Car-loan-purchase-bankrupt

Akibat rungutan dari beberapa syarikat pengeluar kereta yang mendakwa jualan mereka terjejas kerana nama pembeli disenarai hitam dalam CCRIS disebabkan gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), perbadanan berkenaan akan mengadakan perbincangan bersama industri automotif dan bank perdagangan untuk menyelesaikan isu ini, menurut laporan Bernama.

Perbincangan berkenaan turut akan diadakan dengan pemaju perumahan kerana peminjam PTPTN turut dilaporkan sukar untuk mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah.

Menurut Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah, perbincangan dalam tempoh terdekat itu perlu bagi membantu mengurangkan rungutan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN kerana gagal untuk membuat pinjaman. Perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan itu adalah untuk mendapat pandangan supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada peminjam dan sekali gus membantu meringankan beban peminjam.

“Peminjam kita yang namanya disenaraikan dalam CRISS bukan berpunca daripada PTPTN sahaja, tetapi kerana beberapa faktor lain seperti ada nama dari kalangan mereka sudah ada dalam sistem CRISS.

“Keadaan ini berlaku kerana pinjaman mereka telah melebihi daripada kemampuan yang sebenarnya menyebabkan pinjaman mereka tidak diluluskan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri di Dataran Tampan semalam.

Shamsul juga menegaskan bahawa penurunan jualan kereta boleh dipengaruhi oleh berbagai faktor dan bukan daripada PTPTN sahaja. Menerusi perbincangan berkenaan, beliau berharap satu jalan penyelesaian dapat dicapai bagi membantu rakyat dalam memudahkan urusan mereka mendapat pinjaman.

Menurut Shamsul lagi, peminjam PTPTN yang mempunyai masalah berkenaan boleh pergi ke lebih 60 kaunter PTPTN di seluruh negara bagi mencari jalan penyelesaiannya.

“Kalau ada aduan dalam media sosial dan Facebook ia tidak membantu kita untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.