Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Changan CS55 HEV 2026 dipamer di Beijing – SUV segmen B+, 1.5L Turbo hibrid, 191 PS/310 Nm, 7DCT

    Changan CS55 HEV 2026 dipamer di Beijing – SUV segmen B+, 1.5L Turbo hibrid, 191 PS/310 Nm, 7DCT

    Ketika hari pembukaan Auto China 2026 di Beijing semalam, Changan Automobile ada mempamerkan SUV Changan CS55 baharu – ia belum lagi dilancarkan di pasaran China, namun apa yang menarik model ini adalah antara yang dijangka akan di bawa ke Malaysia selepas jenama berkenaan dilancarkan pada suku tiga atau keempat tahun ini.

    SUV ini menampilkan dimensi panjang 4,550 mm, lebar 1,868 mm, tinggi 1,675 mm dan jarak roda sejauh 2,656 mm. Jadi sekiranya ia dilancarkan di Malaysia kelak, CS55 ini akan berhadapan terus dengan model-model SUV segmen-B seperti Toyota Corolla Cross, Honda HR-V, Jaecoo J5 dan Proton X50 tetapi dengan kelebihan saiz yang sedikit lebih besar. Ini kerana ia adalah 90 mm lebih panjang, 43 mm lebih lebar, 55 mm lebih tinggi dan jarak roda 16 mm lebih jauh berbanding Corolla Cross.

    Dan ketika lawan-lawan sekelas lazimnya memadankan sistem suspensi belakang torsion beam yang lebih ringkas, Changan CS55 ini menerima konfigurasi multilink yang lebih jitu. Manakala di hadapan ia masih hadir dengan sistem suspensi jenis topang McPherson.

    Changan CS55 HEV 2026 dipamer di Beijing – SUV segmen B+, 1.5L Turbo hibrid, 191 PS/310 Nm, 7DCT

    Model ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid Changan Blue Core baharu yang menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo didakwa sebagai enjin produksi pertama dalam dunia menggunakan penyuntik bahan api dengan tekanan 500 bar. Dibantu motor elektrik, unit rangkaian kuasa ini menghasilkan kuasa keseluruhan 191 PS dan juga tork maksima 310 Nm, di mana ia dihantar hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT.

    Tiada sebarang perincian rasmi lain ditunjukkan. Namun boleh dilihat SUV ini menerima lampu hadapan LED dengan jalur lampu nyalaan siang berbentuk-C dan seakan bersambung dengan satu bar di tengah, gril hadapan dengan motif berbentuk-V, lampu belakang juga dengan jalur nyalaan merah berbentuk-C, spoiler bumbung dengan lampu brek yang direka menegak serta rim aloi 19-inci dengan tayar 225/55R19.

    Pada bahagian dalaman pula Changan CS55 ini menerima rekaan yang agak tipikal untuk sebuah SUV dari China, menampilkan rekaan ringkas dengan papan pemuka yang diberikan paparan instrumen digital dengan skrin tanpa perumah, bersambung dengan skrin infotainmen di tengah.

    Changan CS55 HEV 2026 dipamer di Beijing – SUV segmen B+, 1.5L Turbo hibrid, 191 PS/310 Nm, 7DCT

    Namun masih terdapat beberapa butang kawalan fizikal diletakkan pada konsol tengah untuk operasi sistem penghawa dingin. Konsol berkenaan juga diberikan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan tanpa tombol gear serta tuil brek tangan, ia dapat memberikan banyak ruang storan termasuk di bawah pada pengecas tanpa wayar tersebut. Ia juga menerima upholsteri kulit serta larasan elektrik untuk tempat duduk hadapan.

    Apa pendapat anda tentang rekaan dan spesifikasi yang diberikan pada Changan CS55 ini? Dengan harga yang betul bolehkan ia mengambil sedikit bahagian pasaran SUV segmen-B di Malaysia? Kongsikannya pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept buat penampilan pertama di Beijing – petunjuk sedan E9?

    Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept buat penampilan pertama di Beijing – petunjuk sedan E9?

    Model konsep terbaru daripada Geely, iaitu Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept, telah membuat penampilan global pertama di Auto China 2026. Seperti namanya, ia merupakan kesinambungan kepada konsep Galaxy Light yang diperkenalkan pada tahun 2023, dan memberi bayangan kepada model sedan flagship masa depan jenama tersebut.

    Berbanding versi terdahulu, rekaan konsep generasi kedua ini dilihat lebih realistik dan hampir kepada model produksi. Ia kini menampilkan gril hadapan jenis “waterfall” yang lebih konvensional, rekaan rim yang tidak terlalu ekstrem serta kehadiran komponen praktikal seperti cermin sisi dan pemegang pintu.

    Dari sudut profil, perubahan ketara dapat dilihat apabila reka bentuk fastback dengan muncung rendah ala kereta sport sebelum ini digantikan dengan bentuk sedan tiga kotak yang lebih tegak dan elegan. Pendekatan ini memberikan imej lebih formal dan mewah, sesuai dengan peranannya sebagai model utama dalam barisan Galaxy, malah mengingatkan kepada gaya sedan mewah seperti Hongqi.

    Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept buat penampilan pertama di Beijing – petunjuk sedan E9?

    Geely menggambarkan model ini dengan pelbagai istilah seperti “kemewahan sofistikated”, “rekaan China dengan estetika global” serta “keindahan megah dan elegan”, mencerminkan keyakinan tinggi industri automotif China dalam menghasilkan model premium bertaraf dunia.

    Walaupun banyak perubahan dilakukan, beberapa elemen unik daripada konsep asal masih dikekalkan. Antaranya ialah pintu jenis “suicide”, walaupun pintu hadapan tidak lagi kelihatan mempunyai mekanisme bukaan ke atas seperti sebelum ini. Ruang dalaman pula masih mengekalkan sentuhan futuristik dengan susun atur empat tempat duduk serta jalur pencahayaan LED yang menghiasi panel pintu.

    Inspirasi rekaan dalaman dikatakan diambil daripada pemandangan cahaya pagi di Tasik Barat Hangzhou, dengan penggunaan bahan premium seperti kayu, kristal dan semula jadi. Kabin ini turut dilengkapi kawalan suhu pelbagai zon serta tempat duduk yang diinspirasikan daripada konsep “Chinese Chair”.

    Geely Galaxy Light 2nd Generation Concept buat penampilan pertama di Beijing – petunjuk sedan E9?

    Konsol tengah pula menampilkan rekaan unik digelar “Rippling Collection”, manakala elemen hiasan tradisional seperti corak “Jiwen” turut diterapkan bagi menonjolkan identiti budaya. Sistem audio yang dinamakan “Three Pools Mirroring the Moon” pula menjadi antara ciri paling menarik, menjanjikan pengalaman bunyi yang imersif dan mewah.

    Ketika ini, model seperti Galaxy E8 atau Starshine 8 merupakan sedan paling premium dalam barisan Geely. Namun, dengan kemunculan konsep Galaxy Light generasi kedua ini, tidak mustahil ia bakal menjadi asas kepada model produksi baharu seperti Galaxy E9 atau Starshine 9 pada masa hadapan, sekaligus mengangkat lagi imej jenama dalam segmen sedan mewah.

     
     
  • Chery Tiggo V diperkenal di Beijing – SUV 7-tempat duduk boleh tukar jadi pikap, penggerak ICE dan PHEV

    Chery Tiggo V diperkenal di Beijing – SUV 7-tempat duduk boleh tukar jadi pikap, penggerak ICE dan PHEV

    Chery memperkenalkan model terbarunya, Chery Tiggo V, di pentas Auto China 2026, yang mana merupakan versi produksi kepada konsep T1TP yang sebelum ini dipertontonkan pada acara Chery International User Summit 2025 di Wuhu, China.

    Menurut Chery, Tiggo V merupakan SUV keluarga pertama dalam barisan Tiggo yang bersifat “boleh ubah suai dan serba guna”. Model ini mengekalkan hala tuju konsep asal dengan menawarkan rekaan dalaman yang fleksibel serta susunan tempat duduk yang boleh dikonfigurasi mengikut pelbagai keperluan pengguna.

    Dibina di atas platform unibody, berbeza dengan trak pikap ladder frame seperti Himla, Tiggo V hadir sebagai model tujuh tempat duduk dalam konfigurasi standard. Namun, keunikan sebenar model ini terletak pada keupayaannya untuk diubah menjadi pelbagai bentuk lain termasuk pikap atau kenderaan pembawa barang. Secara keseluruhan, terdapat enam konfigurasi berbeza yang boleh dihasilkan, merangkumi hampir keseluruhan keperluan mobiliti keluarga moden.

    Chery Tiggo V diperkenal di Beijing – SUV 7-tempat duduk boleh tukar jadi pikap, penggerak ICE dan PHEV

    Dalam versi konsep T1TP sebelum ini, ruang kargo yang ditawarkan mencecah 600 liter dan dilengkapi empat cagak pengikat serta pembahagi untuk memastikan barangan pelbagai saiz dapat disusun dengan kemas. Pembahagi boleh laras turut membolehkan ruang antara kabin penumpang dan ruang kargo disesuaikan, sekaligus membolehkan barangan panjang dimuatkan dengan mudah.

    Selain itu, bahagian badan belakang yang boleh ditanggalkan membolehkan transformasi daripada SUV kepada pikap dilakukan dengan pantas. Dari segi reka bentuk, Tiggo V tidak banyak berbeza daripada model konsep, dengan kebanyakan elemen gaya dikekalkan. Perubahan kecil hanya melibatkan rekaan rim yang dilihat kurang lasak berbanding versi konsep terdahulu.

    Maklumat spesifikasi yang didedahkan setakat ini masih terhad. Dimensi penuh belum diumumkan, namun model ini mempunyai jarak roda sepanjang 2,800 mm dan ketinggian dalaman 1,297 mm, sedikit lebih tinggi berbanding konsep sebelumnya. Ruang kabin yang tinggi ini direka bagi memudahkan pergerakan serta keluar masuk penumpang.

    Chery Tiggo V diperkenal di Beijing – SUV 7-tempat duduk boleh tukar jadi pikap, penggerak ICE dan PHEV

    Bagi rangkaian kuasa, Chery mengesahkan bahawa teknologi hibrid terkini mereka akan menjadi antara pilihan utama, selain enjin petrol konvensional. Tiggo V dijangka ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE). Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 6.0 liter bagi setiap 100 km untuk versi PHEV, manakala versi petrol mencatatkan sekitar 7.84 liter bagi setiap 100 km.

    Keupayaan lasak turut diberi perhatian dengan kelegaan tanah setinggi 220 mm. Model ini juga mampu meredah air sehingga kedalaman 700 mm bagi versi PHEV dan 650 mm untuk versi petrol. Selain itu, ia berupaya mendaki dengan kecerunan sehingga 30 peratus, menjadikannya sesuai bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah aktiviti luar yang lebih mencabar.

    Buat masa ini, tiada pengesahan sama ada Tiggo V akan ditawarkan di pasaran Malaysia. Namun, konsep SUV berkapasiti besar yang boleh bertukar fungsi menjadi pikap pastinya menarik minat pengguna yang mahukan kenderaan serba boleh dalam satu pakej.

     
     
  • MG S5 EV CKD dilancarkan di Malaysia – motor lebih berkuasa, bateri 62 kWh, WLTP 446 km, RM117,528

    MG S5 EV CKD dilancarkan di Malaysia – motor lebih berkuasa, bateri 62 kWh, WLTP 446 km, RM117,528

    SUV elektrik kompak MG S5 EV dalam versi pemasangan tempatan (CKD) kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Model yang dihasilkan di Pegoh, Melaka ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Lux, dengan harga RM117,528 atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia.

    Pelancaran ini menandakan model pertama jenama di bawah SAIC Motor yang dipasang secara tempatan di negara ini. Unit pertama model ini telah mula keluar dari kilang 2 EPMB pada bulan lalu, sekaligus mencerminkan komitmen pengeluar untuk memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan.

    Peralihan daripada unit import sepenuhnya (CBU) kepada CKD turut membawa peningkatan pada prestasi rangkaian kuasa. MG S5 EV kini dilengkapi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang yang menghasilkan 151 kW (205 PS) dan 350 Nm. Ini merupakan peningkatan sebanyak 35 PS dan 100 Nm berbanding versi CBU yang diperkenalkan pada Mei 2025.

    Walaupun terdapat peningkatan kuasa, varian Lux ini masih mengekalkan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 62 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 446 km mengikut piawaian WLTP seperti yang dinyatakan oleh MG Motor Malaysia. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, membolehkan tahap bateri dicas dari 10 ke 80 peratus dalam masa sekitar 26 minit.

    Untuk aspek keselesaan dan kemudahan, versi CKD ini hadir dengan tempat duduk balutan kulit sepenuhnya menggantikan kombinasi kulit dan fabrik sebelum ini. Turut ditambah ialah pelarasan elektrik bagi tempat duduk penumpang hadapan serta pintu but berkuasa dengan fungsi bebas tangan, yang sebelum ini juga tersedia pada model CBU.

    Dari segi keselamatan, model ini mengekalkan pakej penuh seperti versi import, termasuk tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) Tahap 2.5. Antara fungsi yang ditawarkan ialah kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik, pengesanan titik buta, amaran trafik lintang belakang, amaran pembukaan pintu, sistem pemantauan keletihan pemandu, bantuan kekal lorong kecemasan, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, kawalan lampu pintar, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran belakang serta bantuan kesesakan trafik.

    MG S5 EV 2025 CBU di Malaysia

    Ciri tambahan lain termasuk sistem pemantauan tekanan tayar, cagak pemasangan kerusi kanak-kanak ISOFIX dan kit pembaikan tayar. Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran iaitu kelabu, perak dan emas.

    Sebagai jaminan kepada pengguna, MG S5 EV CKD hadir dengan waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 km, bersama waranti bateri selama lapan tahun atau 180,000 km, serta waranti unit kawalan motor pemacu selama lapan tahun atau 160,000 km.

    GALERI: MG S5 EV CKD

    GALERI: MG S5 EV Lux CBU

     
     
  • Xpeng GX ditampil di Beijing; versi BEV dan REEV, jarak gerak EV hingga 750km CLTC; dari RM232k

    Xpeng GX ditampil di Beijing; versi BEV dan REEV, jarak gerak EV hingga 750km CLTC; dari RM232k

    Xpeng membuka tirai kemeriahan ‘jajahannya’ di Auto China 2026 yang sedang berlangsung di Beijing dengan melakukan penampilan sulung peringkat global buat model terbaharunya, Xpeng GX. Jualannya juga baru sahaja bermula di China, dan SUV flagship bersaiz penuh ini diposisikan teratas dalam barisan model keluaran Xpeng termasuklah G6 dan G9, serta lebih mewah dan lebih fokus kepada teknologi kecerdasan buatan atau AI dengan SEPA 3.0 Physical AI vehicle architecture serba baharu. CEO Xpeng, He Xiaopeng berkata, abjad ‘X’ pada nama model ini membawa maksud sebagai “eXploration”.

    Di pasaran negara asalnya, GX serba mewah ini ditawarkan dengan dua pilihan penjana kuasa iaitu versi elektrik penuh (BEV) dan varian range-extended (REEV), dan kedua-duanya ditawarkan dengan harga permulaan yang sama iaitu 399,800 yuan (lebih kurang RM 232,000).

    Bagi saiznya, pesaing bagi model Range Rover, Li Auto L9 dan Aito M9 ini berukuran 5,265 mm panjang, 1,999 mm lebar, 1,800 mm tinggi dan jarak roda cecah 3,115 mm. Sebagai perbandingan Range Rover versi jarak roda panjang dari generasi kelima berukuran 5,252 mm panjang dan jarak rodanya pula 3,197 mm.

    Xpeng GX ditampil di Beijing; versi BEV dan REEV, jarak gerak EV hingga 750km CLTC; dari RM232k

    Berkenaan dengan pilihan penjana kuasanya, versi BEV dibina dengan sistem bervoltan tinggi 800V menggunakan sistem Kunpeng Super Electric. Untuk model asas RWD, ia mampu menghambur kuasa hingga 364 hp dan dengan bateri berkapasiti 91.9 kWh dan mampu memberikan jarak gerak hingga 635 km. Manakala varian AWD pula dengan kuasa 577 hp dan tork 695 Nm, dengan kelajuan maksima cecah 200 km/j. Dengan dwi motor AWD (depan dan belakang) serta bateri berkapasiti 110 kWh, ia mampu mencapai jarak gerak hingga 750 km mengikut piawaian CLTC. Manakala

    Manakala versi REEV pula diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder sebaris yang bertindak sebagai generator bersama dwi motor elektrik dan bateri berkapasiti 63.3 kWh yang mampu memberikan jarak 430 km dalam pacuan elektrik sepenuhnya dan kombinasi hingga 1,585 km.

    Pasukan kejuruteraan Xpeng turut memberikan keupayaan GX dicas dengan pengecas pantas 5C iaitu pengecasan ultra laju antara 12 hingga 15 minit untuk status pengecasan dari 10% hingga 80%.

    Xpeng GX ditampil di Beijing; versi BEV dan REEV, jarak gerak EV hingga 750km CLTC; dari RM232k

    Selain penjana kuasanya yang boleh dikatakan agak padu, apa lagi yang menariknya pasal GX ini? Untuk pengetahuan anda, SUV ini ditampilkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga 3,000 TOPS computing power untuk sistem pemanduan pintar, bantuan pemandu termaju dan juga keupayaan pemanduan autonomous.

    Berkenaan dengan rekaan imej luarannya, GX mengadaptasikan konsep rekaan baharu dengan tiang-A dan -B yang condong, gril hadapan tertutup, signitur pencahayaan lebar sepenuhnya termasuk lampu LED nipis di bahagian depan dan belakang, jaluran lampu pada bahagian atas tailgate, rim aloi besar bersalut krom bersaiz 20-inci dan juga stance yang tinggi. Walau bagaimana pun, GX masih menggunakan pemegang pintu jenis tarik keluar (retractable) walaupun terdapat larangan yang bakal berkuatkuasa bermula 2027 terhadap jenis pemegang pintu tersebut di China.

    Untuk bahagian kabinnya, GX menampilkan bentangan enam-tempat duduk (2+2+2), dengan memfokuskan keselesaan pada barisan kedua. Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah skrin paparan sentral 17.3-inci, kawaln suara AI, penyaman udara pelbagai-zon, pencahayaan ambien, skrin hiburan di belakang, tempat duduk dengan fungsi mengurut, ventilasi dan pemanas serta barisan ketiga yang boleh dibaringkan sepenuhnya secara elektronik. Xpeng telah bekerjasama dengan Nissan untuk merekabentuk tempat duduk ‘Zero Gravity’ bagi memberikan keselesaan yang lebih jitu buat pemandu dan penumpangnya.

    Xpeng GX ditampil di Beijing; versi BEV dan REEV, jarak gerak EV hingga 750km CLTC; dari RM232k

    Untuk ciri keselamatannya, GX dilengkapi dengan sistem pemanduan AI dengan Turing chip di mana ia boleh memproses data jalan secara real-time serta mengesan pejalan kaki, kenderaan dan halangan. Untuk pemanduan autonomous, ia diberikan ciri termasuk auto lane change, navigasi di persimpangan yang kompleks serta pengelak pelanggaran. Dengan sistem berasaskan ‘vision’ (tanpa LiDAR), ia menggunakan kamera dan AI bagi sistem pemanduan autonomous ini ‘nampak persekitaran sekaligus membantu kawalan pemanduan yang lebih meyakinkan.

    Bagi meyakinkan lagi pemandu dengan aspek keselematannya, GX turut dilengkapi sistem keselamatan lampu AI termasuk lampu utama projektor AI hasil kerjasama Xpeng dengan Huawei, sistem aviation-grade redundancy iaitu jika satu sistem gagal (contohnya stereng atau brek secara tiba-tiba bermasalah), akan ada ‘backup’ bagi mengurangkan risiko kegagalan pemanduan yang lebih kritikal.

    Kelmarin, Xpeng berkata pihaknya akan membawa masuk SUV bersaiz besar ke pasaran Malaysia, dijangka pada suku ketiga (Q3) atau ke-empat (Q4) tahun ini. Adakah ini bermakna GX ada harapan untuk memasuki pasaran Malaysia, atau pun ia dirasakan ‘agak premium’ dan mungkin ini menjadi rezeki SUV G9 bagi menambahkan lagi barisan model Xpeng di negara kita? Kena nantikan perkembangan selanjutnya dari Xpeng Malaysia pula.

     
     
  • Geely Galaxy Starshine 6 di Beijing – Emgrand versi PHEV; akan masuk sebagai Proton S70, sedan eMas?

    Geely Galaxy Starshine 6 di Beijing – Emgrand versi PHEV; akan masuk sebagai Proton S70, sedan eMas?

    Model yang dipamerkan di pentas Auto China 2026 oleh Geely ini dikenali sebagai Geely Galaxy Starshine 6 EF, iaitu varian e-fuel berasaskan metanol. Namun, untuk tujuan laporan ini, fokus bukan pada sistem penggeraknya kerana model ini berpotensi besar menjadi asas kepada sedan Proton generasi baru, termasuk pengganti kepada S70 serta model masa hadapan di bawah jenama Proton eMas.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong, memberi bayangan bahawa model ini merupakan “model berpotensi”, sekaligus menguatkan jangkaan sebelum ini. Berdasarkan perkembangan semasa, terdapat kemungkinan varian S70 tanpa turbo yang menggunakan enjin Saga akan terus menggunakan badan sedia ada sebagai pengganti Persona, manakala versi turbo dengan enjin X50 pula beralih kepada platform Emgrand generasi terkini.

    Bagi Proton eMas pula, kemunculan Starshine 6 versi plug-in hybrid (PHEV) sebelum ini telah mencetuskan spekulasi bahawa ia boleh menjadi asas kepada sedan elektrik masa hadapan jenama tersebut. Penampilan model ini secara fizikal sekurang-kurangnya dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang apa yang boleh dijangka.

    Geely Galaxy Starshine 6 di Beijing – Emgrand versi PHEV; akan masuk sebagai Proton S70, sedan eMas?

    Dalam versi PHEV, Starshine 6 dilengkapi dua motor elektrik P1 dan P3, dengan motor P3 berfungsi sebagai unit pemacu yang menghasilkan 163 PS dan 210 Nm. Kedua-dua motor ini digabungkan dalam transmisi hibrid khusus satu kelajuan (DHT) dengan nisbah 11:1, yang dipadankan dengan enjin empat silinder 1.5 liter NA BHE15PFI berkuasa 111 PS dan 136 Nm. Enjin ini dikatakan mempunyai kecekapan terma setinggi 47.26 peratus, satu angka yang mungkin akan diterapkan pada model Proton eMas pada masa hadapan.

    Dari segi kecekapan bahan api, penggunaan dicatatkan sekitar 2.8 hingga 2.9 liter bagi setiap 100 km mengikut piawaian CLTC. Dua pilihan bateri LFP ditawarkan, iaitu 8.5 kWh dengan jarak elektrik sejauh 60 km serta 17 kWh yang mampu mencapai sehingga 125 km.

    Sistem pengecasan pantas DC dapat digunakan sehingga kadar 35 kW, membolehkan tahap bateri naik dari 30 ke 80 peratus dalam masa sekitar 20 minit, selain pengecasan AC 3.3 kW. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 180 km/j.

    Geely Galaxy Starshine 6 di Beijing – Emgrand versi PHEV; akan masuk sebagai Proton S70, sedan eMas?

    Dari segi dimensi, model ini mempunyai panjang 4,806 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,490 mm dan jarak roda 2,756 mm, hampir menyamai Geely Emgrand generasi terkini. Saiz ini meletakkannya selesa dalam segmen C, malah lebih besar berbanding Honda Civic.

    Walaupun begitu, suspensi belakang masih menggunakan torsion beam dan bukannya multi-link seperti kebiasaan dalam segmen ini. Namun, konfigurasi ini memberi kelebihan dari segi ruang, dengan kapasiti but yang sangat besar, mencecah 609 liter.

    Rekaan luaran Starshine 6 menampilkan identiti yang lebih agresif dengan wajah hadapan seakan model AMG, manakala Emgrand pula lebih berinspirasikan gaya Volvo melalui perbezaan pada gril dan bampar. Lampu hadapan yang tajam dikongsi antara kedua-duanya, begitu juga dengan bentuk badan keseluruhan dan profil sisi, sementara rekaan lampu belakang hanya berbeza sedikit.

    Geely Galaxy Starshine 6 di Beijing – Emgrand versi PHEV; akan masuk sebagai Proton S70, sedan eMas?

    Di bahagian dalam, Starshine 6 banyak berkongsi elemen dengan Emgrand, termasuk papan pemuka dengan corong pendingin hawa berbentuk kapsul serta konsol tengah lebar yang menempatkan dua ruang letak telefon bersama pengecas tanpa wayar 50 watt.

    Ia turut dilengkapi paparan instrumen digital 10.2 inci dan skrin infotainmen 14.6 inci yang menggunakan sistem operasi Flyme Auto terkini. Perbezaan utama adalah pada pemilih gear, di mana versi PHEV menggunakan tuil pada belakang stereng menggantikan tombol kristal, manakala kawalan fizikal di bawah skrin digantikan dengan tombol pelbagai fungsi seperti yang dilihat pada Proton eMas 7.

    Geely Galaxy Starshine 6 di Beijing – Emgrand versi PHEV; akan masuk sebagai Proton S70, sedan eMas?

    Ruang kabin yang luas turut menjadi tarikan, dengan ruang kepala hadapan 970 mm, ruang lutut belakang 65 mm dan ruang bahu belakang 1,480 mm. Tempat duduk hadapan menggunakan rekaan sembilan lapisan “marshmallow” dengan pilihan pelarasan elektrik, pemanas dan pengudaraan, namun tanpa fungsi urutan. Dari segi keselamatan, ia hadir dengan sistem separa autonomous Tahap 2 serta enam beg udara sebagai ciri standard.

    Sekiranya model ini direalisasikan, ia bakal menjadi model pertama yang dikongsi antara Proton dan Proton eMas, dengan perbezaan utama terletak pada jenis rangkaian kuasa. Perkembangan ini pastinya menarik perhatian, terutama dalam usaha Proton memperluaskan penawaran sedan konvensional dan elektrik secara serentak.

    GALERI: Geely Galaxy Starshine 6 EF di Auto China 2026

    GALERI: Gambar rasmi Geely Galaxy Starshine 6 PHEV

    GALERI: Gambar rasmi Geely Emgrand 2026

     
     
  • Zeekr 009 facelift muncul di Beijing – sistem 900V baru, tempat duduk boleh pusing, sehingga 925 PS

    Zeekr 009 facelift muncul di Beijing – sistem 900V baru, tempat duduk boleh pusing, sehingga 925 PS

    MPV elektrik premium, Zeekr 009 menerima kemas kini terbaru, iaitu yang kedua selepas pembaharuan terdahulu pada Julai 2024. Versi facelift ini membuat penampilan sulung di acara Auto China (juga dikenali sebagai Auto Beijing), dengan tempahan awal sudah dibuka. Tiga varian akan ditawarkan kepada pelanggan, namun harga rasmi hanya akan diumumkan semasa pelancaran.

    Dari segi perubahan, terdapat dua penambahbaikan utama yang diperkenalkan, dan menariknya, kedua-duanya tidak melibatkan perubahan besar pada rupa luaran. Hanya bampar hadapan direka semula dengan sedikit perubahan pada profil, khususnya di bahagian sudut di mana elemen krom mendatar pada saluran udara kini tidak lagi digunakan.

    Perubahan kecil ini turut menyumbang kepada peningkatan panjang keseluruhan sebanyak lapan milimeter, menjadikan ukuran kini 5,217 mm. Dimensi lain seperti lebar 2,024 mm, tinggi 1,812 mm dan jarak roda 3,205 mm kekal tidak berubah.

    Zeekr 009 facelift muncul di Beijing – sistem 900V baru, tempat duduk boleh pusing, sehingga 925 PS

    Penambahbaikan pertama yang signifikan dapat dilihat pada aspek rangkaian kuasa. Ia kini dilengkapi binaan elektrik 900-volt, satu peningkatan daripada sistem 800-volt sebelumnya, yang juga merupakan naik taraf daripada sistem 400-volt ketika model ini mula diperkenalkan. Sistem 900-volt ini hanya tersedia pada varian Ultra+ yang hadir dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk.

    Melalui sistem baru ini, bateri NMC berkapasiti 115 kWh mampu dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 10 minit. Jarak pemanduan pula boleh mencecah sehingga 720 km mengikut standard CLTC apabila dicas penuh.

    Selain itu, penggunaan sistem 900-volt membolehkan pemasangan motor elektrik yang lebih berkuasa. Varian dua motor, pacuan semua roda kini menghasilkan 925 PS dan 913 Nm tork, peningkatan ketara berbanding model sebelumnya yang mencatatkan 789 PS dan 810 Nm. Meskipun kuasa meningkat, pecutan 0-100 km/j kekal pada 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum ditetapkan pada 220 km/j, sedikit rendah berbanding 230 km/j sebelum ini.

    Zeekr 009 facelift muncul di Beijing – sistem 900V baru, tempat duduk boleh pusing, sehingga 925 PS

    Sistem suspensi udara dual-chamber bersama kawalan redaman berterusan (CCD) masih dikekalkan. Bagi varian Ultra+, ia kini dilengkapi sistem dwi-injap yang memberikan tindak balas lebih pantas. Varian asas Ultra pula menggunakan sistem CCD satu injap bersama suspensi udara dan kekal dengan sistem elektrik 800-volt.

    Varian Ultra asas ini hadir sebagai model tujuh tempat duduk dengan bateri NMC berkapasiti 108 kWh serta motor elektrik hadapan berkuasa 421 PS dan 440 Nm. Prestasi kekal dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat dan jarak pemanduan sehingga 740 km, namun kelajuan maksimum juga dihadkan kepada 220 km/j.

    Penambahbaikan kedua tertumpu pada ruang dalaman. Secara visual, perubahan mungkin tidak begitu ketara selain stereng baru berbentuk bulat sepenuhnya dan konsol tengah yang dikemaskini dengan tombol kristal untuk kawalan media. Susun atur baru ini juga menyaksikan pemilih gear dipindahkan ke tuil pada belakang stereng.

    Zeekr 009 facelift muncul di Beijing – sistem 900V baru, tempat duduk boleh pusing, sehingga 925 PS

    Menurut Zeekr, penambahan ciri premium dilakukan bagi memastikan model ini kekal menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna korporat di China. Antara ciri baru ialah tempat duduk baris kedua bagi versi enam tempat duduk yang kini boleh diputar sehingga 45, 90 atau 180 darjah untuk fleksibiliti susunan kabin yang lebih tinggi.

    Sistem audio juga dinaik taraf dengan penggunaan sistem Naim yang menampilkan 31 pembesar suara dengan kuasa maksimum 3,868 watt. Sistem ini dipadankan dengan sistem operasi Zeekr OS 7 yang kini menyokong lebih banyak fungsi kecerdasan buatan serta cip dwi Snapdragon 8295 bagi mengendalikan sistem infotainmen, termasuk skrin OLED 17 inci resolusi 3K untuk penumpang belakang serta paparan 10.25 inci dan 16 inci di bahagian hadapan.

    Dari sudut teknologi pemanduan pintar, model ini menerima sistem G-ASD (Geely Afari Smart Driving) terkini daripada Geely. Ia dilengkapi 31 sensor bersama LiDAR yang kini menjadi standard bagi semua varian, digabungkan dengan cip Nvidia Thor-U berkeupayaan 700 TOPS.

    Fungsi bantuan pemandu lanjutan (ADAS) turut dipertingkatkan, termasuk kawalan jelajah adaptif semua kelajuan, bantuan pertukaran lorong aktif, parkir automatik, parkir kawalan jauh, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong serta pemantauan titik buta. Kesemua ciri ini memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan canggih sejajar dengan statusnya sebagai MPV elektrik premium.

     
     
  • GWM Ora 5 HEV di Beijing — hibrid 1.5T 223 PS/476 Nm dengan jarak 1,100 km bakal masuk Malaysia

    GWM Ora 5 HEV di Beijing — hibrid 1.5T 223 PS/476 Nm dengan jarak 1,100 km bakal masuk Malaysia

    Selepas muncul hujung Mac lalu di BIMS 2026, GWM Ora 5 HEV sekali lagi dipamerkan di Auto China 2026 di Beijing yang mula berlangsung hari ini. Lebih menarik, model ini juga disahkan sudah berada dalam perancangan GWM Malaysia untuk di masuk sebagai model baru jenama itu yang akan diperkenalkan di pasaran Malaysia.

    Ora 5 mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm. Lebar trek roda hadapan dan belakang masing-masing ialah 1,583 mm dan 1,577 mm, manakala kelegaan tanah bagi crossover lima-tempat duduk ini ialah setinggi 175 mm.

    Model hibrid ini dilengkapi dengan enjin petrol 1.5 liter turbo empat-silinder yang menghasilkan 150 PS pada julat 5,500 hingga 6,000 rpm serta tork 240 Nm antara 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan pula dengan motor elektrik jenis magnet kekal yang menjana 190 PS dan 236 Nm, dengan tenaga disimpan dalam bateri lithium-ion berkapasiti 1.03 kWh.

    GWM Ora 5 HEV di Beijing — hibrid 1.5T 223 PS/476 Nm dengan jarak 1,100 km bakal masuk Malaysia

    Gabungan sistem hibrid ini menyediakan sebanyak 223 PS dan tork 476 Nm. Kapasiti tangki bahan api pula ialah 55 liter. Berdasarkan laporan Autolife Thailand, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j, serta mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l (atau 4.5 liter per 100 km) dan mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 1,100 km.

    Untuk aspek casis, Ora 5 HEV menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, sama seperti versi EV. Sistem stereng kuasa elektrik turut digunakan, manakala brek terdiri daripada cakera berliang di hadapan dan cakera penuh untuk belakang. Model ini dipadankan dengan rim aloi 18-inci bersama tayar saiz 225/60R18.

    Untuk kelengkapan luaran, model ini dilengkapi lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, spoiler belakang dengan lampu brek di kedudukan tinggi, pintu but manual, pengelap cermin hadapan dengan sensor hujan, cermin sisi larasan kuasa serta rel bumbung.

    GWM Ora 5 HEV di Beijing — hibrid 1.5T 223 PS/476 Nm dengan jarak 1,100 km bakal masuk Malaysia

    Untuk bahagian dalam kabin, Ora 5 HEV hadir dengan paparan instrumen digital 10.25-inci dan skrin infotainmen 14.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem ini turut menawarkan sambungan Bluetooth, navigasi pintar, fungsi kawalan suara, fungsi telematik, kawalan kenderaan melalui aplikasi mudah alih serta kemas kini perisian secara over-the-air.

    Sistem audio standard menggunakan enam-pembesar suara, manakala varian Ultra dinaik taraf kepada sembilan pembesar suara dengan kawalan volum sensitif kelajuan. Dari segi sambungan peranti, terdapat pengecas tanpa wayar 50 watt, satu port USB-A dan satu USB-C di bahagian hadapan serta satu lagi USB-C untuk penumpang belakang.

    Tempat duduk pemandu dilengkapi pelarasan kuasa enam-arah untuk semua varian, manakala varian Ultra menambah fungsi pengudaraan dan memori tiga tetapan. Tempat duduk penumpang hadapan bagi varian Pro menggunakan pelarasan manual empat arah, sementara varian Ultra menawarkan pelarasan kuasa serta fungsi pengudaraan.

    GWM Ora 5 HEV di Beijing — hibrid 1.5T 223 PS/476 Nm dengan jarak 1,100 km bakal masuk Malaysia

    Keseluruhan kabin menggunakan kemasan kulit buatan, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, disertakan perehat kepala tengah dan stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaras dari segi jangkauan dan kecondongan.

    Di Thailand tempoh hari, harga yang dikenakan untuk Ora 5 Hybrid ini bermula 729,000 baht (RM88,543). Berapa agaknya harga anggaran untuk pasaran Malaysia nanti?

    GWM Ora 5 HEV di BIMS 2026

     
     
  • Leapmotor Lafa 5 Ultra buat penampilan pertama di China – hot hatch gaya Eropah dengan 245 PS, RWD

    Leapmotor Lafa 5 Ultra buat penampilan pertama di China – hot hatch gaya Eropah dengan 245 PS, RWD

    Auto China 2026 yang berlangsung di Beijing tahun ini menyaksikan pelbagai pelancaran kenderaan elektrik, khususnya SUV besar dan mewah dengan penggerak elektrifikasi seperti PHEV dan REEV. Namun di sebalik lambakan model tersebut, sebuah model hatchback berprestasi tinggi berjaya mencuri perhatian peminat kereta.

    Leapmotor memperkenalkan Lafa 5 Ultra, sebuah hatchback elektrik berkonsepkan “hot hatch” yang merupakan versi paling sporty bagi model Lafa 5. Model asasnya dibangunkan sebagai hatchback segmen-C dengan cita rasa Eropah, setanding dengan model seperti Volkswagen Golf dan varian berprestasi tinggi GTI atau R.

    Menariknya, Lafa 5 direka sebagai model global dengan sasaran pasaran Eropah dan versi Ultra ini dijangka turut menembusi pasaran antarabangsa. Jika dibandingkan dengan model standard yang dikenali sebagai B05 di luar China, Lafa 5 Ultra tampil lebih rendah sebanyak 10 mm dengan ketinggian 1,510 mm. Ia juga mempunyai lebar 1,880 mm dan panjang keseluruhan 4,490 mm, menjadikannya sedikit lebih besar berbanding Golf generasi MK8.

    Leapmotor Lafa 5 Ultra buat penampilan pertama di China – hot hatch gaya Eropah dengan 245 PS, RWD

    Dari aspek rekaan, Ultra menampilkan pendekatan sporty yang sederhana, selari dengan gaya hot hatch Eropah. Ia tidak terlalu agresif, sebaliknya mengekalkan penampilan yang kemas dan matang. Elemen sporty merangkumi lip hadapan, skirt sisi, spoiler belakang dua sayap serta bampar belakang dengan diffuser, semuanya dalam kemasan hitam berkilat.

    Selain itu, model ini hadir dengan lencana gelap tanpa logo “Ultra” yang jelas, rim 19 inci serta angkup brek berwarna kelabu gelap. Tayar khas EV daripada Hankook turut digunakan dengan saiz 225/45. Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Thunder Flash Yellow, Starry Green dan Liquid Silver.

    Dari sudut prestasi, Leapmotor mengambil pendekatan yang lebih seimbang. Tidak seperti kebanyakan EV moden yang menampilkan angka kuasa ekstrem, Lafa 5 Ultra menghasilkan 245 PS yang disalurkan ke roda belakang, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.9 saat. Walaupun tidak terlalu ekstrem, angka ini dilihat mencukupi untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

    Leapmotor Lafa 5 Ultra buat penampilan pertama di China – hot hatch gaya Eropah dengan 245 PS, RWD

    Casis model ini dibangunkan dengan gabungan kejuruteraan China dan Eropah, menampilkan agihan berat 50:50 untuk keseimbangan optimum. Ia turut dilengkapi anti-roll bar yang diperkukuh serta penyerap hentak yang dinaik taraf.

    Menurut Leapmotor, prestasi ujian mengelak halangan adalah setanding dengan Tesla Model 3, malah menawarkan tindak balas stereng lebih pantas dan kawalan yang lebih tajam. Dari segi keupayaan selekoh, model ini mencatat daya apabila membelok maksimum 0.97g serta jarak membrek 100-0 km/j sejauh 36.01 meter.

    Bahagian dalaman pula menampilkan kabin serba gelap dengan kemasan “Windchaser Grey”, dihiasi bahan lembut dan permukaan ala suede yang memberikan sentuhan premium. Ruang kabin belakang juga luas berbanding hatchback segmen-C dari Eropah.

    Dari segi kelengkapan, ia mempunyai tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan, pemanas dan pengudaraan, serta stereng dengan fungsi pemanas. Model pasaran China turut dilengkapi sistem LiDAR di bumbung dan lampu biru penanda mod pemanduan autonomous, namun ciri ini dijangka tidak ditawarkan untuk pasaran eksport.

    Dua varian ditawarkan iaitu 500 Ultra dengan jarak gerak 500 km dan 600 Ultra dengan jarak gerak 600 km mengikut standard CLTC. Dalam penggunaan sebenar, anggaran jarak berdasarkan piawaian WLTP dijangka sekitar 400 km dan 500 km. Dari segi harga, model ini ditawarkan pada 123,800 yuan (RM71,912) bagi varian 500 dan 129,800 yuan (RM75,393) bagi varian 600, dengan harga promosi pelancaran yang lebih rendah diumumkan semasa acara tersebut.

     
     
  • Geely Eva Cab muncul di Beijing – prototaip robotaxi buatan khas pertama China, autonomous Tahap 4

    Geely Eva Cab muncul di Beijing – prototaip robotaxi buatan khas pertama China, autonomous Tahap 4

    Beijing menjadi tumpuan dunia automotif apabila Auto China 2026 membuka tirainya, dan antara model paling menarik perhatian ialah prototaip robotaxi terbaru daripada Geely yang dikenali sebagai Eva Cab. Kenderaan ini didakwa sebagai robotaxi pertama di China yang dibangunkan sepenuhnya dari awal khusus untuk operasi tanpa pemandu secara komersial, berbeza dengan kebanyakan model lain yang diubah suai daripada kereta produksi sedia ada.

    Eva Cab menonjol dari sudut teknologi apabila dilengkapi kecerdasan buatan (AI) menyeluruh yang menggerakkan platform pemanduan pintar G-ASD 4.0. Sistem ini dibangunkan bersama rakan teknologi Afari dan membolehkan kenderaan mencapai tahap autonomous Tahap 4, iaitu mampu beroperasi tanpa campur tangan manusia dalam kebanyakan situasi.

    Sebelum ini, operasi percubaan robotaxi telah dijalankan selama lebih setahun di beberapa bandar utama China seperti Hangzhou dan Suzhou melalui kerjasama dengan anak syarikat mobiliti Geely, CaoCao Mobility. Versi khas Eva Cab yang disesuaikan untuk perkhidmatan CaoCao Mobility dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang tahun 2027.

    Geely Eva Cab muncul di Beijing – prototaip robotaxi buatan khas pertama China, autonomous Tahap 4

    Dari segi keupayaan pemprosesan, Geely mendakwa Eva Cab dilengkapi platform pengkomputeran dalam kenderaan paling berkuasa dalam industri ketika ini. Ia menggabungkan cip berprestasi tinggi seperti NVIDIA SuperChip, NVIDIA Thor U dan Qualcomm Snapdragon 8397, yang secara keseluruhan mampu menjana lebih 3,000 TOPS kuasa pemprosesan.

    Selain itu, model ini turut menampilkan seni bina elektronik dan elektrik berasaskan AI yang digelar sebagai “Quantum-Level”, bersama sistem LiDAR digital 2,160 garis pertama di dunia. Perisian bantuan pemanduan Tahap 4 yang sedia untuk pengeluaran besar-besaran juga menjadi antara kelebihan utama, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kenderaan paling pintar yang pernah dibangunkan.

    Reka bentuk dalaman Eva Cab turut mencerminkan konsep futuristik dengan pintu lungsur elektrik, susun atur kabin berhadapan, siling “Galaxy Skyroof”, panel pintu “Drifting Galaxy” serta perehat tangan berinspirasikan elemen seni klasik China. Keseluruhannya, Eva Cab bukan sahaja mempamerkan kemajuan teknologi, malah menonjolkan identiti reka bentuk unik yang sinonim dengan pengeluar dari negara tersebut.

     
     
  • Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

    Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

    Foton Tunland V7

    Model pikap baru daripada Foton, iaitu siri Tunland V, bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi menerusi dua varian, Tunland V7 dan Tunland V9. Kedua-dua model ini dijangka dilancarkan bulan hadapan dan menarik perhatian kerana didakwa sebagai pikap diesel turbo hibrid pertama yang diperkenalkan di negara ini.

    Nama Tunland sebenarnya bukan asing, kerana ia pernah digunakan pada model pikap yang diperkenalkan sekitar tahun 2012 sebelum dibawa masuk ke Malaysia pada 2013 dengan nama Bison Savanna.

    Di Malaysia, Handal BCM bertindak sebagai pengimport dan pemasang eksklusif kenderaan Foton. Syarikat itu telah menerima kelulusan untuk membawa masuk serta memasang dalam negara (CKD) model Tunland V7 dan V9. Untuk permulaan, unit yang ditawarkan adalah model import sepenuhnya (CBU) yang dijangka tiba sekitar pertengahan Mei, manakala pemasangan tempatan dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 di Johor.

    Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

    Foton Tunland V7

    Dari segi harga, Tunland V7 dianggarkan bermula sekitar RM128,888 manakala Tunland V9 pula sekitar RM148,888. Kedua-duanya ditawarkan dengan jaminan selama tujuh tahun atau sehingga 200,000 kilometer. Kuasa dijana oleh enjin 2.0 liter diesel turbo dengan sistem hibrid ringkas, digandingkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan daripada ZF Friedrichshafen. Enam mod pemanduan turut disediakan untuk kesesuaian pelbagai keadaan jalan.

    Penggunaan bahan api dianggarkan antara 8.0 hingga 10.0 liter bagi setiap 100 kilometer, dengan jarak perjalanan sehingga 950 kilometer bagi setiap tangki penuh. Kedua-dua model juga mampu menunda beban sehingga 3.5 tan dan membawa muatan sehingga satu tan. Ruang kargo pula dikatakan antara yang terbesar dalam dilapisi semburan cat tahan lasak.

    Dari sudut kejuruteraan casis, Tunland V9 menggunakan suspensi belakang jenis multi-link dengan spring gegelung bagi memberikan tahap keselesaan dan kestabilan yang lebih baik. Sementara itu, Tunland V7 mengekalkan penggunaan suspensi dedaun yang lebih lazim bagi segmen pikap. Kedua-dua model dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci bersama tayar AT (semua permukaan).

    Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

    Foton Tunland V9

    Berdasarkan spesifikasi pasaran Afrika Selatan, kedua-dua varian ini berkongsi dimensi luaran yang sama dengan panjang 5,617 mm, lebar 2,090 mm dan tinggi 1,955 mm serta jarak roda 3,355 mm. Saiz ruang kargo juga serupa, manakala kelegaan tanah ditetapkan pada 240 mm.

    Untuk trenkuasa, model di pasaran tersebut menggunakan enjin Aucan 2.0 liter diesel turbo dengan bantuan sistem hibrid ringkas 48 volt yang menghasilkan kuasa 163 PS dan tork 450 Nm, serta kapasiti tangki bahan api 76 liter. Spesifikasi ini dijangka dikekalkan untuk pasaran Malaysia.

    Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

    Foton Tunland V9

    Dari aspek keselamatan dan bantuan pemandu, kedua-dua Tunland V7 dan V9 akan dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju Tahap 2+ bersama kamera pandangan 360 darjah. Antara ciri asas termasuk amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran pejalan kaki serta pemantauan keletihan pemandu.

    Bagi varian V9 yang lebih tinggi spesifikasinya, tambahan ciri seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong, kawalan pemusatan lorong, pengecaman papan tanda jalan, bantuan kesesakan trafik dan sistem kawalan jelajah pintar turut disediakan.

     
     
  • Xpeng P7 bakal dipertontonkan di KLIMS 2026 – disertai kereta terbang X2 dan robot IRON

    Xpeng P7 bakal dipertontonkan di KLIMS 2026 – disertai kereta terbang X2 dan robot IRON

    Sebelum ini ada desas-desus yang menyatakan bahawa Xpeng P7 bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun ini. Namun ketika kami bertanya kepada Xpeng Motors sendiri semasa berkunjung ke ibu pejabatnya di Guangzhao kelmarin, wakil syarikat berkenaan berkata ada kemungkinan besar model ini sedikit lewat tiba di pasaran kita. Dan mereka merancang untuk memperkenalkan model SUV bersaiz besar (kami jangkakan ia sama ada GX atau pun G9) terlebih dahulu iaitu pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun ini.

    Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama, Xpeng turut mengesahkan akan mempertontonkan P7 serba baharu ini di acara KLIMS 2026 yang bakal berlangsung pada Jun ini di MITEC. Namun difahamkan P7 yang bakal dipertontonkan di KLIMS 2026 adalah versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Sebelum ini, ada perkhabaran menyatakan bahawa Xpeng bakal memperkenalkan P7+ untuk pasaran ASEAN termasuk Malaysia. Cuma buat masa ini, belum dipastikan sama ada P7 serba baharu atau pun P7+ (Xpeng berkata, buat masa ini tiada rancangan untuk memproduksikan versi LHD dan ia disasarkan untuk pasaran Eropah sahaja).

    Selain Xpeng P7, turut bakal memeriahkan booth jenama ini di KLIMS 2026 kelak ialah kereta terbang Xpeng X2 dan juga robot IRON. XPeng X2 ialah kenderaan terbang elektrik (eVTOL) yang dibangunkan oleh anak syarikat XPeng AeroHT di bawah XPeng Motors. Ia dibangunkan sebagai pengangkutan bandar jarak dekat, penerbangan autonomi (tanpa pemandu) dan penggunaan peribadi.

    IRON pula merupakan robot humanoid (berbentuk manusia) yang dibangunkan oleh XPeng Motors sebagai sebahagian daripada visi mereka dalam AI dan “future mobility” — bukan sekadar kereta, tapi robot serta kereta terbang. Diperkenalkan pada tahun 2024, IRON direka untuk bergerak, berfikir, dan berinteraksi seperti manusia dan ia juga “human-like robot” paling realistik setakat ini.

    Ia berketinggian 178 cm dan seberat 70 kg serta mempunyai antara 60 hingga 82 sendi (degrees of freedom) yang sangat fleksibel. Ia memiliki tangan 22 DOF yang boleh memegang objek kecil termasuk telur dan otaknya dibantu oleh kecerdasan buatan AI dengan tiga cip Turing, serta memiliki sistem Vision 720° yang membolehkannya nampak sekeliling.

     
     
  • BMW 7 Series facelift 2026 – G70 LCI dapat Panoramic iDrive, jarak gerak WLTP varian i7 sehingga 708 km

    BMW 7 Series facelift 2026 – G70 LCI dapat Panoramic iDrive, jarak gerak WLTP varian i7 sehingga 708 km

    Meskipun baru berusia empat tahun sejak diperkenalkan kali pertama, BMW 7 Series generasi G70 dengan reka bentuknya yang radikal masih kelihatan segar hingga hari ini. Walaupun begitu, BMW tetap melakukan kemas kini terhadap sedan mewah itu, yang kini didedahkan di Beijing menjelang pameran Auto China, selari dengan hala tuju rekaan baru berasaskan konsep Neue Klasse.

    Melihat kepada bahagian luar, perubahan tidak terlalu drastik kerana BMW masih mengekalkan identiti tersendiri untuk model mewahnya, termasuk BMW X7. Rekaan lampu hadapan berasingan dan gril “double kidney” bersaiz besar masih dikekalkan, namun kini tampil dengan pendekatan yang digelar sebagai “monolithic appearance”.

    Lampu siang LED menjadi lebih nipis dan rata, manakala lampu utama disusun secara menegak di bahagian bucu bampar. Gril hadapan pula direka lebih tegak dengan bilah mendatar, memberikan imej yang sedikit lebih kemas berbanding sebelum ini.

    BMW 7 Series facelift 2026 – G70 LCI dapat Panoramic iDrive, jarak gerak WLTP varian i7 sehingga 708 km

    Ciri pencahayaan “Iconic Glow” turut dikekalkan, kini meliputi keseluruhan gril tanpa pemisahan di tengah. Bahagian bonet pula menampilkan lekukan tengah yang diinspirasikan daripada model Neue Klasse, sementara pakej M Sport kini tampil lebih sederhana dengan perbezaan utama pada bukaan udara tengah yang lebih besar.

    Di bahagian sisi, 7 Series menerima rekaan cermin sisi baru serta skirt tepi yang lebih nipis dengan sentuhan perak, menggantikan penggunaan krom yang kurang mesra alam. Perubahan paling ketara di bahagian belakang adalah lampu LED berbentuk palang berkembar yang lebih lebar dan memanjang sehingga ke logo, memberikan identiti visual yang lebih berani.

    Masuk ke ruang kabin, perubahan lebih ketara dengan pengenalan sistem Panoramic iDrive generasi terkini. Skrin sesentuh utama bersaiz 17.9 inci kini diletakkan berhampiran stereng, disertakan paparan Panoramic Vision yang dipancarkan sepanjang bahagian bawah cermin hadapan. Turut disediakan adalah head-up display 3D untuk maklumat pemanduan.

    BMW 7 Series facelift 2026 – G70 LCI dapat Panoramic iDrive, jarak gerak WLTP varian i7 sehingga 708 km

    Buat pertama kali, penumpang hadapan turut menerima skrin paparan sendiri dengan nisbah 21:9 yang sesuai untuk tontonan kandungan video. Sistem ini dilengkapi fungsi keselamatan yang akan menggelapkan skrin sekiranya pemandu dikesan melihat ke arah paparan tersebut. Stereng baru dengan rekaan jejari unik turut diperkenalkan, bersama kawalan sentuhan “Shy Tech” yang menggunakan maklum balas haptik.

    Dari segi kelengkapan premium, 7 Series terus menawarkan ciri mewah seperti sistem audio 36 pembesar suara daripada Bowers & Wilkins dengan sokongan Dolby Atmos, bumbung panoramik, serta sistem pendingin hawa automatik empat zon. Pilihan kemasan dalaman dan upholsteri juga boleh disesuaikan mengikut citarasa pembeli.

    Ruang tempat duduk belakang kekal menjadi fokus utama, dengan pilihan tempat duduk Executive Lounge yang boleh direbahkan hampir sepenuhnya dan dilengkapi ottoman. Turut tersedia pengecas tanpa wayar serta pencahayaan halo pada bahagian belakang tempat duduk hadapan. Sistem hiburan pula ditambah dengan skrin Theatre Screen bersaiz 31.3 inci resolusi 8K yang kini menyokong aplikasi strim binaan dalam sistem operasi BMW.

    BMW 7 Series facelift 2026 – G70 LCI dapat Panoramic iDrive, jarak gerak WLTP varian i7 sehingga 708 km

    Di bawah bonet, model ini menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem hibrid ringkas 48 volt. Varian 735 menghasilkan 286 PS dan 425 Nm, manakala 740 menawarkan 400 PS dan 580 Nm. Varian diesel 740d pula menjana 313 PS dan 670 Nm. Versi enjin V8 760i buat masa ini dihentikan, namun dijangka kembali dalam bentuk varian prestasi mewah di bawah jenama Alpina.

    Varian plug-in hybrid turut ditawarkan, termasuk 750e dan M760e, dengan gabungan kuasa sehingga 612 PS dan jarak pemanduan elektrik sekitar 80 km. Sementara itu, versi elektrik penuh BMW i7 menerima peningkatan ketara melalui penggunaan bateri generasi baru berkapasiti 112.5 kWh, membolehkan jarak pemanduan mencecah sehingga 700 km.

    BMW 7 Series facelift 2026 – G70 LCI dapat Panoramic iDrive, jarak gerak WLTP varian i7 sehingga 708 km

    Dari segi casis, 7 Series terus menggunakan suspensi udara pada kedua-dua gandar, bersama sistem Adaptive Chassis Control dan stereng roda belakang. Sistem bantuan pemandu Driving Assistant Plus turut disertakan sebagai standard, menawarkan fungsi separa autonomous Tahap 2 seperti adaptive cruise control dan bantuan pengekalan lorong.

    Menariknya, BMW tidak lagi menawarkan fungsi pemanduan autonomous Tahap 3 untuk model kemas kini ini berikutan permintaan yang rendah. Sebagai gantinya, sistem Tahap 2 yang lebih maju diperkenalkan dengan ciri “Symbiotic Drive” yang membolehkan pemandu terus memberi input tanpa mengganggu operasi sistem. Model 7 Series versi terkini ini dijadualkan memasuki fasa produksi di Dingolfing bermula Julai tahun ini.

     
     
  • Jetour G700 di Beijing – SUV PHEV 2.0T dengan jarak gerak hingga 1,100 km, tiba di Malaysia tahun depan?

    Jetour G700 di Beijing – SUV PHEV 2.0T dengan jarak gerak hingga 1,100 km, tiba di Malaysia tahun depan?

    Jetour telah memperkenalkan model SUV mewah terbarunya, Jetour G700, di Beijing bersama model Soueast S08 DM menjelang pameran Auto China tahun ini. Model G700 sebelum ini telah dilancarkan secara rasmi di pasaran China pada Oktober tahun lalu.

    Dibina atas casis ladder-frame, G700 tampil dengan dimensi besar iaitu 5,198 mm panjang, 2,050 mm lebar dan 1,956 mm tinggi. Ini meletakkannya dalam segmen SUV lasak bersaiz penuh, setanding dengan model seperti GWM Tank 500. Dari sudut keupayaan off-road, G700 menawarkan kedalaman redah air sehingga 970 mm, sudut mendaki 40 darjah dan sudut menjunam 32 darjah, serta kebolehan mendaki cerun sehingga 45 darjah.

    Di pasaran China, G700 ditawarkan dalam empat varian dengan pilihan konfigurasi lima atau enam tempat duduk. Dari aspek penggerak, model ini menggunakan sistem plug-in hybrid yang menggabungkan enjin petrol 2.0 liter turbo bersama motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 904 PS dan tork 1,135 Nm. Prestasi ini membolehkan SUV besar ini memecut 0-100 km/j dalam masa sekitar 4.6 saat.

    Jetour G700 di Beijing – SUV PHEV 2.0T dengan jarak gerak hingga 1,100 km, tiba di Malaysia tahun depan?

    Sistem bateri menggunakan unit berkapasiti 34.13 kWh daripada CATL, yang membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 150 km. Bagi pengecasan, G700 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 170 kW yang membolehkan tahap bateri meningkat dari 30% ke 80% dalam hanya 10 minit.

    Fungsi V2L dengan output 6.6 kW turut disediakan untuk membekalkan kuasa kepada peranti luaran. Secara keseluruhan, jarak pemanduan gabungan hibrid dianggarkan mencecah 1,400 km mengikut kitaran CLTC, atau sekitar 1,148 km berdasarkan piawaian WLTP.

    Ruang kabin G700 menampilkan pendekatan teknologi tinggi dengan paparan skrin mendatar bersaiz 35.4 inci yang merentasi bahagian bawah cermin hadapan, disokong oleh skrin infotainmen 15.6 inci di tengah. Turut disediakan ialah skrin tambahan 17.3 inci yang boleh dilipat keluar dari siling di antara dua bahagian bumbung suria. Penumpang belakang pula mempunyai kawalan penyaman udara sendiri menerusi skrin sesentuh 8.8 inci.

    Dari segi keselesaan, tempat duduk hadapan dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan. Model ini turut menawarkan bumbung suria hadapan dan belakang, serta lampu suasana. Sistem audio standard menggunakan konfigurasi 11 pembesar suara daripada Lexicon, dengan pilihan naik taraf kepada 18 pembesar suara. Ciri bantuan pemanduan pula disokong oleh sistem Falcon 500 yang membolehkan fungsi navigasi berautonomi pada kelajuan tinggi serta bantuan parkir.

    Berdasarkan maklumat awal dari Beijing, Jetour G700 berkemungkinan akan memasuki pasaran Malaysia seawal tahun hadapan, namun jadual pelancarannya masih belum disahkan. Di China, model ini ditawarkan pada harga antara 329,900 hingga 384,900 yuan, bersamaan sekitar RM191,000 hingga RM223,000. Sekiranya diperkenalkan di Malaysia, harga jualannya dianggarkan bermula sekitar RM250,000.

     
     
  • smart Concept #2 petunjuk kepada EV 2-tempat duduk jarak gerak 300 km, masuk Malaysia bawah Proton?

    smart Concept #2 petunjuk kepada EV 2-tempat duduk jarak gerak 300 km, masuk Malaysia bawah Proton?

    Selepas memberi tumpuan kepada keuntungan menerusi penghasilan SUV saiz besar dan sebuah sedan, smart kini kembali kepada asasnya dengan memperkenalkan Concept #2 di Beijing, menjelang pameran Auto China yang akan berlangsung minggu ini.

    Model konsep ini jelas mengimbau semula reka bentuk ikonik smart fortwo, dan memberi bayangan kepada model produksi sebenar berupa kenderaan elektrik dua tempat duduk yang dijangka diperkenalkan sepenuhnya di Paris Motor Show Oktober nanti.

    Seperti model-model terkini jenama itu, Concept #2 direka oleh Mercedes-Benz, manakala aspek kejuruteraan dibangunkan oleh Geely menerusi usaha sama 50:50 antara kedua-dua pihak. Model ini dibina menggunakan platform Electric Compact Architecture (ECA) baru, dengan panjang hanya 2,792 mm serta radius pusingan sekecil 6.95 meter, menonjolkan ciri praktikal sebuah kereta bandar kompak.

    smart Concept #2 petunjuk kepada EV 2-tempat duduk jarak gerak 300 km, masuk Malaysia bawah Proton?

    Dari segi rekaan, model ini tidak lagi menampilkan struktur tridion yang sinonim dengan smart sebelum ini. Sebaliknya, ia diterapkan dengan bahasa rekaan moden seperti yang dilihat pada model smart #1, termasuk lampu hadapan berbentuk segi tiga, bumbung terapung dan lampu belakang berprofil bulat.

    Reka bentuk keseluruhan kelihatan lebih agresif, dengan elemen gril hadapan digantikan oleh panel tertutup yang dihiasi logo smart serta rekaan tali bersilang, diinspirasikan daripada gaya produk mewah seperti beg Louis Vuitton.

    Penampilan sporty turut diperkuat lagi dengan kit badan agresif serta rim bersaiz besar di setiap penjuru. Sebagai model konsep, ia tampil dengan perincian unik seperti kemasan warna putih matte bersama perincian emas, paparan dot matriks di bahagian hadapan dan belakang, serta pemegang pintu berasaskan rekaan label penjagaan fabrik yang memaparkan tulisan “styled by Mercedes-Benz”.

    Dari sudut prestasi, Concept #2 dianggarkan mampu mencapai jarak pemanduan hampir 300 km bagi satu cas penuh, berkemungkinan berdasarkan piawaian WLTP. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC dari 10 hingga 80% dalam tempoh kurang 20 minit, selain dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peranti luaran.

    Di Malaysia, jenama smart diwakili oleh Pro-Net, anak syarikat kepada Proton, dengan kedua-duanya mempunyai kaitan pemilikan bersama oleh Geely. Dengan perancangan Proton untuk pemasangan tempatan (CKD) model smart yang dikaitkan dengan fasiliti EV baru di Tanjung Malim, tidak mustahil Concept #2 ini berpotensi ditawarkan di pasaran tempatan sebagai kenderaan alternatif dua tempat duduk yang lebih premium berbanding model seperti Proton eMas 5.

     
     
  • Soueast S08 DM di Beijing – PHEV 7-tempat duduk, jarak gerak sehingga 1,000 km, bakal tiba di Malaysia?

    Soueast S08 DM di Beijing – PHEV 7-tempat duduk, jarak gerak sehingga 1,000 km, bakal tiba di Malaysia?

    Jetour telah memperkenalkan model baru, Soueast S08 DM, di Beijing bersempena pameran Auto China tahun ini. Model ini menggunakan jenama Soueast, yang muncul selepas pengambilalihan Southeast Motor oleh Chery pada tahun 2024, dengan penjenamaan semula untuk pasaran antarabangsa.

    Sebelum ini, Soueast S08 DM telah membuat penampilan sulung globalnya di Kuwait pada Januari lalu. Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,810 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,705 mm tinggi, dengan jarak roda 2,820 mm. Saiz ini meletakkannya dalam segmen D, sebaris dengan model seperti Kia Sorento dan Proton X90.

    Dari aspek rekaan, model ini bukanlah dibangunkan sepenuhnya dari asas baru. Sebaliknya, ia merupakan versi penjenamaan semula kepada Jetour Shanhai L7 Plus dengan perubahan pada bahagian hadapan serta perincian kemasan. Unit yang dipamerkan di Beijing hadir dalam konfigurasi tujuh tempat duduk, berbeza dengan Shanhai L7 Plus yang ditawarkan dalam pilihan lima atau tujuh tempat duduk di pasaran China.

    Soueast S08 DM di Beijing – PHEV 7-tempat duduk, jarak gerak sehingga 1,000 km, bakal tiba di Malaysia?

    Sistem penggerak S08 DM menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan 156 PS pada 5,200 rpm dan 220 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa 360 PS dan tork 530 Nm.

    Bateri yang digunakan ialah jenis lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL dengan kapasiti 18.4 kWh, yang dapat memberikan jarak gerak elektrik sepenuhnya sehingga 85 km. Pengecasan pantas DC membolehkan tahap bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa sekitar 18 minit.

    Selain itu, fungsi V2L turut disediakan dengan keupayaan membekalkan sehingga 3.3 kW kepada peranti luaran. Dengan tangki bahan api berkapasiti 70 liter, jarak perjalanan keseluruhan model hibrid ini dikatakan boleh mencecah 1,000 km.

    Soueast S08 DM di Beijing – PHEV 7-tempat duduk, jarak gerak sehingga 1,000 km, bakal tiba di Malaysia?

    SUV ini dilengkapi rim aloi bersaiz 20 inci dengan tayar 235/50R20. Sistem brek menggunakan cakera berliang di hadapan dan cakera solid di belakang. Suspensi pula terdiri daripada tetapan MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link di belakang.

    Dari segi kelengkapan, Soueast S08 DM hadir dengan lampu hadapan dan belakang LED. Ruang kabin menampilkan bumbung suria panoramik, pelarasan tempat duduk elektrik untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta pelarasan sudut sandaran tempat duduk baris kedua secara elektrik antara 25 hingga 41 darjah. Tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh dilipat secara elektrik, selain pintu but berkuasa.

    Sistem infotainmen menggunakan skrin sesentuh bersaiz 15.6 inci, manakala pemandu mendapat paparan instrumen digital 10.25 inci. Sambungan telefon pintar disokong melalui Apple CarPlay dan Android Auto, dan pengecasan tanpa wayar sehingga 50 watt turut disediakan.

    Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu seperti bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, bantuan pertukaran lorong, pengesanan titik buta, amaran pembukaan pintu, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang, bantuan kesesakan trafik serta amaran keletihan pemandu.

    Ciri keselamatan pasif pula merangkumi beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan, beg udara sisi hadapan dan belakang serta beg udara tirai. Bagi tempat duduk kanak-kanak, cagak ISOFIX disediakan pada baris kedua. Sistem keselamatan aktif termasuk kawalan kestabilan, ABS, EBD, bantuan brek, hill hold control dan hill descent control.

     
     
  • Toyota Yaris Cross dibuka untuk tempahan di Malaysia – kembar Traz dengan spesifikasi tinggi, dari RM100k

    Toyota Yaris Cross dibuka untuk tempahan di Malaysia – kembar Traz dengan spesifikasi tinggi, dari RM100k

    Toyota Yaris Cross semakin hampir untuk dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia apabila UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan bahawa tempahan bagi model ini sudah dibuka, sekaligus menandakan ketibaan kembar kepada Perodua Traz dalam segmen yang sama.

    Anggaran harga bagi dua varian yang akan ditawarkan turut didedahkan. Barisan model ini dijangka bermula dengan Yaris Cross 1.5S pada harga sekitar RM99,900, manakala varian Yaris Cross 1.5S Hybrid dianggarkan pada RM109,900.

    Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian hadir dengan paparan TFT LCD tujuh inci bersama meter kelajuan digital LED, unit infotainmen bersaiz 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta rim aloi dua tona bersaiz 18 inci dengan rekaan yang sama. Selain itu, model ini turut dilengkapi ciri bantuan pemanduan seperti adaptive cruise control dan lampu tinggi adaptif.

    Toyota Yaris Cross dibuka untuk tempahan di Malaysia – kembar Traz dengan spesifikasi tinggi, dari RM100k

    Bagi varian hibrid, pengecas telefon tanpa wayar ditawarkan sebagai ciri standard, manakala varian petrol boleh mendapatkannya sebagai pilihan tambahan pada harga RM380. Kedua-dua varian juga boleh dilengkapi perakam video digital menghadap belakang pada harga yang sama.

    Untuk pilihan warna luaran, terdapat lima pilihan ditawarkan iaitu Dark Turquoise, Silver Metallic, Attitude Black, Spicy Scarlet SE dan Platinum Pearl White, dengan warna terakhir dikenakan caj tambahan sebanyak RM400.

    Model ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global di Indonesia pada Mei 2023, sebelum kelibatnya mula dikesan di jalan raya Malaysia pada Februari lalu. Versi yang bakal ditawarkan di Malaysia merupakan model khusus untuk pasaran ASEAN dan berbeza daripada versi Eropah yang kini sudah diberi naik taraf.

    Toyota Yaris Cross dibuka untuk tempahan di Malaysia – kembar Traz dengan spesifikasi tinggi, dari RM100k

    Meskipun spesifikasi penggerak untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan, rujukan daripada model di Indonesia menunjukkan varian petrol menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-VE empat silinder tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm. Sementara itu, varian hibrid pula menggunakan enjin 2NR-VEX kitaran Atkinson dengan kapasiti sama. Kedua-dua varian dijangka dipadankan dengan transmisi CVT untuk pasaran Malaysia.

    Sebagai jaminan, kedua-dua varian Yaris Cross akan ditawarkan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan. Pembeli juga boleh memilih pakej servis tambahan sama ada untuk tempoh tiga tahun atau 60,000 km pada harga RM2,350, atau lima tahun atau 100,000 km pada harga RM3,650.

    Bagi varian hibrid, waranti sistem hibrid selama lapan tahun yang merangkumi bateri, inverter dan unit kawalan pengurusan kuasa turut boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi dengan bayaran RM2,500.

     
     
  • Hongqi bakal tiba di Malaysia – diedar oleh Quill, lancar tengah tahun 2026, CKD dalam perancangan

    Hongqi bakal tiba di Malaysia – diedar oleh Quill, lancar tengah tahun 2026, CKD dalam perancangan

    Hongqi, satu jenama kenderaan mewah di bawah FAW Group, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Quill Group sebagai langkah rasmi untuk memasuki pasaran Malaysia. Menerusi perjanjian tersebut, Quill Group dilantik sebagai pengimport rasmi serta pengedar pemasangan tempatan (CKD) eksklusif bagi jenama itu, termasuk tanggungjawab melantik rangkaian pengedar sah di seluruh negara.

    Dijangka membuat pelancaran rasmi di Malaysia pada pertengahan tahun ini, Hongqi terkenal sebagai pengeluar kenderaan untuk pemimpin negara dan kenamaan, termasuk model limosin mewah L5. Malah, unit pertama Hongqi L5 generasi kedua telah dihadiahkan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar pada tahun 2024.

    Selaras dengan statusnya, L5 hadir dengan dimensi besar iaitu sepanjang 5,980 mm, lebar 2,090 mm dan tinggi 1,710 mm. Namun begitu, model ini merupakan sebahagian daripada siri Golden Sunflower yang hanya ditawarkan kepada golongan VVIP.

    Hongqi bakal tiba di Malaysia – diedar oleh Quill, lancar tengah tahun 2026, CKD dalam perancangan

    Di peringkat global, Hongqi kini giat memperkenalkan barisan SUV tenaga baru yang menggunakan teknologi elektrifikasi, seperti yang dipamerkan di Beijing Motor Show ketika ini. Jenama itu juga telah menembusi pasaran Singapura menerusi model E-HS9, sebuah SUV elektrik penuh dengan dua motor dan jarak pemanduan sehingga 548 km mengikut piawaian WLTP.

    Pengarah Urusan Quill Group, Datuk Jennifer Low menyatakan bahawa pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk membawa Hongqi ke Malaysia. Menurut beliau, Hongqi merupakan jenama yang unik dengan sejarah yang kukuh, sering menjadi pilihan pemimpin dunia dan diiktiraf secara global kerana kualiti tanpa kompromi.

    Beliau turut menambah bahawa hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China sejak 1974 menjadikan negara ini antara pasaran pemanduan sebelah kanan utama dalam strategi pengembangan Hongqi. Ketika ini, kenderaan Hongqi telah dieksport ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia, termasuk Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Pengenalan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan FAW Group terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

     
     
  • Harga minyak 23-29 April 2026 – semua turun; diesel jadi RM5.12 seliter, RON95 RM3.87, RON97 RM4.85

    Harga minyak 23-29 April 2026 – semua turun; diesel jadi RM5.12 seliter, RON95 RM3.87, RON97 RM4.85

    Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan kemas kini harga bahan api mingguan bagi tempoh 22 hingga 29 April 2026, dengan pengguna sekali lagi akan dapat menikmati penurunan harga bagi kebanyakan bahan api utama.

    Bagi diesel, harga runcit untuk gred B10 dan B20 turun sebanyak 85 sen kepada RM5.12 seliter berbanding RM5.97 seliter pada minggu sebelumnya. Seiring itu, diesel Euro 5 B7 yang lazimnya lebih mahal 20 sen kini ditetapkan pada harga RM5.32 seliter untuk tempoh sama.

    Di Sabah, Sarawak dan Labuan, harga diesel kekal tidak berubah pada RM2.15 seliter. Dalam masa sama, bantuan tunai di bawah program Budi Madani bagi diesel telah dinaikkan daripada RM300 kepada RM400. Penambahan RM100 tersebut telah mula disalurkan pada 21 April, menjadikannya kenaikan kedua selepas pelarasan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac lalu.

    Bagi petrol pula, harga RON 95 bersubsidi di bawah skim Budi Madani RON 95 kekal pada RM1.99 seliter. Pengguna yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga ini dengan kuota bulanan yang kini diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan. Sementara itu, harga RON 95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.87 seliter, manakala RON 97 mencatat penurunan 25 sen kepada RM4.85 seliter.

    Kesemua harga baru ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 29 April 2026. Ia merupakan pengumuman ke-18 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-381 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.

     
     
  • Perodua Nexus EV UTM x NanoMalaysia – kapasitor super kurangkan kebergantungan kepada bateri?

    Perodua Nexus EV UTM x NanoMalaysia – kapasitor super kurangkan kebergantungan kepada bateri?

    Perodua bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam mengumumkan pemeteraian memorandum perjanjian bagi program kejuruteraan kenderaan elektrifikasi (xEV). Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi EV generasi baru, merangkumi pembangunan modal insan serta aktiviti penyelidikan.

    Meskipun inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada memorandum persefahaman yang dimeterai pada Januari 2025, perhatian tertumpu kepada satu imej yang dikongsikan bersama kenyataan tersebut. Di antara dua unit Perodua QV-E yang disumbangkan kepada UTM untuk tujuan kajian, kelihatan sebuah Perodua Myvi generasi kedua facelift dengan nombor pendaftaran gaya EV tertera “Nexus EV”.

    Model yang dikenali sebagai Nexus EV itu bukanlah produk rasmi Perodua, sebaliknya hasil pembangunan bersama UTM dan NanoMalaysia. Ia merupakan Myvi yang diubah suai menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya, namun menggunakan pendekatan unik dikenali sebagai Hybrid Electric Storage System (HESS).

    Perodua Nexus EV UTM x NanoMalaysia – kapasitor super kurangkan kebergantungan kepada bateri?

    Sistem HESS ini tidak menjadikan kenderaan tersebut sebagai hibrid dalam erti kata konvensional, sebaliknya merujuk kepada penggunaan dua jenis storan tenaga iaitu bateri dan kapasitor super, konsep yang turut digunakan pada model berprestasi tinggi seperti Lamborghini Sián.

    Menurut penjelasan UTM, gabungan ini mampu meningkatkan kestabilan bekalan kuasa ketika permintaan tinggi seperti pecutan mendadak atau pemanduan henti-gerak, di samping membantu memanjangkan jangka hayat bateri dengan mengurangkan lonjakan arus.

    Bateri berfungsi sebagai penyimpan tenaga untuk jarak pemanduan, manakala kapasitor super pula berperanan menghantar dan menyerap kuasa dengan pantas. Dalam Nexus EV, kapasitor super membantu mengurangkan beban puncak ke atas bateri ketika pecutan serta meningkatkan kecekapan sistem brek regeneratif dengan kehilangan tenaga yang lebih rendah. Selain itu, ia turut membantu mengurangkan tekanan ke atas bateri sekaligus memanjangkan kitar hayatnya.

    Perodua Nexus EV UTM x NanoMalaysia – kapasitor super kurangkan kebergantungan kepada bateri?

    Bagi memastikan kedua-dua sumber tenaga ini berfungsi secara optimum, pasukan penyelidik membangunkan sistem pengurusan tenaga tersendiri lengkap dengan algoritma kawalan canggih yang membolehkan peralihan lancar antara bateri dan kapasitor super.

    Dari segi prestasi, Nexus EV dilengkapi motor elektrik berkuasa 129 PS dan 235 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sekitar 10 saat, sedikit lebih pantas berbanding Myvi 1.5 standard. Ia menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 26 kWh yang menawarkan jarak pemanduan praktikal sekitar 250 km, serta pengecas binaan dalam yang mampu mengecas sehingga 80% dalam tempoh kira-kira satu jam.

    Namun, cabaran utama terletak pada aspek pengumpulan komponen. Penempatan bateri dalam badan kompak Myvi memerlukan reka bentuk perumah khas lengkap dengan sistem pengurusan haba. Penambahan berat sekitar 200 kg juga menyebabkan ketidakseimbangan, sekaligus memerlukan pengukuhan struktur serta naik taraf suspensi. Malah, ruang but turut dipenuhi komponen tambahan, menjadikannya belum praktikal untuk kegunaan harian buat masa ini.

    Perodua Nexus EV UTM x NanoMalaysia – kapasitor super kurangkan kebergantungan kepada bateri?

    UTM memaklumkan bahawa langkah seterusnya termasuk penambahbaikan susun atur bateri, pembangunan sistem pengurusan haba yang lebih maju, peningkatan sistem pengurusan tenaga HESS serta penerokaan teknologi pengecasan pantas yang memanfaatkan kapasitor super bagi mengurangkan tekanan ke atas bateri.

    Walaupun projek ini mungkin dilihat sekadar eksperimen, ia sebenarnya selari dengan kebimbangan Perodua terhadap kos bateri sebagai halangan utama kepada penggunaan EV di Malaysia. Isu seperti kos tinggi, degradasi bateri dan nilai jualan semula menjadi antara faktor yang mendorong pendekatan pajakan bateri bagi model QV-E. Dalam masa sama, UTM turut menyentuh isu kebergantungan kepada teknologi luar sebagai cabaran utama.

    Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad, turut menyatakan bahawa pembangunan QV-E berdepan beberapa kekangan melibatkan pembekal dari China, termasuk sumber bateri. Dengan perkembangan teknologi HESS dan kapasitor super, timbul persoalan sama ada pendekatan ini mampu membantu mengurangkan kebergantungan kepada bateri mahal serta teknologi import pada masa hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026