Subaru_Levorg_MV_Ext-2

Subaru Levorg 1.6 GT-S dan XV Crosstrek 2016 kini telah pun berada di Malaysia, dengan harga RM199,720 dan harga pengenalan RM119,500 (tanpa insurans).

Levorg (LEgacy, reVOlution, touRinG) yang dianggap model wagon bagi Impreza, merupakan varian tunggal 1.6 GT-S yang didatangkan khas dari Jepun, dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter DIT (Direct Injection Turbo) pengecas turbo empat-silinder.

Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 170 PS pada 4,800 hingga 5,600 rpm dan tork 250 Nm dari 1,800 hingga 4,800 rpm, dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive ciptaan Subaru, menyalurkan kuasa pada keempat-empat roda.

Elemen standard termasuk lampu utama LED pelarasan auto, lampi posisi berbentuk-C, lampu kabus halogen, bumbung matahari berkuasa, cermin sisi dengan lampu isyarat membelok LED, tip ekzos berkembar dan rim aloi aluminium 18-inci yang dibaluti tayar 225/45R18. Di dalamnya, ia menampilkan sistem kawalan suhu automatik dua-zon, paparan pelbagai-info dan kulit upholstery.

Sementara itu, XV Crosstrek yang berdasarkan model XV facelift, yang dilancarkan pada awal tahun ini, ditampilkan dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-P, dengan harga jualan terdahulu bermula RM138,588, dan kini RM138,788, selepas harga pengenalannya yang disebut itu ditamatkan.

Ia ditampilkan dengan kit baharu yang lebih sporty terdiri daripada deep chin spoiler, sambungan berwarna perak pada sudut hadapan, skirt sisi dan peresap belakang dengan kekemasan perak. Selain itu, spoiler belakang berwarna hitam seakan model pre-facelift STI Performance, tanpa logo STI.

Selain itu, ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L baharu, rim aloi dua tona 17-inci dan lampu belakang LED. Elemen tambahan pada bahagian kabinnya termasuk tempat duduk dan alas lantai eksklusif edisi Crosstrek.

Tiada perubahan pada penjana kuasanya, ia masih dipadankan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,200 rpm dan tork 196 Nm pada 4,200 rpm. Kuasanya disalurkan ke sistem Symmetrical All-Wheel Drive menerusi Lineartronic CVT.

GALERI: Subaru Levorg 1.6 GT-S 2016

GALERI: Subaru XV Crosstrek