mazda-vx1-fl-front

Nampak gayanya bukan MPV Proton-Suzuki sahaja yang akan rebadged Suzuki Ertiga. Malah Mazda juga melakukan perkara yang sama untuk pasaran Indonesia dan MPV tersebut dinamakan sebagai VX-1. Suzuki Ertiga telah dipertingkatkan pada tahun lalu, dan kini tiba pula giliran Mazda VX-1 untuk hadir dengan versi facelift.

Imej yang disiarkan menerusi laman web Autonetmagz ini menunjukkan Mazda VX-1 facelift yang nampak seiras dengan Ertiga FL dari bahagian hadapan. Walau bagaimana pun, VX-1 ini bukanlah seperti Ertiga facelift standard (bukan juga Dreza) kerana terdapat beberapa elemen tambahan, termasuk lampu belakang merah dan palang krom yang lebih tebal di bawah plat nombor. Ia membuatkan imejnya lebih segar, malah turut menampilkan cermin sisi boleh laras secara automatik dengan lampu isyarat membelok dan pengesan parkir belakang.

Pada bahagian kabinnya, terdapat beberapa elemen baharu dan dipertingkatkan termasuk head unit baharu, cermin auto pada bahagian pemandu dengan anti-penahan, penapis pada penghawa dingin, punca kuasa pada barisan tengah dan barisan ketiga yang boleh dilipat secara 50:50.

Klik untuk besarkan imej

Daripada sudut mekanikal, tiada perubahan. Ia masih menggunakan enjin Suzuki yang sama iaitu K14B 1.4 liter yang mampu memberikan kuasa 92 PS dan tork 130 Nm. Turut dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Harga yang ditawarkan adalah bermula Rp.200.5 juta (RM62,610) hingga Rp.221.5 juta (RM69,168).

Apa pendapat anda dengan VX-1 dan Ertiga? Ini adalah soalan yang saling berkait memandangkan MPV bajet itu bakal berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan logo Proton, iaitu hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki. Malah Proton juga telah mengumumkan model kerjasama pertama Proton-Suzuki akan memasuki produksi sebelum tahun 2016 berakhir.

Pada Januari lalu, juga telah sah Ertiga akan dieksport ke Malaysia dari Indonesia, untuk proses pemasangan tempatan mulai suku kedua (Q2) 2016. Malah produksi untuk CKD ini akan bermula pada Mei ini, dengan jumlah yang disasarkan sebanyak 1,500 unit sebulan. Baca mengenai ‘Proton Ertiga’ di sini.

GALLERY: “Proton Ertiga” renderings


GALLERY: Suzuki Ertiga facelift at GIIAS 2015