Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Hype berkenaan Proton Satria GTI rasanya tidak perlulah kami gembar-gemburkan lagi. Model ini merupakan model yang sangat ikonik buat Proton – ia bukan sahaja masih sangat cantik walaupun sudah berusia lebih dari 20-tahun, masih sangat seronok dipandu kerana memberikan prestasi dan pengendalian yang begitu jitu dan raw, malah setiap kali melihat Satria GTI ini juga pasti akan menaikkan semangat patriotik yang begitu tinggi kerana ia dihasilkan oleh jenama automotif nasional kita sendiri, dan pernah menerima pujian dari pihak luar.

Sebelum ini kami pernah memaparkan sebuah Satria GTI yang begitu cantik yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR), kami juga telah membawa anda ke Karrus Classic di mana mereka mempunyai sejumlah stok Satria GTI yang banyak untuk dijual kepada pelanggan. Dan siapa sangka, kali ini kami berpeluang pula untuk duduk semeja dengan ‘Bapa Pembangunan’ Proton Satria GTI itu sendiri, iaitu YM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, CEO Proton yang menyandang jawatan berkenaan bermula April 1997 sehingga September 2005.

Pertemuan antara paultan.org dan Tengku Mahaleel ini diaturkan oleh Karrus Classic, dan ia berlangsung di bilik pameran Karrus Classic sendiri yang terletak di Glenmerie, Shah Alam baru-baru ini. Dalam kesempatan itu, kami sempat bertanya pelbagai persoalan berkenaan pembangunan Satria GTI terus kepada Tengku Mahaleel, dan apa yang keluar dari mulut ikon industri automotif tempatan ini mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini.

Satria GTI antara produk terawal Proton setelah syarikat tersebut memiliki pembuat kereta sport dari British iaitu Lotus pada Oktober 1996 – ketika itu Proton masih diterajui oleh Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, manakala Tengku Mahaleel menyandang jawatan sebagai naib presiden untuk strategi dan operasi Proton. Jadi pembangunannya adalah sangat berkait rapat dengan Lotus.

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Menurut Tengku Mahaleel, Satria GTI dihasilkan adalah sebagai pemangkin untuk menaikkan nama Proton sebelum beberapa produk yang bakal diperkenalkan, menampilkan teknologi mereka sendiri yang dibangunkan bersama Lotus. Malah projek pembangunan Satria GTI ini sebenarnya langsung tidak diketahui oleh pihak Mitsubishi Motors, dan hanya menjadi rahsia antara Tengku Mahaleel dan juga Julian Thompson.

“Projek ini hanya melibatkan antara Julian dan saya. Setiap keputusan dibuat sama ada saya atau beliau, bersama jurutera dinamik kenderaan,” kata Tengku Mahaleel.

“Julian Thompson merupakan ketua pereka Lotus, dia juga yang bertangjawab memantau rekaan Waja. Waja masih sangat-sangat berjaya. Ia satu lagi cerita kejayaan, maksud saya lihatlah rekaannya, ia masih relevan sehingga sekarang.

“Hanya sedikit tambahan yang kami buat selepas keputusan dimuktamadkan. Jadi di Lotus, Julian adalah ketua. Jadi semua idea adalah dari beliau. Kami sangat rapat… . Anda tahulah dalam satu-satu organisasi, jika ada terlalu ramai pembuat keputusan, projek berkenaan akan sama ada hilang arah tuju atau menjadi lambat. Ini merupakan kerja penting yang perlu segera kami lakukan. Kami perlukan produk untuk mengangkat jenama, kerana Waja bakal tiba, dan pelbagai lagi produk bakal dilancarkan,” jelas Tengku Mahaleel.

Beliau turut menjelaskan bahawa proses pembangunan Satria GTI tidak memerlukan masa yang lama. Ini kerana walaupun Mitsubishi sendiri tidak menghasilkan Colt Mirage (model asas bagi Proton Satria dari Mitsubishi) dengan enjin 1.8 DOHC liter 4G93P yang ada pada perut Satria GTI, platform berkenaan sememangnya sudah direka untuk menerima enjin dari keluarga 4G9X. Malah sebelum itu Proton Wira 1.8 Limited yang merupakan kembar sedan kepada Satria telah pun diperkenalkan dengan enjin 1.8L DOHC yang sama.

“Ini merupakan tugas yang mudah…. Ia menggunakan enjin dari model Mitsubishi yang lain dari platform yang sama, jadi ia sangat mudah. Jika saya mahu gunakan enjin dari Volkswagen, ia akan mengambil masa yang lama kerana rekaan enjin, asas, getaran dan sebagainya tidak sama. Jadi ia merupakan strategi pants dan kami mahukannya untuk GTI,” kata Tengku Mahaleel.

Beliau juga menyatakan bahawa kerangka Satria GTI ini telah menerima kejuruteraan semula oleh salah seorang jurutera casis perlumbaan Lotus ketika itu, sementara rekaannya pula dibuat oleh Julian Thompson sendiri.

“Kerana kereta (Satria) ini sudah pun siap dibina, ia mengambil masa hanya sekitar 30% sahaja – untuk menghasilkan sebuah kereta, anda memerlukan masa bekerja selama 1.3 juta jam. Untuk model (GTI) ini ia hanya mengambil masa sekitar 100,000-200,000 jam bekerja untuk ujian dan semuanya. Jadi ia sangat cepat kerana ia berevolusi dari produk kejuruteraan sedia ada,” jelasnya.

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Prototaip Proton Putra WRC yang masih di simpan di Proton R3, Shah Alam

Kami turut bertanya kepada Tengku Mahaleel, ketika itu Proton mempunyai dua model yang agak sporty iaitu Satria dan juga versi coupe dua pintu iaitu Putra – mengapa Proton memilih Satria untuk menerima lencana GTI dan bukannya Putra? Tengku Mahaleel menjelaskan bahawa ketika itu Proton telah pun membuat rancangan berbeza untuk Satria dan Putra, di mana Putra yang lebih sporty sebenarnya disasarkan akan dihasilkan dalam versi lebih berprestasi tinggi.

“Seperti yang saya katakan, kami bukan mahu menghasilkan model sport (untuk Satria), dan kami mahu menghasilkan model untuk orang muda, di mana jika dia mempunyai keluarga yang kecil dengan hanya seorang anak, dia boleh bawa dengan Satria. Manakala satu lagi (Putra) adalah lebih sporty. Jadi ini sebabnya kami turut mempunyai projek Putra dengan Prodrive, tetapi ia juga telah dihentikan.”

“Satria adalah, saya boleh katakan dari segi prestasi ia bukan yang paling kuat, tetap yang ini (Putra) akan dibuat khas hanya untuk kelajuan. Satria lebih kepada pengendalian, ia sama seperti Lotus, untuk berseronok….itu adalah perancangannya. Jumlahnya (Putra) dihasilkan tidak banyak kerana untuk membangunkan kereta sport menjadi kereta keluarga agak sukar, tetapi untuk membangunkan ini (Satria) untuk menjadi kereta keluarga lebih mudah,” jelas Tengku Mahaleel.

Ya, projek Putra dengan Prodrive yang dinyatakan berkenaan adalah projek kereta lumba untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang dihasilkan bersama firma kejuteraan British tersebut, di mana unit prototaip jentera berkenaan masih di simpan di fasiliti Proton R3 di Shah Alam. Jadi Tengku Mahaleel membayangkan, sekiranya Putra benar-benar ke WRC, Proton mungkin akan menghasilkan model produksi jalan raya Putra yang lebih berkuasa!

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Perancangan berkenaan variasi Satria yang pernah didedahkan oleh Tengku Mahaleel sebelum ini

Kami juga difahamkan, bermula dengan Satria GTI ini, Proton sebenarnya sudah merancang pelbagai varian lain untuk Satria kerana menyedari potensi sasaran pasarannya, ini termasuk penghasilan model generasi kedua Satria iaitu Satria Neo.

“Pada akhirnya, anda lihat pada pasaran. Di mana pasaran anda yang berpotensi untuk berkembang. Pasaran yang berpotensi untuk berkembang bukan pada golongan yang lebih berusia. Anda semua orang muda. Jadi untuk membolehkan orang muda membeli produk ini, kami akan mengembangkan kepada produk lain apabila saya memperkenalkannya semula. Ini adalah rancangan keseluruhannya.

“Sebab itulah ia direka sedemikian, untuk menarik minat orang muda. Dan untuk orang lebih berusia seperti saya, saya kira saya berada dalam kelompok lebih tua tetapi personaliti saya sangat muda. Jadi saya suka kereta ini, saya akan beli.

“Jadi anda ada kombinasi muda dan tua tetapi kumpulan ini akan bertahan sehingga 20-30 tahun. Jadi saya ada pasaran ini. Oleh itu saya hasilkan, saya rasa ada lebih lima produk Satria, yang tidak pernah dilancarkan. Neo adalah kerja saya, bukan CEO selepas saya, ia mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan. Jadi sekiranya dia (Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin) lancarkan pada 2006, Satria Neo dibangunkan sebelum itu.

“Jadi inilah perancangan keseluruhan. GTI, Cabriolet, MPV dan Neo biasa. Itulah perancangannya. Keseluruhan asas Satria adalah itu, rekaannya tidak boleh diubah kepada sesuatu yang lain tidak kira bila-bila masa. Ia akan berevolusi seperti [BMW] 3 Series. Ini telah dipersetujui bersama Julian Thompson,” jelas Tengku Mahaleel.

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Dalam perjumpaan ini, Tengku Mahaleel turut berkongsi sedikit cerita berkenaan pengambilalihan Lotus oleh Proton yang mungkin anda tidak pernah tahu sebelum ini. Menurut beliau, Proton sudahpun mengetahui bahawa ia perlu berpisah dengan Mitsubishi menjelang 2005 sejak tahun 1996 lagi, dan sebab itulah keputusan untuk membeli Lotus dibuat.

Beliau menyatakan ketika itu Proton mempunyai kemahiran yang sangat sedikit dalam pembangunan dinamik kenderaan dan juga rekaan enjin. Proton juga tidak terlibat secara terus dengan perlumbaan kerana ketika itu kerana ia dibuat oleh pengedarnya iaitu EON dengan bantuan Mitsubishi Ralliart. Ya, pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) telah melahirkan bakat-bakat tempatan dalam sukan permotoran, namun ia tidak dapat digunakan dalam R&D.

“Kita bermula pada tahun 1983, dan 1985 produksi bermula, dari tahun 85 hingga 2000 apa yang kita belajar dari Mitsubishi? Adakah kita tahu membuat rekaan enjin? Jawapannya sifar. Apa lagi? Perkara paling penting pada sesebuah kereta adalah casis dan enjin. Kita tak tahu macam mana nak buat,” kata Tengku Mahaleel.

“Jadi [Tun Dr.] Mahathir minta kami buat, bila saya kembali [ke syarikat], saya beritahu mereka ada berita baik dan berita buruk. Berita baik kita akan bergerak bebas. Dan berita tak baik anda perlu buat kereta sendiri dan lancarkan menjelang tahun 2000. Semua senyap,” tambah Tengku Mahaleel.

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Menurutnya lagi, ketika itu beliau sudahpun merancang untuk membeli syarikat asing bagi membantu Proton untuk membangunkan kereta sendiri, tetapi ia belum diwar-warkan lagi. Dan sasaran pertama Proton untuk membeli syarikat asing bukannya Lotus, sebaliknya Porsche.

“Lotus bukan sasaran pertama kami. Kejuruteraan Porsche adalah lebih hebat dari kejuruteraan Lotus. Selepas itu kami membeli MV Agusta untuk melebarkan penawaran produk dari empar roda kepada dua roda. Itu adalah perancangan keseluruhan untuk peringkat global,” jelasnya.

Porsche bukan sahaja sebuah syarikat yang menghasilkan kereta sport dengan jenama mereka sendiri, malah ia juga menawarkan khidmat kejuruteraan. Sebagai contoh bagaimana mereka membantu Mercedes-Benz untuk menghasilkan 500E berasaskan model W124, dan juga Audi untuk ‘Super wagon’ Audi RS2. Porsche turut pernah membangunkan kereta sport untuk Volkswagen, tetapi ia dibatalkan dan Porsche menjual sendiri model berkenaan dengan lencana Porsche 924.

Walau bagaimanapun, perancangan untuk membeli Porsche gagal kerana jenama Jerman berkenaan menyatakan bahawa mereka bukan untuk dijual ketika itu (Porsche akhirnya telah bernaung di bawah Volkswagen Group sehingga kini). Dan selepas itu tumpuan dialihkan pula ke Lotus.

Khidmat kejuruteraan yang sama sebenarnya turut ditawarkan oleh Lotus. Jenama British berkenaan bukan sahaja memberikan talaan ‘ride & handling’ untuk banyak jenama automotif lain, malah pernah menghasilkan model talaan penuh yang melibatkan prestasi enjin seperti Ford Lotus Cortina (berasaskan Ford Cortina Mk1) dan Vauxhall Lotus Carlton/Opel Lotus Omega (berasaskan Vauxhall Carlton/Opel Omega).

Proton Satria GTI – cerita dari Tengku Mahaleel

Tengku Mahaleel menyatakan selepas memiliki Lotus, ramai kakitangan Proton dari Malaysia mula dihantar ke United Kingdom untuk belajar dengan Lotus, sehingga pada satu-satu masa seramai 20 hingga 30 orang staf Proton berada di sana untuk belajar berkenaan pembangunan enjin, pembinaan badan, rekaan, pembuatan dan sebagainya.

“Jadi cara untuk saya membangunkan, saya mahu orang-orang kita mempunyai ilmu pengetahuan, bagi menyiapkan projek ini dan hantar mereka ke England. Jadi sebab itu ada yang dihantar ke sana selama 2 hingga 3 tahun. Mereka belajar bersama dengan ini. Selepas itu mereka balik mereka boleh buat,” kata Tengku Mahaleel.

Usaha yang dibuat oleh Tengku Mahaleel berkenaan berjaya kerana pada tahun 2000 Proton telahpun melancarkan Proton Waja, membolehkan Malaysia menjadi negara ke-11 dalam dunia yang mampu menghasilkan kereta sendiri dari mula. Apa yang lebih manis, kejayaan tersebut dicapai lima tahun lebih awal kerana sasaran asal untuk Proton menghasilkan kereta sendiri sepenuhnya adalah pada tahun 2005.

“Kami dipandu oleh dokumen Pelan Induk Perindustrian, anda perlu baca itu. Satu-satunya syarikat di Malaysia yang mencapainya lebih awal dari sasaran adalah Proton. Kami capai lima tahun lebih awal dengan sasaran awal untuk menghasilkan kereta sendiri pada 2005. Kami mengindustrikan Malaysia dan sekarang kita menjadi pusat rekaan. Kami capainya pada 2000 dengan Waja, [enjin] Campro, casis semuanya siap. Tiada syarikat lain yang mencapainya. Tiada,” tegas Tengku Mahaleel.

GALERI: Proton Satria GTI di Karrus Classic

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • OP Chong on Jul 27, 2022 at 7:16 am

    Says the man who sent PROTON down the quality drain.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 2
  • Carazy on Jul 27, 2022 at 2:28 pm

    Rindu pada zaman Proton-Lotus, hampir semua kereta yang ditala mempunyai pemenduan/handling yang bagus!!

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • hahahahahha on Jul 27, 2022 at 2:43 pm

    All this claims.. mad man. who would believe it.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 2
  • alldisc on Jul 27, 2022 at 2:56 pm

    Mitsubishi tidak keluarkan versi hatchback 3 pintu dengan enjin 1800c? Itu satu pembohongan. Mitsubishi sebenarnya sudah mula mengeluarkan model yg sama dengan Satria GTi dengan nama Colt 1800 GTi pada tahun 1992. Check your facts.

    Dan apa yang hendak dibanggakan dengan Satria GTi jika base model bukan hasil.kejuruteraan anak tempatan, set up ride dan.handling juga bukan dan design luaran SGTI juga dibuat oleh ketua pereka Lotus.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 1
  • Azmie Rally on Jul 27, 2022 at 6:57 pm

    Kejayaan Proton Satria 1.6 Group-A Rally yang menang kedudukan pertama dalam kelas 1600cc di WRC Safari Rally 1997 yang di kendalikan oleh USPD,WRC Motorsport dan Silverstone tidak pula di megahkan dan di ceritakan. Ramai yang tak tahu.

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • ABBHb on Jul 29, 2022 at 3:52 am

    Sekarqng semua product China . X ada kebanggaan
    Maruah dah tergadai . Dijajah secara halus .

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • Hairun amer mad udin on Jul 30, 2022 at 6:28 am

    Kenagan yg x dapat dlupakan ketika berkerja dibawah naungan tengku mahalil ketika kami menghasilkan 100 ribu unit oder d tahun pertama proton waja dilancarkan….tabik spring tengku mahalil

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required