2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 108

Ekoran pelbagai insiden di jalan raya termasuk kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, kes buli dan pelbagai lagi kesalahan, Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) menyarankan agar pemandu kenderaan memasang alat perakam video (webcam) kereta.

Menurut presidennya, Hamzah Masri, pemasangan webcam ini memudahkan para pemandu merakam sebarang kesalahan jalan raya yang disaksikan sebagai bukti, laporan Bernama.

Selain itu, webcam juga dapat mengelakkan pemandu menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar semasa memandu.

“Sekiranya pemandu yang menyaksikan kemalangan atau kesalahan jalan raya yang dilakukan pemandu lain merakamkan insiden tersebut dengan menggunakan telefon sambil memandu, ia sudah mengundang bahaya yang lain pula,” ujarnya lagi.

Ternyata saranan yang dikemukakan ini agak bernas dan kebanyakan webcam di pasaran juga ditawarkan dengan harga mampu milik, berbaloi untuk dibeli. Bagaimana komen anda semua? Kongsikan bersama kami.