Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Xpeng akan lancar SUV besar di M’sia hujung tahun ini

    Xpeng akan lancar SUV besar di M’sia hujung tahun ini

    Ketika ini kami sedang berada di Guangzhou, China untuk melawat ibu pejabat Xpeng termasuk fasiliti pengeluaran mereka, sebelum membuat liputan mengenai Auto China 2026 di Beijing lusa. Dalam lawatan ke fasiliti Xpeng ini, kami dimaklumkan oleh Xpeng bahawa mereka akan membawa masuk model SUV baharu ke pasaran Malaysia, dijangkakan sama ada pada suku ketiga (Q3) atau suku keempat (Q4) tahun ini. Adakah ia SUV bersaiz besar Xpeng GX? Ada kemungkinan Xpeng G9 yang juga bakal dipasarkan di Australia kelak.

    Berkenaan dengan GX, SUV enam-tempat duduk ini akan dipertontonkan di Auto China 2026 yang bakal membuka tirainya hujung minggu ini. Untuk pengetahuan anda, GX merupakan SUV flagship paling mahal dari Xpeng setakat ini, dan pra-jualannya juga akan dibuka dengan harga jangkaan sekitar 399,800 yuan (RM231,792).

    Di China, GX bersaing dengan SUV sedia ada termasuk Li Auto L9, Aito M9, Zeekr 9X dan N9. Ia ditawarkan dengan varian range-extender dan juga bateri elektrik dengan binaan elektrikal 800 voltan yang mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam empat saat dan jarak gerak boleh mencecah hingga 750 km. Penjana kuasa bagi versi BEV ini turut digandingkan dengan motor berkuasa 270 kW (367 PS).

    Xpeng akan lancar SUV besar di M’sia hujung tahun ini

    Dengan imej luaran ala Range Rover, ia menerapkan beberapa elemen tersendiri bagi membezakan identiti model ini. Bahagian hadapan GX menampilkan unit lampu yang dipasang rendah, jalur lampu melintang sepenuhnya dan tidak diberikan gril konvensional, sekaligus menampakkan imejny yang lebih moden dan futuristik.

    Selain itu, pintu hadapan GX tidak mempunyai kemasan hiasan seperti yang terdapat pada Range Rover. Di belakang pula, GX menggunakan jalur lampu mendatar menggantikan rekaan lampu berbentuk-U yang menurun.

    Dikenali secara dalaman dengan kod nama G01, GX akan menggunakan sistem Kunpeng Super Electric System milik Xpeng. Ia merupakan rangkaian kuasa kenderaan elektrik range extender atau REEV yang menyokong teknologi pengecasan 5C dan dikatakan mampu menawarkan jarak pemanduan hibrid melebihi 1,000 kilometer. GX turut ditawarkan dengan sokongan teknologi berasaskan kecerdasan buatan atau AI.

     
     
  • Geely Preface, Xingyue L i-HEV didedah – hibrid 1.5L, DHT 1-kelajuan, teknologi akan diguna pada Proton?

    Geely Preface, Xingyue L i-HEV didedah – hibrid 1.5L, DHT 1-kelajuan, teknologi akan diguna pada Proton?

    Selepas mengumumkan pembangunan trenkuasa hibrid baru i-HEV, Geely kini melancarkan model terawal yang dilengkapi sistem tersebut di pasaran China menerusi Geely Preface dan Geely Xingyue L (dikenali sebagai Monjaro di pasaran eksport). Sistem ini pada asasnya membawa kepakaran Geely dalam teknologi plug-in hybrid kepada konfigurasi hibrid konvensional tanpa pengecasan luaran, sama seperti yang ditawarkan oleh pengeluar Jepun.

    Seperti sistem pada Proton eMas 7 PHEV, trenkuasa i-HEV menggunakan transmisi hibrid khusus satu kelajuan (DHT) jenis 11-dalam-1 yang disepadukan dengan motor elektrik. Dalam kebanyakan situasi, motor elektrik menjadi sumber utama pergerakan, manakala enjin pembakaran dalaman – unit empat silinder 1.5 liter BHE15 – berfungsi menjana tenaga untuk bateri. Namun, enjin tersebut turut boleh menyumbang kuasa secara langsung semasa kelajuan tinggi bagi meningkatkan kecekapan, mirip pendekatan sistem Honda e:HEV.

    Meskipun kedua-dua model menggunakan asas teknologi yang sama, konfigurasi kuasa adalah berbeza. Bagi Preface, motor elektrik ditala untuk menghasilkan 190 PS dan 240 Nm dan dipadankan dengan enjin NA berkuasa 111 PS dan 136 Nm.

    Geely Preface, Xingyue L i-HEV didedah – hibrid 1.5L, DHT 1-kelajuan, teknologi akan diguna pada Proton?

    Output enjin ini dikatakan setara dengan model Geely Galaxy Starship 7 di pasaran China, namun lebih tinggi berbanding eMas 7 PHEV. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada enjin ini menggunakan versi terkini dengan kecekapan terma mencecah 48.41%.

    Untuk Xingyue L pula, ia menggunakan motor elektrik yang sama seperti Galaxy Starship 7 dengan kuasa penuh 238 PS dan 262 Nm. Disebabkan keperluan tenaga yang lebih tinggi bagi badan SUV yang lebih besar, enjin pembakaran dalaman dilengkapi pengecas turbo, menghasilkan 163 PS dan 255 Nm.

    Menariknya, kedua-dua model ini sebenarnya sudah pun ditawarkan dengan trenkuasa hibrid sedia ada yang menggunakan enjin turbo, motor elektrik lebih berkuasa serta transmisi DHT tiga kelajuan yang lebih kompleks dan berorientasikan prestasi. Namun, peningkatan kecekapan bahan api bagi i-HEV dilihat agak kecil.

    Geely Preface, Xingyue L i-HEV didedah – hibrid 1.5L, DHT 1-kelajuan, teknologi akan diguna pada Proton?

    Preface i-HEV mencatat penggunaan bahan api 3.98 liter bagi setiap 100 km berbanding 4.22 liter untuk versi hibrid biasa. Xingyue L i-HEV pula merekodkan 4.75 liter per 100 km, hanya sedikit lebih baik daripada 4.79 liter bagi model hibrid sedia ada.

    Kelebihan utama sistem i-HEV sebenarnya terletak pada kos yang lebih rendah hasil penggunaan komponen yang lebih ringkas. Di China, Preface i-HEV ditawarkan pada harga bermula 107,700 yuan, jauh lebih murah berbanding 126,700 yuan bagi versi hibrid. Xingyue L i-HEV pula bermula dari 148,700 yuan, berbanding 167,700 yuan untuk varian hibrid biasa.

    Geely Preface, Xingyue L i-HEV didedah – hibrid 1.5L, DHT 1-kelajuan, teknologi akan diguna pada Proton?

    Selepas ini, trenkuasa i-HEV dijangka diperluaskan kepada model lain seperti Geely Emgrand generasi kelima serta Geely Boyue. Menariknya, Emgrand sebelum ini mencatat penggunaan bahan api serendah 2.22 liter per 100 km dalam ujian lebuh raya yang disahkan oleh Guinness World Records.

    Dengan perkongsian komponen bersama eMas 7 PHEV, timbul persoalan sama ada sistem i-HEV ini bakal diperkenalkan pada model hibrid Proton yang diumumkan pada penghujung 2025 dan dijangka memasuki pasaran seawal tahun ini.

    GALERI: Geely Preface i-HEV

    GALERI: Geely Xingyue L i-HEV

     
     
  • Isuzu buka pusat 3S di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

    Isuzu buka pusat 3S di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

    Sebuah pusat 3S baru Isuzu kini dibuka di 21 Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, berhampiran World Trade Centre Kuala Lumpur. Premis ini merupakan cawangan ketiga di ibu negara yang dikendalikan oleh Autoexec Corporation, sekaligus menggabungkan operasi sedia ada apabila pusat 1S di Jalan Semarak dipindahkan ke fasiliti yang lebih besar ini.

    Ruang pameran yang beroperasi setiap hari ini tampil dengan susun atur moden termasuk pameran model utama, ruang penyerahan kenderaan, ruang rehat pelanggan serta kawasan barangan aksesori. Sementara itu, pusat servis turut dibuka setiap hari kecuali Ahad, dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan mampu mengendalikan sebuah trak serta sebuah pikap pada satu-satu masa.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi, pembukaan pusat 3S baru dengan identiti korporat terkini di lokasi strategik berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur dijangka dapat memperkukuh kehadiran jenama itu serta meningkatkan minat terhadap rangkaian produknya, khususnya dalam kalangan pengguna urban. Beliau turut menyatakan bahawa kenderaan Isuzu sememangnya sesuai digunakan bukan sahaja di kawasan luar bandar, malah juga di tengah-tengah kesibukan bandar raya.

     
     
  • Changan Auto bakal ke pasaran Malaysia – bawa model Nevo, Deepal dan Avatr, dijangka Q3 tahun ini

    Changan Auto bakal ke pasaran Malaysia – bawa model Nevo, Deepal dan Avatr, dijangka Q3 tahun ini

    Jika di Jepun ada tiga jenama utama yang digelar sebagai “The Big Three” mendominasi pasaran negara tersebut, di China pula ada empat jenama yang memegang takhta yang sama iaitu BYD, Chery, Geely dan Changan. Tiga dari daripada empat kuasa besar itu sudah pun bertapak di Malaysia, dan tidak lama lagi Changan pula akan berada di sini.

    Itulah sebabnya pagi tadi kami berada di Chongqing Xibu Automobile Proving Ground di China atas jemputan Changan Automobile, iaitu untuk memperkenalkan barisan model-model terbaharunya serta menunjukkan beberapa model yang berpotensi untuk dilancarkan di Malaysia kelak. Seperti jenama-jenama China lain yang mempunyai sub jenama bagi membezakan status dan sasaran pelanggan yang berbeza, Changan juga tidak lari dari konsep yang sama.

    Changan berdiri sebagai jenama asal syarikat yang bertapak di Chongqing ini, dan menyediakan barisan model-model arus perdana dan sesuai untuk kenderaan keluarga. Untuk kenderaan elektrik penuh (EV) yang dijual sama tahap seperti Changan, syarikat berkenaan mewujudkan satu sub jenama yang dikenali sebagai Nevo.

    Manakala bagi model-model yang berada satu tahap di atas Nevo dan juga diberikan ‘perisa’ yang lebih sporty, ia dijual di China dengan sub jenama dikenali sebagai Deepal – kami sempat merasa memandu sekejap model-model Deepal ini, dan karekter yang mahu ditunjukkan benar-benar terserlah dengan rekaan-rekaan bumbung lebih rendah, pintu tanpa kerangka tingkap serta talaan suspensi yang lebih tertumpu pada aspek prestasi.

    Dan jika Toyota ada Lexus, model paling premium dan berada pada kelas mewah untuk Changan pula dijual dengan jenama Avatr di mana sebelum ini ia dikenali sebagai Changan Nio.

    Tiada senarai model yang benar-benar disahkan akan dilancarkan ke pasaran tempatan, namun Changan ada menyebut beberapa model yang berpotensi besar akan di bawa ke Malaysia kelak. Changan dijangka akan secara rasmi mengumumkan keberadaannya di Malaysia pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini, dan barisan “model-model berpotensi” ini mungkin dapat dilihat sini bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan.

    Antara model-model tersebut adalah SUV Changan CS55 dalam versi enjin pembakaran dalaman dan hibrid, Nevo, Deepal S05 dan Deepal S07. Untuk jenama mewah Avatr pula, model-model yang dijangka akan dibawa adalah Avatr 07 dan Avatr 11.

    Changan turut berminat untuk melancarkan trak pikap Hunter di Malaysia. Dan apa yang menarik ia bukanlah dari varian enjin diesel seperti yang kami lihat hari ini, tetapi Changan ada rancangan untuk membawa trak pikap tersebut dalam versi hibrid REEV (Range Extender EV, lebih kurang teknologi Nissan e-Power) di mana ia sudahpun dilancarkan di Thailand dengan nama Deepal Hunter K50.

    Di China, Changan juga ada satu lagi sub jenama yang diberi nama sebagai Lumin, iaitu jenama EV mampu milik yang bersaiz sangat kecil. Namun kami difahamkan bahawa Lumin tidak akan di bawa ke Malaysia kerana kurang sesuai di sini.

    Untuk pasaran Malaysia kelak, jenama Changan, Nevo dan Deepal akan diletakkan di bawah satu bumbung dan akan dikenali dengan nama Changan, Changan Nevo dan Changan Deepal. Namun untuk Avatr, ia akan dijual menerusi jaringan dan fasiliti berbeza dan berdiri sendiri menggunakan namanya.

    Walaupun buat masa sekarang Changan sudahpun mempunyai fasiliti pemasangan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di Rayong, Thailand yang mula beroperasi pada bulan Mei tahun lalu, bagi memastikan model-model yang dijual di sini dapat dijual pada harga yang kompetitif, syarikat tersebut mensasarkan untuk menjalankan operasi pemasangan tempatannya (CKD) di Malaysia.

    Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Changan tentang bagaimana operasinya di Malaysia kelak – sama ada berdiri sebagai entiti sendiri atau bersama rakan kongsi tempatan. Untuk rekod, pengedar jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz sebelum ini pernah dilaporkan telah mendapat hak pengedaran untuk menjual jenama Deepal di sini pada 2024. Jadi dengan perkembangan terbaharu ini, jelaslah mengapa ia masih lagi belum dilancarkan di sini sehingga kini.

    GALERI: Changan CS55, LHD

    GALERI: Nevo Q05, LHD

    GALERI: Deepal S05, LHD

    GALERI: Avatr 07, LHD

    GALERI: Changan Hunter Plus (diesel), LHD

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – W520 dengan binaan 800V, DC 330 kW, WLTP sehingga 800 km

    Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – W520 dengan binaan 800V, DC 330 kW, WLTP sehingga 800 km

    Model elektrik terbaru, Mercedes-Benz C-Class EV kini didedahkan secara rasmi, sekaligus bakal bersaing secara langsung dengan seteru tradisinya, BMW i3 yang diperkenalkan bulan lalu.

    Varian sulung yang diperkenalkan ialah C400 4Matic Electric, menampilkan konfigurasi dua motor dengan pacuan semua roda. Ia menghasilkan kuasa setinggi 360 kW (489 PS) dan 800 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya empat saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Motor belakang dilengkapi transmisi dua kelajuan, manakala motor hadapan menggunakan nisbah gear tunggal.

    Tenaga disalurkan oleh bateri jenis NCM yang dibekalkan oleh Samsung SDI, dengan kapasiti 94 kWh. Pek bateri ini memberikan jarak pemanduan sehingga 762 km mengikut piawaian WLTP, manakala pengecasan pantas DC 10-80% boleh dicapai dalam masa sekitar 22 minit. Untuk pengecasan AC, ia menyokong 11 kW secara standard dan sehingga 22 kW sebagai pilihan.

    Mercedes-Benz turut mengesahkan bahawa lebih banyak varian akan diperkenalkan tahun hadapan, termasuk versi pacuan roda belakang dan AWD dengan konfigurasi motor tunggal serta dua motor. Varian pacuan roda belakang dijangka menawarkan jarak perjalanan paling jauh, dianggarkan mencecah sekitar 800 km. Bagi model AWD, kecekapan dipertingkatkan menerusi sistem yang membolehkan motor hadapan dimatikan ketika beban rendah, seterusnya mengurangkan kehilangan tenaga sehingga 90%.

    Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – W520 dengan binaan 800V, DC 330 kW, WLTP sehingga 800 km

    Dibina atas platform MB.EA sama seperti Mercedes-Benz GLC EV, model ini menggunakan seni bina elektrik 800 volt yang menyokong pengecasan pantas sehingga 330 kW DC. Dengan pengecasan optimum, model ini mampu menambah jarak sehingga 325 km dalam masa hanya 10 minit. Converter DC turut ditawarkan bagi membolehkan penggunaan stesen pengecasan 400 volt.

    Dari segi dimensi, C-Class EV generasi W520 ini berukuran 4,883 mm panjang, 1,892 mm lebar dan 1,503 mm tinggi, dengan jarak roda 2,962 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding generasi W206 sebelum ini, sekaligus menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas. Penumpang hadapan dapat menikmati tambahan ruang kaki sebanyak 12 mm, manakala ruang kepala meningkat 22 mm di hadapan dan 11 mm di belakang.

    Rekaan luar mengambil inspirasi daripada GLC EV, dengan tafsiran baru gril klasik yang kini boleh dilengkapi lampu. Lampu utama LED hadir sebagai standard, manakala sistem Digital Light LED ditawarkan sebagai pilihan. Di bahagian belakang, rekaan fastback memberikan profil lebih moden, disertakan lampu belakang berbentuk bintang yang terletak dalam bulatan.

    Ruang kargo pula menawarkan kapasiti 470 liter, ditambah ruang “frunk” 101 liter di bahagian hadapan. Berat keseluruhan bagi varian C400 4Matic mencecah 2,460 kg.

    Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – W520 dengan binaan 800V, DC 330 kW, WLTP sehingga 800 km

    Dari segi pemanduan, model ini didakwa sebagai C-Class paling sporty setakat ini, dengan sistem stereng gandar belakang sehingga 4.5 darjah untuk meningkatkan kelincahan pada kelajuan rendah. Pada kelajuan melebihi 70 km/j, roda belakang turut membelok sehala dengan roda hadapan, sehingga 2.5 darjah bagi meningkatkan kestabilan.

    Suspensi menggunakan tetapan four-link di hadapan dan multi-link di belakang, digabungkan dengan sistem Airmatic yang boleh merendahkan kenderaan dalam mod Sport. Sistem suspensi pintar turut menggunakan data daripada Google Maps bagi mengoptimumkan ketinggian kenderaan untuk kecekapan aerodinamik.

    Sistem brek One-Box membolehkan pemulihan tenaga sehingga 300 kW, dengan kebanyakan proses membrek dilakukan melalui pemulihan tenaga, termasuk dalam situasi kecemasan seperti brek ABS atau permukaan licin.

    Di dalam kabin, model ini menampilkan paparan MBUX Hyperscreen bersaiz 39.1 inci yang merentasi hampir keseluruhan papan pemuka. Alternatifnya ialah konfigurasi MBUX Superscreen dengan tiga paparan di bawah satu panel kaca. Sistem ini dikuasakan cip berprestasi tinggi dengan grafik masa sebenar, serta skrin penumpang hadapan yang dilengkapi fungsi sekatan visual untuk mengelakkan gangguan kepada pemandu.

    Sistem operasi MBUX generasi keempat menggabungkan kecerdasan buatan daripada ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini, membolehkan interaksi suara yang lebih kompleks dan semula jadi melalui pembantu maya.

    Paparan head-up display realiti tambahan turut diperkenalkan, memaparkan imej maya bersaiz 18 inci dalam medan penglihatan pemandu. Dari segi keselesaan, tempat duduk hadapan menawarkan fungsi ventilasi, urutan dan sistem audio 4D dengan transducer binaan dalam.

    Pilihan kemasan dalaman merangkumi material kulit Softtorino sebagai standard, manakala pilihan premium termasuk corak “Twisted Diamond” dan kulit Nappa. Selain itu, model ini turut ditawarkan dengan pakej dalaman vegan yang diperakui oleh The Vegan Society, meliputi hampir semua permukaan lembut dalam kabin.

    Dari aspek keselamatan, C-Class EV dilengkapi sehingga 27 kamera dan sensor, serta pelbagai sistem bantuan pemandu seperti MB.Drive dan MB.Drive Assist Pro. Fungsi baru Pre-Safe Curve turut diperkenalkan, yang memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan memasuki selekoh pada kelajuan terlalu tinggi. Secara keseluruhan, model ini dilengkapi sehingga 11 beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan dan beg udara lutut untuk penumpang hadapan.

     
     
  • Malaysia guna 700,000 tong minyak sehari, sekali ganda jumlah pengeluaran; perlu diimport — MoF

    Malaysia guna 700,000 tong minyak sehari, sekali ganda jumlah pengeluaran; perlu diimport — MoF

    Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Penerangan Malaysia telah mengeluarkan beberapa penjelasan mengenai situasi negara ketika berdepan dengan krisis bahan api global yang berterusan. Antaranya adalah penggunaan bahan api di Malaysia mencecah 700,000 tong minyak sehari, berbanding pengeluaran harian yang hanya 350,000 tong. Untuk itu, Malaysia masih perlu mengimport minyak mentah dari luar, lapor Bernama.

    Konflik di Asia Barat telah mengganggu rantaian bekalan minyak global, termasuk sektor pengangkutan dan penghantaran, serta menjejaskan laluan perkapalan utama melalui Selat Hormuz. Secara purata, harga minyak mentah telah meningkat sekitar 40%, dan antara lain telah menyebabkan kenaikan kos dalam dalam sektor logistik dan insuran.

    48% daripada bekalan produk petroleum Malaysia ditapis oleh Petronas dan selebihnya oleh syarikat minyak lain di negara ini. Sementara itu, 48% daripada minyak mentah Malaysia dihasilkan di dalam negara, 38% diimport melalui Selat Hormuz, 7% dari Asia Tenggara, Afrika Barat dan rantau lain, dan 7% lagi dari Asia Barat dan tempat lain. Hampir 40% daripada jumlah import melalui Selat Hormuz telah terjejas setakat ini.

    Menurut anda, apakah cara terbaik untuk mengurangkan penggunaan minyak kita?

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia Mac 2026 naik 21%

    Jualan kenderaan di Malaysia Mac 2026 naik 21%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Mac 2026, dengan sejumlah 63,489 unit dilaporkan berjaya diserahkan kepada pembeli sepanjang tempoh tersebut. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 21.1%, bersamaan 11,075 unit, berbanding 52,414 unit yang dicatatkan pada Februari lalu.

    Menurut MAA, meskipun jumlah jualan pada bulan Mac dilihat agak rendah, ia masih mencerminkan pemulihan yang sihat dari bulan ke bulan. Malah, prestasi tersebut masih berada dalam lingkungan purata lima tahun kebelakangan ini, iaitu sekitar 72,000 unit sebulan.

    Persatuan itu turut menjelaskan bahawa jumlah jualan yang sederhana ini dipengaruhi oleh bilangan hari bekerja yang lebih singkat sepanjang bulan Mac. Keadaan ini berpunca daripada cuti perayaan Hari Raya serta penutupan sementara beberapa kilang pemasangan sempena musim perayaan.

    Jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, prestasi Mac 2026 menunjukkan penurunan sebanyak 12.95%, atau 9,442 unit, berbanding 72,931 unit kenderaan penumpang dan komersial yang dicatatkan pada Mac 2025.

     
     
  • Hyundai Ioniq 3 didedah – EV dengan rekaan tajam, kuasa sehingga 147 PS, jarak gerak WLTP 496 km

    Hyundai Ioniq 3 didedah – EV dengan rekaan tajam, kuasa sehingga 147 PS, jarak gerak WLTP 496 km

    Hyundai tidak mahu ketinggalan dalam dunia kenderaan elektrik apabila memperkenalkan model terbaru dalam keluarga Ioniq, iaitu Ioniq 3. Jika dibandingkan dengan model-model EV premium lain, model ini mengambil pendekatan berbeza dengan memberi penekanan kepada keseronokan pemanduan dan harga mampu milik, sekaligus menyasarkan pasaran segmen B yang semakin kompetitif.

    Bagi yang mengikuti perkembangan sebelum ini, Ioniq 3 merupakan versi produksi kepada Concept Three yang dipertontonkan tahun lalu. Walaupun reka bentuk akhir tidak lagi rendah dan agresif seperti model konsep, ia masih mengekalkan beberapa elemen menarik daripada konsep rekaan “Art of Steel”.

    Ini termasuk garis bumbung yang condong, spoiler belakang yang menonjol, cermin hadapan jenis wraparound serta rekaan C-pillar dengan sudut songsang yang memberikan identiti tersendiri pada bahagian belakang. Bahagian hadapan pula menampilkan evolusi rekaan dengan sistem lampu LED dua lapis, mirip model Ioniq 6 yang telah diperbaharui.

    Hyundai Ioniq 3 didedah – EV dengan rekaan tajam, kuasa sehingga 147 PS, jarak gerak WLTP 496 km

    Jalur lampu siang “pixel” ditempatkan di bahagian atas, manakala lampu utama projektor lengkap dengan fungsi lampu tinggi adaptif berada di bawah. Elemen “pixel” ini turut diterapkan di seluruh kenderaan, termasuk pada lampu belakang, lampu isyarat cermin sisi serta empat titik grafik di hadapan dan belakang yang melambangkan kod Morse untuk huruf “H”.

    Dari sisi, Ioniq 3 kini menggunakan pemegang pintu konvensional, menggantikan rekaan pintu konsep yang lebih futuristik. Hyundai turut mendakwa kecekapan rintangan udara serendah 0.263, menjadikannya lebih aerodinamik berbanding Ioniq 5 tetapi sedikit di belakang Ioniq 9.

    Model ini ditawarkan dengan 11 pilihan warna serta pilihan rim antara 16 hingga 19 inci. Turut disediakan ialah varian N Line yang tampil lebih sporty dengan bampar khas, diffuser belakang yang lebih besar serta elemen dalaman dan luaran diberi logo N Line.

    Hyundai Ioniq 3 didedah – EV dengan rekaan tajam, kuasa sehingga 147 PS, jarak gerak WLTP 496 km

    Di bahagian kabin, pendekatan rekaan Ioniq 3 berbeza daripada model Ioniq terdahulu. Ia menampilkan papan pemuka dengan gaya lebih “industrial”, lengkap dengan alur dalam dan corong pendingin hawa berbentuk menegak. Material dalaman pula diinspirasikan daripada perabot Itali era 1970-an, di samping penggunaan bahan kitar semula dan berasaskan bio.

    Rekaan ini dipadankan dengan kawalan fizikal yang lebih besar dan mudah digunakan, termasuk tombol kawalan pendingin hawa serta suis fizikal untuk kelajuan kipas dan suhu. Walaupun begitu, Ioniq 3 turut dilengkapi sistem infotainmen Pleos Connect berasaskan Android Automotive, yang dioperasikan melalui skrin sentuh 12.9 inci atau 14.6 inci, bersama paparan instrumen digital nipis di hadapan pemandu. Sistem ini menyokong fungsi seperti Digital Key 2, perancang laluan khusus EV dan Plug & Charge untuk pengecasan yang lebih mudah.

    Dari segi dimensi, Ioniq 3 merupakan model kompak dengan panjang 4,155 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,505 mm. Walaupun bersaiz kecil, Hyundai mendakwa ruang dalaman masih luas dan fleksibel. Ruang but menawarkan kapasiti 322 liter, ditambah ruang simpanan tambahan “Megabox” sebanyak 119 liter di bawah lantai but.

    Hyundai Ioniq 3 didedah – EV dengan rekaan tajam, kuasa sehingga 147 PS, jarak gerak WLTP 496 km

    Antara kelengkapan lain termasuk tempat duduk Premium Relaxation dengan fungsi rebah automatik, sistem audio Bose, pendingin hawa dua zon serta lampu suasana pelbagai warna. Beberapa elemen unik turut disembunyikan sebagai “easter egg”, termasuk maskot Mr. Pix yang kembali dari model konsep.

    Untuk prestasi, Ioniq 3 ditawarkan dalam dua versi iaitu standard dan jarak jauh, kedua-duanya menggunakan motor tunggal di hadapan. Menariknya, versi standard lebih berkuasa dengan output 147 PS dan 250 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa sembilan saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j. Versi jarak jauh pula menghasilkan 135 PS dan memerlukan 9.6 saat untuk pecutan sama.

    Namun begitu, versi jarak jauh menawarkan kelebihan dari segi jarak perjalanan. Varian standard dilengkapi bateri 42.2 kWh dengan jarak anggaran 344 km (WLTP), manakala versi jarak jauh menggunakan bateri 61 kWh yang mampu mencapai sehingga 495 km dengan sekali cas.

    Hyundai Ioniq 3 didedah – EV dengan rekaan tajam, kuasa sehingga 147 PS, jarak gerak WLTP 496 km

    Berbeza dengan model Ioniq lain yang menggunakan sistem 800 volt, Ioniq 3 dibina dengan seni bina elektrik 400 volt. Hyundai menyatakan pengecasan pantas DC mampu mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 29 hingga 30 minit bergantung kepada kapasiti bateri. Untuk pengecasan AC, model ini menyokong pengecas 11 kW atau pilihan 22 kW, selain turut menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk penggunaan kuasa dalaman dan luaran.

    Dari aspek keselamatan, Ioniq 3 dilengkapi tujuh beg udara sebagai standard serta pakej bantuan pemandu SmartSense. Ini termasuk sistem pemanduan separa autonomous Tahap 2, bantuan parkir jauh, fungsi bantuan mengundur dengan memori serta kamera titik buta bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan pemanduan.

     
     
  • Morbidelli F252 dilancar di Malaysia – RM14,888

    Morbidelli F252 dilancar di Malaysia – RM14,888

    Selain T502X dan T252X, MForce Bike Holdings turut melancarkan sebuah lagi model baru daripada Morbidelli iaitu F252 untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM14,888 tidak termasuk insurans, dalam pilihan warna Tundra White dan Bulk Black.

    Sama seperti T252X, F252 ini digerakkan oleh enjin dua silinder suntikan bahan api berkapasiti 249.5 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 33.5 hp pada 12,000 rpm dan tork 21 Nm pada 10,000 rpm.

    Untuk bahagian suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork USD, manakala bahagian belakang dilengkapi monoshock dengan pelarasan pra-beban. Sistem brek pula terdiri daripada unit cakera tunggal di hadapan dan belakang, dipadankan dengan angkup empat piston di hadapan dan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.

    Morbidelli F252 dilancar di Malaysia – RM14,888

    F252 menggunakan rim bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang, dipadankan dengan tayar Supermaxx masing-masing bersaiz 110/70 dan 150/60. Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 790 mm, manakala berat keseluruhan motosikal ini adalah 175 kg dengan kapasiti tangki bahan api sebanyak 15 liter.

    Bagi kemudahan penunggang, maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin TFT-LCD bersaiz lima inci yang menyokong sambungan bluetooth ke telefon pintar. Antara ciri bantuan tunggangan yang disediakan termasuk kawalan cengkaman serta tiga mod tunggangan iaitu Standard, Sport dan Expert. Selain itu, soket pengecas USB jenis Type-A dan Type-C turut disediakan bagi kemudahan tambahan.

     
     
  • Harga diesel yang lebih tinggi turut naikkan kos pelbagai sektor ekonomi lain — Timb. Presiden MCA

    Harga diesel yang lebih tinggi turut naikkan kos pelbagai sektor ekonomi lain — Timb. Presiden MCA

    Anggaran oleh kerajaan yang menyatakan hanya 15% rakyat Malaysia yang terkesan akibat kenaikan harga bahan api susulan konflik Timur Tengah tidak sepenuhnya tepat. Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Loh berkata, angka itu tidak mencerminkan realiti sebenar yang lebih meluas, lapor The Star.

    Kesan daripada harga diesel melonjak tinggi sebenarnya memberi kesan yang melangkaui pengguna diesel sendiri, dan memberi kesan langsung yang lebih luas kerana diesel merupakan komponen kos yang utama merentasi pelbagai sektor ekonomi. “Kenaikan kos diesel akhirnya akan memberi kesan kepada rantaian bekalan dan tercermin dalam harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna,” katanya.

    Isu utamanya bukanlah hanya tentang berapa ramai yang membeli diesel secara langsung, tetapi bagaimana kos yang lebih tinggi itu mempengaruhi juga aspek pengangkutan, bahan binaan dan harga makanan. Kenaikan harga yang disebabkan oleh kos diesel yang lebih tinggi ini akan menjejaskan semua lapisan penduduk, kata Low. “Sektor seperti logistik, pembinaan dan pelancongan adalah antara yang pertama merasakan kesan harga diesel yang lebih tinggi,” tambah Low.

    Low yang juga bertindak selaku jawatankuasa ekonomi dan hal ehwal SME parti itu menegaskan bahawa jaminan serupa telah dibuat terhadap kenaikan tarif elektrik, bagaimanapun namun harga dalam pasaran akan meningkat apabila perniagaan mengenakan kenaikan harga untuk menampung kos tersebut.

    Beliau juga menambah bahawa syarikat yang sudah berdepan perbelanjaan bahan api, upah dan sewa yang lebih tinggi mempunyai juga mempunyai keupayaan yang terhad untuk menyerap kenaikan kos selanjutnya. Beliau juga menggesa kerajaan untuk mengiktiraf kesan ekonomi yang lebih luas akibat pelarasan harga diesel dan memperkenalkan langkah-langkah yang disasarkan untuk mengurangkan beban kepada perniagaan dan pengguna.

     
     
  • Beli Honda hibrid, berpeluang pandu Prelude Serba Baharu seminggu*; nikmati servis percuma setahun

    Beli Honda hibrid, berpeluang pandu Prelude Serba Baharu seminggu*; nikmati servis percuma setahun

    Di sebalik hal-hal berkaitan bahan api yang tidak menentu ketika ini, kenderaan hibrid menjadi satu pilihan yang sangat wajar untuk dipertimbangkan. Sekiranya anda merasakan peralihan kepada EV adalah satu langkah yang drastik dan akan mengubah cara mobiliti anda, maka hibrid adalah jalan tengah yang mempertemukan kelebihan daripada kedua-dua sisi tersebut. Jimat penggunaan petrol dan tidak perlu mengecas kenderaan — mengapa tidak?

    Kenderaan hibrid Honda telah berada di Malaysia lebih daripada dua dekad, dan teknologi berkenaan telah dibangunkan serta berkembang untuk memenuhi keperluan dan kehendak rakyat Malaysia yang sentiasa berubah. Sepanjang tempoh itu, kepercayaan terhadap teknologi hibrid Honda juga terbina dan mengukuh – sesuatu yang sangat sukar diraih tanpa pembuktian. Kini, teknologi e:HEV dari Honda adalah cerminan daripada kepercayaan tersebut — yang sekali gus menawarkan kecekapan dan fleksibiliti.

    Untuk itu, jika anda mendaftar sebuah Civic, City, City Hatchback, HR-V atau CR-V hibrid e:HEV antara 1 dan 30 April ini, anda akan menikmati ganjaran sehingga RM12,000* dan dua-tahun servis percuma*. Lebih mengujakan, anda mungkin jadi orang yang bertuah untuk berpeluang mencuba Prelude Serba Baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi selama seminggu*, hanya melalui pembelian sebuah Honda hibrid! Ya, betul. Bukan sehari dua, tetapi selama seminggu! Sebuah peluang yang pastinya membuatkan ramai yang akan mencemburui anda.

    Lekas, jangan bazirkan masa. Kunjungi bilik pameran sah Honda hari ini dan/atau ketahui lebih lanjut tentang kempen ini di sini dan di sini. Anda juga boleh melayari laman web, Facebook dan Instagram Honda Malaysia untuk maklumat lanjut.

    Anda memang sudah memiliki kereta hibrid Honda? Ingin memenangi servis percuma selama setahun/10,000 km*? Sertailah peraduan Hybrid Done Right, yang berlangsung dari 1 April hingga 30 Jun! Ia adalah cabaran kecekapan penggunaan bahan api satu tangki penuh. Pertama, pastikan tangki minyak anda penuh. Kemudian, setkan meter perjalanan kepada sifar dan ambil gambar yang menunjukkan bacaan petrol, kadar penggunaan bahan api dan meter perjalanan.

    Pandu secekap mungkin sehingga ikon isi semula petrol muncul di paparan. Sekarang, ambil gambar sekali lagi yang menunjukkan hal yang sama: bacaan petrol, kadar penggunaan bahan api dan meter perjalanan. Kemudian, siarkan kedua-dua gambar tersebut di media sosial dengan hashtag #HybridDoneRightContest dan pastikan akaun anda kekal “Umum” selama sebulan.

    Untuk pendaftaran peraduan, peserta dikehendaki melengkapkan Google Form dengan maklumat peribadi mereka, gambar yang menunjukkan tangki penuh, gambar yang menunjukkan penggunaan bahan api selepas satu tangki, dan tangkap layar skrin hantaran di media sosial tersebut.

    Lima pemenang akan dipilih bagi tempoh setiap dua minggu dari 1 April hingga 30 Jun (30 pemenang keseluruhannya) berdasarkan prestasi penggunaan bahan api terbaik. Semoga berjaya!

    *Tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia umum pembukaan pusat 4S baru di Miri, Sarawak – dikendalikan Auto Pacifica

    Mitsubishi Motors Malaysia umum pembukaan pusat 4S baru di Miri, Sarawak – dikendalikan Auto Pacifica

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan pemindahan serta naik taraf bilik pameran Mitsubishi di Miri, Sarawak kepada sebuah pusat 4S yang merangkumi jualan, servis, alat ganti serta cat kenderaan. Fasiliti baru ini meliputi keluasan 21,669 kaki persegi dan dikendalikan oleh Auto Pacifica, pengedar sah Mitsubishi sejak tahun 2009 yang turut mempunyai cawangan di Bintulu dan Kota Samarahan.

    Selain ruang pameran yang menampilkan model-model terkini Mitsubishi termasuk Xforce, pusat 4S Auto Pacifica Miri ini turut menyediakan ruang menunggu yang selesa untuk pelanggan. Bagi memenuhi keperluan selepas jualan, fasiliti ini dilengkapi dengan 13 ruang servis serta enam ruang baik pulih badan dan cat, yang dikendalikan oleh juruteknik bertauliah.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Takashi Sakamaki, Miri merupakan kawasan yang sedang berkembang pesat dengan potensi yang besar. Pembukaan pusat 4S baru ini bukan sahaja meluaskan rangkaian syarikat, malah mencerminkan komitmen untuk lebih dekat dengan pelanggan serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Beliau turut menyatakan bahawa fasiliti ini akan menawarkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih mudah, lancar dan menyeluruh kepada pelanggan.

    Pusat 4S Auto Pacifica Miri terletak di Lot 4448, K.B.L.D. 17, Jalan Miri Bypass, Autocity Eastwood Town Centre, 98000 Miri, Sarawak. Ia beroperasi dari Isnin hingga Sabtu, jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang, manakala pada hari Ahad dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

     
     
  • 5,984 kenderaan asing tiada VEP dikompaun setakat 16 April 2026; kutipan saman cecah RM2.19j – JPJ

    5,984 kenderaan asing tiada VEP dikompaun setakat 16 April 2026; kutipan saman cecah RM2.19j – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 391,007 tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) setakat 16 April 2026. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 82,987 kenderaan asing telah diperiksa dengan 5,984 saman tiada VEP serta kutipan kompaun RM2.19 juta direkodkan.

    Beliau berkata demikian sewaktu menyertai penguatkuasaan VEP di sempadan Malaysia–Singapura baru-baru ini, bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengekang ketirisan subsidi RON95.

    “Penguatkuasaan kita diperkukuh melalui penggunaan teknologi ANPR di lokasi strategik seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru serta integrasi data antara agensi. Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan undang-undang”, tegasnya.

    Pelaksanaan VEP di pintu sempadan Malaysia-Sigapura telah dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025. Di mana mulai tarikh itu, JPJ akan mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau mengaktifkan VEP. Di mana pemilik kenderaan asing yang dikenakan tindakan saman atas sebab tiada VEP sah, perlu menyelesaikan saman tersebut sebelum keluar dari Malaysia. Bayaran saman perlu dibuat melalui kaedah tanpa tunai di Kaunter Pejabat JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile atau secara online (myEG).

     
     
  • KLIMS 2026 – tiket dari RM8 hingga RM15 untuk hujung minggu, kemasukan percuma bagi hari bekerja

    KLIMS 2026 – tiket dari RM8 hingga RM15 untuk hujung minggu, kemasukan percuma bagi hari bekerja

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan info terkini mengenai harga tiket bagi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, yang akan berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 12 hingga 21 Jun 2026.

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kemasukan ke pameran adalah percuma pada hari bekerja, dengan waktu operasi dari 10 pagi hingga 8 malam. Pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum, waktu operasi akan dilanjutkan dari 10 pagi hingga 10 malam, dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun boleh masuk secara percuma, manakala tiket dewasa bagi hari-hari tersebut berharga RM30, diselaraskan daripada RM25 yang disebut sebelum ini. Pada hari-hari tersebut, harga tiket untuk pelajar (dengan kad pelajar sah), OKU dan warga emas (berumur 60 tahun ke atas) ialah RM15.

    Dari sekarang hingga 10 Mei, terdapat harga promosi ‘early bird’ khas untuk tiket Jumaat hingga Ahad/cuti umum, dengan tiket dewasa berharga RM15 dan untuk OKU serta warga emas hanya RM8. Anda juga boleh menyertai KLIMS Run 2026 dengan fi RM40 untuk larian 5 KM dan RM45 bagi 7 KM dan setiap penyertaan bakal mendapat tiket percuma ke pameran tersebut.

    KLIMS 2026 – tiket dari RM8 hingga RM15 untuk hujung minggu, kemasukan percuma bagi hari bekerja

    Jika anda inginkan pengalaman penuh boleh mendapatkan Pas Akses Tanpa Had yang merangkumi semua akses sepanjang minggu pameran pada harga hanya RM80 (bersamaan RM11.40 sehari). Jika secara berkumpulan lima orang atau lebih pula boleh mendapatkan pas pakej lima orang pada harga RM100, iaitu hanya RM20 seorang.

    Seperti KLIMS yang diadakan pada tahun 2024, edisi ke-11 pameran automotif ini akan terus membawa tema ‘Beyond Mobility’. Acara ini dianjurkan oleh MAA dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia serta sokongan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), bersama beberapa persatuan lain, dan setakat ini sebanyak 16 jenama kereta telah mengesahkan penyertaan.

    Jenama-jenama tersebut, ialah Dongfeng, GWM, Honda, Hyundai, Jetour, Kia, Mazda, MG, Nissan, Perodua, Proton (termasuk Proton eMas), smart, Toyota, Weststar Maxus, Xpeng dan Zeekr.

     
     
  • JPJ siasat dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal

    JPJ siasat dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal

    Jabatan Pengangkutan Jalan mengesahkan ada menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan akan mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan, laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian susulan seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa Toyota Alphard milik syarikatnya dengan nombor pendaftaran P111, telah dipindah hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa Januari lalu. Kenderaan tersebut juga didakwa dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuannyanya.

    “Memang pihak kami ada menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal. Kami daripada masa ke semasa akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur dan perundangan semasa,” kata Aedy Fadly..

    Beliau turut menegaskan bahawa JPJ komited membantu pemilik kenderaan terbabit dan tindakan lanjut yang akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk membabit proses pertukaran hak milik.

    JPJ siasat dakwaan pertukaran hak milik nombor pendaftaran kenderaan tanpa kebenaran pemilik asal

    “Pihak kami akan bantu tetapi ia bergantung kepada tatacara pertukaran hak milik itu sendiri. Jadi siasatan perlu dibuat terlebih dahulu dan kita perlu kenal pasti peruntukan undang-undang yang boleh digunakan. Ada kemungkinan dakwaan itu tidak tepat, contohnya pemilik merasakan nombor itu miliknya sedangkan ia telah ditukar hak milik secara sah sebelum ini,” katanya.

    Walau bagaimana pun, ketika ditanya mengenai punca kemungkinan kes itu, Aedy Fadly tidak menolak ia berkait kecurian maklumat selain pembabitan `orang dalam’. Dalam masa sama, beliau memaklumkan JPJ tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti mengembalikan nombor kepada pemilik asal tanpa siasatan terperinci.

    “Saya tidak nafikan kemungkinan itu, tetapi kita tidak boleh membuat kesimpulan awal. Mungkin terdapat isu lain yang timbul yang kita tidak ketahui. Siasatan perlu dijalankan dengan terperinci,” katanya.

     
     
  • Lotus Cars raikan 30-tahun berada di Malaysia, pamer model bersejarah dan umum rancangan masa depan

    Lotus Cars raikan 30-tahun berada di Malaysia, pamer model bersejarah dan umum rancangan masa depan

    Jenama kereta sport dari British, Lotus Cars meraikan ulangtahun ke-30nya di Malaysia tahun ini, dan ia diraikan dengan mengadakan pameran menampilkan tema “3 Dekad. 1 Masa Depan” di KLGCC Resort, Kuala Lumpur. Dalam acara ini Lotus Cars mengenang kembali perjalanannya di Malaysia bermula pada tahun 1996, dan membayangkan masa depannya di sini selepas ini.

    Seperti yang kita tahu, kedatangan Lotus ke Malaysia bukan sekadar sebuah jenama kereta sport yang mahu menjual keretanya di sini. Tetapi sebenarnya saham majoritinya telah dibeli oleh pembuat kereta nasional, Proton yang mahukan teknologi Lotus bagi membangunkan platform dan enjinnya sendiri sebagai persediaan untuk berpisah dengan rakan kongsi sedia adanya ketika itu iaitu Mitsubishi.

    Dengan bertapaknya Lotus di Malaysia dan bersatu dengan Proton membolehkan kereta sport Lotus Elise S1 dipasang di sini menggunakan fasiliti pemasangan Proton Shah Alam pada 1997. Sekitar 180 unit Elise S1 di pasang di Malaysia dan ia bukan hanya untuk pasaran tempatan, malah dieksport ke pasaran Jepun dan Australia!

    Turut dipamerkan adalah Lotus Exige S1, iaitu Elise dalam versi lebih hardcore dan lebih mirip kepada kereta lumba dengan bumbung keras serta menawarkan lebih kuasa, cengkaman dan juga downforce. Exige S1 dihasilkan hanya 604 unit antara tahun 2000 hingga 2001, namun ia tidak pernah dipasang di Malaysia seperti Elise S1.

    Dalam acara ini turut terdapat sebuah Proton Satria GTi dipamerkan. Seperti yang diketahui, Satria GTi adalah projek terawal antara Proton dan Lotus disiapkan sebelum projek-projek lain yang lebih besar dihasilkan. Satria GTi dilancarkan pada 1999, dan ia masih menggunakan kerangka Satria asal yang sebenarnya merupakan model rebadge dari Mitsubishi Colt.

    Kemudian ia disumbatkan dengan enjin 4G93P 1.8 liter DOHC NA yang sebelum itu digunakan pada sedan homologasi rali iaitu Proton Wira ‘tiang gol’ 1.8 EXi DOHC, dan diadun dengan talaan suspensi dari Lotus. Sentuhan Lotus turut diberikan pada bahagian luaran termasuk rekaan semula pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi serta spoiler bumbung lebih besar.

    Dan yang paling ikonik adalah pemadanan overfender pada setiap ruang roda dengan rivet yang terdedah, rim aloi enam jejari 16-inci dan juga emblem ‘Handling by Lotus’ yang ditampal pada pintu hatch belakang menandakan ia sebuah hot-hatch yang serius.

    Terlalu banyak perkara bersejarah dalam industri permotoran di Malaysia berlaku pada lewat era 90’an. Ketika Satria GTi dilancarkan pada 1999, jurnalis dan pelumba profesional British, Tiff Nedell yang ketika itu masih bertugas dengan Top Gear telah menguji hot-hatch ini di Litar Antarabangsa Sepang, sebelum Grand Prix F1 pertama berlangsung di litar tersebut.

    Lotus Cars raikan 30-tahun berada di Malaysia, pamer model bersejarah dan umum rancangan masa depan

    Malah seorang lagi jurnalis British iaitu Richard Hammond (ketika itu masih belum menyertai Top Gear) juga telah memandu uji Satria GTi dan membandingkannya dengan lawannya dari Perancis iaitu Peugeot 206 GTi.

    Selepas Satria GTi, Proton hadir pula dengan Perdana V6 yang juga mendapat sentuhan Lotus yang lebih kurang sama. Namun hasil yang lebih besar ditunjukkan menerusi Proton Waja yang dilancarkan pada tahun 2000, di mana dengan bantuan Lotus buat pertama kali Proton hadir dengan model yang bukan sekadar rebadge dari mana-mana pengeluar lain.

    Ilmu pembangunan casis yang telah dipindahkan oleh Lotus kepada Proton ini telah menghasilkan lebih banyak model asli Proton selepas itu termasuk Gen2, Persona, Saga generasi kedua, Satria Neo, Preve, Suprima S, Iriz dan sebagainya, di mana model-model tersebut dikenali kerana pengendaliannya yang begitu baik. Malah Proton turut hadir dengan enjinnya sendiri iaitu Campro yang turut dibangunkan dengan input terus dari Lotus.

    Bukan hanya model-model bersejarah dipamerkan dalam acara ini, malah individu-individu yang terlibat dalam sejarah tersebut turut diundang. Antaranya individu yang dijemput oleh Reza Mutalib, pengarah eksekutif Lotus Cars Malaysia dan Karrus Automotive Group ke acara ini termasuk Tengku Tan Sri Mahaleel, Tengku Djan Ley, Oh Kah Beng dan Marcus Chye yang berkongsi pelbagai cerita bersejarah ketika Lotus mula masuk ke Malaysia, legasi yang ditinggalkan dari era Proton-Lotus dan juga pencapaian dalam sukan permotoran.

    Lotus Cars raikan 30-tahun berada di Malaysia, pamer model bersejarah dan umum rancangan masa depan

    Pegangan saham Proton terlepas ke tangan Geely ketika kedua-duanya menandatangani perjanjian untuk menjadi rakan kongsi strategik pada tahun 2017. Namun 49% saham Lotus masih dipegang oleh sebuah lagi syarikat Malaysia iaitu Etika Automotive.

    Model-model terkini Lotus turut dipamerkan pada acara ini. Ia termasuk dua model elektrik penuhnya iaitu SUV Emeya dan sedan Eletre, serta satu-satunya model Lotus yang masih digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman iaitu Lotus Emira. Tahun lalu Lotus Cars Malaysia mencatatkan jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang berada di negara ini.

    Jadi apa perancangan Lotus Cars Malaysia selepas ini? Buat masa sekarang syarikat tersebut telahpubn memperkenalkan model tahun 2027 yang menampilkan spesifikasi yang dipertingkatkan dan nilai yang lebih baik. Bagi meraikan pencapaian pentingnya, Lotus Cars Malaysia juga akan memperkenalkan edisi khas Eletre yang menampilkan livery perlumbaan inspirasi grafik John Player Special yang digunakan oleh jentera F1 Lotus pada era 70’an dan 80’an serta lencana eksklusif ’30 Years of Lotus Cars Malaysia’ yang jangka akan dihargai oleh pengumpul dan peminat jenama tersebut.

    Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan jenama fesyen tempatan seperti Pestle & Mortar bagi menghasilkan koleksi pakaian dalam genre streetwear, manakala One Half Roastery akan menghasilkan kopi istimewa Lotus Blend menampilkan biji kopi istimewa dari Johor. Lotus Cars Malaysia turut menjanjikan pelbagai acara menarik untuk pemilik-pemilik Lotus termasuk pengalaman di bilik pameran, acara-acara pemanduan dan banyak lagi.

    Di litar, Lotus Cars Malaysia mensasarkan untuk mencatat masa pusingan terpantas menggunakan Lotus Emeya di Litar Antarabangsa Sepang. Ia adalah susulan percubaan syarikat itu dengan Lotus Emira yang dipandu oleh Tengku Djan Ley pada tahun lalu yang berjaya mencatatkan masa 2:27.932 minit di litar berkenaan.

    Dengan banyak pelbagai perancangan yang sedang dibaut, Lotus Cars Malaysia bakal membina momentum yang lebih besar untuk berkembang dengan lebih drastik pada tahun 2026 dan seterusnya.

    GALERI: Acara ulangtahun Lotus Cars Malaysia ke-30

    GALERI: Lotus Elise Series 1

    GALERI: Lotus Lotus Exige Series 1

    GALERI: Proton Satria GTi

    GALERI: Lotus Emira Turbo First Edition

    GALERI: Lotus Eletre 600

    GALERI: Lotus Emeya 600

     
     
  • Morbidelli T502X dan T252X dilancar di M’sia – enjin dua silinder 486 cc dan 250 cc, RM29k dan RM17k

    Morbidelli T502X dan T252X dilancar di M’sia – enjin dua silinder 486 cc dan 250 cc, RM29k dan RM17k

    MForce Bike Holdings melancarkan dua model motosikal kembara baru untuk pasaran Malaysia iaitu Morbidelli T502X dan Morbidelli T252X. Harga jualan ditetapkan pada RM28,888 untuk T502X dan RM16,888 bagi T252X, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian turut disertakan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

    Bagi model T502X, ia ditawarkan dalam pilihan warna Bulk Black dan Thunder Blue. Kuasa dijana oleh enjin dua silinder selari 486 cc DOHC lapan injap dengan penyejukan cecair, menghasilkan 46.9 hp pada 8,500 rpm serta tork maksimum 45 Nm pada 6,750 rpm. Sistem transmisi menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper, dan kuasa disalurkan kepada roda belakang melalui pacuan rantai.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork jenis terbalik dengan pelarasan serapan, manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak monoshock dengan pelarasan pra-beban dan serapan. Sistem brek hadapan dibekalkan oleh J Juan dengan dua cakera bersaiz 300 mm serta angkup empat piston, manakala belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup satu piston. Sistem ABS dual-channel disediakan secara standard.

    Morbidelli T502X dan T252X dilancar di M’sia – enjin dua silinder 486 cc dan 250 cc, RM29k dan RM17k

    T502X menggunakan tayar rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar Pirelli masing-masing saiz 110/80 dan 150/70. Maklumat penting dipaparkan melalui skrin TFT-LCD tujuh inci yang menyokong sambungan telefon pintar menerusi sistem T-Box dan aplikasi Morbidelli. Pencahayaan penuh LED digunakan, termasuk lampu utama jenis projektor.

    Ciri kemudahan tunggangan merangkumi mod tunggangan Standard dan Offroad, kawalan cengkaman, pemantauan tekanan angin tayar serta penghadang angin boleh laras. Turut disediakan adalah beg tepi berkapasiti 32 liter dan kotak belakang 45 liter. Berat keseluruhan dianggarkan 210 kg, dengan tangki bahan api 18 liter dan ketinggian tempat duduk 830 mm.

    Sementara itu, model T252X yang hadir dalam warna Tundra White dan Bulk Black menggunakan enjin dua silinder berkapasiti 249.5 cc, menghasilkan 33.5 hp pada 12,000 rpm serta tork maksimum 20 Nm pada 10,000 rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan dan pacuan rantai ke roda belakang.

    Morbidelli T502X dan T252X dilancar di M’sia – enjin dua silinder 486 cc dan 250 cc, RM29k dan RM17k

    Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik jenis terbalik, manakala belakang dipadankan dengan monoshock berserta larasan pra-beban. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal di hadapan dan belakang, dengan angkup empat piston di hadapan serta satu piston di belakang.

    Saiz roda ialah 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dengan tayar bersaiz 110/80 dan 150/60. Paparan maklumat disediakan melalui skrin TFT-LCD tujuh inci dalam orientasi menegak yang menyokong sambungan Bluetooth ke telefon pintar, selain soket pengecas USB Type-A dan Type-C.

    Antara bantuan tunggangan yang disediakan adalah termasuk kawalan cengkaman, ABS dual channel serta tiga mod tunggangan iaitu Standard, Sport dan Off-Road. Model ini juga dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar. Berat keseluruhan adalah sekitar 180 kg, dengan tangki bahan api 18 liter dan ketinggian tempat duduk 820 mm. Beg barangan turut disediakan sebagai kelengkapan standard.

    GALERI: Morbidelli T252X 2026

    GALERI: Morbidelli T252X 2026

     
     
  • KLIMS Run 2026 bakal dianjurkan pada 17 Mei ini di Dataran DBKL; larian 5 KM dan 7 KM, fi RM40-RM45

    KLIMS Run 2026 bakal dianjurkan pada 17 Mei ini di Dataran DBKL; larian 5 KM dan 7 KM, fi RM40-RM45

    Menyemarakkan lagi penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) yang bakal berlangsung pada 12 hingga 21 Jun ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), acara sampingan termasuk KLIMS Run 2026 juga bakal diadakan.

    Penganjurnya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa KLIMS Run 2026 bakal dianjurkan pada 17 Mei ini bertempat di Dataran Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut. Ia melibatkan acara larian 5 KM dan 7 KM, yang turut dianjurkan sempena dengan KL Car-Free Morning.

    Bagi yang ingin menyertai larian sejauh 5 KM, fi yang dikenakan adalah RM40, manakala RM45 bagi yang ingin berlari 7 KM. Setiap penyertaan akan menerima t-shirt eksklusif KLIMS Run, medal, bib larian, tiket berbayar percuma dan drawstring bag. Bukan itu sahaja, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama yang berupa MacBook Neo.

    Bagi yang ingin menyertai acara larian ini, anda boleh mendaftar menerusi pautan https://checkpointspot.asia/event/klims-run26. Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 26 April 2026. Jomlah kita lari sama-sama. Kalau tak larat nak berlari, kita ‘catwalk’ atau ‘sloth-run’ saja. Amacam?

     
     
  • JPJeBid: Nombor pendaftaran istimewa P_P dibuka bidaan pada 20-24 Apr, sempena ulangtahun ke-80 JPJ

    JPJeBid: Nombor pendaftaran istimewa P_P dibuka bidaan pada 20-24 Apr, sempena ulangtahun ke-80 JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan penawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri “P_P” sempena dengan sambutan ulangtahun JPJ ke-80.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, NPI ini akan dibuka untuk bidaan awam menerusi platform dalam talian JPJeBid bermula 20 April 2026. Bidaaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 April dan keputusan akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 April 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    “Nombor pendaftaran eksklusif ini dibuka bersempena lapan dekad penubuhan Jabatan. Pemilihan tanda indeks “P_P” mencerminkan peranan JPJ dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan, selain sinonim dengan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas meluncurkan NPI P_P ini di George Town hari ini, laporan Bernama.

    Katanya lagi, harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori iaitu nombor utama bermula RM20,000, premium (RM5,000), menarik (RM2,500), popular (RM500) dan biasa (RM300). Di mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan selepas tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.

    Aedy Fadly turut memaklumkan bahawa sempena dengan Karnival Mega JPJ Madani 2026 yang akan berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 24 hingga 26 April ini, pihaknya akan menawarkan hampir 50,000 nombor pendaftaran untuk dijual terus dengan diskaun 50%.

    Katanya, sebagai contoh, nombor menarik akan ditawarkan dengan harga bermula RM250, melibatkan baki nombor yang belum didaftarkan sebelum ini dan hanya boleh dibeli di karnival berkenaan pada hari terakhir penganjurannya sahajaiaitu 26 April 2026.

     
     
  • Toyota Yaris Cross 2026 pasaran Eropah didedah – enjin hibrid tiga silinder 1.5L NA, varian GR Sport

    Toyota Yaris Cross 2026 pasaran Eropah didedah – enjin hibrid tiga silinder 1.5L NA, varian GR Sport

    Toyota Yaris Cross pasaran Eropah diberi kemas kini bagi tahun 2026, selepas kali terakhir diperbaharui dua tahun lalu. Model ini dikeluarkan di Perancis dan akan ditawarkan dalam beberapa varian iaitu Mid, Mid+, High serta GR Sport.

    Bagi kemas kini kali ini, perubahan tertumpu kepada rekaan luaran dan spesifikasi kelengkapan. Yaris Cross 2026 masih menggunakan enjin petrol tiga silinder 1.5 liter NA, dipadankan dengan transmisi CVT. Dua pilihan kuasa ditawarkan, iaitu 130 PS dengan 185 Nm serta 116 PS dengan 141 Nm, bersama pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda.

    Dari segi penampilan, bahagian hadapan menampilkan gril baru dengan corak sarang lebah dalam warna badan, dipadankan dengan kemasan hitam di bahagian bawah yang bersambung ke lengkung roda hadapan bagi mengekalkan imej SUV yang lebih tegap. Lampu utama LED turut direka semula dengan lampu nyalaan siang binaan dalam. Reka bentuk rim juga dikemas kini, dengan saiz 17 inci untuk varian Mid+ dan 18 inci bagi varian High.

    Di bahagian kabin, varian Mid+ kini menerima tempat duduk dengan tahap keselesaan dan sokongan sisi yang lebih baik, yang sebelum ini hanya terdapat pada varian High. Sementara itu, varian High diperkenalkan dengan kemasan separa kulit SakuraTouch yang menggunakan bahan berasaskan tumbuhan serta bahan kitar semula, sekaligus membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam penghasilan bahan sehingga 95 peratus berbanding kulit asli.

    Ciri tambahan lain termasuk lampu suasana dan pengecas tanpa wayar yang kini diberikan terus bagi varian Mid+ ke atas, manakala varian High turut dilengkapi pintu but berkuasa elektrik. Varian GR Sport pula diperkenalkan sebagai tambahan baru dalam rangkaian ini, menggunakan penggerak Hybrid 130. Varian asas Mid kekal sebagai satu-satunya yang menggunakan penggerak Hybrid 115.

    Turut ditawarkan adalah varian GR Sport, yang tampil dengan rekaan luaran dan dalaman tersendiri serta talaan suspensi yang dipertingkat untuk pengendalian lebih tajam. Ia menerima bampar hadapan unik, rim aloi 18 inci dua tona, serta tempat duduk sport dengan kemasan suede, logo GR dan kemasan dalaman khas.

    Dari aspek keselamatan, sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense kini ditambah dengan fungsi brek sokongan parkir sebagai standard untuk varian Mid+ ke atas, manakala varian High turut dilengkapi pemantauan titik buta.

    Sistem infotainmen pula menggunakan Toyota Smart Connect dengan navigasi berasaskan cloud sebagai standard, lengkap dengan pengecaman suara dan pembantu suara. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar turut disediakan untuk sambungan telefon pintar.

    Model ini dipasang di kilang Toyota Motor Manufacturing France dan dijadualkan mula dipasarkan di Eropah pada penghujung bulan ini.

    GALERI: Toyota Yaris Cross 2026 pasaran Eropah

    GALERI: Toyota Yaris Cross GR Sport 2026 pasaran Eropah

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026