global pada tahap 53%.

    Bagaimanapun, 55% daripada mereka yang ditinjau berkata pilihan pengangkutan yang terhad menyukarkan untuk sampai ke destinasi, berbanding kadar purata 47% di seluruh dunia. Ini memperlihatkan bahawa masalah capaian ketersambungan jarak-akhir yang tidak akan dapat diselesaikan hanya melalui pembaharuan atau kemaskini harga semata-mata.

    Sebagai contoh, pas perjalanan tanpa had My50 oleh kerajaan dan diskaun KTM ETS 30% baru-baru ini bertujuan untuk menjadikan pengangkutan awam lebih berpatutan dalam usaha untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia, tetapi data Ipsos menunjukkan bahawa inisiatif tersebut tidak dapat merapatkan jurang yang ada dalam rangkaian liputan kawasan dan kekerapan.

    77% di Malaysia bergantung kepada kereta peribadi, 61% rasa selamat dalam kereta autonomous — Ipsos

    Berdasarkan tinjauan tersebut juga, hanya 10% rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam sebagai cara utama bagi perjalanan mereka, manakala 8% bergantung kepada perkhidmatan e-hailing atau teksi, dan hanya 5% bagi kaedah utama berjalan kaki.

    Apa yang menarik, tinjauan tersebut juga merangkumi EV, kenderaan autonomi dan kereta daripada syarikat teknologi berbanding pengeluar kereta yang mapan. 51% rakyat Malaysia yang ditinjau menyatakan minat untuk memandu EV (berbanding 45% di Singapura; dengan purata global 47%; 60% di Thailand; dan 67% di Indonesia) manakala 61% akan berasa lebih selamat dalam kereta pemanduan autonomous (berbanding purata global 36%; 39% di Singapura; 51% di Indonesia; dan 66% di Thailand).

    Sementara itu, adakah corak pembelian kereta kini lebih cenderung kepada yang dikeluarkan oleh syarikat teknologi atau oleh pengeluar kereta yang sudah mapan? Rakyat Malaysia yang ditinjau menjawab 26% teknologi/39% mapan (berbanding purata global 15%/51%; 21%/41% di Singapura; 26%/32% di Thailand; dan 34%/37% di Indonesia).

     
     
  • KPDN tahan dua lelaki di Kota Kinabalu kerana disyaki jual dan kumpul diesel bersubsidi secara haram

    KPDN tahan dua lelaki di Kota Kinabalu kerana disyaki jual dan kumpul diesel bersubsidi secara haram

    Hasil risikan penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah membawa kepada tangkapan dua individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penyelewengan diesel dalam Ops Tiris 4.0 di Kota Kinabalu baru-baru ini.

    “Hasil risikan tersebut, serbuan dibuat di sebuah stesen minyak dan membawa kepada penemuan dua kenderaan yang diubah suai dengan tangki tambahan (IBC). Diesel yang diisi bukan untuk kegunaan biasa, sebaliknya dipindahkan menggunakan hos dan pam elektrik untuk tujuan pengumpulan dan penjualan secara tidak sah.

    “Lebih mengejutkan, setiap kenderaan dianggarkan membawa sekitar 800 liter diesel, dipercayai sebahagian daripada aktiviti terancang sindiket,” kata KPDN Sabah menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Tambah KPDN, dua individu tempatan turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan diesel yang dimiliki. Manakala jumlah rampasan pula mencecah lebih RM22,000, melibatkan kenderaan, tangki IBC, pam elektrik dan hos dan minyak diesel. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

    KPDN turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi. Tindakan tegas akan terus diambil demi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada yang sepatutnya.

     
     
  • Honda CBR150R kini tersedia dalam warna hitam baru – enjin satu silinder 149 cc 16 hp, 13.7 Nm, RM13,399

    Honda CBR150R kini tersedia dalam warna hitam baru – enjin satu silinder 149 cc 16 hp, 13.7 Nm, RM13,399

    Boon Siew Honda Sdn Bhd sekali lagi memberikan perubahan warna pada CBR150R, yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2021. Model itu kini ditawarkan dalam warna hitam sebagai pilihan baru, menyertai warna kelabu dan Tricolor yang tersedia sebelum ini.

    Harga bagaimanapun tidak berubah, dengan ia masih dijual pada harga RM13,399 tidak termasuk insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km. Bermula hari ini, ia sudah berada di wakil pengedar Honda Impian X seluruh negara.

    Spesifikasi motosikal ini juga masih sama, bermula dengan penggerak yang terdiri daripada enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 137 kg.

    Suspensi model ini juga dipadankan dengan ciri sporty, menggunakan unit fork USD berwarna emas di hadapan (tanpa sebarang pelarasan) dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan brek cakera, siap dengan ABS dual-channel dan rim pula bersaiz 17 inci dengan dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.

     
     
  • DBKL tunda lebih 4,500 kenderaan usang, rosak antara 2022-2025 – sasar lupus 1,200 kenderaan tahun ini

    DBKL tunda lebih 4,500 kenderaan usang, rosak antara 2022-2025 – sasar lupus 1,200 kenderaan tahun ini

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan lebih 4,500 tindakan tunda atau angkut hasil daripada lebih 9,600 aduan awam yang diterima sepanjang tempoh 2022 hingga 2025. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan pelupusan sebanyak 1,200 kenderaan usang, buruk dan terbiar dan setakat awal April ini, sebanyak 768 kenderaan telah dilupuskan.

    Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Program Pelupusan Kenderaan Buruk/Tersadai Secara Sukarela di kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hari ini. Program tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif mempertingkatkan kualiti persekitaran dan kesejahteraan penduduk, selain terus memperkukuh kecekapan pengurusan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar bandar raya bagi memastikan persekitaran yang lebih tersusun, bersih dan selamat untuk warga kota.

    Bagi menyokong operasi ini, DBKL menyediakan tiga depoh utama di Taman Connaught, Cheras; Pantai Sentral, Lembah Pantai; dan Jalan Mas, Chan Sow Lin dengan kapasiti keseluruhan mencecah 3,100 kenderaan.

    “Dalam usaha meningkatkan kecekapan pelaksanaan, DBKL telah melantik Tetuan Car Medic Sdn. Bhd. sebagai penyedia perkhidmatan yang merangkumi kerja tunda dan angkut, penyediaan logistik serta pelupusan secara lestari. Program pelupusan secara sukarela turut diperkenalkan khususnya di kawasan perumahan awam dan strata bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan secara sah.

    DBKL tunda lebih 4,500 kenderaan usang, rosak antara 2022-2025 – sasar lupus 1,200 kenderaan tahun ini

    “Melalui inisiatif ini, pemilik kenderaan boleh membuat pembatalan pendaftaran melalui sistem e-Dereg dengan proses pengesahan yang cepat, selain menerima ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 mengikut jenis dan keadaan kenderaan,” katanya lagi.

    Beliau turut berkata, pihaknya juga akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berperingkat. “Setiap kenderaan akan melalui siasatan awal dan notis akan dikeluarkan kepada pemilik. Kegagalan mematuhi notis akan mengakibatkan tindakan tunda atau angkut diambil, termasuk pemindahan ke depoh simpanan sebelum dilupuskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    “Sehubungan itu, DBKL menyeru kerjasama semua pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan kenderaan tersadai di tempat awam. Orang ramai yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela boleh menghubungi pihak penyedia perkhidmatan bagi tindakan lanjut,” tambahnya.

    Katanya lagi, DBKL komited memastikan pengurusan kenderaan buruk dan tersadai dilaksanakan secara sistematik, cekap dan mampan demi kesejahteraan serta kualiti hidup warga kota Kuala Lumpur.

     
     
  • Land Rover Defender facelift 2026 kini boleh ditempah di Malaysia – sedikit perubahan luar, skrin 13.1 inci

    Land Rover Defender facelift 2026 kini boleh ditempah di Malaysia – sedikit perubahan luar, skrin 13.1 inci

    Jaguar Land Rover Malaysia mengumumkan bahawa pihaknya kini telah membuka tempahan untuk Defender versi facelift, yang sebelum ini diperkenalkan secara global pada Mei lalu.

    Ketika ini, Defender ditawarkan dalam tiga pilihan badan iaitu 90, 110 dan 130, yang kesemuanya masih berada dalam versi sebelum facelift di pasaran Malaysia. Versi kemas kini ini membawakan beberapa perubahan dari segi rekaan untuk ketiga-tiga varian tersebut, tetapi tidak begitu ketara.

    Bentuk berkotak ikonik Defender masih dikekalkan, namun bahagian bampar kini menerima kemasan permukaan yang dipertingkatkan dengan pilihan warna Silicon Silver atau Carpathian Grey Satin. Selain itu, terdapat corak bertekstur baru pada bahagian bonet dan liang sisi, manakala rim kini dilengkapi penutup tengah berlogo Defender. Gril hadapan pula tampil dengan jalur hitam berkilat bersama lencana bujur berwarna gelap secara standard.

    Perubahan yang lebih jelas dapat dilihat pada lampu hadapan yang kini menampilkan grafik pencahayaan baru dengan dua jalur di sisi bulatan utama. Lampu belakang juga diberikan kemasan lebih gelap, di samping pilihan warna baru seperti Woolstone Green dan Borasco yang diperkenalkan untuk model facelift ini.

    Dalam kabin, skrin infotainmen bersaiz 11.4 inci sebelum ini digantikan dengan unit lebih besar, berukuran 13.1 inci, yang memenuhi sepenuhnya ruang antara konsol tengah dan bahagian atas papan pemuka. Konsol tengah turut ditambah dengan poket gelongsor bagi memudahkan penyimpanan barangan kecil secara lebih kemas dan tersembunyi.

    Bagi ciri bantuan pemandu, Defender facelift ini kini dilengkapi fungsi Adaptive Off-Road Cruise Control, yang mampu melaraskan kelajuan secara automatik bagi memastikan tahap keselesaan optimum ketika meredah permukaan tidak rata. Buat masa ini, pihak JLRM masih belum mendedahkan maklumat lanjut termasuk harga, varian serta pilihan rangkaian kuasa, dan semua itu dijangka diumumkan pada hari pelancaran rasmi kelak.

    Land Rover Defender facelift 2026 kini boleh ditempah di Malaysia – sedikit perubahan luar, skrin 13.1 inci

    Sebagai tambahan, beberapa bulan selepas pengenalan model facelift ini, satu edisi khas dikenali sebagai Land Rover Defender Trophy Edition telah diperkenalkan pada Jun 2025. Model ini dibangunkan bersempena perlumbaan Defender Trophy, yang diinspirasikan daripada acara bersejarah Camel Trophy.

    Edisi Trophy tersebut diasaskan daripada varian badan 110 dan menampilkan elemen rekaan yang meraikan warisan lasak Defender, selain dilengkapi komponen khusus untuk ekspedisi. Walaubagaimanapun, edisi istimewa ini tidak akan ditawarkan di pasaran Malaysia.

    GALERI: Land Rover Defender facelift 2026

    GALERI: Land Rover Defender Trophy Edition 2026

     
     
  • Honda Prelude 2026 dipertonton di Malaysia — coupe 2+2 dengan enjin 2.0L hibrid 203 PS hampir tiba

    Honda Prelude 2026 dipertonton di Malaysia — coupe 2+2 dengan enjin 2.0L hibrid 203 PS hampir tiba

    Awal bulan ini, Honda Malaysia sudah mula membuka tempahan untuk model terbaru yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, Honda Prelude 2026. Terbaru, model berkenaan membuat penampilan umum pertamanya bagi versi produksi ini di Malaysia ketika acara rumah terbuka Aidilfitri 2026 bersama media, hari ini. Unit yang ditampilkan itu mengenakan warna luaran Crystal Black Pearl.

    Diberi kod nama BF1, Honda Prelude terbaru ini mempunyai ukuran dimensi 4,522 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,355 mm tinggi dengan jarak roda 2,605 mm. Ia merupakan sebuah coupe dengan konfigurasi tempat-duduk 2+2, dilengkapi teknologi hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) oleh Honda yang sama seperti Civic e:HEV, yang menggabungkan unit enjin petrol 2.0L empat-silinder sebaris dengan sebuah motor elektrik, untuk memacu roda depan.

    Honda Prelude 2026 dipertonton di Malaysia — coupe 2+2 dengan enjin 2.0L hibrid 203 PS hampir tiba

    Unit enjin LFC-H4 tersebut — yang bertindak utamanya sebagai generator untuk bateri (bersamaan dengan unit 72-sel 1.05 kWh untuk Civic hibrid) — menghasilkan sebanyak 141 PS pada 6,000 rpm dan 182 Nm pada 4,500 rpm dan menyalurkan tenaga untuk sebuah traction motor yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 315 Nm ke roda depan. Jika diperlukan, enjin petrol ini juga boleh memacu roda secara langsung dalam kelajuan lebih tinggi sekiranya sistem menentukan lebih cekap begitu. Gabungan ini memberikan output puncak sebanyak 203 PS (200 hp atau 149 kW).

    Jika sistem janaan hibridnya dikongsi bersama Civic e:HEV, komponen casis lain seperti suspensi depan jenis dual-axis strut dan penyerap hentak adaptif pula dikongsi bersama Civic Type R FL5. Prelude menggunakan roda 19-inci dengan tayar 235/40R19. Brek pula dilengkapi oleh angkup Brembo warna biru di depan, dengan rotor brek berukuran 13.8-inci di depan dan 12-inci di belakang.

    Honda Prelude 2026 dipertonton di Malaysia — coupe 2+2 dengan enjin 2.0L hibrid 203 PS hampir tiba

    Honda Prelude akan menjadi produk Honda yang pertama di Malaysia yang menampilkan teknologi S+ Shift, yang menyepadukan Active Sound Control untuk menghadirkan simulasi penukaran gear dari transmisi lapan-kelajuan yang digunakan. Fungsi Shift Hold yang ada juga mensasarkan untuk memperbaiki ketepatan pemanduan dengan membantu kenderaan ini memberi maklum balas lebih tepat terhadap input pemandu.

    Unit yang ditunjuk ini bagaimanapun hanyalah untuk bahagian luaran sahaja. Ruangan kabin dikunci, dengan cermin digelapkan dan belum boleh dilihat dari dekat. Untuk cadangan imejnya anda boleh rujuk kepada model yang sama ketika dipamerkan di Bangkok sebelum ini.

    Untuk alat bantuan pemanduan, Honda Prelude 2026 menerima Honda Sensing yang terdiri antaranya daripada fungsi peninjau titik buta dan peninjau lintasan trafik. Begitu juga belum ada sebarang petunjuk kepada harga yang akan dikenakan untuk Prelude. Kami akan bawakan perkembangan dan perinciannya dalam masa terdekat selepas melihat dari dekat model ini nanti.

     
     
  • Jetour T2 melepasi 4,089 tempahan di Malaysia

    Jetour T2 melepasi 4,089 tempahan di Malaysia

    Boleh tahan juga tempahan Jetour T2 untuk pasaran Malaysia yang kini telah melepasi 4,089 unit. SUV ‘kotak macbo’ ini telah dilancarkan pada Mac lalu, namun tempahannya mula dibuka sejak November 2025. Dengan jumlah tempahan yang diterima, secara puratanya mewakili 25 unit tempahan sehari.

    Di bawah bonetnya, ia diberikan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 245 PS pada 5,500 rpm dan 375 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm, yang dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuk 12 unit pembesar suara Sony, Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar, kamera 360 darjah, rim aloi 19-inci, tempat duduk hadapan berkuasa, penyaman udara automatik dwi-zon, upholsteri kulit tiruan, pengecas tanpa wayar 50 watt, dashcam terbina dalam, bumbung kaca panoramik, enam beg udara serta ADAS Tahap 2.

    Selain itu, rebat RM2,000 telah dilanjutkan kepada 5,000 pembeli pertama, berbanding 3,000 sebelum ini. Jadi buat masa ini, harganya masih RM155,669 atas jalan (OTR) sebelum insurans. Ia akan menjadi RM157,669 selepas rebat tamat. T2 didatangkan dengan waranti kenderaan tujuh-tahun/150,000 km, jaminan penjana kuasa 10-tahun/satu juta km serta lima kali servis percuma (alat ganti dan kos buruh).

     
     
  • Keeway RKR250 dilancarkan di Malaysia – RM13,888

    Keeway RKR250 dilancarkan di Malaysia – RM13,888

    Model sport terkini daripada Keeway kini memasuki pasaran tempatan menerusi pengenalan Keeway RKR250, yang ditawarkan pada harga RM13,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Dua pilihan warna disediakan, iaitu Night Black dan Flame Red, dengan setiap pembelian disertakan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    RKR250 dikuasakan oleh enjin dua silinder DOHC lapan injap dengan sistem penyejukan cecair, berkapasiti 249.3 cc dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 31.5 hp pada 10,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 9,500 rpm. Ia dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan yang dilengkapi klac jenis slipper serta pacuan akhir jenis rantai.

    Bahagian suspensi menampilkan fork teleskopik berdiameter 40 mm di hadapan dengan jarak gerak 100 mm, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak jenis monoshock dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 42.5 mm.

    Keeway RKR250 dilancarkan di Malaysia – RM13,888

    Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang, dengan cakera hadapan bersaiz 320 mm dipadankan bersama angkup empat piston, sementara cakera belakang berukuran 240 mm menggunakan angkup satu piston.

    RKR250 menggunakan rim bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang, masing-masing dipadankan dengan tayar bersaiz 110/70 dan 150/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 770 mm, manakala berat keseluruhan motosikal ini ialah 130 kg. Tangki bahan api pula mampu menampung sehingga 12 liter petrol.

    Dari sudut teknologi, maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin TFT-LCD bersaiz lima inci. Turut disediakan ialah soket pengecas USB jenis A dan C untuk kemudahan pengguna. Antara ciri bantuan elektronik yang ditawarkan termasuk kawalan cengkaman yang boleh ditutup, sistem pemerhati tekanan angin tayar, ABS dual-channel serta sambungan bluetooth ke telefon pintar.

     
     
  • Bekalan diesel berkurangan punca stesen minyak di R&R Juru enggan jual kepada pemandu lori – KPDN

    Bekalan diesel berkurangan punca stesen minyak di R&R Juru enggan jual kepada pemandu lori – KPDN

    Sebuah stesen minyak di kawasan R&R Juru arah utara dilaporkan enggan menjual diesel kepada pemandu lori berikutan pengurangan bekalan daripada depotnya, laporan New Straits Times.

    Bertindak daripada video yang tular, sepasukan lima pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah digerakkan ke stesen tersebut, kata Pengarah KPDN negeri, S. Jegan.

    “Sepasukan pegawai penguatkuasa telah dihantar ke stesen tersebut pada jam 8 malam untuk menjalankan pemeriksaan selepas satu video kejadian itu tular secara dalam talian. Pemeriksaan dan pengesahan dokumen mendapati stok diesel masih ada di premis berkenaan. Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati bekalan diesel B10 dari depot ke stesen tersebut telah dikurangkan kira-kira 50% sejak Isnin (13 April),” katanya.

    Menurut Jegan, disebabkan pengurangan bekalan ke stesen tersebut, pihak pengurusan stesen mengutamakan jualan kepada pelanggan tetap sambil mengehadkan pembelian oleh pelanggan tidak tetap kepada 20 liter. Walaupun berdepan kekangan bekalan, keengganan menjual barangan kawalan adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, tambahnya.

    “Tindakan telah diambil terhadap stesen tersebut, dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana enggan menjual barangan kawalan,” katanya.

    Awal minggu ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata bekalan bahan api diesel masih mencukupi, dan gangguan terpencil yang dilaporkan adalah disebabkan isu logistik seperti kelewatan penghantaran ke pelabuhan dan depot, bukannya berpunca daripada kekurangan bekalan.

     
     
  • Proton X70 Sport Edition 2026 dilancar – Nilai tambahan RM6k dengan ekstra RM2.5k; RM115,300

    Proton X70 Sport Edition 2026 dilancar – Nilai tambahan RM6k dengan ekstra RM2.5k; RM115,300

    Proton secara rasminya telah melancarkan X70 Sport Edition baharu, model edisi terhad yang diumumkan beberapa hari lalu. Berasaskan varian tertinggi X70 Premium MC3, X70 Sport Edition membawakan beberapa perubahan estetika untuk penampilan yang lebih menarik.

    Untuk luaran, SUV ini menerima kit tambahan merangkumi splitter hadapan dan skirting sisi serta dengan bahagian belakang diberikan serlahan jalur merah. Selain itu, ia juga diberikan roda 19-inci yang sama rekaan dengan varian Premium, tetapi dalam kemasan hitam berkilat berbanding dua-tona.

    Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi lencana ‘Sport Edition’ di pintu tailgate belakang dengan kemasan krom bersama tiga garisan merah serta perkataan ‘Sport Edition’ dalam rona hitam. Seperti yang pernah kami nyatakan sebelum ini, X70 Sport Edition hanya ditawarkan dengan rona Quartz Black, di mana warna ini tidak pernah ditawarkan dalam palet standard bagi X70.

    Proton X70 Sport Edition 2026 dilancar – Nilai tambahan RM6k dengan ekstra RM2.5k; RM115,300

    Warna hitam pekat itu juga digunakan secara eksklusif untuk 200 unit bagi X50 Black Edition sebelum ia menjadi warna standard bagi SUV segmen-B. Adakah X70 juga akan menerima Quartz Black sebagai warna standard pada masa hadapan? Biarlah Proton yang menentukannya.

    Manakala untuk bahagian dalam kabin, perubahan yang diberikan pula termasuklah serlahan jahitan benang merah pada tempat duduk, roda stereng dan juga perehat lengan hadapan. Juga ada sulaman “Sport Edition” pada bahagian penyandar badan kedua-dua tempat duduk bahagian depan. Ia juga diberikan alas barangan untuk but belakang.

    Risalah Proton X70 Sport Edition 2026; klik untuk besarkan

    Menurut Proton, ciri yang ditambahbaik ini adalah bernilai RM6,000, namun anda hanya perlu membayar RM2,500 untuk mendapatkannya. Buat masa ini, varian Premium ditawarkan pada harga atas jalan RM112,800 tanpa insurans, dan angka ini mengambil kira rebat berterusan Proton untuk X70 yang terpakai bagi pendaftaran sebelum 30 April 2026. Oleh itu, X70 Sport Edition ditawarkan dengan harga RM115,300, tetapi anda perlu cepat kerana Proton hanya menawarkan 600 unit sahaja.

    Secara mekanikalnya, X70 Sport Edition diberikan enjin BHE15-EFZ 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, menghasilkan kuasa 181 PS pada 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm antara 2,000 dan 3,500 rpm. Kuasa berkenaan dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT. Lain-lain ciri kelengkapannya adalah sama dengan Premium, termasuk ciri keselamatan ADAS yang turut diberikan secara standard.

     
     
  • Harga minyak 16-22 April – RON95 tanpa subsidi dan RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen

    Harga minyak 16-22 April – RON95 tanpa subsidi dan RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa untuk tempoh 16 hingga 22 April 2026, harga runcit bagi petrol RON97 diturunkan sebanyak 25 sen seliter, menjadi RM5.10 seliter.

    Malah RON95 tanpa subsidi juga diturunkan sebanyak 25 sen seliter, menjadi RM4.02 seliter. Walau bagaimana pun, RON95 bersubsidi di bawah program Budi95 masih dikekalkan pada RM1.99 seliter.

    Untuk diesel untuk semenanjung Malaysia pula, ia diturunkan sebanyak 75 sen, menjadi RM5.97 seliter. Manakala diesel untuk Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    MoF berkata, penurunan harga runcit bahan api berkenaan adalah disebabkan penurunan harga minyak global. Walau bagaimana pun, memandangkan konflik di Asia Barat yang berlarutan, Kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api, di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan.

    Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan, kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai tambahan Budi Diesel kepada RM400 sebulan bagi April 2026 untuk 350,000 penerima Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan. Ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac 2026.

    Secara keseluruhan, MoF berkata, kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa. Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan.

     
     
  • Aveta Serra 125 dilancarkan di Malaysia – RM5,088

    Aveta Serra 125 dilancarkan di Malaysia – RM5,088

    Satu lagi skuter yang dilancarkan oleh Aveta bersama Nova 200 dan VS115 adalah Serra 125, ditawarkan dalam pilihan tiga warna, iaitu kelabu, hijau dan biru, pada harga RM5,088 tidak termasuk insurans.

    Menjadi penggerak bagi skuter ini adalah enjin satu silinder penyejukan udara SOHC, suntikan bahan api, 124 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 8.8 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

    Menghubungkan skuter ini dengan jalan adalah rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan satu penyerap hentak. Hanya brek hadapan menggunakan unit cakera, sementara belakang masih dram dan tiada ABS pada skuter ini.

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui skrin digital LCD di hadapan penunggang, dan kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk cangkuk barangan, soket pengecas USB C dan A, rak untuk kotak barangan belakang serta ruang simpanan di bawah tempat duduk.

    Perincian lain skuter ini adalah seperti tangki bahan api enam liter, berat 105 kg, semua lampu jenis LED berserta DRL dan poket barangan di bahagian bawah pemegang.

     
     
  • Penyasaran subsidi diesel akan guna mekanisme yang sama seperti pemberian Budi95 – Menteri Komunikasi

    Penyasaran subsidi diesel akan guna mekanisme yang sama seperti pemberian Budi95 – Menteri Komunikasi

    Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Kewangan (MoF) untuk menangani segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme sama seperti pemberian Budi95 bagi minyak subsidi RON95, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, Perdana Menteri juga mahu kementerian membentangkan perincian mengenai proses berkenaan sama ada pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) pada Selasa depan atau Mesyuarat Kabinet sehari kemudian.

    “Kerajaan mula meneliti mekanisme yang terbaik untuk mengubah cara pengagihan subsidi Budi Diesel Individu yang ketika ini dalam bentuk pindahan tunai kepada mekanisme sama yang digunakan bagi Budi95.

    “Kita jangka apabila tiba masanya nanti, ini akan dapat membantu terutama bagi rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel. Jadi caranya lebih mudah, lebih efisien dan berkesan kalau kita lihat kepada cara pelaksanaan Budi95,” katanya selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

    Walau bagaimana pun, tidak diketahui sama ada diesel campuran B7 akan dimasukkan dalam pelan subsidi pukal yang akan datang, atau sama ada ia akan dianggap sebagai pilihan “premium” dan kekal pada harga pasaran, sama seperti petrol RON97. Jadi bagi mereka yang memandu kenderaan diesel yang menggunakan ‘blue nozzle’ (termasuk model Kia Carnival dan Mazda SkyActiv-D), jangan terlalu awal untuk rasa teruja meraikannya. Kena tunggu perkembangan selanjutnya dari MoF.

     
     
  • Malaysia akan tingkatkan mandat campuran biodiesel dari B10 ke B15, mula dengan B12 – menteri ekonomi

    Malaysia akan tingkatkan mandat campuran biodiesel dari B10 ke B15, mula dengan B12 – menteri ekonomi

    Malaysia bakal meningkatkan mandat campuran biodiesel daripada B10 kepada B15, dengan pelaksanaan awal dimulakan melalui pengenalan campuran B12. Langkah ini diumumkan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, sebagai usaha menjamin bekalan tenaga negara, dalam laporan The Star.

    Menurut beliau, pelaksanaan B15 tidak akan melibatkan kos tambahan kerana ia memanfaatkan infrastruktur pencampuran biodiesel sedia ada. Pada masa yang sama, peningkatan penggunaan biodiesel dilihat sebagai strategi penting untuk memanjangkan bekalan diesel domestik Malaysia.

    Mandat campuran biodiesel merujuk kepada dasar yang menetapkan peratusan tertentu bahan api boleh diperbaharui, lazimnya ester metil berasaskan minyak sawit, untuk dicampurkan bersama diesel fosil. Pelaksanaan B10 yang sedang berjalan ketika ini menunjukkan asas kepada sistem tersebut sudah tersedia, sekaligus membolehkan kerajaan menaikkan kadar campuran kepada B15 secara berperingkat, bermula dengan B12.

    Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut merangka pelan mitigasi minyak bio yang merangkumi usaha menaik taraf depoh bagi menyokong campuran lebih tinggi seperti B20 dan B30 di bawah Rancangan Malaysia ke-13. Selain itu, persediaan juga sedang dilakukan untuk melaksanakan mandat B30 khusus bagi sektor komersial dan pengangkutan awam.

    Malaysia akan tingkatkan mandat campuran biodiesel dari B10 ke B15, mula dengan B12 – menteri ekonomi

    Kerajaan akan terus memantau perkembangan global serta memastikan bekalan tenaga negara kekal mencukupi, di samping mempercepatkan reformasi ke arah sistem tenaga yang lebih berdaya tahan sebagai keperluan strategik negara.

    Malaysia juga dilihat mempunyai potensi besar dalam sektor biodiesel yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Setakat ini, negara telah menghasilkan sebanyak 975,207 tan metrik biodiesel, meskipun kapasiti pengeluaran keseluruhan mencecah 2.36 juta tan metrik. Ini menunjukkan asas industri, rantaian bekalan serta keupayaan pencampuran telah sedia ada dan hanya perlu diperkukuhkan secara sistematik bagi memberikan manfaat yang lebih besar kepada negara.

    Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada diesel “premium” B7 akan kekal dengan komposisi sedia ada atau turut menerima peningkatan kandungan biofuel seperti diesel biasa. Sehingga 9 April, harga diesel Euro 5 B10 adalah RM6.72 seliter, manakala diesel Euro 5 B7 pula dijual 20 sen lebih tinggi pada harga RM6.92 seliter.

     
     
  • Permintaan kereta baru menurun selepas Raya; konflik Asia Barat gugat keyakinan pembeli — Pekema

    Permintaan kereta baru menurun selepas Raya; konflik Asia Barat gugat keyakinan pembeli — Pekema

    Ketegangan berterusan yang masih berlangsung di Asia Barat dijangka akan menjejaskan industri automotif Malaysia, dengan permintaan untuk kenderaan baharu menunjukkan sedikit penurunan sejak konflik bermula, jelas Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).

    Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, corak permintaan yang lebih perlahan mula kelihatan selepas tempoh cuti Hari Raya Aidilfitri, yang banyak dipengaruhi oleh ketidakpastian geopolitik global. “Terdapat sedikit penurunan dalam permintaan untuk kereta baru, terutamanya selepas Hari Raya, dan konflik di Asia Barat tersebut juga telah menjejaskan keyakinan pembeli,” ujarnya awal minggu ini.

    “Kebanyakan orang mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan berhati-hati dalam membuat pembelian,” katanya, sambil menambah bahawa pengguna kini mungkin mengutamakan perbelanjaan penting berbanding komitmen besar seperti pembelian kenderaan atau hartanah.

    Permintaan kereta baru menurun selepas Raya; konflik Asia Barat gugat keyakinan pembeli — Pekema

    Beliau berkata, dari pemerhatian Pekema, harga kenderaan kekal stabil buat masa ini, memandangkan kebanyakan kenderaan import yang dibaik pulih yang dikendalikannya dibawa masuk dari Jepun, dengan kadar pertukaran mata wang yang masih agak baik berbanding ringgit. Bagaimanapun, beliau menambah bahawa jika konflik Asia Barat itu berterusan, kos penghantaran kemungkinan meningkat dan akhirnya memberi kesan ke atas harga kenderaan.

    Beliau menambah, cabaran utama yang dihadapi industri sekarang terletak pada gangguan logistik dan rantaian bekalan, termasuk kesesakan di pelabuhan tempatan, lapor Malay Mail. “Baru-baru ini, kira-kira 1,500 kenderaan terpaksa dipunggah di pelabuhan di Filipina kerana ia tidak dapat diproses di Pelabuhan Klang akibat kesesakan,” katanya.

    Berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata Pekema tidak menjangkakan penurunan jualan yang mendadak, sebaliknya prestasi jualan yang mendatar berbanding tahun lalu, dengan sedikit penurunan mungkin berlaku jika keadaan global kekal tidak stabil. “Prestasi jualan untuk kenderaan elektrik Dongfeng tahun lalu adalah sangat menggalakkan, dengan kira-kira 300 unit terjual. Tetapi corak semasa menunjukkan pendekatan tunggu dan lihat dalam kalangan pembeli,” katanya.

     
     
  • Porsche 911 GT3 S/C diperkenal – model GT pertama dengan bumbung lipat automatik, enjin NA 510 PS

    Porsche 911 GT3 S/C diperkenal – model GT pertama dengan bumbung lipat automatik, enjin NA 510 PS

    Seperti yang diketahui, Porsche 911 sememangnya digemari ramai dan hadir dalam pelbagai pilihan mengikut citarasa. Daripada varian Carrera sama ada bumbung keras atau lembut, Carrera T yang lebih ringan, versi Targa, sehinggalah model berprestasi tinggi seperti Turbo S, barisan 911 menawarkan kombinasi yang luas untuk memenuhi kehendak pelanggan.

    Namun begitu, terdapat satu konfigurasi yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini, iaitu model GT3 dengan bumbung boleh lipat jenis lembut. Selama ini, varian GT dalam keluarga 911 hanya ditawarkan dalam bentuk coupe. Perkara itu kini berubah apabila Porsche 911 GT3 S/C diperkenalkan sebagai ahli baru dalam barisan GT.

    Penambahan ‘S/C’ merujuk kepada ‘Sport Cabriolet’, dan menurut Porsche, model ini menggabungkan ciri pemanduan yang sebelum ini terdapat pada model edisi terhad seperti Porsche 911 Speedster dan Porsche 911 S/T. Model Speedster sebelum ini menggunakan bumbung fabrik yang perlu dikendalikan secara manual, namun pendekatan itu dianggap kurang praktikal untuk pelanggan masa kini.

    Porsche 911 GT3 S/C diperkenal – model GT pertama dengan bumbung lipat automatik, enjin NA 510 PS

    Sehubungan itu, 911 GT3 S/C dilengkapi sistem bumbung lembut automatik yang diambil daripada varian Cabriolet. Bumbung ini boleh dibuka atau ditutup dalam masa kira-kira 12 saat, sama ada ketika kenderaan pegun atau bergerak sehingga kelajuan 50 km/j.

    Dari segi kejuruteraan, penggunaan bahan magnesium secara meluas membantu mengawal pertambahan berat, menjadikan model ini hanya sekitar 30 kg lebih berat berbanding 911 Speedster meskipun dilengkapi mekanisme bumbung automatik. Selain itu, ia turut menerima elemen seperti ‘airblades’ sisi, bonet berliang dan spoiler belakang dengan Gurney flap seperti yang terdapat pada model S/T.

    Reka bentuk keseluruhan pula kekal hampir sama seperti Porsche 911 GT3 semasa, termasuk spoiler hadapan, diffuser belakang dan lampu utama LED matriks yang direka untuk meningkatkan aliran udara ke bahagian hadapan. Menerusi program Porsche Exclusive Manufaktur, pelanggan juga boleh memilih pakej Street Style yang menambah grafik hiasan, lampu hadapan berwarna gelap serta kemasan badan khas.

    Porsche 911 GT3 S/C diperkenal – model GT pertama dengan bumbung lipat automatik, enjin NA 510 PS

    Di bawah hud, model ini dikuasakan enjin 4.0 liter enam silinder mendatar NA yang mampu berputar sehingga 9,000 rpm, menghasilkan 510 PS dan 450 Nm tork. Tidak seperti GT3 biasa, tiada pilihan transmisi klac berkembar PDK ditawarkan, sebaliknya hanya transmisi manual enam kelajuan nisbah pendek disediakan, selari dengan fokusnya sebagai kereta pemandu tulen.

    Konfigurasi tempat duduk juga terhad kepada dua tempat sahaja, berbeza dengan GT3 Touring yang boleh memuatkan empat penumpang. Dari segi prestasi, 911 GT3 S/C mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 313 km/j, setanding dengan GT3 manual meskipun ia merupakan sebuah model convertible.

    Dengan berat sekitar 1,497 kg, model ini lebih berat berbanding 911 S/T yang hanya 1,380 kg, namun perbezaan itu tidak terlalu ketara memandangkan usaha pengurangan berat telah dilakukan melalui penggunaan brek Porsche Ceramic Composite Brakes, rim magnesium bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, bateri lithium-ion 40 Ah, serta komponen gentian karbon pada bonet, fender dan pintu.

    Bahagian dalam pula menampilkan elemen serba ringan seperti karpet khas dan panel pintu dengan pemegang gentian karbon. Tempat duduk Sports Seats Plus boleh laras empat hala didatangkan sebagai standard, manakala pilihan tempat duduk bucket ringan turut disediakan.

    Kabin dibalut dengan kulit hitam sepenuhnya, lengkap dengan logo ‘GT3 S/C’ pada bahagian belakang serta stereng dengan kemasan kulit berliang. Pilihan tambahan termasuk tombol gear kayu berlamina melalui program Exclusive Manufaktur.

    Sebagai tambahan, Porsche turut menawarkan kotak simpanan ringan di belakang tempat duduk dengan kapasiti 80 liter, serta jam tangan khas Chronograph 911 GT3 S/C yang direka sepadan dengan kenderaan.

     
     
  • KLIMS 2026 disertai 16 jenama automotif setakat ini

    KLIMS 2026 disertai 16 jenama automotif setakat ini

    Laman Facebook rasmi Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) memaparkan video mendedahkan 16 jenama automotif yang sah bakal mengambil bahagian dalam acara berprestij ini. Jenama terbabit ialah Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Mazda, MG, Nissan, Perodua, Proton (dan Proton eMas), smart, Toyota, Weststar Maxus, Xpeng dan Zeekr.

    Tiada dalam senarai pula ialah Audi, BMW, BYD, GAC, Chery, Ford, Isuzu, Jaecoo, Leapmotor, Lexus, Mercedes, Mitsubishi, Peugeot, Subaru, Suzuki, Tesla, Volkswagen, Volvo dan Wuling – kita nantikan adakah jenama tersebut akan muncul jua memandangkan masih ada lagi dua bulan sebelum acara berlangsung.

    Pada KLIMS 2024, Dongfeng, Hyundai, Jetour, Maxus dan Zeekr tidak mengambil bahagian namun jenama terbabit pastinya tidak mahu terlepas peluang kali ini. Manakala GAC Aion, Mitsubishi dan Peugeot ada mengambil bahagian pada 2024, cuma belum disahkan sama ada ia akan menyertai KLIMS 2026 atau pun tidak.

    KLIMS 2024 menyaksikan kehaditran 183,221 pengunjung sewaktu ia dianjurkan dari 5 hingga Disember 2024. Di mana acara edisi ke-10 itu disertai lebih 70 jenama automotif dan mobiliti. Kali ini, pastinya ramai yang tidak sabar melihat kemeriahannya, lebih-lebih lagi jika ia disertai lebih banyak jenama automotif dan mobiliti.

     
     
  • Nissan Juke 2027 muncul – EV buatan UK, asas Leaf

    Nissan Juke 2027 muncul – EV buatan UK, asas Leaf

    Nissan Juke generasi ketiga kini didedahkan secara rasmi, dan apa yang dilihat ini bukanlah sekadar rekaan luar biasa, sebaliknya sebuah kenderaan elektrik (EV) penuh yang akan dilancarkan pada tahun hadapan. Model ini dibangunkan di Sunderland, United Kingdom dan menggunakan platform CMF-EV.

    Pendedahan model baru ini dibuat ketika acara Nissan Vision Event yang berlangsung di ibu pejabat global Nissan di Jepun. Juke generasi baru akan berkongsi banyak komponen asas dengan Nissan Leaf generasi ketiga, termasuk teknologi vehicle-to-grid (V2G) yang membolehkan tenaga disalurkan semula ke grid elektrik.

    Kehadiran Juke EV ini adalah sebahagian daripada pengembangan barisan kenderaan elektrik Nissan di Eropah, yang turut merangkumi model seperti Micra, Ariya dan Townstar, selain sebuah lagi model EV segmen A yang masih dalam perancangan.

    Nissan Juke 2027 muncul – EV buatan UK, asas Leaf

    Menariknya, Nissan menegaskan bahawa Juke varian hibrid masih akan dikekalkan dalam barisan modelnya. Ini bermakna Juke generasi kedua dengan sistem hibrid elektrik (HEV) akan terus ditawarkan seiring dengan kemunculan model generasi ketiga versi EV.

    Sebagai gambaran keupayaan trenkuasa, spesifikasi Nissan Leaf boleh dijadikan rujukan. Model itu menggunakan tetapan satu motor pacuan roda hadapan dengan kuasa antara 177 hingga 218 PS serta tork 345 hingga 355 Nm. Ia ditawarkan dengan pilihan bateri 52 kWh atau 75 kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 436 hingga 604 km mengikut piawaian WLTP.

    Sistem pengecasan pantas DC menyokong kuasa sehingga 150 kW, membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus diselesaikan dalam kira-kira 35 minit. Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, Nissan Juke sememangnya dikenali dengan reka bentuk yang berani dan unik, dengan versi paling ekstrem menggunakan enjin 600 hp daripada Nissan GT-R Nismo.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026