Satu insiden telah berlaku di sebuah stesen minyak di Kelantan, memberikan peringatan kepada masyarakat bahawa langkah keselamatan ketika mengisi bahan api bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

Insiden yang dirakam oleh CCTV sebuah stesen minyak yang terletak di Kuala Krai berkenaan menyaksikan api telah menyala di dalam kabin kereta ketika ia sedang diisi petrol. Ia disebabkan oleh seorang budak lelaki yang telah menyalakan pemetik api di dalam kereta, menyebabkan wap petrol yang masuk ke dalam kabin kereta tersebut terbakar. Budak lelaki berkenaan dilaporkan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, namun tidak diketahui keadaan sebenarnya.

Here's what NOT to do when you're at a fuel station…

Posted by Paul Tan's Automotive News on Thursday, February 4, 2016

Kami sebelum ini telah mewar-warkan langkah keselamatan yang perlu diambil ketika mengisi semula tangki bahan api anda. Awal tahun ini juga, kami telah menyiarkan satu video berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat semasa mengisi bahan api.

Bahan api secara jelasnya memang mudah terbakar. Bukan sahaja cecair bahan api, malah wap bahan api lebih mudah untuk terbakar jika terdedah kepada percikan api – insiden di Kuala Krai ini telah membuktikannya. Jadi, ketika mengisi bahan api, peralatan seperti pemetik api sebolehnya dielakkan dan enjin kereta juga pula perlu sentiasa dimatikan.