Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton sudah hantar 2,000 unit X50 facelift 2025 kepada pelanggan tak sampai sebulan dilancarkan

    Proton sudah hantar 2,000 unit X50 facelift 2025 kepada pelanggan tak sampai sebulan dilancarkan

    Ketika mengumumkan kerjasama strategik untuk mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go pada Proton X50 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton turut memberitahu bahawa X50 facelift 2025 kini sudahpun terjual sebanyak 2,000 unit tak sampai sebulan selepas ia dilancarkan pada 24 Julai lalu.

    Sebelum ini Proton telahpun menyatakan bahawa 999 unit X50 facelift ini telahpun diserahkan kepada pelanggan pada akhir bulan lalu, atau tak sampai lima hari bekerja selepas ia dilancarkan. Dalam pengumuman berkenaan prestasi jualannya bagi Julai yang dikeluarkan semalam, Proton menyatakan bahawa tempahan bagi X50 2025 ini telahpun mencapai lima digit, dengan sasaran 5,000 unit akan disiapkan menjelang akhir bulan ini.

    Proton X50 facelift 2025 ini ditawarkan dalam tiga varian, dijual pada harga atas jalan bermula RM89,800 untuk varian 1.5TD Executive, diikuti RM101,800 untuk varian 1.5TD Premium, manakala varian tertinggi 1.5TD Flagship berharga RM113,300

    Ketika pelancarannya Proton turut menawarkan harga pengenalan dengan rebat tunai sebanyak RM4,000 untuk 10,000 unit terawal, menjadikan harga jualan hanya RM85,800 untuk Executive, RM97,800 untuk Premium dan RM109,300 untuk Flagship sebelum 31 Oktober 2025.

    Selain menerima rombakan besar dari segi rupa pada bahagian luaran dan dalaman, X50 facelift ini juga menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin i-GT 1.5TD empat-silinder berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga selinder turbo sebelum ini. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan bahan apinya juga 4.7% lebih jimat.

     
     
  • Harga minyak 14-20 Ogos – diesel untuk semenanjung dan RON97 diturunkan masing-masing 4 sen seliter

    Harga minyak 14-20 Ogos – diesel untuk semenanjung dan RON97 diturunkan masing-masing 4 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 14 hingga 20 Ogos 2025, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 4 sen seliter, menjadi RM3.13 seliter berbanding RM3.17 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia turut diturunkan juga sebanyak 4 sen seliter, kini menjadi RM2.90 seliter, berbanding RM2.94 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak terus dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini

    iCaur Malaysia umum sudah buka hab alat ganti di Shah Alam sebelum model pertama dilancarkan di sini

    Sub-jenama Chery, iCaur hari ini telah mengumumkan bahawa ia telahpun membuka hab komponen alat ganti untuk kenderaan jenama itu di Shah Alam Hicom Industrial Estate. Fasiliti dengan keluasan 88,000 kaki persegi tersebut diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama satu lagi sub-jenama gergasi automotif China tersebut iaitu Omoda | Jaecoo Malaysia.

    Jenama iCaur ini telahpun dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu, namun model pertamanya yang akan ditawarkan ke pasaran tempatan iaitu SUV EV iCaur 03 hanya akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

    “Gudang Chery Corporate Malaysia yang terletak di tengah adalah penting dalam menyokong rangkaian pengedar iCaur yang semakin berkembang, di mana ia tidak lama lagi akan merangkumi tidak kurang daripada 16 rakan kongsi pengedar di seluruh negara, dengan pengembangan selanjutnya dirancang pada 2026,” kata naib presiden iCaur Malaysia, Emily Lek.

    “Semangat falsafah ‘Born to Play’ iCaur bermakna kami juga dilahirkan bersedia. Dengan membina portfolio alat ganti dan komponen kami secara berterusan dan disokong oleh pemain automotif global dengan rantaian bekalan yang mantap, iCaur Malaysia bersedia untuk berkembang bersama rangkaian kami dalam masa yang sama mengukuhkan standard perkhidmatan selepas jualan premium yang diharapkan oleh pelanggan kami yang bijak,” tambahnya.

    iCaur Malaysia memberitahu bahawa sudah terdapat lebih dari 10,000 alat ganti dan komponen dalam inventori hab berkenaan bagi mengukuhkan kesediaannya terhadap servis selepas jualan yang responsif dan cekap menjelang pelancaran iCaur 03 ke pasaran tempatan.

    Kenyataan yang dikeluarkan turut menyebut bahawa fasiliti ini berada di landasan yang betul bagi menyokong servis-servis selepas jualan serantau kerana Chery International sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat bagi model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di ASEAN.

    “Ia turut selari dengan sasaran mobiliti Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 – memajukan teknologi kenderaan generasi seterusnya (NxGV) dan memupuk inovasi dalam ekosistem automotif,” kata kenyataan itu lagi.

     
     
  • Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

    Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

    Hyundai dilapor sedang membangunkan sebuah kenderaan elektrik (EV) kompak dan mampu milik yang dijangka akan dikenali sebagai Ioniq 2 – Autocar UK. Model ini dijangka akan membuat kemunculan sulungnya pada pameran IAA Mobility bulan depan di Munich, yang juga dikenali sebagai Munich Motor Show. Ia dikatakan akan diperkenalkan sebagai kembar kepada model Kia EV2, yang juga sekarang sedang dibangunkan.

    Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Hyundai untuk memperluaskan barisan EV mereka di pasaran Eropah. Kehadiran Ioniq 2 bukan sahaja akan membuka jalan kepada kemasukan ke segmen baru, tetapi juga akan mengisi ruang kosong dalam barisan model sedia ada — khususnya di antara Hyundai Inster dan Kona Electric.

    Berdasarkan imej intip yang tular setakat ini, Ioniq 2 dijangka mempunyai saiz hampir sama dengan Hyundai Bayon, menjadikannya pesaing langsung kepada model seperti Renault 4, Volkswagen ID.2X dan Skoda Epiq yang akan tiba tidak lama lagi. Reka bentuknya dikatakan menyerupai gaya hatchback yang dinaikkan, dengan garis bumbung condong serta jalur lampu LED seakan model Ioniq 6 terkini.

    Hyundai Ioniq 2 dilapor akan buat penampilan di Munich Motor Show bulan depan – kembar Kia EV2

    Setakat ini, maklumat teknikal mengenai sistem janaan kuasa masih terhad. Namun, laporan awal menyatakan bahawa Ioniq 2 akan dibina menggunakan platform E-GMP yang sama seperti model EV lain keluaran Hyundai-Kia. Ini memberi petunjuk bahawa Ioniq 2 mungkin akan hadir dengan konfigurasi pacuan roda hadapan, serta pilihan pek bateri berkapasiti 58.3 kWh atau 81.4 kWh, sama seperti model EV3 yang sedikit lebih besar.

    Hyundai dijangka akan mula menjual Ioniq 2 sekitar suku ketiga tahun 2026, iaitu beberapa bulan selepas pelancaran Kia EV2. Dari segi harga, Ioniq 2 dijangka akan ditawarkan pada paras harga sekitar £25,000, atau kira-kira RM142,000, menjadikannya antara EV paling mampu milik dalam barisan Hyundai setakat ini.

     
     
  • Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    Kalau anda perasan untuk setiap unit Proton X50 facelift 2025 yang baru dilancarkan Julai lalu telah dipasangkan dengan tag RFID dari kilang pada bahagian atas kiri cermin hadapan. Tag tersebut sememangnya tag RFID Touch ‘N Go untuk tujuan pembayaran tol, dan kerjasama strategik untuk mengintegrasikan teknologi RFID Touch ‘n Go ke dalam Proton X50 telah diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua syarikat berkenaan hari ini.

    Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU), di mana di bawah perjanjian ini setiap Proton X50 baharu akan dilengkapi dengan tag RFID Touch ‘n Go terus di barisan pengeluaran di kilang, membolehkan akses lancar ke rangkaian lebuh raya yang menggunakan teknologi RFID di seluruh Malaysia.

    “Ini tentang kepuasan segera,” kata Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd. ketika berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian tersebut yang berlangsung di ibu pejabat Proton Centre of Excellence di Shah Alam.

    Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    “Anda memandu keluar Proton X50 baharu dari bilik pameran dengan RFID yang sudah siap dipasang — begitu sahaja. Ini bukan sekadar mengenai mobiliti pintar; ia mengenai membawa nilai sebenar dan keseronokan ke dalam perjalanan harian.

    “Sebagai dua syarikat tempatan yang dibanggakan, kerjasama ini adalah satu bentuk penghargaan terhadap potensi apabila juara tempatan bekerjasama. Ia digerakkan dengan tujuan untuk mencipta pengalaman yang lebih lancar bagi masyarakat yang menerima perkhidmatan kami, menjadikan mobiliti harian lebih mudah, pantas dan intuitif. Touch ‘n Go berbangga untuk sama-sama mencipta pencapaian ini bersama Proton — untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia,” tambahnya.

    Proton dan Touch ‘N Go tandatangan perjanjian – X50 facelift jadi model pertama terima RFID dari kilang

    Selain X50, Proton turut merancang untuk memasang tag RFID berkenaan pada model-model keluarannya yang lain.

    “Dengan pelancaran model baharu lain yang sedang dirancang, Proton bercadang untuk memperluaskan pemasangan tag RFID Touch ‘n Go kepada model lain bagi menawarkan tahap kemudahan yang lebih baik kepada pelanggan. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, dan kami percaya ini adalah salah satu langkah ke arah mencapai matlamat tersebut,” timbalan CEO Proton Edar, Zhang Qiang.

     
     
  • Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Lotus Cars Malaysia secara rasmi melancarkan barisan model Lotus Emeya 2026 untuk pasaran tempatan, dengan memperkenalkan semula lima varian serta penjenamaan baru untuk model EV berprestasi tinggi ini. Model asas, iaitu Emeya 600, ditawarkan pada harga bermula RM459,000, menjadikannya RM96,000 lebih murah berbanding harga pelancaran model tahun lalu yang bermula pada RM555,000. Varian tertinggi, Emeya 900 Sport Carbon pula ditetapkan pada RM729,000 — RM78,000 lebih rendah berbanding model terdahulu, Emeya R.

    Kelima-lima varian Emeya 2026 hadir dengan sistem pacuan semua roda menerusi konfigurasi dua motor elektrik. Nombor “600” dan “900” pada nama model merujuk kepada kuasa kuda yang ditawarkan setiap varian. Untuk varian Emeya 600, sistem kuasanya menghasilkan 603 hp dan 710 Nm tork, membolehkan kereta ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.15 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j. Ia juga dilengkapi pek bateri 102 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 610 km mengikut kitaran WLTP.

    Sementara itu, varian lebih berkuasa iaitu Emeya 900 pula menawarkan sehingga 905 hp dan 985 Nm tork. Dengan transmisi dua kelajuan, model ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.78 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 256 km/j, manakala jarak pemanduan pula dianggarkan sehingga 485 km. Kedua-dua varian 900 turut menggunakan bateri 102 kWh yang sama seperti varian 600.

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Satu lagi kelebihan penting yang dikongsi semua varian Emeya 2026 ialah sistem pengecasan pantas. Dengan struktur binaan 800 volt, model ini menyokong pengecasan DC sehingga 420 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 15 minit. Ia juga boleh menerima pengecasan AC sehingga 22 kW.

    Dari aspek kelengkapan, Emeya 600 sebagai model asas didatangkan dengan suspensi udara aktif bersama sistem kawalan redaman berterusan (CDC), rim bersaiz 20 inci, sistem tork vectoring menggunakan brek, dan lampu utama LED Matrix. Bahagian dalamannya dilengkapi sistem bunyi premium KEF dengan 15 pembesar suara, head-up display 29 inci, kawalan suhu empat zon serta kemasan fabrik prestasi LotusWear.

    Varian Emeya 600 GT SE pula menambah pakej bantuan parkir automatik dan kawalan parkir jauh, rim aloi 21 inci, sistem brek dengan angkup enam piston, bumbung kaca pintar, but belakang bebas tangan, lampu suasana boleh laras serta plet tepi pintu bercahaya.

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Bagi mereka yang mahukan lebih prestasi dinamik, Emeya 600 Sport SE menawarkan pakej pengendalian dinamik Lotus yang merangkumi anti-roll bar dan sistem stereng roda belakang aktif. Ia juga dilengkapi spoiler belakang, diffuser belakang dan dam udara hadapan aktif. Bahagian dalaman menampilkan tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan, serta pintu dengan sistem tutup lembut (soft-close).

    Beralih ke varian Emeya 900 Sport, model ini menerima transmisi dua kelajuan serta pakej pengendalian dinamik yang sama seperti varian 600 Sport SE. Ia juga dilengkapi spoiler belakang aktif, manakala ruang dalamannya hadir dengan tema fabrik Quartz daripada LotusWear Performance.

    Varian tertinggi dalam barisan ini, Emeya 900 Sport Carbon, tampil lebih agresif dengan pakej gentian karbon luaran merangkumi panel bonet, bahagian tengah dan bawah bampar hadapan, pelapik roda, pintu serta bampar belakang.

    Lotus Emeya diberi kemas kini, harga lebih rendah di Malaysia – Emeya 600 bermula RM459k, 900 RM699k

    Ia turut menerima pakej gentian karbon dalaman yang melibatkan konsol tengah, panel suis pintu, lampu dalaman serta bahagian belakang kerusi. Model ini juga menambah pakej aerodinamik aktif yang merangkumi diffuser belakang dan dam udara hadapan aktif, selain tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan.

    Lotus Cars Malaysia kini menerima tempahan bagi model Lotus Emeya 2026 menerusi cawangan mereka di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang. Penghantaran pertama dijangka akan bermula seawal bulan September ini.

     
     
  • Ford bakal lancar Ranger Wildtrak 3.0L V6 turbodiesel berkuasa 250 PS/600 Nm di Malaysia tak lama lagi?

    Ford bakal lancar Ranger Wildtrak 3.0L V6 turbodiesel berkuasa 250 PS/600 Nm di Malaysia tak lama lagi?

    Laman sesawang Ford Malaysia baru sahaja menyiarkan teaser bahawa ada satu lagi varian trak pikap Ford Ranger akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Berdasarkan kira undur yang dipaparkan pada teaser tersebut, pelancaran tersebut akan dibuat pada lewat bulan ini.

    Teaser tersebut turut memaparkan kapsyen “Kuasa Ditakrifkan Semula”, memberikan gambaran bahawa varian baharu ini akan menampilkan kuasa yang besar. Jadi sekiranya pasaran Thailand dijadikan panduan, ada satu varian Ranger dengan kuasa tinggi yang belum dilancarkan di Malaysia iaitu Ranger Wildtrak V6.

    Bagi varian ini ia menampilkan badan dual-cab dan dipadankan dengan enjin 3.0 liter V6 turbodiesel berkuasa 250 PS pada takat 3,250 rpm dan tork maksima 600 Nm bermula 1,750 rpm. Ia turut digandingkan dengan kotak gear 10-kelajuan automatik serta sistem pacuan empat roda kawalan elektronik, bersama differential tengah aktif bagi mengagihkan tork antara gandar hadapan dan belakang, serta locking differential pada gandar belakang.

    Kawalan elektronik berkenaan menawarkan enam mod pemanduan termasuk Normal, Eco (hanya memacu roda belakang), Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan juga Sand.

    Di Thailand Ranger Wildtrak V6 dijual pada harga 1,519,000 baht (RM197,118). Ia menerima kelengkapan seperti lampu hadapan adaptif LED matriks dengan lampu tinggi automatik, lampu kabus dan lampu belakang LED, pemijik sisi, bar sports, rel bumbung, tray kargo dengan soket kuasa 12-volt dan 230 volt, rim 20-inci dua-tona dengan tayar 255/65R20 dan pelbagai lagi.

    Manakala pada kabin Ranger Wildtrak V6 di Thailand ini diberikan perincian termasuk tempat duduk hadapan larasan elektrik lapan-hala, upholsteri kulit sintetik, sistem pendingin udara automatik dua-zon untuk hadapan dan zon tunggal manual di belakang, serta paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.4-inci.

    Buat masa sekarang Ranger pasaran Malaysia belum menerima varian yang digerakkan oleh enjin V6 turbodiesel ini. Bagi varian-varian yang menggunakan bahan bakar diesel, ia masih menerima enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris EcoBlue turbodiesel sama ada dalam versi turbo tunggal atau turbo berkembar, dengan kuasa bermula 170 PS/405 Nm dan juga 210 Nm/500 Nm.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak V6 3.0L turbodiesel 2024 pasaran Thailand

     
     
  • Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan trade plates – model CKD pertama jenama ini?

    Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

    Xpeng G6 Facelift sekali lagi telah dilihat di Malaysia, kali ini dikesan oleh pembaca paultan.org, Najmi Afiq. Masih dibaluti penyamaran tetapi kini menggunakan nombor pendaftaran perdagangan (trade plates), SUV elektrik yang diberi suntikan lebih segar ini dilihat berhampiran Ampang Waterfront dan memberikan petanda kuat bahawa pelancarannya di pasaran tempatan bakal tiba tidak lama lagi.

    Kami telah berpeluang melihat dengan dekat G6 versi facelift ini di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, yang turut menjadi lokasi Xpeng mendedahkan X9 buatan Indonesia. G6 juga dijangka menjadi model pemasangan tempatan (CKD) seterusnya di negara tersebut, seperti yang dinyatakan oleh pengeluar kereta dari China itu awal tahun ini.

    Bagi pasaran Malaysia, kami dimaklumkan pada bulan Mac lalu, selepas pelancaran X9, sebarang rancangan CKD masih dalam peringkat perbincangan. Ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee Kok Chuan, berkata Bermaz Xpeng selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk membangunkan program CKD, namun tidak mendedahkan model mana yang pertama dipasang di sini.

    Buat masa ini, kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) dikecualikan daripada duti import dan eksais sehingga akhir 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian duti eksais dan cukai jualan sehingga 31 Disember 2027. G6 pada masa ini ialah EV CBU yang berharga antara RM168,820 hingga RM188,820 (masing-masing naik RM3,000 atas jalan tanpa insurans), jadi agak relevan model CKD yang bakal dilancarkan itu akan kekal dengan harga yang lebih kompetitif. Apa pun, adakah G6 akan menjadi model Xpeng versi CKD pertama yang dijual di sini? Buat masa ini, kita hanya mampu membuat spekulasi.

    Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

    Di China, G6 facelift ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RMB176,800 (RM105,000) hingga RMB198,800 (RM118,000). Dua varian pertama dilengkapi bateri 68.5 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 625 km, manakala varian tertinggi menggunakan bateri 80.8 kWh yang mampu memberikan jarak 725 km.

    Ketiga-tiga varian menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 296 PS dan tork 450 Nm yang memacu roda belakang dan menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Jika dibandingkan dengan model sebelum facelift, jarak pemanduan juga berubah seiring dengan kapasiti bateri – sebelum ini 66 kWh dengan jarak 580 km dan 87.5 kWh dengan jarak 755 km.

    Perubahan paling ketara pada G6 facelift adalah pada sistem pengecasannya di mana ia masih menggunakan struktur 800 volt. Namun kadar pengecasan dipertingkat daripada 3C ke 5C yang membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam masa hanya sekitar 12 minit dari 10% ke 80%. Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada versi pacuan semua roda (AWD) akan diperkenalkan di Malaysia atau tidak. Sebagai rujukan, model AWD sebelum ini hadir dengan kuasa 487 PS, tork 660 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi masih belum masuk ke Malaysia.

    Selain daripada model keluarannya, Xpeng turut berusaha mengukuhkan pasukan lokal di Malaysia, apabila menyiarkan iklan jawatan kosong di LinkedIn tiga minggu lalu untuk jawatan sebagai country manager. Walaupun penerangan kerja tersebut tidak menyebut apa-apa berkaitan pemasangan tempatan, ia menyatakan bahawa banyak kerja di peringkat serantau diperlukan.

     
     
  • KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara

    KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara

    Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Oktober ini bagi menambahbaik infrastruktur jalan di seluruh negara terutamanya lebuhraya utama dan jalan persekutuan, laporan Bernama.

    “… itu bukan pertimbangan lagi, boleh dikatakan teras utama yang kami mohon untuk pertambahan peruntukan (dalam Belanjawan) sejak tahun-tahun sudah, sebab memang kita dah buat kajian dan kita memerlukan lebih besar daripada yang kita selalu dapat.

    “Memang kami mengharapkan peruntukan untuk baik pulih, memperbaiki jalan yang sudah rosak dan usang… bukan hanya jalan persekutuan, tetapi juga jalan di seluruh negara perlu diberi perhatian serius,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selaku Menteri KKR.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKR bersama 200 Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya semalam.

    Turut mengulas perancangan kementerian itu dalam menambah baik lebuhraya dan jalan-jalan rosak di seluruh negara termasuk Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan juga, laluan berkenaan yang menghubungkan Gerik dengan Jeli paling memerlukan peruntukan yang lebih untuk memastikan jalan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik. Ini bermakna setiap tahun KKR memerlukan peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi.

    “Setiap tahun di dalam Belanjawan perkara ini memang sentiasa ditegaskan kerana KKR memang berharap peruntukan baiki dan selenggara jalan persekutuan seluruh negara diberi perhatian serius. Ini termasuk memberi peruntukan lebih supaya dapat tingkat usaha pulih keadaan jalan rosak,” katanya.

    Selain itu, beliau juga menjelaskan pihaknya turut menerima pelbagai pandangan, teguran dan cabaran. Ia termasuk cabaran kos pembinaan yang semakin meningkat dan akan kemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.

    “KKR komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasakan selaras aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat. Input daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Belanjawan 2026 dapat menangani cabaran dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah lebih lestari dan berdaya saing,” katanya yang dijangka bertemu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 22 Ogos ini.

     
     
  • BYD Seal 2025 muncul dalam teaser untuk Malaysia — kemaskini suspensi, rim baru; bakal dilancarkan

    BYD Seal 2025 muncul dalam <em>teaser</em> untuk Malaysia — kemaskini suspensi, rim baru; bakal dilancarkan

    BYD Malaysia telah menunjukkan iklan teaser bagi model Seal dalam satu hantaran Facebook terbaru, dan itu menjadi petunjuk bahawa versi EV tersebut yang dikemaskini akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

    Seal 2025 mula dijual di Singapura pada April tahun ini, melibatkan kemaskini spesifikasi seperti ruang barangan “frunk” di depan yang lebih besar, kini dengan 53 liter (naik tiga liter), serta rim dengan rekaan baru dan juga pelindung matahari di bumbung larasan elektrik.

    Suspensi Seal 2025 juga diberi peningkatan dengan sistem penyerap hentak adaptif DiSus-C, seperti yang dilihat dilakukan di Singapura dan Indonesia. Versi berbeza bagi sistem yang sama juga sudah ditawarkan untuk Denza D9 yang dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu.

    Seal 2025 dengan kemaskini mungkin akan hadir dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, sama seperti penawarannya ketika ini. Sebagai rujukan, di Singapura, varian Dynamic dilengkapi motor di belakang dengan janaan 136 PS/310 Nm, dan dikuasakan oleh bateri 61.44 kWj yang memberikan jarak sehingga 460 km WLTP.

    Seterusnya varian Premium, dengan motor elektrik 313 PS/360 Nm dan kuasa dibekalkan oleh bateri 82.56 kWj yang memberikan jarak sehingga 570 km WLTP. Varian paling tinggi, Performance pula dilengkapi dua motor dengan unit janaan 215 PS/310 Nm di depan sementara unit janaan 313 PS/360 Nm di belakang. Output gabungannya memberikan janaan 530 PS dan 670 Nm, dengan bateri 82.56 kWj dan jarak 520 km WLTP.

    Semua varian ini boleh dicas 30%-80% dalam masa 32 minit, manakala varian asas Dynamic mampu menampung pengecasan DC 100 kW dan hingga 7 kW untuk AC — untuk AC, cas dari 0-100% adalah dalam masa 8.6 jam. Bagi varian dengan bateri lebih besar pula, pengecasan DC boleh dilakukan hingga 150 kW dan AC hingga 7 kW, membolehkan pengecasan dari 0-100% dalam masa 15.2 jam bagi AC.

    Merujuk kepada model yang dijual di Singapura, Seal 2025 datang dengan sembilan beg udara, sistem kamera 360-darjah, sensor parkir depan dan belakang, Isofix, ACC, AEB, amaran penukaran lorong dan penghindaran, serta bantuan mengekalkan lorong.

    Selain itu ada juga amaran perlanggaran depan, pengesan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan brek, maklumat penghad kelajuan pintar, pengesan titik buta, amaran bukaan pintu, bantuan lampu tinggi dan head-up display.

    Di Malaysia, model BYD Seal ketika ini dijual dengan harga dari RM163,800 (Dynamic), RM179,800 (Premium) dan RM199,800 (Performance) — semua ini harga jualan, bukan harga atas jalan.

    BYD Seal 2025 Singapura

     
     
  • Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah

    Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah

    Pernah dengar tentang pembiayaan anjal (“agility financing”) yang biasanya ditawarkan oleh jenama-jenama pengeluar kenderaan premium? Ia merupakan sebuah skim pembiayaan kenderaan yang fleksibel. Kini, Perodua dan Maybank telah bekerjasama untuk memberikan pelan pembiayaan anjal patuh syariah yang pertama di Malaysia — dikenali sebagai Perodua Flexiplan, yang menggunakan pendekatan yang sama daripada Drive Financing-i oleh Maybank Islamic.

    Ini merupakan produk pembiayaan yang pertama seumpamanya ditawarkan bagi kedua-dua syarikat (dan juga yang melibatkan bank komersial, kerana Mercedes-Benz dan BMW mempunyai cabang pembiayaan sendiri), pelan pembiayaan ini disifatkan sebagai “pembiayaan kenderaan Murabahah yang sangat kompetitif, menawarkan bayaran bulanan lebih berpatutan bagi tempoh lima tahun pertama”.

    Selain bayaran muka dan ansuran bulanan yang lebih rendah, pelan ini juga memberi kelebihan lain seperti belian semula kenderaan oleh Perodua “dengan harga lebih berpatutan berbanding nilai pasaran” bagi pembelian model baru Perodua.

    Ini adalah seperti jaminan nilai masa depan yang turut biasa ditawarkan oleh jenama premium. Tentunya, semua ini tertakluk kepada terma dan syarat, jadi ia akan melibatkan had tempoh waktu dan kereta perlu diserahkan semula dalam keadaan yang boleh diterima, jadi pelanggan perlu memastikan perkara ini sekiranya mereka ingin memanfaatkannya.

    Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah

    Bagi pemulangan kenderaan selepas mencecah usia lima tahun, pelanggan akan diberi pilihan untuk trade-in kereta mereka dengan model baru, dengan nilai jualan tersebut akan digunakan untuk tujuan bayaran muka bagi tempoh lima-tahun ke depan. Namun, jika ingin menyimpan kereta tersebut, pelanggan hanya perlu menyelesaikan baki pembiayaan yang tersisa untuk tempoh hingga empat tahun ke depan di bawah pelan bayaran semula yang dikemaskini.

    Model Perodua yang terlibat dalam Perodua Flexiplan ini ialah Myvi, Axia (tidak termasuk Axia E “Rahmah”), Ativa dan Aruz. Alza tidak termasuk kerana menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, MPV berkenaan masih mempunyai senarai menunggu yang panjang untuk dipenuhi oleh Perodua. Begitu juga dengan Bezza, ia juga belum termasuk dalam senarai ini.

    Perodua Flexiplan disifatkan akan memperkaya ekosistem penyelesaian pembiayaan patuh syariah bagi pemilik kenderaan Perodua, yang turut termasuk takaful komprehensif Perodua Total Protect Plus oleh Etiqa — yang datang dengan perlindungan bencana tambahan RM5,000 — serta “Credit Reducing Term Takaful” sebagai perlindungan tambahan untuk pelanggan.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 16 Ogos sempena Karnival Belia Bentong 2025 di Bentong, Pahang

    Polis beri 50% diskaun saman pada 16 Ogos sempena Karnival Belia Bentong 2025 di Bentong, Pahang

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 16 Ogos ini. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Karnival Belia Bentong 2025. Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang bakal dibuka dari jam 8 pagi hingga 4 petang di lokasi acara iaitu di Taman Ujana, Bentong, Pahang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Bentong atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Pusingan ketiga musim ke-lapan perlumbaan one-make Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival Malaysia telah pun berakhir hujung minggu lalu, dan seperti dijangkakan persaingan untuk merebut mata bagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan telah menyajikan aksi perlumbaan yang cukup sengit bagi ketiga-tiga kelas yang dipertandingkan.

    Perlumbaan ini dilangsungkan sekali dengan Pusingan ke-3 Kejohanan Touring Car Malaysia (MTCC) dan juga Pusingan ke-4 Thailand Super Series. Jadi seperti pusingan ke-2 yang berlangsung bersama perlumbaan Super GT pusingan Malaysia, Vios Challenge akan sekali lagi dilangsungkan dalam litar penuh SIC sejauh 5.543 km satu lap dalam format separa-endurance selama satu jam, dengan ketiga-tiga kelas dilepaskan serentak.

    RACE 1

    Kelas Super Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Pusingan ketiga ini menyaksikan pelumba muda Amer Harris kembali berlumba, dan terus membuktikan kepakarannya di Litar Antarabangsa Sepang ini dengan mencatatkan masa terpantas ketika sesi kelayakan, kemudian memimpin perlumbaan dari mula sehingga berkibarnya bendera penamat tanpa dicabar oleh pemandu kelompok di belakang, walaupun menghadapi masalah transmisi.

    “Saya dapat rentak yang baik sepanjang perlumbaan dan cuba mendahului dengan lebih jauh di mana pada satu ketika saya berada 2.9 saat di hadapan pelumba Axle Sport Aman Nagdev tetapi pada pertengahan perlumbaan saya menghadapi masalah transmisi, bermakna saya perlu melakukan semuanya bagi memastikan kereta dapat dipandu hingga habis. Akhirnya saya melepasi garisan penamat dengan hanya berada satu saat di hadapan,” kata Amer yang memandu untuk pasukan KMS 333 Motorsports.

    Walaupun terlepas pusingan pertama dan kedua kerana menumpukan perhatian pada perlumbaan yang disertai di luar negara, Amer masih berharap agar dia dapat menghabiskan musim ini di kedudukan lima terbaik kerana pusingan kali ini menawarkan mata berganda berbanding pusingan lain.

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Ketika Amer berada di hadapan dengan aman, situasi untuk merebut kedudukan kedua dan ketiga tidak berlangsung dengan tenang. Drama bermula seawal pelumba dilepaskan apabila pelumba pasukan Laser Motor Racing, Eddie Lew merempuh tembok keselamatan pada laluan lurus utama SIC, setelah ditolak dari belakang ketika semua pelumba berebut mendapatkan kedudukan terbaik sebelum tiba ke selekoh pertama.

    Dalam kekecohan tersebut beberapa pelumba dapat menyelinap bagi mendapatkan kedudukan lebih baik seperti Aman Nagdev yang berjaya meluru ke kedudukan kedua, diikuti Freddie Ang dari petak keempat berjaya naik ke tempat ketiga dan pendahulu kejuaraan musim ini Mitchell Cheah yang bermula di petak ke-11 berjaya ke hadapan dengan berada di tempat kelima. Ada juga pelumba yang tidak bernasib baik seperti Ady Raimy yang bermula di grid kedua, ketinggalan berada di kedudukan keempat.

    Perlumbaan tamat dengan Aman Nagdev berjaya kekal di tempat kedua, manakala Freddie Ang juga dapat kekal di tempat ketiga. Mitchell Cheah pula berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat walaupun diasak bertubi-tubi oleh pelumba pasukan Wheelcorp iaitu Nabil Azlan.

    Kelas Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Walaupun dilepaskan bersama dengan kategori Super Sporting, drama yang berlaku dalam persaingan kategori Sporting ini menyebabkan kamera perlumbaan sering memberikan sorotan pada kelas untuk pemandu amatur ini. Ia bermula dengan persaingan untuk merebut tempat pertama antara Nick THZ dari pasukan Sokudo Racing by ES Yang dan Justin Toh dari pasukan BAE Racing by ES Yang di belakangnya.

    Pada lap-12, persaingan antara kedua-dua pelumba ini menjadi semakin di luar kawalan apabila kedua-duanya saling melanggar dan menghimpit sesama sendiri. Kemuncak drama ini terjadi di selekoh ke-9 apabila Justin Toh menolak Nick THZ dari belakang dan kemudian terbabas serta berpusing di atas rumput.

    Justin Toh berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti oleh pendahulu kejuaraan iaitu Jwan Hii di tempat kedua. Namun selepas itu kemenangan untuk Toh dibatalkan kerana insiden dengan Nick THZ, membolehkan Hii sekali lagi menang serta melebarkan jarak pungutan mata keseluruhan. Keputusan yang menimpa Toh juga membolehkan pelumba simulator Taj Izrin Aiman naik ke tempat kedua, dan Dato’ Ken Foo naik ke tempat ketiga.

    Kelas Rookie

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Dalam kelas yang disertai oleh peserta program pembangunan pelumba muda Toyota Gazoo Racing Malaysia ini menyaksikan Harkiesh Geeva mendominasi keseluruhan perlumbaan dengan berada sepenuhnya di hadapan dan berada di tempat ke-20 secara keseluruhan.

    Harkiesh meninggalkan Ian James di tempat kedua dengan kelebihan 13 saat di hadapan. Manakala James pula terpaksa bertarung dengan Justin Rahul Dev yang menyaksikan kedudakan antara mereka bertukar beberapa kali, tetapi akhirnya ia berpihak kepada James dan Dev terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

    RACE 2

    Kelas Super Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Menerusi kaedah grid terbalik berdasarkan keputusan Race 1, Race 2 yang berlangsung pada hari Ahad ini menyaksikan ia dipimpin oleh Najiy Ayyad dari pasukan Modern Racing ketika bermula. Mitchell Cheah yang bermula dari petak ke-3 bijak mengambil peluang apabila berjaya meluru ke tempat kedua ketika keluar dari selekoh kedua, memintas Freddie Ang.

    Asakan demi asakan menyaksikan Najiy Ayyad hanya bertahan sebagai pendahulu perlumbaan sehingga lap ke-2, dan selepas itu Mitchell Cheah terus memimpin perlumbaan hingga ke garisan penamat. Kedudukan kedua milik Freddie Ang manakala ketiga milik Aman Nagdev, menyaksikan pelumba dari India tersebut mendapat satu lagi kedudukan podium dalam pusingan ketuga ini.

    Dengan kemenangan ini membolehkan Cheah terus berada ditempat pertama carta pungutan mata dan diekori rapat oleh Freddie Ang. Namun tugas berat menanti Cheah pada pusingan keempat nanti dia terpaksa membawa beban sehingga 50kg kerana kemenangan yang telah dicapai pada perlumbaan kali ini.

    Kelas Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Justin Toh yang dibatalkan penyertaannya pada Race 1 turut tidak dibenarkan untuk berlumba dalam Race 2 kelas Sporting. Kali ini pelumba-pelumba yang memulakan perlumbaan dari kelompok belakang berjaya mendaki kedudukan masing-masing, menyaksikan dua pelumba graduan kelas Rookie iaitu Adam Mikail dari pasukan G-Mart Motorsport dan Sharique Zulqarnain dari pasukan FIA Boulevard Racing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.

    Walau bagaimanapun penyertaan Sharique terpaksa dibatalkan selepas jenteranya diperiksa dan didapati tidak berada pada berat minima yang disyaratkan. Ini membolehkan Dato’ Ken Foo naik ke tempat kedua, dan pelumba Thailand Varunchit Wattanathanakun dari pasukan RUK Team Nexzter PMC 52 dihadiahkan posisi tempat ketiga.

    “Saya tidak bernasib baik ketika memulakan Race 2 kerana saya tidak dapat menamatkan Race 1 dan bermakna saya terpaksa bermula dari belakang grid. Sejujurnya, saya mengalami masa yang agak sukar untuk mengekalkan rentak dan masa pusingan yang konsisten sepanjang perlumbaan tetapi syukur saya masih berjaya membawa kereta kembali ke kedudukan atas,” kata Adam.

    Kelas Rookie

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Akibat pelanggaran yang berlaku dengan pelumba dari kelas Sporting di awal perlumbaan menyebabkan Harkiesh Geeva yang sedang mendahului berpusing dan kemudian kembali ke pit untuk menukar tayar yang pancit. Insiden tersebut turut menyebabkan dua pelumba Rookie iaitu Aydan Khaliq dan Genevieve Ooi turut masuk ke pit untuk membuat pembaikan ringkas.

    Ini membolehkan Ian James memenangi perlumbaan ini, diikuti Justin Rahul Dev di tempat kedua. Harkiesh yang tidak berputus asa masih menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

    “Saya benar-benar gembira dengan keputusan untuk Race 2. Kereta terasa sempurna, saya tidak mengalami sebarang masalah mekanikal. Pengurusan tayar dalam perlumbaan ini bagaimanapun, adalah isu besar bagi saya, terutamanya dalam keadaan panas ini, yang kemudiannya diterjemahkan kepada banyak berlaku understeer dan itu sesuatu untuk saya tangani untuk perlumbaan masa depan,” kata Ian.

    TGR Vios Challenge Malaysia musim ke lapan ini akan diteruskan untuk pusingan terakhir yang dijadualkan akan berlangsung pada Januari tahun hadapan. Namun penganjur perlumbaan ini iaitu UMW Toyota masih belum mengumumkan tarikh dan juga tempat sebenar perlumbaan itu akan berlangsung.

     
     
  • Xpeng X9 REEV – perincian awal model hibrid pertama Xpeng didedah, enjin 1.5L sebagai range extender

    Xpeng X9 REEV – perincian awal model hibrid pertama Xpeng didedah, enjin 1.5L sebagai range extender

    Maklumat lanjut berkenaan model terbaru Xpeng, iaitu X9 REEV (range-extended electric vehicle), telah didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) sebelum pelancaran rasminya berlangsung suku keempat tahun ini.

    Sebelum ini, Xpeng memberikan petunjuk kehadiran X9 REEV melalui platform Weibo. Menurut syarikat itu, lebih 1,000 unit kenderaan ujian telah digunakan dalam program pembangunan, merentasi 20 negara dan 330 bandar di seluruh dunia selama lebih 800 hari.

    Secara keseluruhan, ujian tersebut melibatkan jarak pemanduan melebihi 20 juta kilometer. Kenderaan ujian tersebut turut memaparkan angka ‘450’ pada pintu mereka, yang dipercayai merujuk kepada jarak pemanduan elektrik sepenuhnya bagi model ini.

    Xpeng X9 REEV – perincian awal model hibrid pertama Xpeng didedah, enjin 1.5L sebagai range extender

    Berdasarkan dokumen MIIT, X9 REEV mempunyai dimensi panjang 5,316 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dan jarak antara roda 3,160 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih panjang berbanding model X9 EV yang berukuran 5,293 mm, namun semua dimensi lain kekal sama.

    Dari segi sistem kuasa, X9 REEV yang seberat 2,750 kg ini mampu mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Ia turut dilengkapi enjin 1.5 liter yang menghasilkan kuasa 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan berfungsi sebagai penambah jarak (range extender). Model ini akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) yang dibekalkan oleh CALB (China Aviation Lithium Battery).

    X9 REEV bakal menjadi model hibrid pertama daripada Xpeng, berkemungkinan besar menggunakan sistem Kuasa Elektrik Super Kunpeng yang pernah diperkenalkan semasa acara AI Day tahun lalu. Sistem ini dikatakan mampu menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 430 km dan sehingga 1,400 km apabila digabungkan dengan penggunaan enjin range extender. Selain itu, sokongan pengecasan pantas 5C membolehkan baterinya dicas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 12 minit.

     
     
  • BYD dan Denza bakal melepasi jualan 20,000 EV di Malaysia; pakej RM5k Denza D9 sepanjang Ogos ini!

    BYD dan Denza bakal melepasi jualan 20,000 EV di Malaysia; pakej RM5k Denza D9 sepanjang Ogos ini!

    Sejak diperkenalkan pada penghujung 2022, BYD semakin melakar kedudukan yang kukuh dalam pasaran tempatan, dan telah menjadi jenama EV #1 di Malaysia. Syarikat ini juga bakal meraikan pencapaian jualan ke 20,000 unit kereta elektrik di Malaysia tidak lama lagi, yang termasuk MPV elektrik Denza D9 yang mewah.

    Bagi raikan pencapaian yang mengkagumkan ini, Denza kini menawarkan pakej keraian eksklusif RM5,000* baharu dengan setiap pembelian Denza D9 sepanjang bulan Ogos. Ini memberikan lebih nilai tambah kepada model berkenaan, dan menjadikan sekarang adalah masa terbaik untuk memiliki D9.

    Bukan sekadar harganya yang telah meletakkan Denza D9 di kedudukan paling atas segmen MPV EV premium. Rekaan dalaman yang mewah juga menjadi satu daripada kekuatannya, terutama di tempat duduk barisan kedua dengan kerusi individu larasan kuasa ala kelas perniagaan yang lengkap dengan fungsi urutan 10-titik, rebahan dengan hanya satu sentuhan, serta skrin sentuh yang tersedia di bahagian perehat lengan.

    Bagi kenyamanan penumpang belakang, Denza D9 tidak hanya menawarkan kawalan pendingin berasingan, tetapi juga menyediakan peti sejuk untuk menyimpan minuman. Dengan panjang melebihi 5.2 meter, Denza D9 menawarkan ruang yang luas untuk seisi keluarga dan barangan mereka, termasuk di bahagian kerusi barisan ketiga yang menyediakan 410 liter ruang barangan walaupun dengan semua kerusi ditegakkan.

    Penumpang depan juga lebih selesa dengan adanya paparan instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen 15.6-inci, kawalan suara “Hi Denza”, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta pengecas tanpa wayat 50-watt. Denza D9 juga turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan canggih — termasuk pemanduan semi-autonomous Tahap 2 — serta penyerap hentak adaptif Disus-C untuk lebih keselesaan dan kelancaran pemanduan.

    Jarak perjalanannya juga jauh — dengan kuasa yang dibekalkan oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 103.6 kWj — yang membolehkan Denza D9 mencapai jarak hingga 600 km melalui satu cas mengikut kitaran NEDC. Pelanggan boleh memilih antara varian Advanced FWD dan Premium AWD; varian kedua ini menawarkan sehingga 374 PS dan 470 Nm tork. Setiap Denza D9 diberi jaminan enam-tahun* dan jaminan lapan-tahun untuk bateri dan komponen janaan motor* untuk kelegaan fikiran pemiliknya.

    BYD dan Denza bakal melepasi jualan 20,000 EV di Malaysia; pakej RM5k Denza D9 sepanjang Ogos ini!

    Jika semua perkara ini membuatkan anda lebih teruja untuk memilikinya, segeralah bertindak kerana pakej keraian eksklusif RM5,000 ini hanya ditawarkan untuk tempoh terhad. Anda boleh mencuba sendiri Denza D9 dan mendapatkan pakej ini dengan cara berkunjung ke siri jelajah premium di seluruh negara seperti di lokasi berikut:

    • IOI City Mall, Putrajaya: 20-24 Ogos
    • East Coast Mall, Kuantan: 21-24 Ogos
    • Sunway Velocity, KL: 21-24 Ogos
    • Straits Quay Marina, P. Pinang: 21-24 Ogos
    • atau di bilik pameran Denza berdekatan anda

    Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Denza Malaysia.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025