Hyundai perkenal Limosin Genesis EQ900L di Korea

Genesis-EQ900L-1_BM

Hyundai telah memperkenalkan limosin Genesis EQ900L untuk pasaran domestik Korea Selatan. Huruf ‘L’ pada namanya diberikan sempena status limosinnya menampilkan badan EQ900 yang lebih panjang.

Genesis EQ900 atau dikenali sebagai Genesis G90 di Amerika merupakan sedan mewah Korea Selatan yang bersaing dengan Mercedes-Benz S-Class, BMW 7 Series dan Audi A8. Ukuran asal EQ900 yang mempunyai panjang 5,205 mm, 1,915 mm lebar dan jarak roda sepanjang 3,160 mm, telah di ‘tarik’ sepanjang 290 mm pada bahagian tiang-B dan pintu belakang untuk menghasilkan model EQ900L ini. Ini memberikan ruang yang sangat luas dibahagian belakang, bagi memastikan keselesaan untuk para ‘Bos’ duduk di bahagian tersebut.

Genesis-EQ900L-3_BM

Dengan panjang keseluruhan 5,495 mm, EQ900L adalah lebih panjang dari X222 Mercedes-Maybach. Jika diukur pada jarak rodanya pula, ia kini berukuran 3,459 mm, 85 mm lebih panjang dari Maybach yang diasaskan dari Mercedes S-Class tersebut.

Genesis versi EQ900 sudahpun disediakan opsyen konsol tengah yang panjang memenuhi bahagian belakang. Menerusi versi EQ900L ini, ia didatangkan standard menempatkan dua buah tempat duduk individu dibelakang larasan berkuasa empat hala, dan boleh diset semula ke kedudukan asal dengan hanya satu butang, persis tempat duduk kapal terbang kelas business.

Genesis-EQ900L-2_BM

Kluster yang besar menempatkan pelbagai suis kawalan sistem infotaimen diletakkan diantara tempat duduk tersebut, untuk mengawal skrin yang diletakkan pada tempat duduk hadapan. Tiang-B yang dipanjangkan menempatkan lampu ‘mood’, poket peta dan juga liang penghawa dingin (turut dilengkapi dibelakang perehat tangan hadapan). Keseluruhan bahagian dalaman limosin ini menampilkan kemasan tema kayu gelap dan dibaluti kulit hitam semi aniline, memberikan suasana kelas business sebenar.

Berbeza dengan EQ900 yang boleh dipilih dengan tiga opsyen enjin iaitu 3.8 liter GDi V6 (315 PS), 3.3 liter T-GDi V6 (370 PS) dan 5.0 liter GDi V8, EQ900L hanya disediakan dengan enjin V8 berkuasa 425 PS dan kesemua kuasa tersebut dialirkan ke keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda. Ia juga dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan cermin sisi bersalut krom.

Genesis EQ900L dijual pada harga 150.2 juta won (RM522,859), berbanding EQ900 V8 standard yang dijual pada harga 114.9 juta won (RM400,079).

GALERI: Hyundai Genesis EQ900 spesifikasi Korea

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required