Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: PSG dan CFH bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Pahang yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PSG bakal dibuka bidaan mulai 21 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 25 Mei. Kebiasaanya keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Mei 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang, CFH, bakal dibuka bidaan mulai 22 Mei. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Mei 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • JPJ bakal guna ANPR laksana penguatkuasaan – kesan kesalahan melibatkan cukai jalan, insurans dll

    JPJ bakal guna ANPR laksana penguatkuasaan – kesan kesalahan melibatkan cukai jalan, insurans dll

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memaklumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan Projek Penguatkuasaan Bersepadu Automated Number Plate Recognition (P-B ANPR) bagi mempertingkatkan kecekapan, ketepatan dan integriti sistem penguatkuasaan jalan raya negara.

    Pelaksanaan projek rintis itu direncanakan dalam tempoh 36 bulan, walau bagaimana pun, buat masa ini, belum disahkan bila ia akan bermula. Namun projek rintis ini akan melibatkan penggunaan 375 unit kamera ANPR, 1,000 unit peranti SmED serta pembangunan pusat kawalan di Cyberjaya.

    “Sistem ini membolehkan pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan secara automatik termasuk melibatkan Lesen Kenderaan Motokar (LKM/cukai jalan), insurans, VEP, Road Charge serta kesalahan penggunaan telefon bimbit, lampu isyarat merah dan lorong kecemasan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata JPJ perlu mengguna pakai teknologi ANPR bagi menggantikan sekatan jalan raya untuk tujuan penguatkuasaan. “Saya tidak mahu melihat JPJ membuat sekatan jalan raya selepas plaza tol sehingga enam lorong menjadi satu. Orang ramai akan marah. Itu pendekatan lama. JPJ juga perlu berubah dan menggunakan kaedah yang lebih pintar,” katanya ketika itu.

    Pada tahun 2016, Johor menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan ANPR untuk penguatkuasaan kenderaan, manakala tahun lalu, Pulau Pinang mula menggunakannya bagi penguatkuasaan bayaran parkir.

    Di luar penguatkuasaan, ANPR sememangnya digunakan di banyak lokasi di Lembah Klang (terutamanya pusat beli-belah) untuk pembayaran parkir, dan PLUS turut menggunakannya untuk kutipan tol dalam projek rintis yang dilaksanakan di satu jajaran Lebuhraya Utara-Selatan.

     
     
  • Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan

    Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan

    Nampaknya bukan Malaysia sahaja yang gusar dengan kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China yang berpotensi untuk ‘membunuh’ industri automotif tempatan jika tidak dikendalikan dengan betul. Menurut laporan portal berita The Nation Thailand, gabungan 10 persatuan automotif yang mewakili lebih 1,500 pengendali di Thailand kini sedang melobi agar kerajaan mengenakan cukai lebih tinggi terhadap EV CBU bagi melindungi ekosistem automotif negara itu.

    Laporan tersebut menyatakan bahawa Persatuan Kenderaan Elektrik Thailand (EVAT), Persatuan Pengilang Alat Ganti Auto Thailand (TAPMA) dan kumpulan industri yang bersekutu telahpun mengemukakan cadangan kecemasan kepada kerajaan pada 14 Mei lalu, meminta kenaikan cukai eksais kepada sekurang-kurangnya 32% ke atas EV CBU sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstabilkan industri auto dan alat ganti Thailand.

    Kumpulan yang berkepentingan dalam industri automotif Thailand itu memberi amaran bahawa industri berkenaan sedang menghadapi ‘krisis paling serius’ apabila negara itu beralih kepada EV. Ia berkata peralihan pantas kepada EV, digabungkan dengan kelebihan kos model import CBU dari China, boleh ‘melemahkan pengeluaran tempatan dengan teruk dan mengancam kelangsungan pengeluar alat ganti kereta Thailand’.

    Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan

    Ia menambah bahawa pengeluaran kenderaan di Thailand menelan belanja sekitar 30% hingga 40% lebih tinggi berbanding mengimport kereta yang sama dari China, dan ini meletakkan pengeluar dan pembekal alat ganti tempatan dalam keadaan yang merugikan. Oleh itu, persatuan-persatuan itu mahu cukai eksais ke atas EV CBU dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 32%, mewujudkan jurang 30 mata peratusan dengan EV yang dihasilkan di dalam negara (CKD), yang kini tertakluk kepada cukai eksais 2%.

    Kumpulan itu berpendapat bahawa cukai yang lebih tinggi akan membantu mengimbangi jurang kos antara EV CKD dan CBU, sambil menggalakkan pengeluar kereta untuk terus melabur dalam pengeluaran tempatan. Permintaan agar kerajaan memperkenalkan langkah yang lebih kukuh bagi menggantikan polisi sedia ada ini dibuat ketika pemain industri tempatan bimbang kerana sebaik sahaja skim sokongan ‘EV 3.5’ yang kini sedang berjalan tamat kelak, pengeluar kereta China akan kembali mengimport EV CBU dan bukannya meneruskan pengeluaran di Thailand.

    Selain itu kumpulan berkenaan juga mencadangkan insentif dalam bentuk sistem kuota import yang dikaitkan secara langsung dengan pengeluaran tempatan. Di bawah cadangan itu, syarikat yang membuat pelaburan tulen dalam pengeluaran kenderaan di Thailand akan dibenarkan mengimport EV CBU pada kadar cukai eksais sedia ada yang lebih rendah iaitu 10%. Walau bagaimanapun, kuota tersebut akan dihadkan kepada tidak lebih daripada 10% daripada jumlah pengeluaran setiap syarikat.

    Kumpulan automotif Thailand mahu EV CBU China dikenakan cukai 32% untuk lindung industri tempatan

    Akhir sekali, kumpulan tersebut turut memohon peraturan kandungan tempatan 80%, di mana angka tersebut merujuk kepada nilai kenderaan. Mereka memohon kaedah pengiraan yang disemak semula untuk menutup kelemahan, serta menambah bahawa sistem semasa harus diperketatkan bagi mengelakkan keuntungan atau kos buruh daripada dikira dengan cara yang ‘melemahkan sokongan yang diperlukan untuk pengeluar alat ganti Thailand’.

    China merupakan pasaran automotif terbesar di dunia yang membolehkan mereka menghasilkan kenderaan dengan jumlah yang sangat besar seterusnya mengurangkan kos penghasilan. Malah buat masa sekarang di China walaupun pasaran dalam negara begitu besar, ia kini berhadapan dengan masalah kapasiti yang berlebihan dari permintaan semasa.

    Jadi agak mustahil untuk mana-mana negara bukan sahaja Thailand, Malaysia mahupun rantau ASEAN serta negara-negara lain di dunia untuk menghasilkan EV yang lebih murah berbanding yang diproduksi di China sendiri. Dan sekiranya ada peluang di mana-mana negara yang membolehkan EV CBU dari China dijual pada harga yang kompetitif, peluang tersebut pastinya digunakan bagi mengurangkan beban lebihan kapasiti yang berlaku di China.

    Faktor ini pastinya akan menjadi masalah sekiranya sesebuah negara itu mempunyai ekosistem pembuatan industri dalam negara, dan satu-satunya cara untuk melindungi industri tempatan adalah dengan mengenakan tarif dan duti terhadap EV yang diimport dari China berkenaan, dan inilah yang dibuat oleh MITI di Malaysia. Polisi yang akan bermula pada 1 Julai ini bukan hanya untuk melindungi Proton dan Perodua, malah seluruh ekosistem industri automotif tempatan yang melibatkan banyak pengeluar automotif lain yang telah sedia ada melabur di Malaysia.

     
     
  • Imej Honda City facelift 2027 terdedah di internet – bakal buat kemunculan sulung rasmi di India 22 Mei ini

    Imej Honda City facelift 2027 terdedah di internet – bakal buat kemunculan sulung rasmi di India 22 Mei ini

    Tahun ini merupakan tahun keenam Honda City GN2/GN6 berada dalam pasaran, dan kalau ikut kebiasaan ia sudah hampir untuk ditamatkan produksi. Namun nampaknya Honda memilih untuk memanjangkan lagi hayat produksi model ini bagi sekurang-kurangnya lagi tiga tahun dengan memperkenalkan model facelift baharu dengan rombakan muka yang besar.

    Model facelift tersebut dikhabarkan bakal membuat kemunculan sulungnya di India pada 22 Mei ini, namun sebelum ia didedahkan oleh Honda, beberapa foto intipan sudahpun bocor di internet. Gambar yang anda lihat ini adalah dari wartawan Financial Times, Akhbar Merchant di mana beliau memuatnaiknya di laman sosial X.

    Versi facelift kali kedua ini menampilkan muka yang langsung tidak sama seperti versi facelift sedia ada yang juga membuat kemunculan sulungnya di India pada 2023. Versi kali ini kelihatan lebih sporty dan tajam dengan lampu hadapan direka lebih nipis, nampak seperti bersepadu dengan gril hadapan yang lebar sehingga ke bahagian bawah lampu tersebut.

    Gril berkenaan menampilkan elemen sarang lebah seakan diinspirasikan dari gril Honda Civic Type R FL5, manakala logo ‘H’ pula diletakkan lebih tinggi daripada gril dengan gaya seperti Prelude generasi baharu. Juga nampaknya ada satu jalur lampu yang menghubungkan lampu hadapan sebelah kiri dan kanan diberikan.

    Imej Honda City facelift 2027 terdedah di internet – bakal buat kemunculan sulung rasmi di India 22 Mei ini

    Bampar hadapan juga langsung tidak sama dengan model sedia ada di mana ia diberikan kemasan tirai udara sisi berbentuk segi tiga. Juga kelihatan rekaan rim aloi baharu berbentuk turbin pada model facelift terkini ini.

    Tiada gambar sebelah belakang ditunjukkan. Tetapi menerusi satu gambar intipan dari Brazil memaparkan City facelift ini yang sedang diuji dengan masih menggunakan pelekat penyamaran, ia masih menggunakan lampu belakang yang sama seperti model sedia ada, dan mungkin hanya diberikan rekaan bampar belakang yang sedikit berbeza.

    Dijangkakan Honda City facelift 2027 ini masih digerakkan oleh unit rangkaian kuasa sama. Di Malaysia City menerima pilihan enjin petrol penuh 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS/145 Nm bersama kotak gear CVT automatik dan juga unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV menampilkan enjin 1.5L kitaran Atkinson berkuasa 98/127 Nm bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm.

    Model facelift sedia ada di Malaysia juga sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun. Mungkin City facelift 2027 ini juga termasuk dalam enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini?

     
     
  • Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028

    Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028

    Honda kini memberi tumpuan penuh kepada strategi pemulihan baru selepas syarikat itu berdepan krisis besar melibatkan projek kenderaan elektrik (EV). Dalam sesi pembentangan perniagaan yang berlangsung di Jepun, pengeluar automotif tersebut mengumumkan pelan pemulihan selama tiga tahun bagi mengembalikan prestasi kewangan syarikat selepas mencatatkan kerugian tahunan pertama dalam tempoh lebih 70 tahun operasi.

    Honda mensasarkan untuk kembali merekodkan keuntungan operasi tertinggi menjelang tahun 2029. Sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan itu, Honda akan mengalihkan pelaburan yang sebelum ini diperuntukkan untuk pembangunan EV kepada teknologi hibrid yang kini lebih mendapat permintaan di pasaran global.

    Sebanyak 15 model hibrid baru akan diperkenalkan antara tahun 2027 hingga 2029, dengan pasaran utama tertumpu di Amerika Syarikat. Honda juga merancang untuk memperkenalkan sedan dan model bersaiz lebih besar dalam segmen D bermula tahun 2029.

    Salah satu model terbaru yang diperlihatkan ialah Hybrid Sedan Prototype, sebuah sedan fastback empat pintu dengan rekaan moden dan sporty yang dijangka memasuki pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.

    Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028

    Model konsep itu tampil dengan logo H baru Honda, lampu hadapan jenis terpisah bersama lampu nyalaan siang berbentuk garis empat titik, gril bawah trapezoid bersaiz besar, pemegang pintu jenis tersembunyi serta garis bumbung yang melandai hingga ke bahagian belakang. Prototype tersebut dipamerkan bersama Acura Hybrid SUV Prototype yang bakal membantu memperkukuhkan semula jenama premium Acura di Amerika Syarikat.

    Selain Amerika Utara, pasaran Jepun turut akan menerima beberapa model baru termasuk N-Box EV yang dijadualkan diperkenalkan tahun depan bagi menyertai N-Van dan N-One e:. Honda turut mengesahkan bahawa HR-V generasi baru, yang dikenali sebagai Vezel di Jepun, akan dilancarkan pada tahun 2028. Model tersebut akan menggunakan sistem hibrid generasi baru Honda bersama teknologi bantuan pemandu termaju atau ADAS.

    Di India pula, Honda merancang memperkenalkan beberapa model strategik bermula tahun 2028 dalam segmen kereta bawah empat meter dan juga pasaran saiz sederhana. Langkah ini dilihat sebagai usaha Honda untuk menarik pelanggan motosikalnya beralih kepada kereta, memandangkan syarikat itu menjual hampir enam juta motosikal setiap tahun di negara tersebut.

    Kesemua model baru ini akan dibangunkan menerusi pendekatan “Triple Half” yang diperkenalkan Honda. Strategi tersebut bertujuan mengurangkan kos pembangunan, tempoh pembangunan dan beban kerja sehingga separuh berbanding tahap tahun 2025. Honda akan mencapai sasaran itu menerusi penggunaan komponen standard serta penilaian semula piawaian pembangunan dalaman syarikat, selain mengambil inspirasi daripada pengeluar automotif China dan India.

    Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028

    Honda turut menyasarkan proses pembangunan model yang lebih pantas. Perubahan kecil seperti facelift akan dipercepatkan bermula tahun ini, manakala perubahan model penuh akan dilaksanakan mulai 2028. Dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat itu juga mahu meningkatkan kecekapan pengeluaran menerusi pengagihan sumber dan pelaburan yang lebih efektif untuk model serta peralatan baru.

    Dari sudut teknologi, Honda sedang berusaha mengurangkan kos sistem hibrid generasi barunya lebih 30 peratus berbanding sistem e:HEV semasa yang diperkenalkan pada tahun 2023. Pada masa sama, sistem tersebut disasarkan menawarkan peningkatan kecekapan bahan api sekitar 10 peratus bersama platform baru dan sistem pacuan semua roda elektrik.

    Teknologi ADAS generasi baru yang akan digunakan pada HR-V 2028 juga bakal diperluaskan kepada 15 model lain dalam tempoh lima tahun akan datang. Sementara itu, sistem infotainmen Asimo OS yang asalnya dibangunkan untuk siri EV Honda 0 Series yang telah dibatalkan kini akan digunakan pada model hibrid.

    Dalam usaha mengoptimumkan kos dan penggunaan sumber, Honda akan lebih bergantung kepada pembekal luar. Syarikat itu turut menghentikan sementara pengeluaran bateri EV secara dalaman dan akan mengubahsuai fasiliti L-H Battery, iaitu usaha sama bersama LG di Ohio, Amerika Syarikat, untuk menghasilkan bateri bagi kenderaan hibrid. Di China pula, Honda akan memanfaatkan kerjasama dengan pengeluar tempatan bagi membangunkan kenderaan tenaga baru menggunakan platform sedia ada, sama seperti pendekatan yang digunakan Nissan.

    Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028

    Pelan pemulihan Honda turut disokong oleh penstrukturan semula organisasi yang diumumkan pada Februari lalu. Divisyen penyelidikan dan pembangunan Honda kini menyerap semula unit pembangunan automotif dan operasi automotif yang dipisahkan sejak tahun 2020.

    Langkah ini dijangka mempercepatkan proses membuat keputusan dan membantu syarikat bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan pasaran. Honda juga telah menghentikan pembangunan kenderaan berasaskan perisian atau software-defined vehicles (SDV), dengan perubahan tersebut berkuat kuasa mulai 1 April lalu.

    Langkah drastik ini diambil selepas Honda membatalkan projek EV 0 Series pada Mac lalu, hanya beberapa bulan sebelum model tersebut dijadualkan dilancarkan di Amerika Syarikat. Keputusan itu dibuat susulan tarif Amerika Syarikat yang tidak memihak kepada syarikat serta penurunan daya saing Honda di Asia.

    Pengurangan pelaburan dalam EV menyebabkan Honda mencatatkan kerugian tahunan sebanyak 414.3 bilion yen, bersamaan kira-kira RM10.3 bilion, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.

    Fokus EV tidak berhasil, Honda tetap semula hala tuju – Hybrid Sedan Prototype ditunjuk, HR-V baru 2028

    Menerusi pelan penstrukturan semula ini, Honda menyasarkan untuk menyelesaikan kerugian berkaitan EV menjelang tahun kewangan 2028. Syarikat itu turut meletakkan sasaran keuntungan operasi melebihi 1.4 trilion yen atau sekitar RM34.8 bilion menjelang 31 Mac 2029, selain mahu kembali mencapai sasaran pulangan modal pelaburan (ROIC) sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2031.

    Walaupun mengurangkan fokus terhadap EV, Honda menegaskan bahawa syarikat itu tidak meninggalkan teknologi tersebut sepenuhnya. Honda masih akan melabur sehingga 800 bilion yen atau sekitar RM19.9 bilion bagi pembangunan platform EV kompetitif serta bateri solid-state sebagai persediaan menghadapi peningkatan permintaan EV pada masa hadapan.

    Namun begitu, jumlah pelaburan itu masih jauh lebih kecil berbanding satu trilion yen yang diperuntukkan untuk teknologi perisian dan 4.4 trilion yen yang akan dilaburkan dalam pembangunan kenderaan petrol dan hibrid.

     
     
  • Eneos ambil alih stesen minyak Caltex di Malaysia — jenama Caltex dikekal, nilai perjanjian RM8.5 bilion

    Eneos ambil alih stesen minyak Caltex di Malaysia — jenama Caltex dikekal, nilai perjanjian RM8.5 bilion

    Syarikat minyak gergasi Jepun, Eneos, telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah mencapai persetujuan dengan Chevron untuk mengambil alih 100% perniagaan bahan api dan pelincir hiliran syarikat AS tersebut di Asia Tenggara. Ini termasuk di Malaysia, Singapura, Filipina, Australia, Vietnam dan Indonesia. Dengan itu, Eneos akan mengambil alih operasi lebih 450 stesen minyak Caltex di Malaysia.

    Bagaimanapun, penjenamaan Caltex yang sedia ada dikekalkan, dan tidak akan digantikan dengan penjenamaan Eneos dengan warna oren ikoniknya. “Jenama Caltex yang telah dibina dan dibangunkan oleh Chevron selama beberapa dekad merupakan aset perniagaan yang sangat penting, dan kami komited sepenuhnya bukan sahaja untuk memelihara nilainya, tetapi juga untuk terus mengembangkannya,” jelas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Eneos, Miyata Tomohide.

    Eneos membeli perniagaan hiliran tersebut — termasuk 50% pegangan bukan-kendalian Chevron Singapura dalam Singapore Refining Company (SRC) — melalui special purpose vehicle (SPV) Singapura. Transaksi bernilai AS$2.17 bilion (RM8.5 bilion) itu dijadualkan selesai pada 2027, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat penutupan.

    Eneos ambil alih stesen minyak Caltex di Malaysia — jenama Caltex dikekal, nilai perjanjian RM8.5 bilion

    “Perjanjian hari ini mencerminkan pendekatan berdisiplin Chevron dalam menguruskan portfolio antarabangsa kami. Kami berbangga dengan apa yang telah dibina oleh kakitangan kami selama 90 tahun dalam melayani pelanggan dan menyokong komuniti di seluruh rantau Asia Pasifik melalui jenama Caltex yang dipercayai.

    “Chevron komited untuk menyokong peralihan yang teratur ketika pasukan kami bersedia untuk menyertai ENEOS, rakan kongsi yang sangat berharga, yang mempunyai hubungan komersial yang lama dan keyakinan kukuh terhadap kejayaan berterusan jenama Caltex di seluruh rantau ini,” kata Presiden Hiliran, Pertengahan dan Bahan Kimia Chevron, Andy Walz.

    Tomohide juga menambah: “Pelaburan ini mewakili langkah penting dalam memperkukuh platform perniagaan yang menghubungkan Jepun dengan Asia Tenggara dan pasaran Oceania, sambil menyatukan kekuatan daya saing yang dibangunkan di setiap pasaran untuk memajukan pertumbuhan kumpulan kami ke peringkat seterusnya. Ke hadapan, kami akan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran, rangkaian serta asas perniagaan yang telah dibangunkan di setiap pasaran untuk meningkatkan lagi keupayaan perniagaan dan perdagangan produk bahan api kami.”

     
     
  • Foton Tunland V7, V9 dipamer di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas dari China, dijangka bermula RM129k

    Foton Tunland V7, V9 dipamer di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas dari China, dijangka bermula RM129k

    Seperti yang dilaporkan bulan lalu, trak pikap Foton Tunland kini kembali ke pasaran Malaysia dengan menggunakan nama asalnya. Model dari China itu dibawa masuk oleh Handal BCM, syarikat yang turut mengendalikan rangkaian trak ringan dan van Foton selain jenama Kaicene (Changan) serta Golden Dragon.

    Dua varian akan ditawarkan kepada pengguna tempatan iaitu Tunland V7 dengan anggaran harga RM128,888 dan Tunland V9 pada harga sekitar RM148,888. Kedua-dua model ini sedang dipertontonkan di Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) yang berlangsung di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), dan dijangka dilancarkan secara rasmi minggu hadapan. Menariknya, kedua-duanya hadir bersama jaminan selama tujuh tahun atau 200,000 kilometer.

    Walaupun menggunakan nama berbeza, Tunland V7 dan V9 sebenarnya berkongsi platform serta dimensi yang sama. Kedua-duanya berukuran 5,617 mm panjang, 2,090 mm lebar dan 1,955 mm tinggi dengan jarak roda 3,355 mm. Saiz ini menjadikan Tunland jauh lebih besar berbanding Toyota Hilux generasi kelapan, malah menghampiri dimensi trak pikap bersaiz penuh seperti Ford F-150.

    Namun begitu, kapasiti muatan yang ditawarkan hanyalah 895 kg, sedikit rendah berbanding standard satu tan yang lazim bagi trak pikap pertengahan. Keadaan ini dipercayai berpunca daripada penggunaan suspensi belakang jenis gegelung pada V9, manakala V7 menggunakan suspensi dedaun konvensional tetapi masih mengekalkan kapasiti muatan yang sama. Dari segi kemampuan menarik beban pula, kedua-duanya mampu menunda sehingga 3,500 kg, setanding dengan pesaing dalam segmen ini.

    Kedua-dua model dikuasakan enjin empat silinder diesel turbo Aucan 4F20 berkapasiti 2.0 liter yang dibangunkan bersama Cummins. Enjin ini menggunakan turbo geometri berubah (VGT) serta sistem hibrid ringkas 48-volt. Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 163 PS pada 3,600 rpm dan tork 400 Nm antara 1,500 hingga 2,400 rpm. Motor elektrik turut memberikan tambahan 12 PS dan 50 Nm ketika pecutan manakala penggunaan bahan api didakwa sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km.

    Sistem rangkaian kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan daripada ZF serta sistem pacuan empat roda lengkap dengan mod gear rendah daripada Borgwarner. V9 menerima tambahan differential belakang berkunci serta stereng kuasa elektrik, manakala V7 masih menggunakan stereng hidraulik. Kedua-duanya menawarkan enam mod pemanduan termasuk Sand, Mud dan Snow untuk penggunaan offroad, dengan pilihan mod dikawal menerusi tombol jenis putar.

    Foton Tunland V7, V9 dipamer di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas dari China, dijangka bermula RM129k

    Perbezaan utama antara V7 dan V9 lebih tertumpu kepada reka bentuk luaran serta kelengkapan tambahan. V7 tampil dengan lampu utama LED dual-projector menegak dan gril besar yang mengingatkan kepada Ford F-150. Sementara itu, V9 menampilkan rekaan hadapan yang mirip Ram 1500 dengan lampu hadapan mendatar serta gril trapezoid gaya TRX. Kedua-duanya turut dilengkapi elemen seperti liang udara tepi hiasan, pemegang pintu besar dan lampu belakang berbentuk segi tiga.

    V9 bagaimanapun hadir dengan lebih banyak elemen premium seperti lampu belakang LED penuh, rel bumbung, sports bar, pelindung fender hitam dan pemijak tepi yang lebih menarik. Kedua-dua model dibekalkan bed liner dan tailgate damper, namun hanya V9 mempunyai tangga lipat pada pintu ruang kargo. Rim aloi hitam 18 inci turut diberikan, dengan rekaan “leisure” untuk V7 dan “sport” bagi V9.

    Di bahagian kabin, kedua-dua model menampilkan rekaan moden dengan papan pemuka melintang, konsol tengah lebar serta kemasan perak berbentuk U yang diinspirasikan daripada tuil kapal layar. Unit V7 yang dipamerkan menggunakan meter analog bersama paparan multi-info, namun model pasaran tempatan dijangka menerima paparan instrumen digital 12.3 inci seperti V9. Sistem infotainmen pula menggunakan skrin sesentuh 14.6 inci lengkap dengan Apple CarPlay.

    Foton Tunland V7, V9 dipamer di Malaysia – trak pikap hibrid ringkas dari China, dijangka bermula RM129k

    Ruang dalaman turut menawarkan tempat duduk belakang boleh lipat yang menempatkan bateri lithium-ion sistem hibridnya. Bahagian tempat duduk boleh diangkat bagi memudahkan penyimpanan barangan tinggi, sama seperti konsep Ultra Seats pada Honda City Hatchback dan HR-V. Corong pendingin hawa belakang diberikan secara standard.

    Dari segi kelengkapan, kedua-dua model hadir dengan pelarasan stereng tilt dan teleskopik, tempat duduk pemandu larasan kuasa 10 hala serta kemasan kulit tiruan. Namun, hanya V9 dilengkapi bumbung suria panoramik, cermin pandang belakang auto malap, soket kuasa 220 volt serta dua soket USB-A tambahan untuk penumpang belakang.

    Bagi V7, antara kelengkapan yang disediakan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, cermin sisi lipat manual, lampu suasanan, cruise control, pendingin hawa automatik, empat pembesar suara, sensor parkir belakang dan kamera undur.

    V9 pula ditambah dengan sistem pendingin hawa dua zon berserta penapis udara, pemanas cermin sisi, enam pembesar suara, kamera 360 darjah dengan fungsi lutsinar serta sensor parkir hadapan. Fungsi pemanas cermin belakang juga hanya tersedia pada V9.

    Aspek keselamatan menjadi perbezaan paling ketara antara kedua-dua model. V7 hanya dilengkapi dua beg udara bersama kawalan kestabilan dan hill descent control. Sebaliknya, V9 menerima enam beg udara serta pelbagai sistem bantuan pemandu moden seperti brek kecemasan autonomous, adaptive cruise control, bantuan pengekalan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pemantau tahap fokus pemandu berasaskan kamera dan lampu tinggi automatik.

    Foton Tunland V7 dan V9 akan dibawa masuk terlebih dahulu sebagai unit import penuh (CBU) menerusi program peralihan CKD mengikut peraturan MITI sebelum pemasangan tempatan dimulakan di Johor pada suku keempat tahun ini. Selain itu, Foton turut mempamerkan model eTunland generasi terdahulu di MCVE bagi menilai minat pengguna terhadap trak pikap elektrik di Malaysia.

    GALERI: Foton Tunland V7 di MCVE 2026

    GALERI: Foton Tunland V9 di MCVE 2026

     
     
  • Kerajaan kaji langkah tambahan ‘lebih tegas’ untuk bendung pemanduan bawah pengaruh alkohol/dadah

    Kerajaan kaji langkah tambahan ‘lebih tegas’ untuk bendung pemanduan bawah pengaruh alkohol/dadah

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sekali lagi menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan bertolak ansur terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah (DUI), dan beberapa langkah tambahan yang lebih tegas sedang dikaji bagi membanteras perkara tersebut.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya menerusi acara Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026 yang sedang berlangsung di Seri Kembangan, pagi ini.

    “Dalam isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, izinkan saya menyatakan dengan jelas, kementerian tidak akan bertolak ansur terhadap kes DUI dalam kalangan pemandu, walaupun tiada kemalangan berlaku. Pemanduan melulu membahayakan nyawa. Kami sedang meneliti langkah tambahan untuk menanganinya, dan langkah tersebut akan bersifat tegas,” katanya.

    Kerajaan kaji langkah tambahan ‘lebih tegas’ untuk bendung pemanduan bawah pengaruh alkohol/dadah

    Baru-baru ini dilaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan individu yang disabitkan kesalahan DUI membayar pampasan kepada keluarga mangsa. Pampasan tersebut akan dikenakan selain hukuman penjara yang diperuntukkan di bawah Akta 333, kata Anthony Loke sebelum ini.

    Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) telah diluluskan di Dewan Rakyat dan mula berkuat kuasa pada Oktober 2020, yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

    Di bawah Seksyen 44 akta tersebut, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

    Bagi kesalahan berulang, hukumannya lebih berat iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, bersama denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

     
     
  • Kia Sales Malaysia anjur acara pengalaman pemilikan, tunjuk standard operasi lepas jualan dan servis

    Kia Sales Malaysia anjur acara pengalaman pemilikan, tunjuk standard operasi lepas jualan dan servis

    Sebagai sebahagian daripada strategi ‘Return, Rebuild and Reposition’, Kia Sales Malaysia telah merasmikan Kia Ownership Experience, yang merupakan acara selama seminggu yang berlangsung dari 11-17 Mei 2026 di pusat 3S utama Kia Glenmarie.

    “Melalui Kia Ownership Experience, kami berhasrat untuk membina hubungan yang lebih erat bersama pelanggan. Ia juga sebuah usaha penambahbaikan ke atas tawaran lepas jualan kami di seluruh rangkaian Kia yang semakin berkembang,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSM, Hyung Ho Kim.

    Selain membina keyakinan pelanggan melalui pemerhatian langsung terhadap usaha KSM untuk memperkukuh operasi lepas jualan, standard perkhidmatan serta amalan baik dalam layanan pelanggan, acara itu juga bertujuan menjadi platform untuk syarikt itu berhubung semula dengan pemilik kenderaan Kia sedia ada. Sepanjang minggu ini, kira-kira 100 pemilik model Kia — daripada Sephia dan Forte hingga EV9 — akan membawa kenderaan masing-masing untuk pemeriksaan 65-titik, yang semuanya akan dilakukan sendiri oleh Hyung Gyu Choi.

    Kia Sales Malaysia anjur acara pengalaman pemilikan, tunjuk standard operasi lepas jualan dan servis

    Hyung Gyu Choi ialah Pengurus Teknikal Kanan dari pasukan operasi pemilikan Kia dan mempunyai lebih 34 tahun pengalaman lepas jualan dan perkhidmatan teknikal global. Beliau mula menyertai syarikat Korea Selatan itu sejak tahun 1993.

    Pengarah Urusan KSM, Emily Lek turut menegaskan bahawa faktor utama bagi operasi lepas jualan yang dipertingkatkan ini adalah sebuah gudang alat ganti khusus dengan keluasan 35,000 kaki persegi, yang akan menyokong dan memastikan kecekapan perkhidmatan yang lebih tinggi, serta memendekkan masa untuk menyelesaikan sesebuah kes.

    Kia Sales Malaysia anjur acara pengalaman pemilikan, tunjuk standard operasi lepas jualan dan servis

    “Selain itu, proses perkhidmatan 10-langkah yang berstruktur yang diamalkan juga mencerminkan komitmen kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan — daripada tempahan temu janji dan perundingan peribadi, hinggalah kepada penghantaran kenderaan dan susulan ke atas pelanggan — dan direka bentuk untuk meningkatkan keyakinan dan ketenangan fikiran pelanggan sepenuhnya sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” katanya.

    Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kia dalam fasa terbaru jenama itu di Malaysia ketika ini, anda boleh berkunjung dan menyertai program “hari keluarga” yang akan berlangsung hujung minggu ini, 15-17 Mei, dengan pelbagai aktiviti ditawarkan — berkaitan servis, sesi penglibatan teknikal, jamuan ringan, aktiviti kanak-kanak, promosi eksklusif dan akses dekat kepada produk dan perkhidmatan terkini Kia. Acara ini juga disokong oleh rakan strategik seperti Goodyear, Trapo dan EV Connection (EVC).

     
     
  • Kia Maintenance Plan dilancar di M’sia — perlindungan lima-tahun untuk Carnival dan Sportage; dari RM2,980

    Kia Maintenance Plan dilancar di M’sia — perlindungan lima-tahun untuk Carnival dan Sportage; dari RM2,980

    Selain pengenalan kepada pengukuhan operasi lepas jualan dan standard perkhidmatan, Kia Sales Malaysia (KSM) kini turut melancarkan Pelan Penyelenggaraan Kia (KMP) buat julung kalinya.

    Syarikat itu menyifatkan KMP sebagai sebuah program yang membolehkan pelanggan “mengekalkan” kos servis sepanjang tempoh perlindungan hinggalah kepada lima-tahun. Ringkasnya, pelanggan akan membayar kos penyelenggaraan kenderaan anda terlebih dahulu berdasarkan harga semasa. Ini akan melindungi mereka daripada sebarang kenaikan harga dan kos pada masa hadapan yang melibatkan tenaga pekerja, alat ganti atau minyak enjin.

    Ditawarkan untuk keseluruhan barisan model semasa, program ini merangkumi barangan berkaitan servis seperti minyak enjin sintetik sepenuhnya, penapis minyak enjin, penapis kabin, penapis udara untuk enjin, bendalir brek, palam pencucuh serta pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan.

    Pelan Penyelenggaraan Kia ini ditawarkan dengan harga RM3,580 untuk MPV Carnival (2.2D, semua varian), manakala RM2,980 untuk Sportage versi 1.6T. Versi 2.0 NA SUV berkenaan juga termasuk dalam program ini, dengan harga pelan RM3,680.

    Tempoh servisnya adalah setiap 12 bulan atau 10,000/15,000 km mengikut terma dan syarat. Turut dinyatakan, kenderaan yang layak untuk menikmati pelan terbaru ini mestilah berusia kurang daripada 11 bulan (dari tarikh mula jaminan) dengan jarak perjalanan kurang daripada 10,000 km. Program KMP terikat hanya ke atas kenderaan yang melanggani pelan tersebut, dan boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya bagi unit kenderaan yang sama itu.

     
     
  • JPJ siar kempen panggil balik membabitkan motosikal Honda CMX500A dan CBR650RAC – 430 unit terlibat

    JPJ siar kempen panggil balik membabitkan motosikal Honda CMX500A dan CBR650RAC – 430 unit terlibat

    Honda CMX500A

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) bagi dua model motosikal berkuasa tinggi keluaran Boon Siew Honda Sdn. Bhd. Menurut JPJ, untuk kali ini, pihaknya menyenaraikan model CMX500A keluaran tahun 2023-2025, melibatkan 160 unit, disebabkan masalah skru pengunci pemegang longgar.

    Model kedua dari jenama yang sama yang dipanggil balik ialah CBR650RAC keluaran tahun 2024-2025 yang membabitkan 270 unit, dikatakan berisiko mengalami litar pintas pada bahagian pendawaian.

    “Aktiviti pemanggilan semula tersebut akan dilaksanakan bermula 25 Mei 2026 melibatkan model yang dikenal pasti terjejas bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan terhadap komponen berkaitan.

    JPJ siar kempen panggil balik membabitkan motosikal Honda CMX500A dan CBR650RAC – 430 unit terlibat

    Honda CBR650RAC

    “Semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing. Pemilik kenderaan juga turut dibenarkan hadir secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut JPJ lagi, Sebarang komponen yang dikenal pasti terlibat akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd.

    “Oleh yang demikian, semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya lagi.

    Maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh ke mana-mana pusat jualan/perkhidmatan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. yang berdekatan atau menghubungi talian 04-506 3333 atau 03-6144 0963, e-mel [email protected] dan layari laman web rasmi syarikat berkenaan.

     
     
  • Proton eMas – lebih 20,000 unit berada di jalan raya, tempahan eMas 7 PHEV kini capai lebih 6,500

    Proton eMas – lebih 20,000 unit berada di jalan raya, tempahan eMas 7 PHEV kini capai lebih 6,500

    Proton New Energy Technology (Pro-Net) mengumumkan bahawa lebih dari 20,000 unit model-model Proton dengan teknologi elektrifikasi yang dijual dengan jenama Proton eMas kini sudah pun berada di atas jalan raya dalam negara. Buat masa sekarang tiga model Proton eMas telah pun dilancarkan bermula dengan eMas 7 pada Disember 2024, diikuti eMas 5 pada Oktober 2025, dan yang terbaharu eMas 7 PHEV diilancarkan pada Februari lalu.

    Secara spesifiknya sebanyak 20,509 unit Proton eMas telah didaftarkan setakat ini, di mana 10,067 unit daripadanya adalah Proton eMas 7 dan 8,687 unit aalah Proton eMas 5, dan 1,755 unit selebihnya adalah eMas 7 PHEV membolehkan ia menjadi model PHEV paling laris di Malaysia buat masa sekarang.

    Sehingga kini sebanyak lebih 6,500 unit eMas7 PHEV telah ditempah, dan pada bulan April sahaja sebanyak 1,013 unit telah didaftarkan.

    “Melepasi 20,000 unit ini menunjukkan kepercayaan yang semakin kukuh daripada pelanggan di Malaysia terhadap Proton eMas. Pada masa yang sama, ia juga mencerminkan perubahan yang semakin ketara apabila lebih ramai pemandu kini yakin untuk beralih kepada mobiliti elektrik,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

    Dengan jumlah kenderaan di atas jalan raya yang semakin bertambah, Pro-Net juga kini sedang berusaha untuk memperluasakan pusat khidmat servis selepas jualan jenama Proton eMas. Buat masa sekarang Proton eMas sudah mempunyai 53 operasi pengedar di seluruh negara, disokong oleh 10 pusat body and paint, manakala pusat 3S sedang diperluas kepada 40 lokasi.

    “Seiring dengan pertumbuhan jenama kenderaan elektrik kami, adalah sama penting untuk kami memperkukuh ekosistem yang menyokong perkhidmatan kepada pelanggan. Fokus kami kekal untuk memastikan pengalaman pemilikan yang boleh dipercayai dan lancar, sekali gus membina keyakinan jangka panjang terhadap mobiliti elektrik,” tambah Zhang Qiang.

     
     
  • GALERI: 4 generasi Honda Prelude dipamer di Sepang

    GALERI: 4 generasi Honda Prelude dipamer di Sepang

    Ketika sesi pra-tonton Honda Prelude generasi ke-enam di Litar Antarabangsa Sepang pagi tadi, Honda Malaysia turut membawa model-model Prelude generasi sebelumnya bagi memperlihatkan legasi dan evolusi model GT tersebut. Walau bagaimanapun, hanya tiga generasi lama Prelude di bawa untuk dipertontonkan, menjadikan empat generasi Prelude dikumpulkan serentak dalam satu acara.

    Model generasi pertama Prelude dilancarkan pada November 1987, di mana ia merupakan percubaan pertama Honda (sebab itulah ia diberi nama Prelude) untuk menghasilkan sebuah model Grand Touring yang bukan mensasarkan prestasi di atas litar, tetapi ia lebih kepada sebuah kereta yang sporty dan dalam masa yang sama selesa untuk pemandu menjelajah dalam jarak jauh.

    Namun berbanding model-model GT lain yang lazimnya menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR), Prelude adalah GT dengan enjin hadapan pacuan hadapan (FF), di mana Honda adalah pakar dalam menghasilkan kereta dengan bentangan sedemikian.

    Model generasi pertama Prelude banyak berkongsi kelengkapan mekanikal dengan Accord generasi pertama, termasuk enjin, transmisi, tetapan suspensi bebas topang McPherson untuk bahagian hadapan dan belakang, serta banyak lagi. Namun casis Prelude ini dihasilkan lebih lebar dan dengan jarak roda antara hadapan dan belakang yang lebih pendek.

    GALERI: 4 generasi Honda Prelude dipamer di Sepang

    Ini bagi membolehkan Prelude direka dengan gaya sebuah Coupe dua-pintu sebenar dengan but pendek dan bonet hadapan panjang seperti sebuah GT asli. Manakala rupa luaran dan dalamannya pula banyak mengambil bayangan dari rekaan Honda Civic generasi kedua. Dan untuk pengetahuan anda juga, Prelude generasi pertama ini juga merupakan model pertama Honda yang dipadankan dengan bumbung suria secara standard.

    Malangnya tiada kelibat Prelude generasi pertama dipamerkan hari ini. Model paling lama yang dibawa adalah Honda Prelude generasi ketiga yang muncul buat pertama kali pada tahun 1987. Ini adalah antara model Prelude yang paling ikonik di mana ia banyak mengekalkan perincian dari versi generasi kedua seperti badan yang sangat ‘leper’ dan lebar serta lampu hadapan jenis pop-up sehingga ia mendapat nama gelaran ‘Prelude Playboy’ satu ketika dahulu. Ia juga menerima sistem suspensi jenis double wishbone pada bahagian hadapan dan belakang yang turut sudah ditampilkan pada model generasi kedua pada tahun 1982.

    Pada bahagian dalaman, Perlude generasi ketiga ini juga masih mengekalkan tempat duduk separa bucket dengan penyokong sisi hanya pada sebelah bawah, di mana identiti ini kekal dari model generasi pertama sehingga generasi keenam yang terbaharu, namun tidak diberikan pada versi generasi ke lima.

    Prelude generasi ketiga ini juga tampil dengan satu lagi teknologi ikonik iaitu sistem stereng untuk gandar belakang yang digelar sebagai 4WS (4-wheel steering). Sistem ini membolehkan Prelude menjadi sebuah kereta yang lincah ketika mengambil selekoh berturut-turut yang berlainan arah, dan turut mudah dikendalikan pada laluan yang sempit seperti kawasan parkir.

    Honda menawarkan enjin siri B pada model generasi ketiga ini yang datang dalam versi 2 liter (B20) dan 2.1 liter (B21), serta pelbagai varian seperti menggunakan karburator atau sistem suntikan bahan api PGM-Fi, serta versi aci sesondol tunggal (SOHC) 12-injap dan aci sesondol berkembar (DOHC) 16-injap.

    Honda Prelude generasi keempat pula muncul pada tahun 1991, di mana model ini menampilkan banyak perubahan besar dari versi sebelumnya. Ia kini tidak lagi leper, tiada lagi lampu hadapan pop up, manakala but belakang pula direka lebih tinggi.

    Namun menerusi model generasi keempat ini, Prelude yang sebelum ini dikenali sebagai sebuah GT yang selesa telah mula berubah imej menjadi model yang boleh dikaitkan dengan prestasi. Ini kerana di Jepun, Prelude hadir dengan varian Si VTEC yang menerima enjin H22A 2.2 liter DOHC VTEC yang menjana 200 PS dan tork 220 Nm tanpa bantuan pengecas turbo.

    Selain dari versi dengan prestasi yang serius ini, Prelude masih ditawarkan dengan varian lebih rendah yang digerakkan oleh enjin-enjin tanpa VTEC dari siri F22, H22 serta H23. Produksi Prelude generasi keempat ini tamat pada tahun 1996 dan ia terus digantikan dengan model generasi kelima.

    Kali ini rekaan Prelude cuba dikembalikan pada asal dengan badan yang lebar dan rendah termasuk pada but belakang, lampu belakang yang kembali direka melintang, malah lampu hadapan tetap pada coupe ini turut direka bersegi seakan mengingatkan kita kepada bentuk lampu pop-up Prelude generasi kedua dan ketiga.

    Manakala untuk enjin, varian paling berkuasa iaitu Type S masih dibekalkan dengan enjin DOHC VTEC H22A, tetapi kali ini ditala semula bagi mengerah lebih kuasa sehingga 220 PS. Varian-varian lebih ‘lembut’ dengan enjin siri F22 masih ditawarkan pada model generasi ini.

    Honda Prelude generasi kelima ini ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2001, dan Honda tiada sebarang perancangan untuk menghasilkan model gantian ketika itu. Sehinggalah pada tahun 2023, Honda tiba-tiba mendedahkan Prelude Concept ketika berlangsungnya Tokyo Mobility Show, diikuti dengan model produksi sebenar Prelude generasi keenam dilancarkan pada September 2025.

    Untuk model generasi baharu ini, Prelude berkongsi platform dengan Honda Civic generasi ke-11. Ia masih dihasilkan sebagai sebuah Coupe, namun pada belakang Prelude kini menampilkan rekaan seperti fastback di mana bahagian but boleh dibuka sekali dengan cermin belakang.

    Apa yang menarik, Prelude berkongsi kelengkapan suspensi yang sama seperti Civic Type R termasuk konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi, di mana ia turut menampilkan lebar trek roda hadapan dan belakang yang sama sepenuhnya seperti Civic Type R. Sistem suspensi adaptif turut diberikan pada Prelude, namun ia diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.

    Malah Honda turut mengambil sepenuhnya sistem brek Brembo dari Civic Type R FL5 untuk dipadankan pada Prelude generasi baharu ini, bersama set roda dengan rim aloi 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19.

    Namun untuk unit rangkaian kuasa, Prelude dibawa kembali kepada konsep asalnya pada generasi pertama sehingga ketiga, dibekalkan dengan kuasa yang tidak bersifat ‘liar’. Honda memilih untuk memadankan unit rangkaian kuasa e:HEV yang menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 PS dan juga tork 182 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 184 PS dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 203 PS dan tork maksima 315 Nm.

    Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.

    GALERI: 4 generasi Honda Prelude dipamer di Sepang

    Bukan sahaja Prelude sudah kembali kepada model GT yang jinak, nama ‘Prelude’ ini turut dipilih kerana ini merupakan model pertama untuk lembaran baharu Honda bagi menawarkan model sport dengan unit rangkaian kuasa elektrifikasi, yang bakal diperbanyakkan lagi pada masa hadapan. Malah menerusi Prelude ini juga unit rangkaian kuasa e:HEV ini mula diperkenalkan dengan mod S+ Shift, iaitu fungsi yang memberikan bunyi dan rasa seakan sistem hibrid ini mempunyai kotak gear, dan ia turut boleh ditukar secara manual menerusi pedal penukar gear walaupun pada hakikatnya ia tidak mempunyai kotak gear sebenar.

    Honda Prelude generasi keenam ini akan dilancarkan ke pasaran tempatan bulan hadapan, namun Honda Malaysia masih belum memberikan sebarang bayangan berkenaan harganya. Untuk lebih perincian berkenaan model tersebut, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Honda Prelude generasi ketiga di Sepang

    GALERI: Honda Prelude generasi keempat di Sepang

    GALERI: Honda Prelude generasi kelima di Sepang

    GALERI: Honda Prelude generasi keenam di Sepang

     
     
  • Honda Prelude dipertontonkan di Sepang – bahagian dalaman ditunjuk, bakal dilancar bulan hadapan

    Honda Prelude dipertontonkan di Sepang – bahagian dalaman ditunjuk, bakal dilancar bulan hadapan

    Honda Malaysia hari ini secara rasmi mendedahkan sepenuhnya Prelude generasi baharu yang disahkan bakal dilancarkan di sini pada bulan hadapan. Berbanding pra-tonton statik dibuat pada bulan lalu yang hanya menunjukkan bahagian luaran, sesi kali ini yang dibuat di Litar Antarabangsa Sepang pagi tadi turut mendedahkan bahagian dalaman untuk Coupe GT berkenaan, serta menunjukkan dua lagi warna badan iaitu Rallye Red dan Winter Frost Pearl selain Prelude dengan warna Crystal Black Pearl tempoh hari.

    Seperti yang diketahui, Prelude yang dikenali dengan kod casis BF1 ini dibina berasaskan platform yang sama dengan Honda Civic generasi sedia ada, tetapi diubah kepada sebuah Coupe dengan konfigurasi tempat-duduk 2+2. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,522 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,355 mm dan jarak roda sejauh 2,605 mm.

    Untuk memberikan rasa pengendalian yang sporty, Prelude berkongsi banyak komponen casis yang diambil dari Honda Civic Type R FL5, termasuk suspensi hadapan topang dua paksi, di mana ia turut menampilkan lebar trek roda hadapan dan belakang yang sama sepenuhnya seperti Civic Type R. Sistem suspensi adaptif Type R turut diberikan pada Prelude, namun ia diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.

    Honda Prelude dipertontonkan di Sepang – bahagian dalaman ditunjuk, bakal dilancar bulan hadapan

    Malah Honda turut mengambil sepenuhnya sistem brek Brembo dari Civic Type R FL5 untuk dipadankan pada Prelude generasi baharu ini, bersama set roda dengan rim aloi 19-inci pelbagai jejari dalam kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar 235/40R19.

    Namun untuk unit rangkaian kuasa, Prelude dipadankan dengan unit rangkaian kuasa e:HEV yang menampilkan teknologi hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Unit rangkaian kuasa LFC-H4 tersebut dilengkapi enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 PS dan juga tork 182 Nm, di mana fungsi utama enjin ini sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid 72-sel 1.05 kWh.

    Manakala roda hadapan pula dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 184 PS dan tork maksima 315 Nm dengan menerima kuasa dari bateri hibrid berkenaan. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan. Menurut Honda secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 203 PS dan tork maksima 315 Nm.

    Honda Prelude dipertontonkan di Sepang – bahagian dalaman ditunjuk, bakal dilancar bulan hadapan

    Pada Civic e:HEV, unit rangkaian kuasa ini sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC). Malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.

    Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.

    Dalam kabin, sekali tengok papan pemuka Prelude ini mungkin nampak sama seperti Civic, tetapi ia dibezakan dengan rekaan liang penghembus pendingin hawa yang tidak merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Konsol tengah juga lebih tersendiri kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis-suis tekan ‘PRND’, di mana pada kiri dan kanan disertakan dengan butang mod ‘S+’, pemilih mod pemanduan (Comfort, GT, Sport dan Individual) serta suis brek parkir elektrik.

    Apa yang menarik, rekaan tempat duduk hadapan Prelude generasi keenam ini diinspirasikan dari rekaan tempat duduk ikonik Prelude dari generasi pertama sehingga keempat, di mana sokongan ‘bucket’ diberikan hanya pada bahagian bawah, dengan perehat badan sebelah atas yang kecil.

    Honda Prelude pasaran Malaysia ini datang dengan bahagian dalaman dengan tema warna biru-putih sahaja. Antara perincian lain yang turut sudah disahkan termasuk sistem infotainmen yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan lapan-penbesar suara serta fungsi penuh sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing.

    Tempahan Prelude ini sudahpun mula dibuka bermula pada 1 April lalu, namun setakat ini Honda Malaysia belum memberikan sebarang petunjuk berkenaan harganya.

     
     
  • Kia Tasman di Malaysia – trak pikap Korea digunakan untuk latihan, tapi adakah ia akan masuk pasaran?

    Kia Tasman di Malaysia – trak pikap Korea digunakan untuk latihan, tapi adakah ia akan masuk pasaran?

    Kunjungan kami ke bilik pameran Kia di Glenmarie sempena acara Kia Ownership Experience hari ini membawa satu kejutan yang tidak dijangka apabila sebuah Kia Tasman dilihat dipamerkan secara terbuka di atas platform berputar di bahagian dalam bangunan tersebut. Kehadiran trak pikap baru dari Korea Selatan itu sememangnya mencuri perhatian, lebih-lebih lagi kerana model berkenaan belum pernah diumumkan untuk pasaran Malaysia.

    Namun begitu, lokasi tersebut juga merupakan ibu pejabat Kia bagi rantau Asia Pasifik, justeru kehadiran model yang tidak semestinya ditawarkan di pasaran tempatan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Lazimnya, kenderaan seperti ini dibawa masuk bagi tujuan latihan pengedar serantau.

    Apa yang menarik perhatian ialah pihak Kia tidak menghalang pengunjung daripada mengambil gambar atau berkongsi imej Tasman di media sosial, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada model ini sebenarnya sedang dipertimbangkan untuk pasaran Malaysia.

    Kia Tasman di Malaysia – trak pikap Korea digunakan untuk latihan, tapi adakah ia akan masuk pasaran?

    Diperkenalkan secara global pada Oktober 2024, Kia Tasman merupakan model pertama Hyundai Motor Group dalam segmen trak pikap satu tan berasaskan casis ladder frame. Ia berbeza sepenuhnya daripada Santa Cruz yang menggunakan struktur unibody.

    Seperti kebanyakan pesaingnya, Tasman ditawarkan dalam konfigurasi single cab dan double cab, selain mempunyai kapasiti muatan melebihi 1,000 kg serta keupayaan menunda sehingga 3,500 kg. Kapasiti beban pada tow ball pula dinilai pada 350 kg.

    Keupayaan offroad turut diberikan perhatian serius. Semua varian Tasman mampu meredah air sedalam 800 mm pada kelajuan sehingga 7 km/j, hasil penggunaan sistem kemasukan udara yang dipasang di dalam fender hadapan. Dari sudut mekanikal, Kia menawarkan enjin diesel Smartstream D 2.2 liter empat silinder yang menghasilkan 210 PS dan 440 Nm tork, selain pilihan enjin petrol turbo Smartstream G 2.5 liter dengan kuasa 281 PS dan 421 Nm.

    Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala versi diesel turut tersedia dengan kotak gear manual enam kelajuan. Sistem pacuan roda belakang dan pacuan empat roda turut ditawarkan bergantung kepada varian.

    Bagi aspek pengendalian dan keselesaan, Tasman menggunakan suspensi hadapan jenis double wishbone bersama gandar belakang solid axle. Kia turut melengkapkan trak ini dengan penyerap hentak frequency-selective serta teknologi Hydraulic Rebound Stop bagi mengurangkan getaran dan meningkatkan kestabilan badan kenderaan.

    Untuk pelanggan yang mahukan penampilan lebih lasak, Kia menawarkan varian X-Line dan X-Pro. Varian X-Pro hadir dengan mod Rock tambahan untuk pemanduan offroad, tayar all-terrain, kit peninggian suspensi 28 mm, differential belakang elektronic locking serta fungsi cruise control offroad X-Trek.

    Kia Tasman di Malaysia – trak pikap Korea digunakan untuk latihan, tapi adakah ia akan masuk pasaran?

    Reka bentuk Tasman sememangnya tampil berbeza daripada kebanyakan trak pikap di pasaran. Ia menampilkan lampu hadapan dan belakang bersaiz kecil yang diletakkan di bahagian luar, gril “Tiger Face” bersaiz besar, rekaan badan bersegi serta elemen fender menonjol di atas lengkuk roda.

    Kia turut mendakwa versi double cab menawarkan ruang kargo terbaik dalam kelas dengan kapasiti 1,173 liter. Ruang belakang itu juga dilengkapi lampu pencahayaan binaan dalam, lantai gelungsur bagi memudahkan proses memuat dan mengeluarkan barang, serta soket kuasa 240V atau 220V.

    Bahagian dalaman Tasman pula dilihat lebih premium berbanding kebanyakan pesaing dalam segmennya. Kabin menggunakan banyak bahan lembut, bersama rekaan papan pemuka moden yang menampilkan corong pendingin hawa bercorak sarang lebah dan suis kawalan fizikal bersaiz besar.

    Kia Tasman di Malaysia – trak pikap Korea digunakan untuk latihan, tapi adakah ia akan masuk pasaran?

    Paparan digital pula terdiri daripada dua skrin 12.3 inci untuk meter dan sistem infotainmen, dipisahkan oleh skrin lima inci khusus untuk kawalan pendingin hawa seperti yang terdapat pada EV9. Sistem audio Harman Kardon lapan pembesar suara juga ditawarkan bagi varian tertentu.

    Konsol tengah yang lebar menempatkan dua pengecas tanpa wayar Qi, meja lipat serta ilustrasi dimensi Tasman. Tempat duduk belakang boleh dilipat ke bawah atau dinaikkan untuk mendedahkan ruang simpanan tersembunyi. Penumpang belakang turut menerima corong pendingin hawa sendiri, poket tempat duduk jenis zip serta perehat tangan dengan pemegang cawan dan pemegang telefon binaan dalam.

    Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, Tasman dilengkapi pelbagai sistem bantuan moden termasuk Highway Driving Assist 2 (HDA 2) yang menawarkan fungsi pemanduan separa autonomous Tahap 2.

    Persoalan utama kini ialah sama ada Kia Sales Malaysia benar-benar merancang membawa masuk Tasman ke pasaran tempatan. Wakil syarikat bagaimanapun masih enggan mengesahkan perkara tersebut secara rasmi. Faktor utama yang akan menentukan potensinya di Malaysia sudah tentu berkait rapat dengan harga jualan.

    Difahamkan, sasaran utama Tasman ialah varian premium Ford Ranger seperti Wildtrak dan Platinum. Salah satu kelebihan utama Tasman ialah penawaran enjin petrol turbo bersaiz lebih kecil dalam segmen yang ketika ini didominasi model diesel.

    Dalam keadaan harga diesel yang semakin meningkat, pilihan enjin petrol mungkin menjadi alternatif menarik kepada pembeli trak pikap yang mahukan prestasi tinggi tanpa bergantung kepada enjin diesel sepenuhnya. Walaubagaimanapun, enjin 2.5 liter turbo petrol tersebut dilaporkan hanya mencatat penggunaan bahan api sekitar 8.0 km/l, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai tahap kecekapan sebenar.

    Kia Tasman di Malaysia – trak pikap Korea digunakan untuk latihan, tapi adakah ia akan masuk pasaran?

    Satu lagi cabaran yang mungkin dihadapi ialah lokasi pemasangan Tasman yang ketika ini dibuat di Korea Selatan. Berdasarkan peraturan semasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kenderaan komersial yang dijual di Malaysia perlu dipasang dalam negara (CKD).

    Namun begitu, Kia sememangnya sudah mempunyai operasi pemasangan tempatan untuk beberapa model lain, jadi kemungkinan untuk Tasman dipasang di Malaysia tidak boleh diketepikan sepenuhnya.

     
     
  • Harga minyak 14-20 Mei – RON97 turun 20 sen, RON95 turun 15 sen, diesel semenanjung turun 30 sen

    Harga minyak 14-20 Mei – RON97 turun 20 sen, RON95 turun 15 sen, diesel semenanjung turun 30 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) menetapkan bahawa bagi minggu bertarikh 14 hingga 20 Mei 2026, harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter, menjadi RM4.70 seliter.

    Untuk RON95 tanpa subsidi pula menjadi RM3.87 seliter dengan penurunan harga sebanyak 15 sen seliter. Manakala RON95 di bawah subsidi BUDi95 masih kekal pada paras RM1.99 seliter buat masa ini.

    Untuk diesel pula, harga bagi Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak 30 sen seliter, menjadi RM4.87 seliter. Manakala di Sabah dan Sarawak, harganya kekal pada RM2.15 seliter.

    Kesemua harga baru ini berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga Rabu, 20 Mei 2026. Ia merupakan pengumuman ke-21 bagi format harga mingguan tahun ini, dan yang ke-384 sejak mekanisme tersebut diperkenalkan pada awal 2019.

     
     
  • Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A: 9 pakej kerja dijangka siap sepenuhnya tahun ini – KKR

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A: 9 pakej kerja dijangka siap sepenuhnya tahun ini – KKR

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mengesahkan sembilan pakej kerja (PK) Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya dan akan dibuka tahun ini, laporan Bernama.

    Katanya, pakej kerja berkenaan melibatkan PK1 (Sindumin ke Kampung Melalia), P3 (Beaufort ke Bongawan), PK4 (Bongawan ke Papar), PK7 (Inanam ke Sepanggar), PK8 (Sepanggar ke Berungis), P10 (Pituru ke Rampayan Laut), PK11 (Kampung Maya ke Baungon), PK29 (Moynod ke Sapi Nangoh), dan PK30 (Sapi Nangoh ke Telupid).

    “Saya ingin memaklumkan satu perkara yang belum dimaklumkan kepada umum iaitu sembilan pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1A akan disiapkan pada tahun 2026 ini. Sebelum ini, empat pakej kerja sudah siap lebih awal antara tahun 2023 hingga 2025 iaitu PK5, PK15, PK21 dan PK27,” katanya dalam sidang media di Wisma Pan Borneo hari ini.

    Dalam pada itu, Ahmad Maslan turut memaklumkan selain sembilan pakej yang siap tahun ini, empat lagi pakej kerja dijangka siap pada tahun depan membabitkan pakej kerja PK2 (Kampung Melalia ke Beaufort), PK12 (Sarang ke Temuno), PK19 (IGN Estate ke Agri Harvest) dan PK28 (Batu 32 Sandakan ke Moynod) serta baki projek lain pula dijadualkan siap secara berperingkat sehingga 2030.

    Beliau turut berkata dua lagi pakej kerja akan dibuka pada Julai ini bagi menghubungkan Putatan dan Menggatal tanpa melalui pusat bandar Kota Kinabalu. Di mana pembukaan laluan membabitkan PK6 dan PK7 itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik di ibu negeri.

    “Laluan ini akan mengurangkan kesesakan dan pengguna yang tidak mempunyai urusan atau tidak mahu singgah ke Kota Kinabalu diminta menggunakan laluan berkenaan untuk melancarkan perjalanan,” katanya lagi.

     
     
  • Lotus dedah strategi Focus 2030 – barisan ICE, EV dan PHEV; Type 135 baru guna nama Esprit, enjin V8

    Lotus dedah strategi Focus 2030 – barisan ICE, EV dan PHEV; Type 135 baru guna nama Esprit, enjin V8

    Lotus mengumumkan strategi perniagaan barunya yang dikenali sebagai Focus 2030, menyaksikan pengeluar kereta sport itu mengubah haluan daripada memberi tumpuan sepenuhnya kepada kenderaan elektrik (EV) kepada pendekatan pelbagai trenkuasa. Langkah tersebut dimulakan dengan pengenalan Lotus Eletre X Hybrid, iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) bagi SUV elektrik penuh Eletre.

    Menurut Lotus, strategi baru ini diperkenalkan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global serta permintaan pengguna yang semakin berkembang, terutama apabila penerimaan EV didapati semakin perlahan di beberapa pasaran utama dunia. Melalui pendekatan baru ini, portfolio model Lotus akan merangkumi enjin pembakaran dalaman (ICE), plug-in hybrid dan juga EV penuh.

    Syarikat itu menjelaskan bahawa gabungan model elektrifikasi pada masa hadapan didominasi oleh PHEV dengan anggaran sekitar 60%, manakala baki 40% terdiri daripada EV penuh. Ini menunjukkan Lotus kini mengambil pendekatan lebih fleksibel berbanding pelan elektrifikasi sepenuhnya yang diumumkan sebelum ini.

    Lotus dedah strategi Focus 2030 – barisan ICE, EV dan PHEV; Type 135 baru guna nama Esprit, enjin V8

    Lotus turut mengesahkan model-model sedia ada akan terus dikekalkan dalam barisan produknya. Antaranya termasuk Emira yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman dan bakal menerima kemas kini dalam beberapa minggu akan datang dengan peningkatan kuasa serta pengurangan berat badan bagi menawarkan prestasi lebih baik.

    Bagi model elektrik penuh pula, Lotus akan terus menawarkan Eletre, Emeya dan Evija. Sementara itu, segmen plug-in hybrid ketika ini diisi oleh Eletre X Hybrid yang baru saja diperkenalkan.

    Lotus dedah strategi Focus 2030 – barisan ICE, EV dan PHEV; Type 135 baru guna nama Esprit, enjin V8

    Dalam masa sama, Lotus turut memaklumkan teknologi hibrid syarikat itu akan terus dibangunkan untuk digunakan pada sebuah supercar baru yang masih menggunakan kod pembangunan Type 135. Model tersebut dijangka membuat penampilan pertama pada tahun 2028 dan akan menggunakan penggerak hibrid V8 dengan kuasa melebihi 1,000 PS. Lotus turut mengesahkan model berprestasi tinggi itu akan dikeluarkan di Eropah.

    Walaupun butiran lanjut mengenai Type 135 hanya akan diumumkan penghujung tahun ini, nama sebenar model tersebut dipercayai telah terbongkar lebih awal secara tidak sengaja oleh Lotus sendiri. Beberapa media antarabangsa mendapati salah satu fail media yang disertakan dalam pengumuman rasmi syarikat itu menggunakan nama “Esprit”, sekaligus menguatkan kemungkinan nama ikonik itu akan dihidupkan semula untuk model baru berkenaan.

     
     
  • Audi Q9 – bahagian dalam pesaing BMW X7, Mercedes GLS didedah, tiga baris tempat duduk, pintu kuasa

    Audi Q9 – bahagian dalam pesaing BMW X7, Mercedes GLS didedah, tiga baris tempat duduk, pintu kuasa

    Selepas sekian lama menjadi bahan spekulasi bersama dengan pengesahan awal daripada ketua pegawai eksekutif syarikat itu sendiri, Audi akhirnya mengesahkan kehadiran model SUV mewah terbarunya, Q9. Model baru ini dijadual membuat kemunculan global pertama pada suku ketiga tahun ini dan bakal menjadi SUV tiga baris tempat duduk paling mewah dalam barisan Audi, berada di atas Q7 serta bersaing secara langsung dengan BMW X7 dan Mercedes-Benz GLS.

    Q9 dibangunkan menggunakan platform Premium Platform Combustion (PPC) yang turut digunakan pada model Audi A5, A6 dan Q5 generasi terkini. Ia juga akan berkongsi asas pembangunan dengan SUV tiga baris tempat duduk baru daripada Porsche, sama seperti hubungan antara Porsche Cayenne dan Audi Q7 sebelum ini. Kehadiran Q9 secara tidak langsung turut menggantikan peranan sedan mewah A8 yang difahamkan tidak akan menerima generasi kelima.

    Meskipun Audi ketika ini lebih memberi tumpuan kepada pendedahan bahagian kabin, imej prototaip yang masih disamarkan memberikan gambaran awal reka bentuk luarannya. Berbanding Q7, Q9 tampil dengan rekaan badan yang lebih tinggi dan tegak, sekaligus memberikan imej lebih premium. Bahagian tiang D yang lebih tebal juga menyerlahkan karakter SUV mewah bersaiz besar.

    Audi Q9 – bahagian dalam pesaing BMW X7, Mercedes GLS didedah, tiga baris tempat duduk, pintu kuasa

    Di bahagian belakang, Q9 menerima rekaan lampu dua tingkat seperti Audi A6 baru lengkap dengan jalur lampu penuh melintang, grafik penjuru berbentuk anak panah serta logo bercahaya. Audi turut dijangka menawarkan teknologi lampu OLED boleh ubah suai sebagai ciri khas model ini.

    Ruang nombor pendaftaran kini diletakkan lebih rendah pada bampar bagi menghasilkan rekaan belakang yang lebih kemas, manakala sistem ekzos empat muncung menunjukkan unit yang dipertontonkan berkemungkinan varian prestasi tinggi SQ9.

    Masuk ke dalam, Q9 menjadi model Audi pertama yang dilengkapi pintu automatik. Susun atur papan pemukanya pula menampilkan identiti moden Audi menerusi sistem paparan MMI panoramic display yang menggabungkan dua skrin besar untuk meter digital dan infotainmen pada panel melengkung “digital stage”. Turut disediakan ialah skrin tambahan untuk penumpang hadapan.

    Audi Q9 – bahagian dalam pesaing BMW X7, Mercedes GLS didedah, tiga baris tempat duduk, pintu kuasa

    Audi turut menawarkan stereng sport dengan bentuk rata di bahagian atas dan bawah, selain liang pendingin hawa nipis yang kebanyakannya dikawal melalui skrin sentuh. Seperti Q3 generasi baru, tuil penukar gear kini dipasang pada kolum stereng bersama suis pelbagai fungsi yang menggabungkan kawalan lampu isyarat, lampu tinggi dan rendah serta pengelap cermin.

    Konsol tengah pula dilengkapi dua pengecas tanpa wayar Qi2.2 terkini dengan sokongan magnetik serasi Apple MagSafe dan kuasa pengecasan sehingga 25 watt. Soket USB-C yang disediakan mampu menghasilkan sehingga 100 watt, cukup untuk mengecas komputer riba berprestasi tinggi seperti MacBook Pro.

    Di bahagian bumbung, Audi memasang bumbung panoramik bercahaya bersaiz 1.5 meter persegi dengan teknologi electrochromic frosting yang boleh mengubah tahap ketelusan kaca.

    Audi Q9 – bahagian dalam pesaing BMW X7, Mercedes GLS didedah, tiga baris tempat duduk, pintu kuasa

    Sistem lampu suasana dalam kabin juga dipadankan dengan sistem audio Bang & Olufsen 4D yang mampu berubah mengikut rentak muzik serta warna kulit album lagu yang dimainkan. Sistem audio ini turut hadir dengan pembesar suara pada perehat kepala untuk panggilan telefon dan navigasi yang lebih jelas, selain fungsi getaran pada tempat duduk hadapan bagi meningkatkan pengalaman audio.

    Audi Q9 akan ditawarkan dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk. Pelanggan boleh memilih kerusi sport dengan fungsi pengudaraan dan urutan, manakala tempat duduk baris kedua dan ketiga turut menerima pelarasan kuasa secara standard. Bagi versi enam tempat duduk, kerusi kapten pada baris kedua direka hampir sama seperti tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik penuh, perehat tangan dan sistem pengudaraan.

    Dari aspek praktikaliti, ruang kargo dipertingkat menerusi rel aluminium di sisi ruang but yang membolehkan barangan diikat dalam pelbagai posisi menggunakan cangkuk gelongsor dan penambat boleh laras. Audi turut menyatakan setiap Q9 akan didatangkan bersama rel bumbung standard serta rak bumbung tambahan.

    Untuk trenkuasa, Q9 dijangka berkongsi enjin dengan Q7 termasuk enjin V6 turbo petrol 3.0 liter dan enjin V8 twin-turbo 4.0 liter bagi varian SQ9. Kedua-dua enjin tersebut juga akan digunakan pada SUV tiga baris tempat duduk Porsche yang dikenali dengan kod pembangunan K1.

     
     
  • KL dan P.Pinang lepasi sasaran penyediaan pengecas EV nasional – masih banyak negeri bawah kadar 50%

    KL dan P.Pinang lepasi sasaran penyediaan pengecas EV nasional – masih banyak negeri bawah kadar 50%

    Menurut infografik yang disiarkan oleh Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (MyZEVA) yang memetik dari data.gov.my, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kini merupakan dua negeri yang telah melepasi sasaran penyediaan pengecas kenderaan elektrik (EV) nasional masing-masing setakat Mac 2026.

    Sasaran yang ditetapkan untuk negeri-negeri ini ialah 1,050 pengecas untuk Kuala Lumpur dan 600 pengecas untuk Pulau Pinang. Malah kadar ketersediaan pengecas EV di KL sebenarnya adalah lebih banyak dari yang disasarkan dengan mencapai kadar 160%, manakala Pulau Pinang pula berada pada kadar 105%.

    Negeri-negeri lain yang telah melepasi 50% pula adalah termasuk Johor (55%), Pahang (52%) dan Sarawak (52%). Selangor, yang mempunyai sasaran 4,000 pengecas (tertinggi di antara semua negeri), kini berada pada 46%. Perak juga berada pada 46% tetapi sasarannya jauh lebih rendah iaitu hanya 500 pengecas.

    KL dan P.Pinang lepasi sasaran penyediaan pengecas EV nasional – masih banyak negeri bawah kadar 50%

    Bagi negeri-negeri selebihnya kebanyakannya diberikan sasaran tidak sampai seribu unit. Ia termasuk Negeri Sembilan (sasaran 300 pengecas, lengkap 35%), Melaka (350, 30%), Kedah (400, 26%), Terengganu (300, 20%) dan Kelantan (250, 13%). Juga terdapat negeri yang masih belum melepasi 10%, ia termasuk Sabah yang hanya mencapai 9% (sasaran 350 pengecas) dan Perlis hanya 4% dengan sasaran terendah berbanding semua negeri lain iaitu hanya 50 pengecas.

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini mensasarkan untuk memasang 10,000 pengecas EV (jumlah yang anda akan dapat sekiranya mencampurkan jumlah sasaran untuk setiap negeri) di seluruh negara menjelang tahun 2025 seperti yang digariskan pada 2021 di bawah Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030. Namun menerusi laporan pada Disember tahun lalu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mendedahkan bahawa ia hanya telah mengeluarkan lesen kepada 5,360 pengecas EV awam setakat 31 November 2025.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026