Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Capital Intertrade akan tamatkan perniagaan pengedaran jenama Ford menjelang 31 Julai ini

    Capital Intertrade akan tamatkan perniagaan pengedaran jenama Ford menjelang 31 Julai ini

    Capital Intertrade, anak syarikat milik penuh Permaju Industries Bhd akan menamatkan perniagaan pengedaran jenama Ford selepas mengemukakan notis penutupan syarikat dan penyerahan operasi jualan dan servis kepada Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd (Sime Darby Auto), lapor Bernama.

    Menurut Permaju dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, ia menamatkan perjanjian jualan dan perkhidmatan pengedar serta menyerahkan pengedaran Ford yang dimeterai bersama-sama Sime Darby Auto pada 22 April 2011, dan kedua-dua pihak bersama-sama telah bersetuju untuk menghentikan operasi tersebut menjelang 31 Julai 2026.

    “Penamatan itu dibuat selepas pertimbangan dan analisis terhadap prestasi lalu serta kemungkinan semasa dan masa depan yang menunjukkan kekurangan dari segi kemampanan dan potensi pertumbuhan,” tambah Permaju dalam kenyataan itu.

    Syarikat itu turut memaklumkan bahawa ia kini sedang berunding dengan beberapa pengedar lain sebagai kemungkinan penggantian dan akan membuat pengumuman selepas perbincangan dimuktamadkan. Ia turut menjelaskan penamatan tersebut dijangka tidak menjejaskan tahap kadar hutang, keuntungan sesaham, aset bersih dan pegangan saham utama bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026.

    Permaju juga menambah, tiada pengarah, pemegang saham utama atau mana-mana individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam penamatan tersebut. Capital Intertrade mengendalikan Ford TTDI di Sungai Penchala. Syarikat induknya juga memiliki Cergazam, yang kini merupakan pengedar Xpeng. Cergazam sebelum ini juga merupakan pengedar untuk jenama Chevrolet, Volkswagen dan pernah mengedar MG untuk tempoh yang singkat.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BSW dan NEL sedia untuk dibida

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Selangor dan Negeri Sembilan yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BSW dibuka bidaan sejak 10 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 14 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Mei 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Negeri Sembilan, NEL pula akan dibuka bidaan bermula 18 Mei 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 22 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 Mei 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • CMH Group dilapor akan tamatkan pengedaran Proton di Afrika Selatan – adakah Geely akan ambil alih?

    CMH Group dilapor akan tamatkan pengedaran Proton di Afrika Selatan – adakah Geely akan ambil alih?

    Menurut laporan Cars.co.za, pengedar Proton di Afrika Selatan iaitu Combined Motor Holdings (CMH) Group telah mengesahkan akan menghentikan operasi pengedaran jenama itu tidak lama lagi dalam laporan tahunannya.

    “Produk-produk ini telah terbukti berkualiti baik, dengan kadar tuntutan jaminan yang rendah, tetapi harga import tidak kompetitif. Kumpulan [CMH] akan terus menyokong pelanggan [Proton] dengan kemudahan bengkel dan alat ganti melalui outlet runcitnya sehingga operasi Geely tempatan bersedia untuk mengambil alih,” tulis Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CMH, Jebb McIntosh dalam laporan tahunan bersepadu syarikat 2026 (untuk tahun berakhir 28 Februari 2026), dan menambah bahawa “operasi import/pengedaran Proton akan tamat apabila baki inventori habis dijual”.

    Ditanya sama ada terdapat rancangan untuk mengambil alih pengedaran Proton di negara ini, Geely Auto South Africa memberitahu Cars.co.za: “Kami menyedari spekulasi pasaran mengenai pengurusan pengedaran masa depan Proton di Afrika Selatan. Perbincangan sedang dijalankan, namun tiada keputusan atau pengumuman rasmi telah dimuktamadkan pada peringkat ini. Oleh itu, adalah terlalu awal untuk kami memberi komen lanjut pada masa ini.”

    Ia menambah bahawa sebarang “maklumat yang disahkan” akan “disampaikan melalui saluran formal yang sesuai”. Geely kembali ke Afrika Selatan pada akhir 2025 dengan E5 (Proton eMas 7) sebelum melancarkan E2 (Proton eMas 5) pada April tahun ini.

    Berita berkenaan Proton mulai goyah di pasaran Afrika Selatan ini telah mula kedengaran sejak Mei tahun lalu. Menurut Cars.co.za, Proton hanya menjual 640 unit di Afrika Selatan pada separuh kedua tahun 2023, 888 pada tahun 2024, 459 pada tahun 2025, 20 pada suku pertama tahun 2026 dan hanya tujuh pada bulan April lalu, berdasarkan data yang dilaporkan kepada Persatuan Pengilang Automobil Nasional Afrika Selatan (NAAMSA). Afrika Selatan pernah menjadi pasaran eksport kedua terbesar Proton.

    Proton dilancarkan semula ke pasaran Afrika Selatan secara rasmi pada 2022 selepas ia tidak lagi mengeksport kenderaan ke negara tersebut sejak 2012. Empat model dijual dipasaran tersebut iaitu Saga, X50, X70 serta X90, dan sehingga tahun lalu Proton mempunyai 17 pengedar bertauliah di Afrika Selatan, namun hanya tinggal 10 yang beroperasi tahun ini.

     
     
  • Geely catat kemenangan sulung di TCR World Tour – guna enjin Horse Powertrain, dipandu pelumba China

    Geely catat kemenangan sulung di TCR World Tour – guna enjin Horse Powertrain, dipandu pelumba China

    Geely tidak perlu menunggu lama untuk meraih kemenangan sulungnya dalam kejohanan peringkat tertinggi FIA TCR World Tour – hanya pada pusingan pertama, musim pertama jenama itu bertanding, Geely Preface TCR sudahpun berjaya memenangi perlumbaan pertamanya! Dan bertambah manis, kejayaan itu dicapai oleh pemandu dari China sendiri iaitu Ma Qing Hua.

    Secara spesifiknya, Ma memenangi Race 2 untuk pusingan pembukaan TCR World Tour 2026 yang berlangsung di litar Misano, Itali pada hujung minggu lalu. Ma memulakan perlumbaan pada hari Ahad itu dari petak ketiga berdasarkan undang-undang reverse grid yang mengambil kira keputusan perlumbaan Race pada Sabtu, dan berjaya meluru ke tempat kedua sebaik sahaja masuk ke selekoh pertama, lap pertama.

    Dan setelah pertarungan sengit dengan pelumba Honda Civic Type R TCR Jenson Brickley dari Britain serta Mikel Azcona dari Sepanyol yang memandu jentera Hyundai Elantra N TCR pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse, Ma Qing Hua berjaya menamatkan perlumbaan 15 lap berkenaan di kedudukan pertama.

    Geely catat kemenangan sulung di TCR World Tour – guna enjin Horse Powertrain, dipandu pelumba China

    Azcona berada di tempat kedua, dan tempat ketiga adalah milik seorang lagi pemandu Geely iaitu Thed Bjork dari Sweden. Geely juga sebenarnya sudah mendapat kedudukan podium pertamanya lebih awal iaitu pada Race 1 apabila seorang lagi pelumbanya yang berasal dari Perancis iaitu Yann Ehrlacher berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

    Penyertaan Geely dalam kejohanan TCR World Tour ini sudahpun diumumkan pada akhir tahun lalu. Program ini dikendalikan oleh firma perlumbaan dari Sweden iaitu Cyan Racing yang sebelum ini membangunkan kereta-kereta lumba dan jalan raya Volvo Polestar, serta menyertai TCR World Tour dari 2019 sehingga tahun lalu dengan membawa sub jenama Geely iaitu Lynk & Co.

    Sepanjang tujuh tahun berlumba, Lynk & Co Cyan Racing berjaya menggondol enam juara dunia kategori pengeluar dan tiga juara dunia kategori pemandu dalam FIA TCR World Tour.

    Tiada sebarang perincian didedahkan berkenaan jentera Geely Preface TCR baharu ini, namun boleh dijangka ia adalah saduran dari jentera Lynk & Co 03 TCR sebelum ini kerana Preface dan 03 kedua-duanya diasaskan dari platform CMA Volvo.

    Versi produksi kedua-dua model itu juga dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E juga binaan Volvo, di mana enjin berkenaan dikilangkan oleh Aurobay di Sweden. Aurobay kini merupakan divisi di bawah Horse Powertrain, iaitu firma yang membangunkan dan membekalkan unit rangkaian kuasa berasaskan enjin pembakaran dalaman, juga milik Geely.

    Kereta-kereta lumba yang dibina dengan spesifikasi FIA TCR ini perlulah diasaskan dari kerangka badan serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti model produksi jalan raya. Sebab itulah kejohanan ini hanya disertai oleh model-model yang dihomologasikan dari model prestasi sebenar seperti Hyundai Elantra N dan juga Honda Civic Type R.

     
     
  • ‘Kuota Budi95 150 liter’ bukan pengumuman dasar kerajaan, dipetik di luar konteks — Liew Chin Tong

    ‘Kuota Budi95 150 liter’ bukan pengumuman dasar kerajaan, dipetik di luar konteks — Liew Chin Tong

    Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong telah mengeluarkan satu kenyataan di laman Facebook-nya mengenai sebuah laporan yang mengaitkan potensi pengurangan subsidi Budi95 kepada 150 liter sebulan oleh kerajaan.

    Terdahulu, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa pelarasan yang dicadangkan itu adalah berdasarkan data penggunaan, yang menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada had subsidi semasa iaitu 200 liter. Laporan asal itu bagaimanapun telah diturunkan dari portal berita berkenaan. Laporan sebelumnya oleh The Edge juga tidak lagi berada dalam talian.

    “Data secara konsisten menunjukkan bahawa 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter. Langkah seterusnya ialah 150 liter [kerana] 60% penduduk menggunakan kurang daripada 150 liter,” Liew dilaporkan berkata dalam acara Affin Market Outlook 2026: Propelling Malaysia Forward di KL hari ini, seperti dilaporkan awalnya oleh NST.

    Susulan daripada itu, Liew telah mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan perkara tersebut, seperti dilampirkan di bawah:

    Pagi ini, dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank, saya ditanya mengenai strategi kerajaan untuk menangani krisis tenaga. Namun, apabila dilaporkan, ia tidak tepat kerana diambil di luar konteks.

    Perlu dijelaskan di sini bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan.

    Apa yang saya jelaskan adalah:

    1. Budi95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.

    2. Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.

    3. Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol.

    4. Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham, dan saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan. Terima kasih.

    Pada 26 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengurangan sementara kuota Budi95 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April, pada kadar subsidi yang sama iaitu RM1.99 seliter. Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, 90% pengguna petrol RON 95 tidak akan terjejas oleh pengurangan kuota tersebut.

     
     
  • Denza B8 akan dilancarkan di Malaysia 21 Mei ini – PHEV 4×4, 578 PS/760 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat!

    Denza B8 akan dilancarkan di Malaysia 21 Mei ini – PHEV 4×4, 578 PS/760 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat!

    Selepas pendaftaran minatnya dibuka bulan lalu, Denza Malaysia kini mengumumkan bahawa SUV mewah Denza B8 sah akan dilancarkan pada 21 Mei ini, dan kemudian ia akan dipamerkan di Bangsar Shopping Centre dari 22 hingga 24 Mei.

    Di China, Denza B8 ini dijual dengan lencana Fangchengbao dan dikenali sebagai Bao 8. Ia adalah SUV lasak sebenar yang dibina berasaskan casis ladder frame dan dilengkapi sistem 4X4 serta digerakkan dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) berkuasa tinggi Dual-Mode Off-road (DMO).

    Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik, iaitu satu untuk memacu roda hadapan berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork 360 Nm, dan satu lagi memacu roda belakang berkuasa 408 PS (300 kW) dan tork 400 Nm. Ia turut dibekalkan dengan enjin khas hibrid 2.0 liter empat silinder petrol turbo berkuasa 197 PS (145 kW) dan tork maksima 350 Nm.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa PHEV DMO ini menghasilkan kuasa 578 PS (425 kW) tork maksima 760 Nm, membolehkan SUV gergasi dengan panjang 5,195 mm dan berat 3,290 kg ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat.

    Denza B8 akan dilancarkan di Malaysia 21 Mei ini – PHEV 4×4, 578 PS/760 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat!

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP Blade 36.8 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Dan dengan tangki petrol gergasi 91 liter SUV ini didakwa boleh bergerak sejauh 905 km.

    Seperti EV sebenar, bateri SUV PHEV ini mampu menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, dan pengecas AC biasa sehingga 11 kW. Ia juga boleh bertindak seperti power bank gergasi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 6.6 kW.

    Di China, pelanggan boleh membeli Denza D8 ini dengan pengunci differential pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan cengkaman pada laluan off-road yang lebih baik. Ia juga datang dengan sistem suspensi hidraulik BYD DiSus yang membolehkan ketinggiannya dianjak 140 mm. Ini membolehkan ia meredah air pada kedalaman sehingga 890 mm berbanding 800 mm pada keadaan standard, serta menaikkan sudut approach dan berlepas masing-masing sehingga 34 dan 35 darjah.

    Menurut Denza, muka B8 ini direka dengan inspirasi dari robot-robot mecha anime Jepun, dan ia digandingkan dengan lampu hadapan LED “Starship Wing”. Badannya pula dikelilingi dengan panel-panel pelindung badan dalam kemasan hitam berkilat, manakala di belakang ia diberikan lampu LED dengan rekaan “Energy Thruster”.

    Denza B8 akan dilancarkan di Malaysia 21 Mei ini – PHEV 4×4, 578 PS/760 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat!

    Bagi Denza B8 pasaran global, ia diberikan rim aloi 20-inci jejari-Y berwarna hitam yang sedikit kecil berbanding Fangchengbao B8 di China yang diberikan set rim berdiameter 21-inci.

    Pada bahagian dalaman pula Denza B8 ini menerima upholsteri sama ada Jasper Brown atau Onyx Black. Papan pemukanya walaupun direka bersegi bagi memberikan imej lasak, tetapi ia masuh diberikan skrin-skrin gergasi seperti lazimnya model-model dari China yang lain.

    Pemandu menerima skrin gergasi 12.3-inci untuk paparan instrumen digital, serta dibantu lagi dengan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Manakala pada konsol tengah skrin lebih besar bersaiz 17.3-inci diberikan untuk sistem infotainmen. Di China, Fangchengbao B8 turut diberikan satu lagi skrin 12.3-inci pada papan pemuka khas untuk penumpang hadapan.

    Manakala pada konsol terowong, ia diberikan tombol gear yang dinaikkan selepas enjin dihidupkan, dan juga pelbagai suis fizikal seakan kristal untuk kawalan pelbagai fungsi unit rangkaian kuasanya. Perincian lain yang turut diberikan termasuk pengecas tanpa wayar Qi berkembar 50 watt, ruang storan pada perehat tangan dengan fungsi penyejuk dan pemanas, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi pemanas, penaglir udara dan pengurut, serta sistem bunyi Devialet dengan 18-pembesar suara yang diberikan secara standard.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, B8 bakal ditawarkan dalam varian standard dan Premium. Jadi ia mungkin merujuk kepada varian dengan tujuh-tempat duduk dan juga enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana ia diberikan tempat duduk kapten pada baris kedua yang memberikan fungsi ottoman dan pengurut, dan juga upholsteri kulit Nappa.

    Denza B8 akan dilancarkan di Malaysia 21 Mei ini – PHEV 4×4, 578 PS/760 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat!

    Manakala varian tujuh-tempat duduk menerima kerusi baris kedua dengan fungsi larasan kuasa, pemanas dan pengalir udara. Ia turut diberikan suis pelbagai fungsi pada pintu belakang bagi membolehkan penumpang membuka atau menutup cermin tingkap bertentangan dan juga pelindung matahari pada bumbung suria, serta terdapat butang satu sentuhan untuk membaringkan atau menolak tempat duduk baris kedua ke hadapan bagi memberikan ruang kaki lebih luas.

    But belakang SUV ini cuma menawarkan ruang kargo sebesar 147 liter. Namun tempat duduk baris kedua dan ketiganya boleh dilipat dengan mudah dengan bantuan kuasa, memberikan ruang sehingga 920 liter (902 liter untuk model enam-tempat duduk).

    Tiada fungsi pintu tailgate bantuan kuasa kerana ia dibuka dari sisi seperti pintu biasa, tetapi datang dengan fungsi larasan ketinggian dari but belakang yang membolehkan anda merendahkan bahagian belakang, bagi membantu untuk memasukkan barang yang berat atau besar pada bahagian tersebut.

    Denza Malaysia masih belum memberikan sebarang petunjuk berkenaan harga. Namun kami jangkakan SUV ini tidak murah dan mungkin boleh mencecah RM300k, dan tidak mustahil ia akan dijual lebih mahal dari GWM Tank 500 yang dijual pada harga RM328,800.

     
     
  • Kerajaan pertimbang untuk turunkan kuota Budi95 kepada 150 liter – Timbalan Menteri Kewangan

    Kerajaan pertimbang untuk turunkan kuota Budi95 kepada 150 liter – Timbalan Menteri Kewangan

    —Kemaskini: Menurut Timbalan Menteri Kewangan, laporan ini salah dan dipetik di luar konteks yang sepatutnya. Jawapan balas beliau di sini.

    Dengan harga minyak dunia berada pada paras harga yang tinggi, kuota skim subsidi RON95 bersasar Budi95 mungkin akan diturunkan lagi untuk mengurangkan kos subsidi yang kini semakin membebankan kewangan kerajaan.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dalam laporan New Straits Times, pelarasan yang dicadangkan adalah berdasarkan data penggunaan, yang menunjukkan bahawa majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada ambang subsidi semasa.

    “Data secara konsisten menunjukkan bahawa 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter. Langkah seterusnya ialah 150 liter [kerana] 60% penduduk menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya pada acara Affin Market Outlook 2026: Propelling Malaysia Forward di KL hari ini.

    Program Budi95 ini bermula pada tahun lalu di mana semua rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad serta lesen memandu yang sah menerima kouta sebanyak 300 liter sebulan untuk membeli bahan api RON 95 pada harga subsidi iaitu 1.99 seliter.

    Kouta berkenaan kemudiannya diturunkan kepada 200 liter pada 1 April lalu, di mana langkah itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac dan memberitahu ia adalah langkah sementara dan ia tidak menjejaskan 90% pengguna RON 95.

    Dengan perkembangan terbaharu ini mungkin tidak lama lagi kouta berkenaan akan diturunkan lagi sehingga hanya 150 liter bagi membantu kerajaan untuk mengurus bekalan bahan api dengan lebih baik, meningkatkan kecekapan subsidi dan mengurangkan kebocoran.

     
     
  • Program MyLesen B2 Sekolah 2026 bakal disertai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari golongan B40

    Program MyLesen B2 Sekolah 2026 bakal disertai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari golongan B40

    Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) Tahun 2026 bakal menaja seramai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada golongan B40 di seluruh negara untuk memperoleh lesen motosikal secara percuma dengan peruntukan melebihi RM18.5 juta tahun ini, laporan Harian Metro.

    Program kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT), melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan (KPM), ini juga sebagai langkah proaktif Kerajaan memperkukuh keselamatan jalan raya dan meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pelajar sekolah.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, program itu diperkenalkan susulan kebimbangan terhadap jumlah pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sah. Di mana keadaan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan keselamatan pelajar kerana menunggang tanpa pengetahuan dan kemahiran yang betul.

    “Program ini dilaksanakan susulan keprihatinan kerajaan terhadap isu penunggang motosikal dalam kalangan pelajar yang masih tidak memiliki lesen memandu sah, khususnya di kawasan luar bandar. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan akses pelesenan yang sah di samping meningkatkan tahap kompetensi, kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda,” katanya selepas melancarkan program ini di AICC Johor Bahru, semalam.

    Tambahnya, mengikut statistik lebih 6,000 kemalangan maut dilaporkan setiap tahun iaitu 65% membabitkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal. Katanya, kebanyakan daripada kemalangan maut ini membabitkan purata umur antara 16 hingga 25 tahun termasuklah pelajar sekolah.

     
     
  • BYD Seal 6 Malaysia dapat pilihan warna Sage Green

    BYD Seal 6 Malaysia dapat pilihan warna Sage Green

    BYD Malaysia memperkenalkan pilihan warna baru untuk sedan elektrik Seal 6, iaitu Sage Green. Model ini pertama kali dilancarkan untuk pasaran tempatan September tahun lepas dengan harga bermula RM100,000 untuk varian Dynamic dan RM115,800 untuk Premium. Warna Sage Green kini melengkapkan pilihan warna sedia ada yang terdiri daripada Arctic White, Harbour Grey dan Misty Blue.

    Dari segi dimensi, BYD Seal 6 mencatat ukuran 4,720 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,495 mm tinggi dengan jarak roda 2,820 mm. Ia diletakkan dalam segmen sedan C dan sedikit lebih pendek serta sempit berbanding BYD Seal, namun mempunyai ketinggian lebih tinggi. Sebagai perbandingan, BYD Seal mempunyai ukuran 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi dengan jarak roda 2,920 mm.

    Kedua-dua varian Seal 6 menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 56.64 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 410 km mengikut piawaian WLTP. Walaupun berkongsi bateri sama, kedua-dua varian hadir dengan output kuasa berbeza. Varian Dynamic menghasilkan kuasa 129 PS dan tork 220 Nm, manakala varian Premium menawarkan kuasa lebih tinggi iaitu 218 PS bersama tork 330 Nm.

    Bagi pengecasan, Seal 6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang membolehkan tahap bateri dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 23 minit. Ia turut menyokong pengecasan AC 6.67 kW serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.7 kW.

    Ruang kabin pula dilengkapi sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, selain fungsi arahan suara yang menyokong Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Kantonis dan Mandarin. Sistem audio menggunakan enam pembesar suara untuk varian Dynamic, sementara varian Premium menerima sistem lapan pembesar suara.

    Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, BYD Seal 6 dilengkapi sistem brek kecemasan automatik (AEB), kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop-and-go, amaran keluar lorong serta amaran pelanggaran hadapan. Sedan elektrik ini turut menerima enam beg udara, sensor parkir hadapan, kamera pandang sekeliling 360 darjah dan sistem pemantauan tekanan tayar sebagai kelengkapan standard.

    GALERI: BYD Seal 6 di ACE 2025

     
     
  • KTM 390 Adventure R, Adventure X, SMC R, Enduro R dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM27k

    KTM 390 Adventure R, Adventure X, SMC R, Enduro R dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM27k

    KTM Malaysia memperkenalkan barisan lengkap motosikal KTM 390 Adventure 2026 ke pasaran tempatan dengan harga bermula dari RM27,300,iaitu untuk 390 Enduro R dan 390 SMC R. Sementara itu, 390 Adventure X pula dijual pada harga RM29,300 dan model paling tinggi dalam barisan ini, 390 Adventure R, ditawarkan pada harga RM33,300.

    Semasa acara yang sama, KTM turut mengumumkan harga bagi model naked 390 Duke yang dijangka tiba di Malaysia pada suku keempat tahun 2026 dengan tanda harga RM30,300. Semua harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Bermula tahun 2026, setiap motosikal KTM yang dijual di Malaysia turut didatangkan dengan jaminan selama empat tahun bagi kecacatan pengilangan, selain quickshifter dua hala sebagai kelengkapan standard.

    Kesemua model dalam keluarga KTM 390 ini menggunakan enjin LC4c satu silinder baru bersesaran 398.7 cc berserta penyejukan cecair. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 45 PS serta tork 39 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan rantai. KTM turut menetapkan selang servis setiap 10,000 km bagi enjin ini.

    Sistem brek juga dikongsi bersama dalam keseluruhan rangkaian, menggunakan komponen daripada Bybre, jenama mampu milik milik Brembo. Bahagian hadapan dilengkapi angkup brek dua piston bersama cakera terapung, manakala roda belakang menggunakan angkup satu piston. Sistem ABS dua saluran dipasang secara standard dan boleh ditutup untuk tunggangan offroad.

    Bagi model 390 Adventure R, ia direka khusus untuk kegunaan lasak dan tunggangan offroad. Model ini dilengkapi suspensi WP Apex dengan jarak gerakan 230 mm di hadapan dan belakang, selain jarak dari tanah setinggi 272 mm. Fork jenis USD berdiameter 43 mm di hadapan boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan, manakala penyerap hentak belakang jenis monoshock turut menawarkan pelarasan prabeban dan lantunan.

    KTM 390 Adventure R, Adventure X, SMC R, Enduro R dilancar untuk pasaran Malaysia – harga dari RM27k

    Adventure R menggunakan rim spoked bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipadankan dengan tayar Mitas Enduro Trail E07+. Sistem brek hadapan pula menggunakan angkup radial Bybre. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 870 mm, manakala berat keseluruhan adalah 176 kg apabila tangki 14 liter diisi penuh.

    Untuk penunggang yang lebih cenderung kepada penggunaan jalan raya dan touring, KTM menawarkan 390 Adventure X. Model ini menggunakan rim auminium bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Suspensi hadapan WP Apex tidak boleh dilaras tetapi menawarkan jarak gerak 200 mm, sama seperti monoshock belakang yang hadir dengan pelarasan pra beban.

    Sistem brek Adventure X hampir sama seperti Adventure R dengan cakera brek hadapan bersaiz 320 mm dan angkup axial Bybre, manakala bahagian belakang menggunakan cakera 240 mm bersama angkup satu piston. Berat motosikal ini ialah 176 kg termasuk 14 liter bahan api, sementara ketinggian tempat duduk dikekalkan pada 870 mm.

    Bagi peminat tunggangan dual-purpose dan enduro tegar, KTM menyediakan 390 Enduro R yang dibangunkan lebih fokus kepada kegunaan offroad. Model ini menggunakan cakera brek hadapan lebih kecil berukuran 285 mm, manakala brek belakang kekal dengan cakera 240 mm.

    Suspensi hadapan menggunakan fork USD WP Apex 43 mm yang boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan, sementara bahagian belakang disokong monoshock WP Apex dengan pelarasan prabeban. Jarak gerak suspensi kekal 230 mm di hadapan dan belakang bersama kelegaan tanah 272 mm. KTM turut menawarkan pilihan naik taraf penyerap hentak belakang dengan pelarasan tambahan untuk lantunan.

    390 Enduro R menggunakan rim spoked bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sesuai untuk tunggangan lasak. Berat keseluruhan motosikal ini ialah 165 kg termasuk sembilan liter bahan api, dengan ketinggian tempat duduk mencecah 890 mm.

    Melengkapkan keluarga KTM 390 ialah model supermoto 390 SMC R, yang membawa kembali identiti motosikal “jahat” KTM ke pasaran Malaysia. Model ini dipadankan dengan rim jejari 17 inci bersama rim aluminium serta jarak gerakan suspensi 230 mm dan kelegaan tanah 270 mm.

    Bahagian hadapan menggunakan fork USD WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan dan lantunan, sementara monoshock belakang turut menawarkan pelarasan prabeban dan lantunan. Dengan tangki bahan api sembilan liter, 390 SMC R mencatat berat 161 kg dan hadir dengan ketinggian tempat duduk 860 mm.

    GALERI: KTM 390 Adventure X

    GALERI: KTM 390 Adventure R

    GALERI: KTM 390 Enduro R

    GALERI: KTM 390 SMC R

     
     
  • Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia – RM518,888, kelengkapan dipertingkat

    Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia – RM518,888, kelengkapan dipertingkat

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan bahawa Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini sudahpun dilancarkan pada Malaysia, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM518,888. Model ini menampilkan pelbagai tambahan perincian berbanding GLC43 Coupé generasi C254 biasa yang dilancarkan pada November 2024.

    Masih lagi merupakan model pemasangan tempatan (CKD), GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition ini secara standard diberikan AMG Night Package Exterior II. Jadi ia menerima kelengkapan seperti perapi-perapi luaran krom gelap termasuk pada gril hadapan, logo Mercedes-Benz serta emblem model di belakang, dan juga penutup corong pengisi bahan api AMG dalam kemasan krom perak bersama tulisan AMG dan serlahan hitam.

    Menurut Mercedes-Benz Malaysia, GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition ini turut ditambah dengan AMG Real Performance Sound untuk peningkatan bunyi enjin dalam kabin. Ia disampaikan dalam dua tahap iaitu Balanced dan Powerful yang boleh dipilih melalui skrin sesentuh.

    Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia – RM518,888, kelengkapan dipertingkat

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana versi Nightfall Edition ini masih menerima enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris petrol berkuasa 421 PS (418 hp atau 310 kW) pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm pada takat 5,000 rpm, digandingkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt berkuasa 14 PS (13 hp atau 10 kW) dan tork 150 Nm.

    Kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi transmisi AMG Speedshift MCT 9G sembilan-kelajuan dan juga sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.8 saat dan mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j.

    Perincian-perincian lain juga masih sama termasuk rim aloi AMG jejari-Y 21-inci dengan angkup brek kemasan perak, casis dengan AMG Ride Control yang menawarkan tahap serapan hentakan dari Comfort ke Sport yang boleh dipilih oleh pemandu serta stereng gandar belakang dengan sudut putaran sehingga 2.5 darjah bagi meningkatkan kelincahan dan juga kestabilan.

    Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition kini di Malaysia – RM518,888, kelengkapan dipertingkat

    Manakala pada sebelah dalam, ia diberikan tempat duduk sport AMG dengan upholsteri kulit sintetik Artico, perapi-perapi gentian-karbon AMG serta roda stereng AMG balutan kulit Nappa. Sama seperti model-model AMG lain, GLC43 Coupe ini turut menerima fungsi dan grafik khas AMG pada sistem infotainmen MBUX, serta bunyi dialirkan menerusi sistem audio sekeliling Burmester 3D.

    Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé Nightfall Edition ini merupakan model Nightfall Edition kedua dilancarkan di Malaysia. Mac lalu MBM sudahpun melancarkan Nightfall Edition untuk model GLA iaitu GLA200 Nightfall Edition dan GLA250 Nightfall Edition.

    GALERI: Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé 2024

     
     
  • Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi

    Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi

    Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengesahkan kerajaan sedang memperhalusi penentuan garis pemisah yang sesuai antara golongan yang wajar menerima subsidi petrol dan mereka yang boleh dikeluarkan daripada sistem subsidi berkenaan dalam usaha melaksanakan mekanisme subsidi lebih bersasar, laporan Harian Metro.

    “Dalam usaha kita menyampaikan subsidi ini kepada kumpulan sasaran, kita juga tidak mahu sehingga memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan ataupun dari segi ketersediaan untuk beralih sepenuhnya,” katanya.

    Beliau turut berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga telah membincangkan perkara tersebut susulan kesediaan kerajaan untuk menambah baik kaedah pemberian subsidi supaya lebih bersasar.

    “Perkara ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat MTEN sebelum ini dan seperti Perdana Menteri telah nyatakan, ketersediaan kerajaan untuk menimbang keperluan kita menyasarkan lagi kaedah pemberian subsidi ini. Sudah pasti dari segi cabaran yang terbesar mungkin adalah memastikan tahap ambang itu perlu berlaku. Ini yang memerlukan pertimbangan dari pelbagai dimensi,” katanya.

    Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi

    Tambahnya, antara perkara yang turut diberi perhatian ialah kaedah komunikasi dasar tersebut supaya dapat difahami rakyat dengan jelas. Selain itu, katanya, terdapat pandangan daripada sektor akademik dan pelbagai pihak supaya pengurusan subsidi tidak lagi dilaksanakan secara pukul rata, sebaliknya mengambil kira keperluan penggunaan.

    “Kita pun sebelum ini telah menimbangkan dari segi pengurusan kuantiti bekalan yang kita berikan kepada setiap penerima. Kaedah seterusnya adalah melihat supaya hasil atau subsidi ini benar-benar memanfaatkan kumpulan sasaran,” katanya.

    Mengenai jangka masa pemuktamadan mekanisme itu, beliau berkata, kerajaan berharap perkara berkenaan dapat diselesaikan sebelum bermulanya bulan baharu memandangkan pelaksanaannya turut melibatkan kesiapsiagaan sistem.

    “Kalau pandangan saya, sebaiknya kita dapat memuktamadkannya sebelum bermulanya bulan baharu. Hal ini kerana, apabila kita ingin membawa perubahan, ia juga melibatkan sistem. Justeru, itu bergantung pada ketersediaan sistem untuk memastikan saringan itu berlaku dengan baik,” katanya.

    Katanya lagi, pelaksanaan mekanisme baharu itu berkemungkinan besar akan dibuat pada awal bulan bagi memudahkan proses pelaksanaan sepenuhnya.

    Kerajaan memperhalusi penentuan garis pemisah kelayakan penerima subsidi petrol – Menteri Ekonomi

    Mengenai penggunaan data bagi menentukan kategori penerima subsidi, Akmal berkata beberapa dimensi termasuk pendapatan dan faktor lain sedang dipertimbangkan kerajaan. Di mana perincian lanjut hanya akan diumumkan selepas kerajaan membuat keputusan muktamad, termasuk mekanisme rayuan bagi memastikan pelaksanaan lebih telus dan mudah diterima kumpulan sasaran.

    “Sudah pasti data yang ada, khususnya daripada Kementerian Ekonomi, kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada penentu atau rujukan bagi data atau dimensi yang akan dipertimbangkan,” katanya.

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi. Katanya, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lepas, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.

    Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar secara lebih menyeluruh, termasuk meneliti semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan T20. Katanya, subsidi berkenaan lebih wajar disalurkan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, selain sebagai langkah memperkukuh ekonomi negara dalam berdepan ketidaktentuan global.

     
     
  • Toyota Yaris Cross vs Perodua Traz — apa yang beza?

    Toyota Yaris Cross vs Perodua Traz — apa yang beza?

    Toyota Yaris Cross akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia minggu lalu. Seperti yang kita sedia maklum, ini adalah sebuah SUV segmen B, kembar kepada Perodua Traz. Dan, oleh kerana Traz sebelum ini ditawarkan dengan senarai kelengkapan yang asas, Yaris Cross tiba untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh “Traz AV” dalam pasaran.

    Apa perbezaan di antara dua model saudara kembar ini? Kita mulakan dengan harga. Toyota Yaris Cross dijual dengan harga bermula RM99,900 (atas jalan, belum termasuk insuran) untuk varian 1.5S. Ia kemudian naik menjadi RM109,900 bagi varian 1.5S Hybrid. Ini bermakna, bagi varian petrol, Yaris Cross adalah RM18,800 lebih mahal berbanding Perodua Traz 1.5 H yang setara — Perodua Traz turut didatangkan dengan varian paling asas 1.5 X dengan harga RM76,100.

    Jadi, adakah berbaloi untuk membayar lebihan harga RM18,800 untuk mendapatkan Toyota Yaris Cross? Sebelum itu, perlu juga jelas bahawa antara kedua-dua model terbabit, ia tidak melibatkan sebarang perbezaan dari segi sistem janaan kuasanya. Seperti Traz, Yaris Cross juga menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder yang sama, yang menghasilkan sebanyak 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi juga sama — kedua-duanya menggunakan Dual Mode CVT (D-CVT) daripada Daihatsu — walaupun untuk Yaris Cross, ia dilengkapi dengan sequential mode dengan nisbah maya tujuh-kelajuan, dengan kuasanya memacu roda hadapan.

    Tambahan RM10,000 akan membolehkan anda untuk mendapatkan sistem janaan hibrid, yang dikuasakan oleh enjin 2NR-VEX kitaran Atkinson, yang menghasilkan sebanyak 91 PS pada 5,500 rpm dan 121 Nm tork dari 4,000 rpm hingga 4,800 rpm. Ini digandingkan juga dengan motor elektrik yang menjana 80 PS/141 Nm, dan kotak gear E-CVT untuk jumlah output keseluruhan sistem sebanyak 111 PS. Ini sistem yang sama seperti Vios Hybrid — Yaris Cross 1.5S Hybrid juga ditawarkan dengan harga yang sama dengan Vios Hybrid GR Sport spesifikasi tertinggi.

    Reka bentuk Yaris Cross juga kelihatan lebih cantik dan kurang rumit, berbanding Traz yang tampil dengan banyak sentuhan rekaan yang “sibuk”. Gril trapezoid Yaris Cross juga mempunyai sedikit persamaan dengan gril Corolla Cross pra-facelift. Ia juga menampilkan lampu hadapan yang menonjol dan kelihatan seperti tidak dicantumkan secara paksa seperti pada bukaan heksagon Traz.

    Di bawahnya, bukaan udara lebih lebar, manakala lampu kabus LED segi tiga di sekelilingnya memberikan Yaris Cross imej lebih berisi dan tinggi berbanding kemasan bentuk L pada Traz yang kelihatan sedikit janggal. Terdapat juga perubahan yang lebih kecil — lampu hadapan LED yang tajam kelihatan sama antara kedua-dua model, tetapi Yaris Cross menerima sedikit kemasan krom di bawah projektor untuk penampilan yang lebih menarik.

    Rekaan rim juga berbeza. Yaris Cross menggunakan rim aloi dua-tona 18-inci yang lebih menarik dengan saiz satu-inci lebih besar berbanding Traz. Tayar pula hadir dengan saiz 215/55 R18 (berbanding 215/60 R17 untuk Traz). Model Perodua bagaimanapun menggunakan tayar ganti yang lebih lebar, iaitu 205/60 R16 berbanding 195/65 R16.

    Di bahagian belakang, Yaris Cross tidak mengenakan jalur kemasan hitam di antara dua sisi lampunya untuk tampil lebih ringkas berbanding Traz. Bampar belakang juga sedikit berbeza, dengan sebahagian besarnya diperbuat daripada plastik hitam yang tidak dicat. Skid plate warna perak di bampar hadapan dan belakang serta jalur skirting sisi menjadi kemasan tambahan yang melengkapkan penampilan Yaris Cross; Traz nampak lebih ringkas dan kosong untuk hal ini.

    Satu aspek yang menjadi kelebihan Traz ialah adanya bumbung hitam sebagai pilihan, yang tidak ditawarkan untuk Toyota Yaris Cross, bahkan untuk varian hibrid yang lebih mahal. Pilihan warna Yaris Cross juga agak serupa dengan Perodua, dengan Dark Turquoise (biru), Silver Metallic, Attitude Black, Spicy Scarlet SE dan Platinum White Pearl (pilihan dengan tambahan RM400) dikongsi untuk penawaran kedua-dua model tersebut.

    Di dalam, perbezaannya lebih banyak. Paling ketara, untuk Yaris Cross tidak diberikan kemasan merah berkilat yang mencolok mata di papan pemukanya. Ini digantikan dengan warna hitam berkilat yang sederhana. Panel sentuhan lembut di papan pemuka juga tidak menggunakan jahitan dan kemasan warna merah, sebaliknya digantikan dengan warna biru. Tempat duduk pula menerima balutan kulit buatan sebagai standard (dengan rekaan jejaring untuk model Hibrid) dan pelarasan kuasa lapan-hala untuk pemandu.

    Selain itu, model Toyota berkenaan turut diberikan peningkatan bagi paparan meternya, yang terdiri daripada unit digital sepenuhnya bersaiz tujuh-inci (Traz menggunakan paparan meter analog, dan ini sangat ketinggalan). Skrin sentuh untuk infotainment pula bersaiz 10.1-inci, satu inci lebih besar berbanding Traz dan menawarkan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Yaris Cross hibrid juga menerima ciri pengecas tanpa wayar Qi siap pasang yang terletak di bawah suis kawalan penghawa dingin. Bagi versi petrol pula, ia diberikan pilihan unit aftermarket dengan harga RM550. Anehnya, unit berkenaan merupakan pengecas Qi2 25-watt yang dinaik taraf — ini bermakna, ia boleh mengecas iPhone tertentu dengan kadar yang lebih pantas. Ironinya, ini juga bermakna model yang lebih mahal menerima pengecas dari jenis yang lebih rendah.

    Beralih kepada perbezaan yang lebih kecil pula. Yaris Cross menerima kamera 360-darjah sebagai ciri standard (yang hanya ditawarkan untuk Traz H), tetapi tidak diberikan butang khusus untuknya di stereng. Butang kunci/buka kunci pintu pula berada di pintu pemandu; untuk Traz ia diletak di papan pemuka, bahagian bawah bersebelahan dengan kawalan pendingin. Selain itu, penghawa dingin automatik, enam-pembesar suara (bukan jenama Pioneer seperti di Thailand) dan pintu belakang berkuasa dan bebas kendalian tangan juga diberikan sebagai ciri standard di sini. Versi petrol menerima paddle shifter untuk sequential mode CVT-nya.

    Toyota Yaris Cross turut hadir dengan lampu ambient yang terletak di pintu dan konsol tengah, satu lagi kelebihannya ke atas Traz. Varian hibridnya pula menerima tambahan lampu di ruang kaki serta scuff plate di bahagian tepi. Selebihnya, runag dalaman antara dua model ini berkongsi ciri yang sama. Antaranya ada pelarasan stereng tilt dan teleskopik, pelapik bumbung hitam, brek parkir elektronik, corong pendingin di belakang dan port USB-C hadapan dan belakang yang semuanya ditawarkan sebagai standard.

    Mungkin perbezaan yang paling penting melibatkan fungsi bantuan pemandu. Kedua-dua kereta ini didatangkan dengan brek kecemasan autonomous, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah guna pedal serta lampu tinggi automatik. Bagaimanapun, hanya Yaris Cross yang mempunyai kawalan melayar adaptif (ACC) dengan bantuan Stop/Go serta bantuan ke tengah lorong untuk fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2.

    Toyota Yaris Cross 1.5S Hybrid di Malaysia

    Toyota Yaris Cross 1.5S di Malaysia

     
     
  • Proton eMas 5 dilancar di Singapura – RM495k dengan COE, Premium shj, spesikasi sama dengan Malaysia

    Proton eMas 5 dilancar di Singapura – RM495k dengan COE, Premium shj, spesikasi sama dengan Malaysia

    Proton eMas 5 secara rasmi dilancarkan di Singapura ketika berlangsungnya acara The Car Expo baru-baru ini di sana. Sebelum pelancarannya, model berkenaan terlebih dahulu membuat kemunculan di Singapore Motorshow 2026 pada Januari lalu. Ini merupakan model kedua Proton dilancarkan di Singapura selepas ia kembali semula ke pasaran seberang tambak tersebut, dengan model pertama adalah Proton eMas 7 yang lebih besar diperkenalkan pada September tahun lalu oleh pengedar sahnya iaitu Vincar Group.

    Untuk pasaran Singapura Proton eMas 5 hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu varian Premium, dan spesifikasi yang diberikan adalah sama seperti varian Premium di pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga SGD159,988 (sekitar RM495k) termasuk Sijil Pemilikan (COE). Khas untuk pelanggan yang membuat tempahan pada acara berkenaan, mereka akan diberikan diskaun sebanyak SGD5,000 (RM15.5k). Semua pelanggan yang membeli model ini menerima waranti bateri selama 10-tahun dan juga data perantauan selama lima tahun merangkumi Singapura dan Malaysia, serta sokongan waranti rentas sempadan.

    Seperti yang disebut tadi, eMas 5 Premium pasaran Singapura ini menerima spesifikasi yang sama seperti di Malaysia. Jadi ia dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm yang memacu roda belakang, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj. Jadi eMas 5 Premium ini memenuhi COE EV Kategori A di Singapura iaitu EV dengan kuasa motor maksima sehingga 150 PS (148 hp or 110 kW). Ketika artikel ini ditulis, harga COE Kategori A selepas pembidaan pertama Mei 2026 ialah SGD124,790 (RM386k), kira-kira 1.4% lebih tinggi daripada sebelumnya.

    Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh. Untuk mengecas pula eMas 5 Premium ini boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga pengecas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit.

    Antara perincian standard yang diberikan termasuk lampu hadapan LED automatik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, upholsteri leatherette, sistem masuk dan mula tanpa kunci, enam pembesar suara, pendingin hawa automatik dengan corong kabin belakang, skrin sesentuh 14.6-inci untuk sistem infotainmen, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Piihan warna bagi eMas 5 pasaran Singapura ini juga sama seperti di Malaysia iaitu Moonstone White, Graphite Silver, Slate Grey, Marble Cream dan Quartz Rose, di mana semuanya hadir dengan bumbung berwarna hitam. Manakala untuk tema kabin, secara standard eMas 5 menerima kemasan dalaman berwarna Flint Grey, manakala pembeli yang memilih warna Marble Cream dan Quartz Rose akan diberikan kemasan dalaman Alabaster White yang lebih cerah.

     
     
  • Malaysia sasar pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang 2030, industri perlu bersedia – MITI

    Malaysia sasar pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang 2030, industri perlu bersedia – MITI

    Malaysia mensasarkan untuk mencapai keupayaan pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang tahun 2030, menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

    Menurut beliau, sasaran berkenaan adalah sebagai langkah awal negara memasuki era mobiliti pintar dan automotif masa depan. Justeru, kerajaan mahu industri mula membuat persediaan menyeluruh membabitkan industri automotif, vendor tempatan, pembangunan semikonduktor, perisian serta infrastruktur jalan raya negara, laporan Berita Harian.

    “Malaysia ketika ini masih berada pada peringkat awal dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi dan perbincangan mengenai hala tuju industri itu perlu dipercepatkan.

    “Kita mahu menuju ke arah autonomi Tahap 3 menjelang 2030. Terdapat lima tahap autonomi dan Malaysia masih di peringkat permulaan. Sebab itu kita mahu industri mula melihat ke arah ini kerana pembangunan kenderaan autonomi membabitkan perubahan besar,” katanya selepas melancarkan Persidangan Automotif dan Mobiliti ASEAN ke-2 semalam.

    Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, pembangunan teknologi berkenaan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran kenderaan semata-mata, tetapi turut membabitkan pembangunan cip, sensor, sistem perisian serta peningkatan kemahiran vendor tempatan.

    Malaysia sasar pemanduan autonomi Tahap 3 menjelang 2030, industri perlu bersedia – MITI

    “Pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pengurusan infrastruktur jalan raya juga perlu bersedia termasuk menaik taraf papan tanda dan kemudahan jalan lain bagi menyokong penggunaan teknologi itu. Ini bukan sekadar industri automotif tetapi membabitkan keseluruhan negara dan kita perlu mula bersedia dari sekarang,” katanya.

    Menurut piawaian yang dibangunkan oleh SAE International, sistem pemanduan autonomi dikategorikan kepada enam tahap, bermula daripada Tahap 0 yang tidak melibatkan sebarang automasi pemanduan, sehingga Tahap 5 yang mewakili keupayaan pemanduan sendiri sepenuhnya dalam semua keadaan.

    “Saya fikir inilah perbincangan yang perlu dimulakan kerana kita masih terlalu tertumpu kepada pembuatan kenderaan tradisional, sedangkan Malaysia masih belum benar-benar mula membincangkan mengenai pemanduan autonomi secara serius, dan perkara ini adalah sesuatu yang saya mahu usahakan,” katanya menurut laporan The Edge.

    Tambahnya, perkembangan teknologi autonomi di Amerika Syarikat menunjukkan pertumbuhan pesat dengan empat bandar sudah melaksanakan teknologi berkenaan ketika ini sebelum meningkat kepada 40 bandar tahun ini. Di manajumlah itu dijangka terus bertambah kepada 60 bandar lagi tahun depan sekali gus menunjukkan perkembangan teknologi berkenaan berlaku pada kadar eksponen.

    “Malaysia juga akan menuju ke arah itu dan industri tempatan perlu bersedia untuk menjadi pembekal sensor, cip dan perisian berkaitan teknologi autonomi,” katanya.

     
     
  • Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI

    Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI

    Timbalan menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin menegaskan bahawa polisi kenderaan elektrik (EV) Malaysia bukan sekadar untuk melindungi jenama automotif tempatan iaitu Proton dan Perodua, sebaliknya menerusi polisi tersebut kerajaan dapat menggalakkan syarikat EV dari luar untuk beroperasi di Malaysia dan bekerjasama dengan lebih banyak pembekal-pembekal tempatan.

    “Kami mahu pengeluar asing bekerjasama dengan vendor tempatan kami dalam ekosistem ini supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan mereka, meningkatkan rantaian nilai dan meletakkan Malaysia sebagai pengeksport komponen dan alat ganti automotif di samping bersedia untuk pemanduan autonomi pada masa depan,” kata Sim dalam laporan The Edge.

    “Itulah objektifnya, untuk memperkukuhkan keseluruhan ekosistem. Ekosistem ini bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada dua syarikat atau hanya Proton dan Perodua tetapi kepada banyak pengeluar kereta, termasuk jenama Eropah, Jepun dan China yang beroperasi di Malaysia,” tambahnya ketika memberikan respon berkenaan isu polisi baharu yang diumumkan oleh MITI minggu lalu.

    Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI

    Polisi tersebut mensyaratkan bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp). Penerangan lebih terperinci berkenaan polisi ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Menurut Sim dasar baharu ini bertujuan untuk menggalakkan pengeluar kereta asing untuk mewujudkan operasi pemasangan tempatan atau bekerjasama dengan pengeluar dan pembekal kontrak Malaysia. Beliau turut menolak kebimbangan bahawa harga minimum RM200,000 untuk EV import akan mengehadkan akses kepada model yang lebih murah, kerana pengeluar kereta masih boleh menawarkan EV berharga antara RM100,000 dan RM200,000 melalui pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

    “Jika mereka mahu menetapkan harga EV antara RM100,000 dan RM200,000, mereka boleh bekerjasama dengan pengeluar kontrak untuk mengilangkannya di sini,” katanya.

    Polisi EV Malaysia bukan sekadar lindung Perodua, Proton, sasar bangunkan industri tempatan – MITI

    Sim juga memberitahu bahawa kerajaan kini sedang fokus untuk membina “ekosistem lengkap” merangkumi pembuatan, rantaian bekalan, infrastruktur, bakat dan inovasi. Menurutnya lagi sektor automotif Malaysia menyumbang anggaran RM80 bilion hingga RM95 bilion kepada keluaran dalam negara kasar pada tahun 2025 dan menyokong lebih 750,000 pekerjaan.

    Sim menegaskan bahawa industri semikonduktor tempatan di mana Malaysia adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, akan menjadi sebahagian daripada kekuatan dan bakal melengkapkan industri tersebut terutamanya apabila EV dan kenderaan autonomi semakin bergantung kepada perisian dan cip.

    “Matlamat kami jelas. Kami ingin mewujudkan ekosistem yang lebih bersepadu di mana industri automotif dan semikonduktor bergerak secara sinergi. Ini akan membolehkan kita memperoleh nilai yang lebih besar, memperkukuh keupayaan teknologi kami dan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam penyelesaian mobiliti generasi akan datang,” tambahnya.

     
     
  • Lebih 100 kenderaan disaman di Plaza Tol Genting Highlands Entry kelmarin – tumpu kereta mewah

    Lebih 100 kenderaan disaman di Plaza Tol Genting Highlands Entry kelmarin – tumpu kereta mewah

    Pagi kelmarin, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Bentong bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan satu Operasi Bersepadu Kenderaan Mewah di Plaza Tol Genting Highlands Entry.

    Menurut JPJ Negeri Pahang, operasi ini dilaksanakan bagi memberi tumpuan terhadap kenderaan sport mewah yang menjadikan laluan Genting Highlands sebagai lokasi perlumbaan dan pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

    Pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk lesen memandu, lesen kenderaan motor, perlindungan insurans, pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi, bunyi ekzos berlebihan serta lain-lain kesalahan teknikal dan lalu lintas.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Salehhudin Mat Nasir, berkata sebanyak 215 kenderaan diperiksa dalam operasi dari jam 5 pagi hingga 12 tengah hari itu membabitkan 66 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi.

    Beliau berkata, sebanyak 102 kenderaan dikenakan tindakan, sekali gus menyaksikan 126 saman dikeluarkan menerusi notis saman P22.

    “Operasi itu tertumpu kepada penguatkuasaan terhadap kenderaan mewah yang melakukan kesalahan trafik dan teknikal. Antara kesalahan yang dikesan ialah memandu tanpa lesen memandu kompeten, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, gagal mempamerkan pelekat pemandu pelajar atau percubaan, kesalahan nombor pendaftaran serta pengubahsuaian sistem ekzos,” katanya.

    Tambahnya, seramai 39 pemandu didapati memandu tanpa lesen memandu kompeten, manakala 31 kenderaan mempunyai cukai jalan tamat tempoh dan 26 lagi beroperasi tanpa perlindungan insurans.

    “Sebuah SUV BMW X5 disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan selepas pemeriksaan mendapati cukai jalan dan insuransnya tamat tempoh sejak November tahun lalu. Kenderaan itu ditahan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak.

    “Sebuah lagi kenderaan, Mazda Roadster, ditahan mengikut Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan selepas cukai jalan dan insuransnya didapati tamat tempoh selama dua hari. Pemandu terbabit diarahkan memperbaharui cukai jalan di lokasi sebelum kenderaan itu dilepaskan,” katanya.

    JPJ turut mengeluarkan saman terhadap tujuh pemandu kerana gagal mempamerkan pelekat pemandu pelajar atau percubaan, selain lima kes membabitkan kesalahan nombor pendaftaran. Kesalahan lain yang dikesan termasuk pengubahsuaian ekzos dan pelanggaran berkaitan cermin sisi, masing-masing empat kes, manakala seorang pemandu dikenakan saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

    Dalam operasi yang sama, polis mengeluarkan 84 saman sepanjang operasi berkenaan, manakala JAS memeriksa 26 kenderaan dan mengeluarkan dua kompaun. Sementara itu, AADK turut menyaring 35 individu dengan dua daripadanya didapati positif dadah.

     
     
  • Peugeot Motocycles lancar rangkaian skuter untuk Msia – XP400 GT, Django, Speedfight4, dari RM10k

    Peugeot Motocycles lancar rangkaian skuter untuk Msia – XP400 GT, Django, Speedfight4, dari RM10k

    Pasaran skuter Malaysia kini menerima kemasukan rangkaian baru skuter Peugeot bagi tahun 2026 yang membabitkan tiga model termasuk satu varian tambahan. Mendahului barisan ialah Peugeot XP400 yang ditawarkan pada harga RM43,990.

    Turut diperkenalkan ialah Peugeot Django Classic 150 pada harga RM14,990 dan Peugeot Django CafeRacer berharga RM16,990, manakala model paling mampu milik dalam katalog tersebut ialah Peugeot Speedfight 4+ yang dijual pada harga RM9,990.

    XP400 tampil sebagai skuter bergaya adventure dan dibawa masuk ke Malaysia sebagai unit import penuh (CBU). Model ini menggunakan enjin Peugeot PowerMotion satu silinder bersesaran 400 cc dengan sistem penyejukan cecair serta mematuhi piawaian emisi Euro 5. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 36.7 hp pada 8,150 rpm dan tork maksimum 38.1 Nm pada 5,400 rpm.

    Bagi aspek tunggangan, XP400 dilengkapi fork USD berdiameter 41 mm di hadapan dengan jarak gerak suspensi 140 mm, manakala bahagian belakang menggunakan monoshock. Sistem brek pula menggunakan cakera hidraulik berkembar bersaiz 295 mm di hadapan dan cakera tunggal 240 mm di belakang, lengkap dengan sistem ABS dua saluran sebagai ciri standard.

    Skuter adventure ini menggunakan rim jejari bersaiz 17 inci di hadapan dan 15 inci di belakang dengan tayar bersaiz 110/70 serta 160/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 815 mm dengan berat keseluruhan 231 kg, manakala tangki bahan api mampu membawa 13.5 liter petrol.

    Paparan tunggangan XP400 menggabungkan skrin TFT-LCD bersama meter analog berkembar untuk kelajuan dan rpm enjin. Turut tersedia ialah sistem sambungan Bluetooth I-Connect yang membolehkan navigasi turn-by-turn dipaparkan menerusi telefon pintar penunggang.

    Beralih kepada model bergaya retro, Django Classic dan Django CafeRacer, ia menggunakan enjin satu silinder empat injap bersesaran 150 cc dengan sistem penyejukan cecair. Kuasa dihasilkan adalah sebanyak 14.5 hp pada 7,500 rpm bersama tork 13.8 Nm pada 5,500 rpm.

    Kedua-dua varian Django hadir dengan sistem ABS sebagai kelengkapan standard serta menggunakan brek cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang. Saiz rim pula ialah 12 inci bagi kedua-dua roda dengan tayar bersaiz 120/70.

    Dari segi praktikaliti, Django menyediakan ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah topi keledar jenis fullface. Tempat duduknya mempunyai ketinggian 780 mm, manakala dua ruang simpanan berkunci turut disediakan pada bahagian hadapan bersama soket kuasa 12-Volt di sebelah kanan.

    Peugeot Motocycles lancar rangkaian skuter untuk Msia – XP400 GT, Django, Speedfight4, dari RM10k

    Sementara itu, Peugeot Speedfight 4+ tampil dengan imej lebih sporty dan dikuasakan enjin SmartMotion satu silinder bersesaran 150 cc bersama sistem penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan 12.5 hp pada 7,500 rpm serta tork maksimum 13.2 Nm pada 5,500 rpm.

    Model ini menggunakan rim bersaiz 13 inci di hadapan dan belakang dengan tayar 130/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 800 mm manakala berat keseluruhan ialah 125 kg. Tangki bahan api pula berkapasiti 7.4 liter, sementara sistem brek menggunakan cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang lengkap dengan ABS dua saluran sebagai ciri standard.

    GALERI: Peugeot XP400 GT

    GALERI: Peugeot Django 150 Cafe Racer

    GALERI: Peugeot Django 150 Classic

    GALERI: Peugeot Speedfight4 150

     
     
  • 20 jenama terlaris April 2026 – Perodua no.1 catat lebih 32k unit, Proton 18k; Mitsu naik, Jetour atasi Chery

    20 jenama terlaris April 2026 – Perodua no.1 catat lebih 32k unit, Proton 18k; Mitsu naik, Jetour atasi Chery

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun mengeluarkan data bagi pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan April 2026, dan seperti biasa berdasarkan data tersebut kami sediakan carta untuk 20 jenama terlaris yang dijual sepanjang bulan lalu.

    Sekali lagi Perodua berada di tempat pertama, namun berbanding tiga bulan sebelumnya di mana pengeluar dari Rawang itu konsisten dengan jualan pada julat lebih 20k unit, untuk April 2026 buat pertama kali untuk tahun ini Perodua mencatatkan jualan bulanan melebihi 30k unit iaitu 32,065 unit. Ini juga membolehkan Perodua mencapai jualan kumulatif tahun (YTD) sehingga April melebihi 100,000 unit iaitu 106,298 unit.

    Proton juga masih lagi kekal di tempat kedua dengan mencatatkan pendaftaran April berjumlah 17,980 unit, menjadikan jumlah YTD kini 66,420 unit. Kedudukan ketiga juga tidak berubah dengan Toyota mencatatkan pendaftaran 9,055 unit (31,254 YTD), namun angka ini termasuk dengan jumlah pendaftaran kenderaan recond seperti Alphard dan Vellfire.

    20 jenama terlaris April 2026 – Perodua no.1 catat lebih 32k unit, Proton 18k; Mitsu naik, Jetour atasi Chery

    Juga masih sama adalah tempat keempat dan kelima iaitu Honda dan Omoda|Jaecoo dengan jualan masing-masing 3,969 unit (17,566 YTD) dan 1,590 unit (5,215 YTD). Manakala Mitsubishi yang baru melancarkan SUV XForce bulan lalu berjaya melonjak ke tempat keenam dengan pendaftaran sebanyak 1,576 unit (4,637 YTD) berbanding tempat tujuh pada Mac.

    Jenama yang berada di tempat keenam bulan sebelumnya iaitu Mazda jatuh ke tempah ke tujuh pada April dengan jumlah pendaftaran 1,428 unit (3,767 YTD). BYD turut mencatatkan jualan bulanan tertingginya tahun ini pada bulan lalu dengan jualan 1,413 unit (3,674 YTD).

    Dengan pelancaran SUV T2 pada bulan Mac membolehkan Jetour mencatatkan jumlah jualan empat angka buat pertama kali di Malaysia pada April lalu iaitu 1,197 unit (2,877 YTD), membolehkan ia naik satu anak tangga untuk berada di tempat ke sembilan. Menutup senarai 10 terlaris ada adalah jenama mewah Jerman, Mercedes-Benz dengan jualan bulanan April berjumlah 891 unit (2,952 YTD).

    20 jenama terlaris April 2026 – Perodua no.1 catat lebih 32k unit, Proton 18k; Mitsu naik, Jetour atasi Chery

    Jenama induk bagi Jetour iaitu Chery pula hanya berada di tempat ke-11 berbanding nombor lapan pada bulan sebelumnya, dengan jualan April berjumlah 891 unit (3,936 YTD).

    Lexus berada di tempat ke-12 dengan 586 unit (1,928 YTD), diikuti Great Wall Motor di tempat ke-13 dengan 562 unit (1.856 YTD), iCaur ke-14 dengan 547 unit (1,549 YTD), BMW ke-15 dengan 516 unit (2,182 YTD), Isuzu ke-16 dengan 510 unit (1,570 YTD) dan Nissan berada di kedududkan ke-17 dengan 388 unit (1,548 YTD).

    Zeekr yang ‘hilang’ dari senarai Top 20 ini pada bulan lalu muncul kembali untuk berada di tempat ke 18 dengan jualan berjumlah 357 unit (1,214 YTD). MINI juga muncul dalam carta bulan ini untuk berada di tempat ke-19 dengan jualan sebanyak 206 unit pada April (606 YTD), manakala Ford berada di tempat ke-20 dengan jualan April sebanyak 189 unit (1,062 YTD).

     
     
  • Suzuki V-Strom 1050 M’sia dapat warna baru – RM79k

    Suzuki V-Strom 1050 M’sia dapat warna baru – RM79k

    Suzuki Malaysia memperkenalkan pilihan warna baru untuk model adventure touring popularnya, Suzuki V-Strom 1050 bagi pasaran tempatan untuk tahun 2026. Model ini ditawarkan pada harga RM78,900 dengan tiga pilihan warna terkini iaitu Metallic Oort Grey, Metallic Matt Steel Green dan Glass Sparkle Black. Sebagai tambahan, setiap pembelian turut didatangkan dengan set bagasi tulen Suzuki secara percuma.

    Dari segi mekanikal, tiada perubahan dilakukan pada V-Strom 1050. Jentera ini masih dikuasakan enjin v-twin 90 darjah bersesaran 1,037 cc dengan sistem penyejukan cecair. Enjin tersebut menghasilkan kuasa 105.5 hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 100 Nm pada 8,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi quickshifter serta sistem pacuan rantai.

    Bagi sistem suspensi, V-Strom 1050 menggunakan fork USD di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang dipadankan dengan monoshock berserta pelarasan pra beban. Model ini menggunakan rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang dengan tayar masing-masing bersaiz 110/90 dan 150/70.

    Suzuki V-Strom 1050 M’sia dapat warna baru – RM79k

    Dari sudut teknologi tunggangan, Suzuki melengkapkan model ini dengan Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang mengawal pelbagai fungsi elektronik motosikal. Antaranya termasuk Suzuki Traction Control System (STCS), Motion Track Brake System, Cruise Control System, Hill Hold Control System, Load Dependent Control System dan Slope Dependent Control System. Turut disertakan ialah Suzuki Easy Start System bersama fungsi Low RPM Assist yang membantu mengelakkan enjin mati ketika motosikal mula bergerak dari keadaan pegun.

    Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin LCD bersaiz lima inci, manakala soket pengecas USB ditempatkan di bahagian kiri kokpit dan soket 12-volt disediakan di bawah tempat duduk penumpang. Tempat duduk V-Strom 1050 juga boleh dilaraskan dengan ketinggian asas 855 mm, selain dilengkapi pelindung angin boleh laras secara manual.

    Secara keseluruhan, motosikal adventure touring ini mempunyai berat 252 kg dan dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 20 liter, menjadikannya sesuai untuk tunggangan jarak jauh serta kegunaan harian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026