IIHS

Institut Insurans Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) di Amerika Syarikat, telah melakukan kajian terhadap lampu utama yang melibatkan lebih 30 jenama kereta bersaiz sederhana. Ia bagi menentukan penilaian penarafan baharu bagi lampu kenderaan yang didorong oleh faktor kebanyakan pemandu sukar melihat semasa memandu pada waktu malam dan ia bukan disebabkan oleh penglihatan mereka.

Menurut kajian tersebut, daripada lebih 30 jenama kenderaan yang terlibat, hanya satu model sahaja yang didapati mendapat penarafan yang baik. Iaitu daripada jumlah keseluruhan tersebut, satu pertiga hanya mendapat penarafan ‘boleh diterima’, satu pertiga lagi ‘antara boleh dan tidak’ dan bakinya adalah ‘sangat lemah’.

Di mana Toyota Prius V menjadi satu-satunya model yang mendapat penarafan paling baik daripada keseluruhan 30 kenderaan yang diuji. Prius V menggunakan lampu utama LED dan ia berupaya menerangi jalan lurus yang mencukupi untuk melihat pejalan kaki, penunggang basikal atau halangan lain dalam jarak 118 meter di hadapan. Pada jarak tersebut, biasanya kenderaan akan bergerak selaju 112 km/j dan mempunyai masa yang cukup untuk berhenti dari melanggar halangan tersebut.

Kajian yang sama turut dilakukan terhadap BMW 3 Series namun didapati model ini cuma menerangi jalan sejauh 39 meter. Pada jarak itu, sebuah kenderaan sepatutnya tidak boleh bergerak melebihi 56 km/j untuk masa berhenti yang cukup.

IIHS_4

Kajian yang sama turut mendapati model kenderaan mewah tidak semestinya dilengkapi dengan lampu utama yang baik.

IIHS membuat kajian lampu tinggi ini di trek iaitu dalam keadaan gelap. Peranti khas digunakan untuk mengukur jarak pencahayaan dari lampu rendah hingga lampu tinggi dengan kenderaan dipandu dalam lima keadaan jalan iaitu laluan lurus, laluan selekoh kiri tajam, laluan selekoh kanan tajam, selekoh kiri berbengkang-bengkok dan selekoh kanan berbengkang-bengkok.

Kesan silau daripada kenderaan yang datang dari arah hadapan turut diukur iaitu dari lampu rendah dengan senario pemanduan yang sama bagi memastikan ia tidak berlebihan.

Lampu utama yang diuji adalah diterima daripada pihak pengedar. Walaupun lampu utama pada kebanyakan kenderaan boleh dilaraskan, namun IIHS tidak mengubah sasaran lampu tersebut kerana tidak semua pemandu melakukannya dan sesetengah pengeluar kenderaan juga ada menasihati pengguna supaya tidak berbuat demikian.

Selepas kenderaan terbabit diuji di trek, jurutera IIHS yang terlibat akan membuat perbandingan antara ukuran jarak penglihatan dan kesan silau untuk mengenal pasti sistem lampu utama yang lebih ideal dan menggunakan satu skim demerit bagi menentukan penarafan.

Keputusan ujian mendapati, lampu rendah lebih berat berbanding lampu tinggi kerana ia sering kali digunakan. Malah laluan lurus juga lebih berat berbanding jalan berselekoh kerana kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada jalan lurus.

Manakala kenderaan yang dilengkapi dengan bantuan lampu tinggi, biasanya secara automatik akan menukar antara lampu tinggi-rendah mengikut keadaan jalan. Begitu juga dengan kenderaan yang dilengkapi dengan sistem anti-silau dalam apa jua keadaan jalan, tidak menerima sebarang rating dengan jumlah markah melebihi margin.

Menurut IIHS, tahap pencerahan lampu kenderaan adalah penting kerana ia memberikan impak yang tinggi terhadap pemanduan khususnya pada waktu malam. Malah di negara berkenaan, dianggarkan separuh daripada 32,000 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu sering berlaku pada waktu fajar, senja mahu pun malam iaitu disebabkan jarak penglihatan yang rendah.