Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Sistem LRT, MRT, Monorel Rapid KL dan KTMB Komuter sukar untuk diintegrasikan – Loke

    Sistem LRT, MRT, Monorel Rapid KL dan KTMB Komuter sukar untuk diintegrasikan – Loke

    Integrasi antara pas perjalanan Rapid KL dan sistem Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sukar untuk dilaksanakan buat masa ini berikutan perbezaan pengendali, sistem dan kos operasi antara kedua-dua perkhidmatan tersebut, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, perkara mengenai integrasi kedua-dua sistem ini telah lama dibincangkan, namun pelaksanaannya berdepan beberapa kekangan utama dari segi struktur operasi dan skop perkhidmatan.

    Tambahnya, perkhidmatan LRT, MRT dan monorel dikendalikan oleh Prasarana Malaysia, manakala KTM Komuter pula dikendalikan oleh KTMB, justeru terdapat dua pengendali berbeza dengan sistem operasi yang tidak seragam digunakan antara perkhidmatan tersebut.

    “Selain itu, perjalanan [KTM Komuter] adalah lebih jauh dan merentas negeri. Ia bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi boleh meliputi laluan panjang seperti dari Tampin atau Gemas ke Klang, malah sejauh Tanjung Malim di utara,” katanya.

    Sistem LRT, MRT, Monorel Rapid KL dan KTMB Komuter sukar untuk diintegrasikan – Loke

    Jelasnya lagi, perbezaan jarak perjalanan dan skala operasi menyebabkan kos operasi perkhidmatan KTM Komuter jauh lebih tinggi, sekali gus menjadikan integrasi penuh pas My50 Prasarana dengan semua perkhidmatan rel sukar untuk dilaksanakan.

    Selain itu, Loke turut berkata, walaupun KTMB dan Prasarana merupakan syarikat milik kerajaan, kedua-duanya masih perlu menampung sebahagian kos operasi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat.

    “Setiap tahun sebenarnya terdapat jurang pembiayaan yang besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Sebagai contoh, jurang pembiayaan KTMB dianggarkan sekitar RM300 juta, jadi perkhidmatan ini bukan berorientasikan keuntungan, tetapi untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan, kita perlu mendapatkan semula sebahagian kos,” kata Loke.

    Menteri Pengangkutan itu berkata kerajaan tetap memahami keperluan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampu milik dan berbaloi, menurut laporan tersebut.

     
     
  • Toyota GR Yaris 2026 pasaran Malaysia dapat roda stereng baru, talaan semula pada EPS dan suspensi

    Toyota GR Yaris 2026 pasaran Malaysia dapat roda stereng baru, talaan semula pada EPS dan suspensi

    UMW Toyota hari ini mengumumkan bahawa Toyota GR Yaris pasaran Malaysia kini menerima kemaskini bagi tahun 2026, di mana ia menerima tingkat taraf yang sama seperti model pasaran domestik Jepun (JDM) yang diperkenalkan pada bulan lalu.

    Untuk versi baharu ini perubahan paling ketara adalah pada bahagian kabin di mana ia menerima roda stereng baharu yang sama seperti diberikan pada model edisi terhad GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition dan Morizo RR. Roda stereng berkenaan dihasilkan dengan diameter lebih kecil dan nampak seperti roda stereng kereta lumba sebenar, di mana sebelum ini Toyota ada menyebut bahawa ia memang direka berdasarkan input dari roda stereng jentera rali sebenar GR Yaris Rally2.

    Gegelang roda stereng berkenaan direka agar ia dapat digenggam dengan selesa oleh kedua-dua tangan, manakala butang-butang kawalannya kini tidak terletak pada jejari dan diposisikan tidak berdekatan antara satu sama lain dan lebih dekat ke bahagian tengah. Menurut Toyota rekaan tersebut adalah untuk mengelakkan pemandu tersalah menekan butang, dan ia juga menyala bagi memudahkan butang-butang tersebut digunakan pada waktu malam.

    Selain itu model kemaskini ini juga menerima pengendalian yang ditala semula. Ia melibatkan talaan semula pada sistem stereng berkuasa bantuan elektrik (EPS), di mana ia kini dapat memastikan operasi yang boleh diharap khususnya apabila kereta ini menggunakan tayar dengan cengkaman tinggi, atau ketika meredah selekoh dalam keadaan beban tinggi serta kadar brek yang kuat.

    Toyota GR Yaris 2026 pasaran Malaysia dapat roda stereng baru, talaan semula pada EPS dan suspensi

    Kadar pengesanan tork stereng juga kini telah diperluaskan dengan mengoptimakan ketegaran torsion bar dengan penderia tork dan perisian kawalan yang diubahsuai. Ia dibuat agar sistem stereng dapat memberikan bantuan lebih optimal dalam situasi “beban yang sangat tinggi”. Talaan baharu ini disempurnakan dengan talaan semula yang dibuat pada penyerap hentak.

    GR Yaris 2026 ini masih dipadankan dengan set rim aluminium forged 18-inci yang dibekalkan oleh BBS, dan ia kini dipadankan dengan tayar Bridgestone Potenza Race bersaiz 225/40R18.

    Tiada sebarang perubahan dibuat pada enjin di mana GR Yaris 2026 ini masih menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Pembeli boleh memilih varian yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, atau kotak gear automatik lapan kelajuan GR DAT.

    Kuasa dari enjin dialirkan kepada sistem pacuan semua roda GR Four dengan mod Normal memberikan agihan tork 60:40 antara gandar hadapan dan belakang; mod Gravel memberikan agihan tork 50:50; manakala mod Track akan memberikan agihan tork bervariasi berdasarkan situasi antara 60:40 sehingga 30:70. Gandar hadapan dan belakang juga masih kekal dibekalkan dengan LSD jenis Torsen.

    Toyota GR Yaris 2026 pasaran Malaysia dapat roda stereng baru, talaan semula pada EPS dan suspensi

    Menurut Toyota tak kira varian kotak gear mana yang anda pilih, pecutan 0-100 km/j yang dicatatkan adalah sama iaitu 5.2 saat, dan kelajuan maksima bagi kedua-duanya juga sama pada 230 km/j. Namun untuk mereka yang memilih versi automatik, ia diberikan sekali dengan sistem Launch Control dan juga penyejuk minyak transmisi automatik.

    Antara perincian standard diberikan pada GR Yaris 2026 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, bumbung gentian karbon diperkuat plastik (CFRP), dua tip ekzos dan juga penderia hujan untuk pengelap cermin.

    Perincian lain dari versi sebelum ini turut dibawa ke versi 2026 ini termasuk paparan instrumen GR dengan skrin 12.3-inci, skrin infotainmen Display Audio tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio dengan enam-pembesar suara, sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan separa bucket GR dengan balutan Brin Naub, balutan kulit pada roda stereng dan gaiter tuil gear serta serlahan jahitan benang merah.

    Untuk keselamatan GR Yaris pasaran Malaysia disertakan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense dengan fungsi termasuk kawalan pra-pelanggaran, amaran keluar lorong, bantuan mengesan lorong, bantuan tanda jalan, pemantau titik buta dan lampu tinggi automatik.

    Klik untuk besarkan

    Ia juga dilengkapi dengan cruise control adaptif di mana untuk varian kotak gear automatik ia boleh berfungsi dalam semua kelajuan, manakala untuk versi kotak gear manual ia hanya boleh berfungsi pada kelajuan tinggi. Ia juga datang standard dengan pakej Toyota Premium Security dan filem penapis haba, manakala pelanggan yang mahukan sistem telematik Toyota perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM2,000.

    Walaupun dengan beberapa tingkat taraf diberikan, Toyota GR Yaris 2026 ini masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM315,000 untuk varian dengan kotak gear manual enam-kelajuan, dan RM325,600 untuk varian dengan kotak gear automatik GR-DAT lapan-kelajuan.

    Empat warna badan ditawarkan iaitu Platinum White Pearl Mica, Emotional Red 2, Precious Black dan Precious Metal. Setiap pembelian hot-hatch homologasi jentera rali WRC ini disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Toyota GR Yaris 2026 JDM

     
     
  • KTMB tawar diskaun 30% untuk tiket ETS dan ERT antara 15-30 April, perjalanan hingga 14 Okt 2026

    KTMB tawar diskaun 30% untuk tiket ETS dan ERT antara 15-30 April, perjalanan hingga 14 Okt 2026

    Kementerian Pengangkutan (MOT) dan KTMB telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 30% bagi pembelian tiket ETS untuk semua sektor serta Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral.

    Menurut KTMB, bagi pengguna yang hendak mendapatkan diskaun istimewa ini, perlulah menggunakan kod promo Madani30 dan tempoh pembelian tiket adalah bermula jam 12 tengahari esok (15 April 2026) hingga 30 April ini, untuk tempoh perjalanan antara 15 April hingga 14 Oktober 2026.

    “Inisiatif ini adalah bagi perjalanan pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Madani melalui MOT dan KTMB untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat.

    KTMB tawar diskaun 30% untuk tiket ETS dan ERT antara 15-30 April, perjalanan hingga 14 Okt 2026

    “Pemberian diskaun ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan kos perjalanan, meningkatkan mobiliti rakyat serta menyokong agenda pengangkutan awam negara yangb lebih mampan dan inklusif,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, KTMB berkata, promosi ini tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum. Selain itu, diskaun ini juga tidak terpakai bagi tiket Kelas Perniagaan tren ETS, Kelas 1 dan Kelas Tempat Tidur bagi perkhidmatan ERT dan pemegang tiket konsesi.

    Sehubungan itu, orang ramai disaran untuk merancang perjalanan lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk dan memanfaatkan penjimatan yang ditawarkan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ktmb.com.my atau ikuti saluran media sosial rasmi KTMB.

     
     
  • MForce dilantik sebagai pengedar ZXMoto di Malaysia

    MForce dilantik sebagai pengedar ZXMoto di Malaysia

    Satu jenama baru dari China, yang mengejutkan dunia apabila menang dalam kategori SSP World Superbike Championship (WSBK) di Portugal Mac lalu iaitu ZXMoto bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd kini dilantik sebagai pengedar eksklusifnya.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, MForce diberitahu sudah memulakan kerjasama dengan ZXMoto sejak Oktober 2025, apabila pengasasnya, Zhang Xue datang sendiri ke Pulau Pinang untuk melawat kilang MForce dan perjanjian pengedaran dipersetujui tidak lama selepas itu.

    MForce dilantik sebagai pengedar ZXMoto di Malaysia

    Tiga model ZXMoto juga kini sudah berada di Malaysia untuk ujian ketahanan dan jika semuanya berjalan lancar, barulah akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Mereka yang berminat dengan jenama ini boleh menyaksikan depan mata motosikal ZXMoto serta berjumpan dengan Xue semasa Malaysia Bike Show 29 Mei ini.

    Xue yang sebelum ini merupakan pengasas Kove Moto menubuhkan pula ZXMoto pada tahun 2024 selepas keluar daripada Kove dan satu tahun kemudian memperkenalkan model pertama ZXMoto iaitu 500RR. Model yang digunakan dalam perlumbaan SSP adalah 820RR-RS, yang mana asasnya adalah sama dengan versi produksi yang boleh dibeli pada harga 43,800 yuan (RM25k) oleh orang awam China.

     
     
  • Kerajaan naikkan BUDI Diesel jadi RM400 bermula 21 April — tampung 87.5 liter pertama; tambah 14.8 liter

    Kerajaan naikkan BUDI Diesel jadi RM400 bermula 21 April — tampung 87.5 liter pertama; tambah 14.8 liter

    Disebabkan kenaikan harga bahan api diesel selama beberapa minggu kebelakangan ini di Semenanjung Malaysia — yang kini mencapai paras tertinggi mencecah RM6.72 seliter — ramai pemilik kenderaan diesel terkesan dan menanggung beban kewangan yang berat berkaitan bahan api kenderaan mereka. Oleh itu, kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan subsidi bulanan BUDI Diesel untuk individu daripada RM300 kepada RM400, berkuatkuasa 21 April ini.

    Penumuman terbaru ini menjadikan subsidi BUDI Diesel yang diberikan itu akan menampung sebanyak 87 liter yang pertama untuk penggunaan kenderaan diesel yang terlibat — tambahan sebanyak 14.8 liter berbanding sebelum ini.

    Dalam satu kenyataan yang baru dikeluarkan petang ini, Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan bahawa selain subsidi BUDI Diesel untuk individu, subsidi BUDI Agri-Komoditi untuk petani kecil dan penternak juga akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan yang juga akan mula diagihkan kepada penerima manfaat yang layak pada 21 April.

    Menurut MoF, ini merupakan pusingan kedua kenaikan subsidi bahan api diesel sejak kesan Perang Iran-US mula dirasai — sebelum ini MoF mengumumkan kenaikan subsidi daripada RM200 kepada RM300 pada 12 Mac.

    Kementerian Kewangan juga menyatakan bahawa ia menjangkakan kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat daripada pusingan kedua kenaikan subsidi ini. Kerajaan menganggarkan perbelanjaan fiskal bulanan akan meningkat kira-kira RM15 juta, dan jumlah subsidi diesel pada bulan April dijangka mencecah RM7 bilion.

    Kerajaan naikkan BUDI Diesel jadi RM400 bermula 21 April — tampung 87.5 liter pertama; tambah 14.8 liter

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 5,814 unit pada Mac 2026

    UMW Toyota Motor jual 5,814 unit pada Mac 2026

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan telah menjual sebanyak 5,184 unit kenderaan sepanjang bulan Mac 2026, mengatasi jumlah jualannya pada Februari yang sebelum ini telah mencatatkan jualan lebih banyak berbanding Januari tahun ini. Jumlah jualan terkumpul syarikat setakat ini kini mencecah 15,370 unit.

    Seperti angka jualan bulan sebelumnya, UMWT tidak mendedahkan pecahan jumlah jualan mengikut model, kecuali menyatakan bahawa ia “terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama automotif bukan nasional terkemuka, disokong oleh barisan produk yang mengimbangi kegunaan harian, kecekapan dan nilai pemilikan jangka panjang”.

    Sebagai rujukan, data pendaftaran kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan bahawa sebanyak 8,617 kenderaan Toyota telah didaftarkan pada bulan lalu, dan sejumlah 22,208 kenderaan Toyota telah didaftarkan dari Januari hingga Mac tahun ini. Daripada jumlah ini, diandaikan bahawa 2,803 unit pada bulan Mac, dan 6,838 unit bagi jumlah terkumpul tahun ini tidak dijual melalui saluran rasmi UMWT.

    Baru-baru ini, UMWT turut melancarkan barisan model terbaharunya iaitu trio kenderaan elektrik bateri yang terdiri daripada Hilux EV, bZ4X facelift dan Urban Cruiser, yang menyusuli Harrier HEV dan Vellfire HEV.

    “Tanggungjawab kami adalah untuk memastikan kemajuan sentiasa memberikan nilai sebenar dalam pelaksanaan. Kami akan memperkenalkan penyelesaian elektrifikasi secara berperingkat pada kadar yang sesuai, dengan cara yang praktikal untuk keadaan di Malaysia,” kata Presiden UMWT, Datuk Ravindran Kurusamy.

     
     
  • Honda CR-V 2026 e:HEV RS, e:HEV E di M’sia — galeri model kemaskini; Google, BLIS, RCTA dari RM178k

    Honda CR-V 2026 e:HEV RS, e:HEV E di M’sia — galeri model kemaskini; Google, BLIS, RCTA dari RM178k

    Bulan lalu, Honda Malaysia memperkenalkan versi kemaskini bagi model Honda CR-V generasi keenam untuk tahun 2026. Ia melibatkan perubahan kecil dengan memberikan beberapa kit tambahan serta hanya tinggal tiga varian penawaran, berbanding empat varian ketika dilancarkan pada Disember 2023.

    Varian S turbocas paling asas telah digugurkan, manakala varian Turbo E telah digantikan dengan versi hibrid e:HEV untuk gred penawaran yang sama, menjadikan CR-V kenderaan Honda pertama yang menampilkan dua varian hibrid bagi penawarannya untuk pasaran tempatan. Honda CR-V e:HEV E, dijual dengan harga RM178,200, kini merupakan varian paling asas untuk CR-V, diikuti varian V Turbo AWD (RM181,900) manakala e:HEV RS (RM195,900) kekal sebagai yang paling tinggi.

    Selain pilihan warna baru yang dikenali Blazing Red Pearl, bahagian luaran tidak menerima apa-apa perubahan lain. Sama seperti sebelumnya, varian RS menampilkan ciri antena sirip jerung dan perumah cermin sisi warna hitam, landasan bumbung serta elemen penggayaan RS dalam warna badan serta lencana RS untuk membezakannya daripada varian lain.

    Honda CR-V 2026 e:HEV RS, e:HEV E di M’sia — galeri model kemaskini; Google, BLIS, RCTA dari RM178k

    Di bahagian dalam, satu-satunya peningkatan kosmetik diberikan untuk RS, yang terdiri kemasan hitam untuk papan pemuka, serta logo RS timbul di bahagian belakang tempat duduk hadapan. Dengan varian S tiada lagi, ini bermakna CR-V juga tidak lagi menawarkan tempat duduk fabrik, stereng uretane, skrin sentuh tengah 7.0-inci infotainmen dan penggunaan rim 17-inci.

    Semua varian CR-V kini menampilkan sistem skrin sentuh 9.0-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Seperti penawran sebelum ini, varian E dan V menampilkan sistem audio lapan-pembesar suara, manakala RS mempunyai sistem Bose Premium dengan 12-pembesar suara.

    Bagi kluster instrumen, varian E hibrid menampilkan paparan instrumen TFT 7.0-inci dengan speedometer analog terdahulu, tetapi varian V turbo AWD, yang sebelum ini turut dilengkapi dengan paparan kombinasi yang sama, kini telah beralih kepada paparan instrumen digital penuh TFT 10.2-inci seperti yang ditawarkan untuk RS.

    Fungsi baru yang ditawarkan untuk semua varian CR-V 2026 ialah Perkhidmatan Audio Google, yang kini disepadukan ke dalam sistem infotainment, dan turut membawakan ciri Google Assist bebas kendalian tangan dan sistem tunjuk arah masa nyata melalui Google Maps serta akses kepada pelbagai aplikasi melalui Google Play. Bagaimanapun, tiada sambungan internet binaan dalam, dan pemilik perlu menggunakan peranti mudah alih mereka sebagai hotspot untuk keperluan tersebut.

    CR-V juga mendapat ciri Digital Key baru, yang memanfaatkan fungsi Bluetooth dan membolehkan pemilik menggunakan peranti mudah alih mereka sebagai kunci utama kereta. Selain itu, aplikasi mudah alih Honda Connect membolehkan operasi tingkap dan pintu belakang berkuasa dilakukan dari jauh.

    Selebihnya, ciri bantuan pemanduan Honda Sensing menambah fungsi amaran lintasan trafik belakang; dikenali sebagai Cross Traffic Monitor (CTM) dan sistem kamera sisi LaneWatch telah digantikan dengan Blind Spot Information (BSI). Selain itu, semua varian CR-V kini dilengkapi filem penapis haba dan keselamatan sah Honda yang disediakan oleh Ecotint sebagai ciri standard.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan. Rangkaian kuasa hibrid dan petrol diteruskan seperti sebelumnya. Varian e:HEV RS dan e:HEV E dikuasakan oleh sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggabungkan motor elektrik dan enjin petrol, dengan output tidak berubah berbanding sebelumnya.

    Sistem ini terdiri daripada enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson NA yang bertindak utamanya sebagai generator, menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 190 Nm pada 4,500 rpm, manakala motor elektriknya menghasilkan 184 PS (181 hp, atau 135 kW) dari 5,000-8,000 rpm dan 335 Nm dari 0-2,000 rpm.

    Bagi varian tunggal petrol, V AWD, ia terus dikuasakan oleh enjin empat-silinder turbo L15BE 1.5 liter VTEC biasa, yang mengekalkan janaan output 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700 hingga 5,000 rpm seperti sebelum ini.

    Honda CR-V e:HEV RS dan e:HEV E 2026

    Honda CR-V e:HEV RS 2026

    Honda CR-V e:HEV E 2026

     
     
  • Geely lancar sistem hibrid i-HEV – 2.22 l/100km, kecekapan suhu 48.4%; pilihan 1.5 NA, 1.5TD, 2.0TD

    Geely lancar sistem hibrid i-HEV – 2.22 l/100km, kecekapan suhu 48.4%; pilihan 1.5 NA, 1.5TD, 2.0TD

    Geely telah melancarkan unit rangkaian kuasa hibrid baharu yang dikenali sebagai i-HEV. Sistem ini bakal dilengkapi pada model-model termasuk sedan Preface (Xingrui), SUV Monjaro (Xingyue L), Emgrand dan Boyue (dua model terakhir dikenali masing-masing sebagai Proton S70 dan X70 bagi generasi sebelumnya) bermula tahun ini, lapor CarNewsChina yang memetik laman Autohome dan ITHome.

    Unit rangkaian kuasa i-HEV ini masih hadir dengan barisan enjin dari keluarga BHE dalam versi 1.5NA 1.5TD (dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus) dan juga 2.0TD, tetapi ia telah diperhalusi bagi mencapai kecekapan haba yang didakwa mencapai 48.4%.

    Sebagai perbandingan enjin 1.5 liter NA untuk sistem plug-in hybrid (PHEV) pada Geely Galaxy Starship 7 (atau Proton eMas 7 PHEV di Malaysia) mencatatkan kecekapan suhu 46.5%. Sistem i-HEV ini dipadankan dengan unit motor elektrik 11-dalam-1 berkuasa 313 PS, membolahkan ia memecut dari 0-30 km/j (ya, betul, kami tak salah tulis) hanya dalam masa 1.8 saat.

    Walau bagaimanapun Geely menyatakan fokus pada unit rangkaian kuasa i-HEV ini adalah terhadap kecekapan bahan api, bukannya prestasi. Menurut Geely, sistem pengurusan kuasa i-HEV menggunakan asas AI membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api gabungan 2.22 liter setiap 100 km (45 km setiap liter) yang diiktiraf oleh Guinness, menerusi ujian lebuhraya yang dibuat pada Emgrand i-HEV, lapor Reuters.

    Sistem i-HEV ini juga mencatatkan 3.98 liter setiap 100 km (25 km setiap liter) pada Preface i-HEV dan 4.75L/100 km (21 km/L) pada Monjaro i-HEV, di mana kedua-duanya diuji dalam kitaran WLTP.

    Buat masa sekarang Geely, bersama jenama-jenama China yang lain giat menawarkan sistem PHEV sebagai alternatif EV untuk mereka yang masih mempunyai masalah terhadap fasiliti pengecasan atau mereka yang masih mempunyai range anxiety. Namun bagi sistem PHEV, baterinya masih perlu dicas seperti EV bagi memberikan kecekapan bahan api yang paling optimum.

    Nampaknya dengan pengenalan sistem i-HEV ini Geely kini menyasarkan untuk menawarkan sistem hibrid yang lebih mudah untuk digunakan – masih cekap walaupun tidak perlu dicas semula seperti EV. Adakah Proton akan menerima sistem yang sama bagi model-model akan datang?

     
     
  • Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km

    Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km

    Mercedes-Benz EQS kini menerima satu lagi facelift, kira-kira dua tahun selepas model perdana jenama Jerman itu diperbaharui pada April 2024. Kali ini, perubahan yang dibawakan bukan sahaja lebih ketara dari segi rekaan, malah juga jauh lebih signifikan pada aspek peningkatan teknologi.

    Perubahan paling besar melibatkan sistem elektrikal baru berasaskan seni bina 800 volt, menggantikan sistem 400 volt yang digunakan sejak pelancarannya pada tahun 2021. Dengan peningkatan ini, EQS kini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, berbanding hanya 200 kW sebelum ini.

    Namun begitu, keupayaan maksimum ini hanya tersedia untuk tiga varian utama iaitu EQS450+, EQS500 4Matic dan EQS580 4Matic. Sekiranya pengecas 800 volt tidak tersedia, sistem bateri boleh membahagikan dirinya secara maya untuk membolehkan pengecasan sehingga 175 kW menggunakan stesen 400 volt.

    Untuk bateri, kapasiti tenaga boleh guna kini ditingkatkan kepada 122 kWh berbanding 118 kWh sebelum ini hasil penambahbaikan sel kimia. Ini sekaligus memberikan jarak pemanduan yang lebih jauh, namun peningkatan ini juga terhad kepada varian yang dinyatakan tadi.

    Berikut adalah varian yang ditawarkan untuk EQS facelift:

    Mercedes-Benz EQS400

    • Output motor elektrik: 367 PS (362 hp atau 270 kW) dan 505 Nm; RWD
    • Masa 0-100 km/j: 6.2 saat
    • Laju maksimum: 210 km/j
    • Bateri: 112 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak gerak: 817 km (WLTP)
    • Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
    • Pengecasan DC: 330 kW; 305 km dalam 10 minit

    Mercedes-Benz EQS450+

    • Output motor elektrik: 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 505 Nm; RWD
    • Masa 0-100 km/j: 5.9 saat
    • Laju maksimum: 210 km/j
    • Bateri: 122 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak gerak: 926 km (WLTP)
    • Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
    • Pengecasan DC: 350 kW; 320 km dalam 10 minit

    Mercedes-Benz EQS500 4Matic

    • Output motor elektrik: 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan 750 Nm; AWD
    • Masa 0-100 km/j: 4.5 saat
    • Laju maksimum: 210 km/j
    • Bateri: 122 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak gerak: 876 km (WLTP)
    • Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
    • Pengecasan DC: 350 kW; 305 km dalam 10 minit

    Mercedes-Benz EQS580 4Matic

  • Output motor elektrik: 585 PS (577 hp atau 430 kW) dan 800 Nm; AWD
  • Masa 0-100 km/j: 4.1 saat
  • Laju maksimum: 210 km/j
  • Bateri: 122 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
  • Jarak gerak: 876 km (WLTP)
  • Pengecasan AC: 11 kW; pilihan 22 kW
  • Pengecasan DC: 350 kW; 305 km dalam 10 minit
  • Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km

    Barisan model turut diperluaskan dengan kehadiran varian baru EQS400, yang dilengkapi bateri 112 kWh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 330 kW. Walaubagaimanapun, semua varian masih menggunakan pengecas AC binaan dalam 11 kW sebagai standard, dengan penawaran pilihan naik taraf kepada 22 kW.

    Mercedes-Benz turut memperkenalkan unit pacuan elektrik baru yang lebih kompak, cekap dan berkuasa. Setiap varian dilengkapi motor elektrik belakang bersama transmisi dua kelajuan yang membolehkan pecutan pantas sebelum beralih ke gear kedua untuk kecekapan yang lebih baik pada kelajuan tinggi.

    Bagi varian 4Matic, motor tambahan di hadapan dilengkapi fungsi Disconnect Unit yang membolehkan ia dinyahaktifkan secara automatik untuk menjimatkan tenaga apabila tidak diperlukan.

    Selain itu, keupayaan penjanaan semula tenaga kini dipertingkatkan daripada 290 kW kepada 385 kW, manakala bateri turut menyokong fungsi vehicle-to-grid dan vehicle-to-home. Ini bermakna kenderaan bukan sahaja boleh dicas, malah boleh menyalurkan tenaga kembali ke grid elektrik atau ke rumah.

    Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km

    Satu lagi inovasi utama ialah pengenalan sistem stereng sepenuhnya tanpa sambungan mekanikal atau steer-by-wire, yang bakal ditawarkan sebagai pilihan beberapa bulan selepas pelancaran. Sistem ini hanya memerlukan putaran stereng sebanyak 170 darjah dari hujung ke hujung, sekaligus membolehkan penggunaan stereng jenis yoke yang lebih kompak.

    Tanpa sambungan fizikal antara stereng dan roda, kawalan dilakukan sepenuhnya oleh motor elektrik, sekaligus menghapuskan getaran daripada permukaan jalan yang tidak rata. Bagi memastikan keselamatan, sistem ini dilengkapi dua set komponen sokongan seperti penukar DC-DC, bekalan kuasa dan litar komunikasi.

    Jika salah satu gagal berfungsi, sistem sandaran akan mengambil alih supaya kawalan kenderaan kekal selamat. Pilihan ini turut hadir bersama sistem stereng roda belakang sehingga 10 darjah, berbanding 4.5 darjah sebagai standard.

    Dari sudut bantuan pemanduan, EQS dilengkapi pelbagai sistem ADAS yang disokong oleh sepuluh kamera luaran, radar serta sensor ultrasonik. Di pasaran Eropah, pakej MB.Drive Standard hadir dengan fungsi seperti kawalan jarak automatik, manakala pakej tambahan menawarkan ciri bantuan stereng dan penukaran lorong. Sistem parkir juga dipertingkatkan dengan keupayaan parkir lebih pantas serta fungsi parkir menyerong.

    Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km

    Suspensi udara Airmatic turut ditala semula untuk keselesaan lebih baik, manakala teknologi komunikasi car-to-X membolehkan kenderaan berkongsi maklumat dengan kenderaan lain mengenai keadaan jalan di hadapan.

    Dari segi reka bentuk, model facelift ini tampil lebih menonjol berbanding versi sebelumnya. Bonet kini dilengkapi elemen ‘powerdomes’ yang memberikan imej lebih dinamik, manakala gril hadapan direka lebih menonjol dengan kemasan panel hitam bersama jalur krom serta corak bintang bercahaya. Pilihan pakej AMG Line pula memberikan penampilan lebih sporty dengan rekaan gril berbeza.

    Lampu hadapan kini menampilkan grafik lampu nyalaan siang berbentuk bintang, selari dengan identiti terkini Mercedes-Benz. Sistem pencahayaan Digital Light generasi baru turut meningkatkan pencahayaan sehingga 40 peratus sambil mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 50 peratus. Jalur lampu hadapan dan belakang juga direka lebih jelas, dengan elemen heliks yang disepadukan pada lampu belakang.

    Mercedes-Benz EQS facelift 2026 diperkenal – 800V, sistem stereng steer-by-wire, WLTP sehingga 926 km

    Di ruang kabin, perubahan tidak terlalu ketara kecuali pilihan stereng yoke. Antara penambahbaikan termasuk pemanas tali pinggang keledar serta beg udara khas untuk penumpang belakang. Sistem infotainmen MBUX Hyperscreen masih dikekalkan dengan tiga paparan utama, manakala penumpang belakang turut mendapat dua skrin tambahan bersaiz 13.1 inci.

    Turut diberi perhatian ialah penapis udara HEPA yang mampu menapis lebih 99.65 peratus zarah bagi memastikan kualiti udara dalam kabin sentiasa bersih. Bagi pelanggan yang mahukan sentuhan eksklusif, program Manufaktur menawarkan pelbagai pilihan penyesuaian tambahan mengikut citarasa masing-masing.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 3.0L V6 petrol — nikmati setahun bahan api percuma* atau jimat sehingga RM17,000!

    Ford Ranger Raptor 3.0L V6 petrol — nikmati setahun bahan api percuma* atau jimat sehingga RM17,000!

    Harga bahan api mungkin akan sentiasa berubah-ubah, tetapi untuk pembelian kenderaan Ford tidak perlu begitu. Berlangsung sekarang hingga 30 April nanti, pelanggan yang membeli Ford Ranger Raptor 3.0L V6 petrol boleh menikmati penjimatan sehingga RM17,000 — sama ada sebagai rebat tunai atau dalam bentuk bahan api percuma*. Model Ford lain juga turut diberikan tawaran istimewa, membawakan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menikmati antara rebat tunai atau bahan api percuma yang ditawarkan, bergantung kepada model.

    Lebih mengujakan, sebarang pembelian kenderaan Ford antara 15 April dan 30 Jun 2026 juga akan melayakkan pelanggan untuk menikmati bahan api percuma selama setahun*, serta hadiah berupa peranti elektronik lain yang menarik. Tawaran ini sah melalui semua pengedar Ford di seluruh negara.

    Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) selaku pengedar Ford di Malaysia juga menawarkan pelbagai cara untuk pelanggan menikmati tawaran RM17,000 dengan setiap pembelian Ford Ranger Raptor 3.0L V6 atau Ford Ranger Raptor 3.0L V6 baharu (dengan rekaan roda beadlock).

    Ford Ranger Raptor 3.0L V6 petrol — nikmati setahun bahan api percuma* atau jimat sehingga RM17,000!

    Anda boleh menikmatinya sama ada melalui rebat tunai sebanyak RM17,000 untuk pembelian, atau melalui bahan api bagi jumlah yang sama, bersamaan dengan nilai petrol bagi tempoh penggunaan selama setahun. Sebagai alternatif, anda juga boleh memilih Pelan Servis Blue Oval lima-tahun dan rebat tunai sebanyak RM10,000 untuk Ranger Raptor 3.0L, atau untuk Ranger Raptor 3.0L baharu pula Pelan Servis Lanjutan (ESP) dua-tahun dan rebat tunai sebanyak RM13,000.

    Tidak kira yang mana satu pilihan anda, semuanya merupakan tawaran hebat yang jarang diberikan. Sebagai model petrol, kedua-dua versi Ranger Raptor 3.0L V6 akan menawarkan banyak penjimatan dari segi kos penggunaan. Selain itu, anda juga akan menikmati sebuah kenderaan yang telah memberikan definisi baharu kepada segmen trak pikap di Malaysia, yang menggabungkan prestasi dari ilham perlumbaan, teknologi off-road canggih serta ketelitian halus dalam satu pakej.

    Ranger Raptor 3.0L V6 ialah trak pikap paling berkuasa di Malaysia. Enjin petrol 3.0 liter Twin-Turbo EcoBoost V6 yang melengkapinya menghasilkan kuasa mencecah 397 PS pada 5,650 rpm dan tork 583 Nm pada 3,500 rpm, sekali gus memberikan pemanduan berkuasa dan kepantasan. Deruman dari enjin V6 serta ekzos yang boleh ditetapkan konfigurasinya juga menjadi satu lagi kelebihan unik yang tersendiri.

    Ford Ranger Raptor 3.0L V6 petrol — nikmati setahun bahan api percuma* atau jimat sehingga RM17,000!

    Trak ini juga bersedia untuk menjelajahi apa sahaja permukaan dan di lokasi mana saja dengan bantuan pilihan tujuh-mod pemanduan: Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan Baja Mode (eksklusif hanya untuk Ranger Raptor). Model ini juga disokong oleh penyerap hentak FOX Live Valve Internal Bypass 2.5-inci dengan ciri Bottom-Out Control yang sudah terbukti prestasinya dalam perlumbaan.

    Bagi Ranger Raptor 3.0L V6 baharu dengan rekaan rim beadlock, ia menawarkan penyelesaian yang tepat bagi mereka yang ingin menggabungkan penggunaan harian dengan pemanduan off-road yang lebih mencabar. Rim berkenaan direka bentuk dengan lubang berukir untuk menampung gelung beadlock bagi pemanduan off-road yang serius. Untuk pemanduan harian pula, ia dilengkapi dengan “gelung estetik” yang bergaya, tetap dengan reka bentuk rim yang membolehkan pemilik memasang gelung beadlock yang boleh dibeli secara berasingan, untuk membolehkannya digunakan dalam tekanan tayar rendah dengan selamat bagi tujuan mendapatkan cengkaman dan kawalan yang lebih baik di atas permukaan yang mencabar.

    Versi mana pun yang dipilih, anda akan mendapatkan sebuah trak pikap yang telah terbukti prestasi; dan kini, dengan nilai yang lebih baik berbanding sebelumnya. Ketahui lebih lanjut tentang tawaran rebat untuk Ford Ranger Raptor 3.0L serta tawaran lain dalam barisan Ranger di laman web Ford Malaysia.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat

     
     
  • Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

    Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

    Nissan mendedahkan imej awal beberapa model baru yang bakal diperkenalkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dan salah satu daripadanya adalah X-Trail generasi terbaru . SUV generasi kelima ini kekal sebagai model penting buat syarikat tersebut, dengan hampir sepuluh juta unit telah terjual di seluruh dunia.

    Model baru ini akan terus menggunakan sistem hibrid e-Power, yang buat pertama kali turut diperluaskan ke pasaran Amerika Syarikat menerusi model Rogue. Buat masa ini, maklumat terperinci masih terhad, namun imej render 3D yang didedahkan memperlihatkan reka bentuk yang lebih berani dan tajam, dengan inspirasi daripada model terkini seperti Murano dan Leaf.

    Bahagian hadapan menampilkan garisan bonet dan bampar yang bersilang membentuk corak seperti huruf “X”, manakala lampu hadapan dan gril disatukan dalam grafik seakan topeng berwarna hitam. Lampu utama direka dengan bentuk L terbalik, dengan bahagian atas yang nipis menempatkan projektor utama dan dihubungkan oleh jalur melintang di atas gril.

    Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

    Di bahagian sisi, tema heksagon diteruskan melalui rekaan pada D-pillar serta garisan serong pada pintu hadapan dan belakang. Pergi pula ke belakang, lampu masih mengekalkan sambungan visual dengan cermin belakang, dengan susunan elemen bercahaya bentuk segi empat dalam konfigurasi L. Penampilan keseluruhan dilengkapkan dengan rim dua tona yang mempunyai corak berulang membentuk motif heksagon.

    Dari segi mekanikal, X-Trail baru dijangka menggunakan sistem e-Power generasi ketiga yang diperkenalkan sebelum ini pada model Qashqai. Sistem ini menggunakan enjin petrol tiga silinder turbo 1.5 liter yang dibangunkan khusus, dikatakan lebih senyap dan cekap berbanding unit terdahulu.

    Menariknya, enjin ini tidak lagi menggunakan teknologi nisbah mampatan berubah VC-Turbo, yang mana sebelum ini sukar disesuaikan dengan pasaran yang mempunyai kualiti bahan api lebih rendah seperti Malaysia.

    Nissan X-Trail 2027 – gambar awal model generasi kelima didedah, guna penggerak hibrid e-Power

    Enjin tersebut berfungsi menjana tenaga untuk motor elektrik baru yang lebih berkuasa, menghasilkan 205 PS. Meskipun kapasiti bateri kekal pada 21.5 kWh, Nissan mendakwa penggunaan bahan api dalam keadaan sebenar berkurang sebanyak 16 peratus, manakala penggunaan di lebuh raya pula berkurang sebanyak 14 peratus.

    Ini membolehkan jarak pemanduan mencecah sehingga 1,200 kilometer seperti yang dicapai oleh Qashqai. Seperti sebelum ini, X-Trail juga akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, yang menggunakan motor kedua untuk menggerakkan roda belakang, selain dilengkapi sistem bantuan pemanduan separa autonomous ProPilot.

    Model baru ini merupakan sebahagian daripada strategi produk Nissan yang bertujuan menyusun semula portfolio daripada 56 kepada 45 model bagi mempercepatkan proses pembangunan. Langkah ini diharapkan dapat mempercepatkan pelancaran model ke pasaran, memandangkan X-Trail generasi keempat sebelum ini masih belum diperkenalkan di semua pasaran yang dirancang, termasuk Malaysia, walaupun sudah muncul sejak enam tahun lalu.

     
     
  • ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR

    ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan bahawa lebih 400,000 transaksi direkodkan melalui pelaksanaan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) bagi sistem pembayaran tol tanpa palang sejak Januari lalu di Lebuhraya Utara-Selatan, laporan Berita Harian.

    Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, projek rintis yang membabitkan 78 lorong di sembilan plaza tol di jajaran Hutan Kampung di Kedah hingga Sungai Dua di Pulau Pinang ternyata menunjukkan perkembangan positif, sekaligus memberikan petanda baik bahawa sistem ini boleh diuruskan.

    Tambahnya, kerajaan meletakkan sasaran peluasan sepenuhnya pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di seluruh negara menjelang 2027. “Kita serahkan kepada pihak konsesi untuk perluaskan. Sasaran besar kita adalah pelaksanaan MLFF sepenuhnya menjelang 2027,” katanya.

    ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR

    Pada pertengahan Februari lalu, dilaporkan kira-kira 200,000 pengguna sudah memuat turun aplikasi baharu JustGO untuk sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi ANPR ini.

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini dilaporkan berkata, dengan meliputi jarak 87.7 kilometer, fasa pertama sistem ANPR ini dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir. “Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,”kata PLUS.

    Disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sistem ini direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, dan akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa.

    Menurut PLUS lagi, kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat. Selain urusan pembayaran tol, aplikasi JustGo turut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna. Sementara itu, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa.

    Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh. Hasil ujian menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

    “Ujian ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuhraya lain. Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti,” kata PLUS.

     
     
  • Nissan dedahkan teaser Skyline generasi seterusnya; bakal tampil rupa inspirasi sedan Skyline ER34?

    Nissan dedahkan teaser Skyline generasi seterusnya; bakal tampil rupa inspirasi sedan Skyline ER34?

    Ketika pembentangan berkenaan rancangan jangka panjang Nissan Vision yang disiarkan secara langsung pagi ini, Nissan ada mendedahkan teaser untuk beberapa model akan datang, antaranya model generasi baharu bagi sedan premium Nissan Skyline.

    Sebelum kita pergi lebih jauh, penulis sekali lagi mengingatkan bahawa ini adalah model pengganti bagi Nissan Skyline generasi ke-13 dengan kod V37 yang buat masa sekarang masih dijual di Jepun untuk tahun ke-12, bukan pengganti Nissan GT-R R35 di mana lencana berkenaan telah dipisahkan dari Skyline selepas generasi R34.

    Tiada sebarang perincian disebut dalam pengumuman tersebut dan Nissan cuma menyiarkan beberapa gambar teaser untuk sedan tersebut. Antaranya pada bahagian belakang yang masih mengekalkan dua lampu bulat ikonik Skyline, serta skrip ‘Skyline’ yang mirip seperti skrip digunakan pada model generasi pertama Prince Skyline 1957.

    Nissan dedahkan teaser Skyline generasi seterusnya; bakal tampil rupa inspirasi sedan Skyline ER34?

    Turut boleh dilihat bahagian sisi belakang termasuk pada pintu belakang Skyline yang mungkin digelar sebagai V38 ini menampilkan rekaan seakan pada model sedan empat-pintu Skyline ER34. Malah pada bahagian muka, Skyline generasi baharu ini turut menyerlahkan muka yang seakan menerima inspirasi dari ER34. Logo ‘S’ yang telah digunakan Skyline sejak model generasi C210 turut dilihat berada pada muncung Skyline generasi baharu ini.

    Menurut pengarah rekaan global Nissan Alfonso Albaisa dalam laporan sebelum ini, Skyline generasi seterusnya berkenaan bakal membuat kemunculannya pada 2027. Albaisa turut menyebut bahawa Skyline akan menjadi model sedan berorientasikan prestasi, di mana ia masih akan digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman, pacuan roda belakang dan Nissan turut akan menawarkan kotak gear manual sebagai pilihan.

    Beliau juga menjelaskan bahawa posisi Skyline akan diletakkan antara dua kereta sport iaitu Nissan Z dan juga GT-R bagi membayangkan prestasinya. “Nissan Z pada satu bahagian, GT-R pada sebelah satu lagi – Skyline akan duduk di tengah-tengah,” kata Albaisa.

    Nissan dedahkan teaser Skyline generasi seterusnya; bakal tampil rupa inspirasi sedan Skyline ER34?

    Untuk rekaan pula, Albaisa menjelaskan bahawa ia akan mengambil inspirasi dari Skyline generasi terdahulu, tetapi ia tidak akan tampil sebagai sebuah sedan dengan rupa yang retro. “Fikirkan besar, lebar dan gempal. Agresif dan tidak retro,” tambah Albaisa lagi.

    Menurut Nissan, Skyline generasi baharu ini disasarkan hanya untuk pasaran domestik Jepun. Namun untuk pasaran luar, sedan ini mungkin akan terus dijual dengan jenama mewah Nissan iaitu Infiniti dan dikenali sebagai Infiniti Q50 seperti model generasi sedia ada.

     
     
  • Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor melibatkan Pakej 1A capai kemajuan 50.12% setakat 31 Mac 2026

    Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor melibatkan Pakej 1A capai kemajuan 50.12% setakat 31 Mac 2026

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan perkembangan terkini mengenai projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan di laluan Senai Utara – Simpang Renggam, Johor yang terus menunjukkan momentum kukuh. Setakat 31 Mac 2026, projek pelebaran lebuhraya terbabit yang membabitkan Pakej 1A bagi laluan Kulai-Sedenak telah melepasi 50.12% kemajuan, sekali gus memperkukuh kemajuan keseluruhan projek.

    Sementara itu, PLUS turut berkata, Pakej 1B (Senai Utara – Kulai) dan Pakej 2 (Sedenak – Simpang Renggam) masing-masing mencatat kemajuan 13.44% dan 9.10%, selari dengan fasa pembinaan semasa yang sedang dilaksanakan.

    “Setakat 31 Mac 2026, kesemua pakej bergerak mengikut jadual. Ia mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin, koordinasi yang berkesan serta pemantauan rapi di semua tapak projek. Projek ini melibatkan pelebaran lebuh raya daripada dua lorong kepada tiga lorong bagi setiap arah dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang Suku Ketiga 2028.

    “Apabila siap kelak, projek ini dijangka melancarkan aliran trafik di laluan kritikal dan berimpak tinggi, mengurangkan tempoh perjalanan di antara Senai Utara dan Simpang Renggam, meningkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya serta menyokong pertumbuhan ekonomi Johor sebagai hab logistik dan industri,”kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, projek ini juga dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam memastikan rangkaian lebuh raya negara kekal efisien dan berdaya tahan dalam menghadapi peningkatan mobiliti masa hadapan.

     
     
  • Projek selenggara dan pembinaan jalan raya dijangka alami kelewatan susulan peningkatan kos – KKR

    Projek selenggara dan pembinaan jalan raya dijangka alami kelewatan susulan peningkatan kos – KKR

    Peningkatan kos bahan binaan dan perbelanjaan operasi, khususnya diesel, dijangka menyebabkan projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan di seluruh negara alami kelewatan, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Ahmad Maslan, peningkatan jumlah projek yang tertangguh, dan kelewatan tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada tekanan kos berkaitan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.

    “Kita ada 855 projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, tetapi membabitkan 28 kementerian. Data sebelum krisis ini, satu pertiga projek siap awal jadual, satu pertiga ikut jadual dan satu pertiga lagi lewat daripada jadual. Saya khuatir yang lewat jadual itu bertambah akibat masalah kenaikan harga barang,” katanya

    Projek selenggara dan pembinaan jalan raya dijangka alami kelewatan susulan peningkatan kos – KKR

    Tambahnya, akibat kenaikan harga diesel, sektor yang paling terjejas ialah kontraktor penyelenggaraan jalan dan yang membuat jalan baharu.

    “Itu yang terjejas terus, jika membuat bangunan, mereka boleh menghabiskan bahan binaan sedia ada di tapak bina dan ia tidak membabitkan pergerakan mesin. Kalau jalan, ia jadi hal kerana kalau mesin tak bergerak, kerja tak berjalan. Mesin nak bergerak, diesel kena isi, sedangkan harganya terus meningkat,” katanya.

    Kedua-dua projek penyelenggaraan jalan sedia ada dan pembinaan jalan baharu terkesan secara langsung, manakala projek pembinaan bangunan agak dilindungi oleh stok bahan sedia ada. Namun begitu, walaupun terdapat kebimbangan sebegini, kontraktor tidak dibenarkan menghentikan kerja, kata Ahmad Maslan.

     
     
  • Pemandu yang abaikan isyarat trafik dan lintasan pejalan kaki boleh digantung lesen memandu – JPJ

    Pemandu yang abaikan isyarat trafik dan lintasan pejalan kaki boleh digantung lesen memandu – JPJ

    Mana-mana pemandu yang mengabaikan isyarat trafik dan lintasan pejalan kaki berdepan tindakan yang boleh menjejaskan lesen memandu mereka, termasuk penggantungan. Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Zulkarnain Yasin, pesalah boleh dipanggil oleh jabatan untuk memberikan keterangan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Peruntukan ini membolehkan pegawai penguatkuasa meminta pemandu memberikan maklumat atau penjelasan semasa siasatan. Jika didapati bersalah, saman akan dikeluarkan,” katanya kepada NST.

    Zulkarnain menambah, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM300, dan jika dibawa ke mahkamah, boleh berdepan denda sehingga RM2,000. Kegagalan mematuhi lampu isyarat merupakan kesalahan serius kerana ia menyumbang kepada mata demerit di bawah sistem Kejara. Beliau turut memberi amaran bahawa pemegang lesen yang mengumpul 20 mata demerit atau lebih berisiko digantung atau dibatalkan lesen memandu jika kesalahan berterusan.

    Kenyataan Zulkarnain ini susulan dua kejadian tular baru-baru ini yang melibatkan kawasan sekolah dan lintasan pejalan kaki. Dalam salah satu kejadian yang dilaporkan berlaku berhampiran sebuah sekolah rendah di Taman Universiti, seorang kanak-kanak dilanggar akibat sebuah kenderaan gagal berhenti sebelum lintasan pejalan kaki. Satu lagi kejadian tular turut melibatkan pelajar di lintasan pejalan kaki, di mana sebuah kereta tidak berhenti walaupun lampu isyarat merah dan terus bergerak ketika pelajar sedang melintas jalan.

     
     
  • Geely Preface TCR Cyan Racing 2026 – imej awalan kereta lumba pengganti Lynk & Co 03 TCR didedahkan

    Geely Preface TCR Cyan Racing 2026 – imej awalan kereta lumba pengganti Lynk & Co 03 TCR didedahkan

    Hujung tahun lalu pasukan lumba yang berpengkalan di Gothenburg, Sweden iaitu Cyan Racing mengumumkan bahawa untuk musim 2026 bagi siri perlumbaan TCR World Tour ia tidak akan lagi mewakili jenama Lynk & Co, sebaliknya akan beralih ke jenama induk divisi mewah dari China itu iaitu Geely sendiri. Dan jentera yang dipilih untuk menggantikan sedan Lynk & Co 03 TCR berkenaan disahkan adalah Geely Preface.

    Dan ini dia, rupa awalan Geely Preface TCR pasukan Cyan Racing telahpun didedahkan. Buat masa sekarang belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Cyan Racing, manakala imej Geely Preface TCR bersama pengerusi Geely iaitu Li Shufu ini disiarkan oleh laman TouringCarTimes yang menyatakan bahawa jentera lumba itu didedahkan dalam satu pembentangan platform Geely di China semalam.

    “Geely membawa teknologi enjin pembakaran dalaman China ke ‘peringkat tertinggi di dunia’. ‘Kuasa China’ akan meneruskan penaklukannya ke atas perlumbaan litar TCR peringkat tertinggi dunia!”, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Geely Group Motorsport China, lapor TouringCarTimes.

    Laporan itu juga menyatakan bahawa Cyan Racing kini sedang menguji Geely Preface TCR tersebut di litar-litar sekitar Eropah sebelum ia membuat kemunculan di pusingan pertama TCR World Tour 2026 di Misano, Itali pada 8 hingga 10 Mei ini.

    Geely Preface facelift 2023 pasaran China

    Geely Preface dan juga Lynk & Co 03 sebenarnya berkongsi asas yang sama iaitu dibina menggunakan platform CMA dihasilkan oleh Volvo yang turut menjadi asas kepada model seperti Volvo XC40. Kedua-dua model itu juga dibekalkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E juga binaan Volvo yang sama, di mana enjin berkenaan kini dikilangkan oleh Aurobay di Sweden. Aurobay kini merupakan divisi di bawah Horse Powertrain, iaitu firma yang membangunkan dan membekalkan unit rangkaian kuasa berasaskan enjin pembakaran dalaman, juga milik Geely.

    Kereta-kereta lumba yang dibina dengan spesifikasi FIA TCR ini perlulah diasaskan dari kerangka badan serta menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang sama seperti model produksi jalan raya. Sebab itulah kejohanan ini hanya disertai oleh model-model yang dihomologasikan dari model prestasi sebenar seperti Hyundai Elantra N dan juga Honda Civic Type R.

    Cyan Racing sebelum ini merupakan pasukan lumba yang membawa jenama Volvo dan divisi prestasinya iaitu Polestar sehingga memenangi gelaran juara dunia bagi kategori pemandu dan pengeluar pada World Touring Car Championship (WTCC) 2017.

    Selepas Geely mengasingkan Polestar dari Volvo untuk menjadi jenama kereta sport bebas, Cyan Racing mula berlumba dengan Lynk & Co pada 2019 dengan jentera Lynk & Co 03 TCR. Sepanjang tujuh tahun berlumba, Lynk & Co Cyan Racing berjaya menggondol enam juara dunia kategori pengeluar dan tiga juara dunia kategori pemandu dalam FIA TCR World Tour.

     
     
  • Tak perlu memperkenalkan hukuman mati untuk pemandu mabuk atau bawah pengaruh dadah – Loke

    Tak perlu memperkenalkan hukuman mati untuk pemandu mabuk atau bawah pengaruh dadah – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati pada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi kes membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, laporan Berita Harian.

    Jelas beliau, undang-undang sedia ada sudah membolehkan kes serius didakwa di bawah peruntukan bunuh khususnya Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika bersesuaian. Katanya lagi, Malaysia juga sudah menghentikan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan berat dan kerajaan tidak bercadang memperkenalkannya semula bagi kesalahan seumpama itu.

    “Setakat ini, kerajaan sudah menghentikan hukuman mati mandatori. Jadi, perkara ini bukan dalam pertimbangan kami. Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh APJ bagi memastikan keluarga mangsa menerima pampasan tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang. Apa yang kita pinda adalah untuk memastikan ada pampasan kepada keluarga mangsa. Jika didapati bersalah, selain hukuman penjara dan denda, pesalah juga bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

    Tak perlu memperkenalkan hukuman mati untuk pemandu mabuk atau bawah pengaruh dadah – Loke

    “Kita mengemukakan cadangan ini kerana pada masa ini, saluran untuk keluarga mangsa adalah melalui tindakan sivil yang rumit, mengambil masa dan kos tinggi. Jadi, daripada mereka perlu mengambil tindakan sivil, kita boleh menambah peruntukan dalam undang-undang sedia ada supaya selain hukuman penjara, pesalah juga perlu membayar pampasan itu,” katanya yang turut mengesahkan pindaan terhadap APJ itu akan dibentangkan di Parlimen Jun ini.

    Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata hukuman bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah mungkin perlu diperketatkan lagi, walaupun pindaan dibuat pada 2020.

    Susulan kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah, banyak pihak menggesa supaya kerajaan meminda undang-undang sedia ada termasuklah mempertimbangkan hukuman mati terhadap pesalah berkenaan. Antaranya, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata undang-undang sedia ada gagal menjadi pencegah, merujuk kepada kes kemalangan maut berulang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk insiden di Klang baru-baru ini yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

     
     
  • Aveta VS115 dilancarkan di Malaysia – kapcai 113 cc empat kelajuan, brek dram depan belakang, RM3,488

    Aveta VS115 dilancarkan di Malaysia – kapcai 113 cc empat kelajuan, brek dram depan belakang, RM3,488

    Selain Nova 200 dan Serra 125 yang merupakan skuter, Aveta turut melancarkan model kapcai baru yang diberi nama VS115. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, hitam dan biru, dijual pada harga RM3,488 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan VS115 ini adalah enjin satu silinder penyejukan udara SOHC 113 cc dengan sistem bahan api karburetor, dipadankan bersama tranmisi empat kelajuan (tanpa tuil klac tangan), mampu menghasilkan kuasa 8.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 9.0 Nm pada 6,000 rpm.

    Kedua-dua penghidup elektrik dan tendang disediakan pada motosikal ini dan tangki bahan api berkapasiti empat liter. Seperti yang boleh dilihat pada harganya, VS115 ini adalah sebuah kapcai bajet dan kelengkapannya juga ringkas termasuk brek di kedua-dua roda jenis dram.

    Kemudiannya, suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, manakala di bawah tempat duduk cuma terdapat sedikit ruang kecil untuk peralatan penting.

    Meter adalah jenis analog, sementara berhampiran poket barangan di bawah bahagian pemegang terdapat soket pengecas USB untuk kemudahan pengguna.

     
     
  • Honda Super One – spesifikasi penuh didedah; 64 PS dengan mod Boost 95 PS, 1,090 kg, 205 km WLTP

    Honda Super One – spesifikasi penuh didedah; 64 PS dengan mod Boost 95 PS, 1,090 kg, 205 km WLTP

    HONDA SUPER-N: A NEW EV ICON ON SALE IN THE UK FROM JULY

    Selepas didedahkan sebagai prototaip di Japan Mobilitiy Show (JMS) tahun lalu, Honda kini secara rasmi mengumumkan spesifikasi penuh untuk versi produksi EV kompak Super One yang bakal dijual pada pasaran global tahun ini. Malah untuk pasaran Jepun, tempahannya akan dibuka pada 16 April ini, manakala di UK di mana ia dikenali sebagai Super N jualannya akan bermula pada bulan Julai nanti.

    Seperti yang telah disahkan oleh Honda tahun lalu, Super One ini diasaskan dari platform N Series, iaitu barisan model K-Car Honda di Jepun seperti N-One, N-Box, N-WGN, dan juga EV N-One e: yang baru dilancarkan di Jepun pada Julai 2025.

    Namun untuk versi global ini, ia seakan N-One e: yang disuntik dengan steroid menampilkan keempat-empat fender yang lebih lebar. Ia menghasilkan rupa yang lebih stabil dan garang dan bagi membolehkan ia diberikan jarak trek roda yang lebih lebar, yang tentunya memberikan cengkaman dan kestabilan badan lebih baik. Dengan saiz lebih lebar ini juga, Super One bukan lagi Kei-Car, tetapi Honda meletakkan ia dalam saingan model segmen-A.

    Honda Super One – spesifikasi penuh didedah; 64 PS dengan mod Boost 95 PS, 1,090 kg, 205 km WLTP

    HONDA SUPER-N: A NEW EV ICON ON SALE IN THE UK FROM JULY

    Secara tidak langsung, rupa Super One ini seolah-oleh jelmaan semula bagi model ikonik City Turbo II yang diperkenalkan Honda pada era 80’an. Honda turut menyatakan bahawa pengalir udara yang diberikan pada bahagian hadapan dan belakang hatchback ini bukan sahaja memberikan aspek aerodinamik lebih baik bagi mengurangkan “kesan payung terjun”, malah turut membantu sistem penyejukan untuk beroperasi lebih efisien.

    Rupa luaran Super One ini dilengkapkan dengan lampu-lampu hadapan dan belakang LED dan juga set rim aloi 15-inci dalam kemasan Berlina Black. Untuk model pasaran domestik Jepun, ia boleh dikenali dengan dua penutup port pengecas berada pada bahagian muka. Manakala bagi versi global, ia hanya hadir dengan satu port pengecas CCS2 yang bersifat lebih universal.

    Lima warna badan ditawarkan pada Honda Super One ini antaranya Lime Green dan juga warna hero Boost Violet Pearl, iaitu warna ungu yang diispirasikan dari kilat Blue Jets yang menyambar ke bahagian atas atmosfera.

    Honda Super One – spesifikasi penuh didedah; 64 PS dengan mod Boost 95 PS, 1,090 kg, 205 km WLTP

    Untuk unit rangkaian kuasa, Super One ini masih dibekalkan dengan motor elektrik tunggal yang sama seperti N-One e: biasa, menghasilkan kuasa maksima yang dihadkan dalam undang-undang Kei-Car Jepun iaitu 64 PS serta tork 162 Nm. Namun apa yang berbeza, Super One diberikan butang mod Boost berwarna ungu pada roda stereng yang akan melepaskan kuasa maksima 95 PS.

    Motor elektrik berkenaan memacu roda hadapan, dan apa lagi yang istimewa pada unit rangkaian kuasa Super One ini ia turut dibekalkan dengan sistem Active Sound Control seperti pada Prelude generasi baharu yang menghasilkan bunyi enjin palsu, serta rasa tukaran gear palsu yang tajam (lengkap dengan pedal penukar gear) seolah-olah ia dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan, di mana pada hakikatnya ia juga tidak mempunyai kotak gear seperti kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

    Buat masa ini tiada perincian berkenaan prestasi seperti pecutan 0-100 km/j mahupun kelajuan maksima yang boleh dicatatkan. Honda juga tidak mendedahkan kapasiti bateri yang dibekalkan pada Super One ini, namun ia disahkan boleh bergerak sejauh 205 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Honda Super One – spesifikasi penuh didedah; 64 PS dengan mod Boost 95 PS, 1,090 kg, 205 km WLTP

    Bukan hanya rupanya seakan City Turbo II, Honda juga mendakwa bahawa Super One turut memberikan keseronokan memandu seperti model klasik tersebut. Bagi mendapatkan karekter berkenaan, EV ini dihasilkan dengan berat hanya 1,090 kg, iaitu antara EV paling ringan dalam pasaran.

    Berat tersebut dapat dicapai dengan menggunakan bateri yang kecil, ringan dan nipis yang diposisikan pada bahagian tengah lantai. Honda turut mendakwa bahawa titik graviti Super One ini juga menampilkan ini adalah lebih rendah dari kereta dengan enjin pembakaran bersaiz kompak, membolehkan ia memberikan prestasi pengendalian yang sangat responsif serta memberikan keyakinan kepada pemandu. Suspensi model ini juga telah ditala dan diuji pada pelbagai permukaan jalan raya di UK dan Jepun.

    Pada bahagian dalaman, Super One ini masih menampilkan papan pemuka dengan rupa asas yang sama seperti N-One e:, menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan paparan instrumen digital tujuh-inci.

    Namun versi lebih berkuasa ini tampil dengan rekaan grafik tiga tolok utama pada instrumen digital tersebut untuk bacaan suhu bateri, kuasa dan juga meter RPM palsu sekiranya butang Boost ditekan, dan dilengkapi tempat duduk lebih sporty kemasan hitam-biru-putih dengan sokongan bucket pada bahagian pinggang, seakan rekaan tempat duduk Honda City Turbo II. Dengan menekan butang mod Boost itu juga turut akan menukar nyalaan lampu suasana kabin dari biru kepada ungu.

    Model ini juga datang standard dengan sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara, bersama subwoofer 13.1 liter yang diletakkan pada bawah lantai but belakang.

    Harga bagi Honda Super One ini masih belum diumumkan, namun bagi pasaran UK ia disahkan bakal dijual dengan harga di bawah £20,000 (RM106k). Honda Super One ini juga telah dilihat diuji di jalan raya awam Malaysia pada November tahun lalu, petanda awal bahawa ia turut akan tiba ke pasaran tempatan, termasuk dalam enam model yang dirancang untuk dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini.

    Namun ia mungkin akan menghadapi kesukaran bagi dijual pada harga yang kompetitif di mana kerajaan Malaysia telah menetapkan model-model EV yang diimport sepenuhnya (CBU) perlu dijual pada harga lantai RM250,000 bermula tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026