Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Deepal L06 EV ditunjuk di Beijing – sedan EV kacak dari jenama sporty Changan, RWD, 272 PS/290 Nm

    Deepal L06 EV ditunjuk di Beijing – sedan EV kacak dari jenama sporty Changan, RWD, 272 PS/290 Nm

    Di Malaysia jika kita sebut jenama Changan, mungkin yang terbayang adalah beberapa model kenderaan komersil seperti lori dan van. Namun tahukah anda Changan merupakan jenama automotif keempat terbesar di China selepas BYD, Geely dan Chery? Dan Changan juga turut mempunyai pelbagai sub jenama untuk disesuaikan kepada pelbagai sasaran pelanggan, dari model yang sangat murah dengan jenama Lumin, sehingga jenama mewah dikenali sebagai Avatr.

    Sedan dengan rupa yang sangat kacak dipamerkan di Auto China 2026 yang berlangsung di Beijing minggu lalu ini juga merupakan produk dari Changan, dihasilkan oleh sub jenamanya iaitu Deepal, iaitu jenama yang menumpukan pasaran golongan muda yang mahukan kenderaan lebih sporty. Dikenali sebagai Deepal L06, sedan ini direka oleh naib presiden rekaan Changan sendiri iaitu Klaus Zyciora dari Jerman, yang sebelum ini bertugas di Volkswagen.

    Sekali tengok Deepal L06 ini nampak lincah dan tidak terlalu besar, seakan lawan terus kepada model segmen-C seperti Honda Civic. Namun jika dilihat pada spesifikasi sebenar atas kertas, L06 merupakan sedan segmen-D dengan saiz seperti Toyota Camry, menampilkan dimensi panjang 4,830mm, lebar 1,905mm, tinggi 1,480mm dan jark roda sejauh 2,900mm.

    Deepal L06 EV ditunjuk di Beijing – sedan EV kacak dari jenama sporty Changan, RWD, 272 PS/290 Nm

    L06 menampilkan rekaan yang cukup sporty, menampilkan bahagian muncung hadapan yang tirus, bumbung yang rendah dengan pintu tanpa kerangka tingkap, dan bahagian belakang yang landai diakhiri dengan spoiler belakang yang boleh disorokkan. Bahagian mukanya menampilkan lampu hadapan dua lapis dengan jalur LED yang menyerlahkan bentuk anak panah. Manakala di belakang ia diberikan lampu nipis dan tajam yang merentangi sepenuhnya bahagian berkenaan.

    Secara standard Deepal L06 ini dipadankan dengan rim aloi 19-inci dengan jejari bermotif bunga yang menyerlahkan angkup brek berwarna kuning dan bersaiz besar di sebaliknya, dibalut dengan tayar 235/45R19.

    Pada bahagian dalaman, sama seperti kebanyakkan model-model EV dari China yang lain L06 turut menampilkan rekaan papan pemuka yang ringkas, tanpa sebarang suis kawalan fizikal di mana kesemuanya diletakkan pada skrin gergasi 15.6-inci di tengah. Konsol terowong juga sangat ringkas tanpa sebarang suis, manakala tombol gear diletak pada konsol stereng ala-Mercedes-Benz.

    Deepal L06 EV ditunjuk di Beijing – sedan EV kacak dari jenama sporty Changan, RWD, 272 PS/290 Nm

    Tempat duduk separa bucket diberikan pada kabin hadapan, manakala pemandu menerima roda stereng berbentuk oblong tetapi masih nampak racy dengan tiga jejari. Tiada paparan instrumen diberikan, namum pemandu boleh melihat semua maklumat yang diperlukan menerusi paparan head-up AR 50-inci yang dipancarkan ke cermin hadapan.

    Deepal mendakwa 90% bahagian kabin L06 ini dibalut dengan material sentuhan lembut, dan ia turut menampilkan lampu suasana dengan 256-warna.

    L06 hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang berkuasa 272 PS dan tork maksima 290 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan maksima dihadkan pada 185 km/j. Kuasa dibekalkan oleh dua pilihan bateri LFP iaitu dengan kapasiti 56.12 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 560 km dalam kitaran CLTC (459 WLTP), dan 68.82 kWj yang boleh bergerak sejauh 670 km CLTC (549 km WLTP).

    Deepal L06 ini turut ditawarkan dalam versi hibrid enjin penambah jarak (REEV), dibekalkan dengan enjin 1.5L yang beroperasi sepenuhnya untuk mengecas bateri hibird berkapasiti 28.39 kWj, manakala roda belakang dipacu sepenunnya dengan motor elektrik berkuasa 238 PS. Untuk versi ini ia boleh bergerak sejauh 240 km dengan kuasa elektrik sepenuhnya, dan 1,500 km dengan kuasa gabungan petrol dan elektrik.

    Tak kira varian apa yang anda beli, semua Deepal L06 ini dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif MagneRide secara standard. Suspensi yang menggunakan teknologi magnetik dan boleh melaras serapan hentakan sebanyak 1,000 kali setiap satu saat ini dibangunkan oleh Delphi Corporation, iaitu subsidiari General Motors tetapi kini telah dibeli oleh Beijing West Industries (BWI), dan pernah digunakan oleh pengeluar termasuk Ferrari, Lamborghini dan Cadillac.

    Changan telah disahkan akan mula masuk ke pasaran Malaysia pada separa kedua tahun ini, dan akan membawa sub jenama termasuk Nevo, Deepal dan Avatr. Namun kami difahamkan L06 tidak termasuk dalam senarai model-model yang berkemungkinan besar akan dibawa masuk ke sini kerana ia lebih menumpukan terhadap model-model SUV. Namun sekiranya terdapat permintaan yang kuat, tidak mustahil L06 ini turut akan dilancarkan di Malaysia.

     
     
  • Mitsubishi Xforce – 900 unit akan diserahkan kepada pelanggan tak sampai sebulan selepas dilancarkan

    Mitsubishi Xforce – 900 unit akan diserahkan kepada pelanggan tak sampai sebulan selepas dilancarkan

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan 900 unit Mitsubishi Xforce pada penghujung April ini, tak sampai sebulan selepas SUV segmen-B berkenaan dilancarkan pada 8 April lalu.

    “Kami amat berterima kasih atas sambutan yang menggalakkan terhadap Mitsubishi Xforce Serba Baharu. Mencapai 900 penghantaran dalam bulan pertama pelancaran merupakan bukti kukuh keyakinan pelanggan kami terhadap jenama Mitsubishi dan model baharu yang menarik ini,” kata Takashi Sakamaki, CEO Mitsubishi Motors Malaysia.

    “Kepada pelanggan kami, terima kasih kerana menjadi antara yang pertama menggunakan Xforce dan atas kepercayaan anda kepada kami. Sokongan anda amat bermakna kepada semua orang di Mitsubishi Motors Malaysia. Kami kekal komited untuk memastikan pengalaman penghantaran yang lancar sambil terus menyediakan kualiti, kebolehpercayaan dan keyakinan pemanduan yang mendefinisikan kenderaan Mitsubishi,” tambahnya.

    Mitsubishi Xforce – 900 unit akan diserahkan kepada pelanggan tak sampai sebulan selepas dilancarkan

    Mitsubishi Xforce 2026 pasaran Malaysia ditawarkan dalam dua varian dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM109,980 untuk varian Urban, dan RM119,980 untuk varian Ultimate. Sempena pelancarannya, promosi istimewa turut diberikan kepada pelanggan terawal.

    Antaranya ialah rebat tunai sebanyak RM5,000, servis percuma sebanyak tiga kali dan kelayakan untuk menyertai peraduan “Beli Satu Percuma Satu” yang dilanjutkan sehingga 12 April 2026. Selain itu, program kesetiaannya turut ditawarkan dengan tambahan rebat tunai RM1,000, atau Skim Kerajaan yang menawarkan yang juga ditawarkan dengan rebat tunai RM1,000.

    Turut ditawarkan ialah pilihan aksesori tulen Mitsubishi dengan potongan harga 20% bagi 50 pembeli terawal. Ini melibatkan pakej seperti Excitement Package (RM3,280); Fashion Roof Rail Package (RM1,750); dan Practical Package (RM560).

    Mitsubishi Xforce – 900 unit akan diserahkan kepada pelanggan tak sampai sebulan selepas dilancarkan

    Xforce dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan DRB-Hicom di Pekan, Pahang. Ia menampilkan ukuran dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.

    Dari segi saiz, Mitsubishi Xforce berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Toyota Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi. Xforce juga memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) yang terbaik dalam kelasnya, mencecah 222 mm — HR-V dengan 196 mm, Traz 210 mm.

    Model ini digerakkan dengan enjin 4A91 petrol 1.5 NA DOHC MIVEC yang sama seperti digunakan oleh MPV Xpander, berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum sebanyak 141 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan kotak gear CVT yang memacu roda hadapan, dan bukannya transmisi automatik empat-kelajuan seperti Xpander.

    GALERI: Mitsubishi Xforce 2026 di Malaysia

    GALERI: Mitsubishi Xforce 2026 dengan aksesori

     
     
  • Sindiket guna runner yang ada kad fleet untuk beli dan isi diesel dalam lori yang diubahsuai – KPDN KL

    Sindiket guna runner yang ada kad fleet untuk beli dan isi diesel dalam lori yang diubahsuai – KPDN KL

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) mengesan kewujudan sindiket menggunakan individu yang bertindak sebagai ‘runner’ yang dilengkapi kad fleet bagi membuat pembelian bahan api terkawal di kaunter stesen minyak. Bukan setakat membeli, tapi pada masa sama, ahli sindiket lain akan menunggu di pam untuk mengisi bahan api itu ke dalam lori yang sudah diubah suai, laporan Berita Harian.

    Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, kaedah terbaru itu dikesan dalam satu operasi malam tadi, yang membawa kepada penahanan sebuah lori dipercayai terbabit dalam penyelewengan subsidi di sebuah stesen minyak di Sungai Besi. Di mana taktik berkenaan menunjukkan perubahan modus operandi apabila sindiket cuba menjauhkan diri daripada urus niaga secara langsung bagi mengelak dikesan.

    “Daripada memegang atau menggunakan sendiri kad fleet, mereka kini menggunakan ejen atau ‘runner’ untuk berurusan di kaunter, manakala mereka pula menunggu di pam untuk mengisi diesel ke dalam lori yang diubah suai dengan tangki simpanan.

    “Dalam operasi ini, pasukan penguat kuasa bermotosikal berpakaian preman menahan sebuah lori tiga tan di sebuah stesen minyak di sini. Pemeriksaan mendapati lori itu dilengkapi tiga tangki yang diubah suai dengan setiap satu berkapasiti 1,000 liter. Jika diisi penuh, jumlah keseluruhan boleh mencecah 3,000 liter dengan anggaran kerugian subsidi sebanyak RM12,000,” katanya.

    Tambah beliau, ketika tangkapan dibuat, kira-kira 1,500 liter diesel sudah diisi ke dalam tangki itu yang dipercayai untuk kegunaan jentera berat dan lori yang tidak layak menerima subsidi atau sudah melebihi kuota.

    “Lori itu dipercayai dari Seremban dan telah mengisi minyak di tiga atau empat stesen di sana sebelum datang ke sini dan kemudian dijangka kembali ke tempat asal,” katanya.

    Mohd Sabri berkata, ejen atau ‘runner’ terbabit bergerak menggunakan kenderaan berasingan di hadapan lori bagi memudahkan melarikan diri dengan cepat.

    “Dalam kes ini, ‘runner’ berjaya melarikan diri ketika serbuan dilakukan. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan penguatkuasaan termasuk resit transaksi mengesahkan diesel bersubsidi dibeli menggunakan kad fleet walaupun cuba disembunyikan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan kerana berurusan dengan barangan kawalan tanpa lesen atau permit sah mengikut Akta Kawalan Bekalan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, katanya yang juga mengesahkan pengusaha stesen minyak tersebut turut disiasat bagi menentukan sama ada terdapat unsur pakatan dalam kegiatan berkenaan.

     
     
  • Geely Preface i-HEV 2026 di Beijing – 1.5L NA hibrid dengan motor elektrik 190 PS/240 PS, 3.98L/100 km

    Geely Preface i-HEV 2026 di Beijing – 1.5L NA hibrid dengan motor elektrik 190 PS/240 PS, 3.98L/100 km

    Walaupun sudah enam tahun berada dalam pasaran, sedan segmen-D Geely Preface masih lagi bertahan dalam pasaran. Hujung tahun lalu Geely telah mengumumkan bahawa ia sendiri bakal berlumba dalam siri perlumbaan TCR World Tour bagi menggantikan jenama divisi mewahnya iaitu Lynk & Co, dan model yang dipilih untuk dijadikan kereta lumba adalah Preface.

    Dan pada minggu lalu, model produksi Preface pada pasaran China dikemaskini dengan menerima unit rangkaian kuasa i-HEV baharu Geely. Ini menandakan bahawa Preface generasi sedia ada ini mungkin akan terus dijual sekurang-kurangnya lagi tiga tahun sebelum digantikan dengan model generasi baharu. Mungkin ada yang belum tahu, Preface merupakan model yang diasaskan dari platform CMA iaitu platform sama digunakan pada model seperti Volvo XC40, Volvo EC40, Lynk & Co 03dan banyak lagi model-model premium.

    Ketika kunjungan ke Auto China 2026 di Beijing minggu lalu, kami berpeluang untuk melihat sendiri sedan yang dikemaskini ini diletakkan di reruai Geely. Dari segi rekaan luaran dan dalaman, tiada perubahan besar dibuat berbanding model facelift yang diperkenalkan pada 2023.

    Geely Preface i-HEV 2026 di Beijing – 1.5L NA hibrid dengan motor elektrik 190 PS/240 PS, 3.98L/100 km

    Dan seperti disebutkan tadi, rombakan paling besar dibuat pada versi kali ini adalah pada unit rangkaian kuasanya. Unit rangkaian kuasa i-HEV pada Preface ini hadir dengan enjin dari keluarga BHE (sama seperti enjin 1.5L empat silinder Proton) dalam versi 1.5L NA yang menghasilkan kuasa 111 PS dan tork maksima 136 Nm.

    Enjin petrol berkenaan secara primari bertugas untuk mengecas bateri hibrid, sementara roda hadapan dipacu terus oleh kotak gear khas hibrid (DHT) 11-dalam-1 yang terdapat motor elektrik di dalamnya berkuasa 190 PS dan tork maksima 240 PS. Namun pada situasi-situasi tertentu, enjin petrol yang dibekalkan masih boleh membantu motor elektrik untuk memacu roda, dan ia tidak memerlukan pengecas luaran seperti EV dan PHEV, atau secara ringkasnya ia agak hampir kepada sistem e:HEV yang ditawarkan oleh Honda.

    Sistem sebegini lazimnya tidak memerlukan bateri hibrid yang terlalu besar dipadankan, namun Geely belum mengumumkan jenis dan kapasiti bateri yang dipadankan. Walau bagaimanapun Geely mengesahkan bahawa Preface i-HEV ini mencatatkan penggunaan bahan api serendah 3.98 liter bagi setiap perjalanan 100 km berbanding 4.22 liter untuk versi hibrid biasa.

    Di China, Preface i-HEV ditawarkan pada harga bermula 107,700 yuan (sekitar RM62k) , jauh lebih murah berbanding 126,700 yuan (RM73k) bagi versi hibrid biasa.

     
     
  • Continental CrossContact A/T2 kini tiba di Malaysia

    Continental CrossContact A/T2 kini tiba di Malaysia

    Continental Tyres melancarkan tayar CrossContact A/T2 di Malaysia, iaitu tayar all-terrain terbaru yang direka khas untuk kenderaan SUV dan 4×4. Menurut syarikat itu, tayar ini dibangunkan dengan fokus terhadap daya cengkaman dan ketahanan tinggi bagi menghadapi permukaan mencabar, tanpa menjejaskan keselesaan serta prestasi di jalan raya biasa.

    Menurut Pengarah Urusan Malaysia merangkap Ketua ASEAN bagi Continenatal, Andrea Somorova, setiap tayar yang dihasilkan bermula dengan pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna. Malaysia sebagai pasaran penting di rantau Asia Pasifik memainkan peranan besar dalam proses pembangunan, mengambil kira keadaan jalan raya, gaya pemanduan dan faktor cuaca tempatan. Pendekatan berfokuskan pengguna ini diterapkan dalam pembangunan CrossContact A/T², khusus untuk pemandu yang bergantung kepada kenderaan utiliti dan 4×4 mereka.

    Dari segi keupayaan, CrossContact A/T2 menawarkan tahap cengkaman yang dipertingkatkan ketika melakukan manuver berintensiti tinggi. Ini dicapai melalui gabungan reka bentuk bunga tayar yang lebih dalam, ruang kosong (void) yang lebih besar serta bucu tayar dengan fungsi pembersihan sendiri. Ciri-ciri ini membantu meningkatkan ketepatan pengendalian, kestabilan kenderaan dan cengkaman di permukaan lembut, tidak rata atau licin.

    Continental CrossContact A/T2 kini tiba di Malaysia

    Sebagai tayar all-terrain, aspek ketahanan turut diberi perhatian. Corak bunga tayar yang lebih kukuh bersama dinding tepi yang diperkukuh direka untuk menahan hentakan kuat, sekaligus mengurangkan risiko tusukan, koyakan dan kerosakan ketika meredah laluan lasak. Selain itu, penggunaan kompaun khas BlackPaw Compound oleh Continental dikatakan mampu memberikan cengkaman yang adaptif mengikut keadaan jalan dan cuaca.

    CrossContact A/T2 kini boleh didapati di semua pusat jualan rasmi Continental serta kedai dalam talian rasmi jenama itu di platform seperti Shopee, Lazada, TikTok dan Touch ‘n Go eWallet. Tayar ini ditawarkan dalam 42 saiz berbeza, meliputi rim 15 hingga 22 inci untuk SUV, 4×4 dan trak ringan. Ia juga menyokong keupayaan beban sehingga julat E, menjadikannya sesuai untuk kegunaan lasak termasuk di tapak kerja.

     
     
  • Yamaha R25 kini dengan pilihan warna baru – RM23k

    Yamaha R25 kini dengan pilihan warna baru – RM23k

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan pilihan warna baru untuk Yamaha YZF-R25 di Malaysia, dengan harga jualan cadangan kekal RM23,098, tidak berubah berbanding tahun 2025. Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Dua warna baru yang ditawarkan ialah Icon Blue dan Mint Green.

    Unit dengan warna terkini ini sudah mula tersedia di semua pengedar sah Hong Leong Yamaha Motor di seluruh negara. Selain pilihan warna, tiada perubahan lain dilakukan pada model R25 untuk pasaran Malaysia, dengan spesifikasi kekal sama seperti tahun sebelumnya.

    Dari segi prestasi, motosikal ini menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 249 cc dengan penyejukan cecair, DOHC dan lapan injap. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 35.4 hp pada 12,000 rpm serta tork puncak 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

    Yamaha R25 kini dengan pilihan warna baru – RM23k

    Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan yang dilengkapi sistem klac assist and slipper, bersama pacuan akhir jenis rantai. Saiz tayar kekal 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 758 mm, manakala kapasiti tangki bahan api ialah 14.3 liter dengan berat keseluruhan 160 kg.

    Sistem brek menggunakan cakera hidraulik tunggal di bahagian hadapan dan belakang, lengkap dengan ABS dual-channel sebagai ciri standard. Bahagian suspensi juga tidak mengalami sebarang perubahan, dengan fork jenis upside-down tidak boleh laras di hadapan serta monoshock boleh laras pra-beban di belakang.

    Pencahayaan LED digunakan sepenuhnya, manakala reka bentuk lampu hadapan diinspirasikan daripada model superbike Yamaha YZF-R1. Paparan maklumat tunggangan dipersembahkan menerusi skrin LCD monokrom yang turut menyokong sambungan Y-Connect ke telefon pintar penunggang.

     
     
  • Chery Himla bakal masuk Malaysia – trak pikap jangka lancar Q2/Q3 2027, model KP11 atau KP31 yang baru?

    Chery Himla bakal masuk Malaysia – trak pikap jangka lancar Q2/Q3 2027, model KP11 atau KP31 yang baru?

    Chery dilaporkan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan trak pikap Himla di Malaysia, dengan jangkaan pelancarannya sekitar suku kedua atau ketiga tahun 2027. Seperti kebiasaan bagi model pikap baru dengan jenama baru di pasaran tempatan, ia dijangka akan dipasang dalam negara sebagai model CKD.

    Namun, persoalan yang lebih rumit ialah mengenai nama jenama yang akan digunakan di sini serta bentuk sebenar model tersebut. Sebelum ini, perkara ini agak jelas. Ketika diperkenalkan di Auto Shanghai tahun lalu, sub-jenama ini dikenali sebagai Himla, nama yang diinspirasikan daripada Himalaya dan juga merupakan singkatan kepada “high performance”, “innovation”, “multifunction”, “longevity” dan “all-terrain”.

    Nama Himla digunakan untuk pasaran global, manakala di China model ini dikenali sebagai Rely. Secara logiknya, kenderaan dengan kod nama KP11 itu dijangka menggunakan nama Himla di semua pasaran luar China termasuk Malaysia. Namun begitu, situasi ini mungkin berubah bergantung kepada perkembangan model lain yang sedang dibangunkan.

    Perkara ini berkait rapat dengan kemunculan sebuah trak konsep baru Chery yang diperkenalkan di Sydney pada Februari lalu. Model yang dikenali sebagai KP31 itu tampil dengan rekaan berbeza dan lebih gagah, malah mempunyai panjang sekitar 5,610 mm, lebih panjang berbanding KP11 yang berukuran 5,330 mm.

    Perbezaan ini berkemungkinan disebabkan penggunaan ruang kargo yang lebih panjang secara standard, sekaligus memberi bayangan bahawa ia mungkin sekadar versi rekaan semula daripada model asal.

    Versi produksi bagi model ini, yang disasarkan untuk pasaran global, dijangka dilancarkan di Australia sekitar suku keempat tahun ini. Setakat ini, model tersebut masih belum mempunyai nama rasmi dan ada kemungkinan ia akan menggunakan nama berbeza apabila dipasarkan, termasuk untuk versi di bawah jenama Omoda | Jaecoo.

    Chery Himla bakal masuk Malaysia – trak pikap jangka lancar Q2/Q3 2027, model KP11 atau KP31 yang baru?

    Walaubagaimanapun, terdapat petunjuk bahawa KP31 mungkin tetap menggunakan nama Himla. Ini dapat dilihat apabila beberapa unit KP31 dipamerkan semasa acara sidang perniagaan antarabangsa Chery 2026 di Wuhu, China. Salah satu daripadanya menggunakan lencana Chery dengan kod model P3X khusus untuk pasaran China, manakala dua lagi unit yang dipamerkan turut memaparkan nama Himla walaupun jelas merupakan model KP31.

    Persoalan mengenai nama ini penting kerana besar kemungkinan model yang akan dibawa ke Malaysia ialah KP31 dan bukannya Himla KP11. Ini selari dengan perancangan trenkuasa untuk pasaran tempatan, iaitu sistem plug-in hybrid (PHEV) berasaskan petrol.

    Sebelum ini, KP31 diperkenalkan dengan sistem plug-in hybrid diesel, yang merupakan teknologi pertama seumpamanya di dunia. Namun, enjin diesel walaupun digabungkan dengan elektrifikasi tidak lagi menjadi pilihan utama buat masa ini.

    Chery Himla bakal masuk Malaysia – trak pikap jangka lancar Q2/Q3 2027, model KP11 atau KP31 yang baru?

    Sebaliknya, trenkuasa PHEV petrol dilihat lebih relevan, walaupun ia dijangka hanya akan tersedia dalam tempoh kira-kira setahun lagi. Ini bertepatan dengan garis masa pelancaran model tersebut di Malaysia. Tambahan pula, KP11 hanya ditawarkan dengan enjin turbodiesel 2.3 liter dan petrol 2.4 liter, yang mungkin kurang sesuai dengan strategi semasa.

    Dari segi pengeluaran, trak pikap ini dijangka akan dipasang di kilang baru Chery di Smart Auto Industrial Park, memandangkan model ini dijangka mencatatkan jumlah jualan yang tinggi. Sementara itu, fasiliti sedia ada di Shah Alam berkemungkinan akan terus digunakan untuk model dengan jumlah pengeluaran lebih kecil, manakala model berjumlah tinggi akan dipasang di Lembah Beringin.

    Walaupun banyak maklumat masih belum disahkan, lebih banyak perkembangan mengenai trak pikap ini dijangka akan diketahui apabila ia semakin hampir ke fasa pelancaran rasmi di pasaran tempatan.

    GALERI: Chery Himla KP31 dan Himla KP11 di Wuhu, China

    GALERI: Chery KP31 Concept


     
     
  • Xpeng G9 2026 di Beijing – AWD 567hp/717 Nm, jarak gerak hingga 585 km WLTP; bakal dilancar di Malaysia

    Xpeng G9 2026 di Beijing – AWD 567hp/717 Nm, jarak gerak hingga 585 km WLTP; bakal dilancar di Malaysia

    Menerusi acara automotif berprestij, Auto Chino 2026 yang sedang rancak berlangsung di Beijing, Xpeng G9 turut menjadi perhatian di booth XPeng, selain SUV EV flagship mewah GX dan juga sedan EV P7.

    G9 yang merupakan SUV EV premium ini dikhabarkan bakal dibawa masuk ke pasaran ASEAN termasuk Malaysia dan Indonesia, dijangka sama ada pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun ini. Dilancarkan pada awal Januari lalu di pasaran negara asalnya, dengan tiga varian iaitu RWD Standard Range, RWD Long Range dan model tertinggi AWD Performance yang ditawarkan pada harga dari ¥263,900 hingga ¥359,900 (RM175k – RM240k).

    Bagi versi AWD Performance, ia diberikan dwi-motor dengan hamburan kuasa 567 hp dan tork 717 Nm yang mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat dan kelajuan maksima cecah 200 km/j. Manakala varian RWD Long Range dengan motor tunggal yang memacu roda belakang berkuasa 351 hp dan tork 465 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 6.4 saat dan juga boleh capai kelajuan maksima seperti AWD Performance. Bagi RWD Standard Range pula, ia juga diberikan motor tunggal pacuan belakang 313 hp dan tork 430 Nm dan juga angka pecutan sama dengan RWD Long Range serta kelajuan maksima juga hingga 200 km/j.

    Xpeng G9 2026 di Beijing – AWD 567hp/717 Nm, jarak gerak hingga 585 km WLTP; bakal dilancar di Malaysia

    Seperti mana barisan model terkini Xpeng, G9 2026 menampilkan platform silicon carbide (SiC) 800 voltan dengan pengecas ultra pantas 5C yang membolehkan status pengesan dari 10%-80% boleh dicapai dalam 11-12 minit. Varian AWD Performance diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 93.1 kWh yang boleh memberikan jarak gerak hingga 585 km. Manakala dua varian bawahnya, RWD Long Range turut diberikan kapasiti bateri yang sama dengan AWD Performance dan bagi model asas RWD Standard Range dengan bateri berkapasiti 79.1 kWh.

    Bersaing dengan model Tesla Model Y, NIO ES6 dan BYD Tang EV, G9 2026 ini berukuran 4,891 mm panjang, 1,937 mm lebar, 1,680mm tinggi dan jarak roda cecah 2,998mm, dengan kapasiti ruang but mencecah 660 liter.

    Untuk rekaan luarannya, ia mengetengahkan konsep “X-BOT” untuk bahagian hadapannya, nampak futuristik tetapi masih menyerlahkan sentuhan mewah. Ia menampilkan jaluran pencahayaan LED lebar sepenuhnya dengan lampu utama di bawahnya dan gril tertutup yang masih menampakkan ciri aerodinamik. Bahagian sisinya pula diberikan pemegang pintu jenis “flush” dan pintu tanpa bingkai tingkap dan roda besar bersaiz 21-inci.

    Xpeng G9 2026 di Beijing – AWD 567hp/717 Nm, jarak gerak hingga 585 km WLTP; bakal dilancar di Malaysia

    Untuk bahagian belakangnya pula, bagi memadankan pandangan dengan hadapan, ia juga diberikan jalur pencahayaan LED lebar sepenuhnya dengan diffuser yang lebih sporty. G9 2026 turut diberikan pakej penggayaan hitam secara pilihan yang merangkumi roda hitam, kemasan hitam serta kaliper brek berwarna jingga untuk mendapatkan kesan yang lebih kontras.

    Menjengah bahagian kabinnya, Xpeng memberikan sentuhan yang minimalis tetapi kekal premium serta menggunakan 95% material sentuhan lembut pada segenap ruang dalaman. Antara ciri kelengkapan yang diberikan termasuklah dwi skrin 14.9-inci yang diletakkan secara ‘berkembar’ di bahagian tengah dan mengadap penumpang hadapan, kemas kini OTA, kawalan kuasa AI “Hey XPeng”, tempat duduk baluran kulit Nappa dengan fungsi pemanas, ventilasi dan mengurut untuk bahagian hadapan, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik kaca, sistem bunyi 5D Dynaudio dan banyak lagi.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, G9 2026 turut dilengkapi XPILOT/XNGP ADAS, dengan antara cirinya termasuklah Kawalan Keluncuran Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Lorong, Pemantauan Titik Buta, Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan dan highway autopilot. Ia juga diberikan lebih kurang 31 sensor dan kamera dengan LiDAR serta cip AI untuk pemprosesan masa sebenar di mana ia boleh membantu kawalan stereng, brek dan pemanduan di lebuhraya cuma masih memerlukan perhatian sepenuhnya dari pemandu.

     
     
  • BYD Atto 3 2026 dipamerkan di Beijing – pacuan roda belakang, sehingga 326 PS, jarak gerak 517 km WLTP

    BYD Atto 3 2026 dipamerkan di Beijing – pacuan roda belakang, sehingga 326 PS, jarak gerak 517 km WLTP

    Model kemaskini BYD Atto 3 2026 telah pun didedahkan di China bulan lalu, dan kami dapat melihat depan mata model ini ketika berlangsungnya acara Auto China 2026 di Beijing minggu lalu. Walaupun ia masih dikaitkan dengan model generasi sedia ada, versi kemaskini terbaharu yang digelar sebagai Yuan Plus ini menampilkan saiz yang lebih besar, rupa yang lebih segar dan juga rombakan besar turut dibuat terhadap unit rangkaian kuasa.

    Dapat dilihat rupa luaran BYD Atto 3 Yuan Plus ini berubah hampir keseluruhannya termasuk rekaan lampu dan gril hadapan, bampar hadapan dan belakang, lampu belakang, malah rekaan cermin suku belakang dan kemasan pada tiang-D juga nampak jauh berbeza dan lebih besar. Ia juga datang dengan rekaan rim aloi baharu dengan pilihan diameter 18- dan 19-inci.

    Rombakan rupa ini membawa ke dimensi yang juga berubah di mana ia kini menampilkan panjang 4,665 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,675 mm dan jarak roda sejauh 2,770 mm. Jadi berbanding Atto 3 sedia ada seperti yang masih terdapat di Malaysia, versi Yuan Plus ini adalah 210 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar dan 60 mm lebih tinggi.

    BYD Atto 3 2026 dipamerkan di Beijing – pacuan roda belakang, sehingga 326 PS, jarak gerak 517 km WLTP

    Menurut laporan Drive, dengan dimensi lebih besar tersebut turut menjadikan ruang kargo Atto ini lebih luas dengan kapasiti 750 liter, manakala ruang pada bahagian but depan atau frunk pula bertambah 180 liter.

    Perubahan drastik juga dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana kedudukan motor elektrik dialih dari gandar hadapan kepada gandar belakang untuk memacu roda belakang. Motor berkenaan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu versi berkuasa 200 kW (272 PS) dan juga 240 kW (326 PS).

    Kedua-dua versi ini menerima bateri BYD generasi baharu iaitu Blade 2.0. Bagi versi 272 PS, ia dipadankan dengan bateri LFP 57.54 kWj yang menawarkan jarak gerak 540 km dalam kitaran ujian tempatan CLTC, atau 443 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih ketat. Manakala versi 326 PS pula diberikan bateri 68.55 kWj yang memberikan jarak gerak 630 km CLTC/517 km WLTP.

    Bateri Blade 2.0 berkenaan menerima teknologi pengecasan cepat baharu yang membolehkan cas dari 10% dipenuhkan hingga 70% dalam masa hanya lima minit, atau 10%-97% dalam masa sembilan minit.

    BYD Atto 3 2026 dipamerkan di Beijing – pacuan roda belakang, sehingga 326 PS, jarak gerak 517 km WLTP

    Baru-baru ini BYD ada menawarkan Atto 3 yang dikemaskini untuk pasaran Eropah dikenali sebagai Atto 3 Evo, yang turut menyaksikan varian pacuan motor tunggal berubah memacu roda belakang. Namun model pasaran Eropah tersebut menerima bateri 74.8 kWj untuk model RWD berkuasa 313 PS/380 Nm bagi memberikan jarak gerak 510 km WLTP, dan versi motor berkembar pacuan semua roda berkuasa 449 PS/560 Nm turut menerima bateri sama bagi memberikan jarak gerak 470 km WLTP.

    Berbalik kepada Atto 3 Yuan Plus 2026 pasaran China, ia dibekalkan dengan kelengkapan seperti pintu tailgate belakang bantuan kuasa, sistem audio dengan 16-pembesar suara, peti sejuk bina-dalam, skrin infotainmen terapung, paparan instrumen digital, roda stereng dua-jejari, paparan head-up, dan pad penegcas telefon pintar tanpa wayar sehingga 50 watts.

    Harga bagi BYD Atto 3 2026 kemaskini ini masih lagi belum didedahkan, di mana tempahannya hanya akan dibuka di China pada pertengahan tahun ini.

     
     
  • Royal Alloy Gran Turismo dilancarkan di Malaysia – skuter rim 12 inci, harga 125S RM9,800, 160S RM12,800

    Royal Alloy Gran Turismo dilancarkan di Malaysia – skuter rim 12 inci, harga 125S RM9,800, 160S RM12,800

    Royal Alloy Gran Turismo kini rasmi memasuki pasaran Malaysia bagi tahun 2026, ditawarkan dalam dua varian iaitu 125S dan 160S. Harga jualan ditetapkan pada RM9,800 untuk model 125S manakala varian 160S pula berharga RM12,800, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

    Bagi pilihan warna, Gran Turismo 125S hadir dalam kemasan Matte Silver, Pink dan Ivory. Sementara itu, Gran Turismo 160S ditawarkan dalam pilihan Meteorite Grey, Lemon Yellow dan Dark Jade. Kedua-dua model ini sudah mula tersedia di semua pengedar sah Royal Alloy di seluruh Malaysia, lengkap dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Untuk penggerak, skuter ini menggunakan enjin satu silinder, empat injap dengan sistem penyejukan cecair. Varian 125S dilengkapi enjin berkapasiti 124 cc yang menghasilkan 13.14 hp pada 8,500 rpm dan tork 12 Nm pada 6,500 rpm, sementara varian 160S pula didatangkan dengan enjin 158 cc menjana 16.9 hp pada 8,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 5,500 rpm.

    Royal Alloy Gran Turismo dilancarkan di Malaysia – skuter rim 12 inci, harga 125S RM9,800, 160S RM12,800

    Kedua-dua model menggunakan transmisi automatik CVT bersama sistem pacuan tali sawat yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Skuter ini menggunakan rim bersaiz 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan belakang.

    Dari segi dimensi dan ergonomik, berat keseluruhan ialah 145 kg untuk 125S dan 152 kg bagi 160S. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 750 mm, manakala kapasiti tangki bahan api ialah sembilan liter. Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di bahagian hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Sistem brek pula menggunakan cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang dengan diameter 220 mm, serta dilengkapi sistem ABS dual-channel sebagai ciri standard. Ruang simpanan kecil turut disediakan di bawah tempat duduk, cukup untuk memuatkan sebuah topi keledar jenis open-face.

    Paparan maklumat tunggangan disalurkan melalui panel instrumen TFT berwarna yang menyokong fungsi cerminan telefon pintar. Selain itu, skuter ini turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan fungsi keyless. Bagi varian 160S, ia menerima ciri tambahan seperti kamera DVR hadapan serta lampu nyalaan siang LED (DRL).

     
     
  • Mazda sasar jual lebih banyak model elektrifikasi dari enjin pembakaran di China dengan bantuan Changan

    Mazda sasar jual lebih banyak model elektrifikasi dari enjin pembakaran di China dengan bantuan Changan

    Mazda menyasarkan untuk menjual lebih banyak model-model yang digerakkan oleh tenaga baharu (NEV, iaitu model termasuk EV dan juga hibrid) berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya di pasaran China tahun ini, lapor CarNewsChina.

    Ketika berucap di Beijing Auto Show 2026 minggu lalu, pengarah eksekutif kanan Mazda Toru Nakajima menyatakan bahawa Mazda berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi era elektrifikasi di China, dan identiti jenama itu tidak akan tergugat dalam proses tersebut.

    Malah menurutnya lagi 47% jualan Mazda di China untuk suku pertama tahun ini adalah dari model-model NEV, dan ia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi pengeluar automotif luar dengan kerjasama syarikat tempatan (JV) pertama di China yang menjual lebih banyak model NEV berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman.

    Mazda memperkenalkan model EV pertamanya pada 2019 menerusi model MX-30, namun ia tidak diterima dengan baik oleh pasaran China di mana hanya sekitar 500 unit terjual dari 2022 hingga 2024. Namun dengan kerjasama pembuat automotif keempat terbesar di China iaitu Changan, Mazda telah menghasilkan dua model berasaskan platform EPA Changan iaitu sedan Mazda EZ-6 yang berasaskan model sub jenama Changan yang lebih sporty Deepal SL03, serta SUV Mazda EZ-60 yang diasaskan Deepal S07.

    Mazda sasar jual lebih banyak model elektrifikasi dari enjin pembakaran di China dengan bantuan Changan

    Kedua-dua model berkenaan bukan hanya ditawarkan dalam versi EV, malah turut ditawarkan dalam varian dengan unit rangkaian kuasa hibird REEV (Range Extender EV, di mana enjin pembakaran dalaman hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid. Mazda EZ-6 dan juga EZ-60 turut dibawa ke pasaran luar China, masing-masing dikenali sebagai Mazda 6e dan CX-6e.

    Berdasarkan rekod jualan yang diambil dari China EV DataTracker, Mazda telah mencatatkan jualan sebanyak 91,061 unit kenderaan dari April 2025 hingga Mac 2026, atau hampir 20% lebih tinggi berbanding sasaran 76,000 unit yang ditetapkan. Manakala untuk jualan suku pertama 2026, walaupun CX-5 masih model Mazda paling laris di China, jualan untuk Mazda EZ-6 dan EZ-60 berjaya mewakili lebih 40% jualan jenama itu.

    Nakajima turut menegaskan bahawa hubungan selama 20-tahun antara Mazda dan Changan kini lebih kuat dari sebelum ini, dan kedua-dua pihak kini komited untuk menghasilkan lebih banyak model NEV dengan input bersama.

     
     
  • BMW X3 30 xDrive M Sport 2026 di Malaysia – hibrid ringkas 2.0T 258 PS, audio Harman Kardon, RM387k

    BMW X3 30 xDrive M Sport 2026 di Malaysia – hibrid ringkas 2.0T 258 PS, audio Harman Kardon, RM387k

    BMW X3 30 xDrive M Sport kini rasmi diperkenalkan di Malaysia sebagai pelengkap kepada varian BMW X3 20 xDrive M Sport yang dilancarkan pada Jun tahun lalu. Varian baru ini hadir dengan peningkatan ketara dari segi prestasi menerusi enjin 2.0 liter turbo empat silinder petrol dengan sistem hibrid ringkas yang lebih berkuasa.

    Dari segi harga, X3 30 xDrive M Sport ditawarkan pada RM358,800 atas jalan tanpa insurans. Pembeli juga boleh memilih pakej BMW Service & Repair Inclusive yang merangkumi servis dan jaminan selama lima tahun, menjadikan harga keseluruhan RM386,700.

    Varian ini menghasilkan kuasa maksimum 258 PS dan tork 400 Nm, disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j. Sebagai perbandingan, varian X3 20 xDrive M Sport menawarkan 190 PS dan 310 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 7.8 saat serta kelajuan maksimum 215 km/j.

    BMW X3 30 xDrive M Sport 2026 di Malaysia – hibrid ringkas 2.0T 258 PS, audio Harman Kardon, RM387k

    Melihat bahagian luarnya, model ini tampil lebih garang dengan penggunaan rim aloi M bersaiz 20 inci Style 1036 dua tona, dipadankan dengan tayar 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang. Walaupun menggunakan pakej M Sport, BMW mengekalkan spesifikasi suspensi standard, namun sistem brek M Sport dengan angkup berwarna biru gelap metalik turut disertakan.

    Ruang dalaman pula menampilkan sentuhan sporty dengan kemasan bumbung M Anthracite, stereng M Sport tiga jejari dengan bahagian bawah rata, serta tempat duduk sport hadapan yang dilengkapi fungsi pengudaraan aktif dan sokongan lumbar. Kemasan tempat duduk menggunakan bahan kulit sintetik Veganza berliang warna hitam.

    Sistem infotainmen menampilkan paparan melengkung BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen 12.3 inci dan skrin sesentuh utama 14.9 inci. Sistem audio turut dipertingkatkan kepada sistem bunyi keliling Harman Kardon dengan 15 pembesar suara dan output 765 watt. Sokongan sambungan telefon pintar melalui Android Auto dan Apple CarPlay juga disediakan.

    Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, model ini dilengkapi pakej Driving Assistant Plus yang merangkumi amaran penukaran lorong dengan intervensi stereng aktif, amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, serta fungsi bantuan mengelak untuk kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki.

    Selain itu, ia turut menampilkan paparan had laju dengan amaran larangan memotong, sistem pemantauan tahap keletihan pemandu, amaran trafik lintang belakang dengan fungsi membrek, amaran keluar kenderaan, pencegahan pelanggaran belakang, kawalan jelajah aktif dengan fungsi henti dan gerak, serta bantuan kawalan stereng dan lorong.

    Untuk pilihan warna, BMW menawarkan Alpine White, Black Sapphire, Dune Grey dan Tanzanite Blue bagi X3 30 xDrive M Sport. Model ini tersedia di pasaran tempatan dengan harga bermula RM358,800, atau RM386,700 bersama pakej servis dan jaminan lima tahun.

     
     
  • LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir

    LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir

    Kontraktor utama Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) berkemungkinan berdepan denda melebihi RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir penyiapan projek yang terus meningkat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, laporan New Straits Times.

    Menurut beliau, jumlah muktamad penalti yang boleh dikuat kuasakan atau ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) terhadap Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd hanya akan ditentukan selepas projek siap sepenuhnya dengan proses penyelesaian pertikaian standard akan digunakan. Jelasnya lagi, mekanisme LAD diwujudkan atas dasar yang kukuh dan akauntabiliti perlu dipertahankan di seluruh rantaian pelaksanaan projek.

    Kementerian menjangkakan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan mentadbir kontrak itu secara tegas dan mengikut syarat yang ditetapkan, tambahnya.

    “Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, tujuan saya mendedahkan angka LAD di Parlimen adalah pertamanya untuk memastikan akauntabiliti dan memberi isyarat bahawa terdapat kesan nyata terhadap kelewatan seperti ini. Akauntabiliti ini terpakai di seluruh rantaian pelaksanaan daripada kontraktor utama sehingga kepada subkontraktor,” katanya tanpa menyatakan bila projek itu dijangka siap sepenuhnya.

    Pada akhir Februari lalu, Loke mendedahkan Setia Utama LRT 3 perlu membayar LAD disebabkan kelewatan projek ini iaitu sebanyak RM2.73 juta bagi setiap hari kelewatan daripada nilai kontrak dengan kelewatan awal selama 174 hari direkodkan sehingga akhir 2025.

    LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir

    “Kadar LAD tersebut, bersamaan 0.024% daripada jumlah nilai kontrak, adalah bagi memastikan kontraktor memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kelewatan dalam projek berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa jumlah keseluruhan pampasan hanya akan diketahui selepas projek itu siap sepenuhnya.

    Setakat 27 April tahun ini, tambahan 117 hari kelewatan direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kelewatan kepada 291 hari. Ini membayangkan tambahan RM315.9 juta dalam LAD untuk 2026, sekali gus meningkatkan jumlah penalti terkumpul kepada kira-kira RM790.7 juta.

    Mengenai kelewatan terkini, Loke berkata, kemas kini daripada Prasarana menunjukkan bahawa ia berpunca daripada cabaran integrasi sistem yang membabitkan dua faktor utama.

    “Pertama adalah kelewatan dalam kesediaan sistem isyarat bagi fasa ujian dan pentauliahan. Kedua ialah kerosakan yang berlaku semasa fasa ujian tanpa gangguan. Di sini, kira-kira dua pertiga daripada kerosakan berkaitan sistem isyarat manakala baki satu pertiga membabitkan rolling stock,” katanya.

    Tambahnya, pembinaan fizikal projek itu sebahagian besarnya sudah siap dengan stesen disiapkan tahun lalu, tren sudah dihantar lebih awal dan infrastruktur teras sudah tersedia. Cabaran yang masih berbaki adalah untuk memastikan semua sistem beroperasi dengan lancar sebagai satu rangkaian bersepadu.

    LRT3: Kontraktor utama mungkin berdepan denda lebih RM800 juta susulan kelewatan fasa akhir

    “Ujian tanpa gangguan yang pada asalnya dirancang selama dua bulan terpaksa dilanjutkan kepada enam bulan. Tindak balas dalam menangani isu-isu yang timbul juga tidak sepantas yang dijangkakan sekali gus menyumbang kepada pelanjutan garis masa.

    “Ini bukan cabaran luar biasa dalam projek integrasi rel yang kompleks di peringkat global, namun, ia menekankan keperluan pengurusan kontrak yang lebih rapi yang sedang diusahakan secara aktif oleh Prasarana,” katanya.

    Bagi mengurangkan kelewatan lanjut, beliau berkata, Prasarana mempertingkatkan pengawasan terhadap baki fasa ujian dan pentauliahan termasuk pemantauan lebih rapi terhadap implikasi kos dan jadual.

    “Prasarana sedang memantau implikasi kos dan jadual dengan teliti. Mekanisme LAD diwujudkan bagi melindungi kepentingan awam dalam situasi seperti ini di mana kontraktor yang menanggung beban kewangan akibat kelewatan, bukannya kerajaan atau orang awam,” katanya yang menambah bahawa projek itu kini berada dalam fasa akhir operasi percubaan dan tarikh pembukaan baharu akan diumumkan selepas semua keperluan ujian yang tertunggak diselesaikan dengan memuaskan

    Katanya, aspek keselamatan dan kebolehpercayaan system tidak akan dikompromi semata-mata untuk memenuhi garis masa yang lebih awal. Dalam masa yang sama kontraktor juga sudah diarahkan untuk menambah baik masa tindak balas bagi pembaikan teknikal, ketika kementerian dan Prasarana berusaha mengelak pelanjutan lanjut fasa penghantaran akhir.

     
     
  • smart #6 EHD didedah di Beijing – sedan segmen-D, enjin 1.5T sama seperti Proton, PHEV, 435 PS/645 Nm!

    smart #6 EHD didedah di Beijing – sedan segmen-D, enjin 1.5T sama seperti Proton, PHEV, 435 PS/645 Nm!

    Sejak smart #3 dan smart #5 didedahkan, kita tahu smart bukan lagi jenama yang khusus untuk model-model kompak seperti era smart ForTwo dan smart ForFour dahulu. Dan yang paling tak pernah disangka-sangka, smart mendedahkan sedan pertamanya di Auto China 2026 Beijing minggu lalu, yang digelar sebagai smart #6 EHD!

    Ia bukan sekadar sedan, malah ia adalah sebuah sedan bersaiz besar dengan dimensi panjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm, tinggi 1,508 mm dan jarak roda sejauh 2,926 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, cukuplah untuk kami petik bahawa smart #6 ini hanya 43 mm lebih pendek berbanding Mercedes-Benz E-Class.

    Namun ia masih menerapkan rekaan dengan DNA smart generasi baharu. Ia termasuk bahagian kepala terutamanya pada fender dan penutup but direka seakan Mercedes-Benz A-Class dan lampu hadapan yang disekalikan dengan gril palsu hadapan. Bahagian belakang sedan ini direka seakan fastback di mana but bercantum terus dengan tingkap belakang yang boleh dibuka sekali, dan ia turut menampilkan spoiler but belakang yang boleh disorokkan.

    smart #6 EHD didedah di Beijing – sedan segmen-D, enjin 1.5T sama seperti Proton, PHEV, 435 PS/645 Nm!

    Tidak seperti model-model generasi baharu smart lain yang digerakkan oleh hanya motor elektrik, smart #6 ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang digelar sebagai Electric Hybrid Drive (EHD). Sistem ini menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder turbo BHE15-CFZ; macam pernah dengar bukan? Ya, ia adalah enjin yang sama di dalam model-model Proton seperti X50, X70, X90 dan S70, tetapi ditala dengan kuasa 163 PS dan tork 255 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi khusus hibrid (DHT) tiga kelajuan yang turut menempatkan motor elektrik bagi sistem hibrid tersebut. Secara keseleruhan kuasa yang dibekalkan mencecah 435 PS dan tork 645 Nm bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Motor elektrik tersebut pula menerima kuasa dari bateri LFP yang ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu versi 20 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 285 km dalam kitaran ujian CLTC (234 km dalam ujian WLTP yang lebih ketat), dan juga 41.16 kWj yang memberikan jarak gerak EV 1,810 km CLTC (1,484 WLTP).

    Antara perincian menarik diberikan pada smart #6 ini termasuk sistem bunyi 2,000-watt dari Sennheiser dengan 20-pembesar suara, tiga skrin pada papan pemuka termasuk untuk penumpang dan juga sistem suspensi adaptif. smart #6 EHD ini bakal mula dijual di China pada bulan Jun dari RMB190k (RM110k)

     
     
  • Jetour T1 dalam teaser sebelum diperkenal di Malaysia

    Jetour T1 dalam teaser sebelum diperkenal di Malaysia

    Model SUV baru Jetour T1 dijangka membuat kemunculan sulung di Malaysia tidak lama lagi selepas teaser terkini yang dikongsikan oleh Jetour Auto Malaysia menampakka bayangan sisi kenderaan tersebut. Perkembangan ini menguatkan lagi petunjuk bahawa pelancaran rasmi untuknya sudah hampir.

    Sebelum ini, Jetour T1 pernah dikesan menjalani ujian jalan raya di sekitar Petaling Jaya Disember lalu, selepas terlebih dahulu dilihat di Bandar Baru Bangi sebulan sebelumnya. Kini, SUV tersebut disahkan akan dipertontonkan kepada umum di acara Penang Autoshow 2026 yang dijadualkan berlangsung dalam masa dua hari lagi.

    Di pasaran China, Jetour T1 ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol turbo empat silinder, masing-masing berkapasiti 1.5 liter dan 2.0 liter. Kedua-duanya menghasilkan kuasa 184 PS dan 290 Nm tork, namun dibezakan melalui transmisi yang digunakan.

    Enjin 1.5 liter dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, manakala enjin 2.0 liter menerima transmisi automatik lapan kelajuan. Varian 2.0 liter ini juga merupakan spesifikasi yang digunakan dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP, di mana model ini berjaya meraih penarafan lima bintang.

    Dari segi saiz, Jetour T1 mempunyai panjang 4,706 mm, lebar 1,967 mm dan tinggi 1,845 mm, dengan jarak roda 2,810 mm. Berdasarkan penamaan model, T1 berada di bawah T2 dalam susunan barisan produk, dengan T2 tampil lebih besar dari segi dimensi keseluruhan.

    Di China, Jetour T1 dijual pada harga antara 124,900 hingga 154,900 yuan, bersamaan kira-kira RM72,000 hingga RM89,000. Dengan kedudukannya sebagai model yang lebih kecil berbanding T2, persoalan kini adalah sejauh mana harga T1 akan lebih kompetitif apabila diperkenalkan di pasaran Malaysia nanti.

    GALERI: Jetour T1 di Auto Shanghai 2025

     
     
  • Zeekr 7X facelift 2026 dipamer di Beijing – kini guna sistam 900V, kuasa cecah 795 PS, CLTC 802 km

    Zeekr 7X facelift 2026 dipamer di Beijing – kini guna sistam 900V, kuasa cecah 795 PS, CLTC 802 km

    Selain kemunculan model baru seperti Zeekr 009 dan 8X di pentas Auto China (juga dikenali sebagai Auto Beijing), perhatian turut diberikan kepada versi facelift bagi Zeekr 7X yang sebenarnya telah pun dilancarkan di pasaran domestiknya pada Oktober tahun lalu.

    Model ini ditawarkan dalam tiga varian, dengan varian asas Max dijual pada harga bermula 229,800 yuan (sekitar RM133,000). Ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate berkapasiti 75 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 620 km mengikut piawaian CLTC.

    Varian seterusnya ialah Max jarak jauh yang menggunakan bateri nickel manganese cobalt berkapasiti 103 kWh, menawarkan jarak sehingga 802 km (CLTC) dan dijual pada harga 249,800 yuan (sekitar RM145,000). Kedua-dua varian Max ini menggunakan pacuan roda belakang dengan motor elektrik berkuasa 503 PS dan 535 Nm tork.

    Zeekr 7X facelift 2026 dipamer di Beijing – kini guna sistam 900V, kuasa cecah 795 PS, CLTC 802 km

    Ini merupakan peningkatan ketara berbanding model sebelum facelift yang ditawarkan di Malaysia sebelum ini, yang hanya menghasilkan 421 PS dan 440 Nm. Dengan kuasa tambahan tersebut, pecutan 0-100 km/j kini lebih pantas, masing-masing 5.4 saat untuk Max dan 5.1 saat bagi Max jarak jauh, berbanding sekitar enam saat sebelum ini. Kelajuan maksimum pula mencecah 240 km/j bagi kedua-dua varian.

    Di kedudukan tertinggi ialah varian Ultra yang dijual pada harga 269,800 yuan (sekitar RM157,000). Ia turut menggunakan bateri 103 kWh tetapi dengan konfigurasi dua motor elektrik pacuan semua roda. Jumlah output sistem kini meningkat kepada 795 PS dan 812 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya 2.98 saat dengan kelajuan maksimum 255 km/j.

    Sebagai perbandingan, varian AWD Performance yang ditawarkan sebelum ini menghasilkan 646 PS dan 710 Nm dengan masa pecutan 3.8 saat. Bateri NMC pada model facelift ini juga mempunyai kapasiti tambahan sebanyak 3 kWh berbanding sebelumnya.

    Zeekr 7X facelift 2026 dipamer di Beijing – kini guna sistam 900V, kuasa cecah 795 PS, CLTC 802 km

    Prestasi yang dipertingkatkan ini disumbang oleh penggunaan seni bina elektrik 900 volt, menggantikan sistem 800 volt sebelum ini. Varian asas Max mengekalkan keupayaan pengecasan 5.5C, membolehkan tahap pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dicapai dalam 10.5 minit.

    Bagi varian dengan bateri 103 kWh, kadar pengecasan meningkat kepada 6C, dengan tempoh pengecasan yang sama hanya mengambil masa sekitar 10 minit, enam minit lebih pantas berbanding sebelum ini.

    Dari segi reka bentuk luaran, Zeekr 7X facelift tampil lebih sporty dengan bampar hadapan baru yang menampilkan bukaan udara lebih besar termasuk saluran udara di bahagian penjuru dan kemasukan udara tengah. Bahagian belakang turut menerima bampar baru dengan elemen seakan diffuser. Perubahan lain termasuk rekaan lampu undur dan reflektor yang dikemas kini serta kedudukan ruang plat nombor yang lebih tinggi.

    Zeekr 7X facelift 2026 dipamer di Beijing – kini guna sistam 900V, kuasa cecah 795 PS, CLTC 802 km

    Kemasan krom pada bahagian sisi juga digugurkan dalam versi facelift ini. Selain itu, jalur lampu penuh di bahagian hadapan kini akan menyala biru apabila mod pemanduan automatik diaktifkan. Pembeli juga masih boleh memilih ciri Stargate, iaitu tirai lampu boleh ubah suai dengan 1,831 LED individu yang terletak di atas jalur lampu tersebut.

    Di bahagian dalam, perubahan adalah minimum dengan kebanyakan elemen dikekalkan. Ini termasuk paparan instrumen digital bersaiz 13.02 inci, skrin sentuh mini-LED 3.5K bersaiz 16 inci serta head-up display realiti tambahan bersaiz 36.21 inci. Sistem kokpit pintar ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 8295.

    Beberapa ciri eksklusif untuk pasaran China tidak ditawarkan di Malaysia termasuk tempat duduk belakang boleh laras secara elektrik dengan fungsi ottoman, pemanas, pengudaraan dan urutan. Tempat duduk “boss seat” juga boleh dinaik taraf dengan pakej tambahan yang merangkumi meja lipat elektrik serta skrin OLED 13 inci beresolusi 2K.

    Zeekr 7X facelift 2026 dipamer di Beijing – kini guna sistam 900V, kuasa cecah 795 PS, CLTC 802 km

    Antara pilihan tambahan lain ialah peti sejuk yang terletak di belakang konsol tengah hadapan, serta sistem suspensi udara single chamber dengan kawalan redaman berterusan yang ditawarkan untuk varian Max, manakala varian Ultra menerimanya secara standard.

    Dari segi sistem bantuan pemandu, semua varian Zeekr 7X di China dilengkapi pakej G-Pilot H7 bersama 31 sensor termasuk LiDAR yang dipasang di bumbung. Sistem ini dikuasakan cip Nvidia Drive Thor-U dengan keupayaan pemprosesan sehingga 700 TOPS. Antara fungsi yang ditawarkan termasuk kawalan pelayaran adaptif semua kelajuan, bantuan penukaran lorong aktif, parkir automatik, brek kecemasan autonomous, amaran keluar lorong, pemantauan titik buta dan amaran trafik silang.

    Ciri lebih canggih di bawah pakej Navigation Zeekr Pilot ditawarkan sebagai pilihan berbayar, termasuk pemanduan automatik dari satu lokasi ke lokasi lain, bantuan navigasi dalam bandar, bantuan navigasi lebuh raya serta sistem pengelakan halangan kecemasan.

     
     
  • Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN?

    Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN?

    Hanya tiga minggu selepas Concept 97 diperkenal, Freelander mengejutkan dunia automotif apabila menunjukkan versi yang hampir sedia untuk produksi, dipanggil sebagai Freelander 8. Model ini dipertontonkan di acara Auto China sempena Chery International Business Summit yang berlangsung di Wuhu.

    Berbeza sepenuhnya daripada imej asal Freelander sebagai SUV kompak Land Rover, model baru ini tampil sebagai SUV besar dengan tiga baris tempat duduk. Untuk memahami perubahan ini, perlu diketahui bahawa nama Freelander kini berada di bawah kawalan Chery selepas perjanjian dimeterai bersama rakan kongsinya pada tahun 2024.

    Melalui kerjasama ini, Freelander dibangunkan sebagai jenama berasingan. Perkembangan ini turut memberi kesan besar kepada Jaguar Land Rover apabila jenama baru ini akan mengambil alih pengeluaran model-model JLR di kilang Changsha.

    Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN?

    Dari segi reka bentuk, Freelander 8 masih mengekalkan sentuhan British dengan pasukan yang diketuai oleh Phil Simmons, yang pernah terlibat dalam pembangunan Freelander generasi pertama serta Range Rover L322. Tidak hairanlah jika rekaan model ini masih menyerupai DNA Land Rover, khususnya dengan elemen yang mengingatkan kepada Discovery 3 yang terkenal dengan gaya bersegi.

    Versi produksi Freelander 8 banyak mengekalkan ciri Concept 97, walaupun beberapa elemen konsep yang terlalu futuristik telah digugurkan. Antaranya termasuk skema warna dua tona serta rekaan lampu hadapan dan belakang berasaskan paparan menegak.

    Namun begitu, identiti utama seperti lampu hadapan berlapis, tulisan “Freelander” di bahagian depan dan belakang, pelindung bawah badan yang ketara serta kemasan hitam berkilat lengkuk roda masih dikekalkan. Lampu belakang pula kekal dengan bentuk segi empat nipis, manakala rim aloi bersilang kini bersaiz besar sehingga 22 inci.

    Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN?

    Satu lagi elemen unik ialah tingkap tepi belakang berbentuk segi tiga yang diinspirasikan daripada Freelander generasi pertama versi tiga pintu. Reka bentuk ini begitu penting sehingga dijadikan logo jenama, melambangkan huruf F dan L.

    Namun, beberapa ciri konsep seperti bumbung belakang boleh tanggal dan pintu jenis “suicide doors” tidak diteruskan dalam model produksi, digantikan dengan pintu konvensional serta pemegang pintu mekanikal biasa.

    Bahagian dalaman Freelander 8 turut menampilkan teknologi moden dengan paparan skrin lebar penuh dari tiang A ke tiang A, menyerupai konsep paparan Panoramic Vision seperti yang dilihat pada model BMW terkini. Di bawahnya terdapat skrin infotainmen besar, kawalan pendingin hawa fizikal serta dua tombol putar untuk memudahkan penggunaan.

    Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN?

    Demi keselesaan penumpang, barisan kedua boleh dilengkapi dengan tempat duduk kapten lengkap dengan fungsi pemanas, pengudaraan, urutan serta posisi “zero gravity” yang boleh dilaras dengan satu sentuhan. Barisan ketiga pula menggunakan konfigurasi dua tempat duduk konvensional, berbeza dengan konsep asal yang lebih mewah seperti ruang lounge.

    Meskipun spesifikasi teknikal penuh belum diumumkan, Freelander 8 dijangka ditawarkan dalam varian elektrik dan plug-in hybrid selaras dengan penjenamaan sebagai kenderaan tenaga baru. Model ini juga bakal dilengkapi sistem Intelligent All-Terrain System dengan sembilan mod pemanduan off-road, serta ciri seperti differential tengah maya, differential belakang elektronik dan suspensi udara dual-chamber.

    Freelander 8 – SUV 3-baris tempat duduk elektrifikasi keluaran Chery-JLR, berkemungkinan ke ASEAN?

    Freelander 8 merupakan model pertama daripada enam model baru yang dirancang untuk diperkenalkan dalam tempoh lima tahun akan datang. Kilang Chery JLR di Changsha yang akan menghasilkan model ini telah menerima pelaburan sebanyak AS$1.5 bilion, termasuk peruntukan besar untuk naik taraf menjadi fasiliti pengeluaran pintar.

    Jenama Freelander dijangka memulakan pemasaran global di Timur Tengah sebelum berkembang ke 90 negara lain. Walaupun belum ada pengesahan rasmi untuk pasaran Malaysia, ujian prototaip di rantau Asia Tenggara telah dirancang dan model ini disasarkan untuk mencapai penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP.

    GALERI: Freelander Concept 97 di Auto China 2026

     
     
  • Petrol bersubsidi RON95 dikekalkan kuota pada 200L buat masa ini – Setiausaha Politik Menteri MOF

    Petrol bersubsidi RON95 dikekalkan kuota pada 200L buat masa ini – Setiausaha Politik Menteri MOF

    Kerajaan Malaysia akan mengekalkan kuota bulanan bagi Budi Madani RON 95 (Budi95) sebanyak 200 liter, berbanding 300 liter, buat masa ini susulan krisis bekalan global, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim, laporan Bernama.

    Beliau berkata, setiap keputusan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dilaksanakan secara mingguan, mengikut keperluan dan keupayaan semasa ekonomi negara.

    “Kita harus lihat kepada keseluruhan ekosistem, termasuk soal bekalan minyak. Setakat ini keadaan itu masih terkawal dan kerajaan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa. Kita juga sudah mempelbagaikan sumber minyak kita dan tidak hanya tertumpu kepada minyak daripada negara-negara Asia Barat,” katanya.

    Petrol bersubsidi RON95 dikekalkan kuota pada 200L buat masa ini – Setiausaha Politik Menteri MOF

    Kuota Budi95 telah diselaraskan daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April tahun ini apabila harga petrol RON 95 bersubsidi di Malaysia kekal pada RM1.99 seliter. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata bahawa 90% pengguna petrol RON 95 tidak akan terjejas oleh pengurangan kuota tersebut.

    Kerajaan Malaysia meneruskan usaha untuk mengekalkan subsidi bahan api pada harga semasa, walaupun terdapat cadangan daripada Bank Dunia untuk menyemak semula harga petrol RON 95 bersubsidi daripada RM1.99 seliter kepada RM2.05 seliter, kata Muhammad Kamil.

    Sehingga 23 April, harga petrol RON 95 tanpa subsidi ialah RM3.87 seliter, manakala petrol RON 97 berharga RM4.85 seliter. Bagi harga runcit diesel, gred Euro 5 B10 dan B20 masing-masing berharga RM5.12 seliter, manakala gred Euro 5 B7 berharga RM5.32 seliter. Sementara itu, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal tidak berubah pada RM2.15 seliter.

     
     
  • Horse Powertrain tunjuk enjin Horse W30 di Beijing – 3.0L V6 Twin Turbo, hibrid, talaan sehingga 1,000 PS!

    Horse Powertrain tunjuk enjin Horse W30 di Beijing – 3.0L V6 Twin Turbo, hibrid, talaan sehingga 1,000 PS!

    Ramai yang menyangka halatuju industri automotif di China hanya tertumpu kepada teknologi kenderaan elektrik penuh (EV) semata-mata. Hakikatnya pemain-pemain industri di pasaran automotif paling besar di dunia itu sebenarnya masih ‘waras’ dan dinamik untuk memenuhi semua jenis permintaan global.

    Jadi pembuat-pembuat automotif China sebenarnya tidak pernah mengumumkan sebarang penamatan pembangunan enjin pembakaran dalaman, tidak seperti beberapa jenama Eropah yang menetapkan bila mereka akan berhijrah ke teknologi elektrik sepenuhnya.

    Selain dari enjin-enjin yang dibina bagi memaksimumkan kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi karbon dengan teknologi hibrid (HEV) dan plug-in hybrid (PHEV), masih ada ruang untuk dengan elemen ‘nakal’ ditunjukkan oleh jenama-jenama China ini dalam pembangunan enjin masing-masing. Contohnya ini, enjin Horse W30 binaan Horse Powertrain yang dipamerkan di Beijing ketika acara Auto China 2026 yang bermula minggu lalu.

    Horse Powertrain tunjuk enjin Horse W30 di Beijing – 3.0L V6 Twin Turbo, hibrid, talaan sehingga 1,000 PS!

    Seperti yang diketahui, Horse Powertrain adalah syarikat yang membangunkan dan membekalkan unit rangkaian kuasa berasaskan enjin pembakaran dalaman milik Geely bersama rakan kongsi lain seperti Renault dan Aramco. Unit-unit rangkaian kuasa yang dihasilkan oleh Horse Powertrain ini bukan hanya akan dibekalkan kepada jenama di bawah kumpulan Geely (termasuk Proton) dan Renault, malah ia terbuka kepada semua jenama automotif lain yang berminat.

    Enjin Horse W30 ini dihasilkan dalam konfigurasi V6, di mana enam silinder secara keseluruhan berkapasiti 3.0 liter, disusun dalam bentuk-V dengan sudut tebing 90 darjah antara satu sama lain. Enjin ini beroperasi menggunakan bahan api petrol biasa, dan menerima sistem suntikan bahan api terus (GDi), dan suapan induksi turut dibantu oleh dua unit pengecas turbo.

    Bergantung pada talaan, Horse Powertrain menyatakan bahawa enjin W30 ini mampu menghasilkan kuasa antara 476 PS hingga 544 PS, dan tork maksima antara 600 Nm hingga 700 Nm.

    Enjin ini juga direka kompak, yang membolehkan ia diletakkan secara menegak ke belakang untuk platform kenderaan pacuan belakang, atau melintang untuk platform pacuan hadapan. Dan ia hanya seberat 160 kg, atau sekitar 10 kg lebih ringan dari enjin V6 paling ringan yang ada dalam pasaran buat masa sekarang, dakwa Horse Powertrain.

    Horse Powertrain tunjuk enjin Horse W30 di Beijing – 3.0L V6 Twin Turbo, hibrid, talaan sehingga 1,000 PS!

    Enjin ini juga direka agar boleh digandingkan dengan sistem hibrid elektrik sama ada sistem HEV biasa, PHEV atau sebagai enjin penambah jarak (REEV). Jadi ketika dipamerkan, enjin W30 ini turut digandingkan bersama transmisi khusus hibrid (DHT) empat kelajuan juga keluaran Horse Powertrain, dikenali sebagai Horse 4LDHT.

    Transmisi berkenaan dibekalkan dengan dua motor elektrik iaitu motor P1 berkuasa antara 340 PS hingga 408 PS, dan motor P3 berkuasa antara 476 PS hingga 612 PS. Jadi secara keseluruhan gandingan enjin W30 dan juga transmisi 4LDHT boleh membekalkan kuasa sehingga sekitar 1,000 PS!

    Horse Powertrain menyatakan bahawa enjin W30 ini mematuhi undang-undang emisi terkini, dan ia akan tersedia untuk dibekalkan kepada mana-mana model produksi bermula akhir 2027 nanti. Agak-agak model mana yang akan dipadankan dengan unit rangkaian kuasa yang agak ‘gila’ ini?

     
     
  • JPJ eBid: Siri JYX dan DFQ bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Kelantan yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYX bakal dibuka bidaan mulai 9 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 13 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Mei 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelanyan, DFQ pula akan dibuka bidaan bermula 19 Mei 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 23 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Mei 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026