Susulan ketidaktentuan pasaran petroleum global yang mash berlarutan menyebabkan harga petroleum masih kekal tinggi, melebihi AS$100 setong, berikutan ketiadaan penyelesaian terhadap konflik di Asia Barat. Keadaan ini turut menjurus kepada kekangan bekalan minyak mentah dan produk petroleum global, yang semakin meruncing akibat kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau tersebut.
Dengan itu, Kementerian Kewangan (MoF) menetapkan bahawa bagi tempoh7 hingga 13 Mei 2026, harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dinaikkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM4.02 seliter. Manakala RON95 di bawah subsidi BUDi95 masih kekal pada paras RM1.99 seliter buat masa ini. Untuk RON97 pula, ia juga masih dikekalkan pada paras RM4.90 seliter.
Untuk diesel pula, harga bagi Semenanjung Malaysia turut dinaikkan sebanyak lima sen seliter, menjadi RM5.17 seliter. Manakala di Sabah dan Sarawak, harganya kekal pada RM2.15 seliter.
Kesemua harga baru ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 13 Mei 2026. Ia merupakan pengumuman ke-20 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-383 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.
Seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur setelah didapati menggunakan MyKad milik dua individu untuk membeli petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95, lapor Sinar Harian.
Pekerja berkenaan, Md Jakir Hossain, 50, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin. Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara selama 14 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut semua pertuduhan, Md Jakir didakwa memiliki dan menggunakan dua kad pengenalan seorang lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 31 tahun tanpa kuasa atau alasan yang sah bagi pembelian petrol itu. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang di Kuala Lumpur antara 8 Februari dan 22 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa daripada kuota petrol bersubsidi mereka.
“Tertuduh mempunyai pilihan untuk memulangkan kad pengenalan tersebut namun tetap meneruskan pembelian petrol walaupun mengetahui MyKad itu bukan miliknya,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Carmen Low merayu anak guam didenda pada kadar minimum perlu menanggung keluarga dan mengaku insaf atas perbuatan yang dilakukan. Berdasarkan siasatan kes, wanita yang juga pemilik MyKad berkenaan, mendapati baki subsidi BUDI95 miliknya berkurang daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter.
Wanita tersebut yang merupakan seorang akauntan mengesyaki kad pengenalannya hilang dan telah disalahguna untuk mengisi petrol bersubsidi tanpa izin. Susulan semakan rakaman kamera litar tertutup, tertuduh berjaya ditahan dan pemeriksaan di bilik sewanya menemui dua kad pengenalan milik kedua-dua mangsa.
Sejak kebelakangan ini terdapat iklan yang disebarkan menerusi laman media sosial berhubung dengan tawaran khidmat pengiring polis bagi konvoi kenderaan mewah. Walau bagaimana pun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan rasmi dalam perkhidmatan yang dinyatakan itu.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, PDRM berkata, kandungan yang dimuat naik oleh akaun Instagram madeinmalaysia.com.my berkaitan tawaran atau penggunaan khidmat pengiring polis bagi konvoi kenderaan mewah adalah tidak benar sama sekali..
“PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran, sokongan atau pengendorsan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan imej, logo atau menyerupai anggota polis trafik bagi tujuan promosi atau publisiti seperti yang dipaparkan.
“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata PDRM.
Dalam masa yang sama, PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan identiti pasukan demi kepentingan tertentu serta menyebarkan kandungan yang mengelirukan masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi PDRM. Jangan terperdaya dengan kandungan tidak sahih. Tindakan tegas akan diambil,” sambungnya lagi.
Dalam pengumuman prestasi jualannya untuk April 2026, Proton turut menyatakan bahawa Proton eMas 7 PHEV telah terjual sebanyak 1,013 unit sepanjang bulan lalu. Ini bermakna sejak ia dilancarkan pada Februari lalu, sejumlah 1,755 eMas 7 PHEV telah diserahkan kepada pemiliknya, menjadikan ia model PHEV paling laris di Malaysia buat masa sekarang.
Proton eMas 7 PHEV ini ditawarkan dalam dua varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM109,800 untuk varian asas Prime dan RM123,800 untuk varian Premium dan RM129,800 untuk varian tertinggi Premium Plus. Dengan rebat pelancaran bernilai RM4,000, harga akhir untuk setiap varian adalah masing-masing RM105,800, RM119,800 dan RM125,800. Ini menjadikan model ini sebagai model PHEV paling murah ditawarkan di Malaysia.
Semua varian digerakkan unit rangkaian kuasa EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menampilkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI berkuasa 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan tork maksima 125 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork maksima 262 Nm.
Gandingan berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan tork maksima 262 Nm, di mana kesemuanya digunakan untuk memacu roda hadapan. Bagi varian Prime dan Premium, motor elektrik tersebut menerima kuasa dari bateri litium loga fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh CATL berkapasiti 18.4-kWj, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 83 km, dan 943 km dengan gandingan satu cas bateri penuh dan satu tangki penuh petrol.
Manakala varian Premium Plus, ia dibekalkan dengan bateri LFP Aegis bilah pendek keluaran Geely berkapasiti 29.8-kWj, memberikan jarak gerak EV sejauh 146 km dan 996 km dengan gandingan satu cas bateri penuh dan satu tangki penuh petrol.
Untuk mengecas pula, varian Prime dan Premium menyokong pengecas pantas DC sehingga 30 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa tidak sampai 20-minit. Manakala varian Premium Plus pula boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 60 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 30-80% dalam masa kurang 16-minit. Kesemua varian juga boleh menggunakan pengecas AC onboard 7-kW.
Menurut Proton, varian Prime dan Premium boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat, sementara varian Premium Plus pula memerlukan masa 8.2 saat untuk pecutan yang sama. Manakala ketiga-tiga varian mencatatkan kelajuan maksima yang sama iaitu 170 km/j, serta diberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) dan vehicle-to-vehicle (V2V).
Ketika dilancarkan, eMas 7 PHEV ini ditawarkan dengan pilihan warna badan Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Aquamarine Blue. Namun pada bulan lalu, Proton turut menawarkan satu lagi pilihan warna tambahan iaitu Emerald Green.
Penghujung April lalu, satu dokumen rasmi MITI yang menggariskan peraturan baru berkaitan EV CBU di Malaysia telah diedarkan kepada pemegang-pemegang francais AP, dan telah juga dilihat dan diambil perhatian oleh paultan.org.
Secara ringkas, isi dokumen dan peraturan baru tersebut menyatakan: bermula 1 Julai 2026, EV yang diimport dan dibawa masuk ke Malaysia perlu mempunyai nilai CIF (Cost, Insurance and Freight) tidak kurang daripada RM200,000, dengan output minimum yang dijana adalah 180 kW (245 PS atau 241 hp).
Ini menggantikan peraturan terakhir yang dikenakan sebelum ini — iaitu dengan harga lantai berjumlah RM250,000 dan ouput 200 kW (272 PS atau 268 hp).
Sekali pandang, ia seperti melibatkan pengurangan harga minimum tersebut. Tetapi, perhatikan istilah “harga lantai” dan “nilai CIF” yang digunakan: peralihan ini membawa perbezaan yang sangat ketara. CIF merujuk kepada nilai sebenar sesebuah kenderaan ketika ia tiba di pelabuhan di Malaysia, sebelum dikenakan sebarang cukai/duti tempatan dan sebelum mengambil kira keuntungan pengimport dan pengedar.
Secara umum, sebuah kenderaan dengan nilai CIF minimum RM200,000 akan dikenakan minimum 5% duti import + 10% duti eksais + 10% cukai jualan — menjadikan kosnya naik kepada RM250k. Ambil kira juga secara kasar 10% keuntungan untuk pengimport/prinsipal dan 10% lagi keuntungan untuk pengedar (yang biasanya akan lebih tinggi). Ini akan menjadikan harga lantai minimum sebuah EV di bilik pameran melonjak kepada RM300,000.
Fahami juga bahawa yang dinyatakan ini hanyalah kadar duti import yang dikenakan untuk EV yang diimport dari China. Sekiranya, sebagai contoh EV berkenaan diimport dari Eropah atau Korea Selatan, duti importnya akan naik dari hanya 5% kepada 30% penuh, sekali gus menjadikan harga lantai minimum kepada RM360,000.
Untuk output kuasa minimum pula, angka 180 kW (245 PS atau 241 hp) akan menghadkan lagi kemasukan EV yang bersaiz lebih kecil, dengan kuasa yang juga lebih rendah ke dalam pasaran tempatan selepas ini, selain menjadikan harga lantai jualannya lebih tinggi.
Mengapa MITI mengambil langkah sebegini? Tujuannya tentulah untuk menggalakkan lagi aktiviti CKD dalam kalangan pemain dan pengeluar EV di Malaysia. Dan, sudah tentulah juga untuk melindungi pemain dan pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua. Namun, oleh kerana EV Perodua sangat perlahan penerimaannya dalam pasaran, langkah ini boleh saja dilihat ditujukan untuk melindungi EV keluaran Proton eMas, yang ironinya, ada Geely di belakangnya.
Asal-usul situasi
Untuk faham apa sebenarnya yang berlaku ini, kita perlu lihat semula sejarah dan garis masa berkaitan insentif EV di Malaysia, serta peraturan yang pernah dikenakan. Pengecualian duti import dan eksais ke atas EV import pertama kali diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2022 oleh Menteri MITI ketika itu, Tengku Zafrul dan mula dilaksanakan dari 1 Januari 2022. Ketika itu, ada harga lantai yang ditetapkan ke atas semua EV CBU, iaitu RM100,000.
Asalnya, tempoh pengecualian cukai EV tersebut adalah sehingga penghujung 2023 sahaja, dan selepas itu hanya EV CKD yang akan menikmati pengecualian cukai yang ada. Bagaimanapun, kerajaan telah beberapa kali melanjutkan tempoh pengecualian cukai berkenaan, sebelum tiba pada tarihk muktamadnya pada 31 Disember 2025.
Setakat tempoh berkenaan, pada awalnya adalah difahamkan bahawa, walaupun cukai dan duti akan dikenakan selepas itu, harga lantai RM100,000 untuk EV CBU masih akan kekal sama dan diteruskan. Tetapi, pada hari terakhir tahun lalu, 31 Disember 2025, satu dokumen rasmi MITI telah mendedahkan yang MITI telah menetapkan peraturan baru untuk mana-mana EV CBU yang ingin dibawa masuk ke Malaysia, berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Dalam dokumen berkenaan, ada disebut tentang output kuasa minimum sebanyak 200 kW (272 PS atau 269 hp), dan harga atas jalannya tidak boleh kurang daripada RM250,000. Ketika itu, dikatakan bahawa semua ini hanya terpakai untuk jenama baru yang ingin di bawa masuk ke sini, dan yang belum pernah menerima francais AP di Malaysia. Maka, sebagai contoh, mana-mana model CBU oleh BYD misalnya yang walaupun akan dikenakan cukai dan duti, harga lantai minimumnya masih kekal RM100k dan bukannya RM250k, kerana syarikat itu adalah pemegang francais AP sedia ada sepanjang tempoh tersebut.
Selepas dipertontonkan secara mengejut pada hujung Mac lalu, Subaru Crosstrek 2026 bersedia untuk dijual di pasaran Malaysia. Model ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ditawarkan dengan satu varian sahaja iaitu 2.0i-S EyeSight serta ditetapkan pada harga atas jalan bermula RM190,788 tanpa insurans dan cukai jalan.
Sebelum ini dikenali sebagai XV, dan sebagai pengganti kepada model generasi terdahulu versi facelift yang dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Disember 2021, model ini pada asasnya masih merupakan hatchback Impreza yang ditinggikan, dengan elemen gaya SUV seperti pelindung plastik hitam pada gerbang roda dan bampar.
Crosstrek ini dilengkapi enjin boxer 2.0 liter empat-silinder tanpa pengecas turbo, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda symmetrical (AWD) yang dicipta khas jenama ini, serta pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight.
Rangkaian kuasanya merupakan kesinambungan daripada unit suntikan terus FB20D yang digunakan pada model facelift generasi terdahulu, yang mampu menghamburkan kuasa mencecah 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm, memacu keempat-empat roda melalui transmisi Lineartronic CVT bersama sistem pacuan semua roda symmetrical yang dinyatakan di atas. Sekaligus membolehkan ia mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 10.5 saat dan kelajuan maksima cecah 198 km/j.
Dibina dengan versi terkini Subaru Global Platform (SGP), SUV generasi ketiga ini dipertingkatkan dimensi panjangnya sebanyak 15 mm, menjadi 4,480 mm, namun 40 mm lebih rendah kepada 1,600 mm, manakala lebar 1,800 mm dan jarak roda 2,670 mm kekal tidak berubah, dan untuk jarak kelegaan tanah (ground clearance) pula sekitar 220 mm.
Untuk suspensinya, ia digandingkan dengan topang MacPherson di hadapan dan Double Wishbone di belakang. Manakala sistem brek menggunakan cakera ventilated untuk hadapan dan belakang.
Model generasi ketiga yang menggantikan XV generasi kedua, menampilkan gaya rekaan yang diperbaharui pada bentuk yang masih dikenali, bermula dengan jalur krom pada gril yang bersambung dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED pada setiap lampu hadapan LED. Gril heksagon kelihatan lebih garang berbanding model terdahulu, dan elemen gaya berbentuk-C diterapkan di seluruh rekaan, seperti pada bucu bampar, lampu DRL, serta elemen lampu belakang.
Di bahagian atas, rel bumbung pada Crosstrek kini lebih berbentuk segi berbanding pada XV generasi kedua, dan ia juga diberikan bumbung suria panoramik kaca dengan fungsi gelangsar berkuasa. Manakala set roda bagi unit yang dipaparkan ini menggunakan tayar bersaiz 225/55R18 yang membaluti rim 18-inci dengan rekaan turbin dwi-warna seperti yang dilihat pada unit yang dipamerkan menerusi acara GIIAS 2024 di Indonesia dan versi mild-hybrid di Jepun.
Reka bentuk papan pemuka Crosstrek pula diinspirasi daripada model WRX/Levorg untuk sebahagian besar susun aturnya. Sepasang meter analog mengapit paparan pelbagai maklumat di tengah, manakala unit infotainmen tengah berorientasikan menegak, dengan corong penyaman udara menegak di kedua-dua sisinya. Oleh itu, paparan kecil yang terletak di atas unit infotainmen utama pada XV generasi kedua kini tidak lagi ditampilkan.
Ciri ketersambungan dalam Crosstrek merangkumi input audio tambahan 3.5 mm, bersama port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A, serta pad pengecasan peranti tanpa wayar Qi, selain soket kuasa 12 voltan untuk penumpang hadapan. Penumpang barisan kedua pula mendapat port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A. Untuk sambungan telefon pintar, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar turut diberikan.
Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah sistem penyaman udara dwi-zon dengan fungsi kawalan suara, sistem Full HD Dispay Audio 11.6-inci dengan navigasi dan enam unit pembesar suara, alas pengecas tanpa wayar, Dual-gauge Layout dengan paparan LED warna sepenuhnya 4.2-inci, penukar gear di belakang sterenf dan pedal aluminium.
Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dengan cagak kerusi kanak-kanak ISOFIX terletak pada bahagian luar tempat duduk belakang. Di bawah lantai ruang but terdapat tayar simpanan sementara jenis “space saver” bersaiz 185/65R17.
Ia juga dilengkapi dengan pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, AEB, pemantau perhatian pemandu berasaskan kamera. Ciri keselamatan lain termasuk 10 beg udara, Pengesan Kenderaan Belakang Subaru (SRVD), Brek Automatik Belakang (RAB), Paparan Pelbagai-Pandangan, Kamera Pandangan Belakang dan sistem Berhenti Kecemasan,
Crosstrek ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna luaran iaitu Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Grey Mrtallic, Cyrstal Black Silica, Sapphire Blue Pearl, Pure Red, Sand Dune Pearl, dan Citron Yellow Pearl sebagai warna ‘hero’.
Telah pun dibuka tempahan hari ini dengan harga atas jalan bermula RM190,988 tanpa insurans dan cukai jalan, ia didatangkan dengan waranti kenderaan untuk lima-tahun/100,000 km. Subaru Crosstrek 2026 ini selaras dengan hala tuju jenama tersebut ke arah barisan produk CBU dari Jepun sepenuhnya untuk pasaran Malaysia bermula 2025.
Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual sebanyak 18,156 unit kenderaan termasuk model dengan enjin pembakaran dalaman, EV dan juga PHEV sepanjang April 2026. Jumlah berkenaan adalah 2,450 unit lebih banyak dari 15,706 unit yang dicatatkan bulan sebelumnya atau naik sebanyak 15.6%.
Ini membolehkan jumlah jualan kumulatif tahunan tahun-ke-tarikh (YTD) setakat ini telah mencecah 67,298 unit, atau 40.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Angka ini juga meyakinkan Proton bahawa ia kini dalam landasan yang tepat bagi mencapai sasaran jualan tahunan 200,000 unit menjelang akhir tahun ini.
Proton menganggarkan Jumlah Volum Industri (TIV) bagi jualan kereta di Malaysia meningkat 17.7% berbanding April 2025. Jadi Proton menganggarkan pegangan pasarannya untuk YTD kini mencapai 26.4%, manakala pegangan pasaran bagi April dianggar sekitar 25%.
Seperti biasa jualan Proton dipacu oleh model terlarisnya iaitu sedan paling mampu milik Saga MC3 yang telah mencatatkan jualan yang kembali tinggi, dengan 8,207 unit telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang April, naik 50.9% berbanding bulan sebelumnya. Ini menjadikan jumlah jualan YTD Saga bagi empat bulan pertama kini mencapai 29,977 unit, naik 42.8% berbanding tempoh sama tahun 2025.
Sedan segmen-C Proton S70 yang dikemaskini dengan enjin baharu pada Februari lalu turut mencatatkan satu lagi rekod bulanan baharu apabila mencatatkan jualan sebanyak 2,377 unit sepanjang April. Ini membolehkan jualan YTD S70 kini mencapai 8,175 unit, naik 32.3% berbanding empat bulan pertama tahun lalu.
Untuk SUV pula, Proton telah menjual sebanyak 2,603 X50 pada April 2026, membolehkan ia mencapai YTD sebanyak 10,174 unit serta kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia. Proton X90 yang telah dikemaskini pada Mac lalu juga mencatatkan peningkatan jualan apabila sejumlah 462 unit SUV tujuh-tempat duduk itu telah dihantar kepada pelanggan sepanjang April, naik 43% berbanding bulan sebelumnya dan YTD juga naik 28.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi model dengan teknologi elektrifikasi pula, Proton telah berjaya menjual sebanyak 3,420 unit EV dan PHEV di bawah jenama Proton eMas bulan lalu, menjadikan jumlah YTD kini mencapai 11,664 unit bagi empat bulan pertama tahun ini. Dari jumlah tersebut eMas 5 merupakan model yang paling laris dengan terjual sebanyak 1,771 unit. Ini membolehkan eMas 5 kekal sebagai model EV paling laris di Malaysia dengan jualan YTD kini mencapai 8,473 unit.
Model EV lebih besar iaitu Proton eMas 7 pula terjual sebanyak 636 unit sepanjang April, menjadikan jumlah YTD sebanyak 1,436 unit. Manakala versi PHEV untuk SUV segmen-C tersebut iaitu eMas 7 PHEV pula terjual lebih banyak iaitu 1,013 unit.
“Lonjakan jualan Proton yang berterusan pada awal 2026 adalah hasil perancangan produk yang teliti serta pelaburan dalam teknologi baharu, di samping jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang disampaikan oleh rangkaian pengedar kami. Dengan semakin banyak pesaing baharu dalam pasaran, adalah penting untuk kami menawarkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan sambil mengukuhkan imej jenama dan keyakinan pengguna melalui pengalaman pemilikan bertaraf dunia.
“Secara keseluruhan, kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 2026. Dengan lebih banyak pelancaran dan inisiatif baharu yang dirancang tahun ini serta pada tahun-tahun akan datang, Proton berharap dapat memposisikan diri sebagai pilihan terbaik bagi pembeli kereta di Malaysia serta OEM eksport terkemuka negara,” kata Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Proton hari ini memgumumkan bahawa jualan bagi Proton Saga MC3 untuk bulan April kembali meningkat dengan mencapai 8,207 unit. Jumlah ini adalah 50.9% lebih banyak dari jualan yang dicatatkan pada Mac, dan ia menjadikan jualan kumulatif tahunan (YTD) Saga untuk empat bulan pertama tahun ini sebanyak 29,977 unit, meningkat 42.8% berbanding tempoh sama tahun 2025.
Isu tersebut telah menyebabkan jualan Saga kembali jatuh ke kedudukan kedua (YTD) pada bulan lalu, dipintas oleh Perodua Bezza yang secara konsisten terjual lebih 7,000 unit sebulan. Mungkin bulan ini Saga akan naik semula ke tangga pertama?
Apa pun jumlah jualan Saga yang meningkat pada bulan lalu kembali memberikan impak kepada jualan keseluruhan Proton. Ini kerana Saga kekal model Proton paling laris jenama itu dan ia antara sebab utama yang membolehkan Proton mencapai jualan 18,156 unit sepanjang April 2025, hampir menyamai rekod 19,833 unit yang dicatatkan pada Januari lalu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pihaknya akan melakukan penyelenggaraan portal rasminya dan juga sistem MySikap dari jam 10 malam pada 8 Mei ini sehingga jam 6 pagi keesokannya (9 Mei 2026).
Di mana sepanjang tempoh itu, JPJ memaklumkan bahawa tiada capaian atau akses yang dapat dilakukan menerusi sistem MySikap dan portal JPJ.
Harap bersabar dengan gangguan capaian perkhidmatan ini dan sila lakukan urusan yang berkaitan dengan JPJ pada sebelum atau selepas kerja-kerja penyelenggaran sistem tersebut.
Pengedar Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan bahawa model generasi ketiga Audi Q5 dan versi lebih sporty Q5 Sportback yang diperkenalkan pada peringkat global pada September 2024 kini secara rasmi telah pun dilancarkan ke pasaran tempatan.
Bagi versi badan standard ia ditawarkan dalam varian Q5 Advanced 2.0 TFSI dengan harga RM354,223 bersama pakej waranti standard dua-tahun tanpa had perbatuan, atau RM371,223 sekiranya pembeli memilih Audi Assurance dengan waranti dan pakej servis selama lima-tahun.
Manakala untuk Sportback ia dijual dalam varian Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro berharga RM423,223 bersama pakej waranti standard dua-tahun tanpa had perbatuan, atau RM440,223 sekiranya pembeli memilih Audi Assurance dengan waranti dan pakej servis selama lima-tahun. Semua harga yang disebut adalah harga atas jalan tanpa insuran.
Audi Q5 Advanced 2.0 TFSI (atas) dan Audi Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro (bawah)
Q5 Advance digerakkan oleh enjin 2.0 liter turbo yang menjana 199 PS bermula 4,300 rpm hingga 4,000 rpm dan tork maksima 340 Nm bermula 2,000 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.
Varian ini juga diberikan suspensi jenis Comfort, serta menerima set rim aloi 19-inci dengan rekaan 10-jejari dalam kemasan dua tona, dibalu dengan tayar 235/55R19.
Untuk Q5 Sportback S line quattro pula, ia menerima enjin yang sama tetapi ditala bagi menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 272 PS bermula 5,000 rpm hingga 6,500 rpm, dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Kotak gear juga sama iaitu unit klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, namun kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD Quattro Audi.
Audi Q5 Advanced 2.0 TFSI (kiri) dan Audi Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro (kanan)
Dengan kuasa lebih besar ini Q5 Sportback diberikan suspensi sport S Line, serta diberikan set roda lebih besar iaitu rim 20-inci dengan jejari lima berkembar dalam kemasan dua tona, diberikan tayar 255/45R20. Kedua-dua jenis unit rangkaian kuasa ini datang dengan mod pemanduan Audi Drive Select.
Kedua-dua versi juga menerima perincian standard termasuk lampu hadapan matrix LED dan lampu belakang LED. Namun hanya Q5 Sportback S line diberikan lampu brek belakang yang memancarkan isyarat kecemasan pada cermin belakang bagi memberikan amaran kepada pemandu atau penunggang motosikal.
Pada bahagian dalaman pula, Q5 pasaran Malaysia ini datang dengan upholsteri gandingan kulit dan kulit tiruan bersama serlahan Lime Sediment Natural dalam kemasan perak-kelabu. Istimewa untuk Sportback, ia menerima pek kemasan S line yang merangkumi pelapik bumbung hitam, tempat duduk hadapan sport larasan kuasa, upholsteri kombinasi kulit sebenar dan tiruan dengan logo S yang dilekap, serlahan mikro-karbon, roda stereng rata di bawah dan juga set pedal dan perehat kaki logam tahan karat.
Kedua-dua model ini menerima paparan instrumen digital 11.9-inci dan juga skrin infotainmen 14.5-inci OLED MMI panaromik yang menerima sokongan Apple CarPlay dan juga Android Auto tanpa wayar. Ia juga diberikan sistem Audi Assistant yang dikuasakan oleh ChatGPT, yang didakwa faham dengan semua ayat yang digunakan setiap hari, memberikan maklumat masa sebenar dan juga menawarkan cadangan proaktif.
Klik untuk besarkan
Bagi Q5 Advanced, bunyi disalurkan menerusi sistem bunyi standard Audi, sementara Q5 Sportback S Line pula diberikan sistem bunyi premium 3D Bang & Olufsen. Kedua-duanya juga menerima pengecas tanpa wayar dengan penyejuk adaptif, dan empat port USB-C di mana untuk Q5 Sportback S line port berkenaan berkuasa 60W di depan dan 100W di belakang.
Selain itu kedua-duanya diberikan apilkasi telefon pintar Audi Connect yang membolehkan pemandu memeriksa status serta menerima amaran pencuri, mengenalpasti lokasi, serta diberikan fungsi kunci digital yang membolehkan kenderaan dikunci atau dibuka kunci hanya menggunakan telefon pintar.
Manakala untuk praktikaliti, badan standard Q5 Advanced menawarkan ruang but belakang sebesar 520 liter, dan ia meningkat kepada 1,473 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Untuk Q5 Sportback S line dengan bumbung belakang lebih landai pula ruang but yang tersedia adalah 515 liter dan 1,415 liter sekiranya tempat duduk belakang direbahkan.
Bagi sistem bantuan pemanduan, kedua-dua Q5 pasaran Malaysia ini diberikan sistem cruise control adaptif dan juga park assist bersama parking system plus.
PHSAM menawarkan warna badan Grenadine Red, Tambora Grey, Navarra Blue, Mythos Black dan Glacier White untuk Q5 Advanced, manakala Q5 Sportback S line pula boleh dipilih dengan warna badan District Green, Grenadine Red, Daytona Grey dengan kesan pearl, Mythos Black dan juga Glacier White.
Satu-satunya perkara yang lebih baik berbanding sebuah kenderaan premium yang berkualiti tinggi adalah ketika ia diberikan tawaran hebat. Dan, inilah peluang yang sukar dilepaskan. Volvo Selekt Certified Used Cars mempunyai koleksi tempoh terhad 100 unit kenderaan dengan jarak perbatuan rendah, yang diperoleh dari barisan kenderaan korporat dalaman Volvo Car Malaysia, serta unit pameran daripada pengedar.
Volvo Selekt Certified Used Cars menyediakan pengalaman pemilikan yang melegakan fikiran, hasil daripada standard tinggi yang ditetapkan oleh program ini. Setiap kenderaan yang layak telah menjalani pemeriksaan 125-perkara yang ketat, selain diberikan peningkatan perisian terkini yang tersedia untuk model masing-masing. Ini menjadikan penawarannya sama seperti kenderaan baharu.
Unit kenderaan yang ditawarkan melalui program ini juga dilengkapi dengan alat ganti Volvo tulen
secara eksklusif untuk memastikan prestasinya sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk berada di atas jalan raya. Sudah tentu, semua unit mempunyai sejarah servis rasmi. Dan, memandangkan sebahagian besar kenderaan tersebut diperoleh daripada barisan kenderaan korporat dan pengedar rasmi Volvo, jarak perbatuannya sangat rendah dan berada dalam keadaan yang sangat baik.
Sepanjang bulan Mei dan selagi stok masih ada, Volvo Selekt Certified Used Cars menawarkan 100 unit kenderaan dengan perbatuan yang sangat rendah — tiada satu pun kereta yang ditawarkan mempunyai jarak tempuh lebih daripada 16,000 km, dan ada yang hanya mencapai 7,000 km. Harga bermula dari RM153,000 untuk EX30, sementara EC40 yang bergaya boleh menjadi milik anda dengan harga RM183,000.
Bagi mereka yang mencari SUV keluarga yang lebih besar, XC60 yang sentiasa tampil segar dan bergaya adalah pilihan pintar pada harga RM249,000, manakala XC90 pula dijual pada harga RM283,000. EX90 — SUV elektrik utama Volvo — boleh menjadi milik anda dengan harga hanya RM339,000.
Dengan tawaran yang sangat baik ini, anda hanya perlu memilih sama ada lebih cenderung inginkan kenderaan plug-in hybrid atau elektrik sepenuhnya. Gunakan Kalkulator EV vs Bahan Api Volvo untuk membandingkan kereta semasa anda dan temui potensi penjimatan jangka panjang yang boleh dinikmati jika membuat peralihan tersebut. Selepas itu, jangan lupa untuk pandu uji di bilik pameran Volvo berhampiran dan nikmati tawaran yang disediakan ini. Stok terhad, jangan berlengah lagi!
Lynk & Co telah mendedahkan sebuah model konsep kereta sport GT yang diberi nama sebagai Time to Shine di Auto China 2026 yang berlangsung di Beijing tahun ini. Menurut Lynk & Co, Time to Shine dihasilkan bagi meraikan ulang tahun ke-10 divisi mewah Geely berkenaan.
Time to Shine dihasilkan dengan bentuk tradisi sebuah GT iaitu badan coupe dua pintu dengan tempat duduk 2+2 bersama but belakang pendek serta bonet depan yang panjang. Bonet berkenaan juga direka ‘berotot’ serta diberikan liang pengalir udara yang besar.
Muka model konsep ini direka dengan lampu lebih seiras dengan rekaan-rekaan signatur dari Zeekr berbanding lampu berbentuk ‘cakaran’ yang menjadi identiti model-model Lynk & Co sebelum ini. Manakala di belakang ia diberikan spoiler yang boleh disorokkan serta diffuser bersaiz besar. GT ini turut menampilkan bumbung kaca yang seolah-olah bersambung terus dengan cermin belakang
Sekali tengok badan kereta ini nampak seperti dilayangkan dengan warna perak, namun sebenarnya rona tersebut adalah biru cair, atau secara spesifiknya diberi nama Apex Blue. Juga terdapat serlahan-serlahan berwarna kuning disekeliling badan yang diinspirasikan dari serlahan-serlahan kuning yang terdapat pada kereta lumba TCR Lynk & Co 03 yang dibina oleh firma dari Sweden iaitu Cyan Racing.
Dari segi saiz kereta konsep ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,780 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,330 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm. Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan. Lynk & Co cuma menyatakan bahawa model konsep ini dibina dengan casis yang diispirasikan dari jentera litar. Juga tidak diketahui sama ia digerakkan dengan enjin pembakaran dalaman atau EV, tetapi ia dinyatakan merupakan sebuah jentera pacuan roda belakang dan boleh memecut dari 0-100 km dalam masa 2 saat.
Dalam kabin, ada satu butang ‘+’ diletakkan pada konsol tengah di mana sekiranya ia ditekan, seolah-olah mod prestasi diaktifkan dengan suspensi direndahkan 15 mm, elemen aerodinamik pada bahagian hadapan dan belakang dipanjang sebanyak 100 mm, serta panel instrumen serta tiga skrin digital pada papan pemuka dilipat bagi memastikan pemandu dapat menumpukan lebih kepada pemanduan.
Lynk & Co tidak menyebut sama ada Time to Shine GT ini akan diproduksi atau tidak. Namun sekiranya ia benar-benar dihasilkan mungkin ia akan menerima enjin V6 3.0 liter W30 yang kini sedang dibangunkan oleh Horse Powertrain. Dan tidak mustahil untuk Cyan Racing membina jentera lumba GT3 berdasarkan model produksi Time to Shine ini, untuk berlumba dalam kejohanan GT World Challenge
BMW G70 7 Series telah menerima satu lagi kemaskini penawaran dengan pengenalan sulung sedan BMW i7 facelift 2026 yang turut hadir dalam versi bateri-elektrik seperti yang ditunjukkan di Auto China 2026 di Beijing bulan lalu.
Kemaskini di pertengahan kitaran hayat i7 ini membawakan rangkaian kuasa yang dipertingkat bagi varian asas, dengan versi 50 xDrive kini merupakan varian pacuan semua roda dwi-motor dengan janaan 455 PS dan 660 Nm. Ia menggantikan eDrive50 pra-facelift yang mempunyai tetapan pacuan roda belakang motor tunggal dengan output yang sama. Dalam rangkaian i7 juga terdapat versi 60 xDrive dengan janaan 544 PS dan 745 Nm, serta M70 xDrive dengan janaan 680 PS dan 1,015 Nm.
Dari segi jarak pemanduan, i7 50 xDrive mampu mencapai jarak sehingga 708 km (peningkatan daripada 611 km untuk eDrive50 pra-facelift), manakala 60 xDrive boleh mencapai jarak sehingga 707 km (peningkatan berbanding 625 km dalam xDrive60 pra-facelift), dan M70 xDrive mampu mencapai jarak sehingga 650 km (peningkatan daripada 560 km).
Pertambahan jarak yang diraih ini datang daripada bateri serba baharu yang menggunakan sel silinder Gen6 daripada iX3 dan i3. Sel silinder berkenaan dipasang ke dalam perumah oleh Rimac di Croatia, sebelum dihantar ke Dingolfing di mana pemasangan i7 diselesaikan. Kapasiti bateri juga meningkat daripada 101.7 kWh kepada 112.5 kWh.
Suspensi udara terus ditawarkan secara standard untuk 7 Series termasuk untuk i7 facelift ini, dengan Kawalan Casis Adaptif dalam bentuk standard dan Profesional, serta stereng roda belakang yang ditawarkan secara pilihan.
Sistem bantuan pemanduan standard dalam i7 ini termasuklah kawalan melayar adaptif dan bantuan ke tengah lorong untuk fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2, AEB, bantuan stereng evasif, pemantau titik buta dengan pencegahan perlanggaran, amaran lintasan trafik di hadapan dan belakang dengan brek automatik serta amaran pembukaan pintu. Turut ditawarkan sedara standard ialah bantuan parkir dengan pengesanan ruang yang menggunakan teknologi AI.
Menurut BMW, pemanduan autonomi Tahap 3 akan dihentikan kerana permintaan yang rendah. Ia akan digantikan dengan sistem Tahap 2 automatik yang menyediakan ciri pemanduan tanpa pemandu di lebuh raya dan jalan-jalan bandar. Pengeluaran BMW 7 Series facelift G70 dijadualkan bermula pada bulan Julai nanti.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan telah memutuskan bahawa biodiesel B15 akan dihasilkan oleh 19 kilang berlesen bermula 1 Jun 2026, lapor Bernama.
Pengeluarannya akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula dengan B15, sebelum ditingkatkan kepada kepada B20, dengan potensi untuk mencapai tahap B50 dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. “Pendekatan berperingkat ini bertujuan untuk memastikan harga minyak sawit mentah tidak memberi tekanan kepada kos pengeluaran biodiesel,” kata Zahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Malaysia kini mempunyai 19 kilang pengeluaran biodiesel berasaskan sisa getah, dengan kapasiti gabungan sekitar 1.5 juta liter sebulan, menurut The Star.
Adakah campuran “premium” B7 akan kekal seperti sedia kala atau adakah kandungannya akan ditingkatkan? Bagi minggu bermula 30 April, diesel Euro 5 B10 dan Euro 5 B7 masing-masing berharga dijual dengan harga RM5.12 dan RM5.32 seliter.
Syarikat pengeluar automotif dunia kian berlumba-lumba untuk menghasilkan teknologi tersendiri bagi sistem pemanduan dan bantuan keselamatan untuk model kenderaan keluaran masing-masing. Tak kiralah sama ada pengeluar dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun mahu pun Korea Selatan yang memang handal dalam dunia automotif dan masing-masing seakan-akan mahu menjadi ‘juara’ dalam penciptaan teknologi yang dikagumi di mata dunia.
Walau bagaimana pun, kita lihat dengan aliran trend masa kini, apabila pengeluar dari China juga tidak mahu kalah untuk bersaing dengan jenama automotif gergasi dunia. Malah sejak 10 tahun kebelakangan ini, jenama automotif China kian banyak menembusi pasaran global. Bukan setakat tertumpu di peringkat domestik, malah kian memperkukuhkan kedudukannnya di pasaran global.
Namun bukan mudah untuk jenama automotif China menambat perhatian pasaran global, mereka harus bergerak pantas menghasilkan barisan model kenderaan yang dilihat serba canggih dengan reka bentuk futuristik dan harga yang berpatutan, kerana mereka tahu inilah antara bonus yang membuatkan mereka pantas dikenali. Umpama..’barang baik, harga juga harus baik’.
Antaranya Xpeng, yang dibangunkan sejak tahun 2014, memulakan operasinya di Guangzhou, China. Dengan gandingan tiga individu sebagai pengasasnya iaitu Xia Heng, He Tao dan juga He Xiaopeng (kini turut memegang jawatan sebagai pengerusi syarikat), Xpeng memfokuskan pembangunan kenderaan elektrik (EV) pintar berasaskan teknologi AI.
Pelbagai teknologi sistem bantuan pemanduan yang dicipta oleh Xpeng untuk model kereta keluarannya. Terbaharu ialah sistem pemanduan pintar VLA 2.0 (Vision Language Action) yang dilancarkan pada awal Mac lalu.
Selepas menjalankan sebegitu banyak ujian VLA 2.0, Xpeng akhirnya telah meluncurkan sistem ini menerusi kemaskini OTA untuk beberapa model keluarannya iaitu P7+, G7 dan X9, kesemuanya bagi varian Ultra di China. Bermakna, VLA 2.0 sudah pun digunakan di jalan raya di China dan kelmarin Xpeng berkata, sejak ia dilancarkan, jualan kenderaannya di negara itu juga telah meningkat hampir 45%.
Manakala bagi VLA 2.0 untuk pasaran global, Xpeng menyasarkan bermula tahun 2027. Sementara itu, VLA 2.0 ini akan diuji di negara-negara pasarannya terutamanya di Eropah dan Timur Tengah.
Apakah sebenarnya VLA 2.0 ini?
Untuk pengetahuan anda, VLA 2.0 bertindak sebagai model AI end-to-end, yang menggabungkan AI, pemahaman bahasa dan kawalan kenderaan untuk menghasilkan pengalaman pemanduan autonomous. Ini bermakna sistem ini menghapuskan lapisan bahasa perantaraan bagi membolehkan penukaran terus daripada persepsi kepada tindakan. Menurut XPeng, ia menawarkan peningkatan kecekapan sebanyak 23% berbanding sistem sebelumnya.
Bahasa paling mudah, VLA bukan sekadar ikut peraturan tetapi ‘memahami situasi jalan’ umpama pemandu berpengalaman. Di mana ia menggunakan sensor yang ada pada kenderaan (termasuk kamera, radar), dan menghantar maklumat kepada AI untuk memahami arahan dan konteks seperti manusia dan kemudianya sistem ini membuat keputusan dan bertindak.
Apa fungsi VLA 2.0?
Menurut Xpeng, VLA 2.0 ini mampu memandu kenderaan sendiri walau pun dalam keadaan trafik yang sesak termasuk di kawasan bandar, berhenti dan bergerak mengikut lampu isyarat, menukar lorong dan memotong kenderan, mengelak halangan secara natural, menyesuaikan gaya pemanduan sama ada defensif atau pun ‘biasa-biasa saja’, dan navigasi dari satu lokasi ke lokasi yang dituju.
Kami sudah mengujinya
Kunjungan saya ke Beijing dua minggu lalu, dibawakan khas oleh Xpeng, untuk membuat liputan mengenai acara Auto China 2026 turut membuka peluang untuk saya menguji VLA 2.0 ini. Sehari sebelum mengujinya di jalan raya, saya menghadiri seminar khas mengenai sistem ini dan ketika itu hanya diberikan gambaran secara kasar mengenai kelebihan dan keistimewaan VLA 2.0. Puluhan media dari pelbagai negara diberikan kesempatan untuk menguji VLA 2.0 ini secara bergilir-gilir dalam tempoh empat hari ‘berkampung’ di Beijing.
Giliran saya pada hari ketiga di Beijing, walau pun kaki ini dah macam ‘jelly’ sebab penat ‘menapak’ di Auto China 2026, tapi terasa rugi pulak kalau tak cuba sendiri VLA 2.0 ini, apatah lagi beberapa hari sebelum itu, saya terpaksa berdiri hampir tiga jam di balai trafik China semata-mata hendak membuat lesen memandu sementara.
Saya diberikan model P7 2026 varian Ultra yang dilengkapi VLA 2.0, ditemani driving instructor warga tempatan. Beliau memandu dahulu jentera terbabit selama 10 minit sambil memberikan penerangan serba ringkas mengenai sistem ini. Untuk menetapkan pemanduan autonomous VLA 2.0, ada butang mod pada bahagian bawah sisi kiri stereng. Butang mod tersebut hanya perlu ditekan bagi mengaktifkan sistem. Kemudian sistem VLA 2.0 ini akan mengambil alih pemanduan sepenuhnya.
Sebelum butang mod ditetapkan, pemandu menghantar arahan suara kepada sistem untuk memaklumkan destinasi yang dituju. Navigasi akan dipaparkan di ruang skrin beserta maklumat yang biasa kita peroleh seperti Waze dan Google Map, termasuklah anggaran masa ketibaan dan keadaan trafik ketika itu. Paparan navigasi itu seakan ‘lengkap’ termasuk memaparkan objek halangan, lampu isyarat, pejalan kaki, kenderaan berhampiran dan sebagainya.
Ketika driving instructor memandu, dia berkali-kali memesan, katanya VLA 2.0 memang padu dan efisien, namun jangan 100% bergantung harap padanya dan jangan sesekali alpa atau leka. Kita sebagai pemandu harus kekal memberikan fokus sepenuhnya dalam pemanduan walau pun ketika sistem ini mengambil alih tugas sebagai pemandu. Pada mulanya saya agak sangsi, mengapa perlu berbuat demikian, bukankah kita ‘perlu yakin’ dengan kelebihan yang ada pada sistem ini.
Jawapannya… ya..perlu yakin tetapi jangan terlalu yakin. Sepanjang sesi pandu uji ini (driving instructor memandu lebih kurang 10 minit dan saya pula sambung memandu lebih kurang 30 minit ) tiga kali VLA 2.0 ini ‘hampir gagal’ membuat percaturan yang tepat. Pertama, ia hampir-hampir melanggar lampu isyarat merah sebelum driving instructor terbabit pantas mengambil alih pemanduan. Ingatkan jentera akan berhenti ‘ngam-ngam’ di garisan berhenti yang sepatutnya, rupanya selamba ia masih kekal meluncur.
Keduanya, terjadi sewaktu saya mula memandu jentera ini, di mana ia hampir melanggar halangan berupa kon di atas jalan raya. Saya sangkakan sistem ini mampu ‘mengelak’ kon terbabit secara automatik. Rupanya sudah terlalu hampir melanggar kon (ada kerja baik pulih jalan), akhirnya saya terpaksa mengambil alih pemanduan. Cuak juga dibuatnya. Dan ketiga, sekali lagi ia hampir melanggar lampu isyarat merah namun kali ini saya memang bersedia menekan brek dan mengawal stereng.
Itulah sebabnya driving instructor di sebelah sentiasa mengingatkan saya agar tidak leka dan sentiasa fokus pada pemanduan. Malah adakalanya tangan dia yang cepat memegang stereng walau pun dia sekadar ‘co-pilot’, bimbang saya terleka. Kena beringat, VLA 2.0 ini belum jadi sistem pemanduan autonomous sepenuhnya.
Sepanjang pemanduan autonomous ini, P7 serba baharu ini bergerak sendiri dengan lancar, dan mampu menyesuaikan diri dengan keadaan jalan yang kebanyakannya mempunyai had laju sekitar 70 km/j.
Jika jentera berhenti di persimpangan lampu isyarat, kemudian selepas lampu kembali hijau, ia bergerak semula dengan lancar tanpa sebarang sentakan. Perjalanan diteruskan mengikut laluan yang telah ditetapkan. Malah ia akan menyalakan lampu isyarat sendiri mengikut keperluan laluan. Apabila melalui permukaan jalan yang kurang rata, sistem ini akan memperlahankan kelajuan kenderaan supaya ketidakselesaan dapat diminimumkan.
Selain itu, pecutan dan brek dilakukan dengan lembut, begitu juga dengan pergerakan stereng — seolah-olah dipandu oleh pemandu yang berpengalaman. Malah, ketika melalui jalan yang agak sempit, sistem VLA 2.0 masih mampu menyesuaikan diri dengan baik, termasuk apabila perlu berkongsi laluan dengan kenderaan lain.
Sensor untuk mengesan keadaan pemandu
Untuk jentera yang ada sistem pemanduan autonomous sebegini, pemandu perlu menyentuh stereng dalam setiap 10 minit, sebelum sistem memberikan peringatan menerusi skrin paparan di tengah. Jika pemandu tidak berbual demikian, sistem akan mengeluarkan bunyi menandakan pemandu perlu menyentuh stereng seketika sebelum melepaskannya semula. Tujuannya ialah memastikan pemandu kekal sedar, tidak tertidur, dan sentiasa bersedia untuk mengambil alih pada bila-bila masa.
Namun sekiranya tiada tindakan balas dari pemandu, sistem akan bertindak secara kecemasan, dengan memberhentikan kenderaan di tempat yang selamat. Ada sensor pengesan terletak di tiang-A di sisi hadapan pemandu yang mengesan keadaan pemandu.
Bagi model Xpeng, sekiranya sistem mengesan tiada maklumbalas dari pemandu, kenderaan akan dihentikan di tempat selamat, pintu akan dinyahkuncikan serta sistem akan menghantar isyarat kecemasan kepada pihak yang berkenaan. Itu sebenarnya norma biasa bagi kenderaan sebegini.
Dan ketika jentera diambilalih tugas memandu oleh sistem VLA 2.0 ini, ada dua lampu kecil di belakang kenderaan yang akan menyala berwarna biru menandakan jentera terbabit sedang dipandu secara autonomous. Ia turut memberikan isyarat agar pemandu kenderaan di belakang menyedarinya dan lebih peka dalam pemanduan. Di China, memang dah banyak kenderaan pemanduan autonomous ini, jadi jarak antara kenderaan agak jauh dan jaranglah jumpa kenderaan ‘cucuk rapat’.
Konklusi ringkas mengenai VLA 2.0
Sistem VLA 2.0 ini seolah-olah membuatkan kita ada pemandu peribadi. Walau pun di jalan yang sesak seperti di Beijing ini, VLA 2.0 menunjukkan keupayaannya membaca situasi trafik dengan sangat pintar. Sama ada dalam keadaan sesak atau lancar, kereta mampu menyesuaikan gaya pemanduan secara automatik. Selain itu, karakter pemanduannya yang sangat lancar. Pecutan dan nyahpecutan terasa lembut, tidak agresif atau mengejutkan.
Daripada pengalaman mencubanya secara langsung, VLA 2.0 benar-benar memberikan gambaran tentang masa depan kenderaan autonomous. Pengalaman ini terasa menyeronokkan, praktikal, dan pada masa sama membuka perspektif baharu tentang bagaimana teknologi akan mengubah cara kita memandu.
Dengan perkembangan seperti ini, tidak mustahil dalam masa terdekat kereta akan menjadi semakin pintar, lebih selamat, dan benar-benar boleh diharapkan tanpa banyak campur tangan manusia.
VLA 2.0 bukan sekadar teknologi gimik atau dakwaan di atas kertas semata-mata kerana XPeng membangunkannya menggunakan pendekatan AI berskala besar berasaskan dunia sebenar (physical world). Data dikumpulkan secara menyeluruh dengan sokongan cip Turing serta simulasi maya X World.
Walau pun VLA 2.0 ini masih merupakan sistem pemanduan sendiri yang memerlukan pemantauan (supervised), namun XPeng menyatakan bahawa tidak perlu menunggu lama untuk mencapai tahap pemanduan autonomi sepenuhnya.
Menurut Xpeng, tahap pemanduan autonomous penuh ini akan bergantung kepada kelulusan peraturan global. Walau bagaimanapun, mereka menganggarkan pemanduan autonomous sepenuhnya akan menjadi kenyataan dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang.
Meskipun pasaran automotif China kini didominasi oleh SUV dan pada tahap tertentu, juga MPV, segmen sedan masih bagaimanapun masih belum pupus sepenuhnya. Walaupun bukan lagi gaya badan paling popular, sedan terus mempunyai kelompok peminat tersendiri dan pengeluar kenderaan masih mengekalkannya sebagai sebahagian daripada variasi model yang ditawarkan.
Chery merupakan antara pengeluar yang masih memberi perhatian kepada segmen ini. Selain model sedia ada seperti Chery Arrizo 5 dan Chery Arrizo 8, jenama itu kini dilihat mahu mengembangkan lagi penawaran sedan empat pintunya. Perkara ini dizahirkan menerusi kemunculan model konsep Chery Arrizo S yang membuat penampilan sulung di Auto China 2026.
Model konsep tersebut dikatakan memberi bayangan kepada sebuah sedan yang akan diposisikan di atas barisan Arrizo sedia ada. Ia menyasarkan pembeli dalam segmen B atasan (atau setara segmen D di pasaran global), dengan penekanan yang lebih kuat terhadap prestasi dan teknologi.
Dari segi rekaan, Arrizo S menampilkan gabungan beberapa elemen gaya moden. Bahagian hadapan memperlihatkan pengaruh model prestasi Audi, khususnya Audi RS6 dan Audi RS7, dengan gril heksagon besar serta lampu utama yang tajam.
Di bahagian belakang pula, ia tampil dengan rekaan fastback lengkap dengan lampu belakang melintang penuh serta bampar yang direka agresif. Rim aluminium dua tona berbilang jejari bersama angkup brek merah menambah sentuhan sporty pada keseluruhan imejnya.
Dari sudut kuasa, Chery mengesahkan bahawa Arrizo S akan menggunakan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 261 PS (257 hp atau 192 kW), selari dengan output tertinggi enjin pembakaran dalaman (ICE) jenama itu seperti yang digunakan pada varian terkini Arrizo 8. Walaupun butiran transmisi belum diumumkan, model ini berkemungkinan menggunakan kotak gear automatik lapan kelajuan yang dibangunkan sendiri oleh Chery.
Selain itu, Arrizo S juga akan dilengkapi sistem bantuan pemanduan pintar Falcon Intelligent Driving, yang menawarkan ciri ADAS lanjutan seperti navigasi bandar dan lebuh raya serta parkir automatik. Ini merupakan sebahagian daripada usaha Chery dalam memperluas teknologi pemanduan pintar bersepadu serta kawalan casis moden.
Persoalan sama ada model seperti Arrizo S akan memasuki pasaran Malaysia masih belum mempunyai jawapan pasti. Walaupun segmen sedan semakin mengecil, difahamkan Chery tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan model seumpamanya di sini.
Namun, kehadirannya dijangka bukan dalam masa terdekat, memandangkan keutamaan ketika ini diberikan kepada model seperti hatchback elektrik kompak Q dan pikap Himla. Jika sedan baru itu tiba sekalipun, ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum diperkenalkan di pasaran tempatan.
Volkswagen secara rasmi memperkenalkan model elektrik terbarunya, Volkswagen ID. Polo, yang menjadi model pertama daripada empat kenderaan elektrik bateri (BEV) baru yang dijadualkan dilancarkan oleh jenama Jerman itu sepanjang tahun ini.
Dibangunkan berasaskan platform MEB+, ID. Polo hadir dengan dimensi sepanjang 4,053 mm, lebar 1,816 mm dan tinggi 1,530 mm serta jarak roda 2,600 mm. Berbanding versi enjin pembakaran dalaman (ICE), model elektrik ini menawarkan peningkatan ruang kargo sebanyak 25%, daripada 351 liter kepada 441 liter. Apabila tempat duduk belakang dilipat, kapasiti ruang simpanan meningkat daripada 1,125 liter kepada 1,240 liter.
Semasa pelancaran, ID. Polo ditawarkan dalam tiga varian yang menampilkan tiga pilihan kuasa motor dan dua spesifikasi bateri. Varian asas menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 37 kWh bersama motor berkuasa 85 kW (116 PS), membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 11 saat serta jarak pemanduan sehingga 315 km mengikut piawaian WLTP.
Varian pertengahan pula dilengkapi motor 99 kW (135 PS) yang mencatat masa pecutan 0-100 km/j dalam 9.8 saat, selain menawarkan jarak lebih jauh iaitu sehingga 329 km WLTP. Kedua-dua varian dengan bateri 37 kWh ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 90 kW, membolehkan tahap cas 10 ke 80% dicapai dalam masa sekitar 23 minit, manakala pengecasan AC menyokong sehingga 11 kW.
Bagi varian tertinggi, ID. Polo dilengkapi motor berkuasa 155 kW (211 PS) yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 7.4 saat. Varian ini menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 52 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 454 km WLTP.
Keupayaan pengecasan DC turut dipertingkatkan kepada 105 kW dengan masa pengecasan 10 ke 80% sekitar 24 minit. Kesemua varian turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan bekalan kuasa sehingga 3.6 kW.
Di bahagian kabin, ID. Polo menampilkan kokpit digital yang terdiri daripada paparan instrumen bersaiz 10 inci serta skrin infotainmen 13 inci. Paparan instrumen tersebut turut menawarkan mod “retro display” yang diinspirasikan daripada meter analog model Volkswagen Golf Mk1.
Selain itu, jalur lampu ID. Light yang dipertingkatkan kini bersambung hingga ke pintu hadapan dan mampu memberi amaran kehadiran kenderaan sebelum pintu dibuka.
Antara kelengkapan tambahan yang ditawarkan termasuk sistem audio 10 pembesar suara berkuasa 425 watt oleh Harman Kardon, bumbung kaca panoramik serta tempat duduk hadapan larasan elektrik 12 hala lengkap dengan fungsi urutan pneumatik. Telefon pintar boleh dicas secara tanpa wayar, manakala sokongan sambungan merangkumi Apple CarPlay dan Android Auto.
Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, ID. Polo dilengkapi sistem Connected Travel Assist yang berupaya bertindak balas terhadap isyarat lampu trafik, satu ciri yang didakwa pertama dalam segmennya. Sistem bantuan lain termasuk Side Assist, Lane Assist, kawalan jelajah adaptif, kawalan jarak parkir hadapan serta bantuan lintasan trafik hadapan. Fungsi pemanduan satu pedal turut ditawarkan sebagai ciri standard.
Model ini akan mula dipasarkan di Jerman pada harga bermula 24,995 euro (sekitar RM115,847). Versi lebih berkuasa, dikenali sebagai ID. Polo GTI, dijangka diperkenalkan kemudian (dalam tahun ini), dengan motor berkuasa 226 PS serta penggunaan bateri NMC.
Selepas melancarkan kempen keselamatan Selamat pada Januari lalu, Volvo Car Malaysia (VCM) kini mengembangkan program berkenaan kepada acara pemanduan defensif menerusi Volvo Selamat Driving Experience yang akan berlangsung di Driving Experience Centre, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 16 dan 17 Mei ini.
Menurut VCM, menerusi Selamat Driving Experience ini ia mengajak rakyat Malaysia agar tidak lagi menganggap aspek keselamatan sebagai perkara remeh dan menjadikannya keutamaan mutlak.
Sepanjang acara dua hari ini, para peserta akan dapat merasai pengalaman berdepan situasi cemas dalam persekitaran yang selamat dan terkawal di bawah pengawasan tenaga pengajar pemanduan profesional yang bertauliah. Para peserta bakal berpeluang untuk menguji sendiri ciri keselamatan tercanggih Volvo, termasuk Safe Space Technology terbaharu yang menggunakan data dunia sebenar dan kecerdasan buatan (AI) untuk meramal, menyesuaikan diri, serta mencegah risiko sebelum ia berlaku.
VCM menyatakan bahawa dengan mendemonstrasikan ciri-ciri keselamatan ini dalam senario simulasi, pengalaman interaktif ini akan membolehkan pemandu menggunakan kelengkapan keselamatan yang ada dan memberikan peringatan bahawa setiap keputusan pemanduan membawa kesan yang besar kepada semua orang.
Syarikat itu turut berkongsi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan bahawa sebanyak 4,428 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan pada tahun 2024, di mana 2,574 daripadanya melibatkan mangsa berusia antara 15 hingga 40 tahun.
“Hampir setiap hari kami mendapat berita tentang kemalangan jalan raya yang kadang kala meragut nyawa. Kita sering mengambil mudah soal keselamatan, malah bersikap acuh tidak acuh hanya kerana musibah tersebut belum menimpa diri sendiri. Namun, di sebalik setiap angka statistik itu adalah seorang insan yang tidak lagi dapat pulang ke pangkuan keluarga,” kata Pengarah Jualan & Pemasaran VCM, Patricia Yaw.
Selamat Driving Experience ini adalah terbuka untuk semua orang tetapi hanya 192 tempat sahaja disediakan dan pendaftaran hanya akan diterima berdasarkan siapa cepat dia dapat. Pendaftaran boleh dibuat menerusi PAUTAN INI.
Yuran sebanyak RM300 dikenakan untuk setiap peserta. Namun sekiranya anda seorang pemilik Volvo, yuran yang dikenakan hanyalah RM150 dan anda perlu sertakan nombor VIN kenderaan anda, di mana satu nombor hanya sah untuk seorang peserta.
Anda turut boleh menyerti program ini tanpa mengambil bahagian dalam aktiviti pemanduan, dan yuran yang dikenakan adalah RM100. Atas faktor keselamatan litar dan jadual yang padat, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ke acara ini.
WTC Automotif (WCTA) selaku anak syarikat Warisan TC Holdings dan pengedar kenderaan jenama GAC di sini telah mengemaskini model GAC GS3 Emzoom untuk pasaran Malaysia. SUV segmen-B pemasangan tempatan (CKD) itu kini menerima beberapa naik taraf gaya untuk meningkatkan keterampilannya.
Di depan, GS3 Emzoom menerima gril “Flowing Diamond Star” baru yang menampilkan jalur melintang warna hitam. Bahagian bawah juga digayakan agar nampak sepadan. Ini merupakan penampilan baru yang khas ditawarkan untuk varian Premium R, yang menggantikan jalur menegak pada model sebelum ini. Wajah depan “Mecha Wing” masih dikekalkan untuk varian Exclusive.
SUV ini juga mendapat tambahan pilihan warna baru, dengan Salt Lake Blue dan Graphite Grey tidak lagi ditawarkan. Ini bagaimanapun ditambah dengan warna badan Asphalt Black, Super Star Silver dan Frost White, yang semuanya tersedia untuk varian Exclusive.
Varian Premium R yang paling lengkap juga boleh didapati dalam warna Asphalt Black, selain tiga warna dua tona baru – Graphite Grey, Super Star Silver dan Frost White – semua dengan bumbung hitam. Varian Standard kini tidak lagi tersenarai dalam varian yang ditawarkan ketika ini.
Dengan kemaskini terbaru ini, harga jualannya masih tidak berubah. Varian Exclusive dijual dengan harga RM116,800 atas jalan tanpa insurans, sementara varian Premium R dengan harga RM126,800.
Untuk tempoh terhad, pelanggan boleh menikmati rebat sehingga RM18,500, menjadikan harganya kini lebih murah. Tempoh jaminan yang diberikan adalah lima-tahun, atau 150,000 km. Jaminan enjin dan transmisi pula diberikan selama tujuh-tahun atau 180,000 km disertakan untuk setiap pembelian.
Selain perubahan visual, GS3 Emzoom sama saja seperti sebelumnya. Ia dilengkapi enjin petrol empat-silinder sebaris 1.5 liter turbo yang menghasilkan 177 PS dan 270 Nm, dengan kuasa dihantar ke roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.
Selain wajah baru, varian Premium R terus didatangkan dengan lebih banyak ciri berbanding Exclusive, termasuk lampu hadapan automatik, pengilap cermin automatik, cermin sisi dengan pemanas, bumbung panoramik, pintu belakang berkuasa dengan kendalian bebas tangan, tempat duduk pemandu larasan kuasa, lampu ambient, perehat lengan belakang di tengah, pad pengecas tanpa wayar, lebih pembesar suara dan beg udara (ada enam semuanya), sensor parkir hadapan dan belakang (belakang sahaja untuk Exclusive), monitor pandangan sekeliling dan kawalan menuruni bukit.
Kedua-dua varian Exclusive dan Premium R didatangkan dengan ciri ADAS, dengan fungsi standard seperti kawalan melayar adaptif, bantuan kesesakan lalu lintas, AEB, amaran perlanggaran hadapan, bantuan mengekalkan lorong, amaran keluar lorong, pengecaman papan tanda lalu lintas dan kawalan had laju pintar. Eksklusif untuk varian Premium R ialah ciri bantuan lampu tinggi dan bantuan parkir.
Tahun ini ada satu pengeluar dari China yang mengejutkan dunia apabila menjadi yang pertama dari negara itu memenangi salah satu pusingan dalam kategori WSSP perlumbaan Superbike World Championship. Ia adalah ZXMoto, dan berita baiknya, motosikal jenama ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.
MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah dilantik sebagai pengedar rasmi ZXMoto, dan dua model terawal sudah berada di Malaysia untuk ujian. Di sini kami sediakan galeri ZX500RR dan ZX500F, yang sempat kami dekati sewaktu melawat kilang MForce di Pulau Pinang.
Bagi ZX500RR, model yang anda lihat ini sebenarnya adalah versi awal, sementara sekarang dalam pasaran sudah ada versi yang dipertingkat. Beberapa kelengkapan mungkin akan dinaik taraf, tetapi asasnya masih sama.
Ia dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 470 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper dan quickshifter, mampu menghasilkan kuasa 84 hp pada 13,500 rpm dan tork 46 Nm pada 11,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 15 liter, sementara berat keseluruhan adalah 168 kg.
Sebagai sebuah motosikal sport, ZX500RR datang dengan kelengkapan yang mengutamakan prestasi, termasuk suspensi boleh laras sepenuhnya di hadapan dan belakang, siap dengan steering damper, tetapan brek cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan serta lengan ayun aluminium single-sided.
Dalam versi terkini, ZX500R hadir dengan meter TFT, sistem kawalan cengkaman dan ABS dual-channel, steering yoke aluminium serta 6-axis IMU. Reka bentuk badannya pula cukup agresif berserta sekali dengan winglet hadapan.
ZX500F pula membawa bentuk klasik, seperti motosikal naked retro Jepun, tetapi dengan kelengkapan yang lebih moden. Ia juga dipacu oleh enjin empat silinder DOHC 470 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73 hp pada 11,000 rpm dan tork 48 Nm pada 9,500 rpm.
Rim aluminium 17 inci pada model ini dipegang oleh masing-masing fork USD boleh laras dan monoshock, sementara brek pula terdiri daripada unit cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera dengan angkup satu piston di belakang.
Antara kelengkapan lain yang disediakan pada ZX500F adalah termasuk meter analog dengan paparan LCD di tengah, tangki bahan api 15.5 liter, lampu LED, ABS dual-channel serta sistem kawalan cengkaman. Berat keseluruhannya adalah 175 kg.