Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Geely Boyue L di China – asas untuk Proton X70 baru?

    Geely Boyue L di China – asas untuk Proton X70 baru?

    Masih ingat lagi ketika Geely memperkenalkan Galaxy L7 di pentas Auto China 2024, yang ketika itu dilihat sebagai bayangan awal kepada Proton X70 generasi baru? Sekarang, dua tahun selepas itu, di lokasi yang sama, tampil pula Boyue L generasi keempat, yang turut dikenali sebagai Starray atau Atlas di pasaran luar China.

    Model terbaru ini merupakan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), berbeza dengan sub-jenama Galaxy yang kini dikhususkan untuk model EV dan PHEV. Oleh itu, Boyue L ini dilihat lebih hampir kepada apa yang bakal menjadi pengganti X70 di pasaran tempatan. Ia mula dilancarkan di China pada awal tahun lalu dengan rekaan yang lebih konvensional berbanding model 2023 yang tampil agresif dengan lampu tajam dan gril besar.

    Perubahan pada bahagian belakang pula tidak begitu ketara. Ia masih mengekalkan lampu belakang melintang penuh dengan grafik berbentuk anak panah serta spoiler pada pintu but. Hanya bampar bawah diberikan sentuhan baru untuk penampilan yang lebih kemas dan matang.

    Geely Boyue L di China – asas untuk Proton X70 baru?

    Model ini terus dibina di atas platform Compact Modular Architecture (CMA), dengan dimensi kini berukuran 4,730 mm panjang, 1,910 mm lebar, 1,710 mm tinggi dan jarak roda 2,785 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding generasi sebelumnya, malah jauh lebih besar berbanding X70 semasa dari segi panjang, lebar dan jarak roda.

    Perubahan paling ketara dapat dilihat di bahagian dalaman. Papan pemuka direka semula dengan skrin sesentuh 15.4 inci melintang, menggantikan skrin menegak sebelum ini. Corong penghawa dingin sisi kini berbentuk seperti simbol ‘pause’, manakala bahagian tengah menampilkan corong udara berkembar yang lebih nipis. Reka bentuk panel pintu juga diperbaharui dan pad pengecas tanpa wayar kini dipindahkan ke sebelah tuil gear yang lebih kompak.

    Head-up display realiti tambahan bersaiz 25.6 inci dan kluster instrumen digital 10.25 inci masih dikekalkan, namun sistem audio kini dipertingkat kepada sehingga 16 pembesar suara berbanding 11 sebelum ini. Dari segi suspensi, ia masih menggunakan tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

    Pilihan enjin juga kekal seperti sebelum ini, iaitu unit 1.5 liter turbo yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, serta enjin 2.0 liter turbo dengan 218 PS dan 325 Nm. Kedua-duanya merupakan enjin empat silinder suntikan terus yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan jenis basah.

    Konfigurasi enjin 1.5TD bersama transmisi 7DCT ini dilihat akan terus menjadi tunjang utama bagi model Proton pada masa hadapan. Dengan trend semasa, kebanyakan model enjin pembakaran dalaman Proton dijangka terus menggunakan kapasiti 1.5 liter, termasuk model plug-in hybrid seperti eMas 7.

    Dari sudut reka bentuk, bahagian belakang dengan lampu berbentuk anak panah memberikan identiti yang lebih menonjol dan moden. Namun, bahagian hadapan yang kini lebih konservatif mungkin menimbulkan pelbagai reaksi, terutamanya bagi mereka yang menyukai rekaan lebih futuristik pada model terdahulu.

     
     
  • Xpeng P7 2026 di Beijing – pengecas ultra laju 5C 10-80% hanya 11 min, jarak gerak hingga 615 km WLTP

    Xpeng P7 2026 di Beijing – pengecas ultra laju 5C 10-80% hanya 11 min, jarak gerak hingga 615 km WLTP

    Selain SUV flagship GX, Xpeng turut mempamerkan sedan elektrik premiumnya, P7 2026 menerusi acara Auto China 2026 yang sedang berlangsung di Beijing.

    Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa P7 bakal dipamerkan di KLIMS 2026 yang akan berlangsung di MITEC pada Jun ini. Malah ada juga desas-desus yang menyatakan model ini berpotensi memasuki pasaran ASEAN termasuk Malaysia (bukannya versi P7+ yang lebih sesuai untuk pasaran Eropah), namun perkara ini masih belum mendapat pengesahan dari pengeluarnya sendiri iaitu bilakah ia bakal ke pasaran kita.

    Dilancarkan di pasaran China pada Januari lalu, pesaing bagi Tesla Model S, Xiaomi SU7, dan BMW i4 ini dijual pada harga bermula ¥186k (lebih kurang RM107k) hingga ¥198k (RM114k). Ia ditawarkan dengan tiga gred iaitu Long Range (570km), Ultra Long Range (670km) and Performance (615km).

    Xpeng P7 2026 di Beijing – pengecas ultra laju 5C 10-80% hanya 11 min, jarak gerak hingga 615 km WLTP

    Versi Long Range dan Ultra Long Range menampilkan motor belakang 270kW bersama padanan bateri LFP 75 kWh, sementara varian tertinggi Performance pula merupakan versi AWD yang mempunyai motor kedua berkapasiti 437 kW yang diletakkan di gandar hadapan dengan hamburan kuasa 594 PS dan tork 695 Nm, bersama pek bateri 92.2 kWh, mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 3.7 saat dan kelajuan maksima cecah 230 km/j.

    Walau bagaimana pun, kesemua versi P7 serba baharu ini menggunakan sistem bervoltan tinggi 800-voltan, membolehkan pengecasan antara 10% hingga 80% mampu dicapai dalam 11-12 minit yang berkeupayaan menggunakan pengecas ultra laju 5C.

    Bagi dimensinya, P7 2026 ini berukuran 5,017 mm panjang, 1,937 mm lebar, 1,512 mm tinggi dan jarak roda mencecah 3,000 mmm. Dengan jarak roda tersebut, ia memberikan P7 2026 ini ruang but yang luas mencecah 725 liter yang boleh dipertingkatkan hingga 2,200 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Rekaan ala fastback coupe dengan bentuk yang sporty dan bumbung landai membuatkan P7 2026 ini nampak lebih agresif dan menonjol berbanding versi terdahulu. Walau pun masih menggunakan pereka yang sama iaitu Rafik Ferrag, tetapi sentuhan rekaannya kini tampil lebih futuristik.

    Bahagian hadapannya menampilkan jaluran pencahayaan lampu LED dengan lampu utama lebih nipis berbentuk-Y, diserikan dengan bampar yang lebar dan bergaya dengan garisan tajam. Untuk sisinya pula, garisan bumbung ala coupe diberikan dengan tiang-A berwarna hitam menampilkan kesan ala bumbung terapung serta tingkap tanpa bingkai cermin yang menampakkan sentuhan lebih premium. Ia juga diberikan roda bersaiz 20-inci dengan pilihan gentian karbon sama ada kemasan matte atau metalik.

    Untuk bahagian belakangnya, ia juga diberikan jaluran lampu LED lebar sepenuhnya, dengan deployable spoiler yang bukan saja menyerlahkan lagi penampilannya, malah ia bertindak meningkatkan lagi prestasi kenderaan dengan melaraskan sudut atau ketinggian secara automatik untuk meningkatkan daya tekan (downforce) pada kelajuan tinggi sambil mengurangkan rintangan udara (drag) pada kelajuan rendah. Sistem ini biasanya beroperasi berdasarkan kelajuan kenderaan, daya membrek, atau sudut stereng, sekali gus meningkatkan cengkaman tayar dan kestabilan apabila diperlukan.

    P7 serba baharu juga ditampilkan dengan versi ‘show-off’ iaitu Wing Edition dengan pintu Scissor ala Lamborghini serta penggayaan yang lebih agresif dan dipadankan bersama roda eksklusif. Tapi kami pasti, varian ini tidak akan dibawa masuk ke pasaran kita.

    Xpeng P7 2026 di Beijing – pengecas ultra laju 5C 10-80% hanya 11 min, jarak gerak hingga 615 km WLTP

    Bagi ruang kabinnya, ia menampilkan konsep “Cloudscape” dengan rekaan yang lebih minimalis digabungkan “kokpit AI” berteknologi tinggi. Ia juga diberikan sentuhan premium dengan material suede dan kemasan kayuan atau metalik, dengan pilihan warna dalaman sama ada ungu lembut atau biru dengan serlahan rose-gold.Papan pemukannya lebih kemas tanpa butang fizikal, di mana fungsi dikawal menerusi arahan suara dan juga sentuhan pada skrin.

    Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah skrin sesentuh sentral ‘terapung’ 15.6-inci yang boleh ditukar sudut ke kiri atau kanan termasuk mengesan suara sama ada dari pemandu atau penumpang di sebelah, kluster instrumen digital 8.8-inci, rekaan stereng yang lebih berpetak berbanding bulat dengan butang mod pemanduan dan mod pemanduan autonomous di bawahnya, tempat duduk balutan Nappa, termasuk fungsi larasan kuasa 16-hala, fungsi pemanas dan ventilasi serta mengurut untuk tempat duduk hadapan, sistem audio dengan 23-pembesar suara, pad pengecas tanpa wayar, bumbung kaca panoramik dan AIOS 6.0 smart cockpit.

    P7 2026 ini turut dilengkapi sistem pintar XPILOT ASSIST, tujuh beg udara secara standard, kamera berasaskan AI untuk pemanduan di lebuhraya dan bandar, 14 ciri bagi sistem ADAS termasuk AEB, Amaran Pelanggaran Hadapan, Pengelak Pelanggaran Sisi dan Belakang, Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Titik Buta, Kawalan Keluncuran Adaptif (ACC) dan Pembrekan Mitigasi Perlanggaran Sekunder.

    Apa yang lebih menarik ialah P7 2026 ini turut diberikan sistem pemanduan autonomous AI yang menggunakan sistem XPeng AI Hawk/XNGP, dengan 11 kamera, tiga penderia radar, 12 penderia ultrasonic dan kesemuanya dikuasakan oleh cip XPeng Turing AI (sehingga 2250 TOPS). Dengan sistem ini, ia memudahkan lagi pemanduan semi-autonomous untuk lebuhraya dan bandar, pemanduan mengikut navigasi serta menukar lorong secara automatik, dan berkeupayaan mengesan objek halangan. Sistem ini lebih kurang sama dengan Tesla Autopilot tetapi telah disuaipadankan untuk jalan di China.

    Selain itu, ia juga dilengkapi ciri keselamatan pintar berasaskan AI termasuk pemantauan pemandu (mengesan sekiranya pemandu keletihan dan tidak peka), brek kecemasan pintar dalam kelajuan tinggi, analisis persekitaran mengikut real-time (mengesan pejalan kaki, kenderaan dan objek halangan) dan kemaskini OTA.

    Bukan itu sahaja, bagi memantapkan lagi pengendaliannya, P7 2026 dilengkapi prestasi brek yang padu iaitu sekitar 35 meter bagi 100-0 km/j (hingga kenderaan berhenti sepenuhnya), dengan sistem suspensi yang lebih mantap untuk kestabilan pemanduan di laluan yang kasar serta sistem cengkaman dan kawalan kestabilan elektronik.

     
     
  • Leapmotor A10 model seterusnya masuk Malaysia – SUV segmen B EV akan dipanggil sebagai B03X

    Leapmotor A10 model seterusnya masuk Malaysia – SUV segmen B EV akan dipanggil sebagai B03X

    Barisan model Leapmotor di Malaysia dijangka akan berkembang kepada tiga model dalam masa terdekat. Selepas pelancaran SUV elektrik C10 pada tahun 2024 dan diikuti B10 pada penghujung tahun lalu, kini tiba giliran model lebih kompak untuk melengkapkan rangkaian tersebut. Model berkenaan telah pun diperkenalkan di China bulan lalu dengan nama A10.

    Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan dari segi penamaan. Di pasaran China, model ini dikenali sebagai A10, tetapi untuk pasaran luar termasuk Malaysia, ia akan menggunakan nama B03X. Langkah ini diambil bagi mengelakkan kekeliruan, kerana walaupun menggunakan nama “A”, model ini sebenarnya berada dalam segmen B, selari dengan kedudukan B10 dalam segmen C dan C10 dalam segmen D.

    Dari segi dimensi, B03X berukuran 4,270 mm panjang, 1,810 mm lebar dan jarak roda 2,605 mm. Saiz ini meletakkannya sebaris dengan SUV elektrik segmen-B lain seperti BYD Atto 2, yang sedikit lebih besar namun masih dalam kategori yang sama.

    Leapmotor A10 model seterusnya masuk Malaysia – SUV segmen B EV akan dipanggil sebagai B03X

    Rekaan luaran B03X tampil lebih membulat dan santai berbanding B10 dan C10 yang lebih ringkas dan minimalis. Ia juga tidak lagi menggunakan lampu jalur penuh di hadapan dan belakang seperti model lebih besar. Sebaliknya, terdapat elemen rekaan yang lebih ceria seperti tulisan Leapmotor pada bahagian hadapan, grafik tersembunyi bertemakan robot dalam kabin, serta lampu belakang unik yang digelar “Haha”.

    Di China, model ini ditawarkan dalam beberapa pilihan warna menarik termasuk Seaweed Green, Acorn Brown, Berry Blue, Tundra Gray, Galaxy Silver dan Morgan Pink. Unit yang dipamerkan di Auto China 2026 pula tampil dengan warna hijau zaitun berinspirasikan retro, mengingatkan kepada gaya MINI Countryman generasi terdahulu.

    Untuk penggerak, A10 di China menggunakan satu motor elektrik dengan dua tahap kuasa, iaitu 94 hp dan 121 hp, kedua-duanya menghasilkan 150 Nm tork. Ia dipadankan dengan dua pilihan bateri LFP berkapasiti 39.8 kWh dan 53 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan masing-masing sekitar 403 km dan 505 km mengikut kitaran CLTC.

    Leapmotor A10 model seterusnya masuk Malaysia – SUV segmen B EV akan dipanggil sebagai B03X

    Anggaran jarak WLTP pula adalah sekitar 330 km hingga 415 km. Pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas dari 30% ke 80% dalam masa kira-kira 16 minit.

    Bahagian dalam dilengkapi paparan digital bersaiz 8.88 inci serta skrin infotainmen utama 14.6 inci. Sistem ini menyokong pembantu AI Qwen dan dikuasakan cip Qualcomm SA8295. Menariknya, bahagian penumpang pada corong penghawa dingin tengah menyediakan sambungan aksesori seperti lampu suasana tambahan, pewangi atau pelembap udara.

    Dari segi praktikaliti, tempat duduk pemandu dilengkapi meja lipat di bahagian belakang, manakala kusyen tempat duduk belakang boleh diangkat untuk ruang simpanan tambahan. Bahagian but juga mempunyai ruang simpanan tersembunyi berkapasiti 106 liter, menjadikannya sesuai untuk gaya hidup aktif di bandar.

    Leapmotor A10 model seterusnya masuk Malaysia – SUV segmen B EV akan dipanggil sebagai B03X

    Salah satu kelebihan utama A10 di pasaran China ialah kehadiran sensor LiDAR, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam SUV kompak. Bersama lampu biru khas pada badan kenderaan, ia menandakan keupayaan pemanduan autonomous yang lebih maju. Namun begitu, ciri ini berkemungkinan tidak ditawarkan untuk pasaran luar kerana kekangan regulasi.

    Di China, harga A10 bermula dari 65,800 yuan (sekitar RM38,000) hingga 86,800 yuan (sekitar RM50,000). Untuk pasaran global, model ini akan dipasarkan oleh Stellantis, yang turut mempunyai pegangan dalam Leapmotor. Dengan adanya kemudahan pemasangan tempatan di Gurun, model B03X berpotensi memasuki Malaysia menjelang hujung 2026 atau awal tahun berikutnya.

    GALERI: Leapmotor B03X di China

    GALERI: Leapmotor B03X di China

     
     
  • Proton eMas catat pendaftaran 10k unit untuk 2026, lebih banyak dari pendaftaran keseluruhan 2025

    Proton eMas catat pendaftaran 10k unit untuk 2026, lebih banyak dari pendaftaran keseluruhan 2025

    Jenama kenderaan elektrifikasi Proton iaitu Proton eMas telah mengumumkan bahawa ia berjaya mencatatkan pendaftaran kereta baharu mencecah 10,000 unit dalam tempoh masa tidak sampai separa tahun ini, melangkaui jumlah jualan tahunan penuh tahun lalu di mana ia mencatatkan jualan sebanyak 8,890 EV sepanjang 2025.

    Dari jumlah berkenaan, sebanyak 3,000 unit Proton eMas 5 telah diserahkan kepada pelanggan pada bulan pertama 2026. Menurut data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), eMas 5 merupakan model EV yang paling laris sepanjang Mac lalu, dengan pendaftaran sebanyak 2,071 unit – jauh meninggalkan BYD Atto 3 di tempat kedua dengan jualan hanya 441 unit.

    Selain dari model-model EV penuh, Proton eMas turut telah melancarkan eMas 7 dalam versi PHEV pada Februari lalu, di mana sehingga kini ia telah ditempah sebanyak 6,500 unit. Proton eMas 7 PHEV ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime, Premium dan Premium Plus, dijual pada harga masing-masing RM109,800, RM123,800 dan RM129,800, tidak termasuk rebat RM4,000 yang ditawarkan kepada 5,000 pelanggan terawal.

     
     
  • Changan sasar jual 1.5 juta kenderaan bagi pasaran eksport menjelang 2030; R&D tumpu ‘selera’ global

    Changan sasar jual 1.5 juta kenderaan bagi pasaran eksport menjelang 2030; R&D tumpu ‘selera’ global

    Kumpulan automotif keempat terbesar di China, Changan Group mensasarkan untuk menjual sebanyak 1.5 juta kenderaan menjelang 2030 diluar pasaran China, dan ia mungkin diperluas sehingga 1.8 juta kenderaan. Tahun lalu Changan yang berjaya menjual sebanyak 637,000 unit kenderaan untuk pasaran luar China, naik 18.9% berbanding tahun sebelumnya apabila ia berjaya masuk ke 21 pasaran baharu, melancarkan 12 model baharu serta kini beroperasi di 118 negara dan rantau menerusi 1,124 unit outlet jualan.

    Changan juga kini mempunyai 22 pangkalan untuk fasiliti pengeluaran luar negara dengan kapasiti tahunan gabungan sebanyak 350,000 unit. Menjelang akhir tahun 2025, portfolio model-model global Changan telah berkembang kepada 41 model, termasuk 25 kenderaan yang digerakkan dengan enjin pembakaran dalaman dan 16 kenderaan tenaga baharu (NEV).

    Selain sasaran jualan eksport Changan turut berhasrat untuk memperkukuh daya saing merentasi pasaran antarabangsa utama. Cita-cita tersebut termasuk untuk memimpin jenama Cina di Eropah, mencapai kedudukan 5 teratas antara jenama global di Eurasia, dan mencapai skala 10 teratas—dengan cita-cita 5 teratas—di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika, serta Amerika Tengah dan Selatan.

    Bagi mencapai semua sasaran ini, Changan telah mengumumkan ini rancangan Vast Ocean Plan 2.0 ketika berlangsungnya Auto China 2026 di Beijing minggu lalu, di mana rancangan yang dikemaskini ini akan menumpukan terhadap beberapa perkara.

    Changan sasar jual 1.5 juta kenderaan bagi pasaran eksport menjelang 2030; R&D tumpu ‘selera’ global

    Perkara pertama dalam senarai tersebut adalah tingkat taraf teknologi di mana Changan mengambil pendekatan yang lebih berpusatkan pengguna yang tertumpu pada keselamatan, kecekapan dan mobiliti pintar dengan mengintegrasikan unit rangkaian kuasa BlueCore Hybrid dan platform SDA (Software-Defined Architecture) Intelligence dan penyelesaian tenaga generasi akan datang untuk menyampaikan inovasi praktikal dengan nilai dunia sebenar.

    Rancangan ini juga akan menumpukan terhadap pembangunan produk di mana Changan akan membangunkan produk bukan berdasarkan permintaan pelanggan dari China semata-mata, sebaliknya ia akan mengutamakan permintaan dan ‘selera’ global dan kemudian akan disesuaikan mengikut rantau. Untuk ini Changan akan menggunakan platform global bagi menghasilkan produk yang laris bertaraf dunia.

    Changan juga akan menguatkan posisinya dengan peningkatan teknologi yang ditawarkan, ketahanan dan juga berdasarkan kepercayaan pengguna. Syarikat yang berpengkalan di Chongqing ini juga terbuka untuk bekerjasama dengan jenama-jenama automotif lain dalam aspek termasuk teknologi, pengeluaran dan pembangunan pasaran bagi menawarkan produk yang lebih baik.

    Changan sasar jual 1.5 juta kenderaan bagi pasaran eksport menjelang 2030; R&D tumpu ‘selera’ global

    Manakala untuk pelaburan, Changan akan mengutamakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan jenama, kemampuan servis, dan juga pembangunan ekosistem. Ia juga mensasarkan untuk menaiktaraf servis yang diberikan kepada pelanggan dengan menambahbaik servis selepas jualan global dengan masa tindak balas yang lebih pantas serta sokongan tempatan yang lebih kuat. Changan turut akan membangunkan pasukan antaranbangsa yang berkemampuan tetapi dengan pemahaman terhadap keperluan tempatan setiap rantau yang lebih mendalam bagi mencapai sasaran yang ditetapkan ini.

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, Changan sah akan bertapak di Malaysia tidak lama lagi dengan pelancaran jenama itu di sini dirancang pada suku ketiga atau keempat tahun ini, dan ia akan membawa sekali beberapa sub-jenamanya seperti Nevo, Deepal dan divisi mewahnya iaitu Avatr.

    Untuk pasaran Malaysia kelak, jenama Changan, Nevo dan Deepal akan diletakkan di bawah satu bumbung dan akan dikenali dengan nama Changan, Changan Nevo dan Changan Deepal. Namun untuk Avatr, ia akan dijual menerusi jaringan dan fasiliti berbeza dan berdiri sendiri menggunakan namanya.

    Changan sasar jual 1.5 juta kenderaan bagi pasaran eksport menjelang 2030; R&D tumpu ‘selera’ global

    Tiada senarai model yang benar-benar disahkan akan dilancarkan ke pasaran tempatan, namun Changan ada menyebut beberapa model yang berpotensi besar akan di bawa ke Malaysia kelak. Antara model-model tersebut adalah SUV Changan CS55 dalam versi enjin pembakaran dalaman dan hibrid, Nevo, Deepal S05 dan Deepal S07. Untuk jenama mewah Avatr pula, model-model yang dijangka akan dibawa adalah Avatr 07 dan Avatr 11.

    Changan turut berminat untuk melancarkan trak pikap Hunter di Malaysia, dan apa yang menarik ia bukanlah dari varian enjin diesel, tetapi dalam versi hibrid REEV di mana ia sudahpun dilancarkan di Thailand dengan nama Deepal Hunter K50.

    Walaupun buat masa sekarang Changan sudahpun mempunyai fasiliti pemasangan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di Rayong, Thailand yang mula beroperasi pada bulan Mei tahun lalu, bagi memastikan model-model yang dijual di Malaysia dapat dijual pada harga yang kompetitif, syarikat tersebut mensasarkan untuk menjalankan operasi pemasangan tempatannya (CKD) di sini.

     
     
  • iCaur Robox Concept – SUV monobox pemanduan autonomous Tahap 3/4, pengecasan DC 1,000 kW

    iCaur Robox Concept – SUV monobox pemanduan autonomous Tahap 3/4, pengecasan DC 1,000 kW

    Jenama baru milik Chery, iaitu iCaur, yang dikenali dengan SUV elektrik berinspirasikan 4×4 retro, kini memperlihatkan hala tuju reka bentuk terbaru menerusi konsep Robox. Model konsep ini membuat kemunculan di pentas Auto China yang sedang berlangsung di Beijing.

    Berbanding model sedia ada seperti 03 dan V23, Robox tampil dengan rekaan yang lebih lembut dan membulat. Pendekatan ini dikatakan memberi kelebihan dari segi aerodinamik, sekaligus membantu meningkatkan jarak pemanduan kenderaan elektrik.

    Nama Robox merupakan gabungan perkataan “Robot” dan “Box”, manakala gaya tipografi yang digunakan jelas dipengaruhi oleh Cyberpunk 2077, termasuk elemen futuristik dengan paparan tahun 2026. Sentuhan rekaan dystopia ini turut diterjemahkan melalui pelbagai perincian seperti rak bumbung dengan lampu terbina, lampu tambahan pada pintu hadapan, lampu bulat ala “driving lamps”, kemasan warna emas matte, panel aerodinamik lutsinar pada rim 19 inci, serta grafik yang menyerupai label amaran.

    iCaur Robox Concept – SUV monobox pemanduan autonomous Tahap 3/4, pengecasan DC 1,000 kW

    Di sebalik semua elemen tersebut, Robox sebenarnya menampilkan rekaan badan jenis monobox yang lebih kemas. Ia hadir dengan bumbung hitam, tiang C menegak sama warna dengan badan, serta spoiler belakang aktif. Bahagian hadapan pula menampilkan rekaan seperti visor dengan kemasan hitam yang menggabungkan lampu utama segi empat dan lampu nyalaan siang dua jalur.

    Bampar hadapan dan belakang yang tebal, bersama pelindung bawah dan lengkungan roda besar, masih mengekalkan identiti lasak yang sinonim dengan model iCaur. Menariknya, model ini tidak mempunyai cermin belakang, berkemungkinan digantikan dengan sistem paparan digital.

    Untuk unit konsep yang dipamerkan, bahagian dalaman tidak didedah. Namun, Robox dilaporkan direka untuk menyokong pemanduan autonomous Tahap 3 dan Tahap 4 tanpa pengawasan, yang mungkin bermaksud ketiadaan stereng dan pedal. Pendekatan ini dilihat selari dengan konsep robotaksi seperti Tesla Cybercab yang turut menampilkan rekaan tanpa kawalan pemandu tradisional.

    iCaur Robox Concept – SUV monobox pemanduan autonomous Tahap 3/4, pengecasan DC 1,000 kW

    Dari sudut teknikal, Robox dibina di atas platform i-Swift 3.0 baru dengan seni bina elektrik 1,000 volt. Platform ini dikatakan mampu menyokong pengecasan pantas DC melebihi 1,000 kW, setanding dengan teknologi pengecasan pantas daripada BYD yang mencapai sehingga 1,500 kW. Selain itu, ia juga menyokong penggunaan bateri lithium konvensional dan bateri keadaan pepejal, walaupun angka jarak pemanduan masih belum diumumkan.

    Konfigurasi trenkuasa yang disokong juga agak fleksibel, termasuk pilihan tiga atau empat motor elektrik. Robox dijangka menjadi asas kepada barisan model baru di bawah siri iCaur X pada masa akan datang. Dengan rekaan yang lebih aerodinamik dan futuristik ini, iCaur jelas cuba membawa pendekatan berbeza berbanding model 03 dan V23 yang lebih berkotak dan lasak.

     
     
  • BMW XM Label di Malaysia – PHEV dengan kuasa 748 PS, tork 1,000 Nm, casis dipertingkat, RM1.65 juta

    BMW XM Label di Malaysia – PHEV dengan kuasa 748 PS, tork 1,000 Nm, casis dipertingkat, RM1.65 juta

    BMW Malaysia mengumumkan ketibaan rasmi model BMW XM Label ke pasaran tempatan, menggantikan varian Label Red sebelum ini. Dengan pengenalan ini, XM Label kini menjadi satu-satunya varian yang ditawarkan dalam barisan XM di Malaysia.

    Dari segi harga, model ini ditawarkan bermula RM1,554,800, atau RM1,650,500 bersama pakej BMW Service & Repair Inclusive. Pakej tersebut merangkumi jaminan selama lima tahun serta servis penyelenggaraan, selain jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun. Harga yang dinyatakan adalah atas jalan tanpa insurans.

    XM Label mengekalkan penggerak yang sama seperti Label Red, iaitu enjin petrol V8 4.4 liter pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 585 PS dan 750 Nm. Enjin ini digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 197 PS dan 480 Nm, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 748 PS dan 1,000 Nm.

    BMW XM Label di Malaysia – PHEV dengan kuasa 748 PS, tork 1,000 Nm, casis dipertingkat, RM1.65 juta

    Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan. Prestasi yang ditawarkan membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 3.8 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

    Sistem plug-in hybrid ini menggunakan bateri berkapasiti 25.7 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 83 km mengikut piawaian WLTP. Dalam mod elektrik, kenderaan ini boleh mencapai kelajuan sehingga 140 km/j. Untuk pengecasan, ia menyokong pengecas AC sehingga 11 kW, yang membolehkan bateri dicas penuh dari kosong dalam tempoh sekitar dua jam 45 minit.

    Menurut BMW Malaysia, XM Label turut menerima talaan semula casis bagi meningkatkan maklum balas pemanduan, selain penambahan penebat akustik untuk keselesaan kabin yang lebih baik. Sistem suspensi terdiri daripada tetapan double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang, digabungkan dengan sistem Adaptive M Suspension Professional yang menampilkan penyerap hentak kawalan elektronik serta sistem penstabil olengan aktif 48 volt.

    Dari segi penampilan, model ini hadir dengan pilihan empat warna kemasan matte daripada rangkaian BMW Individual, iaitu Frozen Tanzanite Blue, Frozen Marina Bay Blue, Frozen Black dan Frozen Brilliant White. Ia turut dilengkapi fungsi Welcome Light Carpet yang dikemas kini dengan animasi baru, serta rim aloi 23 inci Style 1096 M berwarna hitam berkilat.

    Bahagian dalaman pula menampilkan kemasan kulit BMW Individual Merino dengan pilihan empat warna, termasuk Night Blue, Deep Black, Deep Lagoon dan Silverstone. Semua varian turut dilengkapi tempat duduk jenis Comfort sebagai ciri standard.

     
     
  • Geely Galaxy A7 di Beijing – EV jarak gerak 550 km, PHEV jarak keseluruhan 2,100 km, sedan eMas?

    Geely Galaxy A7 di Beijing – EV jarak gerak 550 km, PHEV jarak keseluruhan 2,100 km, sedan eMas?

    Selain model SUV, Geely turut mempamerkan sedan Geely Galaxy A7 di pentas Auto China 2026 dalam versi PHEV dan elektrik sepenuhnya (EV). Kedua-dua varian ini masing-masing diperkenalkan kali pertama pada Julai 2025 dan awal bulan ini.

    Geely Galaxy A7 merupakan sebuah sedan segmen-D dengan dimensi panjang 4,918 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda 2,845 mm. Model ini pada asalnya dibangunkan sebagai kenderaan plug-in hybrid (PHEV), dikenali sebagai A7 EM di pasaran China.

    Varian PHEV ini menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5 liter tanpa turbo yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm, dengan kecekapan terma mencapai 47.26%. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi hibrid khusus (DHT) satu kelajuan nisbah 11:1, yang turut menempatkan dua motor elektrik termasuk motor pacuan utama berkuasa 238 PS dan 262 Nm. Gabungan sistem ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 7.1 saat dengan kelajuan maksimum 190 km/j.

    Geely Galaxy A7 di Beijing – EV jarak gerak 550 km, PHEV jarak keseluruhan 2,100 km, sedan eMas?

    Untuk bateri, terdapat dua pilihan iaitu 18.4 kWh dan 28.3 kWh, kedua-duanya menggunakan teknologi LFP. Bateri lebih kecil menawarkan penggunaan bahan api serendah 2.22 liter/100 km serta jarak gerak elektrik sehingga 150 km (CLTC).

    Bateri lebih besar pula memberikan jarak gerak EV sehingga 235 km serta jarak keseluruhan mencecah 2,100 km. Dari segi pengecasan, sistem ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 37 kW yang membolehkan tahap bateri meningkat dari 30% ke 80% dalam masa sekitar 18 minit, selain pengecasan AC 3.3 kW.

    Bagi versi EV pula, ia dilengkapi satu motor elektrik di hadapan dengan kuasa 218 PS, dipadankan bersama bateri LFP berkapasiti 58.05 kWh. Prestasinya membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.4 saat, dengan jarak pemanduan sehingga 550 km mengikut standard CLTC.

    Dari segi perbezaan antara kedua-dua varian, ia melibatkan rekaan bampar hadapan, ruang but yang sedikit lebih besar pada versi EV (547 liter berbanding 535 liter), serta kelegaan tanah yang lebih tinggi pada versi PHEV. Selain itu, varian PHEV turut dilengkapi sistem penutup gril aktif untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.

    Bahagian dalaman kedua-dua model ini hampir serupa, menampilkan stereng dua jejari, sistem audio 16 pembesar suara Flyme Sound termasuk pembesar suara pada perehat kepala, panel instrumen bersaiz 10.25 inci serta skrin sesentuh utama 15.4 inci.

    Buat masa ini, tiada perancangan jelas untuk membawa model ini ke pasaran Malaysia. Namun, jika ditawarkan, Geely Galaxy A7 berpotensi menjadi sedan elektrik yang lebih besar dan premium dalam barisan model seperti Proton eMas.

    GALERI: Geely Galaxy A7 EM PHEV di Auto China 2026

    GALERI: Geely Galaxy A7 EV di Auto China 2026

     
     
  • Zeekr 8X dipamer di Beijing – PHEV 2.0T dengan kuasa sehingga 1,400 PS, WLTP hibrid 1,205 km, dari RM207k

    Zeekr 8X dipamer di Beijing – PHEV 2.0T dengan kuasa sehingga 1,400 PS, WLTP hibrid 1,205 km, dari RM207k

    Selepas diperkenalkan secara rasmi pada Januari lalu, SUV terbaru daripada Zeekr iaitu 8X kini membuat penampilan awam pertamanya di acara Auto China. Model ini merupakan kenderaan plug-in hybrid elektrik (PHEV) yang diletakkan di bawah model perdana 9X dalam barisan produk jenama tersebut.

    Berbeza dengan 9X, Zeekr 8X dibangunkan menggunakan platform SEA-S, yang sebelum ini dikenali sebagai Electric Premium Architecture (EPA). Platform ini merupakan versi berbeza daripada SEA-R yang digunakan oleh 9X, sekaligus memberikan identiti tersendiri kepada model baru ini.

    Melihat di bahagian luar, 8X tampil dengan pendekatan yang lebih sporty dan berlekuk berbanding 9X yang lebih berkotak dan mewah, malah sering dibandingkan dengan Rolls-Royce Cullinan. Walaupun begitu, kedua-dua model masih berkongsi beberapa elemen reka bentuk seperti gril hadapan bersaiz besar, lampu utama LED berbentuk C dengan elemen pencahayaan ‘starlight’, serta lampu nyalaan siang mendatar.

    Di bahagian lain, tiang C pada 8X direka lebih sederhana berbanding 9X yang lebih tebal dan kemasan perak. Lampu belakang pula menggunakan rekaan melintang penuh dengan grafik dua jalur, namun dipendekkan di bahagian tengah untuk memberi ruang kepada logo Zeekr dan nombor pendaftaran. 8X juga menggunakan pemegang pintu jenis tarik, berbeza dengan jenis tersembunyi pada 9X, selain fungsi pintu yang boleh ditutup secara automatik dengan satu sentuhan.

    Zeekr 8X dipamer di Beijing – PHEV 2.0T dengan kuasa sehingga 1,400 PS, WLTP hibrid 1,205 km, dari RM207k

    Masuk ke ruang kabin, 8X menampilkan suasana moden dengan papan pemuka yang didominasi oleh dua skrin sesentuh OLED bersaiz 16 inci resolusi 3.5K, termasuk satu khas untuk penumpang hadapan. Turut disediakan ialah panel instrumen digital 13.02 inci dan head-up display realiti tambahan bersaiz 44 inci. Sesetengah varian turut dilengkapi skrin menggantikan cermin pandang belakang konvensional yang memaparkan imej daripada kamera belakang.

    Penumpang belakang tidak diketepikan, dengan kehadiran skrin kawalan lapan inci serta skrin OLED 17 inci resolusi 3K pada siling. Kemudahan lain termasuk meja lipat, peti sejuk mini dan sistem audio premium 29 pembesar suara daripada Naim dengan sokongan Dolby Atmos. Bergantung kepada varian, sistem kokpit pintar dikendalikan oleh satu atau dua cip Qualcomm 8295 bersama pembantu maya AI Eva.

    Ciri keselesaan turut dipertingkat dengan tempat duduk barisan hadapan dan kedua yang dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan serta urutan. Kemasan dalaman menggunakan gabungan kulit Nappa dan Alcantara, bersama elemen kemewahan lain seperti lapisan bumbung suede, kemasan kayu, butang bertekstur kristal dan lampu suasana dengan sehingga 16.8 juta pilihan warna.

    Dari sudut teknologi pemanduan, 8X dilengkapi sistem G-ASD (Geely Afari Smart Driving) yang dikuasakan cip Nvidia Drive Thor-U serta pelbagai sensor termasuk LiDAR di bumbung. Sistem bantuan pemandu (ADAS) yang komprehensif turut disediakan, termasuk kawalan jelajah adaptif, bantuan pertukaran lorong, parkir automatik, brek kecemasan autonomous dan fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 3 melalui Navigation Zeekr Pilot.

    Di China, harga Zeekr 8X bermula dari 356,800 yuan (sekitar RM207,000) hingga 426,800 yuan (sekitar RM248,000) untuk varian Max, Ultra dan Ultra+. Terdapat juga varian paling mewah dikenali sebagai Dawn yang ditawarkan pada harga 500,800 yuan (sekitar RM290,000).

    Kesemua varian utama ditawarkan dalam konfigurasi lima atau enam tempat duduk, dengan pilihan tiga baris bagi versi enam tempat duduk. Model ini menggunakan seni bina PHEV 900 volt dengan sokongan pengecasan pantas 6C serta bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC).

    Gabungan enjin dan motor elektrik menghasilkan kuasa sehingga 897 PS dan tork 935 Nm bagi varian biasa, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 220 km/j. Enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder menghasilkan 279 PS dan digandingkan dengan bateri sama ada 55 kWh atau 70 kWh. Jarak gerak elektrik sepenuhnya boleh mencecah sehingga 328 km (WLTP), manakala jarak keseluruhan mencapai sehingga 1,205 km.

    Masa pengecasan juga mengagumkan, dengan bateri boleh dicas dari 20% ke 80% dalam hanya sembilan minit menggunakan pengecas DC. Turut disertakan ialah fungsi vehicle-to-vehicle (V2V) dan vehicle-to-load (V2L), serta sistem suspensi udara dual chamber dengan kawalan redaman berterusan.

    Zeekr 8X dipamer di Beijing – PHEV 2.0T dengan kuasa sehingga 1,400 PS, WLTP hibrid 1,205 km, dari RM207k

    Varian Dawn tampil lebih agresif dari segi reka bentuk dengan tambahan kit badan serta kemasan hitam. Ia juga dilengkapi ciri off-road seperti sensor kedalaman air dan sistem penglihatan malam inframerah.

    Apa yang paling menonjol ialah konfigurasi tiga motor yang menghasilkan sehingga 1,400 PS dan 1,410 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 2.96 saat dan kelajuan maksimum 230 km/j. Varian ini turut dilengkapi rim tempa serta sistem brek Brembo dengan angkup enam piston.

    Buat masa ini, masih belum ada pengesahan sama ada Zeekr 8X akan ditawarkan di pasaran Malaysia. Model ini baru sahaja dilancarkan di China, dan perancangan untuk pasaran global masih belum diumumkan secara rasmi.

     
     
  • Siri nombor pendaftaran P_P jana RM21.68j; “P1P” catat bidaan tertinggi RM1.1j, “P1177P” paling popular

    Siri nombor pendaftaran P_P jana RM21.68j;  “P1P” catat bidaan tertinggi RM1.1j, “P1177P” paling popular

    Siri nombor pendaftaran istimewa (NPI) P_P sempena dengan sambutan ulangtahun JPJ ke-80 telah berjaya menjana jumlah keseluruhan mencecah RM21.68 juta, laporan New Straits Times.

    Di mana nombor pendaftaran “P1P” mencatatkan bidaan sebanyak RM1.1 juta, diikuti dengan bidaan “P9P” mencecah RM1,000,777, “P8P” (RM613,000), “P6P” (RM600,777) dan “P2P” (RM512,000), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Katanya lagi, mengikut pecahan keseluruhan jumlah kutipan, RM19.19 juta adalah hasil bidaan, manakala RM2.48 juta pula daripada yuran perkhidmatan. Sebanyak 19,370 pembida telah mengambil bahagian dalam proses ini, dengan 5,973 nombor berjaya diperoleh, manakala baki 4,026 nombor ditawarkan kepada orang ramai selepas penutupan bidaan.

    “Tiada nombor yang ditempah atau disekat, dan siri nombor pendaftaran ini merupakan satu cara untuk meningkatkan hasil kerajaan, dengan hasil tersebut disalurkan kepada program berteraskan rakyat,” kata Menteri Pengangkutan itu lagi.

    Tambahnya, nombor paling popular dalam siri ini ialah “P1177P” dengan 26 pembida, diikuti “P313P” dan “P22P” dengan masing-masing 24 pembida, serta “P411P” dan “P888P” dengan masing-masing 22 pembida.

     
     
  • Kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai jalan kenderaan diesel susulan kos yang makin meningkat

    Kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai jalan kenderaan diesel susulan kos yang makin meningkat

    Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan pengurangan cukai jalan bagi kenderaan diesel untuk mengurangkan kesan peningkatan kos bahan api, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    Perkara ini telah dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dan Kementerian Pengangkutan telah ditugaskan untuk merangka butiran pelaksanaan dalam masa terdekat, kata Anwar.

    “Saya telah meminta Kementerian Pengangkutan dan ketua setiausaha untuk mencari jalan supaya dalam masa terdekat kita boleh mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel. Itu boleh dilakukan. Terdapat kira-kira 1.8 juta kenderaan diesel. Walaupun jumlahnya kecil, mereka menghadapi masalah kerana harga diesel telah meningkat,” kata Perdana Menteri.

    Walau bagaimanapun, Anwar berkata bahawa menurunkan harga bahan api tidak praktikal pada masa ini kerana subsidi bahan api merupakan beban fiskal yang besar, yang menelan belanja kerajaan sekitar RM7 bilion sebulan. Beliau juga berkata kerajaan akan mengekalkan pendekatan subsidi bersasar bagi petrol RON 95, sambil menegaskan bahawa harga bahan api di Malaysia adalah relatif rendah berbanding banyak negara pengeluar minyak.

    Kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai jalan kenderaan diesel susulan kos yang makin meningkat

    “Pada masa ini, kita tidak mampu untuk menurunkan lagi harga bahan api. Namun, cukai jalan adalah satu jalan di mana kita boleh memberikan sedikit kelegaan. Kita perlu melihat keadaan keseluruhan — sama ada kita mempunyai dana dan pendapatan yang mencukupi. Jika ada ruang, kita boleh mempertimbangkan pengurangan lanjut,” kata Anwar lagi.

    Dalam masa yang sama, Anthony Loke pula berkata bahawa Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji pilihan untuk mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel, dengan tujuan meringankan beban kewangan pemilik kenderaan diesel sambil memastikan hasil kerajaan tetap terpelihara.

    “Mandat daripada Perdana Menteri ini jelas. Kita mesti membantu pemilik kenderaan, khususnya mereka yang terkesan dengan struktur harga semasa. Namun, sebarang keputusan perlu mengambil kira implikasi kewangan,” kata Loke.

    Walaupun penetapan harga bahan api di Malaysia kini beroperasi berdasarkan mekanisme apungan dengan subsidi bersasar, tidak semua pemilik kenderaan diesel layak menerima bantuan kewangan tersebut, yang telah meningkatkan tekanan kos, kata Loke yang menambah kajian ini melibatkan pelbagai pertimbangan, termasuk pertukaran hasil (revenue trade-off) dan penyelarasan dasar.

    Sambungnya, “Ini bukan sesuatu yang boleh diputuskan dalam sekelip mata. Ia melibatkan beberapa implikasi, termasuk berapa banyak hasil yang kerajaan sanggup lepaskan.”

     
     
  • Deepal S07 EV 2026 didedah di Beijing – rupa lebih segar, varian 517 km WLTP baru, akan ke Malaysia?

    Deepal S07 EV 2026 didedah di Beijing – rupa lebih segar, varian 517 km WLTP baru, akan ke Malaysia?

    Pada Januari tahun lalu, Deepal S07 pernah dibawa dan dipertontonkan di Malaysia, ketika itu model ini diumum akan dilancarkan di pasaran tempatan dengan dibawa oleh Bermaz Auto. Namun segalanya senyap selepas itu sehinggalah kami difahamkan bahawa Deepal akan di bawa ke sini oleh pemilik jenama itu sendiri iaitu Changan Automobile, pengeluar automotif keempat terbesar di China selepas BYD, Chery dan Geely.

    Sekali lagi S07 disebut-sebut sebagai antara model yang akan dibawa masuk ke Malaysia oleh Changan Auto. Dan ketika kunjungan kami ke Auto China 2026 yang berlangsung di Beijing minggu lalu, Deepal telahpun melancarkan versi kemaskini S07 berkenaan untuk pasaran negara asalnya itu, menampilkan beberapa perubahan kecil.

    Perubahan paling ketara boleh dilihat pada lampu hadapannya – lampu utama S07 ini bukanlah pada sebelah atas tetapi pada bampar. Dapat dilihat lampu versi terbaharu ini diberikan dua projektor berbanding hanya satu sebelum ini, dan ia diletakkan pada bahagian tengah berbanding di atas sebelumnya.

    Perumah lampu itu sendiri juga diperbaharui dengan kemasan dengan motif jaring diberikan pada sebelah atas. Manakala pada sebelah sisi terdapat satu jalur LED berwarna biru, di mana ia merupakan penunjuk bahawa sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) sedang berfungsi sekiranya ia menyala. Jalur biru tersebut turut terdapat pada cermin sisi dan lampu belakang.

    Deepal S07 EV 2026 didedah di Beijing – rupa lebih segar, varian 517 km WLTP baru, akan ke Malaysia?

    Manakala untuk lampu nyalaan siang yang terdapat di atas, klusternya masih lagi nampak sama seperti sebelum ini, tetapi grafik jalur LED di dalamnya ada sedikit perubahan dibuat. Model kemaskini ini juga menerima kemasan bumbung berwarna hitam serta motif rekaan berbeza pada rim aloi 20-inci.

    Deepal S07 ini menampilkan dimensi panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak roda 2,900 mm. Jadi dari segi saiz, S07 ini adalah hampir dengan Zeekr 7X yang menampilkan lebar dan jarak roda yang sama, namun S07 ini adalah 37 mm lebih pendek berbanding 7X.

    Bagi model kemaskini ini, S07 diperkenalkan dalam versi Long Range baharu yan menampilkan motor elektrik tunggal memacu roda belakang yang berkuasa 258 PS (190 kW) dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan pek bateri 77.94 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 630 km mengikut kitaran ujian CLTC (atau 517 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat), dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

    Versi dengan jarak gerak lebih jauh ini diperkenalkan dalam dua varian iaitu 630 Max dijual pada harga 159,900 yuan (sekitar RM92k) dan 630 Ultra yang berharga 169,900 yuan (RM98k).

    Deepal S07 EV 2026 didedah di Beijing – rupa lebih segar, varian 517 km WLTP baru, akan ke Malaysia?

    Deepal S07 ini juga sebenarnya sudahpun dilancarkan di Thailand (versi terdahulu) dijual pada harga 1.399 juta baht (RM180k) dengan ditawarkan bateri NMC berkapasiti 66.8 kWj yang memberikan jarak gerak 485 km NEDC (412 WLTP) serta motor elektrik berkuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm. Manakala S07 L pula dijual pada harga 1.499 juta baht (RM193k), diberikan bateri NMC 79.97-kWj bagi memberikan jarak gerak 560 km NEDC (476 WLTP) bersama motor elektrik berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm.

    Untuk pasaran Malaysia kelak Changan bersama beberapa sub jenamanya iaitu Nevo dan Deepal akan diletakkan di bawah satu bumbung dan akan dikenali dengan nama Changan, Changan Nevo dan Changan Deepal – jadi di Malaysia ia mungkin akan dikenali dengan nama Changan Deepal S07. Bagi yang masih belum mengetahui, Deepal S07 ini juga merupakan asas kepada SUV EV Mazda iaitu Mazda EZ-60, di mana ia turut akan ke pasaran global dikenali sebagai Mazda CX-6e.

    Berapa agaknya harga untuk Changan Deepal S07 ini nanti bila ia sampai ke Malaysia? Kongsikan pendapatan anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

    GALERI: Deepal S07 2025 di Malaysia

     
     
  • Datuk Seri Siti Nurhaliza dipilih jadi Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ – bantu sampaikan mesej kesedaran

    Datuk Seri Siti Nurhaliza dipilih jadi Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ – bantu sampaikan mesej kesedaran

    Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah diangkat sebagai Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ selaras usaha memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat. Pelantikan tersebut diumumkan menerusi acara pelancaran Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun JPJ ke-80 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pulau Pinang kelmarin.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pelantikan itu dibuat berdasarkan kredibiliti, pengaruh serta penerimaan meluas penyanyi itu dalam kalangan rakyat yang diyakini mampu menyampaikan mesej kesedaran keselamatan jalan raya secara lebih berkesan dan menyeluruh, laporan Berita Harian.

    “Inisiatif ini menzahirkan pendekatan holistik JPJ yang tidak hanya tertumpu penguatkuasaan semata-mata, tetapi turut memberi penekanan elemen advokasi dan pendidikan sebagai strategi dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Peranan dimainkan ikon ini penting dalam memperluas capaian kempen keselamatan serta membentuk sikap dan budaya pemanduan berhemah dalam kalangan rakyat,” kata JPJ.

    Dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri diiringi Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli menyerahkan plak kepada Siti Nurhaliza sebagai simbolik pelantikan itu. Siti Nurhaliza turut berterima kasih atas kepercayaan diberikan dan menyifatkan tugas itu sebagai tanggungjawab penting buat dirinya untuk sama-sama mengambil bahagian menyampaikan mesej kesedaran kepada orang ramai menggunakan segala ruang dan platform dimiliki.

     
     
  • KTM Komuter Lembah Klang tambahbaik jadual mulai hari ini – 5 perkhidmatan waktu puncak hari bekerja

    KTM Komuter Lembah Klang tambahbaik jadual mulai hari ini – 5 perkhidmatan waktu puncak hari bekerja

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang ditambah baik berkuat kuasa hari ini (27 April 2026) bagi jadual waktu hari bekerja, serta pada 1 Mei 2026 (Jumaat ini) bagi jadual waktu cuti umum dan hujung minggu, melibatkan laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang.

    Menurut KTMB, penambahbaikan ini dilaksanakan susulan penilaian semula terhadap pelaksanaan jadual baharu yang diperkenalkan pada 18 April lalu, sejajar dengan kerja-kerja projek naik taraf Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). “Sepanjang tempoh tersebut, KTMB telah meneliti secara menyeluruh maklum balas serta cadangan yang dikemukakan oleh para penumpang melalui pelbagai saluran rasmi, termasuk media sosial.

    “Sehubungan dengan itu, jadual yang dikemaskini ini dirangka dengan mengambil kira pola perjalanan penumpang, khususnya pada waktu puncak, agar lebih praktikal dan mesra pengguna dalam membantu perancangan perjalanan harian mereka sepanjang tempoh pelaksanaan projek KVDT, yang melibatkan penutupan satu landasan di antara Seremban hingga Salak Selatan sepanjang 67KM bagi membolehkan kerja-kerja infrastruktur dilaksanakan dengan selamat dan efisien,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    KTM Komuter Lembah Klang tambahbaik jadual mulai hari ini – 5 perkhidmatan waktu puncak hari bekerja

    Dalam masa yang sama, KTMB turut berkata, sepanjang tempoh tersebut, operasi tren di laluan terlibat dijalankan menggunakan satu landasan sahaja dan perlu dikongsi antara perkhidmatan Komuter dan ETS. “Keadaan ini menyebabkan beberapa pergerakan tren ETS turut dijadualkan melalui laluan tersebut pada waktu petang, berikutan penutupan penuh landasan pada waktu malam bagi kerja-kerja naik taraf dijalankan dari jam 9.30 malam hingga 5.30 pagi yang tidak membenarkan sebarang pergerakan tren berjadual.

    “Justeru, penyelarasan operasi ini dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan kedua-dua perkhidmatan dapat dikekalkan secara selamat dan teratur sepanjang tempoh projek,” katanya lagi.

    Untuk makluman, penambahbaikan ini hanya melibatkan pelarasan waktu operasi tren dengan mengekalkan lima perkhidmatan hari bekerja sedia ada pada waktu puncak, pagi dan petang.

    Jadual terkini adalah seperti berikut:

    KTM Komuter Lembah Klang tambahbaik jadual mulai hari ini – 5 perkhidmatan waktu puncak hari bekerja

    “KTMB akan terus memantau pelaksanaan jadual ini dari semasa ke semasa bagi kemudahan para pengguna serta mengemaskini perkembangan kerja-kerja projek. KTMB menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan terkini melalui MyRailtime di aplikasi KITS Style. Penumpang juga digalakkan untuk mengikuti pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran media sosial rasmi KTMB.

    “KTMB amat menghargai segala maklum balas, kesabaran dan sokongan berterusan para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja naik taraf ini dan kekal komited untuk terus menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200,” kata KTMB.

     
     
  • Chery QQ3 EV di Beijing – siri kompak comel akan kembali ke Malaysia pada 2027, cabar Proton eMas 5

    Chery QQ3 EV di Beijing – siri kompak comel akan kembali ke Malaysia pada 2027, cabar Proton eMas 5

    Anda mungkin masih ingat ketika mula-mula Chery bertapak di Malaysia menerusi pengedar tempatan iaitu Alado dahulu, antara model yang dibawa adalah hatchback kompak Chery QQ yang dilancarkan di sini pada 2006. Tahun lalu Chery ada mendedahkan model konsep QQ Qurio ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025, bagi menandakan kelahiran semula siri kereta comel tersebut, dan tahun ini ketika berlangsungnya Auto China 2026 di Beijing versi produksi yang digelar sebagai Chery QQ3 telahpun dipamerkan.

    Sebenarnya model ini telah dilancarkan di China lebih awal, dan ia sudahpun didedahkan untuk pasaran ASEAN buat pertama kali di Bangkok International Motor Show (BIMS) bulan lalu dikenali sebagai Chery Q di sana. Dan apa yang menarik, model ini turut telah disahkan oleh Chery Malaysia untuk dilancarkan ke pasaran tempatan pada awal tahun 2027 nanti.

    Chery QQ3 ini dihasilkan menggunakan asas platform T12 Chery dengan dimensi panjang 4,195 mm, lebar 1,811 mm, tinggi 1,573 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Ketika dilancarkan di sini kelak ia tentunya akan berhadapan terus dengan Proton eMas 5, namun QQ3 mempunyai kelebihan 60 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan jarak roda 50 mm lebih jauh berbanding eMas 5.

    Chery QQ3 EV di Beijing – siri kompak comel akan kembali ke Malaysia pada 2027, cabar Proton eMas 5

    Ia digerakkan dengan hanya satu motor elektrik yang memacu roda belakang, namun tampil dalam dua pilihan konfigurasi. Untuk versi asas, motor elektrik yang dibekalkan mampu menghasilkan 79 PS dan tork maksima 90 Nm, menerima kuasa elektrik dari bari bateri LFP 29.48 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 310 km dalam kitaran ujian CLTC, atau 250 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih ketat.

    Manakala untuk varian lebih tinggi, ia menerima motor elektrik berkuasa 122 PS dan tork maksima 115 Nm yang digerakkan oleh bateri berkapasiti 41,28 kWj. Gandingan ini membolehkan ia bergerak sejauh 420 km CLTC atau 340 km WLTP. Untuk menegcas pula QQ3 mampu menyokong pengecas pantas DC sehingga 85 kW, yang memerlukan masa 16.5 minit bagi memenuhkan cas bateri dari 30% hingga 80%.

    Antara perincian yang diberikan pada EV kompak ini termasuk lampu LED hadapan dan belakang, paparan instrumen digital dengam skrin 8.8-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan pengalir udara, pad pengecas tanpa wayar Qi 50 watt dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa.

    Chery QQ3 EV di Beijing – siri kompak comel akan kembali ke Malaysia pada 2027, cabar Proton eMas 5

    Untuk praktikaliti, hatchback ini menyediakan ruang kargo belakang berkapasiti 375 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,450 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat, ruang storan bawah tempat duduk belakang berkapsiti 35 liter, dan juga ruang storan but depan atau frunk dengan kapasiti 70 liter.

    Manakala bagi keselamatan pula, QQ diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, bantuan parkir, serta pakej bantuan pemanduan yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automatik hadapan, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan hadapan, amaran buka pintu dan bantuan lampu tinggi.

    Chery QQ3 ini turut dirancang untuk dipasang secara tempatan di Malaysia (CKD) bagi memastikan harga jualannya kelak kompetitif bagi bersaing dengan model-model sekelasnya.

     
     
  • GWM Wey V9X 2026 di Beijing — platform GWM One S pertama, jarak EV hingga 470 km, 1,700 km gabungan

    GWM Wey V9X 2026 di Beijing — platform GWM One S pertama, jarak EV hingga 470 km, 1,700 km gabungan

    Bagi segmen SUV mewah, GWM Wey V9X PHEV turut mencuri perhatian di ruang pamer GWM ketika Auto China 2026. Merupakan sebuah MPV mewah dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI) — yang membolehkan interaksi lancar antara kokpit dan sistem pemanduan.

    MPV mewah ini merupakan model flagship pertama yang dibangun menggunakan platform GWM One S. Ia juga menggunakan senibina 800V dan dilengkapi dengan sel pengecasan ultra-pantas 6C yang dibangunkan sendiri — pengecasan lima minit boleh memberikan jarak 200 km. Dengan bateri NMC berkapasiti 80 kWh, MPV mewah ini mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 470 km.

    Ia juga dilengkapi sistem Super Hi4 yang telah dipertingkatkan, yang terdiri daripada enjin 2.0T dan digandingkan dengan transmisi DHT empat-kelajuan. Ini disertakan bersama dua motor elektrik. Secara gabungan, keseluruhan sistem menghasilkan janaan maksimum 550 kW (747 PS) dan 1,680 Nm. Dengan bateri penuh, pecutan 0–100 km/j boleh dicapai dalam 4.4 saat. Jarak gabungan keseluruhan sistem yang didakwa mampu dicapai ialah sekitar 1,700 km.

    Wey V9X mempunyai ukuran dimensi 5,299 mm panjang, 2,025 mm lebar, 1,825 mm tinggi dengan jarak roda 3,150 mm. Ini menyediakan ruang dalaman yang selesa dan luas. Antara ciri kabin yang ada termasuklah konfigurasi tempat duduk 2+2+2 balutan kulit Nappa, tiga skrin: skrin utama 17.3-inci, kluster instrumen 12.2-inci dan skrin hiburan di belakang 21.4-inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm 8295P. Selain itu ada juga kerusi sifar graviti untuk barisan kedua dengan fungsi urutan 22-titik, serta sistem audio 31-pembesar suara 3,080 watt.

    Untuk casis, ada juga ciri stereng aktif roda belakang dengan larasan ±10° dan juga suspensi udara.

     
     
  • GWM Tank 700 Hi4-Z 2026 di Beijing — PHEV 864 PS/800 Nm, 190 km jarak EV, 1,191 km jarak gabungan

    GWM Tank 700 Hi4-Z 2026 di Beijing — PHEV 864 PS/800 Nm, 190 km jarak EV, 1,191 km jarak gabungan

    Selain GWM Ora 5 dan Haval Raptor Plus 2026, GWM turut mempamerkan model SUV plug-in hybrid (PHEV) flagship jenama itu, GWM Tank 700 Hi4-Z. Ia merupakan pilihan yang lebih cekap untuk kegunaan urban berbanding Tank 700 Hi4-T yang hadir dengan enjin lebih besar.

    GWM Tank 700 Hi4-Z dilengkapi dengan enjin 2.0L turbocas empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 185 kW (248 hp). Ini disertai oleh dua motor elektrik: bahagian depan dengan janaan 215 kW (288 hp) yang bersepadu dengan transmisi khusus hibrid (DHT) tiga-kelajuan, sementara di belakang dengan motor yang menjana 240 kW (322 hp) di bahagian gandar — menjadikannya sistem 4WD yang dikendalikan secara elektronik sepenuhnya untuk lebih cekap tenaga.

    GWM Tank 700 Hi4-Z 2026 di Beijing — PHEV 864 PS/800 Nm, 190 km jarak EV, 1,191 km jarak gabungan

    Output keseluruhan sistem ini ialah 635 kW (864 PS) dengan tork 800 Nm, dengan kemampuan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat. Model ini menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 59.05 kWh, yang memberikan jarak EV sepenuhnya sejauh 190 km (CLTC), dengan jarak keseluruhan sistem yang mampu dicapai didakwa sejauh 1,191 km. Kadar penggunaan minyaknya didakwa mampu mencapai serendah 1.16 L/100 km dalam mod hibrid, sementara 8.45 L/100 km jika bateri dalam keadaan tiada kuasa.

    SUV ini mempunyai ukuran dimensi 5,105 mm panjang, 2,061 mm lebar, 1,985 mm tinggi dengan jarak roda 3,000 mm. Kemampuan menundanya ialah 2.5 tan. Jarak kelegaan tanah bagi SUV ini ialah setinggi 200 mm.

    GWM Tank 700 Hi4-Z 2026 di Beijing — PHEV 864 PS/800 Nm, 190 km jarak EV, 1,191 km jarak gabungan

    Dari segi rekaan, ia menampilkan imej berkotak yang sporty. Wajah depannya dengan bahagian gril yang luas serta kluster lampu LED bersegi memberi penampilan maskulin, dengan logo yang besar ditengah. Kedudukan bonetnya agak tinggi, dengan bahagian corong udara hiasan. Lampu utamanya terdiri daripada 260 LED.

    Di belakang, ada spoiler yang menghiasi. Ruang tayar ganti saiz penuh juga tersedia (dengan saiz rim 22-inci), dengan bukaan pintu ruang belakang ke sisi. Pemijak sisi serta radar LiDar di depan juga dapat dilihat dengan jelas, mencadangkan SUV ini lengkap dengan sistem bantuan pemandu yang canggih.

    Di dalam, antara yang melengkapi model ini ialah adanya tiga skrin yang terdiri daripada skrin utama 15.6-inci, kluster instrumen 12.3-inci dan skrin hiburan di belakang yang besaiz 17.3-inci. Operasi sistemnya dikendalikan oleh Coffee OS 4.0 dengan cip Nvidia Drive Thor-U prestasi tinggi. Ada juga peti sejuk 5.4 liter yang tersedia, sementara sistem ADAS-nya disokong oleh 27-sensor termasuk radar LiDar.

    Untuk pasaran China, GWM Tank 700 Hi4-Z dijual bermula dari harga 428,000 yuan (RM248,240).

     
     
  • EZI Ray 01 dilancar di Malaysia – skuter elektrik jarak gerak 80 km, laju maksimum 68 km/j, harga RM4,688

    EZI Ray 01 dilancar di Malaysia – skuter elektrik jarak gerak 80 km, laju maksimum 68 km/j, harga RM4,688

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan sebuah skuter elektrik baru untuk pasaran Malaysia, iaitu EZI Ray 01. Ia dijual pada harga RM4,688 tidak termasuk insurans, namun melalui program MForce.Cas, pembeli akan diberikan rebat RM2,400, menjadikan harganya RM2,288.

    Skuter ini digerakkan oleh motor elektrik 2000W dalam hab roda, yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 74V28Ah di bawah tempat duduknya. Cas penuh bateri ini dapat dicapai dalam masa 3.5 jam dan seterusnya memberikan jarak gerak maksimum 80 km (pada kelajuan 45 km/j).

    Dengan berat keseluruhan 130 kg, EZI Ray 01 boleh memecut sehingga kelajuan 68 km/j. Sebagai keselamatan, ia disediakan dengan gabungan brek cakera di hadapan dan dram di belakang. Kedua-dua roda skuter ini mempunyai saiz yang sama, iaitu padanan rim 10 inci bersama tayar 90/90.

    Kemudahan yang disediakan untuk pengguna adalah termasuk sistem tanpa kunci, soket pengecas USB serta sedikit ruang simpanan di bawah tempat duduk. Kesempua lampu menggunakan unit LED, manakala informasi penting dipaparkan melalui skrin digital LCD berwarna penuh.

    Empat warna ditawarkan untuk EZI Ray 01 ini, iaitu putih, kelabu, cyan dan hitam matte, manakala jaminan pula adalah selama

     
     
  • Omoda C4 bakal tiba di Malaysia – SUV segmen B petrol 1.5T atau hibrid SHS-H, C7 lancar tahun ini

    Omoda C4 bakal tiba di Malaysia – SUV segmen B petrol 1.5T atau hibrid SHS-H, C7 lancar tahun ini

    Selepas pertama kali diperkenalkan semasa Chery International User Summit tahun lalu, model produksi Omoda C4 sekali lagi mencuri perhatian apabila dipamerkan di acara Auto China di Beijing. Semasa acara tersebut, wakil Omoda & Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa SUV segmen B ini akan memasuki pasaran Malaysia, sekaligus memperluaskan barisan model Omoda yang turut bakal merangkumi Omoda C7. Untuk rekod, model Omoda 5 juga sudah berada di pasaran tempatan tetapi dijual di bawah jenama Chery.

    Dalam perkembangan sama, Omoda C4 akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol turbo dan varian hibrid. Versi hibrid ini hadir dengan lencana baru SHS-H, yang merujuk kepada sistem Super Hybrid System. Kedua-dua varian menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder, dan berkemungkinan berkongsi trenkuasa dengan Chery Tiggo Cross.

    Sebagai rujukan, Tiggo Cross versi turbo menghasilkan kuasa sekitar 147 PS dan tork 210 Nm, disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar enam kelajuan. Bagi varian hibrid pula, ia digerakkan oleh motor elektrik yang menjana 204 PS dan 310 Nm, manakala enjin petrol NA dengan output 96 PS dan 120 Nm akan membantu pada kelajuan tinggi menerusi transmisi hibrid khusus satu kelajuan.

    Omoda C4 bakal tiba di Malaysia – SUV segmen B petrol 1.5T atau hibrid SHS-H, C7 lancar tahun ini

    Pendekatan ini membezakan Omoda C4 daripada model berkait rapat dengannya, iaitu Jaecoo J5. Model tersebut menggunakan enjin turbo yang sama tetapi digandingkan dengan transmisi CVT. Di pasaran luar, model juga ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya dengan kuasa 211 PS dan tork 280 Nm, bersama bateri LFP berkapasiti 58.9 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 461 km mengikut kitaran NEDC, namun varian ini tidak ditawarkan di Malaysia.

    Dari aspek rekaan, Omoda C4 menampilkan gaya yang agresif dengan gabungan garisan lurus dan sudut tajam. Bahagian hadapan tampil dengan muncung yang menonjol, spoiler bawah bampar, lampu utama berbentuk X serta grafik hitam menyerupai topeng. Garisan badan yang bersilang dan lampu belakang berbentuk kilat menambah karakter futuristik, manakala rim 18 inci dua tona kini hadir dengan rekaan baru ala turbin.

    Di ruang kabin, SUV ini dilengkapi skrin infotainmen besar berorientasikan menegak seperti yang terdapat pada J5. Bezanya, paparan instrumen digital pada C4 adalah unit berwarna penuh, tidak seperti paparan LCD ringkas pada J5.

    Turut disediakan ialah dua pemegang telefon pintar, salah satunya menyokong pengecasan tanpa wayar Qi, serta kawalan fizikal minimum dalam dua barisan. Antara ciri menarik ialah butang penghidup enjin dengan penutup merah ala Lamborghini yang boleh dibuka ke atas.

    Dalam perkembangan berasingan, Omoda & Jaecoo Malaysia turut mengesahkan bahawa Omoda C7 akan dilancarkan di Malaysia tahun ini. Model SUV segmen C itu sebelum ini pernah dipamerkan di Malaysia Autoshow pada Mei tahun lalu dan beberapa kali dikesan menjalani ujian di jalan raya tempatan sehingga November, sebelum senyap seketika.

    Untuk pasaran tempatan, Omoda C7 dijangka diperkenalkan terlebih dahulu dalam versi enjin petrol tulen yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm daripada enjin 1.6 liter turbo empat silinder, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Selain itu, versi plug-in hybrid juga dijangka menyusul, menggunakan trenkuasa SHS yang sama seperti pada Jaecoo J7 PHEV.

    GALERI: Omoda C4 di Auto China 2026

    GALERI: Omoda C7 di Malaysia Autoshow 2026

     
     
  • GWM Haval Raptor Plus 2026 di Beijing — 1.5T PHEV, 448 PS/660 Nm, 255 km jarak EV, 1,000 km CLTC

    GWM Haval Raptor Plus 2026 di Beijing — 1.5T PHEV, 448 PS/660 Nm, 255 km jarak EV, 1,000 km CLTC

    Di Auto China 2026 yang sedang berlangsung di Beijing, selain model Ora 5 yang turut akan diperkenalkan di pasaran Malaysia nanti, GWM turut mempamerkan model lain, antaranya GWM Haval Raptor Plus (atau turut dikenali dengan nama Haval Menglong Plus di China, atau Haval H7 Plus). Ini merupakan versi terkini dengan saiz yang lebih besar berbanding Haval Raptor biasa sebelum ini.

    Ukuran dimensi Haval Raptor Plus ini diberikan tambahan: 4,912 mm panjang, 1950 mm lebar, 1,905 mm tinggi dengan jarak roda 2,850 mm. Haval Raptor Plus ini dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid GWM Hi4 generasi kedua yang terdiri daripada enjin 1.5T dan motor elektrik berkembar yang menjana sebanyak 190 kW/tork 320 Nm. Jumlah output keseluruhan sistemnya adalah sebanyak 330 kW (448 PS) dan 660 Nm, dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

    GWM Haval Raptor Plus 2026 di Beijing — 1.5T PHEV, 448 PS/660 Nm, 255 km jarak EV, 1,000 km CLTC

    Di China, tiga pilihan bateri ditawarkan, bermula dari 23.7 kWh hingga kapasiti paling tinggi 44.7 kWj yang menawarkan jarak pacuan elektrik sepenuhnya sejauh 255 km CLTC, serat jarak keseluruhan yang mampu dicapai melebihi 1,000 km. Kadar penggunaan tenaga untuk operasi elektrik sepenuhnya ialah 21.4 kWh/100 kWh.

    Dari sudut rekaan luar, selain saiz dimensi yang lebih besar, ia menerapkan rekaan berkotak yang mirip dengan Haval Raptor biasa, dengan diberikan kelainan yang lebih segar misalnya dengan rekaan lampu utama LED petak, rekaan gril tertutup separuh di bahagian atas serta rim 19-inci.

    Haval Raptor Plus juga dilengkapi dengan keupayaan pemanduan off-road seperti differential lock untuk gandar belakang yang dikawal secara elektronik, mod Crawl serta bantuan stereng. Jarak kelegaan tanahnya adalah setinggi 221 mm, dengan kemampuan meredah air sedalam 580 mm.

    Di dalam, Haval H7 Plus turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Coffee Pilot 3, yang menggunakan radar LiDar. Kokpit pintar Coffee OS 3 ini juga dilengkapi dengan skrin kawalan pusat 15.6-inci dan panel instrumen 12.3-inci. Ini disertai juga oleh bumbung panoramik, kerusi barisan kedua yang boleh dilipat dan pintuk ruang barangan belakang bukaan sisi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026