Video yang disiarkan ini hanyalah sebuah video produk terbaharu mempromosikan Honda Civic 2016, menampilkan varian 1.8 liter tanpa induksi paksaan menentang varian 1.5 liter VTEC Turbo di litar. Walaupun bukan perlumbaan sebenar, video ini tetap menarik dengan menghidangkan aksi kejar-mengejar kedua-dua buah Civic tersebut di litar Buriram, Thailand.

Ia bukan pelumbaan sebenar, jadi kita tentu tahu jika kedua-dua buah Civic ini berlumba, tentulah varian 1.5 liter VTEC Turbo yang berkuasa 173 hp/220 Nm boleh menewaskan dengan mudah varian 1.8 liter NA yang berkuasa 141 hp/174 Nm. Civic 1.5 VTEC Turbo ini juga telah dibuktikan lebih berkuasa dari varian 2.4 liter NA generasi terdahulu oleh pengeluar kotak komputer berprestasi tinggi dari Amerika – Hondata, menerusi video yang disiarkan oleh mereka Februari lalu.

Honda Civic 2016 telah dilancarkan di Thailand bulan lalu semasa berlangsungnya Bangkok International Motor Show. Ia hadir dengan empat varian untuk pasaran Thailand yang terdiri daripada 1.8 E, 1.8 EL, Turbo dan Turbo RS serta turut ditawarkan dengan aksesori Modulo.

Civic-Thai-Duel

Pada bahagian luaran, sedan ini dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED secara standard. Varian 1.8 EL ditambah dengan lampu kabus dan pemegang pintu krom. Model Turbo dan Turbo RS pula dilengkapi dengan roda aloi 17-inci (model 1.8L dilengkapi dengan roda aloi 16-inci) dan dua tip ekzos. Manakala untuk varian tertinggi Turbo RS pula ia dilengkapi dengan lampu hadapan LED, lampu kabus LED, bampar dan gril hadapan lebih sporty dan juga spoiler belakang.

Pada bahagian dalaman pula, sistem kunci pintar dengan butang suis penghidup adalah standard untuk semua varian bersama butang penghidup enjin kawalan jauh. Varian asas 1.8 E dilengkapi dengan penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi, brek parkir elektronik, skrin paparan lima-inci dan juga hubungan Bluetooth. Ia turut menerima tempat duduk fabrik berwarna beige.

Varian 1.8 EL pula ditambah dengan kawalan kelajuan, lampu hadapan automatik, kunci automatik Walk Away, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, balutan kulit, skrin paparan instrumen TFT LCD, skrin sesentuh sistem infotainmen tujuh-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free, lapan pembesar suara dan juga kamera undur.

Honda-Civic-Thai-Grades_BM

Varian Turbo pula menerima semua ciri tadi dengan tambahan penggilap cermin automatik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, dan penghawa dingin dua zon. Model tertinggi Turbo RS pula dilengkapi dengan cermin pandang belakang anti-silau automatik, roda stereng dengan penukar gear serta pedal aloi.

Sistem keselamatan standard yang dibekalkan untuk Civic ini termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD dan BA, VSA dan juga Bantuan Mula Mendaki. Hanya varian Turbo RS dibekalkan dengan enam beg udara serta amaran pemakaian tali keledar untuk penumpang hadapan dan Honda LaneWatch. Ia dijual dengan harga bermual 869,000 baht (RM96,175) hingga 1.19 juta baht (RM131,683).

Civic 2016 juga telah dilancarkan di Indonesia dengan varian tunggal 1.5 Turbo pada awal bulan ini dengan harga Rp. 475 juta (RM140,177). Sedikit perubahan dilakukan berbanding model pasaran Thailand termasuk tip ekzos belakang yang ditonjolkan.

GALERI: Honda Civic Turbo RS 2016

GALERI: Honda Civic 1.8 E 2016