Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • 20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16

    20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16

    Proton terus mengungguli dengan jumlah tertinggi bagi pendaftaran kenderaan elektrik (EV) ketika ini. Merujuk data terkini daripada Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) bagi bulan April 2026, sejumlah 2,408 unit EV keluaran Proton eMas telah didaftarkan.

    Ini menjadikan jumlah jualan EV Proton setakat ini (YTD) bagi tahun 2026 ialah 9,863 unit, membolehkannya mencapai angka jualan lima angka dalam masa terdekat, serta mengatasi angka keseluruhan yang dicapai sepanjang tahun lalu. Sebagai latar, jumlah EV Proton eMas yang didaftarkan bagi keseluruhan tahun 2025 ialah 8,890 unit, yang meletakkannya di kedudukan kedua selepas BYD yang menjual sebanyak 14,407 unit.

    Bagi April lalu pula, BYD kini berada di tempat kedua di belakang Proton dengan mencatatkan 1,413 unit didaftar. Ini juga menandakan peningkatan sebanyak 60% dan menjadi jumlah jualan bulanan tertinggi jenama itu dengan YTD setakat ini sebanyak 3,674 unit.

    iCaur menduduki tempat ketiga dengan 547 unit (1,549 unit YTD), manakala Zeekr menduduki tempat keempat dengan 357 unit (1,214 unit YTD). Kedua-duanya merupakan satu-satunya jenama yang melepasi paras 1,000 unit pendaftaran bagi YTD setakat ini, walaupun mungkin akan disertai juga oleh jenama lain dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

    20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16

    Tesla pula menduduki tempat kelima dengan 172 unit didaftarkan pada bulan April, serta jumlah YTD sebanyak 830 unit. Ini diikuti oleh Xpeng yang berada di tempat keenam dengan 150 unit: menjadi angka jualan bulanan terbaik jenama itu bagi tahun 2026 setakat ini, dengan jumlah YTD sebanyak 394 unit.

    Kedudukan Leapmotor pula lebih baik berbanding bulan Mac, dengan naik ke tempat ketujuh untuk April dengan 108 unit (429 unit YTD), manakala MG menyaksikan penurunan jualan kepada 92 unit (579 unit YTD) dan berada di tempat kelapan. Melengkapkan kedudukan sepuluh teratas ialah TQ Wuling di tempat kesembilan dengan 91 unit (241 unit YTD) dan MINI di tempat ke-10 dengan 81 unit (160 unit YTD).

    Di tempat ke-11 ialah BMW, yang menyaksikan peningkatan pendaftaran kepada 73 unit bagi bulan April, dengan 212 unit YTD. Great Wall Motor pula tidak jauh di belakangnya dengan 70 unit (177 unit YTD), menduduki tempat ke-12.

    20 jenama EV terlaris April 2026 — Proton kekal 2.4k unit, BYD naik 60%; Perodua ke-14, Toyota ke-16

    Sementara itu, Volvo menghuni tempat ke-13 dengan 53 unit (217 unit YTD) dan diikuti rapat oleh model EV pertama oleh Perodua. QV-E yang menjadi EV pertama dan satu-satunya keluaran jenama tempatan itu menyaksikan peningkatan kepada 52 unit pada bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan EV Perodua setakat ini sebanyak 64 unit.

    Seterusnya, Denza berada di tempat ke-15 dengan 45 unit (144 unit YTD), manakala Toyota membuat penampilan pertamanya dalam senarai 20 teratas tahun ini dengan 40 unit (42 unit YTD) pada bulan April untuk menduduki tempat ke-16. Baki empat jenama lagi ialah Dongfeng yang berada di tempat ke-17 dengan 31 unit (123 unit YTD), smart di tempat ke-18 dengan 26 unit (107 unit YTD), Neta di tempat ke-19 dengan 18 unit (64 unit YTD) dan Chery di tempat ke-20 dengan 15 unit (44 unit YTD).

     
     
  • 20 kereta terlaris April 2026 – Bezza masih no.1, Saga kedua; XForce, eMas 7 PHEV, Jetour T2 masuk senarai

    20 kereta terlaris April 2026 – Bezza masih no.1, Saga kedua; XForce, eMas 7 PHEV, Jetour T2 masuk senarai

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun mengeluarkan data bagi pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan April 2026, dan seperti biasa berdasarkan data tersebut kami sediakan carta untuk 20 kereta terlaris yang dijual sepanjang bulan lalu.

    Walaupun minggu lalu Proton telah mengumumkan bahawa produksi Saga telah pulih seperti sediakala yang membolehkan jumlah unit yang dihantar kepada pelanggan kembali tinggi, namun ia masih tidak mampu mengatasi Bezza kerana Perodua telah mempertingkatkan penghantaran model berkenaan dengan mencatatkan 9,431 unit pendaftaran sepanjang bulan lalu.

    Ini menyebabkan Saga masih berada di tempat kedua dengan pendaftaran sebanyak 8,207 unit sepanjang April 2026, manakala Perodua Axia pula jatuh ke tempat ketiga dengan pendaftaran 7,294 unit.

    Konsistensi prestasi jualan Bezza juga membolehkan jualan kumulatif untuk empat bulan pertama (YTD) tahun ini mencecah 32,386 unit, dan Saga turut kekal di tempat kedua dengan jumlah jualan YTD mencapai 29,897 unit. Axia yang terjual sebanyak 24,955 unit untuk empat bulan pertama tahun ini juga masih berada di tempat ketiga.

    20 kereta terlaris April 2026 – Bezza masih no.1, Saga kedua; XForce, eMas 7 PHEV, Jetour T2 masuk senarai

    Kembali ke jualan bulanan untuk Mac, Myvi berada di tempat keempat dengan 5,828 unit didaftarkan (19.478 YTD). Proton X50 yang berada di tempat kelima bulan sebelumnya jatuh ke tempat ke enam pada April, terjual sebanyak 2,468 unit (9,557 unit YTD). X50 dipintas oleh Perodua Alza yang kembali naik ke tempat kelima dengan jualan sebanyak 4,115 unit sepanjang April (12,806 YTD).

    Namun bagi sedan segmen-C Proton S70, jualannya pada April melonjak kepada 2,377 unit (8,175 YTD) bagi membolehkan ia naik satu lagi anak tangga ke tempat ke tujuh. Dua SUV Perodua turut mencatatkan peningkatan pada bulan April di mana Ativa terjual sebanyak 2,230 unit (6,514 YTD) naik ke tempat ke lapan dan jualan Traz melonjak kepada 2,220 unit (7,310 YTD) bagi berada di tempat ke sembilan.

    Walaupun harga diesel masih kekal tiggi, trak pikap Toyota Hilux masih mampu kembali menjadi model bukan nasional paling laris untuk April 2026 dan berada di tempat ke-sepuluh dengan rekod pendaftaran sebanyak 1,804 unit (6,568 YTD). Manakala model EV paling laris di Malaysia iaitu Proton eMas 5 berada di tempat ke-11 dengan pendaftaran 1,772 unit (8,473 YTD) sepanjang bulan lalu.

    Sedan segmen-B Toyota Vios turut mencatatkan peningkatan bulan ini dengan jualan 1,706 unit (5,451 YTD) naik ke tempat ke-12 berbanding ke-14 bulan sebelumnya. Seperti biasa JPJ mencampurkan sekali jumlah jualan bagi model Honda City sedan dan Hatchback, dan merekodkan pendaftaran sebanyak 1,498 unit pada Mac (6,730 unit YTD) untuk berada di tempat ke-13, jatuh dari kedudukan ke enam pada Mac.

    20 kereta terlaris April 2026 – Bezza masih no.1, Saga kedua; XForce, eMas 7 PHEV, Jetour T2 masuk senarai

    Manakala MPV mewah Toyota Alphard berada di tempat ke-14 dengan rekod pendaftaran 1,487 unit (5,543 unit YTD) – seperti biasa, rekod untuk Alphard turut termasuk unit-unit yang dijual sebagai model recond dari Jepun. SUV segmen-B Mitsubishi XForce yang baru dilancarkan bulan lalu pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 1,035 unit, sekaligus menjadi SUV bukan nasional paling laris menewaskan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross.

    Di kedudukan ke-15 pula adalah satu lagi model eMas dari Proton yang berjaya masuk ke senarai 20 terlaris ini, iaitu eMas 7 PHEV yang dilancarkan Februari lalu, mencatatkan pendaftaran 1,013 unit sepanjang April. Toyota Corolla Cross dan Perodua Aruz pula kekal di tempat ke-17 dan ke-18 dengan pendaftaran masing-masing 976 unit (3,531 YTD) dan 895 unit (2,785 YTD).

    Honda HR-V yang pada Mac berada di tempat ke-11, jatuh ke tangga ke-19 pada April dengan jualan 886 unit (4,389 YTD). Manakala Jetour T2 yang baru dilancarkan pada bulan Mac berjaya mencatatkan jualan 884 unit pada April. Ini merupakan kali pertama Jetour T2 tersenarai dalam carta 20 terlaris ini, dan ia menjadi satu-satunya model dari China yang tersenarai. Model-model China lain yang dilihat agak popular seperti Jaecoo J7 dan juga siri Chery Tiggo langsung tidak tersenarai pada kali ini.

     
     
  • YDPA Sultan Ibrahim menerima limosin Aurus Senat sebagai lambang persahabatan kukuh Malaysia-Rusia

    YDPA Sultan Ibrahim menerima limosin Aurus Senat sebagai lambang persahabatan kukuh Malaysia-Rusia

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menerima limosin Aurus Senat yang disifatkan sebagai satu penghormatan istimewa melambangkan hubungan erat serta persahabatan kukuh antara Malaysia dan Persekutuan Rusia. Seri Paduka Baginda pernah memandu uji kenderaan ini ketika lawatan terdahulu ke Central Scientific Research Automobile and Automotive Engines Institute (NAMI) pada tahun lalu.

    Kelmarin, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Muzium Garaj Khas yang menempatkan himpunan lebih 50 unit kereta dan motosikal di Moscow. Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ke Muzium Garaj Khas disambut oleh Timbalan Menteri Pertama Industri dan Perdagangan Persekutuan Russia, Kirill Alekseevich Lysogorsky; Pengarah Muzium, Belikov AV, dan Ketua Pegawai Eksekutif NAMI, Nazarov FL.

    Dalam lawatan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai koleksi-koleksi yang dipamerkan di muzium itu. Majlis serahan Limosin Aurus Senat milik Seri Paduka Baginda turut berlangsung di muzium berkenaan.

    “Aurus merupakan jenama kenderaan rasmi kepimpinan tertinggi Persekutuan Rusia dan sering digunakan oleh Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir V Putin, dalam acara rasmi negara serta majlis diplomatik penting. Aurus terkenal dengan gabungan teknologi moden serta ciri keselamatan bertaraf tinggi,” ujar kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Pemerolehan terbaharu Aurus Senat oleh Seri Paduka Baginda melengkapkan lagi koleksi kenderaan istimewa yang merangkumi Hongqi L5 (kini dikenali sebagai Guoli), Genesis G90 versi jarak roda panjang (LWB), Rolls-Royce Phantom VI klasik, Lincoln Town Car yang dipanjangkan, serta beberapa unit Mercedes-Benz 600.

     
     
  • KTMB sediakan 186 tren tambahan ETS, EMUPlus sempena Aidiladha – 22 Mei-7 Jun, 58,380 tiket

    KTMB sediakan 186 tren tambahan ETS, EMUPlus sempena Aidiladha – 22 Mei-7 Jun, 58,380 tiket

    Sempena dengan Hari Raya Aidiladha serta musim cuti persekolahan yang akan tiba hujung bulan ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan sebanyak 186 tren tambahan melibatkan perkhidmatan ETS dan EMUPlus bagi tempoh 22 Mei hingga 7 Jun 2026, dalam usaha menampung peningkatan permintaan penumpang.

    Menurut KTMB, penyediaan tren tambahan ini melibatkan kapasiti keseluruhan sebanyak 58,380 tempat duduk bagi menampung peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh sambutan perayaan dan cuti persekolahan.

    Antara laluan perkhidmatan yang disediakan adalah KL Sentral – Ipoh – KL Sentral, KL Sentral – Butterworth – KL Sentral, KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral, KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral dan Klang – Ipoh – Klang (EMU Plus).

    Klik untuk besarkan

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, KTMB menerima maklum balas yang amat positif daripada orang ramai terhadap perkhidmatan tren tambahan yang disediakan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, khususnya melibatkan laluan berpermintaan tinggi seperti sektor Johor Bahru.

    Tambahnya, inisiatif Kerajaan menerusi kempen ‘Road to Rail’ turut menunjukkan impak yang memberangsangkan dalam menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan kereta api yang lebih selamat, selesa dan efisien. “Peningkatan permintaan ini mencerminkan keyakinan penumpang yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan rel negara,”katanya.

    Tiket bagi perkhidmatan tren tambahan ini sudah mula dijual sejak Sabtu lalu (9 Mei 2026). Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket KTMB di stesen-stesen terpilih.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Edition 50 padam rekod Honda Civic Type R di Nürburgring; beza tak sampai 1 saat!

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 padam rekod Honda Civic Type R di Nürburgring; beza tak sampai 1 saat!

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 kini diiktiraf sebagai model produksi pacuan hadapan terpantas di litar Nürburgring Nordschleife, memadamkan rekod lama yang dipegang oleh Honda Civic Type R FL5 yang dipertahankan selama tiga tahun.

    Golf GTI Edition 50 ini dipandu oleh pemandu ujian dan pembangunan Volkswagen, Benjamin Leuchter di mana beliau menghabiskan satu lap litar ‘The Green Hell’ sejauh 20.832 km itu dengan masa 7:44.523. Catatan tersebut cukup untuk mengatasi rekod 7 minit 44.881 yang dibuat oleh Civic Type R pada 2023 dengan kelebihan tidak sampai 1 saat.

    “Nordschleife unik dengan selekoh, bahagian-bahagian yang sangat berbeza, bonggol dan juga lompatannya,” kata Leuchter. “Dan perkara yang sama juga berlaku untuk GTI ini: dengan kuasa yang mengagumkan, talaan yang sangat neutral dan pada masa yang sama keupayaan untuk menghadapi sebarang bonggol dengan tenang. Oleh itu, Golf GTI Edition 50 lebih daripada sekadar model ulang tahun: ia menunjukkan prestasi dalam segmen kompak apabila kepakaran teknikal, semangat dan sejarah GTI selama 50 tahun disatukan,” tambahnya.

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 padam rekod Honda Civic Type R di Nürburgring; beza tak sampai 1 saat!

    Golf GTI EDITION 50 is the fastest front-wheel drive production model on the Nürburgring Nordschleife and sets its new record in the ‘Green Hell’ (here in the optionally available colour Dark Moss Green metallic).

    Volkswagen Golf GTI Edition 50 ini diperkenalkan pada tahun lalu, dan ia merupakan model edisi khas yang dibangunkan sempena 50 tahun Golf dalam pasaran pada tahun ini. Namun jangan keliru dengan Volkswagen Golf Edition 50 CKD yang dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2024, kerana Edition 50 yang dihasilkan di Jerman ini diasaskan dari versi facelift iaitu Golf Mk8.5 dan ia merupakan Golf GTI produksi paling berkuasa pernah dihasilkan sehingga kini.

    Untuk model istimewa ini, Volkswagen telah menyumbat enjin 2.0 liter empat-silinder Turbo EA888 evo4 yang sama seperti pada Golf GTI Clubsport, kemudian ditala bagi menghasilkan lebih kuasa iaitu 325 PS dan tork maksima 420 Nm. Ini bermakna Golf GTI Edition 50 ini adalah 25 PS/20 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI Clubsport dan 60 PS/50 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI biasa.

    Selari dengan peningkatan kuasa, suspensi GTI 50 Edition ini turut ditala semula. Secara standard suspensi model istimewa ini adalah 15 mm lebih rendah dari versi biasa, dan sekiranya pembeli memilih untuk memadankan pakej GTI Performance, ia akan menberikan suspensi tersebut tambahan 5 mm lebih rendah dengan spring lebih keras, membolehkan frekuensi asli pada gandar hadapan dan belakang naik sekitar 20%.

    Menurut Volkswagen talaan semula yang dibuat ini memberikan karekteristik sokongan yang lebih baik, respon yang lebih terus dan juga mengurangkan gerakan olengan dan olah gerak. Pakej tersebut turut datang sekali pengadaptasi cagak suspensi, rim aloi forged ‘Warmenau’ 19-inci dan juga tayar jenis semi slick Bridgestone Potenza Race bersaiz 235/35R19.

    Volkswagen juga mendakwa bahawa setiap roda berkenaan ditimbang dengan berat 8 kg, atau 3 kg lebih ringan dari rim 19-inci standard. Manakala untuk tayar Volkswagen menyatakan bahawa ia bekerjasana rapat dengan Bridgestone bagi memastikan tayar Potenza Race berkenaan memberikan lebih cengkaman tetapi kurang rintangan golekan.

    Bagi mengurankan lagi berat kereta ini, Volkswagen turut menawarkan set ekzos titanium dari Akrapovic, membolehkan beratnya dikurangkan lagi sebanyak 11 kg.

    Adakah rekod yang dibuat VW ini akan kekal kerana Civic Type R FL5 merupakan generasi terakhir yang dipacu oleh enjin pembakaran dalaman sepenuhnya? Honda mungkin sedang mengambil berat tentang perkara ini kerana FL5 sebenarnya bakal dilancarkan dalam versi lebih hardcore yang dibangunakan oleh sayap perlumbaan Honda iaitu HRC. Versi konsep model tersebut telah pun didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 awal tahun ini, digelar sebagai Honda Civic Type R HRC Concept.

     
     
  • Omoda | Jaecoo lepasi jualan 30,000 unit kenderaan sejak Julai 2024 – Top 3 bagi jenama bukan nasional

    Omoda | Jaecoo lepasi jualan 30,000 unit kenderaan sejak Julai 2024 – Top 3 bagi jenama bukan nasional

    Sejak jenama ini sampai ke pasaran Malaysia pada Julai 2024, Omoda | Jaecoo telah berjaya melepasi jualan sebanyak 30,000 unit. Pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan pesat yang mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama automotif paling pantas berkembang di peringkat tempatan dan global.

    Pencapaian 30,000 unit ini didorong oleh barisan model yang semakin bertambah, termasuk J5 dan C9 PHEV yang baru dilancarkan, bersama model sedia ada seperti J7, J7 PHEV, J8 dan C9. Susulan itu, Omoda | Jaecoo terus mengukuhkan kedudukan kedudukan ketiga (Top 3) dalam kalangan jenama automotif bukan nasional di Malaysia setakat tahun ini.

    Menurut syarikat ini, kejayaan di Malaysia mencerminkan momentum luar biasa di peringkat antarabangsa. Dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, Omoda | Jaecoo telah berkembang ke 64 pasaran dan baru-baru ini melepasi pencapaian jualan terkumpul sebanyak satu juta unit di seluruh dunia. Pertumbuhan merentasi Eropah, Asia dan Timur Tengah ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap pendekatan berteraskan inovasi serta solusi mobiliti tenaga baharu jenama tersebut.

    Ketua Omoda | Jaecoo Malaysia, Chris Tan berkata, “Pencapaian ini adalah kejayaan bersama. Ia direalisasikan hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan kongsi, pihak berkepentingan dan paling utama, pelanggan setia kami. Kepercayaan mereka menjadi pemacu utama yang membawa kami ke hadapan.”

    Melangkah ke hadapan, Omoda | Jaecoo kekal komited terhadap elektrifikasi dan mobiliti pintar. Dalam beberapa bulan akan datang, portfolio jenama akan terus berkembang dengan teknologi inovatif serta rangkaian model yang lebih luas bagi memenuhi pelbagai keperluan komuniti Malaysia, dalam masa yang sama turut menawarkan pengalaman pemanduan premium.

     
     
  • KTM Komuter di Segambut Utara mula beroperasi

    KTM Komuter di Segambut Utara mula beroperasi

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa perkhidmatan KTM Komuter di Stesen Keretapi Segambut Utara mula beroperasi hari ini, 11 Mei 2026, sekali gus memperluas akses pengangkutan rel kepada komuniti sekitar Segambut dan kawasan berhampiran.

    Menurut KTMB, Stesen Keretapi Segambut Utara merupakan stesen KTM Komuter yang ke-58 dan merupakan sebahagian daripada perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang. “Stesen ini menghubungkan penumpang ke destinasi utama serta stesen integrasi rel yang menawarkan sambungan kepada rangkaian rel lain termasuk MRT dan LRT seperti Sungai Buloh, Kepong Sentral, Abdullah Hukum dan Subang Jaya.

    “Selain itu, penumpang dari Stesen Segambut Utara juga boleh meneruskan perjalanan ke laluan sektor Batu Caves – Pulau Sebang dengan membuat pertukaran tren di stesen integrasi seperti Stesen Kuala Lumpur dan KL Sentral. Kedudukannya yang strategik turut menyediakan akses terus kepada pembangunan komersial dan kediaman seperti United Point, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan kediaman, pusat aktiviti ekonomi dan rangkaian pengangkutan awam,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka memberi manfaat kepada lebih 250,000 penduduk sekitar Segambut, khususnya komuniti di kawasan Segambut Utara, Jalan Ipoh, Kepong dan kawasan berhampiran. Kehadiran stesen ini turut menyokong keperluan mobiliti harian di kawasan berpenduduk padat serta menggalakkan peralihan kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan mampan.

    KTM Komuter di Segambut Utara mula beroperasi

    Dalam masa yang sama, KTMB turut mengumumkan kemudahan tambang konsesi sebanyak 50% kepada golongan pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Selain itu, program khas MyRailLife turut diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada empat kategori penumpang iaitu kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah (7 hingga 17 tahun), pelajar Tingkatan Enam serta Orang Kurang Upaya (OKU).

    KTMB berkata, melalui inisiatif ini, penumpang yang layak boleh menikmati pas perjalanan percuma tanpa had bagi memudahkan mobiliti harian serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel sebagai mod pengangkutan utama.

    Para pengguna perkhidmatan KTM Komuter boleh membuat pembelian tiket di aplikasi KITS Style atau kios tiket di stesen-stesen KTMB serta boleh membuat pembayaran perjalanan menggunakan kad debit, kad kredit dan pembayaran digital e-dompet itu di pintu kawalan automatik.

    Orang ramai boleh merancang perjalanan dengan merujuk jadual perkhidmatan KTM Komuter melalui laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau aplikasi KITS Style. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

     
     
  • Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia – bermula RM99,900, 1.5L NA & Hybrid, Traz yang lebih ‘mewah’

    Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia – bermula RM99,900, 1.5L NA & Hybrid, Traz yang lebih ‘mewah’

    Akhirnya, selepas tempahannya dibuka bulan lalu, dan lima bulan selepasnya kembarnya iaitu Perodua Traz diperkenal ke pasaran tempatan, hari ini secara rasmi Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua varian bermula dengan Yaris Cross 1.5S dijual pada harga RM99,900, diikuti varian tertinggi Yaris Cross 1.5S Hybrid berharga RM109,900.

    Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Kedua-dua varian ini dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) meenrusi kilang Toyota di Bukit Raja, Shah Alam dan UMW Toyota memberikan waranti kenderaan lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kedua-dua varian, manakala untuk varian tertinggi ia turut diberikan waranti sistem hibrid (termasuk bateri, inverter dan unit pengurusan kuasa) selama lapan-tahun.

    Pembeli juga boleh memilih pakej servis tambahan sama ada untuk tempoh tiga tahun atau 60,000 km pada harga RM2,350, atau lima tahun atau 100,000 km pada harga RM3,650. Bagi varian hibrid, waranti sistem hibrid turut boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi dengan bayaran RM2,500.

    Bagi yang belum mengetahui, Toyota Yaris Cross untuk pasaran ASEAN ini merupakan model yang berbeza dari Yaris Cross pasaran Eropah dan Jepun yang dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Ini kerana untuk rantau kita Yaris Cross diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti Vios dan Veloz generasi baharu serta beberapa model lain, di mana ia membuat kemunculan sulung global di Indonesia pada 2023.

    Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia – bermula RM99,900, 1.5L NA & Hybrid, Traz yang lebih ‘mewah’

    Dengan perbezaan harga sekitar RM18k antara varian paling tinggi Traz dan varian paling asas Yaris Cross, apa yang anda dapat sekiranya membeli SUV segmen-B dengan lencana Toyota ini? Kedua-dua varian Yaris Cross hadir dengan paparan instrumen digital dengan skrin TFT LCD tujuh inci, skrin infotainmen bersaiz 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta rim aloi dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut dengan tayar 215/55R18.

    Sebagai perbandingan varian tertinggi Perodua Traz hanya diberikan kluster instrumen analog dengan skrin MID TFT 4.2-inci, skrin infotainmen 9.0-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto sambungan wayar serta rim aloi 17-inci.

    Yaris Cross Hybrid pula datang dengan pengecas telefon tanpa wayar ditawarkan sebagai ciri standard, manakala varian petrol boleh mendapatkannya sebagai pilihan tambahan pada harga RM380. Kedua-dua varian juga boleh dilengkapi perakam video digital menghadap belakang pada harga yang sama.

    Selain itu kedua-dua varian Yaris Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan rel bumbung, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, lampu suasana kabin berwarna biru pada konsol tengah dan kemasan pintu, upholsteri kulit sinetik dan roda stereng balutan kulit.

    UMW Toyota turut membekalkan Yaris Cross ini dengan sistem telematik yang digandingkan bersama aplikasi Toyota MY bagi memberikan pemilik maklumat termasuk kedudukan kenderaan pada masa sebenar.

    Yaris Cross menampilkan ukuran dengan dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan.

    Berbanding dengan ‘adiknya’ pula iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh. Manakala berbanding ‘abangnya’ iaitu Corolla Cross pula, Yaris Cross ini adalah 150 mm lebih pendek, 55 mm kurang lebar serta jarak roda 20 mm lebih dekat. Ia juga menampilkan kelegaan tanah 210 mm, membolehkan ia meredah air pada kedalaman 600 mm, dakwa UMW Toyota.

    Toyota Yaris Cross dilancarkan di Malaysia – bermula RM99,900, 1.5L NA & Hybrid, Traz yang lebih ‘mewah’

    Untuk anda yang mahukan but yang besar dari sebuah SUV segmen-B, Yaris Cross merupakan antara model yang perlu anda ambil perhatian kerana ruang kargo 471 liter yang dibekalkan adalah antara yang paling besar dalam kelasnya. Malah ia adalah lebih besar dari ruang but Corolla Cross yang menawarkan but berkapasiti 440 liter. Ruang but ini juga dilindungi dengan tonneau cover yang boleh digulung bagi memastikan barangan yang diletakkan pada bahagian tersebut lebih selamat dari pandangan luar.

    Dari segi rekaan, Yaris Cross ini seakan Corolla Cross dalam sekala lebih kecil. Pada bahagian muka, ia menerima gril seakan Corolla Cross – berbeza dengan gril Traz yang berbentuk heksagon – tetapi diapit dengan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang bina dalam.

    Pada bahagian sisi, cermin tingkap paling belakang menampilkan garis bawah yang ‘sikat’ ke atas, selari dengan rekaan sisi lampu belakang. Ia juga menerima rel bumbung dan juga panel overfender pada setiap ruang tayar seperti pada Corolla Cross.

    Manakala di belakang, Yaris Cross nampak lebih sporty dari Corolla Cross dengan menampilkan rekaan lampu dan juga garis-garis yang lebih tajam. Pada bahagian ini Yaris Cross dan Traz dibezakan dengan bar di atas perumah nombor pendaftaran di mana SUV Toyota ini menampilkan kemasan warna badan, sementara kembarnya dari Perodua menampilkan kemasan hitam.

    Bagi Yaris Cross 1.5S, ia masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Traz iaitu enjin 1.5 liter 2NR-VE empat silinder tanpa pengecas turbo yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu roda hadapan.

    Manakala Yaris Cross 1.5S Hybrid pula ia diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Vios HEV yang menggandingkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA kitaran Atkinson empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, dan juga motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah. Jadi dengan saiz dan juga unit rangkaian kuasa yang dibekalkan, Yaris Cross ini juga sebenarnya menawarkan harga yang kompetitif untuk bersaing dengan satu lagi SUV segmen-B bukan nasional iaitu Mitsubishi XForce.

    Seperti biasa versi varian hibrid ini diberikan tangki petrol yang lebih kecil iaitu 36 liter berbanding 42 liter pada versi biasa, kerana untuk hibrid ia memerlukan ruang untuk bateri lithium ion. Namun versi dengan sistem elektrifikasi ini turut menampilkan penggunaan bahan api lebih baik iaitu hanya 27.8 km/l.

    Bagi sistem keselamatan, Toyota Yaris Cross pasaran Malaysia diberikan enam-beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense (TSS). Fungsi-fungsi berkenaan termasuk brek kecemasan automatik hadapan, amaran keluar lorong, pengelak keluar lorong, kawalan pengekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan salah tekan pedal, bantuan lampu tinggi automatik dan satu sistem yang tidak ditawarkan pada Perodua Traz iaitu dan cruise control adaptif. Semua ini membolehkan Yaris Cross menerima pengiktirafan ASEAN NCAP lima-bintang.

    Untuk pilihan warna luaran, terdapat lima pilihan ditawarkan iaitu Dark Turquoise, Silver Metallic, Attitude Black, Spicy Scarlet SE dan Platinum Pearl White, dengan warna terakhir dengan efek mutiara tersebut dikenakan caj tambahan sebanyak RM400.

    GALERI: Gambar rasmi Toyota Yaris Cross 1.5S Hybrid pasaran Malaysia

    GALERI: Gambar rasmi Toyota Yaris Cross 1.5S pasaran Malaysia

    GALERI: Gambar rasmi Toyota Yaris Cross pasaran Malaysia

     
     
  • Malaysia tak eksport minyak ke negara ASEAN lain; masih perlu import 400,000 tong sehari — Johari

    Malaysia tak eksport minyak ke negara ASEAN lain; masih perlu import 400,000 tong sehari — Johari

    Malaysia tidak menjual minyak kepada negara-negara ASEAN lain kerana kita masih mengimport kira-kira 400,000 tong minyak mentah setiap hari, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, lapor Bernama.

    “Oleh kerana kita masih mengimport kira-kira 400,000 tong sehari, kita tidak boleh menjual,” katanya kepada wartawan ketika ditanya sama ada mana-mana negara ASEAN telah menghubungi Malaysia untuk membeli minyak di tengah-tengah krisis bekalan global ketika. Beliau menambah bahawa walaupun Malaysia bernasib baik kerana menjadi sebuah negara pengeluar minyak, kita masih lagi mengimport minyak bersih.

    Malaysia tak eksport minyak ke negara ASEAN lain; masih perlu import 400,000 tong sehari — Johari

    Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia masih merupakan pengeksport gas asli cecair (LNG) bersih. “Lebihan yang kita ada daripada LNG ini boleh membantu menampung defisit minyak mentah,” kata Johari.

    Menekankan kembali apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Johari memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia pada masa ini masih mampu mengekalkan petrol Budi95 pada harga RM1.99 seliter. “Kami berharap perang ini dapat diselesaikan dengan cepat. Tetapi semua itu belum tentu bila,” katanya.

     
     
  • Lepas Malaysia sahkah sebutan sebenar jenama itu — lancar Q3, model L4, L6 jangka dilancar dahulu

    Lepas Malaysia sahkah sebutan sebenar jenama itu — lancar Q3, model L4, L6 jangka dilancar dahulu

    Nama jenama atau model kenderaan yang aneh-aneh sebutannya bukanlah asing di Malaysia. Sebelum ini, ada banyak nama yang sebetulnya tidak kena dengan lidah tempatan, sekurang-kurangnya ketika pertama kali diutarakan kepada umum. Sebagai contoh: Prevé, Axia, eMas, QV-E, iCaur — dan bermacam-macam gaya lagi.

    Namun, ada satu yang mungkin paling banyak dibicarakan kerana ia membawa maksud yang lain dalam bahasa Melayu: Lepas. Ketika Chery melancarkan subjenama Lepas di Auto Shanghai 2025, syarikat itu menjelaskan bahwa oleh kerana nama itu merupakan gabungan dari bahasa Inggersi “leap” dan “passion”, maka cara menyebutnya yang betul adalah “leap-pass”.

    Namun, dalam beberapa video yang kemudiannya dikeluarkan oleh jenama itu, beberapa versi sebutan yang berbeza telah digunakan — dari “lee-” kepada “lay-” hinggalah kepada “lair-“. Yang terakhir itu disebut sendiri oleh Naib Pengara Lepas Indonesia dalam sebuah video pendek.

    Masalahnya, oleh kerana bahasa Malaysia dan Indonesia ada banyak persamaan, tidak sukar pun untuk sebutan itu kedengaran seperti “lipas” — dan tentulah itu bukan suatu nama yang inginkan untuk jenama, terutama jika ia juga akan masuk ke pasaran sini. Yang konsisten disebut di peringkat global hanyalah suku kata kedua jenama itu; iaitu “pas” yang lebih hampir kepada bunyi “cars” dan bukannya “purse” atau “mass”.

    Untuk menjernihkan kekeliruan itu — sekurang-kurangnya di negara kita — Lepas Malaysia telah menjelaskan bahawa jenama itu disebut sama seperti perkataan Melayu “lepas”, merujuk kepada kata “after” atau “leave go”, dalam bunyi sebutan yang sama untuk kata “me-lepas-kan” dan bukannya sebutan “me-lipas-kan”.

    Jenama Lepas akan mula dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada suku ketiga tahun ini. Setakat ini, syarikat itu telah mendaftarkan sekitar 20 pengedar dan mahu mempunyai 30 cawangan menjelang tahun ini. Februari lalu, sebuah kontena dengan jenama Lepas sudah mula dilihat di Pelabuhan Klang. Manakala sebuah model L4 tanpa pelekat samaran pula pernah dilihat sedang dalam pengambaran di Malaysia sejurus selepas itu.

    Lepas kini mempunyai tiga model — L4, L6 dan L8, yang masing-masing merupakan SUV segmen B, C dan D yang serupa dengan Chery Tiggos Cross, 7 dan 8. Dilaporkan sebelum ini bahawa L8 adalah antara model yang dipertimbangkan untuk pasaran tempatan. Namun berdasarkan maklumat terkini yang bertiup, Lepas Malaysia akan memberi perhatian kepada model L4 dan L6 terlebih dahulu.

    Di China, model-model Lepas ditawarkan dengan pilihan penjana kuasa yang pelbagai, ada enjin petrol, EV dan juga PHEV. Untuk pasaran tempatan dan berdasarkan perkembangan krisis tenaga yang sedang berlangsung kini, Malaysia mungkin akan diberikan lebih daripada satu pilihan janaan kuasa ketika dilancarkan kelak.

    Jadi, sudah tahu sebutan yang betul untuk jenama Lepas?

    Lepas L4 di Bangkok International Motor Show 2026

     
     
  • Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 dilancar di Malaysia — saiz dari 15 hingga 20-inci, dari RM351

    Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 dilancar di Malaysia — saiz dari 15 hingga 20-inci, dari RM351

    Bridgestone Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi Potenza Adrenalin RE005, tayar sport generasi terbaru oleh jenama Jepun itu. Model berkenaan akan menggantikan model tayar RE004 yang ditawarkan sebelum ini. Disasarkan untuk pemandu yang mahukan prestasi sporty, pengendalian jalan basah yang meyakinkan serta keselesaan dalam pemanduan harian, RE005 direka untuk pelbagai jenis kereta, termasuk kenderaan elektrik.

    Berbanding pendahulunya, RE005 diberikan peningkatan sebanyak 8% dari segi cengkaman permukaan jalan kering serta peningkatan 10% dalam cengkaman permukaan basah. Ini adalah hasil daripada reka bentuk blok lebar yang mengagihkan tekanan secara sekata untuk menyokong cengkaman di kedua-dua permukaan kering dan basah.

    Selain itu, rekaan blok penyambung bersepadunya membantu untuk mengoptimumkan kestabilan ketika di selekoh, membolehkan pemandu memasuki selekoh tajam dan memecut keluar dengan yakin. Tayar ini juga mempunyai alur bentuk A yang tersendiri untuk pengendalian yang mudah diramal, serta “rusuk” dalam yang lebar yang membantu meningkatkan tindak balas stereng.

    Untuk keadaan optimum ketika di jalan basah, rekaan alur hujan canggih pada RE005 menggalakkan mengaliran air bagi mengurangkan risiko hydroplaning. Ini selaras dengan penggunaan sebatian getah canggih yang menyumbang kepada cengkaman, di samping memberikan rintangan haba yang lebih baik dan ciri pengendalian yang tepat.

    Sebatian ini juga diformulasikan khusus dengan mengambil kira rintangan golek yang lebih rendah untuk kecekapan bahan api serta jangka hayat terhadap kehausan permukaannya yang lebih baik. Reka bentuk blok juga dihadirkan dalam bentuk multi-blok bulat untuk tahan tekanan sentuhan permukaan dan bahagian bahu yang dioptimumkan.

    Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 dilancar di Malaysia — saiz dari 15 hingga 20-inci, dari RM351

    “Potenza Adrenalin RE005 mencerminkan komitmen Bridgestone Malaysia untuk memberikan prestasi terbaik yang menepati keperluan pemandu masa kini,” ujar Pengarah Urusan Bridgestone Malaysia, Michael Chung.

    “Dibangunkan dengan DNA sukan permotoran Bridgestone, Potenza Adrenalin RE005 direka bentuk untuk memberikan kawalan yang meyakinkan, maklum balas pengendalian terbaik dan keseronokan memandu yang sesuai untuk jalan raya dan keadaan cuaca di Malaysia,” tambahnya.

    Bagi pasaran Malaysia, RE005 akan ditawarkan dalam saiz antara 15 hingga 20-inci, dengan harga runcit yang dicadangkan (RRP) bermula RM351 hingga RM1,543.

     
     
  • Warga Malaysia dengan lesen memandu asing boleh mohon penukaran kepada lesen lokal bermula 1 Jun

    Warga Malaysia dengan lesen memandu asing boleh mohon penukaran kepada lesen lokal bermula 1 Jun

    Rakyat Malaysia yang memegang lesen memandu asing tanpa sebarang sekatan akan dibenarkan untuk memohon penukaran kepada lesen memandu tempatan mulai 1 Jun 2026, lapor Bernama.

    Kementerian Pengangkutan memaklumkan, permohonan penukaran lesen tersebut boleh dibuat di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara. “Langkah ini selaras dengan perkembangan semasa dan bertujuan untuk memastikan mobiliti rakyat Malaysia yang bekerja, menetap atau menguruskan hal ehwal di luar negara tidak terganggu,” kata kementerian itu.

    Di bawah dasar semasa, penukaran lesen asing hanya terhad kepada rakyat Malaysia yang memperoleh lesen asing mereka sebelum lesen Malaysia, peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), dan ahli kor diplomatik.

    Warga Malaysia dengan lesen memandu asing boleh mohon penukaran kepada lesen lokal bermula 1 Jun

    Pada Mei tahun lalu, JPJ telah menghentikan penukaran lesen asing kepada lesen Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

    Prosedur yang dipertingkatkan ini bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada sambil mengekalkan piawaian pemanduan dalam kalangan pemohon, jelas laporan tersebut lagi.

    “Ia juga bertujuan untuk memudahkan permohonan penukaran lesen memandu asing kepada lesen Malaysia dengan mengambil kira keperluan semasa dan mobiliti rakyat Malaysia, terutamanya di tengah-tengah persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar ketika ini,” jelas kementerian terbabit. Maklumat mengenai keperluan permohonan, prosedur dan yuran akan tersedia di laman web JPJ mulai 1 Jun, katanya.

     
     
  • PANDU UJI: GWM Wey G9 Hi4 PHEV – miliki prestasi dan gaya yang seiring sejalan…sepadan harganya!

    PANDU UJI: GWM Wey G9 Hi4 PHEV – miliki prestasi dan gaya yang seiring sejalan…sepadan harganya!

    GWM Wey G9 Hi4 PHEV telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia pada akhir Januari lalu. Ia juga telah mula kelihatan meluncur tenang di jalan raya dan pemilik pertamanya ialah biduanita tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga merupakan duta rasmi jenama Wey G9 ini.

    Untuk pengetahuan anda, ‘Wey’ adalah divisi mewah untuk GWM sebagaimana jenama Lexus untuk Toyota, di mana nama ‘Wey’ itu diambil dari nama pengasas GWM sendiri ini Jack Wey. Untuk pasaran tempatan, G9 versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang EPMB di Pegoh Melaka, ditawarkan dengan satu varian dan dijual pada harga atas jalan RM269,800 tanpa insurans.

    Malaysia menerima G9 dalam versi tujuh-tempat duduk dan jarak roda pendek, dihasilkan dengan dimensi panjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda sejauh 3,085 mm.

    PANDU UJI: GWM Wey G9 Hi4 PHEV – miliki prestasi dan gaya yang seiring sejalan…sepadan harganya!

    Jadi jika dibandingkan dengan MPV mewah ikonik di Malaysia iaitu Toyota Alphard, Wey G9 ini adalah 35 mm lebih panjang, 110 mm lebih lebar, 50 mm lebih rendah, dan jarak roda 85 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun sekiranya dibandingkan dengan pesaing dari negara yang sama termasuk Zeekr 009, Xpeng X9 dan Denza D9, Wey G9 ini adalah antara yang paling pendek kerana masing-masing mempunyai panjang melebihi 5.2 meter serta jarak roda antara 3.1 hingga 3.2 meter.

    Tapi apakah elemen yang ingin dipertaruhkan oleh Wey G9 ini? Kami cuba untuk menggali apa keistimewaan yang ada pada MPV keluaran GWM ini menerusi sesi pandu uji yang disertai sebulan yang lalu. Ia melibatkan perjalanan antara Bamboo Hills, KL ke Kuantan, Pahang dan pemanduan secara bergilir-gilir dengan tiga lagi rakan media lain.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kia Sales Malaysia lantik Cycle & Carriage secara rasmi sebagai kumpulan pengedar baharu

    Kia Sales Malaysia lantik Cycle & Carriage secara rasmi sebagai kumpulan pengedar baharu

    Kia Sales Malaysia Sdn. Bhd. (KSM) hari ini secara rasmi mengumumkan pelantikan Cycle & Carriage (C&C) sebagai rakan pengedar terbaharunya. Menurut KSM, dengan kerjasama ini ia akan menawarkan akses jualan yang lebih meluas kepada pelanggan Kia, sokongan selepas jualan yang dipertingkatkan serta pengalaman pemilikan yang lebih premium selaras dengan standard global terkini Kia.

    “Pelantikan Cycle & Carriage, sebuah jenama automotif terkemuka di Malaysia dengan legasi menjangkau lebih 125 tahun, mencerminkan komitmen Kia untuk memperkukuh rangkaian jualan kami. Usaha ini juga bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan di seluruh negara, sekali gus meletakkan jenama Kia pada kedudukan yang lebih kompetitif dalam landskap automotif Malaysia yang dinamik,” kata CEO Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim.

    “Sebagai salah satu pengeluar kereta terbesar di dunia, Kia merupakan penambahan yang kukuh kepada portfolio kami. Kami berbangga untuk mengalu-alukan jenama ini dan berharap dapat memanfaatkan kepakaran automotif serta kecemerlangan perkhidmatan pelanggan Cycle & Carriage untuk memperluas capaian pasaran Kia, di samping memberikan pengalaman pemilikan yang luar biasa kepada pelanggan di Malaysia,” tambah CEO Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short pula.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya lancar buku garis panduan pemasangan pengecas EV untuk rujukan pemasang

    Kementerian Kerja Raya lancar buku garis panduan pemasangan pengecas EV untuk rujukan pemasang

    Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan Buku Garis Panduan Reka Bentuk dan Pemasangan Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) di mana menurut timbalan menteri kerja raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, buku tersebut akan membantu memacu reformasi pintar Jabatan Kerja Raya (JKR), selaras dengan dasar kerajaan untuk memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik di seluruh negara.

    Beliau menyatakan bahawa garis panduan berkenaan adalah pertama seumpamanya di Malaysia dan berfungsi sebagai rujukan komprehensif kepada semua pihak termasuk kontraktor, pereka bentuk, agensi kerajaan, operator stesen minyak serta individu yang ingin memasang kemudahan pengecasan EV.

    “Selama ini kita tiada garis panduan khusus berkaitan pemasangan sistem pengecasan EV. Jadi buku ini akan menjadi dokumen yang akan membantu memastikan pemasangan dibuat di lokasi sesuai serta mematuhi aspek keselamatan ditetapkan,” kata Ahmad Maslan dalam laporan Bernama.

    Beliau turut menyatakan bahawa kekurangan stesen pengecasan ketika ini dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang membataskan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dalam negara, dan menambah JKR perlu proaktif sebagai pemudah cara dalam pembangunan stesen pengecasan EV khususnya di jalan Persekutuan dan negeri.

    “Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan EV, bukan sahaja di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya, tetapi turut diperluaskan ke jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di bawah seliaan JKR,” katanya lagi.

    Terdapat garis panduan lain mengenai sistem pengecasan EV (EVCS), di mana suruhanjaya tenaga (ST) adalah salah satu badan yang mempunyai dokumen sedemikian. Pada tahun 2023, jabatan perancangan bandar dan desa persekutuan (JPBD) menerbitkan garis panduannya mengenai ruang pengecasan kenderaan elektrik (GPP EVCB), yang bertujuan untuk menyediakan satu set parameter kepada pihak berkuasa negeri dan tempatan serta pihak berkepentingan untuk merancang, mereka bentuk dan membina EVCB.

     
     
  • Mitsubishi Xforce jadi SUV kompak bukan-nasional terlaris di Malaysia – galeri penuh varian Ultimate

    Mitsubishi Xforce jadi SUV kompak bukan-nasional terlaris di Malaysia – galeri penuh varian Ultimate

    Wah! Bukan ‘biashe-biashe’ jualan Mitsubishi Xforce, sejak dilancarkan pada 8 April lalu, ia telah menerima tempahan sebanyak 2,600 unit, dan sejumlah 900 unit telah dihantar kepada para pelanggan pada bulan yang sama. Dan baru-baru ini Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa Xforce telah menjadi SUV kompak bukan-nasional paling laris di Malaysia (biasanya didominasi sama ada oleh HR-V atau Corolla Cross). Kena tunggu data yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk April, adakah SUV ini berjaya menduduki kedudukan 20 teratas secara keseluruhan.

    Xforce pemasangan tempatan (CKD) dari fasiliti pengeluaran Mitsubishi di Pekan, Pahang, ditawarkan dengan dua varian iaitu Urban berharga RM110k dan Ultimate berharga RM120k (seperti yang dipaparkan dalam galeri ini). Enjinnya ialah unit 4A91 1.5 liter MIVEC empat-silinder tanpa turbo yang menghasilkan 105 PS dan 141 Nm, manakala kotak gear pula menggunakan CVT Aisin.

    Berikut ialah ciri yang ada pada varian Ultimate tetapi tiada pada Urban – mod pemanduan boleh pilih, tailgate berkuasa dengan fungsi bebas tangan serta spoiler, panel instrumen lapan-inci (Urban menggunakan meter analog dengan paparan TFT 4.2-inci), skrin sesentuh 12.3-inci (lapan-inci pada Urban), lampu ambien biru, pengecas tanpa wayar dan lapan pembesar suara Yamaha (enam pada Urban, tanpa jenama).

    Turut eksklusif untuk Ultimate ialah papan pemuka kemasan White Mélange, tempat duduk dengan serlahan Mocha, cermin pandang belakang auto-malap, Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar (berwayar pada Urban), enam beg udara (empat pada Urban) serta ADAS termasuk AEB dan ACC (Urban hanya mempunyai amaran titik buta dan amaran lintasan trafik belakang). Berminat? Lihat galeri lengkap varian Ultimate di bawah.

     
     
  • Audi Q5 2026 di Malaysia — galeri varian 2.0 TFSI dan Sportback 2.0 TFSI quattro; RM353k-RM422k

    Audi Q5 2026 di Malaysia — galeri varian 2.0 TFSI dan Sportback 2.0 TFSI quattro; RM353k-RM422k

    Audi Q5 generasi ketiga mula dijual secara rasmi di Malaysia awal minggu ini, dan kini kami bawakan galeri lengkap dan terperinci dua modelnya yang ditawarkan di sini, iaitu Q5 Advanced 2.0 TFSI dan juga versi sporty-nya, Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro. Untuk pasaran tempatan, Audi Q5 ini menjadi pesaing kepada model seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC.

    Merupakan unit CBU yang dibawa masuk dari kilang pemasangan global pengeluarnya di Mexico, kedua-dua model ini dijual masing-masing seperti berikut:

    Bagi versi badan standard ditawarkan dalam varian Q5 Advanced 2.0 TFSI dengan harga RM354,223 bersama pakej waranti standard dua-tahun tanpa had perbatuan. Ini menjadikannya RM33,000 lebih mahal berbanding model BMW X3 20 xDrive versi CKD. Harga ini akan naik menjadi RM371,223 sekiranya pembeli memilih Audi Assurance dengan waranti dan pakej servis selama lima-tahun.

    Untuk Sportback pula dijual dalam varian Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro berharga RM423,223 bersama pakej waranti standard dua-tahun tanpa had perbatuan (ini RM69,000 lebih mahal berbanding versi Advanced). Harganya akan naik menjadi RM440,223 sekiranya pembeli memilih Audi Assurance dengan waranti dan pakej servis selama lima-tahun. Semua harga yang disebut adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Q5 Advanced digerakkan oleh enjin 2.0 liter turbo yang menjana sebanyak 199 PS dari 4,300 rpm hingga 4,000 rpm dan tork maksimum 340 Nm dari 2,000 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Varian ini juga diberikan suspensi jenis Comfort, serta menerima set rim aloi 19-inci dengan rekaan 10-jejari dalam kemasan dua tona, dibalu dengan tayar 235/55R19.

    Audi Q5 2026 di Malaysia — galeri varian 2.0 TFSI dan Sportback 2.0 TFSI quattro; RM353k-RM422k

    Sedikit lain untuk Q5 Sportback S line quattro, walaupun ia menerima enjin yang sama, varian ini sebaliknya ditala untuk menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 272 PS dari 5,000 rpm hingga 6,500 rpm, dan tork maksimum 400 Nm dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Kotak gear juga sama menggunakan unit klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, tetapi kuasanya disalurkan ke semua roda menerusi sistem AWD Quattro Audi.

    Dengan kuasa yang lebih besar, Q5 Sportback diberikan suspensi sport S Line, serta diberikan rim lebih besar iaitu rim 20-inci dengan lima-jejari berkembar dalam kemasan dua tona, dengan tayar 255/45R20. Kedua-dua jenis unit rangkaian kuasa ini datang dengan mod pemanduan Audi Drive Select.

    Kedua-dua versi juga menerima perincian standard termasuk lampu hadapan matrix LED dan lampu belakang LED. Namun hanya Q5 Sportback S line diberikan lampu brek belakang yang memancarkan isyarat kecemasan pada cermin belakang bagi memberikan amaran kepada pemandu atau penunggang motosikal.

    Audi Q5 2026 di Malaysia — galeri varian 2.0 TFSI dan Sportback 2.0 TFSI quattro; RM353k-RM422k

    Di bahagian dalaman, Q5 pasaran Malaysia ini datang dengan balutan kerusi gandingan kulit dan kulit buatan bersama serlahan Lime Sediment Natural dalam kemasan perak-kelabu. Istimewa untuk Sportback, ia menerima pek kemasan S line yang merangkumi pelapik bumbung hitam, tempat duduk hadapan sport larasan kuasa, balutan kerusi kombinasi kulit sebenar dan tiruan dengan logo S yang dilekap, serlahan mikro-karbon, roda stereng rata di bawah dan juga set pedal dan perehat kaki logam tahan karat.

    Kedua-dua model ini menerima paparan instrumen digital 11.9-inci dan juga skrin infotainmen 14.5-inci OLED MMI panaromik yang menerima sokongan Apple CarPlay dan juga Android Auto tanpa wayar. Ia juga diberikan sistem Audi Assistant yang dikuasakan oleh ChatGPT, yang didakwa faham dengan semua ayat yang digunakan setiap hari, memberikan maklumat masa sebenar dan juga menawarkan cadangan proaktif.

    Q5 Advanced menggunakan sistem bunyi standard Audi, sementara Q5 Sportback S Line pula diberikan sistem bunyi premium 3D Bang & Olufsen. Kedua-duanya juga menerima pengecas tanpa wayar dengan penyejuk adaptif, dan empat port USB-C di mana untuk Q5 Sportback S line port berkenaan berkuasa 60W di depan dan 100W di belakang.

    Selain itu kedua-duanya didatangkan dengan apilkasi telefon pintar Audi Connect yang membolehkan pemandu memeriksa status serta menerima amaran pencuri, mengenalpasti lokasi, serta diberikan fungsi kunci digital yang membolehkan kenderaan dikunci atau dibuka kunci hanya menggunakan telefon pintar.

    Manakala untuk praktikaliti, badan standard Q5 Advanced menawarkan ruang but belakang sebesar 520 liter, dan ini meningkat kepada 1,473 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Untuk Q5 Sportback S line dengan bumbung belakang lebih landai pula ruang but yang tersedia adalah 515 liter dan 1,415 liter sekiranya tempat duduk belakang direbahkan.

    Bagi sistem bantuan pemanduan, kedua-dua Q5 pasaran Malaysia ini diberikan sistem kawalan melayar adaptif dan juga bantuan parkir bersama Parking System Plus.

    Pilihan warna badan terdiri daripada Grenadine Red, Tambora Grey, Navarra Blue, Mythos Black dan Glacier White untuk Q5 Advanced, manakala Q5 Sportback S line pula boleh dipilih dengan warna badan District Green, Grenadine Red, Daytona Grey dengan kesan pearl, Mythos Black dan juga Glacier White.

    Audi Q5 Advanced 2.0 TFSI 2026 di Malaysia

    Audi Q5 Sportback S line 2.0 TFSI quattro 2026 di Malaysia

     
     
  • Brembo Sensify sudah mula diproduksi – sistem brek tanpa litar hidraulik, guna sistem elektronik dan AI

    Brembo Sensify sudah mula diproduksi – sistem brek tanpa litar hidraulik, guna sistem elektronik dan AI

    Pembuat brek dari Itali, Brembo mengumumkan bahawa sistem brek Brembo Sensify yang didedahkan pada 2021 kini sudahpun mula diproduksi. Menurut Brembo pihaknya telah pun mendatangani perjanjian bagi membolehkan ia membekalkan ratusan ribu unit setahun sistem berkenaan, namun tidak mendedahkan jenama-jenama automotif yang bakal menggunakannya.

    Sistem brek Brembo Sensify ini bukan sahaja tidak lagi menggunakan sistem hidraulik konvensional, malah turut dibantu dengan perisian termaju bersama teknologi kecerdasan buatan (A.I).

    Secara asasnya, memang tiada lagi litar hidraulik biasa pada sistem Sensify ini. Tiada pam utama (brake master pump), jadi pedal brek tidak memerlukan unit booster bagi memudahkan pedal ditekan. Sebaliknya pedal tersebut dihubungkan kepada satu modul yang akan menghantar isyarat kepada kotak komputer utama (ECU), memberikan input bagaimana pedal tersebut ditekan.

    ECU berkenaan bukan hanya menerima input dari pedal malah ia turut memantau parameter penting lain seperti geseran pada permukaan jalan, berat kereta, pembahagian berat, kelajuan kereta dan juga sudut stereng. Dua buah ECU digunakan dalam setiap sistem Sensify ini – satu untuk roda hadapan dan satu lagi untuk roda belakang. Walau bagaimanapun, kedua-dua ECU ini masih berhubung untuk situasi seperti fungsi failsafe (sistem sokongan jika berlaku kerosakan).

    Kedua-dua ECU tersebut mengawal setiap actuator (penggerak) untuk setiap angkup brek secara bebas, membolehkan setiap angkup memberikan kuasa membrek yang berbeza dan lebih tepat pada setiap roda berdasarkan situasi. Actuator berkenaan diletakkan berhampiran dengan setiap angkup, membolehkan ia beroperasi dengan litar hidraulik yang pendek. Malah menerusi video yang disertakan, ada juga actuator elektromekanikal yang direka bersambung terus dengan angkup yang berfungsi tanpa sistem hidraulik.

    Menurut Brembo, setiap actuator tersebut dilengkapi dengan gegelung berkembar bagi tujuan keselamatan, dan sistem Sensify ini sendiri telah menerima kelulusan type approval dari pihak berkuasa berkaitan di semua pasaran.

    Jadi bagi memberikan sistem seperti ABS dan EBD, kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan sebagainya, ia tidak lagi memerlukan unit modulator konvensional kerana ia boleh diberikan terus oleh ECU yang dibantu oleh teknologi A.I bagi memahami situasi pemanduan, seterusnya memberikan kuasa membrek yang tepat pada setiap angkup secara berasingan.

    Dengan sistem ini karekter brek seperti rasa pada pedal dan respon boleh diubah dan ditala dengan jauh lebih mudah kerana ia kini menggunakan sistem elektronik sepenuhnya. Malah ia turut boleh menyimpan talaan berbeza untuk setiap pemandu.

    Brembo menyatakan bahawa sistem Sensify yang lebih ringkas ini tidak memerlukan ruang yang besar serta boleh dialihkan untuk kegunaan pemanduan sebelah kiri atau kanan dengan mudah. Dan, ia tidak semestinya beroperasi dengan pedal kaki kerana boleh digantikan butang atau suis jika pengeluar mahukan rekaan sedemikian.

    Sistem yang jauh lebih ringan, ringkas dan kompak ini juga memberikan kuasa membrek yang lebih mampan kerana setiap pergerakan brek pada setiap angkup telah yang dioptimakan serta tanpa adanya geseran antara pad dan cakera brek dapat mengurangkan lagi emisi, dakwa Brembo.

    Brembo turut menyatakan bahawa sistem Sensify ini sesuai digunakan pada apa sahaja kenderaan termasuk kereta bandar, sedan, kereta sport, kereta lumba dan kenderaan perdagangan. Malah motosikal yang sangat sensitif terhadap berat dan perubahan permukaan jalan juga sangat sesuai untuk menggunakan sistem Sensify ini. Sistem ini juga boleh beroperasi tidak kira pada kenderaan elektrik sepenunhnya ataupun yang menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional.

     
     
  • Projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua lancar, kerja pengalihan utiliti sedang dilaksanakan – PLUS

    Projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua lancar, kerja pengalihan utiliti sedang dilaksanakan – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa Projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) terus menunjukkan kemajuan apabila kerja-kerja awalan bagi Pakej 1 telah disiapkan, manakala kerja-kerja pengalihan utiliti, geoteknikal dan lain-lain sedang giat dijalankan di tapak projek.

    Menurut PLUS, Pakej 1 yang merupakan salah satu pakej bagi pelaksanaan PJSD, meliputi kerja-kerja menaiktaraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (KM135.15 – KM135.4) serta pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5 – KM134.5).

    “Sehingga pertengahan April 2026, kerja-kerja awalan projek yang telah dilaksanakan merangkumi beberapa aktiviti teknikal seperti Ukur Topografi (Topography Survey), Pemetaan Pengesanan Utiliti (Utilities Detection Mapping – UDM), Penyiasatan Tanah (Soil Investigation – SI), Kajian Keadaan Struktur Sedia Ada (Dilapidation Survey) serta Kerja Perintisan (Piloting).

    Projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua lancar, kerja pengalihan utiliti sedang dilaksanakan – PLUS

    “Pencapaian ini mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan asas pelaksanaan projek berada pada landasan yang kukuh. Pada masa yang sama, kerja-kerja pengalihan utiliti sedang giat dilaksanakan dan kini telah mencapai kira-kira 55% kemajuan, hasil koordinasi yang baik di antara LLM dan PLUS bersama beberapa agensi utiliti utama termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan TIME dotCom Berhad,” kata PLUS.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut berkata, kerja-kerja geoteknikal sedang dilaksanakan di lokasi projek, antaranya melibatkan pemasangan Saliran Menegak Prafabrikasi (Prefabricated Vertical Drain – PVD) dan Surcaj, pemasangan Tambak Cerucuk (Pile Embankment), Cerucuk Ujian Awal (Preliminary Test Pile – PTP) dan penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP), serta kerja-kerja pemecahan saliran sedia ada bagi memudahkan pelaksanaan kerja pembinaan seterusnya.

    Projek penyuraian trafik Juru-Sungai Dua lancar, kerja pengalihan utiliti sedang dilaksanakan – PLUS

    PJSD merupakan projek berimpak tinggi yang dilaksanakan bagi menyediakan infrastuktur yang mampan dan memberi manaat kepada rakyat. la bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di koridor Juru-Sungai Dua, yang merupakan antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara- Selatan.

    Apabila siap kelak, projek ini dijangka akan meningkatkan kelancaran aliran trafik, memendekkan masa perjalanan pengguna lebuh raya serta menyokong pembangunan ekonomi yang berterusan di Pulau Pinang dan kawasan utara Semenanjung Malaysia.

    Projek ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM3 bilion yang akan dibiayai secara hibrid, iaitu 60% melalui peruntukan Kerajaan dan 40% oleh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad). Tempoh pembinaannya ialah selama 48 bulan dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 bermula sejak November 2025, manakala pakej-pakej lain akan dimulakan pada pertengahan tahun 2026. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2030.

     
     
  • MITI sahkan perubahan polisi EV CBU, nilai CIF min. RM200k, kuasa min. 245 PS, efektif 1 Julai 2026

    MITI sahkan perubahan polisi EV CBU, nilai CIF min. RM200k, kuasa min. 245 PS, efektif 1 Julai 2026

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah pun mengeluarkan kenyataan media rasmi bagi mengumumkan perubahan terhadap polisi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai selama empat-tahun untuk EV yang diimport sepenuhnya di bawah skim francais Approved Permit (AP) pada 31 Disember 2025.

    Menurut kementerian tersebut bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp).

    Kenyataan itu turut memberitahu bahawa pelarasan ini telah dimaklumkan kepada syarikat induk francais AP melalui sesi penglibatan yang diadakan pada 30 April tahun ini.

    Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh MITI, klik untuk besarkan

    MITI turut menambah bahawa, dengan mengambil kira bahawa sesetengah syarikat masih mempunyai stok kenderaan yang tinggal, termasuk stok sedia ada, yang berada di pelabuhan dan dalam transit, ia akan membenarkan stok tersebut dijual mengikut peraturan dalam tempoh pengecualian khas sehingga stok tersebut habis.

    Untuk penjelasan yang lebih terperinci berkenaan perubahan polisi baharu ini, kami ada menyediakan artikel komprehensif yang boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026